Wednesday, November 30, 2016

Modenas Karisma 2016: Skuter nasional yang dihidupkan semula / 2016 Modenas Karisma: A reborn national scooter

Salam sejahtera,

Setelah anda disajikan dengan berita pelancaran model skuter maksi Modenas Elegan 250, kali ini saya bawakan kepada anda reviu mengenai Modenas Karisma 125 pula. Seperti Elegan 250, generasi kedua Karisma ini dibina berasaskan model skuter Kymco Ace 9.

Sedikit mengenai sejarah skuter nasional Modenas Karisma 125 ini. Pada awal dekad 2000an, industri motosikal Malaysia mengalami ledakan trend skuter, khususnya di bandar-bandar besar. Trend tersebut asalnya bermula pada dekad 1990an apabila Suzuki mengeluarkan model skuter 2 lejang Suzuki V100, diikuti dengan model skuter 4 lejang VS125. Namun, trend skuter ini mula meningkat naik pada penghujung dekad 1990an apabila terdapat trend di mana anak-anak muda memasang radio dengan pembesar suara yang berbunyi kuat pada motosikal mereka. Jika selama ini radio-radio yang berbunyi kuat sering dikaitkan dengan budaya "kereta Ah Beng", trend tersebut merebak kepada skuter pula, sekaligus meningkatkan permintaan terhadap skuter.

Sebagai tindak balas terhadap budaya skuter ini, maka banyaklah pengeluar yang berlumba-lumba membawa masuk skuter di Malaysia. Daripada situlah lahirnya jenama-jenama skuter seperti Comel / JRD, Nitro dan Demak, yang mana hanya Demak sahaja yang terus hidup sehingga sekarang. Jenama Comel / JRD dan Nitro pula kini sudah tiada lagi berikutan masalah kualiti buatan yang sangat teruk tetapi langsung tidak diselesaikan. Modenas pula memilih untuk mengadakan kerjasama terus dengan Taiwan Motive Power Industries, pengeluar skuter jenama PGO, untuk menghasilkan skuter nasional pertama yang sebenar. Hasilnya ialah model skuter Modenas Karisma yang dilancarkan pada Januari 2003.

Sungguhpun Modenas Karisma 2003 dibina berasaskan model skuter PGO, namun saya masih tidak berupaya mencari nama model skuter PGO yang mana pembangunan Karisma diasaskan. Bahagian fender hadapan serta badannya dibina berasaskan PGO Metro 125. Lampu hadapannya pula diambil daripada model PGO Ligero RS50, manakala lampu belakangnya pula menyerupai Suzuki VR125. Mungkin inilah sebabnya kenapa Modenas Karisma 125 pada masa itu mempunyai identiti dan karismanya yang tersendiri.

Model Karisma 2003 terbukti sangat berjaya dan sangat laris seperti pisang goreng panas. Susulan dengan kejayaan Karisma, Modenas mengeluarkan beberapa model lain berasaskan skuter-skuter PGO seperti Modenas Elit 120/150 yang berasaskan skuter PGO TRex dan Modenas Ceria 100 yang berasaskan PGO Bubu 100. Ketiga-tiga model skuter itu sahaja berjaya menapau pasaran skuter Malaysia sehingga 60% pada tahun 2003. Sementara itu pula, Yamaha hanya mempunyai dua model skuter iaitu Yamaha Nouvo AT115 dan Yamaha Ego yang menggunakan enjin sama.

Namun, penguasaan skuter-skuter keluaran Modenas semakin merosot berikutan peralihan trend pasaran motosikal yang kembali beralih kepada genre-genre konvensional seperti kapcai. Modenas ada mengeluarkan model Modenas Passion untuk bersaing dengan Yamaha Ego, tetapi ia tetap tidak berupaya memecahkan dominasi Ego (dan Nouvo) yang menguasai pasaran skuter sepanjang baki dekad 2000an.

Kini Modenas kembali bangkit untuk kembali menghasilkan model skuter yang mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan skuter-skuter buatan Modenas pada awal dekad 2000an. Kali ini, mereka memilih untuk bekerjasama dengan Kymco pula, kali ini berasaskan model skuter Kymco Ace 9.

Hmm... apa pula ciri menarik yang menarik pada generasi kedua Karisma kali ini...? Ia masih ditenagai enjin 4 lejang SOHC 2 injap 125 cc sejukan udara dengan transmisi CVT sebagaimana generasi terdahulu, cuma menggunakan enjin daripada syarikat lain pula. Di atas kertas, memang ada sedikit peningkatan kuasa pada Karisma kali ini yang kini menghasilkan 9.5 PS (7.0 kW) pada 7,500 rpm dan tork 9.0 N-m pada 5,000 rpm. Oh, seperti pendahulunya, Karisma 2016 ini masih lagi menggunakan karburetor. Mungkin saya akui berasa sedikit kecewa, tetapi ia masih boleh dimaafkan kerana Modenas baru sahaja melancarkan produk rebadge hasil kerjasama dengan Kymco. Jadi, sudah tentulah saya tidak boleh terus mengharap Modenas untuk terus mengeluarkan skuter Karisma ini sebagai model pancitan bahan api. Cuma, saya amat mengharapkan agar Modenas mempunyai perancangan untuk melaksanakan program peralihan kepada sistem pancitan bahan api dengan bekerjasama dengan Kymco untuk membangunkan satu sistem pancitan bahan api kos rendah modular yang boleh dipadankan pada model sedia ada, seterusnya mengeluarkan kedua-dua model pancitan bahan api dan karburetor, dan akhir sekali beransur-ansur menghentikan model karburetor. Pelaksanaan program peralihan kepada pancitan bahan api amat penting jika Modenas benar-benar serius mahu meneruskan penguasaan pasaran tempatan dan eksport, memandangkan enjin-enjin berkarburetor tidak lagi mampu melepasi piawaian emisi yang lebih tinggi daripada Euro 2.

Barangkali tarikan utama model skuter ini terletak pada paras rupanya. Karisma ini bukan sahaja nampak anggun dari segi luaran, tetapi kecantikannya lebih terserlah pada waktu malam apabila lampu-lampunya dihidupkan kerana Karisma kali ini menggunakan lampu-lampu LED di belakang. Lampu hadapannya juga sangat terang kerana menggunakan dua biji lampu halogen, sesuai untuk penunggang bermata empat seperti saya.

Seperti Elegan 250, Karisma juga dilengkapi port USB untuk mengecas telefon pintar. Namun, tidak seperti Elegan di mana port USB terletak di tempat yang tersorok, port USB Karisma ini pula sangat menonjol, terletak betul-betul pada pangkal pencangkuk yang terletak di kocek barangan hadapan. Kalau peragut ternampak telefon pintar yang sedang dicas itu, sudah tentu mereka dengan pantas akan merampas telefon pintar anda itu dari celah-celah kocek barangan hadapan. Justeru, saya ingin menyarankan kepada Modenas (dan Kymco) agar menempatkan semula port USB itu di ruangan simpanan bawah pelana - barulah lebih selamat.

Kesimpulannya, kerjasama antara Kymco dengan Modenas sememangnya satu kerjasama yang simbiosis, kerana Modenas berupaya membangunkan model-model skuter baharu setelah sekian lama menyepi, dan Kymco pula berupaya menjual produknya di Malaysia setelah cubaan pertamanya tidak begitu berjaya kerana pemasaran yang lemah. Saya percaya bahawa dengan harga yang kompetitif, model skuter Karisma ini mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan skuter-skuter Modenas pada awal dekad 2000an. Cuma saya perlu menegur tentang lokasi port USB yang mungkin akan menarik perhatian peragut untuk meragut telefon pintar yang sedang dicas, serta ingin menyarankan agar Modenas dan Kymco bekerjasama untuk membangunkan Karisma versi pancitan bahan api pula agar Karisma ini benar-benar menjadi perintis dan pendahulu bagi industri skuter Malaysia, dan bukan lagi pengikut. Karisma ini boleh dimiliki dengan harga RM5,278.80 termasuk GST tetapi tidak termasuk insurans dan cukai jalan.




Spesifikasi Modenas Karisma 125 2016

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 124.6 cc
Lubang x lejang: 52.4 x 57.8 mm
Kuasa kuda maksimum: 9.5 PS (7.0 kW) @ 7,500 rpm
Tork maksimum: 9.0 N-m @ 5,000 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: CVT
Brek: Cakera (depan); gelendong (belakang)
Berat kering: 113 kg

Apa yang saya suka
  1. Lampu-lampu hadapan yang besar dan terang
  2. Lampu LED belakang yang anggun dan menawan
  3. Dilengkapi port USB untuk mengecas telefon pintar
Apa yang saya tidak suka
  1. Enjinnya masih menggunakan karburetor, diharap Modenas dan Kymco dapat membangunkan Karisma versi pancitan bahan api pula
  2. Lokasi port USB yang terdedah dan mampu menarik perhatian perompak dan peragut untuk merampas telefon bimbit pemilik





Pandangan keseluruhan Modenas Karisma 125 2016




Lampu hadapan Modenas Karisma 125 yang besar




Lampu LED belakang Karisma dengan jalur LED menyerlahkan karismanya yang tersendiri




Enjin Karisma generasi kedua ini masih lagi menggunakan enjin SOHC 2 injap 125 cc sejukan udara dan berkarburetor, tetapi lebih berkuasa




Paparan meter yang nampak ringkas tetapi menarik




Ruang barangan bawah pelana Karisma generasi kedua ini lebih kecil daripada pendahulunya dan tidak beruppaya memuatkan sebiji topi keledar, tetapi masih lebih besar daripada ruang simpanan Modenas Passion




Kunci penghidup yang turut digunakan untuk membuka pelana
(Semua kredit gambar: Paul Tan)

Tuesday, November 29, 2016

Modenas Elegan 250: Skuter Modenas paling elegan / Modenas Elegan 250: Modenas' most elegant scooter ever

Salam sejahtera,

Setelah sebegitu lama menyepi tanpa sebarang model baharu, Modenas akhirnya bangkit semula dengan melancarkan tiga model skuter sekaligus pada 25 November 2016, yang mana model terakhir yang dilancarkan sebelum ini ialah Modenas CT115S. 3 model skuter yang dilancarkan serentak itu ialah Modenas Karisma 125 generasi kedua, Modenas Elegan 250 dan Kymco Downtown 250i. Err... nanti sekejap, kenapa nama Kymco boleh sesat pula di dalam ini...? 

Sebenarnya, Modenas dan Kymco telah menandatangani satu perjanjian kerjasama strategik yang mana Modenas bukan sahaja berupaya membangunkan model-model baharu berasaskan model Kymco sedia ada, malah juga dilantik sebagai pengedar utama Kymco di Malaysia. Untuk pengetahuan anda, Kymco juga merupakan syarikat pengeluar motosikal tersohor di Taiwan sebagaimana jenama SYM. Sebelum ini, Kymco memang pernah ada pengedar utama di Malaysia, tetapi pemasaran yang lemah telah menyebabkan Kymco sukar menembusi pasaran Malaysia. Jika dibandingkan, SYM pula sangat agresif memasarkan produk-produk mereka sehingga ke tahap berupaya membuka kilang pemasangan mereka di Bukit Mertajam serta mengeluarkan model motosikal kapcai pancitan bahan api sulung mereka yang belum ada dikeluarkan di negara asal mereka sendiri. Susulan dengan itu, Kymco akhirnya melantik Modenas sebagai pengedar sah Kymco di Malaysia. Sebagai balasan, Modenas berupaya membina model-model skuter berasaskan produk Kymco, dan Modenas Karisma 125 generasi kedua serta Modenas Elegan 250 merupakan hasilnya. Dalam entri ini, saya akan bercerita mengenai model Elegan dahulu sebelum beralih ke Karisma pula.

Modenas Elegan merupakan siri skuter maksi keluaran Modenas yang mensasarkan penunggang skuter yang bukan sahaja mudah ditunggang di kawasan bandar raya yang sibuk, tetapi juga sangat sesuai ditunggang untuk perjalanan jauh. Antara ciri-ciri am yang ada pada skuter maksi termasuklah enjin yang lebih berkuasa, ruang simpanan barang yang besar, lampu-lampu yang besar, pelana yang selesa serta tayar yang besar. Trend skuter maksi ini dipopularkan di Eropah sebelum ia merebak ke negara-negara lain termasuklah Malaysia.

Setakat ini, sudah tiga generasi Elegan yang dikeluarkan oleh Modenas. Generasi pertama Elegan ialah Modenas Elegan 150, dilancarkan pada tahun 2004. Ia dijenamakan semula daripada model skuter maksi SYM Joyride 150. Ia digerakkan oleh enjin SOHC 4 injap 146.9 cc sejukan air, pertama kali seumpamanya dalam sejarah Modenas, yang mampu menghasilkan 13 PS (9.56 kW) pada 8,000 rpm dan tork 11.7 N-m pada 6,000 rpm. Semasa pelancarannya, Elegan ini laris bagaikan pisang goreng panas terutamana di bandar-bandar besar serta mewujudkan komuniti penunggang yang sering menjalankan aktiviti berkonvoi beramai-ramai.

Generasi kedua pula dilancarkan pada tahun 2010 dengan nama Modenas Elegan 200. Kali ini, ia dibina berasaskan model SYM Joyride Evo 200, digerakkan oleh enjin SOHC 4 injap 171.2 cc sejukan air yang berupaya menghasilkan 14.74 PS (10.99 kW) pada 8,000 rpm dan kilasan 14.94 N-m pada 6,500 rpm. Namun, entah di mana silapnya, ramai yang tidak menyedari kewujudan model skuter maksi ini, menyebabkan pengeluarannya dihentikan pada masa yang tidak diketahui. Tambahan pula, tindakan SYM memasuki pasaran Malaysia dengan model-model jenama mereka sendiri sedikit-sebanyak telah membunuh model Elegan yang berasaskan model SYM sendiri.

Susulan kegagalan generasi kedua Elegan yang menjadi mangsa kanibalisme produk, maka Modenas kali ini bekerjasama dengan syarikat lain pula, dengan harapan dapat bangkit semula. Model kerjasama sebegini sebenarnya lebih kurang sama seperti yang dilakukan oleh syarikat motosikal dari India, Bajaj yang bekerjasama dengan Kawasaki untuk menjual beberapa produk motosikal mereka untuk pasaran eksport, misalnya Bajaj Pulsar yang dijual sebagai Kawasaki Bajaj Pulsar di Asia Tenggara. Justeru, kerjasama antara Modenas dengan Kymco diharap dapat menguntungkan kedua-dua pihak, memandangkan ia merupakan satu kerjasama simbiosis.

Model Modenas Elegan 250 kali ini diasaskan daripada model skuter maksi Kymco X-Town 300i tetapi menggunakan enjin 250 cc. Tidak seperti model-model pendahulu yang menggunakan enjin 4 injap sesilinder, generasi ketiga kali ini menggunakan enjin 2 injap sesilinder yang lebih konvensional. Namun, ia tidaklah bermakna enjin Elegan 250 ini kurang canggih daripada Elegan 200, kerana Elegan 250 ini bukan sahaja merupakan produk kedua Modenas yang dilengkapi pancitan bahan api selepas Modenas 118EFI, malah ia juga jauh lebih berkuasa daripada Elegan 200. Enjin 249.1 cc SOHC 2 injap sejukan air ini mampu menghasilkan 22.4 PS (16.5 kW) pada 7,000 rpm dan tork 22.4 N-m pada 7,000 rpm. Oleh kerana ia menggunakan pancitan bahan api, maka penggunaan petrolnya sudah tentu lebih jimat daripada Elegan 200.

Selain daripada enjinnya, ciri kedua yang paling saya suka mengenai Elegan 250 ini ialah papan pemukanya. Papan pemukanya ini kelihatan begitu canggih dan anggun. Selain daripada takometer dan meter laju, ia juga menampilkan paparan LCD yang memaparkan tolok bahan api, tolok suhu bendalir penyejuk, odometer, tripmeter dan jam.

Lampu-lampu Elegan 250 ini terdiri daripada sepasang lampu halogen di hadapan serta lampu belakang LED yang disusun membentuk huruf X, yang merupakan trademark bagi Kymco X-Town. Pada waktu malam, lampu-lampunya ini kelihatan begitu anggun dan mempesonakan.

Satu lagi perkara yang saya suka mengenai Elegan baharu ini ialah tangki minyaknya yang begitu besar, iaitu 12.5 liter. Dengan tangki sebesar itu, anda boleh menunggang dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru atau lebih jauh lagi dengan hanya setangki penuh sahaja. Jika dibandingkan, tangki Elegan 150 cuma sebesar 8.5 liter manakala tangki Elegan 200 pula lebih kecil, iaitu 7.6 liter. Ia berikutan lokasi tangki minyak Elegan 150 dan 200 yang terletak di bawah hendal, mengehadkan kapasiti maksimumnya. Jika dibandingkan, tangki minyak Elegan 150 terletak di bebendul antara kaki, membolehkan reka bentuk tangki minyak yang besar.

Satu lagi bonus buat pemilik Elegan 250 ialah soket pengecas USB untuk mengecas telefon pintar anda. Lokasinya tersorok di dalam kotak barangan di sebelah kiri di bawah hendal, membolehkan anda mengecas telefon pintar anda tanpa menarik perhatian peragut.

Sepanjang pemerhatian saya, boleh dikatakan bahawa Modenas Elegan 250 ini merupakan produk terbaik keluaran Modenas setakat ini. Meskipun ia sekadar model rebadge, namun ia memiliki segala pakej yang tentunya berupaya menarik perhatian bakal pembeli seperti enjin yang lebih berkuasa serta dilengkapi pancitan bahan api yang lebih jimat minyak dan mesra alam, lampu-lampu yang besar dan anggun, papan pemuka yang canggih, tangki minyak yang besar, ruang simpanan barangan yang besar dan soket USB untuk mengecas telefon pintar. Apa yang diperlukan oleh Modenas sekarang ialah strategi pemasaran dan promosi yang lebih agresif, khidmat lepas jualan yang cemerlang serta rangkaian alat ganti yang berpatutan harganya serta senang untuk dicari. Modenas Elegan 250 ini boleh dimiliki dengan harga RM13,599.80 termasuk GST tetapi tidak termasuk insurans dan cukai jalan.




Spesifikasi Modenas Elegan 250

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan cecair
Sesaran: 249.1 cc
Lubang x lejang: 72.7 x 60 mm
Kuasa kuda maksimum: 22.4 PS (16.5 kW) @ 7,000 rpm
Tork maksimum: 22.4 N-m @ 6,500 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: CVT
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 193 kg

Apa yang saya suka
  1. Akhirnya Modenas mengeluarkan produk kedua dengan pancitan bahan api
  2. Tangki bahan api yang besar
  3. Paparan LCD pada papan pemuka yang kelihatan canggih
  4. Lampu-lampu yang besar dan anggun
  5. Ruang simpanan barangan yang besar
  6. Soket pengecas USB untuk mengecas telefon
Apa yang saya tidak suka
  1. Err...ada kelemahan ke...? Kalau ada pun, cuma setakat skuter ini berat iaitu 193 kg, tapi kalau diikutkan semua skuter maksi memang berat pun





Pandangan keseluruhan Modenas Elegan 250




Pandangan sisi Modenas Elegan 250




Lampu hadapan Modenas Elegan 250 yang besar




Lampu LED belakang Elegan ini disusun membentuk huruf X




Tidak seperti Elegan 150 dan Elegan 200 yang berasaskan skuter SYM, Elegan 250 pula berasaskan skuter Kymco dan digerakkan oleh enjin Kymco




Paparan LCD pada papan pemuka yang begitu canggih




Tangki bahan api sebesar 12.5 liter ini diisi melalui penutupnya yang terletak di celah kaki




Ruang barangan bawah pelana yang begitu besar




Soket USB untuk mengecas telefon pintar
(Semua kredit gambar: Paul Tan)

Saturday, November 26, 2016

Kempen kesedaran tanah runtuh / landslide awareness campaign

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, saya memohon maaf kerana sudah terlalu lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia ini susulan masalah kesihatan, kesibukan kerja serta pelbagai hal peribadi yang lain. Kali ini saya kembali menulis untuk Blog Jalan Raya Malaysia, dan entri comeback pertama saya kali ini ialah mengenai kempen kesedaran mengenai ancaman tanah runtuh.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama saya menulis mengenai tanah runtuh ini. Salah satu entri terawal saya di Blog Jalan Raya Malaysia memang ada menyebut mengenai kesedaran akan bahaya tanah runtuh, tetapi ia sekadar disalin dan ditampal daripada kenyataan oleh Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 4 November 2011. Apa yang ingin saya tulis kali ini adalah susulan penampilan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha dalam rancangan MHI di TV3 pada 24 November 2016 jam 8.15 pagi. Jika ada di antara anda yang terlepas menontonnya, anda boleh menonton rakamannya di sini.







Kenapa tanah runtuh...?

Sebelum saya teruskan, biar saya terangkan dahulu serba-sedikit tentang tanah runtuh. Tanah runtuh merupakan runtuhan besar-besaran yang melibatkan pergerakan tanah seperti runtuhan batu, kegagalan cerun dan aliran puing. Meskipun graviti merupakan daya dorongan utama yang menyumbang kepada kecenderungan berlakunya tanah runtuh, namun terdapat beberapa faktor luaran lain yang turut menyumbang kepada berlakunya tanah runtuh, seperti:-
  1. Aliran air bawah tanah - Aliran air bawah tanah merupakan punca nombor satu bagi kes tanah runtuh di Malaysia. Ia kerana butiran tanah mempunyai dua komponen daya utama yang membentuk asas kepada kekuatan dan kestabilannya, iaitu daya mampatan serta daya geseran ricih antara butiran tanah. Kehadiran air menjejaskan kekuatan tanah kerana ia menyebabkan butiran tanah hilang daya geseran ricih. Jika terdapat terlalu banyak air di bawah tanah, maka struktur tanah menjadi lemah dan tanah mula bersifat seperti cecair yang mudah mengalir. Fenomena inilah yang dipanggil sebagai pencairan tanah (soil liquefaction), yang seterusnya menyumbang kepada bencana tanah runtuh dan tanah jerlus.
  2. Kehilangan struktur vegetatif menegak - Selain daripada daya mampatan dan geseran ricih yang saya terangkan di atas tadi, terdapat satu lagi faktor yang turut menyumbang kepada kekuatan tanah, iaitu kehadiran tumbuh-tumbuhan. Bagaimana tumbuh-tumbuhan menyumbang kepada kekuatan tanah...? Ada tiga cara bagaimana tumbuh-tumbuhan memperkuatkan tanah. Pertama, akar menyerap air, sekaligus mengurangkan kecenderungan berlakunya pencairan tanah. Kedua, akar menambah baik saliran di dalam tanah, menjadikan air hujan yang turun mudah mengalir ke lapisan telap air di bawah tanah. Ketiga, akar-akar yang berseliran di bawah tanah menghasilkan rintangan bagi mengurangkan pergerakan tanah. Namun, sekiranya tumbuh-tumbuhan musnah secara semula jadi akibat kebakaran hutan, maka tanah hilang salah satu daya sokongan utama, menjadikan tanah runtuh semakin mudah berlaku. 
  3. Hakisan di kaki cerun oleh air sungai, glasier dan ombak laut.
  4. Cerun menjadi lemah akibat hujan lebat atau salji cair - penerangan sama seperti aliran air bawah tanah
  5. Gempa bumi - Tanah runtuh merupakan salah satu daripada bencana susulan yang diakibatkan oleh gempa bumi. Gempa bumi menjejaskan integriti tanah melalui pelbagai cara. Ia boleh menyebabkan tanah merekah. Ia juga mengalihkan beban ke cerun yang kurang stabil, menyebabkan cerun tersebut semakin tidak stabil dan seterusnya boleh runtuh. Selain itu, gempa bumi menyebabkan paip air pecah, menjadikan struktur tanah menjadi lemah dan boleh mengakibatkan tanah runtuh dan tanah jerlus akibat pencairan tanah.
  6. Letusan gunung berapi - Letusan gunung berapi menyebabkan tanah runtuh kerana kesan letusannya itu sama seperti gempa bumi. Selain itu, letusan gunung berapi turut membawa bersama banjir lumpur panas serta aliran lava, kesemuanya boleh mengakibatkan tanah runtuh.

Selain faktor-faktor semula jadi di atas ini, terdapat beberapa faktor lain yang disebabkan oleh aktiviti manusia seperti:-
  1. Penyahhutanan disebabkan aktiviti pembinaan dan pertanian
  2. Gegaran daripada jentera dan lalu lintas
  3. Letupan di kuari mahupun di tapak pembinaan
  4. Hasil kerja tanah yang melibatkan ubah bentuk muka bumi, paling ketara semasa pembinaan bangunan, kawasan perumahan serta jalan raya

Malaysia merupakan negara yang sangat berisiko mengalami tanah runtuh kerana Malaysia mengalami iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Akibatnya, Malaysia berdepan dengan banyak faktor risiko yang menyumbang kepada tanah runtuh seperti aliran air bawah tanah, hakisan dan kelemahan cerun akibat hujan lebat. Namun, aktiviti pembangunan tidak terkawal telah menyebabkan semakin banyak kes tanah runtuh yang terjadi. 




Detik-detik runtuhnya Blok 1 Highland Towers pada 11 Disember 1993




Simulasi bagaimana Blok 1 Highland Towers runtuh


Dalam sejarah Malaysia, terdapat satu kes kegagalan struktur bangunan yang meragut banyak nyawa susulan aliran air bawah tanah yang membawa kepada pencairan tanah akibat pembangunan tidak terkawal, iaitu tragedi runtuhan Highland Towers pada 11 Disember 1993 yang meragut 48 nyawa. Semasa pembinaan Highland Towers, sebatang paip besar dibina bagi melencongkan aliran anak sungai di situ. Namun, pada tahun 1991, pemaju projek Bukit Antarabangsa membina lencongan air daripada tapak projek terus ke paip lencongan air di Highland Towers, menyebabkan aliran air melebihi kapasiti yang mampu ditampungnya. Akibatnya, paip tersebut pecah di beberapa tempat kerana tidak lagi mampu menampung aliran air yang terlalu banyak, lebih-lebih lagi semasa musim tengkujuh. Menjelang Oktober 1993, sudah ada kelihatan air mengalir di kawasan cerun dan di tembok penahan di Highland Towers. Hujan yang turun selama 10 hari berturut-turut sebelum hari kejadian telah mengakibatkan struktur tanah di situ menjadi lemah akibat pencairan tanah. Pada November 1993, asas bangunan sudah gagal dan rekahan mula kelihatan di jalan sekitar Highland Towers, dan rekahan tersebut semakin membesar. Inilah petanda awal berlakunya kegagalan cerun yang membawa kepada tragedi tersebut. Namun, oleh kerana tiada siasatan mengenainya dilakukan, maka cerun di sekitar Highland Towers terus menjadi semakin tidak stabil sehingga membawa kepada runtuhnya Blok 1 kondominium tersebut.




Tanah runtuh di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat Gua Tempurung pada tahun 1996
(Kredit gambar: Panitia Geografi SMK Iskandar Shah, Jasin, Melaka)




Bekas jajaran lama E1 di Gua Tempurung boleh dilihat dengan jelas melalui imej satelit




Runtuhan batu di Exit 108 Persimpangan Bukit Lanjan, NKVE E1
(Kredit gambar: Kesatuan Geofizik Amerika)




Tanah runtuh di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 ini menyebabkan satu lencongan yang lebih sempit dibina bagi memintas runtuhan tanah




Jajaran jalan yang runtuh di Jalan Genting Sempah-Genting Highlands dekat Tokong Chin Swee digantikan dengan jejambat ini


Tanah runtuh juga sering berlaku di jalan raya di Malaysia. Pada tahun 1996 misalnya, berlaku kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa seorang pemandu lori setelah lori yang dipandunya ditimbus tanah runtuh di Lebuhraya Utara-Selatan E1 di Gua Tempurung, menyebabkan Hentian Sebelah Gua Tempurung Arah Utara terpaksa dirobohkan bagi membina laluan baharu yang memintas runtuhan tersebut. Tanah runtuh juga kerap melanda Jalan Genting Sempah-Genting Highlands, yang mana runtuhan yang berlaku dekat Tokong Chin Swee telah menyebabkan sebuah jejambat dibina bagi menggantikan jajaran yang runtuh. Semasa saya bercuti di Cameron Highlands pada tahun 2011 dan 2013 juga saya dapat menyaksikan beberapa kejadian tanah runtuh di sepanjang perjalanan, yang mana kes tanah runtuh terbesar di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 telah mengakibatkan satu laluan lencongan yang lebih sempit dibina bagi memintas runtuhan tersebut.






Dua jalan raya pergunungan utama yang dipantau keadaan cerunnya oleh JKR iaitu Lebuhraya Timur-Barat Kedua (Simpang Pulai-Gua Musang) FT185 (atas) dan Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 (bawah)


Bagi mencegah kejadian tanah runtuh yang sering berlaku di Malaysia daripada meragut banyak nyawa dan harta benda, maka Jabatan Kerja Raya (JKR) menubuhkan Cawangan Kejuruteraan Cerun pada tahun 2004. Ia ditubuhkan susulan kes runtuhan batu di Exit 108 Persimpangan Bukit Lanjan di NKVE E1, menyebabkan laluan tersebut terpaksa ditutup selama beberapa bulan untuk kerja-kerja pembersihan. Setelah lebih sedekad beroperasi, Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR telah banyak terlibat dalam aktiviti kejuruteraan dan pemuliharaan cerun-cerun berisiko di Malaysia, khususnya yang terletak di jalan raya, bangunan dan kawasan kediaman.




Bagaimana rumput boleh mengukuhkan cerun daripada risiko tanah runtuh


Jadi apakah kaedah yang dilaksanakan bagi mengukuhkan cerun-cerun yang berisiko ini...? Pendekatan yang paling asas sudah tentulah melalui penanaman rumput serta pembinaan sistem saliran yang lebih baik, tetapi terdapat banyak lagi pendekatan yang lebih ekstrim seperti dalam gambar-gambar di bawah ini:-




Wall stone




Contiguous bore pile




Gabion wall




Hybrid anchor




Micropile, soil nail, R.C. wall




R.E. wall




Rock armour




Rock fill




Rubble wall




Stone pitching




Power mesh

(Kredit gambar: Mohd. Yunus @ Apenk)


Jadi apakah peranan anda selaku orang awam dalam melindungi nyawa dan harta benda anda daripada menjadi mangsa tanah runtuh...? Awasi tanda-tanda awal yang saya senaraikan ini:-

  1. Kemunculan mata air pada cerun atau tembok
  2. Tembok, tiang atau pagar yang condong & pokok tumbang secara tiba-tiba
  3. Terdapat bonjolan pada kaki cerun atau tembok & longkang beralih daripada kedudukan asal
  4. Rekahan besar pada permukaan tembok, cerun atau asas bangunan
  5. Gelongsoran batu-batu kecil (petanda besar)



Sekiranya berlaku salah satu daripada tanda-tanda awal ini, jangan tunggu lagi. Laporkan segera kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR dengan menelefon 1300-888-557. Selain itu, sekiranya anda dapati terdapat paip air pecah, sila laporkan segera kepada pihak pengendali bekalan air untuk dibaiki segera kerana air yang mengalir secara berterusan daripada paip yang pecah boleh mengakibatkan pencairan tanah yang menyumbang kepada tanah runtuh mahupun tanah jerlus.

Cerun yang selamat menyelamatkan nyawa.

Advertisement