Sunday, March 26, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Part 3: Sejarah lengkap Jalan Persekutuan 3 / Federal Route 3 complete history




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia ini berikutan kesibukan kerja sejak 2 minggu kebelakangan ini, yang memerlukan saya bekerja dari pagi sehingga ke malam. Akibatnya, rancangan saya untuk menulis sambungan bagi siri reviu FTRoadpedia Pantai Timur sering tertangguh.

Episod ketiga yang telah saya janjikan sebelum ini bagi siri FTRoadpedia ialah mengenai projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4. Namun, baru-baru ini saya menemui maklumat yang saya cari-cari selama ini mengenai sejarah lengkap Jalan Persekutuan 3, jadi saya mengambil kesempatan untuk menulis mengenai sejarah lengkap Jalan Persekutuan 3 terlebih dahulu sebelum saya teruskan dengan projek Jejambat Jalan Bukit Ubi C4.




Bulatan Jalan Tebrau FT3 di Johor Bahru pada tahun 1974. Kini bulatan tersebut digantikan dengan Persimpangan Bertingkat Johor Bahru susulan pembinaan Lebuhraya Skudai FT1 yang dibuka pada November 1985.


Jalan Persekutuan 3 mula dibina sebagai jalan raya pendek sepanjang 8 batu (12.8 km) dari Johor Bahru ke Sungai Pandan pada tahun 1866 oleh Dato' Bentara Luar. Jalan tersebut kini dikenali sebagai Lebuhraya Tebrau FT3. Ia kemudiannya disambung sehingga ke Kota Tinggi, yang mana jajaran Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi FT3 (aka Jalan Johor FT3 di Kota Tinggi) siap pada tahun 1919. Sementara itu, pada tahun 1915, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3 dibina serentak dengan Jalan Kota Bharu-Kuala Krai FT8. Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu siap sepenuhnya pada tahun 1932.

Pada tahun 1911, kerajaan negeri Johor bekerjasama dengan kerajaan penjajah British bagi membangunkan satu rangkaian jalan raya yang menghubungkan antara Johor Bahru dengan Batu Pahat dan Muar. Hasil daripada kerjasama tersebut, maka lahirlah Jalan Batu Pahat-Kluang-Mersing FT50, yang mana jajaran dari Bulatan Banang ke Persimpangan Gunung Soga di Batu Pahat diwartakan sebagai sebahagian Jalan Persekutuan 5, manakala jajaran dari Jemaluang ke Mersing membentuk sebahagian Jalan Persekutuan 3. Pada masa yang sama juga, sebatang jalan raya turut dibina dari Kota Tinggi ke Jemaluang bagi melengkapkan jajaran Jalan Persekutuan 3 di Johor. Seterusnya pada tahun 1939, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 dan Jalan Kuantan-Pekan FT3 (sehingga ke Peramu di sebelah tebing utara Sungai Pahang) dibina.

Tidak seperti rangkaian jalan raya di sebelah pantai barat yang begitu rancak dibina semasa zaman penjajah British, rangkaian jalan raya di sebelah pantai timur pula begitu perlahan perkembangannya. Ia disebabkan oleh faktor ekonomi di negeri-negeri pantai timur yang mundur jika dibandingkan dengan negeri-negeri pantai barat yang mewah hasil pelombongan bijih timah dan perladangan getah & kelapa sawit. Akibatnya, wujud pautan putus antara Pekan dengan Endau, disebabkan keadaan geografinya yang berpaya dan mempunyai kepadatan penduduk yang paling jarang di sepanjang Jalan Persekutuan 3. 

Bagi menyelesaikan masalah pautan putus antara Pekan dengan Endau, maka Menteri Kerja Raya pertama Tanah Melayu pasca merdeka iaitu Tun Sambanthan memohon sejumlah peruntukan yang besar daripada kerajaan persekutuan bagi melengkapkan rangkaian Jalan Persekutuan 3. Beliau telah memulakan projek pembangunan rangkaian jalan raya berskala besar - pada tahun 1961 sahaja sudah 400 batu (643.7 km) jalan raya baharu luar bandar telah siap dibina, manakala pada tahun 1962 pula jumlah rangkaian jalan raya baharu luar bandar yang dibina meningkat kepada 700 batu (1,126.54 km). Projek terbesar dalam program pembinaan jalan raya luar bandar baharu berskala besar oleh Tun Sambanthan ialah Jalan Pekan-Batu Balik FT82, Jalan Endau-Rompin FT3 dan Jalan Pekan-Kuala Rompin FT3. Ketiga-tiga projek jalan raya tersebut siap pada tahun 1962, sekaligus melengkapkan rangkaian Jalan Persekutuan 3.




Plaza tol Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 pada tahun 1967
(Kredit gambar: Pena Muslim)


Seperti Jalan Persekutuan 5, satu masalah utama yang lazim dihadapi oleh jalan raya pantai ialah keperluan untuk membina jambatan-jambatan yang panjang, memandangkan sungai-sungai di kawasan muara lazimnya paling lebar. Namun, kekangan kewangan menyebabkan banyak sungai besar memerlukan khidmat feri sungai untuk melintasinya sementara menunggu jambatan-jambatan utama siap dibina untuk menggantikan feri sungai. Justeru, ada di antara jambatan utama yang dibina mengenakan kutipan tol, misalnya Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 di Kota Bharu. Ia merupakan jambatan jalan raya pertama yang dibina melintasi Sungai Kelantan, serta merupakan jambatan yang paling menghampiri Delta Kelantan, satu rekod yang masih belum berupaya dipecahkan sehingga sekarang. Jambatan tersebut dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra pada 17 April 1965.




Majlis perasmian Jambatan Sultan Abu Bakar FT3 pada 28 Februari 1970
(Kredit gambar: Jabatan Penerangan Malaysia)


Sementara itu pula, Jambatan Sultan Abu Bakar FT3 mula dibina pada tahun 1968 dan siap sepenuhnya pada tahun 1970. Jambatan sepanjang 600 m ini menghubungkan antara Peramu di sebelah tebing utara Sungai Pahang dengan Pekan di sebelah tebing selatan Sungai Pahang, dengan kos pembinaan RM2.5 juta. Seperti Jambatan Sultan Yahya Petra FT3, jambatan ini juga dikenakan tol sebanyak RM1 bagi kereta dan RM2 bagi kenderaan berat untuk membiayai kos pembinaannya sebelum kutipan tol dimansuhkan beberapa tahun kemudian.

Di sebelah Kuala Terengganu pula, Jambatan Pulau Rusa FT3 dibina pada tahun 1960 bagi menghubungkan antara Kuala Terengganu dengan Kampung Pulau Rusa di sebelah tebing utara. Namun, ia memerlukan pengguna jalan raya untuk berpusing lebih jauh, maka jambatan kedua yang paling hampir dengan pusat bandar raya Kuala Terengganu pula dibina, dikenali sebagai Jambatan Sultan Mahmud FT65.




Jalan Beserah FT2 (aka Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan FT2) asalnya merupakan sebahagian Jalan Persekutuan 3 sebelum pembukaan Jalan Pintasan Kuantan FT3


Pada 1 September 1974, Lembaga Pelabuhan Kuantan ditubuhkan bagi membuka sebuah pelabuhan utama di sebelah pantai timur Semenanjung Malaysia. Pembinaan Pelabuhan Kuantan bermula pada tahun 1976 dan siap sepenuhnya pada tahun 1984. Sebagai sebahagian daripada komponen projek Pelabuhan Kuantan, maka satu jalan pintasan baharu dibina bagi memintas bandar Kuantan agar tidak berlaku kesesakan di pusat bandar Kuantan serta mengelakkan daripada kerosakan jalan raya yang sering dikaitkan dengan kenderaan berat yang berulang-alik ke pelabuhan. Jalan pintasan tersebut diwartakan sebagai sebahagian Jalan Persekutuan 3. Sebelum Jalan Pintasan Kuantan FT3 dibina, Jalan Beserah FT2 serta sebahagian Jalan Gambang FT2 dari Kuantan sehingga ke simpang Jalan Pekan FT3 merupakan sebahagian Jalan Persekutuan 3, tetapi setelah Jalan Pintasan Kuantan FT3 dibuka, kedua-dua jalan tersebut diwartakan semula sebagai sebahagian Jalan Persekutuan 2. Kini, Jalan Pintasan Kuantan sudah pun dinaiktaraf menjadi lebuh raya kembar pada tahun 2005 dan siap pada tahun 2007.

Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, keseluruhan Jalan Persekutuan 3 diwartakan sebagai laluan Lebuh Raya Asia AH18 bagi jajaran Malaysia. Justeru, kerajaan persekutuan mengambil inisiatif menambah baik keseluruhan jajaran FT3 dengan menaik taraf jalan tersebut kepada sekurang-kurangnya jalan super two. Ada banyak juga jajaran FT3 yang kini sudah dinaik taraf kepada lebuh raya kembar, contohnya Lebuhraya Tebrau FT3 aka Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi FT3, Jalan Kuantan-Pekan FT3 (termasuklah Jambatan Sultan Abu Bakar FT3 yang turut dikembarkan), dan banyak lagi. Malah, semasa rombongan FTRoadpedia memasuki Terengganu, kami turut dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Terengganu sedang merancang untuk menaiktaraf keseluruhan Jalan Persekutuan 3 dalam negeri Terengganu kepada lebuh raya kembar.




Jalan Persekutuan 3 sedikit pun tidak terancam setelah Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dibina


Adakah Jalan Persekutuan 3 terancam setelah Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dibuka pada tahun 2015...? Tidak sama sekali, jalan FT3 khususnya Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 langsung tidak terancam dan tetap popular sebagai laluan utama disebabkan panorama yang mempesonakan di sepanjang laluannya. Macam mana cantiknya pemandangan di sepanjang Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3...? Itu anda kena tunggu reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, jadi anda perlu bersabar lebih lama sedikit. Yang pasti, Jalan Persekutuan 3 kini merupakan jalan super two terpanjang di Malaysia dan diiktiraf oleh National Geographic Society sebagai salah satu daripada 10 jalan raya pantai terbaik di Asia.

Nantikan reviu eksklusif Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 selepas liputan mengenai projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 hanya di Blog Jalan Raya Malaysia.

Thursday, March 2, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Part 2: Reviu lengkap Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 / Kuala Lumpur-Kuantan Road FT2 complete review






Salam sejahtera,

Setelah hampir dua jam menahan rasa pening-pening kepala semasa menyelusuri Jalan Gombak FT68 menaiki bas, kami meneruskan perjalanan melalui jalan persekutuan terpanjang dalam kembara selama 3 hari ini. Jalan yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2.

Sebelum jelajah FTRoadpedia Pantai Timur, kami sempat berkongsi semula entri sejarah lengkap Jalan Persekutuan 2 sebagai sebahagian daripada kempen promosi FTRoadpedia Pantai Timur. Hasilnya amat mengejutkan, di mana entri tersebut dibaca lebih 1,500 kali dalam tempoh lebih kurang seminggu sahaja, sedangkan sebelum ini ia hanya mencatatkan sekitar 500 kali bacaan sahaja. Jutaan terima kasih kepada para pembaca khususnya dari negeri Pahang yang menyokong usaha kami mengkompilasi sejarah lengkap jalan-jalan persekutuan serta cakna akan latar belakang sejarah jalan raya tulang belakang utama yang telah banyak berjasa kepada mereka selama lebih 100 tahun.

Entri bagi Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 ini merupakan kesinambungan daripada reviu Lebuhraya Persekutuan FT2 (aka Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2) pada 29 Ogos 2016, bersama-sama dengan konvoi bermotosikal Kementerian Kerja Raya Malaysia di bawah pimpinan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ikatan Silaturrahim Brotherhood pimpinan Lando Zawawi, serta wakil-wakil media. Alhamdulillah, dengan terhasilnya reviu Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 ini, maka lengkaplah sudah reviu penuh bagi Jalan Persekutuan 2, sekaligus menjadikan Jalan Persekutuan 2 sebagai jalan raya tulang belakang pertama dengan reviu penuh dari hujung ke hujung yang berjaya dihasilkan oleh Blog Jalan Raya Malaysia. Ia tentunya satu sejarah yang amat bermakna buat kami.

Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, Jalan Persekutuan 2 terdiri daripada 2 bahagian, iaitu Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 dan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2, yang mana kedua-duanya dihubungkan oleh Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur (KL MRR1) melalui Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur-Petaling Jaya yang menghasilkan Lebuhraya Sultan Iskandar FT2 (fka Lebuhraya Mahameru FT2). Secara teknikalnya, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 sepatutnya bermula di Bulatan Pahang FT2 dan melalui Jalan Pahang FT2, Jalan Gombak FT2/FT68 (dari Setapak ke Kampung Bandar Dalam), Jalan Kampung Bandar Dalam FT2 (jangan tak tahu, jalan dua lorong yang sempit di tengah-tengah bandar raya KL ini sebenarnya memang jalan persekutuan), dan seterusnya bertindih laluan dengan Lebuhraya Duke E33 (dari Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam ke Exit 3310 Persimpangan Greenwood), Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 (Greenwood-Gombak Utara), dan seterusnya keseluruhan jajaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 sebelum ia dilencongkan keluar ke pekan Karak sebagai jalan raya 2 lorong di Exit 813 Persimpangan Karak. Banyak betul lencongannya...!!! Saya berani bertaruh, bukan sahaja lebih 90% warga KL langsung tidak tahu akan jajaran FT2 di Kuala Lumpur, malah saya percaya ramai di kalangan pegawai tertinggi dalam KKR pun tidak tahu akan laluan sebenar FT2 di tengah-tengah KL. Tak boleh salahkan mereka kerana jajaran FT2 dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bukanlah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi sebaliknya di bawah tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).




Peta jajaran Jalan Persekutuan 2 di Kuala Lumpur (klik untuk besarkan)


Oleh kerana kesemua jalan raya dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (kecuali KL MRR2 FT28) adalah dalam bidang tanggungjawab DBKL, maka sudah tentulah DBKL wajib dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan kerana gagal mempamerkan jata laluan jalan-jalan persekutuan dalam jagaan mereka. Keculasan sebeginilah yang menjadikan kesinambungan laluan bagi Jalan Persekutuan 2 dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur gagal dicapai dan seterusnya menjadikan KL sebagai kota sesat lagi menyesatkan terutamanya di kalangan orang-orang luar dan pelancong asing. Beginikah rupanya rangkaian jalan raya di sebuah metropolis yang mendabik dada sebagai bandar raya global kelas alfa...? Jangan buat lawaklah, tak kelakar langsung. Nama sahaja ibu negara, tapi gagal menunjukkan teladan baik kepada negeri-negeri lain dalam hal memartabatkan rangkaian jalan raya negara.




Keluar ke laluan asal Lebuhraya Karak FT2 di Exit 813 Persimpangan Karak






Penamat sebenar Lebuhraya Karak FT2 di mana ia bertukar menjadi jalan raya persekutuan dua lorong biasa


Kita kembali semula kepada jelajah FTRoadpedia Pantai Timur menyelusuri Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2. Kami keluar di Exit 813 Persimpangan Karak, di mana FT2 dilencongkan keluar. Persimpangan ini sering dianggap sebagai permulaan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2, sedangkan permulaan sebenarnya ialah di Bulatan Pahang FT2 seperti yang sudah saya nyatakan tadi. Kami mengambil keputusan untuk berhenti rehat sebentar di Petronas Karak untuk memberi peluang kepada para peserta jelajah FTRoadpedia yang ingin ke tandas sebentar setelah lebih kurang 2 jam bertarung dengan rasa pening semasa di Jalan Gombak FT68 tadi. Ada juga yang mengambil kesempatan mengambil gambar di persekitaran. Hezeri Samsuri ada memaklumkan kepada saya bahawa di Karak ada sebuah masjid dan kuil yang dibina sebelah-menyebelah. Barulah namanya semangat 1Malaysia...!!! Sementara itu, suasana di pekan Karak tetap meriah meskipun peranannya sebagai hentian rehat utama untuk ke Kuantan sudah pun diambil alih oleh hentian rehat Lebuhraya Pantai Timur E8. Setelah puas berehat dan "melepaskan hajat", maka kami meneruskan perjalanan yang masih berbaki 180 km untuk ke Kuantan.

Tidak seperti kebanyakan jalan persekutuan di Malaysia, Jalan Persekutuan 2 mempunyai sistem nombor persimpangan tersendiri yang diasaskan daripada sistem nombor persimpangan lebuh raya ekspres. Sistem nombor persimpangan yang asalnya digunakan di Lebuhraya Persekutuan FT2 turut diperluaskan dan diguna pakai di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2.

Exit 230 Persimpangan Simpang Pelangai membentuk sempadan bagi pekan Karak. Ia dihubungkan dengan Jalan Tampin-Karak FT9 yang pernah saya lawati pada Januari 2013.

Sebaik melepasi Exit 230 Persimpangan Simpang Pelangai, lanskapnya berubah daripada sebuah pekan yang sibuk kepada sebuah jalan yang agak lengang. Memang ada kampung-kampung, tetapi suasananya tidak sama seperti kampung-kampung tepi jalan di sebelah pantai barat. Di sebelah negeri-negeri pantai barat, kampung-kampungnya lebih meriah; rumah-rumah penduduk lebih banyak mendominasi ruang berbanding pokok-pokok, cuma tidaklah sepadat kawasan bandar. Di sebelah Pahang ini pula, kepadatan penduduk secara amnya boleh dikatakan rendah di sepanjang Jalan Persekutuan 2, cuma tidaklah serendah di Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12, apatah lagi jika dibandingkan dengan di Sabah dan Sarawak.

Berkenaan dengan kualiti jalan pula, ia memang tidak konsisten terutamanya di jajaran Karak-Lanchang. Kadang-kadang kualiti turapan agak cantik, tetapi ada kalanya keadaan jalan sangat teruk dengan banyak lubang. Menurut pemandu bas kami, bas yang dipandunya pernah pecah tayarnya akibat terlanggar lubang di jalan ini, menyebabkan dia bertindak menuntut ganti rugi daripada JKR Bentong. Pun begitu, ia bukanlah bermakna JKR malas membaiki jalan ini, kerana di sepanjang jajaran Karak-Lanchang ini ada banyak kelibat pekerja membaiki jalan. Kami amat berharap agar kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang sedang dilakukan ini selesai dengan kualiti pembaikan yang cemerlang dalam sekali buat sahaja, bukannya banyak kali tampal pun masih berlubang balik akibat kualiti pembaikan yang teruk.

Semasa melepasi sempadan daerah Temerloh, begitu ramai pekerja Roadcare yang berkumpul di tepi jalan, dan sebaik sahaja kelibat bas-bas kami kelihatan, mereka terus melambai-lambaikan tangan ke arah kami. Sebenarnya bukan di sini sahaja mereka berkumpul, malah boleh dikatakan di setiap sempadan daerah pasti ada sekumpulan warga kerja Roadcare yang berkumpul di tepi jalan menantikan konvoi kami dan seterusnya melambai-lambaikan tangan ke arah kami. Untuk pengetahuan anda semua, Roadcare merupakan sebuah syarikat konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan yang dilantik oleh Kementerian Kerja Raya bagi menyelenggara jalan-jalan persekutuan utama di negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Pekan kedua yang terletak di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 ini ialah pekan Lanchang. Ia mungkin sekadar pekan kecil sahaja, tetapi sebenarnya ia menempatkan sebuah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di mana pelakon terkenal Rosyam Nor ada mengusahakan tanaman nangka. Lanchang juga dihubungkan dengan Jalan Bolok-Mempaga FT236 yang sering dipromosikan oleh JKR Pahang sebagai "jalan potong" untuk ke Raub dan Kuala Lipis dari Kuantan tanpa perlu mengharungi kesesakan di bandar Bentong.

Perjalanan diteruskan lagi. Tidak lama kemudian, kami melepasi Exit 233 Persimpangan Mentakab, yang menandakan bahawa kami sudah semakin menghampiri Temerloh di mana kami berhenti untuk makan tengah hari. Exit 233 Persimpangan Temerloh melencongkan laluan lama Mentakab-Temerloh yang diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 87. Laluan baharu FT2 sepanjang 17 km yang memintas bandar Mentakab dan Temerloh ini pula dibina serentak dengan pembinaan jambatan baharu Temerloh bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh akibat banjir besar tahun 1971. Laluan baharu ini juga mempercepatkan perjalanan melalui FT2 kerana tidak lagi perlu mengharungi kesesakan bandar Mentakab dan Temerloh, meskipun laluan baharu FT2 ini hanya 2 lorong sahaja. Selain itu, pengguna FT2 juga boleh mengekalkan kelajuan 90 km/j, sedangkan had laju di sepanjang Jalan Temerloh-Mentakab FT87 pula hanyalah 60 km/j sahaja. Sekiranya anda hendak memasuki Mentakab atau Temerloh tetapi terlepas simpang pertama tadi, anda masih berpeluang untuk memasukinya sama ada di Exit 234 Persimpangan Kawasan Perindustrian Temerloh memasuki jalan cabang FT88, ataupun di Exit 235 Persimpangan Bandar Temerloh yang merupakan sebuah persimpangan parclo. Di Exit 235 Persimpangan Bandar Temerloh, terdapat sebuah hentian rehat dan rawat (R&R) iaitu R&R Bukit Angin, tetapi untuk arah barat sahaja.

Kami akhirnya tiba di Temerloh. Kami seterusnya keluar di Exit 235 Persimpangan Bandar Temerloh untuk ke Restoran Go'Bang Maju Patin Tempoyak Temerloh yang menjadi lokasi makan tengah hari bagi konvoi jelajah FTRoadpedia Pantai Timur. Restoran ini terletak di bahagian bawah Exit 235 Persimpangan Bandar Temerloh, iaitu di penamat rasmi Jalan Persekutuan 10. Kehadiran kami disambut dengan meriahnya oleh kakitangan JKR Pahang, JKR Temerloh, warga kerja Roadcare serta pihak pengurusan restoran Go'Bang Maju Patin Temerloh Tempoyak sendiri. Kami disajikan dengan hidangan ikan patin dan tilapia yang menjadi kebanggaan penduduk Temerloh sebagai pengeluar utama ikan air tawar di negeri Pahang. Jutaan terima kasih kepada pemilik restoran atas layanan terbaik yang diberikan kepada kami, insya-Allah kami pasti akan singgah lagi pada masa akan datang. Turut menyambut kedatangan kami ialah seorang peminat setia Blog Jalan Raya Malaysia iaitu Saudara Ecik M Syuhadaa Usu yang sudah lama menantikan peluang bersama-sama dengan saya selaku penulis Blog Jalan Raya Malaysia. Secara kebetulan, Temerloh memang merupakan kampung halamannya, dan dia juga amat mengenali pemilik restoran Go'Bang Maju ini.

Sedikit mengenai sejarah Restoran Go'Bang Maju Patin Tempoyak Temerloh ini. Restoran ini diasaskan lebih daripada 10 tahun lalu oleh pemiliknya yang memang merupakan anak jati Temerloh. Ia mempopularkan masakan ikan patin tempoyak dengan resipi asli Temerloh. Keenakan juadah ikan patin tempoyak Temerloh di Go'Bang Maju ini menjadi tular sehingga ke Kuala Lumpur. Rahsianya...? Restoran ini hanya menggunakan ikan-ikan yang diternak di dalam sangkar dan bukannya yang ditangkap di Sungai Pahang. Ia membolehkan diet ikan-ikan ini dikawal bagi menghasilkan isi ikan yang berkualiti tinggi dan tidak hanyir. Selain daripada restoran asal di Temerloh ini, tiga lagi cawangan restoran ini dibuka iaitu di Kuantan, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Terletak betul-betul di belakang restoran ini ialah bekas runtuhan jambatan lama Temerloh. Jambatan baru Temerloh yang diberi nama Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah FT2 terletak betul-betul di sebelahnya. Nampak begitu ketara beza antara jambatan baru dengan jambatan lama, yang mana jambatan baru dibina jauh lebih tinggi bagi melindunginya daripada banjir besar pada masa akan datang. Ia menghasilkan persimpangan bertingkat berlainan aras pertama di negeri Pahang iaitu Exit 235 Persimpangan Bandar Temerloh yang merupakan sebuah persimpangan parclo. Justeru, Restoran Go'Bang Maju Patin Tempoyak Temerloh merupakan lokasi wajib tular dan wajib singgah bukan sahaja sekadar sebagai tempak melepak dan tempat makan ikan patin paling sedap di Temerloh, tetapi juga sebagai tempat bersejarah buat pengkaji sejarah Temerloh dan sejarah jalan raya di negeri Pahang.

Setelah puas menikmati hidangan ikan patin dan tilapia Temerloh, masanya sudah tiba untuk kami meneruskan perjalanan agar kami sempat singgah di Maran untuk solat Zuhur dan seterusnya tiba tepat pada masanya di Kuantan bagi acara seterusnya. Kalau anda hendak tahu apa acara yang ada di Kuantan, anda teruskan membaca sampai habis. Sepanjang perjalanan dari Temerloh ke Maran sejauh 48 km, ada dua lagi pekan di sepanjang laluan, iaitu Pekan Awah dan Pekan Tajau. Kedua-duanya merupakan simpang jalan masuk ke Gugusan Felda Jengka yang merupakan antara gugusan tanah rancangan Felda yang terbesar di Malaysia, cuma melalui dua pintu masuk yang berlainan. Pekan Awah dihubungkan ke Jengka melalui Jalan Persekutuan 83, manakala Pekan Tajau pula dihubungkan ke Jengka melalui Jalan Persekutuan 62. Antara kedua-duanya, hanya Pekan Awah sahaja yang dihubungkan ke Lebuhraya Pantai Timur E8 melalui Exit 821 Persimpangan Chenor.

Kami semakin menghampiri Maran. Lengkok di Exit 243 Persimpangan Sungai Jerik menunjukkan kami memang sudah hampir tiba di Maran. Exit 243 Persimpangan Sungai Jerik dihubungkan dengan Jalan Benta-Jerantut-Maran FT64. Lengkok di persimpangan ini terhasil semasa pembinaan jajaran terakhir Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 dari Temerloh ke Maran bagi memastikan keterusan laluan FT2. Seperti yang telah saya ceritakan dalam entri sejarah lengkap Jalan Persekutuan 2, jajaran dari Maran ke Kuantan merupakan salah satu jajaran tertua jalan FT2 kerana ia membentuk sebahagian Jalan Benta-Kuantan.

Sebaik sahaja tiba di Maran, kami singgah sebentar untuk solat Zuhur dan Asar secara jamak dan qasar dengan diimamkan sendiri oleh Datuk Seri Fadillah Yusof. Hanya Hezeri Samsuri sahaja yang solat seperti biasa, kerana jarak dari Maran ke kampung halamannya di Kuantan kini sudah kurang daripada 2 marhalah, yang menjadikannya tidak lagi sesuai untuk melakukan jamak dan qasar.

Perjalanan diteruskan lagi selepas selesai solat qasar dan jamak di Maran tadi. Kali ini kami disajikan dengan satu lagi kejutan, iaitu kewujudan Felda New Zealand. Namun, anda sama sekali tidak akan menjumpai sebarang ladang tanaman buah kiwi dan paku-pakis New Zealand (silver fern) mahupun ladang ternakan burung kiwi di situ. Lagipun, penduduk di situ pun kebanyakannya orang Melayu dan bukannya orang putih mahupun orang asli Maori. Namun, ada cerita menarik di sebalik penubuhan Felda New Zealand ini. Diceritakan bahawa kerajaan New Zealand membantu kerajaan Malaysia dalam membiayai pembukaan tanah rancangan Felda tersebut. Selain itu, juruukur yang bertanggungjawab membangunkan pelan tanah rancangan tersebut juga berasal dari New Zealand. Maka daripada situlah Felda New Zealand mendapat namanya.

Hanya tinggal dua sahaja pekan lagi sebelum kami selamat sampai di Kuantan. Pekan pertama ialah pekan Sri Jaya yang sekadar merupakan pekan biasa sahaja, diikuti dengan pekan Gambang. Di tengah-tengah perjalanan antara kedua-dua pekan tersebut terletaknya Tasik Bungor. Saya terkejut apabila terlihat kelibat beberapa buah bangunan terbiar yang sudah pun bersemak-samun di situ. Rupa-rupanya, memang ada cerita di sebaliknya. Pada tahun 1990an, pernah ada cubaan oleh kerajaan negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang pada masa itu, Tan Sri (kini Tun) Khalil Yaakob untuk menjadikan Tasik Bungor sebagai sebuah tempat pelancongan dan riadah. Malah, semasa temasya Sukan Malaysia (Sukma) 1996 di Kuantan, Pahang, Tasir Bungor dipilih sebagai lokasi bagi acara sukan air. Namun, setelah tamatnya Sukma Pahang 1996, Tasik Bungor mula terbiar. Kenapa boleh jadi begitu...? Semuanya gara-gara ada cerita-cerita yang mengatakan kononnya di Tasik Bungor ada buaya putih yang ganas, menyebabkan para pengunjung biasa serta yang baru berhajat hendak beriadah di situ terpaksa membatalkan hasrat mereka. Untuk membuktikan bahawa tiada buaya di tasik itu, Tun Khalil Yaakob sendiri berenang dan menyelam sehingga ke dasar tasik itu semata-mata kerana mahu meyakinkan kembali para pengunjung bahawa tiada buaya di situ, namun ia tetap gagal. Akibatnya, Tasik Bungor kini terbiar, dan segala bangunan dan prasarana bernilai jutaan ringgit yang dibiayai daripada duit rakyat habis terbiar begitu sahaja menjadi projek gajah putih tanpa ada sebarang usaha pemuliharaan. Sedih kan...? Inilah satu contoh bagaimana mulut orang berupaya membunuh sesebuah tempat pelancongan dan riadah. Justeru, saya amat berharap agar ada usaha untuk membangunkan kawasan ini kembali dengan bersungguh-sungguh.

Pekan terakhir sebelum memasuki ibu negeri di Kuantan ialah Gambang. Jika dibandingkan dengan Sri Jaya tadi, pekan Gambang lebih besar dan lebih meriah. Ia hidup kerana terdapat dua produk pelancongan di situ iaitu Agro Resort Semuji dan juga taman tema Bukit Gambang Resort City. Selain itu, kampus induk Universiti Malaysia Pahang juga terletak di Gambang, atau lebih spesifik lagi, lebih kurang 1-2 km selepas pekan Gambang.

Sebaik melepasi pekan Gambang, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berubah menjadi lebuh raya kembar 4 lorong yang dikenali sebagai Jalan Gambang FT2. Jalan Gambang FT2 ini dipercayai dinaik taraf menjadi lebuh raya kembar 4 lorong sekitar tahun 1992 hingga 1995. Semasa saya pertama kali ke Kuantan pada tahun 1991, Jalan Gambang FT2 ini hanya sekadar jalan raya 2 lorong sahaja, tetapi kunjungan seterusnya pada tahun 1996 mendapati ia sudah berubah menjadi lebuh raya kembar, bertepatan dengan peningkatan bilangan kenderaan di Kuantan serta seiring dengan status Kuantan sebagai ibu negeri Pahang. 1 km selepas lebuh raya kembar bermula, terletaknya Exit 251 Persimpangan Gambang yang dihubungkan dengan Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 dan Persiaran MEC FT222 untuk ke kampus induk Universiti Malaysia Pahang dan seterusnya ke Lebuhraya Pantai Timur E8. Di sebelah kanan iaitu menghala ke Lebuhraya Tun Razak FT12, jelas kelihatan kerja-kerja naik taraf FT12 kepada lebuh raya kembar sedang dilaksanakan.

Jarak dari Exit 251 Persimpangan Gambang ke Kuantan kini hanya tinggal 27 km sahaja lagi. Ada kalanya, pembahagi jalan di Jalan Gambang FT2 menjadi besar agar pusingan U yang cukup besar untuk kenderaan panjang dapat dibina. Di Exit 253 Persimpangan Pandan, kami melencong ke Jalan Pintasan Kuantan FT3 untuk ke tapak projek Persimpangan Jalan Bukit Ubi C4 di bandar Kuantan bagi mengelakkan daripada kesesakan yang bakal timbul sekiranya kami terus menggunakan laluan Jalan Gambang FT2 yang memerlukan kami mengharungi kesesakan pusat bandar untuk ke lokasi. Kami hanya kembali semula di FT2 di lokasi hotel penginapan kami iaitu di Swiss Garden Hotel Resort di Balok, Kuantan, betul-betul di bahagian terakhir FT2 iaitu Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan FT2.

Di sebelah malamnya pula kami disajikan dengan hidangan makanan laut segar di Restoran Sara Thai Kitchen yang terletak tidak jauh daripada hotel penginapan kami serta turut terletak di Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan FT2. Memang inilah kerja kami sepanjang jelajah FTRoadpedia Pantai Timur - selain daripada makan angin sambil berseronok mengambil gambar dan merakam video dari dalam bas, kami juga banyak makan makanan yang sedap-sedap sepanjang perjalanan. Namun begitu, kami bukan sekadar berseronok semata-mata, kerana ada juga acara-acara yang lebih serius iaitu lawatan ke beberapa tapak projek pembinaan infrastruktur jalan raya iaitu Persimpangan Bukit Ubi C4 dan Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12, majlis penutup rasmi FTRoadpedia Zon Timur, serta Skuad BJRM Prihatin di R&R Perasing. Malah, sebaik sahaja selamat tiba di Kuala Lumpur, di sinilah bertimbunnya kerja saya, iaitu menyiapkan siri-siri reviu FTRoadpedia Pantai Timur, di samping menyiapkan siri reviu FTRoadpedia terawal di Lekir yang belum siap sepenuhnya lagi. Pun begitu, saya tetap berhak untuk berseronok supaya saya dapat berkongsi keseronokan menggunakan jalan persekutuan bersama-sama dengan anda semua.

Pada keesokan harinya (24 Februari 2017), satu upacara pelepasan ringkas diadakan di lobi hotel penginapan kami untuk menandakan pelepasan seterusnya untuk ke Kuala Terengganu melalui Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3. Jadi, ada baiknya saya habiskan dahulu reviu Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 terlebih dahulu. Semasa di Exit 259 Persimpangan Seberang Balok, kami membelok ke kiri untuk ke Kuala Terengganu melalui satu jalan cabang pendek. Banyak peta yang melabelkan jalan cabang pendek itu sebagai FT2 dan penamat FT2 di persimpangan pertemuan antara jalan cabang itu dengan Jalan Pintasan Kuantan / Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, tetapi sebenarnya bukan. Penamat sebenar FT2 terletak hanya 1 km dari pelabuhan Kuantan; anda perlu jalan terus di Exit 259 Persimpangan Balok dan bukannya belok ke kiri.

Jadi bagaimana rasanya saya menggunakan jalan lama Kuala Lumpur-Kuantan FT2 ini...? Serius saya katakan, ia satu perjalanan yang panjang dan lama tetapi menyeronokkan. Malah, menurut Hezeri Samsuri, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 merupakan salah satu daripada laluan kegemarannya ketika hendak memandu uji sesebuah model kereta. Ia memang panjang tetapi langsung tidak membosankan kerana ada banyak lokasi menarik di sepanjang laluannya. Jika dibandingkan dengan lebuh raya ekspres, pemandangan di lebuh raya ekspres seakan kosong dengan lanskap yang sangat luas seolah-olah pemanduan terlalu perlahan, yang mana ia mewujudkan satu hipnosis lebuh raya yang mengujakan rasa mengantuk dan bosan. Malangnya, ramai pemandu Malaysia melawan hipnosis lebuh raya dengan cara yang salah iaitu dengan memandu terlalu laju melebihi had laju. Sebab itulah angka kemalangan maut di lebuh raya ekspres di Malaysia kekal mencanak tinggi. Pemanduan di jalan persekutuan pula tidak laju, tetapi sekurang-kurangnya lebih santai dan menenangkan. Justeru, jalan persekutuan seharusnya menjadi pilihan utama sebagai laluan bagi percutian kembara secara santai, dan bukannya pilihan terakhir.

Ikuti sambungan seterusnya dalam entri projek persimpangan Jalan Bukit Ubi C4.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Berehat sebentar di Petronas Karak






Di sini, masjid dan kuil dibina sebelah-menyebelah






Pekan Karak yang sibuk






Exit 230 Persimpangan Simpang Pelangai untuk ke Jalan Tampin-Karak FT9






Meninggalkan pekan Karak






Exit 232 Persimpangan Mempateh di Lanchang






Secara amnya keadaan jalan lama KL-Kuantan FT2 ini lengang selepas pembukaan LPT E8






Exit 233 Persimpangan Mentakab melencongkan laluan lama Mentakab-Temerloh sebagai Jalan Persekutuan 87






Kawasan Perindustrian Temerloh






Anda terlajak jalan tadi...? Tak apa, anda masih boleh masuk ke Mentakab melalui Exit 234 Persimpangan Kawasan Perindustrian Temerloh






Ada lagi 12 km sebelum menikmati juadah ikan patin Temerloh






Tak sangka rupanya ada lagi jejambat di Temerloh rupanya






Keluar ke Temerloh melalui Exit 235 Persimpangan Bandar Temerloh untuk makan tengah hari






Bulatan Bukit Angin di Exit 235 Persimpangan Bandar Temerloh - ambil pusingan pukul 3...






...dan seterusnya belok kanan untuk lokasi makan tengah hari kali ini






Inilah venue makan tengah hari kami - Restoran Go'Bang Maju Patin Tempoyak Temerloh






Pemilik restoran ini siap dapat autograf daripada Datuk Seri Fadillah Yusof






Persimpangan parclo di Exit 235 Persimpangan Bandar Temerloh terhasil daripada Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah FT2 yang dibina tinggi






Jambatan baru Temerloh...






...vs jambatan lama yang sudah runtuh akibat banjir besar 1971






Meninggalkan bandar Temerloh - ada baki 48 km untuk ke Maran bagi solat Zuhur






Menyeberangi Sungai Pahang melalui Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah FT2






Exit 236 Persimpangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah






Jajaran Temerloh-Maran merupakan jajaran terakhir Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 yang disiapkan pada tahun 1955






Exit 238 Persimpangan Pekan Awah ke Jengka






Exit 239 Persimpangan Bukit Segumpal ke Pekan Sehari Kampung Awah






Perjalanan ke Maran masih berbaki 32 km






Simpang ke Chenor






Pekan Tajau






Lengkok di Exit 243 Persimpangan Sungai Jerik menunjukkan kami sudah hampir sampai ke Maran






Di sinilah bermulanya jajaran tertua bagi Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2






Sudah hampir tiba di Maran






Suasana bandar Maran






Berhenti solat sebentar di bandar Maran






Kembali meneruskan perjalanan ke Kuantan






Lanskap sawah padi di Felda New Zealand






Simpang masuk ke Felda New Zealand






Pekan Sri Jaya






Simpang masuk ke Tasik Chini






Ramai tidak mengetahui, Tasik Bungor dahulu pernah menjadi tumpuan ramai, tetapi sekarang ia dilupakan






Bangunan infrastruktur yang terbiar tanpa sebarang usaha pemuliharaan






Agro Resort Semuji






Ingat lagi reviu LPT E8...? Dari sini boleh nampak LPT E8






Gambar semasa reviu LPT E8 di lokasi sama






Simpang ke Bukit Gambang Resort City






Memasuki pekan Gambang






Lagi suasana di pekan Gambang






Lebuh raya kembar bermula 1 km sebelum Exit 251 Persimpangan Gambang ke Lebuhraya Tun Razak FT12






Exit 251 Persimpangan Gambang untuk ke Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12






Perjalanan ke Kuantan dari Exit 251 Persimpangan Gambang hanya tinggal 27 km sahaja lagi






Papan tanda ini menunjukkan kami sudah memasuki kawasan bandar Kuantan






Pembahagi jalan di Jalan Gambang FT2 ini memang lebar






Melencong ke Jalan Pintasan Kuantan FT3 di Exit 253 Persimpangan Pandan untuk ke tapak projek Persimpangan Jalan Bukit Ubi C4






Makan malam di Sara Thai Kitchen di Balok, Kuantan






Macam-macam ada di sini - ada masakan ketam, telur dadar,...






...tomyam, siakap tiga rasa,...






...kailan ikan masin dan udang goreng tepung. Memang menyelerakan...!!!






Ketua Pengarah Kerja Raya yang sempoi apabila diajak berkaraoke






Kembali meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu melalui Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan FT2






Penamat sebenar Jalan Persekutuan 2 terletak 1 km dari Pelabuhan Kuantan






Penamat FT2 yang sering dilabelkan dalam kebanyakan peta