Saturday, July 28, 2012

Panduan ketika tiket bas habis / Sold-out bus ticket troubleshooting guide


Salah satu kaunter tiket bas ekspres menjadi sibuk semasa musim perayaan (Gambar oleh Sinar Harian)



Salam sejahtera,

Tidak sampai seminggu berpuasa, tiket-tiket bas dari Kuala Lumpur ke destinasi-destinasi utama di negeri-negeri utara dan pantai timur sudah habis dijual, sekaligus membuktikan bahawa perayaan hari Raya tahun ini dijangka sangat meriah. Jika bas ekspres adalah satu-satunya mod pengangkutan anda untuk pulang ke kampung, apa patut anda lakukan jika anda menghadapi keadaan sebegini? Blog Jalan Raya Malaysia ada jawapannya.

Pertama sekali, jangan cepat panik jika tiket bas sudah habis. Cuba dapatkan jadual-jadual perjalanan bas ekspres yang masih ada dijual. Jika anda bernasib baik, anda masih boleh pulang ke kampung dengan menggabungkan dua perjalanan bas ekspres yang ada, kerana biasanya semasa musim perayaan tiket bas dari bandar raya utama seperti Kuala Lumpur ke destinasi yang dituju cenderung untuk cepat habis berbanding tiket dari bandar kecil ke destinasi utama yang dituju.

Satu lagi alternatif yang anda boleh fikirkan ialah dengan menggunakan perkhidmatan kereta api komuter atau bas henti-henti. Sebabnya mudah sahaja, tiket bagi perkhidmatan ini tidak pernah habis. Kalau penuh pun, masih ada bas atau kereta api seterusnya untuk dinaiki. Bezanya dengan bas ekspres ialah bas henti-henti kurang selesa sedikit kerana banyak berhenti serta ada ketikanya anda terpaksa bersesak seperti tin sardin - tetapi sekurang-kurangnya lebih baik daripada anda tidak dapat pulang ke kampung bukan? Pastikan destinasi transit yang anda pilih itu masih ada tiket bas untuk ke destinasi akhir anda. Namun, ia memerlukan anda mempunyai pengetahuan tentang bas henti-henti yang mana yang perlu anda naik.

Kesemua cadangan ini memerlukan anda merancang dengan rapi dan teliti serta membuat kajian awal tentang tiket yang masih dijual serta pengetahuan mengenai nama syarikat serta laluan bas henti-henti. Apa pun, kepada semua yang berhajat untuk menaiki bas ekspres untuk pulang beraya, saya amat memohon kerjasama anda untuk menjadi mata dan telinga sesama rakyat dengan menggunakan telefon bimbit serta alat GPS untuk mengesan bas ekspres yang dipandu melebihi had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya kerana kita semua mahu pulang ke kampung untuk pulang beraya, bukannya untuk pulang ke rahmatullah disebabkan kedegilan segelintir pemandu bas ekspres yang memandu secara berbahaya melebihi 90 km/j. Sebarkan pautan ke entri ini melalui Facebook, Twitter, laman-laman blog atau apa sahaja media yang boleh anda fikirkan supaya kita dapat menghentikan tragedi menyedihkan pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

No comments:

Post a Comment