Monday, March 11, 2019

Mythbuster: Kutipan tol bukan semata-mata untuk penyelenggaraan sahaja / Toll collection is not just for maintenance only



Daripada sibuk bising mengenai tol, berterima kasihlah kepada semua kakitangan syarikat konsesi termasuk jurutol & kakitangan penyelenggaraan kerana menjadikan perjalanan anda lebih selesa dengan sedikit bayaran


Salam sejahtera,

Ramai yang mempersoalkan kenapa kadar tol lebuh raya ekspres yang perlu dibayar setiap kali menggunakannya itu terasa mahal, tanpa menyedari bahawa kadar tol yang dibayar itu sebenarnya terlalu murah dan tidak setimpal dengan khidmat yang diberikan kepada pengguna - dengan kata lain, mahu servis lebuh raya bertaraf dunia tetapi kadar tol bertaraf tandas awam. Adilkah begitu...? Ada juga yang memang sedar akan kepentingan tol bagi memastikan lebuh raya terus terjaga, tetapi mahu kadar tol yang dikenakan itu hanya merangkumi kos penyelenggaraan dan hanya penyelenggaraan sahaja, tanpa menyedari bahawa pekerja penyelenggaraan & jurutol masih ada isteri & anak untuk disara. Hari ini saya akan tunjukkan kepada anda kenapa kadar tol yang kita bayar bukan sekadar untuk penyelenggaraan semata-mata.

Pertama sekali, saya ingin tegaskan kepada anda semua bahawa syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres mengguna pakai model perniagaan lebuh raya ekspres sebagai perkhidmatan (expressway as a service). Model perniagaan ini bermaksud pengguna yang menggunakan lebuh raya ekspres berhak menikmati segala bentuk perkhidmatan yang disediakan di sepanjang lebuh raya, termasuklah khidmat lori tunda percuma, tandas awam percuma, dan yang paling penting, lebuh raya yang sentiasa diselenggara dan berturap cantik - selagi pengguna membayar tol dengan kadar yang setimpal dengan khidmat yang diberikan. Bagi yang tidak menggunakan lebuh raya ekspres pula tidak perlu membayar tol kerana mereka memang tidak merasa segala perkhidmatan yang ada di lebuh raya seperti yang telah saya sebutkan. Model perniagaan ini samalah seperti model perniagaan perisian sebagai perkhidmatan (software as a service) yang diguna pakai dalam Microsoft Windows 10, Adobe Creative Cloud, Apple iOS & khidmat kemas kini Android oleh para pengeluar telefon pintar yang menggunakan Android.




Konsep "lebuh raya sebagai perkhidmatan" (expressway as a service) adalah hampir sama seperti konsep "perisian sebagai perkhidmatan" (software as a service) seperti pada Windows 10








Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya menawarkan perkhidmatan penundaan percuma, khidmat pelanggan & prasarana seperti hentian rehat khas untuk pembayar tol - nikmat apa lagi yang hendak didustakan...?
(Kredit gambar: PLUS Malaysia)


Model lebuh raya ekspres sebagai perkhidmatan sebenarnya bermula daripada peringkat pembinaan  sesebuah lebuh raya ekspres itu lagi. Untuk pengetahuan anda, kerajaan sama sekali tidak mengeluarkan duit walau sesen pun untuk membina lebuh raya ekspres. Sebaliknya, syarikat konsesi pula yang memohon pinjaman bank bagi membiayai pembinaan lebuh raya ekspres, di samping sebagai modal awal bagi syarikat konsesi untuk menguruskan lebuh raya ekspres kendalian mereka, termasuklah melatih para pekerja serta bagi menyerap kerugian yang selalunya dialami pada tahun-tahun terawal operasi sebelum mula mencatatkan keuntungan sebaik kadar trafik harian purata (ADT) mencapai kadar minimum yang diperlukan untuk mendapat keuntungan.

Kenapa syarikat konsesi pula yang kena pinjam duit untuk bina lebuh raya ekspres...? Kenapa tidak kerajaan sendiri yang keluarkan duit & bina...? Untuk pengetahuan anda, lebuh raya ekspres merupakan jenis jalan raya yang menduduki tangga teratas dalam hirarki jalan raya dari segi keutamaan laluan, kapasiti trafik, kelajuan operasi, darjah kawalan masuk, tahap kejuruteraan & kos pembinaannya. Apa pula yang menjadikan kos pembinaan lebuh raya ekspres sangat mahal...? Untuk membolehkan lebuh raya ekspres menyokong kelajuan reka bentuk 120 km/j, lebuh raya ekspres perlu dibina selurus mungkin, dengan kecerunan selandai mungkin, dan jejari selekoh sebesar mungkin. Selain itu, lebuh raya ekspres tidak boleh ada sebarang lintasan searas dengan mana-mana jalan raya lain serta keluar masuk lebuh raya ekspres hanya boleh melalui persimpangan bertingkat berlainan aras & dihadkan bilangannya. Untuk mengelakkan daripada pencerobohan haiwan atau manusia yang boleh membawa ancaman pelanggaran, maka lebuh raya ekspres perlu dipagar di sepanjang laluannya. Maka, sudah tentulah ia memerlukan banyak kerja-kerja penarahan bukit, penambakan tanah, serta pembinaan banyak struktur seperti jambatan, jejambat & terowong, yang tentunya melibatkan penggunaan banyak modal insan & jentera pembinaan, membawa kepada kos pembinaan yang sangat tinggi. Oleh kerana kos pembinaannya yang terlalu mahal, maka kerajaan terpaksa menswastakan pembinaannya kepada syarikat konsesi yang dilantik, yang seterusnya diberi kuasa mengutip tol bagi mendapatkan pulangan semula duit pinjaman bank yang dilaburkan untuk membina & menguruskannya.

Jadi kenapa pula anda kena bayar tol untuk menampung kos pembinaan lebuh raya...? Fikirkan logik berikut. Pernahkah anda terfikir kenapa anda perlu bayar parkir setiap kali anda meletak kereta di petak letak kereta awam di bangunan & pusat beli-belah...? Mudah sahaja jawapannya - kerana pemilik bangunan itulah yang membina bangunan & medan letak kereta itu. Jadi sudah tentulah mereka mahu mendapatkan kembali wang yang dilaburkan untuk membina bangunan yang dilengkapi medan letak kereta. Sebagai tuan tanah, sudah tentulah mereka ada hak. Cuba bayangkan apa perasaan anda apabila ada orang yang sesuka hati memparkir kereta di hadapan rumah anda tanpa membayar walau sesen pun kepada anda...? Begitu jugalah dengan lebuh raya ekspres. Ingat, status pemilikan lebuh raya ekspres ialah sebagai jalan persendirian - atau lebih tepat lagi, jalan persekutuan pengurusan persendirian. Jadi, sebagai orang yang menumpang lalu di lebuh raya milik orang lain, hormatilah hak tuan tanah ya. Jangan jadi seperti rejim Zionis yang menganggap "hak orang hak aku, hak aku tetap hak aku".




Pemandu menumpang letak kereta di petak parkir milik DBKL, maka DBKL selaku tuan tanah berhak mengenakan caj parkir - samalah rasionalnya kenapa pengguna lebuh raya perlu membayar tol


Untuk pengetahuan anda juga, lebih kurang 50% daripada hasil tol yang anda bayar itu sahaja digunakan untuk membayar balik pinjaman bank yang saya nyatakan itu. Sebab itulah golongan yang meminta tol diturunkan sekitar 40-60% wajar melupakan sahaja permintaan anda itu kerana ia tidak mampu untuk ditunaikan. Apa jadi kalau kadar tol diturunkan sebegitu melampau...? Sudah tentulah syarikat konsesi tidak mampu untuk membayar balik pinjaman bank mengikut jadual. Akibatnya, pihak bank boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap syarikat konsesi kerana mengingkari pembayaran balik pinjaman, yang boleh membawa kepada pengisytiharan muflis. Sekiranya ia berlaku, pihak mahkamah boleh mengeluarkan perintah menutup semua jalan keluar masuk lebuh raya & menyita lebuh raya tersebut sehingga ada pihak yang sanggup mengambil alihnya bagi melunaskan hutang. Jadi jangan fikir akibat buruk daripada penurunan & pemansuhan tol itu perkara main-main, kerana sekiranya ia berlaku, kita juga yang akan melopong - sudahlah lebuh raya percuma tidak dapat, lebuh raya pula ditutup & disita mahkamah. Cuma, perkara sebegitu belum pernah berlaku kerana kerajaan terdahulu cepat bertindak bagi mengelakkannya daripada berlaku - sebaik mengenal pasti syarikat konsesi yang menghadapi masalah kewangan, mereka cepat-cepat mencari syarikat lain yang lebih stabil kewangannya bagi mengambil alih lebuh raya tersebut, misalnya pengambilalihan dua lebuh raya ekspres sarat hutang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15 & Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) E29 oleh PLUS Malaysia.




Sekiranya syarikat konsesi diisytihar muflis kerana gagal membayar pinjaman bank, kita tidak akan dapat lebuh raya percuma tetapi sebaliknya mahkamah boleh mengarahkan penutupan lebuh raya


Seterusnya, lebuh raya yang sedang beroperasi perlu diselenggara secara berkala. Penyelenggaraan lebuh raya ekspres tidak boleh mengikut gaya penyelenggaraan jalan persekutuan yang hanya dilakukan sebaik menerima peruntukan - lebuh raya ekspres wajib diselenggara setiap hari kerana ia dibina mengikut tahap kejuruteraan jalan raya tertinggi. Itulah sebabnya kos penyelenggaraan lebuh raya ekspres sangat mahal, bersesuaian dengan tol yang dikutip setiap hari. Jika dibandingkan, jalan persekutuan hanya diselenggara mengikut peruntukan yang diberikan, bersesuaian dengan cukai jalan yang hanya dikutip setahun sekali. Pun begitu, kos penyelenggaraan lebuh raya sebenarnya semakin naik mengikut kadar inflasi, dan bilangan kenderaan yang semakin bertambah turut meningkatkan kos penyelenggaraan kerana jangka hayat permukaan lebuh raya yang semakin pendek & kesan kerosakan terhadap lebuh raya yang semakin ketara. Sebab itulah semakin bertambah bilangan kenderaan, kadar tol sewajarnya semakin naik dan bukan sebaliknya, kerana tidak mungkin berat 100 buah kereta bersamaan dengan sebuah kereta, dan sudah tentulah struktur binaan & permukaan jalan semakin lemah. 




Tidak seperti jalan-jalan persekutuan yang hanya diselenggara sebaik menerima peruntukan, lebuh raya ekspres wajib diselenggara setiap hari - dan bagaimana mereka boleh melakukannya...? Melalui setiap sen duit tol yang anda bayar


Juga, lebuh raya yang sudah terlalu sesak dengan kereta juga perlu dinaik taraf & dilebarkan. Tanpa wang mencukupi, bagaimana hendak melebarkan lebuh raya...? Takkanlah hendak tambah lagi hutang bank...? Maka, kadar tol yang anda bayar itu juga membolehkan syarikat konsesi memperoleh wang mencukupi untuk menjalankan segala kerja naik taraf lebuh raya demi keselesaan pengguna tanpa perlu membuat hutang baru dengan bank. Justeru, setiap kali anda menyumpah-menyeranah kerana terperangkap dalam kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2, fikirkan semula sama ada tol yang anda bayar selama ini setimpal atau tidak - jika setimpal, sepatutnya sekarang lagi kerja naik taraf sudah berjalan.

Selain itu, jika ada pengurusan, penyelenggaraan & kutipan tol, sudah tentulah ada manusia yang mengerjakannya, dan manusia-manusia ini perlu dibayar kerana mereka mempunyai anak & isteri untuk disara. Tidak mungkin ada syarikat konsesi yang mengambil robot mahupun jin sebagai pekerja penyelenggaraan mahupun jurutol secara percuma. Sebagaimana kita sendiri yang mahukan gaji dinaikkan secara berkala, begitu jugalah mereka. Daripada duit tol yang kita bayar itulah datangnya sumber rezeki kepada mereka.




Jurutol juga manusia yang masih perlu menyara keluarga, jadi berlaku adillah kepada mereka


Ada sesiapa di kalangan anda yang berani melalui lebuh raya yang gelap pada waktu malam...? Sudah tentulah anda tidak berani kerana lebuh raya yang gelap sudah tentulah bermakna tidak selamat. Jadi lampu jalan dipasang terutamanya di persimpangan bertingkat & hentian rehat. Juga, sanggupkan anda bertayamum di tengah-tengah hentian rehat bahana tiada bekalan air...? Tidak sanggup bukan...? Maka bekalan elektrik & air disalurkan di setiap prasarana lebuh raya untuk keselesaan pengguna - dan sudah tentulah kedua-duanya datang dengan bil utiliti. Maka, kos utiliti ini turut diterapkan di dalam tol lebuh raya yang anda bayar. Tak nak bayar tol...? Anda ada pilihan untuk melalui jalan persekutuan yang gelap dengan hanya bermodalkan lampu jalan TNB, dan jika ada pun tandas awam, perlu bayar 30 sen sekali masuk.

Daripada kos-kos yang saya nyatakan di atas, hanya kos pembayaran balik hutang bank sahaja yang tetap kerana mengikut kadar faedah yang ditetapkan. Sementara itu, kos penyelenggaraan, gaji pekerja, bil utiliti, kos naik taraf & baik pulih lebuh raya pula semakin naik mengikut kadar inflasi. Maka, itulah sebabnya kenapa kenaikan kadar tol itu perlu, untuk membolehkan syarikat-syarikat konsesi menyerap segala kenaikan kos yang saya nyatakan tadi tanpa mengingkari tanggungjawab utama syarikat konsesi bagi membayar balik pinjaman bank yang digunakan sebagai modal awal membina & mengendalikan lebuh raya. Peningkatan bilangan kenderaan yang menggunakan lebuh raya sama sekali tidak menjustifikasikan rasional kenapa kadar tol lebuh raya tidak patut naik, kerana peningkatan bilangan kenderaan sebenarnya hanya meningkatkan kos untuk menyelenggara, membaik pulih & menaik taraf lebuh raya.

Jadi dengan ini, saya rumuskan komposisi yang terkandung dalam setiap ringgit tol yang anda bayar. Bagi setiap ringgit tol yang anda bayar, 50% pergi kepada bayaran balik pinjaman bank. 20% lagi pergi kepada penyelenggaraan, bil utiliti & gaji pekerja, manakala 15-20% lagi untuk kerja-kerja naik taraf & baik pulih. Akhirnya, margin keuntungan bagi syarikat konsesi lebuh raya ekspres cuma sekitar 10-15%, tidak pernah lebih daripada 15%. Sebab itulah jika ada pun diskaun tol, diskaun yang diberikan itu jarang yang melebihi 15%. Kalau ada pun diskaun tol, ia sama ada bermusim atau hanya dinikmati pengguna setia melalui program-program ganjaran kesetiaan oleh syarikat-syarikat konsesi.

Maka dengan ini, jelaslah bahawa walaupun memang benar kutipan tol itu penting untuk penyelenggaraan lebuh raya ekspres, namun mitos bahawa kutipan tol perlu hanya sekadar untuk penyelenggaraan & hanya penyelenggaraan sahaja adalah karut lagi tidak berasas. Mahu bukti lagi...? Kutipan tol yang pernah dilakukan di Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 di Kota Bharu & Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar dilaksanakan bagi membayar balik pinjaman bank yang digunakan bagi kedua-dua jambatan tersebut, tetapi penyelenggaraannya pula dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) seperti jalan-jalan persekutuan yang lain. Di samping itu juga, pecahan komposisi perbelanjaan hasil tol ini juga membuktikan bahawa mitos yang mendakwa kononnya syarikat-syarikat lebuh raya ekspres untung besar hasil kutipan tol adalah KARUT...!!! Untuk maklumat lanjut mengenainya, anda boleh baca entri Mythbuster mengenainya di sini.

Sunday, March 10, 2019

Penyelenggaraan jalan vs mansuh tol - biar rakyat mati berjemaah terlanggar lubang asalkan tol percuma! / Road maintenance vs abolish toll - Let many people die hitting potholes as long as the toll is free!





Kerana menuntut mansuh tol, semakin ramai rakyat mati berjemaah bahana jalan berlubang yang tidak diselenggara


Salam sejahtera,

Pada 8 Mac 2019, buat pertama kalinya dalam sejarah 147 tahun Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) sejak 1872, Menteri Kerja Raya, Baru Bian telah mengumumkan bahawa penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di seluruh negara terpaksa ditunda berikutan peruntukan yang terlalu sedikit & tidak mencukupi. Apa tidaknya, dalam Belanjawan 2019 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hanya RM100 juta sahaja yang diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di seluruh Malaysia. Jumlah yang diberikan itu cumalah seperduapuluh sahaja daripada keperluan sebenar JKR sebanyak RM2 bilion. Meskipun Timbalan Menteri Kerja Raya, Tn. Hj. Anuar Tahir telah mengumumkan permohonan tambahan peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM610 juta pada Disember 2018, namun daripada pengumuman yang telah dikeluarkan oleh Baru Bian itu, maka ia bermakna bahawa permohonan tambahan peruntukan itu akhirnya telah ditolak oleh Kementerian Kewangan (MOF) di bawah pimpinan Lim Guan Eng.




Tidak disangka begitu murahnya nilai nyawa pengguna jalan raya di Malaysia


Kenapa peruntukan penyelenggaraan jalan raya tahun ini dicantas sebegitu teruk sekali...? Jika ditinjau kembali, sejak Pakatan Harapan menewaskan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14, sudah begitu banyak projek infrastruktur untuk rakyat yang sudah dirancang ataupun sedang berjalan telah dicantas, atau setidak-tidaknya diturunkan kosnya. Antara projek infrastruktur berprofil tinggi yang turut menjadi mangsa ialah Jambatan Bagan Datuk, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), dan MRT3. Malah, projek MRT2 Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) pernah berdepan dengan ancaman pemberhentian sebelum keputusan pembatalan itu ditarik balik setelah kontraktor utamanya, MMC-Gamuda terpaksa akur menurunkan kos pembinaannya dengan membatalkan pembinaan stesen Bandar Malaysia. Meskipun sudah sebegitu banyak projek infrastruktur yang dicantas, namun episod pencantasan peruntukan infrastruktur tetap berterusan melalui pemotongan peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan - kesemuanya atas satu alasan yang sama.

Jadi apakah alasan yang sering dicanangkan bagi menjustifikasikan tindakan mencantas peruntukan projek infra rakyat & penyelenggaraan jalan raya. Alasan yang sering dicanangkan tidak lain dan tidak bukan ialah "hutang negara sudah lebih RM1 trilion". Irononya, kerajaan Pakatan Harapan sendiri pun menambah hutang baharu melalui bon Samurai. Tambah ironi lagi, meskipun sudah tahu negara ada hutang keliling pinggang, tetapi Lim Guan Eng boleh pula umumkan pembekuan kenaikan tol di 21 lebuh raya ekspres bagi tahun 2019, yang menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos pampasan RM994.43 juta, atau hampir RM1 bilion kepada syarikat-syarikat konsesi.

Kenapa Menteri Kewangan sekarang membuat keputusan sebegitu dangkal sehinggakan tidak tahu membezakan antara kehendak dengan keperluan asas rakyat...? Hendak bayar pampasan konsesi, ada duit. Tapi kalau hendak hulur peruntukan penyelenggaraan jalan, tak ada duit pula, Konon alasan hutang negara RM1 trilion, tetapi cara pengukuran hutang negara itu sendiri diragui dan tidak mengikut standard antarabangsa. Kredibiliti Lim Guan Eng semakin tercalar apabila Presiden Pertubuhan Cina Malaysia (MCA), Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong mempersoalkan bagaimana Lim Guan Eng boleh menjadi akauntan bertauliah setahun sebelum dia tamat pengajian di Universiti Monash. Maka tidak hairanlah kenapa bagi Lim Guan Eng, tol percuma itu lebih penting daripada nilai nyawa pengguna jalan raya.




Gambar sekadar hiasan


Saya hendak bertanya kepada anda semua, adakah anda akan mati sekiranya tol lebuh raya naik...? Sepanjang sejarah peradaban manusia, tiada seorang pun manusia di muka bumi ini yang mati kerana tol lebuh raya naik. Paling teruk pun cuma dompet anda kering sekiranya anda tidak menambah nilai kad Touch 'n Go lebih awal, itu sahaja. Itu pun masih ada dua lagi talian hayat buat pengguna lebuh raya, sama ada menaiki motosikal yang memang tidak dikenakan tol, ataupun ikut jalan persekutuan. Namun, sekiranya jalan raya berlubang di sana-sini macam baru lepas perang tanpa penyelenggaraan, anda memang boleh terbunuh atau setidak-tidaknya cedera parah atau mengalami kerosakan kenderaan. Adalah amat malang buat rakyat Malaysia kerana mempunyai seorang Menteri Kewangan yang lebih mementingkan tol percuma bagi memancing undi daripada penyelenggaraan jalan raya bagi melindungi nyawa puluhan juta rakyat Malaysia.



Pemotongan peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan bakal merancakkan industri perikanan negara


Jika benar Lim Guan Eng begitu mengambil berat tentang nyawa pengguna jalan raya, apa kata kalau dia memotong gaji bulanannya sendiri berjumlah RM86,464 itu untuk membeli tar yang diperlukan untuk menampal jalan berlubang. Gaji sebulannya sahaja sudah cukup untuk membeli puluhan ribu kampit tar Brotherhood. Sampai bila hendak mengharapkan kumpulan Ikatan Silaturrahim Brotherhood di bawah pimpinan Lando Zawawi untuk menutup jalan berlubang...? Majoriti ahli kumpulan Brotherhood ini bukannya orang senang; kebanyakan daripada mereka berpendapatan rendah & menggunakan motosikal untuk pergi mencari rezeki. Malah, Lando sendiri terpaksa menjual motosikalnya sendiri bagi memastikan tiada lagi jalan berlubang yang tidak bertutup. Bagi mereka, nyawa pengguna jalan raya itu lebih penting. Itu barulah contoh manusia yang ada hati perut, bukannya macam seorang menteri itu yang gaji sebulannya cukup untuk membeli sebuah Honda City secara tunai tetapi langsung tidak peduli akan nasib pengguna jalan raya yang terpaksa bermain rolet Rusia setiap kali berulang-alik mencari rezeki melalui jalan raya berlubang. Beginikah rupa seorang menteri yang bermaruah...? Nobita Lim Guan Eng, maruah anda sekadar di bawah tapak kaki ahli-ahli Brotherhood.




Kepada Lim Guan Eng, selesaikan terlebih dahulu masalah peruntukan membaiki jalan berlubang sebelum hendak sembang mengenai pembekuan tol...




...atau maruah anda di bawah tapak kaki kumpulan Ikatan Silaturrahim Brotherhood


Satu lagi golongan yang terkesan daripada pemotongan peruntukan penyelenggaraan jalan raya sudah tentunya warga JKR sendiri. Saya berasa kasihan akan nasib warga JKR yang sering dijadikan beg tinju pengguna jalan raya yang berang kerana mengalami kerosakan kenderaan & kecederaan bahana jalan raya berlubang yang tidak diselenggara. Kemarahan mangsa-mangsa tersebut memang berasas kerana setiap kali aduan kerosakan jalan raya dikemukakan, alasan yang acapkali menjadi halwa telinga tidak lain dan tidak bukan ialah "kami sedang menunggu peruntukan". Hakikatnya, MOF memang tidak menyalurkan peruntukan yang diperlukan itu, tetapi tiada siapa pun di kalangan warga JKR yang berani memberikan jawapan sebenar itu kerana ia merupakan jawapan taboo yang boleh menyebabkan mereka dibuang kerja. Mahu tidak mahu, terpaksalah kakitangan JKR menelan sahaja segala caci-maki orang awam sambil berzikir "la hawla wa la quwwata illa billah" (tiada daya & tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Pengumuman penangguhan penyelenggaraan jalan persekutuan oleh Baru Bian membuktikan bahawa penemuan saya itu benar. Justeru, saya ingin menyeru kepada pengguna jalan raya sekalian agar tidak lagi menjadikan JKR sebagai beg tinju anda, tetapi sebaliknya menyalurkan kemarahan anda kepada seorang individu yang menjadi dalang di sebalik pemotongan peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan.

Jadi sudah jelas sekarang, yang manakah patut diutamakan...? Adakah anda mahu tol percuma tetapi akhirnya ramai pengguna jalan raya mati berjemaah kerana jalan raya yang berlubang di sana-sini tanpa penyelenggaraan...? Ataupun tol naik tetapi jalan raya diselenggara sempurna, selesa & selamat demi nyawa rakyat...? Orang yang tidak hormat akan nilai nyawa manusia pasti memilih "tol percuma" tanpa menghiraukan nilai nyawa pengguna jalan raya yang lain. Bagi mereka, "pergi matilah pengguna jalan raya yang lain asalkan aku dapat tol percuma". Namun, bagi yang mementingkan nilai nyawa manusia, mereka akan mengutamakan penyelenggaraan jalan raya terlebih dahulu. Setelah kesemua jalan persekutuan siap diselenggara & dibaik pulih, jika masih ada banyak lagi pendapatan negara, barulah boleh sembang tentang tol percuma. Faham...? Atau, adakah rakyat sudah tidak perlu lagi membayar cukai jalan setelah amanah rakyat untuk memastikan jalan raya sentiasa diselenggara dengan sempurna & selamat telah pun dikhianati...?




Sekadar hiasan


Kepada semua ahli keluarga mangsa nahas maut akibat jalan berlubang yang tidak diselenggara, selepas ini anda sudah tahu siapa yang patut anda salurkan segala saman & tuntutan kerosakan kenderaan mahupun kos perubatan kerana kecuaiannya menunaikan tanggungjawab menyalurkan peruntukan kepada JKR bagi membaik pulih jalan tersebut.