Saturday, November 30, 2013

Sepintas lalu: Jambatan Kedua Pulau Pinang E28 / Overview: Penang Second Bridge E28




Salam sejahtara,

Kali ini saya ingin bawakan kepada anda satu lagi karya kejuruteraan jalan raya terulung negara selain Terowong Smart E38, iaitu Jambatan Kedua Pulau Pinang E28. Ia dibina susulan kesesakan Jambatan Pulau Pinang E36 yang sudah pun mencapai kapasiti kemuncaknya, meskipun ia sudah pun dinaik taraf menjadi 6 lorong daripada 4 lorong asalnya.

Bagi anda yang mengikuti perkembangan Jambatan Kedua Pulau Pinang E28 di laman Facebook kami, tentunya banyak maklumat mengenai jambatan tersebut yang telah kami bocorkan kepada anda melalui Admin Aiman Ab. Majid. Dengan itu, dapatlah kami memberi penerangan mengenai jambatan tersebut di blog ini dengan ringkas tetapi padat, memandangkan banyak maklumat awal yang telah kami bocorkan khas untuk anda.

Untuk mengetahui sejarah ringkas mengenai sistem lintasan air Pulau Pinang, kita perlu mengkaji sedikit sebanyak mengenai perkhidmatan feri Pulau Pinang terlebih dahulu. Perkhidmatan feri tertua negara memulakan perkhidmatannya pada tahun 1920. Namun, proses urbanisasi pesat di kawasan metropolitan Georgetown dan Butterworth telah menyebabkan perkhidmatan feri tersebut beroperasi melebihi kapasiti kemuncaknya. Sebagai alternatif kepada perkhidmatan feri Pulau Pinang, kerajaan persekutuan mula membina Jambatan Pulau Pinang E36 sepanjang 8.4 km (13.5 km jika termasuk jajaran lebuh raya darat) pada tahun 1982 dan siap pada tahun 1985. Selain menjadi jambatan terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara pada masa tersebut, Jambatan Pulau Pinang E36 turut mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah memandu sebuah model prototaip Proton Saga menyeberangi jambatan tersebut.

Pembukaan Jambatan Pulau Pinang sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesesakan di terminal feri. Namun, bilangan kenderaan yang menggunakannya semakin bertambah setiap tahun sehingga mencapai kapasiti kemuncaknya sekitar tahun 2000. Malah, masalah kesesakan di jambatan tersebut sudah terlalu parah sehinggakan warga Pulau Pinang yang berulang-alik dari tanah besar ke pulau dan sebaliknya terperangkap berjam-jam setiap kali awal pagi dan lewat petang, walaupun dengan menaiki motosikal sekalipun. Kerja naik taraf jambatan tersebut kepada 6 lorong pun tidak banyak membantu. Maka, kerajaan mengambil keputusan untuk membina sebuah jambatan baru di luar kawasan metropolitan Georgetown-Butterworth untuk membolehkan pemandu luar untuk ke pulau dengan lebih lancar. Projek tersebut dikendalikan oleh Jambatan Kedua Sdn. Bhd. dan dimulakan pada tahun 2008. Projek jambatan tol sepanjang 16.9 km (24 km jika termasuk jajaran lebuh raya darat) ini dijangka akan dibuka akhir tahun ini.

Jadi apa bezanya antara jambatan lama dengan jambatan baru ini? Biar jadual-jadual perbandingan di bawah ini menjawab pertanyaan anda.








Terdapat 3 persimpangan bertingkat - Persimpangan Jambatan Kedua, Persimpangan Batu Kawan dan Persimpangan Batu Maung - dan 2 plaza tol dibina di sepanjang laluan. Plaza tol pertama adalah plaza tol milik Plus Expressways Berhad bagi sistem tol tertutup Lebuhraya Utara-Selatan E1, manakala plaza tol kedua pula hanya untuk lalu lintas ke pulau di mana semua pengguna jambatan termasuk motosikal hanya perlu membayar tol untuk ke pulau, sama seperti perkhidmatan feri dan juga jambatan lama. Semasa peringkat pembangunannya, asalnya sepasang hentian rehat dicadangkan untuk dibina di tengah-tengah laut, tetapi cadangan tersebut akhirnya diketepikan bagi menjimatkan kos pembinaan. Kilometer sifar pula dikira dari Persimpangan Batu Maung.





Jika anda perhatikan peta di atas, anda akan mendapati bahawa jambatan tersebut sebenarnya tidak betul-betul lurus sebagaimana jambatan pertama. Ada yang mendakwa kononnya jambatan tersebut sengaja dibina bengkok bagi menambah panjang jambatan tersebut, tetapi punca sebenar rekaan jambatan yang tidak 100% lurus ini ialah berikutan faktor geologi. Faktor geologi sebeginilah yang diambil kira semasa jambatan tersebut direka.

Setakat ini sajalah dahulu yang ingin kami bawakan kepada anda. Seterusnya, nantikanlah reviu eksklusif kami mengenai Jambatan Kedua Pulau Pinang E28 setelah ia dibuka kepada lalu lintas kelak...!!!

Thursday, November 28, 2013

Sepintas lalu: Kembara sepanjang Jalan Persekutuan 3 di Terengganu / Overview: Travelling along the Federal Route 3 in Terengganu

Salam sejahtera,

Dalam entri lepas, saya ada menyebut mengenai Jalan Persekutuan 3 yang membentuk keseluruhan jajaran Lebuh Raya Asia AH18 di Malaysia. Kali ini, saya ingin berkongsi satu rencana oleh Harian Metro hasil pengembaraan salah seorang wartawannya, Saudari Anis Ramli, yang memanfaatkan perjalanan sepanjang Jalan Persekutuan 3 sebagai daya penarik pelancong ke Terengganu. Saya amat memuji gaya penulisannya yang begitu memartabatkan Jalan Persekutuan 3 sebagai salah satu jalan persekutuan tertua negara (selain Jalan Persekutuan 1 dan 5) serta sebagai sebahagian Rangkaian Lebuh Raya Asia.

Sedikit sejarah ringkas mengenai Jalan Persekutuan 3 ini. Setelah menandatangani Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, penjajah British telah membina tiga jalan raya utama merentasi Semenanjung Malaysia dari selatan hingga utara. Laluan pertama dibina dari Singapura dan merentasi kawasan tengah Semenanjung Malaysia, dan seterusnya jajaran dari Tampin ke Sungai Siput dibina di sepanjang bahagian barat Banjaran Titiwangsa. Seterusnya, laluan tersebut melencong sehingga ke pantai barat dan bermula dari Changkat Jering sehingga ke Bukit Kayu Hitam dan seterusnya ke Hat Yai, laluan tersebut dibina di sepanjang pantai barat. Jalan raya tersebut kini dikenali sebagai Jalan Persekutuan 1.

Jalan raya kedua pula dibina di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia. Bermula dari Skudai, Johor Bahru, laluan tersebut mengarah ke barat sehingga ke Pontian, di mana ia menjadi jalan persisiran pantai barat sehingga ke Sitiawan sebelum bertemu semula dengan Jalan Persekutuan 1 di Ipoh. Akhir sekali, laluan ketiga dibina di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia sehingga ke Rantau Panjang dan seterusnya Yala.

Semasa kali pertama saya membaca pangkalan data AH18 di laman sesawang projek Rangkaian Lebuh Raya Asia, saya dapati ada jajaran yang dibina mengikut piawaian JKR R4 (lebar lorong: 3.25 m; had laju reka bentuk: 90 km/j), bersamaan piawaian Annex III Rangkaian Lebuh Raya Asia, dan ada juga jajaran yang dibina mengikut piawaian JKR R5 (lebar lorong: 3.25 m; had laju rekabentuk: 100 km/j), tetapi sekarang keseluruhan jajaran Jalan Persekutuan 3 dibina sekurang-kurangnya sebagai jalan raya super two (JKR R5 / Annex II), dengan sebilangan kecil jajaran dibina sebagai jalan raya kembar (JKR R5 / Annex I).

Tanpa membuang masa lagi, saya bawakan kepada anda rencana bertajuk "Wajib singgah Pasar Payang" oleh Harian Metro.





Wajib singgah Pasar Payang



Susunan Suliati Asri



Anis Ramli melakukan perjalanan darat melalui salah satu lebuh raya terawal dibina di Malaysia untuk menyusuri tarikan dunia lama Terengganu.



Laut dalam di luar Tereng-ganu memang kaya dengan rizab minyak dan gas, menjadikan negeri pantai timur itu antara pengeluar terkemuka dalam industri mi-nyak, gas dan petrokimia.

Dengan catatan sejarah seawal abad kedua, Terengganu kaya dengan warisan kerajaan lama Lang-kasuka dan Srivijaya, serta pernah berdagang dengan empayar Majapahit, Khmer dan China.

Meski pun diulit kemodenan, tarikan silam Terengganu masih kekal dan jalan terbaik untuk menerokainya adalah melalui Jalan Persekutuan 3 - menghampiri usia 100 tahun, tetapi masih menjadi salah sebuah lebuh raya terindah di Malaysia.



MELIHAT penyu bertelur di Rantau Abang cukup bermakna.



MASJID Kristal antara tarikan utama di Taman Tamadun Islam.



KEROPOK kering dan banyak lagi yang ditawarkan di Pasar Payang.



BATIK dan kain sutera antara tarikan di Terengganu.


Jalan Persekutuan 3 sepanjang 739 kilometer (km) ini merentangi pesisiran pantai empat negeri di Malaysia bermula dari selatan Semenanjung iaitu Johor Bahru, Johor, melalui Pahang dan Terengganu sebelum berakhir di Rantau Panjang, Kelantan.

Bermula dari sini, laluan ini bersambung dengan Rangkaian Lebuh Raya Asia, menghubungkan Asia ke Eropah.

Walaupun dibina British, laluan ini juga membawa kejatuhan utama Tentera Bersekutu apabila pada 1941, tentera Jepun berbasikal menuju selatan tanah air semasa pertempuran di Tanah Melayu. 

Asalnya dibina sebagai laluan ekonomi dan politik, kini pemanduan di sepanjang Jalan Persekutuan 3 lebih terarah kepada pemanduan santai. 

Kedua-dua lorong jalan raya jalan raya ini agak rata dan lurus untuk pengalaman memandu lebih menarik di tepi laut.

Memandu ke utara dari Terengganu memang mengasyikkan. Dengan Laut China Selatan sebagai latar sepanjang perjalanan, anda bakal melihat taburan hutan bakau di sepanjang muara pantai.

Daya tarikan desa Tereng-ganu amat mengujakan. Walaupun melalui beberapa bandar dengan bangunan moden serta francais perniagaan asing, perkampung-an nelayan hanya terletak di pinggir bandar.

Lihatlah kehidupan mereka: nelayan membawa bot ke pantai di pantai awam; ayam dan lembu berkeliaran bebas di sepanjang jalan raya utama, manakala kebanyakan rumah-rumah kayu masih dibina di atas tiang dikelilingi kebun kelapa.

Malah, memandu dari Kerteh ke Paka - pusat aktiviti penapisan minyak dan gas di Malaysia - pada waktu malam juga menambat perhatian dengan nyalaan besar api daripada kompleks penapisan minyak bagaikan pelancaran roket ke angkasa lepas!



Chukai


Cara terbaik untuk mengenali Terengganu adalah melalui makanannya dan anda boleh memulakannya di Chukai (dalam daerah Kemaman).

Restoran Kim Wah (juga dikenali sebagai Kin To Wah) di sudut Jalan Masjid menyajikan menu nasi ayam sebagai tarikannya.

Ia dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 2.30 petang, tetapi biasanya habis menjelang 1 tengah hari menjadi tumpuan pelanggan.

Di Kemaman, Hai Peng Kopitiam di Jalan Sulaimani antara yang popular sejak sejak 1930-an. Selain roti bakar, hidangan lain ialah nasi dagang nasi dikukus dengan hida-ngan kari tenggiri dibungkus dalam daun pisang.

Pada waktu petang, sertai penduduk tempatan di Pantai Geliga untuk minum petang sambil menikmati satar (isi ikan dibalut dengan daun pisang), keropok lekor dan sotong tepung celup.

Kemudian, nikmati kesegaran air kelapa sebagai pelengkap hidangan tersebut!



Kuala Dungun


Kira-kira satu jam perjalanan ke utara Chukai ialah Kuala Dungun, sebuah bandar yang dikenali dengan pelbagai aktiviti perlombongan bijih besi.

Tidak banyak tinggalan masa lalu kekal kecuali tiang konkrit di laut yang menjadi sebahagian daripada landasan kereta api untuk me-ngangkut besi dari Bukit Besi ke Kuala Dungun.

Di Bukit Besi, kira-kira 30km di pedalaman, masih terdapat legasi perlombongan ini seperti bangunan simpanan, terowong dan cerobong yang digunakan pada zaman itu ditemui selepas peninggalan Jepun yang pertama kali menemui kekayaan tersebut.

Bagi kebanyakan pelancong, Kuala Dungun mungkin bukan destinasi persinggahan melainkan ke Tanjong Jara Resort. Walaupun terletak dalam kawasan kampung yang sederhana, resort mewah yang dimiliki konglomerat hartanah YTL ini mempunyai reputasi hebat di seluruh dunia dengan seni bina unik dan menarik.

Daerah Dungun, terutama di pantai Rantau Abang telah lama menjadi tempat penyu belimbing gergasi bertelur. Pada 1970, sebanyak 1,000 pendaratan penyu belimbing dilaporkan, tetapi kini jarang kelihatan disebabkan perkembangan moden dan gangguan manusia, namun masih boleh dilihat di bahagian-bahagian lain di Dungun.

Namun, tetamu di Tanjong Jara Resort boleh me-nyaksikan penyu bertelur melalui program eksklusif-nya di Kerteh. Selain itu, anda juga boleh mengatur lawatan melihat penyu bertelur pada waktu malam di Kerteh bersama jabatan perikanan.

Untuk pengalaman ini, datanglah ke Pusat Maklumat Penyu di Rantau Abang, terletak hanya 15km ke utara Tanjong Jara Resort untuk mempelajari mengenai perjalanan kehidupan penyu bertelur di pantai dan survival anak-anak penyu.



Kuala Terengganu


Meneruskan perjalanan ke utara melepasi panorama tenang Kemaman, Dungun dan Marang, maka tibalah anda ke kesibukan ibu negerinya, Kuala Terengganu.

Pasar Payang adalah pasar utama di mana semua bentuk perdagangan dijalankan. Ia adalah tempat untuk mendapatkan ikan dan ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran, keropok, ikan kering, pakaian bergaya, cenderamata dan juga barangan kemas!

Tidak sah kunjungan anda ke bandar ini tanpa membawa pulang kain batik atau sutera broked asli Terengganu tekstil diraja dibuat dengan benang emas halus dan sutera.

Selusuri sepetang di bandar dengan menaiki Tereng-ganu River Cruise dari jeti Taman Tamadun Islam untuk mengetahui sejarah dan pembangunan di kawasan ini.

Kemudian, kunjungi kota lama di Pulau Duyong, sebuah rumah tradisional Terengganu dibina pada 1920 dengan unsur-unsur Yunani Corinthians pada tiang dan pengaruh Islam pada ukiran kayunya.



Penarik


Dari Kuala Terengganu, teruskan perjalanan ke utara dan anda akan tiba di Penarik yang terletak di daerah Setiu.

Ia sebuah perkampungan nelayan yang tenang de-ngan landskap geografi yang unik - tanah genting pokok ru yang sempit dan kebun kelapa diapit Sungai Setiu di sebelah barat dan Laut China Selatan di sebelah timur.

Di sinilah letaknya Kampung Warisan Terrapuri, iaitu gabungan rumah tetamu dan projek pemuliharaan berterusan dibangunkan oleh usahawan tempatan, Alex Lee, yang mengekalkan tradisi asli rumah Melayu Terengganu sejak 20 tahun lalu.

Di sini, tetamu ditempat-kan di rumah lama berusia 100 tahun. Rumah-rumah ini diangkut dari segenap daerah di Terengganu, dibina semula di sebidang tanah di tepian pantai Kampung Mangkuk.

Kaya dengan sejarah de-ngan seni bina kayu halus dan kemahiran tukang kayu, setiap satu daripada 29 rumah tersebut mungkin menjadi warisan terakhir budaya Terengganu yang pantas dihakis zaman.

Di samping itu, layanan dan hospitaliti penduduk tempatan yang bekerja di rumah tetamu ini amat mesra seperti sebahagian daripada keluarga anda, menjadikan penginapan anda lebih bermakna.



Kredit kepada: Harian Metro

Tuesday, November 26, 2013

Kenali Rangkaian Lebuh Raya Asia / Know Asian Highway Network



Jalan Phetkasem Laluan 4 di Thailand sebagai sebahagian laluan AH2


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana agak lama tidak mengemaskini blog ini, berikutan kesibukan memenuhi permintaan seorang rakan bagi membina laman web bagi perniagaannya. Kali ini, saya ingin bawakan kepada anda sedikit-sebanyak mengenai Rangkaian Lebuh Raya Asia.

Rangkaian Lebuh Raya Asia merupakan salah satu inisiatif Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), melalui Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik PBB (UNESCAP), bagi membangunkan satu rangkaian jalan raya yang komprehensif, holistik dan memenuhi piawaian antarabangsa melalui penambahbaikan dan naik taraf jajaran jalan raya sedia ada yang dikenal pasti sebagai laluan Lebuh Raya Asia. Ia merupakan salah satu daripada 3 tiang utama bagi menambah baik infrastruktur pengangkutan Asia, di samping Kereta Api Rentas Asia dan penyediaan kemudahan pengangkutan darat. 

Projek tersebut pada mulanya dilaksanakan secara terus oleh PBB pada tahun 1959. Semasa fasa awal pembangunannya (1960-1970), kadar kemajuan projek berjalan lancar, tetapi kemudiannya menjadi sangat lembab, terutamanya apabila bantuan dana bagi pelaksanaannya digantung pada tahun 1975. Pada tahun 2003, satu perjanjian rasmi bagi pembangunan Rangkaian Lebuh Raya Asia ditandatangani pada 18 November 2003 oleh 23 negara anggota perintis. Setakat tahun 2013, sudah ada 29 negara yang sudah menandatangani perjanjian tersebut.

Piawaian bagi reka bentuk jalan yang dikenal pasti sebagai sebahagian jajaran Lebuh Raya Asia adalah seperti berikut:-

Piawaian
Had laju reka bentuk (km/j)
Lebar lorong minima (m)
Kawalan masuk
Aplikasi
Primer
120
3.5
Penuh
JKR R6/U6
Lebuh raya ekspres
Annex I
100
3.5
Separa
JKR R5/U5
Jalan raya kembar
Annex II
80
3.5
Separa
JKR R5/U5
Jalan super two dan jalan raya utama
Annex III
60
3.25
Separa
JKR R4/U4
Jalan raya utama dan sekunder




Format jata laluan Lebuh Raya Asia


Kod laluan bagi Rangkaian Lebuh Raya Asia bermula dengan huruf AH diikuti nombor yang diwartakan. Terdapat beberapa kategori laluan bagi Rangkaian Lebuh Raya Asia:-
  1. Laluan rentas benua - diwartakan dengan nombor 1 digit, merentasi seluruh benua Asia
  2. Laluan Asia Tenggara - diwartakan dengan nombor 10-29 dan 100-299
  3. Laluan Asia Timur dan Timur Laut - diwartakan dengan nombor 30-39 dan 300-399
  4. Laluan Asia Selatan - diwartakan dengan nombor 40-59 dan 400-599
  5. Laluan Asia Tengah, Asia Utara dan Asia Barat Daya - diwartakan dengan nombor 60-89 dan 600-899


Lebuhraya Elite E6 adalah sebahagian daripada laluan AH2



Lebuhraya Karak E8/FT2 adalah sebahagian daripada laluan AH141



Lebuhraya Tun Razak FT12 adalah sebahagian daripada laluan AH142



Rangkaian Lebuhraya Pan Borneo, termasuklah Lebuhraya Papar-Sindumin FT1, adalah sebahagian daripada laluan AH150


Di Malaysia, terdapat tujuh laluan Lebuh Raya Asia yang dikenal pasti:-
  1. AH2 - sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 (Bukit Kayu Hitam-Johor Bahru), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 (Bukit Lanjan-Shah Alam), Lebuhraya Elite E6, Lebuhraya Skudai FT1 dan Tambak Johor FT1
  2. AH18 - sepanjang Jalan Persekutuan 3 (Rantau Panjang-Johor Bahru)
  3. AH140 - sepanjang Lebuhraya Butterworth-Kulim E15 (Butterworth-Lunas) dan Jalan Persekutuan 4 (Lunas-Pasir Puteh)
  4. AH141 - NKVE E1 (Bukit Lanjan-Jalan Duta), Lebuhraya Duke E33 (Jalan Duta-Sentul Pasar-Greenwood), KL MRR2 FT28 (Greenwood-Gombak Utara), Lebuhraya Karak E8/FT2, Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 1 (Gombak-Jabor) dan Jalan Pintasan Gebeng
  5. AH142 - sepanjang Persiaran MEC FT222, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 (Gambang-Segamat) dan Jalan Persekutuan 1 (Segamat-Yong Peng Selatan)
  6. AH143 - sepanjang Lebuhraya Linkedua E3 (Senai-Tanjung Kupang)
  7. AH150 - sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (Jalan Persekutuan 1 di Sarawak dan Jalan Persekutuan 1, 22 dan 13 di Sabah)


Korea Selatan menzahirkan kebanggaan mereka kerana diberi penghormatan menjadi sebahagian laluan Lebuh Raya Asia, dengan menggandingkan jata laluan AH1 bersama-sama jata laluan lebuh raya sedia ada - kenapa tidak kita...?



Jepun menzahirkan kebanggaan mereka kerana diberi penghormatan dijadikan kilometer sifar bagi laluan AH1 - kenapa Malaysia sedikit pun tiada rasa bangga dipilih sebagai sebahagian rangkaian jalan raya antarabangsa...?


Masalah yang dihadapi di Malaysia sekarang ialah boleh dikatakan tiada satu pun papan tanda jalan raya di Malaysia yang menggandingkan jata laluan Lebuh Raya Asia dengan jata laluan sedia ada. Akibatnya, ramai di kalangan rakyat Malaysia yang langsung tidak mengetahui kewujudan laluan Lebuh Raya Asia di negara sendiri. Cuba lihat papan-papan tanda jalan raya di kebanyakan negara anggota; masing-masing menzahirkan kebanggaan mereka kerana disenaraikan sebagai antara laluan Lebuh Raya Asia dengan menggandingkan jata laluan Lebuh Raya Asia dengan jata laluan kebangsaan masing-masing. Jika negara lain boleh melakukannya, kenapa kita tidak boleh? Adakah kita tidak ada langsung perasaan bangga meskipun telah diberi penghormatan sebagai sebahagian laluan Lebuh Raya Asia? Oleh itu, saya menyeru kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta syarikat-syarikat konsesi bagi lebuh raya ekspres yang terlibat agar turut serta menggandingkan jata laluan Lebuh Raya Asia dengan jata laluan sedia ada sebagai tanda kebanggaan kita terhadap sistem jalan raya kita yang dijadikan sebahagian daripada sistem rangkaian jalan raya antarabangsa.

Tuesday, November 19, 2013

Teknik pemanduan jimat bahan api / Hypermiling for dummies




Salam sejahtera,

Harga petrol sekarang sudah semakin mahal dan tidak mungkin akan turun dalam tempoh terdekat ini. Kos sara hidup semakin meningkat. Kadar inflasi bertambah. Maka, kita terpaksa berjimat-cermat dalam apa jua yang kita lakukan agar pendapatan bulanan kita mencukupi sehingga ke bayaran gaji seterusnya, meskipun kuasa beli kita semakin menurun. Jika berkereta, mungkin kita terpaksa mengambil keputusan untuk menggunakan motosikal sebagai kenderaan pengangkutan harian ke pejabat. Namun, dalam konteks Malaysia yang mengalami iklim panas dan lembap sepanjang tahun, tidak mungkin kita berupaya menggunakan motosikal sepanjang masa terutamanya ketika hujan lebat. Mahu tidak mahu, kita terpaksa juga menggunakan kereta dan belajar mengurangkan penggunaan bahan api yang biasanya lebih kurang tiga hingga empat kali ganda berbanding motosikal kapcai biasa.

Sebut tentang penggunaan bahan api, kita perlu ambil perhatian bahawa kereta biasanya paling kuat makan minyak ketika di bandar kerana banyak melibatkan pecutan, nyahpecutan dan pemberhentian kerap. Sebaliknya, kebanyakan kereta paling jimat minyak apabila dipandu di jalan persekutuan luar bandar yang lengang dan seterusnya menggunakan lebih petrol semasa di lebuh raya ekspres (tetapi tidak selahap ketika di dalam bandar). Berbeza pula dengan kereta kei-car seperti Perodua Kancil atau Perodua Viva yang mana enjinnya paling jimat minyak ketika di dalam bandar tetapi meraung kuat apabila di lebuh raya ekspres.

Berikut merupakan teknik asas yang anda boleh amalkan untuk penjimatan petrol yang lebih baik:-


1. Kurangkan penggunaan kereta

Cara paling baik bagi mengurangkan perbelanjaan petrol bulanan anda ialah dengan meminimakan penggunaan kereta dengan mengehadkannya pada penggunaan yang perlu sahaja. Kalau sekadar hendak ke kedai runcit yang berdekatan ataupun ke masjid, lebih baik anda gunakan motosikal sahaja, kecuali semasa hujan ataupun jika anda perlu mengangkut banyak muatan atau penumpang yang tidak mampu diangkut menggunakan motosikal.


2. Kurangkan melahu

Salah satu punca utama kereta anda begitu lahap di bandar ialah kerana banyak melahu terutamanya semasa parkir ataupun dalam kesesakan jalan raya. Matikan enjin jika anda perlu berhenti dalam jangka masa yang agak lama. Selain itu, jika anda baru sahaja menghidupkan enjin, jangan tunggu lama-lama - terus jalan kerana kereta sekarang mengambil masa yang lebih pendek untuk dipanaskan.


3. Sentiasa selenggara kenderaan anda secara berkala

Sentiasa servis kenderaan anda secara berkala mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pengeluar. Minyak enjin yang sudah lama tidak ditukar akan menyebabkan geseran yang lebih tinggi pada enjin berikutan kandungan keladak yang tinggi. Sesetengah pengeluar mencadangkan agar anda menggunakan minyak enjin yang cair (seperti SAE 10W-30) atas alasan lebih menjimatkan kerana kelikatan yang rendah, tetapi saya kurang bersetuju kerana minyak yang cair kurang berkesan untuk melincirkan bahagian enjin semasa kelajuan tinggi pada suhu yang tinggi.

Selain minyak enjin, penapis udara yang dibersihkan dengan kerap juga membantu menjimatkan bahan api. Ia sebenarnya boleh dilakukan sendiri dengan mudah - hanya buka penutup penapis udara, tanggalkan elemen penapis, bersihkan penapis (sama ada menggunakan udara bertekanan tinggi, pembersih hampagas, ataupun mengetuk-ngetuk elemen penapis bagi menanggalkan habuk dan serangga yang terperangkap) dan akhir sekali pasang semula elemen penapis udara tersebut. Sebaliknya, penapis udara yang dibiarkan kotor dan tersumbat pula akan menyebabkan enjin lebih pelahap kerana lebih banyak halangan untuk udara memasuki enjin.

Di samping itu, anda juga perlu memastikan tekanan tayar yang betul. Biasanya anda perlu mengikut spesifikasi pengeluar bagi tekanan angin tayar, tetapi anda boleh meningkatkan sedikit tekanan angin tayar jika membawa beban yang banyak.


4. Jangan bawa muatan berlebihan

Membawa muatan berlebihan boleh menyebabkan peningkatan dalam penggunaan bahan api kerana lebih kuasa diperlukan untuk mengangkut lebihan muatan. Misalnya, kereta yang dipenuhi muatan sehingga mencapai 2 kali ganda beratnya memerlukan lebih 8 kali ganda kuasa daripada kereta sama yang tiada muatan lain melainkan diri anda sendiri.


5. Patuhi had laju

Tahukah anda, bahawa Had Laju Kebangsaan 90 km/j di jalan persekutuan merupakan kelajuan di mana majoriti kenderaan berfungsi dalam keadaan yang paling cekap dan optimum? Pada kelajuan sebegini, kenderaan menggunakan paling kurang bahan api. Sebaliknya, memandu melebihi 90 km/j pula lebih banyak menggunakan petrol; misalnya, memandu pada 110 km/j memakan 25% lebih petrol daripada 90 km/j. Namun, sekali lagi ia bergantung kepada jenis kenderaan, kerana ada kenderaan yang mempunyai titik optimum pada kelajuan yang lebih tinggi; misalnya, Honda City dan Proton Preve paling jimat bahan api pada kelajuan 100 km/j berikutan nisbah gearnya.


6. Tambah baik aerodinamik

Memasang rak barangan di bahagian bumbung kereta ataupun penggunaan spoiler secara sebarangan boleh mengganggu aerodinamik kenderaan kerana ia mewujudkan rintangan udara yang lebih tinggi. Jika anda tidak mengangkut barangan di atas kereta, tanggalkan rak tersebut. Bagi kes spoiler pula, gunakan hanya spoiler tulen keluaran pengeluar kereta anda. Jangan pasang spoiler cap ayam yang tidak diuji tahap aerodinamiknya; jika anda mengalami peningkatan penggunaan bahan api akibat penggunaan spoiler, tanggalkan spoiler tersebut.

Selain itu, membuka tingkap juga boleh mengganggu aerodinamik dan boleh meningkatkan penggunaan bahan api. Benar, penggunaan penyaman udara boleh meningkatkan penggunaan petrol, tetapi pada kelajuan 80 km/j pula, memandu dengan penyaman udara dihidupkan adalah lebih menjimatkan daripada memandu dengan tingkap terbuka.


7. Pilih gear yang betul

Semasa di jalan raya yang rata, banyakkan penggunaan gear tinggi supaya dapat mengurangkan pembaziran petrol semasa meluncur pada kelajuan malar. Sebuah kereta dengan enjin 110 kuasa kuda hanya memerlukan sekitar 10-15 kuasa kuda sahaja untuk mengekalkan kelajuan 100 km/j. Namun, ketika di jalan raya pergunungan, anda perlu lebih banyak menggunakan gear rendah - bukan sahaja untuk mendapatkan brek enjin semasa menuruni bukit, tetapi bagi memastikan anda memperoleh kuasa mencukupi ketika menaiki bukit. Menggunakan gear tinggi di jalan raya pergunungan adalah tidak praktikal, malah ia sebenarnya lebih banyak menggunakan bahan api kerana campuran udara-bahan api yang lebih tebal diperlukan untuk memaksa enjin menarik kenderaan menaiki bukit.


8. Manfaatkan momentum dan kurangkan pecutan / nyahpecutan

Seperti mana-mana jirim yang lain, kenderaan mempunyai inersianya yang tersendiri yang merupakan rintangan terhadap pecutan dan nyahpecutan. Dengan kata lain, kenderaan yang lebih besar lebih lambat hendak memecut dan lebih lambat untuk diperlahankan dan diberhentikan. Anda boleh melakukannya dengan bertanya pada diri anda sendiri, berapa laju yang anda mahukan? Sebaik sahaja kenderaan sudah mencapai kelajuan yang dikehendaki, lepaskan pendikit dan main-main pendikit dengan perlahan dan lembut hanya sekadar untuk mengekalkan kelajuan. Dengan mengekalkan momentum, anda sebenarnya boleh menjimatkan bahan api dengan ketara.


9. Manfaatkan paparan penggunaan bahan api

Kebanyakan kereta moden kini dilengkapi dengan paparan penggunaan bahan api yang disepadukan pada paparan LCD pada panel meter. Unit yang digunakan ialah sama ada kilometer seliter (km/L) ataupun liter setiap 100 kilometer (L/100 km). Manfaatkan sepenuhnya paparan penggunaan bahan api tersebut dengan mensasarkan angka setinggi mungkin bagi yang menggunakan unit km/L, ataupun serendah mungkin bagi yang menggunakan unit L/100 km. Dengan memanfaatkan paparan tersebut, ia secara tidak langsung mendidik anda untuk menggunakan teknik pemanduan yang lebih jimat minyak.


10. Teknik "denyut dan luncur" (pulse and glide)

Jika anda mahukan lebih penjimatan, anda boleh cuba menggunakan teknik ini. Bagi yang memandu kereta transmisi manual, caranya begini - dari gear satu, tekan habis injak pendikit, cepat-cepat tukar gear dua, tekan habis injak pendikit, cepat-cepat tukar terus ke gear lima, dan akhir sekali main-main injak pendikit dengan perlahan sekadar untuk mengekalkan momentum sebaik memperoleh kelajuan yang diingini. Tujuan utama teknik sebegini ialah untuk memanfaatkan sepenuhnya kilasan enjin untuk mendapatkan momentum kenderaan dan seterusnya mengekalkannya pada penggunaan bahan api minima. Teknik sebegini memang agak sukar untuk dikuasai terutamanya dalam kawasan bandar, tetapi percayalah, teknik "denyut dan luncur" (1-2-5) sebenarnya mampu membantu menjimatkan penggunaan petrol dengan ketara berbanding teknik penukaran gear berjujukan konvensional (1-2-3-4-5).

Bagi kenderaan yang menggunakan transmisi automatik konvensional atau CVT, ia lebih mudah dilakukan - hanya tekan injak pendikit dengan kuat sehingga mencapai kelajuan yang diingini dan lepaskan injak pendikit sebaik mencapai kelajuan yang diingini - sekali-sekala hanya perlu pijak injak pendikit dengan perlahan dan lembut sekadar untuk mengekalkan momentum.


11. Ramal tindakan pemandu di hadapan anda

Setiap kali berada di bandar, sentiasa perhatikan tindak-tanduk kenderaan di hadapan anda. Sebaik sahaja anda ternampak kenderaan hadapan menggunakan isyarat membelok, anda boleh memperlahankan kenderaan secara beransur-ansur. Begitu juga semasa di persimpangan lampu isyarat; apabila anda nampak sahaja lampu kuning, mula perlahankan kenderaan dan bersedia untuk berhenti (bukannya pecut lebih laju); jalan ketika lampu kuning jika dan hanya jika anda meramalkan bahawa anda tidak sempat untuk berhenti.

Pemandu yang tidak menggunakan lampu isyarat membelok ketika hendak keluar masuk simpang atau menukar lorong memang wajar disumpah-seranah kerana pemandu bebal tersebut boleh menyebabkan anda kerugian 5 hingga 25% penggunaan petrol - atau dengan kata lain, antara RM5.25 hingga RM26.50 jika anda menggunakan kereta Proton Persona dengan muatan tangki 50 liter.


12. Gunakan penyaman udara sekadar perlu sahaja

Penggunaan penyaman udara memakan kuasa enjin sebanyak 10%, namun pada kelajuan lebih 80 km/j penggunaan penyaman udara sebenarnya lebih jimat minyak berbanding membuka tingkap. Oleh itu, jika anda berasa kurang selesa, setkan suhu penyaman udara sekadar cukup sejuk sahaja mengikut keadaan cuaca sekeliling dan bukannya full-blast sepanjang masa.

Sunday, November 17, 2013

Apabila kenyataan Menteri Kerja Raya diputar-belitkan... / When the Minister of Works' statement was spun around...




Salam sejahtera,

Sejarah penggunaan motosikal di Malaysia bermula seawal zaman penjajahan British dahulu, apabila model-model motosikal buatan British dibawa masuk ke Tanah Melayu. Jenama motosikal buatan orang putih seperti Triumph, Norton, Royal Enfield, BSA dsb. pernah mewarnai arena motosikal di Tanah Melayu semasa zaman penjajahan British. Namun, motosikal sebegitu hanya mampu dimiliki oleh pegawai-pegawai British serta sebilangan kecil golongan elit Melayu sahaja, sedangkan rakyat biasa kebanyakannya tidak mampu memilikinya disebabkan harganya yang mahal dan penggunaan bahan api yang agak tinggi jika diikutkan standard sekarang, memandangkan motosikal-motosikal tersebut rata-ratanya mempunyai saiz enjin yang besar. 

Segala-galanya hanya berubah apabila seorang usahawan Cina, Tan Sri Dato' Loh Boon Siew, bercuti di Jepun pada tahun 1958 dan menyedari potensi jualan motosikal Honda Cub yang baru sahaja diperkenalkan dan popular di sana pada masa tersebut. Maka, beliau berjumpa sendiri dengan pengasas Honda, Soichiro Honda, bagi membincangkan untuk membawa masuk Honda Cub ke Malaysia. Setelah Honda Cub dibawa masuk ke Malaysia, dengan pantas ia laris seperti pisang goreng panas, berikutan harganya yang sangat murah dan mampu dimiliki orang kebanyakan, di samping sangat jimat minyak dan tahan lasak. Hasilnya, keluarga berpendapatan rendah di kampung pun akhirnya mampu memiliki kenderaan sendiri.

Fenomena sebegini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja, malah turut berlaku di negara-negara Asia Tenggara yang lain, sehingga menjadikan Asia Tenggara sebagai pasaran terbesar bagi motosikal kapcai. Motosikal kapcai amat digemari di Asia Tenggara kerana sangat murah, jimat minyak, mudah ditunggang, tahan lasak, mudah diselenggara dan mampu mengangkut muatan berat. Sehubungan dengan itu, adalah lazim bagi kita melihat penunggang-penunggang motosikal kapcai menunggang dengan relaks di jalan-jalan raya dan lebuh raya di seluruh negara, tak kiralah sama ada secara bersendirian ataupun berkonvoi beramai-ramai.

Sungguhpun demikian, penunggang motosikal kapcai di Malaysia kini sering berdepan dengan satu bentuk diskriminasi yang datang daripada segelintir golongan kufur nikmat yang menafikan hak penunggang motosikal untuk memperoleh layanan yang adil di atas jalan raya, dan kebanyakannya terdiri daripada pemandu kenderaan beroda empat dan ke atas. Kita sering terdengar bagaimana sebegitu ramai penunggang motosikal yang menjadi mangsa pemandu-pemandu bebal lagi haram jadah yang suka keluar masuk simpang atau menukar lorong tanpa menggunakan lampu isyarat membelok, melanggar lampu merah, memotong ketika sudah terlalu dekat, ataupun menghimpit penunggang motosikal ke bahu jalan. Tidak cukup dengan itu, terdapat juga puak-puak penunggang motosikal bahalul yang sengaja menambah parah diskriminasi terhadap penunggang motosikal, dengan melibatkan diri dalam kegiatan lumba haram Mat Rempit. Akibatnya, seluruh masyarakat melabelkan mana-mana penunggang motosikal sebagai "Mat Rempit", meskipun majoriti penunggang motosikal terdiri daripada penunggang motor kapcai yang sekadar menjadikan motosikal masing-masing sebagai kenderaan untuk berulang-alik ke tempat kerja atau sekolah, dan langsung tidak terlibat dalam mana-mana perlumbaan haram. Di samping itu, diskriminasi terhadap penunggang motosikal menjadi semakin membarah apabila ada di kalangan pihak yang mempunyai kuasa (sama ada sebagai pembuat dasar ataupun pelaksananya) yang turut serta dalam mendiskriminasikan penunggang motosikal, melalui undang-undang mengarut dan bersifat seakan-akan apartheid - contohnya, bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu pernah mencetuskan kontroversi apabila pernah mengusulkan untuk mengharamkan terus motosikal daripada menggunakan lebuh raya ekspres hanya kerana marahkan sekumpulan penunggang superbike yang memintas keretanya di Lebuhraya Utara-Selatan, yang seterusnya mencetuskan kemarahan di kalangan komuniti dua roda, serta kontroversi lorong motosikal yang lebih bersifat sebagai laluan perangkap yang lebih berbahaya buat penunggang motosikal, ibarat keluar mulut buaya, masuk mulut naga - juga angkara Datuk Seri Samy Vellu yang mengambil "jalan pintas kejuruteraan" dengan mewartakan lorong-lorong basikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai "lorong motosikal", meskipun salah seorang jurutera yang bertanggungjawab membinanya menegaskan bahawa lorong basikal tersebut tidak direka untuk menampung aliran trafik motosikal.

Pelantikan Datuk Fadillah Yusof sebagai Menteri Kerja Raya yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Shaziman Abu Mansor membuka harapan baru buat penunggang motosikal, apabila beliau sendiri turut padang melihat sendiri kebobrokan di sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 itu, meskipun lawatan tersebut dicemari skandal hipokrasi di kalangan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyelenggara lorong motosikal tersebut yang hanya menurapnya semula apabila menteri hendak datang - sebelum itu tak ada langsung ambil kisah! Hasil daripada lawatan tersebut, pelbagai pendekatan diambil bagi menangani isu kontroversi lorong motosikal tersebut, antaranya seperti pelancaran Rakan Ronda Lebuhraya, dan baru-baru ini Kementerian Kerja Raya sedang mengkaji kemungkinan sama ada untuk membina lorong motosikal di kesemua lebuh raya ekspres ataupun sekadar mengenakan had sesaran enjin minimum bagi melindungi motosikal kapcai di lebuh raya ekspres.

Namun, satu perkara yang sekali lagi membangkitkan kemarahan komuniti penunggang motosikal di Malaysia ialah apabila Utusan Malaysia menyiarkan berita bertajuk "Kerajaan kaji cadangan tidak benarkan motosikal kapcai berada di lebuh raya" bertarikh 13 November 2013. Pada awalnya, saya sendiri pun berasa sangat marah apabila membaca berita tersebut, tetapi setelah saya menyemak semula berita serupa di Berita Harian, Sinar Harian dan Bernama, saya dapati bahawa tajuk berita yang disiarkan dalam Utusan Malaysia itu sebenarnya sudah diputar-belit. Sebagai seorang pengkritik jalan raya, saya mengecam keras tindakan tidak bermoral oleh Utusan Malaysia itu kerana ia boleh menimbulkan perasaan kebencian terhadap kerajaan di kalangan penunggang motosikal, sedangkan kenyataan sebenar oleh Datuk Fadillah sebenarnya bertujuan membela golongan beroda dua ini. Justeru, maksud sebenar kenyataan oleh Datuk Fadillah ialah Kementerian Kerja Raya sedang membuat kajian kemungkinan sama ada hendak membina lorong motosikal ataupun mengenakan had sesaran minimum di lebuh raya ekspres, bukannya mengharamkan terus kesemua motosikal kapcai daripada menggunakan lebuh raya! Dah banyak kali kena saman pun masih lagi tidak serik sehinggakan kenyataan menteri kerajaan pun diputar-belit.

Akibat tindakan tidak bertanggungjawab Utusan Malaysia yang menyiarkan tajuk yang bercanggah dengan kenyataan sebenar oleh Datuk Fadillah, maka niat murni Kementerian Kerja Raya untuk membela nasib golongan penunggang motosikal turut disalah erti sebagai "satu lagi bentuk diskriminasi". Jadi, bagaimana hendak mendapat sokongan rakyat apabila mesej sebenar kerajaan sudah pun diputar-belit sehinggakan niat murni untuk membela penunggang motosikal pun disalah erti? Sebagai salah satu media pro-kerajaan, Utusan Malaysia sepatutnya berperanan sebagai wadah bagi menerangkan dan menyampaikan dasar kerajaan agar rakyat dapat sama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan dasar-dasar penting bagi kesejahteraan rakyat, bukannya sebagai alat propaganda yang lebih banyak memainkan isu-isu politik dangkal sehingga memecah-belahkan rakyat. Dengan itu, saya menuntut agar Utusan Malaysia mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi kepada Datuk Fadillah Yusof dan Kementerian Kerja Raya serta memperbetulkan semula tajuk dalam artikelnya agar tidak lagi disalah erti oleh rakyat.

Friday, November 15, 2013

Perodua Alza: Kereta, MPV juga kereta estet / A car, an MPV and a station wagon

Salam sejahtera,

Kali ini Blog Jalan Raya Malaysia berpeluang memandu uji sebuah Perodua Alza secara eksklusif, sungguhpun kalau diikutkan ia diadakan lewat empat tahun daripada sepatutnya. Peluang memandu uji Perodua Alza dalam perjalanan jauh ini datang pada 14 November 2013 setelah beberapa orang rakan meminta pertolongan saya untuk menghantar mereka ke Terminal Tambang Murah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki sebuah Perodua Alza yang sarat dengan bagasi. Rakan-rakan saya itu hendak ke Padang, Sumatera Barat, Indonesia untuk bercuti, maka mereka meminta pertolongan saya untuk menghantar mereka, memandangkan saya tidak ikut serta. Terima kasih kepada Saudara Syamin kerana sudi meminjamkan sebuah Perodua Alza yang baru sahaja "habis tempoh pantang" untuk dipandu uji.

Perodua Alza ini dikeluarkan oleh Perodua pada tahun 2009 sebagai menyahut cabaran bagi menghasilkan sebuah kenderaan serba guna (MPV) keluaran tempatan, sekaligus memulakan "perang MPV" dengan Proton Exora. Ia dibina berasaskan model MPV Toyota Passo Sette / Daihatsu Boon Luminas yang dikeluarkan di Jepun sebagai versi MPV bagi Daihatsu Sirion. Maka, Perodua Alza ini boleh juga dianggap sebagai "Perodua Myvi versi MPV", kerana kedua-dua kenderaan dibina berasaskan pelantar yang sama. Memandangkan Alza ini lebih besar dan perlu mengangkut 7 orang penumpang, maka satu-satunya pilihan enjin yang ada ialah enjin 3SZ-VE 1.5 liter DOHC DVVT 16 injap sejukan air. Enjin ini berbeza daripada enjin 1NZ-FE yang digunakan pada Toyota Vios, kerana kuasa kuda yang dihasilkan adalah berbeza, malah susunan rongga masukan dan ekzos juga berbeza (3SZ-VE mempunyai susunan konvensional rongga masukan di belakang dan rongga ekzos di hadapan, manakala 1NZ-FE pula terbalik). Enjin 1NZ-FE mampu menghasilkan 109 PS @ 6,000 rpm manakala enjin 3SZ-VE pula sekadar menghasilkan 104 PS @ 6,000 rpm. Di atas kertas, enjin 3SZ-VE ini kelihatan seolah-olah tidak cukup berkuasa, tetapi hakikat sebenar adalah berbeza. Tak percaya? Baca reviu ini terlebih dahulu sampai habis.

Saya, Syamin dan rakan saya Khairul Azmi memulakan perjalanan dari Desa Jenaris, Kajang. Sebelum itu, kami memunggah 8 bagasi yang memerlukan kerusi baris belakang dilipat sepenuhnya dan salah satu daripada kerusi baris tengah dilipat. Seterusnya, kami ke LCCT melalui Jalan Pintasan Kajang, Lebuhraya Cheras-Kajang E7, Lebuhraya Kajang Silk E18, SKVE E26, Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29, Hubungan Putrajaya E6, Lebuhraya Elite E6 dan Lebuhraya KLIA FT26/E6. Setelah petrol diisi, kami meneruskan perjalanan dalam cuaca hujan seawal 2.00 pagi tatkala kebanyakan warga Lembah Klang lena diulit mimpi.

Perodua Alza ini tiada brek tangan, sebaliknya brek kecemasannya dikendalikan dengan menggunakan injak kaki - hampir sama seperti Mercedes-Benz - bezanya, brek kecemasan Mercedes-Benz dilepaskan dengan menarik tuas pelepas brek kecemasan, manakala brek kecemasan Perodua Alza pula dilepaskan dengan menekan kembali injak brek kecemasan yang sama. Sepanjang memandu Alza ini, saya merasakan bahawa Alza adalah kereta Perodua paling stabil setakat ini, sungguhpun pengendaliannya kurang lincah sedikit berbanding kereta-kereta keluaran Proton berikutan badannya yang tinggi. Namun, kelemahan tersebut diatasi dengan badannya yang panjang. Apa pun, ia tetap lincah meskipun ia sarat dengan muatan dalam cuaca hujan. Pengendaliannya turut dibantu pemilihan stereng kuasa hidraulik konvensional berbanding stereng kuasa elektrik (EPS) yang digunakan Myvi generasi kedua. Saya sedikit pun tidak terasa Alza ini tidak cukup kuasa (underpowered), kerana enjin 3SZ-VE ini memang lebih menumpukan kepada sebaran kilasan yang lebih baik pada kelajuan rendah, yang mana sifat sebegini sangat kritikal bagi sesebuah MPV. Jika dibandingkan dengan Proton Exora CPS pula, meskipun ia kelihatan lebih berkuasa di atas kertas, tetapi enjinnya agak malas dan memerlukan pemandu menekan injak pendikit dengan kuat apabila enjin Campro CPS itu digunakan pada Exora, kerana sifat enjin Campro CPS lebih menumpukan sebaran kilasan pada kelajuan tinggi. Sebab itulah Alza ini sebenarnya gagah walaupun angka kuasa kuda di dalam kertas nampak kecil sahaja. Kelajuan tertinggi yang saya berani uji ialah sekadar 140 km/j berikutan cuaca hujan, meskipun kalau diikutkan Alza ini sebenarnya boleh mencapai kelajuan maksimum 155 km/j.

Satu lagi kekuatan utama Perodua jika dibandingkan dengan Proton ialah kehalusan buatannya (refinement), dan inilah faktor utama yang membawa kepada persepsi kereta Perodua lebih berkualiti daripada Proton. Saya bukanlah hendak memperlekehkan Proton, tetapi jika Proton berupaya meningkatkan tahap kehalusan buatannya, maka sudah tentulah persepsi masyarakat turut berubah.

Perjalanan dari Kajang ke Terminal LCCT mengambil masa hampir sejam. Sebaik tiba, kami menunggu empat orang lagi rakan kami sebelum memunggah keluar kesemua bagasi di dalam Alza tersebut. Setelah bagasi habis dipunggah keluar, saya mengucapkan selamat jalan kepada rakan-rakan sebelum pulang ke Kajang bersendirian.

Peluang pulang bersendirian dimanfaatkan dengan melencong sebentar ke Petronas LCCT bagi mengambil beberapa keping gambar serta menguji kerusi-kerusi baris tengah dan hadapan. Kerusi baris hadapan dan tengah memang selesa seperti menaiki Myvi, dengan ruang kaki dan ruang kepala yang besar. Namun, apabila hendak masuk ke kerusi baris belakang, ia satu pengalaman yang menyeksakan bagi seorang yang mempunyai ketinggian 178 cm seperti saya. Untuk masuk ke kerusi belakang, penumpang bukan sahaja perlu menarik tuas pada kerusi tengah untuk melipatnya, malah perlu juga menggelungsurkan kerusi tengah itu ke hadapan. Kalau hendak keluar pula lebih menyeksakan; sekadar menarik tuas kerusi tengah sahaja dari belakang tanpa pertolongan penumpang baris tengah untuk menggelungsurkan kerusi tengah tidak membolehkan orang baris belakang untuk keluar sekiranya ada kejadian yang tidak diingini. Berbeza pula dengan Proton Exora; penumpang hanya perlu tarik tuas pada kerusi tengah untuk melipat kerusi tengah ke hadapan untuk keluar masuk, satu tindakan yang hanya mengambil masa 2 saat. Ruang kaki dan ruang kepala di baris belakang pula begitu sempit, menyebabkannya kurang praktikal untuk mengangkut orang dewasa di kerusi belakang. Maka, kerusi baris belakang lebih sesuai untuk penumpang kanak-kanak sahaja. Jika kesemua 7 kerusi digunakan, ruang simpanan barang di belakang hanya mampu memuatkan lebih kurang 4 atau 5 beg sekolah sahaja, tetapi jika kerusi baris belakang dilipat, maka ruang simpanan barang memang besar.

Kesimpulannya, Perodua Alza ini lebih praktikal jika ia dipandu sebagai sebuah kereta, atau lebih tepat lagi kereta estet, yang memuatkan 5 penumpang sahaja. Jangan salah sangka, kereta estet di sini bukanlah bermaksud kereta untuk dilenjan di dalam estet getah atau kelapa sawit, tetapi ia adalah sejenis kereta hatchback dengan ruang kargo yang besar. Lagipun, semua MPV moden memang berevolusi daripada kereta estet. Berikutan ruang kerusi baris belakang yang begitu sempit, Perodua Alza ini amat sesuai untuk keluarga yang mempunyai anak-anak kecil ataupun untuk sesiapa yang mahukan kereta yang menyerupai Perodua Myvi tetapi dengan ruang simpanan barang yang besar. Jika anda mahukan MPV bajet yang boleh memuatkan 7 orang dewasa, maka saya cadangkan anda membeli sebuah Toyota Avanza, Toyota Innova ataupun Proton Exora CFE.

Bagaimana pula dengan Proton Exora CFE? Nantikanlah pada reviu akan datang mengenainya.

Laman web rasmi: http://www.perodua.com.my


Spesifikasi 2009 Perodua Alza

Enjin: 3SZ-VE DOHC 16 injap 4 silinder sebaris 1.5 liter DVVT
Sesaran: 1,495 cc
Lubang x lejang: 72 x 91.8 mm
Nisbah mampatan: 10:1
Kuasa kuda: 76 kW (104 PS) @ 6,000 rpm
Tork: 136 N-m @ 4,400 rpm
Jarak roda: 2,750 mm
Berat kering: 1,120-1,150 kg
Muatan tangki bahan api: 42 liter
Saiz tayar: 185/55 R15

Apa yang saya suka
  1. MPV mampu milik pada harga berpatutan
  2. Kereta keluaran Perodua yang paling stabil pengendaliannya setakat ini
  3. Ruang barangan yang luas jika ia dijadikan sebagai sebuah kereta estet 5 tempat duduk
  4. Ruang kaki dan kepala yang luas di bahagian hadapan dan tengah
Apa yang saya tidak suka
  1. Ruang kerusi baris belakang yang terlalu sempit
  2. Keluar masuk barus belakang yang menyukarkan terutamanya apabila hendak keluar
  3. Ruang barangan yang terlalu kecil jika ia dijadikan sebagai MPV 7 tempat duduk






Pandangan hadapan Perodua Alza






Pandangan belakang Perodua Alza






Panel meter Perodua Alza sebelum enjin dihidupkan...






...dan setelah enjin dihidupkan






Ruangan tengah papan pemuka yang terdiri daripada radio, kawalan pendingin udara serta sebatang tombol gear automatik yang begitu comel






Ruangan enjin Perodua Alza






Ruang kaki di kerusi baris belakang yang begitu sempit bagi orang yang tinggi lampai seperti saya






Kerusi baris tengahnya pula seluas Myvi






Ruangan barang Alza - sangat kecil jika dijadikan MPV 7 tempat duduk, tetapi sangat luat apabila dijadikan kereta estet 5 tempat duduk

Saturday, November 9, 2013

Apa kejadahnya: Standard mata pelajaran Geografi KBSM yang semakin merosot / What The Hell: The declining standards of KBSM Geography subject




Salam sejahtera,

Tahun Melawat Malaysia 2014 sudah tinggal lebih kurang sebulan setengah sahaja lagi. Pada masa itu nanti, maka berduyun-duyun pelancong asing akan datang ke Malaysia untuk melawat destinasi-destinasi menarik yang ada di negara kita. Kebanyakan di antara mereka menggunakan perkhidmatan bas pelancong mengikut pakej yang disediakan oleh agensi pelancongan masing-masing, tetapi ramai juga yang memilih untuk menyewa kenderaan dan meneroka sendiri kawasan-kawasan menarik yang berpotensi tinggi untuk industri pelancongan, dengan hanya bermodalkan peta, kenderaan yang disewa serta sejumlah wang untuk dibelanjakan. Mereka hanya bergantung kepada kod laluan bagi memastikan bahawa mereka berada di jalan yang betul. Maka, masalah mulai timbul apabila mereka sudah terkeluar daripada laluan yang sepatutnya, atau dengan kata lain, tersesat jalan. Apabila pelancong-pelancong asing ini sudah tersesat, maka satu-satunya harapan mereka ialah bertanya kepada orang-orang tempatan iaitu kita sendiri. Namun, masalah terbesar yang timbul adalah kebanyakan daripada orang-orang kita masih lagi jahil dan buta sistem kod laluan jalan raya kebangsaan - jadi bagaimana hendak menunjukkan laluan yang betul kepada mat-mat saleh itu jika kita sendiri pun masih jahil...?

Masalah jahil kod laluan jalan raya negara ini paling ketara di ibu negara Malaysia sendiri iaitu Kuala Lumpur. Sebagai ibu kota persekutuan, Kuala Lumpur sepatutnya menjadi contoh dalam memartabatkan jalan raya negara melalui penggunaan kod laluan yang betul, tetapi keadaan yang sebaliknya pula yang berlaku. Lihat sahajalah pada papan-papan tanda yang ada di Kuala Lumpur, ada atau tidak diletakkan kod laluan yang sepatutnya? Majoritinya langsung tak ada; kalau ada pun hanyalah bagi segelintir lebuh raya ekspres. Beberapa daerah di negeri Selangor yang terletak di sekeliling Kuala Lumpur pun mampu menunjukkan contoh yang jauh lebih baik dalam penggunaan kod jalan raya, sesuatu yang sangat memalukan bagi Kuala Lumpur. Malah, laporan kesesakan trafik harian di corong-corong radio serta laporan rasmi oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Sistem Maklumat Trafik Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri pun langsung tidak pernah memartabatkan kod jalan raya negara, sesuatu yang sangat memalukan bagi badan kerajaan sendiri.

Memandangkan badan kerajaan di ibu negara sendiri pun sudah menunjukkan contoh yang pincang, maka akibatnya warga kota sendiri rata-ratanya boleh dikatakan jahil akan sistem kod jalan raya negara. Jadi, kalau ada mat-mat saleh yang tersesat di KL, habislah mereka kerana tiada sesiapa pun yang mampu menunjukkan laluan yang betul mengikut kod jalan raya yang menjadi pelampung bagi mat-mat saleh tersebut. Saya sendiri pun pernah menyuarakan ketidakpuasan hati saya itu kepada pihak ITIS, tetapi malangnya warga kota sendiri pun mengiyakan sahaja dan merelakan kejahilan mereka tersebut tanpa sebarang langkah mahupun inisiatif bagi menjadikan warga kota lebih sedar dan lebih celik akan kepentingan penggunaan kod jalan raya negara. Apa pun, saya sudah tidak boleh menyalahkan warga kota atas kejahilan mereka, lagipun mereka sudah pun menjadi buluh keras yang sudah tidak boleh dilentur lagi.

Jadi siapakah yang patut dipersalahkan atas kejahilan orang-orang kita terhadap sistem kod jalan raya negara...?

Sistem pendidikan negara patut dipersalahkan kerana gagal mendidik anak-anak bangsa mengenal sistem kod jalan raya negara ketika mereka masih lagi rebung yang mudah dilentur. Dalil utama bagi mengesahkan dakwaan ini ialah standard mata pelajaran Geografi KBSM yang semakin merosot jika dibandingkan dengan beberapa dekad yang lepas. Semasa saya di bangku sekolah, saya mula didedahkan dengan ilmu geografi seawal sekolah rendah lagi iaitu melalui subjek Alam dan Manusia (ADM). Menurut Cikgu Azizan bin Borhan, guru yang pernah mengajar saya subjek tersebut, subjek Alam dan Manusia adalah gabungan 5 subjek - Sains, Sejarah, Geografi, Kenegaraan dan Sivik - dan diformulasikan untuk diajar di sekolah rendah berikutan had kekangan masa bagi pelajar sekolah rendah. Saya dan rakan-rakan sekolah adalah batch ketiga terakhir yang sempat merasai subjek tersebut sebelum ia dimansuhkan pada tahun 1995 dan digantikan dengan subjek Sains dan Kajian Tempatan. Sekurang-kurangnya, keputusan menjadikan Kajian Tempatan sebagai salah satu subjek pengganti ADM merupakan satu keputusan yang tepat kerana selain mengajar murid-murid untuk menghasilkan kerja kursus sebelum memasuki alam persekolahan menengah, ia mendidik murid-murid agar mengkaji sejarah dan ciri geografi dalam model yang paling asas iaitu di peringkat setempat (kampung / bandar). Semasa saya di bangku sekolah menengah pula, subjek Geografi yang diajar sepanjang peringkat menengah rendah pula terdiri daripada Geografi Malaysia (Tingkatan 1), Geografi Asia Tenggara (Tingkatan 2) dan Geografi Asia (Tingkatan 3). Jika dibandingkan dengan silibus Geografi yang lebih terkini, terus-terang saya katakan bahawa silibus mata pelajaran Geografi pada zaman persekolahan saya pada tahun 1990an adalah yang terbaik kerana ia diajar secara berperingkat dan tidak mengulangi perkara yang sama sahaja.

Bagaimana pula dengan silibus Geografi sekarang? Silibus Geografi sekarang pula jauh lebih teruk jika dibandingkan dengan silibus pada zaman persekolahan saya dahulu. Sudahlah bahagian Geografi Asia Tenggara dan Geografi Asia sudah dibuang, malahan susunan topik-topik Geografi Malaysia pun seakan berterabur dan tidak sistematik. Kalau subjek Geografi ini diajar sehingga ke Tingkatan 5, tak apa juga. Namun hakikatnya, majoriti pelajar sekolah hanya berupaya menemui subjek Geografi pada peringkat menengah rendah (Tingkatan 1-3) sahaja; hanya sebilangan kecil pelajar aliran Sastera yang berpeluang mempelajari ilmu Geografi sehingga ke Tingkatan 5.

Selain masalah pembuangan bahagian Geografi Asia Tenggara dan Geografi Asia di samping susunan topik-topik yang begitu berterabur, subjek Geografi yang diajar sekarang tidak mengambil kesempatan yang ada sekarang untuk mendidik para pelajar menggunakan sistem kod laluan negara. Ia satu perkara yang amat mengecewakan kerana kalau sudah hanya tinggal Geografi Malaysia sahaja, maka peluang sepatutnya diambil oleh para perekabentuk silibus agar menerapkan unsur-unsur memartabatkan jalan raya negara ke dalam subjek Geografi, tetapi malangnya ia tidak berlaku sama sekali. Semasa saya belajar subjek Alam dan Manusia di sekolah rendah dahulu, saya telah diajar bahawa sistem rangkaian jalan raya Malaysia (pada masa tersebut) adalah antara yang terbaik di Asia. Malah, pada zaman 1980an pembukaan jalan-jalan persekutuan baharu seperti Lebuhraya Timur-Barat FT4, Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang-Kuala Lipis FT8, Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12, Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22, Lebuhraya Tawau-Semporna FT13/SA51 dan Lebuhraya Papar-Sindumin FT1 pun sudah menjadi kebanggaan negara kerana lebuh raya persekutuan tersebut dibina dengan mutu kejuruteraan yang tertinggi dan diselenggara dengan baik dan kerap (pada masa tersebut). Sekarang? Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 yang terang-terang mencabuli piawaian lebuh raya ekspres pula yang dimasukkan sebagai "lebuh raya perbandaran contoh" dalam Geografi Tingkatan 2, satu "lawak" yang bukan sahaja tidak kelakar malah menyakitkan hati - ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sudahlah pendidikan mengenai kod jalan raya negara langsung tidak diajar, "lebuh raya" yang terang-terangan mencabuli piawaian pula yang dijadikan contoh hanya atas alasan penggunaan sistem pengurusan trafik "pintar". Pintarlah sangat, kalau dalam masa tidak sampai 5 tahun sudah mencapai tahap perkhidmatan E. Patutlah terlalu ramai yang jahil akan sistem kod jalan raya negara - baik media massa, polis, malah jabatan kerajaan sendiri - kesemuanya disebabkan oleh standard subjek Geografi yang terlalu lemah dan langsung tidak mengajar memartabatkan jalan raya negara. Satu-satunya rujukan Geografi KBSM yang benar-benar memartabatkan sistem jalan raya negara hanyalah Atlas Eksplorasi Geografi Tingkatan 1-5 oleh Oxford Fajar - itu sahajalah penawar hati saya buat masa sekarang.

Standard mata pelajaran Geografi KBSM yang semakin merosot sudah satu hal, ura-ura penyingkiran subjek Geografi dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) yang bakal menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 juga satu lagi perkara yang membangkitkan kemarahan saya, seolah-oleh Kementerian Pelajaran Malaysia memperlekehkan subjek Geografi dan melayan subjek tersebut sebagai "subjek picisan" bersama-sama Kemahiran Hidup, Sejarah dan Pendidikan Islam. Sudah tahu orang sekarang semakin buta sejarah sehingga ada golongan bebal lagi dangkal yang mengangkat pengganas komunis yang menyembelih rakyat sebagai wira, lagi nak buang subjek Sejarah daripada PBSMR. Begitu juga dengan subjek Pendidikan Islam, sudah tahu generasi sekarang semakin rosak akhlaknya, lagi nak singkirkan daripada PBSMR. Apa kejadahnya semua ini...? Pentaksiran Berasaskan Sekolah itu sendiri pun sudah begitu banyak kepincangannya sehingga menjadi mimpi ngeri buat guru-guru - lebih banyak kerja perkeranian yang terpaksa dilakukan, lebih banyak penilaian berasaskan parameter yang lebih sukar diukur seperti kelakuan, nak key-in markah tapi lebar jalur server kerajaan pula lebih lembab daripada siput, dsb. Jadi berbaloikah menjadikan guru-guru dan anak-anak murid sebagai "tikus makmal" bagi golongan yang hanya sedap duduk di kerusi empuk di dalam bilik berhawa dingin tanpa mengambil tahu langsung akan kesengsaraan yang dihadapi guru-guru dan anak-anak murid...? Beginikah hasil yang dikehendaki dalam Rangka Tindakan Pelajaran Malaysia 2013-2025...? Jika begini jadinya sekarang, maka kita sebenarnya semakin ke belakang dan bukannya semakin di depan.

Kesimpulannya, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kepincangan dalam subjek Geografi KBSM serta dasar pendidikan negara itu sendiri menjadi penghalang utama kepada Dasar Memartabatkan Jalan Raya Kebangsaan oleh Kementerian Kerja Raya. Apa tidaknya, kalau anak-anak bangsa langsung tidak diajar untuk menggunakan sistem kod jalan raya kebangsaan serta memartabatkan jalan raya negara, bagaimana hendak mengharapkan polis dan media massa mempraktikkan penggunaan kod jalan raya dalam kerjaya mereka? Dan bagaimana kita hendak menunjukkan kepada pelancong asing laluan yang betul jika mereka tersesat kelak? Sanggupkan kita menjatuhkan maruah negara sendiri dengan kejahilan kita terhadap sistem kod laluan kita sendiri? Kod laluan persekutuan pertama kali diwartakan pada tahun 1989, tetapi sehingga sekarang rakyat Malaysia masih jahil akan sistem kod jalan raya sendiri. Apa sudah jadi? Apa yang saya harapkan sekarang ialah tindakan daripada kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran bagi menangani kepincangan sebegini - jika tidak, Dasar Memartabatkan Jalan Raya Kebangsaan oleh Kementerian Kerja Raya hanya sekadar one-man's war (perjuangan seorang diri) tanpa sebarang pembelaan daripada badan-badan kerajaan yang lain.


Thursday, November 7, 2013

Padan muka: Padah melanggar had laju kenderaan berat dan memandu di lorong kanan / Serves you right: The consequences for disobeying the heavy vehicle speed limit and driving on the right lane




Salam sejahtera,

Lebuh raya ekspres dibina bagi memudahkan pengguna jalan raya bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan lebih cepat dan lebih selesa pada kelajuan tinggi. Ia dicapai melalui penggunaan konsep kawalan masuk penuh yang melarang sebarang bentuk capaian terus ke mana-mana premis hartanah dan hanya membenarkan keluar masuk lebuh raya melalui persimpangan bertingkat dengan pengasingan aras yang diwartakan dan dihadkan bilangannya ke jalan-jalan arteri utama, bagi mengurangkan titik konflik. Selain itu, lebuh raya ekspres selalunya dibina sebagai lebuh raya kembar bagi membolehkan pengguna lebuh raya memotong dengan selamat tanpa mengganggu lalu lintas dari arah bertentangan.

Selalunya, kebanyakan lebuh raya ekspres dibina empat lorong (dua bagi setiap hala) dan hanya terdiri daripada lorong perlahan dan lorong memotong. Namun demikian, ada juga lebuh raya ekspres yang dibina lebih lebar (6 lorong atau lebih) bagi menampung kadar aliran trafik yang tinggi. Maka, kenderaan berat hanya dibenarkan untuk menggunakan dua lorong paling kiri sebagai lorong trafik dan juga lorong memotong agar tidak mengganggu kelancaran aliran trafik, memandangkan kenderaan berat selalunya bergerak lebih perlahan daripada kenderaan biasa. Dengan kata lain, kenderaan berat dilarang keras daripada menggunakan lorong paling kanan di lebuh raya enam lorong ke atas, kerana selain mengganggu kelancaran aliran trafik lebuh raya, kenderaan berat yang hilang kawalan seterusnya akan merempuh pembahagi lebuh raya dan melanggar mana-mana kenderaan dari arah bertentangan.

Malangnya, masih terdapat banyak pemandu kenderaan berat bebal - terutamanya bas ekspres - yang bukan sahaja mengingkari had laju kenderaan berat, malah turut mengingkari larangan penggunaan lorong paling kanan bagi kenderaan berat. Puak-puak bebal lagi haram jadah yang seolah-olah menjadikan pil kuda sebagai makanan asasi bagi menggantikan nasi ini langsung tidak pernah mengambil iktibar daripada nahas yang mengorbankan 12 nyawa di Lebuhraya Utara-Selatan E2 dekat Alor Gajah yang berpunca daripada bas yang dipandu laju di lorong kanan sehingga hilang kawalan dan merempuh pembahagi lebuh raya. Kalau nak mampus sangat tu mampus seorang diri sajalah, jangan libatkan orang lain...!!!




Video detik-detik sebelum kemalangan di SKVE E26 akibat kedegilan si pemandu lori kontena bebal yang memandu laju di lorong kanan


Baru-baru ini terdapat satu klip video yang tersebar luas melalui laman sosial Facebook mengenai seorang lagi pemandu bebal yang memandu lori treler dengan laju di lorong kanan sehingga hilang kawalan dan melanggar sebuah SUV Jabatan Perdana Menteri (JPM) di laluan bertentangan di SKVE E26 dekat Hospital Serdang, pada 30 Oktober 2013. Akibat kedegilan si pemandu bangsat tersebut, SKVE E26 sesak sehingga berkilo-kilometer jauhnya. 

Inilah padahnya akibat memandu kenderaan berat di lorong kanan dengan laju, seolah-olah baru lepas pekena pil kuda sepinggan. Memang menyakitkan hati apabila pemandu SUV itu tidak fasal-fasal menjadi mangsa kebobrokan si drebar lori kontena bangang tersebut, tetapi sekurang-kurangnya kedegilan si pemandu lori kontena bangsat tersebut dibalas secara tunai. Hanya dua patah perkataan sahaja yang saya patut katakan kepada pemandu lori kontena bebal tersebut - padan muka...!!!

Kredit kepada: Brotherssam.blogspot.com

Sunday, November 3, 2013

Mythbuster: Had laju perlu dinaikkan kerana kereta sekarang lebih laju - mitos terbukti karut! / Speed limit should be raised as today's cars are faster - myth busted!



Kereta sekarang lebih berkuasa serta jauh lebih laju daripada had laju lebuh raya agar pemanduan di lebuh raya ekspres menjadi lebih jimat dan lebih relaks
(Kredit gambar oleh: Paul Tan)


Salam sejahtera,

Setiap kali kita bercakap tentang had laju, sudah pasti ada sahaja golongan yang mempertikaikan rasional penguatkuasaan had laju. Malah, ada di antara mereka yang memberi alasan-alasan dangkal bagi menegakkan benang yang basah, antaranya termasuklah "kereta sekarang lebih laju, maka had laju perlu dinaikkan", ataupun "lebuh raya kan lebar dan ada banyak lorong, jadi had laju kenalah dinaikkan". Hari ini kita akan buktikan bahawa pendapat dangkal kononnya had laju perlu dinaikkan selaras dengan kelajuan kenderaan adalah mengarut.

Memang tidak dinafikan, kereta sekarang lebih berkuasa, lebih laju, lebih canggih, lebih jimat minyak, lebih mesra alam, lebih selesa dan lebih selamat. Kebanyakan kereta yang dijual di Malaysia pada tahun 1970an rata-ratanya agak jimat minyak disebabkan penggunaan enjin bersaiz kecil tetapi berkuasa rendah dan hanya mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 100-110 km/j. Ruang dalamannya juga sangat ringkas dan satu-satunya ciri keselamatan yang ada pada kereta-kereta pada zaman tersebut hanyalah tali pinggang keledar sahaja. Sementara itu pula, kereta-kereta sekarang pula jauh lebih jimat minyak disebabkan penggunaan teknologi pancitan bahan api dan pemasaan injap boleh laras, tetapi dalam masa yang sama pula lebih berkuasa, lebih mesra alam dan mampu mencapai kelajuan maksimum jauh melebihi had laju lebuh raya ekspres. Kereta sekarang juga lebih selamat; selain tali pinggang keledar, banyak model kereta sekarang turut dilengkapi beg udara, sistem brek cegah kunci (ABS), pengagihan daya brek elektronik (EBD), kawalan cengkaman (traction control), kawalan kestabilan kenderaan (VSA / ESP / ESC dsb.), dan banyak lagi.

Namun, adakah ia bermakna had laju boleh dinaikkan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengkaji had reka bentuk sesuatu jalan?

Sebenarnya, had laju sesebuah jalan ditentukan oleh reka bentuk sesuatu jalan itu sendiri - lebih tinggi tahap reka bentuk geometrik yang digunakan, maka lebih tinggi jugalah had laju reka bentuk bagi jalan tersebut. Sungguhpun demikian, had laju yang hendak ditetapkan tertakluk kepada Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 yang menetapkan had laju maksimum bagi jalan persekutuan dan negeri kepada 90 km/j dan had laju maksimum lebuh raya ekspres kepada 110 km/j. Anda boleh baca entri terdahulu bagi penerangan mengenai had laju dan reka bentuk sesebuah jalan. Maka, menuntut had laju dinaikkan sebenarnya adalah satu bentuk pencabulan dari sudut kejuruteraan kerana cuba melampaui had-had reka bentuk bagi jalan tersebut. Justeru, perbuatan melampaui had kejuruteraan jalan raya tentunya akan membawa kegagalan kejuruteraan dalam bentuk kemalangan jalan raya, walau secanggih mana pun kereta yang anda pandu.

Jadi kalau sudah had laju yang ditetapkan itu begitu perlahan, kenapa pula syarikat-syarikat automotif membina kenderaan yang jauh lebih laju daripada had laju yang ditetapkan itu dan bukannya ngam-ngam 110 km/j?

Anda boleh cuba satu eksperimen menggunakan kenderaan yang kelajuan maksimumnya cukup-cukup makan 110 km/j sahaja, contohnya Perodua Kancil EZ 660. Dengan kenderaan sebegitu, cuba anda potong kenderaan di sebelah hadapan anda. Anda sudah tentunya berasa terseksa semasa hendak memotong kenderaan tersebut kerana memerlukan masa yang terlalu lama untuk memotong akibat tidak cukup kuasa. Akibatnya, sudah tentulah anda akan cenderung makan jalan dan lebih mudah berlaku kemalangan. Kenapa pula begitu? Jika sesebuah kenderaan mempunyai kelajuan maksimum hanya 110 km/j, maka kadar pecutannya semakin menghampiri sifar apabila menghampiri kelajuan 110 km/j. Namun, jika sesebuah kenderaan mempunyai kelajuan maksimum melebihi 110 km/j, sekurang-kurangnya masih ada pecutan semasa berada pada kelajuan 110 km/j yang membolehkan anda memotong kenderaan lain yang lebih perlahan dengan selamat. Sebab itulah syarikat-syarikat automotif sengaja membina kenderaan dengan kelajuan maksimum jauh melebihi had laju lebuh raya supaya anda mempunyai kuasa mencukupi untuk memotong dengan selamat. Oleh itu, kuasa tambahan daripada kenderaan anda seharusnya dimanfaatkan agar anda dapat memotong dengan lebih selamat, mendaki bukit dengan lebih relaks tanpa risiko lampau panas, dan keluar masuk simpang dengan lebih cepat dan lebih selamat tanpa mengganggu aturan keutamaan - bukannya untuk merempit ataupun menjadi pelesit jalanan!

Diharapkan selepas membaca entri ini dengan teliti, maka tidak sepatutnya ada lagi suara-suara dangkal yang menuntut kenaikan had laju atas alasan "kereta sekarang lebih laju dan lebih selamat daripada dahulu". Hujah tersebut terbukti dangkal, ditambah pula dengan statistik kemalangan jalan raya yang langsung tidak menunjukkan sebarang bentuk penurunan walaupun kenderaan sekarang ternyata semakin canggih dan semakin selamat. Dengan itu, mitos tersebut terbukti KARUT...!!!