Friday, July 26, 2013

Sejarah Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar / The history of Sultan Ismail Bridge FT5 in Muar

Salam sejahtera,

Kali ini, Blog Jalan Raya Malaysia amat berbesar hati untuk berkongsi sejarah awal bagi jambatan pertama Muar iaitu Jambatan Sultan Ismail FT5. Terima kasih kepada blog Muzium Muar kerana sudi mendokumentasikan sejarah awal jambatan tersebut untuk dikongsi bersama-sama para pembaca.

Terdapat beberapa sejarah awal mengenai jambatan ini yang rata-rata di kalangan kita tidak sedari. Misalnya, jambatan ini merupakan jambatan tol kedua di Malaysia selepas Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 di Kota Bharu. Selain itu, tiga bulatan utama di Muar iaitu Bulatan Bentayan (dikenali sebagai Bulatan Bakri semasa Jambatan Sultan Ismail FT5 baru dibuka), Bulatan Sulaiman dan Bulatan Khalidi yang pernah saya sebutkan dalam entri laluan FT5 di Muar juga sebenarnya turut dibina pada masa itu. Selain itu, persimpangan antara Jalan Maharani, Jalan Salleh J32, Jalan Bakri FT5 dan Jambatan Sultan Ismail FT5 asalnya merupakan bulatan sebelum ia ditukarkan menjadi simpang empat. Selain itu, jambatan ini juga dibina serentak dengan Jambatan Peserai FT5 di Batu Pahat, juga dibina oleh kontraktor yang sama iaitu Wing Co. Ltd. dan Development Services Ltd.



(Sempena Ulangtahun ke-46 Perasmian Jambatan Sultan Ismail Muar pada 16 April 1967)

Jambatan Sultan Ismail berhampiran Laman Maharani sekarang

Jambatan Sultan Ismail merupakan jambatan pertama yang dibina merentangi Sungai Muar yang menghubungkan Bandar Maharani dengan Tanjung Agas.

Sebelum pembinaan jambatan ini, penduduk yang ingin ke Seberang (panggilan untuk ke Tanjung Agas dan Melaka) terpaksa menyeberangi Sungai Muar menggunakan kemudahan feri yang dipanggil Penambang. Penambang atau feri ini mula beroperasi sekitar tahun 1890 sejak Muar dibuka dengan rasmi oleh Almarhum Sultan Abu Bakar.

Oleh kerana pembangunan pesat ketika itu, Penambang dirasakan tidak dapat menampung kenderaan yang ingin menyeberang Sungai Muar. Perjalanan menggunakan feri ini agak memakan masa malah membahayakan terutamanya pada musim banjir. Oleh itu, cadangan telah dibuat untuk membina sebuah jambatan yang akan menghubungkan Bandar Muar ke Tanjung Agas dan Melaka.

Sejarah

Pada asalnya, kerajaan hanya bercadang untuk membina jambatan merentangi Sungai Batu Pahat sahaja. Tetapi setelah menerima desakan dari penduduk Muar, maka kerajaan menambah cadangan membina jambatan bagi Muar dan Batu Pahat. Cadangan untuk membina kedua-dua jambatan itu telah dimasukkan di dalam Rancangan Malaya Kedua (1961-1966)oleh Jabatan Kerja Raya dan diumumkan oleh Menteri Kerjaraya ketika itu, Tun V.T Sambanthan.

Kerajaan kemudiannya telah membuka pelawaan tender pada tahun 1960 dan menerima 25 tender dari 10 firma yang berminat di mana dua daripadanya merupakan syarikat dari Perancis yang berpangkalan di sini. Kerajaan terpaksa menunggu hampir 4 tahun bagi mendapatkan pembiayaan bagi membina jambatan tersebut.

Akhirnya, pada bulan Julai 1964 kerajaan telah mengumumkan dua buah syarikat tempatan iaitu Wing Co. Ltd dan Development Services Ltdtelah memenangi tender berjumlah RM5.2 juta bagi kedua-dua buahjambatan Muar & Batu Pahat.

Kos Pembinaan

Pada mulanya, kerajaan menganggarkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi pembinaan kedua-dua buah jambatan tersebut dan akhirnya kerajaan berjaya mendapatkan pembiayaan sebanyak RM9 juta hasil pinjaman dari Chase Manhattan Bank.

Bagi Jambatan Sultan Ismail Muar, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.25 juta bagi kerja-kerja pembinaannya. Kerja-kerja pembinaanya telah dimulakan pada penghujung tahun 1965 dan siap sepenuhnya pada awal tahun 1967. Ianya dibina hanya 1.5 kilometerdari Tangga Batu iaitu Terminal Feri Penambang Muar.


Tangga Batu, terminal feri Penambang Muar

Kerja-kerja Pembinaan

Jambatan sepanjang 1,264 kaki (385 meter) dibina dengan keluasan 24 kaki (7 meter) bagi lorong kenderaan, 8 kaki (2 meter) bagi laluan motosikal/basikal, dan 5 kaki bagi lorong pejalan kaki. Ianya boleh menampung bebanan sebanyak 500 tan bagi setiap 100 kaki (30 meter).

Bagi menyiapkan jambatan ini, 4 pontun digunakan untuk membawa pembancuh konkrit, simen, pasir dan kren setinggi 120 dengan lif seberat 50 tan di mana sebanyak 2 buah jeti dibina khusus untuk memuatkan acuan rasuk konkrit.

Kerja-kerja memasang rasuk konkrit (Sumber : Akhbar The Straits Times Singapura)

Jambatan tersebut dibina di atas 48 cerucuk besi khas yang diimport dari Jerman dan diperkuat dengan 82 cerucuk konkrit. Dianggarkan lebih daripada 9,000 meter padu konkrit dan 2100 tan keluli serta tenaga kerja sebanyak 130 orang telah digunakan ketika pembinaan jambatan tersebut.

Dengan pembinaan jambatan ini, pengguna jalan raya dari Johor Bahru ke Melaka ketika itu telah menjimatkan lebih kurang 64 km berbanding melalui jalan Segamat-Tangkak-Jasin.

Bulatan Jalan Yahya berhampiran Padang Nyiru (sekarang bulatan ini telah digantikan dengan lampu isyarat)

Untuk menangani kebanjiran lalulintas akibat dari pembinaan jambatan tersebut, 4 buah bulatan (roundabout) telah dibina dengan kos sebanyakRM1 juta iaitu Bulatan Jalan Yahya, Bulatan Jalan Bakri, Bulatan Jalan Sulaiman dan Bulatan Jalan Khalidi.

Perasmian

DYMM Sultan Johor Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim sedang menarik tirai merasmikan Jambatan Sultan Ismail

Jambatan Muar telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Johor Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada hari Sabtu 16 April 1967  jam 10.30 pagi dan dinamakan secara rasmi sebagaiJambatan Sultan Ismail. Perasmian tersebut telah disaksikan oleh ribuan rakyat yang pertama kali dibuka dan dapat menyeberangi Sungai Muar menggunakan jambatan tersebut.

Orang ramai membanjiri sekitar Jambatan Sultan Ismail selepas pembukaannya pada 16 April 1967.

Sejurus dengan perasmian jambatan tersebut, perkhidmatan feri atauPenambang Muar telah ditamatkan berkuatkuasa tengah malam Jumaat 15 April 1967.

Tol

Jambatan Sultan Ismail Muar merupakan jambatan kedua di Malaysia ketika itu yang mempunyai tol selepas Jambatan Yahya Petra di Kelantan. Sebuah plaza tol berharga RM80,000 telah dibina di Tanjung Agas bagi mengutip tol bagi menampung kos pembinaan jambatan tersebut.

Tol Jambatan Sultan Ismail (1974) berhampiran Kawasan Perindustrian Tanjung Agas

Pada mulanya, kerajaan mengumumkan bahawa harga tol yang dikenakan adalah sebanyak RM0.25 bagi motosikal, RM0.75 bagi kereta dan RM1.75 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas.

Selepas pembukaanya harga tol telah dinaikkan kepada RM0.50 bagi motosikal, RM1.50 bagi kereta dan teksi manakala RM3.50 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas. Ini telah mengundang bantahan dari penduduk terutamanya pengusaha bas dan teksi di mana pada mulanya mereka memulaukan penggunaan jambatan tersebut.

Setelah pelbagai bantahan dibuat terutamanya daripada peniaga dan sektor industri, maka mulai 1 Julai 1971, Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengumumkan pengurangan tol kepada RM0.50 bagi kereta dan RM1.00 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas manakala bagi pengguna motosikal ianya adalah percuma.

Kemudian pada suatu lawatan Allahyarham Tun Abdul Razak ke Muar pada Mei 1975, beliau mengumumkan bahawa tol yang dikenakan bagi Jambatan Sultan Ismail Muar telah dimansuhkan.

Bersejarah

Pada 25 November 2012, bersempena Sambutan Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serta Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja,buat pertama kali dalam sejarah, selepas 45 tahun dibuka untuk lalulintas, Jambatan Sultan Ismail telah ditutup selama lebih kurang 12 jam bermula 3 petang hingga 5 pagi.

Papantanda pemberitahu Jambatan Sultan Ismail ditutup sementara

Penutupan jambatan tersebut bagi membolehkan rakyat jelata menyaksikan acara perarakan bot berhias dan pertunjukan bunga api di Jambatan Sultan Ismail. Selain acara tersebut, pelbagai gerai telah dibuka bagi membolehkan orang ramai bersantai di atas jambatan tersebut.

DYMM Sultan Ibrahim juga telah mencemar duli bersama-sama rakyat jelata menyaksikan acara perarakan bot berhias di atas jambatan tersebut.

Orang ramai tidak melepaskan peluang bersantai di atas Jambatan Sultan Ismail yang mula dibuka kepada orang ramai mulai jam 5 petang hingga tengah malam. 
 
Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim bersama-sama Menteri Besar Johor & Ketua Polis Johor serta rakyat jelata bersantai di atas Jambatan Sultan Ismail



Sumber: Muzium Muar

Modenas 118EFI vs Modenas GT128: Mana lebih jimat minyak? / Which one is more fuel-efficient?



Salam sejahtera,

Sudah hampir sebulan rupanya pelancaran model motosikal kapcai pancitan bahan api pertama Modenas iaitu Modenas 118EFI, namun setakat ini saya masih belum berjaya menemui kedai motosikal yang mempamerkan model tersebut. Sementara itu, Modenas pula mengalami kesukaran untuk memenuhi tempahan yang datang bertalu-talu daripada pembeli yang rata-ratanya teruja dengan teknologi pancitan bahan api yang julung kali diperkenalkan di Malaysia. Apa pun, saya berharap agar Modenas berupaya memenuhi tempahan yang sebegitu banyak, kerana ia petanda baik bagi menandakan peningkatan penguasaan Modenas dalam pasaran motosikal negara. Selain itu, saya juga berharap agar Modenas dapan segera mengaturkan satu sesi tunggang uji khas buat media serta menjemput saya menyertainya.

Bercakap tentang Modenas 118EFI, ramai yang sering membandingkannya dengan Modenas GT128, berikutan dakwaan penggunaan bahan api yang agak ironik. Setakat ini, Modenas GT128 merupakan model motosikal keluaran Modenas yang paling jimat minyak iaitu 64.4 km/L @ 80 km/L, meskipun ia masih menggunakan karburetor. Angka ini diperolehi hasil ujian tunggangan mengelilingi Semenanjung Malaysia menggunakan model pendahulunya iaitu Modenas Xcite 130 (menggunakan enjin yang sama). Sementara itu pula, dakwaan penggunaan bahan api bagi Modenas 118EFI yang menggunakan pancitan bahan api pula ialah 50 km/L @ 80 km/j (angka yang dikemaskini ialah 59.5 km/L).

Jadi adakah ini bermakna sistem pancitan bahan api tidaklah begitu menjimatkan bahan api berbanding karburetor?

Sebelum anda terus membuat kesimpulan secara melulu, saya ingin mengingatkan anda supaya membuat perbandingan dengan model yang benar-benar setara. Pipit sama pipit, enggang sama enggang. Maka, jika hendak membuat perbandingan dengan 118EFI, maka bandingkanlah ia dengan model setara iaitu Kriss 120 ataupun Ace 115. Modenas GT128 pula sepatutnya dibandingkan dengan model sama yang menggunakan pancitan bahan api. 



Modenas GT128 dipopularkan dalam siri francais filem Adnan Sempit


Enjin yang digunakan pada GT128 dan Xcite 130 adalah berbeza daripada enjin yang digunakan pada Ace 115 dan 118EFI. Enjin GT128 mempunyai diameter lubang yang sama seperti enjin Kriss 110 / CT110, tetapi mempunyai lejang yang lebih panjang (undersquare). Sementara itu, enjin Ace 115 dan 118EFI pula ialah enjin oversquare dengan lejang pendek dan diameter lubang yang besar. Selain itu, enjin yang digunakan pada 118EFI dan Ace 115 pula diperbuat daripada besi tuang biasa dengan sarung silinder keluli serta menggunakan omboh besi tuang biasa, manakala enjin GT128 pula menggunakan silinder yang diproses secara in-mould cylinder liner serta menggunakan omboh bersalut molibdenum sulfida yang lebih tahan geseran. Malah, aci sesondolnya juga dikenakan rawatan haba bagi ketahanan yang lebih tinggi. Di samping penggunaan sensor kedudukan pendikit (TPS), binaan enjin GT128 itu sendiri menjadi faktor utama kenapa enjin GT128 lebih jimat minyak walaupun ia masih menggunakan karburetor.

Maka, model yang lebih baik dibuat perbandingan dengan 118EFI sudah tentulah Ace 115. Ace 115 mencatatkan penggunaan bahan api 46.1 km/L @ 80 km/j berbanding penggunaan bahan api 118EFI iaitu sekitar 50 km/L (angka dikemaskini: 59.5 km/L). Maka, ia sudah tentunya perbandingan yang cukup sepadan. Memandangkan kedua-dua 118EFI dan Ace 115 menggunakan enjin yang sama, maka ada 2 kesimpulan yang boleh dibuat setelah membandingkan antara kedua-duanya:-
  1. 118EFI terbukti jauh lebih jimat minyak daripada Ace 115
  2. Keluaran kuasa kuda 118EFI pula berkurangan berbanding Ace 115
Memandangkan Modenas baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia pancitan bahan api, maka sudah tentulah hasil yang diperolehi masih ada sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki. Saya tidak pasti sama ada ECU yang digunakan pada 118EFI adalah flashable (boleh memuatkan kemaskini talaan baru yang lebih baik) atau tidak, tetapi saya berharap ia flashable supaya Modenas boleh menambah baik talaan mereka secara berterusan. Ia samalah seperti mana Proton sentiasa menambah baik dan mengemaskini talaan ECU mereka. Lagipun, Modenas memang pernah menambah baik talaan enjin AN110 pada Modenas Kriss 110 dengan meningkatkan keluaran kuasa kuda daripada keluaran asal 7.5 PS kepada 9.0 PS, jadi saya percaya Modenas boleh melakukannya sekali lagi pada talaan ECU pancitan bahan api pula.

Thursday, July 25, 2013

Honda EX5 Dream 110: Kapcai kegemaran Malaysia kini lebih hebat! / Malaysia's no. 1 favourite bike just got better!



Pelancaran model motosikal Honda EX5 Dream 110 dan Honda Airblade 125i
(kredit gambar: CBT Online)

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana agak lama saya tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan kesibukan tugas saya akhir-akhir ini. Apa pun, saya tetap ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pembaca semua kerana kini bilangan pengunjung Blog Jalan Raya Malaysia sudah melepasi angka 100 ribu pengunjung sejak mula dilancarkan pada November 2011.

Kali ini saya ingin berkongsi kepada anda berita pelancaran model motosikal terbaru Honda iaitu Honda EX5 Dream 110. Apa...? Hek eleh... EX5 je...? Jangan pandang motor EX5 ini sebelah mata, kerana Honda EX5 ini merupakan salah satu daripada ahli keluarga motosikal paling popular di dunia iaitu Honda Cub. Popularitinya terbukti sejak pelancarannya pada tahun 1987, di mana Honda EX5 mula menjadi motosikal kapcai paling popular di Malaysia sebelum kedudukannya dirampas oleh Modenas Kriss pada tahun 1997. Kini, mahkota motosikal kapcai paling popular di Malaysia telah pun kembali ke tangan Honda EX5.

Honda EX5 100cc mula dikeluarkan pada tahun 1987 sebagai pengganti kepada motosikal Honda Fame 90cc. Beberapa pembaharuan telah diterapkan pada EX5 berbanding Fame, iaitu enjin 100cc yang lebih berkuasa, fork hadapan teleskopik bagi menggantikan fork jenis pautan mendahulu yang digunakan pada Fame, transmisi 4 kelajuan (Fame hanya mempunyai 3 kelajuan), serta mekanisme gear rotari yang diperbaharui bagi tujuan keselamatan (pada Honda Fame, gear boleh ditukar terus dari gear 3 ke neutral, tetapi pada EX5 pula motosikal mestilah diberhentikan terlebih dahulu sebelum menukar gear dari gear 4 terus ke neutral). Enjin EX5 asalnya dibangunkan di Jepun, tetapi ironinya Honda Jepun mengimport motosikal EX5 dari Thailand dan menjualnya sebagai Honda Cub C100EX. Di Jepun, model tersebut kemudiannya mengalami facelift pada tahun 1993, tetapi rekaan lama terus digunakan di Malaysia sehingga sekarang.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa Honda EX5 Dream ini sangat popular? Ada banyak sebab kenapa ia sangat popular. Bagi pakcik-pakcik dan makcik-makcik di kampung, mereka amat meminati EX5 kerana harganya yang murah, tahan lasak serta boleh dilenjan ke dalam kebun tanpa sebarang masalah. Harganya yang murah juga membolehkan budak-budak sekolah menengah yang baru ada lesen memandu memilikinya. Pada masa yang sama pula, mat-mat rempit amat sukakan EX5 kerana nisbah kuasa kepada beratnya yang tinggi menjadikannya mudah untuk berwheelie dan memecut laju. Sebenarnya, Honda Wave 100 juga menggunakan enjin yang sama dengan EX5, tetapi ia lebih berat, menyebabkan ia tidak mampu memecut selaju EX5. Maka, tidak hairanlah kenapa Honda EX5 Dream merupakan antara motosikal paling banyak dicuri di Malaysia selain Yamaha 135LC.

Kelmarin (23 Julai 2013), Boon Siew Honda dengan bangganya memperkenalkan model pengganti kepada EX5 Dream 100cc iaitu EX5 Dream 110cc, bersama-sama dengan model skuter Honda Airblade 125i. Nama hampir sama, tetapi enjin lebih besar dan reka bentuk pun berbeza sedikit. Model yang sama juga dikeluarkan di Thailand 2 tahun dahulu tetapi EX5 Dream 110 Thailand menggunakan sistem pancitan bahan api PGM-FI, sedangkan model Malaysia pula masih menggunakan karburetor. Jika selama ini saya mengkritik industri motosikal kapcai Malaysia kerana masih lagi menggunakan teknologi karburetor yang sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi mampu mematuhi piawaian emisi terkini, tetapi kali ini saya beri pengecualian kepada EX5 Dream 110 ini, kerana tujuan asal model ini dibangunkan adalah bagi menghasilkan satu bentuk pengangkutan asas mampu milik kepada rakyat Malaysia.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Dari segi prestasi, adalah menjadi sesuatu yang ironik kerana model EX5 Dream 110 berkarburetor ini mempunyai keluaran kuasa yang lebih rendah daripada model serupa di Thailand dengan pancitan bahan api (7.67 PS @ 7,500 rpm berbanding 8.0 PS @ 7,500 rpm pada Honda EX5 Dream 110i Thailand). Namun, EX5 Dream 110 spesifikasi Malaysia ini masih berupaya memanfaatkan kelebihan nisbah kuasa kepada berat yang tinggi, malah lebih tinggi daripada EX5 100cc. Kalau nak laju lagi pun, masih ada banyak alat ganti perlumbaan di bengkel-bengkel yang boleh anda cari. Mungkin kesukaran untuk menala enjin berkarburetor ini bagi melepasi piawaian Euro 2 adalah sebab utama kepada penurunan kuasa kuda ini.

Honda EX5 Dream 110 ini dijual dengan harga RM3,708.00 bagi model penghidup tendang dan RM4,145.00 bagi model penghidup elektrik.

Spesifikasi Honda EX5 Dream 110

Enjin: SOHC 2 injap silinder tunggal 110 cc
Sesaran: 109.1 cc
Lubang x lejang: 50 x 55.6 mm
Nisbah mampatan: 9.0:1
Kuasa kuda: 7.67 PS @ 7,500 rpm
Tork: 8.32 N-m @ 3,500 rpm
Jarak roda: 1,212 mm
Berat kering: 93 kg (model penghidup tendang); 94 kg (model penghidup elektrik)
Muatan tangki bahan api: 4.0 liter
Saiz tayar: 70/90 R17 M/C 38P (depan); 80/90 R17 M/C 50P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Harga yang sangat murah
  2. Tangki minyak yang lebih besar
  3. Tahan lasak dan boleh dipercayai sehingga berzaman
Apa yang saya tidak suka
  1. Berpotensi menjadi antara motosikal paling "panas" dan paling banyak dicuri
  2. Slot kuncinya masih belum cukup selamat - Honda sepatutnya menggunakan slot kunci berpenutup seperti model-model kapcainya yang lain

Thursday, July 18, 2013

Apa itu lorong kecemasan lori / What is a runaway truck ramp



Tanjakan kecemasan lori di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102


Salam sejahtera,

Apa khabar seluruh pemandu lori pada hari ini? Saya harap anda semua dalam keadaan sihat sejahtera, meskipun sibuk dengan penghantaran barangan setiap hari. Juga pastikan anda sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan untuk kenderaan berat iaitu antara 70-80 km/j di jalan raya biasa (bukan 90 km/j ya!) dan antara 80-90 km/j di lebuh raya ekspres (bukan 110 ya!). Saya betul-batul tabik kepada pemandu kenderaan berat yang mematuhi had laju kenderaan berat ini. Namun, jika ada yang degil dan enggan mematuhi had laju tersebut, jangan menyesal sekiranya anda mengalami kemalangan akibat kenderaan hilang kawalan terutama di jalan raya pergunungan yang curam.

Kenapa kenderaan boleh hilang kawalan di jalan raya pergunungan? Mudah sahaja - semakin besar  dan berat sesebuah kenderaan itu, maka semakin tinggi jugalah tenaga keupayaan yang dihasilkan. Kenderaan yang lebih berat bukan sahaja lebih lambat untuk digerakkan, malah lebih lambat untuk dihentikan. Maka, kenderaan berat yang dipandu pada kelajuan 80 km/j menghasilkan momentum (dan seterusnya impak pelanggaran) yang lebih besar daripada kereta pada kelajuan yang sama. Jika sebuah kereta pun berupaya untuk meruntuhkan tembok sebuah rumah, bayangkanlah kesan kemusnahan yang terhasil daripada sebuah lori atau bas pada kelajuan yang sama. Selain berat kenderaan, ketinggian juga turut meningkatkan tenaga keupayaan. Buktinya, kenderaan terpaksa bekerja keras (malah ada kalanya boleh mengalami masalah panas lampau) semasa mendaki bukit, tetapi turun bukit ibarat menaiki roller coaster. Jika keadaan tersebut berlaku pada kenderaan berat, sudah tentulah kenderaan menjadi lebih sukar untuk diperlahankan.

Selain berat kenderaan itu sendiri, kegagalan sistem brek juga turut menjadi penyumbang kepada sebab kenderaan hilang kawalan semasa menuruni bukit. Masih ingat akan tragedi sebuah Perodua Viva dilanggar dari tepi (T-bone) oleh sebuah Proton Satria yang hilang kawalan di MRR2 FT28 dekat Bukit Antarabangsa? Kegagalan brek adalah punca utama kemalangan tersebut. Sistem brek boleh gagal akibat 2 sebab, iaitu malas menyelenggara sistem brek sehingga menyebabkan ada komponen brek gagal berfungsi (malas mengisi minyak brek, malas menukar kasut brek, dsb.), serta cara penggunaan brek yang salah terutamanya di jalan raya pergunungan. Ramai di kalangan pemandu yang cenderung menggunakan brek secara berterusan semasa menuruni bukit. Cara ini salah kerana penggunaan brek yang berterusan semasa menuruni bukit curam akan menyebabkan sistem brek gagal akibat panas lampau dan kepudaran brek. Cara memperlahan brek yang sepatutnya diamalkan di jalan raya pergunungan ialah dengan lebih banyak bergantung kepada gear rendah bagi mendapatkan brek enjin.

Sebagai langkah kecemasan bagi menyelamatkan kenderaan (terutamanya kenderaan berat) yang hilang kawalan semasa menuruni bukit, sesetengah jalan raya dilengkapi dengan apa yang dipanggil sebagai "lorong kecemasan lori", "tanjakan kecemasan lori", "susur kecemasan lori" dan sebagainya, bergantung kepada konfigurasi pembinaannya sama ada sebagai bahu jalan (seperti di Lebuhraya Kimanis-Keningau), ataupun sebagai susur pendek jalan mati (pada kebanyakan rekaan, termasuklah di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat bekas tapak Plaza Tol Jelapang dan Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dekat Lembah Bertam). Jenis pertama adalah rekaan paling ringkas, sesuai untuk jalan raya yang curam pada hampir sepanjang masa. Rekaan kedua pula lebih sesuai dibina di kawasan selekoh kerana kenderaan yang hilang kawalan lazimnya lebih cenderung untuk bergerak lurus.

Selain dikategorikan mengikut rekabentuk, lorong kecemasan lori juga dikategorikan mengikut mekanisme yang digunakan bagi menghentikan kenderaan yang hilang kawalan seperti berikut:-
  1. Lapisan penangkap - dibina dengan menggunakan lapisan batu kerikil yang tebal bagi mengenakan rintangan golekan yang tinggi untuk memperlahankan kenderaan. Semakin curam sesebuah serun, maka semakin panjang jugalah lorong kecemasan lori yang perlu dibina. Batu kerikil merupakan bahan asas yang digunakan kebanyakan lorong kecemasan lori.
  2. Susur tanjakan graviti - sebuah bukit buatan dibina bagi memperlahankan dan seterusnya menghentikan lori atau bas dengan menggunakan tarikan graviti itu sendiri. Maka, rekaan sebegini lazimnya dipanggil sebagai "tanjakan kecemasan lori", berikutan penggunaan susur keluar mendaki bukit sebagai asas rekaan. Contoh penggunaan adalah seperti di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dekat Lembah Bertam. Susur sebegini juga perlu menggunakan lapisan batu kerikil bagi mengenakan rintangan golekan, bukan sahaja untuk membantu menghentikan lori, tetapi juga bagi menghalang lori bergolek semula ke belakang, yang merupakan kelemahan utama rekaan ini.
  3. Susur longgokan pasir - sama seperti lapisan penangkap kerikil, tetapi menggunakan pasir. Kelemahan paling ketara ialah penggunaan pasir tidak sesuai sama sekali di kawasan yang sering mengalami curahan hujan tahunan yang tinggi, kerana semasa hujan pasir akan hanya menyebabkan kenderaan semakin hilang kawalan daripada membantu menghentikannya.
  4. Penangkap mekanikal - menggunakan penangkap mekanikal seperti susunan tayar buruk, kabel pengadang, jaring keluli, dsb. untuk membantu menghentikan kenderaan. Kelebihan utama penggunaan rekaan ini ialah ia membolehkan susur kecemasan yang lebih pendek dibina, tetapi kosnya yang lebih tinggi adalah kelemahan utamanya. Susur kecemasan lori di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat Jelapang ada menggunakan mekanisme sebegini.

Jadi apa yang patut anda lakukan sekiranya sistem brek mengalami masalah? Pertama sekali, cuba gunakan brek tangan. Jika brek tangan tidak mampu menghentikan kenderaan anda, tukar ke gear satu. Mungkin enjin akan meraung, tetapi ia lebih baik daripada nyawa anda melayang. Penggunaan gear satu sepatutnya berupaya memperlahankan kenderaan anda dengan banyak. Jika gear satu pun tidak mencukupi, langkah paling drastik yang anda perlu lakukan ialah mematikan enjin kenderaan untuk kuasa brek enjin yang maksimum, tetapi lakukan ini hanya di kawasan lurusan sahaja.

Tuesday, July 16, 2013

Apa Kejadahnya: Sindiket haram jadah pencurah minyak diesel punca peningkatan kemalangan superbike yang tidak masuk akal / What The Hell: Diesel-pouring bastard syndicate is the root of evil for the ridiculous increase of superbike accidents

Salam sejahtera,

Akhir-akhir ini entah kenapa agaknya bilangan kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi meningkat dengan mendadak pada kadar yang tidak masuk akal sama sekali. Sebelum ini, sungguhpun bilangan kemalangan yang melibatkan motosikal adalah yang tertinggi, namun kemalangan yang melibatkan motosikal berkuasa tinggi amat jarang berlaku. Tetapi sekarang pula, tiba-tiba terdapat sebegitu banyak kes kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal berkuasa tinggi. Adakah disebabkan pemakaiannya? Tidak, pakaian mereka semasa menunggang adalah jauh lebih selamat berbanding sebilangan penunggang motosikal kapcai yang hanya berselipar Jepun, memakai baju T dan seluar jeans koyak semata-mata. Maka, kenapa boleh jadi sebegitu banyak kes kemalangan melibatkan penunggang superbike?

Punca utama peningkatan mendadak kadar kemalangan penunggang superbike pada tahap yang tidak masuk akal ialah terdapatnya sindiket haram jadah yang terdiri daripada bangsat-bangsat yang mencurahkan minyak diesel pada setiap selekoh tajam yang bakal dilalui penunggang superbike, terutamanya di jalan-jalan raya pergunungan seperti Lebuhraya Karak E8/FT2 dan Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185. Modus operandinya amat mudah - mereka curah minyak diesel, penunggang superbike terjatuh, lori tunda tiba-tiba muncul, dan akhir sekali ahli sindiket mengenakan caj pembaikan yang tidak masuk akal sama sekali. Mereka ini sama jugalah seperti barua-barua yang menabur paku di sepanjang lorong motosikal. Dengan kata lain, bajingan-bajingan lahanat ini mengaut keuntungan yang dibayar dengan nyawa penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Kenapa pula iblis-iblis bangsat pencurah minyak diesel semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini? Jawapannya mudah sahaja, iaitu tiada pemantauan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Selagi tiada pak-pak menteri campur tangan, selagi itulah bangsat-bangsat haram jadah tersebut terus membuat dajal tanpa sedikit pun rasa bersalah. Ia samalah seperti isu kontroversi lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2, yang mana lawatan pemantauan oleh Datuk Haji Fadzillah Yusof dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dicemari hipokrasi dan penipuan, kerana hanya sehari sebelum dua orang menteri ini datang sahajalah baru ada tindakan menurap semula. Maka, keadaan sebegini tidak ubah seperti kucing tiada gigi, tikus pula menari-nari.

Baru-baru ini, laman Facebook Puchong Bikers melalui Rusli Osman Lee Panjang memaklumkan mengenai sindiket mencurah minyak di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 yang dilakukan oleh sindiket barua-barua haram jadah pencurah minyak. Mereka memanfaatkan sepenuhnya latar belakang geografi jalan tersebut yang berkelok-kelok serta tiada stesen minyak sehingga lebih 150 km dari stesen Petronas Simpang Pulai yang merupakan satu-satunya stesen di sepanjang laluan itu.

Oleh itu, saya ingin menggesa agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta MTD Prime selaku syarikat konsesi Lebuhraya Karak E8/FT2 membuat pemantauan kerap dan menyeluruh terhadap jalan-jalan raya pergunungan serta jalan raya yang mempunyai banyak selekoh tajam bagi menumpaskan sepenuhnya sindiket haram jadah pencurah diesel tersebut. Selain itu, orang ramai juga digesa memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan (seperti membaling plastik berisi cecair jernih ke atas jalan raya, ataupun mencurahkan cecair berwarna jernih ke atas jalan raya) termasuklah nombor plat pendaftaran kenderaan yang digunakan. Memandangkan situasi yang semakin membarah ini, sudah tiba masanya untuk menggubal undang-undang bagi mewajibkan pengendali lori tunda mendaftarkan kenderaan mereka untuk memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti pengendali lori tunda bajingan yang menjadi barua utama sindiket mencurah minyak diesel tersebut. Bangsat-bangsat haram jadah tersebut sepatutnya dikenakan hukuman berat termasuklah sebatan kerana cubaan membunuh menyerupai sengaja! Kepada iblis-iblis bangsat ini, celakalah engkau semua kerana kenyang memakan duit haram atas nyawa penunggang superbike!



















Keadaan Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 yang disimbah dengan minyak diesel oleh sindiket penyangak yang rakus mengaut keuntungan atas kemalangan yang menimpa penunggang superbike
(Kredit gambar: Puchong Bikers)

Monday, July 15, 2013

Pengumuman: Projek siri reviu jalan raya Trans Sabah / Announcement: Trans Sabah highway review series project



Pemandangan Jalan Persekutuan 22 (Kota Kinabalu-Sandakan) dekat Kundasang

Salam sejahtera,

Berikutan kejayaan projek reviu jalan raya di Cameron Highlands pada penghujung bulan lalu, Blog Jalan Raya Malaysia dengan sukacitanya ingin mengumumkan satu lagi projek siri reviu jalan raya yang bakal diadakan di Sabah pula pada 21 hingga 24 Ogos 2013. Seperti siri jelajah di Cameron Highlands, objektif utama bagi projek reviu jalan raya kali ini ialah bagi mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan jalan raya utama di Malaysia Timur selain meneroka dan menghasilkan reviu jalan raya bagi beberapa jalan raya utama di Sabah.

Laluan yang bakal terlibat dalam siri reviu jalan raya kali ini adalah seperti berikut:-
  1. Jalan Kota Kinabalu-Lok Kawi-Papar FT1
  2. Jalan Papar Spur A25
  3. Lebuhraya Papar-Sindumin FT1
  4. Jalan Kota Kinabalu-Sandakan (Lebuhraya Timur-Barat Sabah) FT22
  5. Jalan Ranau-Tambunan SA2
  6. Jalan Persekutuan 500 (Kota Kinabalu / Tambunan-Tenom)
  7. Jalan Sipitang-Tenom SA3 (pilihan)
  8. Lebuhraya Kimanis-Keningau (pilihan)
Sebagai tambahan, Blog Jalan Raya Malaysia juga ingin mengambil kesempatan untuk mencuba sendiri perkhidmatan kereta api negeri Sabah (Tanjung Aru-Tenom) kendalian Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS), sekiranya masa mengizinkan.

Memandangkan projek reviu jalan raya kali ini diadakan di Sabah, maka ia bakal melibatkan kos perbelanjaan yang besar. Kos perbelanjaan yang besar itu terdiri daripada tiket kapal terbang, penginapan (5 hari 4 malam) dan sewa kereta. Oleh itu, saya ingin menyeru kepada seluruh pembaca Blog Jalan Raya Malaysia (khususnya orang-orang Sabah) untuk menderma bagi memastikan projek reviu jalan raya kali ini berjaya.

Terima kasih dan teruskanlah sokongan anda terhadap Blog Jalan Raya Malaysia!

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013: Epilog - Jerebu / Epilogue - Haze



Keadaan jerebu di Lebuhraya NKVE E1 pada 22 Jun 2013 (kredit gambar: Malik Ridhwan)

Salam sejahtera,

Semasa saya sedang menulis entri ini, keadaan cuaca hari ini (14 Julai 2013) di Kuala Lumpur secara amnya mendung sepanjang hari, dengan jarak penglihatan melebihi 10 km. Namun demikian, semasa saya dan rakan saya, Khairul Azmi menamatkan program jelajah Blog Jalan Raya Malaysia di Cameron Highlands yang berlangsung selama 3 hari 2 malam pada 24 Jun 2013, cuaca secara amnya cerah tetapi keadaan jerebu menjadi teruk sehingga mula menular ke Cameron Highlands. Sehubungan dengan itu, kami terpaksa meminda rancangan perjalanan balik kami - jika dalam perancangan awal sebelum ini kami bercadang untuk pulang semula ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1, kali ini kami terpaksa menggunakan jalan yang sama untuk pergi ke Cameron Highlands (Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102, Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503, Jalan Persekutuan 8 dan Lebuhraya Karak E8/FT2), berikutan kebimbangan kami terhadap jarak penglihatan yang berkemungkinan sudah merosot teruk di sepanjang E1.

Sebagai persediaan, kami membeli sepasang topeng pelindung habuk jenis gred NIOSH N95. Pada mulanya kami menjangkakan Cameron Highlands masih lagi selamat daripada jerebu, namun malangnya sangkaan kami meleset sama sekali. Semasa kami minum petang di kedai teh Cameron Bharat sebelum pulang ke Kuala Lumpur, ruang udara Cameron Highlands mula dilitupi jerebu. Tanpa membuang masa lagi, kami terus memakai topeng pelindung habuk sebaik sahaja selepas minum petang. Berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk, kami perlu sampai ke Kuala Lumpur sebelum matahari tenggelam!

Sebenarnya, Kuala Lumpur memang sudah mula berjerebu semasa kami mula bertolak ke Cameron Highlands pada 21 Jun. Ini bermakna kami telah berjaya melarikan diri daripada keadaan berjerebu selama beberapa hari sebelum ruang udara Cameron Highlands turut dilitupi jerebu.

Setiap kali berlakunya jerebu, maka kita dengan pantas terus menuding jari kepada Indonesia kerana gagal mengawal peladang-peladangnya di Riau daripada membakar hutan atas alasan meningkatkan kesuburan tanah. Namun, sedarkah kita bahawa kita sendiri turut mempunyai saham besar terhadap fenomena jerebu dahsyat tahun ini? Sekurang-kurangnya petani di Riau hanya mencemar udara setahun sekali, tetapi kita pula mencemar udara setiap hari melalui asap kereta-kereta yang kita pandu secara bersendirian. Saya sudah pun menyatakannya dalam entri mengenai banjir kilat terburuk di Kuala Lumpur tahun ini, dan saya perlu menyebutnya sekali lagi dalam entri ini, kerana kedua-dua bencana alam ini berasal daripada punca yang sama. Soalnya, adakah orang kita ambil peduli tentang semua ini? Apa yang sebenarnya berlaku tak ubah seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja.

Ingatlah, bahawa bumi kita ini adalah amanah Allah yang mana menjadi wajib fardhu ain bagi setiap manusia untuk menjaga dan mengurusnya dengan baik. Jika bumi kita yang satu ini habis musnah angkara kita sendiri, bumi mana lagi yang harus kita duduki? Renung-renungkanlah.

Sunday, July 14, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 6: Jalan Gunung Brinchang FT432 Reconquista

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lambat mengemaskini entri reviu jalan penutup bagi siri jelajah Blog Jalan Raya Malaysia ke Cameron Highlands kali ini. Sebagai penutup bagi siri reviu jalan raya di Cameron Highlands, kami mengambil kesempatan untuk menakluki jalan raya tertinggi di Malaysia, Jalan Gunung Brinchang FT432, buat kali kedua. Jika anda terlepas reviu pertama kami mengenai jalan raya berturap tertinggi di Malaysia, anda boleh membacanya di sini.

Apa yang membezakan antara perjalanan kali pertama dengan kali kedua ini ialah jentera yang digunakan, dan kali ini kami menakluki sehingga ke penghujung jalan ini iaitu di menara pemancar Gunung Brinchang. Kebetulan pula ramai pelancong asing yang datang ke Gunung Brinchang dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan Land Rover. Bukan itu sahaja, malah ada pelancong tempatan yang menggunakan Perodua Kancil sahaja untuk mendaki Gunung Brinchang. Tak sangka begitu gagah rupanya Perodua Kancil itu sungguhpun terpaksa mendaki dengan kecerunan sekitar 20%! Selain itu, terdapat sepasang pelancong mat salleh yang menakluki Gunung Brinchang dengan menaiki motosikal Honda EX5, sayangnya saya tidak berkesempatan untuk mengambil gambar mereka. Tak sangka betul, rupa-rupanya Honda EX5 yang hanya ditenagai enjin 100 cc itu sangat perkasa! Dengan kata lain, apa sahaja kenderaan boleh menakluki Gunung Brinchang, asalkan anda tahu menggunakan teknik yang betul.

Jika anda benar-benar serius mahu menakluki Gunung Brinchang, berikut merupakan beberapa tip yang saya rumuskan buat panduan anda:-
  1. Pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang paling sempurna. Pastikan kasut brek serta bunga tayar cukup tebal. Pastikan kesemua brek anda berfungsi dengan sempurna. Bagi yang menggunakan transmisi manual, pastikan klac anda berfungsi dengan sempurna dan tiada masalah klac tergelincir (slip).
  2. Setiap kali anda berada di selekoh, sentiasa bunyikan hon untuk memaklumkan kewujudan anda kepada kenderaan lain yang mungkin terselindung. Jika anda mendengar bunyi hon dari arah hadapan, balas kembali bunyi hon tersebut untuk memaklumkan kewujudan anda. Dalam keadaan tersebut, bersiap sedialah untuk berselisih, kerana jalan ini merupakan jalan selorong seperti jalan kampung. Jika anda bimbang akan berlaku kesukaran untuk berselisih dengan selamat, maka saya sarankan agar anda menggunakan motosikal untuk menakluki Gunung Brinchang.
  3. Sentiasa nyalakan lampu walaupun pada waktu siang untuk membolehkan kenderaan lain nampak kenderaan anda.
  4. Jika anda berselisih semasa menuruni bukit, berikan keutamaan kepada kenderaan yang mendaki bukit.
  5. Pastikan anda lebih banyak bergantung kepada brek enjin (gunakan gear rendah) daripada brek biasa (brek tangan / kaki). Memandangkan terdapat cerun yang sangat curam sehingga 20%, anda mungkin terpaksa naik atau turun dengan menggunakan gear 1.
  6. Jangan pandu melebihi 20 km/j. Anda mungkin perlu menjangkakan bahawa perjalanan dari kaki bukit ke puncak Gunung Brinchang sejauh hanya 6.7 km akan mengambil masa lebih kurang setengah jam.
  7. Jangan gunakan Jalan Gunung Brinchang FT432 semasa cuaca buruk, berikutan ancaman tanah runtuh.
Satu perubahan yang saya dapat saksikan pada jalan ini ialah jajaran dari tapak perkhemahan Gunung Irau ke Gunung Brinchang sudah pun diperbaiki, dengan menggunakan turapan konkrit pada bahagian yang curam. Selain itu, sebagai panduan tambahan kepada pengguna jalan raya, pihak Boh Plantation telah mendirikan sebuah papan tanda yang begitu besar.

Selebihnya, biarlah gambar-gambar di bawah ini berbicara bagi pihak saya, memandangkan apa yang ingin saya ceritakan sebenarnya lebih kurang sama seperti pengembaraan dua tahun lalu yang telah saya tulis pada penghujung tahun lalu.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Jalan masuk ke Jalan Gunung Brinchang FT432 kini ditandakan oleh sebuah papan tanda besar yang didirikan oleh Boh Plantation






Dua jentera yang berjaya menakluki Jalan Gunung Brinchang FT432






Pemandangan di puncak Gunung Brinchang dari balai cerap berhampiran






Papan tanda ini langsung tidak boleh dipercayai; kecerunan sebenar yang terpaksa ditempuhi berhampiran papan tanda ini ialah sekitar 20%






Bermulanya penurunan bukit yang curam






Lumut merah dekat Gunung Brinchang






Terdapat satu kebun strawberi di sini






Sebuah Land Rover sedang mendaki Gunung Brinchang






Banyak jalan pertanian di sini yang diturap semula dengan konkrit supaya tahan lama






Pemandangan Ladang Teh Boh Sungai Palas yang begitu indah dan menenangkan jiwa






Antara selekoh di Jalan Gunung Brinchang FT432






Ada juga yang sekadar ingin berjalan kaki untuk mendaki Gunung Brinchang






Papan tanda ini menunjukkan arah sebenar untuk ke Gunung Brinchang - jika tersilap ambil jalan, anda akan tiba di Ladang Teh Boh Sungai Palas






Sesetengah selekoh di sepanjang jalan ini cukup lebar untuk membolehkan kenderaan berselisih dengan selamat

Wednesday, July 10, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 5: Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 (Simpang Pulai-Blue Valley) / Second East-West Highway FT185 (Simpang Pulai-Blue Valley)




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak yang mulia ini kepada seluruh pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia yang beragama Islam. Sempena bulan Ramadan ini, kami di Blog Jalan Raya Malaysia sedang merancang untuk mengadakan satu reviu jalan raya eksklusif di sebatang jalan raya persekutuan yang memerlukan kami untuk menunggu sehingga bulan Ramadan sebagai bulan yang paling sesuai. Jalan apa yang saya maksudkan itu? Nantikanlah kemunculannya di Blog Jalan Raya Malaysia!

Jika anda perasan, kami sudah pun mengubahsuai reka letak blog ini supaya nampak lebih kemas. Tab-tab khas telah ditambah pada bahagian atas blog supaya anda dapat mencari reviu-reviu jalan raya dengan lebih pantas dan mudah. Pemain lagu pun telah ditambah untuk menceriakan suasana. Kami harap anda suka akan perubahan yang kami lakukan ini serta memudahkan anda!

Kita kembali semula kepada kisah pengembaraan Blog Jalan Raya Malaysia di Cameron Highlands yang kini memasuki episod kelima. Setelah kami dikecewakan pada hari pertama lawatan berikutan ketiadaan tempat penginapan akibat disapu licin oleh para pelancong yang luar biasa ramainya, kami terpaksa turun ke Simpang Pulai dan menginap di sebuah hotel bajet di situ; pagi esoknya barulah kami naik semula ke Cameron Highlands. Semasa turun melalui Lebuhraya Timur-barat Kedua FT185, kami terpaksa mengejar masa kerana keadaan jalan yang gelap serta garisan jalan yang sudah tidak kelihatan sudah tentunya menjadikan penglihatan kurang baik, terutamanya Khairul Azmi berikutan visor yang berwarna gelap pada topi keledarnya. Seterusnya, masa malam kami diluangkan dengan makan dan bersiar-siar di Uptown Tambun dekat Ipoh bersama-sama dua orang lagi sahabat kami, Harvey dan Pearl.

Keesokan paginya, kami naik semula ke Cameron Highlands melalui FT185 dan mengisi minyak di satu-satunya stesen minyak di sepanjang jalan FT185 ini. Kebetulan pula ada segerombolan penunggang superbike yang mengisi minyak di situ sebagai bekalan untuk berkonvoi ke Cameron Highlands. Maka, sekiranya anda mahu terus ke Gua Musang dengan menaiki motosikal kapcai, anda wajib membawa bersama bekalan minyak petrol di dalam botol kerana hanya ada satu sahaja stesen minyak di sepanjang jalan FT185 sepanjang 152 km ini. Melencong keluar ke Brinchang dan mengisi minyak di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Gua Musang juga bukanlah idea yang bagus kerana sungguhpun jarak antara kedua-dua bandar tersebut ialah 117 km, namun naik turun bukit sudah tentunya menjadikan motosikal anda lebih pelahap, kecualilah jika anda membawa bersama bekalan minyak petrol di dalam botol.





Sedikit mengenai sejarah jalan FT185 ini. Jalan Persekutuan 185 dari Simpang Pulai ke Gua Musang ini adalah sebahagian daripada projek Lebuhraya Timur-Barat Kedua bagi menghubungkan antara Ipoh dengan Kuala Terengganu (atau lebih tepat lagi, Kuala Berang). Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Simpang Pulai-Gua Musang (FT185) dan Felda Chiku-Kuala Jeneris; kedua-dua bahagian dipisahkan oleh Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang FT8. Jajaran dari Simpang Pulai ke Gua Musang dibina pada tahun 1997 dan siap pada tahun 2003, dengan menggunakan Jalan Simpang Pulai-Pos Slim (Jalan Negeri Perak A181) dan sebahagian Jalan Kampung Raja-Lojing (Jalan Negeri Pahang C165) dari Blue Valley ke Lojing sebagai laluan perintis. Kini, kedua-dua jalan negeri tersebut sudah pun dilucutkan pewartaannya, di mana jalan A181 dan jajaran jalan C165 dari Blue Valley ke Lojing diserap sebagai sebahagian daripada Jalan Persekutuan 185 manakala baki jajaran C165 (Kampung Raja-Blue Valley), bersama-sama jalan C7 dari padang golf Cameron Highlands ke Kampung Raja kini merupakan sebahagian daripada Jalan Persekutuan 59. Pihak yang bertanggungjawab membina bahagian pertama Lebuhraya Timur-barat Kedua ialah MTD Construction, yang pernah terlibat dalam projek Lebuhraya Pantai Timur E8 dan naik taraf Lebuhraya Karak E8/FT2.

Sementara itu pula, jajaran dari Felda Chiku ke Kuala Jeneris sepatutnya sudah siap sepenuhnya pada tahun 2007, tetapi malangnya jajaran dari Felda Chiku ke Felda Aring masih tidak disiapkan lagi, malah pengguna terpaksa melalui jalan Felda Chiku-Felda Aring yang berlubang-lubang di sana-sini macam baru lepas perang. Sebenarnya, tidak salah pun jika hendak menggunakan jalan Felda sebagai sebahagian jalan raya utama, tetapi jalan tersebut mestilah sentiasa diselenggara dengan baik walaupun sekadar jalan masuk ke tanah rancangan Felda sekalipun. Lihat sahajalah Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503, ia dijaga dan diselenggara seperti menatang minyak yang penuh. Sebab itulah jalan tersebut sangat sesuai dijadikan jalan sambung antara Raub dengan pangkal Jalan Persekutuan 102 di Sungai Koyan.

Jajaran perintis dari Simpang Pulai ke Pos Slim ada banyak selekoh tajam. Akibatnya, kami terpaksa menunggang dengan penuh berhati-hati di sepanjang jalan, meskipun lebuh raya ini secara keseluruhannya dibina sebagai jalan super two. Kecerunan paling tinggi di sepanjang laluan ini juga terletak di jajaran perintis ini. Hanya setelah melepasi Pos Slim barulah keadaan jalan menjadi kurang berkelok-kelok dan kelajuan dapat ditingkatkan kepada sekitar 80 km/j berbanding antara 40-80 km/j semasa di jajaran pertama tadi.

Pendakian diteruskan. Pemandangan sekitar Banjaran Titiwangsa sememangnya sangat mengasyikkan. Lebuh raya ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi kejuruteraan jalan raya terkini yang menjadikannya kurang berkelok-kelok berbanding jalan lama FT59. Namun, secanggih mana pun teknologi kejuruteraan jalan raya yang digunakan, tiada siapa yang mampu mencabar kekuasaan Allah. Sebagaimana jalan raya pergunungan yang lain, tanah runtuh merupakan ancaman terbesar, terutamanya dalam konteks Malaysia yang mengalami iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Sebab itulah beberapa stesen tolok hujan didirikan di sepanjang laluan untuk mengira jumlah curahan hujan supaya dapat memberi amaran awal kemungkinan berlakunya tanah runtuh.

Selain ancaman tanah runtuh, lebuh raya ini sudah mula menunjukkan tanda-tanda penuaannya apabila beberapa bahagian lebuh raya yang mula kelihatan menggerutu, selain garisan jalan yang sudah tidak kelihatan. Ia berbeza dengan dua tahun lalu apabila kami mendapati bahawa keadaan jalan secara keseluruhannya sangat baik dan masih tiada lagi bahagian jalan yang terjejas selain daripada tanah runtuh. Memandangkan lebuh raya ini sudah pun berusia 10 tahun, maka saya ingin menggesa JKR Perak agar melakukan penurapan semula dan mengecat semula garisan jalan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Selepas lebih kurang sejam, kami akhirnya memasuki daerah Cameron Highlands. keadaan jalan bertambah bagus. Begitu juga dengan keadaan cuaca yang sangat baik. Suhu sekeliling semakin sejuk walaupun hari itu cuaca cerah dengan matahari sudah berada tegak di atas kepala. Namun demikian, terdapat satu bahagian jalan yang terjejas akibat tanah runtuh sehingga memaksa satu lorong ditutup untuk kerja-kerja pembaikan. Nasib baiklah jalan ini jalan super two, kerana jika salah satu lorong terpaksa ditutup, pengguna masih boleh beranjak ke bahu jalan keras atau lorong kecemasan.

Kami singgah sebentar ke kedai Avant Chocolate. yang terletak di lokasi strategik di tepi lebuh raya FT185 ini. Khairul Azmi adalah peminat besar coklat keluaran syarikat ini yang bukan sahaja sangat sedap, malah mempunyai pembungkusan yang sangat menarik. Kumpulan penunggang superbike tadi juga berada di kedai Avant Chocolate untuk berhenti rehat. Selain daripada menjual coklat, Avant Chocolate juga menjual produk-produk lain seperti teh. Ia turut menempatkan sebuah kafeteria. Maka, Avant Chocolate juga merupakan satu lagi lokasi wajib untuk dilawati sekiranya anda berkunjung ke Cameron Highlands melalui FT185. Selain daripada Avant Chocolate, terdapat juga beberapa kebun sayur-sayuran dan kebun strawberi di sepanjang FT185 ini.

Kami akhirnya tiba di Simpang Tiga Blue Valley yang merupakan mercu tanda terpenting bagi menandakan kami sudah tiba ke Cameron Highlands. Namun, apa yang perlu kami tegur di sini ialah keperluan mendirikan sebuah kawasan rehat dan rawat di Blue Valley ini berserta dengan sebuah stesen minyak, kerana stesen minyak tersebut menjadi penyelamat bagi mereka yang hampir kehabisan minyak ketika melalui jalan ini, terutamanya motosikal kapcai yang tangkinya kecil dan mempunyak jarak perjalanan setangki penuh tidak melebihi 150 km. Kebanyakan aktiviti kami di Cameron Highlands sudah pun tercatat dalam entri mengenai Jalan Persekutuan 59.

Ikuti pengembaraan kami seterusnya di Jalan Gunung Brinchang FT432 apabila kami ingin menaklukinya buat kali kedua.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Permulaan Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 di Simpang Pulai






Satu-satunya stesen minyak di sepanjang FT185, terletak di Simpang Pulai. Perhatikan segerombolan penunggang superbike yang mengisi minyak






Jajaran Simpang Pulai-Pos Slim ada banyak selekoh tajam, jadi berhati-hatilah






Mendaki bukit dengan kecerunan 10% di sini






Lagi selekoh mencabar untuk mengasah kemahiran penunggang superbike






Perkampungan Orang Asli di Pos Raya






Setelah melepasi Pos Slim, masih ada 30 km untuk ke Kampung Raja, pekan pertama yang bakal kami tempuhi dari arah jalan ini






Kehijauan alam mewarnai lanskap lebuh raya FT185






Jalan masih cantik tetapi garisan jalan sudah pudar






Tanah runtuh - ancaman terbesar pada mana-mana jalan raya pergunungan






Selekoh patah berkelajuan tinggi yang sesuai untuk mengasah kemahiran bermotosikal






Ada air terjun kecil!






Keadaan jalan di sini sudah menggerutu dan memerlukan turapan semula






Kesan tanah runtuh dua tahun lalu yang masih lagi kelihatan sehingga sekarang






Akhirnya kami berjaya memasuki daerah Cameron Highlands






Keadaan jalan yang sangat cantik di daerah Cameron Highlands






Singgah sebentar di Avant Chocolate sebelum memasuki FT59

Advertisement