Thursday, June 28, 2012

Segamat-Kuantan-KL Part 2: Lebuhraya Pantai Timur E8 / East Coast Expressway E8

Salam sejahtera,

Entri kali ini merupakan sambungan kepada entri lalu mengenai Lebuhraya Tun Razak FT12. Disebabkan faktor masa, saya mengambil keputusan untuk terus ke Kuala Lumpur dari penamat Lebuhraya Tun Razak FT12 di Gambang dan bukannya dari Jabor yang merupakan penamat asal Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1. Alang-alang saya sudah ada di sini, bukankah baik jika saya terus membuat reviu mengenai Lebuhraya Pantai Timur E8?

Sedikit maklumat sejarah mengenai Lebuhraya Pantai Timur ini. Lebuhraya Pantai Timur dirancang sebagai sambungan kepada Lebuhraya Karak E8/FT2 untuk membolehkan penduduk Pahang ke Kuala Lumpur dengan lebih pantas, memandangkan jarak dari Kuantan ke Kuala Lumpur ialah lebih kurang 230 km melalui Jalan Persekutuan 2, yang mana biasanya mengambil masa lebih kurang lima jam. Pembinaan Lebuhraya Pantai Barat ini sepatutnya dimuktamadkan pada tahun 1999, tetapi syarikat konsesi terdahulu gagal memuktamadkan satu perjanjian konsesi dengan kerajaan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia, maka kerajaan terpaksa membiayai sendiri projek Lebuhraya Pantai Timur ini secara "turnkey contract", di mana kontrak konsesi akhirnya ditawarkan kepada MTD Prime Berhad, syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2. Sebab itulah Lebuhraya Pantai Timur menggunakan kod laluan E8 sebagai kesinambungan kepada Lebuhraya Karak kendalian mereka. Pembinaan fasa pertama dimulakan pada Ogos 2000 dan ia dibuka kepada lalu lintas pada 1 Ogos 2004.

Kembara Blog Jalan Raya Malaysia untuk mencuba Lebuhraya Pantai Timur E8, Lebuhraya Asia AH141, bermula dari penamat Lebuhraya Tun Razak FT12 di Gambang. Terlebih dahulu saya mengisi minyak di stesen minyak Caltex Gambang. Di Simpang Gambang yang menjadi penamat FT12, laluan tersebut bertukar kepada Persiaran MEC FT222, sebatang jalan persekutuan pendek yang dibina sebagai jalan masuk ke Universiti Malaysia Pahang dan Lebuhraya Pantai Timur E8. Saya memasuki E8 melalui Exit 830 Persimpangan Gambang di KM217.

Lebuh raya ini agak lengang jika dibandingkan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 yang banyak digunakan oleh kenderaan, mungkin atas faktor peratusan milikan kenderaan yang lebih rendah di Pantai Timur berbanding di Pantai Barat. Selain itu, lebuh raya ini banyak melalui kawasan hutan tebal, satu pemandangan yang jarang dapat dilihat di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Lebih kurang 5 km sebelum Exit 227 Persimpangan Sri Jaya terletak hentian rehat pertama iaitu Kawasan Rehat dan Rawat Gambang. Pada pendapat saya, lebih baik ia dinamakan sebagai Kawasan Rehat dan Rawat Sri Jaya kerana ia lebih dekat ke Sri Jaya berbanding Gambang yang terletak hampir 30 km dari situ. Mungkin pemilihan nama berkenaan sekurang-kurangnya melegakan orang-orang Kuantan kerana ia menandakan mereka hampir tiba di Kuantan dari arah Kuala Lumpur.

Sepanjang pemerhatian saya, saya dapati jarak antara persimpangan bertingkat dengan bandar atau pekan destinasinya agak jauh, tidak seperti di Lebuhraya Utara Selatan di mana jarak dari persimpangan bertingkat ke plaza tol selalunya sekitar 300-500 meter sahaja; jarak antara persimpangan keluar ke bandar destinasi pula kebanyakannya dalam lingkungan 2-5 km sahaja. Namun di E8 pula, jarak dari persimpangan bertingkat ke plaza tol adalah lebih panjang, sekitar 700-900 meter. Jarak dari plaza tol ke simpang keluar masuk pula lebih kurang sama panjang, tidak seperti Lebuhraya Utara-Selatan di mana simpang keluar masuk terletak betul-betul selepas plaza tol.

Sungguhpun demikian, satu persamaan yang dikongsi bersama dengan Lebuhraya Utara-Selatan ialah konsep laluan selari yang digunakan. Jika Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dibina selari dengan Jalan Persekutuan 1 (kecuali jajaran Simpang Ampat-Yong Peng yang dilencong jauh untuk membolehkannya melalui Melaka), Lebuhraya Pantai Timur E8 pula dibina selari dengan Jalan Persekutuan 2. Maka tidak hairanlah jika kebanyakan persimpangannya dihubungkan ke Jalan Persekutuan 2, antaranya seperti Exit 830 Persimpangan Gambang, Exit 827 Persimpangan Sri Jaya, Exit 825 Persimpangan Maran dan Exit 813 Persimpangan Karak.

Setelah hampir 100 km menunggang, saya akhirnya mengisi minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Temerloh, betul-betul sebelum Jambatan Sultan Ahmad Shah II yang merentangi Sungai Pahang. Sepasang lorong motosikal dari dua buah kampung yang dipisahkan oleh Sungai Pahang dihubungkan ke jambatan ini untuk kemudahan orang-orang kampung menyeberangi Sungai Pahang. Gerai-gerai di Kawasan Rehat dan Rawat Temerloh ditutup sementara, saya tidak tahu apa puncanya, memandangkan saya tidak nampak sebarang petanda kerja naik taraf hentian rehat tersebut.

Haharan dari Exit 819 Persimpangan Temerloh ke Exit 816 Persimpangan Lanchang sudah beberapa kali saya lalui sebagai laluan utama ke kampung halaman adik ipar saya di Felda Mempaga. Jajaran tersebut terkenal kerana permukaan lebuh raya beralun-alun, menjadikannya berbahaya. Namun, semasa saya melaluinya, MTD Prime sudah membaiki jajaran beralun di situ dan menurap semula keseluruhan jajaran tersebut supaya ia tidak lagi beralun.

Plaza tol penamat Lebuhraya Pantai Timur ialah Plaza Tol Karak. Jika dilihatkan saiz plaza tol tersebut, ia kelihatan seolah-olah terlalu kecil dengan bilangan lorong yang begitu sedikit, satu ironi bagi sesebuah plaza tol utama yang menjadi pintu gerbang ke pantai timur, sedangkan Plaza Tol Bentong di Lebuhraya Karak pula begitu besar. Mungkin dipadankan dengan kadar trafik yang agak rendah buat masa ini (kecuali musim perayaan). Plaza Tol Bentong dan Gombak di Lebuhraya Karak E8/FT2 pula terpaksa dibuat besar kerana ia adalah laluan utama (memang ada Jalan Gombak FT68 sebagai laluan alternatif bebas tol, tetapi jalan tersebut sempit, banyak selekoh berbahaya dan "sangat keras").

Lebuhraya Pantai Timur E8 tamat di Exit 813 Persimpangan Karak, di mana ia bercamtum dengan Jalan Persekutuan 2 sebagai Lebuhraya Karak E8/FT2. Di situ had laju diturunkan daripada 110 km/j ke 90 km/j berikutan keadaan Lebuhraya Karak E8/FT2 yang agak berkelok-kelok. Kepada sesiapa yang belum membaca reviu mengenai Lebuhraya Karak E8/FT2, anda boleh membacanya di sini.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E8
Panjang: 160 km (Fasa 1)
Arah laluan: Timur-barat (Karak-Kuantan)
Bilangan lorong: 4
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: MTD Prime


Kemaskini: Ikuti sejarah lengkap mengenai pembinaan Lebuhraya Pantai Timur E8 di sini.







Plaza Tol Gambang






Exit 830 Persimpangan Gambang






Pemandangan Jalan Persekutuan 2 dari Lebuhraya Pantai Timur E8 arah Sri Jaya






Kawasan Rehat dan Rawat Gambang






Exit 827 Persimpangan Sri Jaya






Exit 825 Persimpangan Maran






Exit 821 Persimpangan Chenor






Gerai-gerai peniaga di Kawasan Rehat dan Rawat Temerloh ditutup atas sebab-sebab yang tidak diketahui






Jambatan Sultan Ahmad Shah II merentangi Sungai Pahang






Exit 819 Persimpangan Temerloh






Exit 816 Persimpangan Lanchang






Plaza Tol Karak menghadap Banjaran Titiwangsa






Penamat Lebuhraya Pantai Timur E8 di Exit 813 Persimpangan Karak






Laluan asal Lebuhraya Karak FT2 yang dilencongkan berikutan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur






Permulaan Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuala Lumpur

Segamat-Kuantan-KL Part 1: Lebuhraya Tun Razak FT12 / Tun Razak Highway FT12

Salam sejahtera,

Kembara Blog Jalan Raya kali ini merungkai kisah pahit getir pemerintah negeri Pahang untuk menukarkan negeri tersebut daripada antara negeri termiskin dan termundur di Malaysia sehingga berupaya berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Jika diikutkan sejarah, Pahang merupakan salah satu negeri yang menyertai Negeri-negeri Melayu Bersekutu bersama-sama Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Tidak seperti Negeri-negeri Melayu Bersekutu lain yang rata-ratanya kaya dengan hasil bumi masing-masing, Pahang adalah negeri termiskin antara empat negeri tersebut. Benar, Pahang memang pernah mempunyai lombong bijih timah, tetapi hasil timah Pahang tidak sebanyak hasil timah di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Pahang cuma mempunyai banyak hutan tebal, dan kebanyakan penduduk Pahang pada zaman dahulu hanya bekerja sebagai petani dan nelayan dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Para pembesar Pahang juga tidak terkecuali menerima tempias kesusahan dan kedaifan rakyat Pahang ketika itu. Adalah diceritakan bahawa Orang Kaya Indera Syahbandar ke-10, Tun Abdul Razak hanya berkaki ayam sahaja ke sekolah. Semasa beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pun beliau pernah diejek kerana berasal dari Pahang yang dianggap sebagai "hulu dan mundur" ketika itu. Malah, selepas kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957 pun Jalan Persekutuan 2 yang menjadi laluan tulang belakang utama Pahang masih belum berturap sepenuhnya; hanya pada tahun 1960an barulah keseluruhan laluan FT2 diturap sepenuhnya. Semuanya membuktikan betapa daifnya keadaan sosio-ekonomi Pahang suatu ketika dahulu.

Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri Pahang tentunya tidak mahu berdiam diri dan tidak mahu Pahang terus dicap sebagai negeri paling miskin. Lantas, Tun Abdul Razak tampil dengan idea penubuhan Felda untuk mencipta sumber ekonomi baharu serta mengubah nasib keluarga-keluarga miskin, terutamanya di Pahang. Hasil kegigihan dan komitmen kerajaan negeri, tanah rancangan Felda pertama di Malaysia dibuka di Lurah Bilut, dan Pahang memiliki bilangan tanah rancangan Felda paling banyak di Malaysia.

Untuk menyokong aktiviti pembukaan tanah-tanah rancangan Felda di sana, maka banyak jalan-jalan raya baharu telah dibina, termasuklah Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12, Lebuhraya Asia AH142, yang turut dikenali sebagai Lebuhraya Tun Razak. Lebuh raya yang diilhamkan sendiri oleh Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah mula dibina pada tahun 1970 dan dibuka pada tahun 1983 apabila baginda sendiri merupakan Yang Dipertuan Agong ketika itu.

Baru-baru ini, Blog Jalan Raya Malaysia berkesempatan mencuba jalan raya persekutuan dua lorong sejauh 147 km ini yang bermula dari Segamat, Johor. Setelah minyak diisi penuh di stesen minyak Petronas Taman Yayasan, saya terus menunggang dengan kelajuan purata sekitar 90-100 km/j.

Ladang-ladang kelapa sawit merupakan satu pemandangan utama di hampir keseluruhan jajaran FT12 ini. Majoriti ladang kelapa sawit diusahakan di tanah-tanah rancangan Felda, tetapi ada juga yang diuruskan oleh syarikat persendirian serta badan lain. Pembalakan juga pernah menjadi sumber ekonomi utama di sepanjang lebuh raya FT12 ini, hasil daripada pembukaan tanah-tanah rancangan Felda. Bandar Segamat menerima manfaat terbesar hasil aktiviti pembalakan yang terhasil daripada pembinaan Lebuhraya Tun Razak FT12 serta pembukaan tanah-tanah rancangan Felda. Hasilnya, bandar Segamat mengalami proses urbanisasi paling pesat pada tahun-tahun 1970an sehinggalah aktiviti pembalakan di sepanjang FT12 dihentikan setelah lebuh raya itu siap pada 1983 serta setelah tanah-tanah rancangan Felda Gugusan Pemanis, Selancar, Keratong dan Chini sudah habis dibuka.

Secara amnya jalan raya dua lorong ini sangat selesa dan seronok untuk dipandu melaluinya, kerana keadaan jalan yang lurus dan kurang berselekoh. Maka, tidak hairanlah jika Lebuhraya Tun Razak FT12 ini bukan sahaja digunakan sebagai laluan ke negeri-negeri pantai timur dari bandar-bandar utama di barat daya Semenanjung Malaysia seperti Segamat, Muar, Batu Pahat dan Melaka, malah ramai juga pemandu dari Johor Bahru yang turut menjadikan Lebuhraya Tun Razak sebagai laluan utama ke pantai timur. Hasilnya, banyak hentian rehat yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, antaranya Hentian Rehat S'kuan berhampiran pangkal FT12, Hentian Rehat Risda Keratong, Hentian Lebuhraya Muadzam Shah, serta Kawasan Rehat dan Rawat Paloh Hinai.

Selepas lebih kurang 53 km meninggalkan Segamat, lebuh raya FT12 ini bertemu dengan penghujung Jalan Persekutuan 11 yang merupakan jalan pintas dari Kuantan ke Bahau dan Seremban.

Memandangkan jalan FT12 ini boleh dikira agak baharu, maka anda tidak akan bertemu dengan mana-mana pekan atau bandar sehingga berpuluh-puluh kilometer jauhnya. Kalau ada pun, ia terletak jauh di dalam dan dihubungkan melalui jalan-jalan pengumpul. Hanya Muadzam Shah yang boleh dikatakan sebagai bandar persinggahan, berikutan terdapat banyak hentian rehat di situ.

Bandar Muadzam Shah dibuka pada tahun 1979 melalui program Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA). Agensi tersebut diberi kuasa mentadbir bandar baharu tersebut sehinggalah ia diambil alih oleh Majlis Daerah Rompin pada tahun 2004. Ada banyak pihak yang mempertikaikan pengambilalihan ini. Dari segi reka bentuk bandar, perancangan Bandar Muadzam Shah adalah sangat sistematik serta sangat maju, berikutan terdapat sebuah politeknik, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), bangunan mahkamah, balai bomba, malah sebuah universiti iaitu Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Muadzam Shah. Tambah menarik, satu-satunya persimpangan bertingkat di Lebuhraya Tun Razak FT12 juga terletak di Muadzam Shah, menghubungkan FT12 dengan Jalan Bukit Ibam FT63. Pendek kata, bandar ini serba lengkap, cuma belum ada restoran makanan segera sahaja.

Di Muadzam Shah, tangki minyak masih ada seliter setengah petrol, tetapi saya tidak mahu mengambil sebarang risiko untuk terus bergerak memandangkan tangki minyak Honda Wave 125X Ultimo ini terlalu kecil untuk perjalanan jauh. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk memenuhkan tangki dahulu, takut-takut kalau saya terseadai di tengah jalan kerana kehabisan minyak. Di Malaysia, ramai penunggang motosikal yang suka mengembara jarak jauh meskipun dengan hanya bermodalkan motosikal kapcai. Namun, harus diingat bahawa kebanyakan motosikal kapcai mempunyai tangki minyak yang kecil bersaiz sekitar 4 liter yang biasanya mencukupi untuk perjalanan sehingga lebih kurang 140 km pada kelajuan 100 km/j. Tangki Honda Wave Ultimo ini pula lebih "comel", hanya boleh memuatkan petrol sebanyak 3.7L yang hanya mencukupi untuk perjalanan lebih kurang 110 km pada kelajuan yang sama. Setelah saya melalui sepanjang jarak penuh FT12 ini, saya rumuskan beberapa tempat untuk mengisi minyak untuk makluman rakan-rakan penunggang:-
  1. Taman Yayasan, Segamat (KM0) - stesen minyak Petronas (2 buah) dan Shell (sebuah). Terdapat sebuah lagi stesen minyak Mobil lebih kurang 3 km berikutnya sebelum menghampiri Pusat Operasi Gas Segamat.
  2. Muadzam Shah (KM73) - stesen minyak Petronas dan Shell.
  3. Simpang Chini (KM107) - stesen minyak Petronas.
  4. Pulau Manis (KM127, selepas Jambatan Sungai Pahang) - BHPetrol
  5. KM139 (lebih kurang 7 km sebelum penamat FT12) - Caltex
  6. Hentian rehat Persimpangan Gambang - Caltex
Perjalanan diteruskan sehingga saya tiba di Kawasan Rehat dan Rawat Paloh Hinai untuk ke tandas dan minum sebentar. Lebih kurang 1 km kemudian, saya tiba di satu simpang empat di mana FT12 dihubungkan dengan jalan tepi Sungai Pahang di bahagian tebing selatan; jalan dari simpang tersebut ke Pekan (belok kanan) diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 82 manakala jalan dari simpang tersebut sehingga bertemu dengan Jalan Persekutuan 10 di Mengkarak diwartakan sebagai Jalan Negeri Pahang C108 (Paloh Hinai-Kampung Kuala Bera) dan C8 (Kampung Kuala Bera-Mentakab). Satu lagi mercu tanda penting FT12 dilalui iaitu Jambatan Sungai Pahang. Kelibat jambatan tersebut menunjukkan bahawa saya sudah hampir tiba ke penghujung laluan FT12.

Di bahagian tebing utara Sungai Pahang, FT12 bertindih seketika dengan Jalan Negeri Pahang C106 sejauh 1.1 km berikutan pautan putus antara kedua hujung laluan tersebut.

Lebuhraya Tun Razak FT12 tamat di kilometer terakhirnya di Gambang dan bertemu dengan Jalan Gambang FT2 untuk meneruskan baki perjalanan ke Kuantan. Saya dapati persimpangan ini telah banyak berubah; sebelum ini ia hanyalah simpang tiga sahaja tetapi sekarang ia telah diubah menjadi simpang empat, hasil pembukaan Universiti Malaysia Pahang, Bandar MEC serta Lebuhraya Pantai Timur E8. Selain itu, sudah ada hentian rehat di simpang tersebut.

Sejak Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 mula dibuka 29 tahun yang lalu, jalan ini sudah banyak memakan korban nahas jalan raya, terutamanya pada beberapa tahun kebelakangan ini. Kenapa Lebuhraya Segamat-Kuantan boleh dikenali sebagai lokasi kemalangan maut, sedangkan tiada selekoh tajam di sepanjang laluan? Jawapannya hanya dapat ditemui jika anda melalui FT12 ini pada musim cuti sekolah serta musim perayaan. Pada masa tersebut, terdapat banyak kenderaan yang menggunakan lebuh raya ini. Tambah memeritkan apabila terpaksa berbaris panjang mengekori kenderaan berat. Pada masa tersebut, sebarang cubaan untuk memotong bermaksud mempertaruhkan nyawa sendiri. Memang ada lorong memotong yang disediakan, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Kalau ada pun, kebanyakannya terlalu pendek, menyebabkan kesukaran untuk melepasi kenderaan yang hendak dipotong. Ia diburukkan dengan sikap segelintir pemandu lori yang enggan mengalah.

Sehubungan dengan itu, Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Shaziman Abu Mansor ada menyuarakan keperluan untuk menaik taraf Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 menjadi lebuh raya kembar empat lorong yang lebih selamat serta lebih berkeupayaan untuk menampung aliran trafik yang lebih tinggi. Namun, segala-galanya kini terpulanglah kepada Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri merangkap Orang Kaya Indera Syahbandar ke-11 untuk menentukan bila pembinaannya hendak dimulakan. Jika benar Datuk Seri menjunjung tinggi prinsip 1Malaysia di mana rakyat diutamakan dan pencapaian diutamakan, maka rakyat sudah tentulah tidak akan menerima sebarang jawapan "tidak" oleh Datuk Seri. Jadi bagaimana sekarang, Datuk Seri Orang Kaya Indera Syahbandar ke-11?

Ikuti bahagian kedua kembara Blog Jalan Raya Malaysia yang melalui Lebuhraya Pantai Timur E8 dari Gambang ke Kuala Lumpur.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Lebuhraya Tun Razak bermula dari Persimpangan Tun Abdul Razak di Segamat






174 km adalah jarak terpendek yang anda boleh dapati dari Segamat ke Kuantan






Simpang ke Pusat Operasi Gas Segamat






Sempadan negeri Johor-Pahang






Keadaan jalan yang lurus dan cantik menyajikan panorama menarik






Laluan pintas dari Kuantan ke Seremban dan Bahau






Kurang laluan memotong di Lebuhraya Tun Razak






Persimpangan Muadzam Shah - satu-satunya persimpangan bertingkat di Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12






Hentian Lebuhraya Muadzam Shah






Jalan masuk ke Bandar Muadzam Shah






Kawasan Rehat dan Rawat Paloh Hinai






Belok kanan ke Pekan, belok kiri ke Mengkarak dan Temerloh






Jambatan Sungai Pahang






Lebuhraya Tun Razak FT12 tamat di Gambang

Wednesday, June 13, 2012

Reviu eksklusif SKVE E26 / SKVE E26 exclusive review

Salam sejahtera,

Seperti yang pernah dijanjikan, Blog Jalan Raya Malaysia kali ini membawakan satu reviu eksklusif Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26 khas kepada anda. Pada reviu sebelum ini, saya telah menceritakan serba-sedikit mengenai E26 diikuti beberapa reviu terawal oleh beberapa blogger.

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, SKVE E26 merupakan lebuh raya timur-barat kelima di Lembah Klang selepas Lebuhraya Persekutuan FT2, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1, Lebuhraya Shah Alam E5 dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor E25. Lebuh raya sepanjang 52 km ini asalnya dibina oleh kerajaan persekutuan sebagai jalan masuk utama ke Putrajaya dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke Exit 2606 Persimpangan SKVE, siap pada tahun 2000. Selepas itu, jajaran seterusnya bagi SKVE terbengkalai selama enam tahun sehinggalah SKVE Hondings Sdn. Bhd. mengambil alih projek berkenaan pada tahun 2006. Jajaran Putrajaya-Saujana Putra (Seksyen 1B) siap pada tahun 2010.

Semalam saya mengambil kesempatan untuk mencuba keseluruhan jajaran SKVE yang sudah dibuka dari Exit 1809/2600 Persimpangan Uniten sehinggalah ke Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang. Jajaran terawal dari Uniten sehingga Exit 2606 Persimpangan SKVE diuruskan oleh JKR Selangor dan Putrajaya, jadi sebab itulah papan tandanya berwarna biru.

Memandangkan kembara kali ini dilakukan semasa waktu sibuk (rush hour), maka hanya sedikit sahaja gambar yang diambil bagi jajaran percuma ini. Di Exit 1809 Persimpangan Uniten, lebuh raya E26 ini adalah sambungan daripada Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (Silk) E18, maka papan tanda di persimpangan tersebut berwarna hijau. Jajaran SKVE yang diuruskan oleh JKR ini mempunyai dua sistem nombor persimpangan, iaitu sistem pernomboran biasa (digunakan oleh SKVE Holdings) serta sistem pernomboran khusus (digunakan oleh JKR). Sistem pernomboran khusus ini dikira dari satu, tidak seperti sistem pernomboran lebuh raya biasa yang terdiri daripada empat digit (dua digit pertama mengikut kod lebuh raya, manakala dua digit terakhir adalah nombor persimpangan). Misalnya, Exit 1 Persimpangan Hospital Serdang (Timur) boleh disebut sebagai Exit 2601, dan seterusnya sehinggalah Exit 6 Persimpangan SKVE, yang boleh disebut sebagai Exit 2606.

Exit 2606 Persimpangan SKVE adalah persimpangan pertama di dalam kawasan penyelenggaraan SKVE Holdings, sebelum tiba di plaza tol pertama di E26 iaitu Plaza Tol Ayer Hitam (jangan terkeliru dengan Ayer Hitam di Johor). Sebaik melepasi Plaza Tol Ayer Hitam, bilangan lorong berkurangan daripada enam lorong kepada empat lorong.

Dalam entri sebelum ini, salah seorang pembaca iaitu Abdul Aziz A Wahab ada menyebut mengenai selekoh tajam di kolam bekas lombong di Puchong. Walaupun selekoh tersebut memang tajam dan lebih selamat dikenakan had laju 90 km/j, namun saya amat tidak bersetuju dengan had laju 90 km/j yang dikenakan sepanjang lebuh raya ini. Had laju 90 km/j ini terlalu perlahan, sekaligus boleh menyebabkan rasa mengantuk kepada pemandu berikutan pemandangan yang sama sahaja (monotonous). Dengan kata lain, had laju 90 km/j ini sebenarnya lebih berbahaya dan bukannya lebih selamat. Tmbahan pula, jarak antara persimpangan yang jauh menjadikan had laju 90 km/j ini tidak relevan sama sekali. Hanya selekoh tajam di kolam bekas lombong Puchong sahaja yang sesuai (dan sepatutnya) dikenakan had laju sedemikian.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra, yang seterusnya dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6. Sebaik melepasi persimpangan ini, bilangan lorong bertambah semula menjadi enam lorong. SKVE Holdings turut mengambil inisiatif meletakkan papan tanda melarang keras kenderaan berat menggunakan lorong kanan. Langkah ini memang patut dipuji.

Saya sempat melihat Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas, yang saya sifatkan sebagai hentian rehat yang begitu besar, siap dengan tanah rizab yang mencukupi untuk memuatkan dua stesen minyak. Saya cukup suka akan lampu jalan berhias yang digunakan di sini. Memandangkan SKVE Holdings telah melabur besar untuk mendirikan sepasang hentian rehat sebesar ini, maka SKVE Holdings perlulah melakukan promosi besar-besaran untuk menarik peniaga membuka perniagaan mereka di sini, di samping menghidupkan hentian rehat ini dengan pelbagai aktiviti seperti bazar "uptown" sebagaimana di Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukong di Lebuhraya Cheras-Kajang E7, serta pertunjukan kereta berhias di Kawasan Rehat dan Rawat Layang di Lebuhraya Senai-Desaru E22. SKVE turut membina markas utama mereka yang masih belum dihuni lagi di Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas arah Putrajaya.

Tidak jauh dari hentian rehat ini terletak Exit 2608 Persimpangan Tanjung Dua Belas yang masih dalam pembinaan, yang seterusnya bakal disambung dengan Lebuhraya Pantai Barat E28 yang masih dalam perancangan. Beberapa reviu terawal SKVE menunjukkan beberapa kesan jalan mendap sepanjang Kilometer 28 - 30 sehingga ada sambungan jambatan yang kurang rata berhampiran Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang. Namun, SKVE Holdings nampaknya telah bertindak pantas dengan memperbaiki bahagian jalan yang mendap tersebut. Sungguhpun demikian, saya nasihatkan para pemandu agar berhati-hati dan tidak memandu terlalu laju kerana jalan masih agak mendap walaupun sudah berkurangan sedikit. Fenomena ini berikutan jajaran lebuh raya SKVE ini yang dibina di kawasan tanah gambut yang lembut dan mudah mendap. Itulah sebabnya kenapa jajaran Seksyen 2 dari Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra sehingga Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang dibuka lewat setahun daripada jadual, kerana masa yang diambil untuk memadatkan tanah bagi asas lebuh raya adalah lama.

SKVE E26 dibuka sehingga setakat Exit 2609 Telok Panglima Garang, di mana dari sini anda boleh ke Banting atau Klang melalui Jalan Langat FT5. Saya berpatah balik masuk semula ke lebuh raya dan menemui sesuatu yang menarik di jejambat Persimpangan Telok Panglima Garang. Saya dapati jajaran lebuh raya yang belum dibuka itu berubah daripada lebuh raya kembar empat lorong kepada lebuh raya tunggal dua lorong, sama seperti di jajaran Cahaya baru-Bandar Penawar di Lebuhraya Senai-Desaru E22. Kenapa SKVE E26 di jajaran tersebut cuma dibina dua lorong sahaja? Tidak ada apa-apa tempat menarik yang dilalui di jajaran terakhir E26 selain daripada Pelabuhan Barat serta ladang kelapa sawit dan perkampungan Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey. Dengan kata lain, kadar aliran trafik di jajaran ketiga nanti adalah rendah dan sebahagian besar hanya terdiri daripada lori-lori kontena. Namun, kawalan masuk di jajaran berkenaan mestilah dipastikan penuh melalui pembinaan persimpangan bertingkat penuh dengan pengasingan aras di Exit 2610 Persimpangan Pulau Carey. Simpang tiga biasa tidak boleh dibina sama sekali. Selain itu, simbol lebuh raya bagi jajaran dua lorong itu juga patut mengguna simbol kereta dan bukan simbol lebuh raya biasa, sebagaimana yang saya tekankan dalam isu yang sama di E22.

Saya meneruskan perjalanan saya dan keluar dari SKVE di Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra untuk pulang melalui Lebuhraya Elite E6. Lebuhraya Elite E6 dihubungkan dengan SKVE E26 melalui sebuah bulatan besar yang turut dihubungkan dengan kawasan perumahan Saujana Putra. Dalam pemerhatian saya, saya dapati keadaan di situ tidak semeriah yang disangka. Kawasan perumahan tersebut tidak berapa hidup walaupun dihubungkan terus melalui lebuh raya. Penemuan saya ini sekaligus menangkis dakwaan kononnya pembinaan lebuh raya boleh meningkatkan nilai hartanah sesuatu kawasan perumahan. Siapa yang tahan kalau terpaksa bayar tol setiap hari untuk ke mana-mana sahaja? Memang ada jalan bebas tol, tetapi itu pun sekadar jalan kampung dua lorong yang mengelirukan. Dengan itu, Lebuhraya Damansara-Puchong E11 sebenarnya tidak layak dipanggil lebuh raya ekspres kerana ia sebenarnya cuma sekadar jalan arteri yang asalnya percuma untuk lalu lintas tempatan sebelum ia bertukar menjadi laluan perompak duit penduduk.

Apa pula laluan alternatif yang anda boleh gunakan juga anda tidak mahu membayar tol? Memang ada laluan alternatif yang anda boleh gunakan, iaitu Jalan Dengkil-Banting B18. Untuk menggunakannya dari arah Uniten, keluar dari SKVE di Exit 2606 Persimpangan SKVE menuju ke Dengkil melalui Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 dan jalan terus sehingga anda tiba di persimpangan searas berlampu isyarat di Dengkil. Persimpangan searas tersebut menghubungkat B18 dengan FT29, maka belok kanan dan terus sehingga ke Banting. Mudah bukan?

Apa pun, syabas dan tahniah kepada SKVE Holdings atas pembukaan Seksyen 2 E26 ini, dan saya amat mengharapkan agar mutu perkhidmatan serta kualiti pembinaan pada jajaran akan datang tidak mengecewakan.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.

(Kemaskini - Jajaran terakhir SKVE E26 kini sudah dibuka! Baca reviu mengenainya di sini.)


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E26
Panjang: 52 km
Arah laluan: Timur-barat (Pelabuhan Barat-Uniten)
Bilangan lorong: 2 (Telok Panglima Garang-Plaza Tol Pulau Indah); 4 (Plaza Tol Ayer Hitam-Saujana Putra; Tanjung Dua Belas-Telok Panglima Garang); 6 (Uniten-Plaza Tol Ayer Hitam; Saujana Putra-Tanjung Dua Belas)
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.skveholdings.com/







SKVE bermula dari Exit 1809 Persimpangan Uniten






Exit 2606 Persimpangan SKVE






Plaza Tol Ayer Hitam






Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra






Laluan enam lorong ke Tanjung Dua Belas






Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas






Hentian rehat ini masih belum dibuka






Exit 2608 Persimpangan Tanjung Dua Belas ini masih dalam pembinaan






SKVE Holdings bertindak pantas menangani masalah jalan mendap di sini






Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang






Plaza Tol Telok Panglima Garang






Simpang tiga ke Jalan Langat FT5






Lebuh raya yang belum dibuka ini bertukar daripada lebuh raya empat lorong kepada dua lorong






Plaza Tol SKVE Saujana Putra






Bulatan Saujana Putra menghubungkan SKVE E26 ke Lebuhraya Elite E6

Sunday, June 10, 2012

Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) E33 / Duta-Ulu Klang Expressway (Duke) E33

Salam sejahtera,

Setelah banyak membuat reviu jalan raya di luar Kuala Lumpur, entri kali ini ialah mengenai salah satu lebuh raya utama di Kuala Lumpur iaitu Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) E33.

Lebuhraya Duke E33, Lebuhraya Asia AH141 (Jalan Duta-Sentul Pasar-Greenwood), yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Penyuraian Utara-Timur KL mula dibina pada tahun 2006 dan dibuka kepada lalu lintas pada tahun 2009. Lebuh raya ini diuruskan oleh Konsortium Expressway Timur Utara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Kesturi), salah satu anak syarikat MRCB yang turut menguruskan Lebuhraya JB EDL E14 melalui MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. Ia dibina sebagai hubungan terus antara Lebuhraya Utara-Selatan E1 ke Ulu Klang dan Lebuhraya Karak E8 / FT2. Lebuh raya ini dibina mengikut konsep roda di mana Jalan Lingkaran Tengah 2 KL (MRR2) FT28 bertindak sebagai lilitan roda manakala Lebuhraya Duke itu sendiri bertindak sebagai jejari.

Memandangkan dua bahagian hujung E33 ini berakhir di MRR2 FT28, maka ramai yang menganggap lebuh raya E33 ini hanya sekadar menambah sesak MRR2 FT28 yang sudah sedia sesak. Hakikatnya, FT28 memang sedia sesak kerana ia dibina dengan kawalan masuk separa kerana MRR2 menggunakan jalan-jalan arteri sedia ada untuk dijadikan sebagai satu "laluan baharu" serta membiarkan persimpangan jalan-jalan kecil sedia ada. Sekurang-kurangnya MRR2 diwartakan sebagai jalan persekutuan dan bukan lebuh raya ekspres kerana tidak memenuhi keperluan kawalan masuk penuh.

Tidak banyak persimpangan penting utama di sepanjang E33 ini. Kebanyakan persimpangan yang ada ialah persinmpangan separa, dan ia memang direka sebegitu rupa supaya setiap pemandu yang melalui lebuh raya ini perlu membayar tol sekali sahaja di salah satu daripada 3 plaza tol yang ada iaitu Plaza Tol Batu, Plaza Tol Sentul Pasar dan Plaza Tol Ayer Panas. Setiap plaza tol adalah jenis separa bagi satu laluan lebuh raya sahaja.

Saya memulakan perjalanan meneroka E33 ini dari arah Jalan Duta melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1. Di Exit 3301 Persimpangan Jalan Duta, laluan dari arah Jalan Duta ke Plaza Tol Jalan Duta dikekalkan, tetapi lalu lintas dari plaza tol pula dilencongkan terus ke E33; anda perlu keluar di Exit 3301 Persimpangan Jalan Duta jika hendak ke pusat bandar raya Kuala Lumpur melalui E1. Exit 3301 dibina di tapak asal selekoh yang sangat tajam berhampiran Plaza Tol Jalan Duta yang hanya selamat dilalui pada kelajuan 60 km/j.

Persimpangan seterusnya, Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching terletak tidak jauh daripada Exit 3301. Persimpangan ini bukanlah persimpangan 100% penuh sungguhpun ia merupakan salah satu persimpangan utama di sepanjang E33. Lalu lintas dari arah Jalan Duta yang keluar ke Jalan Kuching FT1 hanya boleh ke arah utara, begitu juga dengan lalu lintas dari arah Plaza Tol Batu yang hanya boleh ke pusat bandar raya. Hanya lalu lintas dari arah utara melalui FT1 sahaja yang berpeluang ke kedua-dua arah.

Plaza Tol Batu adalah plaza tol yang terbesar di lebuh raya ini. Ia hanya mengutip tol untuk lalu lintas ke arah Jalan Duta (arah timur). Sebaik sahaja melepasi Plaza Tol Batu, E33 melalui laluan talian penghantaran elektrik voltan tinggi yang menjadi pembahagi jalan semula jadi. Laluan dari Plaza Tol Jalan Duta ke Jalan Pahang adalah laluan bertingkat.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar, yang menghubungkan laluan Sentul Pasar-Gombak untuk ke Lebuhraya Karak FT2, diikuti persimpangan bertingkat masuk dari Jalan Pahang. Jujur saya katakan, Persimpangan Jalan Pahang ini hanya sesuai untuk kenderaan ringan berikutan jalan masuknya yang begitu tajam selekohnya.

Plaza tol seterusnya ialah Plaza Tol Ayer Panas. Kali ini, ia mengutip tol bagi pengguna arah barat sahaja (dari arah Gombak / Jalan Duta). Terdapat beberapa persimpangan bertingkat kecil tetapi tidak perlulah saya sebutkan di sini, memandangkan ia hanya menghubungkan E33 dengan jalan-jalan kecil sahaja.

Sepanjang pemerhatian saya, kebanyakan jajaran bertingkat E33 tiada lorong kecemasan, berkemungkinan atas faktor ruang yang tidak mencukupi. Akibatnya, kenderaan kecemasan yang berhenti di tepi jalan akibat rosak berkemungkinan berdepan dengan risiko disondol dari arah belakang.

Kita teruskan dengan persimpangan seterusnya iaitu Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa. Persimpangan ini mengingatkan saya kepada Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang FT17 di Johor Bahru yang boleh dibuat sebagai persimpangan aliran bebas sepenuhnya tanpa lampu isyarat. Persimpangan terakhir bagi laluan utama E33 ini ialah Exit 3308 Persimpangan Hillview, yang menamatkan Lebuhraya Duke E33 di MRR2 FT28.

Bagi jajaran Sentul-Gombak pula, saya pada asalnya merancang untuk mencari pusingan U di MRR2 FT28, tetapi membatalkannya berikutan kesesakan di MRR2 arah Ampang. Sebaliknya, saya ke arah Jalan Genting Klang dan kembali memasuki E33 di Persimpangan Jalan Pahang.

Sebaik sahaja memasuki jajaran Sentul-Gombak terletaknya Plaza Tol Sentul Pasar. Plaza Tol Sentul Pasar ini adalah yang terkecil di se[anjang E33 dan mengutip tol ke arah utara (Gombak / Lebuhraya Karak E8 / FT2). Plaza tol ini sepatutnya dilebarkan kerana saiz plaza tol ini yang sempit telah menyebabkan berlakunya kesesakan lebuh raya sehingga berkilometer jauhnya jika warga kota hendak pulang ke kampung di kawasan Pantai Timur melalui Lebuhraya Karak E8 / FT2. Sebaik melepasi Plaza Tol Sentul Pasar terletaknya Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam.

Jajaran E33 dari Kampung Bandar Dalam ke Gombak sebenarnya menggunakan baki jajaran lama Lebuhraya Karak FT2 yang tidak digunakan. Oleh itu, memang ada beberapa persimpangan jalan kecil di sepanjang jajaran tersebut yang memang sudah wujud sejak Lebuhraya Karak FT2 dibina. Namun, apa yang saya tidak senangi ialah terdapat satu "persimpangan haram" dari laluan utama arah Gombak ke Taman Pelangi. Simpang jalan kecil sebegitu rupa sangat berbahaya kerana pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan haram berkenaan berdepan dengan risiko dilanggar dari belakang. Jika hendah masuk ke taman perumahan itu sekalipun, jalan masuknya sepatutnya diubah supaya boleh masuk melalui jalan susur masuk ke lebuh raya, bukannya dengan gaya "laluan tikus" sebegitu.

Persimpangan terakhir bagi E33 ialah Exit 3310 Persimpangan Greenwood, di mana laluan terus Lebuhraya Duke dilencongkan ke MRR2 FT28 untuk ke Lebuhraya Karak E8 / FT2. Jika diikutkan sejarah, Persimpangan Greenwood adalah persimpangan bertingkat tertua di E33, berikutan persimpangan tersebut wujud sejak Lebuhraya Karak FT2 dibuka pada tahun 1977 lagi. Jejambat di persimpangan tersebut asalnya 2 lorong sahaja sebelum satu lagi jejambat dibina bersebelahan semasa MRR2 dibina.

Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan kualiti binaan Lebuhraya Duke E33 ini. Namun, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu ditangani segera:-
  1. Lebuh raya ini menjadi sesak dalam masa tidak sampai 2 tahun selepas ia dibuka. Ia berikutan peranan lebuh raya ini yang menghubungkan antara Lebuhraya Utara-Selatan E1 dengan Lebuhraya Karak E8 secara terus. Saya difahamkan syarikat konsesi dengan pantas sudah merancang untuk melebarkan jalan-jalan susur kritikal yang sesak, namun saya tidak fikir ia berupaya menyelesaikan masalah ini dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, penyelesaian yang lebih baik ialah menambah baik sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
  2. Lebuh raya ini sering dijadikan sebagai tempat polis mengadakan sekatan jalan raya terutamanya di lorong motosikal. Saya faham sekatan jalan raya amat penting dalam penguatkuasaan peraturan jalan raya dengan lebih berkesan, namun terlalu banyak sekatan jalan raya akan menyebabkan pengguna lebuh raya menjadi rimas dan seterusnya menimbulkan stigma kononnya kerja polis hanya sekadar "membuat lauk" menyaman orang. Namun, keadaan Lebuhraya Duke E33 yang sering dijadikan litar lumba haram tentulah membawa kepada keadaan yang berlaku sekarang, dan masyarakat sewajarnya menghargai peranan polis membanteras lumba haram sehingga ada yang terkorban angkara mat-mat rempit bajingan tersebut, sebagaimana yang berlaku di Klang baru-baru ini.
  3. "Laluan haram" di Taman Pelangi dekat Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam (sudah dibincangkan tadi)
  4. Kelemahan terbesar lebuh raya ini ialah papan tanda yang digunakan. Terlalu banyak tulisan pada papan tanda menjadikan ia berselirat dan berserabut macam belacan. Bukan itu sahaja, papan tanda persimpangan diletakkan pada saat-saat akhir. Bagi papan tanda laluan utama, sepatutnya hanya 3 baris tulisan sahaja - destinasi utama bagi barisan paling atas, destinasi sekunder di barisan tengah, dan persimpangan berikutnya di barisan paling bawah. Mudah lagi ringkas. Sayangnya hanya papan tanda Exit 3308 Persimpangan Hillview dan Exit 3310 Persimpangan Greenwood sahaja yang betul-betul mengikut piawaian yang sepatutnya.


Apa pun, pujian harus diberikan kepada Kesturi kerana berjaya merancang dan membina lebuh raya ini dengan begitu baik tanpa mengikut amalan sesetengah syarikat konsesi tamak yang menggunakan jalan arteri sedia ada sebagai laluan lebuh raya "ekspres" yang tidak mengikut piawaian LLM. Sungguhpun jajaran Kampung Bandar Dalam menggunakan baki jajaran lama Lebuhraya Karak FT2, namun ia adalah langkah yang tepat bagi memastikan jajaran baki tersebut dimanfaatkan dan dimartabatkan sebaiknya.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Kemaskini: Fasa kedua Lebuhraya Duke E33 mula dibina pada November 2013 bagi menghubungkan Lebuhraya Duke E33 dengan Jalan Tun Abdul Razak dan KL MRR2 FT28 di Taman Bukit Maluri. Klik sini untuk butiran lanjut mengenainya.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E33
Panjang: 18 km
Arah laluan: Timur-barat (Jalan Duta-Ulu Klang); Utara-Selatan (Gombak-Sentul)
Bilangan lorong: 6
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.duke.com.my/







Exit 3301 Persimpangan jalan Duta (dari arah Jalan Duta)






Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching






Plaza Tol Batu






Jajaran lebuh raya di laluan talian penghantaran elektrik 275 kV






Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar






Plaza Tol Ayer Panas






Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa






Exit 3308 Persimpangan Hillview






Plaza Tol Sentul Pasar






Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam






Laluan haram yang boleh membahayakan pengguna lebuh raya di Taman Pelangi dekat Kampung Bandar Dalam






Exit 3310 Persimpangan Greenwood

Advertisement