Sunday, June 30, 2013

Kapcai pancitan bahan api sulung Modenas sudah dilancarkan di pasaran domestik, dan namanya ialah Modenas 118EFI...!!! / Modenas' first fuel-injected underbone was launched for domestic market, and its name is Modenas 118EFI...!!!



Modenas 118EFI yang baru sahaja dilancarkan hari ini di Pulau Pinang (sumber: laman Facebook rasmi Modenas)

Salam sejahtera,

Hari ini (30 Jun 2013) tercatatlah satu sejarah baru dalam industri automotif Malaysia, iaitu pelancaran motosikal pancitan bahan api pertama keluaran syarikat motosikal Malaysia. Jika sebelum ini ramai yang berteka-teki mengenai nama model motosikal kapcai pancitan bahan api ini seperti Kriss 125i, CT125i dan CT120i, nama sebenar model itu untuk pasaran Malaysia akhirnya dimuktamadkan sebagai Modenas 118EFI. Sebelum ia dikeluarkan di pasaran negara sendiri, Modenas 118EFI sebenarnya sudah dijual bagi pasaran Greece dengan menggunakan nama Modenas Kriss 125i EFI. Modenas 118EFI dilancarkan  oleh Pengarah Urusan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Kamil Jamil, sempena DRB-Hicom Autofest 2013 di Pulau Pinang.

Blog Jalan Raya Malaysia sebelum ini telah menyiarkan beberapa entri mengenai motosikal kapcai pertama keluaran Modenas ini. Bermula dengan pelancaran Modenas Kriss 125i EFI di Greece pada 22 Mac 2013, ia disusuli pula dengan anatomi sistem pancitan bahan apinya yang dibekalkan oleh Synerject. Saya juga turut membawakan beberapa gambar motosikal tersebut bagi pasaran Greece untuk dikongsi bersama.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Sebenarnya, kalau diikutkan, pelancaran 118EFI ini boleh dikatakan 10 tahun lebih lambat daripada sepatutnya, memandangkan Thailand sudah lama menerajui teknologi pancitan bahan api untuk motosikal kapcai pada model Wave 125i mereka, diikuti Yamaha Spark 135i (Yamaha 135LC model Thailand) dan Suzuki Shogun Axelo 125i. Namun demikian, ia tetap menunjukkan bahawa Modenas benar-benar serius dan komited untuk menghasilkan motosikal yang lebih berkuasa dan lebih jimat minyak tetapi dalam masa yang sama pula lebih mesra alam.

Modenas 118EFI dijual dengan harga atas jalan RM4,755.40 dan boleh didapati dalam dua warna iaitu Hijau Alam dan Biru Semesta.

Ikuti berita selanjutnya dalam Berita Harian.

Spesifikasi Modenas 118EFI

Enjin: 4 lejang SOHC 2 injap silinder tunggal 120 cc
Sesaran: 120.3 cc
Lubang x lejang: 55 x 50.6 mm
Nisbah mampatan: 9.8:1
Kuasa kuda: 5.76 kW (8.13 PS) @ 8,000 rpm
Tork: 8.4 N-m @ 4,000 rpm
Jarak roda: 1,245 mm
Berat kering: 101 kg
Muatan tangki bahan api: 4.3 liter
Saiz tayar: 70/90 - 17 38P (depan); 80/90 - 17 47P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Harga yang sangat murah bagi sebuah motosikal pancitan bahan api
  2. Kesemua faedah sistem pancitan bahan api (sangat jimat minyak, mudah dihidupkan semasa awal pagi, mesra alam, kurang pelepasan emisi dsb.)
  3. Populariti dan reputasi terbukti di Greece
  4. Penghidup elektrik, rim sport dan tayar tanpa tiub adalah standard
Apa yang saya tidak suka
  1. Enjin mengalami penurunan kuasa kuda yang ketara berbanding enjin sama yang digunakan pada Modenas Ace 115 (8.13 PS berbanding 10.3 PS) - bersiap sedialah untuk modifikasi enjin yang lebih ekstrim
  2. Saiz sebenar tangki yang kurang berbanding keluarga CT yang lain (4.3L berbanding 5.3L) berikutan modul penghantar bahan api yang banyak memakan ruang tangki - kelemahan ini diatasi oleh sifat pancitan bahan api itu sendiri yang jauh lebih jimat minyak

(Nota: Siri kembara Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 akan bersambung selepas entri ini.)

Saturday, June 29, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 3: Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 / Ringlet-Sungai Koyan Highway FT102




Salam sejahtera,

Setelah menunggang selama hampir empat jam, kami akhirnya tiba di sebatang jalan raya baru yang amat kami nanti-nantikan selama ini, iaitu Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102. Sebagai persiapan untuk mendaki Banjaran Titiwangsa untuk sampai ke Cameron Highlands, kami terlebih dahulu menikmati Nasi Ayam Gemas dan memenuhkan tangki minyak di Sungai Koyan.

Sedikit mengenai Jalan Ringlet-Sungai Koyan ini. Sebelum tahun 2003, Jalan Persekutuan 59 merupakan satu-satunya laluan untuk ke Cameron Highlands, tetapi jalan tersebut hanya boleh dicapai dari negeri Perak iaitu dari Tapah. Maka, orang Pahang adalah yang paling sengsara kerana mereka terpaksa keluar dari negeri Pahang untuk ke daerah terkecil dalam negeri sendiri itu. Bukan itu sahaja, kebergantungan terhadap jalan lama FT59 sebagai satu-satunya jalan ke Cameron Highlands juga ada banyak keburukannya. Memandangkan keadaan jalan FT59 yang agak sempit dan begitu banyak selekoh tajam (dikatakan ada lebih kurang 750 selekoh kesemuanya dari Tapah sehinggalah ke penghujungnya di Blue Valley), pemanduan terpaksa dilakukan dengan berhati-hati agar tidak terbabas jatuh ke dalam gaung. Maka, pemanduan yang perlahan sudah tentunya memberi kesan terhadap masa penghantaran produk-produk pertanian dari Cameron Highlands, yang memerlukan hanya produk paling segar sampai ke tangan pengguna akhir. Selain itu, ancaman terbesar yang dihadapi oleh mana-mana jalan raya pergunungan sudah tentunya tanah runtuh, dan ia lebih ketara di negara beriklim panas dan lembab sepanjang tahun seperti Malaysia. Maka, jika berlakunya tanah runtuh, pastinya Cameron Highlands terputus hubungan sepenuhnya dengan dunia luar selama berhari-hari.

Memandangkan adalah tidak praktikal untuk membiarkan hanya satu sahaja jalan masuk ke Cameron Highlands, maka kerajaan persekutuan merancang untuk membina sebuah jalan raya alternatif yang jauh lebih selesa dan lebih selamat. Hasilnya ialah Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 dari Simpang Pulai ke Gua Musang, yang mula dibina pada tahun 2001 dan siap pada tahun 2003. Sungguhpun lebuh raya baru itu memendekkan jarak perjalanan ke Cameron Highlands dari Kuantan atau Kuala Lipis dengan begitu ketara, namun orang-orang Pahang tetap terpaksa keluar dari negeri sendiri untuk ke Cameron Highlands, kali ini melalui Gua Musang pula. Berikutan dengan kesulitan yang dialami orang-orang Pahang, maka kerajaan merancang untuk membina sebuah lebuh raya baru terus ke Cameron Highlands di dalam negeri Pahang sendiri. Hasilnya ialah Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102.

Perancangan untuk membina sebuah lebuh raya terus ke Cameron Highlands di dalam negeri Pahang sendiri dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula tahun 1996. Jajaran perintis dari Sungai Koyan ke Pos Betau sejauh 19 km dibina pada tahun 1999 dan siap pada tahun 2001 dengan kos RM52 juta. Asalnya, kod laluan bagi jajaran tersebut ditandakan sebagai Jalan Negeri Pahang C156 sebagai sambungan kepada Jalan Kuala Lipis-Sungai Koyan C156. Seterusnya, jajaran dari Pos Betau ke Bukit Petubung sejauh 22 km dibina pada tahun 2002 dan siap pada tahun 2005 dengan kos RM151 juta. Kenapa pula jajaran ini jauh lebih mahal daripada jajaran terawal walaupun cuma beza 3 km sahaja? Teruskan membaca reviu jalan ini untuk mengetahui jawapannya.

Jajaran dari Bukit Petubung ke Sungai Susu sejauh 19.5 km pula memakan belanja yang jauh lebih mahal, iaitu RM232 juta dan mengambil masa selama 5 tahun untuk disiapkan sejak pembinaannya dimulakan pada tahun 2004. Kos pembinaan bagi jajaran ini sangat tinggi berikutan pembinaan 10 buah jambatan - termasuklah jambatan terpanjang di jalan ini. Sementara itu, jajaran terakhir sejauh 18.6 km dari Sungai Susu ke Ringlet mula dibina pada tahun 2005 dan siap pada tahun 2010 dengan kos RM173 juta. Setelah siap, jalan ini diwartakan sebagai sebuah Jalan Persekutuan dengan kod laluan FT102.

Semasa mula memasuki lebuh raya FT102 ini dari Sungai Koyan, kami dapati lebar jalan ini lebih kurang sama seperti kebanyakan jalan raya utama, iaitu lebih kurang 3.25 m bagi setiap lorong (piawaian JKR R4). Jajaran dari Sungai Koyan ke Pos Betau ini juga tiada bahu jalan keras, maka ia sudah tentunya bukan jalan super two. Jalan ini mula mendaki bukit dan mula berkelok-kelok setelah tiada lagi kelibat ladang kelapa sawit Felda Sungai Koyan.

Sebaik tiba di Pos Betau, barulah jalan ini bertukar kepada jalan super two dengan lebar lorong 3.5 m dan ada bahu jalan keras (piawaian JKR R5). Keadaan di Pos Betau juga menunjukkan kawasan perkampungan Orang Asli itu menerima impak terbesar hasil pembinaan lebuh raya ini. Selain sebuah klinik kesihatan, sekolah dan masjid, sebuah kawasan rehat dan rawat baru saja siap dibina di sini. Maka, tidak mustahil Pos Betau berpotensi untuk berubah menjadi sebuah pekan persinggahan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

Pendakian diteruskan. Selepas beberapa kilometer dari Pos Betau, garisan jalan sudah pun pudar. Keadaan sebegini tentunya menyukarkan pemanduan pada waktu malam. Oleh itu, saya ingin menggesa agar JKR Lipis segera mengecat semula garisan jalan yang sudah pudar itu. Bukannya susah sangat. Keadaan jalan yang sebegitu bagus serta bilangan kereta yang amat kurang bukanlah alasan untuk tidak menyelenggaranya secara berkala.

Pendakian melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 sememangnya begitu mengasyikkan. Kami disajikan dengan panorama indah di Banjaran Titiwangsa. Secara jujurnya, saya mendapati bahawa antara tiga jalan masuk utama ke Cameron Highlands, jalan inilah yang paling kurang berselekoh. Sebab itulah Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 ini merupakan syurga bagi penunggang superbike. Namun, satu lumrah yang terpaksa diterima setiap kali melalui jalan raya pergunungan ialah jika ada bahagian yang terjejas akibat tanah runtuh. Terdapat satu kawasan yang paling teruk terjejas apabila tanah runtuh menimbus kedua-dua arah laluan, memaksa FT102 dilencongkan melalui satu lencongan dua lorong yang begitu sempit - saya sifatkan lencongan ini adalah bahagian paling sempit bagi FT102. Mungkin jalan lencongan ini satu bentuk penyelesaian jangka pendek, tetapi saya amat berharap agar bahagian jalan yang terjejas itu digantikan dengan jalan lencongan baru yang benar-benar sempurna, iaitu sama lebar seperti jalan asal. Selain kawasan tersebut, saya dapati terdapat sekurang-kurangnya lima lagi kawasan tanah runtuh di sepanjang FT102, ada di antaranya yang begitu teruk sehingga memaksa satu lorong ditutup. Sekurang-kurangnya jalan ini dibina sebagai jalan super two, maka boleh jugalah beranjak ke lorong kecemasan atau bahu jalan keras apabila sebelah lorong terpaksa ditutup akibat tanah runtuh. Apa pun, risiko tanah runtuh memang tidak dapat dielakkan terutamanya di negara yang menerima jumlah hujan tahunan yang tinggi seperti Malaysia.

Sebaik sahaja melepasi kawasan Bukit Petubung, garisan jalan jelas kelihatan semula. Ia menjadi ketara sebaik sahaja memasuki daerah Cameron Highlands, apabila perjalanan ke Ringlet berbaki lebih kurang 31 km. Satu lagi perkara yang saya perlu tegur kepada JKR Lipis ialah ketiadaan batu penunjuk jarak perjalanan, sedangkan batu-batu tersebut sudah pun ditempatkan di sepanjang jajaran FT102 di daerah Cameron Highlands, siap dengan kod laluan lagi.

Satu perkara yang menarik perhatian saya sebaik memasuki daerah Cameron Highlands ialah kerja-kerja pembinaan sebuah empangan hidroelektrik baru di situ oleh Tenaga Nasional Berhad. Projek empangan tersebut yang dinamakan sebagai Empangan Ulu Jelai mula dibina pada tahun 2011 dengan kos RM2.15 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2015. Setelah siap, empangan tersebut akan mempunyai kapasiti penjanaan setinggi 372 megawatt. Meskipun projek tersebut melibatkan pemindahan beberapa buah perkampungan Orang Asli, mereka ditempatkan di perkampungan terancang yang mempunyai infrastruktur yang lengkap. Di samping itu, pembinaan empangan tersebut sebenarnya merupaya menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli di sana.

Laluan menjadi semakin curam semasa semakin menghampiri penghujungnya di Ringlet. Kecerunan meningkat kepada sekitar 9-11%, menyebabkan kelajuan turun kepada 60 km/j dan memaksa gear diturunkan ke gear 3. Kelibat kebun-kebun sayur sudah mula kelihatan, menunjukkan bahawa kami hampir sampai ke penghujung lebuh raya ini di Ringlet. Pekan pertama yang kami temui sebaik memasuki daerah Cameron Highlands ialah Lembah Bertam Malah, Lembah Bertam merupakan satu-satunya pekan di Cameron Highlands yang tidak terletak di Jalan Persekutuan 59. Buat penunggang motosikal, pekan ini turut mempunyai sebuah kedai motosikal sekiranya berlaku sesuatu kerosakan yang tidak diingini pada motosikal anda. Sebenarnya sebelum pembinaan FT102 memang ada jalan dari Ringlet ke Lembah Bertam, tetapi laluan tersebut diubah sedikit semasa pembinaan FT102; misalnya, di Balai Polis Ringlet laluan dari Lembah Bertam ke pekan Ringlet dilencongkan ke satu jejambat yang dihubungkan terus ke Jalan Persekutuan 59. Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 tamat di pekan Ringlet, betul-betul di hadapan stesen minyak Shell Ringlet.

Semasa dalam perjalanan pulang pula, kami menemui satu ciri utama jalan ini yang kami langsung tidak perasan sebelum ini - lorong tanjakan kecemasan lori. Sepanjang lebuh raya FT102 ini, terdapat dua tanjakan seumpamanya semasa menuruni bukit arah Sungai Koyan, dan kedua-duanya terletak dekat Lembah Bertam, memandangkan keadaan jalan di situ yang begitu curam.

Ikuti pengembaraan kami seterusnya di Jalan Persekutuan 59 pula.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Jajaran terawal FT102 dari Sungai Koyan ke Pos Betau tidak dibina sebagai jalan super two






FT102 mula bertukar sebagai jalan super two dari Pos Betau. Perhatikan jambatan berkembar di situ






Mula mendaki bukit di Pos Betau






Garisan jalan raya sudah mula kabur






Pemandangan Banjaran Titiwangsa yang menenangkan jiwa






Jalan terpaksa dilencongkan akibat tanah runtuh






Laluan yang ditutup akibat tanah runtuh, dari arah Ringlet






Keadaan jalan yang bagus bukanlah alasan untuk tidak mengecat semula garisan jalan






Bahagian lurusan sebaik melepasi Bukit Petubung






Lagi tanah runtuh di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102






Mendaki dan terus mendaki






Salah satu daripada dua lorong tanjakan kecemasan lori di sepanjang Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dekat Lembah Bertam






Kebuh-kebun sayur ini menunjukkan bahawa kami sudah hampir ke penghujung jalan






Lagi kebun sayur di Lembah Bertam






Pekan Lembah Bertam yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan hasil pembinaan lebuh raya baru ini






Land Rover Siri 2, kenderaan yang popular di kalangan petani di Cameron Highlands






Jejambat terakhir di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102






Jalan Persekutuan 102 tamat betul-betul depan Shell Ringlet

Friday, June 28, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 2: Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503

Salam sejahtera,

Setelah jalan baru Ringlet-Sungai Koyan FT102 dibuka pada tahun 2010, orang-orang Pahang tidak lagi perlu untuk keluar dari negeri Pahang untuk ke Cameron Highlands. Namun, sebelum sampai ke jalan tersebut, anda perlu terlebih dahulu melalui Jalan Sungai Koyan C5/FT1503 dari Raub ke Felda Sungai Koyan; bagi mereka dari Kuala Lipis pula, anda boleh menggunakan Jalan Negeri Pahang C156 dari Kampung Berchang di Jalan Persekutuan 8 dekat Kuala Lipis.

Satu perkara yang saya kurang berkenan sebaik tiba di bandar Raub ialah ketiadaan papan tanda bagi arah perjalanan ke Cameron Highlands melalui Felda Sungai Koyan. Arah ke Felda Sungai Koyan itu ada pula. Akibatnya, sudah tentulah ramai orang Pahang yang langsung tidak tahu mengenai kewujudan Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102, berikutan kurangnya papan tanda yang membantu. Nasib baiklah ada papan tanda penunjuk arah ke Cameron Highlands pada saat-saat akhir di Felda Sungai Koyan. Rugilah kalau mereka tidak mencuba jalan FT102 yang sebegitu bagus. Oleh itu, saya ingin menggesa JKR Raub agar memasang papan tanda penunjuk arah ke Cameron Highlands melalui Felda Sungai Koyan agar dapat membantu para pelancong untuk melawat Cameron Highlands.

Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503 ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian jalan negeri (dari Raub ke Kampung Chin) dan bahagian jalan persekutuan (dari Kampung Chin ke Felda Sungai Koyan. Kebanyakan peta masih lagi melabel keseluruhan jalan ini sebagai C5, walaupun sebenarnya jalan ini ada bahagian persekutuan dan negeri. Satu-satunya tanda sebagai penentu bahagian jalan persekutuan dan negeri ialah papan tanda sempadan penyelenggaraan oleh Roadcare. Maka, adalah sukar untuk membezakan antara jajaran persekutuan dan jajaran negeri.

Secara amnya tiada apa-apa yang menarik sepanjang jalan ini. Seperti tanah rancangan Felda yang lain, keadaan di Jalan Felda Sungai Koyan adalah lebih kurang sama sahaja - lebar lorong purata ialah sekitar 3 m (JKR R3). Setelah menempuh perjalanan 52 km dari Raub, kami akhirnya tiba di Felda Sungai Koyan. Sebelum memulakan pendakian ke Cameron Highlands, kami terlebih dahulu singgah sebentar di Restoran Nasi Ayam Gemas untuk makan tengah hari. Setelah perut sudah diisi, kami memenuhkan tangki minyak pula walaupun minyak masih lagi banyak kerana pendakian ke Cameron Highlands melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 pastinya menjadikan jentera-jentera kami menjadi pelahap.

Ikuti reviu Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dalam entri seterusnya.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Simpang ke Cheroh dan ke Felda Sungai Koyan sebelum meneruskan perjalanan ke Cameron Highlands






Pekan Cheroh






Laluan alternatif bagi memintas kesesakan Jalan Persekutuan 8 di Raub, Benta dan Kuala Lipis melalui FT1498






Jom kita makan nasi ayam Gemas sebelum memulakan pendakian yang panjang!






Simpang ke Jalan Sungai Koyan-Kampung Berchang C156






Bersedia untuk memulakan pendakian di Jalan Ringlet-Sungai Koyan

Thursday, June 27, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 1: Jalan Persekutuan 8 (Bentong-Raub) / Federal Route 8 (Bentong-Raub)

Salam sejahtera,

Seperti dalam perancangan asal, kami tidak menggunakan laluan konvensional untuk ke Cameron Highlands (Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan seterusnya Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185), sebaliknya kami memilih laluan di sebelah timur Banjaran Titiwangsa pula, iaitu Lebuhraya Karak E8/FT2, Jalan Persekutuan 8, Jalan Sungai Koyan C5/FT1503 dan akhir sekali Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102.

Sedikit mengenai sejarah Jalan Persekutuan 8 ini. Jalan Persekutuan 8 sepanjang 402.7 km ini menghubungkan antara Bentong dengan Kota Bharu serta menjadi laluan utama bagi orang-orang Kelantan untuk ke Kuala Lumpur dan sebaliknya. Jalan Persekutuan 8, bersama-sama Jalan Persekutuan 9 (Karak-Tampin) membentuk satu sistem jalan raya yang dikenali sebagai Jalan Raya Utama Tengah. Sebelum merdeka, asalnya laluan yang ada hanyalah dari Bentong ke Kuala Lipis dan dari Kota Bharu ke Kuala Krai; pautan putus dari Kuala Krai ke Kuala Lipis hanya boleh dihubungi melalui jalan kereta api. Maka, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu menjadi sejauh lebih 630 km kerana terpaksa melalui jalan pantai timur. Pautan putus dari Kuala Krai ke Kuala Lipis kemudian dibina sebagai Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang FT8 (siap tahun 1983) dan seterusnya Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang FT8 (siap tahun 1986). Dengan siapnya pautan-pautan putus tersebut, jarak dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu kini hanya sekitar 470 km sahaja.

Kilometer sifar bagi Jalan Persekutuan 8 terletak di Exit 810 Persimpangan Bentong Timur di Lebuhraya Karak E8/FT2. Sebaik melepasi persimpangan tersebut, keadaan jalan agak menggerutu, menunjukkan ia kurang diselenggara oleh JKR Bentong. Meskipun keadaanya tidaklah seteruk Jalan Persekutuan 9 yang saya pernah kecam sebelum ini berikutan keadaan jalan yang terlalu teruk, ia tetap tidak boleh dimaafkan, memandangkan jalan FT8 ini ialah laluan utama untuk orang-orang Kelantan ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.

Keadaan jalan kembali elok semasa di pekan Ketari yang mana terletaknya simpang tiga penamat bagi Jalan Gombak FT68 (juga dikenali sebagai Jalan Karak Lama). Reviu penuh mengenai Jalan Gombak FT68 dari hujung ke hujung akan dilakukan dalam bulan Ramadan ini, insya-Allah. Jalan menjadi sesak di sepanjang pekan Ketari dan seterusnya bandar Bentong, memandangkan Bentong adalah bandar persinggahan pertama bagi pengguna Jalan Persekutuan 8 yang hendak ke Kelantan.

Tidak lama selepas meninggalkan bandar Bentong, terdapat satu simpang tiga untuk ke Bukit Fraser yang ditandakan dengan kod FT55. Namun, jalan tersebut sebenarnya bukanlah Jalan Persekutuan 55, sebaliknya ia adalah jalan lama dari Bentong ke Raub yang betul-betul melalui kaki Banjaran Titiwangsa; simpang sebenar ke Bukit Fraser dan seterusnya Kuala Kubu Bharu terletak di Teranum yang juga terletak di jalan lama Bentong-Raub itu. Sebab itulah ia berbengkang-bengkok seperti ular kena palu. Maka, jalan lama Bentong-Raub itu kemudiannya dipintas oleh sebatang jalan super two baru yang lurus yang kini membentuk sebahagian Jalan Persekutuan 8; jalan lama Bentong-Raub itu pula diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 218. 

Jalan super two FT8 tersebut melalui simpang Felda Mempaga, yang menjadi laluan alternatif pemandu dari Kuantan yang hendak ke Kuala Lipis, serta Felda Lurah Bilut, tanah rancangan Felda pertama di Malaysia. Meskipun jalan super two yang kami lalui ini secara amnya sangat lurus dan sangat selesa, ia tetap memerlukan penyelenggaraan kerap, dibuktikan daripada keadaan jalan yang ada kalanya mendap sedikit dan agak menggerutu sedikit berikutan kadar aliran trafik yang tinggi terutamanya pada musim perayaan.

Jalan super two FT8 ini tamat di simpang kedua ke jalan lama Bentong-Raub dan seterusnya Bukit Fraser. Simpang tersebut menandakan kami sudah pun hampir sampai ke bandar Raub, sebuah bandar yang mempunyai rizab emas terbesar di Malaysia. Sejarah bandar Raub bermula dengan sejarah industri pelombongan emas di situ pada abad ke-18, yang mana penemuan emas di situ menyebabkan Raub mendapat namanya daripada istilah raub yang bermaksud segenggam emas. Industri pelombongan secara besar-besaran bermula pada awal abad ke-20 oleh syarikat Raub Australian Gold Mining yang melombong emas di Bukit Koman, Raub sehingga tahun 1961. Setelah beberapa lama aktiviti pelombongan emas dihentikan, ia dihidupkan semula oleh syarikat Peninsular Gold. Asalnya syarikat tersebut melombong hasil tinggalan lombong lama, tetapi mereka kemudiannya melombong emas di lombong baru berhampiran. Semasa mereka memulakan penggalian lombong tersebut pada tahun 2011, mereka menjumpai dua lagi kawasan rizab emas tambahan di bawah dan sebelah lombong lama, menjadikan Raub sebagai kawasan yang mempunyai rizab emas terbesar di Malaysia.

Tidak seperti bandar pelombongan lain yang mati atau sekurang-kurangnya tidak berkembang apabila sumber galian sudah habis, Raub pula sebaliknya. Semasa industri pelombongan emas di sana terhenti pada tahun 1961 pun Raub masih lagi hidup hasil aktiviti pertanian dan peladangan, di samping peranannya sebagai ibu daerah Raub. Sementara itu pula, Bukit Besi menjadi bandar mati setelah lombong besi di situ habis dilombong sehinggalah ia dihidupkan semula oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Di Perak pula, Kampung Kepayang dekat Simpang Pulai sudah mati sepenuhnya.

Setelah sampai di Raub, kami mengisi minyak sebentar. Semasa mengisi minyak, saya terkejut apabila mendapati motosikal Honda Wave Ultimo yang saya gunakan dalam konvoi kali ini hanya menggunakan 2.1 liter petrol bagi perjalanan sejauh 110 km dari Kuala Lumpur (52.4 km/L). Memang jimat gila! Rakan konvoi saya, Khairul Azmi pula menggunakan 2.59 liter bagi perjalanan sama menggunakan motosikal Yamaha Lagenda 110Z.

Ikuti sambungan seterusnya di Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Memasuki Jalan Persekutuan 8 dari Exit 810 Persimpangan Bentong Timur






Simpang Jalan Gombak FT68 (a.k.a. Jalan Karak Lama) di Ketari






Pasangan sehala FT8 di pusat bandar Bentong. Ada lagi 44 km sebelum tiba di Raub






Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Bentong






Dataran Bentong






Simpang ke Bukit Fraser. Sebenarnya, jalan lama Bentong-Raub dilencongkan keluar di sini dan diwartakan semula sebagai FT218






Simpang ke Felda Mempaga yang dijadikan laluan pintas untuk ke Kuantan






Felda Lurah Bilut, tanah rancangan Felda terawal di Malaysia






Jalan lama Bentong-Raub FT218 berakhir di simpang ini






Pasangan sehala FT8 di Raub. Kita rehat sebentar sebelum ke Sungai Koyan!

Wednesday, June 26, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013: Prologue




Salam sejahtera kepada para pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia!

Selamat datang ke Cameron Highlands, kawasan peranginan tanah tinggi paling ekstensif di Malaysia yang terkenal dengan hasil tanaman tanah tinggi terutamanya sayur-sayuran, bunga-bungaan, teh dan yang paling utama tentunya strawberi. Seperti yang telah dijanjikan sebelum ini, kami telah berkunjung ke Cameron Highlands dari 22 Jun sehingga 24 Jun 2013. Namun, terdapat dua perubahan ketara yang berlaku sepanjang kembara kali ini ke Cameron Highlands, iaitu salah seorang rakan saya menarik diri pada saat-saat terakhir atas sebab yang tidak dapat dielakkan, serta laluan untuk pulang ke Kuala Lumpur diubah berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk pada hari terakhir kembara, yang memungkinkan jarak penglihatan di Lebuhraya Utara-Selatan E1 merosot dengan ketara. Maka, atas sebab keselamatan, kami mengambil kesempatan untuk pulang ke Kuala Lumpur menggunakan laluan yang sama seperti semasa hendak ke Cameron Highlands.

Seperti yang anda semua sedia maklum, kini terdapat tiga laluan masuk utama ke Cameron Highlands, iaitu:-
  1. Jalan Persekutuan 59 (dari arah Kuala Lumpur) - asalnya merupakan satu-satunya jalan raya untuk ke Cameron Highlands.
  2. Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 (dari arah Ipoh dan Gua Musang) - Mula dibuka pada tahun 2003, lebuh raya tersebut kini merupakan laluan masuk paling popular untuk ke Cameron Highlands berikutan keadaannya yang kurang berselekoh tajam berbanding jalan lama FT59.
  3. Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 (dari arah Kuala Lipis dan Raub) - Merupakan laluan masuk terbaru ke Cameron Highlands. Mula dibuka pada tahun 2010, lebuh raya ini membolehkan orang-orang Pahang melawat Cameron Highlands tanpa perlu keluar dari negeri Pahang.
Kepada para pelancong yang ingin ke Cameron Highlands, berikut adalah petua berguna untuk anda:-
  1. Waktu paling sesuai untuk melawat Cameron Highlands ialah pada bulan Jun hingga Julai serta Disember hingga Februari. Sentiasa periksa ramalan cuaca dan elakkan daripada pergi ke Cameron Highlands semasa musim hujan, berikutan risiko tanah runtuh serta kabus tebal yang berpunca daripada keadaan sejuk yang dibawa oleh hujan.
  2. Bagi yang pertama kali ke Cameron Highlands menggunakan kenderaan sendiri, saya cadangkan agar anda menggunakan sama ada jalan FT185 (dari Simpang Pulai / Gua Musang) ataupun jalan FT102 (dari Sungai Koyan / Raub / Kuala Lipis), kerana keadaan jalannya yang lebar dan kurang berselekoh tajam. Namun, hadkan kelajuan anda kepada sekitar 60-70 km/j sahaja. Bagi pemandu yang lebih berpengalaman boleh terus menggunakan jalan lama FT59, tetapi hadkan kelajuan anda kepada 40-50 km/j sahaja.
  3. Penuhkan tangki minyak kenderaan anda sama ada di Tapah (jika melalui FT59), Ipoh / Simpang Pulai atau Gua Musang (jika melalui FT185) atau Sungai Koyan (jika melalui FT102), kerana anda tidak akan berjumpa dengan mana-mana stesen minyak sehinggalah anda tiba di Cameron Highlands.
  4. Jangan sekali-kali menggunakan jalan raya pergunungan pada waktu malam. Pada masa itu, penglihatan mungkin akan terjejas akibat kabus tebal ataupun disebabkan oleh garisan jalan yang tidak dicat semula. Selain itu, keadaan gelap juga menyebabkan sebarang petanda tanah runtuh sukar dilihat atau dijangka.
  5. Meskipun sudah terdapat sebegitu banyak hotel termasuk hotel bajet, ia masih belum berupaya menampung kehadiran pelancong yang ramai. Semasa waktu cuti atau musim perayaan, pastikan anda sudah membuat tempahan awal bagi penginapan anda. Jika sehingga pukul 6 petang pun anda masih gagal memperoleh sebarang penginapan, jangan tunggu lagi, terus turun ke Ipoh melalui FT185 dan dapatkan penginapan di sana.
  6. Sentiasa gunakan gear rendah semasa menggunakan jalan raya pergunungan, kerana kecerunan yang tinggi boleh menyebabkan kenderaan anda hilang kawalan. Anda seharusnya lebih banyak bergantung kepada brek enjin daripada injak / tuas brek anda. Juga pastikan bunga tayar serta kasut brek masih tebal sebelum ke Cameron Highlands.
  7. Jika anda bercadang untuk membeli sedikit strawberi untuk dibawa pulang, pastikan anda membelinya pada hari lawatan terakhir anda kerana strawberi mempunyai jangka hayat penyimpanan yang sangat pendek.
Nantikan reviu seterusnya mengenai Jalan Persekutuan 8 (Bentong-Raub) yang kami gunakan dalam ekspedisi kali ini.




Greetings to all loyal readers of Malaysian Highway Blog!

Welcome to Cameron Highlands, the most extensive hill station in Malaysia famed for its highland agricultural products especially vegetables, flowers, tea, and the most famous of all, the strawberries. As promised earlier, we visited Cameron Highlands from  22 June to 24 June 2013. However, there were two apparent amendments from the original plan along the expedition to Cameron Highlands - one of my companion withdrew during the last minute due to inevitable circumstances, and the return route back to Kuala Lumpur was changed due to the worsening haze during the last day of the expedition, which may render the sight distance along the North-South Expressway E1 to drop drastically. Therefore, for safety reasons, we went back to Kuala Lumpur using the same route as when going to Cameron Highlands.

As you already know, now there are three main access roads to Cameron Highlands, namely:-
  1. Federal Route 59 (from Kuala Lumpur direction) - initially this was the only route to Cameron Highlands.
  2. Second East-West Highway FT185 (from Ipoh and Gua Musang directions) - Opened to traffic in 2003, the highway is now the most popular access route to Cameron Highlands thanks for its less sharp corners than those along the old FT59 route.
  3. Ringlet-Sungai Koyan Highway FT102 (from Kuala Lipis and Raub) - The newest access route to Cameron Highlands. Opened in 2010, this highway enables Pahangites to visit Cameron Highlands without leaving the state of Pahang.
For first-time tourists going to Cameron Highlands, here are some useful tips to you:-
  1. The most suitable months to visit Cameron Highlands are from June to July and December to February. Always check the weather forecast and refrain from going to Cameron Highlands during rain season, due to landslide risks and thick fogs caused by cold conditions associated with rain.
  2. For the beginners going to Cameron Highlands by own transport, I'd suggest you to use either FT185 (from Simpang Pulai / Gua Musang) or FT102 highway (from Sungai Koyan / Raub / Kuala Lipis), due to wider roadway and less sharp corners. However, limit your speeds up to 60-70 km/h only. For more experienced motorists, you may want to try the old FT59 road, but limit your speeds up to 40-50 km/h only.
  3. Fill up your vehicles either at Tapah (via FT59), Ipoh / Simpang Pulai or Gua Musang (via FT185) or Sungai Koyan (via FT102), because you won't find any petrol station along the way until you have made it to Cameron Highlands.
  4. Never use any highland highway at night. At that time, the night visibility may be affected by thick fogs and the faded road markings. Besides, the dark condition will make seeing and predicting signs of landslides to become harder.
  5. Even though there are plenty of hotels including budget hotels, they are still insufficient to accommodate huge numbers of tourists. During holidays or festive seasons, insist on early bookings for your accommodation. If you still fail to find even a vacant room by 6 o'clock, don't hesitate, quickly proceed to Ipoh via FT185 and get your room there instead.
  6. Always use lower gears when using highland roads, because steep gradients may cause your vehicles to lose control. You should rely more on engine braking rather than the brake pedals / levers. Also make sure that the tyre treads and the brake shoes are still fresh and thick before going to Cameron Highlands.
  7. If you plan to buy some strawberries, do so during the last day of visit because strawberries have very short shelf life.
Check out the next highway review of the Federal Route  8 (Bentong-Raub) that we used for this expedition.

Friday, June 21, 2013

Apabila "kereta tin Milo" dipertahankan... / When the "Milo-tin car" is backed up...



Kemalangan melibatkan Perodua Viva di Lebuhraya Persekutuan FT2 yang mengorbankan tiga pelajar universiti, yang mana kerangka Perodua Viva ini seakan terkoyak seperti kertas (kredit gambar: Oh! Media)




Kemalangan di MRR2 FT28 dekat Bukit Antarabangsa, yang mana bumbung kereta terbelah dan kepala mangsa putus (Kredit gambar: Oh! Media)


Salam sejahtera,

Dalam entri sebelumnya mengenai Proton Saga FLX SV, saya ada menyebut mengenai reputasi salah satu pesaingnya iaitu Perodua Viva yang semakin tercalar berikutan beberapa kes kemalangan maut melibatkan kereta tersebut, berikutan struktur kerangkanya yang begitu lemah. Ia terbukti semasa kemalangan maut di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) FT28 dekat Bukit Antarabangsa serta yang terbaru di Lebuhraya Persekutuan FT2 dekat Shah Alam; kedua-duanya melibatkan Perodua Viva yang mana kerangka kedua-dua kereta tersebut terkoyak seperti kertas, menyebabkan hampir kesemua pemandu dan penumpang (kesemua bagi kes MRR2 FT28) terbunuh. Berikutan kes-kes kemalangan maut melibatkan Perodua Viva, saya berasa amat kesal kerana tahap keselamatan kereta tersebut yang sebegitu teruk sehinggakan kerangka boleh terkoyak semasa kemalangan, sungguhpun harganya lebih kurang sama atau lebih mahal daripada Proton Saga FLX yang mendapat 3 bintang dalam Asean NCAP.

Mungkin ada di antara anda (terutamanya pemilik kereta Perodua Viva) akan berasa marah apabila membaca entri ini, tetapi niat saya di sini bukanlah untuk menjadi jurujual Proton ataupun menghina kereta buatan tempatan. Saya menulis entri ini kerana saya berasa amat kesal apabila sebuah pengeluar kereta yang sepatutnya mengeluarkan kereta mampu milik yang jimat minyak dan selamat untuk rakyat sebaliknya mengeluarkan "kereta tin Milo" yang tidak selamat tetapi lebih mahal daripada "kereta rakyat" sebenar yang masih dicemuh oleh sebilangan orang kita meskipun ia lebih selamat dan lebih murah.

Saya percaya, ramai pemilik Perodua Viva yang akan marah-marah dan mengatakan bahawa kesemua kereta lain hatta Mercedes-Benz dan BMW pun kereta tin Milo juga. Kepada golongan tersebut, cuba bertenang dan baca dahulu entri ini lebih lanjut untuk penerangan mengenai zon remukan (crumple zone), yang menjadi asas binaan kerangka kereta-kereta sekarang.

Pada zaman dahulu, persepsi masyarakat mengenai kereta ialah kereta yang lebih keras dan lebih kebal itulah yang dikatakan sebagai "selamat". Namun, tanggapan tersebut disanggah oleh Béla Barényi, seorang jurutera Mercedes-Benz yang digelar "Bapa Keselamatan Pasif" dalam bidang automotif, yang sebaliknya mengatakan bahawa kereta yang keras dan kebal itulah yang sebenarnya lebih berupaya membunuh pemandu serta penumpang terutamanya pada kelajuan tinggi, yang boleh ditunjukkan melalui persamaan E = ½ mv². Misalnya, kereta seberat 2,000 kg yang berlanggar pada kelajuan 60 km/j menghasilkan impak pelanggaran yang sama seperti jatuh dari bangunan setinggi 14.2 m, tetapi apabila kereta yang sama berlanggar pada kelajuan 90 km/j, impak pelanggaran adalah sama seperti jatuh dari bangunan setinggi 32 m, meningkat secara drastik sehingga 125%. Maka, beliau berpendapat bahawa untuk melindungi pemandu dan penumpang, impak pelanggaran mestilah diserap oleh badan kenderaan melalui bahagian yang mudah remuk secara terkawal. Maka, beliau berpendapat bahawa sebuah kereta yang selamat terdiri daripada ruang kabin yang keras dan kebal tetapi dalam masa yang sama mempunyai ruang but dan bonet yang mudah remuk secara terkawal. Sebab itulah jika diikutkan kereta-kereta sekarang kesemuanya "kereta tin Milo" - bezanya cuma bezanya cumalah kereta mana yang "lebih rasa tin Milo"!

Namun, cabaran yang dialami oleh mana-mana pengeluar kereta ialah menghasilkan kereta yang mempunyai ruang kabin yang keras dan kebal tetapi dalam masa yang sama pula mempunyai ruang bonet dan but yang cukup lembut, dengan menggunakan besi keluli yang sama jenis, untuk menangani impak pelanggaran pada kelajuan tinggi tanpa mencederakan atau membunuh pemandu dan penumpang. Maka, dua kriteria diperlukan untuk membolehkan keadaan tersebut dicapai - pemilihan jenis keluli serta rawatan haba yang dikenakan untuk memperkuatkan komponen-komponen tertentu pada kerangka.




Gambar rajah fasa keluli (besi-karbon) (kredit: Encik Ahmad dari Politeknik Kota Bharu)

Besi merupakan anugerah Allah yang amat berharga dalam peradaban manusia. Besi yang diekstrak dan dileburkan untuk dijadikan jongkong mempunyai kandungan karbon yang tinggi (besi tuang) bersifat rapuh dan kurang sesuai dijadikan kerangka kenderaan; oleh itu, kandungan karbon mestilah dikeluarkan dan dikawal sehingga mencapai peratusan tertentu dan seterusnya disejukkan atau dilindap kejut (quench) untuk menghasilkan keluli pada kekuatan yang dikehendaki. Namun, keluli biasa masih mempunyai limitasi dan had sebagaimana yang berikut (kredit kepada Encik Ahmad, seorang pensyarah dari Politeknik Kota Bharu) :-
  1. Kekuatan tegangan yang maksima ialah 700 N/mm2
  2. Komponen-komponen yang besar sukar untuk dikeraskan dengan berkesan dengan itu terhad untuk bahagian-bahagian yang kecil.
  3. Melindap-kejut (quench) dengan air menghasilkan kekerasan yang sepenuhnya tetapi terdedah kepada herotan dan retakan.
  4. Jika dilembutkan dengan cepat pada suhu 300 °C, kegunaannya terhad untuk memotong logam dengan kelajuan yang tinggi.
  5. Mempunyai daya rintangan yang rendah kepada kakisan dan pengoksidaan pada suhu yang tinggi.
Berikutan limitasi pada keluli karbon biasa, keluli yang selalunya digunakan dalam pengeluaran kereta ialah dari jenis keluli aloi rendah berkekuatan tinggi (high-strength low alloy steel) atau keluli HSLA. Keluli jenis ini turut dicampur dengan bahan-bahan pengaloian lain seperti mangan, fosforus, sulfur dan silikon bagi menghasilkan keluli yang bukan sahaja cukup kuat untuk dijadikan kerangka kereta, malah ia juga tahan kakisan.

Selain pemilihan jenis keluli, rawatan haba juga diperlukan agar setiap komponen kerangka yang terlihat mempunyai tahap kekuatan yang bersesuaian selaras dengan fungsi mereka. Teknik rawatan haba ini melibatkan pemanasan atau penyejukan logam seraca pantas atau perlahan bagi menambahkan kekuatannya, dan ia boleh melibatkan kerja lain seperti tempaan dan tekanan. Teknik sebegini  juga diamalkan oleh mana-mana tukang besi di dunia untuk memperkuatkan peralatan besi buatan mereka. Semasa membangunkan kerangka bagi Proton Preve, Proton menggunakan teknik tekanan panas sebagai rawatan haba bagi 12 komponen kritikal kerangka supaya kekuatan komponen-komponen tersebut ditingkatkan sehingga mencapai tahap ketegaran kilasan 19,000 N-m/darjah tetapi dalam masa yang sama menggunakan keluli HSLA ringan. Hasilnya, Proton Preve adalah kereta Proton yang paling selamat serta kereta keluaran Proton yang pertama berupaya memperolehi 5 bintang penuh dalam ANCAP. Ia merupakan peningkatan mendadak daripada hanya 1 bintang (seperti pada Proton Arena dan Proton Wira) kepada 3 bintang (seperti pada Proton Waja dan Proton Saga FLX), 4 bintang (Proton Exora) dan akhir sekali 5 bintang (Proton Preve). Peningkatan sebeginilah yang sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pengeluar kereta - daripada sebuah "kereta tin Milo" yang mudah kemek kepada sebuah kereta yang walaupun masih boleh kemek apabila dilanggar tetapi kabinnya cukup kebal untuk melindungi pemandu dan penumpang.




Babak dalam Top Gear mengenai Perodua Kelisa yang mencetuskan kontroversi di dalam Parlimen

Apa yang saya kesalkan tentang Perodua ialah ketiadaan inisiatif untuk meningkatkan tahap keselamatan kereta-kereta buatannya. Setakat tahun ini (2013), kereta Perodua yang paling selamat hanyalah Perodua Myvi yang memperoleh 3 bintang dalam Asean NCAP (sebenarnya Perodua Kembara lebih keras dan lebih selamat, tetapi model tersebut merupakan model SUV yang sudah lama dihentikan pengeluarannya). Anda tentunya masih ingat akan rancangan Top Gear di mana salah seorang daripada pengacaranya, Jeremy Clarkson, telah membeli sebuah Perodua Kelisa dan memusnahkannya pada hari yang sama - mengetuk bumbung dan bonet hadapan dengan tukul besi, menekan bumbung tersebut dengan tangan, dan seterusnya menggantung kereta tersebut menggunakan kren serta mengikat beban 1 tan pada kerangka hadapan Kelisa, menyebabkan bampar serta segala isi bonet kereta tersebut terburai, dan akhir sekali meletupkan Kelisa tersebut menggunakan dinamit. Babak tersebut kemudian dikecam oleh Parlimen Malaysia dengan dakwaan bahawa tiada satu pun komplen diterima daripada mana-mana pengguna Kelisa di United Kingdom. Namun, dari sudut kejuruteraan pula, jika kereta tersebut tidak mampu untuk menampung satu tan beban yang dikenakan pada mana-mana bahagian kerangka, maka sudah tentulah kereta tersebut terlalu berbahaya kerana jika berlaku kemalangan pada kelajuan tinggi, ada kemungkinan kerangka akan terkoyak kerana tidak mampu menampung daya yang terhasil akibat pelanggaran. Apa tidaknya, jika sebuah Perodua Kelisa dipenuhi 5 orang dewasa dengan berat purata 65 kg, membawa muatan di dalam but seberat 30 kg dan diisi setangki penuh minyak, maka berat beban tambahan yang perlu dipikul oleh sebuah kereta yang beratnya tidak sampai 700 kg itu sudah melebihi 400 kg. Jadi, Perodua sepatutnya mengambil iktibar dengan berusaha menambahkan kekuatan kerangka kereta-kereta buatan mereka - kalau tak boleh guna jenis keluli yang lebih berat, gunakanlah rawatan haba!

Jika kerangka kereta itu sendiri sudah tidak kuat, maka 8 biji beg udara pun tidak berupaya melindungi pemandu dan penumpang daripada impak pelanggaran yang kuat. Untuk pengetahuan anda, komponen terpenting bagi melindungi pemandu dan penumpang semasa kemalangan ialah kerangka kereta itu sendiri, kerana ia membentuk perlindungan keselamatan aktif. Tali pinggang keledar, alas kepala, lajur stereng mudah pecah serta beg udara pula membentuk perlindungan keselamatan pasif. Maka, jika sesebuah kereta itu dilengkapi pelbagai ciri keselamatan tetapi dalam masa yang sama pula badan kereta terlalu lemah dan mudah remuk seperti tin Milo, maka sia-sialah perlindungan pasif yang diberikan.

Kesimpulannya, semua pemain industri automotif di Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya dalam menghasilkan kereta yang selamat tetapi mampu milik kepada rakyat Malaysia. Memang benar, kita ada ramai pemandu bebal yang suka melanggar peraturan jalan raya, tetapi dalam masa yang sama kita memerlukan kenderaan yang cukup kuat untuk melindungi kita dan orang yang tersayang. Maka, kita berhak untuk memiliki kenderaan yang mampu memberi perlindungan secukupnya daripada "kejahatan" pemandu-pemandu bebal tersebut kerana melindungi diri dan orang tersayang juga sebenarnya satu bentuk jihad. Akhir kata, kereta buatan tempatan yang cukup kuat dan selamat juga secara tidak langsung berupaya menghentikan segala bentuk kecaman terhadap kereta buatan tempatan oleh orang-orang kita sendiri.

Thursday, June 20, 2013

Apa Kejadahnya: Pembohongan dan hipokrasi di sebalik lawatan pemantauan lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 / What The Hell: Lies and hypocrisy behind the Federal Highway FT2 motorcycle lane monitoring visit



Datuk Fadillah Yusof dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussen bermotosikal meninjau kepincangan dan kebobrokan di sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2
(kredit gambar: Kementerian Kerja Raya)

Salam sejahtera,

Seperti yang telah dijanjikan sebelum ini, Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Haji Fadillah Yusof, bersama-sama dengan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, telah turun padang melakukan pemantauan di sepanjang lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 berikutan kontroversi ketiadaan penyelenggaraan terhadap laluan berkenaan setelah video mengenainya telah dimuat naik di laman sosial Facebook dan seterusnya membangkitkan kemarahan orang ramai khususnya penunggang motosikal. Blog Jalan Raya Malaysia juga turut menyelar pihak-pihak yang terlibat mengenai kontroversi kebobrokan lorong motosikal tersebut tidak lama dahulu.

Lawatan tersebut diadakan pada kelmarin, 18 Jun 2013 jam 10.00 pagi bermula dari stesen LRT Universiti dan berakhir di Batu Tiga. Saya sepatutnya menghadiri acara berkenaan pada masa tersebut, tetapi saya tidak dapat menghadirinya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun, di sebalik wajah-wajah ceria kedua-dua menteri berkenaan memeriksa keadaan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 sebenarnya terselit pembohongan dan hipokrasi yang dimainkan oleh pihak-pihak yang sepatutnya diamanahkan untuk menyelenggara lorong motosikal berkenaan serta segelintir media massa arus perdana.

Pada hari sebelumnya, semasa saya menuruni Kerinchi Link E23 ke Lebuhraya Persekutuan FT2 arah Kuala Lumpur, saya terkejut melihat lorong-lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 diturap cantik, beraspal mulus dan garisan jalan dicat terang. Ini kes penipuan pertama di sebalik lawatan dua menteri tersebut. Memanglah elok kalau lorong motosikal yang selama ini keadaannya lebih teruk daripada jalan raya di Afghanistan itu diturap semula, tetapi soalnya kenapa sekarang baru hendak turap? Kenapa sebelum ini langsung tak kisah nak turap balik? Kenapa bila dua orang menteri hendak datang memeriksa barulah terhegeh-hegeh nak turap balik? Kenapa, takut kena marahkah dengan bukan satu tapi dua orang menteri sekaligus? Eloklah kalau mereka kena marah dengan Datuk Fadillah dan Datuk Seri Hishamuddin, sekurang-kurangnya selepas ini puak-puak yang sepatutnya menyelenggara lorong motosikal itu sedar diri dan tidak lagi berseronok-seronok tidur lena dan makan gaji buta hasil cukai jalan daripada duit rakyat! Tindakan menipu dua orang menteri sebegitu hanya akan memperbodohkan diri sendiri, kerana rakyat sekarang sudah celik dan tidak lagi mudah diperbodohkan. Tanyalah mana-mana penunggang motosikal yang melalui lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2, selama ini pernahkah pihak-pihak yang diberi amanah menyelenggara lorong motosikal itu menurap semula laluan berlubang di samping penyelenggaraan lain? Rata-rata jawapan mereka mudah sahaja - tak ada. Nampak? Nak buat perangai munafik sebegitu pun agak-agaklah sikit!

Perangai hipokrit kedua di sebalik lawatan dua menteri di sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 ialah sikap masuk bakul angkat sendiri yang dimainkan oleh sebuah akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Sudahlah masuk bakul angkat sendiri, siap buat perangai "lembu punya susu, sapi dapat nama" pula tu! Sebenarnya, akhbar yang benar-benar bersusah-payah memperjuangkan isu kebobrokan lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 ialah sebuah akhbar arus perdana berbahasa Inggeris, The Star, bukannya akhbar berbahasa Melayu yang syok sendiri itu! Memang dasar tak tahu malu, bila video mengenai segala cacat-cela lorong motosikal itu dimuat naik ke laman Facebook barulah terhegeh-hegeh nak cari berita tentang lorong motosikal. Sebenarnya, seminggu yang lalu saya ada menghantar sepucuk surat pembaca kepada akhbar terbabit memohon agar kerajaan mengkaji semula piawaian yang digunakan pada lorong motosikal yang sudah tidak lagi relevan sekarang serta memohon agar pihak polis menangguhkan sementara tindakan saman terhadap penunggang yang enggan menggunakan lorong motosikal sehinggalah lorong motosikal disahkan benar-benar selamat, tetapi sehingga hari ini ia langsung tidak disiarkan. Ia memang menunjukkan bahawa akhbar terbabit juga tidak amanah. Sepatutnya sebagai akhbar arus perdana, akhbar tersebut sepatutnya bertanggungjawab menjadi media penghubung antara kerajaan dan rakyat, serta menjadi wadah bagi rakyat meluahkan masalah kepada kerajaan untuk ditangani segera, bukannya sebagai alat propaganda yang dipenuhi rencana-rencana mengampu pemimpin dan mengutuk parti lawan sepanjang masa! Patutlah masyarakat khususnya orang-orang muda sudah tidak lagi mempercayai berita yang dicanangkan dalam surat khabar, memandangkan isi kandungannya sudah hilang kredibilitinya. Anda nak tahu apa nama akhbar yang saya maksudkan? Akhbar yang saya maksudkan itu ialah Berita Harian.

Apa pun, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Fadillah dan Datuk Seri Hishamuddin kerana sudi meluangkan masa membuat tinjauan terhadap keadaan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2, meskipun ia dicemari dengan penipuan dan hipokrasi oleh pihak yang mahu menutup pekung sendiri daripada dilihat oleh kedua-dua menteri tersebut. Namun, jika benar kerajaan benar-benar prihatin dan serius dalam menangani isu kebobrokan lorong motosikal, berikut saya senaraikan beberapa tuntutan kepada pihak terlibat agar isu kontroversi lorong motosikal dapat dibanteras secara total:-

  1. Lebar minimum mestilah sekurang-kurangnya 3.81 m supaya sesuai dgn had laju 70-80 km/j (4.25 m bagi kes Lebuhraya Guthrie E35 untuk had laju reka bentuk 120 km/j, dan wajib ada bahu jalan keras tersendiri)
  2. Besarkan jejari selekoh, jangan ada lagi selekoh tajam 90 darjah
  3. Buat susur keluar kecemasan setiap 2 km supaya penunggang dalam kecemasan (seperti dikejar perompak dsb.) boleh keluar dengan selamat
  4. Hantar polis meronda lorong motor sepanjang masa, dan tingkatkan kekerapan pada waktu malam
  5. Bina pos kawalan polis setiap 2 km
  6. Gantikan kesemua penutup longkang jenis besi kepada jenis konkrit
  7. Buang semua pokok di kiri dan kanan lorong motor supaya tiada lagi tempat untuk perompak dan binatang berbisa menyorok
  8. Sentiasa menyelenggara rumah pam secara berkala
  9. Pasang lampu jalan di sepanjang lorong motor dan terowong, dan kalau ada mentol yang terbakar, gantikannya dengan serta-merta dan jangan tunggu
  10. Sentiasa pastikan lorong motor berturap cantik, selesa dan sempurna, bukannya tunggu menteri nak datang baru terhegeh-hegeh nak turap
  11. Lakukan perkara yang sama di lorong motosikal Lebuhraya Shah Alam E5, Lebuhraya Guthrie E35 dan lorong-lorong motosikal di Putrajaya.
  12. INI PALING PENTING --> Kaji semula Arahan Teknik yang digunakan dan gubal semula satu Arahan Teknik baharu khusus untuk lorong motosikal. Arahan Teknik (Jalan) 10/86: A Guide to the Design of Cycle Track sudah tidak lagi relevan memandangkan motosikal kapcai moden rata-ratanya boleh mencecah kelajuan lebuh raya 110-120 km/j dengan mudah; oleh itu, ia TIDAK BOLEH DIGUNAKAN sama sekali untuk membina lorong motosikal.
Apa pun langkah pemulihan yang diwarwarkan oleh Datuk Fadillah, saya tidak mahu penurapan semula serta pembaikan terhadap lampu-lampu terowong hanya dilakukan sekadar ubat tutup mulut dan berhenti menyelenggara lorong motosikal. Beberapa laporan oleh The Star pernah mendedahkan mengenai isu lorong motosikal beberapa tahun lalu, dan pembaikan yang dilakukan hanya sekadar ubat tutup mulut dan kemudiannya tidak lagi diselenggara menjadi semakin teruk. Kepada dua golongan munafik itu tadi, sudah-sudahlah membuat wayang bodoh sebegini, jika tidak api nerakalah padahnya.

Monday, June 17, 2013

Jalan 1Malaysia - usaha 3 anak muda memartabatkan jalan raya Malaysia yang tidak dihargai / 1Malaysia Road - an unappreciated effort of upholding Malaysian highway by 3 youths




Salam sejahtera,

Semasa saya sedang melakukan kajian bagi menghasilkan reviu Lebuhraya Sungai Besi E9, saya terjumpa laman web Jalan 1Malaysia secara tidak sengaja. Laman ini diusahakan oleh tiga orang anak muda bernama Acai, Alan dan Peter yang bersungguh-sungguh mahu mempromosikan Jalan Persekutuan 1 sebagai destinasi pelancongan kembara jalan raya yang mesra alam. Mereka turut menggesa kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya agar mewartakan Jalan Persekutuan 1 ini sebagai Jalan Raya 1Malaysia.

Kenapa mereka mahu menamakan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan Raya 1Malaysia? Ada banyak sebab kenapa mereka wajar membuat gesaan sedemikian. Pertama sekali, sudah tentulah kerana nama Jalan Persekutuan 1 itu sendiri. Kedua, jalan raya persekutuan ini menganjur dari Bukit Kayu Hitam di sebelah utara sehinggalah ke Johor Bahru di selatan, menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama merentasi desa dan kota. Maka, jalan persekutuan ini banyak jasanya kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai penghubung utama lalu lintas dari utara sehingga ke selatan sambil membawa semangat 1Malaysia selama hampir seabad sehinggalah peranan tersebut diambil alih oleh Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Malah, sebahagian Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Jitra ke Bukit Kayu Hitam sebenarnya merupakan naik taraf Jalan Persekutuan 1 kepada lebuh raya kembar. Sepanjang laluan, sebenarnya ada lebih 92 nama-nama berbeza bagi Jalan Persekutuan 1 mengikut jajaran yang dilaluinya, yang sudah tentunya menyeksa otak untuk menghafal kesemuanya. Dengan itu, ada baiknya kita merujuk jalan tersebut sebagai Jalan Persekutuan 1, ataupun Jalan Raya 1Malaysia.

Terus-terang saya katakan, saya amat mengagumi kesungguhan ketiga-tiga anak muda ini memartabatkan Jalan Persekutuan 1 dengan memohon agar kerajaan mengisytiharkan jalan FT1 ini sebagai Jalan Raya 1Malaysia. Mereka turut membuat kajian sendiri mengenai laluan bersejarah tersebut serta tampil dengan idea-idea mesra alam seperti membina hentian rehat mini untuk penunggang basikal di sepanjang laluan. Mereka juga mahu menjelajah keseluruhan jajaran Jalan Persekutuan 1 dari kilometer sifarnya di Johor Bahru sehinggalah ke kilometer terakhirnya di Bukit Kayu Hitam. 

Malangnya, perjuangan murni tiga anak muda yang menjunjung prinsip 1Malaysia bagi memartabatkan Jalan Persekutuan 1 ini nampaknya tidak dihargai anak watan sendiri, termasuklah kerajaan sendiri. Mereka pernah memohon sendiri kepada Kementerian Kerja Raya agar mengisytiharkan jalan persekutuan yang terlalu banyak berjasa kepada seluruh rakyat Malaysia ini sebagai Jalan 1Malaysia tetapi tidak menerima sebarang respon. Mereka berhasrat mengembara di sepanjang Jalan Persekutuan 1 dari hujung ke hujung dengan menaiki basikal tetapi tidak memperoleh sebarang tajaan walau sesen pun. Serius saya katakan, saya berasa amat kecewa dan sedih kerana usaha tiga orang pemuda harapan negara ini nampaknya tidak dihargai oleh anak bangsa senegara sendiri. Janganlah kerana mereka hanya berbasikal maka perjuangan mereka memartabatkan Jalan Persekutuan 1 disia-siakan semata-mata!

Jika diberi kesempatan, saya bagi pihak Blog Jalan Raya Malaysia ingin bertemu dengan tiga anak muda yang bersungguh-sungguh mahu memartabatkan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan Raya 1Malaysia. Saya ingin menjemput mereka untuk menjadi sebahagian daripada warga Blog Jalan Raya Malaysia. Buat masa sekarang, izinkan saya untuk menunaikan hasrat mereka memartabatkan Jalan Persekutuan 1 bagi pihak mereka. Kepada sesiapa yang mengenali tiga anak muda ini, sila maklumkan kepada saya melalui e-mel di squall_shinoda@hotmail.com. Kepada Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Haji Fadillah Yusof, saya menggesa Datuk serta kementerian pimpinan Datuk agar tidak mensia-siakan penat-lelah tiga pemuda harapan bangsa ini memartabatkan Jalan Persekutuan 1, selaras dengan Dasar Memartabatkan Jalan Persekutuan oleh Kementerian Kerja Raya sendiri. Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak, saya menggesa agar Datuk Seri menisytiharkan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan Raya 1Malaysia selarat dengan semangat 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kepada Kementerian Pelancongan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, saya juga menggesa agar menggerakkan segala usaha bagi menjadikan Jalan Persekutuan 1 sebagai destinasi pelancongan kembara jalan raya mesra alam sebagai tarikan utama pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014. Hanya jika kerajaan dan rakyat sama-sama berganding bahu memartabatkan Jalan Persekutuan 1, tidak mustahil zaman kegemilangannya yang telah dirampas oleh Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 itu bukan sahaja dapat dikembalikan, malah Jalan Persekutuan 1 akan berupaya untuk terus berjasa kepada seluruh pelosok rakyat Malaysia untuk beberapa dekad akan datang.

Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) E9 / Sungai Besi Expressway (Besraya) E9

Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin bawakan kepada anda satu reviu bagi sebuah lebuh raya yang kalau diikutkan kerap saya gunakan terutamanya bagi memintas kesesakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37, tetapi saya belum pernah membuat reviu mengenainya selama ini. Lebuh raya yang saya maksudkan itu ialah Lebuhraya Sungai Besi E9, juga dikenali sebagai Lebuhraya Besraya E9, sepanjang 14.8 km. Kenapa selama ini saya langsung tidak pernah mengambil kesempatan membuat reviu lebuh raya ini? Teruskan membaca reviu kali ini untuk mengetahui sebabnya.

Lebuh raya ini mempunyai sejarah awal yang saya sifatkan sebagai "agak kelakar". Projek lebuh raya ini sebenarnya adalah naik taraf bagi Jalan Sungai Besi B13 yang asalnya hanya dua lorong sahaja. Secara kebetulan, Lebuhraya KL-Seremban E37 dibina selari dengan Jalan Sungai Besi B13, dan pada awal 1990an asalnya kawasan di bahagian selatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak ramai penduduk kecuali di pekan Salak Selatan, Sungai Besi, Seri Kembangan dan Serdang Lama. Namun demikian, kawasan tersebut mula membangun dengan pesat setelah kerajaan persekutuan mengambil keputusan untuk membina Stadium Nasional Bukit Jalil setelah Malaysia terpilih sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 1998. Hasilnya, kawasan Bukit Jalil yang asalnya merupakan kawasan estet terus bertukar menjadi kawasan perumahan. Pembinaan Mines Resort City di Serdang yang dimulakan dengan pembinaan Mines Wonderland turut mencipta aura pembangunan di kawasan selatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Maka, sudah tentulah Jalan Sungai Besi B13 sedia ada tidak mampu menampung kadar aliran trafik yang naik mendadak, memandangkan jalan tersebut asalnya hanya dua lorong sahaja. Sehubungan dengan itu, kerajaan mengambil keputusan untuk melancarkan projek naik taraf Jalan Sungai Besi B13 kepada jalan raya kembar.

Apa yang menjadikan sejarah awal Lebuhraya Besraya E9 ini "kelakar" ialah kerana projek tersebut asalnya dinamakan sebagai projek naik taraf Jalan Sungai Besi, tetapi entah bagaimana agaknya Jalan Sungai Besi yang dinaik taraf kepada jalan raya kembar itu diwartakan sebagai "lebuh raya ekspres" dan diberi kod E9. Ia jelas menunjukkan budaya flip-flop Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu, terhadap projek tersebut, serta turut menyerlahkan kekorupan beliau kerana seolah-oleh memberi "lampu hijau" bagi pembinaan "lebuh raya ekspres" yang langsung tidak menepati piawaian kawalan masuk penuh. Apa tidaknya, seperti Lebuhraya Damansara-Puchong E11 yang kontroversi itu, E9 dibina dengan sekadar melebarkan Jalan Sungai Besi B13 sedia ada, membina persimpangan bertingkat, memasang pembahagi jalan, membina plaza tol, dan poof! Dah siap! Bilangan simpang-simpang kecil yang sebegitu banyak tidak pula ditangani. Apa pun, nasib baik aliran trafik sepanjang E9 sentiasa lancar, jika tidak lancar maka sudah tentulah saya akan mengecam "lebuh raya" ini sehebat-hebatnya, sebagaimana nasib yang menimpa LDP E11. Kutipan tol di E9 dijalankan oleh Besraya Sdn. Bhd., anak syarikat Road Builder, bermula Mei 1999 iaitu sebaik sahaja E9 siap dibina. Road Builder kemudiannya diambil alih oleh IJM.

Saya memulakan perjalanan dari arah Sri Serdang dan UPM dam memasuki E9 melalui Exit 901 Persimpangan UPM, juga dikenali sebagai Exit 209 di Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan Exit 1810 di Lebuhraya Kajang Silk E18. Sebenarnya, jajaran asal B13 bukan sekadar Jalan Sungai Besi sahaja yang kini membentuk Lebuhraya Besraya E9; sebenarnya, jajaran Jalan Sungai Besi dari Exit 901 / Exit 1810 ke Exit 1809 Persimpangan Uniten membentuk sebahagian daripada Lebuhraya Kajang Silk E18, manakala Jalan Sungai Merab dari Uniten sehingga ke Bandar Baru Bangi merupakan satu-satunya jajaran B13 yang masih tinggal. Lebuhraya Sungai Besi E9 dibina selebar 6 lorong (walaupun ada sebahagian kecil jajaran yang dibina 4 lorong sahaja), manakala jajaran Uniten-UPM bagi Lebuhraya Kajang Silk E18 pula dibina 4 lorong sahaja. Sementara itu pula, Jalan Sungai Merab B13 juga dinaik taraf kepada jalan raya kembar, tetapi hanya setakat sehingga Persimpangan Sungai Merab, manakala baki jajaran selebihnya kekad 2 lorong.

Tidak lama selepas memasuki E9, sudah ada Kawasan Rehat dan Rawat Serdang, yang terdiri daripada tandas awam dan sebuah stesen minyak BHPetrol. Sekarang ada satu lagi stesen minyak di situ, iaitu stesen minyak Petronas Solaris Serdang. Kenapa namanya begitu? Stesen minyak Petronas Solaris Serdang ini sebenarnya menadah air hujan bagi membentuk sebahagian daripada bekalan airnya, serta mempunyai panel suria bagi menjana elektrik. Namun, air hujan yang ditadah itu sebenarnya hanyalah digunakan untuk kegunaan tandas serta bagi menyiram bunga, manakala kedai-kedai makanan di situ masih menggunakan air paip biasa. Stesen tersebut juga menggunakan lampu-lampu LED yang paling jimat elektrik. Seterusnya, lebihan tenaga elektrik yang dijana daripada panel suria di situ dijual semula kepada Tenaga Nasional Berhad bagi kegunaan rumah. Mesra alam, bukan? Stesen minyak tersebut memang besar; ia berupaya menyediakan bekalan petrol bagi kedua-dua Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan Lebuhraya Besraya E9, dan ada empat restoran pandu lalu termasuklah KFC. Anda juga boleh mengepam tayar kenderaan anda menggunakan gas nitrogen di sini.

Apa yang menyukarkan saya untuk mengambil gambar di sepanjang E9 ialah ketiadaan bahu jalan keras di kebanyakan jajaran. Akibatnya, saya terpaksa mencari bahu jalan lembut dan mengambil gambar dengan cepat untuk mengelakkan sebarang kebarangkalian rempuhan dari belakang. Maka, sudah tentulah saya terlepas banyak pemandangan menarik di sepanjang E9.

Sebaik melepasi pekan Serdang Lama, had laju diturunkan daripada 90 km/j kepada 60 km/j berikutan selekoh S merentangi landasan kereta api komuter dan ERL.Sebaik melepasi selekoh tersebut, saya tiba di Stesen Komuter Serdang serta Exit 902 Persimpangan Mines dan Exit 903 Persimpangan Sri Kembangan. Jika diperhatikan, Exit 902 Persimpangan Mines ini sememangnya hasil karya kejuruteraan jalan raya yang begitu indah sekali kerana berjaya dibina di kawasan yang begitu sempit. Persimpangan bertingkat yang berharga RM21 juta ini dibina pada tahun 2004 dan siap pada tahun 2006. Sebelum adanya persimpangan ini, Exit 902 asalnya merupakan sebuah persimpangan lampu isyarat searas, manakala Exit 903 merupakan persimpangan separa berlian yang memang sudah lama dibina sebelum Lebuhraya Sungai Besi E9 dibina. Memang kelakar jika difikirkan, sebuah "lebuh raya ekspres" boleh ada persimpangan lampu isyarat! Sebenarnya ia bukanlah perkara baharu, memandangkan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Jitra ke Bukit Kayu Hitam memang ada banyak persimpangan lampu isyarat. Kes E1 tadi boleh diterima kerana jajaran tersebut dibina sebelum piawaian sebenar lebuh raya ekspres dibangunkan. Namun bagi kes E9, ia tidak sepatutnya berlaku. Namun sebenarnya kekangan yang dialami Besraya ialah berikutan Mines Wonderland yang masih dibuka pada ketika itu. Hanya setelah Mines Wonderland ditutup, barulah Besraya memperoleh lampu hijau serta ruang mencukupi bagi membina Exit 902 Persimpangan Mines. Tidak cukup dengan itu, sepasang jejambat panjang yang memintas Mines Shopping Fair, menjadikan jajaran tersebut sebagai sebahagian daripada kawasan penyelenggaraan Besraya. Hanya setelah jejambat tersebut tamat barulah Lebuhraya Kajang Silk E18 bermula.

Jajaran dari Exit 902 sehingga ke Plaza Tol Mines pula dibina selari dengan kolam bekas lombong Sungai Besi yang kini sudah bertukar menjadi sebuah resort. Namun, pokok-pokok besar menghalang pemandangan kolam tersebut. Sementara itu pula, Plaza Tol Mines dipecahkan kepada dua bahagian - plaza tol bagi lalu lintas arah utara terletak betul-betul sebelum Exit 905 Persimpangan Sungai Besi, manakala plaza tol arah selatan pula terletak betul-betul selepas jalan masuk ke Selangor Turf Club dan Lebuhraya Bukit Jalil FT217.

Exit 905 Persimpangan Sungai Besi asalnya ialah sebuah persimpangan separa berlian dengan lampu isyarat. Akibatnya, longgokan kenderaan sering berlaku berikutan kehadiran lampu isyarat yang menghalang laluan terus tanpa gangguan. Sehubungan dengan itu, persimpangan tersebut pula diubahsuai bagi menyediakan laluan terus bagi lalu lintas dari arah utara, selatan dan pekan Sungai Besi. Sungguhpun aliran lalu lintas kali ini lebih bebas, namun satu selekoh S terhasil apabila E9 melintasi landasan kereta api komuter dan ERL, menyebabkan had laju kali ini terpaksa diturunkan kepada hanya 50 km/j. Selekoh S sudah tamat, jom kita teruskan perjalanan!

Persimpangan seterusnya ialah Exit 906A Persimpangan MRR2 bagi lalu lintas arah selatan yang hendak ke Lebuhraya Shah Alam E5 serta dari E5 ke arah utara. Persimpangan berikutnya pula merupakan satu persimpangan lengkap, bukannya persimpangan separa seperti tadi. Exit 906B Persimpangan TBS (Terminal Bersepadu Selatan) membawa anda ke Terminal Bersepadu Selatan, sebuah stesen bas besar yang disepadukan dengan beberapa mod pengangkutan awam lain seperti komuter, LRT dan ERL. Stesen bas ini mengendalikan perjalanan bas-bas bagi arah selatan sahaja.

Tidak jauh dari Exit 906B Persimpangan TBS terletaknya Kampung Malaysia Raya. Ada yang mendakwa kampung tersebut mendapat namanya daripada penubuhan Malaysia itu sendiri, tetapi sebenarnya kampung tersebut mula diteroka pada tahun 1969 setelah Pejabat Tanah Daerah Petaling pada masa itu meluluskan pembukaan kampung itu bagi pihak kerajaan negeri Selangor. Untuk pengetahuan anda, Kampung Malaysia Raya merupakan penempatan Melayu terakhir berstatus kampung di Selangor (dan seterusnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Nama Kampung Malaysia Raya sebenarnya berasal daripada nama kapal laut yang pernah berjasa mengangkut ramai jemaan haji selama lebih daripada sedekad sebelum ia musnah terbakar pada 23 Ogos 1976.

Exit 907 Persimpangan Kuchai Lama berasal daripada sebuah simpang empat sebelum ia diubahsuai bagi menyediakan laluan terus untuk E9. Akibat tidak berupaya mendapatkan shot yang paling sesuai untuk mengambil gambar, saya terlajak masuk ke bawah jejambat. Dari situ saya juga boleh nampak bahagian bawah jejambat Lebuhraya Maju E20 yang merentangi kawasan tersebut. Apa pun, nasib baik persimpangan ini membenarkan saya kembali semula memasuki E9 dengan hanya membelok ke kanan. Seterusnya, saya dikejutkan dengan laluan berasingan bagi E9 - jajaran asal Jalan Sungai Besi B13 yang melalui bahagian bawah Lebuhraya KL-Seremban E37 kini dijadikan lalu lintas arah utara, manakala bagi lalu lintas aras selatan pula, sebuah jejambat dibina di atas E37 sebelum kedua-duanya bertemu kembali di tapak asal Plaza Tol Salak.

Plaza Tol Salak dirobohkan setelah kutipan tol di situ ditamatkan pada 24 Februari 2009, hampir 10 tahun selepas pembukaan rasmi Lebuhraya Sungai Besi E9. Namun, bekas ibu pejabat plaza tol tersebut masih lagi berdiri kukuh tanpa dirobohkan. Exit 908 Persimpangan Salak Jaya terletak betul-betul selepas tapak plaza tol lama itu.

Seterusnya, Exit 909 Persimpangan Hubungan Timur-Barat dihubungkan dengan Lebuhraya Hubungan Timur-Barat Kuala Lumput E37, tetapi anda hanya boleh membelok ke kiri sahaja, seterusnya memerlukan anda membuat pusingan U jika anda berhasrat untuk ke kanan. Seterusnya, E9 melintasi landasan kereta api komuter dan ERL buat kali terakhir di Salak Selatan melalui sebuah jejantas. Sebelum itu, terdapat jalan masuk ke pekan Salak Selatan, yang sebenarnya merupakan jajaran lama B13 yang tidak digunakan.

Pemansuhan kutipan tol Salak memang mengurangkan pendapatan Besraya, tetapi Besraya sebenarnya berupaya memperoleh punca pendapatan baru setelah kerajaan bersetuju meluluskan pembinaan jajaran sambungan Lebuhraya Besraya E9 yang turut dikenali sebagai Lebuhraya Shamelin E9, bak kata pepatah "patah tumbuh, hilang berganti". Buat masa ini, kerja-kerja pembinaan masih lagi berlangsung. Lebuhraya Sungai Besi E9 tamat di Exit 910 Persimpangan Istana, yang mana ia dihubungkan dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 serta Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur.

Secara amnya, saya kurang berpuas hati dengan pembinaan E9 yang langsung tidak memenuhi keperluan piawaian lebuh raya ekspres, namun IJM sebenarnya sudah menunjukkan peningkatan ketara bagi kualiti pembinaan lebuh raya ekspres. Bermula dengan Lebuhraya Sungai Besi E9 yang langsung tak ikut piawaian, IJM terus mara melalui Lebuhraya baru Pantai E10, dan hasil karya terkini IJM ialah Lebuhraya Lekas E21 yang saya sifatkan sebagai lebuh raya terbaik pernah dibina oleh IJM. Anda boleh saksikan sendiri tahap kemajuan IJM dalam industri lebuh raya ekspres. Apa pun, saya amat memuji IJM dan Besraya kerana kadar aliran trafik di sepanjang E9 sangat lancar walaupun tidak mengikut piawaian lebih raya ekspres. Lebuhraya Sungai Besi E9 juga sememangnya lebuh raya tol paling menguntungkan buat IJM.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E9
Panjang: 14.8 km
Arah laluan: Utara-Selatan
Bilangan lorong: 4 (Exit 902 Persimpangan Mines / Exit 903 Persimpangan Sri Kembangan); 6 (semua jajaran lain)
Senarai persimpangan: Klik sini







Memasuki Lebuhraya Besraya E9 dari Exit 901 Persimpangan UPM






Stesen minyak Petronas Solaris Serdang yang mesra alam






Tandas awam di Hentian Rehat Serdang






Exit 902 Persimpangan Mines - satu bentuk mahakarya kejuruteraan lebuh raya Malaysia






Pembinaan jejambat panjang yang memintas Mines Shopping Fair ini menjadikan jajaran ini sebahagian daripada E9






Stesen kereta api Serdang






Plaza Tol Mines Selatan






Jajaran E9 di sini selari dengan landasan kereta api komuter dan ERL






Jalan masuk ke Selangor Turf Club dan Lebuhraya Bukit Jalil FT217 terletak betul-betul sebelum Plaza Tol Mines Selatan dari arah KL






Plaza Tol Mines Utara






Exit 905 Persimpangan Sungai Besi ini asalnya persimpangan separa berlian dengan lampu isyarat






Lambakan simpang-simpang jalan kecil inilah yang boleh menjadikan lebuh raya jadi sesak






Exit 606B Persimpangan TBS bagi mereka yang ingin pulang ke kampung






Kampung Malaysia Raya






Exit 907 Persimpangan Kuchai Lama






Jejambat Lebuhraya Maju E20 boleh dilihat dengan terang dan jelas






Laluan berasingan: lalu lintas arah Kuala Lumpur melalui jajaran asal manakala lalu lintas asal melalui satu jejambat berasingan merentangi Lebuhraya KL-Seremban E37






Keadaan di bekas tapak plaza tol Salak sekarang






Exit 908 Persimpangan Salak Jaya






Exit 909 Persimpangan Hubungan Timur-Barat






Projek sambungan Lebuhraya Sungai Besi E9 nampaknya berjalan dengan lancar






Lebuh raya tamat di Exit 910 Persimpangan Istana

Advertisement