Wednesday, January 30, 2013

Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 / Putrajaya-Cyberjaya Expressway FT29

Salam sejahtera,

Sejak pembinaan pusat pentadbiran baru kerajaan persekutuan di Putrajaya serta pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, bahagian selatan Lembah Klang yang sebelum ini dipenuhi kawasan bekas lombong dan estet kelapa sawit telah berkembang dengan pesatnya. Ia terbukti dengan pembinaan rangkaian jalan raya yang sebegitu ekstensif di kawasan berkenaan seperti Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26, Lebuhraya Kajang Silk E18, Lebuhraya Sungai Besi E9, Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 dan Lebuhraya Maju E20. Hari ini Blog Jalan Raya Malaysia membawakan kepada anda reviu eksklusif mengenai salah satu daripada lebuh raya penting di sana iaitu Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29.

Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 dibina sebagai sambungan kepada Lebuhraya Damansara-Puchong E11 yang pernah saya kecam hebat kerana gagal memenuhi kriteria lebuh raya ekspres terutamanya dari segi kawalan masuknya. Pembinaan FT29 bersama-sama SKVE E26 dan Lebuhraya Kajang Silk E18 telah menyebabkan perubahan besar terhadap jajaran Jalan Negeri Selangor B11 dari Kajang ke Puchong. Rencana mengenai jajaran Jalan Negeri Selangor B11 yang hilang itu akan saya ulas dengan lebih lanjut dalam entri akan datang.

Semasa FT29 mula-mula dibuka, ia sering dilabelkan sebagai Jalan Negeri Selangor B15, memandangkan lebuh raya ini dibina bagi menggantikan jajaran asal B15 yang kini sudah lenyap akibat pembangunan Putrajaya dan Cyberjaya. Satu-satunya jajaran B15 yang masih wujud ialah dari susur keluarnya dari FT29 ke penghujungnya di pekan Dengkil. Namun demikian, kebanyakan peta dalam talian termasuklah Google Maps masih lagi tersilap melabelkan lebuh raya ini sebagai B15 dan bukannya FT29 sebagaimana yang sepatutnya.

Saya mencuba lebuh raya ini dalam keheningan awal pagi semasa kebanyakan orang masih nyenyak diulit mimpi. Ketika itu, saya sedang dalam perjalanan ke KLIA untuk membawa pulang ibu saya dan dua orang adik saya yang pulang bercuti dari Perancis. Ada dua pilihan laluan (dan reviu jalan raya) yang boleh saya lakukan sama ada FT29 ataupun Lebuhraya Maju E20, tetapi akhirnya saya mengambil keputusan membuat reviu FT29.

Saya memasuki FT29 melalui Exit 2606 SKVE E26. Angka penanda jarak kilometernya disambung daripada LDP E11 bermula dari KM38. Tidak seperti pendahulu FT29 iaitu LDP E11 yang sama sekali mencabuli piawaian lebuh raya ekspres, FT29 ini sememangnya sebuah lebuh raya ekspres sejati dengan kawalan masuk penuh. Satu-satunya bahagian FT29 yang mempunyai kawalan masuk separa ialah di Persimpangan Dengkil yang merupakan persimpangan searas berlampu isyarat. Lorongnya juga lebar-lebar belaka, terutamanya di jajaran Putrajaya-Cyberjaya yang puratanya selebar 6 lorong tetapi ada jajaran yang sehingga selebar 10 lorong, menjadikannya sebagai "lebuh raya syurga" bagi kaki drag. Jadi, nikmatilah ia selagi kamera perangkap laju AES masih belum dipasang di sini.

Persimpangan kedua ialah Persimpangan Apec yang melencongkan keluar laluan B11 melalui Persiaran Apec dan seterusnya Jalan Pulau Meranti B11 ke Puchong. Ia diikuti Persimpangan Persiaran Utara untuk ke bahagian utara Putrajaya.

Jajaran dari Persimpangan Putrajaya Sentral sehingga ke Persimpangan Lingkaran Putrajaya untuk ke Hubungan Putrajaya E6 sememangnya sangat lebar, dan saya anggarkan sebanyak hampir 14 lorong kesemuanya (6 lorong utama, selebihnya lorong pemindah bagi pemandu yang hendak keluar dari lebuh raya FT29).

Persimpangan berikutnya ialah Persimpangan Cyberjaya Selatan untuk ke pusat bandar Cyberjaya yang menjadi tumpuan banyak syarikat IT serta beberapa syarikat animasi dan filem tempatan seperti KRU Studios dan Animonsta, serta merupakan lokasi bagi Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Limkokwing. Ibu pejabat Majlis Perbandaran Sepang juga terletak di Cyberjaya.

Seterusnya ialah Persimpangan Persimpangan Selatan FT30, yang merupakan lebuh raya lingkaran luar bagi Putrajaya. Bahagian baratnya pula hanyalah sekadar jalan mati yang akan disambungkan sebaik sahaja kawasan di sekitarnya dibangunkan. FT29 kemudian melencongkan keluar laluan asal B15 yang masih tinggal ke pekan Dengkil.

Bilangan lorong Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 kemudiannya mula berkurang menjadi 4 lorong. Seterusnya, FT29 menyeberangi tasik bekas lombong di Dengkil dan seterusnya Sungai Langat sebelum menghampiri satu-satunya persimpangan searas di lebuh raya ini.

Sebaik melepasi Persimpangan Dengkil ini, FT29 menjadi sempit sedikit dengan lebar setiap lorong lebih kurang 3.25 m (JKR R4), tidak seperti sebelum ini yang mana lebar lorongnya ialah sekitar 3.5-3.65 m (JKR R5). Masih ada dua lagi persimpangan bertingkat yang tinggal sebelum lebuh raya tamat, iaitu Persimpangan Kota Warisan dan Persimpangan Sepang di Laluan Labohan Dagang-Nilai FT32. Terdapat sebuah restoran McDonald's pandu lalu di antara kedua-dua persimpangan bertingkat tersebut. Lebuh raya ditamatkan di Persimpangan Sepang di Laluan Labohan Dagang-Nilai FT32, memandangkan laluan yang sepatutnya berakhir di KLIA masih belum siap.

Tidak banyak gambar yang dapat saya tunjukkan kepada anda, memandangkan gambar diambil pada waktu awal pagi yang gelap dalam kereta yang sedang bergerak, menyebabkan gambar menjadi tidak begitu cantik berbanding jika saya menggunakan motosikal dan berhenti setiap kali menemui pemandangan menarik. Saya hanya dapat tunjukkan segelintir sahaja, selebihnya anda boleh klik sini.






Memasuki FT29 dari SKVE E26






Menghampiri Persimpangan Putrajaya Sentral






Ada empat lorong pemindah di setiap hala antara Persimpangan Putrajaya Sentral dengan Persimpangan Lingkaran Putrajaya, menjadikannya sebagai jajaran paling lebar di sepanjang FT29 ini






Persimpangan Cyberjaya Selatan






Persimpangan Persiaran Selatan FT30






Laluan asal B15 dilencongkan keluar ke pekan Dengkil






Persimpangan Dengkil, satu-satunya persimpangan searas berlampu isyarat di sepanjang FT29






Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya tamat di Laluan Labohan Dagang FT32

Friday, January 25, 2013

Jalan Seremban-Port-Dickson FT53

Salam sejahtera,

Tahun lalu saya ada membuat satu reviu mengenai Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 sepanjang 23 km  yang dibina sebagai alternatif kepada jalan lama Seremban-Port Dickson FT53 yang berbengkang-bengkok. Kali ini, saya membuat satu reviu eksklusif mengenai jalan lama itu sendiri.

Kembara kali ini dimulakan dari bandar Seremban. Ketika itu, keadaan di Seremban begitu sesak, memandangkan saya berada pada masa kebanyakan orang hendak pulang ke rumah selepas habis waktu bekerja. Namun, keadaan pula berbeza di bahagian pangkal FT53 ini, berikutan kerja-kerja penggantian jejambat lama di situ. Pangkal FT53 ini terletak di Jalan Zaaba FT1, dan seterusnya FT53 melalui satu jejambat besi lama merentangi Jalan Tuanku Antah FT1. Untuk pengetahuan anda, jejambat besi tersebut merupakan jejambat terawal di Malaysia kerana ia dibina semasa zaman penjajahan British lagi. Malah, had ketinggian di situ juga ditulis menggunakan unit imperial dan bukannya unit metrik sebagaimana sekarang. Kenapa pula jejambat itu hendak digantikan? Ada dua sebab - pertama, kerana jejambat itu sudah terlalu tua dan tidak lagi mampu menampung kadar aliran trafik yang tinggi secara berterusan; dan kedua, kerana kelegaan maksimum di bawah jejambat iaitu di Jalan Tuanku Antah hanyalah sekitar 3.7 m, sedangkan sekarang sudah ada banyak bas-bas dua tingkat yang tinggi, berkemungkinan tidak mampu melepasi jejambat tersebut. Seterusnya, FT53 melalui jejambat lintasan kereta api jenis kekuda besi yang juga dibina semasa zaman penjajah dan turut digantikan atas alasan yang sama. Projek penggantian kedua-dua jejambat tersebut adalah satu langkah bagi menjadikan pangkal FT53 sebagai jalan raya kembar, sedangkan jajaran FT53 dari Rasah ke Mambau sudah pun dinaik taraf menjadi jalan raya kembar.

Sebaik melepasi jejambat lintasan kereta api, FT53 berubah menjadi jalan raya kembar. Jajaran dari sini sehingga ke Exit 219 Persimpangan Port Dickson di Lebuhraya Utara-Selatan E2 pula dinaik taraf menjadi jalan raya kembar sebagai sokongan kepada projek Jalan Lingkaran Dalam Seremban yang masih belum siap sepenuhnya. Sementara itu, jajaran dari Exit 219 ke Exit 2901 Persimpangan Mambau dinaik taraf sebagai pelengkap kepada Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29, di mana FT53 dilencongkan keluar melalui persimpangan tersebut, bermakna laluan terus akan membawa anda ke E29 dan bukannya FT53.

Sebaik keluar ke pekan Mambau, FT53 berubah menjadi jalan raya tunggal. Di situ, FT53 turut melintasi satu bekas lintasan kereta api bagi laluan ke Port Dickson yang sudah ditanggalkan. Ia sungguh menyedihkan, kerana pencabutan landasan tersebut benar-benar menunjukkan bahawa sistem pengangkutan rel  semakin dipinggirkan dan tidak begitu diambil perhatian di Malaysia. Sementara sistem rangkaian jalan raya Malaysia berkembang dengan pesatnya sejak zaman penjajah sehingga sekarang, sistem rangkaian landasan kereta api pula sebaliknya - panjang rangkaian landasan kereta api sebenarnya makin menyusut dan bukannya makin berkembang. Projek landasan berkembar utara-selatan dari Padang Besar ke Johor Bahru sebenarnya hanya menggandakan kapasiti laluan tersebut dan bukannya menambah panjang rangkaian.

Lanskap seterusnya berubah daripada lanskap perbandaran kepada lanskap hutan, perkampungan dan estet. Saya dapati Jalan Persekutuan 53 ini walaupun agak berkelok-kelok tetapi sangat seronok untuk bermotor - jalannya cantik dan elok, ditambah pula kurang kenderaan yang melaluinya. Seronok!

Panjang FT53 ini ialah 33 km, hanya 10 km lebih panjang daripada Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 yang menggantikannya. Jika diambil kira faktor E29 bermula di Exit 2901 sebagai KM7, E29 hanya memendekkan jarak perjalanan sebanyak 3 km sahaja. Walau apa pun pilihan anda untuk ke Port Dickson sama ada FT53 ataupun E29, kedua-dua menjanjikan keseronokan sendiri - di E29, anda boleh bermain drag sepuas hati anda, manakala FT53 pula menjanjikan syurga selekoh berkelok-kelok dan laluan lurus untuk dinikmati superbikers. Jalan Persekutuan 53 bertemu semula dengan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 di Exit 2902 Persimpangan Lukut, menandakan semakin hampir dengan penamat FT53. FT53 tamat di pekan Lukut di simpang Jalan Sepang FT5; jalan terus membawa ke FT5 ke Port Dickson dan Melaka, manakala belok kanan membawa anda ke Sepang dan Klang melalui FT5.

Kesimpulannya, keputusan kerajaan membina Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 bagi menggantikan FT53 pada 1990an mungkin satu kesilapan yang membuatkan E29 gagal mencapai unjuran trafik sasaran, tetapi sebenarnya ada hikmah tersembunyi di sebaliknya. Kedua-dua jalan tersebut menyajikan keseronokan tersendiri kepada kaki lipat selekoh mahupun kaki drag. Apa pun, Plus Expressways Berhad serta Majlis Perbandaran Port Dickson perlulah mempromosikan Port Dickson secara agresif bagi membuktikan pembinaan E29 tetap berbaloi dan bukan satu kesilapan.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Permulaan Jalan Seremban-Port Dickson FT53 (Jalan Rasah) di Jalan Zaaba FT1






Persimpangan Hospital Tuanku Jaafar yang sibuk






Persimpangan Jalan Lingkaran Dalam Seremban






Simpang masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 ke Johor Bahru...






...dan juga ke Kuala Lumpur






FT53 dilencongkan keluar ke pekan Mambau






Bekas lintasan kereta api di Mambau






Siapa kata jalan lama FT53 ini tak seronok? Tengok, jalan tetap cantik walaupun agak berkelok-kelok






Penamat FT53 di simpang Jalan Sepang FT5 dari arah Port Dickson






Kembali semula ke Seremban melalui Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29

Papan tanda pelik: Zon 80 km/j di pusat bandar Seremban / Weird signboards: 80 km/h speed limit zone in Seremban town centre




Salam sejahtera,

Dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda mengenai satu papan tanda had laju yang pelik lagi mengelirukan ini. Saya percaya warga Seremban tentunya sangat mengenali papan tanda pelik ini yang terletak di Jalan Dato' Bandar Tunggal / Jalan Tuanku Antah FT1 dekat Wisma TNB Seremban. Apa yang peliknya dengan papan tanda ini? Apa yang menjadikan papan tanda ini pelik ialah had laju 80 km/j dikenakan di kawasan pusat bandar yang sesak dengan kenderaan.

Sebenarnya, had laju bagi kebanyakan jalan di pusat bandar Seremban termasuklah pasangan sehala FT1 di situ hanyalah sekitar 60 km/j sahaja, berikutan keadaan jalan yang begitu sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang. Maka, sudah tentulah banyak kenderaan yang bergerak perlahan untuk keluar masuk di premis-premis perniagaan di situ. Jika had laju di situ menjadi 80 km/j, maka sudah tentulah banyak kereta yang disondol dari belakang oleh kereta-kereta lain yang laju. Hendak melintas jalan pun susah kerana kenderaan laju-laju belaka. Dengan kata lain, papan tanda zon had laju 80 km/j yang diletakkan di tempat yang sepatutnya dikenakan had laju 60 km/j mendedahkan pengguna jalan raya terhadap risiko kemalangan. Malah, ia boleh menyebabkan timbul pertikaian mengenai kesahihan saman had laju jika ada kes saman had laju 60 km/j di situ. Had laju 80 km/j yang dikatakan itu sebenarnya dikenakan di Jalan Sungai Ujong N38, bukannya Jalan Dato' Bandar Tunggal FT1.

Kepada JKR Seremban dan JKR Negeri Sembilan, harap semaklah papan-papan tanda yang didirikan di Negeri Sembilan, jangan sampai ada papan tanda salah yang didirikan. Papan tanda adalah salah satu cara bagaimana pemandu "berkomunikasi" dengan jalan raya yang dilaluinya. Oleh itu, papan tanda yang salah tentunya akan memberikan maklumat yang salah mengenai jalan tersebut, yang seterusnya mendedahkan pemandu terhadap risiko kemalangan akibat salah maklumat (contohnya, had laju tak betul, dsb.). Janganlah sampai kesalahan papan tanda tersebut bakal memalukan kita balik.

Monday, January 21, 2013

Tahun Melawat Malaysia 2014 / Visit Malaysia Year 2014



Salam sejahtera,

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia telah melancarkan satu kempen agresif sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, dengan matlamat untuk mencapai sasaran 28 juta pelancong asing untuk datang ke Malaysia pada tahun 2014, berbanding 25 juta pelancong pada tahun 2012.

Demi menyokong usaha kerajaan bagi mencapai sasaran 28 juta pelancong pada tahun 2014, Blog Jalan Raya Malaysia dengan bangganya akan turut menyertakan lokasi-lokasi pelancongan menarik dalam reviu jalan raya akan datang. Konsep yang ingin diterapkan di sini ialah dengan menyajikan jalan-jalan raya yang cantik dan seronok untuk bermotosikal atau berkereta. Reviu-reviu jalan raya yang turut melalui tempat-tempat pelancongan menarik akan dipaparkan dalam dwibahasa iaitu dalam Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Untuk membantu anda, entri-entri dwibahasa ini akan ditandakan sebagai Entries in English (boleh dicari dalam ruangan Labels pada bahagian kanan blog).

Sekiranya anda mahu membuat permintaan untuk menterjemahkan entri-entri kegemaran anda dalam Blog Jalan Raya Malaysia ke Bahasa Inggeris, anda boleh memohon melalui ruangan komen bagi setiap rencana terlibat. Kami akan menterjemahkan rencana tersebut secepat mungkin dan akan memaklumkan kepada anda sebaik sahaja rencana siap diterjemah.

Terima kasih atas sokongan anda terhadap Blog Jalan Raya Malaysia, semoga Malaysia menjadi destinasi pengembaraan jalan raya paling menarik buat anda! ;)





Hello everyone,

Recently, the Malaysian government had just launched an aggressive campaign in accordance to Visit Malaysia Year 2014, with the target of achieving the 28-million-tourist milestone to come to Malaysia within 2014, compared to 25 million tourists in 2012.

In supporting the government's cause to achieve the 28-million-tourist target in 2014, Malaysian Highway Blog will proudly present interesting tourist spots in the upcoming highway reviews. The concept to be used here is to provide beautiful, scenic highways that are fun to be driven of ridden.  The highway reviews that include interesting places will be written bilingually in Malay and English.  To guide you, the bilingual entries will be tagged as Entries in English (can be found in the Labels  section at the left side of the blog).

If you would like to request for translations of your favourite entries in English, you can do so through the comments section in each of the entries. We will translate those entries as soon as possible and will notify you once the translation is completed.

We would like to thank you for your continuous support towards Malaysian Highway Blog, may Malaysia provide you the most exciting highway travelling destination ever! ;)

Thursday, January 17, 2013

Jalan Persekutuan 9 - bagai syurga dengan neraka / Federal Route 9 - like heaven and hell

Salam sejahtera,

Reviu Jalan Persekutuan 9 dari Karak ke Tampin merupakan reviu pembuka tirai bagi tahun 2013 ini. Reviu kali ini adalah atas permintaan pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia dari Negeri Sembilan iaitu Saudara Shah Rizan Mohd. Zin berikutan rasa tidak puas hatinya terhadap kualiti jalan tersebut yang dikatakan sangat teruk dari sempadan Pahang-Negeri Sembilan (Simpang Pelangai) ke simpang Serting (FT1268 ke Bandar Seri Jempol / FT11). Untuk memastikan kesahihan dakwaan tersebut, saya mengambil kesempatan untuk ke Tampin dari Kuala Lumpur, tetapi melalui Jalan Persekutuan 9, bukannya melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2, jalan FT19 dan FT1 yang sering saya gunakan.

Sedikit latar belakang ringkas mengenai jalan FT9 ini. Jalan Persekutuan 9 menghubungkan antara pekan Karak dangan Tampin, dan jalan sejauh 138.19 km ini melalui sepanjang kaki bukit bahagian timur Banjaran Titiwangsa, selari dengan Jalan Persekutuan 1 (jajaran Tampin-Kuala Lumpur) yang melalui kaki bukit bahagian barat Banjaran Titiwangsa. Ia membentuk sebahagian Jalan Raya Utama Tengah (Central Spine Highway) bersama-sama Jalan Persekutuan 8 dari Ketari ke Kota Bharu, maka ia merupakan laluan penting bagi pemandu dari arah Melaka ke Kota Bharu dan sebaliknya.

Bagi reviu kali ini, saya menggunakan Lebuhraya Karak E8/FT2 dan singgah mengisi minyak motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya di pekan Karak sebelum meneruskan perjalanan. Sungguhpun pekan Karak ini kecil sahaja tetapi ia begitu sibuk dengan kenderaan yang singgah sebenar sebelum meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Karak E8/FT2 ke Kuala Lumpur atau Kota Bharu. Kepentingan pekan Karak sebagai pekan persinggahan sedikit pun tidak terjejas sungguhpun ia dipintas oleh Lebuhraya Pantai Timur E8. Dari pekan Karak, saya membelok ke kanan untuk ke FT9 di Exit 230 dekat Balai Polis Karak.

Sebaik memasuki FT9, saya rasakan keadaan jalan ini sangat berbeza dengan jalan FT9 yang sering saya guna di Kuala Pilah untuk ke Segamat melalui Lebuhraya Lekas E21. Keadaan FT9 yang biasa saya gunakan di jajaran Juasseh-Kuala Pilah mempunyai saiz yang lebih kurang sama seperti kebanyakan jalan persekutuan utama, iaitu lebar lorong sekurang-kurangnya 3.25 m (JKR R4). Namun, semasa saya melalui jalan yang sama di Karak pula, saya rasakan ia begitu sempit dengan lebar lorong lebih kurang 3.0 m (JKR R3), lebih kurang sama lebar seperti jajaran jalan B27 yang menyempit di Hutan Simpan Batu Arang, Selangor. Bukan itu sahaja, kualiti jalan juga tidak konsisten - di daerah Bentong, ada jajaran yang beraspal mulus, tetapi pada kebanyakan jajaran di daerah Bentong pula keadaan jalan sangat teruk dengan lubang di sana-sini, batu-batu yang bertaburan, keadaan jalan yang menggerutu serta garisan jalan yang sudah kabur tetapi tidak dicat semula. Terdapat juga sesetengah jajaran yang baru sahaja diturap tetapi berlubang semula tidak lama kemudian, menampakkan kualiti turapan yang teruk dan dibuat secara cincai senipis kulit bawang. Patutlah tak lama kemudian pasti berlubang semula di tempat yang sama! Hanya satu patah perkataan sahaja sudah cukup untuk menggambarkan keadaan jalan yang sepatutnya menjadi laluan tulang belakang kawasan tengah Semenanjung Malaysia (central spine highway) - MEMALUKAN. JKR Bentong, apa sudah jadi ni? Saya menuntut penjelasan yang memuaskan daripada pihak JKR Bentong mengenai kualiti jalan yang terlalu teruk ini! Sudahlah majoriti jajaran FT9 di daerah Bentong ini sempit dan berbengkang-bengkok, kualiti jalan pula sudah boleh dibandingkan dengan negara-negara mundur. Sebaik sahaja melepasi Kampung Telemung, ada beberapa siri selekoh S dan U yang saya sifatkan sebagai "banyak memakan korban", berikutan keadaan jalan yang sangat teruk - sudahlah sempit, berlubang, batu-batu berterabur di hujung selekoh, dan garisan jalan pun sudah tiada. Nasib baik saya melalui FT9 pada waktu siang dalam cuaca cerah serta kurang kenderaan, jika tidak sudah tentu buruk padahnya.

Sebaik melepasi sempadan Pahang-Negeri Sembilan, saya sangkakan keadaan jalan sudah elok kembali berikutan turapan beraspal mulus dekat sempadan sebaik melepasi pekan Simpang Pelangai. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset sama sekali - keadaan jalan di daerah Jelebu sebenarnya dua kali lima saja dengan daerah Bentong di Pahang. Paling ketara ialah antara jajaran Simpang Durian-Simpang Pertang, yang mana kualiti jalan masih teruk walaupun jalan sudah lebar sedikit mengikut piawaian JKR R4. Jalan di situ tetap berlubang di sana-sini macam baru lepas dibom bertubi-tubi. JKR Jelebu, apo dah jadi ni Jang? Ese botul-botul tak pueh hati ni!

Hanya setelah melepasi Simpang Pertang (simpang Jalan Jelebu FT86) dan seterusnya masuk ke daerah Jempol barulah keadaan jalan berubah menjadi sangat bagus dan sangat selesa. Kebanyakan jajaran FT9 di daerah Jelebu beraspal mulus kerana baru sahaja diturap semula. Ini bukan bermakna dakwaan Saudara Shah Rizan tidak benar, tetapi sebenarnya mungkin semasa beliau membuat permintaan reviu FT9 ini jajaran di Simpang Pertang ke Serting masih teruk dan belum diturap. Tak apalah, sekurang-kurangnya saya masih berjaya membuktikan kesahihan dakwaannya.

Sebaik tiba di Batu Kikir, sudah 95 km saya meninggalkan pekan Karak, tetapi jarum tolok bahan api Wave 125X Ultimo ini masih menunjukkan tanda setengah. Rancangan asal saya ialah mengisi minyak di pekan Batu Kikir, tetapi memandangkan minyak motor masih banyak lagi saya mengambil keputusan untuk mengisi minyak di Kuala Pilah pula. Di Kuala Pilah, sekali lagi saya mengisi penuh minyak Wave 125X Ultimo saya dan mendapati penggunaan bahan api kali ini semakin baik iaitu 2.58 liter petrol bagi perjalanan sejauh 108 km, bersamaan 41.98 km/L.

Bandar Kuala Pilah merupakan bandar terbesar yang dilalui Jalan Persekutuan 9 ini. Sesuai dengan saiznya, bandar ini sememangnya sangat sibuk kerana ia merupakan bandar persinggahan bagi pengguna jalan raya dari arah Seremban melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 untuk ke Kuantan melalui Jalan Juasseh-Bahau FT13 dan Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12. Daerah Kuala Pilah ini juga boleh dikatakan sebagai salah satu pusat kebudayaan utama di Negeri Sembilan, kerana di sinilah terletaknya bandar diraja Negeri Sembilan iaitu Seri Menanti. Di sini juga terletaknya lima luak kecil, iaitu Luak Inas, Luak Jempol, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Ulu Muar. Luak-luak kecil ini digabungkan membentuk Luak Tanah Mengandung. Setiap luak kecil ini diketuai oleh Penghulu Luak yang mana mereka tertakluk di bawah bidang kuasa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Empat luak utama (Jelebu, Johol, Rembau dan Sungai Ujong) serta Tampin diketuai oleh Undang (di Tampin pula dikenali sebagai Tunku Besar Tampin) dan mereka berkuasa memilih Yang Dipertuan Besar baru apabila Yang Dipertuan Besar terdahulu mangkat.

Di pekan Johol pula ada satu jambatan Bailey yang didirikan, mungkin jambatan baru yang lebih besar dan lebih selesa bakal didirikan. Di pekan Johol, saya menemui satu stesen minyak mini yang kelihatan unik kerana hanya ada satu tiang petrol dan kelihatan seperti zaman kolonial (walaupun pam minyaknya sendiri sebenarnya moden seperti kebanyakan stesen minyak biasa). Jalan Persekutuan 9 ini tamat di Kampung Repah, Tampin.

Jadi apa kesimpulan yang saya dapat daripada Jalan Persekutuan 9 ini? Kesimpulannya, dakwaan Saudara Shah Rizan mengenai keadaan jalan yang sangat teruk itu terbukti benar, merangkumi jajaran dari Karak sehingga ke Simpang Pertang. Kepada JKR Bentong dan JKR Jelebu, saya menuntut penjelasan yang memuaskan mengenai kenapa keadaan jalan menjadi sangat teruk sedangkan di daerah lain pula keadaan jalan sangat cantik dan sangat selesa. Imej jalan teruk ini sememangnya memalukan negara, lebih-lebih lagi jalan ini sepatutnya merupakan jalan raya tulang belakang utama bagi membolehkan orang-orang Melaka untuk ke Kelantan dengan lebih mudah. Jalan ini perlu dinaik taraf ke piawaian JKR R5 (had laju rekabentuk: 100 km/j; lebar lorong: 3.5 m) demi keselesaan pemandu yang memandu jauh dari Melaka ke Kota Bharu. Namun, menaik taraf sahaja tidak memadai sekiranya kerja pembinaan dan penyelenggaraan kelak dilakukan secara cincai kerana membina jalan raya yang baik adalah amanah oleh rakyat yang membayar cukai jalan kepada pihak yang bertanggungjawab membina jalan berkenaan. Jika jalan berkenaan berkeadaan baik dan dapat dimanfaatkan oleh setiap orang, maka mereka yang bertanggungjawab membina jalan tersebut (dari buruh kasar sehinggalah kepada Menteri Kerja Raya dan Perdana Menteri) akan menerima pahala amal jariah kelak. Namun, sekiranya keadaan jalan sangat teruk sehingga menyebabkan pengguna jalan raya menyumpah-menyeranah, maka nerakalah balasannya kepada golongan yang tidak amanah tersebut.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Keluar ke laluan asal Lebuhraya Karak FT2 di Exit 813 Persimpangan Karak






Penamat sebenar Lebuhraya Karak FT2 di mana ia bertukar menjadi jalan raya persekutuan dua lorong biasa






Isi minyak sebentar di pekan Karak






Pekan Karak yang sibuk






Memasuki FT9 di Exit 230 Persimpangan Simpang Pelangai dekat Balai Polis Karak






Garisan jalan sudah pudar






Kualiti jalan yang tak konsisten. Ada bahagian yang nampak cantik, tetapi sebahagian besar keadaan FT9 di daerah Bentong berkeadaan teruk






Lagi bukti kualiti jalan yang tak konsisten di jajaran Karak-Simpang Pelangai. Di selekoh ini, keadaan jalan di hadapan saya begitu menggerutu...






...tetapi di selekoh yang sama di bahagian belakang saya pula keadaannya agak baik






Keadaan jalan yang menggerutu seolah-olah tidak pernah diselenggara






Mana perginya garisan jalan di selekoh ini?






Batu-batu yang berlonggok ini seakan-akan sedang menunggu mangsanya






Selekoh paling berbahaya di FT9 ini terletak di Batu 36 selepas Kampung Telemong. Selekoh hairpin tajam + batu-batu berlonggok + jalan berlubang dan menggerutu + garisan jalan sudah hilang = selekoh penyembelih orang






Untuk apa kita pemandu jalan raya membayar cukai jalan kalau jalan raya berlubang di sana-sini macam baru lepas perang?






Pekan Manchis






Sempadan Pahang-Negeri Sembilan. Nampaknya keadaan jalan nampak elok dan sudah lebar sedikit...






Keadaan jalan nampak cantik dan beraspal mulus, tetapi jangan mudah terpedaya






Nah, nampak saja jalan cantik tetapi rupa-rupanya berkualiti sampah dengan turapan senipis kulit bawang!






Nampak gayanya tauke bengkel kereta dan motosikal akan cepat kaya hasil menukar rim dan tayar kereta yang rosak akibat jalan berlubang sebegini






Lagi jalan berlubang akibat turapan kulit bawang. Mana perginya pemantauan oleh JKR Jelebu?






Keadaan jalan FT9 sekitar 8 km sebelum tiba di Simpang Pertang, macam dibom bertubi-tubi






Simpang Jalan Jelebu FT86 di Simpang Pertang. Nasib baik kualiti jalan sudah elok semula di sini






Turapan segar beraspal mulus sebaik memasuki daerah Jempol setelah melalui jalan neraka penyembelih orang di sepanjang Karak-Simpang Pertang






Simpang FT1268 untuk ke Kuantan melalui Bandar Seri Jempol (FT11) dan Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12






Batu Kikir jambatan bosi... eh mana ada jambatan besi di sini? ;p






Simpang Juasseh untuk ke Bahau melalui Jalan Persekutuan 13






Honda Wave Ultimo saya ini hanya memerlukan sebanyak 2.58 liter petrol bagi perjalanan sejauh 108 km dari Karak ke Kuala Pilah, bersamaan 41.98 km/L. Jimat kan?






Bandar Kuala Pilah






Simpang Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51, simpang jalan tersibuk di sepanjang FT9






Jambatan bailey di pekan Johol, menunjukkan kemungkinan jambatan baru akan dibina di situ






Stesen minyak mini cap kerang yang begitu unik di pekan Johol






Jalan Persekutuan 9 tamat di Kampung Repah dekat Tampin

Advertisement