Friday, October 24, 2014

Jualan kad Touch 'n Go Edisi Terhad Ulang Tahun Ke-3 Blog Jalan Raya Malaysia / Malaysian Highway Blog 3rd Anniversary Limited Edition Touch 'n Go card sale




Salam sejahtera,

Sempena ulang tahun ketiga Blog Jalan Raya Malaysia, kami mendirikan sebuah kedai dalam talian iaitu Kedai Jalan Raya Malaysia bertujuan sebagai sokongan kewangan kepada aktiviti Blog Jalan Raya Malaysia, khususnya reviu jalan raya jarak jauh. Sebelum kami mendirikan kedai dalam talian ini, kami pernah mengadakan kempen derma, tetapi malangnya ia tidak berjaya seperti yang diharapkan. Ia terbukti apabila sepanjang kempen derma berlangsung, hanya dua orang sahaja yang menderma, itu pun sebahagian besar daripada wang derma mereka dipotong oleh PayPal sebagai "kos pentadbiran".

Untuk makluman anda, sebahagian besar daripada kos mengadakan reviu jalan raya datang daripada kos bahan api; bagi reviu yang lebih jauh pula, ia turut melibatkan kos penginapan. Bagi reviu jalan raya di Sabah dan Sarawak pula, ia turut melibatkan kos tiket kapal terbang serta sewa kenderaan. Kami pernah menerima permintaan untuk mengadakan reviu jalan raya yang lebih panjang (seperti Jalan Persekutuan 1 dan 3) ataupun jalan raya yang terletak lebih jauh (seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang E28 dan Jalan Sungai Petani-Baling FT67), tetapi malangnya ia tidak dapat direalisasikan berikutan kekangan kewangan. Justeru, kali ini kami mengambil pendekatan berbeza dengan mendirikan sebuah kedai dalam talian, yang mana anda dapat produk dan kami pula dapat sumber kewangan mencukupi untuk mengadakan reviu jalan raya berskala besar.

Sebagai permulaan, kami mulakan dengan jualan kad Touch 'n Go edisi terhad, yang menampilkan beberapa batang jalan raya terbaik yang pernah kami lalui sepanjang sejarah 3 tahun kami. Setiap keping kad Touch 'n Go edisi terhad ini berharga RM30.00 sahaja, yang mana RM5.00 daripada harga kad tersebut didermakan untuk lebih banyak reviu jalan raya berkualiti oleh kami.

Kedai Jalan Raya Malaysia boleh dilawati di http://www.freewebstore.org/Kedai-Jalan-Raya-Malaysia. Selain itu, Kedai Jalan Raya Malaysia boleh dilawati dengan:-

Sokongan anda terhadap Blog Jalan Raya Malaysia amat kami hargai. Terima kasih.



Soalan yang kerap ditanya (FAQ)

  1. Soalan: Apakah cara pembayaran yang boleh saya gunakan?

    Jawapan: Anda boleh membayar dengan melalui akaun PayPal serta kad kredit / debit.

  2. Soalan: Saya tiada kad kredit, bagaimana saya hendak membeli-belah di sini?

    Jawapan: Anda boleh menaik taraf kad ATM anda kepada kad debit di bank masing-masing.

  3. Soalan: Berapa lama masa menunggu untuk kad tersebut sampai ke rumah saya?

    Jawapan: Lebih kurang dua minggu jika anda memilih opsyen penghantaran pos percuma. Jika anda memilih opsyen penghantaran melalui Poslaju, tempoh penghantaran adalah lebih kurang seminggu sahaja.

  4. Soalan: Bagaimana saya hendak memantau status pesanan saya?

    Jawapan: Anda dinasihatkan supaya membuka akaun anda di Kedai Jalan Raya Malaysia. Selain anda tidak perlu asyik menaip alamat yang sama sekiranya anda kembali membeli-belah di sini, anda juga boleh memantau status pesanan anda dengan mudah.

  5. Soalan: Saya dari Indonesia! Adakah Rupiah Indonesia (IDR) bisa diterima di sini?

    Jawapan: Matawang asing juga diterima di sini!

  6. Soalan: Kad Touch 'n Go yang saya pesan itu sudah rosak! Boleh tak saya minta tukar?

    Jawapan: Boleh, tetapi dengan syarat anda sertakan bersama-sama resit asal dalam tempoh 2 minggu daripada tarikh yang tercatat pada resit.

  7. Soalan: Di manakah saya boleh menambah nilai kad Touch 'n Go saya yang dibeli di sini?

    Jawapan: Anda boleh menambah nilai kad Touch 'n Go anda di kesemua pejabat plaza tol lebuh raya ekspres, stesen LRT, kedai serbaneka (7 Eleven, KK Mart), atau beberapa stesen minyak terpilih.
  8. Soalan: Kenapa kad Touch 'n Go yang dijual di Kedai Jalan Raya Malaysia ini berharga RM30? Tak boleh kurang lagi ke?

    Jawapan: Ada beberapa sebab kenapa kad Touch 'n Go yang kami jual ini berharga RM30:-
    • Kad Touch 'n Go yang dijual ini adalah edisi terhad yang tidak ada dijual di mana-mana tempat lain selain Kedai Jalan Raya Malaysia
    • Harga kos bagi kad ini yang dikenakan oleh pihak Touch 'n Go ialah RM25, manakala RM5 lagi merupakan derma kepada Blog Jalan Raya Malaysia bagi membolehkan kami terus menghasilkan lebih banyak reviu jalan raya berkualiti. Dengan kata lain, keuntungan bagi jualan kad ini hanyalah RM5 sekeping yang digunakan untuk projek-projek reviu jalan raya berskala besar.

Thursday, October 16, 2014

Peringatan buat pengguna power bank dan pemilik kereta Proton Iriz...!!! / Attention to all power bank users and Proton Iriz owners...!!!

Salam sejahtera,

Seperti yang kita semua sedia maklum, industri telefon bimbit sedang mengalami evolusi yang begitu pesat sejak sedekad dua ini. Jika dua dekad lalu, saiz telefon bimbit begitu besar sehingga boleh digunakan untuk "membaling anjing" sebelum saiznya mengecil pada dekad 2000an dan seterusnya membesar semula pada penghujung dekad yang sama. Jika sedekad lalu model-model telefon bimbit seperti Nokia 3310 menjadi trend disebabkan perumah berwarna yang boleh ditukar ganti dengan begitu mudah di samping mesej-mesej bergambar yang boleh dibeli melalui SMS, kini telefon pintar pula yang menjadi topik bualan. Ironinya, jika model-model telefon bimbit menjadi semakin jimat bateri pada dekad 2000an, model-model telefon pintar sekarang pula semakin kuat makan bateri, sehingga ada kalanya telefon pintar kehabisan bateri walaupun selepas baru beberapa jam dicas. Namun, mujurlah kemajuan bidang elektrokimia membawa kepada penciptaan bateri litium-ion yang kecil tetapi mampu menghasilkan tenaga elektrik yang begitu banyak. Sungguhpun demikian, ia masih belum memadai bagi menyelesaikan masalah bateri cepat habis di kalangan pengguna telefon pintar.

Kenapa bateri telefon pintar cepat habis...? Ada banyak sebab kenapa bateri telefon pintar boleh habis dengan cepat. Ciri yang paling banyak memakan kuasa bateri ialah rangkaian kawasan setempat tanpa wayar (WLAN), atau lebih popular dengan panggilan wi-fi. Wi-fi ditakrifkan melalui piawaian IEEE 802.11 yang menggunakan gelombang radio berfrekuensi 2.4 GHz UHF dan 5 GHz SHF untuk memperoleh kelajuan data jalur lebar, dengan jarak capaian antara 75 hingga 125 meter. Sebab itulah modul wi-fi paling kuat makan bateri.




Skrin sentuh merupakan pengguna kuasa bateri terbesar bagi sesebuah telefon pintar


Sungguhpun demikian, wi-fi bukanlah pengguna terbesar bagi tenaga elektrik yang dihasilkan oleh bateri telefon pintar. Sebenarnya, pengguna kuasa bateri terbesar bagi telefon pintar ialah skrin sentuh telefon pintar itu sendiri. Sejak pengenalan telefon pintar iPhone pada tahun 2007, skrin sentuh mula menggantikan pad kekunci sebagai peranti input utama telefon bimbit. Rata-rata skrin sentuh yang digunakan pada telefon pintar adalah dari jenis kapasitif, yang memerlukan sejumlah kecil arus elektrik yang dialirkan secara berterusan untuk membolehkannya berfungsi bagi membolehkan skrin sentuh menghasilkan medan elektrostatik yang seragam. Memandangkan tubuh badan kita berupaya mengalirkan elektrik, menyentuh skrin tersebut dengan menggunakan jari akan menyebabkan gangguan pada medan elektrostatik skrin sentuh, yang seterusnya akan dibaca sebagai maklumat input. Disebabkan skrin sentuh memerlukan sejumlah kecil arus elektrik untuk dialirkan secara berterusan, maka skrin sentuh merupakan pengguna utama tenaga elektrik bateri,

Membuka terlalu banyak perisian aplikasi, khususnya aplikasi yang berat, juga menyumbang kepada penggunaan kuasa bateri yang tinggi. Rasionalnya adalah kerana aplikasi yang terlalu banyak akan menambah beban kepada pemproses, yang seterusnya akan menyebabkan pemproses memerlukan lebih banyak kuasa bateri. Selain itu, pepijat pada aplikasi turut menyumbang kepada penggunaan bateri yang tinggi. Misalnya, semasa kemas kini Android 4.4.2 KitKat mula dikeluarkan kepada pengguna telefon bimbit Sony Xperia Z, isu utama yang timbul ialah servis Google Play terlalu kuat makan bateri sehingga mengakibatkan ramai pengguna yang kehabisan bateri selepas hanya beberapa jam dicas penuh, meskipun tanpa menghidupkan wi-fi mahupun aplikasi-aplikasi lain. Isu tersebut hanya berjaya diselesaikan setelah Google melancarkan versi terkini servis Google Play serta setelah kemas kini Android 4.4.4 KitKat dikeluarkan oleh Sony.




Power bank kini menjadi keperluan bagi ramai pengguna telefon pintar, terutamanya yang sering berada di luar rumah serta yang sering menghidupkan wi-fi ataupun langganan data untuk memperoleh capaian internet


Justeru, sebagai penyelesaian kepada keperluan tenaga elektrik telefon pintar yang begitu tinggi, maka pek-pek bateri simpanan, yang lebih popular dengan panggilan power bank, kini menjadi keperluan buat para pengguna telefon pintar, khususnya yang sering berada di luar rumah kerana bekerja ataupun mengembara. Power bank boleh didapati dalam pelbagai bentuk, saiz, warna dan kadaran cas (dalam unit miliampere jam atau mAh), yang mana power bank dengan kadaran cas lebih tinggi adalah lebih mahal. Sesetengah power bank turut dilengkapi dua port pengecas USB dengan dua kadaran arus yang berbeza untuk disesuaikan dengan jenis peranti yang hendak dicas.




Proton Iriz merupakan kereta pertama seumpamanya yang dilengkapi port pengecas USB terbina dalam


Sementara itu, trend penggunaan telefon pintar yang semakin meluas di kalangan rakyat Malaysia mendorong syarikat automotif nasional, Proton, untuk menjadikan model kereta terbaru mereka, Proton Iriz, sebagai kereta pertama di dunia yang dilengkapi port pengecas USB terbina dalam khusus untuk telefon pintar. Sebenarnya, banyak kereta yang sudah dilengkapi port USB sejak penghujung dekad 2000an, tetapi port USB tersebut hanya berfungsi untuk memainkan lagu daripada pemacu kilat USB dan tidak boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit sama sekali. Sebelum ini, pengguna telefon bimbit yang hendak mengecas kereta perlu membeli sendiri pengecas secara berasingan, memandangkan ia tidak disertakan sebagai salah satu aksesori standard. Seperti sesetengah power bank, Proton Iriz mempunyai dua port pengecas USB dengan kadaran arus yang berbeza, iaitu 1.5 A dan 2.1 A.

Sungguhpun demikian, anda tidak boleh mempalamkan peranti anda ke soket USB power bank ataupun Proton Iriz secara semberono tanpa terlebih dahulu mengenal pasti kadaran bateri masing-masing, kerana perbuatan sebegitu sebenarnya boleh menyebabkan letupan pada bateri telefon bimbit. Sebabnya adalah kerana anatomi bateri litium-ion itu sendiri yang bukan sahaja menjadikannya sebagai bateri yang mempunyai antara muatan tenaga tentu tertinggi, malah dalam masa yang sama juga sangat mudah meletup apabila tidak dikendalikan dengan cermat.




Gambar anatomi telefon bimbit Sony Xperia Z dengan penutupnya ditanggalkan, mendedahkan bateri litium-ion yang digunakannya. Kemajuan perkembangan elektrokimia membawa kepada penciptaan bateri litium-ion yang kecil tetapi bertenaga, membolehkan bateri kecil berkapasiti tinggi dihasilkan bagi kegunaan telefon pintar.


Bateri litium-ion lazimnya terdiri daripada litium kobalt oksida sebagai terminal positif, karbon grafit yang diinterkalasi (dimuatkan) dengan ion-ion litium sebagai terminal negatif, serta garam litium dalam pelarut organik sebagai elektrolit. Pelarut organik inilah yang menjadikan bateri litium-ion boleh meletup atau terbakar sekiranya dicas lampau tanpa sebarang litar pengawal, berlaku litar pintas, mahupun dicampakkan ke dalam api. Lazimnya, bateri litium-ion mampu menghasilkan daya gerak elektrik dan beza keupayaan masing-masing sejumlah 4.2 volt dan 3.7 volt bagi setiap sel.

Semasa proses nyahcas apabila telefon bimbit digunakan, tindak balas elektrokimia pada terminal negatif adalah seperti berikut:-




Sementara itu pula, tindak balas pada terminal positif pula adalah seperti berikut:-




Kedua-dua proses di atas merupakan tindak balas berbalik yang boleh diundurkan semula seperti sedia kala dengan mengecas semula bateri. Namun, bateri litium-ion tidak boleh dicas lampau kerana ia boleh mengakibatkan bateri cepat "kong" akibat tindak balas tidak berbalik berikut, yang menghasilkan litium oksida dan kobalt (II) oksida:-




Sekiranya dicas lampau pada voltan berlebihan sehingga setinggi 5.2 V, maka kobalt (IV) oksida akan terhasil melalui tindak balas tidak berbalik berikut, yang juga boleh mengakibatkan bateri "kong":-




Untuk mengelakkan keadaan tersebut berlaku, setiap biji bateri litium-ion mempunyai satu litar pengawal terbina dalam bagi melindungi bateri. Litar tersebut berfungsi melindungi bateri daripada kerosakan akibat cas lampau mahupun panas lampau dengan memutuskan litar mengecas secara automatik sekiranya salah satu daripada keadaan tersebut berlaku. Selain itu, litar pengawal pada bateri litium-ion juga berfungsi mengawal kitar cas semula bateri melalui dua mod berbeza iaitu mod arus malar (CC; constant current) dan voltan malar (CV; constant voltage). Kitar cas semula dimulakan dengan mod CC, di mana arus malar mengikut kadaran arus pengecas (katakan, 1.5 A) dikenakan sepenuhnya kepada sel litium-ion. Setelah voltan sel mencapai 4.2 V (iaitu semasa bateri sudah hampir penuh), litar pengecas akan bertukar ke mod CV, yang mana voltan malar 4.2 dikenakan bagi mengekalkan daya gerak elektrik bateri tetapi arus yang dikenakan kepada bateri dikurangkan secara beransur-ansur. Setelah arus mengecas sudah menghampiri sifar, litar mengecas akan dimatikan dan bateri dianggap sebagai sudah penuh.

Namun, harus diingat bahawa litar pengawal pada bateri litium-ion boleh rosak sekiranya arus berlebihan dikenakan kepadanya, memandangkan litar tersebut merupakan litar bersepadu keadaan pepejal (solid-state) yang diperbuat daripada semikonduktor, menjadikannya begitu sensitif terhadap perubahan suhu, arus dan voltan. Litar pengawal itu sendiri juga turut memakan sedikit kuasa bateri untuk membolehkannya berfungsi. Maka, sudah tentulah bateri litium-ion akan kehilangan kuasa dengan sendirinya secara beransur-ansur, meskipun bateri tersebut tidak pernah berusik selama bertahun-tahun. Memandangkan bekalan kuasa luar perlu memasuki litar kawalan terlebuh dahulu sebelum ke bateri atau sebaliknya, maka bateri sudah tidak boleh digunakan lagi apabila voltan sel jatuh ke tahap terlalu rendah (bawah 2.9 V).




Mengenakan arus mengecas terlalu tinggi sebenarnya hanya mendedahkan peranti anda kepada risiko kebakaran mahupun letupan. Misalnya, pengecas telefon bimbit Oppo ini mempunyai kadaran arus terlalu tinggi iaitu 4.5 A, sedangkan kapasiti maksimum bateri telefon pintar Oppo hanya sekitar 3,610 mAh (Oppo N1).


Justeru, disebabkan beberapa pantang-larang yang perlu dipatuhi semasa mengecas bateri, anda tidak boleh memalamkan peranti anda pada power bank atau pengecas USB Proton Iriz tanpa mengenal pasti kadaran cas bateri telefon pintar anda terlebih dahulu sebelum memilih kadaran arus yang bersesuaian. Hukum ibu jari yang anda perlu patuhi semasa hendak mengecas ialah kadaran arus pengecas tidak boleh melebihi kadaran cas bateri. Misalnya, kadaran cas pada bateri Sony Xperia Z ialah 2,330 mAh, maka kadaran arus maksimum untuk mengecas bateri Xperia Z tidak boleh melebihi 2,330 mA (ataupun 2.33 A). Maka, saya boleh menggunakan kedua-dua port pengecas USB Proton Iriz untuk mengecas telefon bimbit Sony Xperia Z saya. Pengecas standard saya menghasilkan kadaran arus 1.5 A yang boleh dikatakan cukup selamat, tetapi saya tidak boleh menggunakan pengecas Oppo (seperti gambar di atas) disebabkan kadaran arusnya yang terlalu tinggi sehingga boleh menyebabkan letupan. Namun, adalah lebih baik jika saya menggunakan pengecas pada kadaran arus lebih rendah (1.5 A bagi kes Proton Iriz) bagi melanjutkan jangka hayat bateri. Untuk jangka hayat maksimum bateri peranti ada, ada baiknya anda mengecas peranti anda menggunakan komputer. Meskipun kadaran arus pada port USB komputer boleh dianggap terlalu kecil (500 mA) untuk mengecas bateri telefon pintar berkapasiti besar, namun kadaran tersebut sebenarnya sesuai digunakan untuk mengecas kesemua model telefon bimbit terkini.

Sebagai menutup entri kali ini, izinkan saya merumuskan semula kesemua pantang-larang yang anda perlu patuhi semasa mengendalikan bateri litium-ion seperti yang sering digunakan pada telefon bimbit:-

  1. Jangan mengecas lampau - segera matikan pengecas sebaik keadaan cas bateri sudah mencapai 100%. Menggunakan arus yang terlalu tinggi sehingga melebihi kapasiti bateri sebenarnya tidak begitu membantu untuk mempercepatkan masa mengecas; sebaliknya, ia hanya akan mendedahkan anda kepada risiko kebakaran mahupun letupan.
  2. Jangan biarkan bateri kehabisan - segera cas semula bateri sebaik keadaan cas sudah kurang daripada 10% - jangan tunggu sampai tinggal 0%...!!!
  3. Jauhi haba - haba boleh memendekkan jangka hayat bateri litium-ion; dalam kes yang lebih ekstrim pula, haba boleh mengakibatkan bateri meletup. Oleh itu, berhenti menggunakan atau mengecas telefon bimbit sekiranya telefon bimbit anda terasa panas dan biarkan ia menyejuk terlebih dahulu sebelum menggunakannya semula.
  4. Jangan bakar bateri lama, tetapi kitar semula - bateri litium-ion mengandungi pelarut organik yang mudah terbakar serta litium yang sangat reaktif. Maka, membakar bateri menggandakan risiko letupan serta kebakaran. Justeru, cara terbaik untuk melupuskan bateri-bateri lama adalah dengan menghantarkannya ke pusat kitar semula.

Ingat - kenal pasti dahulu kapasiti bateri sebelum memilih port pengecas USB pada power bank mahupun Proton Iriz bagi mengelak bencana. Harus diingat bahawa Proton, pengeluar power bank mahupun pengeluar telefon bimbit anda tidak akan sekali-kali bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kebakaran mahupun letupan yang berpunca daripada kegagalan anda untuk memilih kadaran arus mengecas yang betul dan bersesuaian dengan telefon bimbit anda; malah, sebarang tuntutan waranti mengenainya tidak akan dilayan.

Tuesday, October 14, 2014

Inovasi Jalan Raya Malaysia Bahagian 1: Persimpangan searas konflik minima / Malaysian Highway Innovation Part 1: Minimum-conflict at-grade intersection



Sedikit pengubahsuaian boleh dilakukan pada persimpangan RCUT asas yang menghubungkan Jalan Sebatu M117 dengan Lebuh AMJ FT19 sebagai langkah penambahbaikan


Salam sejahtera,

Pada hari ini (14 Oktober 2014), Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang mengadakan program Hari Inovasi KKR 2014 bertempat di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur. Sempena dengan Hari Inovasi KKR pada hari ini, saya ingin menyajikan beberapa entri menarik mengenai beberapa inovasi jalan raya yang patut dicuba di Malaysia,

Sebagai pembuka tirai, saya ingin bawakan satu rekaan persimpangan searas konflik minima untuk dicuba di beberapa batang jalan raya kembar luar bandar seperti Lebuh AMJ FT19. Seperti yang anda semua sedia maklum, persimpangan searas merupakan salah satu lokasi yang paling kerap berlaku kemalangan maut, disebabkan sifatnya yang memerlukan pengguna jalan raya yang keluar masuk simpang untuk melintasi aliran trafik dari arah bertentangan atau tepi, sekaligus mewujudkan titik konflik yang boleh menyebabkan kemalangan. Maka, satu mekanisme kawalan diperlukan bagi mengurangkan kecenderungan berlakunya kemalangan, melalui penandaan jalan raya (tanpa kawalan; hanya bergantung kepada aturan keutamaan), papan tanda berhenti serta lampu isyarat. Namun, bagaimana kalau lampu isyarat rosak...? Sudah tentulah aliran keluar masuk simpang akan jadi bercelaru...!!! Justeru, satu rekaan alternatif bagi persimpangan searas sebegini mula dibangunkan, dikenali sebagai persimpangan searas konflik minima.




Jenis pertama: Persimpangan pusingan-U tanpa lintasan (RCUT), dengan penambahbaikan


Bagaimana persimpangan konflik minima berfungsi...? Ada beberapa rekaan yang boleh dipertimbangkan bagi membangunkan persimpangan dengan konflik minima. Rekaan pertama memerlukan persimpangan jalan kecil ditukar menjadi persimpangan masuk kiri keluar kiri (LILO; left-in left out) serta sepasang pusingan U bagi membolehkan pemandu dari jalan-jalan kecil yang terpaksa membelok ke kiri untuk melakukan pusingan-U untuk ke arah berlawanan. Rekaan pertama ini dikenali sebagai persimpangan pusingan-U tanpa lintasan (RCUT; restricted crossing U-turn intersection). Namun, kelemahan utama persimpangan ini ialah pemandu dari jalan besar yang hendak membelok ke kanan akan berebut pusingan-U dengan pemandu dari jalan kecil yang juga hendak ke kanan. Maka, penambahbaikan dilakukan pada persimpangan RCUT asas dengan menambah sepasang lorong membelok (dan membelah pembahagi jalan) bagi membolehkan pemandu dari jalan besar untuk terus membelok ke kanan untuk memasuki jalan kecil tanpa berebut pusingan-U dengan pengguna jalan raya dari jalan kecil.




Peta Persimpangan Sebatu di Lebuh AMJ FT19


Cuba lihat gambar dan peta di atas. Persimpangan jenis LILO dipilih disebabkan kadar aliran trafik di Jalan Sebatu M117. Namun, rekaan sebegini ada kelemahannya - pengguna Jalan Sebatu M117 yang hendak ke kanan akan berebut pusingan-U dengan pengguna Lebuh AMJ FT19 yang hendak ke kanan ke M117. Maka, ada baiknya jika dibina sepasang lorong membelok masuk (serta membelah sedikit pembahagi jalan) untuk membolehkan pengguna Lebuh AMJ FT19 untuk membelok terus ke kanan tanpa perlu berebut pusingan-U dengan pengguna M117.




Jenis kedua: Persimpangan searas aliran berterusan (CFI)
(Kredit gambar: FHWA)




Contoh persimpangan CFI di Amerika Syarikat
(Kredit gambar: FHWA)


Jenis kedua ialah persimpangan searas aliran terus (CFI; continuous flow intersection). Rekaan persimpangan ini meminimakan konflik dengan memperkenalkan jalan-jalan kecil yang mana pemandu yang hendak ke kanan hanya perlu melintasi aliran trafik jalan besar dari arah bertentangan dan seterusnya melintasi aliran trafik jalan kecil dari arah kanan sahaja. Ia berbeza dengan pendekatan simpang empat tradisional yang memerlukan pemandu melintasi aliran trafik dari arah hadapan, kiri dan kanan sekaligus, menjadikannya lebih selamat. Namun, rekaan sebegini ada kelemahannya yang tersendiri - ia banyak memakan ruang serta memerlukan pengaturcaraan pemasaan lampu isyarat yang begitu rumit. Rekaan sebegini masih belum ada di Malaysia tetapi sudah banyak terdapat di Amerika Syarikat.

Berminat untuk membina persimpangan sebegini di Malaysia...? Untuk bacaan lanjut mengenai kedua-dua persimpangan ini, anda boleh baca entri lebih terperinci mengenai persimpangan RCUT dan persimpangan CFI di laman web Pentadbiran Lebuhraya Persekutuan Amerika Syarikat (FHWA).

Saturday, October 11, 2014

Perkara menarik (dan membosankan) dalam Bajet 2015 / Interesting (and boring) stuff in the 2015 Budget

Salam sejahtera,

Semalam (11 Oktober 2014), Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, telah selesai membentangkan Bajet 2015 dengan menggunakan tema "Ekonomi Keperluan Rakyat". Sebelum pembentangannya, Datuk Seri Najib telah memberi jaminan awal bahawa bajet kali ini menumpukan kepada pengurangan kos sara hidup. Namun, adakah ia benar-benar mampu menjana ekonomi keperluan rakyat ataupun ekonomi kehendak rakyat...? Adakah ia berupaya membantu meringankan beban kos sara hidup seperti yang dicanangkan...? Sama-sama kita kaji mengenainya...!!!

Memandangkan ada banyak perkara yang disebut dalam pembentangan bajet negara setiap tahun, seperti biasa saya hanya akan lebih memfokuskan kepada sektor pengangkutan dan automotif sahaja, dengan menyentuh sedikit bidang ekonomi selaras dengan tema bajet kali ini. Bagi sektor automotif, ada satu berita baik dan dua berita buruk, jadi saya mulakan dahulu dengan berita baik dalam Bajet 2015 ini. Satu-satunya berita baik dalam sektor automotif ini ialah pengumuman Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dikenakan kepada petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG). Itu sahaja. Namun, sudah tentulah ramai yang tidak akan menganggapnya sebagai "berita baik", memandangkan "rasionalisasi subsidi" tatkala harga minyak dunia turun akan diteruskan secara berperingkat-peringkat sehingga tiada lagi subsidi bahan api yang akan diberikan. Anda pasti boleh menjangkakan ramai pihak yang bakal naik minyak kerana harga minyak memang akan naik seperti yang telah diduga. 

Jadi apakah jalan penyelesaian yang bakal diambil oleh Datuk Seri Najib bagi menghadapi kemarahan rakyat yang masih meluap-luap susulan kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini...? Teruskan membaca untuk mengetahuinya.

Selain itu, insentif pengecualian duti eksais oleh kerajaan bagi kereta hibrid pemasangan tempatan (CKD) yang bakal berakhir pada 31 Disember 2015 tidak akan disambung. Maka, kita boleh jangkakan jumlah jualan kereta hibrid yang sekarang ini sudah menyusut berikutan penghentian insentif pengecualian duti import dan eksais bagi kereta hibrid import (CBU) pada 31 Disember 2013 akan terus menyusut lagi pada tahun 2016. Apa tidaknya, buat masa sekarang ini hanya Honda dan Mercedes-Benz sahaja yang memanfaatkan insentif tersebut. Begitu juga dengan jualan kenderaan elektrik yang amat mengecewakan berikutan ketiadaan sambutan daripada pengguna - apa tidaknya, stesen mengecas pun tak ada; kalau ada pun, ia terlalu sedikit dan boleh dibilang dengan jari.

Sekarang kita beralih pula kepada sektor pengangkutan. Memandangkan harga minyak sudah naik, maka tumpuan seharusnya lebih diberikan kepada pembangunan rangkaian pengangkutan awam, terutamanya pengangkutan rel yang terbukti lebih cekap tenaga berbanding kereta. Rasional kenapa pengangkutan rel memerlukan lebih perhatian adalah bagi mengurangkan bilangan kenderaan di kawasan metropolitan utama yang menjadi punca kepada peningkatan beban subsidi bahan api, sekaligus membolehkan harga bahan api setidak-tidaknya dikekalkan untuk jangka masa yang lebih lama. Selain itu juga, layanan yang diberikan terhadap sistem pengangkutan jalan raya berbanding sistem pengangkutan rel juga sangat berat sebelah - tatkala berbilion ringgit wang sanggup dibelanjakan untuk membangunkan rangkaian jalan raya baharu, sistem pengangkutan rel pula masih di takuk lama.

Malangnya, dalam Bajet 2015 ini, tumpuan masih lebih banyak diberikan kepada pembinaan lebuh raya baharu berbanding pembinaan landasan kereta api. Hanya dua sahaja laluan pengangkutan rel baharu yang diumumkan dalam Bajet 2015, iaitu projek MRT2 dari Selayang ke Putrajaya sejauh 56 km serta LRT3 dari Bandar Utama ke Shah Alam dan Klang. Itu sahaja. Tiada pembinaan landasan kereta api dari Mentakab ke Kuantan dan Terengganu, dan tiada peruntukan diberikan kepada Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) untuk menambah rolling stock mereka di samping memanjangkan lagi landasan kereta api Sabah ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Keningau. Malah, peruntukan untuk membeli lokomotif baharu bagi menggantikan kereta api yang musnah dalam kebakaran akibat dilanggar sebuah lori minyak yang bebal itu juga masih tidak diterima sehingga kini, meskipun JKNS sudah lama memohon peruntukan tersebut sejak September 2011. Jika dibandingkan, empat batang lebuh raya baharu bakal dibina di Lembah Klang meskipun saya sudah pun menegaskan bahawa projek lebuh raya baharu di Lembah Klang sewajarnya dibekukan dahulu kerana tidak sesuai dilaksanakan pada masa sekarang berikutan beban kos bahan api yang semakin tinggi menggunung. Malangnya, pandangan saya ini langsung tidak diberi perhatian walau sebelah mata sekalipun.

Empat projek lebuh raya tersebut ialah:-
  1. Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) berharga RM5.3 bilion sejauh 56 km - bukankah panjang keseluruhan KL MRR2 FT28 cuma 39 km sahaja...? Apa signifikannya membina sebatang lebuh raya yang bermula di KL MRR2 FT28 dan melencong jauh sebelum berakhir di FT28 juga...?
  2. Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32 sejauh 276 km dengan kos RM5 bilion - meskipun projek E32 ini wajar disambung, namun saya membantah sekeras-kerasnya sekiranya WCE masih berdegil mahu menggunakan laluan FT5 sebagai sebahagian laluan lebuh raya
  3. Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) sejauh 47 km dengan kos RM4.2 bilion - satu lagi projek lebuh raya yang dibantah keras oleh penduduk, di samping bakal menjahanamkan satu kawasan tadahan air utama di Selangor iaitu Empangan Subang.
  4. Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) sejauh 36 km dengan kos RM1.6 bilion - jika ia berakhir di Lebuhraya Karak E8/FT2 seperti yang dilaporkan sebelum ini, saya akan membantah sekeras-kerasnya kerana ia hanya bakal menyesakkan Lebuhraya Karak E8/FT2 dan MRR2 FT28; EKVE sepatutnya berakhir di Lebuhraya Rawang FT1 dekat Bandar Baru Selayang.

Dengan sebegitu banyak projek lebuh raya baharu berbanding projek landasan rel baharu, maka terbuktilah bahawa sistem pengangkutan rel di Malaysia sememangnya dianaktirikan berbanding sistem pengangkutan jalan raya. Jangan salah sangka pula; sebagai pencinta jalan raya, saya tidak menentang pembinaan jalan raya dan lebuh raya baharu, tetapi apa yang saya tuntut sekarang ialah layanan adil dan saksama bagi kedua-dua sistem pengangkutan darat tersebut tanpa berat sebelah atau pilih kasih. Sebenarnya, saya amat menyambut baik akan pengumuman pembinaan lebih banyak jalan raya luar bandar di samping projek naik taraf Lebuhraya Pan Borneo AH150 (FT1 di Sarawak, dan FT1, FT22 dan FT13 di Sabah) kepada sekurang-kurangnya jalan super two, dengan peruntukan sejumlah RM27 bilion. Namun, kerajaan perlu menyeimbangkannya dengan pembangunan sistem rangkaian landasan kereta api agar pengguna mempunyai pilihan alternatif sekiranya terpaksa berdepan dengan kenaikan harga bahan api.

Kenapa saya menggesa agar projek lebuh raya ekspres baharu ditangguhkan sementara...? Boleh dikatakan kesemua projek lebuh raya ekspres baharu dibina dengan dakwaan kononnya lebuh raya tersebut "mampu mengurangkan kesesakan jalan raya" serta merupakan "penyelesaian mutlak bagi masalah trafik". Namun, hakikat tersebut hanya benar bagi jangka masa pendek sahaja. Bagi jangka masa panjang pula, ia hanya akan menyebabkan peningkatan bilangan kenderaan berdaftar melalui permintaan teraruh (induced demand), sekaligus menyebabkan peningkatan permintaan bahan api bersubsidi. Keadaan semakin teruk apabila majoriti pemandu di Kuala Lumpur memandu kereta berseorangan. Akhirnya, ia hanya akan membawa kepada kesesakan yang jauh lebih teruk. Jika lebuh raya sesak, maka bertan-tan petrol dibazirkan begitu sahaja, di samping bertan-tan gas-gas rumah hijau yang dilepaskan ke atmosfera.

Satu contoh negara yang perlu diambil iktibar ialah China. Sejak tahun 1993, China membina berpuluh ribu kilometer rangkaian lebuh raya ekspres bagi merangsang industri automotif di sana. Hasilnya, permintaan terhadap kereta buatan China semakin bertambah, sehingga membawa kepada pembinaan lebih banyak lebuh raya ekspres baharu. Malah, peratus pertumbuhan rangkaian lebuh raya ekspres di China turut mengejutkan negara-negara maju termasuklah Amerika Syarikat yang selama ini gah sebagai negara yang mempunyai paling banyak lebuh raya capaian terkawal. Akibat daripada peningkatan mendadak bilangan kereta di China, harga minyak dunia mencanak-canak naik. Hanya setelah kerajaan China menarik balik subsidi bahan api barulah harga minyak dunia turun, kerana harga minyak yang mahal sudah tentu berupaya mengawal jumlah kereta persendirian di sana, memandangkan mereka masih ada kereta api sebagai pengangkutan alternatif.

Jadi apa yang dilakukan bagi membantu meringankan beban rakyat akibat peningkatan kos sara hidup...? Selain hanya dua sahaja laluan pengangkutan rel baharu, tiga laluan bas antarabandar ke Kuala Lumpur diperkenalkan, iaitu laluan KL-Rawang, KL-Seremban dan KL-Klang, khusus buat pekerja yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap jauh dari ibu kota, dengan diskaun tambang bulanan 30%. Namun, sudah tentulah mutu perkhidmatan bas masih diragui kerana bas masih boleh tersangkut dalam kesesakan sebagaimana kereta biasa, memandangkan bas juga menggunakan jalan raya biasa. Bagi meminimakan kos bahan api, bas elektrik bakal dihasilkan, dengan 50 buah bas dikeluarkan bagi batch pertama. Selebihnya...? Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bakal naik tahun hadapan dan dibayar 3 kali sepanjang tahun hadapan.

Jujur saya katakan, saya tidak bersetuju akan idea BR1M ini, dan saya mempersoalkan bagaimana BR1M ini dikatakan sebagai "subsidi bersasar". Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri membantah pelaksanaan BR1M yang disifatkan beliau sebagai membazir wang negara serta mendakwa bahawa ada penerima BR1M yang duduk di rumah yang selesa serta memiliki kereta baharu. Malah, majoriti daripada penerima BR1M terdiri daripada golongan yang sudah ada rumah dan kereta yang selesa - malah, dalam kes Lembah Klang, majoriti penerima BR1M terdiri daripada golongan yang memiliki dua atau lebih kereta di rumah masing-masing, dan jarang saya temui penerima BR1M yang tinggal di rumah uzur serta berpakaian lusuh dan koyak. Inikah yang dinamakan "subsidi bersasar"...? Jika ada di kalangan ahli politik yang menganggap BR1M itu satu bentuk "inovasi", maka ia sebenarnya satu lawak yang tidak kelakar langsung. Adakah BR1M itu membolehkan penerimanya sampai awal ke pejabat...? Adakah BR1M itu berupaya menjadikan seseorang itu bekerja lebih rajin sehingga mampu membuat lebih banyak kerja dan seterusnya mendapat gaji yang lebih tinggi...? Adakah BR1M membolehkan kerajaan memperoleh lebih banyak hasil dalam bentuk kutipan cukai...? Dan adakah BR1M itu berupaya meningkatkan bilangan penyokong kerajaan secara mutlak...? Jawapannya tidak sama sekali. Lainlah kalau yang diberi itu bantuan perniagaan atau pertanian secara kecil-kecilan - nasib baiklah memang ada peruntukan seumpamanya dalam Bajet 2015.

Terus-terang saya katakan bahawa BR1M itu hanyalah ibarat "kokain" yang diberikan kepada rakyat bagi mengubat ketagihan "ganja" subsidi. Lihat sahajalah, setiap tahun peruntukan untuk BR1M semakin meningkat dan bilangan penerima pun semakin bertambah dan bukannya semakin berkurangan. Di samping itu, Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (aka Pak Lah) pernah cuba memperkenalkan baucar petrol bagi menangani kemarahan rakyat semasa harga petrol dinaikkan sehingga mencecah RM2.70 seliter, paling mahal dalam sejarah Malaysia, tetapi pendekatan baucar petrol terbukti gagal sama sekali. Malangnya, Datuk Seri Najib langsung tidak mengambil iktibar daripada kegagalan Pak Lah sebelum ini tetapi tetap meneruskan rancangan pemberian BR1M sehingga menjadikan penerimanya penagih "kokain subsidi" tegar tanpa sedikit pun berusaha untuk mengubah nasib hidup. Sedangkan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) pun boleh disalahgunakan untuk membeli komik dan novel cinta dan bukannya bahan bacaan ilmiah, sebelum syarat penebusannya dipinda semula. Maka, BR1M sudah tentulah akan menggagalkan rancangan "rasionalisasi subsidi" oleh kerajaan, sebaliknya rakyat masih kekal malas berusaha mengubah nasib diri dan keluarga dan semakin menagih subsidi kerajaan. Para penagih subsidi yang cukup sempurna tubuh badan mereka sepatutnya malu dengan orang-orang kurang upaya yang masih mampu berjaya dan hidup senang-lenang tanpa mengharapkan sebarang bantuan daripada kerajaan.

Jadi apa yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan untuk meringankan beban rakyat tanpa menjadikan mereka sebagai penagih subsidi tegar...?
  1. Membekukan dahulu semua projek lebuh raya ekspres perbandaran dan memberi keutamaan kepada pembinaan lebih banyak laluan kereta api, MRT, LRT dan monorel agar dapat memberikan liputan sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh dan holistik. Peruntukan perlu diberikan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) untuk menambah rolling stock mereka agar kekerapan perjalanan dapat ditingkatkan. Landasan perlu dipanjangkan dengan membina laluan baharu dari Mentakab ke Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu (bagi kes KTMB) serta laluan dari Tanjung Aru-KKIP-Tuaran-Kota Belud dan Tenom-Keningau-Sook (bagi kes JKNS).
  2. Jika wang menjadi kekangan, maka kerajaan boleh mula menguatkuasakan sistem caj kesesakan di semua jalan masuk utama ke pusat bandar raya, yang mana bas, teksi dan motosikal dikecualikan daripada caj kesesakan tersebut. Wang yang diperolehi daripada caj kesesakan ini boleh digunakan untuk membina lebih banyak rangkaian pengangkutan rel di ibu kota. Memandangkan sistem ERP mempunyai kelemahannya tersendiri sehingga ada yang boleh terlepas daripada kutipan ERP, maka satu mekanisme baharu berasaskan teknologi AES perlu dibangunkan agar tiada kos melepas.
  3. Memperbanyakkan pasar-pasar tani yang dibuka pada setiap hari termasuk hari Ahad. Seperti yang kita semua sedia maklum, harga barangan di pasar tani lebih murah daripada di pasar biasa mahupun di kedai-kedai, berikutan ketiadaan orang tengah yang paling banyak mengaut untung. Dengan membeli secara terus daripada petani, penternak mahupun nelayan, kita bukan sahaja dapat membeli barangan dengan harga yang lebih murah, malah mereka turut memperoleh harga yang lebih setimpal dengan titik peluh mereka.
  4. Universiti-universiti perlu memberi kelonggaran kepada para pelajar untuk membolehkan mereka untuk bekerja secara sambilan. Di Jepun, hanya golongan yang berwang sahaja yang mampu belajar di universiti memandangkan tiada biasiswa mahupun pinjaman pendidikan ditawarkan; orang kebanyakan yang berhasrat untuk belajar di universiti di Jepun selalunya akan bekerja secara sambilan untuk membolehkan mereka membayar yuran. Selain membolehkan pelajar memperoleh wang untuk membayar yuran pengajian, kerja sambilan yang dilakukan itu jugalah yang sebenarnya bakal membantu mereka untuk memperoleh pekerjaan yang lebih terjamin setelah bergraduat kelak.
  5. Pada zaman harga minyak mahal ini, kerajaan seharusnya mengadakan kempen agresif untuk menggalakkan rakyat menggunakan bahan api secara berhemah, iaitu dengan menaiki pengangkutan awam, berkongsi kereta, atau setidak-tidaknya menaiki motosikal pancitan bahan api ke tempat kerja.
  6. Program siswazah tani serta siswazah niaga perlu diperkenalkan, dengan menyerap golongan graduan yang masih menganggur ke sektor pertanian dan keusahawanan agar dapat membantu mengurangkan masalah pembayaran balik pinjaman pendidikan.
  7. Kerajaan juga perlu menawarkan insentif pemotongan cukai bagi menggalakkan syarikat-syarikat menggunakan sistem pengangkutan kereta api sebagai pengangkutan utama bagi mengangkut barangan. Honda Malaysia sudah pun melaksanakannya, dan mereka berjaya membuktikan bahawa penggunaan kereta api bukan sahaja menjimatkan kos pengangkutan, malah turut mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 60%.

Kesimpulannya, Bajet 2015 masih ada kelemahannya yang masih perlu diperbaiki meskipun niat mengurangkan beban rakyat dalam mengharungi peningkatan kos sara hidup melalui Bajet 2015 sewajarnya dihargai. Pembinaan lebuh raya ekspres baharu di Lembah Klang tidak membantu langsung dalam mengurangkan kos sara hidup; sebaliknya, lebih banyak laluan sistem pengangkutan rel perlu dibina agar rakyat masih mempunyai alternatif yang lebih cekap tanpa perlu dibebani kos bahan api dan tol lebuh raya. Bagi meringankan beban kos sara hidup, kerajaan sewajarnya mewujudkan lebih banyak pasar tani harian serta menggalakkan syarikat-syarikat mengangkut barangan dengan menggunakan kereta api dan bukannya sekadar memberi BR1M yang boleh habis dibelanjakan dalam masa yang singkat. Akhir kata, kerajaan seharusnya mendengar pendapat dan rintihan rakyat dari akar umbi dan bukannya sekadar mahu mendengar pujian dan bodekan semata-mata daripada golongan pengampu agar berupaya mengambil keputusan yang lebih baik demi kesejahteraan negara.

Dua cerita korban (yang sia-sia) di Hari Raya Korban / Two stories of (unnecessary) sacrifices during Eid ul Adha



Ibadah korban yang menjadi sinonim dengan perayaan Hari Raya Aidiladha, sehingga menyebabkan perayaan besar umat Islam ini turut dikenali sebagai Hari Raya Korban


Salam sejahtera,

8 Oktober 2014 merupakan Hari Tasyriq Ketiga dalam kalendar Islam, bersamaan 13 Zulhijjah 1435 Hijrah. Ia bermaksud berakhirlah aktiviti takbir Hari Raya Aidiladha yang berlangsung selama empat hari berturut-turut, bermula sejak malam Hari Raya Aidiladha. Jadi, sempena dengan berakhirnya sambutan Hari Raya Aidiladha, maka kita mulakan dahulu entri ini dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. terhadap Nabi Ismail a.s. demi memenuhi perintah Allah s.w.t.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Hari Raya Aidiladha disambut sempena peristiwa korban oleh Nabi Ibrahim terhadap anaknya Nabi Ismail demi memenuhi perintah Allah. Pada awalnya, baginda terasa begitu berat hati untuk menunaikan perintah tersebut disebabkan naluri baginda sebagai seorang bapa, namun Nabi Ismail menenangkan ayahanda baginda supaya meneruskan pelaksanaan perintah korban tersebut. Namun, semasa Nabi Ibrahim cuba menyembelih Ismail, satu peristiwa aneh berlaku apabila pisau tajam yang digunakan sedikit pun tidak berupaya untuk melukai Ismail sehingga ia menjadi tumpul. Rupa-rupanya, Allah telah menyelamatkan Nabi Ismail dan berfirman bahawa Nabi Ibrahim sebenarnya telah berjaya menunaikan perintah korban tersebut; sebagai gantinya, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih seekor kambing. Maka, begitulah asal-usul ibadah korban yang diamalkan masyarakat Islam semasa perayaan Aidiladha, sehingga menyebabkan Hari Raya Aidiladha turut dikenali sebagai Hari Raya Korban.

Itu cerita ibadah korban yang disunatkan kepada umat Islam. Kali ini saya ingin bawakan pula dua kisah korban yang tidak sepatutnya berlaku semasa musim cuti perayaan Hari Raya Korban. Kenapa pula saya sifatkan korban tersebut sebagai "tidak sepatutnya berlaku" dan "sia-sia"...? Sebabnya ialah dua cerita korban tersebut melibatkan nyawa-nyawa manusia yang tidak bersalah, yang terkorban bukannya di hujung mata pisau tetapi di atas jalan raya.




Nahas di KM256 Lebuhraya Utara-Selatan E1 arah utara yang melibatkan dua buah lori dan lima buah kereta
(Kredit kepada: Berita Harian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)


Kisah pertama berlaku di KM256, Lebuhraya Utara-Selatan E1 arah utara selepas Terowong Menora. Ia melibatkan dua buah lori dan lima buah kereta, serta memakan dua korban dan seterusnya mencederakan 15 orang. Kedua-dua korban datang daripada sebuah Proton Saga FLX yang dilanggar secara terus oleh sebuah lori treler yang hilang kawalan akibat kerosakan brek. Kisah pemandu dan penumpang Saga FLX itu sememangnya sangat menyedihkan, kerana mereka sempat berselfie semasa memulakan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan E1 untuk pulang menyambut Aidiladha di sebelah utara. Namun, keceriaan mereka sekeluarga bertukar menjadi kisah paling menyayat hati dalam sekelip mata sahaja, apabila ibu dan adik perempuan kepada pemandu Saga FLX yang duduk di kerusi belakang maut akibat dilanggar oleh sebuah lori yang dipandu oleh si pemandu bebal yang tetap ke lorong kanan meskipun mengalami masalah brek. Hati anak mana yang tidak hancur luluh apabila menyaksikan sendiri ibu dan adik kesayangannya menjadi korban si pemandu lori bangsat itu...? Sesiapa sahaja pasti tidak mampu menahan kesedihan melihat video si anak yang memandu Saga FLX itu menelefon ayahnya mengatakan ibu dan adik perempuannya maut di depan mata angkara si bajingan lahanat itu. Si penyangak jalan raya itu tetap berdegil memandu laju di kawasan bukit dan tidak menggunakan gear rendah semasa menuruni bukit - sekarang jawablah, bagaimana dia hendak membayar kembali dua nyawa yang melayang secara sia-sia akibat kecuaiannya itu...? Menyembelih leher si pemandu treler bangsat haram jadah itu dengan menggunakan gergaji rantai pun masih memadai untuk membalas kembali penderitaan mangsa-mangsa kemalangan tersebut yang langsung tidak terbela.

Ada dua persoalan yang perlu dijawab berhubung kecelakaan jalan raya tersebut. Pertama, kenapa pemandu lori treler Hino yang hina itu tetap mahu menukar lorong ke lorong kanan meskipun dia sudah tahu breknya mengalami masalah...? Sepatutnya bila dah tahu brek bermasalah, dia sepatutnya berusaha untuk mengurangkan kelajuan dan berhenti, bukannya lagi nak memecut di lorong kanan...!!! Memang dasar pemandu bebal yang bodoh nak mampus, namun kemalangan itu tidak pula meragut nyawanya. Kalau dah tahu brek dah tak makan, cubalah guna brek kecemasan. Kalau brek kecemasan pun tak berfungsi, tukar ke gear yang lebih rendah secara beransur-ansur. Kalau itu pun masih tak mencukupi untuk memperlahankan kenderaan, matikan sahaja enjin dalam keadaan gear masuk. Itulah, dah tahu kawasan di situ berbukit curam, janganlah pandu laju. Sekarang bila sudah jadi nahas sebegini, mahukah dia membayar ganti rugi (termasuk ganti rugi nyawa) kepada kesemua mangsa yang dilanggarnya itu...?

Persoalan yang kedua pula, pemandu lori treler Hino yang hina itu mempunyai 24 rekod kesalahan trafik dan sepatutnya disenaraihitamkan, tetapi kenapa dia masih dibenarkan memandu di atas jalan raya...? Ke manakah perginya pemantauan penguatsaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)...? Jika dia sudah mengumpul sebegitu banyak rekod kesalahan lalu lintas, kenapa tidak batalkan sahaja lesen memandunya itu...? Kepada JPJ dan SPAD, sila buktikan kepada saya dan seluruh rakyat Malaysia bahawa anda semua tidak tidur...!!! Lagi satu, mana perginya penguatkuasaan had laju kenderaan berat...? Mana perginya papan tanda dwihad laju...? Sudah banyak nahas jalan raya melibatkan kenderaan berat yang dipandu laju, mahu sembelih berapa ramai lagi pengguna jalan raya baru hendak bertindak...?

Itu kisah korban pertama yang bukan sahaja menyayat hati melihat betapa hancur luluhnya hati si anak tatkala melihat ibu dan adik perempuan kesayangannya maut di depan mata, malah turut menyakitkan hati apabila memikirkan nahas seumpamanya tetap terus berlaku tanpa sebarang tindakan oleh badan-badan berwajib. Masing-masing sembang kosong tetapi akhirnya keadaan tetap sama sahaja. Inilah sikap segelintir orang kita yang sudah berjuta kali terhantuk pun masih tidak terngadah juga. Nahas seumpamanya sudah terlalu banyak kali berlaku tetapi langsung tak ambil iktibar.




Kemalangan di Lebuhraya Tun Razak FT12, yang mana melibatkan si suami dengan kedua-dua isterinya serta tiga penumpang lain
(Kredit kepada: Berita Harian)


Kisah korban kedua juga tidak kurang menyayat hati. Ia berlaku di Lebuhraya Tun Razak FT12. Ia melibatkan sebuah lagi keluarga, yang mana si pemandu kereta Perodua Alza berhasrat ingin membawa kedua-dua isterinya beraya di kampung ibunya di Felda Keratong 2. Bukan senang nak cari keluarga yang mana isteri yang ramai boleh hidup sebumbung dan boleh bergurau-senda umpama adik-beradik. Namun, malang menimpa keluarga ini apabila Perodua Alza itu hilang kawalan dipercayai berpunca daripada keadaan jalan licin akibat hujan lebat. Fenomena sebegini dipanggil sebagai aquaplaning yang menjadi musuh nombor satu pengguna jalan raya ketika cuaca hujan. Saya akan terangkan mengenainya dalam entri akan datang. Akibat aquaplaning, kereta tersebut hilang kawalan sehingga makan jalan dan bertermbung dengan sebuah bas ekspres, dan seterusnya bangkai Alza itu pula dilanggar oleh sebuah Perodua Myvi. Bezanya dengan kes pertama tadi ialah kes kali ini bukan atas faktor kecuaian manusia tetapi lebih kepada faktor cuaca.

Begitulah dua kisah korban yang tidak seharusnya berlaku pada musim cuti Hari Raya Korban. Kedua-duanya begitu tragis dan menyayat hati, dan kedua-dua nahas tersebut boleh dielakkan. Oleh itu, elakkanlah daripada menjadi korban seterusnya, kerana orang-orang tersayang menantikan kepulangan anda dalam keadaan sempurna dan bernyawa, bukannya dalam keadaan jasad sudah terbujur kaku. Akhir kata, pandulah dengan cermat dan ingatlah orang yang tersayang.

Friday, October 3, 2014

Tragedi Oktober: "Rasionalisasi subsidi bahan api" yang tidak rasional / The October Tragedy: The irrational "fuel subsidy rationalisation"



Kenaikan harga minyak mendorong kepada pembelian panik oleh pengguna pada malam sebelumnya (arkib gambar oleh: Sinar Harian)



Salam sejahtera,

Pada lewat petang 1 Oktober 2014, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) buat kesekian kalinya mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen, daripada RM2.10 seliter kepada RM2.30 seliter berkuatkuasa tengah malam 2 Oktober 2014, atas alasan "rasionalisasi subsidi" bagi "mengukuhkan ekonomi negara" serta "mengurangkan ketirisan subsidi serta penyeludupan bahan api". Kenaikan harga bahan bakar tersebut seterusnya membangkitkan kemarahan rakyat (kecuali pengusaha kedai motosikal dan basikal) seperti biasa - bukan sahaja dari kalangan penyokong pembangkang, malah dari kalangan penyokong kerajaan sendiri. Ada juga yang memberikan respons sinis dengan ucapan-ucapan seperti "terima kasih Najib" dan sebagainya.

Terus-terang saya katakan, saya sebenarnya sudah letih kerana terpaksa bercakap mengenai perkara yang sama berulang-ulang kali, tetapi pihak yang dipertanggungjawabkan pula langsung tidak pernah mengambil iktibar. Setiap kali harga minyak dinaikkan, setiap kali itu jugalah kerajaan berjanji hendak menambah baik sistem pengangkutan awam, tetapi hakikatnya pengangkutan awam tetap di takuk lama - sudahlah kurang liputan, lama pula hendak menunggu, kalau dapat naik pun terpaksa bersesak-sesak ibarat tin sardin. Itu baru di Kuala Lumpur, bagaimana pula dengan tempat-tempat lain...? Cadangan projek landasan kereta api dari Mentakat ke Terengganu pernah dicanangkan sebelum ini tetapi sehingga kini senyap begitu sahaja. Akibatnya, ramai pemandu lori mengambil jalan singkat untuk "menjimatkan kos penghantaran" dengan membawa muatan berlebihan. Sebab itulah banyak jalan raya terutamanya Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 dan Lebuhraya Tun Razak FT12 selalu rosak. Bas ekspres pula...? Harapkan tambang sahaja semakin mahal, tetapi keselamatan semakin terancam disebabkan ramai pemandu bas ekspres yang memandu melebihi had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya atas alasan mahu mengejar trip, meskipun mereka sepatutnya sedar bahawa kenderaan berat yang dipandu laju sebenarnya semakin pelahap, berbanding kereta biasa yang mana tahap kelajuan 90-110 km/j merupakan zon ekonomi maksimum (iaitu, penggunaan bahan api paling jimat dan paling optimum pada kelajuan tersebut). Maka, kita boleh jangkakan bahawa semua situasi yang telah saya ceritakan ini sudah tentu akan menjadi semakin parah apabila harga minyak dinaikkan. Sebab itulah "rasionalisasi subsidi bahan api" (atau lebih mudah disebut sebagai kenaikan harga petrol) kali ini sememangnya tidak rasional sama sekali.

Kenapa "rasionalisasi subsidi" kali ini tidak rasional sama sekali...?

Pertama, harga petrol RON95 dinaikkan tatkala harga minyak dunia sedang turun. Menurut KPDNHEP, harga sebenar RON95 sekarang ialah sekitar RM2.58 seliter. Dengan kata lain, kerajaan hanya mensubsidi sekitar 28 sen seliter sahaja hasil kenaikan harga bahan bakar tersebut. Memang saya akui kerajaan sekarang terpaksa menanggung beban subsidi yang begitu tinggi sehinggakan Malaysia dilabelkan sebagai antara negara yang paling banyak memberi subsidi kepada rakyat, namun pemasaannya pula tidak kena sama sekali. Sebab itulah rakyat mempersoalkan dan mempertikaikan rasional kenaikan harga minyak kali ini. Sudahlah harga minyak Malaysia naik pada waktu harga minyak dunia turun, naik banyak pula tu. Kalau naik 5 sen sahaja tak apa lagi. Jika harga minyak Malaysia naik pada waktu harga minyak global sedang turun, maka sudah tentulah sesiapa sahaja (termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sendiri) akan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada pengurusan ekonomi negara.

Kedua, rangkaian pengangkutan awam masih lagi di takuk lama tanpa sebarang penambahbaikan. Bukan sekali dua rakyat marah akan kenaikan harga minyak, tetapi sudah banyak kali. Dan sudah banyak kali jugalah kerajaan berjanji untuk menambah baik rangkaian pengangkutan awam hasil penjimatan subsidi bahan bakar sebagai ubat tutup mulut. Namun, hakikat sebenar yang berlaku ialah sistem rangkaian landasan kereta api di Malaysia tetap sama sahaja sejak zaman penjajah sehingga sekarang (malah, sebenarnya semakin berkurang kerana ada laluan yang sudah pun ditutup dan dicabut landasannya). Sebelum ini pernah dicanangkan satu laluan kereta api dari Mentakab ke Kuantan dan Kuala Terengganu sebelum bercantum kembali di Kelantan, tetapi malangnya ia hanya sekadar sembang kosong semata-mata. Akibat ketiadaan landasan kereta api di pantai timur, maka bilangan lori-lori yang terlebih muatan juga semakin bertambah sehingga merosakkan jalan raya, mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) setiap tahun akibat terpaksa membaiki jalan yang sering rosak akibat lori-lori lebih muatan tersebut. Di Sabah pula, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sudah berkali-kali menghantar permohonan untuk mendapatkan peruntukan bagi menambah panjang landasan serta menambah bilangan rolling stock, tetapi sehingga sekarang langsung tiada peruntukan yang diterima. Malah, kereta api baharu yang musnah dalam kebakaran akibat dilanggar lori tangki minyak yang bebal itu pula langsung tidak berganti akibat sikap tidak bertanggungjawab oleh pihak pesalah yang langsung tidak membayar pampasan. Jadi bagaimana rakyat hendak beralih kepada pengangkutan awam jika rangkaiannya sendiri tidak meluas di samping tahap perkhidmatan yang teruk...?

Sebab yang terakhir ialah dasar pengangkutan negara sendiri yang lebih cenderung memihak kepada penggunaan kenderaan persendirian (terutamanya kereta) daripada pengangkutan awam atau setidak-tidaknya motosikal. Jika dibandingkan di negara-negara yang lebih maju seperti Singapura, Jepun, United Kingdom dsb., mereka bertindak balas terhadap kenaikan harga bahan bakar dengan menambah baik pengangkutan awam serta menjalankan beberapa dasar bagi mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian di pusat bandar raya. Contohnya, Singapura menjalankan dasar mengehadkan bilangan kenderaan persendirian dengan mengenakan bayaran tinggi bagi surat COE (Sijil Kelayakan) kenderaan, yang hanya boleh diperbaharui sekali sahaja sebelum ia dilupuskan, di samping penguatkuasaan ERP (Sistem Harga Jalan Elektronik) serta galakan kepada rakyat untuk menggunakan rangkaian pengangkutan awamnya. Begitu juga dengan United Kingdom apabila pihak berkuasa bandar raya London mengenakan caj kesesakan pada kenderaan persendirian yang memasuki pusat bandar raya bagi mengurangkan bilangan kenderaan di sana. Namun, berbeza pula situasinya di Malaysia apabila kerajaan seolah-olah semakin menggalakkan rakyat berkereta di Kuala Lumpur, meskipun mereka tahu masalah minyak mahal, tol mahal, petak parkir kurang dan kadar kemalangan yang tinggi. Ia dibuktikan melalui lima projek lebuh raya baharu di Lembah Klang (tidak termasuk projek Lebuhraya Duke E33 Fasa 2), berbanding hanya tiga sahaja projek pengangkutan awam yang sedang berlangsung. Terus-terang saya katakan, projek-projek lebuh raya baharu ini sebenarnya hanya menambah parah akan masalah beban subsidi bahan api yang tinggi menggunung, kerana lebuh raya baharu ini membawa kepada peningkatan bilangan kenderaan di ibu kota melalui permintaan teraruh (induced demand) - bilangan kenderaan yang bertambah pula akan menyebabkan permintaan bahan api bertambah dan seterusnya membawa kepada beban subsidi yang bertambah. Saya akan ulas lebih lanjut mengenainya dalam entri Mythbuster akan datang.

Namun, adalah tidak adil sekiranya anda menyalahkan kerajaan 100% dalam isu ini, kerana sebenarnya terdapat juga badan kerajaan yang turut menjadi mangsa keadaan seperti kita juga. Badan yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Jabatan Kerja Raya (JKR). Akibat kenaikan harga minyak, sudah tentulah semakin banyak kes-kes lori mengangkut barang berlebihan sebagai jalan pintas untuk memaksimumkan keuntungan tatkala harga bahan api semakin mencanak naik. Akibat muatan berlebihan, tegasan yang terlalu tinggi ditumpukan kepada hanya dua gandar sahaja, menyebabkan jalan sering rosak, di samping kilasan tinggi daripada tayar lori yang boleh merosakkan permukaan jalan. Akibat lori-lori lebih muatan ini, JKR mengalami kerugian berjuta-juta ringgit kerana terpaksa memperbaiki jalan raya yang terjejas, sedangkan peruntukan yang diperolehi mereka sangat terhad.




Menurut Honda Malaysia, sistem pengangkutan rel mampu mengurangkan kos pengangkutan dengan ketara serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 60%


Jadi apa yang boleh dilakukan dalam menghadapi kenaikan harga petrol yang semakin membebankan ini...? Menyelesaikan masalah harga bahan api di Malaysia ini sebenarnya tidaklah semudah mencanangkan harga minyak turun semata-mata seperti yang dituntut oleh Pakatan Rakyat. Sebaliknya, satu-satunya cara yang lebih berkesan untuk menyelesaikan kemelut harga bahan api hanyalah dengan mengurangkan permintaan terhadap bahan api, yang bermaksud mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian serta menggantikan penggunaan lori kepada kereta api bagi penghantaran barang jarak jauh. Honda Malaysia sudah pun menunjukkan contoh terbaik dengan menggunakan kereta api bagi penghantaran komponen-komponen kereta ke Stesen Kereta Api Pulau Sebang / Tampin sebelum diangkut ke kilang di Alor Gajah menggunakan lori. Menurut Honda Malaysia, penghijrahan kepada penggunaan kereta api bukan sahaja menurunkan kos pengangkutan, malah mereka juga berupaya menjimatkan masa penghantaran komponen-komponen kereta serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 60%.

Bagi warga kota pula, inilah masanya untuk berhijrah kepada penggunaan motosikal sebagai kenderaan utama untuk ke tempat kerja. Bukannya hina pun kalau naik motor ke tempat kerja, sebaliknya banyak manfaatnya jika bermotosikal ke tempat kerja - jimat minyak, tak perlu bayar tol, mudah diparkir, mudah mencelah semasa kesesakan jalan raya, dan kos penyelenggaraan pun murah. Satu-satunya kelemahan motosikal hanyalah ketika hari hujan. Itu sahaja.






Zaman harga minyak naik merupakan masa paling sesuai untuk berhijrah kepada motosikal pancitan bahan api seerti Modenas 118EFI (gambar atas) dan Yamaha Lagenda 115ZR Fuel Injection (gambar bawah)




Kit penukaran ke sistem pancitan bahan api oleh Ecotrons berharga USD399 (lebih kurang RM1,300), boleh dibeli secara dalam talian di http://www.ecotrons.com


Kalau pun anda bercadang hendak membeli motosikal bagi menggantikan kereta, ada baiknya jika anda terus memilih model pancitan bahan api kerana ia terbukti jauh lebih jimat bahan api berbanding model berkarburetor. Bagi yang memang sudah memiliki motosikal tetapi menggunakan karburetor, anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk membeli set sistem pancitan bahan api. Berapa pula ongkosnya...? Bagi satu set penukaran pancitan bahan api oleh Ecotrons, ongkosnya adalah lebih kurang RM1,300 (USD399). Saya tahu ia memang mahal, tetapi sekurang-kurangnya ia berbaloi untuk perjalanan jauh mahupun untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari. Saya sendiri pun sedang mempertimbangkan untuk menukar sistem karburetor motosikal saya kepada pancitan bahan api kerana tidak tahan akan kos bahan api yang semakin tinggi, lebih-lebih lagi saya perlu berulang-alik jauh dari tempat kerja.

Namun, masih ramai juga golongan dangkal yang masih berdegil berkereta seorang diri ke pejabat tanpa mengangkut banyak muatan, dan tetap tidak mahu berhijrah kepada penggunaan motosikal atau pengangkutan awam atas alasan "penggunaan kereta itu satu keperluan". Dakwaan tersebut ternyata dakwaan dangkal sama sekali. Ya, memang memiliki kereta itu satu keperluan, tetapi ia hanya benar bagi golongan berkeluarga serta yang sering mengangkut banyak barangan mahupun manusia. Itu sahaja. Kalau anda berkereta ke pejabat, apa pula yang anda dapat selain dapat berlindung ketika hujan dan dapat menikmati penyaman udara ketika hari panas...? Kereta lebih kuat makan minyak berbanding motosikal, hatta kereta hibrid sekalipun. Kalau tersangkut dalam kesesakan, lagilah banyak minyak dibazirkan (kecuali kereta elektrik, kereta hibrid dan kereta biasa yang dilengkapi ciri hentian melahu seperti pada teknologi Mazda Skyactiv). Nak cari parkir pun payah. Kalau parkir menghalang, dengan pantas lori tunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang untuk menunda kereta tersebut dan pemilik kereta sudah tentu akan disaman. Setiap kali berulang-alik ke tempat kerja, jalan raya sering sesak sehingga ada kalanya anda dimarahi bos kerana lewat tiba di pejabat. Paling teruk, anda telah membazirkan lebih 80% daripada kapasiti muatan kereta sekiranya anda berkereta seorang diri sahaja ke tempat kerja, sedangkan anda sepatutnya memanfaatkan baki empat perlima kapasiti muatan itu dengan menumpangkan jiran-jiran berhampiran yang menggunakan laluan yang sama, selain membazirkan lebih banyak minyak petrol yang berharga.

Jadi, berbaloikah anda berkereta ke pejabat kalau beginilah azab yang perlu anda harungi setiap hari...? Anda sendiri yang menyumbang kepada peningkatan mendadat permintaan bahan api, anda juga yang banyak membazirkannya, dan anda juga yang mencipta bala kenaikan harga minyak akibat permintaan yang semakin tinggi, kenapa hendak salahkan orang lain pula...? Dan tahukah anda berapa banyak harga minyak boleh diturunkan jika dan hanya jika semua warga Lembah Klang berhijrah kepada penggunaan motosikal atau pengangkutan awam yang terbukti jauh lebih jimat minyak...? Jangan jadi terlalu manja sangat. Generasi terdahulu hanya sekadar berbasikal, menaiki bas ataupun paling malas pun bermotosikal sahaja ke tempat kerja, tetapi mereka tidak pernah pun mati kebuluran. Gaji mereka jauh lebih kecil daripada kita, tetapi mereka tetap memperoleh perbelanjaan mencukupi untuk sekeluarga setiap bulan. Sekarang...?

Terus-terang saya katakan, orang-orang kita sekarang ramai yang sudah kufur nikmat semasa taraf hidup mereka sudah semakin meningkat. Mereka tahu kereta lebih kuat makan minyak daripada motosikal, perlu membayar tol yang mahal, susah nak cari parkir, boleh tersangkut hingga berjam-jam lamanya dalam kesesakan jalan raya (yang memang terhasil daripada golongan seperti mereka juga), tetapi mereka masih enggan berubah kepada pengangkutan awam mahupun motosikal. Malah, lagi dihinanya penunggang motosikal dan pengangkutan awam itu adalah. Bila terperangkap dalam kesesakan jalan raya, mulalah ada pemandu bebal yang membuat onar seolah-olah jalan raya itu milik mak bapak mereka sahaja. Akibat onar yang dihasilkan oleh beberapa ekor mangkuk hayun itu, mulut pengguna jalan raya lain terkumat-kamit dengan sumpah-seranah dan maki-hamun. Dah buat dosa tak fasal-fasal. Bila jalan sesak, akhirnya masuk pejabat pun lambat. Tapi bila nak balik, punyalah laju nak keluar pejabat. Masa di pejabat pula bukannya diisi 100% dengan tugasan yang diberikan, tetapi sempat mencuri tulang melayan Facebook dan Candy Crush di samping mengumpat sesama rakan sekerja. Buat kerja tidak sampai pun 8 jam sehari tapi gaji tetap 8 jam sehari. Sebab itulah ada duit haram di dalam gaji sehingga menghilangkan keberkatannya. Duit gaji itu kemudiannya digunakan untuk memberi makan anak dan isteri. Akibatnya, anak-anak membesar menjadi budak jahat yang biadab, manakala si isteri pula sering merungut akibat duit belanja dapur yang sering tidak mencukupi. Maka, beban kos sara hidup yang semakin menekan ini sebenarnya berpunca daripada hilangnya keberkatan pada gaji masing-masing, yang dicemari dengan duit haram akibat curi tulang, mengumpat dan melayan Facebook ketika bekerja. Nah, bila gaji dirasakan tak mencukupi, semakin banyak pula sumpah-seranah terhadap kerajaan. Sebab itulah semakin banyak keberkatan rezeki dan rahmat yang ditarik oleh Allah daripada golongan-golongan bebal sebegini.

Puak-puak bebal yang hanya tahu memaki-hamun kerajaan setiap kali harga minyak naik sepatutnya berasa malu dengan orang-orang kampung yang majoritinya hanya berpendapatan sepertiga sahaja daripada pendapatan warga kota tetapi mampu hidup senang-lenang tanpa banyak dibebani hutang serta kos sara hidup yang tinggi. Jika dibandingkan, orang kampung hanya menggunakan bahan api mengikut keperluan sahaja. Mereka sekadar bermotosikal sahaja untuk ke kebun, ke kedai mahupun ke masjid. Mereka hanya menggunakan kereta apabila membawa banyak barangan, ramai orang, mahupun ketika hari hujan. Kalau mahukan sayur-sayuran atau daging, mereka hanya perlu petik sahaja di kebun ataupun menyembelih seekor haiwan ternakan; jika tiada barulah mereka membeli di luar. Tatkala warga kota berdepan dengan kos sara hidup tinggi serta hutang keliling pinggang, warga desa pula mampu memiliki rumah tanpa berhutang; selain belanja dapur, mereka hanya perlu bayar hutang kereta dan seterusnya boleh menyimpan wang untuk menunaikan haji.

Seperti biasa, setiap kali harga minyak naik maka semakin meriahlah pesta naik harga barang. Harga minyak naik 20 sen sahaja seliter, tetapi setiap harga barangan pula naik berlipat kali ganda daripada kenaikan harga minyak, seolah-olah setiap satu barangan diangkut satu demi satu menggunakan lori, sedangkan sebuah lori mampu mengangkut jauh lebih banyak barangan mengikut kapasiti maksimumnya. Lintah darat sebenar dalam isu harga barangan naik ini tidak lain dan tidak bukan ialah orang-orang tengah, yang membeli barangan mentah daripada petani, penternak dan nelayan dengan harga yang terlampau rendah dan tidak setimpal, dan seterusnya menjualnya kembali dengan harga yang lebih mencekik darah, dengan menggunakan alasan "harga minyak naik" sebagai modal. Ironinya, golongan sebeginilah antara golongan yang paling banyak menyalahkan kerajaan atas kenaikan harga barangan, sedangkan kenaikan harga barangan itu sebenarnya berpunca daripada mereka sendiri yang mengetuk margin untung terlampau tinggi tatkala rakyat dibebani kos sara hidup.

Jadi bagaimana hendak mengajar orang-orang tengah pemark-up harga keparat ini...? Cara terbaik adalah dengan membeli bekalan sayur-sayuran, ayam, daging, ikan dan produk pertanian lain terus daripada petani, penternak dan nelayan sendiri. Namun, tidak semua yang mampu hendak ke tepi laut semata-mata untuk mendapatkan sekilogram ikan. Tidak semua yang sanggup meredah jalan tanah merah ke kebun sayur semata-mata hendak mendapatkan seikat sawi. Tidak semua yang sanggup berdepan dengan bau busuk tahi ayam semasa hendak ke ladang ternakan ayam semata-mata untuk membeli seekor ayam. Sebagai alternatif, sebuah lagi agensi kerajaan iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), salah satu badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), telah pun mengambil inisiatif mewujudkan pasar tani bagi membolehkan orang ramai membeli produk-produk pertanian terus daripada petani, penternak dan nelayan dengan harga yang lebih murah tetapi masih setimpal dengan titik peluh mereka. Di Sabah pula, anda boleh membeli sayur-sayuran dengan harga lebih murah di tamu-tamu berhampiran, yang mana merupakan asal-usul bagi konsep pasar tani yang diadakan sekarang.

Jadi di mana hendak mencari pasar tani terdekat...? Sila rujuk senarai yang dilampirkan untuk lokasi pasar tani terdekat:-


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.




Selain itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Pengangkutan (MOT) juga perlu mengubah dasar pengangkutan negara dengan memberi lebih tumpuan terhadap rangkaian pengangkutan awam daripada pengangkutan persendirian. Seperti yang telah saya katakan tadi, pembinaan lebuh raya baharu di Lembah Klang bukan setakat tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya secara holistik dalam jangka masa panjang, malah pembinaan lebuh raya baharu sebenarnya hanya akan menyumbang kepada kesesakan yang lebih parah pada masa akan datang berikutan pertambahan bilangan kenderaan akibat permintaan teraruh (induced demand), di samping meningkatkan beban subsidi yang bakal dipikul oleh kerajaan. Justeru, saya ingin menyeru kepada KKR dan MOT agar membekukan dahulu kesemua projek lebuh raya ekspres di Lembah Klang (kecuali Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 yang memang sedang berlangsung) buat sementara waktu dan memberi keutamaan kepada pembinaan lebih banyak landasan kereta api, LRT dan monorel.




Contoh graf lengkuk kuasa dan kilasan bagi lori Scania G 460 CA 4x6 EHZ dengan enjin turbodiesel 12.7 L 6 silinder sebaris
(Sumber: Scania Malaysia)


Di samping itu juga, Kementerian Pengangkutan juga perlu meminda Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedia ada bagi menguatkuasakan had laju maksimum mandatori 90 km/j bagi semua kenderaan berat, dengan toleransi sifar - pemandu kenderaan berat yang memandu antara 91-110 km/j wajar disaman RM300, manakala pemandu kenderaan berat yang memandu melebihi 111 km/j pula wajar dibatalkan lesen memandu mereka. Rasional penguatkuasaan had laju kenderaan berat yang lebih ketat ini adalah kerana sifat enjin diesel itu sendiri yang semakin kuat makan minyak apabila kelajuan enjin semakin bertambah, memandangkan kelajuan enjin dikawal dengan mengawal jumlah masukan bahan api sahaja ke enjin (tiada kawalan masukan udara kerana enjin diesel memang membakar bahan api dalam udara berlebihan). Buktinya, dalam graf lengkuk kuasa kuda dan tork bagi lori Scania yang dilampirkan di atas, tork enjin menjunam dengan ketaranya selepas 1,350 rpm, menyebabkan enjin semakin kuat makan minyak pada kelajuan melebihi 1,350 rpm. Maka, lori dan bas yang dipandu pada kelajuan 110 km/j jauh lebih kuat makan minyak berbanding kenderaan sama yang dipandu pada kelajuan 90 km/j.

Kesimpulannya, tragedi Oktober berupa kenaikan harga bahan api baru-baru ini sememangnya tidak rasional sama sekali kerana ia berlaku tatkala harga minyak dunia sedang turun. Namun, kenaikan harga petrol kali ini menunjukkan ada yang tidak kena pada ekonomi negara kita, kerana beban subsidi masih bertambah meskipun harga minyak dunia sudah turun. Beban subsidi yang semakin tinggi menggunung itu adalah berpunca daripada peningkatan bilangan kenderaan di atas jalan raya akibat kebergantungan yang tinggi terhadap kenderaan persendirian. Justeru, satu-satunya cara untuk mengurangkan beban subsidi (dan seterusnya menurunkan harga minyak) adalah dengan mengurangkan kebergantungan terhadap kereta dan sebaliknya beralih kepada kenderaan yang lebih cekap tenaga seperti motosikal dan pengangkutan awam, sesuai dengan situasi majoriti pemandu kereta di ibu kota yang hanya memandu bersendirian ke pejabat. Namun, sikap warga kota yang enggan berubah menyebabkan kemelut subsidi bahan api masih tidak berkesudahan. Terus-terang saya katakan bahawa saya sudah letih kerana asyik bersuara mengenai perkara sama berulang kali tetapi orang-orang kita masih tidak mengambil iktibar. Jika hendak marahkan kerajaan, anda sepatutnya marahkan kerajaan kerana tidak bersedia dengan pendekatan alternatif seperti membangunkan rangkaian pengangkutan awam agar rakyat lebih bersedia menghadapi kenaikan harga minyak, dan bukannya marahkan kerajaan kerana menaikkan harga minyak itu sendiri. Akhir sekali, ingatlah bahawa Allah akan melipatgandakan rezeki kepada orang-orang yang bersyukur dan akan menarik balik rezeki daripada orang-orang yang kufur nikmat.