Monday, December 19, 2016

Pembinaan kesemua baki jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 dilancarkan hari ini / The construction of all the remaining sections of the Sarawakian Pan Borneo Highway FT1 has been launched today



Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak merasmikan pembinaan baki jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150


Salam sejahtera,

Hari ini (18 Disember 2016), satu lagi sejarah tercipta di Sarawak apabila baki kelapan-lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150 dilancarkan, melengkapkan kesemua 12 pakej yang disasarkan siap pada tahun 2021. Sebelum ini, tiga pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150 telah dilancarkan, iaitu Simpang Nyabau-Simpang Bakun sejauh 43 km (dilancarkan 31 Mac 2015), Teluk Melano-Sematan sejauh 33 km (dilancarkan 15 September 2015) dan Bulatan Serian-Simpang Pantu sejauh 75 km (dilancarkan 13 Mac 2016). Dalam projek ini, hanya jajaran Teluk Melano ke Sematan sahaja yang merupakan jajaran baharu, yang bakal menganjakkan kilometer sifar bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150 sebanyak 33 km ke sebelah barat.




Majlis pelancaran baki 8 pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1


Kesemua pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 adalah seperti berikut:-


No.
Nama jajaran
Jarak
(km)
Bil. Jambatan
Bil. Persimpangan bertingkat
Hentian sebelah / RSA
Nota
1
Teluk Melano-Sematan
32.77
6
Tiada
Tiada
Jajaran jalan raya tunggal baharu
2
Sematan-Sg. Moyan (Bulatan Kuching-Serian)
95.4
22
6 (Lundu, Bau, Batu 4 ½, Batu 6, Batu 7 & Batu 10)
1 (Lundu)

3
Serian-Simpang Pantu
75.02
10
3 (Serian 1, Serian 2 & Simunjan)
1 (Balai Ringin)

4
Simpang Pantu-Btg. Skrang
89.44
9
1 (Sri Aman)
Tiada

5
Btg. Skrang-Sg. Awik
67.94
9
1 (Betong)
Tiada

6
Sg. Awik-Bintangor
64.49
6
2 (Sarikei, Bintangor)
1 (Roban)

7
Bintangor-Sg. Kua
75.97
18
2 (Julau, Sibu)
1 (Julau)
Termasuklah pembinaan Jambatan Durin kedua
8
Sg. Kua-Sg. Arip
63.678
14
1 (Selangau)
1 RSA (Sg. Basai)

9
Sg. Arip-Bintulu
64.53
8
1 (Bintulu)
1 RSA (Sg. Semanok)

10
Simpang Nyabau-Simpang Bakun
42.97
4
Tiada
Tiada

11
Simpang Bakun-Simpang Sg. Tangap
77.19
5
4 (Bakun, Suai. Niah, Batu 5-Nyabau
1 (Suai)

12
Sg. Tangap-Pujut Link
79.98
8
4 (Beluru, Bekenu, Lapangan Terbang Miri, Pujut Link)
1 RSA (Lambir)



5 perkara yang anda perlu ketahui tentang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1
  1. Projek ini merupakan projek naik taraf Jalan Persekutuan 1 Sarawak sedia ada, dengan hanya jajaran Teluk Melano-Sematan sebagai satu-satunya jajaran baharu yang dibina sebagai jalan super two.
  2. Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini merupakan projek lebuh raya kembar, bukannya lebuh raya ekspres. Dalilnya...?
    • Keseluruhan jajaran Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak ini dibina mengikut piawaian JKR R5. Lebuh raya ekspres memerlukan piawaian JKR R6 kecuali lebuh raya dua lorong yang mengguna pakai piawaian JKR R5 tetapi dengan kawalan masuk penuh.
    • Meskipun ada 25 persimpangan bertingkat yang akan dibina nanti bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1, namun majoriti persimpangan searas serta simpang-simpang kecil termasuklah simpang jalan masuk ke rumah-rumah panjang dikekalkan. Jika Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dibina sebagai lebuh raya ekspres, jalan masuk ke rumah panjang pun tak boleh wujud sama sekali.
    • Terdapat banyak pusingan U searas yang akan dibina nanti. Piawaian lebuh raya ekspres tidak membenarkan pusingan U dibina (kecuali pusingan U bertingkat) kerana menurut Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads, pusingan U juga dianggap sebagai lintasan searas.
  3. Had laju bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 ini nanti ialah 90 km/j, bukannya 110 km/j.
  4. Tiada tol yang akan dikenakan di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 ini nanti. Nak tahu sebab apa...? Sebabnya ialah Lebuhraya Pan Borneo FT1 ini ialah projek jalan persekutuan, bukannya projek lebuh raya ekspres.
  5. Kenapa Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 tidak dibina sebagai lebuh raya ekspres...?
    • Bagi masyarakat Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo FT1 itulah jalan kampung, itu jugalah jalan raya utama dan itu jugalah lebuh raya bagi mereka, tiada laluan alternatif lain.
    • Projek lebuh raya ekspres di Sarawak adalah tidak berdaya maju disebabkan kepadatan penduduk yang terlalu sedikit, kadar aliran trafik yang masih tidak mengizinkan untuk pembinaan lebuh raya ekspres serta jarak antara pekan yang sangat jauh (sehingga melebihi 100 km).
    • Banyak pekan di sepanjang laluan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 seperti Serian, Selangau, Tatau dan Niah amat bergantung kepada pengguna jalan raya sebagai sumber ekonomi utama. Jika lebuh raya ekspres dibina, ia akan menyebabkan pekan-pekan tersebut dipintas, sekaligus membunuh ekonomi di pekan-pekan tersebut.

Untuk lebih banyak lagi fakta mengenai Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, anda boleh baca di FAQ Lebuhraya Pan Borneo.

Saturday, December 17, 2016

Belasungkawa / Memorabilia: Admin Aiman Abmajid (1985-2016) Part 2 - #JomNaikMRT Sungai Buloh-Kajang Phase 1




Salam sejahtera,

Hari ini (16 Disember 2016) merupakan hari yang penuh bersejarah buat warga Kuala Lumpur kerana fasa pertama bagi projek Transit Aliran Deras Massa (MRT) Aliran Sungai Buloh-Kajang (SBK) dari Sungai Buloh ke Semantan dibuka secara rasminya kepada orang awam. Sebenarnya, ia sudah dirasmikan terlebih dahulu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak pada hari sebelumnya yang dikhaskan kepada tetamu kehormat sahaja, tetapi bermula tepat jam 6.00 pagi tadi. Sayangnya, Admin Aiman Abmajid tidak bersama-sama saya untuk merayakan detik-detik bersejarah ini kerana telah terlebih dahulu pergi menghadap Ilahi pada 10 Disember 2016, meskipun beliaulah yang paling teruja menantikan pembukaannya. Justeru, entri kali ini didedikasikan khas buat Allahyarham Aiman Abmajid dan dijadikan sebagai sebahagian daripada siri belasungkawa beliau.

Jujur saya katakan, meskipun saya dan Aiman sama-sama meminati jalan raya, namun saya bukanlah seorang peminat tegar pengangkutan awam sebagaimana Aiman. Apa tidaknya, saya sebenarnya sudah pun mengasai pengalaman yang teruk ketika menggunakan pengangkutan awam - bukan sekali dua, tetapi banyak kali. Nak naik bas henti-henti, sudahlah kena tunggu berkurun baru sampai, masa perjalanan pun terlalu lambat. Itu belum lagi ditambah dengan pengalaman terpaksa bersesak macam ikan sardin dan terpaksa "menghidu aroma ketiak mat-mat Bangla" yang "menjajah" kebanyakan perkhidmatan pengangkutan awam di KL. Kalau diikutkan ongkos pun, duit minyak motor lebih murah ongkosnya dan paling menjimatkan masa. Nak naik bas ekspres, bas ekspres pula banyak yang dipandu terlalu laju sehingga saya merasakan nyawa saya benar-benar terancam. Nak naik teksi...? Walaupun teksi amat memudahkan, tetapi sudahlah tambangnya mahal, ada yang tak pakai meter, kalau ditahan pun banyak yang enggan berhenti, kalau saya meminta untuk menghantarkan saya ke tengah-tengah bandar raya KL pada waktu sesak, jangan haraplah mereka mahu hantar. Maka tidak hairanlah kenapa ramai warga kota yang berhijrah kepada khidmat kereta Uber dan Grab yang kini dijadikan sebagai musuh ketat para pemandu teksi. Nak naik komuter...? Sudahlah kekerapan hanya 45 minit hingga sejam sekali, nak tukar tren di KL Sentral pun kena tunggu berkurun lamanya. Sepanjang pengalaman saya menggunakan pengangkutan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hanya rangkaian transit aliran ringan (LRT) dan monorel sahaja yang boleh diharap, itu pun masih ada insiden sistem tren tergendala sehingga dijadikan sebagai modal bagi parodi filem seram Korea, Train to KL. Justeru, saya hanya menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan terakhir saya sekiranya terpaksa, misalnya ketika kedua-dua motosikal mahupun kereta saya rosak.

Disebabkan pengalaman teruk lagi mengazabkan yang saya alami sepanjang saya menggunakan pengangkutan awam, ada beberapa orang sahabat di luar saya yang bimbang kalau-kalau saya akan mengkritik dan mengecam perkhidmatan MRT yang baru masuk hari pertama beroperasi. Memang saya tidak nafikan, ada kalanya reviu yang disiarkan di Blog Jalan Raya Malaysia ini bersifat mengecam sekiranya sesuatu jalan raya, lebuh raya, kereta, motosikal dsb. tidak memuaskan dari segi beberapa sudut tertentu. Namun, adakah reviu MRT SBK Fasa 1 oleh Blog Jalan Raya Malaysia ini benar-benar bersifat mengecam seperti yang disangkakan...? Sila baca sampai habis untuk mengetahui jawapannya.

Sebelum saya teruskan, maka ada baiknya saya mulakan dengan sedikit sejarah ringkas mengenai pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Perkembangan pengangkutan awam di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur memang sudah bermula sejak zaman penjajah lagi. Namun, hanya pada tahun 1975 barulah kelihatan ada usul bagi menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam, melalui pengenalan perkhidmatan bas mini. Semasa bas mini mula diperkenalkan, tambangnya sangat murah iaitu 40 sen sahaja. Sebab itulah ia mendapat sambutan hangat di kalangan warga marhaen di ibu kota. Tiada jadual tetap bagi waktu perjalanannya, asalkan anda tahu nombor bas dan laluannya. Keadaan bas yang sering penuh seperti sardin memang perkara lumrah pada masa itu. Pada tahun 1990, warna bas mini diseragamkan kepada warna merah jambu dan putih. Perkhidmatan bas mini ditamatkan pada tahun 1998 dan digantikan dengan bas Intrakota, dan seterusnya Rapid KL.

Dalam masa yang sama pula, perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan rel dilaksanakan melalui pengenalan KTM Komuter oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada tahun 1995. Ia berkongsi landasan dengan sistem rel berat kebangsaan KTMB sendiri, yang mana perkhidmatan KTM Komuter dilaksanakan di landasan yang dinaiktaraf kepada landasan elektrik berkembar. Ia disusuli dengan STAR LRT (kini Aliran Ampang & Aliran Sri Petaling) pada tahun 1996, dan PUTRA LRT (kini Aliran Kelana Jaya) pada tahun 1998, yang mana PUTRA LRT merupakan sistem metro bawah tanah pertama di Malaysia. Seterusnya pada tahun 2003 pula, KL Monorail diperkenalkan, yang menjadikan Malaysia dikenali sebagai antara negara terawal yang menjadikan sistem monorel sebagai antara sistem metro utama di bandar raya besar. Ia juga dikenali kerana menggunakan 100% monorel buatan Malaysia.

Namun, disebabkan tiada integrasi antara laluan-laluan metro tersebut, kesemua laluan metro di Kuala Lumpur (kecuali KTM Komuter yang menjadi divisyen paling menguntungkan buat KTMB) mengalami kerugian. Maka, sebuah syarikat milik kerajaan iaitu Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) di bawah jenama Rapid KL ditubuhkan pada tahun 2003 bagi mengambil alih kesemua laluan rel metro KL (kecuali KTM Komuter) untuk disatukan dan disepadukan secara holistik.

Bagi menangani masalah kesesakan jalan raya di Lembah Klang yang tidak berkesudahan meskipun setelah begitu banyak lebuh raya ekspres dibina serta bagi meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam, maka satu cadangan bagi membangunkan satu sistem pengangkutan berasaskan rel yang menjadi tulang belakang bagi sistem metro Lembah Klang dicadangkan dan seterusnya diluluskan pelaksanaannya pada tahun 2010. Daripada situlah lahirnya sistem MRT Lembah Klang yang terdiri daripada 3 laluan utama, iaitu 2 laluan jejari (Aliran Sungai Buloh-Kajang & Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) dan 1 laluan lingkaran (Aliran Bulatan). Bagi MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang, fasa pertama dari Sungai Buloh ke Semantan mula dibuka kepada orang awam hari ini, manakala fasa kedua bagi baki jajaran akan dibuka Julai 2017. Untuk fasa pertama ini, tambang percuma ditawarkan selama sebulan sehingga 15 Januari 2017. Jutaan terima kasih kepada Rapid KL selaku pengendali MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang kerana bermurah hati menawarkan tambang percuma ini bagi memberi peluang kepada setiap lapisan rakyat untuk mencubanya.

Saya mengambil kesempatan tambang percuma yang ditawarkan untuk mencuba sendiri pengalaman menaiki tren MRT ini, di samping menunaikan impian Allahyarham Aiman untuk merasainya dan berkongsi pengalaman bersama-sama para pembaca yang budiman. Nampaknya sambutan yang diberikan oleh warga kota nyata menggalakkan, dibuktikan dengan sebegitu ramai warga kota yang mengambil kesempatan cuti sekolah membawa ahli keluarga mencuba sendiri tren MRT ini.

MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang ini menggunakan tren 4 gerabak jenis Siemens Inspiro yang dikilangkan khas di Rasa, Selangor. Tren Siemens Inspiro ini menghasilkan kuasa kuda setinggi 1,840 kW dan mampu mencapai kelajuan operasi 100 km/j. Rel ketiga di tepi landasan utama menyalurkan bekalan elektrik arus terus (DC) 750 volt yang diperlukan oleh tren. Seperti tren Bombardier Innovia Metro yang digunakan pada Aliran Kelana Jaya, tren Siemens Inspiro ini tidak berpemandu dan hanya dikawal secara berpusat. Selain itu, ia juga mengunakan landasan jenis tolok piawai (1,435 mm). Dari segi ukurannya pula, meskipun tren yang digunakan ini hanya 4 gerabak sahaja, ia sebenarnya lebih panjang daripada tren 6 gerabak Aliran Ampang / Sri Petaling. Tak percaya...? Biar gambar di bawah ini menerangkan untuk anda.




Dari atas ke bawah: Perbandingan saiz antara tren KTM Komuter, MRT SBK, Aliran Ampang / Sri Petaling (tren lama), Aliran Kelana Jaya (tren baru 4 gerabak, tren lama 4 gerabak & tren lama 2 gerabak), dan KL Monorail (tren baru 4 gerabak & tren lama 2 gerabak)
(klik untuk besarkan)


Sebaik sahaja saya selesai menunaikan solat Jumaat, saya terus bertolak ke Stesen MRT Semantan kerana ia lebih dekat dan kurang kesesakan yang perlu saya harungi pada masa itu berbanding di Stesen MRT Sungai Buloh yang memerlukan saya mengharung kesesakan di KL MRR2 FT28/FT54 di Sri Damansara berikutan kerja-kerja pembinaan DUKE 2 E33. Dengan tidak disangka-sangka, rupa-rupanya pada masa yang sama Tuan Haji Razali dari Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kerja Raya (UKK JKR) turut mengambil kesempatan mencubanya - tetapi dengan stesen permulaan yang berlawanan.

Sebaik sahaja saya naik ke Stesen MRT Semantan, saya mengkagumi rekaan stesen tersebut yang sangat kemas dan futuristik. Stesen tersebut - dan semua stesen MRT di sepanjang laluan - jelas lebih besar daripada mana-mana stesen LRT mahupun komuter. Ia juga meriah dengan manusia yang mengerumuni setiap stesen untuk mencuba MRT baharu ini. Satu lagi kejutan ialah sudah ada kedai di stesen MRT walaupun baru hari ini dilancarkan kepada orang awam - di Stesen MRT Semantan sahaja sudah ada dua kedai yang beroperasi termasuklah 7 Eleven. Setiap stesen turut dilengkapi tandas awam dan surau.

Bagi Fasa 1 SBK, stesen-stesen MRT adalah seperti berikut:-


Nama stesen
Jenis pelantar
Kedudukan
Nota
Sungai Buloh
Pulau
Bertingkat
Pertukaran ke KTM Komuter; penamat bagi pertindihan dengan Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya
Kampung Selamat
Sisi
Bertingkat

Kwasa Damansara
Pulau bertingkat pertukaran pelantar bersilang
Bertingkat
Permulaan bagi pertindihan dengan Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya; tingkat atas bagi arah selatan manakala tingkat bawah bagi arah utara.
Kwasa Sentral
Sisi
Bertingkat

Kota Damansara
Sisi
Bertingkat

Surian
Sisi
Bertingkat

Mutiara Damansara
Sisi
Bertingkat

Bandar Utama
Sisi
Bertingkat
Pertukaran ke LRT3 Aliran Bandar Utama-Klang. Didirikan di sebelah Sri Pentas. Sebahagian kecil bahagian bangunan lama 1 Utama dirobohkan bagi projek LRT3 itu.
Taman Tun Dr. Ismail
Sisi
Bertingkat

Phileo Damansara
Pulau
Bertingkat

Pusat Bandar Damansara
Sisi
Bertingkat

Semantan
Sisi
Bertingkat



Ok, bagaimana pula dengan mutu perkhidmatannya...? Jujur saya katakan bahawa bahawa mutu perkhidmatan MRT SBK ini adalah yang paling cemerlang. Jika dibandingkan dengan mana-mana tren yang pernah saya naiki sebelum ini, mutu perkhidmatan tren MRT SBK ini adalah yang terbaik. Ruangnya sangat besar dan sangat selesa dan tren langsung tiada rasa bergoyang. Dari segi kekerapan pula, kekerapannya sangat pendek, dengan selang masa antara tren memakan masa antara 3 hingga 5 minit sahaja, dan itulah yang paling saya suka tentang perkhidmatan MRT SBK ini. Perjalanan dari hujung ke hujung melalui 12 stesen yang dibuka bagi fasa pertama ini mengambil masa tidak sampai 40 minit - dan memandangkan saya mencuba MRT ini semasa menghampiri waktu gegas sebelah petang, saya dapat bayangkan betapa cemburunya para pemandu di jalan raya yang saya lintasi di sepanjang perjalanan apabila memerhatikan tren MRT bergerak lincah sehingga 100 km/j, sedangkan mereka yang tersangkut dalam kesesakan pula bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Itulah, lain kali cuba anda tinggalkan kereta anda di stesen LRT mahupun MRT dan gunakan pengangkutan awam ke tempat kerja, jadi tak perlulah setiap hari anda membazirkan sejumlah petrol yang kalau diikutkan mencukupi bagi perjalanan dari KL ke Seremban.

Pun begitu, MRT SBK ini masih ada kelemahannya yang tersendiri. Bagi saya, kelemahan utama bagi MRT SBK Fasa 1 ini ialah kedudukan Stesen MRT Semantan itu sendiri yang terletak di tengah-tengah Jalan Semantan yang membentuk sebahagian Lebuhraya Sprint E23. Kedudukan stesen tersebut boleh menyebabkan aliran trafik E23 terganggu akibat kenderaan yang diparkir di tepi jalan bagi mengambil atau menurunkan penumpang. Kelemahan sebegini sebenarnya berpunca daripada kecacatan reka bentuk Lebuhraya Sprint E23 itu sendiri yang mana jajaran di Pusat Bandar Damansara ini mencabuli piawaian lebuh raya ekspres yang memerlukan kawalan masuk penuh tanpa ada capaian terus ke mana-mana bangunan mahupun premis hartanah, dan kedudukan Stesen MRT Semantan ini menyerlahkan lagi kecacatan reka bentuk sedia ada pada Lebuhraya Sprint E23 itu. Justeru, Stesen MRT Semantan sepatutnya dikhususkan untuk mereka yang menapak dan berlenggang-kangkung sahaja; jika mahu mengambil atau menurukan penumpang, stesen yang lebih sesuai ialah Stesen MRT Pusat Bandar Damansara yang mana jalan susurnya tidak mengganggu aliran trafik serta dilengkapi kawasan parkir. Sementara itu, Tuan Haji Razali pula ada menyebut mengenai kecacatan reka bentuk bagi jalan susur keluar masuk di parkir bertingkat di Stesen MRT Sungai Buloh.

Kesimpulannya, kejayaan pelaksanaan MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang merupakan satu penanda aras baharu dalam sejarah pengangkutan awam negara. Aliran Sungai Buloh-Kajang, bersama-sama Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, Aliran Bulatan dan LRT3 Aliran Bandar Utama-Klang diharapkan dapat meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam sehingga 40% pada tahun 2021 berbanding hanya 18% pada tahun 2009. Pun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam, dan salah satu idea menarik yang patut dicuba ialah perkhidmatan teksi motosikal. Paling penting, mentaliti warga kota yang sebahagiannya masih terus memandu kereta seorang sebuah untuk ke pejabat meskipun mereka sedar bahawa mereka banyak membazirkan wang, petrol dan masa secara sia-sia dan tidak produktif ini wajib diubah, kerana bangsa yang maju bukanlah bangsa yang banyak berkereta tetapi merupakan bangsa yang hanya perlu berlenggang-kangkung sahaja ke pejabat.




Pintu masuk ke Stesen MRT Semantan




Peta sistem transit rel Lembah Klang




Tambang percuma beb - masuk sahaja, tak payah bayar selama sebulan




Memulakan perjalanan dari Stesen Semantan




Stesen Pusat Bandar Damansara




Paparan penunjuk stesen yang canggih dan interaktif




Dalaman tren ini lebih luas daripada mana-mana tren yang pernah saya gunakan




Dalam masa yang sama pula Tuan Haji Razali dari Unit Komunikasi Korporat JKR mencuba MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang dari Stesen Sungai Buloh




Exit 2313 Persimpangan Kerinchi Link kelihatan jelas dari sini




Stesen Phileo Damansara




Tren MRT diparkir di tengah bagi memenuhi keperluan waktu puncak




Melencong ke TTDI




Stesen Taman Tun Dr. Ismail




Tren MRT Siemens Inspiro ini nampak futuristik kan...?




Bersedua untuk beralih arah sebentar ke LDP E11




Stesen Bandar Utama ini terletak betul-betul di sebelah Sri Pentas




Meninggalkan LDP E11 untuk beralih ke Persiaran Surian




Stesen Mutiara Damansara




Kelibat NKVE E1 kelihatan dari sini




Stesen Surian




Stesen Kota Damansara




Papan tanda had laju di laluan MRT SBK




Bakal meninggalkan Kota Damansara




Melintasi Jalan Sungai Buloh-Subang FT15




Stesen Kwasa Sentral




Stesen Kwasa Damansara dibina bertingkat sebagai pertukaran ke MRT Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP). Jajaran MRT SBK bertindih dengan MRT SSP sehingga ke Stesen Sungai Buloh




Jalan Sungai Buloh-Subang FT15 dari Stesen Kwasa Damansara




Depoh Sungai Buloh menempatkan tren-tren MRT bagi Aliran Sungai Buloh-Kajang




Saya tidak faham kenapa stesen ini dinamakan Stesen Kampung Selamat. Sepatutnya ia dinamakan Stesen Kampung Baru Sungai Buloh.




Penamat Jalan Sungai Buloh-Subang FT15 di Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54. Stesen Sungai Buloh terletak betul-betul selepas selekoh terakhir ini




Stesen Sungai Buloh




Kelihatan kelibat Lebuhraya Utara-Selatan E1 di Stesen Sungai Buloh




Ramai betul yang ingin mencuba MRT ini




Turun ke tingkat tengah untuk ke stesen komuter




Exit 113 Persimpangan Sungai Buloh, kelihatan dari Stesen Sungai Buloh




Kini Stesen Komuter Sungai Buloh ditempatkan di bangunan sama dengan stesen MRT

Advertisement