Saturday, August 31, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 2: Jalan Lintas-Tuaran Bypass

Salam sejahtera dan salam kemerdekaan buat para pembaca,

Sebagai mengisi sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini (31 Ogos 2013), saya ingin bawakan kepada anda mengenai sebatang jalan raya yang sering disalah anggap sebagai jalan persekutuan tetapi sebenarnya tidak. Jalan yang saya maksudkan ialah Jalan Lintas-Tuaran Bypass. Terus-terang saya katakan, sebelum saya datang ke Sabah, saya banyak menghabiskan masa mengkaji laluan yang bakal saya gunakan termasuklah peta-peta GPS. Selalunya saya menggunakan peta GPS yang dibekalkan oleh Malfreemaps pada perisian Garmin Mapsource. Di dalam peta tersebut, Jalan Lintas-Tuaran Bypass ditandakan sebagai FT1, tetapi setelah saya pergi sendiri ke Kota Kinabalu, saya mendapati bahawa kod laluan tersebut sebenarnya salah sama sekali.

Setibanya saya di Sabah, saya menyewa sebuah Proton Saga BLM untuk digunakan sepanjang berada di Sabah serta menginap di sebuah homestay di Putatan, lebih kurang 10 km dari Kota Kinabalu melalui Jalan Persekutuan 1 (Jalan Kepayan dan Jalan Putatan). Pada hari pertama, saya terlepas peluang untuk membuat sebarang reviu sebaik sahaja selepas turun dari kapal terbang dan memperoleh kunci kereta yang disewa kerana mengalami migrain teruk, jadi saya hanya banyak berehat sahaja.

Pada hari kedua, saya mengambil kesempatan untuk ke Kundasang dan Ranau bersama-sama teman wanita saya dan ibunya, Makcik Dayang Siti Zaleha. Pada asalnya, saya pernah memasang rancangan untuk memandu sehingga ke Tawau, tetapi saya terpaksa singkatkan sehingga ke Ranau sahaja - atau lebih spesifik lagi, sehingga Ladang Teh Sabah di Kampung Nalapak, Ranau. Apa tidaknya, jika saya hendak memandu ke Tawau, saya terpaksa bertolak pukul 5.00 pagi (di Sabah, pukul 6.30 di sana adalah lebih kurang seperti pukul 7.30 di Semenanjung), dan perjalanan sejauh lebih kurang 600 km akan memakan masa lebih kurang 10 jam. Dengan kata lain, saya tidak boleh balik hari jika saya hendak ke Tawau! Tak apalah, lain kali saya akan ambil cuti sekurang-kurangnya seminggu supaya saya boleh mencuba Jalan Tuaran-Kota Belud FT503, dan Jalan Kota Kinabalu-Kudat FT1 sebelum ke Sandakan melalui Jalan Sapi Nangoh dan seterusnya ke Tawau melalui Jalan Persekutuan 13.

Kita berbalik semula kepada Jalan Lintas-Tuaran Bypass ini. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, majoriti jalan raya utama di Sabah merupakan jalan negeri, tetapi saya tidak pasti mengenai status Jalan Lintas-Tuaran Bypass ini, memandangkan ia tiada kod laluan (mohon JKR Sabah dapat beri pencerahan mengenai kod laluan sebenar jalan ini, terima kasih). Hanya selepas melalui pekan Menggatal dan simpang Jalan Sepanggar FT602 barulah jalan tersebut menjadi Jalan Persekutuan 1.

Jalan ini dibina sebagai jalan raya kembar dengan had laju maksimum 90 km/j di sepanjang laluan, meskipun melalui kawasan bandar raya Kota Kinabalu yang sibuk. Persimpangan Bertingkat Petagas yang menghubungkan Jalan Lintas dengan Jalan Kepayan / Jalan Putatan FT1 merupakan satu-satunya persimpangan bertingkat di sepanjang jalan ini, tetapi hendak keluar masuk jalan ini masih terpaksa mengharungi lampu isyarat; pengguna FT1 pula menikmati aliran lancar tanpa perlu berhenti, sungguhpun terdapat sedikit cerutan ke arah Putatan apabila laluan mencerut daripada 3 lorong kepada 2 lorong. Selain itu, pengguna Jalan Lintas juga perlu melalui lintasan kereta api di persimpangan yang sama.

Selain Persimpangan Petagas, terdapat lima lagi persimpangan searas yang sibuk di sepanjang laluan, iaitu Persimpangan Penampang Bypass (menghubungkan Jalan Lintas dengan Jalan Pintasan Penampang FT500 ke Donggonggon, Tambunan, Keningau dan Tenom), Persimpangan Lido (dihubungkan ke Jalan Penampang FT501), Persimpangan Luyang-Bukit Padang, Persimpangan Likas (dihubungkan ke Jalan Tuaran FT1 ke Likas, Inanam dan pusat bandar raya) dan Persimpangan Menggatal (untuk ke pekan Menggatal melalui Jalan Tuaran FT1. Kesesakan teruk di sepanjang persimpangan-persimpangan searas tersebut telah menyebabkan Pengarah JKR Sabah sendiri, Datuk John Anthony, menggesa agar persimpangan-persimpangan searas tersebut menjadi persimpangan bertingkat serta menyalahkan lampu isyarat sebagai punca utama kesesakan. Sebaik sahaja bertemu dengan Jalan Tuaran FT1 di Persimpangan Menggatal, Jalan Lintas-Tuaran Bypass bertukar sebagai sambungan Jalan Tuaran FT1 sehingga ke Berungis dan Tamparuli.

Jadi di mana sebenarnya jajaran FT1 di Kota Kinabalu? Saya akan jelaskan dalam entri seterusnya.

(Kemaskini: Pihak JKR Kota Kinabalu sudah pun memaklumkan bahawa Jalan Lintas dan Jalan Tuaran Bypass sebenarnya adalah dua jalan yang berasingan, dan kedua-duanya merupakan jalan negeri. Terima kasih kepada pihak JKR Kota Kinabalu atas pencerahan.)

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Memasuki Jalan Lintas-Tuaran Bypass di Persimpangan Petagas






Lintasan kereta api di Persimpangan Petagas






Di Sabah, jalan raya kembar seperti inilah yang dianggap sebagai "lebuh raya"






Persimpangan Penampang Bypass untuk ke Keningau dan Tenom melalui Jalan Persekutuan 500






Persimpangan Lido untuk ke Jalan Penampang FT501






Persimpangan Likas untuk ke Inanam, Menggatal dan Likas melalui Jalan Tuaran FT1






Banyak pusingan U disediakan di sepanjang jalan ini

Thursday, August 29, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 1: Modus operandi penerbangan tambang murah / Modus operandi of low-cost carrier




Salam sejahtera,

Lebih kurang dua dekad lalu, menaiki kapal terbang merupakan satu bentuk kemewahan disebabkan tambangnya yang mahal. Maka, untuk menggalakkan orang-orang Semenanjung Malaysia untuk berkhidmat ke Sabah dan Sarawak, mereka ditawarkan elaun perjalanan yang membolehkan mereka membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke kampung, meskipun jumlahnya masih terhad. Namun kini, sesiapa sahaja boleh pergi ke Sabah dan Sarawak disebabkan harga tiketnya yang mampu dibeli oleh sesiapa sahaja, hasil daripada penubuhan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia. 

Jadi bagaimana syarikat penerbangan tambang murah mampu memberikan kadar tambang kapal terbang yang sebegitu murah sedangkan kos sebenar pengangkutan kapal terbang adalah sangat tinggi? Hari ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai rahsia bagaimana syarikat penerbangan tambang murah boleh menyediakan tambang yang sebegitu murah.

Bagi mereka yang sudah biasa menaiki pesawat AirAsia, mereka tentunya sudah maklum bahawa mereka perlu menempah tiket kapal terbang beberapa bulan lebih awal. Kenapa begitu? Biar saya terangkan - untuk pengetahuan anda, harga tiket penerbangan tambang murah sebenarnya boleh berubah sebegitu dinamik, yang bermaksud harganya akan menjadi semakin lama semakin mahal jika anda bertangguh-tangguh semasa membeli tiket, berbeza dengan syarikat penerbangan biasa yang mana harga tiketnya kekal sama walaupun dibeli pada saat-saat terakhir. Sebenarnya dari segi teori, syarikat penerbangan tambang murah sebenarnya tidak untung (malah boleh rugi) semasa menawarkan tiket dengan tangga harga termurah; bagi mengatasinya, mereka mengamalkan sistem tangga harga yang semakin meningkat mengikut kapasiti bagi menggalakkan pengguna menempah tiket lebih awal sekaligus membolehkan mereka mendapat pulangan dengan lebih pantas. Bagi setiap penerbangan, setiap kerusi dibahagikan kepada beberapa tangga harga yang telah ditetapkan bilangannya, dan tiket dengan tangga harga terendah akan dijual terlebih dahulu. Biasanya, hanya lebih kurang 10% sahaja kerusi dengan tangga harga termurah (termasuk harga promosi) dijual. Setelah kesemua bilangan kerusi dengan tangga harga termurah habis dijual, maka tiket dengan tangga harga yang lebih tinggi pula dijual, dan proses tersebut berterusan sehinggalah tiket dengan tangga harga yang paling mahal dijual. Pada satu tahap, harga tiket akan meningkat sehingga ke takat yang mana harganya sudah jadi lebih mahal daripada tiket penerbangan biasa. Jika ini berlaku, maka lebih baik anda menaiki pesawat Penerbangan Malaysia sahaja. Oleh itu, anda mesti merancang percutian anda dengan teliti dan membeli tiket beberapa bulan lebih awal supaya anda tidak terkejut apabila harga tiket menjadi sebegitu cekik darah akibat suka bertangguh semasa membeli tiket. Jika anda jenis yang suka membeli tiket pada saat-saat akhir, maka tiket AirAsia sama sekali tidak sesuai untuk orang seperti anda. Tujuan caj bagasi dikenakan adalah bagi menggalakkan penumpang mengurangkan bagasi (kerana bagasi yang kurang memendekkan masa pemunggahan di lapangan terbang, sekaligus mengurangkan kos yuran parkir pesawat), di samping menjana keuntungan.

Selalunya, harga tiket termurah yang dinyatakan hanyalah bagi yang berlenggang-kangkung dan hanya membawa beg sandang kecil sahaja. Jika anda menempah tiket dengan bagasi, akan ada perbezaan harga yang agak kecil dan sama sahaja bagi setiap penerbangan. Namun, jika anda membeli tiket tanpa bagasi dan mahu menambah bagasi selepas pembelian tiket, maka caj yang dikenakan adalah lebih tinggi daripada perbezaan harga antara tiket dengan bagasi dan tanpa bagasi. Jika anda terhegeh-hegeh menambah bagasi semasa hendak menaiki pesawat, maka caj yang dikenakan adalah yang tertinggi. Begitu juga dengan penumpang yang membawa bagasi melebihi had berat. Ia adalah satu cara bagaimana syarikat penerbangan tambang murah menjana keuntungan yang besar. Modus operandi sebegini samalah seperti jualan pencetak komputer - pencetak dijual dengan harga yang lebih tinggi sedikit sahaja daripada kos pembuatannya, tetapi dakwatnya pula dijual dengan harga yang sebegitu mencekik darah, membolehkan pengeluarnya untung berlipat kali ganda.

Jika anda sudah pun membeli tiket, ini amaran keras untuk anda - jangan sekali-kali meminta menukar tarikh dan / atau masa penerbangan - rugi besar! Anda akan dikenakan caj penukaran serta perbezaan tambang sekiranya harga tiket pada masa penerbangan yang baru lebih mahal daripada yang lama. Jika harga tambang baru lebih murah daripada yang lama, ia tetap dianggap sifar dan bukan negatif - anda tetap perlu membayar penuh caj penukaran. Anda hanya boleh menukar tarikh dan masa sesuka hati anda tanpa sebarang caj tambahan jika dan hanya jika anda membeli tiket yang paling mahal - itu pun kalau ada.

Jika anda perhatikan betul-betul, syarikat penerbangan tambang murah beroperasi di terminal lapangan terbang yang kurang canggih (seperti di terminal LCCT berbanding terminal utama KLIA di Kuala Lumpur). Ada kalanya mereka beroperasi di lapangan terbang sekunder, misalnya Firefly beroperasi di lapangan terbang lama di Subang dan bukannya KLIA. Yuran parkir pesawat dan sewa premis yang lebih murah di samping peralatan penerbangan yang kurang canggih (seperti menggunakan tangga mudah alih yang digerakkan oleh lori dan bukannya jetway bagi mengelakkan sewaannya yang mahal).

Dari segi pesawat yang digunakan, syarikat penerbangan tambang murah selalunya hanya menggunakan satu atau dua jenis pesawat sahaja, dan pesawat-pesawat tersebut dibeli secara borong dalam kuantiti yang sangat banyak supaya membolehkan mereka mendapat diskaun niaga daripada pengeluar pesawat. Misalnya, AirAsia hanya menggunakan pesawat jenis Airbus A320-200. Pada tahun 2016 pula, mereka akan beralih kepada pesawat Airbus A320neo yang lebih baharu dan lebih jimat bahan api, tetapi bahagian dalaman, kokpit serta sistem pengendaliannya adalah sama seperti A320-200. Faktor sebegini sangat penting supaya kos bagi melatih juruterbang dan kru penerbangan dapat dijimatkan. 

Ciri-ciri pesawat yang digunakan itu sendiri turut menyumbang kepada penjimatan kos. Pesawat Airbus A320-200 hanya memerlukan seorang juruterbang dan pembantunya sahaja di dalam kokpitnya kerana menggunakan sistem pengurusan pesawat yang begitu canggih. Pesawat yag lebih lama memerlukan tambahan seorang jurutera penerbangan bagi menterjemah bacaan tolok-tolok dan meter-meter yang terdapat di dalam kokpit dan memaklumkannya kepada juruterbang. Pesawat Airbus A320-200 berupaya memuatkan seramai 180 orang penumpang, dan kerusi yang digunakan adalah menegak dan disusun rapat, dengan ruang kaki yang hanya cukup-cukup makan sahaja. Seramai lebih kurang 4 orang sahaja anak kapal di dalam setiap pesawat, dan mereka bukan sahaja menjadi pramugara atau pramugari, tetapi turut membuat kerja-kerja lain seperti menjadi tukang sapu dan penghantar makanan. Sayap pesawat turut diubahsuai dengan memasang sayap lawi (winglet) bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik pesawat.

Sebut fasal makanan, harga tiket penerbangan tambang murah hanyalah tempat duduk semata-mata - ditetapkan sendiri secara automatik. Jika anda mahu menetapkan sendiri tempat duduk, anda akan dikenakan sedikit caj, sedangkan syarikat penerbangan tradisional pula membenarkan anda menetapkan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan. Begitu juga dengan makanan, tiada makanan disediakan beserta pembelian tiket, sebaliknya anda perlu membeli makanan dengan harga yang berlipat kali ganda lebih mahal daripada biasa. Anda bayangkan, setin Coca-Cola di dalam pesawat AirAsia berharga RM6, sedangkan dengan harga yang sama anda dapat membeli tiga atau empat tin di kedai-kedai biasa. Selain itu, sebungkus nasi lemak di dalam pesawat AirAsia berharga RM15 lebih kurang tujuh kali ganda lebih mahal daripada di warung, gerai atau restoran biasa. Patutlah boleh untung berbilion-bilion ringgit setiap tahun! Sebab itu jugalah saya pernah terfikir untuk "menyeludup" sedikit makanan dan minuman untuk "kunyah-kunyah" sepanjang perjalanan, tetapi saya membatalkannya kerana sudah makan dan minum sepuas-puas hati sebelum menaiki pesawat.

Sebenarnya, ada banyak lagi rahsia bagaimana syarikat penerbangan tambang murah mampu mengiklankan kadar tambang yang sebegitu murah. Bahan api dibeli dengan kuantiti yang sangat banyak semasa harganya jatuh. Jika harga bahan api menjadi mahal dan syarikat tidak mempunyai rizab bahan api mencukupi, surcaj bahan api akan dikenakan. Tiket juga selalunya dijual dalam talian supaya kurang pekerja kaunter diperlukan. Pendek kata, operasi penerbangan tambang murah adalah berkaitan dengan bagaimana hendak meminimakan kos pengendalian serendah mungkin tetapi dalam masa yang sama juga mengaut keuntungan semaksima mungkin. Untuk menjana pendapatan tambahan, syarikat penerbangan tambang murah juga ada kalanya turut mengendalikan tempahan hotel dan kereta sewa bagi mendapatkan komisen tambahan.

Begitulah sedikit-sebanyak mengenai rahsia bagaimana syarikat penerbangan tambang murah seperti AirAsia berupaya menawarkan tambang murah tetapi dalam masa yang sama untung berbilion ringgit. Ada kalanya AirAsia pernah dikritik di dalam parlimen berikutan sistem tangga harga tambang yang digunakan, sekaligus timbul dakwaan yang mengatakan AirAsia "menipu" pengguna. Ada kalanya, terdapat beberapa syarikat penerbangan tambang murah yang dikritik kerana enggan membawa penumpang kurang upaya. Apa boleh buat, kalau nak tambang murah, itulah layanan yang kita dapat. Sebab itulah saya serahkan kepada anda sendiri untuk membuat pilihan sama ada mahu menggunakan penerbangan tambang murah ataupun konvensional. Jika anda hanya sekadar mahu tambang yang murah, tak kisah terpaksa duduk menegak serta pandai merancang percutian beberapa bulan lebih awal, maka AirAsia adalah untuk anda. Tetapi jika anda jenis yang suka membeli tiket pada saat-saat terakhir, tidak pandai merancang percutian dan mahukan layanan kelas satu (siap dengan makanan, minuman dan selimut), maka MAS adalah untuk anda.

Monday, August 26, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013: Prologue



Salam sejahtera kepada semua pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia!

Selamat datang ke negeri Sabah, negeri yang dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu berikutan kedudukan strategiknya di bawah angin monsun. Sumber ekonomi utama Sabah ialah pelancongan, atau lebih spesifik lagi, eko-pelancongan. Sejumlah 9 Taman Negara atau Negeri telah diwartakan yang menyajikan pelbagai spesies flora dan fauna terutamanya bunga Rafflesia dan orang utan. Selain itu, terdapat beberapa lokasi berkayak yang mencabar seperti di Sungai Padas yang hanya boleh dihubungi melalui kereta api. Sabah turut menempatkan gunung tertinggi di Malaysia serta Kepulauan Melayu, iaitu Gunung Kinabalu setinggi 4,095 m.

Saya berkunjung ke Sabah pada 21 Ogos 2013 dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2013. Disebabkan masa yang begitu terhad di Sabah, banyak projek reviu jalan raya yang terpaksa saya tunda ke suatu tarikh yang akan saya tetapkan pada masa akan datang. Apa pun, pengalaman saya bercuti di Sabah merupakan suatu pengalaman yang amat berharga buat saya.

Untuk pengetahuan para pembaca dari Semenanjung yang belum pernah ke Sabah, saya perlu mengingatkan anda bahawa Sabah mempunyai kuasa autonomi dalam bidang imigresen, yang bermaksud pelancong dari Semenanjung dan Sarawak yang ingin memasuki Sabah perlu melalui pemeriksaan imigresen oleh Jabatan Imigresen Sabah. Malah, jika anda merentasi sempadan Sabah-Sarawak melalui jalan raya, anda juga dimestikan melalui proses pemeriksaan imigresen di Kompleks Imigresen Merapok/Sindumin, sungguhpun kedua-dua negeri adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Asalnya, pelancong dari Semenanjung dan Sarawak wajib membawa pasport untuk ke Sabah, tetapi sekarang mereka hanya perlu membawa kad pengenalan dan diberikan pas lawatan sosial 90 hari yang perlu dipulangkan semula kepada Jabatan Imigresen semasa meninggalkan Sabah. Hak autonomi Sabah dalam bidang imigresen dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan kerajaan persekutuan tiada kuasa veto untuk membenarkan atau melarang kemasukan seseorang ke Sabah kecuali ketika darurat atau ancaman keselamatan.

Seperti di Semenanjung, jalan raya di Sabah terdiri daripada jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan tempatan (perbandaran atau jalan kampung). Jalan persekutuan di Sabah terbahagi kepada 3 jenis:-
  1. Lebuhraya Pan Borneo - diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 1 (Kudat-Kota Kinabalu-Sindumin), 13 (Batu 32 Checkpoint Sandakan-Lahad Datu-Tawau) dan 22 (Kota Kinabalu-Sandakan)
  2. Jalan persekutuan sekunder (siri 500)
    • FT500 - Kota Kinabalu-Tambunan-Keningau-Tenom
    • FT501 - Jalan Penampang-Lok Kawi
    • FT502 - Beaufort-Menumbok (ke Labuan)
    • FT503 - Jalan baru Tuaran-Kota Belud (memintas jajaran lama FT1 dari Tamparuli ke Kampung Pengkalan yang berbengkang-bengkok dan sempit)
  3. Jalan institusi persekutuan (siri 600) - setakat ini hanya 2 sahaja yang diketahui iaitu Jalan Persekutuan 601 (Tanjung Aru-Sembulan-pusat bandar raya KK-Universiti Malaysia Sabah-Bandar Indah Permai) dan 606 (Jalan Sepanggar).
Majoriti jalan raya utama di Sabah ialah jalan negeri. Malah, jalan persekutuan di Sabah sebenarnya hanyalah pada nama sahaja kerana Sabah turut mempunyai kuasa autonomi terhadap pembinaan jalan raya; perbezaan utama antara jalan persekutuan dan jalan negeri hanyalah sumber peruntukan utama, iaitu pembinaan jalan persekutuan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. Ia berbeza daripada status jalan raya di Semenanjung, yang mana kerajaan persekutuan berkuasa penuh terhadap pembinaan jalan-jalan persekutuan, tetapi Jabatan Kerja Raya negeri dan daerah pula mempunyai kuasa terhadap penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan yang melalui negeri dan daerah masing-masing.

Jika anda berkunjung ke Sabah melalui udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu merupakan lapangan terbang utama di Sabah. Ia terbahagi kepada dua terminal, iaitu Terminal 1 (disebut sebagai "lapangan terbang baru") dan Terminal 2 (bangunan asal, kini mengendalikan penerbangan tambang murah). Dalam entri seterusnya saya akan menulis mengenai penerbangan tambang murah serta modus operandinya.

Sunday, August 25, 2013

Memandu terlalu laju, banyak guna brek dan tidak guna gear rendah punca nahas Genting Highlands / Driving too fast, heavily relying on brakes and never use low gear caused the Genting Highlands crash



Nahas bas di Genting Highlands pada 21 Ogos 2013 yang mengorbankan seramai 33 orang
(Kredit gambar: Blog Ammar)





Salam sejahtera,

Terlebih dahulu Blog Jalan Raya Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa nahas bas persiaran di KM3.5 Jalan Genting Highlands-Genting Sempah pada petang 21 Ogos 2013. Pada masa itu saya baru sahaja tiba di Kota Kinabalu untuk bercuti sambil mengambil kesempatan untuk mengadakan beberapa siri reviu jalan raya di Sabah. Nahas yang disifatkan sebagai nahas bas terburuk dalam sejarah negara itu telah mengorbankan seramai 33 orang termasuk pemandunya. Menurut mangsa yang terselamat, kemalangan berpunca daripada sikap pemandu yang memandu secara berbahaya sehingga bas hilang kawalan. Nampaknya pemandu tersebut langsung tidak mengambil iktibar daripada beberapa siri kemalangan di jalan raya pergunungan terutamanya yang melibatkan bas ekspres.

Tidak lama dahulu, kita dikejutkan dengan kemalangan yang melibatkan kereta Proton Satria dari arah Bukit Antarabangsa yang hilang kawalan lalu melanggar sebuah Perodua Viva di Jalan Lingkaran Tengah 2 FT28 sehingga menyebabkan kerangka Perodua Viva tersebut terkoyak dan kesemua penumpang serta pemandunya mati serta-merta.




Sentiasa gunakan gear rendah untuk menuruni jalan raya pergunungan dengan selamat


Jadi apa persamaan antara kedua-dua nahas tersebut? Kedua-dua nahas tersebut berkongsi punca yang sama, iaitu memandu laju semasa menuruni bukit sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan apabila sistem brek mengalami kegagalan.

Justeru, setiap kali anda menggunakan sebarang jalan raya pergunungan, anda wajib fardhu ain mematuhi peraturan ibu jari berikut:-
  1. Pastikan bunga tayar dan kasut brek masih tebal
  2. Pastikan brek berfungsi dengan sempurna
  3. Pandu lebih perlahan daripada biasa
  4. Sentiasa lebih banyak bergantung kepada gear rendah dan bukannya brek bagi mengawal kenderaan
Kita seharusnya sedar bahawa memandu di jalan raya pergunungan sememangnya jauh berbeza daripada memandu di jalan raya yang rata. Di jalan raya yang rata, pemandu hanya perlu menangani tenaga kinetik dan daya geseran, tetapi di jalan raya pergunungan pula pemandu juga perlu menangani tenaga keupayaan yang terhasil akibat perbezaan ketinggian. Dengan kata lain, semakin curam sesebuah jalan, maka semakin kuat kuasa membrek yang diperlukan. Namun, kita tidak boleh terlalu berharap kepada brek semata-mata kerana membrek secara berterusan akan mengakibatkan brek lampau panas dan seterusnya sistem brek akan gagal. Sebaliknya, kita perlu lebih banyak bergantung kepada brek enjin, iaitu dengan menggunakan gear rendah bagi membolehkan enjin memperlahankan kenderaan. Sungguhpun demikian, bagi membolehkan brek enjin digunakan dengan lebih cekap, bunga tayar perlu dipastikan tebal kerana jika tayar botak digunakan, tayar akan hilang cengkaman terutamanya semasa hujan.

Malangnya, masih ramai pemandu yang masih lagi bersikap takbur dan bodoh sombong, dan tetap memandu laju di kawasan pergunungan, meskipun sudah banyak berita kemalangan seumpamanya yang disiarkan di dada akhbar dan kaca televisyen. Pemandu kenderaan yang menggunakan transmisi automatik juga tidak terkecuali; meskipun kebanyakan kenderaan transmisi automatik terkini dilengkapi dengan sistem logik kecerunan (grade logic) yang menurunkan gear secara automatik semasa mendaki atau menuruni cerun curam, ada kalanya sistem logik kecerunan tersebut tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Sebab itulah kawalan manual tetap disediakan supaya pemandu boleh memaksa transmisi automatik untuk menurunkan gear secara manual jika keadaan yang tidak diingini berlaku.

Kenapa saya perlu berpesan-pesan mengenai perkara ini? Pengalaman saya memandu telah mengajar saya sedemikian. Semasa saya di Sabah, saya menyewa sebuah kereta Proton Saga BLM transmisi automatik untuk digunakan di sana. Kotak gear automatik Mitsubishi Invecs pada Proton Saga itu sepatutnya dilengkapi dengan sistem logik kecerunan, tetapi entah kenapa sistem logik kecerunan itu tidak berfungsi semasa saya mencuba Lebuhraya Tamparuni-Ranau FT22 yang mempunyai banyak naik turun cerun curam; kotak gear tidak menurunkan gear ke gear 3 secara automatik semasa menuruni bukit curam bagi mendapatkan brek enjin, maka saya terpaksa banyak bermain dengan tombol gear antara posisi D dengan D3 di sepanjang perjalanan. Tambahan pula, brek hadapan pada masa tersebut juga kurang makan dan berbunyi kuat akibat kasut brek retak.




Tanjakan kecemasan lori seperti di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 ini boleh membantu memberhentikan kenderaan yang hilang kawalan akibat kegagalan sistem brek dengan selamat


Jika kenderaan hilang kawalan akibat kegagalan brek, apa patut dilakukan? Pertama sekali, cuba gunakan brek tangan untuk memperlahankan dan memberhentikan kereta. Jika brek tangan pun tak makan, tukar ke gear satu (atau posisi L bagi transmisi automatik). Enjin mungkin akan meraung kuat, tetapi ia jauh lebih baik daripada ada nyawa yang melayang. Jika kenderaan masih tidak dapat dikawal, tindakan drastik yang boleh anda gunakan ialah dengan mematikan kunci penyalaan, tetapi lakukan ini hanya di lurusan sahaja. Jika jalan tersebut ada tanjakan kecemasan lori, gunakanlah tanjakan tersebut supaya kenderaan anda boleh diberhentikan dengan selamat.

Kesimpulannya, jika memandu di jalan raya pergunungan, pemandu mestilah memandu pada kelajuan yang lebih rendah agar kenderaan lebih selamat dikendalikan. Jika selama ini kita memandu pada kelajuan 90 km/j di jalan raya yang rata, kelajuan pemanduan yang selamat di jalan raya pergunungan mestilah sekitar 50-60 km/j. Untuk memperlahankan kenderaan pula, kita mestilah lebih banyak bergantung kepada gear rendah daripada brek enjin untuk mengelakkan daripada nahas yang berpunca daripada kegagalan sistem brek. Akhir kata, ingatlah orang yang tersayang.

Monday, August 19, 2013

Tiada piawaian seragam bagi penggunaan bahan api punca dakwaan dipertikaikan / No uniform standard for fuel consumption causes disputed claims





Contoh pengukuran penggunaan bahan api bagi Proton Preve (gambar atas) dan Honda Civic (gambar bawah). Harus diingatkan bahawa kadar penggunaan bahan api lebih banyak bergantung kepada gaya pemanduan pengguna itu sendiri.
(Kredit gambar oleh: Paul Tan)

Salam sejahtera,

Pelancaran Proton Suprima S pada 17 Ogos 2013 ternyata menjadi buah mulut di kalangan rakyat Malaysia sekarang. Ramai di kalangan pengunjung bilik-bilik pameran Proton yang begitu teruja untuk memandu uji model terbaru Proton ini, meskipun masih ada lagi yang bersikap skeptikal. Ramai di kalangan mereka turut bersetuju bahawa Suprima S ternyata lebih baik daripada Preve sebelum ini dengan lebih banyak ciri-ciri menarik. Namun, apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kadar penggunaan bahan api Suprima S yang didakwa mencatatkan 9.1 L/100 km, jauh lebih tinggi daripada Preve yang didakwa hanya menggunakan bahan api sebanyak lebih kurang 6.1 L/100 km. Eh...? Kenapa pula Suprima S lebih kuat makan minyak daripada Preve? Bukankah kedua-duanya menggunakan enjin yang sama dengan berat badan yang tak jauh berbeza? Jika diperhatikan semula dengan lebih teliti pada risalah kedua-dua model berikut, angka-angka tersebut diperolehi daripada kaedah pengukuran penggunaan bahan api yang berbeza; Preve mencatatkan angka 6.1 L/100 km hasil ujian pemanduan dengan had laju malar 90 km/j, manakala Suprima pula menggunakan kitar pemanduan gabungan, yang sudah tentunya lebih mengelirukan. Cerita perbandingan penggunaan bahan api antara Suprima dan Preve sebenarnya hanyalah salah satu episod daripada dakwaan penggunaan bahan api setiap kereta yang mengelirukan dan tidak realistik, berikutan piawaian pengukuran penggunaan bahan api yang digunakan adalah sangat berbeza.

Kenapa pula angka-angka penggunaan bahan api boleh jadi sangat berbeza? Punca utama ialah piawaian pengukuran penggunaan bahan api yang digunakan. Misalnya, Jepun menggunakan piawaian pengukuran penggunaan bahan api mereka sendiri iaitu mod 10-15 dan JC08. Amerika Syarikat pula menggunakan piawaian yang ditetapkan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) bagi menentukan kadar cukai pelahap minyak (gas guzzler tax) yang bakal dikenakan sekiranya kenderaan mencatatkan penggunaan bahan api  yang lebih tinggi daripada nilai maksima yang ditetapkan. Di Eropah pula, piawaian yang dikenali sebagai Kitar Pemanduan Baru Eropah (NEDC) digunakan bagi mengira penggunaan bahan api. Kedua-dua piawaian tersebut mengukur penggunaan api bagi keadaan pemanduan dalam bandar dan lebuh raya atau luar bandar, dengan menggunakan prosedur yang berbeza. Selain itu, Thailand turut mempunyai piawaian pengukuran penggunaan bahan api mereka sendiri. Nilan penggunaan bahan api diukur sama ada dalam kilometer seliter atau km/L (berapa jauh sesebuah kenderaan boleh dipandu bagi seliter petrol), ataupun liter setiap 100 kilometer atau L/100 km (berapa banyak petrol yang digunakan setiap 100 km).

Di Malaysia pula, tiada piawaian prosedur seragam bagi mengukur kadar penggunaan bahan api kenderaan. Misalnya, UMW Toyota menggunakan prosedur ujian mod 10-15 atau JC08 bagi angka-angka penggunaan bahan api kenderaan keluaran mereka. Honda Malaysia pula menggunakan prosedur piawaian pengukuran bahan api Thailand bagi mencatatkan penggunaan bahan api kereta keluaran mereka, manakala Boon Siew Honda pula menggunakan ECE40 bagi motosikal keluaran mereka. Proton pula mengukur penggunaan bahan api melalui ujian pemanduan pada kelajuan malar 90 km/j, tetapi Proton Suprima S pula menggunakan piawaian penggunaan bahan api yang tidak diketahui kerana nilai yang diperolehi bagi Suprima S adalah mengikut kitar gabungan. Akibat penggunaan prosedur pengukuran penggunaan bahan api yang berbeza, sesebuah kereta akan mencatatkan kadar penggunaan bahan api yang berbeza di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun, dan ia lebih ketara bagi kitar pemanduan bandar. Apa yang saya lebih kesalkan ialah tiada sebarang usaha atau inisiatif daripada badan yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Tenaga bagi menyeragamkan prosedur ujian penggunaan bahan api kenderaan.

Prosedur pengukuran bahan api yang digunakan selalunya tidak seragam mengikut kawasan (iaitu, berapa kerap kenderaan diberhentikan, berapa lama kenderaan diberhentikan, berapa lama kenderaan digerakkan semula dan kelajuan pengendalian). Kebanyakan kitar ujian memerlukan kenderaan diuji dalam keadaan kerap diberhentikan dan digerakkan, kononnya bagi "meniru" suasa pemanduan bandar yang banyak memerlukan kenderaan berhenti dan bergerak semula. Dalam keadaan sebenar, tabiat pemanduan pemandu langsung tidak mengikut keadaan dalam prosedur ujian tersebut. Tambahan pula, satu lagi kriteria yang perlu diambil perhatian ialah keadaan jalan raya di bandar tidak semestinya sesak sepanjang masa; ada juga bandar yang mana pemandu boleh memandu terus tanpa halangan berikutan bilangan kenderaan yang begitu kurang. Justeru, saya berpendapat adalah lebih baik jika menggunakan kelajuan malar sebagai syarat pengukuran.

Akibat prosedur pengukuran penggunaan bahan api yang tidak seragam, maka nilai-nilai yang diperolehi tidak konsisten, dan boleh menyebabkan kebanyakan pengguna gagal mencatat penggunaan bahan api seperti didakwa, seterusnya membawa kepada dakwaan penipuan penggunaan bahan api. Ia benar terutamanya pada sesetengah model kereta hibrid yang sering meletakkan angka-angka penggunaan bahan api yang ada kalanya cuma indah khabar daripada rupa bagi memancing bakal pembeli. Akibatnya, terdapat banyak kes pengeluar kereta di Amerika Syarikat yang disaman oleh pengguna kerana gagal mencatatkan penggunaan bahan api seperti didakwa, meskipun kegagalan tersebut adalah berpunca daripada gaya pemanduan pemandu itu sendiri. Terdapat juga kes di mana penggunaan bahan api yang didakwa adalah lebih rendah daripada penggunaan sebenar. Misalnya, Honda mendakwa bahawa penggunaan bahan api bagi Honda City model 2009 ialah lebih kurang 17 km/L, tetapi saya berupaya mencatatkan sehingga 20 km/L.

Berikutan ketiadaan prosedur pengukuran bahan api seragam di Malaysia, maka saya ingin menggesa Jabatan Alam Sekitar serta Suruhanjaya Tenaga agar merangka satu prosedur penggunaan bahan api seragam yang wajib diikuti oleh semua pengeluar kenderaan. Tiga mod pengukuran bahan api perlu disediakan, iaitu mod bandar (kelajuan malar 60 km/j), kebangsaan (kelajuan malar 90 km/j), dan lebuh raya ekspres (kelajuan malar 110 km/j). Ujian penggunaan bahan api mestilah dijalankan dalam keadaan pendingin udara dihidupkan pada tetapan maksimum (full-blast) serta dipenuhi 4 orang penumpang dan seorang pemandu dengan berat badan purata lebih kurang 65 kg. Angka-angka penggunaan bahan api yang dicatatkan itu seterusnya wajib dipamerkan pada risalah dan iklan kenderaan tersebut.

Kesimpulannya, kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Tenaga mestilah mengambil inisiatif membangunkan satu prosedur seragam bagi menguji dan mengukur penggunaan bahan api, jika kerajaan benar-benar serius mahu memartabatkan industri automotif Malaysia yang sering dikecam hebat oleh rakyat sendiri akibat kegagalan badan-badan berwajib membangunkan dasar-dasar yang sepatutnya menjadikan Malaysia sebagai juara industri automotif serantau. Kegagalan meletakkan sasaran mengurangkan penggunaan bahan api hasil daripada ketiadaan prosedur standard bagi mengukur penggunaan bahan api hanya menjadikan Malaysia sebagai "negara pengikut" dan bukannya perintis dalam industri automotif serantau, sekaligus menjadikan Dasar Automotif Nasional sebagai gagal sepenuhnya.

Sunday, August 18, 2013

Proton Suprima S - Padat dengan nilai hebat / Proton Suprima S - Fully loaded with built-in value

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Proton Holdings Berhad atas pelancaran model terbaru Proton Suprima S, yang sebelum ini dikenali sebagai Proton Preve Hatchback, pagi semalam (17 Ogos 2013). Buat pertama kalinya dalam sejarah Proton, majlis pelancarannya tidak disiarkan di kaca televisyen sebaliknya siaran langsung majlis pelancarannya disiarkan melalui YouTube dan boleh ditonton melalui laman blog automotif Paul Tan. Keputusan tersebut sebenarnya agak mengecewakan, memandangkan ramai yang melayari internet menggunakan perkhidmatan jalur lebar prabayar yang sangat kedekut kuota data, justeru saya ingin menyeru kepada Proton agar pelancaran model-model akan datang disiarkan melalui media televisyen dan YouTube supaya para peminat mempunyai pilihan untuk menonton majlis pelancaran.

Saya berkesempatan ke Proton Edar Taman Samudera Batu Caves untuk melihat sendiri Proton Suprima dari dekat. Jika dilihat dari hadapan, mungkin kebanyakan orang akan mengatakan bahawa ia hanyalah Proton Preve hatchback tanpa ada apa-apa yang istimewa, hanya gril radiator sahaja yang berbeza. Namun, jika dilihat dari belakang pula, jujur saya katakan bahawa rekaan lampu belakangnya memang cantik, mantap dan sangat bersesuaian - sangat berbeza daripada lampu belakang Preve yang saya sifatkan sebagai "hodoh" kerana model konsep Proton Tuah yang direkabentuk oleh Italdesign Guigaro asalnya mempunyai lampu belakang yang sangat cantik, tetapi saya patut salahkan vendor lampunya kerana gagal menghasilkan lampu belakang yang secantik Tuah. Jika dilihat pada lampu belakang Suprima S, mungkin pada awalnya kebanyakan orang akan menganggap ia kelihatan "biasa-biasa sahaja", tetapi setelah lampu dihidupkan, anda akan melihat garisan merah terang yang cantik di belakang seakan-akan seperti pada kereta Hyundai atau BMW; lampu belakang "biasa" itu sebenarnya ialah lampu brek. Lampu kabut belakang Suprima S adalah jenis tunggal yang ditempatkan di bahagian bawah bampar, tidak seperti Preve yang menempatkan lampu kabut belakang pada lampu-lampu belakang yang lain.

Hanya satu sahaja pilihan enjin yang disediakan bagi Suprima S ini, iaitu enjin Campro CFE turbo yang sama seperti yang digunakan pada Preve.Dalam brosur, ia dijenamakan semula sebagai Campro Turbo, sungguhpun ia sebenarnya memang enjin Campro CFE yang sama seperti Preve dan Exora Bold, mungkin bagi menarik minat golongan muda yang menjadi golongan sasaran bagi Suprima S ini. Tiada pilihan enjin Campro IAFM+ pada Suprima S ini, mungkin kerana para jurutera dari Jabatan Rangkaian Kuasa Proton sudah pun mengambil iktibar daripada Preve IAFM+ yang dikecam kerana menggunakan enjin yang tidak cukup kuasa (underpowered) bagi menggerakkan sebuah kereta seberat 1.3 tan itu yang lebih berat daripada Honda Civic 2.0. Buat masa sekarang hanya pilihan transmisi CVT sahaja boleh didapati, tetapi buku panduan penggunanya ada menunjukkan tombol gear manual 6 kelajuan, yang menunjukkan kemungkinan pilihan transmisi manual 6 kelajuan akan ditawarkan pada masa akan datang.

Bahagian dalaman Suprima S adalah lebih kurang sama seperti Preve, tetapi terdapat beberapa perubahan yang ketara. Antaranya ialah jenis sistem GPS terbina dalam yang digunakan kali ini adalah dari jenis yang lebih baik daripada Preve, dengan skrin yang lebih besar serta menggunakan sistem pengendalian Andriod. Jadi bayangkanlah anda bermain permainan Angry Birds atau Candy Crush Saga pada sistem GPS itu nanti! Kemasan dalaman yang digunakan kali ini menggunakan tema yang lebih bersesuaian, berbeza daripada Preve yang mempunyai tema warna dalaman yang agak membosankan pada varian lebih rendah. Keenam-enam butang atau paparan kecil pada konsol tengah sudah pun diisi sepenuhnya, yang menunjukkan paparan status beg udara penumpang, lampu amaran tali pinggang keledar penumpang hadapan, suis penyahkabut belakang, suis pengunci pintu, suis sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan suis pengesan parkir hadapan (tidak terdapat pada Preve). Oh, hampir terlupa pula... Suprima S juga mendapat satu lagi ciri yang tidak terdapat pada Preve iaitu kamera undur.

Satu lagi perubahan kecil yang dilakukan pada Suprima S ialah butang paparan maklumat LCD yang terletak pada suis pengelap cermin kali ini dilabelkan dengan jelas. Sebelum ini, suis sama pada Preve tidak dilabelkan, menyebabkan kesukaran pada pemandu untuk mencarinya bagi menukar paparan (odometer, tripmeter, jarak sebelum tangki kosong, penggunaan bahan api dalam unit liter setiap 100 km dan kelajuan purata).

Buat pertama kalinya dalam sejarah Proton, Suprima S ini mendapat enam biji beg udara bagi varian Premium manakala varian yang lebih rendah menerima empat biji beg udara. Sebelum ini saya pernah meluahkan kekecewaan saya dan mengkritik Proton berikutan Preve di Malaysia yang hanya ada paling banyak pun empat biji beg udara, sedangkan Preve di Australia dan Thailand pula mendapat enam biji beg udara, dan kali ini saya patut tabik Proton kerana telah mengambil pengajaran daripada Preve dahulu dan tidak lagi mengamalkan dasar "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan" pada Suprima S ini. Selain itu, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS dengan EBD dan kawalan cengkaman dijadikan komponen standard walaupun pada varian lebih rendah.

Ruangan but belakang boleh disifatkan begitu besar bagi sebuah hatchback segmen C seperti Suprima ini. Ia boleh memuatkan sejumlah 309 liter barangan; jika dicampur dengan barangan yang boleh diletakkan pada pelantar penutup ruang but, ruang simpanan akan ditingkatkan kepada 427 liter. Ia kecil sedikit daripada ruang simpanan Preve sebesar 509 liter. But belakang boleh dibuka secara elektrik menggunakan suis pada kunci ataupun melalui satu suis tersembunyi pada kocek pintu pemandu, yang kelihatan seperti suis tingkap kuasa.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Di Proton Edar Taman Samudera, kereta pandu uji memang sudah ada, tetapi ia hanya boleh digunakan minggu hadapan kerana perlu didaftarkan terlebih dahulu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Insya-Allah saya akan menyiarkan hasil pandu uji Suprima S ini nanti.

Kesimpulannya, Proton Suprima S kali ini didatangkan dengan pelbagai pembaharuan bagi mengatasi beberapa kelemahan ketara pada Proton Preve sebelum ini. Walaupun harga kereta ini lebih mahal (lebih kurang RM80,000 berbanding RM74,000 pada Preve), namun ia jauh lebih berbaloi dan jauh lebih banyak pembaharuan serta ciri-ciri hebat sesuai dengan cogan kata Proton iaitu "Komited Untuk Menjadi Lebih Baik". Serius saya katakan, anda tidak akan berupaya mencari model pesaing yang mampu memberikan ciri-ciri sama atau lebih baik pada tanda harga sebegitu, kerana kekuatan utama Proton yang memang diakui umum ialah kemampuannya untuk menawarkan model-model kereta dengan nilai yang terbaik untuk wang anda. Jika anda benar-benar mahu mencari model pesaing yang setara, model pesaing yang saya cadangkan ialah Ford Focus dan Mazda3 2.0 hatchback.


Spesifikasi Proton Suprima S

Enjin: DOHC 16 injap 4 silinder sebaris 1.6 liter turbo Campro CFE
Sesaran: 1561 cc
Lubang x lejang: 76 x 86 mm
Nisbah mampatan: 8.8:1
Kuasa kuda: 103 kW (140 PS) @ 5,000 rpm
Tork: 205 N-m @ 2,000-4,000 rpm
Jarak roda: 2,650 mm
Berat kering: 1,375-1,575 kg
Muatan tangki bahan api: 50 liter
Saiz tayar: 215/45 R17 (varian Premium); 205/55 R16 (varian lebih rendah)

Apa yang saya suka
  1. Akhirnya Proton akur terhadap desakan memberikan 6 biji beg udara bagi pasaran tempatan - varian rendah pun diberi 4 biji beg udara
  2. Paparan GPS Android yang lebih besar, lebih cantik dan lebih responsif serta menyokong berbilang sentuhan
  3. Tiada lagi pilihan enjin IAFM+ yang tidak cukup berkuasa
  4. Nilai terbaik untuk wang - anda tidak akan berupaya mencari model pesaing yang mempu memberikan sebegitu banyak ciri pada tanda harga sekitar RM80,000
  5. Lampu belakang berprofil rendah yang sangat cantik - nampak macam "biasa-biasa" tetapi sebenarnya sangat cantik apabila lampu dihidupkan
  6. ABS, EBD, kawalan cengkaman dan ESC adalah standard pada kesemua varian
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih belum ada varian transmisi manual 6 kelajuan seperti digambarkan pada buku panduan pengguna







Papan pemuka dan stereng Suprima S adalah sama sahaja seperti Preve






Meter Suprima S






Buat pertama kalinya Proton menambah 2 biji beg udara tirai bagi pasaran Malaysia






Butan paparan maklumat LCD kali ini dilabelkan dengan sempurna. Suprima S ini juga menggunakan sistem penghidup tekan seperti Preve






Unit GPS yang digunakan jauh lebih bagus daripada yang digunakan pada Preve






Suis tingkap kuasa






Enjin Campro CFE yang digunakan adalah sama seperti pada Preve dan Exora Bold






Ruang but Suprima S ini memang besar bagi kelasnya






Tulisan "TURBO" menggantikan "CFE". Terdapat juga tulisan timbul "PROTON" yang dijarakkan jauh antara huruf, sama seperti kereta-kereta Volvo model terkini






Suis pembuka but belakang tersembunyi di dalam kocek pintu hadapan pemandu






Kamera undur yang comel ini berupaya memberikan imej yang jelas






Lampu belakang yang nampak cantik apabila dihidupkan






Suprima S menggunakan tayar 17 inci yang besar






Kereta pandu uji ini hanya boleh digunakan minggu hadapan selepas didaftarkan dengan JPJ






Lampu-lampu belakang berprofil rendah menyembunyikan kecantikan sebenarnya

Monday, August 12, 2013

Apa Kejadahnya: Memotong ikut lorong kecemasan - biadap dan tidak boleh dimaafkan / What The Hell: Overtaking through emergency lane - rude and unforgivable




Salam sejahtera,

Semasa saya sedang menulis entri ini, majoriti warga kota sudah pun pulang ke ibu kota untuk kembali bekerja seperti biasa setelah menikmati cuti sempena Hari Raya Aidilfitri. Namun, ada juga di kalangan warga kota yang masih sibuk beraya di kampung kerana mendapat cuti yang lebih panjang ataupun mengambil kesempatan untuk menggunakan peruntukan cuti tahunan yang masih banyak. Seperti biasa, ungkapan "Maaf Zahir Batin" acapkali menjadi halwa telinga setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri. Namun, terdapat puak-puak munafik yang tidak layak untuk menyebut ungkapan tersebut kerana bersikap hipokrit dan masih lagi tidak serik membuat onar sehingga menyusahkan orang lain, dan salah satu daripada puak-puak hipokrit tersebut ialah bajingan-bajingan jalan raya yang tidak pernah serik malah berbangga dengan perbuatan haram jadah mereka yang menyusahkan pengguna jalan raya yang lain seperti melanggar lampu merah, memotong pada garisan berkembar ataupun semasa sudah terlalu dekat, keluar masuk simpang tidak ikut aturan keutamaan, membelok atau menukar lorong tanpa menggunakan lampu isyarat, memandu melebihi had laju, memotong ikut lorong kecemasan, dan banyak lagi. Bangsat-bangsat jalan raya ini sememangnya tidak layak dan tidak patut untuk dimaafkan zahir dan batin, dunia dan akhirat berikutan sikap mereka yang tidak habis-habis menyusahkan orang lain dengan onar yang dilakukan mereka.

Kali ini saya ingin bawakan satu lagi onar yang sering kali dilakukan oleh puak-puak bebal lagi bodoh sombong di atas lebuh raya, iaitu memotong ikut lorong kecemasan. Lorong kecemasan, atau dalam bahasa yang lebih tepat iaitu bahu jalan keras, disediakan pada lebuh raya ekspres dan jalan super two bagi membolehkan kenderaan beralih ke tepi bagi mengelak kemalangan. Ia sama seperti bahu jalan lembut yang terdiri daripada tanah merah, tetapi bahu jalan keras membolehkan pemandu beralih ke tepi dengan selamat pada kelajuan lebih tinggi. Saya pernah mengingatkan dalam rencana Lebuhraya Senai-Desaru E22 bahawa lorong kecemasan bukanlah lorong trafik "tambahan" untuk memotong atau memintas kesesakan lebuh raya. Lorong kecemasan juga bukanlah tempat untuk melepak dan tidur. Lorong kecemasan juga bukanlah lorong motosikal. Sebaliknya, lorong kecemasan sebenarnya merupakan bahu jalan keras untuk membolehkan kenderaan beralih ke tepi bagi mengelak kemalangan jalan raya. Lorong kecemasan juga merupakan hentian sementara bagi kenderaan bermasalah sementara menunggu untuk ditunda ke bengkel berhampiran. Selain itu, lorong kecemasan juga sepatutnya dikosongkan sebagai laluan bagi kenderaan kecemasan iaitu kereta polis, kereta bomba dan ambulans. Itu sahaja. Walau seteruk mana pun kesesakan lebuh raya, ia tidak boleh digunakan sebagai lorong tambahan sama sekali. 

Malangnya, masih ada puak-puak bodoh sombong lagi biadap yang tidak serik-serik memotong ikut lorong kecemasan. Malah, terdapat juga segelintir pemandu bas ekspres biadap lagi haram jadah yang membunyikan hon dan memainkan lampu tinggi bagi memaksa penunggang motosikal beralih ke lorong kecemasan supaya mereka dapat memotong motosikal yang lebih perlahan tanpa perlu beralih ke lorong laju. Sudahlah memandu bas terlalu laju macam bapak pelesit seolah-olah menjadikan pil kuda sebagai makanan asasi menggantikan nasi, lagi mahu tunjuk perangai langsi, samseng dan bodoh sombong pula! Apa kejadahnya semua ini...?

Cuba fikirkan baik-baik, apa akan berlaku jika ada si pemandu bangsat yang memotong ikut lorong kecemasan...? Terdapat banyak sisa-sisa dan puing-puing halus seperti paku atau kaca yang menanti mangsanya di lorong kecemasan. Selain itu, mereka juga berkemungkinan akan melanggar kenderaan rosak yang diparkir di lorong kecemasan. Disebabkan kedegilan si bebal yang masih berdegil memandu di lorong kecemasan itulah pihak polis, bomba dan ambulans lambat tiba ke tempat kejadian. Pesakit yang sepatutnya dapat diselamatkan boleh mati akibat lambat tiba ke hospital angkara bangsat-bangsat bodoh sombong di lorong kecemasan. Kenderaan terbakar yang sepatutnya boleh dipadamkan dengan pantas akan hangus dan rentung 100% akibat bajingan-bajingan bebal yang hanya pentingkan diri sahaja.

Maka, para pengguna lebuh raya sepatutnya memanfaatkan jadual nasihat perjalanan yang sudah dikeluarkan oleh Plus Expressways dan Anih Berhad bagi mengelak kesesakan serius di lebuh raya akibat bilangan kenderaan yang terlalu banyak pada satu-satu masa. Kalau lebuh raya sesak pun, sabar sajalah. Orang lain pun nak balik juga. Anda sepatutnya menghormati pengguna jalan raya lain yang juga terpaksa bersabar menempuh kesesakan. Kalau pun tak tahan kesesakan lebuh raya, keluar sahajalah melalui persimpangan bertingkat terdekat dan guna sajalah jalan raya persekutuan atau negeri yang percuma itu. Sekurang-kurangnya ia jauh lebih berbaloi daripada membayar tol hanya untuk tersangkut dalam kesesakan. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar - jadi jangan salahkan sesiapa jika terlibat dalam kemalangan atau sekurang-kurangnya disaman RM300 akibat kedegilan memandu ikut lorong kecemasan - padan muka!

Tuesday, August 6, 2013

Laluan alternatif elak kesesakan di sepanjang Jalan Persekutuan 3 dan 8 / Alternative routes to avoid congestions along Federal Routes 3 and 8

Salam sejahtera,

Buat para pembaca yang hendak pulang ke Kelantan dan Terengganu masing-masing melalui Jalan Persekutuan 8 dan 3, sila rujuk peta ringkas di bawah bagi laluan-laluan pemintas kesesakan di beberapa bandar utama di sepanjang laluan FT3 dan FT8. Terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya kerana menyediakan peta laluan alternatif yang diringkaskan ini.





Peta laluan pemintas kesesakan bandar Raub




Peta laluan pemintas kesesakan bandar Bentong melalui Jalan Felda Mempada FT1498




Peta laluan pemintas kesesakan bandar Kuala Krai melalui Jalan Negeri Kelantan D225




Peta laluan pemintas kesesakan di bandar Chukai melalui beberapa siri jalan negeri

Sebelum anda pulang ke kampung menyambut Hari Raya... / Before going back to hometown to celebrate Eid day...



Salam sejahtera,

Tidak sampai tiga hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ada yang sudah mula pulang ke kampung halaman sejak Jumaat lalu, tetapi ada yang pulang agak lewat berikutan beban kerja yang masih belum reda. Apa pun, saya amat mengharapkan agar anda selamat tiba di kampung halaman serta selamat pulang semula ke kota tanpa sebarang kecelakaan.

Sebelum anda pulang ke kampung, saya ingin menyampaikan beberapa pesanan penting kepada anda semua:-
  1. Pastikan kenderaan anda diservis dengan sempurna sebelum memulakan perjalanan. Pastikan juga kenderaan anda berada dalam keadaan paling sempurna - kesemua lampu-lampu termasuk lampu brek menyala tanpa ada sebiji mentol pun yang terbakar, bunga tayar masih tebal, kasut brek masih tebal, aras bendalir-bendalir penting kenderaan (minyak pelincir, minyak brek, bendalir sistem penyejukan) mencukupi, dsb.
  2. Berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Jika perjalanan mengambil masa yang sangat lama, ada baiknya anda mencari hentian rehat dan berhenti rehat setiap 4 jam pemanduan.
  3. Patuhi segala peraturan jalan raya terutamanya had laju. Harus diingat bahawa pada masa sekarang Had Laju Kebangsaan di jalan raya persekutuan dan negeri sudah pun diturunkan kepada 80 km/j. Bagi pemandu bas ekspres, jangan pandu bas melebihi 90 km/j di lebuh raya ekspres.
  4. Berhati-hatilah ketika memandu kerana terdapat banyak jalan raya yang dikenalpasti oleh Polis Diraja Malaysia sebagai laluan maut yang mencatatkan angka kemalangan yang tinggi. Klik sini untuk senarai penuh laluan berbahaya.
  5. Ikuti Jadual Nasihat Perjalanan di bawah bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya. Peraturan ibu jari bagi Jadual Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan oleh Plus Expressways Berhad dan Anih Berhad ialah kenderaan yang bergerak jauh sebaiknya bertolak awal selepas bersahur, manakala kenderaan yang bergerak dekat boleh balik lebih lambat pada waktu lewat petang.
  6. Banyakkan bersabar di atas jalan raya. Bilangan kenderaan yang terlalu banyak sudah tentu akan mencabar keimanan setiap pemandu.
Saya bagi pihak Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada seluruh pembaca Blog Jalan Raya Malaysia...!!!



Jadual nasihat perjalanan bagi lebuh raya ekspres kendalian Plus Expressways Berhad




Jadual nasihat perjalanan bagi Lebuhraya Karak E8/FT2 dan Lebuhraya Pantai Timur E8 kendalian Anih Berhad (melalui MTD Prime)




Senarai lokasi kamera AES sebagai peringatan tambahan

Saturday, August 3, 2013

Sepetang di Persada Plus / An afternoon at Persada Plus

Salam sejahtera,

Dalam entri sebelum ini, saya telah memaparkan mengenai berita eksklusif pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat Kementerian Kerja Raya 2013 yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof. Kali ini, saya ingin membawa anda bersiar-siar di Persada Plus yang menjadi ibu pejabat utama Plus Expressways Berhad. Ia terletak di KM15 NKVE E1 iaitu di Exit 104 Persimpangan Subang.

Sedikit sejarah mengenai Persada Plus ini. Tapak Persada Plus ini asalnya merupakan Ibu Pejabat Wilayah Tengah bagi Plus Expressways Berhad. Sebelum pembinaan Persada Plus, ibu pejabat utama Plus Expressways terletak di Faber Towers di Jalan Klang Lama. Setelah beberapa lama menyewa di bangunan tersebut, Plus Expressways Berhad mengambil keputusan untuk membina sebuah kompleks operasi baru yang menggabungkan antara Pejabat Wilayah Tengah dengan ibu pejabat korporat Plus Expressways Berhad. Persada Plus siap dibina pada penghujung 2009 dan dirasmikan pada 8 Januari 2010.

Jika anda ingin melawat ke Persada Plus, maka pastikan anda keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan melalui Exit 104 Persimpangan Subang. Ambil lorong tol paling kiri untuk mengelakkan anda daripada terlepas jalan masuk ke situ. Jalan masuk ke Persana Plus terletak betul-betul selepas Plaza Tol Subang. Jika anda menggunakan lorong motosikal, anda sepatutnya menemui satu lintasan searas dengan sebuah jalan raya. Anda perlu membuat belokan tajam ke kiri kerana itulah jalan masuk ke Persada Plus. Jika anda dari arah Subang pula lebih mudah; jalan masuk ke Persada Plus terletak betul-betul sebelum plaza tol.

Kompleks ibu pejabat Plus Expressways Berhad ini sememangnya luas sesuai dengan statusnya sebagai syarikat konsesi lebuh raya ekspres terbesar di Malaysia. Ia turut menempatkan sebuah stadium mini bagi menggalakkan kegiatan sukan dan riadah di kalangan kakitangannya.

Sebaik sahaja memasuki pintu masuk hadapan di blok bangunan utama, terdapat beberapa paparan sejarah pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 buat tatapan umum. Selain itu juga, beberapa model mesin tiket transit yang pernah digunakan di pondok-pondok tol turut dipamerkan. Tidak ketinggalan juga terdapat paparan sejarah pembinaan Persada Plus itu sendiri.

Oleh kerana kesuntukan masa, saya tidak dapat mengambil gambar keseluruhan kompleks tersebut. Mungkin pada masa akan datang, sekiranya terdapat jemputan menghadiri majlis yang diadakan di situ lagi, saya pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk mengambil gambar keseluruhan kompleks Persada Plus secara menyeluruh.







Ringkasan sejarah Plus Expressways Berhad






Gambar-gambar proses pembinaan Persada Plus






Seorang wakil Plus Expressways sedang menunjukkan model Persada Plus kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof






Model-model mesin tiket transit yang pernah digunakan oleh Plus Expressways Berhad

EKSKLUSIF: Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat Kementerian Kerja Raya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2013 / EXCLUSIVE: The Ministry of Works-level Road Safety Campaign Launching Ceremony in conjunction with 2013 Eid ul Fitr celebration

Salam sejahtera,

Pada 1 Ogos 2013, saya mewakili Blog Jalan Raya Malaysia menghadiri majlis pelancaran Kempen Kesedaran Jalan Raya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2013 yang diadakan di Persada Plus pada pukul 5.00 petang. Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Haji Fadillah Yusof. Beliau turut diiringi oleh Timbalan Menteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, serta Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Himmat Singh. Jutaan terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya kerana sudi mengundang saya serta wakil-wakil media yang lain ke majlis tersebut. Turut menjayakan majlis tersebut ialah Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) yang dianggotai oleh kesemua syarikat konsesi lebuh raya ekspres di Malaysia.

Saya tiba di Persada Plus yang terletak di KM15 NKVE E1 agak awal iaitu lebih kurang pukul 4.00 petang. Ketibaan saya di Persada Plus telah disambut oleh Encik Mohd. Hasrul Nizam bin Hanipah, Pengurus (tol, MIS dan PR) di Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) yang mengendalikan Lebuhraya Duke E33, bagi pihak PSKLM. Wakil-wakil media yang hadir menerima sebuah beg cenderahati tajaan beberapa syarikat konsesi seperti Plus Expressways, Sprint dan Kesas. Terima kasih kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya tersebut kerana bermurah hati menghadiahkan beg-beg cenderahati tersebut kepada wakil-wakil media.

Lebih kurang pukul 5.00 petang, Datuk Haji Fadillah diiringi Datuk Rosnah dan Datuk Himmat tiba di Persada Plus. Mereka kemudian dibawa melawat ke pusat kawalan trafik Plus Expressways dan diberikan taklimat mengenai operasi pusat kawalan trafik tersebut oleh wakil dari Plus Expressways. Pusat kawalan trafik Plus Expressways sememangnya merupakan yang terbesar di Malaysia, kerana ia menerima suapan video kamera litar tertutup di sepanjang laluan lebuh raya kendalian Plus Expressways yang merupakan rangkaian lebuh raya terpanjang di Malaysia. Paparan video di situ sudah pun menunjukkan keadaan trafik yang semakin sesak terutamanya di NKVE E1.

Setelah diberikan taklimat mengenai operasi pusat berkenaan, kami kembali semula ke ruang legar di pintu masuk Persada Plus bagi meneruskan aturcara majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat Kementerian Kerja Raya. Ia merupakan satu inisiatif oleh Kementerian Kerja Raya yang wajar dipuji kerana keadaan jalan raya yang teruk dikenal pasti sebagai salah satu punca utama kemalangan jalan raya. Ia dibuktikan melalui kontroversi lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 yang lebih banyak menyumbang kepada kemalangan motosikal dan bukannya melindungi mereka seperti yang diharapkan, yang berpunca daripada ketiadaan penyelenggaraan serta reka bentuk geometri yang tidak sesuai. Hasil daripada lawatan ke lorong motosikal tersebut, Kementerian Kerja Raya mula menubuhkan Rakan Ronda Lebuh Raya Malaysia sebagai "mata dan telinga" kepada pihak kerajaan agar bertindak segera terhadap kerosakan jalan serta menangani halangan-halangan lain di sepanjang jalan seperti mengalihkan segera kenderaan yang rosak atau terlibat dalam kemalangan secepat mungkin. Rakan Ronda Lebuh Raya Malaysia turut dijadikan platform bagi mengkaji sebarang bentuk cadangan bagi memastikan jalan raya Malaysia lebih selamat.

Selain penubuhan Rakan Ronda Lebuh Raya Malaysia, inisiatif lain oleh kerajaan bagi menangani kadar kemalangan jalan raya yang tinggi termasuklah penurunan sementara Had Laju Kebangsaan 90 km/j kepada 80 km/j sebagaimana yang selalu dilakukan. Jadual Nasihat Perjalanan turut dikeluarkan bagi membolehkan para pengguna jalan raya merancang perjalanan pulang ke kampung dengan lebih teratur supaya kurang berlaku kesesakan.

Sebaik sahaja selesai berucap, Datuk Fadillah memotong reben bagi melepaskan belon-belon sebagai simbolik perasmian kempen tersebut. Seterusnya, beliau turut melancarkan flag-off bagi pelepasan konvoi kumpulan pertama ahli Rakan Ronda Lebuh Raya Malaysia yang turut disertai oleh kumpulan penunggang superbike dari Jugra Bikers. Turut serta dalam perarakan tersebut ialah kenderaan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Bomba dan Penyelamat, syarikat-syarikat konsesi serta van Workshop on Wheels.

Setelah majlis pelancaran tadi selamat disempurnakan, satu sidang media oleh Kementerian Kerja Raya turut diadakan. Soalan yang paling kerap ditanya oleh para wartawan sudah tentulah mengenai diskaun tol sempena cuti Hari Raya Aidilfitri. Datuk Fadillah mengesahkan bahawa pemberian diskaun tol sempena cuti Hari Raya Aidilfitri tetap diteruskan seperti biasa oleh 17 syarikat konsesi lebuh raya bermula 7 hingga 9 Ogos ini (Plus Expressways pula memberi rebat tol 20% pada 5-6 Ogos dan 14-15 Ogos bagi menggalakkan pengguna balik kampung awal dan pulang semula ke kota lewat bagi mengurangkan kesesakan), tetapi jumlah diskaun yang diberikan adalah berbeza-beza mengikut kemampuan syarikat konsesi masing-masing. Kadar diskaun tol yang bakal diberikan dijangkakan sekitar 5% hingga 37.5%. Plus Expressways, walau bagaimanapun, telah mengesahkan bahawa kadar rebat tol yang bakal dikenakan ialah 20%.

Semasa sidang akhbar tersebut, saya turut mengemukakan soalan kepada Datuk Fadillah mengenai bidang kuasa Kementerian Kerja Raya bagi menangani masalah bas ekspres yang dipandu laju melebihi 90 km/j dan melulu di atas lebuh raya ekspres. Beliau menjelaskan bahawa Kementerian Kerja Raya tidak mempunyai kuasa bagi menangani kenderaan yang dipandu melebihi had laju, memandangkan ia di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan; walau bagaimanapun, beliau akan memaklumkan mengenai perkara tersebut kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, di dalam kempen serupa di Putrajaya pada keesokan harinya (2 Ogos 2013). Beliau juga menjelaskan bahawa bidang kuasa Kementerian Kerja Raya dalam menangani kemalangan maut ialah memastikan jalan raya dalam keadaan yang baik dan selesa.

Setelah tamat sidang akhbar, pihak media diberi sedikit bungkusan makanan untuk dibawa pulang sebagai juadah berbuka puasa. Sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Plus Expressways Berhad kerana bermurah hati menyediakan juadah berbuka puasa untuk dibawa pulang, memandangkan sudah lebih pukul 6 dan sudah terlambat untuk mencari juadah berbuka puasa terlebih dahulu.

Sepanjang berada di Persada Plus, banyak pengalaman baru yang dapat saya perolehi di sana. Selain dapat berkenalan dengan seorang lagi "orang kuat" dalam industri lebuh raya ekspres (Encik Mohd. Hasrul Nizam dari Lebuhraya Duke E33), saya juga dapat bergaul dengan beberapa orang wartawan dari akhbar Kosmo!, Harian Metro dan TV3. Hubungan baik sesama pengamal media adalah "nyawa" penting bagi kerjaya setiap wartawan, kerana wartawan juga adalah manusia biasa yang tidak berupaya mengingat semua butiran yang ada. Kerjasama sesama wartawan juga penting bagi memastikan sesuatu berita itu sahih dan tepat. Ia dapat dibuktikan apabila beberapa orang wartawan Harian Metro bertanya kepada saya mengenai isi kandungan sidang media tersebut. Selain itu juga, kami turut bertanya antara satu sama lain mengenai lokasi kempen serupa di Putrajaya pada keesokan harinya, tetapi tiada siapa pun di antara kami yang mengetahui lokasi sebenar, yang seterusnya menyebabkan saya terlepas peluang untuk mengemukakan soalan yang sama kepada Datuk Seri Hishamuddin pula.

Ikuti entri seterusnya mengenai Persada Plus pula.



Senarai lebuh raya yang memberikan diskaun tol 5%-37.5%


  1. Lebuhraya Guthrie E35
  2. Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) E13
  3. Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12
  4. Terowong SMART E38
  5. Lebuhraya Shah Alam (Kesas) E5
  6. Lebuhraya Karak E8/FT2
  7. Lebuhraya Pantai Timur E8
  8. Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) E33
  9. Lebuhraya Pantai Baru (NPE) E10
  10. Jalan Pintasan Selat Klang Baru (NNKSB) E30/FT20
  11. Lebuhraya Maju (MEX) E20
  12. Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) E9
  13. Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) E21
  14. Lebuhraya Senai-Desaru E22
  15. SKVE E26
  16. Lebuhraya Damansara-Puchong E11
  17. Lebuhraya Sprint E23



Senarai lebuh raya yang memberikan rebat tol 20% (lebuh raya kendalian Plus Espressways Berhad)

  1. Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 (termasuk NKVE E1)
  2. Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) E29
  3. Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6
  4. Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15
  5. Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) E3







Antara paparan komputer di Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways yang memaparkan suapan video kamera trafik di sepanjang lebuh raya. Monitor komputer ini menunjukkan keadaan trafik di Jambatan Pulau Pinang E36






Paparan besar menunjukkan keadaan trafik di NKVE E1, yang menunjukkan keadaan trafik yang semakin sesak






Seorang wakil Plus Expressways sedang memberi taklimat mengenai operasi di Pusat Kawalan Trafik kepada Datuk Rosnah






Datuk Fadillah sedang memerhatikan operasi di Pusat Kawalan Trafik. Beliau sempat beramah mesra dengan salah seorang operator yang mengendalikan kamera-kamera trafik bagi kawasan selatan






Datuk Fadillah, Datuk Rosnah dan Datuk Himmat bergambar bersama-sama "orang-orang kuat" dalam industri lebuh raya ekspres negara






Tetamu-tetamu kehormat serta wakil-wakil dari syarikat-syarikat konsesi lebuh raya semasa majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat Kementerian Kerja Raya 2013






Bersedia untuk dilancarkan (Datuk Fadillah terlindung di balik sepanduk perasmian)






Kempen sudah dirasmikan dan flag-off pun sudah dilakukan, hanya tunggu kenderaan mula bergerak sahaja






Antara penunggang motosikal kapcai yang menyertai konvoi perarakan






Penunggang-penunggang superbike dari Jugra Riders...






...diikuti sebarisan anggota polis trafik yang menunggang Honda ST1300 Pan European






Motosikal bomba turut tidak ketinggalan menyertai konvoi






Toyota Hilux milik Plus Ronda






Perkhidmatan Workshop on Wheels merupakan inisiatif oleh Plus Expressways bagi melindungi para pengguna lebuh raya daripada menjadi mangsa penipuan sindiket lori tunda haram






Sidang media oleh Kementerian Kerja Raya






Datuk Fadillah menjawab soalan para wartawan

Advertisement