Tuesday, April 30, 2013

JTX5000 - Bukan sebarangan rawatan minyak enjin / JTX5000 - Not your ordinary engine oil treatment

Salam sejahtera,

Kali ini saya berkesempatan menguji satu produk rawatan minyak enjin yang boleh saya sifatkan sebagai yang terbaik pernah saya gunakan. Produk yang saya maksudkan itu ialah JTX5000, iaitu bendalir rawatan minyak enjin yang menggunakan formula tribologi bagi mengurangkan geseran di dalam enjin. JTX ini merupakan kependekan daripada nama "Jet Turbo Xtreme". Terima kasih kepada sahabat saya Khairul Azmi dan Azman Azmi dari Kolej Islam Antarabangsa, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur kerana telah mengesyorkan kepada saya produk ini untuk diuji menggunakan motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya.

Cara penggunaannya amat mudah - hanya tuangkan sahaja sebotol JTX5000 bersaiz 20 ml di dalam lubang pengisi minyak enjin. Sebotol 20 ml JTX5000 mencukupi untuk merawat minyak enjin motosikal kapcai sehingga seliter (Modenas Kriss / CT110 dan GT128), dan ia hanya perlu digunakan setiap 4,000-5,000 km, bergantung kepada model motosikal (setiap dua kali tukar minyak enjin, kecuali model yang tempoh penukaran minyak enjinnya memang panjang, seperti Modenas GT128, Yamaha 135LC dan Honda Future 125).

Setelah JTX5000 diisi ke dalam lubang masukan minyak enjin, tibalah masa untuk menguji keberkesanannya. Sebelum itu, Wave 125X Ultimo itu sebenarnya sudah dua hari tidak dihidupkan sepanjang hujung minggu, jadi ada kemungkinan ia payah untuk dihidupkan. Namun, saya berupaya menghidupkannya dengan sekali tendang sahaja. Jika menggunakan penghidup elektrik, enjin dapat dihidupkan dalam masa 2 saat.

Setelah enjin dihidupkan, saya dapat merasakan paras bunyi enjin agak semakin kurang bising. Sebenarnya, enjin motosikal saya itu memang sudah menjadi kurang bising semasa saya menggunakan minyak enjin Shell Advance AX7 (10W40, API SL, semi-sintetik) semasa penukaran minyak enjin minggu lalu (26 April 2013), tetapi kali ini saya merasakan enjin semakin senyap.

Sepanjang saya menunggang Honda Wave 125X Ultimo saya, biasanya sekali-sekala saya dapat merasakan ada angin panas dari enjin ke kaki saya. Ia sebenarnya normal kerana suhu operasi optimum Wave 125X  ialah sekitar 70°C. Namun, setelah saya menggunakan JTX5000, saya tidak lagi merasa aliran angin panas ke kaki, tetapi dalam masa yang sama pula tiada penurunan prestasi. Dengan kata lain, enjin dapat beroperasi secara optimum pada suhu lebih rendah, disebabkan geseran enjin semakin berkurangan.

Di lebuh raya ekspres pula, kelajuan maksimum motosikal saya masih kekal sekitar 110-120 km/j. Namun demikian, saya dapat rasakan Wave 125X itu semakin kurang bergegar semasa kelajuan tinggi. Cuma, saya masih belum berkesempatan menguji kadar penggunaan bahan api, mungkin saya berupaya mengujinya semasa balik ke kampung untuk mengundi.

Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan peningkatan prestasi motosikal saya setelah menguji bendalir rawatan minyak enjin JTX5000. Oleh itu, saya ingin mengajak anda semua terutamanya rakan-rakan penunggang motosikal untuk menguji sendiri JTX5000 dengan harga hanya RM20.00 sebotol. Ia bukanlah "pil Viagra" yang berupaya menukarkan motosikal anda menjadi "motor mat rempit", tetapi peningkatan prestasi yang ditawarkan sebenarnya membantu menjimatkan petrol serta melanjutkan jangka hayat enjin motosikal anda, insya-Allah.

Laman web rasmi: http://www.jtx1000.com
Laman Facebook rasmi: Klik sini




Bendalir rawatan minyak enjin JTX5000



Hanya perlu buka lubang pengisi minyak enjin...



...dan terus tuangkan keseluruhan isi botol JTX5000 ke dalam lubang pengisi minyak enjin motosikal anda.



Ujian keberkesanan minyak enjin JTX1000

Thursday, April 25, 2013

Apa Kejadahnya: Lorong motosikal - keluar mulut buaya, masuk mulut naga / What The Hell: Motorcycles lanes - out from the frying pan, into the fire



Video dalil utama lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 berbahaya
(kredit kepada: Kementerian Kerja Raya dan Muhamad Azree)

Salam sejahtera,

Baru-baru ini, Kementerian Kerja Raya telah mengongsi sebuah rakaman video di laman Facebook rasminya yang menjadi dalil yang terang lagi jelas betapa berbahaya lorong motosikal di beberapa lebuh raya utama di Lembah Klang, terutamanya Lebuhraya Persekutuan FT2. Sebagai pengguna jalan raya dan juga seorang penunggang motosikal, saya amat menghargai keprihatinan Kementerian Kerja Raya di bawah pimpinan Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dalam menangani isu kontroversi ini.

Sejarah pembinaan lorong motosikal di Malaysia bermula dengan pembinaan Lebuhraya Persekutuan FT2 yang dimulakan pada tahun 1974 dan siap pada tahun 1977, hasil naik taraf Jalan Kuala Lumpur-Klang sedia ada kepada lebuh raya ekspres melalui penggantian persimpangan searas kepada persimpangan bertingkat. Dalam masa yang sama, sepasang lorong basikal dibina di sepanjang Lebuhraya Persekutuan dari Persimpangan Seputeh dekat Mid Valley sehingga ke Persimpangan Lapangan Terbang Subang, tetapi entah bagaimana pada tahun 1980an Kementerian Kerja Raya di bawah pinpinan Datuk Seri Samy Vellu mewartakan lorong-lorong basikal tersebut sebagai lorong motosikal. Sejak daripada itulah bermulanya episod sistem kasta zaman moden di Malaysia, di mana penunggang motosikal dilayan seperti pariah dan dipaksa menggunakan "lorong motosikal" yang dipenuhi dengan pelbagai jenis jerangkap samar di sepanjang laluan. Pada tahun 1992 pula, lorong motosikal disambung sehingga ke Klang semasa Plus Expressways Berhad menaik taraf jajaran dari Persimpangan Subang ke Bulatan Berkeley, daripada 4 lorong kepada 6 lorong.

Ada banyak sebab kenapa lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 itu sangat berbahaya. Sebab paling utama ialah kerana lorong motosikal di lebuh raya ekspres menggunakan piawaian yang sepatutnya digunakan untuk lorong basikal. Dalil utama bagi penemuan ini ialah hasil kajian oleh S. H. Tung et al (2008), yang mengkritik penggunaan piawaian lorong basikal dalam Arahan Teknik (Jalan) 10/86: A Guide to the Design of Cycle Track sebagai rujukan bagi pembinaan lorong motosikal, memandangkan motosikal rata-ratanya jauh lebih laju daripada basikal. Had laju reka bentuk 60 km/j misalnya tidak relevan sama sekali bagi motosikal hatta Honda Cub sekalipun, sebaliknya hanya sesuai untuk basikal, memandangkan manusia secara puratanya menunggang basikal pada kelajuan purata 40 km/j; hanya atlet-atlet sukan yang biasanya berkayuh pada kelajuan antara 60 km/j sehingga sekitar 90 km/j. Motor-motor kapcai sekarang rata-ratanya mampu mencapai kelajuan lebuh raya ekspres (110 km/j) dengan mudah, maka rekaan lorong motosikal yang tidak semenggah itu tidak relevan untuk motor-motor kapcai moden sama sekali.

Selain had laju rekabentuk yang tidak sesuai, lorong motosikal juga didapati sangat sempit. Sudahlah lebar lorong sekangkang kera itu tak konsisten, banyak jajaran yang sempit pula tu (terutamanya di jajaran percuma KL-PJ). Mengikut satu lagi kajian oleh Journey of East Asia Society for Transportation Studies, had laju penunggang motosikal pada peratusan ke-85 ialah 73 km/j pada waktu sesak dan 82 km/j pada waktu tidak sesak. Maka, lebar lorong yang paling sesuai sepatutnya ialah 3.81 m supaya penunggang motosikal dapat memotong motosikal lain yang lebih perlahan dengan selamat pada kelajuan 70 km/j. Harus diingat, kriteria ini hanya boleh diguna pakai semasa jalan lurus; jika berselekoh tajam, maka lorong motosikal perlu "dirawat" selekohnya dengan melebarkannya serta mengurangkan ketajaman selekoh.

Satu lagi bahaya lorong motosikal ialah kehadiran bendasing yang boleh menyebabkan kemalangan. Pasir dan batu adalah antara punca utama kemalangan maut yang melibatkan bendasing pada lorong motosikal, tetapi S. H. Tung et al (2008) pula mendedahkan bahawa bendasing yang menjadi punca utama kemalangan maut ialah rel pengadang itu sendiri, yang mewakili 32..7% daripada kemalangan berkaitan bendasing, dan kadar kemalangan maut mencatatkan 23.5% daripada kadar kemalangan berkaitan bendasing.

Dalil keempat mengenai bahaya lorong motosikal ialah ketiadaan penyelenggaraan. Lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 misalnya seringkali dibiarkan berlopak dan banjir setiap kali hujan lebat. Banyak juga bahagian yang berlubang dan tidak rata, seolah-olah mahu beri pomen bengkel motosikal lebih cepat kaya. Apa kejadahnya semua ini? Cukai jalan RM2 untuk motosikal bukanlah alasan untuk tidak menyelenggara lorong motosikal. Sudahlah lorong motosikal sering kelihatan gelap dan terlindung, seolah-olah mahu "menternak" perompak di sepanjang laluan. Keadaan lorong motor yang boleh dibandingkan dengan jalan di Afghanistan itu sering mengundang sumpah-seranah penunggang motosikal, terutamanya yang tayarnya asyik pecah bahana banyaknya jerangkap samar yang tidak mengenal siapa di sepanjang lorong motor. Kepada bekas Menteri Kerja Raya yang bertanggungjawab atas skandal kebobrokan lorong motosikal ini, begitukah maksud slogan "rakyat didahulukan"? Hanya kerana marahkan superbike yang menapau keretanya terus melayan seluruh penunggang motosikal sebagai pariah, begitu? Patutlah dia dimalukan di tempat sendiri pada hari jadinya sendiri pada pilihan raya 2008 dulu!

Akibat keadaan lorong motosikal yang macam haram jadah akibat ketiadaan penyelenggaraan, maka dua kumpulan yang bersorak-sorai di sebalik kesengsaraan penunggang motosikal - anggota sindiket pemancit tayar, serta perompak. Bila lorong motosikal sudah terkurung sepenuhnya daripada lorong-lorong utama Lebuhraya Persekutuan, mana mahu lari lagi? Maka banyaklah kes penunggang motosikal dirompak di lorong motosikal. Namun, ada masuk berita TV atau surat khabarkah? Langsung tak ada, selain cubaan menutup pekung bersaiz dinosaur tetapi bau busuknya tetap tidak dapat disembunyikan. Patutlah surat khabar dan berita TV sekarang semakin tiada kredibiliti, kerana kerja utama yang dilakukan tidak lain dan tidak bukan sekadar berpolitik tak sudah, seolah-olah setiap hari ialah pilihan raya, daripada betul-betul hendak menolong rakyat.

Apa yang saya amat kesalkan ialah pihak berkuasa yang sepatutnya diamanahkan untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya lebih berminat mengadakan majlis khatam buku saman daripada meronda di sepanjang lorong motosikal bagi menjamin keselamatan pengguna. Ada juga puak-puak bebal lagi dangkal yang menyokong sistem kasta alaf baru ini kononnya atas alasan "menjaga keselamatan penunggang", tanpa sekali pun inisiatif mencuba sendiri lorong motosikal bagi membuktikan "tahap keselamatan"nya. Setakat sembang saja lebih. Memandangkan sudah terlalu banyak dalil yang menunjukkan betapa berbahayanya lorong motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan FT2, saya menyeru kepada semua penunggang motosikal (terutamanya yang disaman kerana tidak menggunakan lorong motosikal) agar mencabar saman-saman haram jadah itu di mahkamah majistret. Kepada pihak penguatkuasa yang masih berdegil mahu memaksa penunggang motosikal menggunakan lorong motosikal yang berlubang di sana-sini macam baru lepas perang, saya mencabar anda untuk menunggang motosikal Honda ST1300 Pan European melalui lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 pada kelajuan malar 80 km/j tanpa memperlahankan motosikal walau sedikit pun, dan tanpa terjatuh. Bagaimana, ada berani?

Sedarlah, India sudah lama menghapuskan sistem kasta sejak merdeka pada tahun 1947, kenapa pula hendak diadakan sistem kasta jenis baru dan melayan penunggang motosikal seperti pariah? Ingatlah, keselamatan jalan raya adalah hak bersama, bukannya milik pemandu jentera beroda empat sahaja!

Saturday, April 20, 2013

Bancian jalan dan tahap perkhidmatan / Road census and level of service



Kadar aliran trafik di Lebuhraya Persekutuan FT2 yang tinggi.

Salam sejahtera,

Sepanjang anda memandu, pernahkah anda perasan ada satu kabin sementara kecil yang ditempatkan di tepi jalan dan ada papan tanda kecil mengenai maklumat stesen bancian jalan raya? Untuk pengetahuan, kabin tersebut bertindak sebagai stesen bancian jalan raya. Namun, ada juga stesen bancian yang tidak menggunakan kabin tetapi sekadar khemah sementara yang mudah ditanggalkan dan diangkut.

Kenapa perlunya bancian jalan raya? Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu membuat bancian jalan raya bagi mengenal pasti kadar aliran trafik di sesebuah jalan raya. Data-data yang dikumpul hasil bancian adalah amat penting supaya kerajaan dapat merancang penambahbaikan jajaran yang sesak seperti naik taraf kepada jalan raya kembar serta pembinaan persimpangan bertingkat. Misalnya, keputusan kerajaan membina Lebuh AMJ FT19 di Melaka adalah hasil daripada bancian di Jalan Persekutuan 19 (Bulatan Taboh Naning-Melaka) dan Jalan Persekutuan 5 (Melaka-Muar).

Kaedah bancian dilakukan secara manual sepenuhnya di stesen mudah alih. Seterusnya, data bancian harian akan dihimpun dan nilai puratanya diambil kira sebagai kadar aliran trafik harian purata (ADT). Nilai ADT inilah yang menentukan sama ada jalan raya itu perlu dinaik taraf atau tidak. Namun, penggunaan nilai ADT sahaja tidak tepat, kerana ada masanya di mana kadar aliran trafik harian sangat tinggi (seperti musim perayaan atau cuti sekolah) tetapi pada hari-hari biasa pula kadar ADT adalah rendah. Jajaran dua lorong bagi Lebuhraya Senai-Desaru E22 adalah salah satu hasil daripada penggunaan nilai ADT yang rendah pada hari-hari biasa, menyebabkan ada pengguna jalan raya yang mempertikaikan rasional reka bentuk lebuh raya tunggal dua lorong, memandangkan kadar aliran trafik pada waktu cuti pula agak tinggi.

Selain ADT, isipadu rekabentuk setiap jam (DHV) turut diambil kira dalam reka bentuk jalan raya. Punca utama DHV perlu diambil kira ialah kerana dalam sehari ada masanya jalan sesak tetapi pada masa yang lain pula sangat lengang. Ia benar terutamanya di kawaan bandar raya besar, yang mana waktu paling sesak ialah semasa hendak ke pejabat (lebih kurang 7.30-9.30 pagi) dan semasa pulang ke rumah (lebih kurang 5.00-7.00 petang). Maka, tiada gunanya membina jalan raya yang terlalu lebar tetapi kadar trafiknya hanya tinggi sekitar dua hingga tiga jam sehari - selebihnya jalan sangat lengang - kerana ia boleh dikatakan sebagai membazir. Bagi pengendali lebuh raya ekspres pula, keadaan sebegini boleh menyebabkan kadar aliran trafik sebenar gagal mencapai sasaran, seterusnya membawa kepada risiko masalah kewangan. Oleh itu, data DHV bagi 30 hari tertinggi diguna pakai dalam reka bentuk jalan raya. Nisbah antara DHV dengan ADT iaitu k biasanya dalam lingkungan antara 7% hingga 20%.. Namun, kajian lebih lanjut mengenai kadar aliran trafik tetap diperlukan bagi jalan yang mempunyai perbezaan kadar aliran trafik yang sangat besar mengikut musim dan waktu.

Nisbah pengagihan berarah diambil kira bagi jalan raya kembar ataupun jalan raya tunggal empat lorong atau lebih, memandangkan ada jajaran yang mempunyai kadar aliran trafik yang tidak seimbang bagi setiap hala (satu hala mempunyai kadar aliran trafik yang tinggi manakala satu lagi hala pula tidak). Berikutan kadar aliran trafik yang tidak sama mengikut arah, maka jalan raya dibina dengan bilangan lorong yang tidak sama banyak untuk melegakan kadar aliran trafik bagi kedua-dua arah. Contohnya, jajaran dari Persimpangan Port Dickson ke Persimpangan Senawang di Lebuhraya Utara-Selatan E2 mempunyai bilangan lorong yang tidak sama; arah ke Senawang mempunyai 4 lorong (berubah menjadi tiga lebih kurang 400 m sebelum Persimpangan Senawang), manakala arah ke Persimpangan Port Dickson pula kekal 3 lorong. Punca jajaran tersebut tidak seimbang ialah jajaran tersebut merupakan jajaran mendaki sedikit dengan bilangan kenderaan berat yang banyak yang hendak ke Senawang.

Selain itu, data mengenai komposisi trafik juga dikumpulkan semasa bancian jalan raya. Jika jalan raya tersebut mempunyai kadar penggunaan motosikal yang tinggi, maka lorong motosikal akan dibina. Jika jalan raya tersebut mempunyai kadar penggunaan kenderaan berat yang tinggi, maka lorong memotong akan dibina di beberapa tempat di jalan raya 2 lorong biasa. Bagi kes lebuh raya ekspres 6 lorong ke atas pula, jika kadar penggunaan kenderaan berat adalah tinggi, maka lebar minimum bagi lorong tengah ditetapkan pada 3.75 m berbanding lebar minimum lorong yang biasa mengikut piawaian JKR R6 iaitu 3.5 m.

Akhir sekali, maklumat yang boleh didapati daripada bancian jalan raya ialah tahap perkhidmatan jalan raya, yang dikira hasil perbandingan antara had laju reka bentuk dengan nisbah antara kadar aliran trafik dengan kapasiti jalan raya tersebut.

Tahap perkhidmatan
Keterangan
A
Jalan raya sangat lengang. Pemandu berupaya memandu dengan laju (malah melebihi had laju reka bentuk). Aliran trafik adalah bebas tanpa sebarang halangan. Jika ada halangan pun (seperti lori bergerak perlahan), pemandu berupaya memintasnya tanpa perlu mengurangkan kelajuan.
B
Bilangan kenderaan agak kurang. Pemandu masih berupaya memandu laju (mengikut had laju reka bentuk).  Namun, sedikit penurunan had laju berlaku apabila ada halangan.
C
Bilangan kenderaan sederhana banyak. Pemandu masih lagi berupaya memandu paling laju pun pada had laju reka bentuk, tetapi bilangan kenderaan yang semakin bertambah semakin mengehadkan keupayaan untuk memandu laju. Tahap C merupakan kapasiti jalan raya yang paling optima serta dijadikan unjuran trafik sasaran bagi pengendali lebuh raya ekspres.
D
Jalan sudah mula sesak. Kelajuan pemanduan semakin merosot dan tidak lagi boleh mencapai had laju reka bentuk. Aliran trafik semakin kurang stabil.
E
Jalan raya sesak teruk. Kelajuan pemanduan semakin tersekat-sekat dan ada kalanya terhenti. Bilangan kenderaan sudah terlalu banyak dan menghampiri kapasiti jalan raya. Lengahan akibat kesesakan sudah tidak boleh diterima. Aliran trafik sudah tidak lagi stabil.
F
Jalan raya sesak terlalu teruk, sehinggakan memerlukan bantuan polis trafik untuk “memaksa” aliran trafik untuk bergerak. Kelajuan pemanduan sangat rendah dan menghampiri sifar. Keadaan jalan yang terlalu sesak itu turut menyebabkan jalan lain yang dihubungkan dengannya turut sesak.

Sunday, April 14, 2013

Media Jalan Raya Malaysia: In My Remains oleh Linkin Park - Satu penghargaan buat wira negara yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna / Malaysian Highway Media: In My Remains by Linkin Park - A tribute to the nation's fallen heroes in Lahad Datu and Semporna




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, masih belum terlewat untuk kami di Blog Jalan Raya Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga bagi pegawai polis dan tentera yang terkorban akibat serangan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada Mac 2013. Sesungguhnya pengorbanan mereka yang syahid demi mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabuli pengganas pimpinan Jamalul Kiram III, "Sultan Sulu" palsu yang sekadar ingin memuaskan nafsu besarnya untuk menguasai Sabah atas dakwaan yang sebegitu dangkal, amat dihargai seluruh rakyat Malaysia.

Sebagai satu penghargaan kepada wira-wira negara, saya mengambil kesempatan menyertakan satu video klip peminat yang dibuat khusus bagi mengenang jasa mereka. Lagu ini berjudul "In My Remains" oleh Linkin Park, yang merupakan salah satu lagu di dalam album terkini mereka, Living Things (harfiah: Benda Hidup).

Marilah kita sedekahkan Surah al-Fatihah dan Surah Yasin kepada anggota pasukan keselamatan beragama Islam, semoga mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang syahid.

Bagi meringankan beban kewangan anggota keluarga mangsa yang hilang tempat bergantung serta hilang sumber ekonomi keluarga akibat kematian mangsa, marilah kita menyumbang kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima. Anda boleh menyumbang kepada tabung tersebut melalui nombor akaun Maybank tabung berkenaan iaitu 5142-7133-9000 atas nama "Tabung Wira Lahad Datu Media Prima".

Marilah kita berdoa untuk kesejahteraan dan keamanan Sabah sebagai sebahagian daripada saudara-saudara kita dalam Persekutuan Malaysia!

Amin.

Kenapa di Lembah Klang hanya NKVE E1 sahaja yang had lajunya 110 km/j; lebuh raya lain hanya 80-90 km/j / Why in Klang Valley only NKVE E1 has the 110 km/h speed limit; others are 80-90 km/h only



Salam sejahtera,

Tahun lalu saya sudah pun membuat reviu eksklusif mengenai Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1, dan saya juga ada menyatakan bahawa NKVE E1 merupakan antara sebilangan kecil lebuh raya di Lembah Klang yang dikenakan had laju 110 km/j. Sebenarnya, jika diambil kira dalam kawasan tepu bina sahaja, NKVE E1 merupakan satu-satunya lebuh raya ekspres dalam kawasan tepu bina Lembah Klang yang dikenakan had laju 110 km/j, sedangkan lebuh raya lain termasuk kendalian Plus Expressways Berhad iaitu Lebuhraya Persekutuan FT2, Lebuhraya Utara-Selatan E2 (jajaran Sungai Besi-Bangi) dan Lebuhraya Elite E6 (jajaran Shah Alam-USJ) hanya dikenakan had laju antara 80 hingga 90 km/j. Kenapa boleh jadi begitu?

Rahsia sebenar kenapa NKVE E1 merupakan satu-satunya lebuh raya ekspres dalam kawasan tepu bina Lembah Klang yang dikenakan had laju 110 km/j ialah pada kawalan masuknya yang sangat cekap. Sepanjang 34.2 km, hanya sepuluh sahaja persimpangan bertingkat yang ada di NKVE E1, manakala Lebuhraya Persekutuan FT2 dari Persimpangan Seputeh ke Persimpangan Bulatan Berkeley pula mempunyai 17 persimpangan bertingkat dan dikenakan had laju 80 km/j. Sementara itu, Lebuhraya Shah Alam E5 pula mempunyai 14 persimpangan bertingkat dan dikenakan had laju 90 km/j. Sebenarnya, semasa NKVE E1 baru dibuka pada tahun 1991, hanya lima sahaja persimpangan bertingkat yang ada di sepanjang NKVE E1. Sebab itulah aliran trafik di situ sangat lancar; satu-satunya punca kesesakan di NKVE hanyalah kerana bilangan kenderaan sudah melebihi kapasiti maksimumnya.

Sebenarnya, dalam sesebuah lebuh raya ekspres, bilangan persimpangan yang sedikit dengan jarak antara persimpangan yang jauh sebenarnya membolehkan pemandu memandu pada kelajuan yang lebih tinggi dengan lebih selamat kerana ia mengurangkan konflik dengan kenderaan yang mahu keluar masuk di persimpangan. Bilangan persimpangan yang dihadkan ini merupakan salah satu kriteria kawalan masuk penuh di lebuh raya ekspres. Sesetengah negara turut menetapkan jarak minimum antara persimpangan untuk melayakkannya diwartakan sebagai lebuh raya capaian terkawal; misalnya, Pertubuhan Amerika bagi Piawaian Rasmi Lebuh Raya Negeri dan Pengangkutan (AASHTO) menetapkan bahawa jarak minimum antara persimpangan bertingkat mestilah tidak kurang daripada sebatu (1.6 km) di kawasan perbandaran dan 3 batu (4.8 km) di kawasan luar bandar sebelum melayakkan sesebuah lebuh raya diwartakan sebagai Lebuh Raya Antara Negeri (Interstate Highway).

Dalam kes Lebuhraya Damansara-Puchong E11 pula, bilangan persimpangan tidak dihadkan kerana ia dibina dengan sekadar mengambil beberapa jalan arteri perbandaran yang hanya mempunyai kawalan masuk separa, membina persimpangan bertingkat dan plaza tol, dan mewartakan jalan-jalan arteri perbandaran tersebut sebagai "lebuh raya ekspres" tanpa berbuat sesuatu untuk menjadikan lebuh raya itu mempunyai kawalan masuk penuh. Akibat bilangan persimpangan yang tidak terkawal itu, lalu lintas tempatan bercampur-aduk dengan lalu lintas luar dan menyebabkan kesesakan yang teruk setiap hari. Bilangan persimpangan yang tidak terkawal itu juga menjadikan aliran trafik bercelaru kerana sering berlaku celahan atau jalinan (weaving) akibat jarak antara persimpangan yang terlalu rapat. Memandangkan had laju asal jalan-jalan arteri perbandaran yang dijadikan "Lebuhraya Damansara-Puchong E11" itu asalnya hanya sekitar 60 km/j, langkah mengenakan had laju 80 km/j di situ sebenarnya mendedahkan pengguna LDP E11 kepada risiko kemalangan. Dengan itu, nampak sangatlah jurutera yang bertanggungjawab dalam pembinaan LDP E11 bukanlah jurutera jalan raya bertauliah dalam erti kata sebenar, tetapi hanya sekadar makan gaji buta; belajar kursus kejuruteraan jalan raya pun hanya sekadar mahu lulus peperiksaan sahaja.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa untuk membolehkan had laju 110 km/j dikenakan di lebuh raya ekspres, salah satu perkara yang perlu dilakukan ialah mengehadkan bilangan persimpangan bertingkat, dengan jarak antara persimpangan yang agak jauh. Membina lebih banyak persimpangan bertingkat dengan jarak yang rapat bukanlah penyelesaian yang bijak bagi mendapatkan kebolehcapaian sesebuah kawasan hartanah dari lebuh raya, tetapi hanya membawa lebih banyak penyakit baru seperti kesesakan dan risiko kemalangan.

Friday, April 12, 2013

Apa Kejadahnya: Bila banjir, cuma tahu salahkan Terowong Smart, tapi salah sendiri tak nampak pula! / What The Hell: Only know blaming the SMART Tunnel for floods but never realize own's fault!



Keadaan banjir kilat di Jalan Raja Chulan dekat Muzium Telekom pada 10 April 2013
(kredit gambar: Berita Harian)


Salam sejahtera,

Kelmarin (10 April 2013), buat kesekian kalinya Kuala Lumpur dilanda banjir kilat lagi akibat ribut petir dahsyat selama lebih sejam bermula lebih kurang pukul 5.30 petang. Antara kawasan yang terjejas ialah Titiwangsa, Dang Wangi, Kampung Baru, Jalan Semarak dan Jalan Raja Chulan. Selain kawasan tersebut di ibu negara, Kampung Laksamana di Batu Caves, Selangor turut mengalami banjir kilat, membuktikan bahawa punca utama banjir kilat di ibu negara kelmarin ialah akibat limpahan air dari Sungai Batu dan Sungai Gombak. Seperti biasa, pastinya ada golongan yang bahlul lagi bebal yang mempolitikkan isu banjir kilat ini dengan menyalahkan "kegagalan" Terowong SMART E38 buat kesekian kalinya, memandangkan terowong tersebut masih dibuka seperti biasa semasa banjir kilat tersebut.

Terus-terang saya katakan, saya amat letih, penat, meluat, menyampah, jijik dan jelek dengan kebodohan golongan tersebut yang hanya mencaci "kelemahan" pihak lain yang berusaha mengurangkan banjir, tetapi salah sendiri tak nampak pula! Cuma tahu sembang saja lebih. Ia samalah seperti dakwaan sebuah parti politik yang mengatakan kononnya kerajaan gagal menyelesaikan masalah banjir besar Segamat, satu bentuk fitnah yang jelas menghina orang-orang Segamat, padahal hakikatnya sudah banyak kerja-kerja mendalamkan sungai dan penambahbaikan saliran yang dilakukan sejak tahun 1995. Hujan, ribut dan banjir itu kerja Allah, kita cuma mampu berusaha mengurangkan kesannya sahaja. Kalau pun korek terowong yang lebih besar dan lebih panjang daripada Terowong SMART, kalau Allah berkehendakkan banjir berlaku dan berfirman "kun fayakun", banjir tetap akan berlaku walau secanggih mana teknologi yang kita gunakan untuk mengatasinya. Jadi hendak salahkan Tuhan pula kalau banjir? Sepatutnya salahkan diri sendiri dulu kerana mencemar dan merosakkan bumi Allah dengan membuang sampah merata-rata dan mencemar udara milik Allah melalui asap ekzos daripada kereta-kereta yang dipandu mereka - seorang sebuah pula tu! Mereka sepatutnya berasa malu kerana gagal menunaikan tanggungjawab mereka sebagai khalifah di muka bumi ini tetapi hanya tahu menyalahkan pihak lain yang berpenat-lelah menunaikan tanggungjawab mereka. Apa kejadahnya semua ini?

Mengenai banjir kilat KL kelmarin, ia sebenarnya akibat limpahan air dari Sungai Batu dan Sungai Gombak. Bukti utamanya ialah banjir kilat yang turut melanda Kampung Laksamana, Batu Caves yang berada dalam laluan Sungai Batu pada masa yang sama. Pihak Terowong SMART telah menjelaskan bahawa mereka hanya mampu mengurangkan masalah banjir yang berpunca daripada limpahan air Sungai Klang, yang membentuk 45% daripada aliran air sungai di Kuala Lumpur. Selebihnya pula ialah aliran air dari Sungai Batu dan Sungai Gombak, dua lagi sungai utama di Kuala Lumpur. Saya sudah pun menerangkan dalam entri mengenai Terowong SMART E38 bahawa jika kurang taburan hujan di Ampang dan Bukit Bintang tetapi dalam masa yang sama hujan terlalu lebat di Chow Kit, maka banjir tetap akan berlaku.

Setiap kali pembersihan terowong dan kolam takungan dilakukan oleh pihak Terowong SMART, mereka terpaksa membersihkan sejumlah 1,825 tan sampah yang terperangkap dalam terowong dan kolam takungan setiap tahun. Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 55 buah lori balak yang penuh muatannya. Angka-angka ini menunjukkan betapa pengotornya orang-orang kita yang suka membuang sampah merata-rata tanpa sedikit pun rasa malu atau sesal. Kos untuk menguruskan sampah-sarap itu pula menelan belanja RM4 juta setahun - cukup untuk membeli sebuah adikereta Bugatti Veyron secara tunai dalam masa 2 tahun setengah. Maka, golongan dangkal yang menyalahkan Terowong SMART itu sepatutnya berasa malu kerana pihak yang mereka hina itulah yang membersihkan sampah-sarap yang dibuang merata-rata oleh mereka. Dengan kata lain, mereka sepatutnya menyalahkan diri sendiri dan bukannya Terowong SMART!

Selain masalah sampah, satu lagi punca utama banjir kilat di Kuala Lumpur adalah akibat pelepasan asap ekzos kereta yang menjadi punca nombor satu pencemaran udara di ibu kota. Apa tidaknya, bilangan kereta yang bergerak di Lembah Klang dalam sehari adalah lebih kurang sama banyak dengan penduduk Lembah Klang itu sendiri! Di megalopolis Tokyo-Yokohama iaitu megalopolis terbesar di dunia dengan lebih 30 juta penduduk, bilangan kereta yang bergerak di situ hanya sekitar sejuta lebih sahaja setiap hari. Turut menambah parah keadaan ialah dasar automotif negara yang sebegitu cincai tanpa pelaksanaan peraturan emisi mengikut piawaian antarabangsa (sebenarnya kita memang ada piawaian emisi oleh Jabatan Alam Sekitar, tetapi ia terlalu primitif dan tidak lagi relevan sekarang). Sikap orang kita yang terlalu "manja" adalah punca utama. Apa tidaknya, mereka lebih sanggup terperangkap dalam kesesakan jalan raya berjam-jam lamanya, berebut petak parkir dan membazirkan puluhan ringgit sehari untuk duit minyak dan tol daripada berteduh di bawah jambatan, stesen minyak dan pondok bas setiap kali hujan. Sikap sebegitulah yang akhirnya memakan diri mereka balik apabila berlakunya banjir kilat. Bila terlalu banyak kereta, jalan makin sesak dan lebih mudah berlaku kemalangan. Gas rumah hijau dari asap kereta pun makin banyak. Bila gas rumah hijau makin banyak, maka lebih banyak haba akan terperangkap, seterusnya menyebabkan awan kumulonimbus menjadi semakin besar kerana haba yang terperangkap menghalang awan kumulonimbus daripada melepaskan segala isi perutnya dan terus berkembang sehingga menjadi terlalu besar. Itulah sebabnya ribut petir di ibu negara sekarang semakin kerap, semakin ganas dan semakin menggila. Sepatutnya kalau setakat berlenggang ke pejabat seorang, guna sahajalah pengangkutan awam - paling malas pun, naik motor ke pejabat! Ada di antara mereka menganggap kalau naik motor ke pejabat itu bermakna makin mundur - tetapi tahukah anda bahawa di negara-negara maju, penduduknya tidak berkereta untuk ke pejabat? Nampaknya wawasan untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 hanya tinggal angan-angan Mat Jenin jika beginilah perangai orang-orang kita.

Kesimpulannya, sebelum hendak menyalahkan "kegagalan" Terowong SMART E38 dalam menangani banjir, kita sepatutnya menyalahkan diri dahulu kerana membuang sampah merata-rata dan mencemarkan udara KL dengan kereta-kereta yang kita pandu. Sebagai alternatif, gunakanlah pengangkutan awam, atau paling malas pun, naik motor ke pejabat. Kalau terpaksa berkereta kerana hari hujan semasa hendak ke pejabat, tak apalah juga. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kita sepatutnya berasa insaf atas kegagalan kita menunaikan amanah sebagai khalifah di muka bumi setiap kali berlakunya banjir kilat dan bukannya menyalahkan orang lain, ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar. Allah sudah pun memberi peringatan kepada kita bukan sekali dua, malah sudah entah berapa juta kali, tetapi malangnya golongan yang menyalahkan Terowong SMART itu langsung tidak pernah ambil iktibar. Jadi, sendiri mahu ingatlah - jangan sampai Allah mengazab kita atas kealpaan kita sendiri.

Thursday, April 11, 2013

Masalah kewangan segelintir konsesi lebuh raya bukti projek lebuh raya tol tidak semestinya menguntungkan / Financial problems affecting some expressway concessionaires prove that expressway projects do not always make money



Lebuhraya Kajang-Seremban E21 - Keadaannya yang lengang menjadikannya syurga bagi pengguna lebuh raya tetapi mimpi ngeri buat syarikat konsesi lebuh raya.


Salam sejahtera,

Apabila sebut sahaja mengenai industri lebuh raya tol negara, perkara pertama yang terlintas di kepala kebanyakan pengguna jalan raya Malaysia ialah ia merupakan industri "lubuk duit" dan sentiasa menguntungkan. Setiap kali kadar tol naik ataupun lebuh raya makin sesak tetapi tol tidak turun, syarikat konsesi lebuh raya dianggap "mahu cepat kaya". Sebab itulah ada golongan yang mempolitikkan isu tol lebuh raya ekspres dan menuntut tol dimansuhkan. Namun, adakah industri lebuh raya ekspres tol ini benar-benar menguntungkan seperti yang didakwa?

Dalam entri Mythbusters lepas, saya sudah pun menjelaskan mengenai mekanisme sebenar pembinaan lebuh raya ekspres di Malaysia yang sebenarnya tidak sama seperti yang didakwa "pejuang" tol percuma ini. Mereka sering mendakwa bahawa lebuh raya tol dibina menggunakan wang rakyat melalui cukai jalan dan menganggap kutipan tol sebagai "pemeras ugut tambahan wang rakyat", sedangkan saya sudah pun membuktikan dakwaan tersebut adalah dangkal, karut dan menyesatkan sama sekali. Malah, ada juga yang mendakwa terdapat unsur kronisme dalam pembinaan lebuh raya ekspres tanpa menunjukkan sebarang bukti sahih yang menyokong kenyataan mereka. Golongan tersebut sepatutnya membuat kajian mendalam mengenai industri lebuh raya ekspres terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Saya sudah pun berkali-kali menerangkan mengenai mekanisme lebuh raya tol dalam entri Mythbusters lepas serta entri mengenai Lebuhraya Shapadu E30/FT20, iaitu lebuh raya ekspres dibina oleh syarikat swasta (syarikat konsesi) tanpa melibatkan sebarang peruntukan oleh kerajaan persekutuan walau sesen pun. Sebaliknya, syarikat konsesi sendiri yang membuat pinjaman bank untuk membiayai pembinaan lebuh raya ekspres. Maka, mereka perlu mengutip tol bukan sahaja untuk membayar balik pinjaman bank, tetapi juga untuk membayar gaji pekerja, bil utiliti serta penyelenggaan lebuh raya. Maka, sebagai syarikat, mereka juga perlu menjana sedikit keuntungan bagi menjamin kelestarian mereka.

Apa yang kebanyakan di antara kita tidak ketahui ialah pelaburan dalam industri lebuh raya ekspres sebenarnya sangat berisiko tinggi, dan syarikat konsesi sebenarnya berdepan dengan risiko gulung tikar sekiranya kadar aliran trafik di lebuh raya kendalian mereka lebih rendah daripada yang dijangkakan. Apa tidaknya, orang-orang kita ini bila kena tol sikit pun sudah bising, sedangkan syarikat yang membina lebuh raya tersebut terpaksa bergelut dengan masalah kewangan akibat kadar aliran trafik yang tidak melepasi sasaran. Lainlah kalau lebuh raya itu merupakan "lebuh raya pemeras ugut mutlak" yang gagal memenuhi piawaian dan tiada laluan alternatif bebas tol seperti Lebuhraya Damansara-Puchong E11, salah sebuah lebuh raya paling untung di Malaysia hasil "mengepau" pengguna khususnya dari Puchong, Bandar Sunway, Damansara dan Penchala! Risiko kewangan yang sebegitu besar itulah yang menjadi punca di sebalik latar belakang sejarah Lebuhraya Pantai Timur E8 yang mana Jabatan Kerja Raya (JKR) terpaksa menjadi pemilik setelah syarikat konsesi asalnya menarik diri; MTD Prime hanya mengutip tol bagi pihak JKR sahaja. Untuk pengetahuan anda juga, risiko pelaburan ini juga merupakan punca utama kenapa tiada satu pun syarikat konsesi yang berminat mahu membina lebuh raya ekspres di Sabah dan Sarawak, berikutan kepadatan penduduk yang sangat rendah serta kadar aliran trafik di kebanyakan jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang sangat rendah (kadar ADT purata hanya antara 10,000 hingga 20,000 kenderaan sahaja sehari) dan hanya sesak semasa musim perayaan.

Bagi menyokong kenyataan saya ini, biar saya tunjukkan laporan penarafan kredit bagi dua syarikat konsesi lebuh raya ekspres yang mengalami kegawatan kewangan, iaitu Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) dan Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. (Lekas). Sepanjang tahun 2009-2010, SDEB sering memperoleh penarafan kredit negatif, dengan penarafan paling rendah yang dicapai ialah gred C1, berikutan kadar aliran trafik di jajaran terawal Senai-Cahaya Baru / Pasir Gudang yang gagal melepasi unjuran. Kadar aliran trafik yang rendah ialah berikutan kualiti pembinaan yang kurang memuaskan, di mana terdapat banyak jajaran yang beralun dan berlubang. Masalah kewangan ini jugalah yang menjadi punca utama jajaran terakhir dari Cahaya Baru ke Desaru lewat dibuka iaitu pada tahun 2011, itu pun disebabkan oleh langkah penstrukturan semula hutang SDEB pada awal tahun tersebut.

Mengenai Lekas pula, keadaan kewangannya seringkali tidak menentu, meskipun kualiti pembinaan lebuh raya E21 tersebut sebenarnya sangat bagus. Penarafan kredit Lekas seringkali berubah-ubah, daripada A1 (stabil) pada tahun 2008-2009 sehinggalah ke gred D pada tahun 2011. Kadar aliran trafik yang rendah di situ berpunca daripada kurangnya aktiviti promosi yang dilakukan terhadap lebuh raya tersebut. Turut menambah parah keadaan ialah pihak Lekas kurang mempromosi hentian rehat mereka di Beranang serta tiada kemudahan stesen minyak di situ, menyebabkan hanya sedikit sahaja bilangan gerai yang beroperasi di situ.

Sebenarnya ada banyak lagi contoh yang boleh ditunjukkan bagi membuktikan bahawa industri lebuh raya ekspres sebenarnya tidak begitu menguntungkan sebagaimana tanggapan golongan "pejuang" tol percuma. Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) E29 juga mempunyai masalah kutipan tol yang rendah akibat kadar aliran trafik yang sangat rendah, meskipun setelah ia diambil alih oleh Plus Expressways Berhad selaku syarikat konsesi lebuh raya ekspres terbesar di Malaysia. Kepada golongan "pejuang" tol percuma, saya  menggesa supaya agar anda membuat kajian mendalam mengenai industri lebuh raya ekspres dan bercampur gaul dengan "orang-orang kuat" dalam industri ini sebelum membuat sebarang kenyataan dan mengeluarkan sebarang manifesto yang mungkin akan menjerut leher anda sendiri akibat "janji dicapati".

Wednesday, April 10, 2013

Pemandu teksi vs prebet sapu / Taxi drivers vs illegal taxis




Salam sejahtera,

Salah satu daripada pengangkutan awam yang paling lazim di sekeliling kita ialah perkhidmatan teksi. Di Malaysia, teksi terdiri daripada kereta penumpang biasa yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengambil upah mengangkut penumpang. Terdapat tiga jenis teksi, iaitu teksi bajet, teksi premier dan teksi eksekutif. Di Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Terengganu, teksi bajet berwarna merah putih adalah yang paling lazim, manakala selebihnya ialah teksi eksekutif. Majoriti teksi di Malaysia menggunakan varian Proton Saga, sama ada generasi pertama (Iswara 1.5) ataupun generasi kedua (Saga BLM 1.6 atau Saga FLX 1.6), berikutan harganya yang sangat murah serta mudah untuk diselenggara.

Sementara itu, prebet sapu pula ialah pengusaha "teksi haram" yang menggunakan kenderaan mereka sendiri untuk mengambil upah mengangkut penumpang. Untik memaksimumkan keuntungan, ada di antara mereka yang menggunakan van atau MPV untuk mengangkut lebih ramai penumpang sekaligus. Mereka digelar "teksi haram" kerana mereka tidak membayar lesen teksi kepada SPAD, sekaligus dapat melepaskan diri daripada mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh SPAD termasuklah keperluan memiliki insurans. Sebab itulah mereka berupaya mengenakan tambang yang lebih murah daripada teksi berlesen, sungguhpun kadar tambang teksi telah pun diseragamkan.

Kasihan pemandu teksi berlesen ini. Kehadiran prebet sapu diibaratkan seperti menabur pasir dalam periuk nasi pemandu teksi sah ini. Sudahlah imej mereka sering tercemar akibat segelintir kecil pemandu teksi yang membuat onar dengan enggan mengambil penumpang (terutamanya ketika kesesakan jalan raya), mengenakan tambang yang mencekik darah, enggan menggunakan meter dan bersikap kasar terhadap penumpang. Akibatnya, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Mereka juga terpaksa bersaing dengan mod pengangkutan awam lain yang lebih murah seperti bas dan pengangkutan rel. Itu pun nasib baik Malaysia tiada ojek (teksi motosikal seperti di Indonesia) mahupun tuk-tuk (beca berenjin seperti di Thailand; di Indonesia ia dipanggil bajaj).

Malah, kelibat teksi yang tersadai di tepi jalan akibat rosak juga merupakan pemandangan lumrah. Apa tidaknya, kos penyelenggaraan teksi sebenarnya dua kali ganda lebih tinggi daripada kenderaan biasa kerana mereka beroperasi tanpa henti setiap hari. Namun demikian, pendapatan pemandu teksi pula sering tidak menentu. Kalau pendapatan tidak menentu, bagaimana mereka hendak ada duit untuk menyelenggara teksi mereka mengikut jadual? Jadi, mereka terpaksa memaksa kenderaan mereka demi mencari rezeki yang halal. Jika enjin sering dipaksa tetapi penyelenggaraan tidak menentu, itulah yang menjadi punca teksi rosak. Paling malang apabila enjin rosak teruk sehingga enjin terpaksa diturunkan. Sudahlah tidak dapat mencari rezeki akibat teksi rosak, duit semakin melayang hanya untuk memperbaikinya adalah. Hendak menukar tayar pun satu hal juga, sebab harga tayar bukannya murah.

Berikutan permasalahan yang sering dialami pemandu teksi, kerajaan melalui SPAD memperkenalkan program bantuan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA), bertujuan bagi membantu mengurangkan beban para pemandu teksi berlesen, di samping memperbaiki imej pemandu teksi di kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing. Pemandu teksi seharusnya dibantu kerana ada di antara mereka yang tergolong dalam kategori rakyat berpendapatan rendah. Buat permulaan, para pemandu teksi diberi bantuan penukaran tayar bagi meningkatkan tahap keselamatan teksi.

Buat warga kota, kita seharusnya menghapuskan stigma negatif terhadap pemandu teksi, kerana mereka juga mahu mencari rezeki halal seperti kita. Terus-terang saya katakan, walaupun saya akui ada pemandu teksi yang enggan mengambil penumpang, namun kebanyakan teksi yang pernah saya gunakan sepanjang di Kuala Lumpur sangat berbaloi - hampir kesemua pemandu teksi yang pernah saya naiki bersikap peramah.

Jika anda masih ragu-ragu untuk menaiki teksi, ada beberapa tip yang ingin saya kongsikan kepada pembaca:-
  1. Pastikan anda berteman semasa menaiki teksi. Ia bukan sahaja membantu anda menjimatkan wang tambang (memandangkan kadar tambang teksi ialah mengikut satu teksi dan bukannya mengikut penumpang; maka, semakin ramai teman anda, semakin rendah tambang yang anda perlu bayar kerana telah dibahagikan mengikut bilangan penumpang), malah penting bagi tujuan keselamatan anda.
  2. Elakkan daripada menggunakan teksi semasa waktu sesak. Jika jalan sesak dan menyebabkan kelajuan teksi turun sehingga bawah 30 km/j, kadar teksi akan mengikut masa dan bukannya jarak. Oleh itu, cuba tunggu sehingga kesesakan jalan raya reda sebelum anda mahu menahan teksi.
  3. Jika anda tahu jalan pintas yang kurang sesak ke destinasi anda, anda boleh cadangkan kepada pemandu teksi supaya dapat mengurangkan tambang yang anda perlu bayar. Pemandu teksi berpengalaman selalunya berupaya menghafal setiap jalan pintas yang ada untuk cepat sampai ke destinasi dan mengelakkan kesesakan.
  4. Anda sebenarnya berhak untuk melaporkan kepada SPAD sekiranya pemandu teksi enggan menggunakan meter dan seterusnya mengenakan tambang yang tidak masuk akal.
  5. Dapatkan nombor telefon pemandu teksi. Ia amat membantu dalam saat-saat kecemasan sekiranya anda tiada pengangkutan. Mungkin sedikit bayaran tambahan akan dikenakan, tetapi sekurang-kurangnya ia memudahkan. Mengambil nombor telefon pemandu teksi juga membantu membina hubungan baik antara penumpang dengan pemandu teksi.

Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Kadar tambang teksi yang diseragamkan di Semenanjung Malaysia

Monday, April 8, 2013

Manifesto Barisan Nasional vs Manifesto Pakatan Pakyat - Serupa tak semestinya sama / Barisan Nasional Manifesto vs Pakatan Rakyat Manifesto - Similar does not always mean the same

Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Manifesto Barisan Nasional

Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Manifesto Pakatan Rakyat

Salam sejahtera,

Parlimen sudah pun dibubarkan. Kini, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) sedang berlumba-lumba meraih sokongan rakyat supaya memangkah mereka pada Pilihan Raya Umum Malaysia ke-13 pada 27 April ini agar memperoleh mandat rakyat untuk menguasai pemerintahan kerajaan persekutuan dan negeri. Masing-masing sudah pun mengeluarkan manifesto tersendiri yang menyentuh mengenai isu-isu berkaitan rakyat. Maka, timbullah keserupaan antara kedua-dua manifesto. Namun, adakah manifesto yang hampir serupa itu semestinya bermaksud sama? Mari kita kaji kedua-dua manifesto ini dari sudut sebagai pengkritik jalan raya!

Apa yang menarik mengenai manifesto daripada kedua-dua pihak ialah BN dan PR mempunyai dasar yang hampir sama mengenai industri lebuh raya ekspres serta automotif. Kedua-dua pihak berjanji mahu membina Lebuhraya Pan Borneo, dan kedua-dua pihak juga berjanji mahu menurunkan harga kereta! Namun, adakah pelaksanaan mereka nanti betul-betul sama?

Terlebih dahulu, Pakatan Rakyat telah berjanji pada penghujung tahun 2012 mahu membina Jaringan Lebuhraya Borneo (JLB) dalam Bajet Alternatif mereka. Barisan Nasional pula berjanji mahu membina Lebuhraya Pan Borneo dalam manifesto baru-baru ini. Namun demikian, mekanisme pelaksanaan mereka jauh berbeza. Pakatan Rakyat mahu membina jaringan lebuh raya ekspres tanpa tol, yang saya sifatkan tidak realistik dalam konteks Sabah dan Sarawak. Barisan Nasional pula sekadar mahu menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo kepada jalan raya kembar. Dalam konteks ini, saya berasa kesal kerana sungguhpun jumlah penduduk di Sabah dan Sarawak jika digabungkan hanya sekadar menyamai jumlah penduduk negeri Selangor sahaja, masih terdapat jajaran sesak seperti pantai barat Sabah dan jajaran Bau-Kuching-Serian yang memerlukan lebuh raya ekspres bagi penyuraian trafik di kawasan berkenaan. Kelewatan pengambilan tanah dan pembinaannya sudah tentu akan menyebabkan kesukaran pengambilalihan tanah pada masa hadapan, kes yang sama seperti Lebuhraya Maju E20 dahulu. Dasar Pakatan Rakyat juga amat diragui kerana mereka amat menentang kutipan tol dan lebuh raya tunggal dua lorong, tetapi masih ada hati mahu membina lebuh raya ekspres rentas Borneo sekaligus, meskipun jarak antara pekan di Sarawak ada kalanya melebihi 100 km, menjadikan pembinaannya tidak menguntungkan.

Mengenai kutipan tol pula, PR mahu menghapuskan tol secara mutlak, yang mana telah saya selar sebelum ini kerana pemansuhan tol tidak semudah mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya - mereka juga perlu juga mengambil alih tanggungan dan liabiliti syarikat konsesi termasuklah pinjaman bank serta pampasan kepada para pekerja yang bakal kehilangan pekerjaan sekiranya tol dimansuhkan. Sementara itu, BN mempunyai mekanisme tersendiri bagi mengekang kenaikan tol, iaitu melalui perkongsian keuntungan dengan syarikat konsesi. Melalui konsep ini, kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membeli sebahagian saham dalam syarikat konsesi, membolehkan kerajaan mempunyai kuasa dalam menentukan kadar tol yang dikenakan, bergantung kepada skala ekonomi. Sebahagian keuntungan syarikat turut dikongsi dengan kerajaan, yang membolehkan kerajaan menyerap kerugian segelintir lebuh raya yang gagal mencapai unjuran trafik, sekaligus mengekang kenaikan tol. Pada pendapat saya, mekanisme sebegini lebih baik, kerana selain mengekang kenaikan tol di lebuh raya ekspres jarak jauh, ia juga membantu kerajaan memansuhkan tol di beberapa lebuh raya perbandaran seperti Lebuhraya Hubungan Timur-Barat Kuala Lumpur E37.

Dari segi dasar automotif pula, kedua-dua pihak berjanji mahu menurunkan harga kereta melalui kajian semua Dasar Automotif Nasional. Sebelum ini, saya mengecam keras Dasar Automotif Nasional kerana bersifat caca-marba tanpa garis panduan yang jelas dan telus - tiada sebutir huruf pun menyebut mengenai pembangunan peraturan dan penguatkuasaan piawaian automotif global. Sementara saya menyelar mekanisme PR yang mahu menurunkan harga kereta dengan menghapuskan cukai import dan eksais secara membuta-tuli, saya turut menyelar dasar BN mengenai mekanisme penurunan harga kereta kerana tiada garis panduan yang telus selain sekadar mahu melindungi syarikat automotif tempatan sehingga mereka hilang daya saing. Sekali lagi saya tekankan, perlindungan yang sepatutnya diberikan kepada syarikat automotif tempatan ialah piawaian automotif seperti piawaian emisi dan penggunaan bahan api, bukannya cukai-cukai mencekik darah yang hanya membuncitkan perut pak-pak menteri. Oleh itu, mekanisme yang lebih baik bagi menurunkan harga kereta ialah melalui insentif diskaun cukai eksais terhadap kereta-kereta yang melepasi piawaian emisi terkini serta piawaian penggunaan bahan api yang ditetapkan, di samping "Dasar 1 Keluarga 1 Kereta" bagi membantu keluarga berpendapatan rendah (serta golongan bujang yang perlu banyak melakukan perjalanan jauh menggunakan kereta) memiliki kereta, tetapi dalam masa yang sama mengekang penyakit "biar papa asal bergaya", penyakit suka berhutang serta kesesakan jalan raya yang menjadi punca nombor satu pencemaran udara di Lembah Klang. Insentif penurunan harga kereta juga sewajarnya dihadkan kepada kereta-kereta segmen A (kereta bandar raya seperti Perodua Viva dan Mitsubishi Mirage), segmen B (supermini dan subpadat seperti Perodua MyVi dan Proton Saga), segmen C (seperti Honda Civic dan Proton Preve), segmen D (seperti Honda Accord dan Hyundai Sonata), SUV kecil dan sederhana (seperti Honda CR-V), dan MPV kecil dan sederhana (seperti Perodua Alza, Honda Freed dan Proton Exora), kerana kenderaan-kenderaan sebeginilah yang banyak digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana (pendapatan RM3,000 ke bawah). Jadi, tiada gunanya kalau yang kaya bertambah buncit tetapi yang miskin makin melarat akibat potongan harga kereta secara membuta-tuli.

Sebagai tambahan kepada janji-janji yang telah saya sebutkan di atas, Barisan Nasional turut berjanji mahu membina Lebuhraya Pantai Barat E28 yang sering tertangguh, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan Lebuhraya Gambang-Segamat (kedua-duanya sebagai sebahagian komponen Lebuhraya Pantai Timur). Apa pun, saya amat mengharapkan agar kesemua janji ini ditunaikan dan tidak sekadar menjadi "janji dicapati", yang tentunya menjadi punca utama rakyat "menghukum" kealpaan parti pemerintah dengan memangkah parti pembangkang pada pilihan raya kelak. Kepada para pengundi di luar sana, nilaikanlah apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua parti dengan betul dan bukan melalui emosi, kerana anda sebenarnya bermain dengan rolet Rusia semasa memangkah kertas undi kelak.

Peringatan: Segala penulisan di Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.

Monday, April 1, 2013

Media Jalan Raya Malaysia: Karak / Malaysian Highway Media: Karak





Salam sejahtera,

Hari ini saya ingin memperkenalkan satu segmen baru di Blog Jalan Raya Malaysia, iaitu Media Jalan Raya Malaysia. Media Jalan Raya Malaysia menampilkan unsur-unsur memartabatkan jalan raya Malaysia dalam media popular seperti filem, siri drama, novel, lagu mahupun permainan video. Entri pembuka bagi segmen Media Jalan Raya Malaysia ialah filem Karak yang ditayangkan pada tahun 2011 terbitan United Studios milik trio adik-beradik KRU yang pernah dikenali sebagai sebuah kumpulan rap Malaysia yang popular tahun 1990an. Filem tersebut merupakan filem seram yang menampilkan cerita-cerita hantu popular yang dikaitkan dengan Lebuhraya Karak E8/FT2

Filem tersebut mengisahkan sekumpulan empat sahabat yang terdiri daripada Nik, Zura, Ida dan Jack sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan melalui Lebuhraya Karak E8/FT2. Namun, kesesakan luar biasa di lebuh raya tersebut di Persimpangan Karak menyebabkan mereka memilih untuk keluar dari lebuh raya dan sebaliknya melalui Jalan Persekutuan 2. Semasa berhenti rehat di pekan Karak, Nik dan Jack diganggu hantu semasa berada di sebuah tandas yang usang dan tidak terurus. Semasa mereka meneruskan perjalanan di jalan raya persekutuan itu, sekali lagi mereka diganggu hantu sehingga menyebabkan kereta yang dipandu Jack hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung. Setelah Zura berjaya mendapatkan rakan-rakannya, mereka menjumpai sebuah rumah di dalam hutan yang didiami oleh Tok Malam serta sepakat untuk menumpang di rumah tersebut sementara menunggu hari siang untuk mendapatkan bantuan. Namun demikian, pelbagai kejadian seram berlaku semasa mereka berada di rumah tersebut. Adalah didedahkan bahawa hantu-hantu yang mengganggu mereka selama ini asalnya merupakan hantu belaan arwah isteri Tok Malam, manakala pada penghujung cerita pula didedahkan bahawa Nik, Ida dan Jack sebenarnya sudah mati akibat kemalangan tersebut; "rakan-rakan" Zura semasa di rumah Tok Malam pula adalah hantu-hantu yang mahu menyesatkan Zura.

Setelah menonton filem tersebut, saya amat memuji usaha Norman, Yusry dan Edry memartabatkan jalan raya Malaysia melalui filem ini. Ia dibuktikan melalui penggunaan kod laluan yang betul bagi papan tanda lebuh raya tersebut seperti dalam poster promosinya. Namun, kelemahan ketara filem ini ialah kurang realisme pada jalan-jalan yang digunakan dalam filem ini. Misalnya, jika anda perhatikan betul-betul pada "Lebuhraya Karak" yang digunakan dalam babak terawal filem ini, "lebuh raya" tersebut sebenarnya ialah jalan-jalan raya sekitar Putrajaya dan bukannya Lebuhraya Karak E8/FT2 yang sebenar, boleh dikenali melalui bentuk tiang lampunya. Begitu juga dengan "jalan Karak lama" dalam filem tersebut sebenarnya ialah jalan di Hulu Langat (kemungkinan sama ada Jalan Negeri Selangor B52, B19 atau B116) dan bukannya Jalan Persekutuan 2 ataupun Jalan Gombak-Bentong FT68 (juga dikenali sebagai Jalan Karak Lama yang sebenar). Namun demikian, saya percaya KRU tentunya tidak mahu menggunakan lokasi sebenar kerana tidak mahu perkara buruk terjadi kepada seluruh kru produksi dan para pelakon, berikutan pengalaman sebenar mereka sendiri yang pernah diganggu hantu di Lebuhraya Karak FT2 semasa awal kerjaya muzik mereka. Sebab itulah mereka terpaksa menggunakan lokasi lain bagi tujuan penggambaran dan "mencipta" sendiri "Lebuhraya Karak E8/FT2" dan "Jalan Karak Lama FT2" versi mereka bagi filem ini melalui teknik imej janaan komputer (CGI).

Sebagai langkah penambahbaikan, saya cadangkan agar KRU mengkaji sistem papan tanda jalan raya Malaysia secara mendalam supaya dapat menimbulkan realisme dalam filem sebegini meskipun tidak dibuat di lokasi sebenar. Penggunaan fon tulisan mestilah dari jenis FHWA Gothic Siri E ataupun fon Transport, kerana kedua-dua fon inilah yang diterima pakai sebagai fon piawai bagi papan tanda jalan raya Malaysia.

Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada KRU kerana berjaya menghasilkan sebuah filem yang saya sifatkan sebagai filem tempatan pertama yang benar-benar memartabatkan jalan raya Malaysia. Mungkin saya perlu cadangkan kepada KRU agar menerbitkan sebuah filem mengenai kisah perjuangan pekerja JKR serta anggota tentera membina Lebuhraya Timur-Barat FT4 pada tahun 1970an di tengah-tengah ancaman pengganas komunis. Sekurang-kurangnya, filem sedemikian berupaya menerapkan sifat patriotik, cintakan negara serta menghargai jasa pekerja JKR serta anggota tentera yang terkorban semasa menyiapkan Lebuhraya Timur-Barat FT4 tersebut, di samping mendidik rakyat agar memartabatkan jalan raya Malaysia.

Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Lebuhraya Karak E8/FT2, sila klik sini untuk sejarah Lebuhraya Karak dan klik sini untuk reviu eksklusif Lebuhraya Karak E8/FT2.


Maklumat filem

Pengarah: Yusry Abdul Halim
Penerbit: Yusry Abdul Halim, Edry Abdul Halim dan Norman Abdul Halim
Penulis: Yusry Abdul Halim (lakon layar); Norman Abdul Halim (cerita asal)
Pelakon:-

  • Nik: Shahir AF8
  • Zura: Shera Aiyob
  • Ida: Kilafairy
  • Jack: Md. Eyzendy
Penyunting: Hafizan Malek
Tarikh mula tayangan: 26 Mei 2011 (Malaysia)
Perbelanjaan: RM1.14 juta
Pulangan kasar: RM4.28 juta

Advertisement