Thursday, October 31, 2013

2013 Toyota Vios: Mundur ke belakang / Moving backward

Salam sejahtera,

Generasi ketiga Toyota Vios telah pun dilancarkan di Malaysia pada 2 Oktober 2013. Sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2003, Toyota Vios menguasai pasaran kereta segmen B (kereta subpadat) menewaskan pencabar terdekatnya iaitu Honda City. Pada tahun 2003, generasi kedua Vios pula dilancarkan dan mendapat jolokan "Vios dugung" berikutan reka bentuk hadapannya yang seakan-akan menyerupai dugung. Sungguhpun reka bentuknya agak hodoh, namun ia tetap sama sekali tidak merubah kedudukannya sebagai kereta bukan nasional paling popular di Malaysia. Namun, adakah generasi ketiga Vios ini benar-benar berbaloi untuk dimiliki?

Terus-terang saya katakan, rekaan Vios generasi ketiga kali ini memang sangat menarik. Tiada lagi rupa dugung yang hodoh. Lampu-lampunya direka dengan sebegitu cantik. Namun, lampu pencahayaan siang (DRL) yang digunakan pula kelihatan seolah-olah seperti DRL cap ayam, berikutan lokasi pemasangannya. Jika DRL tersebut disepadukan pada lampu hadapan sebagaimana amalan majoriti syarikat automotif terkemuka dunia, sudah tentulah ia kelihatan menarik.

Dari segi dalaman pula, perubahan yang sangat baik pada Vios generasi ketiga ini ialah kedudukan meter-meternya kali ini ditempatkan di sebelah pemandu dan bukan lagi di tengah-tengah seperti pada generasi terdahulu. Saya sangat tidak suka panel meter yang ditempatkan di tengah-tengah kerana ia boleh menyebabkan pemandu hilang tumpuan semasa menjeling ke arah meter bagi mengetahui kelajuan kenderaan, aras petrol dsb.

Pilihan radio kereta adalah dari jenis bersepadu (gred TRD Sportivo, G dan E), ataupun jenis radio 2-DIN. Pengguna yang membeli gred TRD Sportivo dan gred G pula mempunyai pilihan untuk menaik taraf radio mereka kepada unit-unit skrin sentuh, sama ada unit DVD-AVN yang dilengkapi skrin sentuh 7 inci serta sistem navigasi GPS, ataupun unit DVD-AVX yang dilengkapi skrin sentuh 5.8 inci tetapi tiada GPS. Apa pun, unit-unit yang ditawarkan itu terlalu kecil bagi saya.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Jika disebut mengenai enjin dan kotak gear yang digunakan pada Vios generasi ketiga ini, pemilihan enjin dan kotak gear Vios generasi ketiga inilah yang menjadi kecaman utama saya. Vios generasi ketiga ini masih menggunakan enjin 1NZ-FE 1.5L VVT-i dan kotak gear automatik 4 kelajuan, kedua-duanya telah pun digunakan selama 10 tahun sejak pelancaran Vios generasi pertama. Saya masih boleh maafkan jika Vios "dugung" masih menggunakan kotak gear dan enjin yang sama, tetapi jika ia digunakan pada Vios generasi ketiga, maka ia hanya menunjukkan seolah-olah UMW Toyota lebih suka "menipu" pengguna dengan memperkenalkan kereta berteknologi purba dengan harga yang mencekik darah. Jualan Vios yang tinggi sepatutnya tidak dijadikan alasan untuk terus mengitar semula teknologi kuno atas alasan "boleh dipercayai", sedangkan kebanyakan model pesaing hatta Proton Saga sekalipun sentiasa diterapkan pelbagai pembaharuan bagi menambah baik prestasi dan kecekapan bahan api melalui penggunaan enjin-enjin dan kotak gear terbaru yang lebih canggih serta lebih jimat minyak. Pesaing terdekat Toyota Vios, Honda City, sering diperbaharui melalui penggunaan enjin dan kotak gear yang lebih baru, yang mana generasi sekarang menggunakan enjin i-VTEC 1.5L yang paling berkuasa dalam kelasnya serta lebih jimat minyak bagi menggantikan pilihan enjin i-DSI dan VTEC-E pada generasi terdahulu, di samping kotak gear 5 kelajuan bagi menggantikan CVT yang didakwa mudah rosak (meskipun berpunca daripada kecuaian segelintir mekanik yang menggunakan minyak transmisi automatik biasa dan bukannya minyak CVT khas). Malah, Proton Saga FLX sendiri pun dilengkapi kotak gear CVT bagi menggantikan kotak gear automatik 4 kelajuan lama, sekaligus membolehkannya menyaingi Honda City dari segi penjimatan bahan api.

Sungguhpun menggunakan enjin dan kotak gear purba dan ketinggalan zaman, UMW Toyota mendakwa Vios generasi ketiga ini 5% lebih jimat minyak daripada generasi "Vios dugung" terdahulu. Walaupun saya mengakui UMW Toyota tidak berbohong mengenai kadar peningkatan penjimatan petrol, namun ujian jalan raya oleh Paul Tan dari Kuala Lumpur ke Rawang hanya mencatatkan penggunaan bahan api sebanyak 11.6 km/L. 11.6 km/L sahaja...? Kalau benar ia hanya mampu mencatatkan 11.6 km/L bagi perjalanan yang agak jauh sebegini, ia menunjukkan seolah-olah enjin 1NZ-FE dan transmisi automatik 4 kelajuan yang digunakan itu tidaklah begitu jimat seperti yang didakwa - saya sendiri pun berupaya mendapatkan angka yang sama semasa memandu uji Proton Suprima S 1.6 liter turbo di tengah-tengah kesesakan bandar raya Kuala Lumpur. Honda City generasi kelima (model sekarang), pesaing terdekat Toyota Vios dengan mudah mencatatkan penggunaan bahan api 20 km/L di jalan persekutuan dan 17 km/L di lebuh raya ekspres. Malah, Proton Saga BLM 1.3 yang menggunakan transmisi automatik 4 kelajuan pun mampu mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 13 km/L seperti yang telah saya uji di Sabah beberapa bulan lalu. Tidak cukup dengan itu, ramai pemilik Honda Civic yang mendakwa memperoleh penggunaan bahan api sekitar 14 km/L.

Kenapa saya sangat menekankan penggunaan enjin dan kotak gear berteknologi lebih terkini? Jurutera automotif sentiasa berusaha mengkaji teknologi automotif terbaru bagi menjadikan enjin lebih jimat minyak, lebih bersih, lebih mesra alam serta lebih berkuasa. Hasilnya, teknologi automotif yang dibangunkan membolehkan pengeluar automotif menghasilkan enjin-enjin yang lebih jimat minyak - daripada penggunaan karburetor kepada pemancit bahan api, dan daripada sistem pancitan berbilang titik (MPI) kepada sistem pancitan terus petrol (GDI). Sementara itu, kotak gear yang lebih moden juga membolehkan pengguna kenderaan menjimatkan penggunaan minyak hasil daripada kepelbagaian nisbah gear yang menjadikannya lebih mudah disesuaikan dengan sifat banjaran tork enjin, membolehkan enjin beroperasi pada tahap yang paling cekap pada setiap masa. Selain itu, transmisi CVT serta transmisi automatik dengan bilangan gear yang banyak juga membolehkan pemandu memandu dengan relaks di lebuh raya, sekaligus membantu menjimatkan penggunan petrol. Buktinya, Honda City generasi kelima dengan transmisi automatik 5 kelajuan mencatatkan kelajuan enjin sekitar 2,300 rpm pada kelajuan 110 km/j, tetapi Toyota Vios dengan transmisi automatik 4 kelajuan pula mencatatkan kelajuan enjin 2,750 rpm pada kelajuan yang sama. Disebabkan kelajuan enjin yang lebih tinggi pada kelajuan kenderaan yang sama, maka sudah tentulah Toyota Vios lebih lahap di lebuh raya ekspres berbanding Honda City.

Disebabkan Toyota masih lagi mengekalkan enjin dan kotak gear berteknologi 10 tahun lepas pada Vios generasi ketiga ini, ia menjadikan Vios sebagai kereta yang menawarkan nilai untuk wang paling teruk. Banyak pesaing Vios yang mampu menawarkan nilai untuk wang yang jauh lebih berbaloi daripada Vios. Bayangkanlah, anda membayar RM93,200 untuk memiliki sebuah kereta yang menggunakan enjin dan kotak gear yang lebih primitif daripada Proton Saga FLX yang harganya kurang daripada separuh harga Vios itu (kedua-duanya adalah varian termahal). Satu lagi pesaing Vios, Kia Cerato pula menawarkan pelbagai ciri-ciri nilai tambah seperti 6 biji beg udara, transmisi manual 6 kelajuan, pengesan parkin depan dan belakang, dsb. walaupun harganya hampir RM7,000 lebih mahal daripada varian termahal Vios. Jika dibandingkan dengan Honda City selaku pesaing terdekat Toyota Vios, varian termahal City iaitu gred E+ yang harganya hampir sama dengan Vios TRD Sportivo itu pun jauh lebih berbaloi untuk dibeli, kerana selain memiliki segala ciri yang ada pada Vios TRD Sportivo, City gred E+ juga menawarkan sistem navigasi GPS terbina dalam sebagai ciri standard serta Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) di samping transmisi automatik 5 kelajuan dan enjin paling berkuasa dalam kelasnya, sedangkan Vios tiada VSA atau ciri setara walaupun pada varian termahal.

Kesimpulannya, jujur saya katakan bahawa banyak model pesaing Vios yang lebih berbaloi untuk dibeli berbanding Vios, berikutan ciri-ciri nilai tambah serta penggunaan enjin dan kotak gear yang jauh lebih maju daripada Vios. Maka, satu-satunya alasan untuk membeli Vios generasi ketiga ini hanyalah kerana logo Toyota itu sendiri. Saya berasa amat kesal kerana Toyota tidak mengambil kesempatan hasil jualan Vios yang begitu tinggi dengan menggunakan sistem rangkaian kuasa yang lebih terkini, antaranya ialah penggunaan enjin Dual VVT-i serta kotak gear CVT seperti yang digunakan pada Toyota Corolla Altis dan Toyota Camry, sebaliknya hanya mengitar semula enjin primitif dan kotak gear kuno atas alasan "boleh dipercayai", sedangkan alasan tersebut boleh dianggap sebagai "alasan pengecut". Oleh itu, Toyota seharusnya keluar daripada zon selesa dan sebaliknya perlu lebih berani membangunkan teknologi automotif terkini secara lebih agresif agar tidak ketinggalan dengan pesaing-pesaing utama yang mampu menawarkan nilai untuk wang yang lebih baik, terutamanya dari Korea.

Laman web rasmi: http://www.toyota.com.my


Spesifikasi 2013 Toyota Vios

Enjin: 1NZ-FE DOHC 16 injap 4 silinder sebaris 1.5 liter VVT-i
Sesaran: 1,497 cc
Lubang x lejang: 76 x 86 mm
Nisbah mampatan: 8.8:1
Kuasa kuda: 80 kW (109 PS) @ 6,000 rpm
Tork: 141 N-m @ 4,200 rpm
Jarak roda: 2,550 mm
Berat kering: 1,060-1,095 kg
Muatan tangki bahan api: 42 liter
Saiz tayar: 185/60 R15

Apa yang saya suka
  1. Rekaan luaran yang lebih fotogenik - akhirnya tiada lagi reka bentuk dugung yang hodoh
  2. Panel meter kali ini ditempatkan di bahagian pemandu dan bukan lagi di tengah-tengah
  3. Terdapat sangat banyak varian termasuklah varian transmisi manual yang paling "cikai"
Apa yang saya tidak suka
  1. Nilai paling teruk untuk wang - banyak pesaing yang mampu menawarkan ciri-ciri yang lebih kurang sama atau lebih baik pada harga lebih murah
  2. Masih mengekalkan enjin dan transmisi lama yang ketinggalan zaman
  3. Penggunaan bahan api tidaklah sejimat seperti disangka - banyak model pesaing hatta Honda Civic sendiri pun mampu mencatatkan penggunaan bahan api yang jauh lebih jimat







Pandangan hadapan 2013 Toyota Vios






Pandangan belakang 2013 Toyota Vios






Papan pemuka Vios






Radio standard bagi gred E, G dan TRD Sportivo adalah dari jenis bersepadu sebegini...






...ataupun boleh dinaik taraf kepada jenis skrin sentuh sebegini






Perkara paling mengecewakan mengenai Vios generasi ketiga ini ialah penggunaan enjin dan kotak gear berusia 10 tahun yang sudah ketinggalan zaman






Lampu DRL yang digunakan ini kelihatan seolah-olah seperti DRL cap ayam - sepatutnya ia disepadukan dengan lampu hadapan untuk penampilan lebih anggun


Semua kredit gambar: Paul Tan

Wednesday, October 30, 2013

Projek pelebaran lorong Lebuhraya Utara-Selatan kepada 8 lorong / North-South Expressway's 8-lane expansion project



Video persembahan bagi projek naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan kepada 8 lorong
(Kredit kepada: Kementerian Kerja Raya)


Salam sejahtera,

Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, terutamanya di sepanjang jajaran Nilai-Seremban, Bukit Lanjan-Rawang dan NKVE E1, tentunya sudah sedia maklum mengenai kerja-kerja naik taraf jajaran tersebut kepada 8 lorong berbanding 6 lorong sedia ada. Namun, tahukah anda kenapa kerja-kerja naik taraf lebuh raya tersebut perlu dilakukan?

Kita semua sudah sedia maklum bahawa bilangan kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 semakin meningkat setiap tahun, tetapi dalam masa yang sama pula perkembangan jalan raya pula amat terhad disebabkan oleh kekangan kewangan kerajaan. Jika hampir 20 tahun dahulu anda boleh memecut laju dan lancar tanpa sebarang halangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, sekarang tidak lagi. Setiap kali berlakunya kesesakan, jajaran yang paling azab sudah tentunya jajaran Nilai-Seremban, Bukit Lanjan-Rawang, dan NKVE E1. Keadaan semasa musim perayaan pula lebih teruk; jika dahulunya hanya lebuh raya ekspres sahaja yang sesak semasa musim perayaan (itu pun berhampiran pintu masuk utama beberapa bandar raya utama negara), tetapi sekarang jalan raya biasa pun sesak juga. Maka, Plus Expressways Berhad selaku pemilik Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 mengambil inisiatif bagi melebarkan lebuh raya tersebut demi keselesaan pengguna dan kelancaran lalu lintas.

Kenapa jajaran yang dinyatakan tersebut sering sesak? NKVE E1 dan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Bukit Lanjan ke Rawang merupakan antara laluan utama yang sering digunakan oleh warga Lembah Klang untuk berulang-alik ke tempat kerja. Jajaran Nilai Utara-Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan E2 pula sering sesak kerana E2 bukan sahaja perlu menampung kadar aliran trafik Kuala Lumpur-Seremban, tetapi juga dari arah utara melalui Lebuhraya Elite E6. Maka, percampuran dua aliran trafik utama inilah yang menjadikan jajaran Nilai-Seremban sesak.

Kerajaan persekutuan telah meluluskan permohonan Plus Expressways Berhad untuk melebarkan lebuh raya tersebut pada Julai 2010. Seterusnya, kerja-kerja pembinaan dimulakan pada September 2012. Jumlah kos yang dianggarkan bagi projek naik taraf jajaran-jajaran kritikal Lebuhraya Utara-Selatan yang telah dinyatakan tadi itu kepada 8 lorong ialah RM1.143 bilion.Kerja-kerja naik taraf adalah melibat beberapa jajaran berikut:-
  1. Pakej A: Jajaran Shah Alam ke Sungai Buloh. Dalam jajaran tersebut, jajaran dari Exit 104 Persimpangan Subang sehingga Exit 106 Persimpangan Damansara pula dilebarkan sehingga 10 lorong. Selain itu, jajaran dari Kota Damansara ke Bukit Lanjan dilebarkan bagi arah Kuala Lumpur sahaja, daripada 3 lorong kepada 4 lorong, yang mana lorong keempat adalah lorong mendaki bagi mengurangkan cerutan (bottleneck) yang berpunca daripada kenderaan berat bergerak perlahan semasa mendaki bukit.
  2. Pakej B: Jajaran Bukit Lanjan ke Plaza Tol Jalan Duta.
  3. Pakej C: Jajaran Sungai Buloh-Rawang
  4. Pakej D: Nilai Utara-Nilai
  5. Pakej E: Nilai-Seremban. Jajaran 8 lorong dibina sehingga ke Exit 218 Persimpangan Seremban. Bagi arah selatan, jajaran 4 lorong berterusan sehingga ke Exit 219 Persimpangan Port Dickson, menjadikan jajaran 4 lorong kekal sehingga menghampiri Exit 220 Persimpangan Senawang. Sementara itu, jajaran Exit 219 Persimpangan Port Dickson ke Exit 218 Persimpangan Seremban arah utara pula kekal 3 lorong.






Jajaran Subang-Damansara di NKVE E1 dilebarkan daripada 6 lorong kepada 10 lorong




Lorong mendaki akan ditambah bagi jajaran Kota Damansara-Bukit Lanjan arah utara, menjadikannya 5 lorong, sementara jajaran sama arah ke Klang pula hanya 4 lorong sahaja


Meskipun Lebuhraya Utara-Selatan mempunyai rizab jalan yang sangat besar di sepanjang laluan, namun ia tidak bermakna kerja-kerja naik taraf 8 lorong itu tiada sebarang halangan. Antara halangan-halangan yang terpaksa dihadapi Plus Expressways Berhad adalah seperti berikut:-
  1. Menarah cerun-cerun berisiko terutamanya di sekitar Bukit Lanjan
  2. Melakukan kerja-kerja naik taraf dalam keadaan lebuh raya dipenuhi kenderaan yang laju-laju belaka
  3. Melebarkan jambatan dan / atau pembetung/terowong sedia ada
  4. Melakukan kerja-kerja naik taraf berhampiran kawasan perumahan

Jadi mampukah projek naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan kepada 8 lorong ini mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jajaran kritikal tersebut? Sejujurnya, pelebaran lebuh raya sahaja semata-mata bukanlah penyelesaian muktamad terhadap masalah kesesakan, namun ia tetap perlu dilakukan demi keselamatan pengguna lebuh raya, kelancaran aliran trafik serta keselesaan pengguna. Penyelesaian yang lebih baik sebagai tambahan kepada projek naik taraf lebuh raya ini ialah mengimbangi pembangunan rangkaian jalan raya dan sistem pengangkutan rel.

Sunday, October 27, 2013

Isyarat tangan penunggang basikal / Hand signals for cyclists

Salam sejahtera,

Boleh dikatakan rata-rata kenderaan bermotor dilengkapi lampu-lampu isyarat membelok bertujuan untuk "memberitahu" pengguna jalan raya yang lain ke manakah arah tindakan kita, sama ada untuk membelok, memotong, ataupun menukar lorong. Selain daripada empat atau enam biji mentol berwarna jingga yang berfungsi memberitahu arah tindakan kita, lampu brek juga boleh dianggap sebagai lampu pemberi isyarat kerana ia berfungsi memberitahu pengguna jalan raya yang lain bahawa kita sedang memperlahankan kenderaan ataupun hendak berhenti.

Sementara itu pula, basikal pula tiada lampu-lampu isyarat membelok mahupun lampu brek. Akibatnya, mereka tidak berupaya untuk memberi isyarat kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain akan arah tindakan mereka melalui lampu-lampu berwarna. Masalah yang sama turut dihadapi pemilik kenderaan yang sangat lama yang tidak dilengkapi lampu isyarat membelok, ataupun yang menghadapi masalah kerosakan lampu isyarat membelok tetapi terpaksa menggunakan kereta tersebut kerana bengkel belum dibuka.

Jadi apa yang patut mereka lakukan?

Alternatif kepada lampu-lampu pemberi isyarat berwarna ialah isyarat tangan. Menurut Konvensyen Vienna, pengguna basikal wajib menggunakan isyarat tangan bagi memberitahu pengguna jalan raya yang lain akan niat tindakan mereka, sama ada hendak membelok ataupun berhenti. Sebab itulah isyarat tangan diajar seawal di bangku sekolah rendah lagi, terutamanya bagi yang menjadi ahli pengakap sekolah. Pendidikan mengenai isyarat tangan bagi penunggang basikal merupakan salah satu kemahiran yang wajib dikuasai oleh setiap anggota pengakap, memandangkan kemahiran berbasikal disenaraikan sebagai salah satu lencana yang wajib dimiliki anggota pengakap sekolah. Selain itu, pelajar-pelajar sekolah memandu juga diajar menggunakan isyarat tangan walaupun untuk mengikuti kursus lesen kereta atau lori; kegagalan calon ujian memandu untuk menggunakan isyarat tangan semasa ujian amali boleh menyebabkan mereka dipotong markah oleh pemeriksa.



Isyarat tangan bagi penunggang basikal
(Kredit gambar: Uder Ahmad)


Bagaimana hendak menggunakan isyarat tangan? Isyarat tangan sebenarnya amat mudah (sila rujuk gambar di atas):-
  • Membelok ke kiri: Depakan tangan kiri ke kiri.
  • Membelok ke kanan: Depakan tangan kanan ke kanan.
  • Memperlahankan kenderaan atau hendak berhenti: Depakan tangan kanan ke kanan, kemudian lambaikan telapak tangan ke atas dan ke bawah.
Sila ambil perhatian bahawa isyarat-isyarat tangan di atas adalah untuk digunakan di Malaysia, United Kingdom, Ireland dan negara-negara Komanwel sahaja. Bagi isyarat tangan di negara lain, sila semak dengan pihak berkuasa masing-masing.




Saturday, October 26, 2013

Padah tidak mematikan enjin di stesen minyak / The price paid for not turning the engine off at petrol station




Salam sejahtera,

Video di atas menunjukkan salah satu daripada beberapa kes kebakaran kenderaan di stesen minyak yang berpunca daripada kedegilan pengguna kenderaan untuk mematikan kenderaan mereka setiap kali hendak mengisi minyak. Sebenarnya, kes kebakaran sebegini yang melibatkan motosikal adalah amat jarang berlaku, kerana penunggang motosikal selalunya terpaksa mematikan enjin terlebih dahulu sebelum mengisi minyak, memandangkan mereka perlu menggunakan kunci motosikal untuk membuka pelana (bagi kes motosikal kapcai) ataupun penutup tangki minyak (bagi kes kebanyakan motosikal lain dengan tangki di sebelah hadapan atas).

Sementara itu pula, lori-lori boleh mengisi minyak dengan selambanya tanpa mematikan enjin. Malah, terdapat sesetengah pemandu lori yang mengisi minyak sambil menghisap rokok dengan selambanya.  Saya boleh faham kenapa mereka tidak mematikan enjin, kerana rata-rata kenderaan berat yang ditenagai enjin diesel menggunakan pengecas turbo yang besar, serta mampu berputar sehingga 180,000 rpm. Disebabkan saiz pengecas turbo yang besar, maka masa yang perlu diambil untuk membolehkan pengecas turbo beroperasi serta berhenti berputar adalah lama, iaitu sekitar 15 minit. Maka, pemandu lori terpaksa mengisi minyak dalam keadaan enjin yang masih hidup. Sungguhpun demikian, boleh dikatakan hampir tiada kes kebakaran melibatkan lori dan bas di stesen minyak.

Kenapa pula boleh begitu?

Biar saya terangkan. Petrol diklasifikasikan sebagai bahan yang amat mudah terbakar, dan dalam keadaan tertentu ia juga boleh meletup. Malah, wap petrol pula jauh lebih mudah terbakar daripada petrol cecair. Sungguhpun sifat-sifat sebegini menjadikan petrol sebagai sejenis bahan yang sangat berbahaya, namun sifat-sifat sebeginilah yang amat diperlukan oleh enjin petrol menggunakan sistem penyalaan berasaskan bunga api elektrik yang dihasilkan oleh palam pencucuh untuk membolehkan petrol dijadikan bahan api. Sementara itu pula, diesel agar sukar untuk terbakar kecuali apabila sumber api dicucuh secara terus ataupun apabila diesel dibakar dalam udara termampat. Sifat sebegini sesuai untuk digunakan pada enjin yang membakar bahan api secara mampatan, sekaligus menjadikan enjin diesel boleh dibiarkan hidup semasa bahan api diisi tanpa risiko kebakaran. Namun, ia tidak bermakna anda boleh sewenang-wenangnya menghisap rokok atau bergayut melayan telefon bimbit semasa mengisi minyak lori di stesen minyak - anda tetap WAJIB mematuhi amaran keselamatan di stesen minyak, kerana masih terdapat wap petrol yang amat mudah terbakar meskipun semasa anda mengisi minyak diesel.

Justeru, anda WAJIB FARDHU AIN mematuhi peraturan-peraturan keselamatan semasa di stesen minyak:-
  1. Matikan enjin sebelum mengisi minyak. Pengecualian hanya diberikan kepada kenderaan berenjin diesel terutamanya yang menggunakan pengecas turbo.
  2. Jangan sekali-kali menghisap rokok di stesen minyak.
  3. Jangan sekali-kali menggunakan telefon bimbit di stesen minyak. Meskipun sehingga sekarang masih belum ada pihak yang berjaya membuktikan sama ada telefon bimbit boleh digunakan di stesen minyak atau tidak, namun memang ada banyak kes kebakaran di stesen minyak yang berpunca daripada penggunaan telefon bimbit.
  4. Bagi pengguna motosikal, jangan isi minyak dalam keadaan anda duduk di atas motosikal. Gunakan tongkat tengah atau tongkat tepi sebelum mengisi minyak. Seeloknya, elakkan daripada mengisi minyak sehingga ke paras bibir lubang pengisi, sebaliknya isi sehingga ke paras leher bagi memberi ruang untuk wap petrol mengembang tanpa melimpah. Jika anda tetap mengisi sehingga ke paras bibir, pastikan motosikal tersebut digunakan serta-merta sebaik selepas mengisi minyak.
  5. Sebelum mengisi minyak, nyahcaskan dahulu sebarang cas elektrik statik pada tubuh anda dengan menyentuh bahagian logam pada kenderaan dan tiang pam minyak. Cas elektrik statik terkumpul yang terlalu tinggi boleh mencetuskan bunga api yang seterusnya menyebabkan kebakaran.
  6. Jika anda terpaksa membawa bekalan minyak petrol di dalam botol, jangan sekali-kali menggunakan botol minuman. Botol yang lebih sesuai digunakan ialah botol bekas minyak pelincir (seeloknya cuba dapatkan botol bersaiz sekurang-kurangnya 4 liter) yang cukup tegap dan tidak mudah terbalik semasa anda menunggang motosikal. Tutup penutup botol ketat-ketat selepas mengisi minyak di dalam botol.
Ingat - kecuaian boleh membawa padah!

Friday, October 25, 2013

Banjir lumpur Lembah Bertam: Salah siapa? / Bertam Valley mud flood: Whose fault?



Kemusnahan meluas di Lembah Bertam akibat banjir lumpur
(Kredit gambar: mStar Online)




Kemakmuran pekan Lembah Bertam seperti semasa kembara Blog Jalan Raya Malaysia ke Cameron Highlands pada Jun 2013 diranapkan sekelip mata oleh banjir lumpur akibat kerakusan manusia


Salam sejahtera,

Blog Jalan Raya Malaysia terlebih dahulu ingin mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa banjir lumpur yang melanda Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang pada 23 Oktober 2013. Ia sememangnya tragedi yang begitu menyedihkan, memandangkan Cameron Highlands adalah salah satu lokasi pelancongan dalam negara yang paling saya gemari berikutan suasanya yang sejuk serta kepelbagaian produk pertanian tanah tinggi terutamanya teh dan strawberi; satu-satunya kawasan yang boleh menandingi Cameron Highlands ialah Kundasang di Sabah. Sungguhpun tragedi banjir lumpur tersebut telah meranapkan 80 buah rumah dan mengorbankan 3 nyawa, namun saya masih lagi bersyukur kerana jalan-jalan utama di sekitar Ringlet dan Lembah Bertam, terutamanya Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102, tidak terjejas dalam tragedi banjir lumpur tersebut.

Banjir lumpur tersebut dikatakan berpunca daripada pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar di Habu oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) setelah hujan lebat turun berterusan. Pelepasan air dari empangan dilakukan sebanyak 3 kali, yang mana pelepasan kali ketiga itulah yang menyebabkan banjir lumpur di Lembah Bertam.

Persoalannya sekarang, patutkan TNB dipersalahkan apabila Lembah Bertam dilanda banjir lumpur setelah air dari empangan tersebut dilepaskan? Tak bolehkah kalau air empangan tersebut tidak dilepaskan?

Sebelum tragedi banjir lumpur tersebut berlaku, kawasan Cameron Highlands sebelum ini memang mengalami cuaca hujan sejak akhir-akhir ini berikutan musim peralihan monsun. Kedudukan Cameron Highlands di kawasan tanah tinggi yang menghadap hujan tentunya menyebabkan kadar taburan hujan tahunan yang lebih tinggi berbanding kawasan tanah rendah. Namun, faktor utama yang patut dipersalahkan adalah pembangunan secara rakus tanpa kawalan di sekitar Cameron Highlands. Media arus perdana sering mencanangkan kononnya pembangunan di Lojing yang secara kebetulannya berada dalam negeri yang diperintah parti lawan (PAS) itulah yang tidak terancang pembangunannya, tetapi hakikat sebenarnya ialah keadaan di Cameron Highlands pun dua kali lima sahaja. Buktinya, semasa saya dan sahabat saya Khairul Azmi melalui Empangan Sultan Abu Bakar semasa dalam perjalanan hendak ke kedai teh Cameron Bharat, kami dapati air di empangan begitu cetek dan berkeladak, sehingga menyebabkan kapasiti penjanaan empangan tersebut merosot. Isu alam sebegini ialah isu rakyat; justeru, ia tidak wajar dipolitikkan kerana tanggungjawab menjaga alam sekitar terletak di bahu setiap manusia sebagai khalifah di muka bumi ini, bukannya tugas sesebuah parti politik semata-mata.

Selain itu, pembinaan rumah-rumah kongsi di kawasan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sepanjang Sungai Bertam juga turut membawa padah, kerana apabila air melimpah, maka rumah-rumah kongsi itulah yang terlebih dahulu menjadi mangsa. Dilaporkan bahawa 15 buah rumah kongsi dihanyutkan arus Sungai Bertam dengan serta-merta. Puing-puing yang dihanyutkan arus Sungai Bertam seterusnya membawa kemusnahan yang lebih meluas sehingga merosakkan 80 buah rumah keseluruhannya.

Kesimpulannya, banjir lumpur kali ini sememangnya berpunca daripada kerakusan manusia menodai kesucian alam semula jadi terutamanya di kawasan Cameron Highlands demi memuaskan ketamakan dan nafsu masing-masing. Akibat ketamakan mereka, maka ramailah insan tidak berdosa menerima padahnya - jika tidak kehilangan nyawa pun, mereka kehilangan rumah, kenderaan atau harta-benda lainnya. Hanya jika manusia mengawal pembangunan di sekitar Cameron Highlands, barulah tragedi sebegini tidak akan berulang.

Wednesday, October 23, 2013

Pandu uji eksklusif Proton Suprima S / Proton Suprima S exclusive test drive

Salam sejahtera,

Baru-baru ini saya berkesempatan menguji kereta Proton Suprima S, model pengganti sah Proton Gen-2 pada 22 Oktober 2013.Sesi pandu uji ini sebenarnya adalah sempena dengan Peraduan 60 Hari Pandu & Menang yang dianjurkan oleh Proton, yang menawarkan hadiah utama Proton Preve LE, varian edisi terhad yang (akhirnya) menampilkan enam biji beg udara setelah dikecam teruk kerana hanya menggunakan empat beg udara pada varian Premium, sedangkan model sama di Australia dipasang dengan enam biji beg udara walaupun pada varian termurah. Jutaan terima kasih kepada Proton Holdings Berhad selaku penganjur dan Uniplex Sdn. Bhd. (Proton Edar Sentul Raya) kerana sudi menyediakan sebuah Proton Suprima S untuk dipandu uji.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam entri semasa pelancaran Proton Suprima S, kereta ini sememangnya Preve hatchback yang sudah banyak ditambah baik berbanding dengan kembar sedannya itu. Jika sebelum ini Proton dikritik kerana hanya meletakkan paling banyak 4 beg udara pada Preve (saya juga pernah komplen perkara yang sama dalam ruang Facebook Proton Holdings Berhad), Suprima S pula dilengkapi 6 biji beg udara walaupun pada varian termurah. Selain beg udara, banyak lagi penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Proton semasa membangunkan Suprima S ini, antaranya termasuklah melabelkan butang info yang terletak pada suis pengelap cermin untuk menukar paparan maklumat LCD, menukar gril hadapan yang nampak kurang fotogenik kepada jenis honeycomb, menggunakan unit GPS terbina dalam dengan skrin sentuh lebih besar (dan menggunakan OS Android) bagi menggantikan unit GPS yang kurang cekap ruang berikutan saiz skrin sentuh yang sangat kecil, dsb. Hasilnya, Proton Suprima S ternyata sebuah kereta yang menawarkan nilai untuk wang yang terbaik dalam kelasnya.

Sesi pandu uji bermula dengan mengisi borang penyertaan, borang pandu uji serta menandatangani borang ganti rugi pandu uji sebagai jaminan. Seterusnya, setelah semua dokumen telah diisi, saya diberikan kunci bagi kereta pandu uji tersebut. Seperti Preve, kunci Suprima S berupa seakan fob, tetapi sebenarnya terdapat satu butang untuk melepaskan bilah kunci, yang hanya berguna untuk mematikan beg udara penumpang. Berbeza dengan model-model Proton terdahulu, tiada sebarang bunyi sistem penggera semasa membuka kunci Suprima S tersebut, samalah seperti model-model terkini Honda.

Menghidupkan enjin Suprima S cukup mudah. Anda hanya perlu masukkan fob kunci ke dalam slotnya, menekan brek, dan terus menekan suis penghidup tekan. Jika anda tidak menekan brek, kereta akan memasuki mod Aksesori apabila suis penghidup ditekan sekali, mod On apabila ditekan sekali lagi, dan kembali semula ke mod Lock apabila ditekan sekali lagi tanpa menekan brek. Prosedur sama juga digunakan untuk kereta-kereta lain yang menggunakan suis penghidup tekan, cuma bezanya ialah sama ada perlu memasukkan fob kunci ke dalam slot ataupun sekadar menyimpan fob kunci ke dalam kocek seluar.

Sebenarnya, saya ingin mengambil kesempatan menguji unit GPS Suprima S itu, tetapi malangnya sistem navigasinya tidak berfungsi dan lumpuh. Saya juga ingin memainkan lagu-lagu dari pemacu kilat USB saya, tetapi entah kenapa agaknya saya tidak dapat menyambung pemacu kilat saya kerana port USB itu sangat ketat. Aduh, kempunan saya... tapi yang lebih penting ialah pandu uji itu sendiri.

Laluan yang saya gunakan dalam sesi pandu uji ini ialah Sentul Link dan Lebuhraya Mahameru FT2 sebelum berpatah balik di Persimpangan Parlimen. Sebelum mula bergerak, saya terlebih dahulu menukar paparan LCD kepada paparan penggunaan bahan api. Untuk membolehkan saya menguji penggunaan bahan api Suprima S ini, saya mengosongkan semula maklumat penggunaan bahan api dengan menekan dan menahan butang info selama beberapa saat. Sebaik sahaja mula bergerak, saya dapati setting CVT yang digunakan kali ini sangat responsif, lebih baik daripada Preve. Walaupun dengan menekan pedal pendikit sedikit sahaja, Suprima S meluncur laju dengan mudah. Setelah saya melepasi kelajuan yang saya kehendaki, sekali-sekala saya melepaskan pedal pendikit dan menekan semula dengan sedikit sahaja bagi mengekalkan momentum dan kelajuan di samping untuk menjimatkan bahan api. Namun, jarum takometer Suprima S ini seakan tidak mahu jatuh lebih rendah daripada 2,000 rpm. Maka, saya membuat kesimpulan bahawa talaan CVT Suprima S kali ini lebih ke arah prestasi daripada penjimatan bahan api, manakala talaan CVT Preve pula lebih ke arah penjimatan. Sebab itulah ada yang komplen mengatakan Preve seakan malas untuk memecut laju walaupun varian yang digunakan itu adalah varian CFE. Kalau setakat tekan pendikit sedikit sahaja, memanglah macam tak mahu pergi! Sebenarnya, prestasi Preve CFE boleh dikatakan sangat bagus, cuma untuk mendapatkan kelajuan yang dikehendaki, anda tidak seharusnya terlalu sayang akan pedal pendikit anda. Tekan pedal pendikit lebih kuat dan biarkan jarum takometer sekitar hampir 3,000 rpm dan melepaskan kembali dan main-main pedal pendikit sedikit sahaja sebaik melepasi kelajuan yang dikehendaki. Melalui teknik sebeginilah saya berupaya memperoleh angka penggunaan bahan api yang sangat jimat pada kebanyakan kereta yang saya pandu.

Saya berpatah balik di Persimpangan Parlimen untuk kembali semula ke Sentul. Semasa menghampiri Persimpangan Jalan Kuching FT1, jalan menjadi sesak, sekaligus menjejaskan sedikit angka-angka penggunaan bahan api. Lalu lintas kembali lancar semula sebaik memasuki Sentul Link. Hasilnya, saya berupaya mencatatkan 8.9 L/100 km (11.24 km/L) untuk pandu uji ringkas ini. Jika saya diberi peluang untuk memandu lebih jauh, sudah tentu angka yang diperolehi juga akan jadi jauh lebih bagus. Sungguhpun demikian, angka yang berjaya saya catatkan dalam keadaan lalu lintas bandar yang sibuk ini sebenarnya lebih baik daripada yang didakwa dalam risalah rasmi Suprima S yang mendakwa kadar penggunaan bahan apinya ialah 9.1 L/100 km pada kitar gabungan. Dengan kata lain, Suprima S ini sebenarnya tidaklah sebegitu pelahap seperti yang digambarkan dalam risalahnya. Saya patut tabik Proton kerana merendah diri dalam soal penggunaan bahan api, tidak seperti Toyota yang mendakwa kononnya kereta Toyota Vios generasi ketiga sangat jimat bahan api meskipun masih menggunakan enjin dan kotak gear yang ketinggalan zaman, tetapi hakikatnya hanya mampu mencatatkan angka yang sama seperti Suprima S bagi perjalanan lebih jauh dari Kuala Lumpur ke Rawang.

Dari segi pemanduan pula, pengendalian kereta ini sememangnya sangat mantap. Meskipun masih lagi menggunakan stereng kuasa hidraulik berbanding beberapa model pesaing yang menggunakan stereng kuasa elektrik, namun stereng kuasa hidraulik yang digunakan Proton ternyata lebih baik kerana pengendaliannya dipadankan dengan kelajuan kereta, tidak seperti stereng kuasa elektrik yang boleh jadi terlalu sensitif terutamanya di lebuh raya ekspres. Sistem suspensi yang digunakan juga sangat mantap.

Sebaik kembali semula ke bilik pameran Proton Edar Sentul Raya, saya sempat mencuba kamera undur yang mana imejnya dipaparkan pada unit GPS Suprima S. Memang berbaloi memilikinya! Satu lagi perkara yang baru saya perasan ialah lampu-lampu LED hadapan itu sememangnya lampu DRL dalam erti kata sebenar kerana ia dihidupkan secara automatik sebaik kereta mula bergerak, tidak seperti Preve yang mana "lampu DRL" kereta tersebut sebenarnya hanyalah lampu posisi yang perlu dihidupkan secara manual melalui suisnya di sebelah kiri ruang stereng.

Secara amnya, saya dapati Suprima S ini ternyata sangat bagus kerana Proton sudah pun membuat banyak pembaharuan hasil daripada kelemahan-kelemahan yang sebelum ini terdapat pada Preve, menunjukkan bahawa Proton sememangnya mendengar kritikan pengguna dan mengambil inisiatif melakukan penambahbaikan pada model-model seterusnya. Hasilnya, kedua-dua Preve dan Suprima S kali ini dibandingkan dengan model-model kereta segmen C yang lebih ternama, iaitu Honda Civic, Hyundai Elantra, Mazda 3 dan Toyota Corolla Altis bagi Preve, manakala Suprima S pula dibandingkan dengan Mazda 3 Hatchback, Ford Focus dan Volkswagen Golf. Kesemuanya ini membuktikan bahawa Proton kini semakin matang dan bersedia untuk bersaing dengan pemain-pemain utama industri automotif global.

Laman web rasmi Proton Edar: http://www.proton-edar.com.my


Spesifikasi Proton Suprima S

Enjin: DOHC 16 injap 4 silinder sebaris 1.6 liter turbo Campro CFE
Sesaran: 1561 cc
Lubang x lejang: 76 x 86 mm
Nisbah mampatan: 8.8:1
Kuasa kuda: 103 kW (140 PS) @ 5,000 rpm
Tork: 205 N-m @ 2,000-4,000 rpm
Jarak roda: 2,650 mm
Berat kering: 1,375-1,575 kg
Muatan tangki bahan api: 50 liter
Saiz tayar: 215/45 R17 (varian Premium); 205/55 R16 (varian lebih rendah)

Apa yang saya suka
  1. Akhirnya Proton akur terhadap desakan memberikan 6 biji beg udara bagi pasaran tempatan - varian rendah pun diberi 4 biji beg udara
  2. Paparan GPS Android yang lebih besar, lebih cantik dan lebih responsif serta menyokong berbilang sentuhan
  3. Tiada lagi pilihan enjin IAFM+ yang tidak cukup berkuasa
  4. Nilai terbaik untuk wang - anda tidak akan berupaya mencari model pesaing yang mempu memberikan sebegitu banyak ciri pada tanda harga sekitar RM80,000
  5. Lampu belakang berprofil rendah yang sangat cantik - nampak macam "biasa-biasa" tetapi sebenarnya sangat cantik apabila lampu dihidupkan
  6. ABS, EBD, kawalan cengkaman dan ESC adalah standard pada kesemua varian
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih belum ada varian transmisi manual 6 kelajuan seperti digambarkan pada buku panduan pengguna
  2. Nombor-nombor pada paparan LCD lebih kecil daripada labelnya, berkongsi kelemahan yang sama dengan Preve (sepatutnya angka-angka tersebut lebih besar daripada labelnya)







Pandangan bahagian belakang






Suprima S dari hadapan






Pandangan sisi






Beginilah rupa kunci kereta Proton Suprima S






Imej kamera undur dipaparkan pada unit GPS






Papan pemuka Proton Suprima S sama sahaja dengan Preve






Peringatan penyelenggaraan berkala, ciri yang serupa dengan Honda Insight






Proton Suprima S memang terbaik...!!!






Berposing bersama-sama Proton Suprima S

Tuesday, October 22, 2013

Jalan 1Malaysia kembali dengan semangat baru / 1Malaysia Road is back with renewed vigor







Salam sejahtera,

Masih ingat lagi entri Jalan 1Malaysia yang pernah saya tulis beebrapa bulan lalu? Saya menulis entri tersebut pada masa itu kerana berasa kecewa apabila usaha sekumpulan penunggang basikal untuk memartabatkan Jalan Persekutuan 1 sebagai lokasi kembara jalan raya mesra alam tidak begitu dihargai. Namun, "orang kuat" kepada projek tersebut, Saudara Yusrizal Md. Yusof, telah pun menghubungi saya pada penghujung bulan lalu setelah terjumpa entri tersebut. Setelah entri yang saya tulis tersebut mendapat perhatian ramai, beliau kini bersemangat kembali untuk menghidupkan semula projek tersebut.

Sedikit latar belakang ringkas mengenai projek Jalan 1Malaysia ini. Projek Jalan 1Malaysia merupakan satu inisiatif untuk memartabatkan semula Jalan Persekutuan 1 dengan menggesa kerajaan agar mengisytiharkan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan Raya 1Malaysia, bagi menggantikan lebih 92 nama jalan berbeza bagi jalan raya tersebut. Kenapa Jalan Persekutuan 1? Seperti yang kita semua sedia maklum, Jalan Persekutuan 1 adalah salah satu daripada 3 batang jalan raya tulang belakang utama di Semenanjung Malaysia (dua lagi jalan raya tulang belakang utama ialah Jalan Persekutuan 3 dan 5). Ia dibina semasa zaman penjajah British bagi membolehkan mereka mengeksploit hasil bumi kita, sebagaimana landasan kereta api. Sejak zaman penjajah lagi, Jalan Persekutuan 1 berjasa besar sebagai nadi ekonomi negara dengan menghubungkan bandar-bandar, kampung-kampung dan pekan-pekan di sepanjang laluannya. Banyak bandar, pekan dan kampung tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Selain itu, banyak jugalah sumber ekonomi baharu yang diteroka sepanjang laluannya, seperti pertanian, pelancongan, perdagangan dan perkhidmatan. Begitu besar jasa Jalan Persekutuan 1 ini kepada negara, sehinggalah apabila siapnya Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 pada tahun 1994 yang merampas peranan utama Jalan Persekutuan 1 sebagai nadi utama sistem pengangkutan negara. Atas sebab itulah Saudara Yusrizal selaku penggerak utama projek Jalan 1Malaysia mahu mengembalikan semula zaman kegemilangan Jalan Persekutuan 1, kali ini sebagai syurga ekopelancongan mesra alam bagi penunggang basikal. Lagipun, penunggang basikal sebenarnya tidak dibenarkan untuk menggunakan lebuh raya ekspres, maka golongan sebeginilah yang berupaya mengembalikan kegemilangan Jalan Persekutuan 1.

Asalnya, Saudara Yusrizal mengupah 3 orang penunggang basikal iaitu Acai, Alan dan Peter bagi menggalas tanggungjawab mengembara sepanjang Jalan Persekutuan 1 dari hujung ke hujung (Johor Bahru-Bukit Kayu Hitam), tetapi projek tersebut akhirnya terhenti separuh jalan pada tahun 2011 atas beberapa faktor, antaranya faktor kewangan, kekurangan sokongan termasuklah dari kerajaan sendiri, serta kehilangan motivasi dari kalangan penunggang-penunggang itu sendiri. Motivasi para penunggang jatuh bukan sahaja kerana tiada sokongan daripada pelbagai pihak, tetapi juga disebabkan beberapa halangan sepanjang perjalanan terutamanya mencari tempat penginapan. Akibatnya, mereka akhirnya menarik diri dan projek tersebut akhirnya terbiar begitu sahaja.

Setelah entri Blog Jalan Raya Malaysia mengenai projek Jalan 1Malaysia mendapat perhatian umum, Saudara Yusrizal kembali bersemangat semula untuk menghidupkan kembali projek tersebut dan sedang aktif mendapatkan sokongan terutamanya dari kalangan komuniti penunggang basikal melalui laman sosial Facebook. Berkat kegigihan beliau mempromosikan projek tersebut melalui laman sosial, laman Facebook Jalan1Malaysia kini mencecah 678 peminat (setakat hari ini) dalam masa sekejap sahaja. Apa yang lebih menggembirakan, Kementerian Kerja Raya Malaysia kali ini turut memberikan sokongan terhadap projek sebegini.

Blog Jalan Raya Malaysia juga berperanan mempromosikan aktiviti sebegini, memandangkan Blog Jalan Raya Malaysia dan Jalan 1Malaysia berkongsi matlamat yang sama iaitu memartabatkan rangkaian jalan raya negara. Selain turut serta dalam mempromosikan Jalan 1Malaysia, terdapat beberapa reviu mengenai Jalan Persekutuan 1 yang sudah tentunya amat berguna bagi rujukan beberapa orang penunggang basikal baru yang bakal direkrut kelak. Kami juga berkongsi matlamat menghasilkan reviu Jalan Persekutuan 1 dari hujung ke hujung - bezanya, saya lebih suka bermotosikal atau berkereta semasa menghasilkan reviu.

Berminat untuk menjadi penunggang basikal dalam projek Jalan 1Malaysia? Berikut merupakan senarai tugasan kepada penunggang basikal Jalan 1Malaysia:-
  1. Tunggang basikal sepanjang Jalan Persekutuan 1 dari hujung ke hujung, bermula dari Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia di hadapan Pejabat Pos Besar Johor Bahru sehinggalah ke persimpangan lampu isyarat terakhir di Bukit Kayu Hitam.
  2. Buat kajian, tulis diari perjalanan, ambil gambar dan / atau video, dan dapatkan peta supaya pengembaraan ini dapat didokumentasikan dalam bentuk buku. Dengan kata lain, hasilkan reviu Jalan Persekutuan 1 yang paling lengkap dan menyeluruh. Diari yang dimaksudkan pula ialah laman Facebook Jalan 1Malaysia itu sendiri.
  3. Sepanjang perjalanan, kumpulkan maklumat mengenai warung-warung, tempat penginapan (terutamanya hotel bajet dan inap desa atau homestay), masjid-masjid serta tandas awam di sepanjang perjalanan. Kalau ada hentian rehat, lagi bagus.
  4. Balai polis merupakan checkpoint keselamatan anda, jadi buku log akan disediakan sebagai langkah keselamatan. Setiap kali anda singgah di bandar-bandar atau pekan-pekan yang ada balai polis, tuliskan nama anda serta tujuan perjalanan anda (dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam). Jika ada halangan di sepanjang perjalanan dari pekan / bandar terdahulu (misalnya tanah runtuh, jalan berlubang, ancaman anjing liar dsb.), tuliskan juga sebagai langkah keselamatan kepada penunggang lain (u.p. Saudara Yusrizal: Anda terlebih dahulu perlu menulis surat kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memohon keizinan mengedarkan buku-buku log tersebut ke balai-balai polis di sepanjang Jalan Persekutuan 1).
Penunggang terpilih akan menerima elaun harian RM100 sehari, yang mana hanya RM25 sahaja wang tunai diberi setiap hari semasa memulakan perjalanan, manakala baki RM75 akan dimasukkan ke dalam akaun bank setiap 100 km, yang hanya akan diterima setelah tiba di persimpangan lampu isyarat terakhir Bukit Kayu Hitam. Dengan kata lain, mereka masih perlu menggunakan modal awal sendiri untuk penginapan. Mereka juga layak menerima sebahagian hasil keuntungan jualan buku pengembaraan.

Kriteria penunggang yang diperlukan:-
  1. Cergas dan berstamina tinggi
  2. Mempunyai kemahiran dalam kemahiran penulisan pengembaraan serta seni fotografi (kalau ada kamera DSLR lagi baik)
  3. Peramah dan banyak bercakap
  4. Mesra alam
  5. Rajin membuat kajian
  6. Mempunyai paras rupa yang fotogenik (memandangkan muka anda akan muncul dalam buku serta di laman Facebook)
Berminat? Sila hubungi Saudara Yusrizal Md. Yusof melalui laman Facebook Jalan 1Malaysia ataupun e-mel ke tenaga_zaru@yahoo.com untuk memohon.

Thursday, October 17, 2013

Apa Kejadahnya: Semua jalan membawa kepada kesengsaraan / What The Hell: All roads lead to misery



Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini berikutan kesibukan kerja. Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda satu artikel panas oleh akhbar The Heat mengenai kontroversi kesesakan lebuh raya ekspres di Lembah Klang yang tidak berkesudahan yang dikatakan berpunca daripada kegagalan dasar pengangkutan lebuh raya ekspres yang terbukti bobrok, ketamakan para penyangak hartanah yang rakus membina projek hartanah di sebelah lebuh raya ekspres tanpa kawalan, serta kegagalan pihak berkuasa tempatan menjalankan tanggungjawab mereka memantau projek hartanah yang dibina. Kesemuanya membawa kepada skandal pencabulan piawaian dan hirarki jalan raya secara besar-besaran di Lembah Klang, satu amalan korup yang akhirnya menyebabkan penduduk terbeban dengan kadar tol yang mencekik darah setiap hari akibat terpaksa menggunakan "lebuh raya ekspres" yang tidak mengikut piawaian tanpa sebarang alternatif bebas tol, padahal laluan tersebut asalnya jalan arteri ataupun jalan pengumpul percuma - saya ulangi, percuma - yang hanya dimanfaatkan oleh penduduk setempat sahaja tanpa gangguan trafik daripada lalu lintas luar.

Sudah banyak entri yang saya tulis bagi mengutuk sekeras-kerasnya amalan korup sebegini yang bukan sahaja terang-terangan mencabuli piawaian lebuh raya ekspres seperti yang termaktub dalam Arahan Teknik (Jalan) 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Saya ada menulis bagaimana lebuh raya ekspres di Malaysia berbeza dengan negara lain akibat pencabulan piawaian lebuh raya ekspres. Saya juga mengkritik sekeras-kerasnya Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 yang sememangnya tidak layak langsung untuk diwartakan sebagai sebuah Lebuh Raya Ekspres kerana terang-terangan mencabuli piawaian lebuh raya ekspres, dengan sekadar mengambil jalan-jalan arteri perumahan yang percuma, melebarkannya, membina pembahagi jalan, membina persimpangan bertingkat, dan membina plaza tol, tetapi dalam masa yang sama membiarkan sahaja lebih 140 simpang-simpang kecil tanpa sebarang kawalan masuk penuh yang dikenakan. Tidak cukup lagi, saya sudah pun menerangkan secara terperinci mengenai hirarki jalan raya yang perlu dipatuhi oleh mana-mana pembina jalan raya. Saya juga ada menerangkan bahawa salah satu punca utama jalan raya sesak ialah kecacatan rekaan yang  secara terang-terangan mencabuli piawaian yang ditetapkan. Dalam satu entri Mythbuster, saya turut menyelar ketamakan para penyangak hartanah yang rakus membina projek hartanah tanpa kawalan di sebelah lebuh raya ekspres untuk menaikkan harga hartanah di situ sehingga mencekik darah atas alasan kebolehcapaian yang "lebih baik". Ketamakan para penyangak hartanah haram jadah di samping pihak berkuasa tempatan korup yang hanya membiarkan projek hartanah dibina tanpa perancangan rapi sehingga menyumbang kepada kesesakan jalan raya yang teruk turut mencetuskan beberapa siri tunjuk perasaan membantah pembinaan lebuh raya. Soalnya sekarang, kenapa pihak-pihak yang sepatutnya dipersalahkan itu tidak pernah rasa serik? Apakah kerana mereka terlalu kebal untuk dikenakan tindakan undang-undang? Ataupun, apakah pegawai yang bertanggungjawab mewartakan beberapa batang "lebuh raya ekspres" yang tidak layak diwartakan sedemikian itu terdiri daripada spesies-spesies yang tiada tauliah dalam bidang kejuruteraan jalan raya sehinggakan perkara yang terang-terangan haram boleh jadi halal pula?

Dalam entri oleh The Heat tersebut, dua orang pakar dalam bidang kejuruteraan jalan raya menyelar sekeras-kerasnya tentang segala kebobrokan dalam pembinaan rangkaian lebuh raya "ekspres" di Lembah Klang yang menyumbang kepada kesesakan yang jauh lebih teruk walaupun setelah membayar tol. Mereka ialah Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Saidullah, Dekan Sekolah Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia merangkap bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros). dan Ir. Adanan Mohamed Hussain, Timbalan Pengarah Kerja Raya (Sektor Bisnes).

Di dalam rencana tersebut, Prof. Dr. Ahmad Farhan menyelar sekeras-kerasnya amalan mengambil jalan raya yang sepatutnya dibina sebagai jalan raya arteri sebagai "lebuh raya ekspres", serta amalan membina jalan masuk terus ke lebuh raya ekspres oleh para penyangak hartanah tanpa mengikuti hukum kawalan masuk jalan raya serta hirarki jalan raya. Oleh kerana Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pihak berkuasa tempatan dengan mudah meluluskan amalan sedemikian yang ternyata korup, penduduk dan pengguna lebuh raya pula yang terpaksa menanggung padahnya, dalam bentuk kesesakan jalan raya yang jauh lebih teruk serta bebanan bayaran tol yang terang-terangan merompak pengguna "lebuh raya ekspres" sedemikian. Kalau semakin bayar tol, semakin kurang sesak, tak apa juga. Tapi apa kejadahnya kalau terpaksa membayar tol hanya untuk menempuh neraka trafik yang lebih mengazabkan selama berjam-jam lamanya setiap hari? Tahukah anda bahawa jika setiap warga Lembah Klang yang berkereta tersangkut dalam kesesakan jalan raya setiap kali berulang-alik ke pejabat, bermakna sebanyak 11 hari yang berharga dibazirkan hanya untuk tersangkut dalam neraka jahanam trafik? Itu belum kira lagi berapa juta liter petrol dibazirkan di Lembah Klang setiap tahun hanya kerana tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Maka, terbuktilah "lebuh raya ekspres" yang sesak sebegini merupakan salah satu pembunuh produktiviti di Lembah Klang.

Prof. Dr. Ahmad Farhan juga menyatakan bahawa bagi menangani masalah kesesakan jalan raya, kerajaan sepatutnya menambah baik sistem pengangkutan awam, bukannya mengambil jalan-jalan berhirarki rendah menjadi jalan-jalan berhirarki lebih tinggi, misalnya jalan raya arteri kepada "lebuh raya ekspres", dan jalan pengumpul sebagai "jalan arteri". Aliran jalan raya mestilah mengikut hirarki yang sepatutnya (misalnya, dari jalan tempatan kepada jalan pengumpul, dari jalan pengumpul ke jalan arteri, dan dari jalan arteri ke lebuh raya ekspres), bukannya tiba-tiba melompat dari jalan tempatan terus ke lebuh raya ekspres! Siapa ada ajar amalan sebegini? Tidak pernah ada walau seorang pun pensyarah dalam bidang kejuruteraan jalan raya yang mengajar main lompat-lompat hirarki jalan raya sebegitu. Cuba renungkan betapa sistematiknya Allah membina sistem saluran darah manusia mengikut hirarki, daripada aorta yang bertindak sebagai lebuh raya ekspres yang mengangkut oksigen kepada arteri primer bagi setiap anggota, dari arteri primer kepada arteri sekunder, dan seterusnya sehinggalah ke kapilari darah yang bertindak sebagai jalan tempatan bagi menghantar oksigen ke sel-sel tubuh manusia. Cuba bayangkan, apa akan terjadi apabila sistem saluran darah manusia dibina bercelaru sebagaimana sistem "lebuh raya ekspres" di Lembah Klang? Pasti akan ada sel-sel tubuh yang mati akibat kekurangan oksigen, dan sudah tentu ramai manusia akan mati dan seterusnya pupus akibat sakit jantung kerana jantung terpaksa mengepam darah dengan penuh rasa terseksa akibat aliran darah yang bercelaru.

Rekaan jalan raya sudah satu hal. Ketamakan para penyangak hartanah yang berlumba-lumba membina projek hartanah di sebelah lebuh raya ekspres agar harga setiap unit melonjak ke tahap tidak masuk akal pun satu lagi hal. Kegagalan pihak berkuasa tempatan merancang dan meluluskan sebarang projek pembangunan mengikut draf Rancangan Tempatan pun satu lagi hal. Lihat sahajalah di sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong E11, sepanjang kiri kanan "lebuh raya" dipenuhi projek-projek hartanah oleh para penyangak hartanah yang rakus. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula meluluskan kesemua projek tersebut secara membabi-buta tanpa sebarang kajian impak terhadap lalu lintas di kawasan tersebut. Kesemua projek hartanah diluluskan secara membabi-buta tanpa sebarang rancangan zon penampan bagi cadangan laluan lebuh raya atau landasan kereta api baharu. Habis tu kenapa pula NKVE E1, Lebuhraya Shah Alam E5 dan Lebuhraya Elite E6 boleh dibina cantik sebagai lebuh raya ekspres sejati dengan rizab lebuh raya yang cukup besar sedangkan "lebuh raya" yang dibina kemudiannya pula tidak boleh ikut piawaian? Semuanya datang daripada perancangan, jika gagal merancang, maka ia bermaksud merancang untuk gagal. Pihak berkuasa tempatan sepatutnya mengambil iktibar daripada Lebuhraya Maju (MEX) E20 yang pernah mencetuskan kontroversi kerana merentasi kawasan Sri Petaling - lebih "kelakar" lagi, pemaju Sri Petaling langsung tidak tahu pun mengenai rancangan pembinaan MEX E20 merentasi kawasan perumahan tersebut. Kontroversi tersebut sepatutnya boleh dielakkan jika kerajaan persekutuan mengambil alih tanah yang ditandakan sebagai laluan lebuh raya lebih awal, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula menandakan kawasan laluan lebuh raya sebagai zon penampan yang tidak boleh diusik sama sekali untuk pembangunan. Dah jadi kontroversi macam tu pun masih juga tidak serik.

Ir. Adanan pula mengkritik prosedur penghantaran kertas cadangan projek hartanah yang seterusnya membawa kepada kegagalan perancangan. Dalam prosedur terdahulu, pemaju perumahan menghantar pelan pembangunan tanpa perlu menghantar laporan penilaian impak trafik. Hanya baru-baru ini sahaja laporan tersebut diperlukan, itu pun hanya bagi kawasan perumahan yang hendak dibangunkan sahaja tanpa mengira kemungkinan beberapa projek hartanah seterusnya yang bakal dibangunkan di situ. Akibatnya, jika ada sebarang rancangan untuk membina sebarang lebuh raya ekspres baharu, tiada tanah yang diperuntukkan untuk membina lebuh raya ekspres sejati dengan mutu kejuruteraan tertinggi. Maka, "lebuh raya ekspres" dibina sebagai projek mi segera yang sekadar menggunakan jalan-jalan arteri sedia ada tanpa mematuhi ketetapan keperluan kawalan masuk penuh.

Kesimpulannya, pihak yang sepatutnya dipersalahkan dalam isu pencabulan piawaian lebuh raya ekspres sehingga membawa kepada kesesakan yang tidak berkesudahan ialah pembuat dasar serta perancang lebuh raya (dalam Lembaga Lebuhraya Malaysia mahupun syarikat konsesi), penyangak hartanah bajingan yang rakus membina projek-projek hartanah di tepi lebuh raya ekspres untuk dijual dengan harga mencekik darah, serta pihak berkuasa tempatan yang gagal mengekang pembangunan tidak terkawal serta gagal merancang pembangunan rangkaian pengangkutan di kawasan masing-masing dengan sempurna. Akibat tangan-tangan yang memperkosa piawaian serta hirarki lebuh raya tersebut, penduduk tempatan serta pengguna jalan raya terpaksa menanggung akibatnya iaitu terpaksa menempuhi lautan neraka trafik setiap hari sungguhpun setiap hari membayar tol. Dalam masa yang sama pula, bajingan-bajingan yang menjadi punca kepada onar yang terpaksa ditempuhi pengguna jalan raya pula terlepas tanpa sebarang dakwaan, seolah-olah mereka ini terlalu kebal daripada tindakan undang-undang. Masanya sudah tiba untuk menyeret puak-puak yang mencabuli hirarki dan piawaian jalan raya itu untuk memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap onar yang dilakukan itu. Memandangkan pegawai atasan JKR sendiri bersuara mengkritik kebobrokan yang mencemarkan kredibiliti industri lebuh raya negara, maka Kementerian Kerja Raya sepatutnya memandang serius akan perkara ini, memandangkan ia menyebabkan kredibiliti industri pembinaan jalan raya negara kini dipersoalkan - dua dekad dahulu, kita boleh bermegah dengan status rangkaian jalan raya kita sebagai antara yang terbaik di Asia, tetapi sekarang tidak lagi. "Lebuh raya ekspres" yang tidak memenuhi piawaian serta tidak memenuhi keperluan kawalan masuk penuh wajib dilucutkan warta sebagai Lebuh Raya Ekspres dan diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan biasa, selagi "lebuh raya ekspres" tersebut tidak dibina semula dengan kawalan masuk penuh. Ingatlah bahawa status "lebuh raya ekspres" bukanlah datang daripada berapa banyak bilangan lorong yang ada, tetapi sebenarnya mengikut darjah kawalan masuk yang dikenakan itu sendiri.

Sunday, October 6, 2013

Melawat semula SKVE E26: Lebuh raya dua lorong di Seksyen 3 / SKVE E26 revisited: Two-lane expressway at Section 3

Salam sejahtera,

Pada pertengahan tahun lalu, saya telah pun menguji SKVE E26 semasa Seksyen 2 lebuh raya tersebut dari Saujana Putra ke Telok Panglima Garang telah dibuka dengan rasminya. Hampir setahun setengah kemudian, saya kembali semula ke SKVE E26 setelah jajaran terakhir lebuh raya tersebut ke Pulau Indah dibuka dengan rasminya.

Seperti biasa, saya memulakan perjalanan dari arah Lebuhraya Kajang SILK E18 dekat Universiti Tenaga Nasional (Uniten), kerana saya ingin mengetahui sejauh mana perubahan kadar aliran trafik di sepanjang SKVE E26 selepas hampir setahun setengah. Jajaran percuma SKVE E26 masih juga sibuk seperti biasa. Sementara itu, kadar aliran trafik di sepanjang Seksyen 1b (Exit 2606 Persimpangan SKVE-Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra) dan Seksyen 2 semakin meningkat, memandangkan jajaran tersebut membolehkan pengguna lebuh raya untuk ke Banting. Buat masa sekarang, lebih kurang separuh daripada gerai-gerai di Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas di kedua-dua hala sudah pun dibuka, cuma masih belum ada stesen minyak lagi.

Saya mula memasuki Seksyen 3 sebaik sahaja melepasi Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang. Dalam reviu bagi jajaran terdahulu, saya telah pun memberikan bayangan bahawa jajaran terakhir SKVE E26 bakal dibina sebagai lebuh raya dua lorong, yang mana memang betul pun. Untuk pengetahuan anda, SKVE E26 Seksyen 3 merupakan lebuh raya ekspres dua lorong sebenar kedua yang dibina dengan kawalan masuk penuh, hanya di belakang Lebuhraya Senai-Desaru E22. Kenapa dua lorong dan bukannya empat lorong seperti biasa? Baca reviu ini sehingga habis untuk mengetahui sebabnya.

SKVE E26 melintasi Jalan Banting FT5 dan seterusnya Jambatan Sungai Langat untuk memasuki Pulau Carey. Sebaik memasuki Pulau Carey, hanya ada kelibat estet kelapa sawit sehingga hampir 20 km. Maka tidak hairanlah kenapa jajaran ini sangat lengang. Jika lebuh raya yang sangat lengang sebegini terus dibina 4 lorong, maka sudah tentulah SKVE Holdings akan mengalami masalah kewangan akibat unjuran trafik yang terlalu rendah. Lagipun, bukannya ada apa-apa yang menarik pun di Pulau Indah daripada sekadar pelabuhan semata-mata.

Binaan pertama yang saya temui sebaik memasuki Pulau Carey hanyalah sepasang stesen penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Tidak seperti stesen penguatkuasaan di jalan raya dua lorong biasa yang hanya dibina sebuah sahaja dan salah satu hala perlu membelok ke kanan, stesen penguatkuasaan di Pulau Carey ini pula memang dibina sepasang bagi mengelakkan pengguna daripada membelok ke kanan. Dengan kata lain, unsur kawalan masuk penuh masih dapat diterapkan meskipun sekadar lebuh raya tunggal dua lorong.

Setelah menunggang dengan penuh sabar di sepanjang lebuh raya dua lorong yang sangat lengang ini, saya akhirnya tiba di Jambatan Selat Lumut... eh...? Mana perginya Exit 2610 Persimpangan Pulau Carey...? Bukankah dalam blueprint asal lebuh raya tersebut sepatutnya ada dibina persimpangan tersebut? Sepanjang Pulau Carey, hanya ada estet kelapa sawit dan perkampungan Orang Asli Mah Meri, jadi adalah tidak berbaloi untuk membina persimpangan tersebut terlebih dahulu. Mungkin setelah Pulau Carey semakin maju barulah persimpangan tersebut akan dibina.

Jambatan Selat Lumut merupakan mercu tanda utama di sepanjang SKVE E26 Seksyen 3 ini. Selain daripada menjadi jambatan tertinggi di Selangor (ketinggian maksimum: 25 m dari aras laut), ia juga merupakan satu-satunya jambatan di Malaysia yang dilengkapi lorong kecemasan lori. Kenapa pula perlu ada lorong kecemasan lori, bukankah SKVE E26 melalui kawasan tanah rendah? Jambatan tersebut sebenarnya sangat hampir dengan Plaza Tol Pulau Indah, jadi SKVE Holdings mahu mengelakkan kes lori melanggar plaza tol seperti yang sering berlaku di Jelapang sebelum ini, memandangkan jambatan ini mempunyai kecerunan 4%. Selain itu, keadaan SKVE E26 Seksyen 3 yang dibina 2 lorong sahaja menyebabkan ada kecenderungan oleh segelintir pemandu bebal untuk makan jalan akibat memotong ketika sudah terlalu dekat. Jambatan Pulau Pinang E36 dan Jambatan Sungai Johor E22 juga mempunyai kecerunan sama iaitu 4%, tetapi tiada lorong kecemasan lori kerana kedua-dua jambatan tersebut dibina sebagai jambatan lebuh raya kembar, jadi tiada kecenderungan untuk makan jalan semasa memotong.

Akhirnya saya tiba di Plaza Tol Pulau Indah, plaza tol terakhir di sepanjang SKVE E26. Sepatutnya ada sepasang hentian rehat dibina sebaik sahaja selepas plaza tol tersebut, tetapi buat masa sekarang ia masih belum dibina lagi. Ia mungkin akan mula dibina sebaik sahaja bilangan pengguna lebuh raya yang hendak ke Pulau Indah meningkat, dan kalau ia dibina sekalipun, ia hanya akan dibina sebagai hentian rehat kecil sahaja. SKVE E26 kembali menjadi lebuh raya kembar 4 lorong sebaik melepasi Plaza Tol Pulau Indah.

Satu-satunya persimpangan bertingkat yang dibina buat masa ini di sepanjang Seksyen 3 ialah Exit 2611 Persimpangan Pulau Indah di KM52, dihubungkan ke sebatang jalan raya baharu yang masih belum siap sepenuhnya untuk ke Pelabuhan Barat. Hanya jalan menghala Pelabuhan Barat sahaja yang dibuka, manakala jajaran ke Zon Bebas Pulau Indah pula masih belum dibina.

Secara amnya, jajaran terakhir bagi SKVE E26 ini dibina dengan mutu kejuruteraan tertinggi, memandangkan majoriti pengguna sasaran bagi jajaran ini terdiri daripada lori-lori yang hendak ke Pelabuhan Barat. Berbeza dengan jajaran terakhir Lebuhraya Senai-Desaru E22 yang dikecam kerana dibina hanya dua lorong sahaja, saya tidak ada mendengar sebarang bentuk komplen pun mengenai jajaran terakhir SKVE E26 ini, berikutan kualiti turapan yang sangat bagus dan keadaan lebuh raya yang sangat lengang. Maka, memang berpatutan jika Seksyen 3 ini dibina hanya 2 lorong sahaja dan bukannya 4 sebagaimana kelaziman.

Jika anda terlepas reviu jajaran terdahulu SKVE E26, anda boleh membacanya di sini.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E26
Panjang: 52 km
Arah laluan: Timur-barat (Pelabuhan Barat-Uniten)
Bilangan lorong: 2 (Telok Panglima Garang-Plaza Tol Pulau Indah); 4 (Plaza Tol Ayer Hitam-Saujana Putra; Tanjung Dua Belas-Telok Panglima Garang); 6 (Uniten-Plaza Tol Ayer Hitam; Saujana Putra-Tanjung Dua Belas)
Senarai persimpangan: Klik sini







SKVE menggunakan papan tanda sebegini untuk menunjukkan zon lebuh raya dua lorong






Memasuki zon lebuh raya dua lorong






Melintasi Jalan Banting FT5






Menaiki Jambatan Sungai Langat untuk ke Pulau Carey






Satu-satunya jalan raya bebas tol di Pulau Carey






Keadaan di SKVE E26 Seksyen 3 sangat lengang






Lorong kecemasan lori di pangkal Jambatan Selat Lumut






Menaiki Jambatan Selat Lumut






Pemandangan Selat Lumut dari atas jambatan






Plaza Tol Pulau Indah






Kawasan Rehat dan Rawat Pulau Indah hanya akan mula dibina sebaik sambutan pengguna lebuh raya menggalakkan






SKVE E26 kembali menjadi lebuh raya kembar 4 lorong sebaik melepasi Plaza Tol Pulau Indah






Exit 2611 Persimpangan Pulau Indah

Saturday, October 5, 2013

Jalan Genting Sempah-Genting Highlands / Genting Sempah-Genting Highlands Highway

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini berikutan masalah kesihatan yang saya alami akhir-akhir ini. Kali ini saya ingin bawakan satu laluan maut yang terpaksa ditempuhi untuk ke salah satu pusat peranginan terkenal negara, Genting Highlands. Laluan sepanjang 17 km ini mendaki Banjaran Titiwangsa dari ketinggian sekitar 600 m dari aras laut di Genting Sempah naik ke Genting Highlands dengan ketinggian sekitar 1,600 m dari aras laut, menghasilkan kecerunan antara 10-16%.





Sebelum saya teruskan, saya ingin mengingatkan para pembaca semua bahawa Jalan Genting Sempah-Genting Highlands ini sebenarnya merupakan jalan raya persendirian, dan bukannya sebahagian Jalan Persekutuan 68 seperti yang disangka selama ini. Jajaran yang menjadi sebahagian Jalan Persekutuan 68 hanyalah dari Bulatan Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah sehingga ke satu susur keluar di mana Jalan Persekutuan 68 dilencongkan keluar. Selebihnya, ia hanyalah laluan persendirian yang diuruskan oleh pihak keselamatan Genting Berhad. Memang pernah ada cadangan oleh pihak kerajaan untuk mengambil alih jalan ini setelah berlaku tragedi tanah runtuh dekat Tokong Chin Swee, tetapi jalan tersebut tetap kekal milik persendirian.

Saya memasuki Jalan Genting Sempah-Genting Highlands dari Lebuhraya Karak E8/FT2 di Exit 803A Persimpangan Genting Highlands. Semasa Lebuhraya Karak dilebarkan menjadi lebuh raya ekspres penuh pada tahun 1990an, pihak MTD Prime juga turut membina satu jalan masuk baharu ke Genting Highlands dari arah Kuala Lumpur. Setelah jalan masuk baharu ini bertemu dengan laluan asal Jalan Genting Sempah-Genting Highlands, maka bermulalah had penyelenggaraan oleh pihak keselamatan Genting Berhad, ditandakan oleh pos kawalan polis pertama. Laluan persendirian bermula sebagai Kilometer 14.

Serius saya katakan, Jalan Genting Sempah-Genting Highlands ini curam gila - kecerunan purata adalah sekitar 12%, ditambah pula dengan selekoh-selekoh tajam di sepanjang laluan. Zon jalan sehala pula lebih curam, dengan kecerunan 16%. Sebab itulah amat penting untuk lebih banyak bergantung kepada brek enjin (guna gear rendah) daripada brek biasa; jika lebih banyak bergantung kepada brek biasa, alamat ke gaunglah padahnya. Sepanjang laluan, saya banyak menukar gear antara gear 2 dan gear 3 bagi mendapatkan lebih kuasa ketika mendaki bukit serta mendapatkan brek enjin semasa menuruni bukit.

Bulatan pertama tiada apa-apa fungsi kecuali mungkin sebagai kawasan pusingan U untuk berpatah balik. Setelah itu, laluan menuruni bukit dengan kecerunan sekitar 10% sehingga ke bulatan kedua untuk ke Gohtong Jaya. Kemudian, laluan mendaki bukit semula dengan kecerunan sekitar 10% sehingga ke bulatan ketiga yang terletak betul-betul hampir dengan Gohtong Jaya, sebuah bandar baru yang dinamakan sempena pengasas Kumpulan Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong. Bulatan tersebut jugalah yang menghubungkan Genting Highlands dengan satu lagi laluan masuk dari arah Hulu Yam iaitu Jalan Negeri Selangor B66. Stesen kaki bukit bagi kereta kabel Genting Highlands juga terletak di situ.

Setelah melepasi Bulatan Gohtong Jaya, perlu melalui pos polis kedua untuk ke Genting Highlands. Bulatan seterusnya membawa ke Awana Skyway dan sebuah masjid untuk kemudahan pengunjung beragama Islam untuk solat. Seterusnya, laluan menjadi semakin curam dengan semakin banyak selekoh berbahaya sehingga laluan berpecah dua semasa perjalanan masih berbaki 4.4 km. 

Jalan sehala mendaki bukit ini bertambah lebar dengan 3 lorong, tidak seperti jajaran dua hala yang mempunyai 2 lorong bagi setiap hala. Di zon jalan sehala ini, keadaan jalan ternyata bertambah curam dengan lebih banyak selekoh berbahaya. Sebab itulah jajaran sehala ini dijadikan lebih lebar, memandangkan lebih banyak kenderaan bergerak perlahan di kawasan ini. Kelihatan kelompok-kelompok awan yang menambahkan kedinginan suasana. Akhirnya saya tiba di kilometer sifar jalan ini yang terletak di simpang ke Pangsapuri Kayangan dan Balai Bomba Genting Highlands.

Di Genting Highlands, saya sempat mengambil kesempatan untuk meninjau keadaan sekitar. Selain masjid, balai polis dan balai bomba, kemudahan yang turut disediakan di situ ialah stesen minyak Esso, memandangkan perjalanan mendaki bukit pastinya banyak melahap minyak berikutan keadaan jalan yang curam.

Sekarang tiba masanya untuk melalui jalan sehala 2 lorong untuk pulang pula. Bahagian jalan sehala menuruni bukit ini bermula di sebuah bulatan berhampiran Mushroom Farm. Laluan menuruni bukit ini sangat curam dengan kecerunan hampir 16%. Untuk mengawal kelajuan, bonggol-bonggol ditempatkan setiap kali menghampiri selekoh tajam. Selain itu, terdapat tiga tanjakan kecemasan lori (Genting Berhad memanggilnya sebagai "lorong perhentian kecemasan") yang ditempatkan di sepanjang laluan sehala ini. Tanjakan-tanjakan kecemasan ini terdiri daripada tanjakan mendaki bukit dengan lapisan batu kerikil, benteng pasir dan longgokan tayar buruk. Banyak papan tanda dipasang bagi mengingatkan pemandu agar menggunakan gear rendah. Malangnya, masih ramai pemandu yang masih berdegil dan tetap bergantung kepada brek biasa 100%. Sebab itulah saya sering kali tercium bau brek terbakar sepanjang menuruni bukit.

Dekat Tokong Chin Swee, laluan melalui sebuah jejambat. Sebelum ini, laluan asal telah pun terjejas akibat tanah runtuh suatu ketika dahulu. Namun, kawasan bukit berkenaan tidak boleh ditarah lagi kerana boleh menjejaskan laluan turun bukit sebelum tokong tersebut. Sebagai gantinya, sebuah jejambat dibina di bekas laluan asal yang terjejas itu.

Tanjakan kecemasan lori ketiga dan terakhir adalah lokasi berlakunya nahas bas di Genting Highlands pada 21 Ogos 2013 yang mengorbankan seramai 33 orang, kesan kemalangan tersebut ditandakan oleh barisan kon-kon plastik serta tembok Jersey mudah alih yang menutupi benteng yang terjejas akibat nahas tersebut. Nanti sekejap, tanjakan kecemasan lori hanya terletak bersebelahan, kenapa boleh terlajak pula? Jawapannya mudah sahaja - bas terbabit dipandu terlalu laju pada kelajuan 120 km/j, yang saya sifatkan sebagai "gila". Sepatutnya, pemandu tersebut boleh berhenti pada tanjakan kecemasan pertama dan kedua sebaik mengesan kerosakan brek, tetapi malangnya pemandu tersebut berdegil dan tetap memandu laju. Akibatnya, banyak nyawa yang melayang akibat kedegilan pemandu bebal tersebut yang lebih mementingkan bilangan trip perjalanan daripada nyawa penumpang.

Sebaik bertemu semula dengan laluan mendaki bukit di KM4.4, saya meneruskan perjalanan ke Lebuhraya Karak E8/FT2 untuk pulang ke Kuala Lumpur. Namun, kali ini saya menggunakan laluan ke Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah kerana mahu mengisi minyak dan menyejukkan enjin. Setelah minyak diisi dan enjin sudah disejukkan, saya terus pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Karak E8/FT2.

Kesimpulannya, laluan ini memang curam gila - selekoh tajam dan naik turun bukit yang curam menjadikan Jalan Genting Sempah-Genting Highlands sebagai laluan maut. Kunci terpenting untuk menggunakan jalan ini ialah menggunakan gear rendah sepanjang masa untuk mendapatkan lebih kuasa mendaki serta mendapatkan brek enjin. Kedegilan pengguna jalan raya yang lebih banyak menggunakan brek biasa menyumbang kepada kegagalan sistem brek. Banyak papan tanda peringatan sudah pun diletakkan di sepanjang laluan bagi mengingatkan pemandu agar menggunakan gear rendah, siap ditulis dalam 4 bahasa lagi - tapi kenapa masih ramai lagi pemandu yang masih tak faham bahasa lagi?

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Memasuki Jalan Genting Sempah-Genting Highlands melalui Exit 803A Persimpangan Genting Highlands






MTD Prime patut dipuji kerana menyediakan laluan masuk alternatif ke Genting Highlands bagi kemudahan pengguna






Selekoh tajam di sepanjang laluan






Bulatan pertama ini seolah-olah tiada apa-apa fungsi kecuali sebagai pusingan U untuk berpatah balik






Menuruni bukit dengan kecerunan 10%






Bulatan kedua ke Gohtong Jaya dan stesen kereta kabel






Bulatan ketiga ke Gohtong Jaya dan Hulu Yam melalui Jalan Negeri Selangor B66 (I.A.B. bermaksud Institut Aminuddin Baki)






Bulatan keempat ke Awana Skyway






Papan tanda ini menyatakan kecerunan 10%, tetapi kecerunan sebenar adalah antara 10-16%






Memasuki zon jalan mendaki sehala - lebih lebar, tapi lebih curam






Lapisan awan rendah menambahkan kedinginan suasana






Kan saya dah cakap, jalan ini curam gila!






Kilometer sifar Jalan Genting Sempah-Genting Highlands di Genting Highlands






Stesen minyak Esso - satu-satunya stesen minyak di Genting Highlands






Menuruni bukit semula






Selekoh tajam + cerun curam = kombinasi terbaik untuk laluan maut






Genting Berhad menggunakan istilah "lorong perhentian kecemasan" bagi tanjakan kecemasan lori






Laluan menuruni bukit ini ternyata lebih curam daripada laluan mendaki






Tanjakan kecemasan lori pertama...






...dan ini pula yang kedua






Jejambat ini dibina bagi menggantikan jajaran yang terjejas akibat tanah runtuh






Tanjakan kecemasan lori terakhir. Di sinilah tempat berlakunya nahas bas yang mengorbankan 33 nyawa pada 21 Ogos lalu






Bertemu semula dengan laluan mendaki bukit






Papan tanda ini ditulis dalam 4 bahasa, jika masih berdegil juga, tak tahulah nak kata apa lagi






Keluar ke Lebuhraya Karak E8/FT2

Advertisement