Showing posts with label express bus. Show all posts
Showing posts with label express bus. Show all posts

Monday, May 19, 2014

Susah sangatkah nak pasang papan tanda dwihad laju...? / Is it too hard to install dual speed limit signboards...?







Tiga reka bentuk papan tanda dwihad laju oleh Saudara Fiq Shafiq untuk dicadangkan penggunaannya di lebuh raya ekspres di Malaysia.


Salam sejahtera,

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak kes kemalangan maut yang melibatkan bas ekspres, kebanyakannya meragut banyak nyawa. Kes nahas bas ekspres terburuk dalam sejarah Malaysia dilaporkan pada tahun 2013 melibatkan sebuah bas persiaran yang menuruni Genting Highlands untuk ke Kuala Lumpur, yang mana nahas tersebut mengorbankan hampir kesemua penumpang termasuklah pemandunya sendiri. Puncanya...? Bas tersebut dipandu pada kelajuan 120 km/j di jalan raya yang mempunyai kecuraman 12% serta mempunyai banyak selekoh tajam. Malangnya, masih ramai pemandu bas yang tidak serik dan masih berdegil memandu melebihi had laju kenderaan berat, terutamanya di lebuh raya ekspres. 

Sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, kebanyakan bas ekspres di situ dipandu bukan sahaja melebihi had laju kenderaan berat 90 km/j, malah lebih tinggi daripada had laju 110 km/j yang sepatutnya hanya dikuatkuasakan pada kenderaan ringan sahaja. Sebenarnya pemantauan oleh badan-badan berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memang ada, tetapi malangnya ia langsung tidak menampakkan sebarang perubahan positif disebabkan ketiadaan papan tanda dwihad laju, yang seterusnya menyebabkan banyak saman had laju boleh diketepikan. Maka, tidak hairanlah kenapa menaiki bas ekspres sekarang 38 kali lebih selamat ke liang lahad berbanding menaiki motosikal, kerana ramai pemandu bas ekspres yang memandu terlalu laju seperti hendak membunuh orang...!!!

Susulan nahas maut bas ekspres di Alor Gajah, Melaka pada tahun 2010, Ketua Menteri Melaka pada masa itu, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, menggesa kerajaan persekutuan agar mewajibkan pemasangan alat pengehad kelajuan (speed limiter) pada kenderaan berat yang dikunci pada 90 km/j sahaja. Saya juga pernah menulis perkara yang sama dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu, termasuklah menggesa agar Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi lebuh raya memasang papan tanda dwihad laju bagi penguatkuasaan had laju kenderaan berat yang lebih berkesan. Malangnya, tiada satu pun antara usul tersebut yang diguna pakai, dan Malaysia terus disajikan dengan berita-berita kemalangan maut melibatkan bas ekspres, dan seterusnya disajikan dengan irama "bangau oh bangau" oleh puak-puak yang mengaku "pakar" dalam bidang pengangkutan darat.

Persoalannya, susah sangatkah hendak memasang papan tanda dwihad laju...? Adakah sekeping papan tanda itu memakan kos sehingga jutaan ringgit...?





Cuba lihat contoh yang ditunjukkan oleh Thailand ini. Ia mempamerkan bukan satu sahaja had laju, tetapi tiga had laju berbeza mengikut jenis kenderaan. Susah sangatkah hendak memasang papan tanda seumpamanya di Malaysia...?





Ini pula contoh di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu. Tengok, ia amat mudah lagi ringkas. Kenapa kita tidak pula mencontohinya...?





Ini pula reka bentuk papan tanda dwihad laju di Romania - sangat ringkas tetapi sangat padat. Arab Saudi turut menggunakan rekaan sebegini pada papan tanda dwihad laju mereka. Kenapa kita sendiri tidak pernah terfikir untuk menggunakan papan tanda dwihad laju hatta yang seringkas ini...?

Bagi memenuhi keperluan ini, saya telah meminta pertolongan daripada Saudara Fiq Shafiq untuk merekabentuk papan tanda dwihad laju untuk digunakan di Malaysia. Tiga rekaan dihasilkan untuk dipertimbangkan oleh JKR serta syarikat konsesi lebuh raya ekspres untuk dipasang di jalan raya serta lebuh raya ekspres di Malaysia. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Saudara Fiq Shafiq kerana sudi merekabentuk papan tanda tersebut untuk dikongsi bersama.

Wednesday, April 23, 2014

Cerita bas ekspres dua tingkat / The double-decker express bus story



Bas ekspres dua tingkat yang lazim kelihatan di atas jalan raya Malaysia
(Kredit gambar: MizzTina)


Salam sejahtera,

Akhir-akhir ini, banyak kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres berlaku di Malaysia dalam tempoh 2 minggu ini sahaja, yang mana kebanyakannya melibatkan bas ekspres 2 tingkat. Kes terkini melibatkan sebuah bas persiaran 2 tingkat yang mengorbankan seorang pelancong warga Singapura di KM70, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 dekat Muadzam Shah. Ironinya, tidak seperti kebanyakan kes kemalangan berprofil tinggi melibatkan bas, bas tersebut dipandu dengan begitu cermat dan perlahan sekali. Akibatnya, banyak pihak yang mula mempersoalkan mengenai keselamatan bas ekspres dua tingkat sehingga membawa kepada penggantungan beberapa laluan bas yang melalui jalan raya pergunungan seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands, memandangkan kes terbaharu di Pahang itu berlaku semasa pemandu memandu bas dengan sebegitu cermat dan perlahan, tetapi nahas masih boleh berlaku. Apa sebenarnya yang tidak kena dengan rekaan bas ekspres dua tingkat...?

Bas dua tingkat merupakan salah satu daripada beberapa konfigurasi bentuk badan bas yang lazim digunakan di dunia. Rekaan sedemikian sebenarnya sudah lama digunakan sejak tahun 1945 lagi di United Kingdom, terutamanya di London, sebaik sahaja Perang Dunia Kedua tamat. Rekaan bas dua tingkat kemudian menjadi sebegitu popular sehingga ia menjadi satu simbol kebangsaan England dan United Kingdom. Kenapa bas dua tingkat popular di Britain...? Rekaan sedemikian membolehkan bas direka bentuk lebih pendek tetapi mampu mengangkut penumpang seramai bas setingkat yang hampir dua kali ganda panjangnya. Selain itu, ia kurang memerlukan ruangan untuk penumpang berdiri; kalau ada pun hanya di tingkat bawah sahaja. Di Malaysia pula, rekaan bas dua tingkat lebih banyak digunakan sebagai bas ekspres daripada bas dalam bandar.




Spesifikasi bas dua tingkat binaan SKS Bus (Malaysia) Sdn. Bhd.


Jadi apa sebenarnya yang menyebabkan keselamatan bas ekspres dua tingkat mula dipersoalkan...? Jika anda perhatikan spesifikasi bas dua tingkat binaan SKS Bus, anda sebenarnya boleh nampak satu faktor utama yang menyumbang kepada isu keselamatan bas dua tingkat - bilangan penumpang mengikut tingkat. Jika anda perhatikan kepada spesifikasi bas dalam rajah di atas, bilangan penumpang di tingkat atas adalah tiga kali ganda daripada penumpang di tingkat bawah. Dalam kes bas binaan SKS Bus, penumpang tingkat bawah hanyalah 10 orang, tetapi kapasiti penumpang tingkat atas pula seramai 30 orang. Selebihnya, ruang tingkat bawah merangkumi ruang enjin dan ruang kargo.

Jika diperhatikan pada bilangan penumpang sahaja, maka sudah tentulah bas dua tingkat ini sangat tidak stabil, kerana bilangan penumpang di tingkat atas yang jauh lebih tinggi ini menjadikan titik graviti lebih tinggi. Mungkin ada yang mengatakan bahawa enjin dan kerangka bas adalah berat dan boleh merendahkan titik graviti, tetapi ia hanya benar apabila bas kosong, ataupun hanya penuh di tingkat bawah, ataupun bilangan penumpang tingkat atas tidak melebihi 10 orang sahaja. Itu belum masuk lagi dengan spesifikasi teknikal enjin bas termasuklah kelajuan maksimumnya; jika kelajuan maksimum bas tidak dikunci atau sekurang-kurangnya dikunci pada kelajuan melebihi 90 km/j, maka bas dua tingkat menjadi semakin berbahaya.




Bas dua tingkat baharu jenis New Routemaster di London


Jika dibandingkan dengan bas dua tingkat London, meskipun bilangan kerusi tingkat atas lebih banyak daripada tingkat bawah, namun ruangan penumpang berdiri turut disediakan di tingkat bawah untuk menjadikan bilangan penumpang tingkat bawah lebih ramai daripada di tingkat atas, sekaligus menjadikan bas kekal stabil. Selain itu, bas dua tingkat di United Kingdom hanya digunakan bagi tujuan pengangkutan dalam bandar sahaja, tidak ada bas ekspres dua tingkat di sana.

Jadi bagaimana untuk menjadikan rekaan bas dua tingkat lebih selamat...? Berikut adalah cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap rekaan bas ekspres dua tingkat supaya ia lebih selamat:-

  1. Bilangan kerusi tingkat bawah mestilah lebih ramai daripada tingkat atas.
  2. Tidak boleh ada ruang berdiri langsung di tingkat atas
  3. Kelajuan enjin WAJIB dihadkan kepada 90 dan hanya 90 km/j sahaja, dan tidak boleh sama sekali lebih daripada itu.
  4. Memasang sistem ABS, EBD, kawalan cengkaman (traction control) dan kawalan kestabilan kenderaan (VSC).
  5. Mengguna pakai piawaian-piawaian serta peraturan antarabangsa dalam pembinaan bas dua tingkat
  6. Mengkaji rekaan bas dua tingkat yang berjaya dan terbukti seperti bas dua tingkat New Routemaster di London

Friday, January 17, 2014

Mythbuster: Menaiki bas adalah 38 kali lebih selamat (ke liang lahad) daripada menunggang / membonceng motosikal - mitos terbukti benar...!!! / Mythbuster: Taking a bus is 38 times safer (to the graveyard) than riding a motorbike - myth confirmed...!!!



MIROS mendakwa kononnya "menaiki bas adalah 38 kali lebih selamat daripada menaiki / menunggang motosikal"...




...tetapi bas yang dilekatkan dengan pelekat propaganda itulah yang merempuh tembok pagar sekolah sehingga menyebabkan 2 orang selamat tiba di katil hospital


Salam sejahtera,

Entri Mythbuster pertama bagi tahun 2014 ini sebenarnya berdasarkan satu berita lama kira-kira 3 bulan lalu. Namun, saya tetap mengambil keputusan untuk menulis mengenainya disebabkan kedegilan pemandu bas ekspres yang masih lagi tidak serik-serik memandu melebihi had laju kenderaan berat 80 km/j di jalan persekutuan dan 90 km/j di lebuh raya ekspres. Nahas di Genting Highlands pada bulan Ogos lalu yang berpunca daripada pemandu bas yang memandu secara menggila pada kelajuan sehingga 120 km/j semasa menuruni Genting Highlands, serta "tragedi Oktober" pada tahun 2010 yang disebabkan oleh bas ekspres yang dipandu laju oleh pelumba haram jadah tidak bertauliah, sehingga melanggar beberapa buah kenderaan yang lain ibarat Shalin Zulkifli berjaya mendapat "strike" semasa bermain boling, sedikit pun tidak berupaya menginsafkan para pemandu bas ekspres agar memandu mengikut had laju kenderaan berat. Inilah perangai orang kita yang begitu mengaibkan - sudah terjatuh banyak kali pun masih tak terngadah.


Sistem pengangkutan rel adalah sistem pengangkutan awam yang mempunyai risiko kemalangan yang paling rendah, terutamanya sistem kereta api laju dengan pengasingan aras dan kawalan masuk penuh. Malah, risiko kemalangan bagi sistem kereta api laju juga adalah lebih rendah daripada lebuh raya ekspres disebabkan kadar aliran trafik yang sangat kurang. Hanya dua sahaja punca utama kemalangan kereta api laju, iaitu kegagalan landasan ataupun kegagalan kereta api itu sendiri. Bagi sistem landasan yang masih lagi mempunyai lintasan kereta api searas, maka risiko kemalangan juga lebih tinggi kerana sudah mula ada titik-titik konflik dengan lalu lintas jalan raya. Namun demikian, risiko kemalangan kereta api di lintasan kereta api masih lebih rendah daripada risiko kemalangan di persilangan jalan raya searas. Maka, sistem pengangkutan rel merupakan mod pengangkutan paling selamat berbanding bentuk pengangkutan awam darat yang lain.

Teksi dan prebet sapu pula mempunyai risiko yang lebih kurang sama seperti kenderaan persendirian biasa - atau dengan erti kata lain, kereta. Kenapa? Sebab teksi dan prebet sapu menggunakan kereta biasa sebagaimana kenderaan persendirian biasa. Namun, kos penyelenggaraan bagi teksi adalah lebih tinggi daripada kereta, kerana teksi diklasifikasikan sebagai penyelenggaraan berat (severe), dengan tempoh penyelenggaraan yang 50% lebih singkat daripada kereta biasa, memandangkan enjin teksi sering bekerja keras sehingga sehari suntuk setiap hari. Maka, teksi yang sering rosak di tepi jalan sudah menjadi lumrah.

Bas bandar, bas henti-henti serta bas sekolah selalunya dipandu perlahan bagi memudahkan pemandu bas mengambil penumpang. Memandangkan bilangan trip harian mereka adalah tetap, maka pendapatan mereka selalunya bergantung kepada berapa ramai penumpang yang diangkut, melalui jumlah kutipan tambang bagi setiap trip. Memandangkan bas-bas sebegini selalunya dipandu perlahan dan berhemah, maka risiko kemalangan turut kurang.

Akhir sekali, kita tinjau pula mengenai bas ekspres. Sungguhpun terdapat syarikat bas ekspres yang menggunakan propaganda "naik bas 38 kali lebih selamat daripada naik motor", tetapi dalam konteks Malaysia yang mana orang kita tidak sekali-kali pun terngadah sungguhpun selepas berjuta-juta kali terhantuk, maka bas ekspres di Malaysia sebenarnya jauh lebih berbahaya daripada kebanyakan kenderaan darat lain termasuklah motosikal. Kenapa pula saya katakan menaiki bas ekspres sebenarnya lebih berbahaya daripada menaiki motosikal...? Jika kita bandingkan dengan motosikal, sebuah motosikal hanya boleh dinaiki maksimum 2 orang, maka hanya 2 orang itu sahajalah yang berdepan dengan risiko kemalangan. Bas ekspres pula selalunya berupaya mengangkut sehingga lebih 38 orang. Jika diikutkan teori, bas ekspres sepatutnya memang lebih selamat, tetapi dalam realitinya kebanyakan bas ekspres dipandu secara berbahaya bukan sahaja melebihi had laju kenderaan berat, tetapi juga melebihi had laju lebuh raya ekspres itu sendiri. Maka, kesemua 38 orang penumpang seakan-akan sedang dihantar ke kubur masing-masing oleh pelesit-pelesit jadian yang seolah-olah menjadikan pil kuda dan air ketum sebagai makanan asasi bagi menggantikan nasi.

Lihat sajalah bas Transnasional yang sering dilekatkan dengan propaganda "naik bas lebih selamat daripada naik motor" yang karut lagi menyesatkan itu seperti gambar di atas. Ironinya, bas yang dilekatkan dengan propaganda sesat itulah yang melanggar tembok pagar sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah, sehingga menyebabkan dua orang cedera parah. Apa kejadahnya semua ini...? Kalaulah begini jadinya, lebih baik pelekat tersebut digantikan dengan pelekat bertulis "Menaiki bas adalah 38 kali lebih berbahaya daripada menunggang motosikal", dan pelekat asal itu lebih layak digunakan untuk mengelap najis di tandas sahaja.

Persoalannya sekarang ialah ke manakah perginya pemantauan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)...? Adakah mereka sudah terlebih zat kangkung sehinggakan majoriti bas ekspres masih berdegil dan memandu melebihi had laju kenderaan berat...? Tahukah mereka bahawa hentaman bas pada kelajuan 90 km/j lebih kuat kesannya daripada hentaman kereta pada kelajuan 110 km/j...? Jika kereta yang dipandu laju pun berupaya meruntuhkan dinding sebuah rumah, maka bayangkanlah kesan kemusnahan yang terhasil sekiranya bas ekspres dipandu pada kelajuan yang sama.

Semasa negara dikejutkan dengan insiden "tragedi Oktober" 2010 yang meragut 12 nyawa di Simpang Ampat, saya serta bekas Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd. Ali Rustam pernah menggesa agar alat pengehad kelajuan dipasang pada kesemua bas ekspres, dengan kelajuan maksimum dikunci pada 90 km/j. Saya juga pernah menggesa agar papan tanda dwihad laju dipasang bagi memastikan bas ekspres tidak dipandu melebihi had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya ekspres. Namun, ke mana perginya gesaan tersebut...? Adakah kedua-duanya berakhir di tong sampah semata-mata...? Sampaikan Melaka sudah bertukar Ketua Menteri pun masih tiada tindakan konkrit melainkan sekadar sembang kosong oleh "pakar-pakar kangkung"...? Saya sudah terlalu muak dengan pelbagai macam alasan yang diberikan oleh para pemain industri pengangkutan bas ekspres, yang mengatakan kononnya pemasangan alat pengehad kelajuan melibatkan kos yang tinggilah, itulah, inilah, dan pelbagai macam dalih bagi menghalalkan perangai haram jadah mereka, seolah-olah otak mereka sudah dimasuki air longkang sahaja.

Kesimpulannya, adalah tidak berbaloi sama sekali melaburkan puluhan ringgit sehala hanya untuk mendapatkan tiket ke liang lahad ataupun katil hospital dan seterusnya bermain dengan rolet Rusia apabila bas ekspres dipandu oleh pelesit-pelesit jadian yang seolah-olah kekenyangan pil kuda barang sepam dua. Nampaknya MIROS gagal membuktikan dakwaan mereka kepada saya bahawa kononnya "menaiki bas ekspres 38 kali lebih selamat daripada menunggang motosikal". Sebaliknya, jika mengikut konteks Malaysia, MIROS hanya berjaya membuktikan bahawa menaiki bas ekspres tetap lebih selamat daripada motosikal, tetapi 38 kali lebih selamat ke liang lahad sahaja. Dengan itu, mitos terbukti benar - tetapi hanya bagi perjalanan ke katil hospital atau ke liang lahad sahaja...!!!

Saturday, July 28, 2012

Panduan ketika tiket bas habis / Sold-out bus ticket troubleshooting guide


Salah satu kaunter tiket bas ekspres menjadi sibuk semasa musim perayaan (Gambar oleh Sinar Harian)



Salam sejahtera,

Tidak sampai seminggu berpuasa, tiket-tiket bas dari Kuala Lumpur ke destinasi-destinasi utama di negeri-negeri utara dan pantai timur sudah habis dijual, sekaligus membuktikan bahawa perayaan hari Raya tahun ini dijangka sangat meriah. Jika bas ekspres adalah satu-satunya mod pengangkutan anda untuk pulang ke kampung, apa patut anda lakukan jika anda menghadapi keadaan sebegini? Blog Jalan Raya Malaysia ada jawapannya.

Pertama sekali, jangan cepat panik jika tiket bas sudah habis. Cuba dapatkan jadual-jadual perjalanan bas ekspres yang masih ada dijual. Jika anda bernasib baik, anda masih boleh pulang ke kampung dengan menggabungkan dua perjalanan bas ekspres yang ada, kerana biasanya semasa musim perayaan tiket bas dari bandar raya utama seperti Kuala Lumpur ke destinasi yang dituju cenderung untuk cepat habis berbanding tiket dari bandar kecil ke destinasi utama yang dituju.

Satu lagi alternatif yang anda boleh fikirkan ialah dengan menggunakan perkhidmatan kereta api komuter atau bas henti-henti. Sebabnya mudah sahaja, tiket bagi perkhidmatan ini tidak pernah habis. Kalau penuh pun, masih ada bas atau kereta api seterusnya untuk dinaiki. Bezanya dengan bas ekspres ialah bas henti-henti kurang selesa sedikit kerana banyak berhenti serta ada ketikanya anda terpaksa bersesak seperti tin sardin - tetapi sekurang-kurangnya lebih baik daripada anda tidak dapat pulang ke kampung bukan? Pastikan destinasi transit yang anda pilih itu masih ada tiket bas untuk ke destinasi akhir anda. Namun, ia memerlukan anda mempunyai pengetahuan tentang bas henti-henti yang mana yang perlu anda naik.

Kesemua cadangan ini memerlukan anda merancang dengan rapi dan teliti serta membuat kajian awal tentang tiket yang masih dijual serta pengetahuan mengenai nama syarikat serta laluan bas henti-henti. Apa pun, kepada semua yang berhajat untuk menaiki bas ekspres untuk pulang beraya, saya amat memohon kerjasama anda untuk menjadi mata dan telinga sesama rakyat dengan menggunakan telefon bimbit serta alat GPS untuk mengesan bas ekspres yang dipandu melebihi had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya kerana kita semua mahu pulang ke kampung untuk pulang beraya, bukannya untuk pulang ke rahmatullah disebabkan kedegilan segelintir pemandu bas ekspres yang memandu secara berbahaya melebihi 90 km/j. Sebarkan pautan ke entri ini melalui Facebook, Twitter, laman-laman blog atau apa sahaja media yang boleh anda fikirkan supaya kita dapat menghentikan tragedi menyedihkan pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Monday, July 16, 2012

Apa Kejadahnya: Bas ekspres atau keranda ekspres? / What The Hell: Express bus or express coffin?


BUKTI sebuah bas ekspres yang dipandu laju hampir mencecah 100 km/j bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka. (Gambar dari Utusan Malaysia)



Salam sejahtera,

Tidak lama lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadan yang mulia, di mana umat Islam diwajibkan untuk berpuasa bukan sahaja bagi menahan rasa lapar dan dahaga, tetapi juga menahan daripada melakukan segala perbuatan yang keji dan terkutuk. Kejayaan umat Islam mengharungi bulan Ramadan ini akan diraikan dalam perayaan Aidilfitri yang menyaksikan berjuta-juta rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan tersebut bersama-sama ahli keluarga dan orang tersayang, tak kiralah sama ada berkereta, bermotosikal, ataupun menaiki kenderaan awam sama ada kereta api mahupun bas.

Namun, apa yang menyedihkan ialah tidak semua yang tiba ke kampung halaman dalam keadaan bernyawa; ada yang tiba ke kampung dalam keadaan patah riuk gara-gara terlibat dalam kemalangan jalan raya. Lebih menyayat hati, ada di antara mereka sudah tidak bernyawa akibat kemalangan.

Di manakah silapnya? Terus-terang saya katakan, pemandu Malaysia hari ini tidak sama seperti beberapa puluh tahun dahulu. Jika dahulu, pemandu Malaysia rata-ratanya memandu dengan cermat dan penuh berhati-hati. Mereka tetap sabar walaupun perjalanan mereka mengambil masa yang lama; sebelum Lebuhraya Utara-Selatan E2 dibina, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru memakan masa antara 6-7 jam, sedangkan hari ini perjalanan yang sama hanya memerlukan masa 3 jam setengah sahaja. Mereka bertimbang rasa sesama mereka; kalau mereka beralah pun masa perjalanan tetap sama memandangkan keadaan jalan persekutuan yang berkelok-kelok, berbukit-bukau serta banyak melalui kawasan kampung, pekan dan bandar yang tidak mengizinkan mereka untuk memandu terlalu laju. Sekarang? Anda sendiri pun tahu jawapannya.

Pemandu bas ekspres adalah salah satu golongan yang sering mengingkari peraturan jalan raya. Saya bukanlah bermaksud pemandu lain semuanya alim macam malaikat, tetapi saya tekankan mengenai pemandu bas ekspres kerana mereka diamanahkan untuk mengangkut lebih kurang 40 manusia bagi setiap perjalanan dalam keadaan sempurna dan masih bernyawa ke destinasi masing-masing, satu jumlah penumpang yang tidak mungkin boleh dimuatkan dalam sebuah kereta, jauh sekali sebuah motosikal. Apa pula kesalahan yang sering dilakukan mereka? Jawapannya mudah sahaja, iaitu memandu terlalu laju seolah-olah tidak sabar-sabar mahu mengadakan temu janji dengan malaikat maut. Kalau nak mati sangat pun janganlah libatkan nyawa penumpang lain pula, mati seorang-seorang sudahlah!

Saya memang jarang menaiki bas ekspres, kecuali jika keadaan memaksa saya menggunakan bas ekspres seperti kereta atau motosikal rosak. Terus-terang saya katakan, saya amat benci menaiki bas ekspres kerana kebanyakan bas ekspres dipandu bukan sahaja melebihi had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya, malah melebihi had laju am lebuh raya 110 km/j itu sendiri. Banyak bas-bas ekspres di lebuh raya seolah-olah dipandu oleh Michael Schumacher, Lewis Hamilton, Sebastian Vettell, atau mana-mana pelumba Formula 1 yang lain, sedangkan tiada seorang daripada mereka yang berani mengendalikan kenderaan berat pada kelajuan segila itu. Adakah pemandu-pemandu bas ekspres ini terdiri daripada mat-mat rempit yang menjadikan pil kuda sebagai makanan asasi bagi menggantikan nasi? Ini bukan saya yang kata, dakwaan ini datang daripada Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung Malaysia itu sendiri. Kalau saya berjaya menaiki bas ekspres yang pemandunya cukup berhemah untuk memandu tidak melebihi 90 km/j, saya boleh dikatakan cukup bertuah, dan saya ingin menyampaikan jutaan terima kasih kepada pemandu bas berhemah sebegini kerana berjaya menunaikan amanah menghantar penumpang ke destinasi dengan selamat pada kelajuan yang cukup selamat.

Menurut Perintah Had Laju Kebangsaan 1989, had laju maksimum ditetapkan pada 90 km/j di jalan persekutuan serta negeri, dan 110 km/j di lebuh raya ekspres. Namun, anda wajib ingat bahawa had laju tersebut hanya untuk kenderaan ringan sahaja iaitu kereta dan motosikal. Kepada pemandu bas dan lori, sila ingat baik-baik bahawa had laju kenderaan berat ialah 80 km/j di jalan persekutuan serta negeri, dan 90 km/j sahaja di lebuh raya ekspres. Tidak lebih daripada itu. Kalau anda memang sebelum ini tidak tahu, inilah masanya untuk saya ingatkan kepada anda semua serta diri saya sendiri supaya kita tidak lagi lupa, lalai dan leka. Ataupun, sekurang-kurangnya jenguk-jenguklah pelekat had laju yang ditampalkan pada badan bas dan lori kerana itulah had laju yang diizinkan sebagai syarat membenarkan anda mengendalikan kenderaan tersebut. Kepada pemandu bas ekspres yang berhemah dan tidak memandu melebihi 90 km/j, syabas saya ucapkan kepada anda. Kepada golongan yang sudah tahu tetapi buat-buat lupa dan masih meneruskan perangai memandu seperti pelesit yang sudah pekena pil kuda, maka celakalah golongan tersebut - lebih baik mereka ditarik terus lesen memandu mereka sebelum mereka membunuh para penumpang yang diamanahkan kepada mereka dengan cara pemanduan mereka yang mahu cepat mati ini.

Kenapa bas dan lori dikenakan had laju yang lebih rendah daripada kereta dan motosikal? Ada 3 sebab utama mengapa had laju kenderaan berat lebih rendah daripada kenderaan ringan - impak pelanggaran yang lebih kuat daripada kenderaan ringan, risiko kerosakan enjin yang lebih tinggi, serta kawalan yang lebih sukar daripada kenderaan ringan.

Daya yang terhasil akibat pelanggaran boleh dikira melalui formula mudah F = mv. Melalui formula ini, kesan pelanggaran oleh sebuah bes ekspres seberat 19.5 tan boleh menghasilkan daya yang jauh lebih tinggi daripada sebuah kereta seberat 1.2 tan pada kelajuan yang sama. Jika kereta yang dipandu laju boleh meruntuhkan dinding sesebuah rumah batu sekiranya ia terbabas dan merempuh rumah tersebut, bayangkanlah kesan kemusnahan yang bakal dihasilkan oleh sebuah bas pada kelajuan yang sama. Sebab itulah kemalangan maut yang melibatkan bas sudah tentunya memakan angka korban yang tinggi.

Beberapa dekad dahulu, jika sebut sahaja mengenai bas dan lori, setiap orang akan mengatakan bahawa bas dan lori adalah kenderaan berat yang dipacu oleh enjin diesel yang bising, perlahan dan berasap tebal. Namun, hasil kemajuan pesat teknologi enjin diesel sejak akhir 1990an menjadikan enjin diesel sekarang lebih berkuasa, lebih laju, lebih bersih, lebih senyap dan lebih jimat minyak. Maka, tidak hairanlah mengapa para pemandu di negara-negara Eropah kini lebih banyak menggunakan kereta-kereta berenjin diesel. Kemajuan teknologi enjin diesel kontemporari sepatutnya dimanfaatkan supaya kenderaan berat lebih berupaya mendaki jalan raya bukit yang tinggi dan curam supaya tidak lagi terkedek-kedek dan terpaksa banyak berhenti kerana tidak cukup kuasa, bukannya untuk merempit macam pelesit. Sehebat mana pun teknologi enjin diesel sekarang, kelajuan enjin diesel tetap tidak seligat enjin petrol; enjin-enjin bas dan lori hanya boleh berputar pada kelajuan bawah 2,500-3,000 rpm sedangkan enjin kereta selalunya boleh berputar sehingga lebih 6,000 rpm. Enjin motosikal pula lebih ligat; enjin sesebuah motosikal kapcai lazimnya boleh berputar sehingga setinggi 9,000-10,000 rpm. Pada kelajuan lebih daripada 100 km/j, jarum takometer sudah pun memasuki zon merah yang boleh mengakibatkan kerosakan enjin yang serius. Oleh itu, enjin bas dan lori tidak boleh dilenjan sewenang-wenangnya.

Memandu sebuah bas tidak sama seperti memandu sebuah kereta. Sementara pemandu kereta boleh meratah selekoh dengan penuh yakin kerana jejari pusingan yang kecil, pemandu bas dan lori pula perlu banyak bersilat sebaik sahaja mengambil selekoh, memotong ataupun memasuki simpang berikutan jejari pusingan yang besar serta banyak pusingan stereng yang diperlukan untuk membelok pada sudut hanya beberapa darjah sahaja. Jika hendak membrek pula, perlu ambil jarak yang lebih jauh kerana masa yang diambil untuk membrek adalah lebih lama daripada kereta; itu pun sekali tekan brek sudah mengunci roda dan seterusnya menyebabkan tayar (dan permukaan jalan) cepat haus dan rosak. Jadi kepada pemandu kereta yang tiada lesen lori boleh membayangkan betapa sukarnya hendak memandu sesebuah bas atau lori. Sebab itulah mereka perlu memandu lebih perlahan supaya mereka lebih mudah mengawal kenderaan mereka tanpa rasa kelam-kabut.

Jadi siapa yang patut dipersalahkan atas isu ini? Terus-terang saya katakan, saya cudah cukup bosan, muak, menyampah dan meluat dengan irama "bangau oh bangau" yang acapkali didendangkan sebagai halwa telinga setiap kali berlaku kemalangan maut yang melibatkan bas ekspres ini. Setiap kali berlaku kemalangan maut, ada saja golongan yang mendakwa diri mereka "pakar" memberikan "cadangan-cadangan" mengarut yang tak masuk akal yang kononnya boleh mengurangkan kemalangan, sedangkan mereka sendiri buat-buat lupa akan satu perkara paling asas dan paling pokok yang menjadi punca utama kebanyakan kemalangan maut bas ekspres di Malaysia, iaitu kegagalan penguatkuasaan had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya dan 80 km/j di jalan persekutuan dan negeri. Masalah kita sekarang ialah bukan lagi mentaliti "sudah terhantuk baru terngadah", tetapi "sudah terhantuk berjuta-juta kali pun tak terngadah"! Adakah kita mahu menunggu ada menteri atau Sultan yang menjadi mangsa kemalangan maut "keranda ekspres" ini baru nak ambil tindakan?

Semasa kemalangan maut yang disebabkan oleh bas ekspres di Lebuhraya Utara-Selatan E2 dekat Simpang Ampat pada tahun 2010, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menggesa kerajaan persekutuan mewajibkan pemasangan alat pengehad kelajuan (speed limiter) pada semua kenderaan berat, dengan kelajuan maksimum dikunci pada 90 km/j sahaja. Sebelum itu, saya sendiri pun pernah menulis mengenai perkara yang sama kepada sebuah akhbar berbahasa Melayu berikutan nahas melibatkan bas Sani Ekspres pada tahun sebelumnya, sungguhpun bas berkenaan dipasang pengehad kelajuan, tetapi mengunci kelajuan pada 97 km/j dan bukannya 90 km/j sebagaimana yang sepatutnya. Akhirnya, ke manakah perginya cadangan tersebut? Adakah cadangan tersebut sekadar berakhir di pusat pelupusan sampah semata-mata tanpa sebarang implementasi? Saya cukup meluat dengan alasan "...keberkesanan dan kesesuaiannya masih dikaji kerana ia dikatakan melibatkan kos pada pihak industri pengangkutan..." Mahu tunggu apa lagi? Nak kaji berapa lama lagi? Sampai hari kiamat? Nak buka berapa besar lagi tanah untuk diwakafkan sebagai tanah perkuburan khas untuk mangsa kemalangan bas ekspres?

Dalam surat pembaca yang sama, saya juga ada menulis gesaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mendirikan papan tanda dwihad haju di sepanjang jalan raya dan lebuh raya di seluruh negara bagi mengingatkan had laju yang berbeza bagi kenderaan ringan dan kenderaan berat. Gesaan ini timbul kerana pemandu bas ekspres yang didakwa di mahkamah boleh menggunakan kelemahan papan tanda had laju sedia ada yang hanya mempamerkan had laju kenderaan ringan sebagai alasan bagi menutup pekung mereka. Namun sehingga sekarang, gesaan tersebut hanya tinggal cadangan yang berakhir di pusat pelupusan sampah tanpa sebarang langkah untuk menguatkuasakannya. Kenapa susah sangat hendak mendirikan papan tanda peringatan dwihad laju yang ringkas tetapi lengkap dan murah? Adakah kos mendirikan sekeping papan tanda berkenaan sahaja mencecah jutaan ringgit? Berapa nilai nyawa manusia jika dibandingkan dengan mendirikan papan tanda yang begitu ringkas ini?

Memandangkan golongan yang sepatutnya dipertanggungjawabkan bagi menguatkuasakan had laju kenderaan berat sudah tidak lagi boleh diharap, harapan hanya tinggal kepada inisiatif kita sebagai rakyat biasa, bermula dengan para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia. Apa yang boleh anda lakukan untuk mengubah semua keadaan ini? Modal yang anda perlukan hanyalah sebuah alat GPS mudah alih (saya paling galakkan model-model Garmin dan Papago) serta telefon bimbit berkamera. Pastikan kedua-duanya dicas penuh. Bagi alat GPS pula, saya nasihatkan anda untuk membeli sebuah pengecas USB untuk mengecas alat GPS anda menggunakan kabel data USB, memandangkan pengeluar selalunya hanya menyertakan pengecas kereta dan kabel data bagi setiap pembelian.

Setiap kali anda membeli tiket bas ekspres, simpan tiket tersebut. Sebelum menaiki bas, gunakan kamera telefon bimbit anda untuk mengambil gambar bas yang anda naiki dan pastikan nombor plet bas tersebut kelihatan. Setelah bas bergerak, hidupkan alat GPS anda dan perhatikan angka kelajuan yang terpapar pada alat GPS anda. Sekiranya alat GPS anda menunjukkan kelajuan melebihi 90 km/j, ambil gambar paparan GPS tersebut menggunakan kamera telefon bimbit anda dan pastikan tarikh serta masa gambar diambil turut kelihatan. Gambar-gambar tersebut boleh menjadi bahan bukti yang kukuh untuk anda gunakan semasa membuat laporan kepada polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Laporkan segera kepada ketiga-tiga badan tersebut supaya tindakan boleh diambil dengan segera.

Sungguhpun demikian, langkah-langkah ini tidak berkesan sekiranya anda seorang sahaja yang mengambil inisiatif sedemikian. Oleh itu, saya ingin menyeru kepada para pembaca sekelian untuk berkongsi serta menyebarkan entri ini kepada semua orang seramai mungkin. Kongsi pautan entri ini dalam Facebook dan Twitter dalam garis masa anda sendiri serta rakan-rakan dan sanak-saudara anda. Pautkan entri ini dalam blog anda. Hanya kita sahaja yang boleh mengubah keadaan, jika kita tidak mahu drama kemalangan maut bas ekspres serta irama "bangau oh bangau" yang menyusul terus berulang dan berulang.




Pautan luar untuk bacaan tambahan:-
  1. Pemandu bas ekspres tak serik-serik (Utusan Malaysia)
  2. Kunci pedal bas setakat 90 km/j untuk kawal had laju - Ali Rustam (Utusan Malaysia)
  3. Ramai setuju had laju bas ekspres 90 km/j (Berita Harian)