Sunday, January 31, 2016

Hari Wilayah Persekutuan 2016: Apa yang patut dibanggakan dengan jalan raya Kuala Lumpur...? / 2016 Federal Territory Day: What else should I have to be proud of Kuala Lumpurian roads...?

Salam sejahtera,

Esok (1 Februari 2016), Kuala Lumpur dan dua buah lagi Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya dan Labuan akan menyambut Hari Wilayah Persekutuan buat kesekian kalinya. Oleh itu, sempena Hari Wilayah Persekutuan pada hari esok, maka sudah tentulah saya mengambil kesempatan untuk membuat perbandingan antara ketiga-tiga Wilayah Persekutuan tersebut dari segi memartabatkan jalan raya.




Hampir kesemua papan tanda di Labuan tidak mempamerkan jata laluan masing-masing


Saya mulakan dengan Wilayah Persekutuan Labuan terlebih dahulu. Meskipun Labuan sepatutnya berbangga kerana mempunyai siri jalan persekutuan yang tersendiri iaitu siri 700 ataupun L700, namun semasa saya "bermain-main" dengan Google Maps Street View, penemuan saya pula sangat mengecewakan. Sepanjang saya "bermain-main" dengan Google Maps Street View, saya dapati setakat ini boleh dikatakan hampir kesemua papan tanda jalan raya di Labuan tidak menyertakan jata laluan masing-masing, meskipun terdapat sebegitu banyak jalan persekutuan siri 700 di Labuan. Perkembangan sebegini sudah tentu amat mendukacitakan kerana ia menunjukkan seolah-olah Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan langsung tidak berbangga akan rangkaian jalan persekutuan siri 700 mereka.

Seterusnya, saya teruskan pula dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Memandangkan Putrajaya merupakan Wilayah Persekutuan terkecil, maka sudah tentulah bilangan jalan persekutuan di Putrajaya juga paling sedikit iaitu hanya dua sahaja, iaitu Jalan Persekutuan 29 (Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29) dan Jalan Persekutuan 30 (Persiaran Selatan FT30, Persiaran Timur FT30 dan Persiaran Utara FT30). Tentang papan tanda di sepanjang FT29, saya tabik habis kerana kebanyakan papan tanda di sepanjang FT29 sudah diganti baru siap dengan jata laluannya sendiri bagi menggantikan jata laluan lama B15 (yang kini sudah pun dilucutkan pewartaannya berikutan pewartaan semula sebagai jalan persekutuan) dan nombor persimpangan. Cuma papan tanda di sepanjang FT30 pula yang saya sifatkan sebagai mengecewakan, kerana tiada satu pun jata laluan FT30 dipamerkan pada mana-mana papan tanda di sepanjang FT30, termasuklah penanda jarak hektometernya. Apa tidaknya, papan-papan tanda di sepanjang FT30 itu dipasang semasa Putrajaya mula-mula dibuka, jadi sudah tentulah tiada jata laluan FT30 dipamerkan kerana pada masa itu ia memang belum diwartakan lagi sebagai jalan persekutuan. Justeru, saya ingin menggesa JKR Putrajaya agar menggantikan kesemua papan tanda di sepanjang Persiaran Selatan / Persiaran Timur / Persiaran Utara FT30 kepada jenis yang ada jata laluan - lagipun, papan-papan tanda tersebut sememangnya sudah "sizen" dan terlalu lama.

Akhir sekali, kita teruskan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula. Kenapa pula saya letakkan Kuala Lumpur paling kemudian...? Kerana saya mahu gunakan kesempatan ini untuk menghentam dan membalun "kaw-kaw" akan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyelenggara jalan-jalan raya di ibu kota, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Berbeza daripada dua lagi Wilayah Persekutuan yang lain, seluruh rangkaian jalan raya sepanjang 2,010 km yang ada di Kuala Lumpur diuruskan oleh DBKL, dan ini termasuklah enam batang jalan persekutuan yang ada di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu:-
  1. Jalan Persekutuan 1 - Jalan Cheras FT1, Jalan Loke Yew FT1, Jalan Maharajalela FT1, Jalan Kinabalu FT1, Jalan Kuching FT1 dan Jalan Ipoh FT1
  2. Jalan Persekutuan 2 - Lebuhraya Persekutuan FT2, Jalan Syed Putra FT2, Lebuhraya Sultan Iskandar FT2, Jalan Pahang FT2 dan Jalan Kampung Bandar Dalam FT2.
  3. Jalan Persekutuan 28 - Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28
  4. Jalan Persekutuan 54 - Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54
  5. Jalan Persekutuan 68 - Jalan Gombak FT68
  6. Jalan Persekutuan 217 - Lebuhraya Bukit Jalil FT217




Kuala Lumpur tetap menunjukkan contoh paling teruk dalam memartabatkan jalan raya negara. Sudahlah hampir kesemua papan tanda tidak mempamerkan jata laluan, ada juga papan tanda yang seolah-olah menampakkan kejahilan DBKL dalam ilmu geografi




Kepada si tukang buat papan tanda ini, berapa gred yang diperolehi dalam subjek Geografi KBSM semasa peperiksaan PMR dahulu...? Kuantan terletak di sebelah timur, kenapa pula papan tanda ini melencongkan pengguna jalan raya ke sebelah barat pula...?


Kalau diikutkan, bilangan jalan persekutuan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedikit sahaja, tetapi kenapa rata-ratanya begitu tidak terurus...? Jawapannya amat mudah - sistem inventori jalan raya di Kuala Lumpur sangat teruk; ataupun, saya patut katakan bahawa mereka memang tiada langsung sistem inventori jalan raya. Hal ini dibuktikan dengan ketiadaan jata laluan pada lebih 95% papan tanda jalan raya Kuala Lumpur, yang mana ia satu perkara yang amat memalukan sama sekali. Kalau papan tanda jalan persekutuan pun langsung tidak dipamerkan jata laluannya, maka sudah tentulah mereka tiada sistem kod laluan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, meskipun saya pernah menggesa agar sistem sedemikian diwujudkan. Disebabkan DBKL langsung tiada sistem kod laluan, pelancong asing dan orang-orang luar yang bergantung sepenuhnya kepada kod laluan sudah tentunya sering tersesat, ditambah pula dengan beberapa papan tanda jalan raya DBKL yang seolah-olah menampakkan kebodohan dan kejahilan mereka sendiri dalam ilmu geografi. Selain itu, ketiadaan kod laluan juga mengakibatkan aduan kerosakan jalan di Kuala Lumpur lambat diambil tindakan oleh DBKL. Tanpa penggunaan jata laluan serta penanda jarak, maka pengadu tiada maklumat mengenai laluan dan di km berapa berlakunya kerosakan. Sebab itulah kumpulan motosikal Brotherhood yang menurap jalan berlubang muncul. Nak buat aduan jalan rosak kepada DBKL melalui Facebook...? Tak payahlah, tiada satu pun aduan jalan rosak melalui laman Facebook DBKL yang dijawab dan diambil tindakan. Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor pula lebih sibukkan hal menjual tanah rumah rakyat kepada penyangak hartanah atas alasan "subsidi bersilang" yang ternyata karut, memecat ahli-ahli parti yang tidak sekepala dan bersekongkol dengan kumpulan perampas kuasa di Kedah daripada melakukan penambahbaikan terhadap segala cacat-cela dalam sistem inventori jalan raya Kuala Lumpur. Jika kumpulan Brotherhood bising tentang isu jalan berlubang dan bertindak menampal sendiri jalan berlubang bahana tiada tindakan daripada DBKL, tahu pula Ku Nan menuduh mereka sengaja mencari publisiti. Pandai pula Datuk Bandar Kuala Lumpur terdahulu, Datuk Ahmad Phesal mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Pandai pula Datuk Ahmad Phesal "menagih simpati" orang-orang KL dengan menceritakan "kesukaran" DBKL hendak menguruskan lebih 2,010 km rangkaian jalan raya dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Namun, mujurlah Pengarah Eksekutif Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan DBKL, Datuk Ir. Tan Keng Chok mengambil inisiatif mendekati dan bekerjasama dengan kumpulan Brotherhood untuk sama-sama memerangi jalan berlubang di ibu kota. Pun begitu, masih tiada inisiatif langsung pun daripada DBKL bagi memperbaiki segala cacat-cela dan kebobrokan dalam sistem inventori jalan raya Kuala Lumpur. Sebelum ini saya sudah pun bising dan menggesa agar DBKL mengadakan sistem kod laluan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga mendapat perhatian daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) sendiri, namun DBKL tetap buat bodoh juga. Kepada DBKL, jangan salahkan pengguna jalan raya dan jangan reka cipta drama TV jika pengguna jalan raya naik angin dan memviralkan jalan-jalan rosak di KL sehingga habis tercalar reputasi DBKL sebagai badan yang diamanahkan untuk menyelenggara lebih 2,010 km rangkaian jalan raya di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Serius saya katakan, saya sudah letih hendak marah-marah dan berbuat bising berulang kali atas perkara yang sama. Sampai bila saya patut terus menghentam dan membalun DBKL "kaw-kaw" akan hal penggunaan jata laluan dan pembangunan sistem kod laluan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur...? Berubahlah. Takkanlah DBKL mahu saya berubah menjadi "Encik Lando Zawawi kedua" baru terhegeh-hegeh hendak bertindak seperti pahat dengan penukul...? Malulah pada negeri-negeri lain di Malaysia yang begitu memartabatkan sistem kod laluan jalan persekutuan dan negeri sehingga ke tahap melancarkan kempen transformasi papan tanda jalan raya seperti di Kuantan sebelum ini. Kepada Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, jangan menganggap anda berdua sudah selamat, kerana saya masih ada perkara yang saya perlu bising-bising kepada anda. Kepada JKR Putrajaya, sila gantikan papan tanda di sepanjang Persiaran Selatan FT30, Persiaran Timur FT30 dan Persiaran Utara FT30 dengan papan tanda baharu yang disertakan dengan jata laluan. Kepada JKR Labuan, sila gantikan kesemua papan tanda jalan raya yang ada di Labuan dengan jenis yang disertakan dengan kod laluan. Jangan sampai pengguna jalan raya marah-marah kerana aduan kerosakan jalan raya tidak diambil tindakan segera bahana ketiadaan jata laluan pada papan tanda sebagai rujukan.

Friday, January 29, 2016

Titik konflik dan jenis-jenis persimpangan bertingkat / Conflict points and types of interchanges

Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin bawakan kepada anda jenis-jenis persimpangan bertingkat yang lazim digunakan di jalan raya dan lebuh raya. Persimpangan bertingkat merupakan jenis persimpangan yang menggunakan beberapa buah jejambat, terowong mahupun tanjakan bagi membolehkan dua atau lebih jalan raya atau lebuh raya dihubungkan tanpa perlu bersilang dengan aliran trafik yang lain, sekaligus berupaya mengurangkan nahas jalan raya yang sering dikaitkan dengan persimpangan searas. Selain itu, had laju operasi juga dapat ditingkatkan kerana pengguna jalan raya tidak perlu berhenti untuk menukar ke arah lebuh raya yang diingini, kecuali di beberapa jenis persimpangan bertingkat. Konsep penggunaan jejambat dan terowong bagi memintas aliran trafik di beberapa arah yang berbeza tanpa bersilang dengannya dikenali sebagai pengasingan aras (grade separation).

Sebelum saya teruskan, saya perlu bercerita sepintas lalu mengenai persimpangan jalan raya. Persimpangan merupakan titik pertemuan yang menyambungkan antara dua buah jalan raya atau lebih. Bentuk persimpangan yang paling ringkas sekadar dibina dengan menyambungkan terus dua atau lebih jalan raya yang hendak dihubungkan, Hasilnya ialah persimpangan searas kerana tiada laluan bertingkat yang perlu dibina. Namun, keluar masuk persimpangan searas memerlukan pengguna jalan raya untuk menyeberangi beberapa aliran trafik dari arah yang berbeza,beza. Titik-titik persilangan antara beberapa aliran trafik ini dipanggil sebagai titik konflik. Titik-titik inilah yang menjadi sebab utama kemalangan jalan raya mudah berlaku di persimpangan searas.

Jadi bagaimana hendak menangani titik-titik konflik sebegini...? Pendekatan yang digunakan untuk meminimakan titik konflik adalah melalui pengasingan aras, iaitu pembinaan jejambat atau terowong untuk memisahkan aliran lalu lintas yang bersilang antara satu sama lain. Kenapa sekadar diminimakan dan bukannya titik konflik sifar...? Dua batang jalan raya yang dipisahkan melalui jejambat adalah satu situasi lintasan antara dua jalan raya yang mempunyai titik konflik sifar. Namun, titik konflik sifar juga bermaksud tiada sebarang sambungan antara kedua-dua jalan raya tersebut. Dengan kata lain, selagi ada sebarang hubungan antara dua batang jalan raya, selagi itulah titik konflik tetap wujud.




Jenis-jenis titik konflik


Terdapat lima jenis titik konflik yang lazim terdapat di jalan raya:-

  1. Konflik capahan - Berlaku apabila lalu lintas sehala terpisah kepada dua di satu cabang trafik. Konflik capahan menyebabkan kadar aliran trafik semakin berkurangan, yang juga bermaksud jalan raya semakin lengang.
  2. Konflik cantuman - Lawan kepada konflik capahan. Berlaku apabila dua aliran trafik yang berbeza bercamtum di satu persimpangan cabang. Ia mengakibatkan kadar aliran trafik semakin tinggi, sekaligus meningkatkan kesesakan.
  3. Konflik lintasan - Berlaku apabila dua (atau lebih) aliran trafik yang tidak selari saling melintasi antara satu sama lain. Konflik lintasan inilah yang menjadi punca utama kemalangan di persimpangan searas.
  4. Konflik jalinan - Menyerupai konflik lintasan tetapi melibatkan dua (atau lebih) aliran trafik yang sehala. Berlaku apabila ada kenderaan dari kedua-dua aliran trafik tersebut saling bertukar lorong, sama ada untuk memotong ataupun untuk keluar masuk jalan susur di persimpangan bertingkat, selalunya berlaku di persimpangan bunga cengkih dan antara dua persimpangan bertingkat yang terlalu rapat.
  5. Konflik berbaris atau berhenti - Berlaku dalam aliran trafik yang sama. Ia berlaku apabila anda terpaksa mengekori kenderaan yang lebih perlahan di hadapan. Satu-satunya ubat bagi konflik berbaris ini adalah dengan memotong kenderaan yang lebih perlahan itu. Selain daripada itu, halangan trafik yang memaksa semua kenderaan di dalam aliran trafik yang sama untuk berhenti, seperti di persimpangan lampu isyarat dan plaza tol.




Titik-titik konflik pada persimpangan searas empat hala, tiga hala dan bulatan empat hala


Strategi untuk menjadikan persimpangan jalan raya lebih selamat adalah dengan meminimakan titik konflik. Sebuah persimpangan bulatan 4 hala biasa mempunyai 8 titik konflik, manakala simpang tiga biasa mempunyai 9 titik konflik. Namun, simpang empat biasa pula boleh mempunyai sehingga 32 titik konflik, yang mana kebanyakannya merupakan konflik lintasan.

Jadi bagaimana hendak mengurangkan titik konflik sebegini...? Jawapannya adalah dengan mengasingkan aliran trafik yang bersilang melalui pembinaan jejambat atau terowong. Melalui pengasingan aras, hanya beberapa titik konflik capahan dan cantuman sahaja yang wujud. Hasilnya ialah apa yang kita lihat sebagai persimpangan bertingkat.

Persimpangan bertingkat dibahagikan kepada 3 kumpulan utama, iaitu antara lebuh raya ekspres dengan bukan lebuh raya ekspres, persimpangan 3 hala antara dua lebuh raya, dan persimpangan 4 hala antara dua lebuh raya.


Jenis persimpangan bertingkat antara lebuh raya ekspres dengan bukan lebuh raya ekspres


  1. Persimpangan berlian - Merupakan jenis persimpangan bertingkat yang paling ringkas. Apa yang diperlukan hanyalah jejambat bagi lintasan aliran trafik lebuh raya ekspres dan empat tanjakan bagi susur keluar masuk antara lebuh raya ekspres dengan jalan arteri yang dihubungkan. Maka, unsur lintasan searas masih wujud bagi lalu lintas di laluan bukan lebuh raya ekspres. Ia boleh dinaiktaraf menjadi 3 aras dengan menambah satu lagi jejambat untuk laluan terus bagi jalan raya yang dihubungkan itu. Namun, memandangkan lintasan searas masih wujud, ia tetap memerlukan pengguna jalan raya untuk berhenti, sekaligus menyumbang kepada faktor kesesakan. Justeru, pemilihan persimpangan berlian bagi menghubungkan antara dua buah lebuh raya tidak sepatutnya diterima sama sekali.
    • Persimpangan berlian mencapah (diverging diamond interchange) merupakan salah satu varian persimpangan berlian. Ia melibatkan pertukaran lorong pada laluan bukan ekspres; bagi kes memandu yang memandu di sebelah kiri seperti Malaysia, ia melibatkan pertukaran lorong trafik ke sebelah kanan selepas persimpangan lampu isyarat pertama, dan seterusnya kembali semula ke sebelah kiri selepas persimpangan lampu isyarat kedua. Contoh paling mudah boleh anda saksikan di Exit 1111 Persimpangan Freescale antara Lebuhraya Persekutuan FT2 dengan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11. Namun, seperti varian persimpangan berlian yang lain, ia sama sekali tidak sesuai untuk menghubungkan antara dua lebuh raya ekspres.
    • Persimpangan perbandaran titik tunggal (single-point urban interchange; SPUI) merupakan satu lagi varian persimpangan berlian. Ia terhasil daripada modifikasi pemasaan lampu isyarat yang membolehkan pemasaan kitaran lampu isyarat dikurangkan bagi menambah baik aliran trafik. Contohnya ialah di Persimpangan Ampang di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28.
  2. Persimpangan parclo - Ada kalanya, tidak semua sukuan berhampiran jejambat yang mempunyai ruang mencukupi bagi pembinaan kesemua tanjakan keluar masuk. Maka, tanjakan-tanjakan tersebut dialihkan ke sukuan-sukuan yang mempunyai ruang mencukupi. Hasilnya ialah persimpangan parclo atau lebih dikenali sebagai persimpangan separa cengkih ataupun persimpangan berlian terlipat. Ia mudah direkabentuk dan boleh mempunyai antara 4-6 jalan susur, bergantung kepada fungsinya.
  3. Persimpangan bulatan - merupakan gabungan antara persimpangan bulatan biasa dengan jejambat bagi aliran trafik terus lebuh raya. Ia sangat popular di United Kingdom kerana boleh digunakan untuk menghubungkan lebuh raya ekspres dengan banyak jalan raya sekaligus. Meskipun ia boleh digunakan untuk menghubungkan antara dua lebuh raya seperti di Exit 163 Persimpangan Seberang Jaya antara Lebuhraya Utara-Selatan E1 dengan Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4, namun ia tetap dianggap persimpangan antara lebuh raya dengan bukan lebuh raya kerana persimpangan bulatan sebenarnya dianggap sebagai persimpangan searas.

Jenis persimpangan bertingkat 3 hala antara dua lebuh raya

  1. Persimpangan trompet - merupakan persimpangan bertingkat 3 hala yang paling lazim dan paling ringkas. Ia boleh dibina sebagai gantian bagi persimpangan searas 3 hala biasa. Sebuah simpang tiga boleh dinaiktaraf kepada persimpangan trompet dengan mengekalkan jalan-jalan susur belokan ke kiri, seterusnya membina sebuah jejambat bagi melintasi lebuh raya yang seterusnya melalui satu gelung sebelum berakhir sebagai persimpangan LILO untuk sebelah lagi bahagian lebuh raya. Rekaan sebegini sangat popular di kalangan pengendali lebuh raya tol kerana hanya satu sahaja plaza tol perlu dibina bagi mengutip tol bagi seluruh laluan keluar masuk, menjadikan persimpangan trompet sebagai persimpangan bertingkat lengkap yang paling ekonomik. Namun, ia masih ada 2 kelemahan utama, iaitu had laju reka bentuk yang rendah (sekitar 40-60 km/j) susulan jejari selekoh yang kecil, serta ia kurang cekap menggunakan tanah.
  2. Persimpangan halaan T - merupakan jenis persimpangan bertingkat 3 hala yang lebih baik. Ia terbahagi kepada jenis halaan T separa (paling lazim) dan halaan T penuh (kurang lazim. Ia boleh dibina melalui 2 cara, sama ada dengan membina 2 jejambat ataupun 1 jejambat dan 1 terowong, bergantung kepada reka bentuknya. Sementara ia mampu memberikan had laju reka bentuk yang lebih tinggi (sehingga 80-90 km/j jika direkabentuk dengan baik), namun kos pembinaannya lebih mahal kerana lebih banyak struktur perlu dibina.

Jenis persimpangan bertingkat 4 hala antara 2 lebuh raya

  1. Persimpangan bunga cengkih (cloverleaf) - merupakan persimpangan bertingkat 4 hala yang paling ringkas. Ia terdiri daripada hanya 1 jejambat, 4 tanjakan belokan ke kiri dan 4 tanjakan gelung, menjadikannya sebagai persimpangan bertingkat 4 hala paling murah dan paling ringkas. Pengguna yang terlepas tanjakan ke kiri juga masih berpeluang untuk ke kiri dengan memasuki tanjakan gelung sebanyak 3 kali. Kelebihan sama juga boleh dimanfaatkan untuk berpatah balik. Namun, ia mempunyai 3 kelemahan utama. Kelemahan pertama ialah persimpangan bunga cengkih banyak menggunakan tanah tetapi tidak pula dimanfaatkan dengan cekap. Selain itu, tanjakan-tanjakan gelung pula mempunyai had laju teka bentuk yang rendah, sama seperti persimpangan trompet. Kelemahan paling utama ialah konflik jalinan antara lalu lintas terus dengan lalu lintas yang keluar masuk tanjakan gelung. Justeru, rekaan untuk keluar masuk tanjakan gelung ditambah baik denagn membina laluan pemindahan berasingan bagi mengendalikan aliran trafik keluar masuk tanjakan gelung supaya tidak mengganggu aliran trafik terus.
    • Persimpangan bunga cengkih bertenggek (cloverstack) merupakan penambahbaikan pada persimpangan gelung sedia ada. Tanjakan-tanjakan gelung yang dikenalpasti mempunyai kadar aliran trafik yang tinggi digantikan dengan jejambat susur ke kanan, sekaligus menambah baik had laju rekabentuknya. Ia cara termurah untuk memperbaiki kelemahan konflik jalinan pada persimpangan bunga cengkih biasa.
  2. Persimpangan bertenggek - dibina dengan menyusun dua pasangan tanjakan belokan ke kanan yang selari secara bertenggek, menjadikannya sebagai persimpangan bertingkat empat aras. Pemandu yang menggunakannya akan membelok ke kiri untuk keluar dari lebuh raya sebelum tanjakan utama berpecah kepada dua arah. Tidak kira arah yang diambil, tanjakan tersebut akan bercantum semula dengan tanjakan ke arah sama tetapi dari arah berlainan. Persimpangan bertenggek mampu mengendalikan aliran trafik berkapasiti tinggi dengan had laju reka bentuk yang tinggi, tetapi kos pembinaannya pula sangat mahal kerana melibatkan pembinaan banyak struktur jejambat.
  3. Persimpangan turbin - dibina dengan laluan susur keluar ke kiri dan ke kanan berasingan sehingga membentuk turbin atau kincir angin.Seperti persimpangan bertenggek, ia juga mampu mengendalikan aliran trafik yang tinggi pada had laju reka bentuk yang tinggi. Namun, kosnya tetap mahal, meskipun tidaklah semahal persimpangan bertenggek.



Persimpangan berlian




Persimpangan parclo




Persimpangan trompet




Persimpangan halaan T separa




Persimpangan bunga cengkih

Pengsan / Faint




Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin kongsikan kepada anda apa yang berlaku kepada saya petang tadi. Semasa saya menuruni tangga di rumah saya, saya tiba-tiba berasa pening-pening lalat, menyebabkan saya pengsan secara tiba-tiba selama beberapa saat. Setelah saya sedar, saya dapati hidung saya berdarah dan cermin mata saya pecah. Akibatnya, saya menulis entri kali ini tanpa memakai cermin mata.

Bagaimana sindrom pening lalat yang boleh membawa kepada pengsan ini boleh berlaku...? Ia berlaku kerana banyak sebab. Sebab yang paling lazim adalah disebabkan tekanan darah rendah, kekurangan air dalam badan, paras gula dalam badan terlalu rendah, serangan panik dan anemia. Namun, ia juga merupakan petanda bagi masalah kesihatan yang lebih kronik seperti sakit jantung, masalah pernafasan, strok dan kejutan. Ia sudah tentunya amat mengerikan, memandangkan saya sendiri sebenarnya memang ada menghidap penyakit tekanan darah tinggi sejak di universiti lagi.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa saya menulis mengenai sindrom pening-pening lalat dan pengsan ini...? Blog ini sepatutnya berbicara mengenai jalan raya dan bukannya perubatan. Jawapannya mudah sahaja - bayangkan apa akan berlaku jika sindrom sebegini berlaku semasa anda sedang memandu ataupun menunggang motosikal...? Mengerikan, bukan...?




Jadi apa yang patut anda buat sekiranya anda berasa pening-pening lalat dan berasa seakan mahu pengsan...? Sebaik sahaja kepala anda terasa semacam, hentikan segala aktiviti anda serta-merta. Jika anda sedang memandu atau menunggang motosikal, terus berhenti di tempat selamat seperti di bahu jalan lembut. Jangan sekali-kali terus mengendalikan kenderaan bermotor selagi kepala anda masih berasa pening-pening. Segera cari tempat untuk duduk dan duduk dalam posisi menunduk supaya lebih banyak oksigen dihalakan ke otak. Jika anda menjumpai tempat sesuai untuk baring seperti bangku atau wakaf di lebuh raya, ada baiknya anda berbaring buat seketika dalam keadaan kaki anda ditinggikan supaya lebih banyak darah beroksigen dihalakan ke otak. Jika anda sudah berasa lebih baik sedikit, angkat kepala anda secara perlahan-lahan dan bukannya secara mengejut.





Sudah habis membaca entri ini...? Apa lagi, kongsikanlah entri ini supaya sahabat-handai dan ahli keluarga anda tahu untuk bertindak sekiranya ada sesiapa yang pengsan secara tiba-tiba. Tindakan pantas daripada anda tentunya berupaya untuk mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Paling penting, jangan sekali-kali mengizinkan sesiapa sahaja yang kepalanya terasa semacam daripada mengendalikan sebarang kenderaan bermotor dan tukar pemandu sehinggalah dia sihat sepenuhnya.  Tiada siapa yang mahu berlaku nahas yang tidak diingini di jalan raya bahana si pemandu yang pengsan secara tiba-tiba. Anda mampu mengubahnya.

Thursday, January 28, 2016

Kursus Pemantapan Media Sosial Kementerian Kerja Raya 2016 (Bahagian 2): Kenali sekutu kuat Blog Jalan Raya Malaysia...!!! / 2016 Ministry of Works Social Media Enhancement Course (Part 2): Meet Malaysian Highway Blog's formidable allies...!!!




Salam sejahtera,

Liputan mengenai Kursus Pemantapan Media Sosial Kementerian Kerja Raya 2016 sudah pun saya tulis dalam bahagian pertama siri entri ini. Dalam bahagian kedua pula, kami ingin bawakan kepada anda sekutu-sekutu kuat kami yang turut sama dalam perjuangan kami memartabatkan jalan raya.

Sejak Blog Jalan Raya Malaysia diwujudkan pada November 2011, kami sudah pun mengumpul lebih 10 ribu pengikut di laman Facebook rasmi kami. Antara personaliti terkenal yang turut meminati kami ialah wartawan-wartawan automotif terkemuka negara seperti Hezeri Samsuri, Chips Yap dan Paul Tan, dan tidak ketinggalan juga pelumba rali terkenal negara, Karamjit Singh. Blog Jalan Raya Malaysia turut dikenali dan diminati oleh seluruh warga Kementerian Kerja Raya dan agensi-agensi di bawahnya, termasuklah Menteri Kerja Raya sendiri. Selain itu, kini sudah ada beberapa laman sosial yang turut sama memperjuangkan usaha memartabatkan jalan raya negara, seperti laman Friends of JKR dan Lebuhraya Malaysia. Jutaan terima kasih kepada anda semua yang turut serta dalam perjuangan kami memartabatkan jalan raya Malaysia.

Saya mulakan dahulu dengan sekutu kuat nombor satu Blog Jalan Raya Malaysia iaitu tidak lain tidak bukan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi-agensi di bawahnya iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Hubungan akrab kami bermula apabila para pegawai atasan KKR tercari-cari siapakah gerangan penulis Blog Jalan Raya Malaysia yang sering mengkaji mengenai jalan raya, menghasilkan reviu jalan raya, menulis entri-entri mengenai sejarah jalan raya serta kejuruteraan jalan raya dsb. Setelah mengetahui nama penulis Blog Jalan Raya Malaysia, mereka tertanya-tanya juga adakan penulis tersebut terdiri daripada kakitangan KKR mahupun agensi-agensi di bawahnya. Malangnya, tiada seorang pun di kalangan kakitangan KKR, JKR mahupun LLM yang bernama Mohd. Hezery bin Hussin. Maka, satu-satunya cara untuk "menarik keluar" penulis Blog Jalan Raya Malaysia yang bernama Mohd. Hezery bin Hussin hanyalah melalui undangan untuk menghadiri majlis anjuran KKR, dan hasilnya ialah saya diundang buat pertama kalinya ke ibu pejabat KKR bagi sidang media mengenai rasional tol JB EDL E14. Daripada situlah saya mula diperkenalkan dengan beberapa orang pegawai tertinggi KKR dan LLM, antaranya ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) KKR, Tuan Haji Sarani Dollah dan Ketua Pengarah LLM, Dato' Ir. Haji Ismail Md. Salleh. Sejak daripada itulah saya memperoleh status selebriti oleh seluruh warga KKR - Blog Jalan Raya Malaysia serta Twitter peribadi saya diikuti oleh warga KKR, JKR dan LLM. Tidak cukup dengan itu juga, Menteri Kerja Raya iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof sendiri turut menjadi peminat nombor satu Blog Jalan Raya Malaysia, dan undangan untuk saya menghadiri Kursus Pemantapan Media Sosial KKR 2016 adalah hasil permintaan beliau sendiri. Itulah sebabnya kenapa saya ditempatkan semeja dengan Datuk Seri Fadillah semasa malam Cybernite Dinner semasa kursus 2 hari 1 malam tersebut berlangsung.

Jujur saya katakan, KKR merupakan antara sebilangan kecil kementerian yang amat saya hormati, tatkala saya berasa bosan dengan sebilangan kementerian lain yang lebih mengutamakan agenda politik dangkal semata-mata daripada khidmat kepada rakyat. Berbeza dengan sebilangan kementerian lain, KKR meletakkan agenda membangunkan infrastruktur rakyat - terutamanya pembangunan rangkaian jalan raya dan lebuh raya - sebagai agenda nombor satu mereka, bukannya agenda mempertahankan sebilangan pemimpin politik yang berdepan dengan pelbagai skandal. Ada kalanya saya tidak sependapat dengan KKR mengenai beberapa isu seperti pembinaan terlalu banyak lebuh raya ekspres di Lembah Klang, tetapi KKR amat menghormati pandangan saya, tidak seperti beberapa kementerian yang langsung tidak mahu menerima perbezaan pendapat dan hanya mahukan "yes men" sahaja. Jika berdepan dengan isu-isu kontroversi seperti isu tol lebuh raya, mereka tidak pernah menyalahkan orang lain seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyalahkan pendahulunya, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas isu perjanjian konsesi lebuh raya, tetapi sebaliknya mencari jalan untuk mendapatkan penyelesaian menang-menang bagi isu tersebut. Selain itu, warga KKR juga sangat merendah diri sehingga ke tahap membahasakan diri saya sebagai "Tuan Hezery", meskipun dari kalangan pegawai-pegawai tertinggi. Itulah sebabnya kenapa saya sangat sayang akan KKR.

Seterusnya saya bawakan kepada anda sekutu kuat kedua kami iaitu syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres. Pengalaman saya menulis Blog Jalan Raya Malaysia memberi peluang kepada saya untuk bercampur gaul dengan para pemain industri lebuh raya ekspres. Daripada situlah saya dapat mengetahui bagaimana industri lebuh raya ekspres berfungsi, yang sudah tentulah jauh berbeza daripada tanggapan macai-macai politik. Seterusnya, saya berupaya untuk menerangkan sendiri akan mekanisme lebuh raya tol di Malaysia kepada masyarakat. Hasilnya, semakin ramai rakyat marhaen yang benar-benar sedar akan hakikat sebenar industri lebuh raya ekspres. Meskipun masih ramai yang enggan menerima hakikat sebenarnya, namun saya tetap tidak berputus asa kerana saya kini sedang membangunkan sebuah permainan simulasi pengurusan lebuh raya bagi memberi peluang kepada rakyat merasai sendiri bagaimana hendak menguruskan lebuh raya ekspres.

Sekutu terawal kami dari kalangan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres ialah Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway Berhad (KLSEB) yang menguruskan Lebuhraya Latar E25. Peluang tersebut terbuka setelah pihak Lebuhraya Latar E25 menganjurkan satu pertandingan Faebook "Write & Post", yang mana reviu Lebuhraya Latar E25 memenangi hadiah pertama. Ia disusuli oleh Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) yang menguruskan Lebuhraya Duke E33 dan syarikat-syarikat konsesi lain. Namun, sebenarnya syarikat konsesi lebuh raya terawal yang menjadi sekutu saya sebelum saya mewujudkan Blog Jalan Raya Malaysia ialah Guthrie Corridor Expressway (kini dikenali sebagai Prolintas Expressway Sdn. Bhd.) yang menguruskan Lebuhraya Guthrie E35 semasa saya menjadi penyumbang untuk laman Motorways Exitlists.

Seterusnya, kita beralih kepada laman-laman sosial sekutu kami pula. Sejak Blog Jalan Raya Malaysia diwujudkan pada November 2011, terdapat beberapa laman sosial lain yang wujud atas tujuan sama untuk memartabatkan jalan raya Malaysia, tetapi dengan fokus yang berbeza. Laman sekutu kami yang pertama ialah Lebuhraya Malaysia. Fokusnya lebih kepada pembangunan rangkaian lebuh raya ekspres di samping isu nahas lebuh raya. Sementara itu pula, laman sekutu kami yang kedua iaitu Friends of JKR diwujudkan bagi memartabatkan JKR sebagai badan pelaksana pembangunan infrastruktur rakyat seperti jalan raya, bangunan kerajaan dan infrastruktur asas masyarakat seperti masjid, balai raya, sekolah, hospital dsb. Bagi mewujudkan kerjasama antara laman-laman sekutu kami dengan KKR, KKR telah menubuhkan Rakan KKR pada tahun 2014 bagi menghimpunkan semua laman sosial sekutu KKR di bawah satu payung, yang mana Blog Jalan Raya Malaysia juga merupakan sebahagian daripada Rakan KKR. Justeru, kepada para penulis blog atau laman sosial yang turut sama menyertai Rakan KKR, harap dapat maklumkan kepada kami supaya kami boleh menambah pautan ke laman-laman sosial anda.

Sekutu kuat kami yang paling terkini tidak lain dan tidak bukan ialah Ikatan Silaturrahim Brotherhood pimpinan Encik Lando Zawawi. Rasanya tidak perlulah saya perkenalkan lagi kumpulan motosikal ini yang memang sudah terkenal sebagai satu-satunya kumpulan motosikal yang berjuang memerangi jalan raya rosak yang tidak diambil tindakan segera, kerana saya memang sudah banyak kali menulis tentang mereka ini. Namun, saya pertama kali bertemu dengan Encik Lando semasa Kursus Pemantapan Media Sosial KKR 2016, di mana kami sepakat dengan Brotherhood untuk memerangi syarikat-syarikat utiliti dan segelintir pihak berkuasa tempatan (PBT) yang culas sehingga menyebabkan banyak jalan yang masih berlubang. Kepada syarikat-syarikat utiliti yang culas dan membiarkan lurang mereka bertukar menjadi lubang kubur, awas kerana kami (Blog Jalan Raya Malaysia dan Brotherhood) sudah pun mengisytiharkan perang.

Selain daripada mereka di atas ini, sekutu kami yang paling penting buat kami sudah tentulah anda semua selaku pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia. Kerana anda semualah suara kami untuk berjuang memartabatkan jalan raya Malaysia semakin kuat. Kerana anda semualah masyarakat Malaysia kini semakin sedar akan kepentingan memartabatkan jalan raya Malaysia dan seterusnya belajar menghargai dan menyayangi jalan raya Malaysia. Bagi kami, anda semua pejuang jalan raya Malaysia. We are all Malaysian Highway Blog.

Sunday, January 24, 2016

Kursus Pemantapan Media Sosial Kementerian Kerja Raya 2016 (Bahagian 1) / 2016 Ministry of Works Social Media Enhancement Course (Part 1)



Para peserta Kursus Pemantapan Media Sosial KKR 2016 bergambar kenangan di tangga hotel
(Kredit kepada: Puan Misiah Taib)


Salam sejahtera,

Pada 22 Januari 2016, saya menghadiri Kursus Pemantapan Media Sosial 2016 anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) di Hotel Bangi-Putrajaya atas jemputan daripada pihak KKR sendiri. Segala-galanya bermula dengan satu SMS yang dihantar pada waktu tengah malam oleh Encik Rizal dari Unit Komunikasi Korporat KKR. Undangan untuk saya menghadiri kursus ini adalah atas permintaan daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sendiri. Memandangkan seluruh warga KKR merupakan peminat besar Blog Jalan Raya Malaysia, maka sudah tentulah saya tidak mahu mengecewakan mereka semua. Terima kasih kepada Datuk Seri Fadillah, Tuan Haji Sarani Dollah, Encik Rizal, Puan Noreha Md. Ripin, Puan Misiah Taib, Puan Nurul Husna aka nyonyacyber, serta seluruh warga KKR kerana sudi menjemput saya.

Kursus ini diadakan tatkala para penganut Hindu sedang bersiap-sedia untuk menyambut perayaan Thaipusam di Batu Caves pada 24 Januari 2016. Maka, saya sudah tentulah perlu bertolak awal bagi mengelakkan kesesakan yang tidak dikehendaki. Sebagai seorang warga Batu Caves, fenomena sebeginilah yang perlu saya hadapi setiap tahun - tetapi itulah yang menjadikan Batu Caves meriah dengan penganut Hindu dan juga pelancong asing.

Untuk makan tengah hari, saya sekadar memesan makanan di kaunter pandu lalu McDonald's yang terletak sebelum Plaza Tol Sungai Besi. Rancangan asal saya ialah untuk solat Jumaat di masjid di Bandar Baru Bangi, tetapi memandangkan jalan masuk ke situ dari Lebuhraya Kajang Silk E18 pastinya sesak dengan kenderaan, saya akhirnya memilih untuk solat Jumaat di masjid Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan seterusnya meneruskan perjalanan melalui Jalan Sungai Merab B13.

Saya tiba di hotel pada pukul 3.00 petang. Semasa tiba di meja pendaftaran, saya diberikan beg kertas berisi pelbagai cenderahati daripada KKR dan badan-badan di bawahnya, seperti sebuah pemacu kilat USB on-the-go 8GB oleh CIDB dan sebuah power bank berkadaran 8,400 miliamp jam oleh Datuk Seri Fadillah sendiri. Sesi pertama bermula pukul 3.30 petang, tetapi saya dimaklumkan ia hanya untuk kakitangan KKR sahaja; sesi untuk saya pula hanya akan bermula jam 5.00 petang. Maka, saya pergi ke bilik untuk berehat sebentar.

Semasa menerima surat jemputan daripada KKR melalui e-mel, saya dimaklumkan bahawa saya akan menginap di bilik berdua secara berkongsi, tetapi akhirnya saya membolot satu bilik tersebut untuk diri sendiri, mungkin kerana peserta yang sepatutnya berkongsi bilik dengan saya tidak hadir. Keadaan bilik memang sangat selesa serta dilengkapi dengan kabel LAN untuk capaian internet, tetapi entah kenapa ia tidak boleh digunakan. Nasib baiklah masih ada sambungan wi-fi yang cukup baik walaupun tidaklah selaju sambungan internet Unifi di rumah. Pemandangan di luar juga begitu cantik. Dari jauh saya boleh melihat hujan sudah mula turun di Kajang dan Semenyih sebelum ia berarak ke sini, itu pun sekejap sahaja. Saya sedikit pun tidak tahu pada masa yang sama pula Shah Alam sedang dilanda ribut petir kuat berserta hujan batu.

Sementara menunggu pukul 5.00 petang, saya cuba menyambung kerja-kerja pengaturcaraan untuk permainan Concession sambil menikmati secawan kopi. Lebih kurang pukul 4.45 petang, saya menyimpan semula komputer riba yang saya pinjam daripada sahabat saya Khairul Azmi ke dalam beg sebelum turun ke bilik seminar.

Semasa di bilik seminar, sesi pertama masih belum berakhir lagi, jadi saya dan beberapa orang peserta lain mengambil kesempatan untuk minum petang. Sesi kedua dimulakan lebih kurang pukul 5.00 petang. Sesi kedua yang dikendalikan oleh Tuan Haji Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) KKR menghimpunkan admin-admin laman sosial KKR dan seluruh agensi di bawahnya iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Selain itu, program kali ini turut menghimpunkan admin-admin bagi laman sosial sekutu-sekutu KKR di bawah payung Rakan KKR, yang mana Blog Jalan Raya Malaysia juga sebahagian daripadanya. Di sinilah saya ditemukan dengan ramai sekutu kuat Blog Jalan Raya Malaysia yang ada di antara mereka yang baru saya temui buat pertama kali.

Selain menghimpunkan admin-admin laman sosial KKR serta agensi-agensi di bawahnya di samping sekutu-sekutu KKR, sesi kedua ini juga mengetengahkan isu-isu aduan di media sosial. Ia amat penting bagi membolehkan aduan-aduan tersebut ditangani secara profesional. Sebenarnya kalau diikutkan pun, saya sendiri sudah beberapa kali menulis mengenai isu aduan di media sosial; yang paling terkini ialah isu "penanaman" pokok pisang di Jalan Kuala Pegang K154 di Baling, Kedah. Mengenai isu tersebut, saya berpendapat bahawa perkara sebegini berlaku kerana kebanyakan orang awam tidak tahu untuk membezakan antara jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran, sekaligus mengakibatkan aduan mereka sering ditendang seperti bola sepak. Justeru, saya merumuskan tiga sebab utama kenapa kebanyakan orang awam masih tidak tahu membezakan antara ketiga-tiga jenis jalan tersebut:-
  1. Pendidikan - Subjek Geografi KBSM langsung tidak pernah mendidik pelajar untuk mengetahui jenis-jenis jalan raya, apatah lagi untuk mengenali kod laluan dan seterusnya mengamalkan penggunaan kod laluan semasa merancang perjalanan serta semasa membuat aduan. Maka, sudah tentulah saya menghentam teruk Kementerian Pelajaran berikutan kualiti silibus Geografi KBSM yang semakin mengecewakan.
  2. Media arus perdana - Setiap kali laporan kesesakan jalan raya, stesen-stesen radio dan televisyen sekadar menggunakan nama jalan dan bukannya digandingkan dengan kod laluan, kecuali beberapa buah stesen radio swasta berbahasa Inggeris sahaja. Daripada situlah terbentuknya mentaliti "tak apa" di kalangan warga kota, sedangkan kegagalan menghayati dan menggunakan kod laluan itulah yang mengakibatkan orang ramai tidak kenal yang mana satu jalan persekutuan, negeri dan perbandaran, yang seterusnya menyebabkan banyak kesulitan seperti tersesat jalan ataupun aduan kerosakan jalan ditendang seperti bola.
  3. Papan tanda - Dalam isu papan tanda ini, JKR memang tiada masalah; malah, mereka sendiri menjuarainya terutamanya setelah program perintis transformasi papan tanda dijalankan di Kuantan, yang turut melibatkan penggunaan jata laluan yang lebih besar dan lebih terang bagi mendidik pengguna. Saya memang tabik habis. Namun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula menunjukkan contoh paling teruk dalam penggunaan papan tanda, yang mana saya sifatkan sebagai sangat memalukan berikutan status Kuala Lumpur sebagai bandar raya global. Lihat sajalah papan-papan tanda jalan raya di KL, sudahlah berserabut macam belacan kerana dilonggokkan dengan sebegitu banyak nama jalan dan destinasi, kod laluan pun tak ada guna kecuali sebilangan kecil lebuh raya ekspres, letak papan tanda pun cuma di saat-saat akhir sahaja. Ku Nan, apa sudah jadi ni...? Daripada anda sibuk menjual tanah rumah rakyat kepada penyangak hartanah serta memecat ahli-ahli politik yang tidak sekepala, lebih baik anda sibukkan membaiki jalan berlubang serta papan tanda yang berserabut lagi menyesatkan. Justeru, saya ingin menyarankan kepada KKR agar dalam program kursus seumpamanya pada masa akan datang, KKR turut sama menjemput DBKL supaya saya boleh menghentam dan "membalun" mereka "kaw-kaw".

Di sebelah malam pula diadakan Cybernite Dinner yang memerlukan para peserta untuk berpakaian serba oren. Ia merupakan majlis makan malam yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Kejutan pertama pada malam tersebut ialah saya duduk semeja dengan Datuk Seri Fadillah, seolah-olah seperti sudah dirancang. Bukan senang hendak duduk semeja dengan menteri. Kejutan kedua ialah Encik Lando Zawawi dari kumpulan Brotherhood serta isteri, di samping wakil Brotherhood Utara yang juga merupakan pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia iaitu Saudara Izzat Prime.

Saya mengambil kesempatan beramah mesra dengan Datuk Seri Fadillah serta beberapa orang pegawai tertinggi dalam KKR dan JKR. Saya juga sempat membocorkan sedikit maklumat mengenai projek permainan simulasi pengurusan lebuh raya yang saya namakan Concession, termasuklah gambaran penamat buruk bagi permainan tersebut. Nak tahu bagaimana penamat buruknya, tunggu versi beta dikeluarkan dan cuba kalah dalam permainan tersebut.

Pertandingan karaoke turut diadakan semasa malam Cybernite Dinner tersebut. Namun, penyertaan hanya terhad kepada 10 orang sahaja. Saya terselamat...!!! Pertandingan tersebut turut disediakan hadiah, tetapi saya tidak perasan apa hadiahnya kerana pada masa itu saya sedang sibuk berbincang dengan Encik Lando, Saudara Izzat, Tuan Haji Sarani, Datuk Seri Fadillah dan Dato' Ir. Roslan (Timbalan Ketua Pengarah JKR) mengenai isu jalan berlubang. Saya amat menghargai kesungguhan Datuk Seri Fadillah dan Dato' Ir. Roslan yang sudi duduk semeja dan berbincang mengenai isu tersebut. Berikut saya rumuskan beberapa hasil utama perbincangan tersebut:-
  1. Antara alasan popular yang sering diberikan bagi menjawab persoalan kenapa jalan raya tidak dibaiki ialah tiada peruntukan. Datuk Seri Fadillah menegaskan bahawa alasan "tiada peruntukan" tidak dibenarkan bagi menjawab aduan pengguna. Sebabnya, penyelenggaraan jalan raya kali ini sudah diswastakan; maka, syarikat konsesi akan menuntut bayaran terus daripada Kementerian Kerja Raya. Tugas JKR pula sekarang lebih kepada pemantauan. Justeru, kepada penerima aduan, sekiranya anda memberikan jawapan "tiada peruntukan", maka bersiap-sedialah untuk menghadap Ketua Pengarah Kerja Raya dan Menteri Kerja Raya sendiri.
  2. Hasil perbincangan dengan Encik Lando dan Saudara Izzat, kami mendapati masih ada 2 lagi pihak yang bermasalah dan perlu "dibalun kaw-kaw", iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat utiliti yang mempunyai lurang (manhole). Menurut Saudara Izzat, tatkala JKR Pulau Pinang dan JKR Kulim memberikan kerjasama yang cukup baik, PBT dan para pemilik lurang (baca: lubang kubur) pula sebaliknya. Menurut Saudara Izzat lagi, Telekom Malaysia (TM) merupakan pemilik lurang yang paling lahanat di kawasan utara kerana langsung tidak bertindak terhadap aduan lurang mereka yang mendap dan berlubang teruk - atau dengan kata lain, mereka buat bodoh sahaja. Tentang PBT pula, Majlis Perbandaran Kulim boleh pula tidak menjumpai lokasi jalan berlubang berhampiran dengan ibu pejabat mereka sendiri. Justeru, saya mewakili Blog Jalan Raya Malaysia dan Encik Lando mewakili Brotherhood sepakat untuk menghentam dan memerangi PBT mahupun pemilik lurang yang culas dan membiarkan sahaja jalan raya berlubang tanpa sebarang tindakan.
  3. Turut sama dalam perbincangan kami ialah admin JKR Johor. Pihak JKR Johor telah memberikan kerjasama yang cukup bagus terutamanya setelah isu jalan raya di Pasir Gudang berlubang. Malah, mereka jugalah yang bertanggungjawab membawakan syarikat konsesi penyelenggaraan dari Mersing untuk menampal lubang di lintasan kereta api di Pasir Gudang yang berlubang teruk, meskipun jalan tersebut sah jalan perbandaran di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG). Namun, MPPG memberi alasan kononnya ia di dalam kawasan rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Insiden JKR Johor membaiki lintasan searas yang sepatutnya di bawah tanggungjawab MPPG menyebabkan MPPG dihentam teruk di media sosial. Itulah padah menggunakan alasan yang tidak boleh diterima sama sekali.
  4. Encik Lando mencadangkan agar diadakan satu "permainan" atau "perlumbaan", iaitu siapa paling dahulu jumpa lubang, yang mana "pemainnya" terdiri daripada sesiapa sahaja, baik rakyat marhaen biasa, JKR, PBT, Brotherhood, Blog Jalan Raya Malaysia atau sesiapa pun. Paling penting, jangan benarkan si mangsa menjadi orang pertama paling dahulu menjumpai lubang, kerana jika mangsa menjumpainya, maka semua pemain dianggap sudah tewas.
  5. Sejak Brotherhood mula menampal jalan pada tahun 2008, mereka disanjung sebagai wira oleh pengguna jalan raya, tetapi ada juga pihak yang tidak senang akan kehadiran mereka. Pihak yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah segelintir pegawai-pegawai bagi PBT mahupun JKR serta macai-macai politik. Malah, Encik Lando sendiri sudah banyak kali menerima ugutan bunuh daripada golongan-golongan tersebut. Kepada para pegawai culas tersebut, sila bersiap-sedia untuk berdepan dengan tindakan tatatertib oleh pihak pengurusan JKR mahupun KKR, kerana bos-bos besar KKR dan JKR - termasuklah Menteri Kerja Raya - merupakan sekutu kuat Brotherhood dan Blog Jalan Raya Malaysia.

Sebaik tamat malam Cybernite Dinner, saya pulang ke bilik untuk tidur, manakala Encik Lando dan isteri serta Saudara Izzat pulang ke rumah kerana Saudara Izzat tumpang bermalam di rumah mereka sebelum pulang ke utara keesokan harinya dengan membawa bersama dua kampit tar untuk menampal lubang.

Keesokan harinya, slot ketiga dimulakan pada pukul 8.30 pagi selepas sarapan. Slot ceramah berjudul Trend Teknologi Media Sosial Terkini disampaikan oleh Encik Erwin Khairul bin Ahmad dari Jabatan Penerangan. Dalam ceramah tersebut, admin-admin media sosial KKR dan agensi-agensi di bawahnya diajar tentang teknik menambah sukaan laman, teknik penceritaan serta pelbagai teknik lain bagi meningkatkan penglibatan orang awam dalam kemaskini status. Bagi mereka, slot kali ini sudah tentunya sangat penting, memandangkan mereka terdiri daripada penjawat awam. Maka, sudah tentulah mereka diwajibkan untuk memberi penerangan dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan. Ia memang termaktub dalam aku janji sebagai penjawat awam yang mewajibkan mereka untuk taat setia melaksanakan semua dasar kerajaan tanpa banyak soal.

Berbeza pula dengan saya selaku penulis Blog Jalan Raya Malaysia yang bukan terdiri daripada kakitangan kerajaan, saya tiada obligasi untuk mempertahankan mana-mana parti politik, apatah lagi pemimpin politik yang berdepan dengan bermacam jenis skandal. Sebaliknya, saya memilih untuk bersekutu dengan Kementerian Kerja Raya kerana kami berkongsi matlamat yang sama iaitu memartabatkan rangkaian jalan raya negara. Selain itu seluruh warga KKR - daripada pekerja biasa sehinggalah kepada Menteri Kerja Raya sendiri - memberikan kerjasama penuh dalam membantu saya menjayakan matlamat tersebut, termasuklah menyediakan sebuah perpustakaan bagi membolehkan saya (dan Aiman Abmajid) mencarigali segala maklumat yang kami kehendaki mengenai jalan raya.  Apa sahaja dasar yang bagus sudah tentulah saya menyokongnya. Namun, jika sekiranya ada isu yang bercanggah dengan dasar serta garis panduan yang diberikan, maka sudah tentulah saya mengkritiknya. Antara contoh yang boleh anda perhatikan ialah isu penggunaan sebahagian jalan FT5 untuk dijadikan sebahagian laluan Lebuhraya Pantai Barat E32. Saya mengkritik bukan kerana suka-suka hendak mengkritik, tetapi kerana saya mahu jalan raya Malaysia benar-benar dimartabatkan tanpa sebarang bentuk pencabulan. Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam kursus 2 hari 1 malam ini, saya memang seorang yang sangat cerewet dan mempunyai pengharapan yang begitu tinggi. Sebenarnya, para pegawai tertinggi dalam KKR memang mahu saya terus kekal sebegini, kerana daripada situlah Blog Jalan Raya Malaysia terus berperanan penting dalam mekanisme check and balance bagi KKR, sekaligus membolehkan KKR menjalankan penambahbaikan terhadap segala kelemahan yang dikenal pasti. Itulah sebabnya kenapa saya sangat sayang akan Kementerian Kerja Raya - kerana mereka benar-benar mendengar, prihatin dan bertindak terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat marhaen.

Slot ketiga berakhir jam 11.30 pagi. Sebelum semua peserta menikmati juadah makan tengah hari, kami bergambar kenangan di tangga hotel. Setelah selesai, saya mengemas beg barangan saya untuk pulang supaya saya boleh terus pulang sebaik selepas makan tengah hari. Semasa makan tengah hari, Puan Noreha mengirimkan kepada saya sebotol kecil kuah rojak buah yang diberikan oleh Pak Tam. Jutaan terima kasih kepada Pak Tam atas pemberian ini.

Saya bertolak pulang lebih kurang pukul 1.30 tengah hari. Namun, keadaan jalan dari arah selatan sangat sesak berikutan kes seorang pemandu BMW bangsat yang melanggar lari tiga orang penganut Hindu dari Seremban di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 yang hendak ke Batu Caves untuk sambutan Thaipusam. Kesesakan di situ terlalu teruk sehingga mengakibatkan brek kereta saya menjadi terlampau panas dan tersekat, memaksa saya untuk berhenti di stesen minyak untuk menyiram air pada angkup dan cakera brek bagi menyejukkan brek tersebut. Tidak cukup dengan itu, jalan raya turut sesak di pusat bandar raya berikutan tunjuk perasaan membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), mengakibatkan saya hanya tiba di rumah jam 4.00 petang.

Apa pun, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta seluruh warga KKR kerana mengundang saya untuk menghadiri kursus sebegini. Juga jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Fadillah kerana sudi duduk semeja dengan saya semasa malam Cybernite Dinner. Semoga hubungan akrab sebegini dapat dikekalkan.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Sesi kedua kursus yang dikendalikan oleh Tuan Haji Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) Kementerian Kerja Raya






Saya semasa sesi kedua kursus






Antara peserta yang hadir dalam kursus sepanjang 2 hari 1 malam ini






Sambil berkursus, sambil itu juga saya "curi-curi" menaip kod sumber untuk permainan Concession






Sempat juga saya membuka Blog Jalan Raya Malaysia...!!!






Inilah admin laman sekutu kami, Friends of JKR






Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberikan ucapan semasa malam Cybernite Dinner






Saya semasa malam Cybernite Dinner






Sesi karaoke semasa malam Cybernite Dinner






Saya turut tidak melepaskan kenangan bergambar dengan Datuk Seri Fadillah Yusof
(Maaf Datuk Seri, saya terpaksa downgrade kepada dumb phone buat sementara setelah telefon Sony Xperia Z saya dicuri tahun lepas)






Bersama-sama Encik Lando Zawawi dan Saudara Izzat Prime






Saya bergambar bersama-sama Encik Lando dan isteri, Saudara Izzat Prime, Tuan Haji Sarani, Puan Noreha dan ramai lagi






Saya semasa hari terakhir kursus






Slot terakhir Kursus Pemantapan Media Sosial KKR






Bilik penginapan saya sepanjang kursus di Hotel Bangi-Putrajaya

Monday, January 18, 2016

Media Jalan Raya Malaysia: Jadilah Seperti Rashid / Malaysian Highway Media: Be Like Rashid

Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin berkongsi satu cerita mengenai satu fenomena Internet yang sedang heboh diperkatakan di Malaysia sekarang. Fenomena yang saya maksudkan sekarang itu tidak lain dan tidak bukan sudah tentulah "Jadilah Seperti Rashid"

Apa hebatnya si Rashid ini...? Laman Facebook Jadilah Seperti Rashid ini diwujudkan sebagai seloka yang ada kalanya mempunyai unsur sindiran terhadap cara hidup tidak baik yang sering diamalkan oleh orang-orang kita. Namun, tidak seperti cara biasa orang lain menyindir dengan kata-kata yang ada kalanya menyakitkan hati, Jadilah Seperti Rashid ini pula menggunakan watak Rashid yang "menegur" dan "memberi nasihat" penuh seloka supaya semua orang mencontohi perbuatan Rashid. Ia konsep yang cukup mudah tetapi ternyata berkesan. Menurut maklumat awal yang saya perolehi, laman Facebook Jadilah Seperti Rashid ini diilhamkan daripada laman Be Like Bill dari United Kingdom tetapi diolah mengikut citarasa tempatan. Dalam masa lebih kurang 2 hari selepas laman tersebut diwujudkan, laman Facebook Jadilah Seperti Rashid berjaya memperoleh lebih 200,000 sukaan, dengan purata sekitar 70 sukaan sejam. Hebat, kan...? Watak Rashid ini turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan pernah beberapa kali ditampilkan dalam akhbar-akhbar tempatan dan baru-baru ini oleh TV3.

Soalnya, siapa sebenarnya Rashid ini...? Temuramah oleh TV3 yang disiarkan dalam Buletin Utama semalam mendedahkan empat orang admin di sebalik laman Facebook Jadilah Seperti Rashid iaitu Muhsin, Ahmad, Sham dan Yusuf - tiada siapa pun di antara mereka berempat ini yang bernama Rashid. Namun, menurut temuramah tersebut, sebenarnya ada lagi 4 orang admin yang masih belum didedahkan identiti mereka tetapi turut bersama-sama berkarya atas nama Rashid. Dengan kata lain, watak Rashid tersebut ternyata watak fiksyen semata-mata yang sengaja dicipta bagi "menyindir" atau "menegur" perbuatan negatif orang-orang kita secara relaks dan santai.

Soalnya, kenapa pilih nama Rashid...? Kenapa bukan Mamat, Sharifuddin, Razak, Ah Chong dan sebagainya...? Bagi menjawab persoalan tersebut, admin laman Jadilah Seperti Rashid ada menulis satu kemaskini status berhubung pemilihan nama Rashid. Menurut mereka, nama Rashid ini memang dipilih kerana perkataan "Rashid" bermaksud "penunjuk jalan" dalam Bahasa Arab. Malah, kerajaan khalifah Islam pertama selepas kewafatan Rasulullah juga dinamakan sebagai kerajaan Kulafa' ar Rashidin, yang secara harfiahnya bermaksud "barisan pentadbir yang menunjukkan jalan". Ia kerana setelah kewafatan Rasulullah, kehidupan masyarakat Islam pada ketika itu menjadi kelam-kabut dan hilang arah kerana hilangnya Rasulullah yang selama ini menjadi menunjuk jalan kepada mereka. Namun, memandangkan adalah mustahil untuk Rasulullah hidup kembali, maka empat orang khalifah memikul tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Rasulullah iaitu sebagai ketua negara bagi menyatupadukan umat Islam dan memakmurkan negara Islam. 

Jika diikutkan kepada konteks Jadilah Seperti Rashid pula, admin-adminnya mengakui bukan senang hendak menegur perbuatan negatif segelintir orang-orang kita. Kalau ditegur cara lembut, para pembuat onar tidak akan mengendahkannya dan hanya akan menjadi semakin "naik lemak". Namun, dika ditegur cara kasar pula, tahu pula mereka melenting ataupun terasa. Maka, pendekatan yang digunakan oleh laman Jadilah Seperti Rashid ini adalah dengan menggunakan watak Rashid berserta seloka berkias yang bersifat menegur ataupun menyindir tetapi dengan cara yang santai, dengan harapan bagi menunjukkan bahawa apa yang dilakukan segelintir orang-orang kita selama ini sebenarnya tidak betul.

Secara peribadinya, saya sendiri turut menyukai konsep Jadilah Seperti Rashid ini. Apa tidaknya, mereka turut memaparkan nasihat atau sindiran terhadap perbuatan buruk segelintir pengguna jalan raya kita. Namun, saya hanya kongsikan sebahagian sahaja gambar "nasihat" Rashid dalam entri ini, memandangkan adminnya sangat rajin memuat naik gambar (sekitar 10 gambar "nasihat" Rashid dimuat naik setiap hari); selebihnya, saya akan kongsikan secara berkala dalam laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia.

Laman Facebook: Jadilah Seperti Rashid
































Semua kredit gambat: Jadilah Seperti Rashid

Thursday, January 14, 2016

Apa Kejadahnya: Persaudaraan dibalas dengan pengkhianatan / What The Hell: The brotherhood was paid by betrayal



Meskipun berdepan dengan cabaran akibat onar yang dibawa oleh seorang pegawai JKR yang tidak berpuas hati akan Encik Lando Zawawi selaku jurucakap kumpulan Brotherhood, namun inisiatif Kementerian Kerja Raya melalui Tuan Haji Sarani Dollah dalam menjalin kerjasama dengan Brotherhood tetap berjaya direalisasikan.
(Kredit gambar: Lando)


Salam sejahtera,

Jika diimbas semula pada tahun 2014, saya pernah menyatakan bahawa salah satu kejayaan terbesar Blog Jalan Raya Malaysia pada tahun 2014 ialah kejayaan kami menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia, Jabatan Kerja Raya serta Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi mencapai misi utama kami bagi memartabatkan jalan raya Malaysia. Namun, kejayaan tersebut tidak berhasil tanpa penglibatan dua individu utama dalam KKR yang bertanggungjawab membawa kepada kerjasama sebegini, iaitu Tuan Haji Sarani Dollah selaku Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), dan juga Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Menteri Kerja Raya. Secara kebetulan juga, mereka merupakan antara peminat besar Blog Jalan Raya Malaysia dan turut mengikuti akaun Twitter peribadi saya.

Setelah berjaya menjalinkan kerjasama dengan Blog Jalan Raya Malaysia, kali ini Tuan Haji Sarani Dollah sekali lagi ingin mengaturkan satu kerjasama antara KKR dengan kumpulan motosikal Ikatan Silaturrahim Brotherhood pimpinan Encik Lando Zawawi. Sejak cerita kumpulan Brotherhood menampal jalan berlubang di serata Kuala Lumpur dan Lembah Klang (kini mereka sudah pun melebarkan sayapnya ke 5 buah negeri) heboh sekitar Disember 2014, mereka kini semakin mendapat perhatian terutamanya di kalangan pemain industri jalan raya. Pengguna jalan raya yang selama ini tertekan akibat masalah jalan berlubang yang tiada penyelesaian sudah tentulah menjulang Brotherhood sebagai wira mereka. Tidak kurang pula ada pihak yang tidak menyenangi kehadiran mereka, terutamanya macai-macai politik serta segelintir pihak yang "diserang" bertalu-talu oleh armada Brotherhood pimpinan Encik Lando Zawawi. Pihak yang diserang itu tidak lain dan tidak bukan pihak berkuasa tempatan, JKR daerah atau negeri, syarikat-syarikat utiliti yang memiliki lurang (baca: lubang kubur), serta wakil-wakil rakyat di kawasan bermasalah. 

Penerimaan JKR terhadap kumpulan Brotherhood juga boleh jadi berbeza-beza mengikut bahagian atau daerah. Ada pejabat JKR yang menjadikan Brotherhood sebagai sahabat mereka dan memanfaatkan mereka sebagai mata dan telinga bagi JKR bagi mengesan jalan yang rosak dan seterusnya melakukan tindakan pembetulan dengan segera. Ada juga yang menganggap Brotherhood sebagai ancaman buat mereka. Apa tidaknya, disebabkan laporan kerosakan jalan oleh Brotherhood itulah yang membuatkan pegawai-pegawai terlibat dimarahi orang-orang atasan mereka. Situasi sebegini samalah seperti pesalah disiplin di sekolah yang tidak berpuas hati akan pengawas yang melaporkan kesalahan mereka kepada guru disiplin atau pengetua sekolah, yang mana pengawas tersebut terdiri daripada kumpulan Brotherhood.

Kelantangan Brotherhood bersuara bagi memerangi aduan jalan berlubang yang tidak diambil tindakan itu mendapat perhatian KKR sendiri, yang mana KKR melalui Tuan Haji Sarani Dollah mengambil inisiatif mendekati mereka bagi menjalinkan kerjasama membanteras aduan jalan berlubang yang tidak diambil tindakan ini. Pada peringkat awalnya, usaha yang dilakukan oleh Tuan Haji Sarani memperoleh permulaan yang cukup baik. Malah, Encik Lando Zawawi turut menerima undangan bagi kursus pengurusan aduan jalan raya oleh JKR. Semua pihak sedang meraikan kejayaan kerjasama antara Brotherhood dengan JKR dan KKR. Namun, tidak lama kemudian, segala-galanya berubah apabila satu tampilan skrin WhatsApp yang memaparkan dialog yang dipercayai datang daripada seorang pegawai atasan JKR yang mengarahkan admin-admin Facebook JKR negeri untuk menyukai laman Facebook Lando Zawawi tetapi dalam masa yang sama melabelkan beliau sebagai "pendekar papan kekunci" atau "lanun". Hal inilah yang membangkitkan kemarahan kumpulan Brotherhood terutamanya Encik Lando sendiri. Akibat insiden tersebut, KKR dan JKR dituduh secara keseluruhannya mengkhianati Brotherhood, sedangkan yang membuat onar itu hanyalah seorang pegawai sahaja. Mujurlah Tuan Haji Sarani serta beberapa sahabat dalam Rakan KKR tidak patah semangat untuk meyakinkan kumpulan Brotherhood bahawa KKR merupakan sekutu bagi Brotherhood dan bukannya seteru.




Tampilan skrin WhatsApp inilah yang membangkitkan kemarahan Encik Lando Zawawi
(Kredit gambar: Lando)


Perkembangan yang berlaku itu turut menyebabkan saya sendiri berasa sangat marah. Ia jelas menunjukkan sikap tidak profesional pegawai tersebut dalam mengendalikan aduan pengguna. Kepada pegawai tersebut, ya gaya bahasa Encik Lando ketika menyuarakan masalah kerosakan jalan raya memang kasar, tetapi anda perlu ingat baik-baik bahawa Encik Lando tetap pelanggan anda. Sebagai pelanggan, beliau memang ada hak untuk marah-marah jika aduan kerosakan jalan raya tidak ditangani sebaiknya, ditendang seperti bola ataupun dipenuhi kerenah birokrasi yang mengarut, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya. Tiada sebab untuk Encik Lando ataupun mana-mana pengguna jalan raya yang lain termasuk saya untuk marah-marah jika ia tidak melibatkan nyawa manusia. Sebagai seorang pegawai JKR, anda tiada pilihan melainkan bersikap profesional dalam mengendalikan setiap aduan kerosakan jalan raya dengan adil dan saksama.

Kepada pegawai JKR yang bertanggungjawab mengeluarkan mesej sedemikian, apa yang anda lakukan ini sebenarnya sudah menconteng arang ke muka JKR. Anda memalukan JKR dengan mesej WhatsApp yang bersifat menghasut sebegini. Disebabkan perbuatan anda, seluruh masyarakat memandang serong terhadap JKR dan menganggap JKR pilih kasih dalam menangani aduan kerosakan jalan raya - kalau yang terlebih bunyi sedikit sudah tidak mahu ambil tindakan pembetulan. Beginikah rupanya seorang penjawat awam yang memikul amanah bagi menyediakan khidmat untuk rakyat...? Mana perginya aku janji anda untuk berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat...? Tahukah anda betapa malunya Tuan Haji Sarani Dollah yang merupakan orang atasan anda sendiri kerana terpaksa menebalkan muka untuk berdepan dengan Brotherhood akibat onar yang anda lakukan itu...? Anda sudah mencemarkan nama baik Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Kementerian Kerja Raya Malaysia, dua organisasi yang merupakan sekutu kuat Blog Jalan Raya Malaysia. Anda juga telah menconteng arang ke muka Tuan Haji Sarani Dollah dan juga Datuk Seri Fadillah Yusof. Tidakkan anda terfikir akan nasib anak dan isteri anda akibat perbuatan anda itu...? Sekarang ini masih ramai rakyat Malaysia yang menganggur dan dambakan pekerjaan sebagai penjawat awam. Anda yang sudah menjadi penjawat awam pula mensia-siakannya. Tidakkah anda mempunyai perasaan malu...?




Tampilan skrin WhatsApp yang memaparkan dialog dengan seorang lagi wakil JKR ini membuktikan bahawa hanya segelintir sahaja dalam JKR yang mengkhianati Brotherhood dan tidak mewakili JKR secara keseluruhannya
(Kredit gambar: Lando)


Disebabkan onar yang dilakukan oleh seorang pegawai tidak bertanggungjawab ini, maka KKR dan JKR sekarang mempunyai tugas sukar untuk membersihkan kembali imej mereka yang dicalarkan oleh pegawai tersebut. Bukan mudah untuk meyakinkan Encik Lando Zawawi dan kumpulan Brotherhood bahawa KKR dan JKR tidak mengkhianati beliau. Namun, berkat kesabaran semua pihak, Encik Lando Zawawi mengakui bahawa hanya segelintir sahaja yang mengkhianati beliau. Ia dibuktikan apabila seorang lagi wakil JKR memaklumkan kepada beliau bahawa inisiatif yang dilakukan oleh Brotherhood turut dicontohi oleh JKR Segamat ketika melakukan pembaikan sementara. Menurut wakil JKR tersebut, JKR Segamat menanda kerosakan jalan dengan menggunakan penyembur cat dan melakukan pembaikan sementara di jalan-jalan yang berlubang sementara menunggu peruntukan untuk pembaikan kekal. Suasana yang sebelum ini tegang kini reda kembali.

Begitulah kisahnya tentang bagaimana usaha Kementerian Kerja Raya mendekati sekumpulan pejuang jalan raya yang dikenali sebagai Ikatan Silaturrahim Brotherhood berdepan dengan cabaran seperti ada pegawai JKR yang membuat onar sehingga hampir menggagalkan usaha tersebut. Namun, berkat kesabaran semua pihak, ia tetap dapat dijayakan. Syabas kepada semua pihak. Kepada Datuk Ir. Adanan Hussain selaku Ketua Pengarah Kerja Raya, saya serahkan kepada Datuk untuk memikirkan apa bentuk tindakan tatatertib yang perlu diambil terhadap pegawai tersebut kerana telah mencemarkan nama baik JKR. Kepada pegawai tersebut, diharap agar anda menginsafkan diri sebagai seorang penjawat awam yang amanah, adil dan profesional dalam segala tindakan anda.

Saturday, January 2, 2016

Aduan kerosakan jalan: Tak lapor macam mana nak tahu...? / Road damages report: How to know if nobody makes a report...?




Salam sejahtera dan Selamat Tahun Baru 2016 kepada semua pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia.

Baru sahaja masuk hari kedua tahun 2016 sudah ada yang kecoh mengenai cerita seorang lelaki meletakkan pokok pisang pada lubang di Jalan Kuala Pegang K154, Kampung Lanai, Baling, Kedah, dipercayai akibat paip pecah. Niat lelaki ini sebenarnya sangat mulia, iaitu untuk membantu pengguna jalan raya menyedari kehadiran lubang tersebut dan mengelaknya, dan juga memudahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Baling mengesan lubang tersebut dan seterusnya mengambil tindakan membaiki lubang tersebut. Namun, dengan tidak disangka-sangka, ada pihak tidak bertanggungjawab yang memuat naik gambar jalan berlubang tersebut ke laman sosial dan menjadikannya viral tanpa membuat sebarang aduan kerosakan jalan kepada JKR mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT). Akibatnya, JKR tidak fasal-fasal dikecam dan dituduh culas dan sengaja tidak membaiki kerosakan jalan, sedangkan mereka sendiri pun tidak tahu.

Kepada tukang muat naik gambar tersebut, dah buat aduan kepada JKR ke belum...?

Meskipun sudah berkali-kali dinasihatkan agar melaporkan kerosakan jalan kepada JKR dan PBT, namun malangnya masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih memiliki tahap kesedaran sivik yang begitu rendah dan sekadar mengharapkan JKR untuk meronda dan mencari sendiri jalan yang rosak. Kalau laporan pun tidak dibuat, bagaimana JKR hendak mengetahui sekiranya ada jalan yang rosak...? 

Tak buat laporan langsung itu sudah satu hal. Ada juga yang membuat laporan kerosakan jalan tetapi butirannya kabur dan tidak lengkap. Kalau setakat cakap "ada jalan rosak" tetapi tidak nyatakan jalan yang mana satukah yang rosak, berapa kod laluannya serta di KM berapa, bagaimana JKR hendak mengambil tindakan pembaikan...? Kalau setakat cakap "jalan rosak" sahaja, budak tadika pun boleh buat. Justeru, jika anda tidak mahu tahap intelek anda disamakan seperti budak-budak tadika sahaja, belajarlah cara-cara membuat aduan kerosakan jalan secara lengkap dan bukannya cincai sahaja. Kalau buat laporan kerosakan jalan pun cincai, jangan pula anda marah kalau respon yang anda terima pun cincai juga.

Ada juga yang membuat aduan yang cukup lengkap, tetapi tidak dapat membezakan sama ada jalan yang dilaporkan itu jalan persekutuan, negeri ataupun perbandaran. Dalam hal ini, saya memang sudah mengenal pasti ada JKR daerah yang mengambil inisiatif menyalurkan aduan kepada PBT sekiranya jalan yang dilaporkan itu sememangnya jalan perbandaran, ataupun PBT yang menyalurkan aduan kerosakan kepada JKR sekiranya jalan yang rosak itu jalan persekutuan ataupun negeri. Namun, apa yang saya kecam di sini ialah terdapat juga segelintir JKR daerah mahupun PBT yang sering "menendang" pengadu seperti bola sepak - jika jalan yang dilaporkan itu bukan jalan persekutuan atan negeri, JKR daerah tersebut sekadar menyuruh pengadu pergi membuat laporan kepada PBT, dan jika jalan yang rosak itu bukan jalan perbandaran, PBT pula menendang pengadu ke pejabat JKR pula. Dalam hal ini, saya ingin menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya belajar mengamalkan penggunaan kod laluan. Kalau anda tidak tahu, anda boleh tanya kami bila-bila masa sahaja. Kami sedia memberi tunjuk ajar tentang format kod laluan bagi lebuh raya ekspres, jalan persekutuan dan negeri pada bila-bila masa.

Untuk memastikan tiada satu pun aduan kerosakan jalan raya yang anda ajukan kepada JKR mahupun PBT yang tidak diambil tindakan, atau lebih teruk lagi ditongsampahkan, sila baca betul-betul dan ikuti prosedur yang kami senaraikan di bawah:-
  1. Dapatkan kod laluan bagi jalan yang bermasalah - Kod laluan bagi sesebuah jalan raya dilabelkan di dalam jata laluan berbentuk heksagon kuning. Ada banyak cara untuk mengenal pasti kod laluan, sama ada melalui papan tanda jalan raya, batu penunjuk jarak, ataupun sekadar menggunakan aplikasi Google Maps ataupun Waze sahaja. Jika ia hanya terdiri daripada nombor sahaja, bermakna jalan tersebut ialah jalan persekutuan. Jika kod laluan bermula dengan huruf E, bermakna jalan tersebut ialah lebuh raya ekspres. Jika kod laluan bermula dengan huruf selain E, maka jalan tersebut ialah jalan negeri. Jika tiada kod laluan langsung, bermakna jalan tersebut ialah jalan perbandaran ataupun jalan kampung.
  2. Dapatkan maklumat KM berapa lokasi jalan yang rosak - Cara memperoleh maklumat lokasi di KM berapa adalah bergantung kepada jenis penanda jarak yang digunakan. Bagi majoriti jalan persekutuan dan negeri, penanda jarak yang digunakan adalah daripada jenis batu penanda kilometer yang ditempatkan setiap 1 km. Baca nombor berwarna hitam pada bahagian paling bawah batu penanda jarak - nombor tersebut dikenali sebagai nombor seksyen oleh JKR, dan maklumat inilah yang paling dikehendaki oleh JKR dalam membantu mengesan lokasi kerosakan jalan. Untuk membantu mereka mengecilkan skop carian, dapatkan bacaan pada dua batu penanda jarak yang merangkumi lokasi kerosakan supaya lingkungan kawasan kerosakan dapat dikenal pasti dengan lebih tepat. Bagi semua lebuh raya ekspres serta sesetengah jalan persekutuan seperti Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 pula, penanda jarak yang digunakan adalah dari jenis papan tanda seksyen atau hektometer yang ditempatkan setiap 100 m. Baca terus nombor di papan tanda tersebut. Bagi jalan perbandaran pula, tiada sebarang penanda jarak yang digunakan, jadi anda terpaksa bergantung 100% kepada mercu tanda penting berhampiran lokasi.
  3. Buat laporan kerosakan kepada kedua-dua JKR dan PBT - Tujuan utama kenapa anda perlu melaporkan aduan kerosakan jalan kepada kedua-dua JKR dan PBT dan bukannya satu pihak sahaja adalah bagi mengelakkan diri anda daripada ditendang seperti bola. Dengan menyalurkan aduan kepada kedua-dua pihak, maka tiada lagi alasan munasabah kenapa jalan yang rosak masih tidak dibaiki. Langkah ini paling mustahak sekiranya anda tidak tahu membezakan antara jalan persekutuan, negeri mahupun perbandaran.




Cara paling mudah untuk membuat aduan jalan adalah dengan menggunakan aplikasi Aduan Jalan KKR


Ada banyak cara untuk anda melaporkan kerosakan jalan kepada JKR. Jika anda menggunakan telefon pintar, cara paling mudah adalah dengan memasang aplikasi Aduan Jalan KKR yang boleh dimuat turun di Google Play Store (Android) mahupun Apple App Store (iOS). Aplikasi tersebut paling berguna untuk golongan yang buta kod laluan kerana anda hanya perlu menghidupkan GPS, mengambil gambar, mengisi butiran dan mengklik butang Hantar. Jika anda tiada telefon pintar ataupun jika telefon anda tidak menyokong aplikasi tersebut, anda masih boleh membuat aduan di https://aduan.jkr.gov.my. Selain itu, anda juga boleh salurkan aduan anda melalui laman Facebook rasmi JKR ataupun melalui Twitter (@JKRMalaysia). Oh ya, setiap kali saya membuat aduan kerosakan jalan raya melalui Twitter, saya turut menandakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (@PetrajayaMP) supaya aduan jalan raya yang saya kemukakan mendapat perhatian sehingga ke peringkat Menteri Kerja Raya sendiri.

Setelah aduan kerosakan selamat dihantar kepada JKR mahupun PBT, kita tunggu sahaja apa tindakan yang bakal diambil oleh JKR atau PBT. Sekiranya tindakan pembetulan sudah pun diambil, tunjukkanlah budi bahasa anda dengan mengucapkan terima kasih. Namun, jika maklumat yang lengkap sudah diberi dan aduan sudah banyak kali dihantar tetapi masih tiada tindakan yang diambil, ataupun sekiranya PBT dan JKR daerah menendang anda seperti bola, maka anda memang berhak untuk marah-marah dan mengecam tindakan sebegitu. Kita sebagai pengguna jalan raya yang membayar cukai jalan setiap tahun sudah tentunya tidak mahu wang cukai jalan kita disia-siakan oleh keculasan pihak yang sepatutnya diamanahkan menyelenggara jalan raya kita. Lagipun, adalah tidak adil sekiranya kumpulan motosikal Brotherhood pula yang menampal lubang-lubang puaka di jalan raya, sedangkan mereka sedikit pun tidak menerima wang cukai jalan bagi menampal lubang walau sesen pun.





OK - Cara betul membuat laporan kerosakan jalan melalui Facebook - nyatakan kod laluan serta lingkungan KM berapa lokasi kerosakan jalan




OK - Cara betul untuk membuat aduan melalui Twitter




OK - Setelah tindakan pembetulan diambil oleh JKR / PBT, tunjukkanlah budi bahasa anda dan ucapkanlah terima kasih kepada mereka




KO - Hanya setakat beritahu jalan berlubang tetapi tidak dinyatakan apa kod laluannya serta di KM berapa




KO - Walaupun kali ini lebih mendalam sedikit, tetapi masih tiada maklumat yang dikehendaki iaitu kod laluan serta di KM berapa



Bacaan tambahan:-
  1. Prosedur betul bagi melaporkan kerosakan jalan melalui Twitter
  2. Aduan Jalan KKR - cara paling mudah membuat aduan kerosakan jalan

Advertisement