Friday, December 25, 2015

Idea pembangunan permainan simulasi pengurusan lebuh raya / An idea of developing an expressway management simulation game



Idea untuk permainan simulasi pengurusan lebuh raya - bunyinya menarik kan...? ;)


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan Maulidur Rasul yang kedua dalam tahun ini bagi pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang beragama Islam dan Selamat Hari Krismas buat pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang beragama Kristian. Musim perayaan kali ini sangat istimewa kerana dirayakan sebelah-menyebelah. Semoga keharmonian yang kita kecapi sekarang ini dapat dikekalkan.

Memandangkan tahun 2016 semakin menjelang tiba, kali ini saya ingin bocorkan kepada anda salah satu rancangan utama saya untuk tahun 2016 ini. Sejak saya mula mewujudkan Blog Jalan Raya Malaysia, sekarang sudah lebih 3 tahun saya menghasilkan banyak reviu jalan raya serta mengkaji sejarah lengkap beberapa batang jalan raya utama secara percuma. Memang saya ada menyertakan butang Donate di blog ini untuk memperoleh sumbangan tambahan bagi menghasilkan lebih banyak reviu jalan raya, namun hakikatnya sangat sedikit yang menderma, dan projek reviu XPDC Teganu Kita 2015 merupakan satu-satunya projek reviu jalan raya yang dijayakan sepenuhnya daripada sumbangan derma para pembaca.. Tapi takkanlah pula saya hendak memaksa orang pula, bukan...? Beberapa orang kenalan dan sahabat saya pun pernah mengesyorkan kepada saya untuk memanfaatkan potensi Blog Jalan Raya Malaysia bagi menambahkan pendapatan. Maka, saya terfikir untuk menghasilkan beberapa produk sampingan bagi menyokong aktiviti Blog Jalan Raya Malaysia, seperti membukukan beberapa reviu jalan raya terbaik kami, menghantar rencana kepada penerbit majalah, mengkompilasikan sejarah lengkap bagi beberapa batang jalan raya di Malaysia, menghasilkan cenderahati serta menghasilkan permainan komputer dan telefon pintar.

Idea untuk menghasilkan permainan komputer dan telefon pintar ini datang setelah bermain beberapa permainan dating sim sebelum ini. Jadi saya pun berfikir, apa kata kalau saya gunakan idea simulasi daripada permainan dating sim untuk menghasilkan permainan simulasi pengurusan lebuh raya pula...? Memandangkan saya tiada latar pengaturcaraan komputer (kecuali Visual Basic atas dasar suka-suka), maka saya perlu belajar untuk membangunkan permainan menggunakan enjin Ren'Py, iaitu enjin permainan novel visual sumber terbuka yang berasaskan bahasa pengaturcaraan Python. Mungkin ada banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari, tetapi ia tidak mustahil memandangkan sudah ada banyak permainan percuma dan berbayar yang dibangunkan menggunakan enjin Ren'Py. Malaysia boleh, saya pun boleh...!!! ;)

Sekarang kita pergi kepada gaya permainan yang saya ingin rancangkan dalam permainan kali ini. Permainan yang diberi tajuk kerja "Concession" ini mengisahkan seorang usahawan (pemain) yang ditawarkan oleh Kementerian Kerja Raya untuk membina sebatang lebuh raya ekspres. Pemain boleh memilih untuk membina lebuh raya perbandaran (paling pendek, 3 persimpangan, 1 hentian rehat, paling mudah), lebuh raya pintasan (sederhana panjang, 5 persimpangan, 2 hentian rehat) dan lebuh raya luar bandar (paling panjang, 10 persimpangan, paling sukar). Pemain akan memperoleh pinjaman bank, yang mana jumlah pinjaman dan tempoh bayaran balik (100-300 hari) adalah bergantung kepada jenis lebuh raya. Pemain boleh memilih sama ada untuk membina lebuh raya percuma ataupun lebih raya bertol, jadi ada 7 penamat kesemuanya - setiap satu lebuh raya mempunyai penamat percuma dan penamat bertol, manakala penamat ketujuh sudah tentulah penamat buruk. Sepanjang permainan, pemain bertanggungjawab mengendalikan dan menyelenggarakan lebuh raya. mencari sumber pendapatan, membayar hutang bank, melatih pekerja, membayar bil utiliti dan melaksanakan program khidmat sosial. Selain itu, pemain juga perlu peka akan mood pengguna lebuh raya dan memastikan mood mereka kekal tinggi. Sebenarnya saya masih ada lagi idea-idea yang lebih ekstrim dan radikal, seperti membuat pilihan yang mencabuli piawaian lebuh raya ekspres serta pilihan untuk "merasuah", di samping insiden tunjuk perasaan sekiranya mood pengguna lebuh raya merudum teruk, tetapi idea radikal ini saya simpan dahulu untuk siri kedua pula.

Bagaimana pendapat para pembaca yang budiman tentang idea ini...? Saya juga amat mengalu-alukan sebarang idea tambahan daripada sahabat-sahabat dalam industri lebuh raya ekspres terutamanya syarikat-syarikat konsesi lebuh raya agar permainan simulasi ini lebih realistik tetapi dipermudahkan. Maklum balas daripada para pemain industri lebuh raya ekspres ini sangat penting, kerana tujuan utama saya ingin membangunkan permainan simulasi ini adalah untuk memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk merasai sendiri pengalaman menguruskan lebuh raya ekspres dalam bentuk yang sudah dipermudahkan. Apa tidaknya, selama ini terdapat segelintir pihak - terutamanya macai-macai politik - yang sering memomokkan rakyat dengan dakwaan kononnya bisnes pembinaan dan pengurusan lebuh raya ekspres merupakan lubuk emas hasil "rompakan" terhadap pengguna lebuh raya. Justeru, permainan ini direka bagi menyanggah dakwaan mereka ini.

Untuk menjayakan projek ini, saya amat memerlukan seseorang yang pandai melukis strok manga serta berkemahiran mewarnakannya menggunakan perisian Adobe Photoshop untuk menyumbang gambar latar belakang serta imej sprite watak . Imej yang anda saksikan di atas itu sebenarnya hanyalah imej mock-up yang dihasilkan daripada beberapa imej percuma di serata internet, jadi anda boleh jangkakan imej bagi versi akhir akan kelihatan jauh berbeza daripada imej mock-up di atas. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyumbang imej latar belakang dan sprite watak, sila e-mel hasil kerja seni demo anda ke squall_shinoda@hotmail.com.

Permainan ini dirancang untuk dibangunkan bagi pelantar PC (Windows 7 ke atas), Android dan iOS. Sudah tentulah, permainan ini akan didatangkan dalam bentuk percuma dan berbayar. Tentang limitasi bagi versi percuma, saya akan umumkan setelah versi akhir  dikeluarkan kelak. Apa pun, teruskan mengikuti perkembangan pembangunan permainan ini di Blog Jalan Raya Malaysia ataupun laman Facebook kami.

Terima kasih atas sokongan anda...!!! ;)

Wednesday, December 23, 2015

Lebuhraya Yangon-Mandalay: Bagaimana kegagalan mematuhi piawaian boleh mengakibatkan nahas maut lebuh raya / Yangon-Mandalay Expressway: How the failure to adhere to standards may cause fatal accidents

Salam sejahtera,

Kali ini Blog Jalan Raya Malaysia ingin membawa anda semua berjalan-jalan ke Myanmar bagi menyelusuri sepanjang lebuh raya capaian terkawal pertama di Myanmar iaitu Lebuhraya Yangon-Mandalay sepanjang 586.7 km. Lebuh raya ekspres ini menghubungkan antara dua bandar raya terbesar di Myanmar iaitu Yangon dan Mandalay. Lebuh raya ini memendekkan perjalanan antara kedua-dua bandar raya tersebut daripada 13 jam melalui jalan lama kepada hanya 7 jam sahaja, dengan had laju maksimum 100 km/j.

Cadangan pembinaan sebuah lebuh raya yang menghubungkan antara kedua-dua bandar raya tersebut sebenarnya mula diutarakan sejak tahun 1954 lagi. Kajian kemungkinan mula dijalankan pada tahun 1959 dengan bantuan kewangan daripada Amerika Syarikat. Namun, setelah kajian tersebut siap pada tahun 1960, didapati kos pembinaannya sangat mahal. Sekali lagi, Amerika Syarikat menawarkan untuk menjalankan satu lagi kajian kemungkinan bagi alternatif yang lebih ekonomik, tetapi kajian tersebut terhenti pada tahun 1962 susulan rampasan kuasa oleh tentera Myanmar yang seterusnya membentuk Parti Program Sosialis Myanmar yang berfahaman komunis. Setelah pemerintahan Myanmar jatuh ke tangan rejim komunis, asalnya pihak pemerintah tentera bersetuju untuk meneruskan pembinaannya setelah kajian kedua siap pada tahun 1963, tetapi rancangan tersebut akhirnya dibatalkan susulan Amerika Syarikat enggan mengiktiraf kerajaan rejim komunis Myanmar.

Rancangan pembinaan lebuh raya tersebut dihidupkan semula setelah rejim komunis Myanmar yang berfahaman komunis menyedari kepentingan strategik lebuh raya tersebut bagi pihak mereka. Rancangan tersebut dihidupkan semula pada tahun 1973 setelah rejim komunis Myanmar menerima sebuah kilang simen dari Jepun sebagai bantuan kewangan. Namun, sekali lagi rancangan menghidupkan semula projek tersebut terbantut lagi akibat krisis tukaran mata wang asing yang lemah di sana.

Lebuh raya yang ada sekarang ini dibangunkan oleh rejim junta Myanmar yang memerintah dari tahun 1988 sehingga 2011. Untuk merangsang pembinaan infrastruktur di sana, lebih banyak kilang simen dan besi keluli dibina di Myanmar. Projek pembinaan Lebuhraya Yangon-Mandalay dimulakan pada Oktober 2005 dan dibuka sepenuhnya pada 29 Disember 2010. Projek tersebut dibiayai daripada hasil eksport gas asli ke Thailand.

Secara keseluruhan, keadaan Lebuhraya Yangon-Mandalay boleh dikatakan sangat lengang. Selain daripada kadar pemilikan kenderaan bermotor yang kurang di kalangan rakyat Myanmar, lebuh raya ini juga tidak membenarkan lori untuk menggunakannya. Selain itu, kadar tolnya yang dianggap terlalu mahal buat rakyat Myanmar juga menjadikan orang kebanyakan tidak berkemampuan untuk menggunakan lebuh raya ini. Namun, sejak Lebuhraya Yangon-Mandalay dibuka pada tahun 2010, ia terkenal sebagai lebuh raya maut yang banyak memakan korban, meskipun keadaan lebuh raya tersebut lengang dan tidak banyak kenderaan. Bagaimana ia boleh berlaku...?

Sebab utama kenapa Lebuhraya Yangon-Mandalay banyak meragut nyawa penggunanya adalah disebabkan pembinaannya yang terlalu tergesa-gesa sehinggakan aspek keselamatan serta piawaian antarabangsa bagi lebuh raya ekspres tidak diambil peduli. Memang sangat bagus jika lebuh raya ekspres sepanjang 587 km ini disiapkan dalam masa hanya 5 tahun sahaja, tetapi malangnya ia dilakukan dengan menggunakan banyak jalan pintas kejuruteraan.




Lebuhraya Yangon-Mandalay langsung tiada lorong kecemasan di sepanjang jajarannya




Kenapa boleh ada jalan-jalan kecil ke rumah-rumah orang...? Beginikah rupa lebuh raya capaian terkawal...?




Sudahlah papan tanda amaran pembinaan dan kon keselamatan diletakkan di saat-saat akhir, tulisannya terlalu kecil pula - pekerja-pekerja inilah yang akan mati terlebih dahulu akibat kerja-kerja pembaikan tidak ikut prosedur




Kenapa boleh ada warung di tepi lebuh raya ini...? Kenapa boleh ada orang-orang yang melepak di tepi lebuh raya ini...? Apakah mereka semua ini tidak takut akan bahaya dilanggar kereta...?




Kehadiran warung dan kedai makan yang dibina sesuka hati di tepi lebuh raya ekspres bakal mengancam nyawa pengguna lebuh raya dengan risiko kemalangan maut




Simpang tiga ke jalan kecil sebegini tidak patut ada di lebuh raya ekspres




Penguatkuasaan had laju memang bagus, tetapi ia tetap tidak berupaya mengurangkan kadar kemalangan sekiranya lebuh raya itu sendiri mencabuli piawaian




Lebuh raya ini tidak berpagar, sekaligus memudahkan orang tempatan dan kenderaan yang tidak sepatutnya berada di lebuh raya ekspres menceroboh masuk




Ketiadaan pagar di sepanjang lebuh raya juga boleh menyebabkan haiwan liar seperti gajah menceroboh masuk ke lebuh raya, mengancam nyawa pengguna lebuh raya dan gajah itu sendiri




Tahap pencahayaan Lebuhraya Yangon-Mandalay ini sangat teruk kerana kurang lampu jalan dipasang di persimpangan bertingkat




Lebuh raya mencerut secara mengejut daripada 3 lorong sehala kepada 2 lorong sehala - bas ini nyaris-nyaris melanggar tembok Jersey




Papan tanda pemberitahuan serta jalur derum (rumble strips) langsung tiada ketika menghampiri plaza tol




Anah panah yang digunakan di papan tanda gantri ini juga mengelirukan - bukanlah papan tanda ini untuk pemberitahuan lorong tunai dan lorong ETC...?




Tiada lampu isyarat dan kurang lampu jalan boleh mengakibatkan persimpangan searas di pangkal Lebuhraya Yangon-Mandalay berbahaya kepada pengguna lebuh raya




Bulatan di beberapa kilometer terakhir berhampiran Mandalay. Kehadiran bulatan menjadikan lebuh raya ini tidak lagi boleh diklasifikasikan sebagai lebuh raya capaian separa kerana bulatan merupakan sejenis lintasan searas


Berikut saya senaraikan pencabulan piawaian lebuh raya ekspres yang diamalkan di Lebuhraya Yangon-Mandalay sehingga ia terkenal sebagai lebuh raya maut di Myanmar:-

  1. Tiada bahu jalan keras aka lorong kecemasan di sepanjang jajarannya. 
  2. Lebuh raya ini juga tidak berpagar langsung, sekaligus membolehkan penduduk tempatan menceroboh masuk dan akhirnya membahayakan diri mereka sendiri. 
  3. Konsep belokan miring tidak diamalkan langsung - Dalam pembinaan jalan raya, lengkuk luar sesebuah selekoh ditinggikan, menyebabkan kenderaan miring sedikit semasa mengambil selekoh. Tujuannya ialah bagi mengurangkan kecenderungan untuk terbabas keluar dari selekoh akibat daya emparan yang terhasil. Namun di Lebuhraya Yangon-Mandalay pula, selekohnya dibina rata sahaja tanpa ditinggikan sedikit di bahagian lengkuk luar, menyebabkan selekoh di lebuh raya tersebut sangat berbahaya dan boleh menyebabkan pengguna lebuh raya terbabas walaupun dipandu pada kelajuan yang begitu perlahan. 
  4. Pembahaginya pula sekadar menggunakan konkrit bebendul yang tidak berupaya menangani kelajuan melebihi 90 km/j. Untuk kelajuan 100 km/j di lebuh raya ini, hanya pembahagi jenis pengadang keluli dan tembok Jersey sahaja yang sesuai bagi menangani kelajuan tinggi.
  5. Rumah penduduk dibina betul-betul di tepi lebuh raya - Pemerhatian saya melalui Google Maps juga mendapati boleh pula ada rumah-rumah orang yang dibina betul-betul di tepi lebuh raya, sekaligus mendedahkan penduduknya dengan bahaya dilanggar oleh kenderaan yang laju-laju belaka.
  6. Peniaga boleh berniaga sesuka hati di tepi lebuh raya - Jika anda kerap menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2, anda akan menemui papan tanda larangan berniaga lemang di tepi lebuh raya. Tujuannya adalah untuk mengelakkan nahas pelanggaran dari belakang akibat pemandu memparkir kenderaan di lorong kecemasan dan seterusnya lorong kiri jika terlalu ramai pelanggan mengunjunginya. Namun, larangan serupa tidak pula dikuatkuasakan di Myanmar.
  7. Cerutan atau penambahan lorong secara tiba-tiba dengan jarak tidak mencukupi, sekaligus membahayakan pengguna lebuh raya yang lain akibat pertukaran lorong secara tiba-tiba. Jarak cerutan atau capahan yang baik mestilah sekurang-kurangnya 100 m.
  8. Jalan susur persimpangannya tidak berlampu
  9. Wujudnya sambungan ke jalan-jalan kecil yang tidak sepatutnya wujud
  10. Papan tanda penunjuk arah hanya didirikan di saat-saat akhir
  11. Persimpangan searas tanpa lampu isyarat di pangkal lebuh raya - Permulaan lebuh raya ini di Yangon sekadar dibina sebagai persimpangan searas tanpa lampu isyarat
  12. Kurang kon dan papan tanda amaran di kawasan kerja - Semasa kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya dilakukan, kurang papan tanda amaran dan kon keselamatan yang diletakkan. Selain itu, jarak antara papan tanda amaran dengan kawasan kerja juga terlalu hampir.

Kenapa saya senaraikan kesemua pencabulan piawaian lebuh raya ekspres yang dilakukan oleh Lebuhraya Yangon-Mandalay ini...? Tidak lain dan tidak bukan sebagai iktibar kepada semua syarikat konsesi lebuh raya di Malaysia agar tidak melakukan pencabulan yang sama. Namun, masih ada lagi projek lebuh raya baharu yang mencabuli piawaian lebuh raya ekspres yang telah ditetapkan dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads seperti Lebuhraya Pantai Barat E32. Saya tidak boleh menerima sama sekali idea menggunakan sebahagian jalan FT5 sebagai sebahagian laluan E32 kerana ia akan membahayakan nyawa pengguna lebuh raya serta penduduk tempatan yang tinggal di sepanjang Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dan Jalan Teluk Intan-Sitiawan FT5. Malangnya, pencabulan piawaian lebuh raya terus dilakukan tanpa sedikit pun rasa kesal. Kepada pihak WCE, mahukah anda melihat Lebuhraya Pantai Barat E32 menjadi Lebuhraya Yangon-Mandalay versi Malaysia...? Jika tidak mahu, hentikan pencabulan piawaian lebuh raya di WCE E32 dengan menggunakan laluan berasingan bagi jajaran Tanjung Karang-Hutan Melintang dan Teluk Intan-Lekir, bukannya menggunakan laluan FT5.

Tuesday, December 22, 2015

VIP (Very Ignoble Person)




Salam sejahtera,

Baru-baru ini heboh di serata alam siber mengenai kes pengguna jalan raya enggan memberikan laluan kepada konvoi VIP yang diiringi polis, yang mana VIP malang tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak. Tindakan pengguna jalan raya tersebut yang menjadi viral di serata alam siber mengundang pelbagai reaksi, yang mana kebanyakannya menyokong tindakan tersebut. Kenapa boleh jadi begitu...?



Sy dalam perjalanan ke sri petaling utk 1 lg kelas personal coaching.Tiba2 d belakang sy, ada beberapa buah superbike...
Posted by Fadzil Khairi on 15hb Disember 2015


Pada 15 Disember 2015, Fadzil Khairi sedang dalam perjalanan ke Sri Petaling semasa terserempak dengan satu konvoi VIP. Polis pengiring yang menaiki motosikal mengarahkan kesemua kereta di hadapan untuk memberi laluan, tetapi Fadzil dengan selambanya tidak menghiraukan arahan polis tersebut. Rupa-rupanya dia mendapati VIP malang yang tidak diberikan laluan itu sebenarnya ialah Datuk Seri Najib Razak. Sebenarnya, Fadzil bukanlah satu-satunya pemandu yang enggan memberikan laluan kepada VIP tersebut; kereta-kereta lain di hadapannya pun sama juga tidak mahu memberikan laluan, seolah-olah kesemua pemandu di Kuala Lumpur sudah pun berpakat. Oleh kerana kesemua kereta di situ enggan memberikan laluan, polis pengiring tidak dapat berbuat apa-apa; kalau polis pengiring hendak menyaman sekalipun, sudah tentulah lebih 95% pemandu akan melarikan diri sebelum tiba giliran mereka.

Dalam seumur hidup saya sendiri pun, inilah kali pertama saya mendengar kes kesemua pengguna jalan raya enggan memberikan laluan kepada konvoi VIP. Selalunya, setiap kali pengguna jalan raya Malaysia mendengar siren polis yang mengiringi konvoi VIP, mereka secara automatik akan memberikan laluan. Namun, berbeza pula dengan situasi kali ini yang mana tiada seorang pun yang ingin memberikan laluan kepada konvoi VIP malang tersebut, seolah-olah VIP tersebut sangat hina di mata masyarakat. Kependekan VIP yang bermaksud Very Important Person (Orang Sangat Penting) kini bertukar menjadi Very Ignoble Person (Orang Sangat Hina).

Perlu sangatkah kita memberi laluan kepada konvoi VIP...? Jawapannya ialah perlu dan tidak perlu, bergantung kepada keadaan. Jika VIP tersebut sekadar hendak ke kedai, ke pasar mahupun ke masjid, maka tidak perlulah mereka diberi laluan. Sebaliknya, jika VIP tersebut dalam perjalanan menghadiri urusan rasmi, maka VIP tersebut perlu diberikan laluan sekiranya diiringi polis. Justeru, keengganan memberikan laluan kepada konvoi VIP yang diiringi polis sebenarnya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 61, Akta Polis 1967 yang mana sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM200 atau penjara tidak lebih 2 bulan. Itu dikira masih bernasib baik lagi, tetapi jika didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, ia jauh lebih teruk kerana Kanun Keseksaan meletakkan pesalahnya setaraf dengan pencuri, perompak dan pembunuh.




Ke manakah perginya penghayatan pemimpin sekarang terhadap slogan "Kepimpinan Melalui Teladan" dan "Bersih Cekap Amanah" yang dilancarkan kerajaan lebih 3 dekad lalu...?


Namun, apa yang berlaku sekarang ialah terdapat VIP yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan mempergunakan polis pengiring untuk menyekat laluan orang lain bagi tujuan bukan rasmi. Sebab itulah rakyat berasa sakit hati kerana kalau diikutkan siapa hendak cepat, semua orang hendak cepat juga. Tambah memburukkan keadaan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, datuk Abdul Rahman Dahlan, pernah mengeluarkan satu kenyataan yang dangkal lagi memakan diri dengan mengatakan, "bangun awal dan guna jalan alternatif bebas tol untuk menjimatkan wang". Nah, sekarang kenyataan yang dikeluarkan itu memakan diri kembali apabila tiada siapa pun sudi memberikan laluan kepada VIP malang tersebut, dan apabila isu tersebut menjadi viral, rata-rata warga siber menyelar pihak yang "bersimpati" terhadap VIP malang tersebut dengan menyuruh VIP itu sendiri bangun awal dan menggunakan jalan alternatif. Lagipun, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah melancarkan kempen "Kepimpinan Melalui Teladan", tetapi malangnya sekarang ramai di kalangan pemimpin yang tidak menunjukkan teladan yang bagus di hadapan rakyat.

Selain daripada isu pemimpin yang tidak menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat, alasan paling popular kenapa pengguna jalan raya di Sri Petaling pada masa itu enggan memberi laluan kepada Perdana Menteri yang menjadi VIP malang tersebut sudah tentu kerana mereka sudah hilang rasa hormat kepadanya susulan terlalu banyak isu rakyat serta skandal politik yang gagal ditanganinya. Rakyat naik angin akan isu harga barang naik yang gagal ditangani Najib Razak. Rakyat naik minyak akan kecelaruan harga minyak sekarang. Rakyat berasa sangat marah akan kenaikan kadar tol. Rakyat berasa sakit hati kerana terus "dirompak" oleh GST. Rakyat mempersoalkan ke mana perginya "duit derma" RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun bank Najib sendiri. Rakyat mempertikaikan rasional hutang RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penjualan aset utiliti negara kepada syarikat dari China yang sudah tentunya mengancam kedaulatan negara. Justeru, tidak hairanlah kenapa rakyat Malaysia memandang hina akan Najib Razak sehingga ke tahap tidak mahu memberikan laluan kepadanya.

Namun demikian, adakah tindakan enggan memberikan laluan kepada konvoi Najib itu satu tindakan betul...? Tidak sama sekali. Saya sendiri pun tidak menyukai Najib Razak berikutan kegagalannya menyelesaikan isu kenaikan harga barang, kegagalannya menangani isu-isu rakyat serta koleksi skandal politiknya yang menjadikan Malaysia terkenal di mata dunia akibat skandal korupsi. Namun, tindakan menghalang konvoi Najib bukanlah satu penyelesaian yang berbaloi kerana pelakunya pula yang tidak fasal-fasal dihumban ke dalam penjara. Sebaliknya, bantahlah dengan cara yang lebih bijak iaitu melalui kertas undi. Selain itu, ahli-ahli Umno seharusnya berhenti menjadi penjilat tegar, tetapi sebaliknya mempergunakan hak mereka untuk memilih pemimpin yang lebih layak, lebih amanah dan lebih kompeten.




DYMM Sultan Ibrahim sanggup makan di warung kampung bersama-sama dengan rakyat




DYMM Sultan Ibrahim sekadar menaiki motor kapcai Honda Wave 110 semasa bertegur sapa dengan rakyat


Kesimpulannya, penghormatan tidak boleh diminta, dipaksa mahupun dibeli melalui wang ringgit; sebaliknya, seseorang perlu berusaha sendiri untuk mendapatkan penghormatan daripada orang lain. Mungkin pihak polis boleh mengambil tindakan dengan menyaman kenderaan yang enggan memberi laluan kepada VIP, tetapi mampukah pihak polis melakukannya sekiranya kesemua pengguna jalan raya di lokasi seolah-olah sudah berpakat enggan memberikan laluan kepada VIP malang tersebut...? Kalau pun pihak polis berupaya melakukannya, ia hanya akan mencalarkan imej pihak polis kerana orang ramai sudah tentu akan menggelarkan polis sebagai "anjing kerajaan" sedangkan mereka hanya menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang. Isu sebegini perlu ditangani dengan teliti ibarat menarik rambut di dalam tepung, kerana realiti yang berlaku sekarang ialah rakyat sekarang sudah hilang rasa hormat akan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Justeru, daripada sekadar menyaman kesemua kereta yang tidak memberikan laluan kepada Najib Razak, lebih baik bertanya kepada diri sendiri, kenapa rakyat sudah tidak lagi menghormati Najib Razak. Jika menggantikan Najib Razak dengan individu lain yang lebih berkelayakan ialah satu-satunya cara bagi mengembalikan semula keyakinan dan rasa hormat rakyat terhadap kerajaan, lakukanlah sahaja tanpa rasa kesal. Kepada individu yang digelar VIP, belajarlah menghormati hak orang lain. Belajarlah untuk merendah diri dan bukannya berlagak angkuh dan bongkak dengan menyalahgunakan konvoi polis iringan untuk memaksa pengguna jalan raya lain ke tepi dengan sesuka hati sahaja. Sebaliknya, belajarlah daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail - meskipun baginda merupakan sultan paling berkuasa di Malaysia dan boleh memiliki apa sahaja jenis supercar dengan selamba, namun baginda sedikit pun tidak berasa malu untuk makan di warung tepi jalan atau kedai mamak, ataupun menyapa rakyat dengan sekadar menaiki motor kapcai Honda Wave 110 sahaja tanpa memerlukan iringan polis. Sebab itulah baginda merupakan sultan yang paling dihormati bukan sahaja oleh bangsa Johor tetapi oleh rakyat Malaysia keseluruhannya.


Monday, December 21, 2015

Nostalgia: 永遠にさようなら [Goodbye forever], A&W Seremban (1978-2015)...!!!




Salam sejahtera,

Salah satu daripada kegiatan ekonomi yang terhasil daripada pembinaan jalan raya ialah kewujudan sebegitu banyak tempat makan, dari sekecil-kecil gerai dan warung di tepi jalan, medan selera, hentian rehat, restoran sehinggalah kepada restoran pandu lalu. Tempat-tempat makan ini sangat penting buat para musafir yang dalam perjalanan jauh mahupun penduduk tempatan bagi mengisi perut yang lapar serta menghilangkan dahaga agar dapat meneruskan aktiviti seharian, memandangkan tidak semua yang berkesempatan memasak sendiri di rumah. Di antara jenis-jenis tempat makan tersebut, restoran pandu lalu merupakan satu kemudahan yang banyak memberi manfaat kepada pengguna jalan raya kerana mereka tidak lagi perlu keluar daripada kereta untuk membeli makanan. Mungkin pasaran restoran pandu lalu di Malaysia sekarang dikuasai McDonald's dan diikuti dengan KFC dan Pizza Hut, tetapi tahukah anda bahawa restoran pandu lalu di Malaysia sebenarnya dipelopori oleh rangkaian francais tertua di Malaysia iaitu A& W...?

Sejarah A&W di Malaysia sememangnya begitu panjang. Ia mula bertapak di Malaysia sejak penubuhan Persekutuan Malaysia lagi pada tahun 1963, melalui cawangan sulungnya yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Seterusnya, pada tahun 1965 A&W membuka restoran pandu lalu pertama di Malaysia iaitu di Petaling Jaya. Ia jauh lebih awal daripada KFC yang mula membuka cawangan sulungnya di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada tahun 1973, diikuti McDonald's yang membuka cawangan pertamanya di Jalan Sultan Ismail dekat Bukit Bintang pada tahun 1982.

Dalam entri hari ini, saya ingin berkongsi nostalgia serta pengalaman manis saya di cawangan A&W yang paling ikonik di Seremban sehingga menjadi salah satu mercu tanda utama bagi bandar tersebut. Restoran A&W Seremban Drive-Thru yang terletak di Taman Tasik Seremban mula dibuka pada tahun 1978, dan setelah 37 tahun berbakti kepada penduduk Seremban serta para musafir yang berhenti rehat sebentar di Seremban, restoran pandu lalu pertama di Seremban itu bakal menutup pintunya buat selama-lamanya pada 1 Januari 2016 bagi memberi laluan kepada projek pembangunan di sekitar Taman Tasik Seremban. Maka, saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi kisah manis saya setelah beberapa kali saya menikmati hot dog, burger, ayam goreng, dan yang paling terkenal, rut bir.

Saya pertama kali diberi peluang menikmati hidangan di A&W pada ketika saya masih di bangku sekolah rendah pada tahun 1992. Namun, cawangan A&W pertama yang saya kunjungi itu bukanlah di cawangan Seremban Drive-Thru tetapi di Plaza Kotaraya, Johor Bahru (sekarang ia sudah pun ditutup). Kenapa saya terpaksa pergi jauh semata-mata untuk menikmati rut bir yang ditambah aiskrim vanila...? Jawapannya mudah sahaja - kampung halaman saya di Segamat tiada restoran A&W sehingga sekarang, maka saya sekeluarga terpaksa berjalan jauh semata-mata untuk menikmati kesegaran rut bir A&W. Namun, keluarga saya tidak larat untuk ke Johor Bahru yang memakan masa perjalanan selama lebih kurang 5 jam, memandangkan pada masa itu Lebuhraya Utara-Selatan E2 masih belum siap lagi. Maka, ayah saya memikirkan satu alternatif yang lebih dekat, iaitu di cawangan Seremban Drive-Thru.

Tahun 1993 merupakan kali pertama saya sekeluarga mengunjungi A&W Seremban Drive-Thru dengan menaiki kereta Proton Saga. Pada masa itu, kami sering memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Exit 235 Persimpangan Tangkak. Tiada Exit 233 Persimpangan Jasin pada masa itu. Selain itu, jajaran Senawang-Ayer Keroh masih lagi 4 lorong dan bukannya 6 lorong sebagaimana sekarang. Kami keluar dari lebuh raya melalui Exit 220 Persimpangan Senawang dan meneruskan perjalanan ke pusat bandar Seremban melalui Jalan Seremban-Tampin FT1 yang pada ketika itu masih lagi jalan raya tunggal 2 lorong. Lebih kurang 3 km kemudian, kami sudah pun berada di Bulatan Seremban (kini ia sudah ditukar menjadi pulau jalan bagi persimpangan LILO Jalan Stesen) yang menandakan kami sudah pun hampir tiba di restoran A&W Seremban Drive-Thru.

Sejak pertama kali kami mengunjungi A&W Seremban Drive-Thru, kami sekeluarga amat menyukai restoran tersebut. Lokasinya yang terletak di Taman Tasik Seremban menyajikan pemandangan yang begitu indah dan mendamaikan. Sungguhpun restoran tersebut menyediakan perkhidmatan pandu lalu, namun kami memang tidak pernah memanfaatkan kemudahan tersebut, sebaliknya kami sering memilih untuk makan di restoran sahaja agar dapat menikmati panorama Taman Tasik Seremban yang begitu indah lagi mendamaikan. Selain datang untuk makan, saya dan adik-adik saya turut mengambil kesempatan untuk bermain-main di Taman Tasik Seremban sambil mengapresiasi warna-warna bunga-bungaan serta kehijauan alam di situ. Memandangkan kami tidak berupaya untuk datang dengan sebegitu kerap, maka kami mengambil kesempatan untuk mendapatkan bekalan air rut bir - bukan sebotol, tetapi tiga botol besar. Kalau di A&W Plaza Kotaraya Johor Bahru pula saya sekeluarga sibuk mengumpul koleksi botol Root Bear. Kenapa pula kami bersusah-payah datang jauh-jauh semata-mata mendapatkan bekalan rut bir...? Beli sahaja di kedai tak bolehkah...? Rasa rut bir asli A&W sebenarnya jauh berbeza daripada rut bir lain sama ada minuman kordial mahupun minuman berkarbonat. memandangkan ia disediakan segar setiap hari. Rut bir A&W dihidangkan di dalam koleh kaca berkabut yang disimpan di dalam peti sejuk. Hasilnya, rasa rut bir A&W sangat segar dan sangat asli, tanpa menggunakan ais yang sudah tentu akan mengurangkan rasa rut bir tersebut. Lagipun, jarak antara Seremban dengan Segamat juga agak dekat iaitu 134 km sahaja berbanding jarak antara Johor Bahru dengan Segamat sejauh 184 km.

Setelah saya melangkah dewasa, saya menetap di Batu Caves untuk mencari rezeki. Namun, setiap kali saya pulang ke kampung, kadang-kadang saya keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan melencong sebentar ke Seremban di mana A&W Seremban Drive-Thru sering menjadi destinasi saya beristirehat seketika sebelum meneruskan perjalanan. Kalau diikutkan, memang agak kerap juga saya melepak di A&W Wangsa Walk bersama-sama seorang adik lelaki saya, tetapi suasanya jauh berbeza berbanding dengan A&W Seremban Drive-Thru, kerana di situ saya disajikan dengan satu lagi "hidangan" istimewa yang tidak ditawarkan di mana-mana cawangan A&W yang pernah saya kunjungi sebelum ini - nostalgia manis yang mewarnai zaman kanak-kanak saya.

Setelah sebegitu lama mewarnai kehidupan saya sejak zaman kanak-kanak lagi, tahun ini saya dikejutkan dengan satu berita yang begitu menyedihkan. Melalui laman Facebook A&W Malaysia, saya mendapat tahu bahawa A&W Seremban bakal menutup pintunya buat selama-lamanya bermula 1 Januari 2016 bagi memberi laluan kepada projek pembangunan di situ. Sebelum pintu A&W Seremban tertutup buat selama-lamanya, saya benar-benar teringin untuk mengunjunginya buat kali terakhir sebelum saya kehilangan peluang tersebut. Saya cuba membelek-belek dompet saya. Wang yang saya ada sekarang hanya cukup-cukup makan untuk bertahan sebelum gaji saya yang seterusnya. Apa yang patut saya lakukan sekarang...? Harga minyak sekarang sudah mahal, ditambah pula dengan tol lebuh raya; meskipun belum ada keputusan sama ada kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan bakal naik atau tidak, namun ia tetap boleh dianggap mahal. Kalau saya hendak ke A&W sekalipun, bajet yang saya ada sekarang hanya membenarkan saya untuk menikmatinya di sekitar KL sahaja; selepas ini, sekiranya saya hendak pulang ke kampung setelah bajet mengizinkan pada awal Januari 2016 lagi, restoran A&W Seremban Drive-Thru sudah pun tiada lagi. Adakah saya hanya mampu berputih mata sahaja...? Terkilan kerana tidak dapat menziarahi A&W Seremban Drive-Thru buat kali terakhir sebelum pintunya ditutup buat selama-lamanya, saya tiada pilihan lain melainkan sekadar mencurahkan rasa hati saya dalam entri kali ini.

Setelah A&W Seremban Drive-Thru menutup pintunya buat selama-lamanya, bandar Seremban dirasakan tidak lagi sama seperti sebelumnya. Aura keceriaan yang terjana berhampiran Taman Tasik Seremban sudah hampir terpadam. Mungkin masih lagi ada cawangan A&W di Mydin Seremban, ditambah pula dengan satu lagi cawangan baharu yang bakal dibuka di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban (arah selatan), tetapi perasaannya sudah tidak lagi sama seperti sebelumnya. Apa yang menjadikan saya bertambah terkilan ialah saya tidak berpeluang membawa ibu saya yang kini lumpuh separuh badan akibat strok untuk menikmati hidangan di A&W Seremban Drive Thru buat kali terakhir. Hanya kenangan manis bersama-sama A&W Seremban sahaja yang tetap bersemadi di lubuk hati saya buat selama-lamanya.

永遠にさようなら、A&W Seremban...!!!

Wednesday, December 16, 2015

Apa Kejadahnya: Tikus membaiki labu / What The Hell: Asking a rat to repair a pumpkin




Salam sejahtera,

Jalan raya rosak sering mencetuskan kemarahan di kalangan pengguna jalan raya. Akibat jalan yang rosak dan berlubang macam baru lepas perang, banyak kenderaan yang tayarnya pecah, sistem suspensinya rosak ataupun rodanya patah, gelong atau bengkok. Akibatnya, ramai yang "patah kaki" dan tidak dapat pergi mencari rezeki mahupun menuntut ilmu sehinggalah kerosakan tersebut dibaiki. Banyak wang yang terpaksa dibazirkan begitu sahaja untuk membaikinya, sedangkan wang tersebut sepatutnya boleh disimpan bagi menghadapi keadaan ekonomi yang lembab dan kos sara hidup yang naik mencanak. Jika tidak bernasib baik, lubang-lubang puaka di jalan raya itu boleh mengakibatkan kemalangan yang ada kalanya meragut nyawa. Namun, apa yang lebih menyakitkan hati ialah kebanyakan kerosakan jalan raya di Malaysia adalah bahana keculasan segelintir kontraktor haram jadah yang sudah kenyang memakan duit rakyat tetapi sekadar membuat kerja secara cincai tanpa mengikuti piawaian ditetapkan. Harapkan mereka membina, membaiki atau menaiktaraf jalan, jalan yang dihasilkan bukannya bertambah elok tetapi lebih teruk daripada jalan raya di negara mundur. Mereka inilah yang dikatakan sebagai tikus membaiki labu.

Sebagaimana yang anda sedia maklum, tikus memang tidak boleh diharap langsung untuk membaiki labu yang rosak; labu yang rosak itu semakin berlubang di sana-sini adalah. Cubalah beri sebiji labu yang sudah rosak dan berulat di hadapan seekor tikus dan perhatikan sendiri apa akan terjadi pada labu tersebut. Anda akan dapati labu itu semakin rosak dan berlubang dan bukannya menjadi semakin cantik dan segar. Apa tidaknya, tikus tidak menggunakan penyodok, cangkul, tukul, pemutar skru, spana mahupun jentera untuk "membaiki" labu, tetapi sebaliknya menggunakan gigi dan kuku mereka sendiri. Maka, sudah tentulah tikus merosakkan labu yang sepatutnya "dibaiki" melalui pelbagai cara, iaitu kerosakan fizikal yang disebabkan gigitan dan cakaran tikus, serta air kencing dan najisnya yang boleh membahayakan kesihatan manusia. Justeru, perumpamaan tersebut sangat sesuai digunakan untuk menggambarkan sikap tidak amanah kontraktor haram jadah yang menjadikan projek sakit bertambah sakit.




Cuba teka, anda sedang berada di Kandahar, Uganda ataupun di Ghana...? Ketiga-tiganya salah, anda sebenarnya berada di Kuala Lumpur
(Kerdit gambar: Utusan Malaysia)




Terowong Jalan Pudu yang runtuh semasa dalam pembinaan




Lebuhraya Sultan Iskandar FT2 yang mendap akibat kerja-kerja pembinaan yang dibuat ibarat tikus membaiki labu


Jika diperhatikan di sekeliling kita, terdapat banyak projek sakit yang berpunca daripada pelantikan kontraktor yang tidak kompeten mahupun kaki songlap. Di Kuala Lumpur sendiri pun memang ada banyak kes pembaikan jalan yang dilakukan secara cincai sehinggakan anda boleh merasakan seolah-olah anda tersesat di Uganda dan bukannya di Kuala Lumpur. Daripada kes-kes tersebut, dua kes jalan rosak berprofil tinggi yang berpunca daripada tikus membaiki labu sudah tentulah terowong Jalan Pudu yang runtuh semasa dalam pembinaan sehingga mengakibatkan kesesakan teruk serta perkhidmatan monorel terpaksa dihentikan, serta terowong Persimpangan Parlimen di Lebuhraya Mahameru yang mendap sehingga memaksa jalan enam lorong mencerut menjadi empat lorong sahaja. Nak tahu lebih banyak lagi kes-kes jalan berlubang di Lembah Klang akibat kerja yang dibuat ibarat tikus membaiki labu...? Anda tanya sahaja Encik Lando Zawawi dari kumpulan motosikal Brotherhood; mereka sudah banyak kali terpaksa menampal lubang-lubang puaka tersebut bahana keculasan orang lain yang sudah puas songlap duit bayaran kerja yang sudah diberikan.




Sekali lagi, anda bukan berada di Afghanistan, Uganda mahupun Nigeria. Anda sekarang berada di Lebuhraya Pasir Gudang FT17...!!!




Lebuhraya Pasir Gudang FT17 sebelum kerja naik taraf dimulakan, jauh lebih baik daripada sekarang


Kenapa pula saya menulis mengenai cerita tikus membaiki labu ini...? Semalam (15 Disember 2015), Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) ada menyiarkan kenyataan menerusi laman Facebook rasmi mereka mengenai isu kerja-kerja pelebaran Lebuhraya Pasir Gudang FT17 daripada 4 lorong kepada 6 lorong yang tidak siap-siap walaupun tidak sampai dua minggu sahaja lagi sebelum tarikh dijadualkan siap pada 31 Disember 2015. Menurut maklumat yang kami perolehi, kontraktor culas yang bertanggungjawab melaksanakan fasa pertama yang bermasalah itu ialah IDX Multi Resources Sdn. Bhd. Sebenarnya bukan sekali dua projek sakit ini ditangguhkan, tetapi sudah banyak kali - sebelum ini, tarikh siap dianjak ke September 2015 sebelum dianjak lagi ke 31 Disember 2015. Sekarang, tarikh tersebut ditangguhkan lagi ke Mac 2016 pula. Nak tunggu berapa ribu tahun lagi baru projek ini siap...? Apa kejadahnya semua ini...? Habis tu sepanjang beberapa tahun masa panjang yang diberikan itu apa yang kontraktor haram jadah itu buat...? Berjoli katak dan berlenggang-kangkung...? Kerja yang dilakukan juga lebih teruk daripada kerja di negara mundur. Harapkan jalan yang dibaiki dan dinaiktaraf bertambah bagus, tetapi hakikat sebenarnya ialah Lebuhraya Pasir Gudang FT17 berlubang di sana-sini macam baru lepas perang, seolah-olah berada di Afghanistan mahupun Uganda. Setiap hari ada sahaja cerita kenderaan yang menjadi mangsa lubang-lubang puaka tersebut, daripada sekecil-kecil motosikal sehinggalah kepada sebesar-besar lori. Mana perginya pengurusan trafik...? Mana perginya papan-papan tanda amaran...? Mana perginya pemantauan...? Mana perginya pembaikan sementara di kawasan yang terjejas akibat kerja-kerja pembinaan...? Kenapa projek yang sepatutnya siap 2 minggu lagi kelihatan seolah-olah baru 2 minggu sahaja dimulakan...?

Seterusnya, apakah pula tindakan yang diambil oleh JKR terhadap IDX Resources selaku kontraktor culas lagi haram jadah ini...? Setakat amaran dan denda sahaja...? Patutlah banyak kontraktor culas kaki songlap yang masih berlenggang-kangkung dan berjoli katak walaupun kerja masih tidak siap lagi. Sebaliknya, tindakan yang sepatutnya diambil oleh JKR ialah menghantar terus surat arahan berhenti kerja, surat penamatan kontrak, denda berat serta tindakan senarai hitam daripada menerima sebarang projek kerajaan. Tiada gunanya lagi memberi peluang kepada kontraktor penyangak tersebut kerana semakin diberikan peluang, mereka semakin naik lemak. Lihat sajalah, baru sekarang mereka terhegeh-hegeh hendak menyiapkan projek tersebut. Sebelum ini tiada pula mereka bersungguh-sungguh hendak menyiapkan projek mengikut jadual. Apa yang ditunjukkan oleh kontraktor kaki songlap tersebut bukanlah menandakan kesungguhan mereka tetapi sebaliknya hanya menunjukkan bahawa mereka memang sudah terdesak sekarang. Kalau IDX Resources bersungguh-sungguh, sepatutnya dari mula lagi kerja-kerja pembinaan dijalankan dengan rancak tanpa sebarang kecacatan. Ya, memang bunyinya seolah-olah saya ini kejam, tetapi saya peduli apa. Saya lebih mengutamakan kepentingan pengguna jalan raya dalam soal ini. Rakyat Malaysia membayar cukai jalan dan GST untuk menikmati jalan raya yang lebih selesa dan lebih bermutu, bukannya jalan yang lebih teruk daripada jalan raya di negara mundur. Justeru, lebih baik saya bersikap kejam sekarang daripada saya terlalu memberi muka sehingga ramai yang menjadi korban nahas jalan raya bahana keadaan jalan raya yang tidak semenggah. JKR sepatutnya lebih berkeras terhadap kontraktor-kontraktor culas sebegitu kerana ia melibatkan nama baik JKR juga. Mahukah JKR terus dihentam oleh pengguna jalan raya disebabkan jalan raya yang asyik rosak bahana kerja yang dilakukan ibarat tikus membaiki labu...? Sudah tentulah tidak, bukan...?

Serius saya katakan, saya sudah letih, jelek, meradang, menyampah dan bosan kerana asyik bising akan isu jalan raya rosak sahaja. Namun, jika saya tidak bersuara, sudah tentulah kontraktor-kontraktor kaki songlap itu terus dengan perangai mereka yang suka songlap duit bayaran projek jalan raya hanya untuk menghasilkan jalan raya berkualiti tahap sampah. Saya sudah bosan mendengar sebarang alasan; yang saya mahu dengar sekarang hanyalah hukuman terhadap kontraktor penyangak tersebut serta tindakan pembetulan agar kes sebegini tidak lagi berulang. Biarlah kes Lebuhraya Pasir Gudang FT17 menjadi kes terakhir bagi projek sakit akibat kelewatan kerja pembinaan serta kualiti tahap sampah akibat kerja yang dilakukan ibarat tikus membaiki labu. Bagi kontraktor yang kurang berpengalaman, lebih baik berikan mereka projek jalan kampung sahaja. Sekurang-kurangnya, ia cara yang lebih baik untuk mengasah kemahiran mereka, dan tidak mustahil mereka akan bangkit sebagai antara syarikat kontraktor yang telah mengharumkan nama Malaysia di luar negara. Namun, bagi kontraktor yang sudah ada rekod buruk dalam pembinaan jalan raya, lebih baik tutup sahaja peluang untuk mereka.

Monday, December 14, 2015

Reviu eksklusif Lebuhraya Maju (MEX) E20 / Maju Expressway (MEX) E20 exclusive review

Salam sejahtera,

Semalam (13 Disember 2015) merupakan hari yang sangat istimewa buat Maju Expressway Sdn. Bhd. (MESB) sungguhpun dengan keadaan cuaca yang tidak begitu baik kerana semalam merupakan hari perasmian Exit 2004A Persimpangan Seri Kembangan yang dihubungkan dengan Jalan Seri Kembangan FT3215, sekaligus menamatkan penderitaan orang-orang Seri Kembangan yang sudah puas menanggung azab kesesakan jalan raya di pekan Seri Kembangan sehingga turut merebak ke Lebuhraya Besraya E9. Jika sebelum ini Lebuhraya Besraya E9 (dan "jalan-jalan potong" pemintas tol) merupakan satu-satunya laluan utama bagi penduduk Seri Kembangan ke ibu kota, kali ini mereka boleh menarik nafas lega kerana sudah ada laluan alternatif yang lebih lancar dan memudahkan pergerakan.

Sempena dengan pembukaan Exit 2004A Persimpangan Seri Kembangan semalam, Blog Jalan Raya Malaysia berkesempatan untuk mengadakan satu reviu eksklusif bagi lebuh raya ini dengan menggunakan motosikal. Kenapa saya perlu nyatakan motosikal...? Sebenarnya ada di kalangan peminat setia Blog Jalan Raya Malaysia yang agak risau kerana sudah lama saya tidak menyentuh motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya untuk menghasilkan reviu jalan raya sejak ia mengalami kerosakan pada Oktober 2014. Sebenarnya kerosakan yang dialami itu tidaklah sampai terpaksa dibaik pulih (overhaul), cuma kos keseluruhan untuk membaikinya sahaja yang menghampiri kos baik pulih penuh kerana ada banyak kerosakan kecil serta penukaran alat ganti wajib yang terkumpul. Penukaran alat ganti kecil yang terkumpul hanyalah melibatkan penukaran minyak enjin, rantai, gegancu, palam pencucuh dan pad brek, yang mana kosnya tidaklah seberapa, tetapi apa yang merabakkan kocek saya ialah penukaran kedua-dua rim sport hadapan dan belakang, bearing bagi roda belakang serta tayar hadapan dan belakang. Disebabkan pada masa itu poket saya sudah pun rabak habis akibat motosikal saya terpaksa dibaik pulih sebanyak dua kali (kali pertama gagal kerana masalah minyak enjin tiba-tiba kering pula muncul) dengan kos keseluruhan sekitar RM1,100, maka saya mengalami masalah kewangan yang agak lama untuk diatasi setelah terpaksa menggunakan kereta sebagai kenderaan untuk ke tempat kerja.  Hanya pada bulan September 2015 barulah saya berjaya membaiki semula motosikal saya, sekaligus menamatkan masalah kewangan yang dihadapi sepanjang tahun ini, dan kali ini saya dengan bangganya kembali menggunakan motosikal Honda Wave Ultimo saya untuk reviu kali ini.

Sekarang mari kita bercerita serba-sedikit mengenai Lebuhraya MEX E20 ini. Cadangan membina lebuh raya ini muncul hasil daripada rancangan pembinaan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baharu kerajaan persekutuan serta lapangan terbang baharu Kuala Lumpur di Sepang yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Maka, sudah tentulah ia memerlukan sebatang lebuh raya khas yang menghubungkan Kuala Lumpur terus ke dua destinasi tersebut, memandangkan KLIA dibina jauh di sebelah selatan. Sebenarnya pengguna jalan raya memang boleh ke Putrajaya melalui kombinasi Lebuhraya KL-Seremban E37-Lebuhraya Utara-Selatan E2 ataupun Lebuhraya Sungai Besi E9 sebelum meneruskan perjalanan melalui SKVE E26, tetapi kedua-dua lebuh raya tersebut ada zon sesak yang tersendiri sehingga boleh mengganggu kelancaran trafik. Sebab itulah satu lebuh raya khusus yang disambung terus ke Putrajaya dari Kuala Lumpur diperlukan. Projek lebuh raya yang asalnya diberi nama Lebuhraya Khusus Kuala Lumpur-KLIA E20 ini diluluskan oleh kerajaan persekutuan pada tahun 1997, dengan konsesi diberikan kepada Konsortium Lapangan Terjaya Sdn. Bhd., anak syarikat Maju Holdings Berhad. Namun, disebabkan masalah kegawatan ekonomi, pembinaan lebuh raya hanya dilaksanakan sehingga setakat Exit 2005 Persimpangan Putrajaya Link sahaja, dan lebuh raya ini dinamakan semula sebagai Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya E20. Pembinaan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya E20 dimulakan pada 6 Disember 2004 dan dibuka kepada lalu lintas pada 13 Disember 2007. Pada 11 Jun 2008, Konsortium Lapangan Terjaya Sdn. Bhd. menukar namanya kepada Maju Expressway Sdn. Bhd. seperti yang kita kenali pada hari ini, dan Lebuhraya KL-Putrajaya E20 kini dikenali sebagai Lebuhraya Maju E20 ataupun Lebuhraya MEX E20.



Pelan jejambat Lebuhraya MEX E20 yang dikatakan terlalu hampir dengan rumah penduduk Sri Petaling
(klik untuk besarkan)


Namun, projek lebuh raya ini tidak sunyi daripada isu kontroversinya yang tersendiri. Isu kontroversi pertama ialah pembinaan jejambat di atas Jalan 2/149 di Sri Petaling. Meskipun jejambat tersebut dibina di atas pembahagi jalan, namun jejambat tersebut didakwa terlalu hampir dengan rumah penduduk - sehinggakan jarak di antara tembok di tepi lebuh raya dengan rumah penduduk hanya 2 meter sahaja. Selain daripada mendedahkan penduduk Sri Petaling dengan bunyi bising jalan, penduduk Sri Petaling juga bimbang sekiranya kenderaan berat terlanggar tembok pengadang tepi jejambat sehingga roboh dan seterusnya terjunam ke rumah orang.






Pelan tanah bagi jajaran asal E20 pada tahun 1997 (atas) dengan jajaran yang telah dialihkan ke pembahagi jalan 2/149 (bawah)


Bagaimana boleh jadi begitu...? Perhatikan kepada dua pelan tanah di atas ini. Pelan tanah di atas merupakan pelan tanah pada tahun 1997 yang merupakan pelan laluan asal. Laluan asal E20 sepatutnya di sebelah barat Jalan 2/149 dengan rizab jalan yang mencukupi. Namun, kegagalan perancangan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawah pimpinan Datuk Seri Samy Vellu serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengakibatkan projek lebuh raya ini tidak dapat dibina di laluan asal, apabila DBKL meluluskan pembinaan perumahan di sepanjang Jalan 2/149K, mengakibatkan jajaran lebuh raya terpaksa dianjak ke jejambat yang dibina di atas pembahagi Jalan 2/149. Inilah padahnya akibat gagal merancang dengan teliti, sehingga mengakibatkan projek infrastruktur penting sebegini tidak dapat dijalankan dengan lancar. Bantahan oleh penduduk Sri Petaling ini tidak seharusnya timbul jika KKR lebih bijak merancang dengan mengambil alih segera kawasan tanah yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya ini serta mewartakannya sebagai tanah rizab lebuh raya. Sementara itu, Datuk Seri Samy Vellu pula bertindak balas dengan mengatakan bahawa masalah tersebut boleh diselesaikan dengan membina jejambat tersebut lebih tinggi serta dilengkapi tembok peredam bunyi.

Itu baru kontroversi di peringkat pembinaan. Setelah E20 dibuka pula, satu lagi kontroversi timbul apabila Datuk Seri Samy Vellu sekali lagi mencari fasal dengan mengharamkan penggunaan motosikal di sepanjang Lebuhraya MEX E20 pada saat-saat akhir bermula 31 Januari 2008 atas alasan yang sangat dangkal iaitu "tidak cukup ruang". Apakah Samy Vellu itu sengaja membutakan matanya sehinggakan lebuh raya sebesar-besar alam itu pun boleh dikatakan "tidak cukup ruang" bagi penunggang motosikal...? Kalau diikutkan, kesemua plaza tol di sepanjang E20 memang ada lorong motosikal. Kalau dalam kes Lebuhraya AKLEH E12, memang lebuh raya itu tiada lorong motosikal di Plaza Tol Keramat, tetapi akhirnya ia tetap berjaya diwujudkan meskipun sempit. Kalau kes Terowong SMART E38 mengharamkan penggunaan motosikal pun saya masih boleh terima rasionalnya, kerana Terowong SMART berakhir di kawasan paling sesak di Kuala Lumpur, jadi tahap pelepasan ekzos motosikal berpotensi meracuni keseluruhan pengguna E38 disebabkan sistem kawalan emisi motosikal yang sangat ringkas dan kurang berupaya mengurangkan paras karbon monoksida, nitrogen oksida dan hidrokarbon tak terbakar secekap kereta. Namun, dalam kes E20 pula, alasan yang diberikan oleh Samy Vellu ini sangat mengarut dan tidak masuk akal. Jika bahu jalan keras yang kecil di sesetengah jajaran E20 dijadikan modal bagi alasan "tidak cukup ruang" untuk penunggang motosikal, maka ia satu pemikiran yang sangat cetek dan sangat dangkal. Buku undang-undang jalan raya negara mana yang mengajar pengguna jalan raya untuk menjadikan bahu jalan keras (aka lorong kecemasan) sebagai lorong motosikal...? Patutlah sekarang ini sudah sebegitu ramai pemandu bebal yang memandu di lorong kecemasan. Namun, penyebab sebenarnya adalah kerana Samy Vellu berasa bengang apabila keretanya dipintas oleh para penunggang superbike di lebuh raya. Kerana marahkan penunggang superbike, Samy Vellu terus mendiskriminasi keseluruhan komuniti penunggang motosikal umpama pariah dengan mengancam mahu mengharamkan terus motosikal daripada menggunakan mana-mana lebuh raya ekspres di Malaysia.

Akibat pengharaman penggunaan motosikal di Lebuhraya MEX E20, saya yang pada masa itu masih menuntut di universiti pernah "menyenaraihitamkan" lebuh raya ini dan seterusnya memboikot penggunaan E20 bagi membantah dasar diskriminasi terhadap pengguna motosikal oleh Samy Vellu. Hanya kerana bengang setelah keretanya dicantas oleh penunggang superbike, dia terus melabelkan kesemua penunggang motosikal sebagai mat rempit dan pelumba haram, sedangkan hakikat sebenarnya ialah majoriti penunggang motosikal di ibu kota termasuklah saya memilih untuk menggunakan motosikal sebagai kenderaan harian ke tempat kerja sebagai usaha mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi menggunung akibat terlalu banyak bergantung kepada penggunaan kereta. Perangai sombong dan bongkak Samy Vellu akhirnya memakan dirinya balik apabila dia kalah di tempatnya sendiri pada hari jadinya semasa Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008. Penggantinya iaitu Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed pula lebih memahami keperitan rakyat susulan kenaikan mengejut harga minyak sehingga mencecah RM2.70 seliter apabila beliau mengumumkan membenarkan semula motosikal menggunakan Lebuhraya MEX E20 bermula 4 Jun 2008. Serentak dengan itu jugalah saya menamatkan boikot terhadap penggunaan Lebuhraya MEX E20. Tatkala rakyat naik minyak susulan harga minyak yang mencanak naik, pengumuman oleh Datuk Ir. Mohd. Zin sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan kepada warga kota kerana kerajaan pada waktu itu masih memberi alternatif kepada rakyat dan bukannya mencekik habis rakyat dari semua sudut sehingga tiada alternatif lain yang boleh membantu. Sekarang...? Sendiri mahu ingatlah...!!!

Sekarang kita kembali semula kepada reviu lebuh raya ekspres sepanjang 26 km ini. Lebuhraya MEX E20 ini bermula di salah satu kawasan paling sesak di ibu kota iaitu di Exit 2001 Bulatan Pandan, dan kelemahan ini sangat terserlah ketika waktu gegas di sebelah pagi apabila pengguna lebuh raya ini pun boleh tersangkut sehingga beberapa kilometer jauhnya. Namun, jika ada di kalangan penduduk Kuala Lumpur yang bekerja di Putrajaya, mereka inilah yang tersenyum paling lebar kerana perjalanan ke Putrajaya pada waktu pagi pula begitu lancar.

Lebuhraya MEX E20 merupakan satu contoh terbaik yang berupaya menunjukkan kepada anda ketiga-tiga pecahan jenis lebuh raya ekspres mengikut piawaian JKR U6. Lebuh raya ini bermula di kawasan tepu bina paling padat di Kuala Lumpur dengan ruang yang sangat terhad. Sebab itulah jajaran di sini dibina hanya 4 lorong sahaja dengan had laju 60 km/j, memandangkan adalah sukar untuk memperoleh tanah mencukupi untuk membina lebuh raya 6 lorong. Jajaran KL-Salak Selatan ini boleh dikategorikan di bawah piawaian JKR U6 (Jenis III), dengan had laju reka bentuk hanya 60 km/j. Tidak lama setelah berada di jejambat, E20 mula mencecah tanah semasa menghampiri Plaza Tol Salak Selatan.

Lebuh raya menjadi bertambah lebar sehingga 6 lorong sebaik selepas Plaza Tol Salak Selatan.  Had laju dinaikkan kepada 80 km/j. Bermula dari sini, lebuh raya ini mula berubah kepada Jenis II pula - tidak terlalu padat seperti tadi, tetapi tidak pula terlalu lapang. Dengan kata lain, ia masih melalui jejambat, tetapi tidak berapa berkelok-kelok kecuali jajaran antara Exit 2002 Persimpangan Salak Selatan dengan Exit 2003 Persimpangan Kuchai Lama, menyebabkan selekoh di situ sekali lagi dikenakan had laju 60 km/j sebelum ia dinaikkan semula kepada 80 km/j. Exit 2002 Persimpangan Salak Selatan hanya sekadar satu susur masuk dari Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 (arah timur) ke arah Putrajaya. Sementara itu pula, Exit 2003 Persimpangan Kuchai Lama dihubungkan ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 (arah utara), yang mana dari situ pengguna boleh ke Lebuhraya Baru Pantai E10 dan Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37. Namun, apa yang saya kurang berpuas hati di situ ialah penambahan dua persimpangan tersebut (berserta laluan keluar masuk ke Terowong SMART E38) menambah parah akan kesesakan di Persimpangan Salak Selatan dan Persimpangan Kuchai Lama yang dibina terlalu rapat. Dalam hal ini, isu kesesakan di situ sepatutnya boleh diselesaikan melalui pembinaan lorong-lorong pengumpul bagi mengasingkan lalu lintas ke susur keluar masuk di kedua-dua persimpangan tersebut daripada laluan utama agar kecelaruan trafik dapat dikurangkan, tetapi malangnya tiada satu pun tindakan seumpamanya yang diambil meskipun sudah tahu jajaran di situ sesak teruk.

Selepas Exit 2003 Persimpangan Kuchai Lama, Lebuhraya MEX E20 melalui tengah-tengah Jalan 2/149 sebelum menaiki jejambat di atasnya. Tembok peredam bunyi dipasang tinggi di kiri kanan lebuh raya. Di jejambat sama jugalah terletaknya Exit 2004 Persimpangan Bukit Jalil yang dibina betul-betul di atas Exit 514 Persimpangan Awan Kecil di Lebuhraya Shah Alam E5. Namun, persimpangan tersebut mempunyai kecacatan reka bentuknya yang tersendiri. Dari pusat bandar raya, pengguna lebuh raya hanya boleh ke arah Sri Petaling (dan seterusnya MRR2 FT28); maka, pengguna lebuh raya dari KL yang hendak ke Shah Alam terpaksa membuat pusingan U di Exit 515 Persimpangan Kompleks Sukan Negara yang kapasitinya begitu terhad, memandangkan ia dihubungkan dengan jalan raya bertaraf jalan pengumpul sahaja. Kecacatan reka bentuk tersebut telah menyumbang kepada kesesakan teruk di antara Exit 514 Persimpangan Awan Kecil dengan Exit 515 Persimpangan Kompleks Sukan Negara, terutamanya semasa waktu gegas. Malangnya, tiada sebarang tindakan pembetulan berupa pembinaan jalan susur keluar ke arah Shah Alam dilaksanakan.

Jejambat Sri Petaling masih belum berakhir lagi; kali ini, ia dibina di atas Jalan Kompleks Sukan pula. Hanya setelah melepasi Taman Teknologi Malaysia barulah Lebuhraya Maju E20 dibina di atas tanah sehingga ke penghujungnya. Di sinilah had laju dinaikkan kepada 90 km/j kerana jajaran E20 kali ini dikategorikan di bawah piawaian JKR U6 (Jenis I) disebabkan rizab jalan yang sangat besar. Malah, kalau diikutkan di jajaran ini Lebuhraya MEX E20 sebenarnya sudah boleh dikategorikan sebagai lebuh raya luar bandar (JKR R6) yang membolehkan had laju dinaikkan kepada 110 km/j kerana ia tidak lagi melalui kawasan perumahan, tetapi sebaliknya E20 masih dianggap sebagai lebuh raya perbandaran.

5 km kemudian, saya tiba di Exit 2004A Persimpangan Sri Kembangan. Persimpangan ini dibina sebagai persimpangan trompet penuh yang dihubungkan dengan Jalan Sri Kembangan FT3215. Sepasang plaza tol juga dibina di jalan susur masuk dari arah KL dan sebaliknya; jalan susur keluar masuk arah Putrajaya pula tidak melalui plaza tol. Kenapa hanya arah KL sahaja yang dikenakan tol...? Sebabnya, Exit 2004A Persimpangan Sri Kembangan ini terletak di lokasi yang tidak sampai sepertiga perjalanan sahaja untuk sampai ke penghujung E20 - atau dengan kata lain, perjalanan dari Sri Kembangan ke Putrajaya sudah begitu dekat. Namun, plaza tolnya hanya menerima bayaran tol elektronik sahaja. Bermula semalam (13 Disember 2015) sehingga 13 Januari 2016, tol di sini adalah percuma; sebaik sahaja tempoh tol percuma di Plaza Tol Sri Kembangan tamat, keseluruhan lebuh raya ini hanya menerima pembayaran tol melalui Touch 'n Go dan Smart Tag sahaja.

Saya mengambil keputusan untuk melencong keluar sebentar untuk melihat sendiri jalan masuk ke lebuh raya. Lorong motosikal di plaza tol agak kotor hasil peninggalan jentera-jentera pembinaan yang belum dibersihkan. Saya dapat melihat kelibat khemah jamuan yang didirikan di situ, yang menunjukkan bahawa saya tiba di sini semasa majlis perasmian Exit 2004A ini baru sahaja selesai. Semasa saya meneruskan perjalanan melalui jalan masuk lebuh raya ini, saya dapati jalan masuk ini begitu panjang, seolah-olah di Lebuhraya Pantai Timur E8 pula. Sebaik berada di persimpangan Jalan Seri Kembangan FT3215, saya membuat pusingan U untuk memasuki lebuh raya semula.

Kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan terletak betul-betul selepas Exit 2004A Persimpangan Seri Kembangan. Ia merupakan satu-satunya hentian rehat di lebuh raya ini. Meskipun kesemua gerai di hentian rehat ini beroperasi, namun apa yang saya kurang senangi ialah ketiadaan stesen minyak di situ, samalah perangainya seperti Kawasan Rehat dan Rawat Elmina di Lebuhraya Guthrie E35. Kereta mungkin tiada masalah, tetapi bagaimana pula dengan motosikal kapcai...? Jika penunggang motosikal memasuki lebuh raya tatkala tangki minyak hanya berbaki suku sahaja, mereka pasti akan terpaksa menolak sebaik selepas keluar dari E20 kerana jarak stesen minyak terhampir dengan Exit 2005 Persimpangan Putrajaya Link adalah begitu jauh. Sebab itulah MESB perlu mendirikan stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan.

Perjalanan ke Putrajaya melalui Lebuhraya MEX E20 sudah hampir sampai ke penghujungnya. Petanda pertama ialah ketika E20 melintasi SKVE E26, diikuti dengan Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29. Namun, petanda paling besar ialah selekoh tajam betul-betul sebelum Plaza Tol Putrajaya, di mana had laju diturunkan kepada 60 km/j. Di Plaza Tol Putrajaya, lorong motosikal dilencongkan jauh kerana plaza tol ini turut menempatkan ibu pejabat operasi Maju Expressway Sdn. Bhd. (MESB). Lebuh raya tamat di Exit 2005 Persimpangan Putrajaya Link yang dihubungkan dengan Hubungan Putrajaya E6. Hendak patah balik semula ke KL...? Boleh, satu terowong pusingan U disediakan betul-betul sebelum Exit 2005 Persimpangan Putrajaya Link. Di Exit 2005, kelihatan ada cerutan di jejambat tersebut, yang sudah tentunya membawa kepada petunjuk bahawa lebuh raya ini memang akan disambung pembinaannya sehingga ke KLIA, tetapi bilakah sambungan MEX E20 ini akan dibina...? Wallahualam, saya serahkan kepada pihak pengurusan MESB untuk membuat keputusan.

Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan pengalaman saya menggunakan lebuh raya ini. Perjalanan dari hujung ke hujung hanya mengambil masa 20 minit jika dipandu mengikut had laju; tetapi jika anda kaki rempit atau kaki drag, anda hanya memerlukan masa 15 minit atau kurang. Cuma, terdapat dua isu utama yang perlu diambil perhatian oleh MESB di sini. Isu pertama ialah kecacatan reka bentuk Exit 2004 Persimpangan Bukit Jalil yang menjadi penyumbang utama kepada masalah kesesakan di jajaran Awan Besar-Sri Petaling di Lebuhraya Shah Alam E5. Masalah tersebut hanya boleh diselesaikan sekiranya MESB membina jalan susur keluar dari Kuala Lumpur ke Shah Alam dengan memanfaatkan ruang pada sukuan tenggara di persimpangan tersebut. Tanjakan keluar tersebut amat perlu dibina supaya pengguna MEX E20 dari arah KL tidak lagi perlu membuat pusingan U di Exit 515 Persimpangan Kompleks Sukan Negara yang begitu terhad kapasitinya. Isu kedua pula ialah ketiadaan stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan, yang tentunya menggusarkan para penunggang motosikal kapcai yang tangkinya begitu kecil. Jika MESB membina stesen minyak di situ, maka sudah tentulah lebih ramai pengguna Lebuhraya MEX E20 yang akan memanfaatkan hentian rehat tersebut.

Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada MESB atas pembukaan Exit 2004A Persimpangan Seri Kembangan yang sudah tentunya menamatkan penantian warga Seri Kembangan yang dambakan laluan alternatif yang lebih lancar untuk ke ibu kota. Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada MESB kerana berjaya membina sebuah lebuh raya capaian terkawal sempurna yang menghubungkan antara ibu negara Malaysia dengan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kontroversi terutamanya dari segi pengambilalihan tanah. Saya harap agar semua pemain industri lebuh raya ekspres (termasuklah Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia sendiri) dapat mengambil iktibar daripada sejarah yang pernah berlaku semasa pelaksanaan projek Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya E20 sebelum ini agar permasalahan mengenai isu pengambilan tanah tidak lagi timbul. Selain itu, diskriminasi terhadap penunggang motosikal termasuklah melarang motosikal daripada memasuki lebuh raya yang memang sudah ada infrastruktur mencukupi untuk penunggang motosikal mestilah dihentikan serta-merta tanpa banyak soal. Saya percaya MESB sudah tentu tidak lagi mahu terus dihentam dan dicemuh oleh rakyat susulan Tragedi Oktober berupa pesta naik kadar tol yang turut melibatkan Lebuhraya MEX E20. Justeru, sebarang rancangan untuk kembali mengharamkan motosikal melalui lebuh raya wajiblah dihentikan serta-merta kerana rakyat sudah terlalu marah, sakit hati dan meradang akan kegagalan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dalam menangani kos sara hidup. Sudahlah subsidi petrol dihapuskan, ditambah pula dengan bebanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tol pula naik, dan baru-baru ini pula tambang pengangkutan awam pula naik. Apa lagi pilihan yang rakyat ada sekarang...? Tatkala kos penggunaan kereta dan pengangkutan awam kini sudah mencanak naik, satu-satunya harapan terakhir rakyat dalam mengurangkan bebanan kos sara hidup hanyalah motosikal sahaja. Maka, jika motosikal diharamkan daripada menggunakan lebuh raya, maka sudah tentulah ia sangat melampaui batas kesabaran rakyat.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.



Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E20
Panjang: 26 km
Arah laluan: Utara-Selatan (Bulatan Kampung Pandan sehingga ke Hubungan Putrajaya E6)
Bilangan lorong: 4 (Bulatan Kampung Pandan-Plaza Tol Salak Selatan); 6 (jajaran selebihnya)







Pangkal Lebuhraya Maju (MEX) E20 di Exit 2001 Persimpangan Bulatan Kampung Pandan






Jajaran Bulatan Kg. Pandan-Salak Selatan dipenuhi kawasan tepu bina dengan ruang terhad, memaksa had laju 60 km/j dikenakan






Ada baki 33 km lagi sebelum sampai ke Putrajaya






Plaza Tol Salak Selatan






Lebuh raya melebar kepada 6 lorong dan had laju naik kepada 80 km/j






Laluan terpisah di antara Exit 2002 Persimpangan Salak Selatan dengan Exit 2003 Persimpangan Kuchai Lama






Lebuh raya melalui tengah-tengah Jalan 2/149 sebelum menaiki jejambat di atasnya






Exit 2004 Persimpangan Bukit Jalil






Masih lagi di Jejambat Sri Petaling, kali ini di atas Jalan Kompleks Sukan pula






Akhirnya MEX E20 melalui atas tanah semula sehingga ke penamatnya - had laju naik kepada 90 km/j






Jarak ke Exit 2004A Persimpangan Sri Kembangan hanya tinggal 3 km






Exit 2004A Persimpangan Seri Kembangan dengan plaza tol bagi lalu lintas dari KL dan sebaliknya






Exit 2004A dihubungkan dengan Jalan Seri Kembangan FT3215






Memasuki Kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan






Kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan E20 begitu meriah, tetapi sayangnya tiada stesen minyak






Hanya tinggal 5 km sebelum lebuh raya tamat






Plaza Tol Putrajaya turut menempatkan ibu pejabat operasi Maju Expressway Sdn. Bhd.






Lebuh raya tamat di Exit 2005 Persimpangan Putrajaya Link

Thursday, December 10, 2015

Sistem sekatan (tol terbuka) vs sistem tiket (tol tertutup) / Barrier (open toll) system vs ticket (closed toll) system




Salam sejahtera,

Dalam entri kali ini pula saya akan menerangkan kepada anda mengenai dua sistem kutipan tol utama di lebuh raya ekspres di Malaysia, iaitu sistem sekatan (tol terbuka) dan sistem tiket (tol tertutup). Sistem tol terbuka bermaksud pengguna lebuh raya perlu membayar tol secara kadar rata (flat rate) setiap kali melalui plaza tol tertentu, manakala sistem tiket pula bermaksud pengguna lebuh raya membayar tol mengikut jarak perjalanan yang dilaluinya. Kedua-dua sistem boleh menggunakan mod bayaran sama ada tunai ataupun elektronik (kad Touch 'n Go dan Smart Tag).

Saya mulakan dahulu dengan sistem sekatan ataupun lebih dikenali sebagai sistem tol terbuka. Sistem tol terbuka merupakan satu sistem di mana pengguna lebuh raya perlu berhenti di plaza tol di tengah-tengah lebuh raya dan membayar tol mengikut kadar yang ditetapkan. Kadar tol yang dikenakan itu sama sahaja tidak kiralah dari mana anda memasuki lebuh raya mahupun di mana anda keluar dari lebuh raya. Bagi sistem tol terbuka, plaza tol biasanya didirikan di tengah-tengah laluan utama lebuh raya, tetapi ada juga sistem tol terbuka yang mana ada plaza tol yang dibina di persimpangan lebuh raya, misalnya di Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 dan Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru E30. Sistem tol terbuka lazimnya diamalkan di lebuh raya perbandaran kerana ia tidak memerlukan syarikat konsesi membina plaza tol di setiap persimpangan sebagaimana sistem tertutup, sekaligus menjimatkan kos pengambilalihan tanah serta kos pembinaan. Selain itu, ada juga lebuh raya luar bandar yang turut mengamalkan sistem tol terbuka seperti Lebuhraya Latar E25, Lebuhraya Guthrie E35 dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29; lazimnya, lebuh raya sebegini mengamalkan sistem tol tertutup disebabkan jaraknya yang pendek, menjadikan sistem tol tertutup kurang sesuai digunakan dari segi kos.

Kelebihan utama sistem tol terbuka ini sudah tentulah kos pembinaan yang lebih rendah kerana tidak perlu bina plaza tol di setiap persimpangan lebuh raya. Faktor ini sangat kritikal terutamanya di Lembah Klang di mana harga tanah yang hanya seluas sekangkang kera sahaja pun sudah mencecah jutaan ringgit, menjadikan kos pemilikan tanah dan seterusnya pembinaan plaza tol menjadi sangat mahal. Selain itu, kelebihan yang pastinya sangat disukai pengguna lebuh raya di Lembah Klang ialah ia mudah untuk dipintas - asalkan anda pandai membaca peta, anda pasti boleh mencari jalan untuk memintas plaza tol. Kami juga ada menyediakan beberapa panduan pintasan tol untuk membantu anda, di mana boleh dikatakan kesemua lebuh raya yang dipintas tolnya itu merupakan lebuh raya yang mengamalkan sistem tol terbuka. Justeru, anda boleh menggunakan beberapa batang lebuh raya secara percuma tanpa membayar tol walau sesen pun, atau setidak-tidaknya hanya perlu membayar sedikit sahaja.

Sungguhpun demikian, sifat lebuh raya tol terbuka yang mudah dipintas ini juga merupakan antara kelemahan terbesar bagi sistem tol terbuka. Akibat sifat lebuh raya tol terbuka yang mudah untuk dipintas, syarikat konsesi terpaksa menanggung kos melepas yang tinggi yang disebabkan oleh pengguna lebuh raya yang tidak membayar tol kerana keluar dari lebuh raya sebelum plaza tol. Beberapa syarikat konsesi lebuh raya mengalami kerugian akibat kos melepas walaupun sering sesak teruk, misalnya Lebuhraya Duke E33 dan Lebuhraya Kajang Silk E18. Lebuhraya Kajang Silk E18 rugi selama 10 tahun berturut-turut sejak dibuka pada tahun 2003, yang mana kerugian yang dialami adalah disebabkan oleh kadar tol yang tidak pernah naik sehinggalah kenaikan pertamanya pada tahun 2015, serta kerugian akibat kos melepas hasil penggunaan sistem tol terbuka. Sementara itu pula, Lebuhraya Duke E33 rugi 5 tahun berturut-turut; sungguhpun mereka sudah mula mencatatkan keuntungan pada tahun 2015, namun keuntungan yang diperolehi itu masih belum mencukupi untuk menampung kerugian terkumpul yang mencecah RM195 juta sejak E33 mula dibuka pada tahun 2009.

Bagi mencegah kos melepas akibat kebocoran trafik yang tidak membayar tol, ada lebuh raya yang sengaja direka supaya pengguna lebuh raya tetap terpaksa membayar tol tidak kira di mana pengguna masuk serta keluar dari lebuh raya. Ada dua cara untuk mencegah kebocoran trafik tidak berbayar ini - pertama, dengan menghapuskan sepenuhnya susur keluar sebelum plaza tol ataupun susur masuk selepas plaza tol. Mekanisme pertama ini paling ketara di Lebuhraya Duke E33, yang mana hanya beberapa persimpangan utama sahaja yang dibina sebagai persimpangan penuh; hasilnya, hanya tiga sahaja "zon percuma" di E33 iaitu Jalan Duta-Jalan Kuching, Setiawangsa-Ulu Klang dan Kampung Bandar Dalam-Greenwood. 

Sementara itu, cara kedua ialah dengan membina plaza tol di persimpangan keluar / masuk yang dikenal pasti tidak melalui plaza tol di laluan utama. Cara ini diamalkan di Lebuhraya Latar E25 (di Exit 2505 Persimpangan Kundang), Lebuhraya Pintasan Selat Klang Baru E30 (di Exit 3004 Persimpangan Kapar) dam Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 (di Exit 2905 Persimpangan Lukut).

Susulan daripada kos melepas yang ditanggung oleh syarikat konsesi, mereka sudah tentu mahukan tol dinaikkan ke satu kadar yang cukup tinggi untuk menangani kos melepas ini. Kadar tol yang dikenakan itu sudah tentulah tidak adil memandangkan kadarnya sama sahaja tidak kiralah di mana anda masuk dan keluar dari lebuh raya. Akibat bayaran tol kadar rata, pengguna yang terpaksa melepasi plaza tol hanya untuk ke taman perumahan bersebelahan terpaksa membayar tol yang sama dengan pengguna lebuh raya yang memandu dari hujung ke hujung. Adilkah begitu...? Justeru, penyelesaian yang lebih baik dan lebih adil bagi kedua-dua kelemahan ini ialah dengan berhijrah kepada sistem tol tertutup.








Di Lebuhraya Guthrie E35, pengguna lebuh raya perlu berhenti banyak kali untuk membayar tol bagi perjalanan hujung ke hujung, iaitu di Plaza Tol Bukit Jelutong (atas), Plaza Tol Elmina (gambar tengah) dan Plaza Tol Lagong (gambar bawah)


Selain daripada kos melepas dan kadal tol yang tidak adil, satu lagi kelemahan ketara pada sistem tol terbuka ialah sistem ini memerlukan pengguna berhenti banyak kali untuk membayar tol, dan ini sudah tentu mengakibatkan kesesakan lebuh raya dan mengganggu kelancaran trafik. Satu contoh terbaik bagi menerangkan isu kesesakan akibat penggunaan sistem tol terbuka ialah Lebuhraya Guthrie E35, yang mana perjalanan penuh hujung ke hujung memerlukan anda berhenti banyak kali untuk membayar tol di Plaza Tol Bukit Jelutong, Plaza Tol Elmina, Plaza Tol Lagong dan Plaza Tol Rawang Selatan (untuk mengambil tiket untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E1). Kelemahan kedua ini boleh diatasi dengan berhijrah kepada sistem aliran bebas berbilang lorong (MLFF; Multi-Lane Free Flow), yang akan saya terangkan lebih lanjut dalam entri akan datang.

Seterusnya kita ke sistem kedua pula iaitu sistem tiket atau lebih dikenali sebagai sistem tol tertutup. Sistem tol tertutup bermaksud pengguna lebuh raya perlu mengambil tiket tol semasa memasuki lebuh raya dan membayar tol di plaza tol keluar; kadar tol ditentukan mengikut jarak perjalanan yang dilalui. Sistem tol tertutup mula diamalkan di Pennsylvania Turnpike yang dibuka pada tahun 1940. Di Malaysia pula, Lebuhraya KL-Seremban E37/E2 merupakan lebuh raya pertama di Malaysia yang mengamalkan sistem tiket ini. Dalam sistem tiket terawal, tiket yang dikeluarkan tercatat tarikh, masa, kelas kenderaan dan persimpangan masuk lebuh raya; di persimpangan keluar, pengguna membayar tol mengikut kadar yang dipaparkan dalam jadual kadar tol. Dalam sistem tiket yang lebih baharu pula, kesemua maklumat yang sebelum ini kelihatan pada tiket seterusnya disimpan dalam jalur magnetik ataupun cip pada tiket. Sistem tol tertutup diamalkan di kebanyakan lebuh raya ekspres luar bandar jarak jauh seperti Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, dan Lebuhraya Pantai Timur E8.

Kelebihan utama sistem tol tertutup sudah tentulah kadar tol yang lebih adil kepada semua pengguna lebuh raya. Anda bayar tol mengikut jarak yang anda lalui; jika perjalanan dekat, maka tolnya murah, dan jika perjalanan jauh pula maka tolnya pun mahal jugalah. Kadar tol yang lebih adil ini membolehkan syarikat konsesi menetapkan kadar tol yang paling berbaloi dan munasabah tanpa perlu memikirkan kerugian akibat kos melepas.






Di SKVE E26, jika saya mahu ke Telok Panglima Garang dari Putrajaya, saya hanya perlu berhenti dua kali sahaja iaitu di Plaza Tol Air Hitam (atas) dan Plaza Tol Telok Panglima Garang (gambar bawah)


Kelebihan kedua pula sudah tentulah aliran lalu lintas yang lancar tanpa sebarang gangguan yang berpunca daripada plaza tol. Dalam sistem tol tertutup, hanya dia sahaja plaza tol yang perlu didirikan di laluan utama, iaitu di kedua-dua penghujung lebuh raya; plaza tol yang selebihnya dibina di setiap persimpangan bertingkat di sepanjang lebuh raya. Maka, pengguna lebuh raya hanya perlu berhenti dua kali sahaja di plaza tol, iaitu di plaza tol masuk dan plaza tol keluar.

Namun, pengalihan sebahagian besar plaza tol ke setiap persimpangan bertingkat menyebabkan lebuh raya tol tertutup tidak boleh dipintas langsung. Jika entah bagaimana anda berjaya memasuki lebuh raya tanpa tiket tol, anda sudah tentu akan ditahan di plaza tol keluar dan boleh didenda antara RM2,000 hingga RM5,000 kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984. Namun, jangan risau kerana lebuh raya tol tertutup biasanya dibina selari dengan jalan persekutuan atau negeri yang tidak dikenakan tol supaya pengguna lebuh raya yang mengalami masalah kewangan dan tidak mampu membayar tol masih ada laluan alternatif bebas tol, meskipun perjalanan agak lambat sedikit.

Selain, itu, pengalihan plaza tol ke setiap persimpangan bertingkat juga meningkatkan kos pembinaan, sekaligus meningkatkan kos keseluruhan bagi pembinaan lebuh raya berkenaan. Ia amat ketara di kawasan bandar besar yang mana harga tanah sekangkang kera pun sudah begitu mahal. Namun, sebenarnya tidak mustahil untuk berhijrah kepada sistem tol tertutup tanpa perlu banyak membina plaza tol, dengan berhijrah sepenuhnya kepada sistem tol elektronik, khususnya sistem MLFF. Untuk membolehkan ia dilakukan, ada baiknya syarikat-syarikat konsesi menghantar wakil-wakil mereka ke Jepun untuk mempelajari bagaimana syarikat-syarikat konsesi lebuh raya perbandaran Jepun melaksanakan sistem tol tertutup di kawasan bandar yang kalau diikutkan "tidak cukup tanah" bagi standard kita.

Advertisement