Wednesday, February 18, 2015

XPDC Teganu Kita 2015 Part 2: Jalan Tengku Mizan FT65 & Jambatan Sultan Mahmud FT65

Salam sejahtera dan Selamat Tahun Baru Cina buat para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia dari kalangan kaum Tionghua,

Dalam episod kedua siri XPDC Teganu Kita 2015 ini, saya meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu untuk mencuba sendiri keropok lekor Losong yang terkenal itu. Dari Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu yang menjadi penamat kepada Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8, jarak ke pusat bandar raya melalui Jalan Persekutuan 3 begitu jauh iaitu 21 km. Namun, jarak tersebut kini telah dipendekkan menjadi sekitar 13 km sahaja melalui jambatan yang paling hampir dengan pusat bandar raya. Jambatan tersebut dinamakan sebagai Jambatan Sultan Mahmud FT65 yang menghubungkan antara Bulatan Batu Enam dekat Gong Badak dengan pusat bandar raya serta merentasi Pulau Duyung, manakala jalan yang menghubungkan jambatan tersebut dinamakan sebagai Jalan Tengku Mizan FT65.

Sebelum adanya Jambatan Sultan Mahmud FT65 ini, jarak antara Seberang Takir yang terletak hanya di sebelah tebing utara Sungai Terengganu dengan Kuala Terengganu di tebing selatan ialah sekitar 14 km. Apa tidaknya; pada masa itu, satu-satunya jambatan yang ada hanyalah Jambatan Pulau Rusa FT3 selebar dua lorong sahaja. Sementara itu, Pulau Duyung yang terkenal dengan perusahaan membina perahu pula hanya boleh dihubungi melalui jalan air sahaja. Justeru, Jambatan Sultan Mahmud FT65 dibina bukan sahaja bagi menghubungkan antara Kuala Terengganu dengan Seberang Takir, malah turut menghubungkan Pulau Duyung dengan dunia luar melalui jalan raya. 

Jambatan Sultan Mahmud FT65 sebenarnya terdiri daripada tiga buah jambatan yang berturutan, iaitu Jambatan Selatan (Kuala Terengganu-Pulau Duyung), Jambatan Utara No. 1 (Seberang Takir-Pulau Besar) dan Jambatan Utara No. 2 (Pulau Besar- Pulau Duyung). Jambatan ini mula dibina pada tahun 1987 dan siap pada tahun 1990. Memandangkan pada masa itu Terengganu masih lagi sebuah negeri membangun yang baru hendak naik, maka kutipan tol terpaksa dilakukan bagi membolehkan kerajaan negeri membiayai pembinaan jambatan tersebut, memandangkan pada masa itu Jalan Tengku Mizan dan Jambatan Sultan Mahmud diwartakan sebagai Jalan Negeri Terengganu T4. Kutipan tol dimulakan pada tahun 1990 dengan kadar tol sebanyak 50 sen sahaja setakat tahun 1999. Namun, kutipan tol dimansuhkan pada tahun 1999 apabila Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjaya menawan kerajaan negeri Terengganu daripada Barisan Nasional (BN). Ia susulan manifesto PAS yang berjanji hendak memansuhkan tol di Jambatan Sultan Mahmud FT65, dan mereka berjaya melakukannya sehingga mendorong mereka untuk membina Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 E8 secara percuma tanpa bayaran tol untuk membiayainya, yang hanya sekadar tinggal "janji dicapati" sahaja. Akibat janji "lebuh raya tanpa tol" yang dicapati, LPT2 E8 diteruskan pembinaannya sebagai lebuh raya ekspres bertol. Sementara itu pula, kerajaan persekutuan mengambil alih Jalan Negeri Terengganu T4 dan mewartakannya semula sebagai Jalan Persekutuan 65.

Keputusan kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang pada masa itu untuk memansuhkan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud FT65 sememangnya satu keputusan yang terburu-buru dan sangat semberono. Pada masa itu, mereka lebih tertarik kepada "habuan emas hitam" yang kononnya boleh menjadikan Terengganu kaya-raya tanpa memerlukan sebarang sumber ekonomi lain, tetapi mereka lupa dan alpa bahawa royalti petrolem untuk kerajaan negeri hanya 5% sahaja daripada jumlah pendapatan kasar hasil eksport petroleum. Nak tuntut lebih banyak lagi royalti...? Kerajaan persekutuan sendiri pun sebenarnya memperoleh kadar royalti yang sama banyak seperti kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak. Petronas sudah tentu memerlukan sebahagian besar hasil pendapatan petroleum bagi menampung risiko yang terlibat semasa proses cari gali petroleum. Sebab itulah Terengganu jadi miskin pada masa itu. Selain itu, pemansuhan tol yang dilakukan secara mengejut itu telah menyebabkan para pekerja di situ hilang punca pendapatan.

Jalan Tengku Mizan FT65 bermula dari Bulatan Batu Enam. Sebenarnya, FT65 tidak hanya merujuk kepada Jalan Tengku Mizan sahaja, sebaliknya FT65 juga merujuk kepada jalan masuk dari Bulatan Batu Enam ke Lapangan Terbang Gong Badak. Untuk ke Seberang Takir, hanya belok kiri ke jalan T143.

Had laju di sepanjang Jalan Tengku Mizan FT65 ialah 70 km/j. Semasa mula memasuki Jambatan Sultan Mahmud FT65, terdapat plaza tol lama yang kini sudah pun terbiar tetapi tidak pula dicabut, mungkin sebagai satu peninggalan sejarah kepada anak-anak Terengganu. Selain itu, terdapat lorong khas untuk basikal dan beca di kiri dan kanan jambatan, tetapi ia tidak diselenggara dan terbiar begitu sahaja. Mungkin keadaan lorong yang tidak begitu selesa menyebabkan ia tidak digunakan. Sementara itu pula, keadaan di laluan utama pula sangat bagus.

Jambatan Sultan Mahmud FT65 dihubungkan ke Pulau Duyung melalui satu persimpangan bertingkat. Sebenarnya jika diikutkan kriteria pemilihan jenis persimpangan, Pulau Duyung sepatutnya dihubungkan dengan FT65 melalui persimpangan searas memandangkan jalan-jalan di Pulau Duyung rata-ratanya sekadar jalan kampung sahaja. Namun, rekaan persimpangan berlian akhirnya dipilih sebagai penghubung antara FT65 dengan Pulau Duyung. Ia sekaligus menjadikan Persimpangan Pulau Duyung sebagai persimpangan paling hampir dengan pusat bandar raya Kuala Terengganu.

Setelah jambatan berakhir, lorong basikal juga berakhir pada masa yang sama. Persimpangan kedua terakhir ialah Persimpangan Perpustakaan untuk terus ke pusat bandar raya. Saya membelok ke kanan untuk mencari jalan ke Kampung Losong yang terkenal dengan industri keropok lekornya. Namun, saya rupa-rupanya tersilap jalan - di penghujung Jalan Kemajuan, saya dilencongkan ke kiri yang bakal membawa saya ke Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang FT14/FT106 dan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14. Maka, saya terpaksa membuat pusingan U di Persimpangan Chabang Tiga untuk kembali semula ke Kampung Losong. Setibanya di sana, saya berehat sebentar di kedai keropok Losong Pak Su untuk menikmati keropok Losong berintikan sos keju. Memang terangkat...!!! Keropok Losong sememangnya terbaik...!!! Mungkin keropok Losong bukanlah sesuatu yang menghairankan, tetapi hanya keropok di kawasan asalnya di Kampung Losong sahajalah keropok Losong original yang mempunyai lebih rasa ikan, tidak seperti keropok yang bukan original yang lebih banyak menggunakan bahan pengisi seperti tepung dan bukannya ikan segar.

Di pusat bandar raya Kuala Terengganu pula, saya menggunakan kesempatan untuk mengisi minyak dan pergi ke bengkel motosikal bagi mengetatkan rantai Suzuki Belang R150 yang saya gunakan itu. Perut sudah kenyang, tangki minyak motosikal sudah diisi penuh, jadi jom kita teruskan perjalanan...!!!

Persimpangan terakhir di Jalan Tengku Mizan FT65 ialah Persimpangan Bukit Besar. Ia terletak bersebelahan sahaja dengan Persimpangan Perpustakaan. Persimpangan tersebut terletak di kaki bukit yang menempatkan papan tanda ala-Hollywood yang tertulis "Allah Peliharakanlah Terengganu". Di situ jugalah saya ditemukan semula dengan Jalan Persekutuan 3. Jalan Tengku Mizan FT65 berakhir dengan rasminya di sini.

Hari sudah pun petang. Saya perlu terus ke Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang FT14/FT106 untuk pulang kerana bimbang kemungkinan kesukaran untuk nampak jalan di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2 jika saya tiba pada waktu malam di sana.

Ikuti bahagian ketiga siri XPDC Teganu Kita 2015 untuk reviu Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Bulatan Batu Enam yang menjadi permulaan Jalan Tengku Mizan FT65 - FT65 juga merujuk kepada jalan ke lapangan terbang






Bulatan Batu Enam - mana lebih baik, ikut jalan jauh (FT3) atau jalan dekat (FT65)...?






Open University Malaysia (OUM) kampus Kuala Terengganu yang terletak betul-betul di tepi jalan FT65 ini






Jalan Tengku Mizan FT65 menjadi laluan penting antara Kuala Terengganu di sebelah tebing selatan Sungai Terengganu dengan Seberang Takir dan Gong Badak di sebelah tebing utara






Simpang ke Seberang Takir melalui Jalan Negeri Terengganu T143






Sungai Terengganu dari atas Jambatan Sultan Mahmud FT65






Jambatan Sultan Mahmud FT65 turut menyediakan lorong basikal - tetapi ia tidak digunakan






Tapak plaza tol lama Jambatan Sultan Mahmud FT65






Persimpangan Pulau Duyung, satu-satunya persimpangan bertingkat di Jalan Tengku Mizan FT65






Melencong sebentar ke Kampung Losong melalui Jalan Kemajuan T20 untuk menikmati keropok Losong yang terkenal di seluruh negara






Keropok Losong perisa keju di kedai keropok Losong Pak Su memang terbaik...!!!






Jalan Tengku Mizan FT65 tamat di Persimpangan Bukit Besar

No comments:

Post a Comment