Monday, October 12, 2015

Mythbuster: Memasang lampu jalan di seluruh jajaran jalan raya sebenarnya tidak bagus untuk mata / Installing street lights along the entire roadway is bad for eyesight



Lebuhraya Karak E8/FT2 dipasang dengan lampu jalan LED untuk mengurangkan risiko kemalangan pada waktu malam akibat selekoh tajam dan turun naik bukit curam


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah terlalu lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia kerana beban tugas yang tinggi menggunung sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sehinggakan saya tidak dapat mencari ruang masa untuk mengemaskini blog ini, walaupun sekadar untuk entri-entri yang agak ringan. Untuk mengubat kerinduan anda semua, saya akan membawakan satu entri Mythbuster mengenai dakwaan kononnya pemasangan lampu jalan membantu penglihatan malam secara total, yang mana saya menyanggahnya dalam entri ini. Kenapa saya menyanggahnya...?

Memang tidak dinafikan, pemasangan lampu jalan sangat penting agar pengguna jalan raya dapat melihat dengan lebih jelas terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan seperti di simpang jalan, di selekoh, kawasan perumahan, sekolah, masjid, dsb. Namun, ia tidaklah bermakna setiap inci jalan perlu diterangi lampu jalan, kerana lampu jalan tidak mengambil alih peranan lampu kepala kenderaan secara mutlak sebagai sumber pencahayaan utama pengguna jalan raya, tetapi lebih kepada penambahbaikan sistem pencahayaan.

Semalam, Berita Harian ada membuat satu liputan mengenai pemasangan lampu jalan LED di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat Gua Tempurung, yang terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan di situ. Punca utama kes-kes kemalangan jalan raya di kawasan tersebut adalah berpunca daripada beza kelajuan yang begitu besar antara kenderaan ringan yang bergerak laju dan lori-lori berat yang bergerak perlahan disebabkan keadaan bukit curam dengan kecerunan sekitar 7%. Selain daripada Gua Tempurung, lampu-lampu jalan LED juga dipasang di jajaran merentas Banjaran Keledang (Jelapang-Terowong Menora) dalam program yang sama. Namun, program pemasangan lampu jalan di jajaran pergunungan sebegini bukanlah perkara baharu; Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 sudah melaksanakannya terlebih dahulu.

Susulan daripada kejayaan program-program pemasangan lampu-lampu jalan di jajaran pergunungan yang berbahaya, maka ramai pengguna jalan raya yang meminta agar lampu jalan dipasang di keseluruhan jajaran lebuh raya ekspres. Namun, tahukah anda bahawa pemasangan lampu jalan di keseluruhan jajaran lebuh raya ekspres sebenarnya tidak bagus untuk mata anda...? Mungkin ramai yang tidak akan mempercayai akan fakta ini, tetapi begitulah hakikat.

Untuk menunjukkan dalil pertama bagaimana lampu jalan boleh memudaratkan penglihatan anda, cuba pandu di lebuh raya ekspres melalui sebuah persimpangan bertingkat. Sepatutnya, tahap penglihatan anda sebelum, semasa dan selepas melepasi persimpangan tersebut kekal sama bagus. Namun, cuba anda pandu di lebuh raya sama melalui persimpangan bertingkat yang sama pada waktu malam. Anda tentunya tidak akan mengalami masalah semasa melalui persimpangan tersebut yang terang-benderang disinari cahaya lampu jalan, tetapi semasa anda meninggalkan persimpangan tersebut, anda akan mengalami rabun ayam sebelum mata anda berupaya menyesuaikan diri beberapa minit kemudian. Kenapa keadaan sebegini berlaku...? Semasa anda mula memasuki persimpangan bertingkat yang disinari lampu jalan dari laluan lebuh raya yang gelap dan tidak berlampu, anak mata anda dengan pantas akan mencerut untuk menyesuaikan mata anda dengan perubahan keamatan cahaya yang meningkat mendadak. Namun, sebaik anda meninggalkan persimpangan bertingkat dan kembali semula ke keadaan gelap, anak mata anda memang akan membesar kembali untuk meningkatkan jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata, tetapi retina anda akan lambat memproses imej yang dilihat untuk dihantar ke otak akibat kekurangan cahaya. Sebab itulah anda akan mengalami rabun ayam selama beberapa minit sebaik sahaja meninggalkan kawasan yang terang-benderang, dan ia lebih ketara bagi pemandu dari kalangan warga tua yang kebanyakannya mempunyai daya penglihatan yang semakin merosot.

Itu baru dalil pertama. Untuk dalil kedua pula, cuba pandu di jalan persekutuan biasa yang gelap dan lengang - dengan menggunakan suluhan tinggi (high beam). Jika ada kereta dari arah bertentangan, anda dapat mengenalpastinya dari jauh dan terus merendahkan suluhan lampu kepala kereta anda. Namun, jika anda memandu di jalan raya yang terang-benderang diterangi lampu jalan - khususnya lampu jalan LED yang lebih terang - anda akan dapati bahawa cahaya lampu kepala kereta lain sudah ditenggelami cahaya lampu jalan. Kenapa pula keadaan sebegini berlaku...? Ia berlaku akibat perbezaan kontras - di jalan raya yang gelap, perbezaan kontras adalah sangat besar kerana suluhan lampu kepala kereta merupakan satu-satunya sumber cahaya di situ, menjadikan kenderaan dari arah bertentangan lebih mudah kelihatan. Namun, di jalan raya yang diterangi lampu jalan pula, cahaya lampu kepala kereta dari arah bertentangan lebih sukar kelihatan kerana sudah ditenggelami cahaya lampu jalan yang lebih mendominasi ruang. Justeru, penerangan sebegini seharusnya berupaya untuk menjawab persoalan kenapa kemalangan jalan raya masih boleh berlaku di jalan raya yang terang-benderang disinari lampu jalan.

Dalil ketiga yang membuktikan bahawa pemasangan lampu jalan di seluruh jajaran jalan raya boleh merosakkan mata anda ialah ancaman pencemaran cahaya. Pencemaran cahaya bermaksud penggunaan cahaya tiruan yang berlebihan sehingga boleh merosakkan mata, di samping boleh mengganggu ekosistem terutamanya terhadap tumbuhan serta haiwan yang bergantung kepada kehadiran cahaya untuk aktiviti seharian (kebanyakan haiwan liar keluar mencari makan pada waktu malam yang gelap). Pemasangan lampu jalan secara berlebihan sering dipersalahkan sebagai punca utama kepada pencemaran cahaya. Ada banyak faktor yang menyumbang kepada pencemaran cahaya yang disebabkan oleh lampu jalan:-

  1. Suhu warna cahaya - sebelum dekad 1980an, lampu jalan jenis wap raksa yang memancarkan cahaya berwarna siang sejuk (cool daylight) dengan suhu warna lebih 5,000 K, bersamaan dengan suhu warna cahaya matahari pada waktu siang. Oleh kerana suhu warna sebegini lebih kurang sama seperti cahaya matahari pada waktu siang, maka ia boleh menyebabkan ahli-ahli astronomi tidak dapat melihat bintang-bintang, di samping mengganggu aktiviti harian haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Bermula dekad 1980an, lampu wap raksa mula diharamkan dan secara beransur-ansur digantikan dengan lampu wap merkuri dengan suhu warna sekitar 3,500 K. Suhu warna sebegini kurang mengganggu aktiviti ekosistem dan boleh ditapis oleh balai-balai cerap.
  2. Arah suluhan lampu jalan - Jika anda perhatikan betul-betul, anda akan mendapati ada tiang lampu yang mempunyai lengkuk atau cabang yang besar sebelum disambungkan kepada kepala lampu (jenis lama), dan ada juga jenis yang mana tiangnya lurus menegak dan disambungkan pada kepala lampu melalui penggunaan sesiku L ataupun sambungan T (jenis baru). Setiap jenis tiang lampu ini ada kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Jenis lama memerlukan kepala lampu disuluh ke bawah sahaja, maka untuk suluhan yang lebih menyeluruh, ia memerlukan sama ada lebih banyak tiang lampu ataupun penggunaan lemsa berbentuk cembung yang menyerakkan cahaya ke kawasan yang lebih luas, yang juga boleh mengakibatkan pencemaran cahaya. Sementara itu, kepala lampu jalan pada tiang lampu jenis baharu boleh disasarkan pada sudut tertentu untuk mengelakkan cahaya terlepas keluar ke tepi jalan, tetapi jika tersilap sasaran, cahaya berlebihan masih boleh terlepas ke bahagian bertentangan jalan pula.
  3. Bentuk lensa lampu jalan - Salah satu punca pencemaran cahaya melibatkan penggunaan lampu jalan ialah penggunaan lensa jenis cembung yang menyerakkan  cahaya ke bahagian tepi untuk memaksimakan kawasan liputan cahaya lampu jalan. Maka, penyelesaiannya sangat mudah iaitu melalui penggunaan lensa jenis leper kerana cahaya hanya akan disasarkan ke bawah, tetapi ia sudah tentu akan mengehadkan liputan pencahayaan. Jadi bagaimana pula hendak menambah kawasan liputan pencahayaan...? Liputan kawasan pencahayaan masih boleh ditingkatkan melalui rekaan pemantul lampu jenis berbilang pemantul yang boleh memantulkan cahaya ke arah yang tertentu sahaja.






Kepala lampu jalan jenis baru (atas) dan lama (bawah)



Jadi sejauh manakah bahaya pencemaran cahaya ini...? Selain merosakkan mata anda, pencemaran cahaya boleh meningkatkan risiko kanser prostat dan kanser payudara akibat pengurangan penghasilan melatonin (sejenis antioksida yang dihasilkan oleh badan kita) akibat pendedahan berterusan kepada cahaya. Di samping itu, pendedahan berterusan kepada cahaya tiruan boleh menyebabkan sakit kepala yang lebih kerap, kelesuan badan, penurunan fungsi seks dan peningkatan keresahan.

Kesimpulannya, anda tidak seharusnya marah-marah sekiranya PLUS Malaysia Berhad tidak memasang lampu jalan di keseluruhan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Pemasangan lampu jalan seharusnya dihadkan kepada kawasan-kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan seperti kawasan bandar, persimpangan, selekoh tajam, jambatan atau jejambat panjang serta jajaran pergunungan. Kalau setakat di jajaran lengang yang lurus dan rata, tak perlulah pasang lampu jalan terlalu banyak. Terlalu banyak bergantung kepada lampu jalan sebenarnya hanya akan lebih banyak merosakkan mata anda serta boleh mendatangkan pelbagai risiko kesihatan yang lain secara beransur-ansur seperti kanser prostat, kanser payudara dan mati pucuk. Jadi apa patut anda lakukan sekarang...? Banyakkan memakan lobak merah dan tomato dan laburkan wang anda untuk memasang lampu kabut bagi membantu penglihatan pada waktu malam.

2 comments:

  1. Satu penceritaan yang menyeluruh, sangat membantu dari segi pemahaman ketidakperluan lampu melampau pada waktu malam. Walaubagaimanapun, pencahayaan yang cukup di selekoh-selekoh berbahaya adalah perlu bagi mengelakkan pemandu terbabas/ kemalangan.

    ReplyDelete
  2. Satu penceritaan yang menyeluruh, sangat membantu dari segi pemahaman ketidakperluan lampu melampau pada waktu malam. Walaubagaimanapun, pencahayaan yang cukup di selekoh-selekoh berbahaya adalah perlu bagi mengelakkan pemandu terbabas/ kemalangan.

    ReplyDelete