Wednesday, October 28, 2015

Jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 dan projek naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 dimuktamadkan / East Coast Expressway Phase 3 (ECE3) E8 alignment and Northern Terengganu Coastal Road T1 and T3 upgrade has been finalized



Peta jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 yang sudah dimuktamadkan
(Kredit kepada: Laman Facebook Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air dan Lebuhraya Malaysia)


Salam sejahtera,

Bahagian ketiga siri entri Dari Negara Pakcik Sam ditangguhkan seketika untuk memberi laluan kepada dua berita menarik buat anak-anak Terengganu. Berita pertama ialah jajaran dan senarai persimpangan bagi projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 sudah pun dimuktamadkan, manakala berita kedua pula ialah kerajaan negeri Terengganu merancang untuk menaiktaraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu (Jalan Negeri Terengganu T1 dan T3) daripada jalan raya tunggal dua lorong kepada jalan raya kembar.




Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 akan bermula dari Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu


Kami mulakan dengan projek LPT3 E8 terlebih dahulu. Projek sambungan kepada Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 itu bakal dimulakan dari penamat LPT2 E8 di Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu dan berakhir di Tumpat ini, yang dianggarkan sepanjang 124 km. Setelah ia siap kelak, Lebuhraya Pantai Timur E8 akan menjadi satu laluan lebuh raya ekspres terpanjang di Malaysia, dengan panjang keseluruhan dianggarkan lebih kurang 570 km (setelah ditolak jarak dari Plaza Tol Gombak ke pusat bandar raya Kuala Lumpur sejauh 19 km, yang tidak lagi melalui E8). Ia sekaligus akan mengalahkan pemegang rekod terdahulu iaitu Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara E1 sepanjang 460 km. Kos keseluruhan bagi pembinaan LPT3 E8 ini dianggarkan sejumlah RM2.4 bilion, yang mana kerajaan negeri Terengganu akan mendahulukan wang mereka sebanyak RM1.8 bilion sebelum menuntutnya semula daripada kerajaan persekutuan untuk membolehkan jajaran di Terengganu dimulakan segera.

Senarai persimpangan bertingkat di sepanjang LPT3 E8 adalah seperti berikut:-
  1. Persimpangan Permaisuri - ke Bandar Permaisuri, Penarik dan jeti ke Pulau Redang melalui Jalan Negeri Terengganu T1
  2. Persimpangan Jertih - ke Jertih, Kampung Raja dan Besut melalui Jalan Persekutuan 84
  3. Persimpangan Machang (aka Persimpangan Pasir Puteh) - ke Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Jeli melalui Jalan Persekutuan 3 dan 4
  4. Persimpangan Ketereh - ke Ketereh, Kok Lanas, Pulai Chondong dan Melor melalui Jalan Negeri Kelantan D14 ataupun Jalan Persekutuan 8
  5. Persimpangan Kota Bharu - ke Pasir Mas, Kota Bharu dan Wakaf Bharu melalui Jalan Persekutuan 3
  6. Persimpangan Tumpat (aka Persimpangan Pengkalan Kubor) - ke Tumpat dan Pengkalan Kubor melalui Jalan Persekutuan 134

Setelah melepasi Persimpangan Tumpat, LPT3 akan melalui plaza tol terakhir di Pengkalan Kubor dan kompleks imigresen dan kuarantin baharu di sana sebelum melintasi Sungai Golok untuk ke Tak Bai, Thailand melalui Jalan Kebangsaan Thailand 4084. Jenis lintasan pula masih belum dimuktamadkan sama ada melalui jambatan ataupun terowong, berikutan terdapat khabar angin yang mengatakan Thailand akan membina terowong melintasi Sungai Golok untuk ke Pengkalan Kubor. Walau apa pun jenis lintasan yang dipilih, ia mungkin akan menyebabkan tamatnya perkhidmatan feri sungai di Pengkalan Kubor yang dikendalikan oleh JKR Kelantan.

Bagaimana dengan senarai hentian rehat dan rawat serta hentian sebelah...? Maafkan saya, tiada butiran lanjut mengenainya yang dapat saya perolehi buat masa sekarang. Apa pun, jutaan terima kasih kepada laman Facebook Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air dan juga laman Facebook sekutu kami, Lebuhraya Malaysia, atas maklumat yang diberikan ini.

Seterusnya kita ke berita kedua pula iaitu projek naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada jalan raya kembar 4 lorong. Projek naik taraf itu dijalankan bagi menyediakan laluan bebas tol yang lebih menjimatkan masa berbanding Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3. Meskipun Jalan Persekutuan 3 sepatutnya merupakan jalan raya pantai timur Semenanjung Malaysia, namun jajaran dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu pula sebenarnya melalui kawasan pedalaman pantai timur dan bukannya betul-betul di kawasan pantai. Ia berbeza dengan Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, Jalan Kuantan-Pekan FT3 dan Jalan Pekan-Mersing FT3 yang memang merupakan jalan raya pantai dalam erti kata sebenar.

Dalam projek naik taraf jalan raya ini, tidak semua jajaran yang dilalui itu benar-benar Jalan Negeri Terengganu T1 dan T3. Projek ini akan dimulakan dari Pengkalan Nyireh melalui Jalan Negeri Terengganu T167 ke Dendong dan seterusnya akan melalui satu laluan baharu yang memintas jalan T3 sehingga ke Taman Ilmu Terengganu. Dari Taman Ilmu Terengganu, projek jalan raya kembar ini akan melalui jalan T3 sedia ada sehingga ke Kampung Che Selamah, dan seterusnya jalan T1 dari Kampung Che Selamah ke Gong Badak Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Panjang keseluruhan dianggarkan lebih kurang 100 km dan jarak perjalanan dianggarkan lebih kurang sejam sahaja berbanding ketika menggunakan jalan FT3 yang mengambil masa sehingga 2 jam.

Teruja...? Saya pasti berita pembinaan LPT3 ke Pengkalan Kubor ini pasti akan menyebabkan anak-anak Kelantan dan Terengganu berasa teruja dan gembira. Berita sebegini juga mampu menangkis dakyah kononnya kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional meminggirkan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), serta membuktikan bahawa anak-anak Kelantan sememangnya dambakan laluan lebuh raya ekspres yang bakal memacu perkembangan ekonomi di Terengganu dan Kelantan kelak. Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa kesepakatan pucuk pimpinan kerajaan negeri Kelantan sekarang dengan kerajaan persekutuan yang sanggup mengenepikan persengketaan dan perbezaan fahaman politik demi kesejahteraan rakyat. Sementara itu pula, kerja naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 juga membuktikan bahawa kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya sememangnya bersungguh-sungguh mahu menyediakan laluan alternatif percuma tanpa tol yang bagus dan berjiwa rakyat dalam erti kata sebenar.

Bahagian ketiga siri entri Dari Negara Pakcik Sam akan bersambung selepas entri ini.

Monday, October 26, 2015

Dari Negara Pakcik Sam Bahagian 2: Jalan US 66, satu kisah klasik usaha memartabatkan jalan raya / From the United States of Uncle Sam Part 2: US Route 66, a classic story of efforts to keep the prestige of roads







Salam sejahtera,

Rangkaian jalan persekutuan di negara kita telah banyak berjasa kepada rakyat sejak laluan perintis bagi Jalan Persekutuan 1 dari Alor Setar ke Songkhla dibina pada tahun 1880 atas titah perintah Sultan Kedah pada masa itu, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Bermula daripada jalan tersebut, pihak penjajah British membina sebegitu banyak jalan raya yang sebenarnya bertujuan untuk membolehkan mereka mengeksploit kekayaan hasil bumi kita dengan begitu rakus. Namun, jalan-jalan yang dibina oleh penjajah inilah yang berjasa menghubungkan rakyat antara desa dan kota, sehingga menyebabkan banyak kampung, pekan dan bandar tumbuh bagai cendawan. Martabat jalan-jalan persekutuan semakin diangkat tinggi setelah Akta Jalan-jalan Persekutuan 1959 diwartakan, yang mana pindaan akta tersebut pada tahun 1989 memerlukan Menteri Kerja Raya mewartakan laluan bagi Jalan Persekutuan yang diwartakan. Namun, peranan jalan persekutuan sebagai nadi utama pengangkutan negara semakin terancam akibat pembinaan rangkaian lebuh raya ekspres jarak jauh, bermula dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dan diikuti dengan Lebuhraya Pantai Timur E8. Sejak siapnya kedua-dua lebuh raya tersebut, ramai di kalangan pengguna jalan raya yang meminggirkan rangkaian jalan raya persekutuan yang berjasa kepada negara sejak lebih seabad lamanya dan menganggap kononnya kedua-dua lebuh raya ekspres itu sahajalah satu-satunya laluan penting ke destinasi yang hendak dituju (malah ada yang menganggap penggunaan jalan persekutuan untuk perjalanan jauh sebagai "kerja gila"), sehingga ke tahap mahu mendesak kerajaan menjadikan kedua-dua lebuh raya ekspres tersebut percuma tanpa tol. Mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya telah menabur pasir ke dalam periuk nasi lebih sejuta orang yang bergantung kepada Jalan Persekutuan 1 untuk mencari rezeki.

Sungguhpun demikian, nasib para penduduk yang tinggal di sepanjang jalan persekutuan utama yang sebelum ini menjadi laluan terpenting di Malaysia boleh dikatakan masih terbela kerana kerajaan masih mengekalkan kewujudan laluan-laluan tersebut, malah kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya berusaha menambah baik beberapa jajaran bagi laluan-laluan tersebut secara berterusan, meskipun peruntukan yang diterima agak terhad. Buktinya, banyak jajaran jalan persekutuan utama yang sudah dinaik taraf, sama ada sebagai jalan super two ataupun sebagai jalan raya kembar. Inilah salah satu komitmen oleh kerajaan untuk menarik kembali minat pengguna jalan raya agar kembali menggunakan jalan persekutuan sebagai alternatif percuma bagi lebuh raya ekspres. Namun, nasib di Amerika Syarikat pula sangat berbeza - memandangkan sebahagian besar Lebuh Raya Interstate dibina sebagai naik taraf Jalan US sedia ada, maka banyak jajaran Jalan US yang dikorbankan sehingga ada laluan tulang belakang yang sudah dilucutkan pewartaannya. Selain itu, pembinaan rangkaian Lebuh Raya Interstate juga telah meragut nyawa sumber ekonomi penduduk tempatan yang mencari makan di sepanjang jajaran Jalan US yang dilucutkan pewartaannya itu. Antara laluan Jalan US utama yang menerima nasib malang sebegitu ialah Jalan US 66.






Permulaan Jalan US 66 di Chicago (gambar atas) dan penamatnya di Santa Monica (gambar bawah)


Jalan US 66, atau nama rasminya Lebuhraya Memorial Will Rogers, merupakan salah satu daripada jalan raya tulang belakang utama terawal yang diwartakan di dalam Sistem Jalan Raya Bernombor Amerika Syarikat (United States Numbered Highways System). Jalan raya yang pernah menjadi jalan raya paling terkenal di Amerika Syarikat ini menghubungkan antara bandar raya Chicago, Illinois di Tasik-tasik Besar dengan Los Angeles, California di sebelah pantai barat, dengan jarak keseluruhan 2,451 batu (3,945 km). Jalan US66, bersama-sama beberapa laluan Jalan US terawal yang lain, diwartakan pada 26 November 1926.

Segala-galanya bermula pada tahun 1857 apabila Leftenan Edward Fitzgerald Beale, seorang pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat yang berkhidmat untuk Kor Jurutera Topografi Tentera AS diarahkan oleh Jabatan Peperangan untuk membina sebatang jalan kereta kuda yang dibiayai oleh kerajaan, serta menjalankan satu kajian kemungkinan bagi penggunaan unta sebagai pengangkutan di kawasan gurun barat daya AS. Jalan yang digunakan ini membentuk sebahagian daripada jajaran US 66. Setelah penggunaan kereta semakin berkembang, lebih-lebih lagi setelah teknik pengeluaran besar-besaran diperkenalkan oleh Henry Ford semasa mengeluarkan kereta Ford Model T, banyak denai kereta dibina bagi menggalakkan perjalanan jarak jauh.

Tiga laluan perintis utama digunakan oleh Jalan US 66 - Laluan Lone Star (Chicago-St. Louis), Denai Ozark (St. Louis-Las Vegas, New Mexico) dan Jalan Denai Lama Kebangsaan (jajaran selebihnya). Kod laluan US 66 mula diwartakan pada 30 April 1926. Namun, jalan ini masih belum berturap sepenuhnya sehinggalah pada tahun 1938.

Sebaik sahaja Jalan US 66 diwartakan, Persatuan Lebuhraya US 66 (US Highway 66 Association) mula ditubuhkan. Mereka inilah yang bertanggungjawab memartabatkan Jalan US 66 sehingga menjadi jalan raya paling terkenal di negara Pakcik Sam. Ditubuhkan pada tahun 1927, persatuan ini berperanan menggesa kerajaan untuk menurap keseluruhan Jalan US 66 dari hujung ke hujung, memandangkan US 66 asalnya ada jajaran yang tidak berturap. Setelah ia siap diturap, Jalan US 66 menjadi jalan raya tulang belakang utama yang pertama diturap sepenuhnya di AS. Setelah keseluruhan US 66 siap diturap pada tahun 1938, peranan mereka seterusnya ialah menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan industri pelancongan di sepanjang jajaran US 66. Peranan mereka ini samalah seperti beberapa persatuan denai kereta yang wujud sebelum pembangunan Sistem Jalan Raya Bernombor AS. Antaranya termasuklah mengedarkan iklan-iklan bagi mengajak rakyat negara Pakcik Sam untuk menggunakan US 66 untuk ke Los Angeles sempena temasya Sukan Olimpik 1932 di sana. Setelah iklan tersebut disebarkan, persatuan tersebut dibanjiri ratusan permintaan mengenai maklumat US 66 daripada pengguna jalan raya.

Semasa zaman kegemilangan US 66, jalan raya tersebut menjadi laluan pilihan ramai untuk ke pantai barat berikutan keadaan geografinya. Di sebelah timur, Jalan US 66 menyelusuri kawasan dataran yang rata dan luas, sekaligus menarik ramai petani untuk berhijrah di sepanjang laluannya untuk mengerjakan ladang gandum di sana. Ia seterusnya membawa kepada pembentukan pekan-pekan dan kampung-kampung di sepanjang laluannya, di samping perkembangan ekonomi tempatan yang kebanyakannya terdiri daripada perniagaan kecil-kecilan dan perniagaan milik keluarga. Kedai makan, restoran, rumah tumpangan, hotel, motel, stesen minyak, kedai cenderamata dsb. tumbuh bagai cendawan selepas hujan.




Jajaran jalan lama US 66 antara Oatman dan Kingman yang terbiar setelah dipintas




Pekan Oatman di Arizona yang kini bertukar menjadi pekan koboi setelah pelucutan pewartaan Jalan US 66


Namun, tidak semua jajaran US 66 rata dan lurus. Terdapat juga jajaran yang curam, berkelok-kelok, berselekoh tajam dan berbahaya, memandangkan Jalan US 66 masih perlu merentasi Banjaran Rocky untuk ke pantai barat. Maka, pelbagai penambahbaikan dijalankan bagi menjadikan US 66 selamat untuk digunakan, termasuklah memintas jajaran-jajaran yang berselekoh tajam dan berbahaya. Jajaran yang paling berbahaya di sepanjang US 66 ialah di Oatman, Arizona, kerana jajaran tersebut mempunyai paling banyak selekoh hairpin serta merupakan jajaran yang paling curam di sepanjang US 66. Jajaran tersebut dikatakan sangat berbahaya sehinggakan pemandu baharu yang terlalu takut menggunakan jajaran tersebut terpaksa mengupah orang tempatan untuk menyelusuri jajaran paling berbahaya itu. Jajaran Oatman kekal sebagai sebahagian daripada US 66 sehinggalah jajaran itu dipintas pada tahun 1953. Akibat pemintasan jajaran Oatman, pekan Oatman di Arizona kini menjadi sebuah pekan koboi sahaja.

Itu baru cerita sebuah pekan yang mati akibat pemintasan jalan yang sama. Bermula tahun 1956, lebih banyak pekan kecil yang terbunuh akibat program Sistem Lebuh Raya Interstate oleh Presiden Dwight D. Eisenhower, yang mana US 66 menjadi salah satu mangsa utamanya. Menurut program lebuh raya Interstate, sebahagian besar lebuh raya Interstate dibina hasil naik taraf Jalan US lama kepada lebuh raya ekspres capaian terkawal. Memandangkan sifat umum Lebuh Raya Interstate dikenakan kawalan masuk penuh, sebarang capaian terus kepada mana-mana rumah, kedai, ladang mahupun premis hartanah tidak dibenarkan, yang bermaksud peniaga sudah tidak lagi boleh berniaga di tepi jalan seperti sebelumnya atas faktor keselamatan. Sekiranya sesebuah Lebuh Raya Interstate hendak merentasi kawasan bandar atau pekan, maka banyak bangunan terpaksa dirobohkan bagi memberi ruang kepada kerja naik taraf di samping pembinaan lorong-lorong pengumpul tempatan, ataupun sekadar memintas terus bandar atau pekan tersebut. Kedua-duanya mengakibatkan kematian kampung-kampung atau pekan-pekan kecil yang kurang kepentingan ekonomi, sama ada sebagai pekan koboi ataupun menjadi pekan hantu.

Namun, proses "kematian" US 66 sebenarnya bermula daripada kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf US 66 itu sendiri. Misalnya, selepas Perang Dunia Kedua, jajaran US 66 di Illinois dinaiktaraf menjadi lebuh raya kembar yang mana persimpangan searas di sepanjang jajaran tersebut digantikan kepada persimpangan bertingkat secara beransur-ansur. Pemintasan besar-besaran jajaran US 66 bermula dengan pembukaan Lebuhraya Tol Turner (Turner Turnpike) pada tahun 1953, disusuli dengan Lebuhraya Tol Will Rogers (Will Rogers Turnpike) pada tahun 1957. Kedua-dua lebuh raya tersebut kemudian diwartakan sebagai sebahagian jajaran Lebuhraya Interstate 44. Seterusnya, kerja-kerja naik taraf US 66 menjadi lebuh raya Interstate ataupun laluan lebuh raya Interstate baharu yang memintas terus US 66 beransur-ansur meragut nyawa Jalan US 66.

Bagaimana pula tindakan penduduk tempatan bagi memelihara periuk nasi mereka...? Semasa pembangunan rangkaian lebuh raya Interstate yang beransur-ansur membunuh ekonomi penduduk di sepanjang US 66, Persatuan Lebuhraya US 66 menjadi wadah penduduk tempatan yang bimbang akan mata pencarian mereka yang semakin terancam akibat pembinaan lebuh raya Interstate. malah, beberapa bandar di Missouri mengancam mahu menyaman kerajaan negeri sekiranya Jalan US 66 dilucutkan pewartaannya, tetapi akhirnya tiada satu pun tindakan saman yang dikenakan. Bagaimana hendak menyaman kerajaan kalau duit untuk mengupah peguan pun tiada akibat perniagaan yang sudah gulung tikar...? Ada juga perniagaan yang terkenal kerana Jalan US 66 yang menuntut agar lebuh raya yang menggantikan US 66 diwartakan sebagai Lebuhraya I-66, tetapi permohonan tersebut ditolak. Akhirnya, Jalan US 66 dilucutkan pewartaannya pada tahun 1985 setelah siapnya jajaran terakhir Lebuhraya I-40 di Arizona pada tahun 1984. Peristiwa terlucutnya perwataan Jalan US 66 sering dianggap sebagai penamat kepada "era Jalan US" oleh para pejuang jalan raya di negara Pakcik Sam.








Tiga batang lebuh raya Interstate yang bertanggungjawab "meragut nyawa" Jalan US 66 iaitu I-55 (atas), I-44 (tengah) dan I-40 (bawah)


Jadi lebuh raya apakah yang menggantikan sepenuhnya peranan Jalan US 66 yang telah banyak berjasa kepada rakyat Amerika Syarikat selama enam dekad itu...? Tiada laluan tunggal Lebuhraya Interstate yang menggantikan Jalan US 66; sebaliknya, ada beberapa batang lebuh raya Interstate yang berperanan menggantikannya pada beberapa jajaran tertentu. Jajaran US 66 dari Chicago ke St. Louis digantikan oleh lebuh raya I-55, manakala Lebuhraya Interstate 44 pula merangkumi jajaran dari St. Louis ke Oklahoma City. Lebuhraya Interstate 40 memakan bahagian terbesar iaitu dari Oklahoma City ke Barstow, California. Di California pula, beberapa batang lebuh raya berperanan menggantikan US 66 sehingga ke penamatnya di Santa Monica di pinggir Los Angeles, iaitu I-15 (Barstow-San Bernardino), manakala jajaran merentasi bandar raya Los Angeles pula melalui I-210 dan CA 2 / I-10 sehingga ke penamatnya di Santa Monica.

Setelah pelucutan pewartaan US 66, jajaran baki US 66 yang masih digunakan di beberapa negeri diturun taraf menjadi jalan negeri. Pelbagai persatuan Jalan US 66 ditubuhkan semula oleh para pencinta jalan raya setelah persatuan asal dibubarkan pada tahun 1978. Mereka berperanan dalam usaha-usaha pemulihan semula jajaran Jalan US 66 lama, mengkaji sejarah Jalan US 66, serta bekerjasama dengan pekan-pekan yang pernah dilalui US 66 untuk membangunkan semula bekas Jalan US 66 dan memulihara pekan-pekan tersebut dalam usaha menjadikan jajaran baki US 66 sebagai destinasi pelancongan kembara jalan raya. Apa yang lebih membanggakan, Presiden Bill Clinton menandatangani Rang Undang-Undang Pemuliharaan Laluan Kebangsaan 66 (National Route 66 Preservation Bill), sekaligus memberikan sokongan padu terhadap usaha memulihara dan memartabatkan Jalan US 66 yang telah banyak berjasa kepada negara Pakcik Sam selama enam dekad.






Pekan Ajil (atas) dan Bukit Besi (bawah), dua buah pekan utama yang bergantung kepada Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 semakin mati sejak pembukaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 E8


Kesimpulannya, rakyat Malaysia seharusnya mencontohi komitmen warga Amerika Syarikat dalam memartabatkan rangkaian jalan raya mereka melalui kisah Jalan US 66 ini. Sekurang-kurangnya kita masih bernasib baik kerana kerajaan tidak sama sekali meminggirkan rangkaian jalan persekutuan tetapi sebaliknya sentiasa berusaha menambah baik jajaran jalan persekutuan sedia ada agar pengguna beralih semula kepada penggunaan jalan persekutuan. Ada juga penduduk tempatan yang begitu memartabatkan jalan raya di kawasan mereka; misalnya, terdapat orang-orang Kelantan yang tinggal di sepanjang Jalan Persekutuan 8 yang begitu berbangga akan jalan raya yang banyak berjasa kepada mereka ini dengan memberi nama jolokan "Jale Nomor Lape" (maafkan saya sekiranya "kecek Kelate" saya tidak begitu bagus) terhadap jalan FT8 itu. Semangat cintakan jalan raya sebeginilah yang patut disemaikan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.  Jadi apa yang boleh dilakukan oleh komuniti peniaga dan penduduk tempatan untuk memartabatkan jalan raya yang menjadi nadi ekonomi mereka...? Mereka sewajarnya bersatu dan berganding bahu dengan menubuhkan persatuan jalan raya masing-masing, misalnya Persatuan Jalan Persekutuan 1 bagi komuniti yang tinggal di sepanjang Jalan Persekutuan 1. Persatuan sebegini boleh bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Penerangan bagi memajukan industri pelancongan jalan raya di kawasan masing-masing. Persatuan sebegini juga berperanan mengkaji sejarah jalan raya masing-masing buat tatapan generasi akan datang; jika persatuan-persatuan sebegini inginkan kerjasama serta perkongsian maklumat oleh kami di Blog Jalan Raya Malaysia, kami sedia membantu. Apa yang lebih penting ialah inisiatif memartabatkan jalan raya sebegini perlu diperluas ke seluruh negara. Hanya kita sahaja yang mampu menunjukkan kepada dunia betapa bagus dan bersejarahnya rangkaian jalan raya kita.

Ikuti bahagian terakhir siri entri Dari Negara Pakcik Sam untuk perbandingan antara sistem rangkaian jalan persekutuan di Malaysia dengan rangkaian jalan US di Amerika Syarikat.

Saturday, October 24, 2015

Dari Negara Pakcik Sam Bahagian 1: Kenapa lebuh raya Interstate AS percuma tetapi lebuh raya kita bertol...? / From the United States of Uncle Sam Part 1: Why the US Interstate highways are free but ours are tolled...?



Lebuhraya Interstate 5 di San Diego, Amerika Syarikat


Salam sejahtera,

Sudah agak lama saya tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia ini. Sepatutnya ada banyak entri yang patut saya tulis sempena kenaikan tol lebuh raya yang diumumkan pada pertengahan Oktober sebelum ini, namun kesibukan kerja telah menyebabkan saya tidak dapat meluangkan masa untuk menulisnya. Untuk mengubat kerinduan anda, saya bawakan kepada anda dua entri berkenaan rangkaian jalan raya Amerika Syarikat yang ada kena-mengena dengan isu-isu berkaitan jalan raya di Malaysia. Sebagai pembukaan, saya bawakan kepada anda sedikit-sebanyak mengenai Sistem Lebuh Raya Antara Negeri dan Pertahanan Kebangsaan Dwight D. Eisenhower (Dwight D. Eisenhower National System of Interstate and Defense Highways), atau lebih dikenali sebagai Sistem Lebuh Raya Interstate (Interstate Highway System). Salah satu soalan paling popular mengenai rangkaian Lebuh Raya Interstate ialah "kenapa lebuh raya Interstate AS percuma tapi lebuh raya ekspres kita kena tol...?" Untuk menjawab persoalan tersebut, teruskan membaca sehingga ke penamat entri ini untuk mengetahuinya.

Sistem Lebuh Raya Antara Negeri dan Pertahanan Kebangsaan Dwight D. Eisenhower, atau lebih dikenali sebagai Sistem Lebuh Raya Interstate, merupakan rangkaian lebuh raya capaian terkawal primer di Amerika Syarikat yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. Asalnya, rangkaian lebuh raya Interstate merupakan satu-satunya rangkaian jalan raya yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan melalui Akta Lebuhraya Bantuan Persekutuan 1956 (1956 Federal Aid Highways Act) yang diluluskan oleh Presiden Dwight D. Eisenhower, tetapi Akta Penetapan Sistem Lebuhraya Kebangsaan 1995 (1995 National Highway System Designation Act) yang ditandatangani oleh Presiden Bill Clinton turut menambah jalan-jalan masuk utama ke pelabuhan, lapangan terbang, stesen kereta api, terminal talian paip, pengkalan feri serta premis-premis tentera sebagai jalan-jalan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. Memandangkan rangkaian lebuh raya Interstate dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan, maka sudah tentulah ia percuma tanpa tol, kecuali sebilangan kecil lebuh raya tol sepanjang 4,700 km yang diwartakan sebagai sebahagian jajaran rangkaian lebuh raya Interstate. Dengan panjang keseluruhan 77,017 km ataupun hanya 1% daripada panjang keseluruhan jalan raya di Amerika Syarikat, rangkaian lebuh raya Interstate berperanan mengangkut lebih kurang seperempat daripada jumlah trafik keseluruhan di Amerika Syarikat.

Sejarah pembangunan rangkaian lebuh raya Interstate berkait rapat dengan sejarah perkembangan jalan raya di Amerika Syarikat sendiri. Penciptaan kereta tanpa kuda pada penghujung kurun ke-19 membawa kepada keperluan bagi rangkaian jalan raya di seluruh AS. Namun, sistem pengangkutan jarak jauh yang ada pada masa tersebut hanyalah rangkaian landasan kereta api sahaja. Pada tahun 1903, Horatio Nelson Jackson merupakan individu pertama yang direkodkan berjaya memandu dari New York di sebelah pantai timur ke San Francisco di sebelah pantai barat, dengan menggunakan kombinasi jalan tanah merah, denai jejak lembu serta asas landasan kereta api yang sedang dibina. Kejayaannya merentasi AS ini membawa kepada seruan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu rangkaian jalan raya kebangsaan. Tambahan pula, teknik pengeluaran besar-besaran yang diperkenalkan oleh Henry Ford telah berjaya menurunkan harga kereta Ford Model T keluarannya, daripada sekitar USD900 pada tahun 1910 kepada hanya USD260 pada tahun 1925, menjadikan kereta Ford mampu dimiliki setiap lapisan rakyat AS. Daripada situlah munculnya rangkaian "denai kereta" yang diwujudkan bagi menggalakkan perjalanan jarak jauh menggunakan kereta bagi tujuan rekreasi. Namun, denai-denai kereta ini bukanlah dibina oleh kerajaan tetapi sebaliknya dibina oleh organisasi denai-denai kereta, sama ada melalui kerjasama langsung dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, ataupun meminta bayaran daripada pihak perbandaran - bandar yang tidak membayar organisasi denai kereta tidak mempunyai akses terhadap denai kereta tersebut.

Penglibatan langsung kerajaan negeri dalam membangunkan rangkaian jalan raya hanya bermula pada tahun 1918 apabila Wisconsin menjadi negeri pertama yang membangunkan rangkaian jalan rayanya sendiri, diikuti dengan negeri-negeri New England (Connecticut, Maine, Massachusetts, New Hampshire, Rhode Island dan Vermont) pada tahun 1922. Pada masa yang sama, Akta Jalan Bantuan Persekutuan 1916, diikuti dengan Akta Jalan Bantuan Persekutuan 1921, sudah pun bermula, yang mana kedua-dua akta tersebut membolehkan kerajaan persekutuan membiayai sebahagian daripada rangkaian jalan-jalan negeri tersebut, dengan syarat rangkaian jalan-jalan negeri yang memerlukan peruntukan persekutuan itu menghubungkan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Daripada situlah lahirnya Sistem Jalan Raya Bernombor Amerika Syarikat (United States Numbered Highway System) pada tahun 1926.




Jalan US 1 di Whiting, Maine, AS. Jalan US 1 ini boleh dikatakan sebagai "kembar" bagi Jalan Persekutuan 1 di Malaysia


Sistem Jalan Raya Bernombor Amerika Syarikat, atau lebih dikenali sebagai rangkaian Jalan US, merupakan satu rangkaian jalan raya utama atau primer yang menghubungkan antara negeri di Amerika Syarikat, samalah seperti rangkaian Jalan Persekutuan di Malaysia. Sebab itulah rangkaian Jalan US juga sering dianggap sebagai rangkaian Jalan Persekutuan di AS, tetapi sebenarnya rangkaian jalan US bukanlah jalan persekutuan kerana tidak dibiayai secara langsung oleh kerajaan persekutuan. Sebaliknya, pembinaan dan penyelenggaraannya dibiayai oleh kerajaan negeri dengan sedikit peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutuan secara tidak langsung.

Namun, masalah mula timbul semasa Amerika Syarikat mula terlibat dalam kancah Perang Dunia Kedua susulan serangan oleh tentera Jepun di Pearl Harbor pada Disember 1941. Kenderaan tentera dari kem-kem tentera di seluruh AS perlu bergerak pantas dari satu tempat ke satu tempat yang lain, memandangkan Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang besar dari segi saiz geografinya. Namun, mereka terpaksa berkongsi jalan bersama-sama kenderaan bergerak perlahan di jalan-jalan US. Ada kalanya, kenderaan tentera terpaksa menahan sabar mengekori kenderaan bergerak perlahan yang terkedek-kedek seperti kura-kura sehingga berbatu-batu jauhnya sebelum dapat memotong dengan selamat. Jika keadaan sebegini dibiarkan berterusan, maka sudah tentulah Amerika Syarikat amat mudah diserang oleh musuh yang mengambil kesempatan akan saiz geografinya yang besar. Daripada situlah timbulnya keperluan bagi satu rangkaian lebuh raya capaian terkawal yang membolehkan kenderaan tentera dapat dikerah dengan lebih pantas, di samping memacu ekonomi serta industri automotif di negara Pakcik Sam ini.

Presiden Amerika Syarikat yang bertanggungjawab di sebalik tabir pembangunan rangkaian lebuh raya Interstate ini sudah tentulah Presiden Dwight D. Eisenhower. Beliau mendapat ilham bagi membangunkan rangkaian lebuh raya Interstate melalui pengalamannya merentasi Lebuhraya Lincoln, salah satu denai kereta terawal di Amerika Syarikat, pada zaman mudanya sebagai seorang pegawai tentera AS. Beliau kemudian mendapat idea bagi membangunkan sebuah rangkaian lebuh raya capaian terkawal yang lebih cekap setelah meneliti rangkaian Reichsautobahn Jerman yang dibangunkan oleh rejim Nazi pimpinan Adolf Hitler dan memuji rangkaian autobahn terawal Jerman itu sebagai satu komponen infrastruktur penting negara bagi tujuan pertahanan. Draf bagi pelan laluan perintis bagi rangkaian lebuh raya Interstate mula diterbitkan di dalam buku Lokasi Am bagi Sistem Lebuh Raya Antara Negeri Kebangsaan (General Location of National System of Interstate Highways), juga dikenali sebagai Buku Kuning (Yellow Book), yang dirangka bersama-sama Setiausaha Pertahanan merangkap Presiden General Motors, Charles Erwin Wilson.




Presiden Dwight D. Eisenhower melancarkan projek rangkaian Lebuh Raya Interstate pada tahun 1956


Pembinaan rangkaian lebuh raya Interstate diluluskan oleh Kongres pada 29 Jun 1956. Tiga buah negeri mendakwa membina lebuh raya Interstate pertama di negara Pakcik Sam, iaitu Missouri, Kansas dan Pennsylvania. Missouri mendakwa projek naik taraf Jalan US66 kepada Lebuhraya Interstate 40 sebagai laluan pertama yang dibina di bawah program Lebuh Raya Interstate setelah Akta Lebuhraya Bantuan Persekutuan 1956 diluluskan. Kansas pula mendakwa pembinaan Lebuhraya Interstate 70 sebagai lebuh raya Interstate terawal kerana ia adalah lebuh raya Interstate paling awal siap. Di Pennsylvania pula, Lebuhraya Tol Pennsylvania (Pennsylvania Turnpike) yang merupakan lebuh raya tol pertama di Amerika Syarikat juga didakwa sebagai lebuh raya Interstate terawal kerana ia sudah lama siap sebelum projek rangkaian lebuh raya Interstate diluluskan iaitu pada tahun 1940, tetapi hanya diwartakan sebagai sebahagian jajaran lebuh raya I-70, I-76 dan I-276 pada tahun 1956. Maka, ketiga-tiga dakwaan tersebut terbukti benar.

Sekarang kita tiba di bahagian yang paling dinanti-nantikan oleh para pembaca, iaitu bagaimana kerajaan persekutuan Amerika Syarikat membiayai pembinaan rangkaian lebuh raya Interstate tanpa tol. Semasa rangkaian lebuh raya Interstate mula dibangunkan, kos anggaran awal dijangkakan sekitar USD25 bilion dan dijangka siap dalam masa 12 tahun, tetapi akhirnya kos sebenar melonjak kepada USD114 bilion (bersamaan dengan USD425 bilion mengikut nilai Dolar Amerika Syarikat pada tahun 2006) dan mengambil masa selama 35 tahun untuk disiapkan. Kebanyakan daripada jajaran Lebuh Raya Interstate yang dibina merupakan naik taraf jajaran Jalan US lama daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya capaian terkawal dengan sekurang-kurangnya 4 lorong. Maka, untuk membiayai pembinaan projek rangkaian lebuh raya ekspres kedua terbesar di dunia ini, satu dana amanah yang dikenali sebagai Dana Amanah Lebuhraya (Highway Trust Fund) telah diwujudkan bagi membiayai projek lebuh raya Interstate ini. Melalui Dana Amanah Lebuhraya, cukai bahan api dikenakan pada semua kenderaan yang mengisi minyak, walaupun di kawasan yang tiada lebuh raya Interstate. Semasa cukai bahan api mula dikuatkuasakan pada tahun 1956, kadarnya ialah 3 sen segelen sebelum dinaikkan kepada 4.5 sen segelen. Pada tahun 1993, kadar cukai bahan api ditetapkan kepada 18.4 sen segelen dan kadar tersebut kekal sehingga sekarang. Cukai bahan api ini membentuk 70% daripada dana yang disalurkan bagi pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya Interstate. Itulah sebabnya kenapa Amerika Syarikat boleh membina lebuh raya ekspres percuma, iaitu dengan mengenakan cukai bahan api yang meningkatkan harga minyak di sana. Namun, tidak semua lebuh raya Interstate yang dibina adalah percuma; lebuh raya Interstate yang terawal pula dikenakan tol sehingga ke hari ini, sungguhpun ada di antaranya sudah memansuhkan kutipan tolnya. Tambahan pula, kos pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya yang semakin meningkat menyebabkan kerajaan persekutuan semakin kekurangan dana untuk membina lebuh raya baharu. Justeru, banyak lebuh raya Interstate baharu yang dibina di pinggir bandar dibina sebagai lebuh raya tol; malah, terdapat juga sesetengah lebuh raya Interstate yang diswastakan dan dikenakan tol bagi membolehkan ia diselenggara dengan baik. Dengan kata lain, kerajaan persekutuan akan mengenakan tol di sesetengah jajaran lebuh raya Interstate pada masa hadapan.

Setelah membaca entri ini, saya percaya rata-rata pembaca kini sudah faham tentang bagaimana Amerika Syarikat membina lebuh raya capaian terkawal secara percuma untuk rakyat. Nak lebuh raya percuma, harga minyak dinaikkan. Di China pula, hendak membina sebegitu banyak lebuh raya dalam masa yang singkat bermaksud tol yang mahal dikenakan. Di Jepun pula, harga minyak dan tol lebuh raya kedua-duanya mahal, tetapi tambang pengangkutan awam di sana pula murah. Begitulah lumrah alam, jika kita mahukan sesuatu, kita perlu korbankan sesuatu yang lain. Satu sikap rakyat Amerika Syarikat yang seharusnya dicontohi oleh rakyat Malaysia ialah mereka tidak pernah meminta-minta dan sekadar mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata, tetapi sebaliknya mereka lebih suka berusaha sendiri untuk membiayainya. Malah, Presiden John F. Kennedy pernah berpesan, "Usah ditanya apa yang dilakukan oleh negara kepada anda, tetapi tanyalah apa yang anda lakukan untuk negara." Anda lihat sajalah, Akta Perlindungan Pesakit dan Penjagaan Mampu Milik 2010 (2010 Patient Protection and Affordable Care Act) aka Obamacare yang dibentangkan oleh Presiden Barack Obama pun mendapat tentangan daripada banyak pihak sungguhpun Akta Obamacare itu memang terang-terangan membantu setiap lapisan rakyat memiliki polisi insurans kesihatan pada kadar mampu milik. Kalau dasar mensubsidi insurans kesihatan pun ditentang hebat di negara Pakcik Sam, apatah lagi kalau perkhidmatan kesihatan disubsidi sepenuhnya seperti di Malaysia. Kita pula sering disogokkan dengan pelbagai bentuk subsidi sejak lahir sehingga ke liang lahad. Lahir di hospital kerajaan disubsidi. Suntikan imunisasi pun disubsidi. Sekolah rendah dan menengah pun disubsidi; kalau kena bayar yuran pun, sekadar untuk membolehkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah beroperasi. Jika berjaya memasuki universiti awam, sebahagian yuran pengajian juga disubsidi. Jika sakit dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan pun disubsidi juga. Pendek kata, terlalu banyak benda dalam kehidupan kita yang disubsidi sehingga kita menjadi kufur nikmat dan cenderung menganggap mudah akan segala subsidi yang disogokkan, sedangkan rakyat Amerika Syarikat tidak merasa langsung semua ini. Sikap rakyat Amerika Syarikat yang lebih suka berdikari inilah yang menjadikan Amerika Syarikat kekal sebagai negara maju dan kuasa besar nombor satu di dunia, sungguhpun mereka juga menjuarai masalah sosial dan jenayah.

Kesimpulannya, kita terlalu mementingkan diri apabila meminta lebuh raya ekspres percuma kononnya atas alasan untuk rakyat dan memandang enteng akan kewujudan rangkaian jalan persekutuan dan negeri yang lebih dekat pada jiwa rakyat dalam erti kata sebenar, sedangkan semasa pembangunan rangkaian lebuh raya Interstate pula banyak penduduk dan peniaga di pekan-pekan kecil membantah sehingga ke tahap mahu menyaman kerajaan kerana tidak mahu mata pencarian mereka dibunuh oleh lebuh raya capaian terkawal. Malah, ramai di kalangan penduduk di sepanjang jajaran Jalan US lama yang berkempen bagi memartabatkan jalan raya mereka. Inilah salah satu tujuan utama Blog Jalan Raya Malaysia diwujudkan - kami ingin mengajak para pembaca budiman agar turut bersama-sama kami dalam perjuangan memartabatkan rangkaian jalan raya negara. Biar rakyat celik kod laluan. Biar rakyat celik sejarah pembangunan jalan raya negara. Biar rakyat melayan lebuh raya ekspres dan jalan persekutuan dan negeri sama rata dan bukannya meminggirkannya. Biar rakyat berasa bangga akan jalan raya yang telah banyak berjasa dalam kehidupan masing-masing. Budaya rakyat Amerika Syarikat yang memartabatkan rangkaian jalan raya mereka sewajarnya dicontohi rakyat Malaysia sendiri kerana kita sebenarnya mempunyai sejarah pembangunan rangkaian jalan raya yang lebih tua daripada mereka.

Ikuti sambungan bahagian kedua dalam siri entri Dari Negara Pakcik Sam mengenai kisah Jalan US 66 yang sering dianggap sebagai satu kisah klasik dalam memartabatkan jalan raya Amerika Syarikat.

Tuesday, October 13, 2015

Tragedi Oktober: Pesta naik kadar tol / October tragedy: Toll rate hike festival



Contohilah Awie yang menaiki motosikal dalam video klip ini - tak payah kena bayar tol...!!!


Salam sejahtera,

Semalam (12 Oktober 2015), warga Lembah Klang dikejutkan dengan berita pesta kenaikan kadar tol di beberapa batang lebuh raya utama, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) E9, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) E10, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) E13, Lebuhraya Kajang Silk E18, Lebuhraya Maju (MEX) E20, Lebuhraya Lekas E21, Lebuhraya Latar E25, Lebuhraya Guthrie E35 dan Terowong SMART E38. Kenaikan tol bagi kesemua lebuh raya ini berkuatkuasa Khamis ini (15 Oktober 2015), sekaligus menamatkan teka-teki selama ini sama ada tol akan naik pada tahun 2015 ini atau tidak.








Kadar tol baharu di 12 lebuh raya ekspres berkuatkuasa Khamis, 15 Oktober 2015
(Sumber: New Straits Times dan Malaysiakini)


Kadar baharu tol di lebuh raya tersebut bagi Kelas 1 (kereta persendirian) adalah seperti berikut:-

  1. Lebuhraya KL-Karak E8/FT2:-
    • Plaza Tol Gombak - RM6.00
    • Plaza Tol Bentong - RM3.50
  2. Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) E9 - RM2.00 (Plaza Tol Mines dan Loke Yew)
  3. Lebuhraya Baru Pantai (NPE) E10:-
    • Plaza Tol Pantai Dalam: RM2.30
    • Plaza Tol PJS5 - RM2.30
    • Plaza Tol PJS2 - RM1.00
  4. Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 - RM2.10 (kesemua Plaza Tol Penchala, Petaling Jaya, Puchong Barat dan Puchong Selatan)
  5. Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12 - RM2.50
  6. Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) E13:-
    • Plaza Tol Seri Muda - RM1.70
    • Plaza Tol Alam Impian - RM0.90
  7. Lebuhraya Kajang Silk E18 - RM1.80 (kesemua Plaza Tol Sungai Long, Bukit Kajang, Sungai Ramal dan Sungai Balak)
  8. Lebuhraya Maju (MEX) E20:-
    • Plaza Tol Salak Selatan - RM2.00
    • Plaza Tol Putrajaya - RM3.50
  9. Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) E21:-
    • Plaza Tol Ampangan - RM2.30
    • Sistem tol tertutup - Antara RM1.30 hingga RM6.00
  10. Lebuhraya Latar E25:-
    • Plaza Tol Kundang - RM1.30
    • Plaza Tol Templer Park, Kuang Timur, Kuang Barat dan Ijok - RM2.50
  11. Lebuhraya Guthrie E35 - RM1.90 (kesemua Plaza Tol Bukit Jelutong, Elmina dan Bukit Lagong)
  12. Terowong SMART E38 - RM3.00

Seperti yang sudah saya jangkakan, sudah tentulah ramai di kalangan pengguna lebuh raya yang marah-marah dan memaki-hamun di media sosial kerana tidak berpuas hati akan kenaikan kadar tol kali ini. Sudahlah rakyat dibebani dengan GST, harga minyak yang tidak menentu, kejatuhan nilai ringgit, skandal 1MDB serta skandal "duit derma" RM2.6 bilion, kali ini tol pula naik - naik pada bulan Oktober pula tu. Jika tahun lalu lagu Tragedi Oktober dendangan Awie menjadi halwa telinga kerana kenaikan harga minyak, kali ini lagu tersebut sekali lagi menjadi siulan rakyat susulan kenaikan harga minyak dan kadar tol.

Sebelum anda marah-marah dan memaki-hamun syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, anda perlu sedar bahawa syarikat-syarikat konsesi lebuh raya dikendalikan oleh orang-orang seperti kita juga. Tatkala kita terbeban kerana perlu membayar hutang kereta dan rumah kepada bank, mereka juga terbeban kerana perlu membayar pinjaman bank yang digunakan untuk membiayai pembinaan lebuh raya. Kita terlewat sedikit sahaja pun bank sudah bising, dan mereka pun menerima nasib sama juga. Jika kita terbeban akibat kenaikan kos sara hidup, mereka juga terbeban kerana kenaikan kos penyelenggaraan dan gaji pekerja. Syarikat konsesi lebuh raya juga terbeban akibat GST sebagaimana kita, kerana tol lebuh raya merupakan antara bayaran perkhidmatan yang tidak dikenakan GST, tetapi mereka tetap perlu membayar GST untuk kos-kos penyelenggaraan dan bayaran bil utiliti.

Sebenarnya, kebanyakan daripada syarikat konsesi lebuh raya yang telah saya sebutkan tadi sudah lama memohon kepada kerajaan sejak tahun 2008 untuk membenarkan mereka menaikkan kadar tol, Malangnya, permohonan mereka telah banyak kali ditolak oleh kerajaan atas alasan tidak mahu membebankan rakyat. Namun, mereka tetap terpaksa membayar pinjaman bank seperti biasa, meskipun ada di antara mereka yang mengalami kerugian akibat permohonan menaikkan kadar tol telah ditolak. Kepada para pejuang lebuh raya percuma di luar sana, lebih baik anda duduk bergaul dengan para pemain industri lebuh raya ekspres dan bukannya menunjukkan kejahilan anda tentang bagaimana industri lebuh raya ekspres bertol berjalan. Ingat baik-baik bahawa lebuh raya yang rugi bermaksud ia akan semakin kurang diselenggara akibat kekurangan wang, dan dalam keadaan yang lebih ekstrim pula, lebuh raya boleh disita oleh mahkamah sekiranya syarikat gulung tikar dan diisytiharkan bankrap. Justeru, jangan terperanjat jika jalan-jalan susur masuk ke lebuh raya tiba-tiba disekat dengan tembok Jersey setelah ia disita oleh mahkamah akibat ketidakupayaan syarikat konsesi membayar pinjaman bank, jadi jangan sekali-kali meminta keadaan ekstrim sebegitu terjadi kerana anda juga yang akan rugi.

Ada juga pihak yang menggesa agar kadar tol diturunkan atas alasan kononnya syarikat konsesi semakin untung besar kerana bilangan kenderaan yang meningkat di lebuh raya ekspres, tetapi hakikatnya dakwaan tersebut ternyata meleset sama sekali.  Bilangan kenderaan yang meningkat sebenarnya bermaksud kekuatan struktur binaan di lebuh raya ekspres (seperti jejambat, jambatan serta turapan lebuh raya itu sendiri) semakin terjejas kerana terpaksa menampung tegasan yang sangat tinggi hasil jumlah berat kenderaan yang semakin tinggi. Dalil  utama yang membuktikannya ialah kes retakan pada jejambat Exit 1114 Persimpangan Puchong Jaya di LDP E11 pada tahun 2009. Meskipun retakan tersebut disahkan hanya sekadar retakan kecil di permukaan dan bukannya kegagalan struktur, namun ia seharusnya berupaya memberi amaran kepada kita bahawa kadar aliran trafik yang tinggi sebenarnya bermaksud kos penyelenggaraan juga mencanak naik.

Selain itu, ada di antara lebuh raya yang dinaikkan kadar tolnya itu sedang menjalani penambahbaikan, misalnya pembinaan Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 serta pembinaan jejambat tebing utara di jajaran Jelatek-MRR2 di Lebuhraya AKLEH E12 untuk melebarkan jajaran tersebut daripada 4 lorong kepada 6 lorong. Maka, sudah tentulah mereka memerlukan wang yang banyak untuk membinanya, dan mereka tidak lagi boleh membuat hutang baharu melainkan menggunakan dana sedia ada hasil kutipan tol. Dalam kes AKLEH E12 pula, kenaikan tol di situ sebenarnya merupakan sebahagian daripada syarat perjanjian konsesi yang hanya membenarkan Prolintas menaikkan tol E12 apabila kerja-kerja naik taraf dilaksanakan.

Jadi apa yang patut anda lakukan tatkala berdepan dengan kenaikan kadar tol Khamis ini...? Menyalak di media sosial, blog dan YouTube...? Memaki-hamun di alam siber sama sekali tidak akan menurunkan kadar tol, sebaliknya perbuatan sebegitu hanyalah ibarat anjing menyalak bukit serta hanya menampakkan kejahilan dan kebebalan diri sendiri sahaja. Jika anda mahu memboikot lebuh raya ekspres yang menaikkan tol, boikotlah dengan bijak. Kenderaan apa yang langsung tidak dikenakan tol walau sesen pun di lebuh raya ekspres...? Motosikal kan...? Dah tahu duit minyak mahal, tol mahal, jalan sesak, petak parkir susah nak cari, kenapa anda masih berdegil mahu berkereta seorang sebuah ke tempat kerja...? Nah rasakan, kedegilan sebegitulah yang memakan diri balik. Suruh naik motor, dianggap seolah-olah naik motor itu hina, setaraf macam mat rempit, sedangkan menunggang motosikal itulah satu-satunya mod pengangkutan yang paling versatil, boleh mencelah ketika jalan sesak, jimat masa, jimat minyak, jimat kos pengangkutan, tak perlu bayar tol dan paling mudah untuk diparkir. Paling teruk pun cuma kena berteduh di kedai, hentian bas, stesen minyak dan di bawah jambatan jika hujan. Kalau disuruh naik bas pula, dikatakan bas lambatlah, macam tin sardinlah, terpaksa hidu bau ketiak Banglalah, serta macam-macam alasan lagi. Jika anda sendiri yang tidak mahu berubah untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan kadar tol tetapi hanya tahu memberikan berbagai alasan dangkal serta menyalahkan orang lain, jangan haraplah Allah akan membantu anda untuk mengurangkan beban kos sara hidup. Oleh itu, cara paling bijak untuk "memprotes" kenaikan kadar tol adalah dengan menaiki motosikal, menggunakan pengangkutan awam, ataupun jika anda masih hendak berkereta, gunakan sahaja panduan memintas tol kami.




Hijrah itu pengorbanan - jom berhijrah kepada penggunaan motosikal pancitan bahan api...!!!


Rasanya cukup setakat ini sahajalah nukilan saya berkenaan pesta naik kadar tol Khamis ini. Ia memang tidak boleh dielakkan lagi kerana kebanyakan lebuh raya yang disenaraikan itu sudah lama tidak dinaikkan tolnya. Sampai bila hendak menggunakan duit rakyat yang sepatutnya digunakan untuk membina lebih banyak sekolah, masjid, klinik kesihatan, hospital, balai polis, balai bomba, balai raya dsb. untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya ekspres...? Yang pasti, Kementerian Kerja Raya sudah pun menjalankan peranannya dengan berunding terus dengan syarikat konsesi dan bank-bank yang memberi pinjaman supaya kadar tol tidak dinaikkan. Namun, jika kenaikan tol sebegini berlaku, ia sudah tentu bermaksud bank-bank sudah tidak lagi boleh bertolak-ansur dan mahukan wangnya cepat. Kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Jika anda tidak berpuas hati dengan perjanjian konsesi lebuh raya, anda dipersilakan untuk mencabarnya di mahkamah, tetapi anda pasti akan tewas kerana anda tidak mungkin berkemampuan untuk mengupah seorang peguam handal yang berupaya untuk berdepan dengan segerombolan peguam yang mewakili syarikat-syarikat besar yang tentunya mempunyai kuasa kewangan yang jauh lebih besar. Jadi apa pilihan yang anda ada sekarang...? Kalau setakat nak ke pejabat seorang diri, jangan telampau manja sangat; lebih baik anda naik motor sahaja dan simpan kereta di rumah. Sempena dengan sambutan Maal Hijrah tidak lama lagi, sekarang ialah masa untuk berhijrah kepada penggunaan motosikal pancitan bahan api sebagai pengangkutan harian anda.

Monday, October 12, 2015

Mythbuster: Memasang lampu jalan di seluruh jajaran jalan raya sebenarnya tidak bagus untuk mata / Installing street lights along the entire roadway is bad for eyesight



Lebuhraya Karak E8/FT2 dipasang dengan lampu jalan LED untuk mengurangkan risiko kemalangan pada waktu malam akibat selekoh tajam dan turun naik bukit curam


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah terlalu lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia kerana beban tugas yang tinggi menggunung sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sehinggakan saya tidak dapat mencari ruang masa untuk mengemaskini blog ini, walaupun sekadar untuk entri-entri yang agak ringan. Untuk mengubat kerinduan anda semua, saya akan membawakan satu entri Mythbuster mengenai dakwaan kononnya pemasangan lampu jalan membantu penglihatan malam secara total, yang mana saya menyanggahnya dalam entri ini. Kenapa saya menyanggahnya...?

Memang tidak dinafikan, pemasangan lampu jalan sangat penting agar pengguna jalan raya dapat melihat dengan lebih jelas terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan seperti di simpang jalan, di selekoh, kawasan perumahan, sekolah, masjid, dsb. Namun, ia tidaklah bermakna setiap inci jalan perlu diterangi lampu jalan, kerana lampu jalan tidak mengambil alih peranan lampu kepala kenderaan secara mutlak sebagai sumber pencahayaan utama pengguna jalan raya, tetapi lebih kepada penambahbaikan sistem pencahayaan.

Semalam, Berita Harian ada membuat satu liputan mengenai pemasangan lampu jalan LED di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat Gua Tempurung, yang terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan di situ. Punca utama kes-kes kemalangan jalan raya di kawasan tersebut adalah berpunca daripada beza kelajuan yang begitu besar antara kenderaan ringan yang bergerak laju dan lori-lori berat yang bergerak perlahan disebabkan keadaan bukit curam dengan kecerunan sekitar 7%. Selain daripada Gua Tempurung, lampu-lampu jalan LED juga dipasang di jajaran merentas Banjaran Keledang (Jelapang-Terowong Menora) dalam program yang sama. Namun, program pemasangan lampu jalan di jajaran pergunungan sebegini bukanlah perkara baharu; Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 sudah melaksanakannya terlebih dahulu.

Susulan daripada kejayaan program-program pemasangan lampu-lampu jalan di jajaran pergunungan yang berbahaya, maka ramai pengguna jalan raya yang meminta agar lampu jalan dipasang di keseluruhan jajaran lebuh raya ekspres. Namun, tahukah anda bahawa pemasangan lampu jalan di keseluruhan jajaran lebuh raya ekspres sebenarnya tidak bagus untuk mata anda...? Mungkin ramai yang tidak akan mempercayai akan fakta ini, tetapi begitulah hakikat.

Untuk menunjukkan dalil pertama bagaimana lampu jalan boleh memudaratkan penglihatan anda, cuba pandu di lebuh raya ekspres melalui sebuah persimpangan bertingkat. Sepatutnya, tahap penglihatan anda sebelum, semasa dan selepas melepasi persimpangan tersebut kekal sama bagus. Namun, cuba anda pandu di lebuh raya sama melalui persimpangan bertingkat yang sama pada waktu malam. Anda tentunya tidak akan mengalami masalah semasa melalui persimpangan tersebut yang terang-benderang disinari cahaya lampu jalan, tetapi semasa anda meninggalkan persimpangan tersebut, anda akan mengalami rabun ayam sebelum mata anda berupaya menyesuaikan diri beberapa minit kemudian. Kenapa keadaan sebegini berlaku...? Semasa anda mula memasuki persimpangan bertingkat yang disinari lampu jalan dari laluan lebuh raya yang gelap dan tidak berlampu, anak mata anda dengan pantas akan mencerut untuk menyesuaikan mata anda dengan perubahan keamatan cahaya yang meningkat mendadak. Namun, sebaik anda meninggalkan persimpangan bertingkat dan kembali semula ke keadaan gelap, anak mata anda memang akan membesar kembali untuk meningkatkan jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata, tetapi retina anda akan lambat memproses imej yang dilihat untuk dihantar ke otak akibat kekurangan cahaya. Sebab itulah anda akan mengalami rabun ayam selama beberapa minit sebaik sahaja meninggalkan kawasan yang terang-benderang, dan ia lebih ketara bagi pemandu dari kalangan warga tua yang kebanyakannya mempunyai daya penglihatan yang semakin merosot.

Itu baru dalil pertama. Untuk dalil kedua pula, cuba pandu di jalan persekutuan biasa yang gelap dan lengang - dengan menggunakan suluhan tinggi (high beam). Jika ada kereta dari arah bertentangan, anda dapat mengenalpastinya dari jauh dan terus merendahkan suluhan lampu kepala kereta anda. Namun, jika anda memandu di jalan raya yang terang-benderang diterangi lampu jalan - khususnya lampu jalan LED yang lebih terang - anda akan dapati bahawa cahaya lampu kepala kereta lain sudah ditenggelami cahaya lampu jalan. Kenapa pula keadaan sebegini berlaku...? Ia berlaku akibat perbezaan kontras - di jalan raya yang gelap, perbezaan kontras adalah sangat besar kerana suluhan lampu kepala kereta merupakan satu-satunya sumber cahaya di situ, menjadikan kenderaan dari arah bertentangan lebih mudah kelihatan. Namun, di jalan raya yang diterangi lampu jalan pula, cahaya lampu kepala kereta dari arah bertentangan lebih sukar kelihatan kerana sudah ditenggelami cahaya lampu jalan yang lebih mendominasi ruang. Justeru, penerangan sebegini seharusnya berupaya untuk menjawab persoalan kenapa kemalangan jalan raya masih boleh berlaku di jalan raya yang terang-benderang disinari lampu jalan.

Dalil ketiga yang membuktikan bahawa pemasangan lampu jalan di seluruh jajaran jalan raya boleh merosakkan mata anda ialah ancaman pencemaran cahaya. Pencemaran cahaya bermaksud penggunaan cahaya tiruan yang berlebihan sehingga boleh merosakkan mata, di samping boleh mengganggu ekosistem terutamanya terhadap tumbuhan serta haiwan yang bergantung kepada kehadiran cahaya untuk aktiviti seharian (kebanyakan haiwan liar keluar mencari makan pada waktu malam yang gelap). Pemasangan lampu jalan secara berlebihan sering dipersalahkan sebagai punca utama kepada pencemaran cahaya. Ada banyak faktor yang menyumbang kepada pencemaran cahaya yang disebabkan oleh lampu jalan:-

  1. Suhu warna cahaya - sebelum dekad 1980an, lampu jalan jenis wap raksa yang memancarkan cahaya berwarna siang sejuk (cool daylight) dengan suhu warna lebih 5,000 K, bersamaan dengan suhu warna cahaya matahari pada waktu siang. Oleh kerana suhu warna sebegini lebih kurang sama seperti cahaya matahari pada waktu siang, maka ia boleh menyebabkan ahli-ahli astronomi tidak dapat melihat bintang-bintang, di samping mengganggu aktiviti harian haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Bermula dekad 1980an, lampu wap raksa mula diharamkan dan secara beransur-ansur digantikan dengan lampu wap merkuri dengan suhu warna sekitar 3,500 K. Suhu warna sebegini kurang mengganggu aktiviti ekosistem dan boleh ditapis oleh balai-balai cerap.
  2. Arah suluhan lampu jalan - Jika anda perhatikan betul-betul, anda akan mendapati ada tiang lampu yang mempunyai lengkuk atau cabang yang besar sebelum disambungkan kepada kepala lampu (jenis lama), dan ada juga jenis yang mana tiangnya lurus menegak dan disambungkan pada kepala lampu melalui penggunaan sesiku L ataupun sambungan T (jenis baru). Setiap jenis tiang lampu ini ada kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Jenis lama memerlukan kepala lampu disuluh ke bawah sahaja, maka untuk suluhan yang lebih menyeluruh, ia memerlukan sama ada lebih banyak tiang lampu ataupun penggunaan lemsa berbentuk cembung yang menyerakkan cahaya ke kawasan yang lebih luas, yang juga boleh mengakibatkan pencemaran cahaya. Sementara itu, kepala lampu jalan pada tiang lampu jenis baharu boleh disasarkan pada sudut tertentu untuk mengelakkan cahaya terlepas keluar ke tepi jalan, tetapi jika tersilap sasaran, cahaya berlebihan masih boleh terlepas ke bahagian bertentangan jalan pula.
  3. Bentuk lensa lampu jalan - Salah satu punca pencemaran cahaya melibatkan penggunaan lampu jalan ialah penggunaan lensa jenis cembung yang menyerakkan  cahaya ke bahagian tepi untuk memaksimakan kawasan liputan cahaya lampu jalan. Maka, penyelesaiannya sangat mudah iaitu melalui penggunaan lensa jenis leper kerana cahaya hanya akan disasarkan ke bawah, tetapi ia sudah tentu akan mengehadkan liputan pencahayaan. Jadi bagaimana pula hendak menambah kawasan liputan pencahayaan...? Liputan kawasan pencahayaan masih boleh ditingkatkan melalui rekaan pemantul lampu jenis berbilang pemantul yang boleh memantulkan cahaya ke arah yang tertentu sahaja.






Kepala lampu jalan jenis baru (atas) dan lama (bawah)



Jadi sejauh manakah bahaya pencemaran cahaya ini...? Selain merosakkan mata anda, pencemaran cahaya boleh meningkatkan risiko kanser prostat dan kanser payudara akibat pengurangan penghasilan melatonin (sejenis antioksida yang dihasilkan oleh badan kita) akibat pendedahan berterusan kepada cahaya. Di samping itu, pendedahan berterusan kepada cahaya tiruan boleh menyebabkan sakit kepala yang lebih kerap, kelesuan badan, penurunan fungsi seks dan peningkatan keresahan.

Kesimpulannya, anda tidak seharusnya marah-marah sekiranya PLUS Malaysia Berhad tidak memasang lampu jalan di keseluruhan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Pemasangan lampu jalan seharusnya dihadkan kepada kawasan-kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan seperti kawasan bandar, persimpangan, selekoh tajam, jambatan atau jejambat panjang serta jajaran pergunungan. Kalau setakat di jajaran lengang yang lurus dan rata, tak perlulah pasang lampu jalan terlalu banyak. Terlalu banyak bergantung kepada lampu jalan sebenarnya hanya akan lebih banyak merosakkan mata anda serta boleh mendatangkan pelbagai risiko kesihatan yang lain secara beransur-ansur seperti kanser prostat, kanser payudara dan mati pucuk. Jadi apa patut anda lakukan sekarang...? Banyakkan memakan lobak merah dan tomato dan laburkan wang anda untuk memasang lampu kabut bagi membantu penglihatan pada waktu malam.

Advertisement