Tuesday, September 29, 2015

Media Jalan Raya Malaysia: Antara wang dan masa / Malaysian Highway Media: A fine line between money and time




Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin berkongsi kepada anda satu video menarik yang diterbitkan oleh Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM). Video ini merumuskan tentang kenapa lebuh raya ekspres perlu mengutip tol.

Oleh kerana sudah terlalu banyak entri dalam Blog Jalan Raya Malaysia yang menerangkan rasional kutipan tol, izinkan saya membuat sedikit rumusan mengenai video ini secara sepintas lalu. Lebuh raya ekspres merupakan satu kemudahan premium yang menawarkan satu laluan alternatif yang lebih selesa dan lebih menjimatkan masa berbanding menggunakan jalan raya biasa. Ia berbeza daripada jalan raya biasa yang dibina sekadar memenuhi keperluan pengangkutan asas dari titik A ke titik B. Sebab itulah kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya biasa ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan melalui hasil kutipan cukai. Oleh kerana jalan raya biasa dibina sekadar memenuhi keperluan pengangkutan asas sahaja, maka sudah tentulah terdapat banyak halangan yang melambatkan perjalanan seperti persimpangan searas, rumah-rumah, gerai-gerai tepi jalan, kedai-kedai, kebun-kebun orang, ladang-ladang, kampung-kampung, pekan-pekan dan bandar-bandar. Justeru, lebuh raya ekspres berupaya menyediakan tahap keselesaan, penjimatan masa serta had laju operasi yang lebih tinggi dengan menghalang sepenuhnya semua akses kepada segala premis hartanah dan hanya dihubungkan ke jalan-jalan raya utama melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang diwartakan dan dihadkan bilangannya.




Persimpangan searas merupakan salah satu halangan lazim di jalan persekutuan dan negeri yang bukan sahaja menjadi punca kesesakan dan kelambatan perjalanan di jalan persekutuan dan negeri, tetapi juga boleh jadi berbahaya dan mengancam nyawa pengguna jalan raya




Sebaliknya, lebuh raya ekspres menambah baik tahap keselamatan melalui penggunaan persimpangan bertingkat berlainan aras, membolehkan had laju operasi dinaikkan daripada 90 km/j kepada 110 km/j


Namun, kemudahan premium ini tidak didatangkan secara percuma tetapi ada bayarannya. Kos pembinaan lebuh raya ekspres jauh lebih mahal daripada jalan raya biasa. Kenapa pula kos pembinaan lebuh raya ekspres lebih mahal...? Jalan raya boleh dibina dengan kos yang paling murah dengan mengikut bentuk muka bumi dengan tarahan atau penambakan tanah yang minima, tetapi ia akan menghasilkan jalan raya yang berbengkang-bengkok dan berbahaya. Untuk membina jalan raya yang lebih baik dan lebih selamat, maka bukit-bukit terpaksa ditarah. Lurah-lurah yang tidak berapa dalam perlu ditambak dengan tanah. Kedua-dua kerja ini melibatkan penggunaan jentera yang memerlukan bahan api diesel serta penyelenggaraan berkala. Jika perlu merentas gaung yang lebih dalam ataupun sungai, jambatan perlu dibina. Jika terpaksa merentasi kebun-kebun atau rumah-rumah orang, maka pampasan perlu dibayar. Kesemuanya memerlukan duit. Hendak parkir jentera-jentera pembinaan pun kena bayar juga, apatah lagi menggunakannya. Upah pekerja juga perlu dibayar kerana mereka membina jalan raya bagi menyara keluarga masing-masing. Maka, untuk membina lebuh raya ekspres, kosnya sangat mahal kerana spesifikasi lebuh raya ekspres memerlukan kecerunan seminima mungkin (atau dengan kata lain, hanya boleh landai dan tidak boleh dibina curam), jejari selekoh semaksima mungkin (atau dengan kata lain, tidak boleh ada selekoh tajam), yang bermaksud banyak tenaga kerja, penggunaan jentera serta pembinaan struktur (pembetung, longkang, benteng, jejambat, jambatan, persimpangan bertingkat, dsb.) yang dilibatkan dalam pembinaan lebuh raya ekspres.

Itu baru cerita kos pembinaan. Daripada mana pula datangnya duit untuk membina lebuh raya ekspres...? Tidak seperti jalan raya biasa yang mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan, kerajaan tidak menghulurkan walau sesen pun wang untuk membina lebuh raya ekspres. Sebaliknya, syarikat konsesi pula yang perlu meminjam wang di bank. Jika sudah pinjam wang di bank, maka sudah tentulah kena bayar balik sebagaimana anda perlu membayar hutang rumah dan hutang kereta. Jadi bagaimana syarikat konsesi lebuh raya hendak membayat balik hutang bank...? Itulah sebabnya syarikat konsesi mengenakan tol di lebuh raya. Kenapa pula kerajaan tidak membina sendiri lebuh raya secara percuma...? Kos pembinaan lebuh raya terlalu mahal tetapi hanya segelintir yang tinggal di sepanjang laluannya sahaja yang menerima manfaatnya, jadi adalah tidak adil jika ia dibina menggunakan wang cukai daripada rakyat di seluruh pelosok negara termasuklah dari negeri-negeri yang memang tiada lebuh raya ekspres seperti Sabah dan Sarawak. Jumlah wang yang digunakan untuk membina lebuh raya ekspres sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk membina lebih banyak sekolah, hospital, masjid, balai raya serta jalan raya asas.

Setelah lebuh raya sudah siap, maka sudah tentulah ia perlu diselenggara agar tahap keselamatan dan keselesaan pengguna tetap terjamin. Nampak sahaja ada lubang terus tampal. Jika kawasan sama berlubang banyak kali, ia perlu diperkukuhkan dan diturap semula. Perabot jalan yang rosak (papan tanda, pengadang jalan, lampu jalan dsb.) perlu diperbaiki atau diganti. Mentol lampu jalan yang terbakar perlu diganti. Rumput panjang perlu dipotong supaya haiwan liar atau haiwan berbisa tidak memasuki lebuh raya. Pagar yang rosak perlu diganti. Longkang tersumbat perlu dibersihkan. Hentian rehat dan hentian sebelah perlu dibersihkan setiap hari. Bil elektrik, bil air dan bil telefon perlu dibayar. Oleh kerana yang melakukan kesemua kerja penyelenggaran itu ialah manusia, maka mereka juga perlu dibayar. Jadi, daripada manakah datangnya duit untuk membayar kesemuanya itu kalau bukan daripada kutipan tol...?




Khidmat lori tunda syarikat konsesi lebuh raya secara percuma merupakan satu perkhidmatan lepas jualan yang tidak ditawarkan di mana-mana jalan persekutuan dan negeri
(Kredit kepada: Wenn Experiences)


Setelah anda membayar tol, anda bukan sahaja disajikan dengan perjalanan yang lebih selesa dan lebih selamat, tetapi anda turut disediakan dengan khidmat lepas jualan yang tidak mungkin anda perolehi di mana-mana jalan persekutuan mahupun negeri. Jika kereta anda rosak, anda tidak perlu membazirkan wang membayar kepada lori-lori tunda dengan ongkos yang ada kalanya tidak masuk akal, sebaliknya anda hanya perlu memanfaatkan telefon kecemasan untuk mendapatkan khidmat tundaan secara percuma oleh syarikat konsesi lebuh raya. Setelah tiba di plaza tol terhampir, kakitangan syarikat konsesi lebuh raya boleh membantu anda mendapatkan bengkel kereta yang paling boleh dipercayai dan bukannya "pomen-pomen cap ayam" yang membaiki kereta dengan kemahiran sama seperti tikus membaiki labu. Jika kereta anda rosak di jalan persekutuan atau negeri, anda hanya mampu mengharap belas ihsan pemandu lain yang lalu-lalang untuk membantu anda. Kalau kereta anda rosak berhampiran bengkel kereta milik kenalan anda, tak apalah juga. Begitu juga kalau anda ada nombor telefon mekanik atau pengusaha lori tunda yang anda kenali. Bagaimana kalau anda tiada semua itu...? Wallahualam.

Begitulah kisahnya tentang rasional lebuh raya ekspres dikenakan tol. Tiada satu pun benda percuma di muka bumi ini kecuali udara yang anda hanya perlu sedut sahaja. Nak tadah air hujan pun memerlukan alat yang perlu dibeli atau dibuat sendiri. Nak masuk ke tandas untuk melepaskan hajat pun kena bayar 30 sen, inikan pula kalau nak guna lebuh raya ekspres yang lebih cepat dan lebih selesa. Jalan raya biasa memang percuma, tetapi anda perlu membayarnya dengan masa yang dibazirkan untuk mengharungi halangan di sepanjang laluannya. Jika anda guna lebuh raya ekspres, anda rugi wang tetapi anda untung masa. Jika anda guna jalan raya biasa, anda untung wang tetapi anda rugi masa. Ataupun, anda boleh juga gunakan panduan memintas tol kami jika anda mahu menggunakan lebuh raya ekspres tetapi tidak mahu membayar tol, tetapi anda tetap perlu melencong jauh dan tetap tiba ke destinasi lebih lambat daripada yang membayar tol. Pilihan terletak di tangan anda. Namun, ada masanya yang mana anda rugi kedua-dua wang dan masa di lebuh raya ekspres, iaitu tidak lain dan tidak bukan semasa musim perayaan. Jadi, jawapan mengenai laluan yang mana sepatutnya anda pilih sudah ada, jadi jangan merungut jika anda terpaksa membazirkan duit tol puluhan ringgit hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Anda tidak mampu untuk mengubah kesesakan, tetapi anda mampu untuk mengubah haluan stereng kereta anda.

Untuk penerangan lebih lanjut mengenai kutipan tol lebuh raya ekspres, saya hanya sertakan sebahagian sahaja entri mengenainya:-

  1. Mythbuster: Lebuh raya ekspres bertol dibina menggunakan wang rakyat - mitos terbukti karut!
  2. Mythbuster: Lebuh raya percuma vs berbayar
  3. Masalah kewangan segelintir konsesi lebuh raya bukti projek lebuh raya tol tidak semestinya menguntungkan

Monday, September 28, 2015

Mythbuster: Pelaksanaan kutipan tol elektronik (ETC) punca lebuh raya sesak - mitos terbukti karut...!!! / Electronic toll collection (ETC) implementation causes congestion on expressways - myth busted...!!!



Kesesakan di Plaza Tol Gombak ini boleh dikurangkan sekiranya pengguna lebuh raya lebih bijak merancang perjalanan mereka dari segi pemilihan masa serta laluan yang diikuti


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini. Entri kali ini ditulis hasil permintaan pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia, Saudara Ibnur Shahril, yang terserempak dengan satu kemas kini status oleh laman Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mendakwa kononnya pelaksanaan sistem pembayaran tol elektronik (ETC) sebagai punca kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 semalam. Justeru, saya ingin membuktikan bahawa dakwaan tersebut sangat mengarut dan tidak berasas.

Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 mula melaksanakan sistem ETC sepenuhnya pada 9 September 2015 bersama-sama 6 lagi lebuh raya ekspres yang lain. Tujuan pelaksanaan sistem ETC sepenuhnya ini adalah bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol yang berpunca daripada pembayaran tol secara tunai. Apa tidaknya, ramai pengguna lebuh raya yang membayar secara tunai yang terkial-kial hendak mengeluarkan dompet dari dalam kocek seluar dan seterusnya mencari wang kecil untuk membayar tol, sedangkan anda hanya memerlukan masa beberapa saat sahaja untuk menyentuh kad Touch 'n Go.

Jadi sejauh manakah keberkesanan pelaksanaan ETC sepenuhnya dalam menangani kesesakan di plaza tol...?

Sebagai salah seorang pengguna tetap Lebuhraya Duke E33 yang juga melaksanakan sistem ETC sepenuhnya sebagaimana Lebuhraya KL-Karak E8/FT2, biar saya sendiri yang memberikan testimoni mengenai keberkesanannya. Sebelum pelaksanaan ETC, Plaza Tol Sentul sering sesak teruk setakat pukul 7.00 pm pada hari-hari biasa sehingga melimpah keluar daripada Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar, tetapi setelah pelaksanaan ETC pada waktu sama, kesesakan di Plaza Tol Sentul hanyalah sekitar 200 m dari plaza tol. Pemerhatian saya di Plaza Tol Ayer Panas pun lebih kurang sama juga hasilnya.

Hasil pemerhatian saya sendiri pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa dakwaan PPIM kononnya ETC punca kesesakan teruk di Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 adalah karut dan tidak berasas. Jadi atas dasar apa pula mereka menyalahkan ETC sebagai punca kesesakan di situ...?

Pemerhatian oleh admin PPIM bagi menyokong dakwaan mereka pula adalah mengenai keadaan trafik selepas Plaza Tol Gombak yang didakwa tidak lagi sesak. Untuk pengetahuan admin PPIM, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 berakhir di Exit 801 Persimpangan Gombak Utara di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28, jadi aliran trafik besar dari Lebuhraya Karak E8/FT2 berpecah kepada beberapa aliran trafik yang lebih kecil di situ. Sebab itulah aliran trafik selepas Plaza Tol Gombak sangat lancar. Justeru, kepada admin PPIM yang menulis kemas kini status tersebut, sila kaji peta rangkaian jalan raya dan lebuh raya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sebegini.

Punca sebenar bagi kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 adalah akibat daripada gabungan dua aliran trafik besar dari Pahang dan Terengganu (melalui Lebuhraya Pantai Timur E8), serta dari Kelantan (melalui FT8), yang mana kesemuanya menggunakan Lebuhraya KL-Karak E8/FT2. Sebenarnya, masih ada Jalan Gombak FT68 sebagai laluan alternatif bebas tol yang berupaya memintas kesesakan Lebuhraya Karak E8/FT2, tetapi majoriti pengguna jalan raya tidak berani untuk menggunakannya disebabkan keadaan FT68 yang sangat berbahaya. Kesesakan di situ diburukkan lagi dengan perangai sesetengah pemandu bebal lagi tidak berotak yang memancung jalan dan menukar lorong ikut suka hati mak bapak mereka sahaja.



Imej Google Maps menunjukkan kesesakan teruk di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2 semasa warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing semasa cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014
(klik untuk besarkan)


Maka, satu-satunya jalan terbaik untuk keluar daripada masalah kesesakan teruk setiap kali musim perayaan adalah dengan merancang perjalanan dengan teliti. Jika saya katakan "merancang perjalanan", ia bukan sahaja bermaksud merancang pukul berapa hendak bertolak, tetapi ia juga bermaksud merancang hendak ikut jalan alternatif yang mana satu sekiranya laluan utama sesak. Masalahnya sekarang ialah ramai pengguna jalan raya yang gagal merancang perjalanan - akibatnya, mereka terperangkap dalam kesesakan teruk sehingga boleh mencecah belasan jam lamanya. Satu-satunya laluan utama yang terlintas dalam kepala mereka hanyalah lebuh raya ekspres sahaja, sedangkan lebuh raya ekspres pun tetap ada had kapasiti trafik sebagaimana jalan-jalan raya yang lain. Malah, ada juga di kalangan mereka yang menunjukkan perangai bodoh sombong setiap kali dinasihati untuk menggunakan jalan persekutuan dan jalan negeri bagi memintas kesesakan lebuh raya, serta menganggap bahawa nasihat sebegitu tidak lain dan tidak bukan sebagai "kenyataan bodoh pak-pak menteri", sedangkan kebodohan mereka sendiri yang jelas lagi nyata tidak pula mereka sedari. Dah tahu lebuh raya sesak teruk setiap kali musim perayaan tapi masih juga berdegil nak ikut lebuh raya, siap tunjuk perangai bongkak dan bodoh sombong pula tu. Bila dah terperangkap dalam kesesakan, yang mereka tahu hanyalah menyalahkan orang lain, sedangkan mereka sendiri pun menyumbang kepada kesesakan lebuh raya. Apa gunanya telefon pintar yang mahal kalau merancang laluan perjalanan pun tak tahu...?

Mungkin ada di antara golongan yang gagal merancang perjalanan yang mempersoalkan laluan yang saya pilih untuk pulang ke kampung halaman di Segamat sejauh lebih kurang 200 km. Satu-satunya laluan yang terlintas dalam kepala mereka hanyalah Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan keluar ikut jalan lama sama ada di Exit 227 Persimpangan Simpang Ampat (melalui FT19 dan FT1) ataupun di Exit 235 Persimpangan Tangkak (melalui FT23). Saya pulang ke kampung pada 23 September 2015, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, dan jika saya ikut laluan biasa itu, sebelum subuh pun belum tentu saya sudah tiba. Apa tidaknya, pada masa itu E2 sesak disebabkan terdapat kemalangan di jajaran Bandar Ainsdale-Seremban dan Pedas Linggi-Simpang Ampat serta sebuah kebakaran kereta di jajaran Pedas Linggi-Simpang Ampat. Jadi laluan mana yang saya gunakan pada masa itu...? Saya menggunakan laluan Lebuhraya Lekas E21 ke Seremban dan seterusnya Jalan Seremban-Tampin FT1 dan Jalan Gemas-Tampin FT1 untuk pulang ke Segamat. Kenderaan bergerak agak perlahan dari Stesen Komuter Sungai Gadut sehingga ke pekan Pedas sebelum ia beransur-ansur lancar. Saya bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pm dan tiba di Segamat pada pukul 1.30 am. Masa perjalanan ialah 4 jam, hanya lebih lama sedikit berbanding menggunakan E2 pada hari biasa.

Jadi siapa kata kena lalu lebuh raya ekspres sahaja barulah perjalanan lebih cepat dan lebih lancar...? Kepada golongan berkenaan, sila ambil tukul besi dan ketuk kepala anda dengan tukul besi tersebut dengan sekuat hati. Saya menggunakan jalan persekutuan untuk pulang ke kampung semasa musim perayaan tetapi saya mampu sampai jauh lebih cepat daripada pengguna lebuh raya ekspres. Tidakkah golongan tersebut berasa malu kerana lambat sampai ke destinasi disebabkan kegagalan mereka sendiri merancang perjalanan...? 

Kesimpulannya, kesesakan di Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 memang bukan berpunca daripada pelaksanaan ETC. Sebaliknya, masalah kesesakan di situ berpunca daripada gabungan dua aliran trafik tinggi di situ serta sikap pengguna lebuh raya sendiri yang gagal merancang perjalanan. Alasan "tiada laluan alternatif" hanyalah alasan dangkal oleh golongan yang malas merancang perjalanan, kerana kerajaan sudah membina sebegitu banyak jalan persekutuan dan negeri yang boleh dijadikan laluan alternatif; alasan "tiada laluan alternatif" hanya layak digunakan oleh orang-orang Sabah dan Sarawak berikutan masih tidak banyak jalan raya di sana. Sementara itu, masalah berkaitan kad Touch 'n Go seperti kekurangan baki kredit boleh diatasi sekiranya pengguna mengambil inisiatif menambah nilai lebih awal untuk mengurangkan kesulitan yang bakal dialami pada musim perayaan. Oleh itu, belajarlah untuk merancang perjalanan dengan teliti dan lebih awal kerana gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal.

Thursday, September 17, 2015

Perihal pertindihan laluan / All about road concurrency



Contoh pertindihan laluan yang ekstrim: Lebuhraya Interstate 40 bertindih dengan Interstate 85 Business, US29, US70, US220 dan US421


Salam sejahtera,

Dalam entri kali ini saya ingin menulis mengenai pertindihan laluan yang sering berlaku dalam rangkaian jalan raya kita. Pertindihan laluan bermaksud suatu keadaan di mana sesuatu jajaran jalan raya diwartakan untuk memegang lebih daripada satu kod laluan. Ia berlawanan daripada laluan alternatif yang mana sesuatu kod laluan yang diwartakan melalui lebih daripada satu cabang laluan pada jajaran tertentu. 




Jalan Persekutuan 2 bertindih dengan Jalan Persekutuan 5 di Jambatan Kota, Klang




KL MRR2 FT28 bertindih dengan Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54 dari Sri Damansara sehingga ke Jejambat Kepong


Pertindihan laluan adalah sangat lazim berikutan perkembangan rangkaian jalan raya, yang mana terdapat laluan jalan raya baharu yang dibina dengan menggunakan jajaran jalan raya sedia ada, jadi adalah lebih ekonomik untuk berkongsi laluan yang sama daripada membina laluan baharu yang berasingan. Contoh paling mudah ialah di Klang, yang mana Jambatan Kota menghubungkan antara Jalan Klang-Banting FT5 yang berakhir di Bulatan Simpang 5 dengan Jalan Klang-Teluk Intan FT5 yang bermula di Bulatan Simpang 7. Namun, Jambatan Kota terletak betul-betul dalam laluan Jalan Kuala Lumpur-Pelabuhan Klang FT2, jadi Jambatan Kota memegang dua kod laluan iaitu FT2 dan FT5. Satu lagi contoh pertindihan laluan hasil penggunaan jajaran jalan sedia ada bagi membina jalan raya baharu ialah Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28. MRR2 FT28 bertindih dengan Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54 dari Sri Damansara sehingga ke pangkal Jejambat Kepong, dan seterusnya bertindih dengan Jalan Persekutuan 2 dari Persimpangan Greenwood sehingga ke Persimpangan Gombak Utara yang menjadi pangkal kepada Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2.




Jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam di Lebuhraya Utara-Selatan E1 bertindih dengan Jalan Persekutuan 1




Lebuhraya Cheras-Kajang E7 bertindih dengan Jalan Persekutuan 1




Lebuhraya KL-Karak E8 bertindih dengan Jalan Persekutuan 2




Jajaran Kampung Bandar Dalam-Greenwood di Lebuhraya Duke E33 bertindih dengan Jalan Persekutuan 2


Pertindihan laluan juga sangat lazim bagi lebuh raya ekspres yang dibina hasil naik taraf jalan raya sedia ada, contohnya seperti Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 serta Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Hubungan Karak) E33/FT2. Lebuhraya KL-Karak E8memang bertindih dengan FT2 di sepanjang laluannya sehingga ke Exit 813 Persimpangan Karak di mana Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 dilencongkan keluar dan E8 berterusan sebagai Lebuhraya Pantai Timur E8. Bagi kes Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1, ia bertindih dengan Jalan Cheras-Kajang FT1 kecuali di pekan Batu 9 Cheras (antara Exit 702 Persimpangan Hulu Langat dengan Exit 703 Persimpangan Telekom) dan di Exit 707 Persimpangan Bukit Dukung di mana Jalan Cheras-Kajang FT1 dilencongkan keluar. Ia kerana jajaran FT1 di kedua-dua kawasan tersebut tidak dapat dilebarkan, jadi jajaran baharu dibina bagi memintas kedua-dua kawasan tersebut. Sementara itu, Hubungan Karak di Lebuhraya Duke E33 pula dibina hasil naik taraf jajaran baki Lebuhraya KL-Karak FT2 yang tidak digunakan.




Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 merupakan sebahagian jajaran Lebuhraya Pan Borneo AH150, jadi kod laluan FT22 bertindih dengan AH150 di sepanjang laluannya


Seperti yang kita semua sedia maklum, terdapat beberapa batang jalan raya dan lebuh raya ekspres di negara kita yang diwartakan sebagai sebahagian laluan Lebuh Raya Asia. Justeru, jajaran tersebut memegang lebih daripada satu kod laluan, iaitu kod laluan asal dan juga kod laluan Lebuh Raya Asia, contohnya Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22/AH150. Terdapat juga kes pertindihan laluan antara dua laluan Lebuh Raya Asia seperti di NKVE E1/AH2/AH141, yang mana laluan AH2 bertindih dengan laluan AH141 dari Bukit Lanjan sehingga ke Shah Alam.

Namun, terdapat dua masalah besar yang diwujudkan oleh pertindihan laluan. Masalah pertama ialah masalah kesinambungan laluan (route continuity) yang berpunca akibat kecenderungan mengguna pakai kod laluan dominan dan meminggirkan kod laluan yang kurang dominan. Jika jarak pertindihan laluan sangat pendek seperti di Klang itu masih boleh dimaafkan kerana kesinambungan laluan masih ada, tetapi sekiranya pertindihan itu terlalu panjang, maka ia mewujudkan masalah kesinambungan laluan yang ketara dan mewujudkan kota sesat yang mengelirukan pengguna jalan raya yang hanya bergantung kepada kod laluan. Contoh paling mudah ialah jajaran Jalan Persekutuan 2 dari Karak sehingga ke Kuala Lumpur yang "hilang" setelah memasuki Lebuhraya KL-Karak E8/FT2. Di Lebuhraya KL-Karak E8/FT2, Anih Berhad hanya menandakan kod laluan E8 sahaja tetapi tiada langsung mempamerkan kod laluan FT2 bersama-sama kod laluan E8 di sepanjang laluannya. Selepas melepasi Plaza Tol Gombak pun tiada kelibat jata laluan FT2, sekaligus menjadi punca kepada wujudnya kota sesat FT2 di Kuala Lumpur akibat tiada kesinambungan laluan. Justeru, satu-satunya penyelesaian bagi masalah pertama ini adalah dengan menandakan kesemua kod laluan yang bertindih pada papan tanda, batu penunjuk kilometer serta dicat di atas jalan raya. Bagi contoh aplikasi papan tanda penunjuk kod laluan bertindih, saya berkesempatan bermain-main dengan perisian Adobe Photoshop bagi menunjukkan contoh-contoh penanda jata laluan yang sepatutnya dipamerkan.

Masalah besar kedua pula berpunca daripada pewartaan dua laluan yang terpisah jauh dengan kod laluan yang sama. Masalah kedua ini sangat ketara di Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185. Projek Lebuhraya Timur-Barat Kedua ini terdiri daripada laluan Simpang Pulai-Gua Musang dan laluan Felda Chiku-Bukit Payong, yang mana laluan dari Kampung Kuala Jeneris ke Telemong masih belum dibina. Kedua-dua laluan ini diwartakan sebagai FT185. Ia menyebabkan pertindihan laluan antara FT185 dengan FT8 dari Felda Chiku sehingga ke Gua Musang, tetapi masalah besar timbul di Gua Musang kerana tidak diketahui jalan mana yang benar-benar diwartakan sebagai FT185 sehinggalah ke pangkal Jalan Simpang Pulai-Gua Musang FT185 di Jalan Negeri Kelantan D29. Dalam hal ini, adalah lebih baik sekiranya Jalan Simpang Pulai-Gua Musang dan Jalan Felda Chiku-Kuala Jeneris diwartakan dengan dua kod laluan berbeza dan bukannya berkongsi kod laluan yang sama.

Thursday, September 10, 2015

Modenas CT115S, generasi kedua siri Modenas CT, sudah dilancarkan / Modenas CT115S, second-generation Modenas CT series, has been launched



Modenas CT115S merupakan pengganti kepada model CT110
(Kredit gambar: MotoMalaya.net)
Salam sejahtera,

Setelah sekian lama tidak mengeluarkan model serba baharu selepas Modenas 118EFI pada tahun 2013, Modenas akhirnya mengeluarkan model motosikal serba baharu iaitu Modenas CT115S yang merupakan model generasi kedua siri Modenas CT. Model ini dikeluarkan sebagai pengganti kepada model Modenas CT110 yang sudah lama dihentikan pengeluarannya pada tahun yang tidak diketahui.

Sebenarnya peminat Modenas sememangnya sudah lama tertunggu-tunggu akan model motosikal serba baharu kerana satu demi satu pengeluar motosikal sudah menapau kedudukan Modenas. Jika dahulunya Modenas pernah mendominasi pasaran kapcai 4 lejang sehingga melebihi 50% pada tahun 2000 dan 2001, kini Modenas hanya mampu menguasai 9% daripada pasaran motosikal Malaysia. Kekurangan model baharu, ketiadaan inovasi baharu serta model yang dikeluarkan tidak benar-benar memenuhi cita rasa peminat motosikal tempatan merupakan antara punca penguasaan Modenas merosot teruk sehingga ke tahap ada yang sudah tidak mengetahui langsung akan kewujudan Modenas. Modenas pernah membuat satu kejutan dengan mempamerkan model cafe racer sulung mereka, Modenas TTR200, tetapi tiada pula perancangan untuk mengeluarkannya sungguhpun ia menarik minat ramai pencinta motosikal Malaysia.

Bagi memastikan rakyat Malaysia terus menyedari akan kewujudan mereka, Modenas membangunkan model generasi kedua siri CT yang dimulakan dengan Modenas CT115S. Ia merupakan pengganti sah kepada CT110 yang dihentikan pengeluarannya pada tahun yang tidak diketahui kerana terlalu menumpukan terhadap jualan CT100. Sementara CT110 menggunakan 100% enjin asal Modenas Kriss 110 jenis AN110 tanpa sebarang pengubahsuaian, model-model seterusnya seperti Kriss 120, Ace dan 118EFI kesemuanya menggunakan enjin AN110 yang dikorek semula dengan diameter lubang 55 mm berbanding diameter lubang asal 53 mm. Kali ini, Modenas hanya mengorek sedikit sahaja lubang enjin AN110 menjadi 53.75 mm untuk menghasilkan sesaran 114.8 cc untuk kegunaan CT115S ini.

Malangnya, tiada inovasi tambahan lain pada enjin 115 cc ini selain daripada sekadar mengorek lubang sahaja. Kalau setakat korek lubang blok enjin, mat rempit yang tak belajar tinggi pun boleh buat di bengkel bawah pokok dengan selamba. Semasa pelancaran CT110 dahulu, Modenas ada jugalah menambah baik enjin AN110 itu dengan menambah mekanisme penyahmampatan untuk membolehkan enjin lebih mudah dihidupkan, di samping menggantikan penutup minyak enjin dan skrin kaca penunjuk aras minyak enjin yang mudah kotor sehingga menyukarkan pengguna mengetahui aras minyak enjin kepada jenis penutup baharu yang dilengkapi ukur celup yang lebih mesra pengguna - dua perubahan kecil yang tetap bermakna dan lebih baik daripada sebelumnya. Namun, tiada sebarang inovasi baharu pada enjin CT115S kali ini, malah Modenas dilihat semakin mengundur ke belakang apabila masih memilih untuk menggunakan karburetor Spaco berbanding model-model pesaing yang sudah pun berhijrah kepada pancitan bahan api. Lihat sajalah pada Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection; mereka bukan sahaja menggantikan karburetor dengan pancitan bahan api, malah turut menambah baik enjin Lagenda itu dengan menggantikan lengan jumpelang biasa dengan lengan jumpelang jenis baharu dengan bearing penggelek. Sebab itulah Lagenda 115Z Fuel Injection sangat laris kerana pembaharuan yang dilakukan itu menjadikan enjin lebih berkuasa, lebih jimat minyak, dan kurang kos penyelenggaraan kerana jarak masa bagi penyelenggaraan berkala sudah dapat dipanjangkan. Modenas, apa sudah jadi ni...? Selepas pelancaran 118EFI, Modenas sepatutnya beransur-ansur menukarkan sistem bahan api pada model-model sedia ada dan model-model akan datang kepada jenis pancitan bahan api, bukannya terus menggunakan karburetor...!!!

Suis-suis hendal yang digunakan pula dikitar semula daripada model Kriss terdahulu. Suis-suis sama turut digunakan pada model-model motosikal Yamaha, bermula dengan Yamaha RX-Z dan diikuti model 110SS, SS Two, Sports II 100, SRE, SRX, 125Z, SR Lagenda dan Lagenda 110. Sejujurnya, saya tidak menyukai suis jenis ini kerana suis lampu isyarat membeloknya mudah rosak jika sering terdedah kepada cuaca hujan dan panas. Suis CT110 pula lebih boleh diharap, tetapi saya tidak faham kenapa Modenas memilih untuk mengitar semula suis-suis Kriss ini, mungkin atas alasan kos.

Satu lagi perkara yang saya patut sebut tentang CT115S ini ialah meternya. Jika anda perhatikan betul-betul, meternya 100% sama seperti meter motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya, tetapi julat meter dikurangkan daripada 160 km/j pada Honda Wave Ultimo kepada 140 km/j bagi Modenas CT115S, manakala logo sayap Honda digantikan dengan logo Gunung Jerai Modenas. Mana-mana pemilik motor Honda Wave Ultimo pasti akan memperlekehkan Modenas CT115S ini seolah-olah Modenas sudah tiada idea untuk merekabentuk meter, tetapi saya berpendapat mungkin juga Modenas mengambil keputusan sebegini atas faktor kos dan juga ketepatan meter, kerana satu isu yang sering dialami oleh pemilik motosikal Modenas ialah meter yang tidak tepat dan lari banyak daripada bacaan sebenar pada GPS.

Sungguhpun Modenas CT115S kali ini telah banyak mengecewakan saya, namun ia bukanlah sebuah motosikal yang teruk. CT115S ini masih ada kelebihannya yang tersendiri. Satu kelebihan utama CT115S sudah tentulah pada reka bentuk badan dan lampu-lampunya. Reka bentuk badannya begitu cantik sehingga melayakkan Modenas untuk memenangi anugerah Malaysian Good Design Mark sebanyak beberapa kali bagi model GT128, CT110 dan 118EFI. Jika anda bencikan lampu-lampu isyarat jenis capang seperti pada Lagenda 115Z Fuel Injection dan Honda EX5 FI, maka Modenas CT115S ini sememangnya untuk anda - tetapi rekaan lampu belakang sebegitu sebenarnya tidak lulus piawaian UNECE yang mensyaratkan lampu belakang dan lampu isyarat membelok diasingkan. Selain itu, lampu hadapan yang digunakan pula begitu terang kerana menggunakan lampu jenis halogen.

Inovasi terbaik yang patut saya puji pada CT115S ini sudah tentulah soket kuasa 12 volt untuk membolehkan anda mengecas telefon bimbit anda. Selain itu, anda juga boleh menggunakan soket tersebut untuk kegunaan pam tayar elektrik ketika saat-saat kecemasan. Cuma, anda tidak boleh menggunakan soket tersebut untuk menyalakan api rokok kerana terminal soket tersebut tidak direka bagi kegunaan penyala rokok. Soket kuasa yang digunakan itu adalah dari jenis yang sama seperti yang digunakan pada Proton Persona.

Secara keseluruhan, Modenas CT115S ini begitu mengecewakan dari segi teknologi enjinnya kerana tiada sebarang inovasi atau penambahbaikan terhadap enjinnya, tetapi ia masih mampu menarik minat pencinta motosikal kerana rekabentuknya yang anggun. Jika Modenas benar-benar serius mahu merampas semula pasaran mereka yang jatuh ke tangan Yamaha, Honda, Demak dan SYM, mereka sepatutnya menerapkan inovasi serta menambah baik enjin yang digunakan, iaitu dengan menggunakan lengan jumpelang jenis bearing penggelek serta menggunakan pancitan bahan api. Ini cabaran saya kepada Modenas jika mereka benar-benar serius mahu menggondol semula takhta pengeluar motosikal utama di Malaysia. Mungkin ramai peminat motosikal Malaysia yang kecewa akan model ini, tetapi dalam kes ini saya maafkan memandangkan CT115S ini model pengganti sah CT110, tetapi dengan syarat Modenas mestilah serius menambah baik enjin motosikal tersebut dengan menggantikan lengan jumpelang biasa kepada jenis bearing penggelek serta menggantikan karburetor dengan pancitan bahan api. Jika mereka masih juga di takuk lama tanpa sebarang inovasi pada teknologi enjin yang digunakan, sampai bila-bila pun Modenas tidak berupaya untuk bangkit dan merampas semula mahkota mereka yang kini dimiliki oleh Yamaha. Takkanlah nak kena panggil Tun Dr. Mahathir untuk menerajui Modenas barulah mereka boleh berubah...?




Spesifikasi Modenas CT115S

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 114.8 cc
Lubang x lejang: 53.75 x 50.6 mm
Kuasa kuda maksimum: 8.8 PS @ 9,000 rpm
Tork maksimum: 8.1 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 4 kelajuan
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 99 kg
Muatan tangki minyak: 4.8 L
Penggunaan bahan api: 46.8 km/L @ 80 km/j

Apa yang saya suka
  1. Soket kuasa yang memudahkan pengguna untuk mengecas telefon bimbit serta ketika saat-saat kecemasan
  2. Sistem gantungan monoshock Kayaba yang membolehkan motosikal dikendalikan dengan lincah di selekoh
  3. Reka bentuk yang anggun dan lampu-lampu yang terang
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada sebarang inovasi pada enjin selain daripada sekadar mengorek blok enjin
  2. Tiada pancitan bahan api tetapi masih menggunakan karnuretor yang sudah kuno, sedangkan model pesaing yang lain sudah pun berhijrah kepada pancitan bahan api






Modenas CT115S sekadar menggunakan enjin AN110 yang dikorek semula - ia sepatutnya ditambah baik melalui penggunaan lengan jumpelang jenis bearing penggelek dan pancitan bahan api






Salah satu kelebihan Modenas CT115S ialah rekaan lampunya yang begitu cantik






Jika anda bencikan rekaan lampu isyarat membelok belakang jenis capang, maka Modenas CT115S ini sememangnya khas untuk anda








Cuba perhatikan meter CT115S di atas dengan gambar di bawah, ada rasa macam deja vu tak...?






Soket kuasa 12 volt ini sememangnya satu ciri yang patut dipuji
(Semua kredit gambar: MotoMalaya.net)

Wednesday, September 9, 2015

Pesta kutipan tol elektronik di 12 plaza tol mulai hari ini / Electronic toll collection festival at 12 toll plazas starting today




Salam sejahtera dan selamat pagi kepada semua pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang budiman.

Seperti mana yang anda semua sedia maklum, mulai tengah malam tadi kutipan tol tunai di 12 plaza tol sudah pun dihentikan dan hanya pembayaran tol elektronik sahaja yang diterima. Inisiatif kutipan tol elektronik sepenuhnya dilaksanakan secara beransur-ansur sebagai satu langkah mengurangkan kesesakan di plaza tol akibat pembayaran tol secara tunai. Apa tidaknya, ada di antara pengguna yang terkial-kial meraba-raba dompet dan mencari wang kecil untuk membayar tol, menyebabkan pengguna lebuh raya yang lain di belakang angin satu badan. Masalah sebegini paling ketara terutamanya ketika waktu gegas. Inisiatif kutipan tol elektronik sepenuhnya ini dimulakan di Plaza Tol Kempas dan kesemua plaza tol Lebuhraya Linkedua E3 di Johor Bahru sebelum ia diperluaskan di Lebuhraya Persekutuan FT2. Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29.

Lebuh raya ekspres yang memulakan pelaksanaan kutipan tol sepenuhnya pada hari ini ialah:-

  1. Lebuhraya Utara-Selatan E1
    • Plaza Tol Jitra
    • Plaza Tol Bukit Kayu Hitam
  2. Keseluruhan Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4
    • Plaza Tol Lunas
    • Plaza Tol Kubang Semang
  3. Jambatan Pulau Pinang E36
  4. Keseluruhan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2
    • Plaza Tol Gombak
    • Plaza Tol Bentong
  5. Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12
  6. Keseluruhan Lebuhraya Duke E33
    • Plaza Tol Batu
    • Plaza Tol Sentul
    • Plaza Tol Ayer Panas
  7. Terowong SMART E38

Jadi sudah tentu ada yang merasa kurang selesa apabila berhijrah kepada penggunaan tol elektronik sepenuhnya. Alasan seperti "tak ada kad Touch 'n Go", "duit dalam kad Touch 'n Go dah habis" ataupun "duit dalam kad Touch 'n Go tak cukup" pasti akan menjadi halwa telinga bagi jurutol di kesemua 12 plaza tol tersebut. 

Tak ada kad Touch 'n Go...? Beli sahaja di plaza tol. Paling kedekut pun, kad pengenalan anda pun boleh digunakan sebagai kad Touch 'n Go asalkan anda menambah nilai kad tersebut. Lorong-lorong yang sebelum ini merupakan lorong tunai kini bertukar fungsinya menjadi lorong tambah nilai, jadi anda boleh menambah nilai kad Touch 'n Go anda sekiranya anda risau akan baki kredit yang tidak mencukupi.

Namun, masih ada satu lagi isu yang masih belum diselesaikan, iaitu masalah terpaksa mengundur secara berjemaah apabila ada pengguna lebuh raya yang mengalami masalah pembayaran yang berpunca daripada transponder Smart Tag yang tidak berfungsi ataupun "masalah-masalah bodoh" seperti kad Touch 'n Go kehabisan nilai kredit, transponder Smart Tag kehabisan bateri, mengekor terlalu rapat, dsb. Justeru, saya menyarankan agar syarikat konsesi yang melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya agar mengguna pakai idea oleh wartawan automotif terkemuka, Hezeri Samsuri:-




Gambar rajah pembinaan lorong Smart Tag berasingan berserta lencongan ke lorong tunai/Touch 'n Go sekiranya alatnya bermasalah
(Kredit kepada: Hezeri Samsuri)


Bagi masalah yang berpunca daripada model transponder Smart Tag itu sendiri, saya sudah pun mengenal pasti bahawa transponder jenis baharu (warna hitam) itulah yang sering mengalami masalah kualiti pembuatan dan sangat mudah rosak. Itulah salah satu punca utama kepada fenomena "terpaksa mengundur secara berjemaah" yang sering berlaku di plaza tol. Ramai pemilik transponder Smart Tag jenis baharu yang sangat tidak berpuas hati (termasuklah saya) kerana transponder mereka lebih sukar dikesan di lorong Smart Tag berbanding model lama (warna putih). Transponder Smart Tag yang dihadiahkan kepada saya secara percuma semasa sidang media Lebuhraya JB EDL E14 di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya tahun lalu pun sudah tidak boleh digunakan kerana masalah sama. Bagaimana hendak meyakinkan orang ramai untuk menggunakan sistem pembayaran tol elektronik jika produk yang tawarkan itu sendiri sering bermasalah...? Dalam hal ini, pihak Touch 'n Go mungkin perlu melanjutkan tempoh waranti produk daripada setahun kepada dua tahun bagi memulihkan keyakinan orang ramai. Kepada Efkon selaku pengeluar, sila selesaikan isu kualiti teruk pada transponder Smart Tag model baharu - jika gagal, ada baiknya model baharu yang bermasalah itu dihentikan pengeluarannya dan pengeluaran model lama diteruskan semula.






Transponder Smart Tag model lama (gambar atas) dan model baharu (gambar bawah) - model baharu dikatakan sering bermasalah dan lebih sukar dikesan di lorong Smart Tag berbanding model lama


Satu lagi masalah yang memerlukan penyelesaian segera ialah masalah tuntutan wang baki pada kad Touch 'n Go yang bermasalah akibat rosak ataupun "dormant", kerana prosedur sedia ada memerlukan masa menunggu selama sebulan (tetapi dalam kes saya pula sebulan setengah), yang saya sifatkan sebagai sangat mengarut. Proses itu sepatutnya dipercepatkan kepada hanya serta-merta sahaja - penyelesaian paling baik ialah memindahkan baki kredit di dalam kad Touch 'n Go yang bermasalah kepada kad yang baharu. Kerenah birokrasi semasa menyelesaikan tuntutan wang baki pada kad Touch 'n Go yang bermasalah tidak seharusnya berlaku tatkala industri lebuh raya ekspres kini semakin beralih kepada pelaksanaan kutipan tol elektronik.




Satu-satunya alternatif kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur E8 yang enggan berhijrah kepada penggunaan kad Touch 'n Go ialah Jalan Gombak FT68 yang sempit, berbengkang-bengkok, dan ada gaung di sebelah jalan tanpa pengadang jalan mahupun bahu jalan - ada bran...?


Isu terakhir yang perlu ditangani pula dialami oleh orang-orang KL yang hendak ke pantai timur melalui Lebuhraya Pantai Timur E8, kerana pelaksanaan kutipan tol di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 bermaksud memiliki kad Touch 'n Go kini menjadi prasyarat utama untuk menggunakan lebuh raya tersebut untuk ke pantai timur, sedangkan orang-orang Pahang dan Terengganu yang tidak ke KL masih boleh bersenang-lenang membayar tol menggunakan tunai. Dalam hal ini, Anih Berhad mungkin perlu mempertimbangkan untuk memasang papan tanda di Exit 801 Persimpangan Gombak Utara dan Exit 810 Persimpangan Bentong Timur bagi melencongkan aliran trafik pengguna yang tidak memiliki kad Touch 'n Go melalui Jalan Gombak FT68. Kepada pengguna yang enggan berhijrah kepada sekurang-kurangnya kad Touch 'n Go, ada bran ke...?

Untuk pengguna Jambatan Pulau Pinang E36 pula, ini satu berita baik untuk anda yang masih belum berhijrah kepada penggunaan sistem pembayaran tol elektronik - Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28 masih menerima pembayaran tunai. Logiknya sangat mudah, iaitu kerana plaza tol utamanya menyepadukan bayaran tol Lebuhraya Utara-Selatan E1 dengan tol jambatan E28. Cuma, satu-satunya berita buruk ialah anda mungkin terpaksa pusing jauh sedikit.

Begitulah sedikit-sebanyak mengenai pelaksanaan kutipan tol elektronik yang bermula hari ini. Justeru, segeralah mendapatkan kad Touch 'n Go sebelum menggunakan lebuh raya ekspres yang saya senaraikan di atas untuk mengelakkan diri anda daripada dimalukan akibat sumpah-seranah pengguna lebuh raya lain yang berang apabila terpaksa mengundur secara berjemaah akibat kelalaian anda yang terlupa membeli kad Touch 'n Go ataupun terlupa menambah nilai.







Sat... Mamu, lagu mana hang mau beli kad Touch 'n Go kalau dompet hang sendiri pun hilang...?

Monday, September 7, 2015

Mythbuster: Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 bukan sebuah lebuh raya ekspres capaian terkawal...!!! / Ipoh-Lumut Highway FT5 is not a controlled-access expressway...!!!



Simpang masuk ke Lebuhraya Ipoh-Lumut - mana perginya persimpangan bertingkat...? Dan mana perginya kod laluan E19...?


Salam sejahtera,

Salah satu daripada salah faham yang langsung tidak diperbetulkan sehingga ke hari ini ialah tanggapan yang mengatakan kononnya Lebuhraya Ipoh-Lumut adalah sebuah lebuh raya ekspres dengan kod laluan E19. Cuba anda lihat pada Google Maps dan Bing Maps, ketiga-tiga peta tersebut melabelkan lebuh raya tersebut sebagai E19 dan bukannya FT5, padahal kod laluan E19 itu salah sama sekali dan tidak pernah digunakan pada mana-mana papan tanda di sepanjang laluannya. Kali ini, Blog Jalan Raya Malaysia ingin menunjukkan dalil-dalil sahih lagi kukuh bagi membuktikan bahawa Lebuhraya Ipoh-Lumut bukanlah sebuah lebuh raya ekspres dengan kod laluan E19, tetapi merupakan sebuah jalan persekutuan dengan kod laluan FT5.

Dalil sahih pertama bagi membuktikannya boleh anda rujuk kepada senarai lebuh raya ekspres yang beroperasi di laman sesawang Lembaga Lebuhraya Malaysia. Anda sama sekali tidak akan menemui nama Lebuhraya Ipoh-Lumut mahupun kod laluan E19. Jika anda bertanya kepada Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia sendiri akan kewujudan Lebuhraya Ipoh-Lumut mahupun kod laluan E19, beliau sendiri pun pasti akan memberikan jawapan yang sama - lebuh raya ekspres dengan nama Lebuhraya Ipoh-Lumut E19 memang tidak wujud sama sekali.




Papan tanda maklumat jarak yang pertama di Lebuhraya Ipoh-Lumut dari arah Jelapang. Cuba perhatikan betul-betul, apakah kod laluan yang digunakan di lebuh raya ini...? E19 ataupun FT5...?




Perhatikan batu penanda jarak ini. Batu penanda jarak ini juga satu dalil sahih yang membuktikan bahawa Lebuhraya Ipoh-Lumut ini bukan lebuh raya ekspres dengan kod laluan E19, tetapi hanya sekadar jalan persekutuan dengan kod laluan FT5.


Dalil kedua pula boleh anda saksikan pada papan tanda di sepanjang laluannya. Tidak ada satu pun jata heksagon kuning pada mana-mana papan tanda di sepanjang laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut yang menggunakan kod laluan E19. Sebaliknya, jata laluan yang digunakan di sepanjang laluannya menggunakan kod laluan FT5. Mungkin anda meragui kesahihannya dengan mendakwa Jalan Lahat itulah laluan FT5 yang sebenarnya, tetapi untuk pengetahuan anda, Jalan Lahat FT5 sudah pun dilucutkan pewartaannya sebagai sebuah jalan persekutuan pada tahun 2008 dan kini sudah diturun taraf menjadi jalan perbandaran biasa sahaja. Selain jata laluan, cuba anda perhatikan warna latar yang digunakan pada papan-papan tanda di sepanjang laluannya - adakah warna latar yang digunakan itu warna hijau...? Warna latar yang digunakan itu ialah warna biru, iaitu warna sama yang digunakan pada mana-mana papan tanda jalan persekutuan biasa. Jika warna pun anda tidak boleh bezakan, saya sarankan agar anda berjumpa dengan mana-mana doktor mata yang berhampiran.




Kewujudan persimpangan searas berlampu isyarat ini satu bukti teknikal sahih bahawa Lebuhraya Ipoh-Lumut bukanlah Lebuh Raya Ekspres E19 tetapi sebenarnya Jalan Persekutuan 5




Bagaimana Lebuhraya Ipoh-Lumut boleh dikatakan sebagai Lebuh Raya Ekspres jika wujud sebarang hubungan terus ke premis-premis hartanah sebegini...?


Dalil ketiga pula lebih bersifat teknikal. Keseluruhan jajaran Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 dikenakan kawalan masuk separa dan bukannya kawalan masuk penuh. Jika anda perhatikan betul-betul di sepanjang laluannya, anda akan mendapati bahawa hanya ada satu sahaja persimpangan bertingkat yang ada di sepanjang Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 iaitu Persimpangan Seputeh. Persimpangan selebihnya kesemuanya terdiri daripada persimpangan searas - sama ada berlampu isyarat ataupun tanpa lampu isyarat (kawalan papan tanda). Inilah dalil terbaik bagi membuktikan bahawa Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 memang bukan lebuh raya ekspres. Selain itu, Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 juga mempunyai banyak pusingan U searas di sepanjang laluannya, yang juga tidak boleh wujud sama sekali pada mana-mana lebuh raya ekspres. Anda boleh baca lebih lanjut mengenainya dalam entri mengenai kawalan masuk jalan raya serta kriteria yang membezakan antara lebuh raya ekspres dengan jalan raya kembar.

Mungkin ada di antara anda yang tertanya-tanya kenapa Lebuhraya Ipoh-Lumut ini diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 5 dan bukannya Lebuh Raya Ekspres E19, jadi biar saya ceritakan sejarah pembinaan Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 ini. Untuk pengetahuan anda, Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 ini asalnya merupakan salah satu projek lebuh raya ekspres yang diluluskan pembinaannya pada tahun 1998, yang mana syarikat konsesinya memang sudah dilantik pada tahun tersebut iaitu SILEX Sdn. Bhd. SILEX Sdn. Bhd. merupakan kependekan bagi nama Syarikat Ipoh-Lumut Expressway Sdn. Bhd., yang pemegang sahamnya terdiri daripada Teras Cemara (anak syarikat MRCB) dan Perak Corporation Bhd. (anak syarikat SEDC Perak, yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri Perak pada masa tersebut). Projek Lebuhraya Ipoh-Lumut ini asalnya merupakan projek lebuh raya ekspres yang diswastakan dengan kod laluan tentatif E19. Namun, seperti kebanyakan projek lebuh raya ekspres yang diluluskan pada tahun 1998 (kecuali Lebuhraya Guthrie E35 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22), projek Lebuhraya Ipoh-Lumut dibatalkan pembinaannya akibat kesan krisis kegawatan ekonomi pada tahun tersebut. Namun, projek Lebuhraya Ipoh-Lumut akhirnya dihidupkan semula pada tahun 2004 sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 5 sedia ada. MRCB sekali lagi dipelawa oleh Kementerian Kerja Raya bagi menyiapkan projek Lebuhraya Ipoh-Lumut yang dihidupkan semula ini di bawah pengawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak. Projek yang dihidupkan semula ini terdiri daripada sebuah jalan super two sepanjang 22.7 km dari Jelapang ke Seputeh dan juga jalan raya kembar sepanjang 48 km dari Seputeh ke Sitiawan. Jalan super two dari Jelapang ke Seputeh ini merupakan jajaran baharu bagi memotong Jalan Lahat FT5, manakala jalan raya kembar bagi keseluruhan jajaran selebihnya pula menggunakan jajaran asal FT5. Sebab itulah Lebuhraya Ipoh-Lumut yang anda dapat lihat sekarang ini sebenarnya FT5 dan bukannya E19. Pembinaan Lebuhraya Ipoh-Lumut ini dimulakan pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada tahun 2008 dengan kos pembinaan sejumlah RM175 juta bagi jajaran Seputeh-Sitiawan. Setelah keseluruhan jajaran Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 siap, jalan lama yang dikenali sebagai Jalan Lahat FT5 kini sudah pun dilucutkan pewartaannya sebagai Jalan Persekutuan dan diturun taraf kepada jalan perbandaran biasa tanpa sebarang kod laluan.

Diharap selepas ini tiada lagi dakyah sesat lagi menyesatkan yang mengatakan kononnya Lebuhraya Ipoh-Lumut menggunakan kod laluan E19 yang memang terbukti salah, karut lagi menyesatkan. Lebuhraya Ipoh-Lumut E19 memang tidak wujud sama sekali; yang wujud hanyalah Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 sahaja. Tiga dalil bertulis serta beberapa dalil bergambar sudah pun saya paparkan dalam entri ini. Jika anda masih musykil dan khilaf lagi mengenainya, anda boleh mendapatkan pencerahan daripada JKR Perak pada bila-bila masa sahaja. Memandangkan Google Maps sudah boleh disunting melalui laman Google Map Maker, maka saya ingin mengajak anda semua yang sudah membaca entri ini untuk membuang jata laluan E19 pada laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 dan menggantikannya dengan jata laluan FT5 pula, dengan hirarki jalan disetkan kepada National Highway dan bukannya Motorway mahupun Expressway. Selain itu, kepada World Express Mapping Sdn. Bhd. selaku pengeluar peta fizikal terbesar di Malaysia, sila perbetulkan peta-keta keluaran anda terutamanya bagi peta negeri Perak dan peta bandar raya Ipoh. Akhir sekali, kepada Aiman Ab. Majid selaku admin kedua, tolong lencongkan dan gabungkan rencana Ipoh-Lumut Expressway di Wikipedia ke rencana Ipoh-Lumut Highway dan gantikan kesemua kod laluannya daripada E19 kepada FT5.

Kemaskini: Ahli-ahli Waze Community Malaysia telah memaklumkan kepada saya bahawa kod laluan bagi Lebuhraya Ipoh-Lumut sudah lama ditukar kepada FT5. Terima kasih saya ucapkan.

Advertisement