Thursday, September 1, 2016

Lebuh Raya ke Neraka: Reviu lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 oleh BJRM & Brotherhood / Highway to Hell: Federal Highway FT2 motorcycle lane review by BJRM & Brotherhood




Salam sejahtera,

Siri reviu FTRoadpedia @ Lekir sekali lagi dihentikan buat sementara bagi memberi laluan kepada reviu eksklusif lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2. Isu bahaya serta perangkap maut di sepanjang lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 sering menjadi tajuk perbualan hangat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerana keadaan lorong motosikal yang sepatutnya melindungi penunggang motosikal daripada trafik kereta yang sangat tinggi sebaliknya mendatangkan bahaya lain pula buat penunggang.




Video keadaan teruk di lorong motosikal yang pernah menjadi viral


Isu lorong motosikal mula menjadi hangat sejak video mengenai keadaan lorong motosikal yang teruk itu menjadi viral di Facebook pada tahun 2013. Susulan dengan itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof melawat sendiri ke lorong motosikal tersebut bersama-sama Pemangku Menteri Kewangan pada masa itu iaitu Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. Namun, isu lorong motosikal ini kembali hangat apabila Pengarah Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, SAC Mahamad Akhir Darus, memaksa semua penunggang motosikal, tidak kiralah daripada sekecil-kecil Honda Cub C70 sehinggalah kepada sebesar-besar Honda Gold Wing, untuk menggunakan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 atau berdepan dengan saman RM300. Susulan dengan itu, saya telah menulis surat pembaca kepada The Star bagi mengecam tindakan memaksa penunggang menggunakan lorong motosikal tersebut. Sepanjang kajian saya, saya dapati terdapat banyak isu keselamatan di sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2, yang mana saya boleh himpunkan kepada tiga isu besar, iaitu reka bentuk, penyelenggaraan dan jenayah. Antara ketiga-tiga isu tersebut, isu reka bentuk merupakan isu paling serius.




Saya bersama-sama Lando Zawawi dan Ikatan Silaturrahim Brotherhood turut menyertai lawatan ke lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2




Bersama-sama Pn. Noreha Mohd. Bidin dari Unit Komunikasi Korporat KKR & Dato' Noorizah, CEO PLUS


Memandangkan isu lorong motosikal ini merupakan satu isu sensitif lagi kontroversi, ia perlu ditangani dengan bijak dan penuh berhati-hati, ibarat menarik rambut di dalam tepung. Kementerian Kerja Raya (KKR) menjemput saya bagi mewakili Blog Jalan Raya Malaysia serta Lando Zawawi dan ahli-ahli Ikatan Silaturrahim Brotherhood pada pagi 29 Ogos 2016 bagi mendapatkan input daripada kami mengenai permasalahan yang ada serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan. Turut serta dalam lawatan ke lorong motosikal tersebut ialah Ketua Setuausaha KKR, Dato' Sri Zohari Akob, Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Seri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Hj. Ismail bin Md. Salleh, dan Ketua Pengarah Eksekutif PLUS Malaysia Berhad, Dato' Noorizah Hj. Abd. Hamid. Bagi memastikan reviu yang dihasilkan ini bersifat neutral tetapi jujur, reviu kali ini tidak hanya dihasilkan oleh saya seorang sahaja, tetapi saya turut menghimpunkan reviu daripada Lando dan Datuk Seri Fadillah sendiri.

Berikut saya bawakan reviu daripada Datuk Seri Fadillah Yusof, Lando Zawawi dan saya sendiri, tanpa sebarang suntingan.





Video reviu oleh Blog Jalan Raya Malaysia



Reviu oleh Datuk Seri Fadillah Yusof




Datuk Seri Fadillah memberi taklimat tentang isu banjir di terowong Jalan 222




Sidang media di Plaza Tol Batu Tiga


Jadi keseluruhannya isu-isu hasil daripada maklum balas daripada pengguna motosikal dan pengamatan kita sendiri, termasuk audit team daripada KKR, pertama sekali kita melihat jalan-jalan yang kecil. Jalan motosikal ini lorongnya tak cukup besar. Kecuali kalau kita melihat kepada yang dibuat oleh PLUS, yang ini agak besar iaitu lebih kurang 3 meter bukaan lorong motosikal tersebut, manakala jalan lama dulu dari KL ke PJ, lorong jalannya adalah berdasarkan standard lama. Standard lama ini maknanya kita buat berdasarkan anggaran jumlah motosikal pada waktu tersebut, iaitu lebih kurang 5,000 dalam satu-satu ketika. Sebab itu jalannya kurang daripada 2.5 m bukaannya. Sekarang ini, cuma cabaran di kawasan antara KL ke PJ ialah kalau kita hendak bukakan lorong itu menjadi 3 meter ikut apa yang dilakukan oleh PLUS, mungkin tanah itu tidak mencukupi. Jadi itu sedang kita buat kajian tentang bagaimana kita boleh melebarkan laluan tersebut.

Yang kedua, keadaan gelap di kawasan terowong. Yang itu sebahagiannya sudah pun kita ambil tindakan, sekarang ini bagaimana kita boleh tambah baik lagi.

Ada juga feedback mengatakan pokok tidak diselenggara menyebabkan semak-samun. Semak-samun ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna motosikal, sama ada daripada binatang liar ataupun juga berlaku kes-kes samun. Ada yang mengatakan berlaku kes-kes samun dan sebagainya, sebab orang menyorok dan menjadi tempat untuk mereka bersembunyi untuk membuat samunlah, sebab ada semak-samun. Jadi itu yang dikatakan, tetapi setakat ini kita belum menerima laporan daripada polis, tapi itu maklum balas daripada pengguna yang kita terima.

Ketiga, iaitu tiada mitigasi sebelum menghampiri selekoh berbahaya. Ada some sharp corners ataupun blind corners. Yang itu kita kena tambah baik supaya kita boleh tingkatkan tanda-tanda amaran awal sama ada kita buat bump, kita buat tanda-tanda signage yang lebih jelas supaya boleh nampak oleh motosikal, dan mereka tahu bahawa selekoh ini selekoh yang agak berbahaya untuk mereka slow down.

Kemudian ada beberapa tempat, guardrail, sama ada disebabkan vandalisme, sebab guardrail ni dia ada accessories dekat guardrail tu kalau dicuri ada nilai. Jadi ada yang mencuri, sebab tu guardrail jatuh dan sebagainya. Yang ini kita perlu tingkatkan pemantauan dan kita perlu perbaiki mana guardrail yang sudah jatuh ataupun dilanggar, berada dalam keadaan yang tidak selamat. Yang ini kita perlu pertingkatkan di semua tempat.

Dan ada juga saya lihat tadi pagar dah roboh dan sebagainya, kalau ia tidak diperbaiki dengan awal ini, ada yang boleh masuk terus ke sungai ataupun longkang besar. Yang itu kita kena perbaiki.

Yang seterusnya ialah jalan keluar masuk (ingress & outlet) daripada jalan utama masuk ke lorong motosikal ataupun nak keluar dari lorong motosikal. Yang itu pun kita akan perincikan dan kita akan lihat bagaimana kita dapat tambah baik.

Jadi perkara-perkara ini kita sedang perincikan dan kita akan usaha dari masa ke semasa. Yang ini untuk maklumat kita semua adalah tindakan yang berterusan. Kita perlu konsisten, sebab itulah kita memerlukan kerjasama dan maklum balas daripada pengguna jalan raya, kalau ada berdepan dengan apa sahaja yang mereka lihat boleh mendedahkan bahaya kepada pengguna jalan raya, beri maklum balas cepat kepada kita.



Reviu oleh Lando Zawawi

Pada hari ini, 29hb Ogos 2016, BROTHERHOOD telah dijemput untuk bersama-sama melakukan tinjauan terhadap tahap keselamatan laluan motosikal lebuhraya persekutuan bersama pihak KKR, JKR dan Konsesi (Roadcare, Plus dan AlloyMtd Anih Bhd). Untuk jemputan itu dan usaha penambahbaikan yg dilakukan sehingga hari ini, kami merasa bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih.

Namun realitinya, masalah utama yg dapat dilihat adalah jika satu akta ditekan (diwajibkan) kepada semua golongan penunggang untuk menggunakan laluan tersebut atau tindakan saman dikenakan. Masalah utama yg dapat dilihat adalah tahap keselamatan yg masih banyak boleh diperbaiki dan size laluan yg kecil dan tidak akan dapat menampung 2 motosikal besar secara bersebelahan dengan selamat. Perlu diingatkan dengan jumlah peningkatan penunggang motosikal (termasuk motosikal kuasa tinggi), kepadatan yg bakal terwujud adalah terlalu berisiko tinggi. Sebuah goldwing yg kami bawa tadi sahaja sudah menimbulkan masalah bagi penunggang lain untuk memotong dan dipotong dengan selamat dan selesa. Tambahan pula dengan penambahbaikan laluan yg masih aktif dilakukan oleh pihak pemaju disana-sini dengan 'turn in' dan 'turn out' yg mendadak dan amat tajam juga tidak membantu. Ada 2 lokasi dimana Water barrier yg diletakkan terpaksa ditolak menggunakan kaki untuk kami melaluinya! Manakala cement barrier pula amat merbahaya sekiranya penunggang terjatuh atas apa-apa sebab sekalipun. Pihak berwajib perlu memikirkan tentang jenis motosikal touring dengan hard luggage seperti Goldwing, St1300, Roadking, Voyager, Versys malah MOTOSIKAL VFR800 dan CBX750 PDRM sekalipun tidak akan dapat diletakkan secara sebelah menyebelah!

Pihak berkuasa perlu sedar bahawa ini laluan ke Bandaraya KUALA LUMPUR dan bukannya Bandar Batang Berjuntai. Dianggarkan beribu-ribu penunggang dengan pelbagai variasi jenis dan saiz motosikal perlu berkongsi laluan sekecil ini sekiranya satu akta telah ditetapkan.

Secara keseluruhannya kami memberikan A sekiranya kami PENUNGGANG BASIKAL. Tetapi malangnya sebagai PENUNGGANG MOTOSIKAL kami berikan D tanpa prejudis. Semoga semua penunggang berdoa agar perjalanan mereka lebih selamat dan mengambil langkah lebih berhati-hati jika menggunakan Laluan Motosikal Lebuhraya Persekutuan (yang pada ketika ini sebenarnya lebih sesuai dinamakan kepada Laluan Motosikal-Laluan Kereta-Laluan Motosikal-Laluan Kereta Lebuhraya Persekutuan kerana itulah realitinya yg setiap penunggang perlu tempuhi buat sementara ini!)


Sekali lagi BROTHERHOOD mengucapkan TERIMA KASIH atas USAHA-USAHA PENAMBAHBAIKAN TERHADAP LALUAN KAMI. SALUTE OUR BROTHERS.



Reviu oleh Mohd. Hezery bin Hussin

Anda sudah pun membaca dua reviu daripada Datuk Seri Fadillah sendiri dan juga Lando, jadi kali ini tibalah giliran saya pula untuk menulis reviu yang boleh saya katakan jauh lebih panjang daripada mereka berdua tadi.

Sebelum saya teruskan, izinkan saya menerangkan sedikit-sebanyak sejarah ringkas mengenai lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2. Lebuhraya Persekutuan FT2 merupakan hasil naik taraf bagi Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 yang dirasmikan pada 14 Januari 1959 oleh Menteri Kerja Raya pada masa itu, Encik Sardon bin Haji Jubir. Ia dibina sebagai pengganti kepada satu sistem jalan lama yang terdiri daripada Jalan Klang Lama B14, Persiaran Selangor, Jalan Sungai Rasau dan Jalan Batu Tiga Lama. Pada masa itu, Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 dibina sebagai lebuh raya capaian terhad (atau dengan kata lain, lebuh raya kembar dan bukannya lebuh raya ekspres) dengan banyak persimpangan lampu isyarat searas. Bilangan persimpangan lampu isyarat searas yang begitu banyak pada masa itu telah menyebabkan ia mengalami kesesakan pramatang, meskipun ia direka dengan had laju reka bentuk 60 batu sejam (100 km/j). Keadaan sebegitu sudah tentu menjejaskan nadi ekonomi antara Kuala Lumpur dengan Port Swettenham (kini Pelabuhan Klang) yang dipilih sebagai pelabuhan laut utama negara bagi menggantikan Pelabuhan Singapura susulan pemisahan Singapura daripada Malaysia pada tahun 1965.

Bagi mengatasi masalah kesesakan yang boleh menjejaskan nadi ekonomi negara, kerajaan mengambil keputusan untuk menaik taraf Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 ini kepada sebuah lebuh raya capaian terkawal dengan menggantikan kesemua persimpangan searas berlampu isyarat kepada persimpangan bertingkat berlainan aras. Dalam projek naik taraf lebuh raya tersebut yang dibiayai hasil sokongan dana daripada Bank Dunia, jajaran dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya dilebarkan menjadi enam lorong (tiga lorong sehala). Selain itu, lima buah jejambat telah dibina bagi menggantikan persimpangan searas. Projek lebuh raya capaian terkawal pertama negara itu mula dilaksanakan pada tahun 1974 dan siap pada tahun 1977. Sejak itu, Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 yang sudah dinaiktaraf menjadi lebuh raya ekspres sejati itu dikenali sebagai Lebuhraya Persekutuan FT2.

Kesan penambahbaikan hasil daripada naik taraf Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 menjadi Lebuhraya Persekutuan FT2 dapat dilihat dengan serta-merta. Trafik yang dahulunya sesak akibat lambakan persimpangan lampu isyarat searas kemudian mengalir lancar bagaikan air tanpa kesesakan walaupun pada waktu gegas. Namun, itu cerita pada tahun 1977 semasa kereta di Lembah Klang masih tidak terlalu banyak seperti sekarang. Sekarang pula, kadar trafik sudah meningkat sehingga sekurang-kurangnya empat kali ganda. Ia ditambah pula dengan projek kereta nasional Proton dan Perodua mampu milik, yang menyaksikan peningkatan mendadak kenderaan persendirian di Lembah Klang - jika pada tahun 1977, setiap keluarga di Lembah Klang cuma ada satu kereta sahaja, tetapi sekarang setiap keluarga di Lembah Klang mempunyai sekurang-kurangnya dua buah kereta. Akibatnya, Lebuhraya Persekutuan mencapai kapasiti kemuncaknya pada tahun 1995, sehingga memerlukan banyak lebuh raya selari seperti NKVE E1, Lebuhraya Shah Alam E5 dan SKVE E26 dibina.

Seterusnya terdapat percanggahan maklumat mengenai sejarah lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2. Menurut KKR, lorong motosikal bagi jajaran KL-Klang "dibina mengikut standard lama" selaras dengan bilangan motosikal yang amat sedikit pada waktu itu iaitu sekitar 5,000 buah pada satu-satu masa, di samping majoriti jenis motosikal yang ada pada masa itu yang dikuasai Honda Cub. Namun, menurut maklumat sejarah yang saya perolehi pula, Timbalan Jurutera Residen bagi projek Lebuhraya Persekutuan FT2, G. Ramasamy, mendakwa bahawa lorong motosikal yang digunakan sekarang itu sebenarnya berasal daripada lorong-lorong basikal yang berfungsi bagi mengasingkan aliran trafik bukan lebuh raya ekspres daripada laluan utama sebelum ini. Secara kebetulan, Honda Cub diklasifikasikan sebagai moped di kebanyakan negara maju kerana saiz enjin dan keluaran kuasa yang kecil. Sebuah Honda Cub C50 hanya mampu mencapai kelajuan maksimum 65 km/j, manakala Honda Cub C70 pula menghasilkan kelajuan maksimum 75 km/j - kedua-dua kelajuan maksimum ini menjadikan Honda Cub sebagai kenderaan bukan lebuh raya ekspres. Justeru, sepasang lorong basikal khas yang terasing sepenuhnya daripada laluan utama dibina bagi mengasingkan trafik bukan lebuh raya ekspres seperti basikal, beca dan basikal berenjin aka moped yang bergerak perlahan daripada aliran trafik utama. Ia sekaligus berupaya melindungi pengguna kenderaan bukan lebuh raya ekspres daripada risiko dilanggar dari belakang akibat perbezaan kelajuan yang ekstrim, di samping menambah baik kelancaran trafik di Lebuhraya Persekutuan FT2.

Akibat penggunaan lorong-lorong yang asalnya hanya direkabentuk untuk basikal sebagai lorong motosikal, maka timbullah segala permasalahan yang sering dikaitkan dengan lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 seperti lorong sempit, susur keluar masuk berbahaya, selekoh berbahaya, semak-samun, lorong motor asyik banjir akibat longkang tersumbat - anda sebut sahaja. Kesemua isu berkaitan lorong motosikal ini seterusnya boleh dihimpunkan kepada tiga isu besar iaitu isu reka bentuk, isu penyelenggaraan dan isu jenayah. Antara ketiga-tiga isu tersebut, isu reka bentuk merupakan isu yang paling serius dan perlu dipandang berat. Isu reka bentuk ini timbul akibat penggunaan piawaian yang ditetapkan dalam Arahan Teknik 10/86: A Guide on the Design of Cycle Track, yang sepatutnya diguna pakai untuk lorong basikal sahaja.

Dalam hal ini, saya tidak boleh salahkan KKR mahupun JKR kerana mereka hanya mengikut sahaja piawaian yang sudah pun ditetapkan. Sebaliknya, saya mengesyaki terdapat "tangan-tangan gatal" sekitar tahun 1980an yang mencabuli etika kejuruteraan dengan mengguna pakai piawaian dan reka bentuk yang hanya disesuaikan untuk lorong basikal untuk dijadikan piawaian lorong motosikal. Inilah penyebab utama yang membawa kepada segala permasalahan berkaitan reka bentuk seperti keadaan lorong yang sempit, rekaan susur masuk dan keluar (ingress & egress) yang membahayakan, selekoh yang terlalu tajam, dsb. Justeru, adalah menjadi cabaran besar buat KKR sekarang bagi melakukan penambahbaikan terhadap lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 untuk menyelesaikan segala permasalahan dan isu reka bentuk yang berpunca daripada pencabulan yang dilakukan oleh "orang dulu", dan komitmen KKR dalam melakukan segala tindakan pembetulan demi keselamatan pengguna lorong motosikal seharusnya dipuji dan dihargai.

Kenapa Arahan Teknik 10/86 tidak sesuai dijadikan garis panduan dalam reka bentuk lorong motosikal...? Ada dua sebab utama kenapa ia tidak sesuai - ukuran fizikal yang berbeza antara motosikal dan basikal, serta dinamik pengendalian yang berbeza. Badan sebuah basikal lazimnya lebih langsing daripada purata seorang dewasa, dengan hanya hendal sahaja satu-satunya bahagian yang boleh jadi lebih lebar sedikit. Beratnya pun hanya sekitar 8 kg sahaja. Jika dibandingkan dengan motosikal kapcai pula, sebuah Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection mempunyai lebar 680 mm dan berat kering 100 kg. Sementara itu, sebuah motosikal touring dengan bagasi tegar (hard luggage) pula jauh lebih lebar dan jauh lebih berat - sebuah motosikal Honda Gold Wing GL1500 model tahun 1989 yang digunakan oleh Ikatan Silaturrahim Brotherhood mempunyai lebar 955 mm dan berat basah 387 kg (tidak termasuk penunggang dan pembonceng). Berikutan ukuran fizikal yang jauh berbeza, sebuah basikal mempunyai inertia yang sangat kecil dan sangat mudah dikendalikan dengan lincah di sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 dengan kelajuan purata tidak melebihi 40 km/j, tanpa terjatuh, terbabas mahupun nyahpecutan. Sementara itu, sebuah motosikal kapcai mengalami kesukaran untuk memotong motor kapcai lain di jajaran KL-PJ selebar hanya 2 meter sahaja walaupun pada kelajuan 50-60 km/j. Kes yang dialami oleh Honda Gold Wing GL1500 yang merupakan motosikal terbesar dalam konvoi kami pula lebih teruk - badan Gold Wing yang sangat lebar menyebabkan Gold Wing itu memakan keseluruhan ruang lorong motosikal, dan Gold Wing itu hanya boleh ditunggang dengan kelajuan purata 40 km/j kerana keadaan motor itu yang sangat berat dan sangat lebar menjadikannya sukar untuk diimbang di sepanjang lorong motosikal yang hanya sebesar sekangkang kera itu.




KO: Lorong motosikal ini sangat sempit, dan Gold Wing di depan itu sahaja sudah memakan lebih daripada separuh ruang lorong motor - macam mana nak potong...?


Kepada SAC Mahamad Akhir Darus yang sebelum ini memaksa semua penunggang motosikal termasuklah motosikal sebesar Gold Wing untuk menggunakan lorong motosikal dengan alasan kononnya "para jurutera sudah pun menjalankan kajian dan merekabentuk lorong motosikal yang sesuai untuk semua motosikal", nah anda saksikan sendiri sama ada dakwaan anda itu benar atau tidak. Adalah amat mendukacitakan apabila anda sendiri tidak turun menyahut cabaran kami untuk membuktikan bahawa dakwaan anda benar. Ke manakah anda pada waktu itu...? Saya, Ikatan Silaturrahim Brotherhood, Datuk Seri Fadillah, warga KKR dan para wartawan semuanya turun dan menguji sendiri keadaan lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2, dan kami berjaya membuktikan bahawa dakwaan kami itu benar. Mana pula bukti anda yang mengatakan lorong motosikal tersebut selamat dan sesuai untuk motor besar...?

Akibat penggunaan piawaian yang tidak bersesuaian, banyak permasalahan berkaitan reka bentuk yang timbul, yang mana tiga isu paling utama ialah lorong yang sempit, jalan susur keluar masuk yang berbahaya serta selekoh yang berbahaya. Untuk mengatasi permasalahan yang berpunca daripada lebar lorong yang terlalu sempit, Program Penarafan Jalan Raya Antarabangsa (IRAP) menyarankan agar lebar lorong motosikal ditingkatkan kepada 3.6 m untuk membolehkan penunggang memotong dengan selamat. Sementara itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) pula menyarankan agar lebar lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 3.81 m di lurusan (di selekoh pula sudah tentu lebih lebar) untuk membolehkan motosikal dikendalikan pada had laju sama seperti kereta iaitu 80 km/j. Namun, terdapat dua masalah utama yang dihadapi oleh KKR - pertama, sudah tentulah masalah peruntukan yang sangat terhad. Bagi kerja-kerja penambahbaikan yang bakal dilaksanakan untuk tahun ini, peruntukan yang diperolehi KKR hanya RM3.13 juta, sedangkan kos sebenar bagi penambahbaikan ekstrim sehingga mencapai standard saya dan Brotherhood pula sudah tentu jauh lebih tinggi. Justeru, penambahbaikan yang dapat dilakukan untuk jangka masa pendek buat masa sekarang hanya terhad kepada menambah baik ciri-ciri keselamatan di laluan sedia ada. Permasalahan kedua yang dihadapi oleh KKR ialah ketiadaan tanah rizab yang mencukupi bagi kerja-kerja pelebaran lorong motosikal terutamanya di jajaran KL-PJ. Dalam hal ini, saya menyelar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta para penyangak hartanah kerana melambakkan projek-projek hartanah mampu tengok di sepanjang Lebuhraya Persekutuan FT2 sehingga memakan rizab jalan JKR yang sepatutnya boleh digunakan untuk pelebaran lorong motosikal. Ia sudah tentu sangat memalukan kerana ia jelas menampakkan bahawa pembangunan di bandar raya yang kononnya merupakan bandar raya terancang pertama di Malaysia kini semakin tidak terancang. Lagipun, mereka peduli apa tentang nilai nyawa penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan, yang penting duit mereka masyuk...!!!




KO: Rekaan jalan susur yang terlalu pendek dan boleh menyebabkan penunggang dilanggar dari belakang




OK: Contoh jalan susur yang cukup panjang untuk motosikal menyusur keluar dengan selamat




Boleh diterima: Jika tidak dapat jalan susur cukup panjang seperti stesen minyak BHPetrol di gambar tengah tadi, penambahbaikan sebegini boleh dilaksanakan


Itu baru cerita tentang keadaan lorong yang sempit. Satu lagi permasalahan yang berpunca daripada isu reka bentuk ialah susur keluar masuk yang terlalu pendek serta memerlukan penunggang untuk berhenti, sekaligus mendedahkan penunggang kepada risiko dilanggar dari belakang. Isu reka bentuk susur keluar masuk ini bertanggungjawab terhadap 6% jumlah keseluruhan kemalangan di lorong motosikal yang berpunca daripada langgar belakang. Jadi apakah tindakan pembetulan yang boleh dilakukan...? Susur keluar masuk perlu dipastikan cukup panjang, dengan ruang approach dan pecutan yang mencukupi. Jika jalan susur yang panjang tidak dapat diadakan, jalan susur keluar masuk itu perlu "dirawat" dengan membuat "kurungan" ataupun "sekatan" pada bahagian approace dan pecutan (contoh boleh anda saksikan pada jalan susur keluar ke Exit 215 Persimpangan Batu Tiga arah Klang). Bagi kes jalan susur masuk ke lorong motosikal, selain "kurungan" pada bahagian pecutan, cermin juga perlu dipasang bagi membolehkan penunggang melihat di sebalik titik buta sebelum memasuki lorong motosikal. Selain itu, bonggol serta jalur derum (rumble strip) perlu dipasang bagi tujuan peredaan trafik agar penunggang yang hendak memasuki lorong motosikal dapat menyusur masuk dengan selamat.




KO: Selekoh maut paling tajam di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan




OK: Jejambat lorong motosikal di Persimpangan Padang Jawa ini meningkatkan tahap keselamatan penunggang tanpa perlu mengharungi selekoh tajam sebagaimana di kebanyakan persimpangan lain


Permasalahan ketiga yang dikaitkan dengan isu reka bentuk ialah selekoh yang terlalu tajam dan boleh mengakibatkan motosikal hilang kawalan jika ditunggang pada kelajuan melebihi 35 km/j. Masalah selekoh ini menyumbang kepada 52% kadar kemalangan di lorong motosikal yang berpunca daripada hilang kawalan dan terbabas. Dalam isu ini, selekoh yang saya sifatkan sebagai paling haram jadah ialah selekoh tajam 90 darjah di Petronas Lebuhraya Persekutuan Shah Alam arah Klang. Penyelesaian terbaik sudah tentulah memotong selekoh tersebut supaya kurang tajam, tetapi ia sudah tentu melibatkan kos tanah yang tinggi. Jsteru, tindakan jangka pendek yang boleh diambil adalah melalui pendekatan peredaan trafik lorong motosikal iaitu dengan memasang jalur derum dan bonggol sebelum selekoh tajam supaya had laju operasi dapat diturunkan ke tahap yang cukup selamat untuk mengambil selekoh tersebut. Namun, bagi kes selekoh yang terlalu tajam seperti di Petronas Lebuhraya Persekutuan Shah Alam arah Klang, ada baiknya motosikal dilencongkan keluar ke jalan servis untuk ke stesen minyak tersebut sebelum menyusur masuk kembali selepas stesen minyak tersebut.




KO: Longkang tersumbat sehingga dipenuhi rumpai - patutlah senang sangat banjir...!!!


Dari aspek penyelenggaraan pula, saya dan Brotherhood amat berpuas hati dengan keadaan jalan yang langsung tidak berlubang setakat ini. Sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2, terdapat empat pihak yang menyelenggara lorong motosikal, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2.4 km), SPRINT (2 km), JKR Petaling (8.1 km) dan PLUS (16 km), Namun, masih terdapat empat permasalahan yang perlu saya tegur, iaitu masalah banjir, pencahayaan yang teruk, pengadang jalan yang membahayakan penunggang serta pokok-pokok dan semak-samun yang boleh mengundang haiwan berbisa serta perompak. Sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2, saya dapati terdapat beberapa tempat yang sering dilanda banjir, yang mana paling teruk ialah di terowong Exit 224 Persimpangan Jalan 222. Bagi kes Jalan 222, Datuk Seri Fadillah Yusof sudah pun mengumumkan bahawa sepasang jejambat motosikal kekal akan dibina bagi menggantikan terowong tersebut yang sangat terkenal kerana paling mudah banjir. Selain banjir di terowong Jalan 222, satu lagi kawasan yang mudah banjir ialah di Exit 217 Persimpangan Jalan Lapangan Terbang Subang. Bagi kes Exit 217 pula, banjir di situ berpunca daripada longkang tersumbat sehingga dipenuhi tumbuhan air. Jika dibandingkan, landasan kereta api KTM di sebelahnya pula tidak mudah banjir meskipun ia lebih rendah. Jadi, ia jelas menunjukkan betapa teruknya sistem perparitan di situ sehinggakan Datuk Seri Fadillah pun komplen mengenainya dan mahu tindakan pembetulan dilaksanakan.




KO: Lorong motor sudah menjauhi laluan utama, tetapi masih juga tiada lampu - memanglah rasa tak selamat...!!!


Tentang aspek pencahayaan pula, saya dapati masih ada lagi terowong yang lampunya tidak menyala. Terowong di jajaran PLUS pula memang terang-benderang siap ada beberapa tiang lampu semasa menghampiri terowong, tetapi jumlahnya masih terlalu sedikit dan tidak mencukupi. Justeru, tiang lampu seharusnya mula dipasang sebaik lorong motosikal menjauhi laluan utama. Di samping itu juga, pemantul jalan juga perlu dipasang di sepanjang lorong motosikal supaya dapat membantu pencahayaan sekiranya ada lampu jalan yang tidak berfungsi.




KO: Cara pemasangan pengadang besi ini sangat berbahaya kerana penunggang terdedah kepada bahagian tajam yang berpotensi mencincang mereka sekiranya terbabas




KO: Pengadang jalan ini agak longgar, mungkin hasil kerja mat gian dan pencuri besi


Seterusnya, saya ingin menyentuh mengenai isu pengadang jalan di sepanjang lorong motosikal ini. Terdapat beberapa kes di mana pengadang jalan roboh akibat vandalisme oleh penagih dadah dan pencuri besi serta cara pemasangan pengadang besi yang boleh mengancam nyawa penunggang motosikal terutamanya yang terbabas. Bagi mengatasi isu kecurian ini, Datuk Seri Fadillah menggesa agar pemantauan dipertingkatkan, dan jika ada ternampak pengadang yang roboh ataupun tidak sempurna keadaannya, ia perlu diperbaiki segera. Sementara itu, saya dapati ada beberapa tempat di mana pengadang besi dipasang dengan cara yang membahayakan penunggang motosikal, iaitu ia hanya dipasang membelakangi penunggang motosikal, mendedahkan bucu-bucu tajam kepada penunggang yang seterusnya boleh memancung penunggang motosikal yang terbabas sehingga putus kepala. Bagi mengelakkan kes sebegini, pengadang besi sepatutnya dipasang di kedua-dua belah dan bukannya sebelah sahaja; paling baik ialah penggunaan tembok Jersey yang lebih mesra penunggang motosikal - tetapi sudah tentulah kosnya pun lebih mahal juga.




KO: Disebabkan lorong motosikal sementara yang disediakan itu terlalu sempit, Honda Gold Wing Brotherhood tersekat sehingga menyebabkan semua motosikal di belakangnya tidak dapat bergerak


Itu baru cerita pengadang kekal. Bagaimana pula dengan pengadang sementara di projek-projek pembinaan...? Dalam hal ini, saya ingin menyelar kontraktor di tapak-tapak projek pembinaan kerana cara mereka melencongkan trafik motosikal secara berbahaya. Papan tanda pemberitahuan hanya diletakkan pada saat-saat terakhir. Trafik motosikal dilencongkan ke bahu jalan bagi laluan utama melalui bukaan kecil. Malah, bukaan lorong motosikal sementara yang menggunakan tembok Jersey plastik itu juga ada kalanya terlalu kecil sehingga menyebabkan motosikal besar tersekat dan sukar untuk melaluinya. Antara beberapa tapak projek pembinaan di sepanjang laluan, tapak projek stesen LRT Subang Jaya adalah yang paling haram jadah kerana bukaan lorong motosikal sementara yang digunakan itu terlalu sempit sehingga menyebabkan Honda Gold Wing kumpulan Brotherhood tersekat; mereka terpaksa menendang pengadang plastik itu beberapa kali sehinggalah bukaan lorong cukup besar untuk Gold Wing itu melepasinya. Mana perginya pelan pengurusan trafik mereka...? Kenapa cara pengurusan trafik sebegitu dibenarkan...? Kalau sudah sempit sangat dan takut memakan ruang laluan kereta, kenapa tak lencongkan trafik motosikal keluar sahaja berkongsi laluan dengan kenderaan besar dan seterusnya menyusur masuk ke lorong motosikal kembali selepas stesen LRT tersebut...?

Isu pokok dan semak-samun yang tidak diselenggara sehingga mengundang haiwan berbisa dan penyamun turut disentuh dalam reviu kali ini. Namun, isu tersebut sekali lagi di luar bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan lorong motosikal tersebut, sebaliknya ia terletak dalam bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).. Isu pokok dan semak-samun ini paling banyak di kawasan Shah Alam, jadi saya ingin menggesa PLUS agar mendesak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menebang pokok-pokok dan mencantas habis semak-samun di sepanjang lorong motosikal di Shah Alam agar menjamin keselamatan penunggang motosikal daripada ancaman haiwan berbisa mahupun penyamun.

Selain daripada gesaan penambahbaikan yang sudah pun disebutkan, saya dan Brotherhood juga ada tambahan beberapa cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan. Antaranya termasuklah pemasangan papan-papan iklan di sepanjang lorong motosikal yang berupaya menjana dana tambahan bagi penyelenggaraan lorong motosikal, di samping pembinaan "hentian rehat / R&R mini" khas untuk penunggang motosikal. R&R mini yang kami cadangkan ini terdiri daripada kedai makan, bengkel motosikal dan tandas awam, bertujuan untuk "memecah kesunyian" suasana di lorong motosikal agar mereka lebih yakin untuk menggunakannya pada waktu malam, memandangkan perompak lebih cenderung menyerang mangsa yang berseorangan di tempat sunyi. Selain itu juga, pembinaan bengkel motosikal di lorong motosikal juga berupaya membanteras sindiket menabur paku serta sindiket mekanik cekik darah yang mengenakan caj pembaikan yang tidak masuk akal.

Secara keseluruhannya, jujur saya katakan bahawa penambahbaikan yang dilakukan setakat ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Jika saya perlu memberikan markah, markah yang saya boleh beri ialah 47% ataupun gred D ataupun dua bintang daripada skala lima bintang, tanpa prejudis. Sekurang-kurangnya, komitmen KKR dalam menambah baik tahap keselamatan di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 inilah yang menyelamatkannya daripada jatuh ke gred E atau diberi markah tidak melebihi 39%. Jika dibandingkan dengan mana-mana lorong motosikal ekslusif lain di Malaysia, skor 47% yang saya berikan ini sebenarnya adalah yang tertinggi - lorong motosikal di Lebuhraya Guthrie E35 pula saya hanya boleh berikan markah 35% (gred E atau 1.5 bintang) susulan masalah lorong yang terlalu sempit dan tidak masuk akal untuk digandingkan dengan lebuh raya yang dikenakan had laju 110 km/j, manakala lorong motosikal Lebuhraya Shah Alam E5 pula saya berikan markah 17% (gred F atau 1 bintang) susulah lorong yang sempit, banyak selekoh tajam yang terlalu berbahaya, pencahayaan yang teruk serta banyak kes rompakan. Maaflah kerana saya tidak boleh memberikan reviu yang baik untuk kali ini, tetapi reviu yang jujur adalah amat penting agar semua permasalahan mengenai lorong motosikal dapat ditangani dengan sebaiknya, dan saya amat menghargai komitmen KKR di bawah pimpinan Datuk Seri Fadillah Yusof yang terbukti komited mendengar sendiri suara pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal seperti saya dan Lando. Ia amat berbeza berbanding KKR pada era Samy Vellu dahulu di mana isu keselamatan lorong motosikal memang ada disebut tetapi akhirnya langsung tiada tindakan pembetulan yang diambil.

Kesimpulannya, kisah lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 merupakan satu kisah epik mengenai pencabulan etika kejuruteraan oleh "orang dulu" yang terpaksa dibersihkan oleh "orang sekarang". Kisah lorong motosikal ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak agar mengkaji terlebih dahulu kesesuaian sesuatu piawaian reka bentuk sebelum mengadaptasinya dan bukannya main ambil bulat-bulat. Kesilapan dalam mengguna pakai sesuatu piawaian reka bentuk hanya akan menyebabkan nyawa pengguna jalan raya diperjudikan secara sia-sia. Justeru, saya amat menghargai kesediaan Datuk Seri Fadillah dan Kementerian Kerja Raya untuk menerima teguran bagi menambah baik tahap keselamatan di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2. Sebagai penyelesaian jangka panjang, saya ingin menggesa KKR agar mengkaji semula Arahan Teknik (Jalan) 10/86 agar piawaian reka bentuk lorong motosikal benar-benar relevan dan bersesuaian dengan semua jenis motosikal hatta sebesar Honda Gold Wing GL1800 sekalipun. Dalam hal ini, saya cadangkan agar KKR menjemput kembali G. Ramasamy dan mendapatkan input serta maklum balas daripada beliau sendiri, kerana hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam - sebagai jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2, hanya beliau sahajalah yang paling arif mengenainya.

Kepada pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan, saya ingin menggesa agar bersikap lebih lenient dan lebih bertimbang rasa terhadap penunggang motosikal yang enggan menggunakan lorong motosikal dan bukannya memaksa semua motosikal menggunakannya, kerana kebanyakan penunggang yang enggan menggunakannya berkemungkinan besar mengalami trauma akibat insiden tidak dikehendaki di lorong motosikal. Justeru, pendekatan memenangi hati penunggang motosikal serta kaedah kempen galakan adalah jauh lebih sesuai dan lebih berkesan daripada pendekatan bersikap memaksa. Buat masa sekarang, saya lebih sanggup menggunakan NKVE E1 yang tiada lorong motosikal jika saya menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke Klang, tetapi saya percaya jika lorong motosikal sudah ditambah baik terutamanya dari segi ciri keselamatannya sehingga berjaya mengubah fikiran saya, saya pasti akan menggunakannya semula sebagai pilihan pertama dan bukan lagi pilihan terakhir.



Semua kredit gambar & video: Pn. Noreha Mohd. Bidin, Pn. Misiah Taib, Lando Zawawi & Mohd. Hezery bin Hussin

2 comments:

  1. Ada pembetulan.Nama asal Lrt aliran Kelana Jaya dahulunya dikenali sebagai Putra LRT (yg penulis naik dari KLCC ke Dang Wangi), bukannya Star Lrt. Apapon, suatu reviu yg sangat bagus.

    ReplyDelete

Advertisement