Thursday, November 13, 2014

Lampu jalan LED vs wap natrium - mana lebih baik...? / LED vs sodium vapour street lights - which one is better...?





Lampu jalan wap natrium seperti yang digunakan di Lebuhraya Duke E33 vs lampu jalan LED seperti yang digunakan di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 - yang manakah lebih baik...?


Salam sejahtera,

Seperti yang pernah saya tulis dalam entri mengenai Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) FT28 beberapa bulan lalu, saya ada menyatakan bahawa MRR2 FT28 merupakan salah satu daripada tiga batang jalan persekutuan yang menjalani program perintis pemasangan lampu jalan LED. Hasilnya, semakin banyak jalan raya dan lebuh raya yang dipasang dengan lampu jalan LED, dengan memanfaatkan penjimatan tenaga elektrik yang sangat ketara berbanding lampu jalan konvensional.

Jika kita kaji semula sejarah pemasangan lampu jalan di seluruh dunia, pemasangan lampu jalan sebenarnya sudah lama dilaksanakan sejak zaman kegemilangan tamadun Rom dan Yunani purba, jauh lebih lama sebelum penciptaan mentol lampu pijar oleh Thomas Alva Edison pada 22 Oktober 1879. Pada masa itu, lampu jalan yang digunakan adalah daripada jenis lampu minyak dan seterusnya lampu gas, yang mana kedua-duanya perlu dinyalakan secara manual. Mentol lampu elektrik pertama ciptaan Thomas Edison pula menggunakan filamen yang diperbuat daripada karbon yang mampu bertahan selama 13 jam sebelum terbakar, sebelum beliau menambah baik mentol lampu ciptaannya dengan menggunakan buluh berkarbon yang tahan selama 1,200 jam.

Sungguhpun demikian, lampu pijar bukanlah lampu elektrik pertama yang digunakan sebagai lampu jalan. Lampu jalan terawal sebenarnya merupakan lampu arka karbon. Ia menghasilkan cahaya yang cukup terang bersesuaian dengan fungsinya, tetapi filamennya cepat terbakar dan cahaya yang dihasilkan juga menyilaukan mata. Maka, ia digantikan dengan lampu pijar yang lebih boleh diharap. Seterusnya, lampu pijar mendominasi lampu-lampu jalan di seluruh dunia sehinggalah penciptaan lampu nyahcas berkeamatan tinggi (HID). Dua jenis lampu HID yang digunakan sebagai lampu jalan ialah lampu wap raksa dan lampu wap natrium.

Lampu wap raksa merupakan jenis lampu HID tertua yang digunakan sebagai lampu jalan. Semasa ia mula dihidupkan, ia menghasilkan cahaya biru gelap yang secara beransur-ansur berubah menjadi cahaya putih siang yang sama seperti lampu pendarflour biasa, dengan suhu warna melebihi 5,000 K. Namun, warna putih siang yang dihasilkan itu mempunyai tiga kelemahan utama iaitu penghasilan sinar ultraungu yang berbahaya, pencemaran cahaya dan juga tahap kebolehnampakannya semasa cuaca buruk serta pada waktu malam. Ia berikutan sifat warna putih yang terdiri daripada cahaya merah, hijau dan biru dengan keamatan yang sama. Berikutan kelemahan pada lampu wap raksa, ia kemudiannya digantikan dengan lampu wap natrium pula.

Sementara itu pula, lampu wap raksa menghasilkan cahaya jingga-merah jambu gelap semasa ia mula dihidupkan sebelum berubah menjadi kekuningan. Maka, ia menjadi pilihan utama sebagai lampu jalan kerana warna kuning yang dihasilkan itu lebih membantu penglihatan pada waktu malam. Selain itu juga, cahaya yang dihasilkan kurang mencemar berbanding lampu wap raksa, sekaligus sesuai digunakan berhampiran balai cerap serta kawasan pembiakan hidupan liar seperti penyu.

Perkembangan teknologi pencahayaan elektrik didorong oleh keinginan untuk menghasilkan sistem pencahayaan yang bukan sahaja lebih cekap tenaga, malah kurang mencemar serta lebih mesra alam. Penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) sebagai lampu jalan adalah hasil daripada perkembangan teknologi pencahayaan terkini. Asalnya hanya sekadar digunakan sebagai lampu penunjuk pada peralatan elektronik, teknologi pembinaan LED kini semakin maju sehingga ke tahap boleh digunakan sebagai lampu kepala kereta dan sistem pencahayaan tiang tinggi (high-mast lighting). Potensi besar LED sebagai lampu jalan adalah disebabkan sifatnya yang sangat cekap tenaga. Sebiji lampu LED 6 watt menghasilkan cahaya yang sama terang seperti mentol pendarflour padat (CFL) 18 watt, mentol halogen 75 watt dan mentol pijar 100 watt.

Namun, adakah lampu LED semestinya lebih bagus daripada lampu wap natrium...?

Pada tahun 2011, Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Kementerian Kewangan mula menjalankan satu program perintis pemasangan lampu jalan LED di tiga batang jalan persekutuan utama di Lembah Klang, iaitu Lebuhraya Persekutuan FT2, Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 dan Jalan Lapangan Terbang Subang FT15. Menurut Menteri Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, pemasangan lampu jalan di ketiga-tiga jalan terbabit mampu mengurangkan kos bil elektrik sebanyak 50% pada tahun 2011. 

Sungguhpun penggunaan lampu jalan LED terbukti menjimatkan kos bil elektrik, ia tidak bermakna lampu jalan LED sangat sempurna. Menurut satu laporan oleh blog automotif terkemuka Paul Tan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan bahawa lampu wap natrium kekal menjadi pilihan utama bagi sistem pencahayaan jalan raya Malaysia. Kenapa bukan lampu jalan LED...? Menurut Datuk Seri Fadillah Yusof, hasil kajian yang dilakukan oleh pakar sepanjang tempoh projek perintis pemasangan lampu jalan LED mendapati bahawa lampu wap natrium lebih sesuai digunakan untuk pencahayaan jalan raya, manakala lampu jalan LED pula lebih sesuai bagi aplikasi pencahayaan kawasan perumahan. Rasionalnya adalah kerana hasil kajian mendapati bahawa tahap pencahayaan di sepanjang MRR2 FT28 didapati kurang ideal terutamanya ketika hujan di malam hari.

Kenapa pula tahap pencahayaan lampu jalan LED kurang memuaskan ketika hujan...? Boleh dikatakan hampir kesemua lampu jalan LED yang digunakan menghasilkan cahaya putih siang (lebih kurang 6,500 K), manakala lampu jalan wap natrium pula menghasilkan cahaya kekuningan (kurang 3,000 K). Maka, apabila hari hujan, pembiasan pada cahaya lampu wap natrium boleh dikatakan agak sekata dan kurang berselerak, berbanding cahaya lampu LED yang pembiasannya sangat berselerak sehingga menyebabkan kurang cahaya tampak yang sampai ke atas jalan.

Sungguhpun lampu LED masih mempunyai kelemahannya tersendiri berbanding lampu wap natrium, ia masih boleh diperbaiki dan ditambah baik. Penambahbaikan yang saya cadangkan kepada para pengeluar lampu jalan LED adalah dengan mengeluarkan lampu jalan LED yang menghasilkan cahaya putih suam kerana pembiasan cahaya semasa hujan kurang berselerak, sekaligus membantu penglihatan pemandu semasa memandu dalam keadaan hujan lebat pada waktu malam. Ia terbukti melalui tahap pencahayaan di Persimpangan Sri Damansara di MRR2 FT28 yang menggunakan lampu LED putih suam, yang mana tahap pencahayaan di situ lebih jelas berbanding di kawasan lain di sepanjang MRR2 FT28 yang menggunakan lampu LED putih siang. Justeru, para pengeluar lampu jalan LED tidak seharusnya berputus asa untuk menghasilkan lampu jalan LED yang lebih baik, kerana Thomas Edison sendiri pun 999 kali gagal semasa hendak mencipta mentol lampu pijar sehinggalah percubaannya yang keseribu yang benar-benar berjaya.

Dalam entri seterusnya, saya ingin membawakan kepada anda satu entri Mythbuster - adakah benar memasang lampu jalan di kesemua jalan raya di Malaysia membantu penglihatan penngguna jalan raya secara total...? Nantikanlah jawapannya hanya dalam Blog Jalan Raya Malaysia...!!!

Saturday, November 1, 2014

Kenali rangkaian laluan tulang belakang negara kita / Know our national backbone route network



Lebuhraya Skudai FT1, sebahagian daripada Jalan Persekutuan 1. Jasa Jalan Persekutuan 1 terhadap rakyat jelata begitu besar sehinggakan ia selayaknya digelar "ibu segala jalan raya" di Malaysia.


Salam sejahtera,

Sudah lama rasanya saya tidak menulis dalam blog ini. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk kembali kepada perkara-perkara asas termasuklah menulis sedikit-sebanyak mengenai rangkaian jalan raya tulang belakang di Malaysia, kerana kita perlu terlebih dahulu mengenali rangkaian jalan raya tulang belakang utama di negara kita sebelum kita mengkaji jalan-jalan raya yang lain.

Kita mulakan terlebih dahulu dengan rangkaian-rangkaian jalan raya tulang belakang utama di Semenanjung Malaysia. Di Semenanjung Malaysia, kesemua jalan persekutuan tulang belakang utama ditandakan dengan kod laluan satu digit sahaja (1-9), yang mana lima daripadanya merupakan laluan jarak jauh yang disusun membentuk satu grid. Bagi lima laluan pertama itu, kod laluan ganjil digunakan untuk laluan utara-selatan, manakala kod laluan genap pula untuk laluan timur-barat. Berikut merupakan penerangan ringkas mengenai jalan-jalan persekutuan tulang belakang utama di Semenanjung Malaysia:-
  1. Jalan Persekutuan 1 - Jalan raya utara-selatan terpenting dan terpanjang di Semenanjung Malaysia, sehinggakan ia selayaknya digelar sebagai ibu segala jalan raya di Semenanjung Malaysia. Secara amnya ia melalui kawasan tengah pantai barat Semenanjung Malaysia. Jajaran dari Tampin, Negeri Sembilan ke Sungai Siput, Perak menyelusuri sepanjang bahagian barat Banjaran Titiwangsa, sebelum ia melencong ke barat sehingga ke Taiping. Jalan Persekutuan 1 berubah menjadi jalan raya pantai dari Taiping ke Alor Setar sebelum, ia menyelusuri bahagian dataran tengah dari Alor Setar ke Bukit Kayu Hitam. Jalan Persekutuan 1 bertukar menjadi Jalan Phetkasem Laluan 4 sebaik melepasi kompleks imigresen Danok. Peranannya sebagai laluan utara-selatan terpenting kini diambil alih oleh Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2.
  2. Jalan Persekutuan 2 - Jalan raya timur-barat terpanjang di Semenanjung Malaysia. Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Jalan Kuala Lumpur-Klang dan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan. Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 terdiri daripada Persiaran Raja Muda Musa, Jambatan Kota FT2/FT5, Persiaran Sultan Ibrahim, Lebuhraya Persekutuan FT2, Jalan Syed Putra dan "rangkaian kota sesat FT2" di Kuala Lumpur. Sementara itu pula, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan pula sebahagian besar terdiri daripada jalan lama dari Karak ke Kuantan serta Lebuhraya Karak E8/FT2. Seperti FT1, peranan FT2 sebagai laluan utama kini diambil alih oleh Lebuhraya Pantai Timur E8.
  3. Jalan Persekutuan 3 - Jalan raya utara-selatan yang terletak di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia serta turut diwartakan sebagai Rangkaian Lebuh Raya Asia AH18. Berikutan statusnya sebagai salah satu laluan Lebuh Raya Asia, maka kerajaan sentiasa melakukan penambahbaikan di sepanjang FT3 dengan menaik taraf keseluruhan laluan kepada sekurang-kurangnya jalan super two. Hasilnya, Jalan Persekutuan 3 kini diiktiraf oleh National Geographic Society sebagai salah satu daripada 10 lebuh raya pantai terbaik di Asia. Setelah melepasi kompleks imigresen Rantau Panjang, jalan FT3 dihubungkan ke Jalan Kebangsaan Thailand 4057 di Sungai Kolok, Thailand.
  4. Jalan Persekutuan 4 - Jalan raya timur-barat yang dibina bagi menghubungkan negeri-negeri pantai timur dengan negeri-negeri di sebelah utara. Sebelum Jalan Persekutuan 4 disiapkan, perjalanan dari Alor Setar ke Kota Bharu boleh mencapai lebih 1,000 km, tetapi kini jarak perjalanan telah pun dikurangkan sebanyak lebih daripada 50% menjadi sekitar beberapa ratus kilometer sahaja. Asalnya, Jalan Persekutuan 4 terdiri daripada Jalan Pasir Puteh-Machang-Jeli FT4 dan Lebuhraya Timur-Barat FT4 sebelum ia disambung sehingga ke Butterworth. Malah, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15 juga merupakan sebahagian daripada FT4.
  5. Jalan Persekutuan 5 - Jalan raya utara-selatan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia. Tidak seperti FT3, FT5 tidak melalui keseluruhan kawasan tepi pantai barat Semenanjung Malaysia; sebaliknya, ia sekadar berakhir di Ipoh. Peranan FT5 seterusnya diambil alih oleh Jalan Persekutuan 60 (Sitiawan-Taiping), Jalan Persekutuan 1 (Taiping-Alor Setar) dan Jalan Persekutuan 7 (Alor Setar-Padang Besar).
  6. Jalan Persekutuan 6 - Jalan raya tulang belakang utama di Pulau Pinang (maksud saya, di bahagian pulau). Ia bermula dan berakhir di rangkaian kota sesat bandar raya Georgetown serta mengelilingi keseluruhan Pulau Pinang. Justeru, ada baiknya jika Kementerian Kerja Raya (KKR) menamakan jalan FT6 ini sebagai Jalan Raya Pan Pulau Pinang (Pan Penang Highway).
  7. Jalan Persekutuan 7 - Jalan raya tulang belakang utama di negeri Perlis, bermula dari Alor Setar dan berakhir di Padang Besar, di mana ia bertukar kepada Jalan Kebangsaan Thailand 4054.
  8. Jalan Persekutuan 8 dan 9 (CSR) - Jalan Persekutuan 8 dan 9 membentuk Jalan Raya Utama Tengah (CSR) yang menyelusuri sepanjang bahagian timur Banjaran Titiwangsa sehingga ke Gua Musang, di mana Jalan Persekutuan 8 dibina di sepanjang tebing timur Sungai Kelantan. Jalan Persekutuan 8 siap sepenuhnya pada tahun 1986 setelah Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang FT8 siap dibina dan dibuka kepada lalu lintas. Berikutan kepentingan Jalan Persekutuan 8 dan 9 sebagai laluan utama bagi orang-orang Kelantan ke Kuala Lumpur, Seremban dan Melaka, maka kerajaan kini sedang menaik taraf laluan tersebut kepada jalan raya kembar.




Lebuhraya Pan Borneo FT1 merupakan satu-satunya jalan raya tulang belakang utama di Sarawak


Bagi Sarawak pula, Lebuhraya Pan Borneo FT1 merupakan satu-satunya laluan tulang belakang utama di sana; majoriti jalan-jalan raya lain di Sarawak pula merupakan laluan cabang kepada FT1 ini. Majoriti jajaran FT1 di Sarawak melalui kawasan lembangan tanah pamah yang agak jauh dari pantai, kecuali jajaran Miri ke Kompleks Imigresen Sungai Tujuh, jalan utama Limbang, serta Lebuhraya Lawas-Merapok-Sindumin FT1 yang seterusnya menghubungkan Sarawak dengan Sabah. Memandangkan Lebuhraya Pan Borneo FT1 di Sarawak sangat panjang (lebih kurang 1,077.1 km), ia dibahagikan kepada 92 bahagian bagi memudahkan urusan penyelenggaraan, bermula dari Sematan sehingga ke Merapok.




Peta rangkaian Jalan Raya Asas Sabah


Sementara itu pula, rangkaian jalan raya di Sabah pula adalah berpandukan kepada blueprint yang dikenali sebagai Jalan Raya Asas Utama Sabah. Jalan Asas Sabah terdiri daripada rangkaian jalan persekutuan dan negeri yang membentuk kerangka asas utama bagi rangkaian jalan raya di Sabah. Jalan Raya Asas Utama Sabah terdiri daripada:-
  1. Lebuhraya Pan Borneo:-
    • Jalan Persekutuan 1 - Jalan raya utama di sepanjang pantai barat Sabah, yang juga terletak di sebelah barat Banjaran Crocker. Ia terbahagi kepada jajararan utara (Kota Kinabalu-Kudat) dan jajaran selatan (Kota Kinabalu-Sindumin), yang mana jajaran utara merupakan bekas jajaran Jalan A1 manakala jajaran selatan pula merupakan bekas jajaran jalan A2. Keseluruhan Jalan Persekutuan 1 ini siap pada tahun 1981 setelah Lebuhraya Papar-Sindumin FT1 siap. Jalan ini mula diwartakan pada tahun 1996 hasil penggabungan kedua-dua laluan A1 dan A2. Majoriti jajaran FT1 melalui sepanjang pantai barat Sabah kecuali jajaran Lok Kawi-Papar yang melalui kawasan lembangan Kinarut-Kawang-Papar, serta jajaran Tamparuli-Kg. Pengkalan yang melalui sepanjang kaki Banjaran Crocker.
    • Jalan Persekutuan 22 - Dikenali sebagai Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FT22, Projek Jalan Raya Malaysia-Australia (MARP) ataupun Lebuhraya Timur-Barat Sabah FT22, yang dibina bagi menghubungkan kawasan pantai barat Sabah dengan pantai timur. Ia merentasi Banjaran Crocker dari Tamparuli hingga ke Ranau dan Telupid sebelum melalui kawasan tanah pamah yang luas sehingga ke Sandakan.
    • Jalan Persekutuan 13 - Menghubungkan antara Sandakan sehingga ke Tawau. Lazimnya, jalan FT13 ini menyelusuri kawasan pantai tenggara Sabah yang menghadap Laut Sulu.
    • Jalan Tawau-Kalabakan - Jalan raya ini dibina sebagai sambungan daripada projek Lebuhraya Pan Borneo bagi menghubungkan Tawau dengan Kalabakan dan seterusnya Serudong. Meskipun ia sudah diwartakan sebagai jalan persekutuan, namun kod laluannya masih belum diwartakan kerana jajaran dari Kalabakan ke Serudong dan seterusnya ke sempadan Malaysia-Indonesia masih belum siap.
  2. Jalan Persekutuan 500 dan Jalan Ranau-Tambunan SA2 - Jalan FT500 menghubungkan antara Kota Kinabalu ke Tambunan, Keningau dan Tenom, manakala Jalan Ranau Tambunan pula menghubungkan antara Tambunan dengan Ranau. Jalan SA2 dan jajaran jalan FT500 dari Tambunan ke Tenom dibina di sepanjang bahagian timur Banjaran Crocker, manakala jajaran FT500 dari Kota Kinabalu ke Tambunan pula merentasi Banjaran Crocker. Jalan FT500 asalnya merupakan Jalan Negeri Sabah SA3 sebelum ia diwartakan semula sebagai jalan persekutuan pada tahun 1996.
  3. Jalan Kota Marudu-Pitas R12 dan Lebuhraya Sapi Nangoh R12 - Lebuhraya Sapi-Nangoh R12 yang berstatus Jalan Negeri Sabah ini mula dicadangkan pembinaannya pada penghujung tahun 1980an bagi membangunkan kawasan mundur di sepanjang pantai timur laut Sabah di samping berperanan memendekkan perjalanan dari Kudat ke Sandakan, Lahad Datu dan Tawau. Asalnya, jalan raya sedia ada menghubungkan antara Kudat dengan Kota Marudu dan Pitas sebelum dipanjangkan sehingga ke Sungai Sapi. Pembinaannya hanya bermula sebagai salah satu projek Rancangan Malaysia Kelapan, siap berturap pada tahun 2008.
  4. Lebuhraya Selatan Sabah (termasuk Lebuhraya Kalabakan-Sepulot) - Lebuhraya Kalabakan-Sepulot ini dibina bagi melengkapkan jaringan jalan raya di sebelah selatan Sabah, iaitu sebagai pelengkap kepada rangkaian jalan raya dari Keningau Sebelum ini, Lebuhraya Kalabakan-Sepulot pernah menjadi kontroversi kerana menelan belanja yang sangat mahal (RM563.33 juta untuk membina jalan raya sepanjang 145 km, bersamaan RM3.885 juta sekilometer) tetapi sekadar dibina sebagai jalan batu kerikil sahaja. Akibat kontroversi tersebut, JKR Sabah melantik sebuah syarikat kontraktor untuk menurap keseluruhan jalan tersebut. Setakat Disember 2013, hanya tinggal 40 km sahaja lagi yang belum diturap, tetapi saya tidak pasti pula peratus kemajuan sekarang.
  5. Jalan Telupid-Tongod dan sambungannya - Tongod merupakan sebuah daerah yang baharu diwujudkan pada tahun 1997 hasil pecahan daerah Kinabatangan, dengan pekan Tongod sebagai ibu daerah. Maka, kerajaan membina sebatang jalan raya dari Telupid ke Tongod sesuai dengan fungsinya sebagai ibu daerah. Jalan Telupid-Tongod siap dibina pada tahun 2008. Sambungan jalan tersebut ke selatan kini masih dalam peringkat kajian dan perancangan, yang mana jalan tersebut mungkin akan dipanjangkan sehingga ke Sook ataupun Nabawan.
  6. Lebuhraya Kimanis-Keningau - Lebuhraya Kimanis-Keningau dibina sebagai alternatif kepada Jalan Persekutuan 500. Ia merupakan jalan raya ketiga yang merentasi Banjaran Crocker selepas Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 dan Jalan Kota Kinabalu-Tambunan FT500. Lebuh raya ini terkenal sebagai jalan raya utama paling curam di Malaysia, dengan kecuraman maksimum 25 darjah. Selain itu, ia juga terkenal sebagai lokasi "bukit magnetik" di KM11 (dikira dari Keningau), kerana terdapat cerun yang kelihatan seperti cerun mendaki tetapi sebarnya cerun menuruni bukit. Lebuhraya Kimanis-Keningau mula dibina pada tahun 2003 dan siap sepenuhnya pada tahun 2007. Sungguhpun ia sudah lama siap dan diwartakan sebagai Jalan Negeri Sabah, namun kod laluannya masih belum diwartakan.
  7. Lebuhraya Sipitang-Tenom - Merupakan jalan raya keempat yang dibina dibina merentasi Banjaran Crocker. Ia dibina bagi memendekkan perjalanan dari Tenom ke Sipitang, Sindumin dan seterusnya ke negeri Sarawak. Lebuhraya Sipitang-Tenom mula dibina pada tahun 2004 dan siap pada tahun 2006.
  8. Jalan Kota Marudu-Ranau - Jalan raya ini dibina bagi melengkapkan rangkaian jalan raya di sebelah timur Banjaran Crocker yang turut merangkumi jalan SA2 dan FT500. Pembinaannya kini sudah pun dimulakan semula setelah terbengkalai akibat masalah kewangan oleh kontraktor terdahulu.
  9. Jalan Sukau dan sambungannya - Jalan Sukau dibina bagi menghubungkan pekan Sukau dengan Kota Kinabatangan; kedua-duanya terletak di kawasan lembah Sungai Kinabatangan. Sambungannya ke Estet Tomanggong dicadangkan pembinaannya sebagai laluan perintis ke Gugusan Felda Sahabat di Lahad Datu; setakat ini, Estet Tomanggong dihubungkan ke Sukau melalui jalan-jalan estet tanah merah serta menggunakan khidmat feri sungai.