Tuesday, September 30, 2014

Pandu uji Proton Iriz 2014 / 2014 Proton Iriz test drive






Salam sejahtera,

Hujung minggu lalu, Proton Holdings Berhad mengadakan hari terbuka mereka yang dikenali sebagai Alami Proton di Proton Centre of Excellence, Lebuhraya Shah Alam E5, bermula 27 September hingga 28 September 2014. Aktiviti hari terbuka yang berlangsung selama dua hari itu membuktikan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap Proton. Buat julung kalinya juga, beberapa vendor utama Proton turut dijemput mempamerkan bahan-bahan ataupun teknologi masing-masing yang diterapkan pada setiap model kereta Proton. Selain itu, Proton juga turut menjemput orang ramai melawat sendiri kilang mereka yang terletak berhampiran untuk menyaksikan sendiri proses pembuatan kereta Proton. Justeru, Proton sewajarnya dipuji kerana mereka tidak pernah kedekut untuk menyampaikan ilmu kejuruteraan automotif kepada rakyat marhaen.

Salah satu daripada aktiviti yang mendapat sokongan hangat di kalangan pengunjung ialah sesi pandu uji model-model Proton, termasuklah Proton Iriz. Seperti yang telah dijangka, model Iriz CVT merupakan model yang mendapat sambutan paling hangat di kalangan pengunjung yang mahu mencuba sendiri kereta tersebut. Saya sendiri pun tidak melepaskan peluang untuk menguji sendiri kehebatan Iriz tersebut semasa saya datang pada hari pertama karnival (27 September 2014), meskipun terpaksa menunggu lama sebelum tiba giliran saya. Semasa saya mengisi borang pendaftaran pandu uji, ada 60 orang yang sedang menanti giliran mereka sebelum saya. Malah, semasa tiba giliran saya, terdapat lebih 107 orang yang menantikan giliran mereka selepas saya. Berikutan sambutan yang sebegitu menggalakkan, pihak urusetia turut menawarkan untuk datang sendiri ke rumah peserta yang tidak sempat memandu uji Proton Iriz sekiranya mereka ada kelapangan.

Setelah menunggu lebih kurang 2 jam setengah, barulah tiba giliran saya. Model kereta yang saya pandu uji ialah Proton Iriz 1.6 Executive CVT. Jutaan terima kasih kepada Proton Holdings Berhad kerana sudi menawarkan sesi pandu uji ini untuk membolehkan peminat-peminat automotif merasai sendiri kehebatan Proton Iriz. Juga terima kasih kepada Encik Wan Kamarudin Wan Mohamad,  jurujual bertugas yang melayan saya sepanjang sesi pandu uji ini kerana sudi mengiringi saya semasa sesi tersebut, di samping menjadi jurukamera saya sepanjang sesi ini.

Sebenarnya, sesi pandu uji ini bukan terdiri daripada kami berdua sahaja. Dua orang gadis yang bertugas di DRB-HICOM yang secara kebetulan baru sahaja datang semasa saya baru melangkah ke kereta pandu uji turut menyertai kami atas keizinan saya. Memandangkan kedua-dua gadis itu berkemungkinan besar tidak akan merasa memandu uji Proton Iriz CVT pada hari yang sama sekiranya mereka baru sahaja hendak mendaftar, maka ada baiknya jika saya izinkan mereka untuk menyertai kami. Hasilnya tetap sama kan...?

Litar ujian pada kali ini pendek sahaja, iaitu di sekitar kawasan perindustrian di belakang Proton Centre of Excellence. Maka, saya diberi peluang untuk melakukan dua pusingan untuk membolehkan saya mengetahui tahap keupayaannya.

Untuk menguji tahap pengendaliannya, Encik Wan Kamarudin ada menyarankan saya supaya mengambil selekoh dengan lebih laju. Memang mantap...!!! Semasa mengambil selekoh, Proton Iriz itu langsung tidak membuang walaupun ketika selekoh diratah dengan laju. Sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC), ditambah pula dengan stereng kuasa elektrik mudah suai, banyak membantu dalam menghasilkan pengendalian secemerlang ini. Selalunya untuk mendapatkan pengendalian yang cemerlang memerlukan pengguna untuk menggunakan tayar-tayar yang mahal serta sistem gantungan jenis mahal yang perlu ditala semula dengan lebih teliti.

Sebut fasal stereng, Proton Iriz ini merupakan kereta pertama Proton yang menggunakan stereng kuasa elektrik. Sebelum ini, saya sudah biasa memandu kereta Honda City generasi kelima yang memang dilengkapi stereng kuasa elektrik (EPS). Apa yang saya kurang berkenan dengan stereng kuasa elektrik Honda City tersebut ialah ia terlalu ringan walaupun pada kelajuan tinggi - pada kelajuan rendah ataupun semasa hendak memparkir kereta, stereng yang lebih ringan amat memudahkan pengendalian, tetapi pada kalajuan tinggi pula stereng perlulah lebih berat agar dapat membantu kestabilan kereta, terutamanya semasa mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Meskipun Iriz ini produk pertama Proton yang menggunakan EPS, namun EPS Iriz ini betul-betul mengikut kelajuan - pada kelajuan rendah, ia menjadi ringan untuk memudahkan pengguna memparkir kereta, tetapi pada kelajuan tinggi pula ia memberat untuk menjadikan pengendalian lebih mantap.

Maka, kesimpulannya ialah Proton Iriz benar-benar sebuah model hatchback subpadat yang mampu mencabar (dan seterusnya menggugat atau merampas) kedudukan Perodua Myvi selaku kereta terlaris di Malaysia. Ia lebih jimat daripada Myvi, dan pengendaliannya juga jauh lebih baik daripada Myvi. Meskipun Iriz ini lebih mahal daripada Myvi, namun Iriz ini dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik yang menjadikan pembeliannya lebih berbaloi. Malah, Proton berupaya menangkis persepsi negatif orang ramai terhadap imej kualiti buatan Proton apabila Proton Iriz ini dibina dengan kualiti yang sangat baik, luar dan dalam. Justeru, Proton Iriz ini layak dipanggil sebagai pencabar Perodua Myvi dalam erti kata sebenar.

Laman web rasmi Proton: http;//www.proton.com
Laman web mikro Proton Iriz: http://www.betulbetulonz.com.my

Spesifikasi Proton Iriz 1.3 dan 1.6

Enjin: DOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang 1.3 liter atau 1.6 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,332 cc (1.3L); 1,597 cc (1.6L)
Lubang x lejang: 76 x 73.4 mm (1.3L); 76 x 88 mm (1.6L)
Nisbah mampatan: 10:1
Kuasa kuda: 94 bhp @ 5,750 rpm (1.3L); 107 bhp @ 5,750 rpm (1.6L)
Tork: 120 N-m @ 4,000 rpm (1.3L); 150 N-m @ 4,000 rpm (1.6L)
Transmisi: Manual 5 kelajuan atau CVT
Jarak roda: 2,555 mm
Berat kering: 1,130-1,185 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter

Apa yang saya suka
  1. Kesemua varian dilengkapi sekurang-kurangnya 2 biji beg udara, ABS, EBD, BA, kawalan cengkaman dan ESC walaupun pada varian termurah
  2. Stereng kuasa elektrik jenis sensitif kelajuan - pertama kali bagi Proton
  3. Port pengecas USB khas untuk telefon pintar
  4. Sistem penghidup tekan yang diperbaharui
  5. Enjin-enjin VVT generasi baharu yang terbukti jauh lebih jimat minyak
  6. Banyak pemegang cawan (ada 7 kesemuanya)
Apa yang saya tidak suka
  1. Lampu kabut pada varian 1.6 Executive dibuang pada varian 1.6 Premium - sepatutnya kedua-dua lampu tersebut perlu ada

Thursday, September 25, 2014

Proton Iriz 2014 - pencabar sebenar Perodua Myvi dalam erti kata sebenar sudah muncul! / 2014 Proton Iriz - the real opponent for Perodua Myvi ascends!

Salam sejahtera,

Hari ini (25 September 2014) merupakan satu hari yang cukup bersejarah bagi Proton, kerana model kereta hatchback subpadat pengganti Proton Savvy sudah pun selamat dilancarkan dari kilang Proton Tanjung Malim. Nama pengganti Savvy itu secara rasminya dikenali sebagai Proton Iriz.

Iriz mendapat namanya daripada bahagian berwarna yang mengelilingi anak mata, yang mana huruf S dalam Iris ditukarkan kepada huruf Z. Ia ditunjukkan melalui rekaan lampu-lampunya yang begitu anggun, terutamanya lampu hadapan, di samping kepelbagaian warna-warna ceria yang boleh anda pilih ketika membeli Iriz ini nanti. Selain itu, istilah "iris" juga merujuk kepada sejenis bunga, sesuai untuk ditujukan kepada antara pengguna sasaran utamanya iaitu pemandu wanita. Selain itu juga, rim sport yang digunakan pada varian 1.6 Premium juga bercorak seperti kelopak bunga.

Sejarah pembangunan Iriz ini bermula pada tahun 2009 berikutan jualan Proton Savvy yang kurang memberangsangkan sehinggalah menyebabkan Savvy dihentikan pengeluarannya pada tahun 2010. Masalah kualiti, kesukaran mendapatkan alat ganti enjin dan kotak gear serta reka bentuk yang kurang menarik menyebabkan Savvy gagal memecahkan dominasi Perodua Myvi yang kini menjadi kereta paling laris di Malaysia selama berturut-turut.

Seterusnya, pata tahun 2010, Proton mula membina sebuah model prototaip yang dikenali sebagai Proton Emas yang asalnya merupakan model konsep bagi kereta hibrid bandar raya. Ia mula ditampilkan pada Geneva Auto Show 2010. Sementara itu, Lotus juga turut membina model konsep serupa yang dikenali sebagai Lotus Ethos. Malangnya, kedua-dua model tersebut akhirnya tidak dikomersialkan, sebaliknya prototaip Emas itu mengalami satu proses evolusi yang menjadikannya jauh berbeza daripada prototaip asal Emas.

Saya berkesempatan ke Proton Edar 3S Setapak bagi melihat sendiri rupa Proton Iriz ini dari dekat pagi tadi. Pada masa itu, dua buah kereta di dalam bilik pameran masih berselubung lagi. Maka, saya mengambil kesempatan untuk menonton majlis pelancaran Proton Iriz yang disiarkan melalui YouTube oleh laman blog automotif Paul Tan. Proton Iriz akhirnya telah selamat dirasmikan lebih kurang jam 11.10 pagi.

Sebaik sahaja Proton Iriz dilancarkan di Tanjung Malim, staf-staf Proton Edar Setapak serta para pengunjung beralih ke ruang pameran untuk menyaksikan sendiri Iriz. Sebelum selubung dibuka, doa dibaca terlebih dahulu. Setelah selesai bacaan doa, selubung akhirnya dibuka - dan dua buah kereta Proton Iriz ditampilkan buat tatapan umum. Dua varian yang dipamerkan tersebut ialah varian termahal (1.6 Premium CVT) dan varian termurah (1.3 Standard Manual).

Saya membelek-belek kedua-dua buah kereta tersebut satu-persatu. Varian 1.3 Standard Manual ini menggunakan enjin siri terbaharu yang dilengkapi pemasaan injap boleh laras (VVT), menghasilkan 94 bhp @ 5,750 rpm dan tork 120 N-m @ 4,000 rpm, manakala varian 1.6 Premium CVT pula menggunakan enjin VVT 1.6L yang menghasilkan 107 bhp @ 5,750 rpm dan tork 150 N-m @ 4,000 rpm. Jika diikutkan angka-angka di atas kertas, ia seolah-olah nampak mengecewakan kerana enjin-enjin baharu Proton dengan VVT ini tiada bezanya seperti enjin IAFM+, tetapi tanggapan tersebut adalah salah sama sekali. Teknologi VVT menjadikan hantaran kuasa lebih sekata terutamanya pada kelajuan rendah. Faktor sebegini sangat kritikal memandangkan enjin kereta paling kuat makan minyak di dalam kawasan bandar, dan Proton sebelum ini dikritik kerana enjinnya dikatakan kuat makan minyak di kawasan bandar. Maka, penggunaan enjin VVT, digandingkan dengan kotak gear CVT, menjadikan Proton Iriz jauh lebih jimat minyak daripada sebelumnya.

Serius saya katakan, Iriz ini sememangnya kereta tercantik pernah dibina oleh Proton. Rekaan bentuk badan, gril radiator serta dalamannya nampak anggun dan praktikal. Bahagian dalamannya juga nampak premium dan sangat berkualiti. Ia satu penambahbaikan ketara jika dibandingkan dengan rekaan Proton Preve yang asalnya nampak gah pada model komsep tetapi akhirnya kurang fotogenik pada model pengeluarannya.

Satu lagi penambahbaikan yang diterapkan adalah pada sistem penghidup tekan pada varian 1.6 Premium. Sistem yang digunakan kali ini tidak lagi memerlukan anda untuk memasukkan fob kunci ke dalam slot; sebaliknya, anda hanya perlu sekadar berlenggang-kangkung dengan fob kunci di dalam kocek seluar, menekan brek dan menekan punat penghidup dengan selamba.

Satu inovasi yang pertama kali diterapkan pada mana-mana kereta ialah port pengecas USB untuk telefon pintar dalam dua kadaran arus berbeza, iaitu 2.1 A dan 1.5 A. Sebelum ini, pengguna perlu membeli sendiri pengecas untuk dipalamkan pada soket penyala rokok. Tanpa pengecas atau sekurang-kurangnya power bank, sudah tentulah anda akan mengealami kesulitan untuk mengecas peranti masing-masing. Namun, harus diingat bahawa ia hanya boleh digunakan pada telefom bimbit yang kadaran arusnya sekurang-kurangnya 1,500 mAh; untuk telefon bimbit yang mana kadaran arus baterinya kurang daripada 1,500 mAh, anda tidak boleh sama sekali menggunakan port-port pengecas ini. Kenapa tidak boleh...? Saya akan tulis mengenainya dalam entri akan datang.

Bergantung kepada varian mana anda beli, anda akan mendapat sama ada radio bersepadu 2-DIN biasa dengan Bluetooth ataupun unit multimedia skrin sentuh 6.2 inci dengan GPS dan pemain DVD terbina dalam, digelar sebagai Sistem Inforia Proton, yang menggunakan sistem pengendalian Android. Varian paling asas hanya ada dua biji pembesar suara, manakala varian lainnya mendapat 4 biji pembesar suara. Kesemua varian turut dilengkapi port USB di sebelah soket penyala rokok untuk membolehkan anda memainkan lagu dari pemacu kilat USB. Harus diingat, port USB tersebut hanya untuk memainkan lagu sahaja dan tidak boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit, dan pemacu kilat yang disambungkan pada port pengecas USB pula tidak akan dimainkan.

Dari segi keselamatan, kesemua varian didatangkan dengan dua biji beg udara, ABS, EBD, BA, kawalan cengkaman, dan kawalan kestabilan elektronik (ESC), termasuklah pada varian paling cikai. Varian 1.6 Premium pula mendapat tambahan empat lagi beg udara. Ia berbeza dengan Perodua Myvi yang menjadikan maksimum dua biji beg udara sebagai ciri standard; ABS dan EBD hanya pada varian-varian lebih mahal, manakala tiada ESC ditawarkan walaupun pada varian termahal. Maka tidak hairanlah kenapa Proton Iriz boleh memperoleh 5 bintang dalam ujian pelanggaran Asean NCAP dengan mudah pada kesemua varian, berbanding hanya 4 bintang bagi Myvi. Struktur kerangka RESS (Struktur Keselamatan Diperkuatkan) yang pertama kali digunakan pada Proton Preve turut diterapkan pada Iriz - maka, badan Iriz sememangnya sangat kuat dan bukannya kereta tin Milo.

Cuma, satu-satunya perkara yang perlu saya tegur Proton adalah mengenai penggunaan lampu kabut dan lampu pencahayaan siang (DRL). Model 1.6 Executive dilengkapi lampu kabut, tetapi ia dibuang pada model 1.6 Premium dan digantikan dengan lampu DRL. Harus saya ingatkan bahawa lampu kabut dan lampu DRL sememangnya dua jenis lampu yang berbeza dari segi fungsi. DRL membolehkan pengguna jalan raya lain nampak akan kereta anda terutamanya pada waktu siang dalam cuaca buruk. Lampu kabut pula berfungsi menyuluh jalan raya agar permukaannya serta penandaan jalan raya lebih mudah dilihat pada waktu malam yang gelap serta dalam cuaca buruk (hujan, salji atau kabus tebal). Justeru, lampu DRL tidak sewajarnya menggantikan lampu kabut tetapi sebaliknya perlu digandingkan bersama, kerana pengguna yang mempunyai masalah penglihatan pada waktu malam sudah tentu akan menghadapi masalah pada waktu malam sekiranya DRL menggantikan lampu kabut. Lainlah kalau LED yang digunakan pada lampu DRL itu sama terang seperti lampu kepala Honda Accord 2.4...!!!

Dari segi harga pula, saya perlu akui bahawa Proton Iriz ini memang mahal, walaupun pada varian termurah. Namun, Proton tidak sewenang-wenangnya mengetuk harga yang mahal begitu sahaja tanpa menerapkan ciri-ciri yang menjadikannya berbaloi. Nak kereta yang kualitinya lebih tinggi kan...? Nak kereta yang lebih selamat dan bukannya kereta tin Milo kan...? Jadi, jika mahukan ciri yang lebih premium, maka harganya pun lebih premium jugalah. Kalau dibandingkan, Perodua Myvi memang lebih murah sedikit, tetapi ciri yang diterapkan juga kurang. Jadi adillah tu.

Kesimpulannya, Proton Iriz kini sudah tampil bagi merampas mahkota kereta subpadat terlaris (dan kereta terlaris secara keseluruhan) di Malaysia. Dengan ciri-ciri premium yang diterapkan, Proton sememangnya mempunyai hak untuk "jadi kerek" dengan Perodua serta berkeyakinan tinggi untuk merampas mahkota kereta terlaris di Malaysia. Persaingan sihat sebegini sememangnya merupakan satu perkembangan positif kepada industri automotif negara agar syarikat-syarikat automotif nasional sentiasa meneroka teknologi automotif terkini untuk dipersembahkan kepada rakyat marhaen.

Laman web rasmi Proton: http;//www.proton.com
Laman web mikro Proton Iriz: http://www.betulbetulonz.com.my

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Spesifikasi Proton Iriz 1.3 dan 1.6

Enjin: DOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang 1.3 liter atau 1.6 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,332 cc (1.3L); 1,597 cc (1.6L)
Lubang x lejang: 76 x 73.4 mm (1.3L); 76 x 88 mm (1.6L)
Nisbah mampatan: 10:1
Kuasa kuda: 94 bhp @ 5,750 rpm (1.3L); 107 bhp @ 5,750 rpm (1.6L)
Tork: 120 N-m @ 4,000 rpm (1.3L); 150 N-m @ 4,000 rpm (1.6L)
Transmisi: Manual 5 kelajuan atau CVT
Jarak roda: 2,555 mm
Berat kering: 1,130-1,185 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter

Apa yang saya suka
  1. Kesemua varian dilengkapi sekurang-kurangnya 2 biji beg udara, ABS, EBD, BA, kawalan cengkaman dan ESC walaupun pada varian termurah
  2. Stereng kuasa elektrik jenis sensitif kelajuan - pertama kali bagi Proton
  3. Port pengecas USB khas untuk telefon pintar
  4. Sistem penghidup tekan yang diperbaharui
  5. Enjin-enjin VVT generasi baharu yang terbukti jauh lebih jimat minyak
  6. Banyak pemegang cawan (ada 7 kesemuanya)
Apa yang saya tidak suka
  1. Lampu kabut pada varian 1.6 Executive dibuang pada varian 1.6 Premium - sepatutnya kedua-dua lampu tersebut perlu ada







Majlis perasmian disiarkan secara live streaming dari Tanjung Malim - ucapan oleh Pengerusi Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad






Proton Iriz sudah selamat dirasmikan di Tanjung Malim







Masa untuk membuka selubung






Bahagian belakang Proton Iriz 1.6 Premium...






...serta Proton Iriz 1.3 Standard






Bahagian tepi Proton Iriz






Pandangan hadapan Proton Iriz 1.6 Premium dengan DRL






Dua port pengecas USB untuk mengecas telefon pintar dan bukannya untuk memainkan lagu dari pemacu kilat USB






Port untuk memalamkan pemacu kilat USB pula di sebelah soket penyala rokok






Unit GPS ini menggunakan sistem pengendalian Android






Mod Radio






Unit LCD dengan GPS pada varian 1.6 Premium dan 1.6 Executive...






...manakala varian 1.3 Executive dan 1.3 Standard pula akan mendapat radio biasa sahaja






Enjin VVT generasi baharu menjadi nadi utama Iriz






Paparan meter Proton Iriz






Iriz merupakan model pertama Proton dengan stereng kuasa elektrik






Rim aloi berbentuk kelopak bunga pada varian 1.6 Premium






Lampu belakang Iriz yang menggunakan LED

Tuesday, September 23, 2014

Keperluan mengadakan pangkalan data jalan raya di laman sesawang JKR daerah / The need to build highway databases in district PWD websites



Antara contoh terbaik pangkalan data jalan persekutuan di daerah Temerloh oleh JKR Temerloh


Salam sejahtera,

Seperti yang sering saya nyatakan dalam Blog Jalan Raya Malaysia, rakyat Malaysia seharusnya dididik untuk menggunakan sistem kod laluan bagi memudahkan mereka merancang perjalanan mereka, di samping memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti lokasi kes kemalangan, kebakaran ataupun jenayah. Penggunaan kod laluan juga memudahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti lokasi kerosakan jalan raya agar langkah-langkah pemulihan dan penyelenggaraan dapat dilakukan dengan berkesan. Malangnya, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang masih buta kod laluan, berikutan kurangnya pendedahan oleh pihak media dan pihak berwajib selain Kementerian Kerja Raya dan agensi-agensi di bawahnya. Justeru, satu pendekatan penting yang perlu dilaksanakan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan sistem kod laluan bagi merancang perjalanan adalah dengan mengadakan pangkalan data jalan raya persekutuan dan negeri di kesemua laman web JKR daerah di Malaysia.

Kenapa pangkalan data jalan persekutuan dan negeri perlu diadakan...? Berikut saya senaraikan kepentingan pangkalan data jalan raya:-
  1. Membantu pengguna jalan raya merancang perjalanan mereka, terutamanya dalam mengenal pasti laluan alternatif yang boleh digunakan sekiranya laluan yang biasa digunakan mengalami kesesakan teruk ataupun ditutup akibat kerosakan dan bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir.
  2. Membolehkan orang awam mengenal pasti yang mana satukah jalan persekutuan dan negeri agar mereka dapat menyalurkan aduan kerosakan jalan dan / atau perabot jalan kepada pihak yang betul dengan lebih berkesan tanpa sebarang masalah kekeliruan ataupun salah komunikasi.
  3. Sebagai langkah pendokumentasian dan pengarkiban maklumat jalan raya agar dapat menghasilkan sumber rujukan yang tepat lagi sahih.
  4. Membantu pihak berkuasa khususnya polis, ambulans dan bomba agar operasi mereka dapat dijalankan dengan lebih cekap.

Sebenarnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) memang ada senarai penuh jalan persekutuan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dalam format PDF yang boleh dimuat turun, namun senarai tersebut tidak dikemaskini. Justeru, saya ingin menggesa KKR agar dapat mengemaskini senarai-senarai tersebut, memandangkan sepatutnya sudah banyak jalan raya persekutuan baharu yang sudah pun diwartakan bersama-sama kod laluan masing-masing pada masa sekarang.

Antara JKR daerah terawal yang mengambil inisiatif mengadakan pangkalan data jalan persekutuan dan negeri pada laman web mereka ialah JKR Muar. Asalnya, laman web JKR Muar boleh diakses di http://muar.jkrjohor.gov.my tetapi setelah laman-laman web JKR daerah di Johor dipindahkan semula, maka pangkalan data jalan raya di daerah Muar turut sama hilang bersama-sama pautan lama JKR Muar. Sayang sungguh kerana ia satu inisiatif bagus yang perlu dicontohi semua laman web JKR daerah lain. Justeru, saya ingin menggesa pihak pengendali laman web yang bertanggungjawab terhadap perpindahan laman web tersebut agar dapat mengembalikan semula pangkalan data jalan raya di daerah Muar untuk rujukan para pengguna jalan raya.

Sungguhpun demikian, saya masih ada lagi dua contoh laman web JKR daerah yang cukup bagus kerana turut sama menyertakan pangkalan data jalan persekutuan dan negeri. Dua laman web JKR daerah yang saya maksudkan itu ialah laman web JKR Temerloh dan JKR Hilir Perak. Kedua-dua laman web tersebut menyenaraikan kesemua jalan persekutuan dan negeri yang ada di daerah Temerloh dan Hilir Perak, berserta dengan panjangnya serta tarikh jalan-jalan tersebut diwartakan.

Blog Jalan Raya Malaysia ada perancangan untuk menghasilkan satu laman pautan ke pangkalan-pangkalan data jalan raya JKR daerah, disusun mengikut negeri. Oleh itu, saya memohon jasa baik semua JKR daerah (termasuk Sabah dan Sarawak) agar dapat membina pangkalan data jalan raya daerah masing-masing untuk dipautkan dari Blog Jalan Raya Malaysia. Buat masa sekarang saya hanya dapat mencari dua pangkalan data jalan raya JKR daerah; sekiranya ada lagi JKR daerah lain yang sudah pun membina pangkalan data jalan raya mereka, saya memohon jasa baik tuan-tuan sekalian agar dapat mengirimkan pautan ke pangkalan data jalan raya tersebut melalui pesanan di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia.

Kerjasama oleh semua JKR daerah dalam membantu kami menghimpunkan kesemua pautan ke pangkalan data jalan persekutuan dan negeri amat kami hargai.


Pautan ke pangkalan data jalan raya JKR daerah:-
  1. Temerloh
  2. Hilir Perak

Monday, September 22, 2014

Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 / Kuala Lumpur Middle Ring Road 2 (KL MRR2) FT28

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana terpaksa membatalkan rancangan jelajah ke Lebuhraya Timur-Barat FT4 seperti yang telah dijanjikan sebelum ini berikutan kesibukan kerja. Sebagai pengganti, saya bawakan kepada anda reviu mengenai Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28, yang turut membawa sedikit kelainan sebagai reviu jalan raya pertama yang menampilkan video, berbanding reviu jalan raya sebelum ini yang memaparkan gambar-gambar sahaja.

Seperti yang kita semua sedia maklum, terdapat tiga batang jalan lingkaran di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu Jalan Lingkaran Dalam (IRR), Jalan Lingkaran Tengah 1 (MRR1) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Jalan Lingkaran Dalam sekadar terdiri daripada gabungan beberapa batang jalan raya arteri utama di sekitar pisat bandar raya Kuala Lumpur iaitu Jalan Kuching / Jalan Kinabalu / Jalan Maharajalela FT1, Jalan Hang Tuah / Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail. Sementara itu, Jalan Lingkaran 1 merupakan jalan lingkaran pertama dalam erti kata sebenar di Kuala Lumpur, kerana ia memang dibina sebagai jalan lingkaran. Ia terdiri daripada Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Mahameru, Jalan Damansara dan Jalan Istana. MRR1 membentuk "sempadan" semula jadi bagi kawasan pusat bandar raya Kuala Lumpur. MRR2 pula dibina di sekitar kawasan sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur-Selangor. Ia dibina sebagai salah satu projek infrastruktur bandar di bawah Rancangan Malaysia Keenam (RMK6) dan Ketujuh (RMK7). Tidak seperti jalan-jalan raya lain di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL MRR2 FT28 ini merupakan salah satu daripada hanya dua sahaja jalan raya di bawah pengurusan JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; jalan raya kedua yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuhraya Persekutuan FT2.

Kenapa KL MRR2 FT28 perlu dibina...? Jika dikaji sejarah urbanisasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kawasan tepu bina Kuala Lumpur semakin berkembang menghampiri sempadannya pada tahun 1980an dan awal 1990an. Buktinya, kawasan Wangsa Maju asalnya merupakan kawasan ladang getah, tetapi kemudiannya dibuka sebagai kawasan perumahan pada tahun 1984. Begitu juga dengan Bukit Jalil yang asalnya merupakan ladang getah; ia berkembang sebagai sebuah bandar sukan sebaik Kuala Lumpur berjaya melobi sebagai tuan rumah bagi Sukan Komanwel 1998.

Selain itu, Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur FT28 ini dibina khas sebagai laluan bagi kenderaan berat untuk memintas pusat bandar raya Kuala Lumpur, memandangkan lori-lori berat dilarang memasuki kawasan pusat bandar raya pada waktu siang. Jika anda perhatikan betul-betul, lebar setiap lorong di MRR2 FT28 sangat konsisten pada 3.65 m, menjadikannya sangat sesuai digunakan oleh kenderaan berat serta membolehkan motosikal mencelah melepasi kenderaan berat, kecualilah kalau kenderaan berat tersebut memang tidak dipandu dengan cekap sehingga makan jalan.

Projek KL MRR2 FT28 mula dibina pada awal tahun 1992 dan siap sepenuhnya sepuluh tahun kemudian. MRR2 dibina secara berperingkat-peringkat dalam 3 fasa dan 12 pakej kesemuanya. Majoriti daripada jajaran MRR2 terdiri daripada pengambilalihan beberapa batang jalan raya arteri dan perumahan sedia ada untuk dinaik taraf menjadi satu laluan khusus. Jalan-jalan arteri yang diambil alih untuk membentuk MRR2 FT28 adalah seperti berikut:-
  1. Jalan Kepong FT54 (Sri Damansara-Kepong)
  2. Lebuhraya Selayang-Kepong B21 (Kepong-Taman Daya)
  3. Jalan Batu Caves B22 (Batu Caves-Greenwood)
  4. Lebuhraya Karak FT2 (Greenwood-Exit 801 Persimpangan Gombak Utara)
  5. Jalan Taman Melati (Taman Melati-Taman Melawati)
  6. Jalan Ulu Klang B23 (Taman Melawati-Ampang; kod laluan B23 kini dikitar semula sebagai Jalan Sungai Tua B23)
  7. Jalan Pandan Utama (Pandan Jaya-Pandan Indah)
  8. Jalan Cheras Baru (Jalan Kuari-Bulatan Billion)
  9. Jalan Midah Utama (Bulatan Billion-Taman Connaught)
  10. Jalan Bandar Tasik Selatan / Jalan 3/118B (Desa Tun Razak-Pekan Sungai Besi)

Selain jalan-jalan arteri yang disenaraikan di atas diambil alih, beberapa jajaran baharu sepenuhnya turut dibina. Jajaran-jajaran baharu tersebut ialah:-
  1. Taman Daya-Batu Caves
  2. Exit 801 Persimpangan Gombak Utara-Taman Melati
  3. Ampang-Pandan Jaya
  4. Pandan Indah-Jalan Kuari
  5. Jejambat Taman Connaught-Desa Tun Razak
  6. Jejambat Pekan Sungai Besi-Exit 516 Persimpangan Sri Petaling

Jajaran terakhir yang disiapkan ialah Jejambat Kepong sepanjang 1.7 km (Pakej 11), mula dibina pada Mei 1999 dan siap pada Mac 2002. Jejambat tersebut pernah menjadi kontroversi berikutan penutupannya sebanyak tiga kali yang berpunca daripada masalah keretakan pada tiang-tiangnya. Anda bayangkan, daripada 33 batang tiang sepanjang Jejambat Kepong, 31 daripadanya didapati retak - atau dengan kata lain, hampir kesemua tiang Jejambat Kepong retak. Tambah memalukan lagi, kelemahan struktur tersebut muncul semasa jejambat tersebut baru 2 tahun sahaja dibuka kepada lalu lintas. 

Kenapa pula Jejambat Kepong asyik buat hal...? Pada awalnya, Jabatan Kerja Raya menyatakan bahawa kerja-kerja mengangkat kren bagi pemasangan segmen-segmen jejambat sebagai punca keretakan, dengan mendakwa bahawa tegasan yang dikenakan oleh kren tersebut adalah terlalu berat. Namun, dakwaan tersebut ditolak kerana jika diikutkan, banyak jejambat moden yang dibina dengan cara yang sama. Untuk mencari punca sebenar, empat badan penyiasatan kejuruteraan awam, iaitu Mounshell, Sharma & Zakaria (perekabentuk), Kohler & Seitz Engineering Services (dilantik oleh kontraktor),Leondhardt Andra und Partner (LAP), dan Halcrow Consultants Ltd. (dilantik oleh JKR) dilantik bagi menyiasat mengenai kes jejambat tersebut. Kohler & Seitz mendakwa bahawa keretakan Jejambat Kepong adalah berpunca daripada kegagalan reka bentuk, tetapi dakwaan tersebut telah disanggah oleh Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Samy Vellu.

Sementara itu, Halcrow pula mendapati keretakan Jejambat Kepong adalah berpunca daripada beberapa sebab berikut:-
  1. Rekaan jejambat tidak mematuhi keperluan dalam piawaian BS5400, yang mana besi pengikat pada topang jejambat dikatakan terlalu pendek dan tidak mengikut spesifikasi
  2. Pemasangan column rebar yang tidak mengikut prosedur yang betul
  3. Pembentukan ettringite yang berpunca daripada proses campuran konkrit yang tidak betul (terdapat sulfat dan air berlebihan) serta suhu pengeringan yang terlalu tinggi dan tidak sekata, sehingga menyebabkan terbentuknya rekahan.

Jejambat Kepong pertama kali ditutup pada tahun 2004 dan dibaiki semula. Namun, dua tahun kemudiannya, masalah keretakan mula muncul kembali pada 4 Februari 2006 dan dibaiki semula melalui pemasangan panel gentian karbon bagi mencegah air hujan atau air longkang daripada meresap masuk ke mana-mana rekahan halus yang temui oleh mereka. Malangnya, penyakit Jejambat Kepong tetap datang lagi pada tahun 2008 - kali ini, penutup gentian kaca pada Tiang 28 pula terkopek dan jatuh. Ironinya, pembaikan pada Tiang 28 itulah yang ditunjukkan oleh Halcrow sebagai contoh yang perlu diikuti bagi membaik pulih tiang-tiang lain di sepanjang Jejambat Kepong. Hanya setelah kerosakan pada Tiang 28 diperbaiki barulah Jejambat Kepong tidak lagi meragam.

Kontroversi keretakan Jejambat Kepong ini menjadi salah satu daripada isu kontroversi terbesar yang dihadapi Datuk Seri Samy Vellu sehingga membawa kepada kejatuhan karier politiknya pada tahun 2008. Imej KKR dan JKR pada masa itu tercalar teruk. Malah, isu Jejambat Kepong turut mengundang campur tangan Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Keengganan Datuk Seri Samy Vellu mengakui terdapat unsur kecacatan struktur pada jejambat tersebut membangkitkan kemarahan rakyat, khususnya penduduk Kepong yang kerap menggunakan laluan tersebut. Tambah parah, terdapat drama pergeseran antara Datuk Seri Samy Vellu dengan JKR, apabila beliau menyalahkan JKR dalam isu MRR2 tersebut, sedangkan Ketua Pengarah JKR pada masa itu, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar mengerahkan para jurutera serta pekerja-pekerjanya bekerja 24 jam sehari dalam 2 syif bagi memperbaiki Jejambat Kepong dalam masa hanya 3 bulan sahaja. Malah, beliau sendiri pun berada di lokasi jejambat bagi memerhatikan anak-anak buahnya walaupun pada jam 3 pagi sekalipun. Malangnya, Prof. Datuk Dr. Wahid dan pasukannya langsung tidak menerima walau sepatah pun ucapan terima kasih daripada Datuk Seri Samy Vellu.

Kita tinggalkan dahulu cerita keretakan Jejambat Kepong yang pernah mencemarkan imej Kementerian Kerja Raya (KKR) suatu ketika dahulu. Sekarang kita teruskan pula dengan reviu mengenai KL MRR2 FT28 ini. Reviu kali ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian Sri Damansara-Lingkaran Karak dan Lingkaran Karak-Sri Petaling. Kedua-dua bahagian reviu ini dilakukan pada waktu malam, berikutan keadaan trafik yang sangat lancar pada waktu malam. Untuk bahagian pertama, saya menggunakan motosikal seperti biasa untuk membolehkan saya memilih lokasi-lokasi menarik untuk mengambil gambar pegun menggunakan telefon pintar Sony Xperia Z. Tidak seperti reviu Jalan Gombak FT68 di mana saya boleh mengambil gambar yang cantik dengan begitu mudah, mengambil gambar pada waktu malam dengan Xperia Z ini sebenarnya sangat mencabar. Tak percaya...? Teruskan membaca untuk mengetahuinya.

Kilometer sifar bagi KL MRR2 FT28 ini terletak di Persimpangan Sri Damansara yang dihubungkan dengan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11. Di sinilah ia mula bertindih kod laluan dengan Jalan Sungai Buloh FT54. Persimpangan ini hanya sekadar persimpangan berlian biasa, tetapi dengan jejambat dari LDP E11 ke FT28 untuk "melengkapkan" satu putaran, memandangkan FT28 hanya merangkumi dua pertiga daripada sistem MRR2 itu sendiri; baki sepertiga lagi melalui LDP E11 dan Lebuhraya Shah Alam E5.

Persimpangan kedua pula ialah Persimpangan Taman Bukit Maluri. Ia sekadar persimpangan separa berlian yang amat ringkas, lebih kurang sama seperti Persimpangan Sri Gombak. Namun, untuk lalu lintas arah jam, ia hanya boleh dimasuki melalui Persimpangan Sri Damansara.

Jalan Kepong FT54 bertindih dengan FT28 sehingga ke Jejambat Kepong, di mana FT54 dilencongkan keluar sehingga ke penamatnya di Bulatan Kepong. Sebenarnya, Jejambat Kepong bukan sahaja dibina di atas Jalan Kepong FT54, tetapi juga di atas Lebuhraya Selayang-Kepong B21. Kalau diikutkan, saya teringin untuk mengambil gambar dari atas jejambat, tetapi saya tidak melakukannya kerana terlalu berbahaya - Jejambat Kepong tiada bahu jalan keras untuk saya berhenti dengan selamat untuk mengambil gambar. Sebenarnya, saya masih boleh mengambil gambar Jejambat Kepong sekiranya menaiki kereta, tetapi gambar yang terhasil nanti tidak begitu memuaskan. Sebab itulah bahagian pertama reviu dilakukan dengan menggunakan motosikal bagi membolehkan saya mengambil gambar pegun yang berkualiti, manakala bahagian kedua reviu pula menggunakan video. Kenapa saya tak boleh ambil gambar dari dalam kereta...? Teruskan membaca untuk mengetahui sebabnya.

Jejambat Kepong berakhir di Taman Daya sebelum mendaki satu lagi jejambat di Taman Daya yang melencongkan Lebuhraya Selayang-Kepong B21 ke arah Bandar Baru Selayang. Jajaran dari Taman Daya ke Batu Caves pula merupakan jajaran baharu, dibina bagi menghubungkan antara kedua-dua jalan arteri yang diambil alih di kedua-dua kawasan tersebut. Saya berhenti sebentar di Shell Taman Intan Baiduri untuk bereksperimentasi dengan kamera Sony Xperia Z untuk mendapatkan setting yang paling sesuai. 

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, kamera Sony Xperia Z berupaya menghasilkan gambar yang sangat cantik pada waktu siang walaupun dengan menggunakan mod automatik. Namun, lain pula halnya pada waktu malam; setting manual terpaksa dilakukan berikutan isu hingar digital yang terhasil sehingga ada kalanya boleh menjejaskan kualiti gambar. Menurut rakan-rakan yang menggunakan telefon pintar model sama, masalah hingar tersebut adalah berpunca daripada keamatan cahaya yang tidak mencukupi bagi membolehkan kamera berfungsi dengan sempurna. Tiga jenis setting telah saya cuba, iaitu High Sensitivity, Night Scene dan Fireworks. Antara ketiga-tiga setting tersebut, saya dapati setting High Sensitivity paling sesuai digunakan di lokasi ini. Resolusi gambar pula ditetapkan pada 8 megapiksel (setting asal kamera) bagi membolehkan gambar diambil dengan nisbah bidang 16:9, yang merupakan nisbah bidang paparan telefon pintar ini; resolusi maksimum 13 megapiksel pula nisbah bidangnya 4:3, tetapi saya tidak menggunakan tetapan tersebut kerana ia mungkin akan menjadikan kesan hingar digital waktu malam lebih ketara.

Sementara itu, Persimpangan Bulatan Batu Caves pula menghubungkan MRR2 FT28 dengan Jalan Ipoh / Lebuhraya Rawang FT1. Ia boleh dikatakan sebagai persimpangan bulatan terbesar di sepanjang FT28; dua lagi persimpangan bulatan di sepanjang FT28 ialah Persimpangan Bulatan Jalan Kuari dan Persimpangan Bulatan Billion, yang mana kedua-duanya terletak di Cheras. Persimpangan Bulatan Batu Caves dibina oleh MMC Corporation Berhad.

Sebaik tiba di Batu Caves, FT28 ini bertindih dengan Jalan Batu Caves B22. Namun, sebenarnya terdapat pengasingan antara B22 dengan FT28 melalui Jejambat Taman Samudera, di mana lalu lintas luar melalui FT28 di sebelah atas manakala lalu lintas tempatan melalui B22 pula melalui bahagian bawah jejambat. Di Persimpangan Batu Caves inilah terletaknya gua dan kuil yang terkenal kerana terdapat ratusan anak tangga untuk mendakinya, yang menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara. Memandangkan landasan kereta api komuter terletak begitu hampir dengan persimpangan tersebut, maka sebuah jejambat pusaran dibina di Jalan Batu Caves B22 untuk melintasi landasan tersebut.

Jejambat Taman Samudera dibina bagi menyelesaikan masalah kesesakan di Batu Caves akibat terpaksa melakukan pusingan U yang jauh di Greenwood atau Batu Caves berikutan ketiadaan persimpangan lampu isyarat untuk lalu lintas tempatan. Maka, jejambat tersebut dibina melalui strategi serampang dua mata, iaitu bagi mengasingkan lalu lintas tempatan dengan lalu lintas luar, serta membolehkan penduduk Taman Samudera, Taman Sri Batu Caves, Batu Muda dan Sentul untuk membelok ke kanan dengan mudah melalui persimpangan penuh. Jejambat Taman Samudera mula dibina pada 1 April 2003 dan siap pada 30 November 2005.

Sebaik menuruni Jejambat Taman Samudera, terdapat dua buah persimpangan bertingkat yang terletak sebelah-menyebelah, iaitu Persimpangan Sri Gombak dan Exit 3310 Persimpangan Greenwood. Exit 3310 Persimpangan Greenwood merupakan sebuah persimpangan bertingkat berlian yang bersejarah kerana ia asalnya dibina sebagai sebahagian projek Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2. Persimpangan ini diubah suai sebanyak dua kali - kali pertama ialah semasa pembinaan KL MRR2 FT28 bagi memastikan keterusan laluan (continuity) FT28, manakala kali kedua pula semasa pembinaan Lebuhraya Duke E33, yang mana baki jajaran Lebuhraya Karak FT2 dari Greenwood ke Kampung Bandar Dalam kini membentuk sebahagian daripada E33. Terdapat sebuah papan tanda penunjuk arah lama yang melabelkan E33 ke Kampung Bandar Dalam dan FT28 ke Exit 801 Persimpangan Gombak Utara sebagai FT2. Saya amat menghargai usaha JKR Gombak yang memulihara dan mengekalkan papan tanda ini untuk generasi akan datang, bagi membuktikan bahawa sebahagian daripada MRR2 FT28 asalnya merupakan naik taraf Lebuhraya Karak FT2.

Bahagian reviu bermotosikal sudah tamat, jadi kali ini kita teruskan pula dengan reviu berkereta pula. Pada asalnya, saya cuba mengambil gambar dari dalam kereta, tetapi kualiti gambar yang terhasil tidak begitu memuaskan. Oleh kerana setiap cubaan mengambil gambar dari dalam kereta yang sedang bergerak pada waktu malam tidak begitu memuaskan, maka saya mengambil keputusan untuk merakam video bagi baki jajaran MRR2 FT28 ini sehingga ke Sri Petaling.

Saya berhenti mengisi minyak kereta di Shell Lingkaran Karak. Sebenarnya, terdapat tiga buah stesen minyak di situ; dua daripadanya ialah stesen minyak Shell manakala satu lagi ialah Petronas. Stesen-stesen minyak ini sering dipenuhi orang kerana di sinilah warga KL yang hendak ke pantai timur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 mengisi minyak dan makan sebelum meneruskan perjalanan. Dengan kata lain, Lingkaran Karak ini membentuk "hentian rehat" tidak rasmi sebelum memasuki E8/FT2.

Satu lagi persimpangan terpenting di sepanjang KL MRR2 FT28 ialah Exit 801 Persimpangan Gombak Utara. Laluan terus dari arah Greenwood dilencongkan ke Taman Melati dan Ulu Klang, manakala laluan ke Lebuhraya Karak E8/FT2 dilencongkan keluar di Exit 801. Sebab itulah KL MRR2 FT28 juga membentuk sebahagian daripada laluan Lebuh Raya Asia AH141 dari Greenwood ke Exit 801. Persimpangan ini siap dibina pada tahun 1997. Tidak seperti persimpangan-persimpangan lain di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2 (serta Lebuhraya Pantai Timur E8) yang diselenggara oleh Anih Berhad, Exit 801 pula diuruskan oleh JKR sendiri. Sebab itulah tiada label Exit 801 Persimpangan Gombak Utara pada mana-mana papan tanda di situ.

Jajaran dari Taman Melawati ke Ampang sememangnya banyak berubah. Semasa saya pertama kali dibawa sekeluarga berjalan-jalan ke Kuala Lumpur oleh ayah saya semasa masih kecil lagi, Jalan Hulu Klang B23 hanya sekadar jalan raya dua lorong biasa sahaja dengan pemandangan kampung biasa di kiri dan kanan jalan; hanya semasa menghampiri Ampang barulah aura perbandaran kembali semula. Jalan Hulu Klang B23 asalnya merupakan sambungan kepada Jalan Setapak dan Jalan Genting Klang, tetapi lalu lintas dilencongkan bagi keterusan laluan FT28. Untuk membolehkan pengguna jalan raya dari arah Jalan Genting Klang bergerak terus ke Jalan Hulu Klang B23, Persimpangan Taman Melawati turut menampilkan jalan susur masuk dari Jalan Genting Klang terus ke MRR2 FT28 arah jam. Setelah Jalan Hulu Klang diambil alih sebagai sebahagian KL MRR2 FT28, kod laluan lama B23 dilucutkan pewartaannya dan dikitar semula sebagai kod laluan bagi Jalan Sungai Tua B23.

Exit 3308 Persimpangan Hillview pula merupakan satu lagi persimpangan yang sangat terkenal kerana kesesakannya. Persimpangan yang asalnya sekadar persimpangan bulatan untuk ke Taman Hillview dan Keramat kemudiannya turut menempatkan persimpangan untuk ke Lebuhraya Duke E33. Maka, tidak hairanlah kenapa ia sering sesak, kerana tujuh lorong dari FT28, E33 dan Bulatan Hillview mencerut kepada tiga lorong. Namun, punca sebenar kepada kesesakan di situ sebenarnya memang FT28 itu sendiri dan bukannya E33.

Seterusnya, Jejambat Ampang yang dibina telah merubah wajah bagi kawasan tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Pekan Batu 4 Ampang sebagai salah satu kawasan yang paling sibuk di Kuala Lumpur. Persimpangan yang asalnya hanya sekadar simpang tiga sudah bertukar menjadi persimpangan bertingkat berlian tiga tingkat, empat hala. Memandangkan jalan-jalan di bawah jejambat turut dihubungkan dengan Lebuhraya AKLEH E12 dan jalan-jalan tempatan seperti Jalan Kerja Air Lama, maka susur keluar dan masuk ke bahagian bawah jejambat sering sesak dan berlaku cerutan yang ketara.

Seterusnya, jajaran Pandan Jaya-Pandan Indah asalnya sering sahaja sesak atas pelbagai sebab. Persimpangan lampu isyarat Pandan Jaya dan Pandan Indah itu sendiri menyumbang kepada sebahagian besar masalah kesesakan di sana, Selain itu, konflik jalinan serta MRR2 FT28 yang mencerut daripada 6 lorong kepada 4 lorong sebelum bertukar menjadi 6 lorong semula itu juga turut menyumbang kepada kesesakan di sana. Justeru, JKR melaksanakan satu inisiatif penambakbaikan yang dikenali sebagai Skim Penyuraian Lalu Lintas Pandan Indah, melibatkan pelebaran jambatan lintasan LRT Pandan Indah, pembinaan jalan-jalan susur keluar masuk bebas jalinan, pemansuhan lampu-lampu isyarat di Pandan Jaya dan Pandan Indah, serta pembinaan pusingan U bertingkat Pandan Indah. Projek bernilai RM104.5 juta itu siap pada Februari 2012.

Dua lagi jajaran sesak yang perlu diambil perhatian oleh JKR ialah Persimpangan Bulatan Billion dan Persimpangan Desa Tun Razak. Persimpangan Bulatan Billion asalnya direka hanya sebagai jalan masuk ke taman-taman perumahan sekitar Cheras, tetapi setelah jalan raya di situ dinaik taraf menjadi MRR2 FT28, Persimpangan Bulatan Billion sering sesak hampir sepanjang masa walaupun pada waktu malam. Turut menjadi penambah perisa kepada "jem strawberi" yang sering dihidangkan kepada pengguna jalan raya di situ ialah kerja-kerja pembinaan MRT ke Kajang, yang mana pengurusan trafik di sana boleh dikatakan sangat teruk. Pada tahn 2009, MCA Cheras pernah menggesa DBKL agar merombak pemasaan lampu isyarat di situ, tetapi sebenarnya ia hampir tidak membantu langsung. Apa tidaknya, persimpangan tersebut terpaksa mengendalikan aliran keluar masuk trafik antara dua laluan yang mempunyai kadar aliran trafik yang tinggi iaitu Jalan Cheras FT1 dan MRR2 FT28. Justeru, dalam kes kesesakan Bulatan Billion ini, satu-satunya penyelesaian terbaik bagi menangani kesesakan di sana adalah dengan menukarkan persimpangan tersebut kepada persimpangan bertingkat aliran bebas.

Persimpangan Desa Tun Razak juga sering sesak disebabkan kecacatan reka bentuknya. Apa tidaknya, lalu lintas dari arah Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 ke MRR2 FT28 dan sebaliknya perlu melalui Persiaran Mewah terlebih dahulu. Rekaan persimpangan jenis berlian turut menjadi punca kesesakan di situ, memandangkan persimpangan tersebut bukan sahaja perlu menangani lalu lintas tempatan, malah perlu menangani dua aliran trafik yang besar. Namun, penyelesaian bagi masalah kesesakan di situ sebenarnya sangat mudah, iaitu dengan membina satu tanjakan masuk dari pangsapuri Taman Connaught ke MRR2 FT28 arah Sri Petaling, di samping satu lagi tanjakan di Giant Taman Connaught.

Selekoh paling berbahaya di sepanjang KL MRR2 FT28 adalah di Persimpangan Pekan Sungai Besi. Selekoh di situ sangat tajam kerana MRR2 melintasi landasan kereta api untuk ke penamatnya di Exit 516 Persimpangan Sri Petaling, iaitu di KM38. Jejambat tersebut bukan sahaja melintasi landasan kereta api, malah turut melintasi Lebuhraya Sungai Besi E9. Hasilnya ialah tiga persimpangan bertingkat yang begitu rapat antara satu sama lain. Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur FT28 tamat di Exit 516 Persimpangan Sri Petaling yang menghubungkannya dengan Lebuhraya KL-Seremban E37 - ia seterusnya bertukar menjadi Lebuhraya Shah Alam E5 jika anda jalan terus.

Sepanjang menggunakan KL MRR2 FT28, kepentingannya sebagai jalan arteri utama di sepanjang sempadan negeri Selangor-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sangat ketara. Ia juga penting sebagai laluan bagi menyuraikan lalu lintas kenderaan berat daripada memasuki pusat bandar raya. Terus-terang saya katakan, piawaian yang digunakan oleh KL MRR2 FT28 lebih kurang sama seperti LDP E11, iaitu piawaian JKR U5. Namun, saya berpendapat KL MRR2 FT28 jauh lebih baik daripada LDP E11 meskipun kedua-duanya dikenakan kawalan masuk separa, kerana lebar lorong FT28 sangat konsisten pada 3.65 m di sepanjang jajaran, tetapi lebar lorong E11 pula tidak konsisten kerana ia dibina sekadar "menaik taraf" jalan arteri perumahan sedia ada tanpa mengambil kira rekaan geometri serta kawalan masuknya. Itulah yang menjadikan LDP E11 sering sesak dan lebih berbahaya. Tambahan pula, status pewartaan kedua-dua MRR2 FT28 dan LDP E11 juga sering dibandingkan - MRR2 FT28 sering sesak tetapi kesesakannya tidak dipertikaikan kerana MRR2 FT28 memang diwartakan sebagai Jalan Persekutuan biasa dengan kawalan masuk separa. Berbeza pula dengan LDP E11, ia diwartakan sebagai Lebuh Raya Ekspres, tetapi reka bentuknya banyak bercanggah dengan piawaian lebuh raya ekspres. Sebab itulah banyak orang yang menyumpah-menyeranah apabila terpaksa membayar tol di LDP E11 hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Memang dahulunya Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur FT28 pernah dihantui kontroversi integriti dan kejuruteraan jalan raya, tetapi sekarang KKR dan JKR sudah pun membuktikan bahawa mereka sentiasa komited bagi menambah baik jalan lingkaran utama di Kuala Lumpur ini dengan mengambil pengajaran daripada peristiwa silam.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.




Bahagian pertama (Sri Petaling-Lingkaran Karak)




Permulaan Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 di Sri Damansara - MRR2 FT28 mula bertindih dengan Jalan Kepong FT54 dari Sri Damansara...






...sehingga ke Jejambat Gombak di mana FT54 dilencongkan keluar






Tiga setting berbeza bagi lokasi yang sama iaitu di Taman Intan Baiduri - Ini hasil setting High Sensitivity...






...manakala Night Scene akan menghasilkan gambar yang lebih malap sedikit...






...manakala Fireworks pula menukarkan cahaya latar putih dari lampu jalan LED kepada kekuningan






Menghampiri Bulatan Batu Caves






Menghampiri Persimpangan Batu Caves






Untuk ke Jalan Sungai Tua B23 melalui Jalan Batu Caves B22, ambil lorong tengah dan belok kiri






Jejambat Taman Samudera






Ada bazar uptown di Sri Gombak






Exit 3310 Persimpangan Greenwood






Kisah klasik untuk masa depan - papan tanda sebegini wajar dikekalkan dan dipulihara sebagai bukti perkembangan jalan raya di sini






Persimpangan Greenwood dari arah Taman Greenwood






Shell Lingkaran Karak sering dipenuhi kenderaan yang hendak ke pantai timur






Begitu juga dengan Petronas Lingkaran Karak






Lingkaran Karak menjadi hentian rehat tidak rasmi bagi mereka yang hendak ke pantai timur melalui Lebuhraya Karak E8/FT2






Exit 801 Persimpangan Gombak Utara






Gambar Exit 801 Persimpangan Gombak Utara semasa ia baru saja siap pada tahun 1997




Bahagian kedua (Lingkaran Karak-Sri Petaling)

Wednesday, September 17, 2014

Menyambut Hari Malaysia dengan Perodua Axia / Celebrating Malaysia Day with Perodua Axia

Salam sejahtera dan Selamat Hari Malaysia kepada semua pembaca Blog Jalan Raya Malaysia,

Perodua menyambut Hari Malaysia pada tahun ini dengan melancarkan model terbaru mereka iaitu Perodua Axia. Model yang dinanti-nantikan sebagai pengganti kepada Perodua Viva ini menjadi kebanggaan Perodua, memandangkan Axia ini merupakan model pertama yang dikeluarkan melalui insentif Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Untuk melayakkan Axia dikategorikan sebagai EEV, Axia perlu dibina sebagai sebuah kereta bandar raya yang bukan sahaja jimat minyak, malah mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja. 

Perodua Axia dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur Convention Centre pada malam 15 September 2014. Saya berkesempatan untuk berkunjung ke Perodua Taman Samudera Batu Caves keesokan harinya (16 September 2014) untuk melihat sendiri model baharu yang menjadi kebanggaan Perodua ini.

Kesemua varian Axia digerakkan oleh enjin baharu 1KR-DE 1 liter 3 silinder tanpa teknologi DVVT (Pemasaan Injap Boleh Laras Dinamik), tetapi masih berupaya mencatatkan penjimatan bahan api sehingga 21.6 km/L bagi model transmisi manual dan 20.1 km/L bagi model transmisi automatik. Ia lebih jimat minyak berbanding Perodua Viva 660 manual yang sekadar mencatatkan penggunaan bahan api 18.7 km/L, lebih kurang sama seperti Proton Iriz yang menggunakan enjin hampir dua kali ganda lebih besar. Selain itu, enjin 1KR-DE tersebut sebenarnya lebih berkuasa daripada enjin EJ-VE yang digunakan pada Viva, walaupun tanpa penggunaan DVVT - enjin 1KR-DE mampu menghasilkan 66 bhp @ 6,000 rpm berbanding hanya sekadar 60 bhp @ 6,000 rpm pada enjin EJ-VE. Maka, keseluruhan varian Axia menggunakan enjin 1 liter tersebut sebagai satu-satunya pilihan enjin yang ada - tiada lagi varian 850 cc mahupun 660 cc.

Bagaimana Axia ini boleh jadi lebih jimat minyak daripada Viva...? Biar saya senaraikan pendekatan yang digunakan:-
  1. Enjin 1KR-DE diperbuat daripada aluminium tuang yang bukan sahaja lebih ringan daripada besi tuang yang digunakan pada enjin EJ-VE, malah turut mempunyai perwatakan haba yang lebih baik. Hasilnya, enjin lebih mudah dipanaskan, lebih banyak tenaga haba yang dimanfaatkan untuk menghasilkan kuasa dan kurang haba yang dibazirkan untuk memanaskan enjin.
  2. Ukuran lubang x lejang diubah semula untuk menjadikannya lebih cekap. Enjin 1KR-VE mempunyai ukuran lubang x lejang 71 x 84 mm berbanding enjin EJ-VE yang mempunyai ukuran lubang x lejang 72 x 81 mm. Lejang yang lebih panjang ini menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi (11:1 berbanding 10:1 pada EJ-VE), sekaligus meningkatkan kecekapan pembakarannya.
  3. Rongga masukannya diperbuat daripada plastik resin gred automotif, menjadikan udara masuk lebih lawas berbanding rongga masukan besi tuang atau aluminium tuang.
  4. Enjin 1KR-DE juga menggunakan omboh bersalut resin untuk mengurangkan geseran. Selain itu, enjin 1KR-DE menggunakan minyak enjin bergred 0W-20 API SN yang cair untuk lebih penjimatan bahan api.
  5. Axia menggunakan stereng kuasa elektrik, yang berupaya meningkatkan penjimatan bahan api melalui pengurangan beban parasitik pada enjin. Stereng kuasa hidraulik konvensional pula memerlukan enjin sentiasa menggerakkan pamnya, sekaligus menjadi beban parasitik pada enjin.

Dari segi dalaman, ruangan but Axia memang besar bagi sebuah hatchback. Dengan ruangan but 260 L, ia bukan sahaja lebih besar daripada but Viva (146 L), tetapi juga lebih besar daripada but Myvi (208 L). Besar kan?

Satu lagi inovasi yang langsung saya tidak perasan semasa mengunjungi Perodua Taman Samudera ialah pencangkuk beg tangan anti ragut yang ditempatkan di sebelah kanan kerusi penumpang hadapan, jauh daripada jangkauan si peragut bangsat. Memandangkan golongan wanita merupakan salah satu daripada golongan sasaran bagi Axia ini, ciri sebegini sangat dialu-alukan bagi mengurangkan kes-kes ragut yang mensasarkan pemandu wanita yang berhenti di persimpangan lampu isyarat ataupun semasa kesesakan jalan raya.

Perodua Axia didatangkan dalam empat varian dan dua wajah berbeza, boleh dikenali melalui lampu hadapan, gril dan bampar hadapan yang berbeza. Wajah pertama yang kelihatan ceria itu didatangkan pada varian E dan G, manakala varian SE dan Advance pula didatangkan dengan wajah yang lebih garang. Wajah-wajah "ceria" pada varian E dan G menggunakan lampu-lampu halogen serta reka bentuk gril dan bampar yang kelihatan seakan-akan wajah yang tersenyum, manakala wajah-wajah "garang" pada varian SE dan Advance pula menggunakan lampu hadapan jenis projektor, dilengkapi lampu kabut serta mempunyai reka bentuk gril dan bampar yang kelihatan seakan-akan mulut yang sedang ternganga besar dalam keadaan marah. Jujur saya katakan, saya lebih menyukai wajah-wajah "ceria" berbanding wajah-wajah "garang" pada varian lebih tinggi, yang saya sifatkan sebagai agak hodoh. Itu hanyalah pandangan saya sahaja, orang lain pula mungkin akan menganggap sebaliknya.

Bagaimana pula dengan ciri-ciri yang diterapkan...? Biar saya ringkaskan serba sedikit mengenai ciri-ciri bagi setiap varian Axia di bawah:-


Perodua Axia 1.0 E (manual sahaja)
  1. Varian termurah bagi Axia
  2. Tiada pengelap cermin belakang
  3. Roda jenis keluli berpenutup
  4. Tiada takometer
  5. Tiada radio (tetapi ada ruang kosong untuk memasang radio sendiri)
  6. Tiada kunci berpusat
  7. Tiada penggera kawalan jauh; kunci pintu terpaksa dibuka secara manual menggunakan anak kunci
  8. 2 biji beg udara
  9. Cermin sisi dilaras secara manual
  10. Harga: RM24,600 (bukan metalik); RM25,000 (metalik)

Perodua Axia 1.0 G (manual dan automatik)
  1. Dilengkapi pengelap belakang
  2. Roda jenis rim aloi 14 inci
  3. Ada takometer
  4. Radio bersepadu dengan pemain CD sahaja
  5. Ada takometer
  6. Dilengkapi kunci berpusat dan penggera kawalan jauh, dengan butang penggera dan kunci disepadukan
  7. Dilengkapi sensor undur
  8. Dilengkapi pencangkuk anti ragut
  9. 2 biji beg udara
  10. Cermin sisi kawalan elektrik dan boleh dilipat secara elektrik
  11. Harga: RM29,800 (manual, bukan metalik); RM30,200 (manual, metalik); RM32,800 (automatik, bukan metalik); RM33,200 (automatik, metalik)

Perodua Axia 1.0 SE (manual dan automatik)

Dilengkapi kesemua ciri yang ada pada varian G tetapi dengan beberapa penambahan berikut:-
  1. Lampu projektor hadapan
  2. Lampu kabut
  3. Sensor parkir hadapan
  4. Radio bersepadu dengan pemain CD, MP3, USB dan Bluetooth
  5. Alas kepala berasingan bagi kerusi belakang
  6. ABS, EBD dan BA
  7. Harga: RM36,800 (manual, bukan metalik); RM37,200 (manual, metalik); RM39,800 (automatik, bukan metalik); RM40,200 (automatik, metalik)

Perodua Axia 1.0 Advance (automatik sahaja)

Dilengkapi kesemua ciri yang ada pada varian SE tetapi dengan beberapa penambahan berikut:-
  1. Unit multimedia skrin sentuh dengan GPS dan pemain DVD
  2. Kemasan dalaman kulit
  3. Butang kawalan radio pada stereng
  4. Harga: RM42,130 (automatik, bukan metalik); RM42,530 (automatik, metalik)

Sesi pandu uji akan dijalankan sebaik sahaja kereta pandu uji sudah disediakan di bilik pameran Perodua pada hujung bulan ini.

Laman web rasmi: http://www.perodua.com.my

Spesifikasi Perodua Axia 1.0 2014

Enjin: 1KR-DE2 DOHC 12 injap 3 silinder 4 lejang 1.0 liter sejukan cecair
Sesaran: 998 cc
Lubang x lejang: 71 x 84 mm
Nisbah mampatan: 11:1
Kuasa kuda: 66 bhp @ 6,000 rpm
Tork: 90 N-m @ 3,600 rpm
Transmisi: Manual 5 kelajuan atau automatik 4 kelajuan
Jarak roda: 2,455 mm
Berat kering: 820-850 kg
Muatan tangki bahan api: 33 liter

Apa yang saya suka
  1. Kesemua varian menggunakan enjin 1 liter yang lebih berkuasa tetapi lebih jimat minyak daripada Perodua Viva 660
  2. Nilai untuk wang yang terbaik
  3. Varian yang lebih mahal turut dilengkapi sensor parkir hadapan, pertama kali untuk Perodua
  4. Ruang but yang lebih luas daripada Myvi
Apa yang saya tidak suka
  1. Rekaan bampar dan gril hadapan bagi varian SE dan Advance kelihatan hodoh pada pandangan saya
  2. Jenis tali pinggang keledar penumpang tengah belakang yang mengganggu penglihatan cermin belakang







Bahagian hadapan Perodua Axia 1.0 G dengan wajah "ceria"






Pandangan hadapan Perodua Axia 1.0 Advance dengan wajah "garang"







Pandangan bahagian tepi






Lampu belakang Axia menggunakan LED dan bertemakan daun, menyerlahkan imej Axia sebagai kenderaan cekap tenaga






Axia kali ini menggunakan enjin 1KR-DE serba baharu






Ruangan but belakang Axia begitu besar bagi sebuah hatchback (260 L), malah lebih besar daripada Myvi - boleh muat empat beg besar!






Meter laju yang besar diapit oleh takometer comel di sebelah kiri dan panel LCD di sebelah kanan






Unit GPS bagi varian Advance...






...dan radio biasa dengan pemain CD pada varian G






Perodua Axia boleh didapati dalam pilihan transmisi automatik 4 kelajuan...






...ataupun transmisi manual 5 kelajuan

Tuesday, September 9, 2014

Lagi maklumat mengenai Proton Iriz didedahkan...!!! / More information about Proton Iriz exposed...!!!



Rupa penuh Proton Iriz yang bakal dilancarkan pada 25 September 2014
(Kredit gambar: Paul Tan)


Salam sejahtera,

Akhir-akhir ini, Proton mula mendedahkan sedikit demi sedikit maklumat mengenai model Proton Compact Car (PCC) yang dikhabarkan bakal dinamakan sebagai Proton Iriz ini, daripada rupa fizikalnya hinggalah kepada ruangan dalaman serta enjin yang bakal digunakan. Malah, tarikh pelancaran model baharu tersebut telah pun ditetapkan pada 25 September 2014 di kilang Proton Tanjung Malim.

Seperti yang anda sedia maklum, Proton Iriz ini lebih kurang sama saiznya seperti Perodua Myvi, yang bermaksud Proton benar-benar serius mahu berentap dengan kereta terlaris di Malaysia itu serta merampas mahkota tersebut daripada Myvi. Harganya masih belum diumumkan buat masa sekarang, tetapi ia dikatakan "bermula daripada bawah RM45,000" bagi varian asas manual. Maka sudah tentulah harga yang dikhabarkan itu sangat murah dalam kelasnya.

Dari segi reka bentuk luarannya, Proton Iriz ini sangat fotogenik dari pelbagai sudut. Rekaan dalamannya juga cantik dan tidak membosankan sebagai mana Proton Preve.

Dua buah enjin baharu diperkenalkan bagi Proton Iriz ini, iaitu enjin VVT (pemasaan injap boleh laras) 1.3L dan 1.6L. Enjin 1.3L VVT mampu menghasilkan kuasa kuda 94 bhp @ 5,500 rpm dan tork 120 N-m @ 4,000 rpm manakala enjin 1.6L VVT pula berupaya menghasilkan 105 bhp @ 5,750 rpm dan tork 150 N-m @ 3,750 rpm. Jika diperhatikan, angka-angka tersebut nampak mengecewakan di atas kertas, tetapi kita tidak tahu akan potensi sebenarnya sebaik model-model pandu uji disediakan kelak. Sungguhpun angka-angka tersebut tidak jauh beza daripada enjin IAFM+, namun penggunaan pemasaan injap boleh laras itu sebenarnya lebih kepada hantaran kuasa yang lebih linear dan lebih lancar serta penjimatan bahan api yang lebih baik.

Dari segi penggunaan bahan api, Proton mendakwa penggunaan bahan api Iriz 1.6 adalah sekitar 6.6 L/100 km (manual) dan 7.4 L/100 km (CVT), diukur melalui kitar ujian NEDC. Jika penggunaan bahan api pada kelajuan malar 90 km/j pula, Iriz hanya menggunakan 5.5 liter petrol setiap 100 km , bersamaan 18 km/L. Memang jimat! Justeru, penggunaan sistem pemasaan injap boleh laras berupaya menambah baik penjimatan bahan api, kerana selama ini ada yang mendakwa kononnya enjin-enjin Proton kuat makan minyak terutamanya di kawasan bandar.

Penggunaan bahan api Iriz yang semakin jimat juga adalah hasil daripada penggunaan stereng kuasa elektrik, pertama kali seumpamanya dalam model-model kereta keluaran Proton. Sungguhpun stereng kuasa elektrik mengurangkan kehilangan kuasa parasitik yang sering dialami kereta-kereta yang menggunakan stereng kuasa hidraulik konvensional, namun saya ada kalanya agak skeptikal akan stereng kuasa elektrik kerana ia boleh jadi terlalu sensitif atau terlalu ringan. Namun, masih terlalu awal untuk menilainya kerana kereta-kereta pandu uji masih belum dikeluarkan lagi.

Iriz ini bakal ditawarkan dalam empat varian, dan kesemua varian boleh didapati dalam pilihan transmisi manual dan CVT. Dari segi ciri-ciri yang diterapkan, varian Premium 1.6 ditawarkan dengan butang penghidup tekan, unit GPS dengan kamera undur dan butang kawalan stereng, dua port pengecas USB, enam beg udara serta kemasan kulit. Varian Executive 1.6 dan 1.3 pula menggunakan kunci penghidup biasa, radio 2-DIN dengan Bluetooth dan butang kawalan stereng, dua port pengecas USB, dua beg udara serta kemasan fabrik. Varian paling asas pula ialah Standard 1.3 yang dilengkapi kunci penghidup biasa, radio 2-DIN tanpa butang kawalan stereng, dua beg utara serta kemasan fabrik. Kesemua varian turut dilengkapi ABS, EBD dan ESC sebagai ciri standard.

Melalui pakej yang ditawarkan, Proton kali ini benar-benar serius mahu merampas semula mahkota pengeluar kereta nasional paling laris sejak gelaran tersebut dirampas oleh Perodua pada tahun 2005 melalui model Myvi. Saya juga turut merancang untuk menguji sendiri model Iriz ini sebaik ia mula dilancarkan untuk merasai sendiri pengalaman memandu model pesaing kepada Myvi ini. Oleh itu, sama-samalah kita saksikan pertarungan sengit yang bakal berlangsung antara dua model supermini buatan Malaysia - antara model kereta terlaris di Malaysia dengan pencabar baharunya ini.

Sumber berita: Paul Tan

Advertisement