Nahas sebegini sepatutnya boleh dicegah sekiranya darjah kawalan yang lebih tinggi diimplementasikan terhadap perlumbaan EIMARace 2016
Salam sejahtera,
Akhir-akhir ini, semakin banyak nahas maut yang melibatkan murid-murid sekolah di hadapan sekolah sendiri, yang mana nahas paling terkenal ialah nahas melibatkan sebuah lori trelet yang melanggar lampu merah dengan laju dan seterusnya melanggar seorang murid sekolah di hadapan ibunya sendiri, manakala nahas yang lebih baharu pula melibatkan seorang pemandu wanita yang memandu sebuah kereta Proton Preve di Melaka.
Sebuah lori treler yang dipandu laju melanggar mati seorang murid sekolah di hadapan sekolah di hadapan ibunya sendiri
Detik-detik sebelum nahas maut EIMARace 2016 di Kuantan, Pahang
Sementara itu pula, baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan nahas maut semasa perlumbaan EIMARace 2016 di Kuantan, Pahang, yang meragut nyawa seorang bapa dan anaknya apabila sebuah go-kart hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang hanya dipisahkan daripada litar melalui pengadang plastik kosong yang kosong dan disusun jarang. Akibatnya, insiden tersebut membangkitkan kemarahan orang ramai yang mana kebanyakannya menyalahkan pihak penganjur kerana gagal menerapkan aspek keselamatan serta sikap mahu lepas tangan, lebih-lebih lagi apabila penganjur menyalahkan pula penonton kerana "berada di kawasan larangan".
Jadi apakah persamaan nahas EIMARace 2016 dengan dua lagi nahas di atas...? Persamaan antara ketiga-tiga nahas di atas ialah kesemuanya terjadi akibat satu penyebab yang sama, iaitu memandang enteng aspek kawalan masuk jalan raya.
Kenapa pula saya boleh katakan orang kita memandang enteng akan aspek kepentingan kawalan masuk jalan raya...? Sudah banyak entri yang saya tulis mengenai kawalan masuk jalan raya dan sudah berbuih mulut saya bising-bising mengenainya, tetapi masih ramai juga yang langsung tidak mahu mengambil iktibar. Saya sudah pun menulis mengenai asas kawalan masuk jalan raya serta hirarki jalan raya berasaskan kawalan masuk jalan raya. Saya juga sudah pun menulis mengenai kepentingan mematuhi had laju, yang mana darjah kawalan masuk jalan raya menjadi salah satu faktor penentu had laju operasi. Saya juga turut menulis hirarki jalan raya perbandaran, siap dengan gambar bagi memberikan bayangan darjah kawalan masuk yang semakin tinggi sesuai dengan peningkatan hirarki jalan dan had laju operasi. Tidak cukup dengan itu, saya turut menyelar sesetengah lebuh raya ekspres yang mencabuli piawaian, terutamanya dari segi darjah kawalan masuk yang dikenakan. Malangnya, ramai yang masih buat-buat bodoh sahaja; kalau sudah diberi penerangan pun, masih ramai yang menunjukkan perangan bodoh sombong.
Untuk mengingatkan kembali golongan yang alpa, biar saya ulang kembali mengenai kawalan masuk jalan raya buat kesekian kalinya. Tiada kawalan masuk bermaksud seseorang boleh memasuki premis hartanah (rumah, kedai, pejabat, bangunan, kebun dsb.) secara terus dari jalan raya. Kawalan masuk penuh pula bermaksud seseorang dihalang terus daripada memasuki premis hartanah secara terus dari jalan raya dan dipagar di sepanjang laluan; satu-satunya jalan keluar masuk hanyalah melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang dihadkan bilangannya serta diwartakan, yang dihubungkan ke lebuh raya ekspres lain ataupun jalan raya utama sahaja. Sementara itu pula, kawalan masuk separa bermaksud seseorang tidak boleh memasuki premis hartanah secara terus dari jalan raya, tetapi masih boleh ke premis tersebut melalui jalan-jalan perantara yang tiada kawalan masuk dan dihubungkan ke jalan raya tersebut.
Hukum asas bagi kawalan masuk jalan raya sebenarnya amat mudah. Tiada kawalan masuk bermaksud had laju operasi yang sangat rendah. Cuba bayangkan apa akan berlaku sekiranya kenderaan dipandu sebegitu laju di jalan masuk ke rumah anda sendiri - adakah anda akan rasa selamat untuk keluar masuk ke rumah anda sendiri...? Sudah tentulah tidak. Sementara itu, lebuh raya ekspres mempunyai had laju operasi yang tinggi kerana segala halangan yang boleh mengganggu pemanduan berkelajuan tinggi (haiwan liar, penduduk tempatan, kenderaan berkelajuan rendah, simpang jalan-jalan kecil, aliran trafik arah bertentangan, lintasan searas dsb.) diasingkan sepenuhnya.
Sementara itu pula, kawalan masuk yang paling ekstrim digunakan di litar lumba bagi mencegah nahas maut sekiranya ada pelumba yang hilang kawalan tiba-tiba terbabas dan menuju ke arah penonton. Selapisan pagar biasa mahupun pengadang plastik masih tidak memadai; timbunan guni pasir, tayar buruk serta perangkap pasir / kerikil turut diletakkan di sepanjang kawasan tepi litar bagi menyerap sebarang impak pelanggaran. Itulah sebabnya kenapa litar lumba tiada had laju maksimum kecuali di kawasan selekoh di mana ada had laju disyorkan yang berubah-ubah mengikut tahap ketajaman selekoh; namun demikian, jalan masuk ke pit stop pula dikenakan had laju yang rendah kerana jalan masuk ke pit stop tiada kawalan masuk.
Ketiga-tiga nahas tersebut telah melanggar hukum-hukum asas kawalan masuk jalan raya yang telah saya nyatakan di dua perenggan terdahulu tadi. Kawasan sekolah merupakan kawasan yang dianggap tiada kawalan masuk kerana terdapat murid-murid yang berkeliaran seolah-olah mereka tidak tahu akan bahaya kereta yang dipandu laju di hadapan sekolah. Sebab itulah jalan di hadapan sekolah dikenakan had laju 30 km/j sahaja, meskipun had laju umum jalan tersebut ialah antara 60-90 km/j. Namun demikian, penguatkuasaan had laju 30 km/j di hadapan sekolah boleh dikatakan hampir tiada langsung, kerana had laju 30 km/j ini bermusim dan hanya dikenakan pada waktu murid-murid datang dan pulang dari sekolah (sekitar 6.30-8.00 am, 12.00-1.00 pm dan 6.00-7.30 pm). Sebab itulah masih ramai pemandu yang buat bodoh dan terus memecut laju di hadapan sekolah yang ada banyak murid-murid yang berkeliaran.
Susulan dua nahas di kawasan sekolah yang meragut nyawa itu, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) telah menggesa Kementerian Pengangkutan agar menguatkuasakan larangan kenderaan berat di hadapan sekolah pada waktu puncak. Namun, cadangan tersebut sangat tidak praktikal sama sekali atas tiga sebab utama. Pertama, bukan kenderaan berat sahaja yang mengingkari arahan had laju 30 km/j di hadapan sekolah, tetapi pemandu kereta biasa pun banyak juga yang menunjukkan kebebalan mereka di hadapan sekolah - dengan kata lain, gesaan tersebut bersifat deskriminasi sedangkan pemandu kenderaan lain pun dua kali lima juga. Kedua, pemandu kenderaan berat selalunya tidak menjangka sama ada mereka akan melepasi kawasan sekolah pada waktu yang telah saya nyatakan tadi. Ketiga, kebanyakan sekolah (terutamanya di luar bandar) terletak betul-betul di tepi jalan raya utama tanpa sebarang laluan alternatif lain bagi memirau kawasan sekolah tersebut.
Sementara itu, Hezeri Samsuri dari portal automotif Careta pula mendedahkan bahawa banyak pihak yang sepatutnya dipersalahkan atas nahas maut semasa EIMARace 2016 di Kuantan baru-baru ini. Lazimnya sudah tentulah pihak penganjur akan terlebih dahulu dipersalahkan, kerana mereka membuat keputusan mengadakan perlumbaan di litar jalan raya dengan mekaniske kawalan masuk yang begitu minimum - penonton hanya dipisahkan daripada litar sekadar menggunakan pengadang-pengadang plastik yang disusun begitu jarang di lurusan. Kalau begitu, ia hanya "lebih selamat sedikit sahaja" berbanding lumba haram mat rempit yang memand diadakan di jalan raya awam yang tidak berpagar. Ia amat berbeza berbanding EIMARace 2010 yang diadakan di Litar Pasir Salak semasa saya menyertai rombongan Universiti Selangor (Unisel) pada semester terakhir saya - penonton hanya duduk di grand stand yang terpisah daripada litar yang sememangnya berpagar, dilengkapi longgokan tayar buruk serta dikelilingi padang rumput yang luas, yang turut berfungsi sebagai perangkap kenderaan yang hilang kawalan.
Peta litar jalan raya yang digunakan semasa EIMARace 2016. Garisan merah menunjukkan pengadang plastik berisi air yang disusun rapat, manakala garisan biru puna menunjukkan pengadang plastik kosong yang disusun jarang
Ironinya, perlumbaan tersebut diteruskan atas kelulusan MAM (Motorsports Association of Malaysia) walaupun ia tidak diluluskan terus oleh satu lagi badan induk sukan bermotor Malaysia iaitu AAM (Automotive Association of Malaysia). Satu-satunya mekanisme kawalan masuk yang diluluskan oleh AAM bagi perlumbaan sebegini hanyalah mekanisme yang diguna pakai oleh perlumbaan cub prix, iaitu memasang timbunan guni pasir dan tayar buruk di sepanjang litar serta memsang pagar di sekeliling litar. Namun demikian, ia menjadikan kos penganjuran mencecah jutaan ringgit meskipun hanya sekatar litar tutup jalan sahaja, sekaligus menggagalkan matlamat utama penubuhan MAM iaitu bagi menggalakkan pertumbuhan sukan bermotor peringkat akar umbi berkos rendah sebagai perintis kepada perlumbaan bertaraf profesional. Justeru, mekanisme kawalan masuk penuh yang sangat mahal menjadikan kos mengadakan perlumbaan di litar jalan raya awam lebih mahal berbanding di litar khas tertutup.
Teka-teki mengenai pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap nahas maut EIMARace 2016 akhirnya dirungkai oleh Hezeri Samsuri dengan meletakkan kerajaan negeri Pahang sebagai pihak nombor satu yang sepatutnya dipertanggungjawabkan terhadap nahas maut tersebut. Untuk pengetahuan, EIMARace 2016 diadakan di Kuantan, Pahang tajaan kerajaan negeri Pahang sempena sambutan Tahun Melawat Pahang 2017. Ironinya, Pahang tiada langsung litar lumba meskipun sekadar litar lumba komuniti seperti di Pasir Salak, tetapi kerajaan Pahang masih mahukan EIMARace 2016 diadakan di Pahang walaupun tanpa infrastruktur yang sepatutnya.
Nahas maut perlumbaan halal seperti di Kuantan sepatutnya boleh dicegah sekiranya litar-litar lumba komuniti seperti di Pasir Salak diperbanyakkan. Kalau boleh, setiap daerah mesti ada satu litar seumpamanya. Litar komuniti terbukti berjaya mengurangkan gejala lumba haram serta meningkatkan tahap keselamatan para pelumba, kru dan penonton pada kos bajet. Ia dibuktikan melalui hasil kajian oleh pihak pengurusan Litar Johor di Pasir Gudang dan pihak polis yang menunjukkan penurunan kes lumba haram di Johor Bahru sejak Litar Johor dibuka kepada umum. Malangnya, apabila Hezeri Samsuri menggesa sendiri kepada Menteri Belia dan Sukan untuk memperbanyakkan litar lumba komuniti, jawapannya hanya sekadar "ya, cadangan yang bagus Hezeri, akan difikirkan". Dengan kata lain, cakap tak serupa bikin, samalah seperti berkata "on the way" sedangkan masih di dalam tandas di rumah. Ia jauh berbeza berbanding semasa Mohd Hezery bin Hussin menyuarakan sendiri kepada Menteri Kerja Raya akan permasalahan lorong motosikal, beliau mengemukakan tindakan yang sedang dilakukan, dan sekiranya ada gesaan yang tidak dapat dilakukan segera tetapi hanya dapat dilaksanakan dalam jangka masa panjang, beliau akan menyatakannya awal-awal.
Kesimpulannya, ketiga-tiga nahas maut tersebut berpunca daripada satu penyebab yang sama, iaitu memandang enteng akan kepentingan kawalan masuk jalan raya. Akibatnya, nahas yang sepatutnya boleh dielakkan terus berulang dan berulang. Malangnya, masih ada lagi puak-puak bebal yang bodoh sombong dan melenting apabila cuba didisiplinkan. Tak percaya, cuba anda saksikan sendiri berapa banyak pesalah trafik yang melenting apabila disaman atas kesalahan melanggar had laju, sedangkan mematuhi had laju itulah yang menyelamatkan nyawa kerana jalan raya terdapat banyak halangan yang tidak dijangka berikutan darjah kawalan masuk yang hampir tiada, dan kita memerlukan masa untuk bertindak apabila berdepan halangan yang tidak dijangka. Itulah letaknya kepentingan had laju, dan itulah kepentingan mekanisme kawalan masuk.
Pemandu lori berkenaan sepatutnya dikenakan saman cubaan membunuh kerana melanggari arahan pengawal bendera dan masih laju dan sembrono merempuh walaupun sudah ada transverse yellow bars sebelum lokasi kejadian. Masyarakat sepatutnya berang dan desak kerajaan mengambil tindakan setimpal.
ReplyDeletehttps://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10208478518093530&id=1024520509
Setuju. Namun secara asasnya kesalahan pokok yang dilakukan adalah memandu dengan laju dan melanggar had laju. Setelah kenderaan hilang kawlan, maka akibatnya ialah rantaian peristiwa yang kita sudah pun maklum, iaitu nahas melibatkan murid sekolah.
DeletePenganjur perlumbaan go-kart tersebut sepatutnya disaman dan kenakan tindakan kerana tidak mengadakan kawalan keselamatan yang sempurna dengan 'separation' diantara pelumba dan orang awam dengan cara yang betul. Plastic barriers kosong adalah satu pengejekan kepada garis panduan keselamatan. Rujuklah mana-mana garis panduan, barriers tersebut mesti di isi air atau pasir sebagai pemberat.
ReplyDeletePengadang plastik berisi air sahaja tidak memadai; ia mestilah dipagar bagi menghalang penonton daripada memasuki litar. Paling baik, wujudkan litar komuniti supaya perlumbaan sebegini dapat diadakan dengan selamat tanpa memerlukan kos yang mahal.
Delete