Friday, August 31, 2012

Kembara Tanjung Puteri Part 2: Lebuhraya Skudai FT1 / Skudai Highway FT1

Salam sejahtera,

Pada bahagian pertama Kembara Tanjung Puteri ini, saya ada menulis mengenai reviu rasmi Lebuhraya Hubungan Penyuraian Timur Johor Bahru (JB EDL) E14, yang merupakan pelengkap kepada "pautan putus" antara Lebuhraya Utara-Selatan E2 dengan Tambak Johor. Kali ini, saya ingin menulis mengenai lebuh raya yang banyak berjasa kepada para pemandu dari Johor Bahru dan Singapura sebelum siapnya Lebuhraya Utara-Selatan E2 iaitu Lebuhraya Skudai FT1, Lebuhraya Asia AH2.

Semasa projek Lebuhraya Utara-Selatan mula dirancang pembinaannya berikutan arahan Jabatan Kerja Raya pada tahun 1977, ia asalnya dirancang untuk dibina dari Bukit Kayu Hitam ke Tambak Johor di Johor Bahru. Beberapa laluan perintis dibina. Jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1 daripada jalan raya tunggal dua lorong kepada lebuh raya kembar empat lorong dengan kawalan masuk separa. Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban pula dibina sebagai laluan perintis bagi jajaran selatan (E2).

Di sebelah Johor Bahru pula, jajaran FT1 dari Tambak Johor sejauh 27.3 km dinaik taraf sebagai lebuh raya kembar dengan kawalan masuk separa. Namun, pembangunan pesat Johor Bahru menjadikan jajaran ini kurang sesuai untuk dijadikan sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan E2 yang mempunyai kawalan masuk penuh, maka lebuh raya dari Senai ke Johor Bahru ini dijadikan satu laluan berasingan yang dikenali sebagai Lebuhraya Skudai FT1. Selain nama Lebuhraya Skudai, lebuh raya ini turut mempunyai nama-nama lain seperti Lebuhraya Senai (jajaran Senai-Skudai), Jalan Skudai, Jalan Larkin dan Jalan Tun Abdul Razak. Kutipan tol dimulakan pada tahun 1988 di Plaza Tol Senai (arah selatan) dan Plaza Tol Tambak Johor (arah utara). Kini, kutipan tol di Plaza Tol Senai sudah dimansuhkan mulai 1 Mac 2004 manakala Plaza Tol Tambak Johor dipindahkan ke Gerbang Selatan Bersepadu yang mengutip tol bagi kedua-dua arah. Bekas tapak Plaza Tol Senai kini diambil alih sepenuhnya oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai ibu pejabat wilayah selatan badan tersebut.

Kilometer sifar bagi Jalan Persekutuan 1 sepatutnya terletak di Tambak Johor di Sempadan Malaysia-Singapura, tetapi pemindahan kompleks imigresen lama di Tanjung Puteri ke Gerbang Selatan Bersepadu menjadikan laluan keluar masuk dari Tambak Johor untuk meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Skudai FT1 menjadi bercelaru. Dahulunya, pemandu dari Singapura dilencongkan ke Persiaran Tun Sri Lanang J1 dan hanya perlu membuat pusingan U di situ untuk meneruskan perjalanan, tetapi kali ini laluan menjadi lebih bercelaru - pemandu dari Singapura perlu belok ke kanan di Exit 1401 Persimpangan CIQ ke Jalan Lingkaran Dalam JB FT188, kemudian belok kanan sekali lagi ke Jalan Tanjung Puteri, dan seterusnya menuruni Jejambat Tanjung Puteri ke Persiaran Tun Sri Lanang J1 dan membuat pusingan U seperti biasa. Leceh bukan?

Dalam entri sebelum ini, saya pernah menyatakan lokasi Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia di hadapan Pejabat Pos Besar Johor Bahru, namun keadaan kurang mengizinkan untuk mengambil gambar, jadi saya teruskan sahaja perjalanan melalui Jalan Wong Ah Fook FT1. Di pusat bandar raya, asalnya jajaran Jalan Tun Abdul Razak di sini asalnya jalan dua hala sebelum dijadikan jalan sehala. Jalan Tun Abdul Razak bermula di tapak kompleks imigresen lama Tanjung Puteri sebagai KM0.7. Kini, Jalan Wong Ah Fook dijadikan pasangan sehala bagi Jalan Tun Abdul Razak. Kedua-dua pasangan sehala ini dicantumkan kembali di Persimpangan Johor Bahru di KM1 yang turut menjadi kilometer sifar bagi Lebuhraya Tebrau FT3.

Tidak jauh dari situ terletaknya Persimpangan JB IRR di Danga City Mall yang dahulunya dikenali sebagai Plaza Best World. Persimpangan JB IRR ini dibuka pada tahun 1998. Tidak jauh dari situ terletak Persimpangan Kebun Teh Lama, yang kini merupakan satu-satunya persimpangan searas berlampu isyarat yang tinggal di Lebuhraya Skudai.

Persimpangan Larkin terletak di KM6 yang merupakan persimpangan bertingkat bunga cengkih terawal di Johor Bahru. Ia menghubungkan Jalan Datin Halimah J3 untuk ke Larkin Sentral dan Jalan Kempas baru J3 dengan Lebuhraya Skudai FT1. Terdapat kelemahan reka bentuk yang ketara bagi persimpangan ini, iaitu tiada jalan susur keluar dari arah Skudai ke Larkin dan dari Larkin ke pusat bandar raya. Akibatnya, pengguna terutamanya pemandu bas yang hendak ke Larkin Sentral terpaksa menggunakan jalan susur bunga cengkih sebanyak tiga kali sebelum ke J3. Keadaan tersebut menjadikan masalah celahan (weaving) yang sering dikaitkan dengan persimpangan bunga cengkih menjadi lebih ketara. Persimpangan bunga cengkih yang lebih baharu menambah lorong pertukaran bagi membolehkan pemandu mencelah untuk keluar masuk persimpangan tanpa mengganggu aliran trafik lorong-lorong utama.

Di Taman Tasek pula, persimpangan lampu isyarat di sini sudah dimansuhkan; pemandu perlu membuat pusingan U untuk keluar masuk.


Pelan asal Persimpangan Teluk Danga (kredit kepada: Super 325)


Perubahan terkini yang dilakukan di Lebuhraya Skudai FT1 ini ialah Persimpangan Teluk Danga. Persimpangan ini asalnya merupakan persimpangan trompet untuk ke jalan pesisir pantai J1. Kini ia dijadikan persimpangan bunga cengkih yang diubah suai berikutan pembinaan Lebuhraya Pantai Iskandar ke Nusajaya. Namun, saya menyelar sekeras-kerasnya rekaan persimpangan tersebut yang saya sifatkan sebagai "rekaan syok sendiri". Kenapa saya nyatakan sedemikian? Kadar aliran trafik Lebuhraya Skudai FT1 adalah tinggi, jadi laluan FT1 mesti dijadikan laluan keutamaan walau apa jua sekalipun. Anda bayangkan, lalu lintas dari arah pusat bandar raya menyempit daripada tiga lorong kepada hanya selorong sahaja sebelum bercantum dengan trafik dari J1 dan Lebuhraya Pantai Iskandar selebar 2 lorong. Saya ingin mempersoalkan, kenapa rekaan sebegini diluluskan? Pernahkan bancian lalu lintas diadakan terlebih dahulu sebelum merekabentuk persimpangan bertingkat tersebut? Siapakah gerangan arkitek yang sebegitu "pintar dan bijaksana" merekabentuk persimpangan tersebut tanpa mengambil kira kadar aliran trafik? Tidak hairanlah apabila Persimpangan Teluk Danga kini menjadi punca utama kesesakan setiap kali waktu sesak.

Sebaik melepasi Persimpangan Teluk Danga di Bandar Baru Uda, had laju Lebuhraya Skudai dinaikkan daripada 70 km/j kepada 80 km/j. Di KM10 pula terletaknya Persimpangan Tampoi yang menghubungkan Jalan Tampoi FT3374, dengan Plaza Angsana sebagai mercu tanda utama.

Lebih kurang 1 km kemudian, saya tiba di satu persimpangan bertingkat yang saya sifatkan paling menarik di sepanjang Lebuhraya Skudai FT1 iaitu Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang. Persimpangan ini asalnya merupakan persimpangan berlian biasa dengan persimpangan lampu isyarat di bahagian Lebuhraya Pasir Gudang FT17. Akibatnya, FT17 sesak teruk. Untuk menanganinya, persimpangan ini diubah suai menjadi persimpangan aliran terus penuh dengan menambah dua jejambat pusingan U, menjadikannya sebagai persimpangan bertingkat pertama seumpamanya di Malaysia.

Semasa lewat petang, Lebuhraya Skudai FT1 ini menjadi sesak dengan kenderaan yang hendak pulang dari pejabat, jadi saya berehat seketika di McDonald's Lebuhraya Skudai FT1 sebelum meneruskan perjalanan.

Sebaik melintasi jambatan Sungai Skudai, saya kini melalui Skudai yang menempatkan Universiti Teknologi Malaysia. Persimpangan Taman Tun Aminah merupakan persimpangan utama di sini, menghubungkan Jalan Gelang Patah J8 dengan FT1. Sebelum terbinanya persimpangan ini, persimpangan lampu isyarat asal di situ sesak teruk.

Di KM19 pula terletak Persimpangan Lebuhraya Pontian FT5, yang merupakan kilometer sifar bagi Jalan Persekutuan 5. Seperti Persimpangan Taman Tun Aminah, persimpangan ini asalnya merupakan persimpangan searas berlampu isyarat yang sering sesak teruk. Persimpangan ini dilebarkan pada tahun 2001 sebelum persimpangan bertingkat dibina, siap pada tahun 2006.

Sebaik melepasi Persimpangan Lebuhraya Pontian, had laju dinaikkan kepada 90 km/j serta melalui kawasan ladang kelapa sawit. Pembahagi lebuh raya menjadi lebar seketika sebelum menjadi rapat kembali berhampiran Taman Teknologi Johor. Lebuhraya Skudai bertemu dengan Lebuhraya Utara-Selatan E2 di Exit 254 Persimpangan Skudai.

Jajaran Skudai-Senai kini dilebarkan menjadi enam lorong, cuma had laju dari Exit 254 ke pekan Senai sudah diturunkan kepada 70 km/j sahaja. Di pekan Senai, persimpangan lampu isyarat utama sudah dimansuhkan dan pengguna perlu membuat pusingan U untuk keluar masuk. Di situ juga terletak Persimpangan Senai yang menjadi kontroversi kerana sebelum ini sering sesak sejak sekian lama, tetapi pembinaan persimpangan bertingkat bagi menggantikan persimpangan lampu isyarat lama hanya dimulakan pada tahun 2008. Tidak cukup dengan itu, persimpangan yang sepatutnya siap pada tahun 2010 masih tak siap, sebaliknya ia hanya siap dan dibuka kepada umum mulai Mei 2012, lewat 2 tahun daripada jadual asal, satu perkembangan yang sememangannya tidak boleh diterima. Saya juga mendapat tahu bahawa kontraktor yang membina persimpangan ini membiarkan tanah dari lori melekat di jalan tanpa membersihkannya, sekaligus memberi tanggapan buruk terhadap sikap kontraktor tersebut. Kalau tapak projek dibiarkan kotor, maka sudah tentulah ia menggambarkan sikap kontraktor yang pengotor serta tidak bertanggungjawab.

Lebuhraya Skudai tamat di KM27.3 sebelum ia bertukar kepada jalan raya biasa 4 lorong, tetapi saya memilih untuk keluar ke Lebuhraya Linkedua E3 untuk pulang melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2. Sejak Lebuhraya Skudai mula dibuka, sudah banyak perubahan yang dilakukan. Lebuh raya yang asalnya 4 lorong kini menjadi 6 lorong pada kebanyakan jajaran. Asalnya lebuh raya ini ada banyak persimpangan lampu isyarat serta pusingan U, tetapi kebanyakannya telah dimansuhkan dan digantikan dengan persimpangan bertingkat, meninggalkan Persimpangan Jalan Kebun Teh Lama sebagai satu-satunya persimpangan lampu isyarat yang tinggal di Lebuhraya Skudai. Namun, semua perubahan ini dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya dan bukannya Plus Expressways Berhad. Sebab itulah semasa kutipan tol Senai ditamatkan, penyelenggaraan lebuh raya ini turut diambil alih oleh JKR. Sebagai nadi utama Iskandar Malaysia bagi koridor arah barat laut, peranan Lebuhraya Skudai sebagai laluan utama ternyata amat penting dan tidak boleh disangkal sama sekali.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Menuju ke Jalan Wong Ah Fook setelah membuat pusingan U di Persiaran Tun Sri Lanang J1






Persimpangan Johor Bahru






Papan tanda jarak terawal di sepanjang Jalan Persekutuan 1






Menuju Persimpangan JB IRR FT188






Persimpangan Larkin






Masalah mencelah (weaving) di Persimpangan Larkin






Menghampiri Persimpangan Teluk Danga






Persimpangan Tampoi






Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang FT17






Persimpangan Taman Tun Aminah






Persimpangan Lebuhraya Pontian FT5






Exit 254 Persimpangan Skudai






Persimpangan ini asalnya ada lampu isyarat sebelum ia dibuang






Pemandangan dari Jambatan Sungai Johor






Persimpangan Lapangan Terbang Senai






Keluar di Exit 302 Persimpangan Saleng

Thursday, August 30, 2012

Kembara Tanjung Puteri Part 1: Reviu eksklusif JB EDL E14 / JB EDL E14 exclusive review

Salam sejahtera,

Semalam saya berkesempatan untuk ke Johor Bahru, bandar raya kedua terbesar di Malaysia, kerana menghadiri satu kursus anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia. Kesempatan ini saya manfaatkan sebaik-baiknya untuk membuat dua reviu jalan raya di sana.

Pada bulan April lalu, Blog Jalan Raya Malaysia pernah memetik reviu terawal mengenai lebuh raya JB EDL E14 oleh blog Super 325. Kali ini, giliran Blog Jalan Raya Malaysia pula mengadakan satu reviu eksklusif rasmi mengenai lebuh raya ini.

Lebuh raya ini dibina sebagai hubungan terus dari Lebuhraya Utara-Selatan E2 ke Kompleks Gerbang Selatan Bersepadu ke Singapura. Sebelum ini, pengguna terpaksa melalui sama ada Lebuhraya Tebrau FT3 atau Lebuhraya Skudai FT1 untuk ke Singapura.

Lebuh raya ini pendek sahaja iaitu 8.1 km, dan ia hanya mempunyai 3 persimpangan bertingkat:-



  1. Exit 1401 Persimpangan CIQ
  2. Exit 1402 & 1403 Persimpangan Bakar Batu
  3. Exit 1404 Persimpangan Pandan / Exit 257 Persimpangan Johor Bahru

Exit 1401 merupakan persimpangan berlian tiga aras di mana E14 bertindih seketika dengan Jalan Pasir Pelangi J5 sebelum menaiki jejambat EDL yang didirikan di atas J5. Oleh kerana jejambat ini dibina menggunakan kaedah pembinaan yang begitu ortodoks, nilai hartanah di kawasan sepanjang J5 ini pernah susut dengan banyaknya sehingga ke tahap penduduk terpaksa merayu kepada pihak EDL untuk membeli rumah-rumah mereka.

Persimpangan Bakar batu mempunyai dua kod persimpangan iaitu Exit 1402 dan Exit 1403. Exit 1402 ialah persimpangan separa bagi pemandu dari arah Gerbang Selatan Bersepadu untuk turun ke J5 dan sebaliknya. Exit 1403 pula ialah bagi pemandu dari arah E2 untuk turun ke J5 di samping satu susur keluar dari arah CIQ ke Permas Jaya. Pemandu dari arah Permas Jaya yang hendak memasuki E14 ke arah CIQ perlu memasuki lebuh raya melalui Exit 1402. E14 menuruni jejambat EDL di Exit 1403.

JB EDL E14 mempunyai sepasang hentian rehat yang setakat ini masih belum siap dan belum dibina. Memandangkan lokasinya yang betul-betul terletak sebelum memasuki E2, hentian rehat ini dijangka akan menjadi meriah - itu pun dengan syarat pihat EDL perlu mempromosikan hentian rehat ini dengan giatnya.

Persimpangan terakhir E14 ini juga adalah persimpangan pertama bagi Lebuhraya Utara-Selatan E2. Asalnya persimpangan ini merupakan persimpangan tunas bagi laluan terus; laluan dari arah Kuala Lumpur hanya dilencongkan keluar ke Johor Bahru sahaja melalui Lebuhraya Skudai FT3. Laluan masuk dari FT3 juga hanya dari arah Johor Bahru. Sebelum ini, pemandu yang hendak ke Kota Tinggi perlu keluar di Exit 256 Persimpangan Pasir Gudang melalui Lebuhraya Pasir Gudang FT17. Kini, Exit 257 / 1404 ini menjadi persimpangan penuh yang boleh keluar masuk dari semua arah.

Terdapat dua kelemahan ketara yang saya temui sepanjang melalui lebuh raya ini. Kelemahan pertama ialah penggunaan papan tanda yang saya rasakan berserabut macam belacan, kelemahan sama yang dikongsi dengan Lebuhraya Duke E33 yang juga diuruskan oleh MRCB melalui Lingkaran Kesturi Sdn. Bhd. Kelemahan kedua pula ialah sistem kutipan tol terbuka yang tidak memberi keadilan kepada pemandu Singapura serta pihak EDL sendiri. Sementara penduduk Johor Bahru bersenang-lenang menggunakan lebuh raya ini secara percuma, pemandu yang melalui Gerbang Selatan Bersepadu untuk ke Singapura pula terpaksa membayar tol yang mahal. Akibatnya, kutipan tol terpaksa ditangguhkan 3 bulan daripada sepatutnya untuk memuktamadkan kadar tol yang paling munasabah. Oleh itu, satu-satunya penyelesaian terbaik ialah dengan menggunakan sistem tol tertutup. Mungkin membina pondok-pondok tol di jalan-jalan susur keluar masuk adalah melecehkan dan memakan kos tinggi, tetapi ia lebih baik daripada ada pihak yang menjadi mangsa ketidakadilan sistem tol terbuka ini, termasuklah pihak EDL sendiri. Maka, saya sarankan agar pihak EDL belajar daripada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya Jepun tentang bagaimana mereka membina serta mengutip tol di lebuh raya perbandaran seliaan mereka.

Ikuti sambungan kedua Kembara Tanjung Puteri di Lebuhraya Skudai FT1 pula.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.

Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E14
Panjang: 8.1 km
Arah laluan: Utara-selatan (Lebuhraya Utara-Selatan E2-Gerbang Selatan Bersepadu)
Bilangan lorong: 6
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd.








Memasuki E14 di Exit 257 / 1404 dari Lebuhraya Tebrau FT3






Exit 1403 Persimpangan Bakar Batu






Jejambat EDL dekat Istana Pasir Pelangi






Exit 1401 Persimpangan CIQ

Thursday, August 23, 2012

Reviu eksklusif Lebuhraya Senai-Desaru E22 / Senai-Desaru Expressway E22 exclusive review

Salam sejahtera,

Saya percaya para pembaca masing-masing masih lagi dalam mood Hari Raya Aidilfitri, terutamanya bagi golongan yang bercuti panjang. Oleh itu, musim cuti raya sebegini elok diisi dengan meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga sama ada sekadar datang beraya ataupun membawa mereka melancong ke tempat-tempat menarik di dalam negara.

Sebut fasal pelancongan, ada banyak pantai yang cantik dan bersih serta langsung tidak tercemar di Malaysia. Salah satu kawasan pantai kegemaran saya ialah Desaru di Johor, kerana pantai dan air lautnya yang cantik dan bersih, sekaligus menyajikan satu pemandangan yang sangat menarik serta tidak jemu mata memandang. Kewujudan pantai ini hanya disedari orang awam setelah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) membangunkan sebuah bandar baharu berhampiran Tanjung Penawar di mana pantai Desaru terletak pada tahun 1972 yang dikenali sebagai Bandar Penawar. Hasilnya, banyak hotel yang tumbuh bagai cendawan, menjadikan industri pelancongan sebagai salah satu sumber ekonomi utama di Bandar Penawar. Namun demikian, tahap pembangunan di Bandar Penawar agak perlahan walaupun bandar ini serba lengkap (cuma belum ada restoran makanan segera sahaja), maka kerajaan Johor serta kerajaan persekutuan terus berusaha membangunkan Desaru dan Bandar Penawar dengan terus membina infrastruktur tambahan termasuklah Sekolah Sukan Bandar Penawar (kini dinamakan semula sebagai Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail), dan yang terkini, Lebuhraya Senai-Desaru E22.

Lebuhraya Senai-Desaru E22 mula dibina pada tahun 2005 sebagai sebahagian komponen utama koridor pembangunan Iskandar Malaysia bagi merancakkan pembangunan di bahagian timur Johor Bahru serta menarik pembangunan di Desaru dan Bandar Penawar, sebagaimana Lebuhraya Latar E25 dibina bagi merancakkan pembangunan di sekitar daerah Kuala Selangor terutamanya di Ijok, Bestari Jaya serta Universiti Selangor (Unisel). Fasa pertama dari Senai ke Cahaya Baru dan Pasir Gudang siap pada Ogos 2009, manakala fasa kedua dari Cahaya Baru ke Desaru siap pada 10 Jun 2011. Jajaran dari Exit 2205 Persimpangan Cahaya Baru ke Exit 2212 Persimpangan Penawar dibina sebagai lebuh raya dua lorong, menjadikannya sebagai lebuh raya ekspres dua lorong sebenar pertama di Malaysia dengan kawalan masuk penuh.

Semasa pembukaan fasa kedua E22 ini, terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan rasional jajaran tersebut dibina dua lorong sahaja berbanding kebanyakan lebuh raya ekspres lain yang dibina sekurang-kurangnya empat lorong. Malah, ada juga yang sanggup mempolitikkan isu lebuh raya dua lorong ini dan mengancam mahu mengadakan tunjuk perasaan semasa kutipan tol bagi fasa kedua E22 dimulakan pada Julai 2011, dengan dakwaan kononnya tidak pernah ada negara di dunia yang membina lebuh raya dua lorong. Kepada golongan tersebut, sedarlah bahawa sebenarnya banyak negara di dunia termasuk negara maju yang membina lebuh raya dua lorong. Contoh paling ketara ialah di Jepun dan Switzerland yang banyak membina lebuh raya dua lorong. Lebuhraya Hokkaido yang merupakan lebuh raya tulang belakang utama di pulau Hokkaido, Jepun itu sendiri sebahagian besarnya dibina sebagai lebuh raya dua lorong. Di Indonesia, sebahagian jajaran Jalan Tol Belmera di Medan (kini sudah dinaik taraf menjadi empat lorong) serta sebahagian Jalan Tol Semarang juga dibina sebagai lebuh raya dua lorong. Malah di Amerika Syarikat sendiri pun memang ada sebuah lebuh raya dua lorong yang diwartakan sebagai lebuh raya antara negeri (Interstate), iaitu jajaran Interstate 93 di New Hampshire. Di Malaysia sendiri, Lebuhraya Karak E8/FT2 asalnya merupakan lebuh raya dua lorong dengan kawalan masuk separa sebelum dinaik taraf menjadi lebuh raya ekspres empat lorong. Oleh itu, tiada sebab mengapa lebuh raya ekspres tidak boleh dibina sebagai lebuh raya dua lorong, selagi ia memenuhi syarat kawalan masuk penuh. Cuma, istilah "lebuh raya selorong" yang digunakan adalah salah, memandangkan ia bermaksud lebar keseluruhan lebuh raya hanyalah selorong sahaja yang dikongsi oleh lalu lintas dari kedua-dua arah, sama seperti jalan kampung.

Saya sempat mencuba Lebuhraya Senai-Desaru E22 secara rasminya semasa saya mengikuti rombongan pertunangan sepupu saya ke Felda Simpang Wa Ha pada 22 Ogos 2011, tidak jauh dari Bandar Penawar. Semasa di Kulai, sementara saudara-mara saya yang lain bercadang untuk ke sana melalui Jalan Persekutuan 94 dan Jalan Persekutuan 92, ayah saya pula lebih suka menggunakan E22 kerana kurang sesak serta lebih lancar. Kami memasuki E22 melalui Jalan Lapangan Terbang Senai FT16 dan seterusnya Exit 2202 Persimpangan Bandar Senai. Seterusnya, kami melalui plaza tol pertama bagi E22 iaitu Plaza Tol Senai.

Klik peta untuk besarkan


Terdapat tujuh persimpangan di sepanjang E22 ini:-
  1. Exit 2201 Persimpangan Utama Senai - ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Lebuhraya Linkedua E3
  2. Exit 2202 Persimpangan Bandar Senai - ke Jalan Lapangan Senai FT16 dan Lebuhraya Skudai FT1
  3. Exit 2204 Persimpangan Ulu Tiram - ke Lebuhraya Tebrau FT3
  4. Exit 2205 Persimpangan Cahaya Baru - ke Hubungan Pasir Gudang
  5. Exit 2205A Persimpangan Cahaya Baru - Hubungan Pasir Gudang ke Jalan Masai J10. Keluar masuk hanya dari/ke laluan utama sahaja.
  6. Exit 2210 Persimpangan Pasir Gudang - ke Jalan Pekeliling / Lebuhraya Pasir Gudang FT17.
  7. Exit 2212 Persimpangan Penawar - ke Desaru dan Bandar Penawar melalui Jalan Persekutuan 92.

Pejabat operasi Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) terletak di Plaza Tol Ulu Tiram. SDEB dimiliki oleh anak syarikat Ranhill Berhad iaitu Rancak Bistari Sdn. Bhd. (memegang 70% saham) serta bahagian pegangan Yayasan Pelajaran Johor iaitu YPJ Holdings Sdn. Bhd. (30% saham). Di bawah SDEB pula ialah anak syarikat milik penuh SDEB iaitu SDE Land Sdn. Bhd., sebuah syarikat hartanah bagi membangunkan projek-projek hartanah di sepanjang E22.

Terdapat sepasang hentian rehat di sepanjang E22 iaitu Kawasan Rehat dan Rawat Layang, terletak di KM31 (arah barat) dan KM32 (arah timur). Kedua-dua hentian rehat ini mempunyai stesen minyak Shell. Di hentian rehat arah timur, ada dua gerai yang beroperasi, mungkin kerana gerai lain ditutup sempena cuti Hari Raya Aidilfitri. Tak apalah, janji hentian rehat ini betul-betul sempurna. Cuma apa yang menyulitkan ialah tiada kemudahan menambah nilai kad Touch 'n Go, yang tidak seharusnya berlaku memandangkan stesen minyak di kampung halaman saya sendiri pun ada kemudahan menambah nilai kad Touch 'n Go meskipun terletak jauh dari rangkaian lebuh raya ekspres.

Sebaik sahaja melepasi Kawasan Rehat dan Rawat Layang, E22 melalui satu kawasan yang sensitif iaitu Empangan Layang yang membekalkan air terawat ke Pasir Gudang, Masai serta kawasan timur Johor Bahru. Tembok Jersey yang cukup tebal dibina di kiri dan kanan jajaran sensitif tersebut. Selain itu, sistem saliran juga dialirkan jauh dari empangan tersebut untuk mengelakkan kesan tumpahan minyak serta bahan kimia akibat kemalangan daripada mengalir masuk ke empangan terbabit. Ia merupakan sistem pertama seumpamanya yang digunakan pada mana-mana lebuh raya ekspres.

Sebaik melepasi Exit 2205 Persimpangan Cahaya Baru, lebuh raya ini bertukar daripada lebuh raya kembar empat lorong kepada lebuh raya tunggal dua lorong. Akibatnya, had laju juga turun daripada 110 km/j kepada 90 km/j. Meskipun hanya dua lorong, namun setiap lorong di jajaran ini tetap sama lebar seperti lebar lorong pada jajaran empat lorong iaitu sekitar 3.65 m.

Cuma, lebar lorong kecemasan di sepanjang jajaran dua lorong ini hanya separuh daripada lebar lorong kecemasan di jajaran empat lorong, menyebabkan ada sesetengah pihak yang mempertikaikan rekaan sedemikian atas alasan kononnya ia berbahaya jika ada kenderaan yang rosak di tepi lebuh raya. Saya ingin menegaskan bahawa lorong kecemasan sebenarnya ialah bahu jalan keras dan fungsi sebenarnya ialah untuk membolehkan kenderaan beralih ke tepi bagi mengelak kemalangan. Lorong kecemasan bukanlan tempat untuk melepak dan tidur. Lorong kecemasan juga bukanlah lorong tambahan untuk digunakan oleh sesetengah pemandu bebal yang tidak berotak bagi memintas kesesakan lebuh raya ataupun untuk memotong ikut tepi. Lorong kecemasan juga bukanlah lorong motosikal. Lorong kecemasan sepatutnya dikosongkan dan hanya boleh dijadikan laluan oleh kenderaan kecemasan iaitu kereta polis, ambulans dan kereta bomba. Itu sahaja. Walau seteruk mana pun kesesakan lebuh raya, lorong kecemasan tidak boleh digunakan sama sekali. Sebab itulah sesetengah negara atau syarikat konsesi sengaja membina lorong kecemasan sebegitu sempit sehingga tidak cukup muat sebuah kereta untuk menghalang pemandu daripada memotong ikut tepi.

Mercu tanda utama E22 ini ialah Jambatan Sungai Johor sepanjang 1.7 km, menjadikannya sebagai jambatan sungai terpanjang di Malaysia. Sementara sebahagian besar jajaran Cahaya Baru-Penawar dibina dua lorong sahaja, Jambatan Sungai Johor yang menjadi kebanggaan rakyat Johor ini dibina empat lorong. Ia bukti jelas bahawa jajaran dua lorong E22 ini sememangnya akan dinaik taraf menjadi empat lorong sebagaimana jajaran lain sekiranya kadar aliran trafik semakin meningkat. Jambatan ini dibina sebagai jambatan "cable-stayed" sebagaimana Jambatan Pulau Pinang E36, menyebabkan ramai yang mengatakan Jambatan Sungai Johor ini menyerupai Jambatan Pulau Pinang. Had laju di sepanjang jambatan tersebut kekal 90 km/j.

Sungguhpun secara amnya kami disajikan dengan perjalanan yang lancar dan selesa sepanjang menggunaan Lebuhraya Senai-Desaru E22, saya ingin memberi beberapa teguran kepada pihak pengurusan SDEB:-
  1. Saya menghargai usaha SDEB segera membaiki beberapa jajaran E22 yang terjejas akibat "turapan kulit bawang" yang pernah saya laporkan sebelum ini, namun mutu turapan di jajaran Senai pula masih kurang memuaskan, bermula dari Exit 2201 Persimpangan Utama Senai sehingga beberapa kilometer selepas Plaza Tol Senai. Oleh itu, saya amat berharap agar SDEB segera membaiki jajaran tersebut.
  2. Saya cukup berpuas hati dengan jalan susur satu lorong pada Exit 2202 Persimpangan Bandar Senai yang cukup lebar, tetapi jalan-jalan susur dua lorong pula kurang memuaskan kerana tidak cukup lebar. Sungguhpun jalan-jalan susur tersebut didakwa bertaraf JKR U4 dengan lebar lorong 3.25 m dan had laju reka bentuk 60 km/j, ia tidak sepatutnya dibina cukup-cukup 3.25 m setiap lorong di persimpangan bertingkat kerana ia terlalu sempit untuk dilalui dua kenderaan sebelah-menyebelah, terutamanya kenderaan berat. Memandangkan jejari selekoh yang kecil di persimpangan bertingkat, jalan susur tersebut sepatutnya dilebarkan lagi dan perlu ada bahu jalan keras di tepi jalan.
  3. Teguran ketiga ini sebenarnya lebih kepada aduan. SDEB perlu memastikan kaunter perkhidmatan pelanggan di setiap plaza tol dibuka sepanjang waktu dari pukul 8.00 pagi sehingga pukul 5.00 petang. Ia berikutan semasa saya di Plaza Tol Penawar pada 22 Ogos, saya serta seorang lagi pengguna lebuh raya terpaksa menunggu selama lebih kurang 20 minit sejak pukul 1.40 tengah hari sehinggalah ada seorang kaki tangan yang sedar akan kehadiran kami dan akhirnya menambah nilai kad Touch 'n Go kami. Sepatutnya perlu ada sekurang-kurangnya seorang petugas "stand-by" yang ada di kaunter tersebut untuk membolehkan pengguna lebuh raya menambah nilai kad Touch 'n Go. Jika kekurangan kaki tangan, SDEB perlu menimbangkan untuk menempatkan mesin-mesin tambah nilai layan diri di setiap plaza tol. Langkah Lebuhraya Latar E25 membuka lorong-lorong tambah nilai 24 jam sepatutnya dicontohi syarikat konsesi lain sebagai usaha menggalakkan orang ramai menggunakan sistem kutipan tol elektronik.
  4. Istilah "lebuh raya selorong" serta simbol lebuh raya yang salah yang pernah saya tegur sebelum ini tetapi masih belum ada sebarang tindakan oleh pihak SDEB.

Saya berharap agar SDEB dapat bertindak segera bagi menangani teguran-teguran yang saya telah nyatakan tadi. Memandangkan E22 menempatkan salah satu mercu tanda kebanggaan rakyat Johor iaitu Jambatan Sungai Johor, maka SDEB perlu memberikan perkhidmatan terbaik agar setimpal dengan kadar tol yang dikenakan.


Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E22
Panjang: 77 km (laluan utama: 69 km; Hubungan Pasir Gudang: 8 km)
Arah laluan: Timur-barat (Senai-Desaru)
Bilangan lorong: 2 (Cahaya Baru-Penawar); 4 (semua jajaran lain)
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: Senai-Desaru Expressway Berhad







Memasuki Jalan Lapangan Terbang Senai FT16 untuk ke E22






Memasuki E22 melalui Exit 2202 Persimpangan Bandar Senai






Plaza Tol Senai






Exit 2204 Persimpangan Ulu Tiram






Berehat seketika di stesen minyak Shell Kawasan Rehat dan Rawat Layang






Melalui kawasan Empangan Layang






Exit 2205 Persimpangan Cahaya Baru






Jambatan Selat Mendana






Pemandangan dari Jambatan Sungai Johor






Plaza Tol Penawar






Lebuh raya tamat di Exit 2212 Persimpangan Penawar

Monday, August 20, 2012

Blog Jalan Raya Malaysia kini melepasi 100 peminat! / Malaysian Highway Blog surpasses the 100-like milestone!



Salam sejahtera,

Peminat keseratus telah menyukai laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia pada Hari Raya Aidilfitri semalam, 9 bulan sejak blog ini mula diwujudkan pada 15 November 2011. Jutaan terima kasih buat para pembaca serta para peminat yang menyukai Blog Jalan Raya Malaysia atas sokongan anda semua. Sebagai hadiah kepada para peminat semua, Blog Jalan Raya Malaysia kini sedang merangka beberapa projek reviu beberapa laluan tulang belakang di Malaysia, diharap agar anda semua terus memberi sokongan terhadap projek reviu jalan raya yang bakal diadakan kelak.

Bagaimana anda boleh menzahirkan sokongan anda terhadap perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia? Cara paling utama ialah menjemput seberapa ramai rakan-rakan, sahabat handai serta sanak-saudara mengunjungi blog ini. Selain itu, saya juga sedang merangka satu kempen menderma bagi menjayakan beberapa projek reviu jalan raya berskala besar kelak, namun saya hanya akan memuktamadkan mekanisme kempen derma tersebut sebaik saya selesai merangka projek-projek reviu jalan raya tersebut. Buat masa ini, apa yang anda perlu lakukan ialah mengajak seberapa ramai rakan-rakan dan sanak-saudara berkunjung di blog ini bagi menyokong perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia memartabatkan jalan raya Malaysia.

Sekali lagi, jutaan terima kasih atas sokongan anda semua!




Hello everyone,

Our hundredth fan liked Malaysian Highway Blog's Facebook page during Eid ul Fitr yesterday, 9 months since this blog was set up on 15 November 2011. Millions of thanks to all readers and fans who liked Malaysian Highway Blog for your support. As a special gift to all fans, Malaysian Highway Blog is now drafting several backbone route review projects in Malaysia, we hope that all of you will continue supporting those upcoming road review projects.

How can you show your support towards Malaysian Highway Blog's cause? The main way to support us is to invite as many friends, colleagues and relatives as possible to visit this blog. Besides, I am now drafting a fundraising donation campaign in order to make the upcoming large-scale road review projects successful, but I may only finalize those fundraising donation campaign mechanisms right after I have done drafting those highway review projects. For now, what you need to do is to invite more friends and relatives to support Malaysian Highway Blog's cause in raising the prestige of Malaysian highways.

Once again, millions of thanks for all of your support!

Friday, August 17, 2012

Jadual cadangan waktu perjalanan Aidilfitri 2012 / 2012 Eid ul Fitr travel time advisory schedule

Salam sejahtera,

Saya percaya sudah tentu ramai di kalangan pembaca dari Lembah Klang yang sudah pulang ke kampung halaman masing-masing untuk cuti Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Namun, ada juga warga kota yang masih perlu menyelesaikan tugasan pejabat hari ini sebelum dibenarkan pulang ke kampung halaman. Kepada yang masih belum pulang ke kampung, masih tidak terlambat untuk anda merancang waktu yang paling sesuai untuk anda pulang ke kampung.

Pertama sekali, jika anda merancang untuk terus pulang ke kampung halaman sebaik sahaja habis waktu bekerja, saya nasihatkan supaya anda melupakan sahaja hasrat tersebut. Lebih baik anda balik tidur sebentar selama beberapa jam sebelum anda berasa cukup segar untuk memulakan perjalanan. Anda mesti ingat bahawa keletihan adalah salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kemalangan maut setiap kali musim perayaan. Namun jika kampung halaman anda dekat sahaja seperti di Tanjung Malim, Seremban, Kuala Selangor atau Bentong, golongan seperti inilah yang boleh terus pulang selepas waktu pejabat, dengan syarat anda tetap segar dan bersemangat untuk pulang.

Jika kampung halaman anda lebih jauh daripada lokasi-lokasi yang telah saya sebutkan tadi, saya sarankan agar anda ikuti jadual cadangan waktu perjalanan yang telah dikeluarkan oleh PLUS Expressways Berhad dan MTD Prime. Memandangkan Kuala Lumpur boleh dianggap sebagai "kawasan tengah" Semenanjung Malaysia, petua bagi merancang perjalanan adalah seperti berikut:-


  1. Bagi pemandu yang kampung halamannya paling jauh (seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu, Johor Bharu, Pulau Pinang dan Alor Setar), waktu paling sesuai untuk memulakan perjalanan adalah dari tengah malam sehingga pukul 10 pagi.
  2. Bagi pemandu yang kampung halamannya sederhana jauh (seperti Kuantan, Ipoh dan Melaka), waktu paling sesuai untuk memulakan perjalanan adalah antara tengah hari sehingga pukul 6 petang.
  3. Bagi pemandu yang kampung halamannya dekat sahaja (seperti Tanjung Malim, Bentong dan Seremban), anda boleh memulakan perjalanan anda selepas jam 6 petang.

Untuk jadual penuh cadangan waktu perjalanan, klik pada jadual di bawah.





Cadangan waktu perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2




Cadangan waktu perjalanan melalui Lebuhraya Karak / Lebuhraya Pantai Timur E8



Sumber: Lembaga Lebuhraya Malaysia

Tuesday, August 14, 2012

Senarai lokasi kerap berlaku kemalangan (Ops Selamat 1) / Accident-prone areas list (Ops Selamat 1)



Salam sejahtera,

Saya percaya ada di antara anda semua yang sudah mula mengambil cuti panjang dan pulang ke kampung masing-masing untuk berhari raya. Oleh itu, Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, semoga anda selamat pulang ke kampung dan selamat kembali semula. Sebelum pulang ke kampung, pastikan kenderaan anda sudah diservis serta dalam keadaan sempurna. Rancang perjalanan anda dengan teliti dan pastikan anda tahu laluan mana yang anda perlu ikut, memandangkan berjuta-juta kenderaan menggunakan jalan raya pada musim perayaan. Patuhi had laju kebangsaan (80 km/j, bukan 90 km/j sebagaimana kebiasaan) ketika di jalan persekutuan dan negeri, jangan berlumba-lumba di lebuh raya ekspres (terutamanya bas ekspres; patuhi had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya, bukan 110 km/j yang hanya untuk kenderaan ringan sahaja). Patuhi undang-undang jalan raya, insya-Allah anda akan selamat sampai ke kampung dan selamat kembali semula selepas cuti hari raya.

Memandangkan lebuh raya ekspres utama negara seperti Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 serta Lebuhraya Pantai Timur E8 pastinya penuh sesak dengan kenderaan (lebih-lebih lagi sempena diskaun tol baru-baru ini), maka ada baiknya jika anda mempertimbangkan untuk menjadikan jalan persekutuan dan negeri sebagai jalan alternatif. Mungkin ramai menganggap jalan persekutuan dan negeri lebih berbahaya daripada lebuh raya, tetapi sebenarnya ia tetap selamat untuk dilalui jika anda sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan memandu secara berhemah pada kelajuan yang lebih mudah dikawal.

Sempena Ops Selamat 1 2012 ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan senarai lokasi kerap berlaku kemalangan sebagai panduan kepada para pemandu supaya lebih berhati-hati. Namun, apa yang mendukacitakan ialah senarai asal PDRM tersebut langsung tidak menyertakan kod laluan bagi jalan-jalan terbabit, sekaligus menyebabkan kesulitan kepada pemandu khususnya yang pertama kali hendak melalui laluan tersebut. Sebenarnya, penggunaan nama jalan berserta kod laluan adalah lebih memudahkan para pemandu kerana mereka tidak akan tersilap laluan, memandangkan setiap jalan raya hanya diwartakan dengan satu kod laluan sahaja (kecuali beberapa kes laluan bertindih serta laluan alternatif). Selain itu, penggunaan kod laluan sebenarnya menambah kecekapan tindakan anggota PDRM untuk menjalankan tugas dengan lebih sempurna.

Oleh itu, sekiranya ada di antara para pegawai atasan PDRM yang membaca entri ini, besarlah harapan saya agar tuan-tuan dapat membawa gesaan saya ini ke peringkat kontinjen dan seterusnya Bukit Aman demi menambah kecekapan anggota PDRM. Saya amat mengharapkan setiap anggota polis, daripada yang berpangkat konstabel sehinggalah kepada Ketua Polis Negara, dapat menjadi duta kepada kempen Memartabatkan Jalan Persekutuan dengan menjadikan amalan penggunaaan kod laluan sebagai sebahagian daripada prosedur pengendalian piawai (SOP) pasukan.

Berikut ialah senarai lokasi kemalangan yang saya telah sunting semula dengan menambah kod laluan bagi rujukan anda semua:-

1. Negeri: Perlis

Daerah: Kangar
Jln Kangar–Pdg. Besar FT7, Jln. Kangar-Alor Setar FT7, Jln. Kangar-Kodiang R3, Lebuhraya Changlun-K. Perlis FT194

2. Negeri: Kedah

Daerah: Kota Setar
KM9, Jln. Alor Setar-Pokok Sena FT175, KM 14, Jln Alor Setar-Kangar FT7

Daerah: Pdg. Terap
Jln. K. Nerang-Pokok Sena K11

Daerah: K. Muda
KM39 – KM69, Jln. Alor Setar-Butterworth FT1, Jln. Sg. Petani-Baling FT67, Jln. Sg. Petani-Gurun FT1

Daerah: Yan
Jln. Yan-Alor Setar K1

Daerah: Pendang
Jln. Pendang-Alor Setar FT1

Daerah: Sik
Jln. Sik-Gurun FT175, Jln Sik-Baling K10

Daerah: Baling
Jln. Baling-Gerik FT76, Jln. Baling-K. Ketil FT67

Daerah: Kulim
KM4, Jln. Kulim-Mersing (?), Jln. Kulim-Sg. Petani FT136

3. Negeri: Pulau Pinang

Daerah: Seberang Perai (U)
Jln Chain Ferry FT1

Daerah: Seberang Perai (T)
Jambatan P. Pinang E36, Jln. Baru Perai FT1

4. Negeri: Perak

Daerah: Kerian
KM95 – KM123, Jln. Ipoh-Butterworth FT1

Daerah: Taiping
KM74, Jln. Taiping-Pantai Remis FT60, Jln. Taiping-K. Sepetang FT74

Daerah: Gerik
KM15 – KM70, Lebuhraya Timur-Barat FT4, Jln. Gerik-Pengkalan Hulu FT76, KM7 – KM11, Jln. Gerik-Lenggong FT76, KM82 – KM115, Jln. Ipoh-Gerik FT76

Daerah: Sg. Siput
KM29 – KM44, Jln. Ipoh-K. Kangsar FT1

Daerah: Ipoh
Jln. Ipoh–Lumut FT5, Jln. Ipoh-K. Kangsar FT1

Daerah: Hilir Perak
Jln. Sitiawan-Teluk Intan FT5, Jln. Maharajalela (Teluk Intan) FT58, Jln. Changkat Jong FT58, Jln. Teluk Intan-Hutan Melintang FT5, Jln. Langkap-Kampar FT70, KM18 – KM36 Jln. Hutan Melintang-Bagan Datoh FT69, Jln. Bahagia (?)

Daerah: Manjung
Jln. Sitiawan-Lumut-Teluk Intan FT60/FT5, Jln. Sitiawan-Ipoh FT5

Daerah: Bt. Gajah
Jln. Ipoh-Lumut FT5

Daerah: Tg. Malim
KM102 – KM224, Jln. Ipoh-K. Lumpur FT1

Daerah: Tapah
KM53 – KM87 Jln. Ipoh-K. Lumpur FT1

5. Negeri: Selangor

Daerah: Hulu Selangor
KM32 – KM79, Jln. K. Lumpur-Ipoh FT1, Jln. K. Kubu Bharu-Gombak (?)

Daerah: Kuala Selangor
Jln. Klang-T. Intan FT5, Jln. K. Selangor-Sg. Buloh FT54

Daerah: K. Langat
KM11 – KM30, Jln. Klang-Banting FT5

Daerah: Ampang
KL MRR2 FT28

Daerah: Gombak
Jln. K. Lumpur-Ipoh FT1

Daerah: Sepang
Jln. Sepang-Banting FT5

Daerah: Kajang
Jln. Kajang-K. Lumpur (Jln. Cheras) FT1

6. Negeri: Kuala Lumpur

Daerah: Kuala Lumpur
Jln. Kuching FT1, Lebuhraya Mahameru FT2, Jln. Tun Razak

7. Negeri: N. Sembilan

Daerah: Seremban
Jln. Seremban-Tampin FT1, Jln. Seremban-P. Dickson FT53

Daerah: Port Dickson
KM4 – KM15, Jln. P. Dickson-Seremban FT53

Daerah: Tampin
KM3 – KM27, Jln. Tampin-Gemas FT1

Daerah: Jempol
KM2 – KM22, Jln. Bahau-Kemayan FT10, Jln. Bahau-Rompin FT10

Daerah: Kuala Pilah
KM4 – KM12, Jln. K. Pilah-Bahau FT13, Jln. Seremban-Kuala Pilah FT51

Daerah: Rembau
Jln. Seremban-Tampin FT1

8. Negeri: Melaka

Daerah: Alor Gajah
Jln. Lubok Cina-Masjid Tanah-Sg. Udang FT5

Daerah: Jasin
KM13 – KM32, Jln. Melaka-Muar FT5, Jln. Gapan-Bemban-Jasin-Chin Chin FT144/FT142

9. Negeri: Johor

Daerah: Johor Bahru (S)
KM5 – KM21, Lebuhraya Tebrau/Jln. JB-Kota Tinggi FT3

Daerah: Johor Bahru (U)
KM9 – KM20, Lebuhraya Skudai (Jln. JB-Ayer Hitam) FT1

Daerah: Seri Alam
KM21 – KM35, Lebuhraya Pasir Gudang FT17

Daerah: Mersing
KM1 – KM48, Jln. Kota Tinggi-Mersing-Endau FT3, Jln. Bt. Pahat-Mersing FT50, KM1 – KM48, Jln. Kota Tinggi-Mersing-Endau FT3

Daerah: Pontian
KM56 – KM63, Jln. JB-Bt. Pahat FT5, Jln. Pontian-Kukup FT95

Daerah: Muar
Jln. Muar-Melaka FT5, Jln. Muar-Yong Peng FT24

Daerah: Bt. Pahat
KM6 – KM26, Jln. Kluang FT50, KM86 – KM94, Jln. JB-Ayer Hitam FT1, Jln. Kluang-Bt. Pahat FT50

Daerah: Kluang
KM41 – KM73, Jln. Bt. Pahat-Mersing FT50, KM71 – KM75, Jln. JB-Ayer Hitam FT1

Daerah: Segamat
Jln. Muar-Segamat FT23

10. Negeri: Terengganu

Daerah: K. Terengganu
KM15 –KM24, Jln. K. Terengganu-Kota Bharu FT3, Jln. K. Terengganu-Dungun FT3

Daerah: Dungun
KM58 – KM108, Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14

Daerah: Kemaman
KM122 – KM179 Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14, Jln. Kemaman-Dungun FT3

11. Negeri: Kelantan

Daerah: Pasir Puteh
Jln. K. Bharu-K. Terengganu FT3

Daerah: Machang
Jalan Machang-Pasir Puteh FT4, Jln. Machang-Tanah Merah FT4, Jln. K. Bharu-K. Krai FT8

Daerah: Kuala Krai
Jln. K. Krai-Gua Musang FT8, Jln. K. Krai-Kota Bharu FT8

Daerah: Gua Musang
KM1 – KM74, Jln. Gua Musang-K. Krai FT8, Jln. Gua Musang-Merapoh FT8

Daerah: Tanah Merah
Jln. Tanah Merah-Jeli FT4, Jln. Tanah Merah-Machang FT4

Daerah: Tumpat
Jln. Kota Bharu-Machang FT8, Jln. Wakaf Baru-Pengkalan Kubor FT134, Jln. Tanah Merah-Pasir Mas FT129

Daerah: Pasir Mas
Jln. Salor-Pasir Mas-Kota Bharu FT130

12. Negeri: Pahang

Daerah: Kuala Lipis
KM59, Jln. K. Lipis-Gua Musang FT8

Daerah: Jerantut
Jln. Jerantut-Kuantan FT64, Jln. Jerantut-Temerloh FT98

Daerah: Bentong
KM7, Jln. Bentong-Raub FT8, Jln. Bentong-Temerloh FT2

Daerah: Kuantan
KM30 – KM48, Jln. Kuantan-Maran FT2, KM32 – 35, Jln. Kuantan-Kemaman FT3, Jln. Kuantan-Pekan FT3

Daerah: Pekan
KM62 – KM65, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12

Daerah: Rompin
KM101 – KM124, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12

13. Negeri: Sabah

Daerah: Kudat
KM1 – KM50, Jln. Kudat-K. Kinabalu FT1

Daerah: Kota Marudu
KM1 – KM7, Jln. Kota Marudu-Pitas R12, Jln. Kota Marudu-Kudat R12

Daerah: Ranau
KM3 – KM12, Jln. Tamparuli-Ranau FT22

Daerah: Tuaran
KM1 – KM44, Jln. Tuaran-Kota Belud FT503

Daerah: Kota Kinabalu
KM9 – KM15, Jln. Tuaran Bypass, KM8 – KM20, Jln. K. Kinabalu-Papar FT1, Jln. K. Kinabalu-Penampang-Keningau FT500

Daerah: Keningau
KM2 – KM9, Jln. Keningau-Tambunan FT500

Daerah: Tenom
KM2 – KM16, Jln. Tenom-Keningau FT500

Daerah: Beaufort
KM1 – KM21, Jln. Beaufort-Papar FT1, Jln. Beaufort-Sipitang FT1

Daerah: Sipitang
Jln. Sipitang-Beaufort FT1

Daerah: Sandakan
Jln. Sandakan-Beluran

Daerah: Beluran
KM1 – KM27, Jln. Telupid-Ranau FT22, KM40 – KM90, Jln. Beluran-Telupid FT22

Daerah: Kinabatangan
KM79 – KM132, Jln. Kinabatangan-Lahad Datu FT13, Jln. Sandakan-Kinabatangan FT13

Daerah: Lahad Datu
KM10 – KM32, Jln. Lahad Datu-Tawau FT13, Jln. Lahad Datu- Kinabatangan FT13

Daerah: Kunak
Jln. Kunak-Lahad Datu FT13, Jln. Kunak-Tawau FT13

Daerah: Tawau
KM4 – KM50, Jln. Tawau-Semporna FT13/SA51, Jln. Tawau-Kalabakan

Daerah: Semporna
Jln. Semporna-Tawau SA51

14. Negeri: Sarawak

Daerah: Kuching
Batu 9 – 17, Jln. Kuching-Serian FT1

Daerah: Sibu
Batu 6 – 87, Jln. Oya-Sibu-Bintulu FT1

Daerah: Bintulu
KM20 – KM91, Jln. Miri-Bintulu FT1

Daerah: Serian
KM7 – KM91, Jln. Serian-Tebedu FT21, KM62 – KM87, Jln. Kuching-Sri Aman-Serian FT1

Daerah: Miri
KM23 – KM112, Jln. Miri-Bintulu FT1

Nota: Laluan bertanda (?) bermaksud laluan yang kabur dan mengelirukan, jadi saya berharap PDRM dapat memberikan kod laluan bagi laluan tersebut, dan jika laluan tersebut adalah jalan perbandaran yang tiada kod jalan, harap dapat nyatakan nama bandar di mana jalan tersebut berada. Terima kasih.

Sumber asal: Laman Facebook Polis Diraja Malaysia

Lokasi kamera perangkap laju AES / AES speed trap camera locations

Salam sejahtera,

Dikatakan menjelang akhir tahun ini, pihak kerajaan akan memasang kamera perangkap had laju berteknologi tinggi yang mana ia boleh merakam wajah pemandu dan jenis kenderaan dengan jelas.

Menjelang akhir tahun ini kita sebagai pengguna jalan raya akan ‘diperhatikan’ oleh 566 kamera statik berteknologi tinggi yang boleh merakam wajah pemandu dan jenis kenderaan dengan jelas walaupun memandu melebihi 100 kilometer sejam. Kamera berteknologi Jerman itu adalah satu daripada komponen Sistem Penguatkuasaan Elektronik (AES) yang akan dipasang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lokasi strategik, terutama kawasan berisiko kemalangan di seluruh negara bagi memerangkap pemandu melebihi had laju.




Selain kamera, pemandu juga diawasi 266 kenderaan penguat kuasa elektronik yang dilengkapi kemudahan canggih bagi memantau pesalah trafik dan menahan mereka yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Prosedur operasi standard (SOP) bagi mewujudkan ketelusan dalam penguatkuasaan peraturan itu membabitkan pemasangan papan tanda amaran bagi membolehkan pemandu mengetahui kewujudan kamera perangkap laju seperti diamalkan di negara maju.
Saman yang dikeluarkan nanti adalah berasaskan gambar yang dirakam pemegang konsesi penyumberluaran yang dilantik kerajaan dan wajib disahkan agensi penguat kuasa, iaitu JPJ sebelum notis saman dikeluarkan.




Gambar yang dirakam ini lebih tepat, tidak kabur, walaupun pandu kereta lebih 100 kilometer sejam.

Ia akan beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini dan dijangka meningkatkan persepsi kebarangkalian ditangkap ke tahap 90 peratus!




Mengenai kos pemasangan, kerajaan tidak mengeluarkan peruntukan sebaliknya dua syarikat konsesi dilantik menanggung kos berkenaan menerusi perolehan diterima daripada kutipan saman.

Berikut diberikan lokasi-lokasi pemasangan sistem baru perangkap had laju baru itu, tapi ini yang tak rasmi, mungkin betul, mungkin salah atau mungkin ‘di sekitarnya’….kalau silap jangan marah.

Yang penting, ikut peraturan, bukan kerana saman tapi demi keselamatan diri sendiri dan nyawa orang yang tersayang.

Selamat memandu!




PLUS Arah Utara (E1)
  1. Under a bridge at about 456km, Sg Buloh junction.
  2. Under a bridge at about 459km, Bukit Lanjan interchange.
  3. Under the overhead restaurant at Sg Buloh.
  4. Under the last bridge before Sg Besi toll at 309.2km.
  5. Under the bridge at 296.5km, Bangi junction.
  6. Under the newly constructed bridge at 289.0km, after Nilai North junction.
  7. Under the bridge at 286.5km, Nilai North junction.

PLUS Arah Selatan (E2)

  1. Below signboard at about 454.6km and 455.2km, Sg Buloh layby.
  2. Under the bridge after Subang junction at 11.3km.
  3. Under the bridge at 22km, Bukit Lanjan junction.
  4. Under the bridge before Mint hotel, Sg Besi Toll. 80km/h only!
  5. Under the bridge at 302.8km, Kajang junction.
  6. About 1km south of Bangi junction, both south and north bound outer lanes
  7. At 296.5km and 297km, Bangi junction.
  8. Under the newly constructed bridge at 289.0km, before Nilai North junction.
  9. At 285.5km and 285.8km, Nilai North junction.
  10. On center divider at 251.8km and 253km after Senawang junction.
  11. After Alor Gajah junction at 213.9km, next to water theme park.
  12. Behind the right hand crash barrier at 198.4km.

Lebuhraya Elite Hubungan Timur Tengah/Utara (E6)

  1. On left hand side at 4.8km after Batu Tiga/Shah Alam exit
  2. Under the overhead restaurant at USJ/Hicom junction about 8.5km. 90km/h zone!
  3. Below the bridge before USJ/Hicom junction at 10.5km.

Lebuhraya Elite Hubungan Barat Tengah/Selatan (E6)

  1. Under the overhead restaurant at USJ/Hicom junction about 8.5km. 90km/h zone!
  2. Below the bridge before USJ/Hicom junction at 10.5km.
  3. After exit from KLIA toll to the airport, below Jalan Pekeliling flyover.90km/h

NKVE Arah Timur/Utara (E1)

  1. 300m before Jalan Duta toll, 60km/h!
  2. Behind crash barrier on the left when going towards Jalan Duta toll, at 24.9km, 80km/h!
  3. Below bridge at Damansara Junction, 17.5km

NKVE Arah Barat/Selatan (E1)

  1. Behind crash barrier on the left when leaving Jalan Duta toll from KL, at 25.3km and 25.7km, 80km/h!
  2. From Jln Duta, below the bridge, 23km, 80km/h zone!
  3. From Jln Duta, at the underpass at Sg Buloh Y-junction, 22km.
  4. Behind crash barrier at Damansara Junction, 17.7km and 16.8km
  5. Below railway bridge at 11.2km
  6. Under the bridge at Shah Alam junction.

Lebuhraya Kesas Timur (E5)

  1. Under the bridge at 44.8km, downhill run after Puchong junction.
  2. Kesas West Bound
  3. At Sg Besi side of East Bound Toll. Kuala Lumpur City
  4. Jalan Duta; below the flyover at the Damansara junction, 70km/h zone.

Lebuhraya Kesas – Klang (E5)

  1. Dual carriageway between Klang and Port Klang. Towards Klang direction, at about 13km mile stone. 70km/h only!

Leburaya Pantai Timur (E8)

  1. East bound, downhill run after Raub junction.
  2. Maran, 60km/h zone.
  3. Paya Bungor, 70km/h zone.

Kawasan Negeri Johor Arah Selatan

  1. Tangkak junction.
  2. Under the bridge after Yong Peng
  3. North junction at 97.3km.
  4. Ayer Hitam junction.
  5. Sedenak junction.

Jalanraya Sekitar Utara Malaysia – Arah Utara

  1. Around Ayer Hitam (FT1) in 60km/h zone.
  2. Before Perwaja Steel.
  3. Sg Petani junction.
  4. Between Seberang Jaya junction and Sg Dua Toll.
  5. Penang Bridge (E36) at island end. Speed limit 80km/h.

Jalanraya Sekitar Utara Malaysia – Arah Selatan

  1. Penang Bridge Island (E36) end. Speed limit 80km/h.
  2. About 2km before Juru Toll Speed limit 90km/h

Kawasan Perak Jalanraya Arah Utara

  1. Under the bridge at 197.1km and 198.8km, after Kamunting Junction.
  2. Under the bridge at 204.3km, after Kamunting Junction.
  3. Under the bridge at 208km, before Kamunting Junction.
  4. Under the bridge at 214.8km, before Kamuntingjunction.
  5. Ipoh Vista Point at about 263km. Speed limit 80km/h.
  6. Under the bridge at 271km, Ipoh North Junction.
  7. Under the bridge at 274.4km, Ipoh South Junction.
  8. Under the bridge at 286.9km, Simpang Pulai Junction.
  9. Under the bridge at 296km, Gopeng Junction.
  10. Under the bridge at 352.6km, after Sungkai Junction.
  11. Under the bridge at 353km, Sungkai Junction.
  12. Under the bridge at 373km, Slim River Junction.

Kawasan Perak Arah Selatan

  1. Under the bridge at 199km, before Kamunting junction.
  2. Under the bridge at 241.9km, at Kuala Kangsar junction.
  3. Under the sign post at 296.1km, before Gopeng Junction.
  4. Under the bridge at 297km, at Gopeng Junction.
  5. Under the bridge at 300km, after Gopeng junction.
  6. Under the bridge at 308.6km, after Gopeng junction.
  7. Under the bridge at 372.6km, at Slim River junction.

Sumber: Melayukini.net

Saturday, August 11, 2012

Penurunan Had Laju Kebangsaan ke 80 km/j semasa perayaan / National Speed Limit reduction to 80 km/h during festive seasons


Salam sejahtera,

Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan penurunan had laju bagi jalan-jalan persekutuan dan negeri daripada 90 km/j kepada 80 km/j (jalan persekutuan) dan 70 km/j (jalan negeri) sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri serta Hari Kebangsaan tidak lama lagi. Penurunan had laju ini berkuat kuasa daripada 12 Ogos 2012 (esok) sehingga 26 Ogos 2012.

Amalan menurunkan had laju jalan-jalan persekutuan dan negeri pada musim perayaan bermula pada tahun 2006 atas arahan Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang sangat kecewa dengan kadar kemalangan yang sangat tinggi ketika musim perayaan. Had laju yang lebih rendah ini membolehkan pemandu yang tiba di destinasi masing-masing memasuki kampung halaman dengan kurang risiko disondol dari arah belakang. Konsep ini berkaitan dengan teori kawalan masuk jalan raya, di mana pada musim perayaan darjah kawalan masuk jalan raya akan menurun berikutan kecenderungan pemandu untuk mencapai kediaman di kampung halaman semasa musim perayaan. Tak berapa faham? Jangan bimbang, saya akan terangkan lebih lanjut mengenai kawalan masuk jalan raya dalam entri akan datang.

Selain itu, had laju yang lebih rendah juga membolehkan penggunaan ruang jalan raya yang lebih cekap, berikutan jarak mengekor yang lebih pendek yang terhasil daripada had laju yang lebih rendah. Untuk makluman, lebih 1.8 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur E8 sahaja, jadi anda bayangkanlah jumlah sebenar kenderaan yang membanjiri jalan raya Malaysia setiap kali musim perayaan.

Namun, menurunkan had laju tidak boleh dibuat setakat main cakap mulut sahaja. Perintah Had Laju Persekutuan 1989 sudah menetapkan had laju jalan persekutuan dan negeri kepada 90 km/j (kecuali kenderaan berat, di mana had laju ditetapkan kepada 80 km/j di jalan persekutuan dan negeri), jadi penguatkuasaan Perintah Had Laju Persekutuan 1989 mestilah ditangguhkan terlebih dahulu melalui pewartaan oleh Menteri Pengangkutan di Parlimen. Jika ia tidak dilakukan, maka pihak berkuasa seperti polis dan JPJ tidak boleh menyaman kenderaan yang dipandu melebihi 80 km/j kerana saman tersebut sudah tentu boleh dicabar di mahkamah kerana kesahihannya dipertikaikan. Setelah warta kerajaan yang dikenali sebagai Perintah Had Laju Kebangsaan (Pemberhentian Sementara) [National Speed Limit (Temporary Cessation)] dikeluarkan, barulah had laju boleh diturunkan.

Sungguhpun demikian, terdapat kelemahan dalam pelaksaan penurunan had laju ini. Statistik menunjukkan bahawa tiada perubahan ketara yang ditunjukkan terhadap kadar kemalangan semasa musim perayaan. Dengan kata lain, faktor sebenar yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan ialah kecuaian pemandu sendiri dan tidak semestinya memandu melebihi had laju. Selain itu, sistem pelaksaannya boleh dikatakan kurang cekap kerana setiap kali tiba musim perayaan, maka setiap kali itulah Menteri Pengangkutan terpaksa mewartakan benda yang sama berulang kali. Papan tanda had laju juga satu hal, JKR terpaksa mengubah muka papan tanda had laju setiap kali had laju diturunkan dan dinaikkan semula, dan kualiti pemindaan yang dilakukan terhadap papan tanda had laju juga berubah-ubah; ada kawasan di mana pindaan dilakukan secara cincai sahaja iaitu dengan menampal angka "8" bagi menyembunyikan angka "9" pada muka papan tanda. Ada pula yang lebih profesional melakukan kerja sehinggakan pemandu tidak perasan perubahan yang dilakukan pada papan tanda had laju. Nak guna papan tanda had laju elektronik boleh ubah? Jangan haraplah, Malaysia ini sudah ada terlalu banyak beruk yang melaku musnah papan tanda JKR.

Apa pun, Blog Jalan Raya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada para pembaca. Rancang perjalanan anda dengan teliti, pastikan anda tahu laluan mana yang anda perlu ikuti dan patuhi undang-undang jalan raya, insya-Allah anda akan tiba ke kampung dalam keadaan yang selamat.

Sila klik sini untuk memuat turut warta Perintah Had Laju Kebangsaan (Pemberhentian Sementara).

Jalan Tasek Alai J153

Salam sejahtera,

Tidak lama dahulu, Blog Jalan Raya Malaysia pernah menyiarkan mengenai Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 yang menjadi laluan utama dari bandar-bandar utama di tenggara Semenanjung Malaysia seperti Segamat, Muar, Batu Pahat dan Melaka ke Kuantan dan negeri-negeri pantai timur. Sementara itu, Jalan Persekutuan 23 dari Segamat ke Muar (yang bakal dinaik taraf sebagai Lebuhraya Segamat-Muar) menghubungkan Segamat ke Muar, Melaka dan Batu Pahat. Jadi, sudah tentulah bandar Segamat akan menjadi sesak memandangkan perjalanan ke pantai timur dari Melaka, Muar dan Batu Pahat sudah tentu akan melalui bandar Segamat jika terus melalui Jalan Segamat-Muar FT23 sehingga ke penghujungnya.

Jadi apakah laluan alternatif yang boleh digunakan bagi memintas kesesakan di bandar Segamat? Jawapan terbaik bagi soalan ini ialah Jalan Negeri Johor J153 yang juga dikenali sebagai Jalan Tasek Alai.

Jalan negeri ini pendek sahaja, cuma 8 km. Ia menghubungkan antara KM6 FT23 di Kampung Batu Badak sehingga ke pinggir pekan Buloh Kasap, 8 km dari pusat bandar Segamat melalui Jalan Buloh Kasap FT1. Dari situ, pemandu hanya perlu meneruskan perjalanan sejauh 2 km lagi sebelum tiba di persimpangan Lebuhraya Tun Razak FT12.

Secara amnya jalan J153 ini sangat lurus dan sangat selesa dipandu pada had laju kebangsaan tanpa sebarang masalah. Maka tidak hairanlah mengapa ia merupakan laluan paling ideal untuk memintas bandar Segamat untuk ke Lebuhraya Tun Razak FT12. Namun, laluan ini bermula dengan pendakian curam merentasi kecerunan 10% sebelum berubah menjadi landai.

Laluan ini asalnya merupakan jalan kampung bagi menghubungkan antara Buloh Kasap dengan Kampung Tasek Alai dan Kampung Batu Badak. Laluan ini juga asalnya lebih sempit dan dibina di bawah piawaian JKR R3 dengan dua buah jambatan kayu, menjadikannya hanya sesuai dilalui kenderaan dengan berat di bawah 13 tan. Laluan ini seterusnya dinaik taraf ke piawaian JKR R4 supaya sesuai dipandu pada had laju kebangsaan 90 km/j. Jambatan-jambatan kayu di situ juga sudah digantikan dengan jambatan konkrit, menjadikannya sesuai digunakan oleh semua kenderaan.

Terdapat sebuah jambatan lintasan kereta api lebih kurang 2 km dari penghujung laluan, namun saya tidak sempat mengambil gambar jambatan tersebut berikutan keadaan jambatan yang sempit.

Secara kesimpulannya, Jalan Tasek Alai J153 adalah laluan penting bagi perjalanan terus dari arah Muar, Batu Pahat dan Melaka yang tidak mahu menempuh kesesakan bandar Segamat untuk ke pantai timur.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.








Permulaan Jalan Negeri Johor J153 di Kampung Batu Badak






Perjalan bermula dengan pendakian cerun securam 10%






Hanya 10 km sahaja dari sini ke persimpangan Lebuhraya Tun Razak FT12






Jambatan ini asalnya jambatan kayu






Keadaan jalan yang lurus dan cantik, ditambah dengan lanskap desa yang mendamaikan






Penghujung jalan J153 di Buloh Kasap

Diskaun tol Aidilfitri 37%; jalan susur Latar E25 ke Kundang B149 sah akan dibina! / Eid toll discount up to 37%; Latar E25 off-ramp confirmed!



Kadar potongan, rebat tertinggi pernah ditawarkan


Kuala Selangor: Sempena Aidilfitri, pengguna 24 lebuh raya akan menikmati diskaun dan rebat tol 10 hingga 37.5 peratus, iaitu kadar tertinggi pernah ditawarkan.

Pengguna kenderaan Kelas 1 yang menggunakan bayaran tol secara elektronik (ETC) di lebuh raya kendalian PLUS Berhad, bakal memperoleh rebat 30 peratus sepanjang hari pada 15,16, 22 dan 23 Ogos.
Bagi lebuh raya lain, pengguna diberi diskaun empat hari mulai 18 hingga 21 Ogos ini, termasuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang memberikan potongan 37.5 peratus dengan mengenakan kadar rata 60 sen bagi semua kelas kenderaan, tunai dan ETC.

Kecuali Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB) yang memberikan diskaun untuk tempoh sembilan jam bermula 11 malam 18 Ogos hingga 8 pagi keesokannya, lebuh raya lain memberikan diskaun sepanjang hari tarikh berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata insentif tol itu bagi menyokong usaha kerajaan meringankan beban pengguna, terutama pada musim perayaan.

Beliau juga berkata jumlah pengguna lebuh raya dan jalan persekutuan dijangka meningkat hampir dua kali ganda ketika Aidilfitri berbanding hari biasa.
Bagi Lebuh Raya Utara-Selatan, jumlah kenderaan pada hari biasa ialah 1.2 juta sehari. Bagaimanapun pada minggu depan dan minggu seterusnya, ia meningkat 500,000 kepada 1.7 juta kenderaan sehari.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) ke Jalan B149 Kundang, dekat sini semalam.

Shaziman berkata, diskaun dan rebat tol itu secara tidak langsung memberi kesempatan kepada syarikat konsesi, terutama yang membabitkan jarak jauh menyusun jadual perjalanan pengguna supaya pergerakan lalu lintas lebih lancar.

Dalam pada itu, had laju di semua jalan persekutuan akan diturunkan daripada 90 kilometer (km)/jam kepada 80 km/jam mulai 12 Ogos hingga 26 Ogos sebagai langkah membantu kelancaran trafik dan mengurangkan kejadian tidak diingini.

Selain itu, kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya dan jalan persekutuan dibekukan dalam tempoh seminggu sebelum Aidilfitri dan seminggu selepas itu, bermula Isnin ini.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos, LDP dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menawarkan tol percuma bagi semua kelas kenderaan, tunai dan ETC, manakala 22 lebuh raya memberi diskaun dan rebat 10 hingga 30 peratus.

Sumber: Berita Harian

Advertisement