Showing posts with label East-West Highway. Show all posts
Showing posts with label East-West Highway. Show all posts

Tuesday, July 7, 2015

Berita 2 dalam 1: Perasmian Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4 & jambatan bentangan tunggal terpanjang di Malaysia / 2-in-1 news: The inaugural of East-West Highway FT4 Memorial Monument & the longest single-span bridge in Malaysia





Tugu Peringatan Lebuhraya Timur Barat FT4 sebelum (gambar atas) dan sesudah dinaiktaraf (gambar bawah)


Salam sejahtera,

Masih ingat lagi akan Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang dinaiktaraf oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak baru-baru ini...? Sejak tahun 2014, JKR Perak begitu aktif berkongsi sejarah pembinaan lebuh raya sepanjang 123 km itu yang sering diganggu ancaman pengganas komunis. Selain menulis mengenai sejarah pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4, JKR Perak juga giat menemuramah bekas-bekas pekerja JKR yang menjayakan pembinaannya, termasuklah yang pernah menjadi mangsa serangan pengganas komunis. Kemuncak kepada usaha memartabatkan sejarah FT4 membawa kepada naik taraf Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4.

Tugu peringatan yang terletak betul-betul di tepi jalan itu asalnya hanya terdiri daripada plak yang tertulis sejarah serangan paling dahsyat terhadap para pekerja JKR serta anggota tentera oleh anggota pengganas komunis. Puluhan jentera JKR diletupkan, mengakibatkan kerugian berjumlah jutaan ringgit. Lokasi serangan pengganas komunis itulah yang menjadi lokasi tugu peringatan tersebut didirikan. Namun, disebabkan lokasinya yang sekadar terletak di tepi jalan tanpa sebarang petak parkir mahupun papan tanda penunjuk arah, ramai pengguna Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang sering terlepas pandang akan kewujudannya. Justeru, JKR Perak mengambil inisiatif menaiktaraf tugu peringatan ini dengan menghiasnya dengan jubin, mendirikan bahan bacaan maklumat tambahan mengenai projek Lebuhraya Timur-Barat FT4, serta menyediakan beberapa petak parkir kereta supaya pencinta sejarah jalan raya negara seperti saya dan anda semua dapat memparkir kenderaan masing-masing untuk menghayati sejarah Lebuhraya Timur-Barat FT4 tanpa mengganggu lalu lintas FT4 itu sendiri. Projek ini mendapat sokongan daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sendiri, yang turut menyediakan peruntukan untuk menjayakan projek naik taraf tugu peringatan ini.

Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang dinaiktaraf ini dirasmikan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof pada 2 Julai 2015. Majlis tersebut turut menghimpunkan bekas-bekas pekerja JKR yang menjayakan projek FT4 ini, termasuklah mangsa pertama serangan komunis di tapak projek FT4 iaitu Pakcik Johari. Datuk Seri Fadillah sempat beramah mesra dengan wira-wira JKR yang tidak didendangkan ini, disusuli dengan sesi mengambil gambar kenangan antara Datuk Seri Fadillah dengan bekas pekerja JKR yang bertanggungjawab menjayakan projek Lebuhraya Timur-Barat FT4.

Sempena perasmian Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang sudah dinaiktaraf sebegitu indah ini, kami di Blog Jalan Raya Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada JKR Perak dan JKR Hulu Perak. Usaha JKR Perak memartabatkan jalan raya melalui pengindahan tugu peringatan ini wajar dicontohi semua JKR negeri yang lain. Seterusnya, kami berharap agar selepas ini JKR Johor mengambil inisiatif menaiktaraf Tugu Peringatan Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia di Johor Bahru pula.




Tugu yang siap dinaiktaraf berserta maklumat tambahan pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4




Dua buah wakaf turut disediakan untuk membolehkan pengguna lebuh raya berehat sebentar serta membolehkan penunggang motosikal berteduh ketika hujan




Maklumat tambahan sejarah pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4




Beberapa buah petak parkir turut disediakan untuk kemudahan pengunjung




Ucapan perasmian oleh Datuk Seri Fadillah Yusof




Datuk Seri Fadillah beramah mesra dengan Pakcik Johari, mangsa pertama jerangkap samar yang dipasang oleh anggota tentera pengganas komunis




Bekas pekerja JKR serta waris mereka bergambar kenangan bersama-sama Datuk Seri Fadillah


Pada hari yang sama juga, Datuk Seri Fadillah turut merasmikan sebuah jambatan baharu di Kampung Bandariang, tidak jauh dari bandar Gerik. Jambatan tersebut dibina bagi menggantikan jambatan asal yang rosak akibat banjir besar Disember 2014. Kalau diikutkan, ia sekadar jambatan jalan kampung sahaja, tetapi apa yang begitu istimewa dengan jambatan baharu ini...? Ada tiga perkara yang menjadikan Jambatan Batu 6 ini sangat istimewa:-
  1. Jambatan ini tiada tiang - sebaliknya, jambatan sepanjang 100 m ini hanya disangga oleh kedua-dua tebing Sungai Perak. Biasanya, jambatan jalan kampung sebegini dibina menggunakan banyak tiang kerana menggunakan bahan-bahan binaan konvensional yang hanya berupaya menghasilkan bentangan jambatan yang pendek. Akibatnya, puing-puing banjir boleh tersangkut dengan mudah, dan jika ditambah dengan kekuatan arus sungai ketika banjir, tiang-tiang jambatan boleh rosak dan seterusnya runtuh. Atas faktor tersebut, Jambatan Batu 6 ini dibina menggunakan Konkrit Berprestasi Ultra Tinggi (UHPC) yang lebih kuat dan lebih kukuh daripada konkrit biasa, membolehkan Jambatan Batu 6 ini dibina tanpa tiang. Faktor sama juga membawa kepada rekaan Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 di Temerloh yang dibina dengan bentangan yang begitu besar semasa menyeberangi Sungai Pahang. Teknologi UHPC ini membolehkan Jambatan Batu 6 dicatatkan dalam Malaysian Book of Records sebagai jambatan bentangan tunggal terpanjang (100 m). Sebenarnya, Jambatan Sungai Johor E22, Jambatan Sungai Perai E17, Jambatan Pulau Pinang E36 dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 kesemuanya mempunyai bentangan yang lebih panjang, tetapi kesemua jambatan tersebut terdiri daripada banyak bentangan dan banyak tiang, sedangkan Jambatan Batu 6 ini tiada tiang langsung.
  2. Jambatan ini mampu menampung berat lori 30 tan - had berat 30 tan ini sebenarnya merupakan had berat maksimum de facto bagi jalan raya di Malaysia termasuklah lebuh raya ekspres. Namun, Jambatan Batu 6 ini mampu menampung berat lori 30 tan, meskipun jambatan tersebut hanyalah jambatan jalan kampung semata-mata. Selalunya, jalan kampung direka untuk menampung berat kenderaan sehingga 8 tan sahaja. Penggunaan teknologi UHPC ini menjadikan Jambatan Batu 6 ini sangat kuat.
  3. Jambatan ini disinari lampu jalan LED suria - sebelum ini kami pernah menulis mengenai kelebihan lampu jalan LED jika dibandingkan dengan lampu wap natrium yang sering digunakan di kebanyakan jalan raya di Malaysia. Sebiji mentol LED 8 watt mampu menghasilkan cahaya yang sama terang dengan sebiji mentol pendarflour padat (CFL) 18 watt dan sebiji mentol pijar 100 watt. Jika lampu jalan wap natrium biasanya mempunyak kadaran kuasa sekitar 150 watt, lampu jalan LED pula hanya memerlukan kuasa elektrik sekitar beberapa puluh watt sahaja. Penggunaan tenaga elektrik yang sangat minima ini membolehkan lampu jalan LED menggunakan sumber tenaga suria yang selalunya begitu rendah.




Jambatan Batu 6 di Gerik, Perak. Perhatikan papan tanda had berat 30 tan di situ - bagi jalan kampung sebegini, jambatan ini sememangnya sangat kuat




Jambatan Batu 6 ini tiada tiang, tetapi sekadar disangga pada tebing sungai sahaja




Jambatan ini dibina mengikut piawaian JKR R1, dengan lebar 5 m




Sijil Malaysian Book of Records yang menjadi kebanggaan JKR Perak dan JKR Hulu Perak
(Semua kredit gambar: Jabatan Kerja Raya Perak)

Saturday, August 23, 2014

Koleksi gambar kenangan pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 / Photo collections of East-West Highway FT4 construction memories




Salam sejahtera,

Hari ini (23 Ogos 2014) menandakan bahawa cuma tinggal seminggu sahaja sebelum Blog Jalan Raya Malaysia memulakan ekspedisi ke Lebuhraya Timur-Barat FT4 dari Gerik ke Jeli sejauh 123 km. Seperti yang saya nyatakan dalam entri pengumuman mengenainya, projek reviu jalan raya ini memakan kos yang tinggi kerana perlu bergerak jauh ke utara, di samping melibatkan penginapan. Oleh itu, saya sekali lagi ingin merayu kepada para pembaca yang budiman agar sudi menderma sama ada melalui akaun bank, kad kredit / debit ataupun akaun PayPal, agar projek reviu ini dapat dijayakan.

Sementara itu, JKR Perak pula sedang mengumpulkan koleksi gambar-gambar pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 daripada bekas pekerja mereka yang menjayakan projek Lebuhraya Timur-Barat FT4 ataupun daripada waris-waris mereka. Selain itu, JKR Perak turut mewawancara beberapa orang bekas pekerja yang terlibat menjayakan projek tersebut. 

Kenapa pula JKR Perak begitu bersungguh-sungguh untuk mengumpul dan mengarkibkan bahan-bahan sejarah mengenainya...? Selalunya, setiap kali Hari Kebangsaan, rakyat diseru agar mengenangkan perjuangan para pemimpin serta pahlawan kemerdekaan dalam membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Namun, satu perkara yang sering dianggap enteng oleh orang-orang kita ialah pengorbanan pihak yang bertanggungjawab menjayakan projek infrastruktur untuk rakyat sambil berdepan dengan ancaman musuh negara. Dalam konteks entri ini, JKR Perak ingin mengajak rakyat agar menghargai jasa dan pengorbanan para pekerja JKR bersama-sama anggota tentera membina Lebuhraya Timur-Barat FT4 sambil berdepan dengan ancaman komunis yang masih lagi bermaharajalela di kawasan Hulu Perak meskipun negara sudah pun merdeka daripada penjajah British.

Tanpa membuang masa lagi, saya akan kongsikan gambar-gambar kenangan projek pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4, ihsan daripada JKR Perak. Koleksi gambar dalam entri ini akan dikemaskini sebaik JKR Perak memperoleh koleksi gambar tambahan.







Feri sungai terpaksa digunakan untuk mengangkut kenderaan, jentera dan pekerja JKR, memandangkan lebuh raya ini merentasi Empangan Temengor








Gambar para pekerja JKR di tapak projek








Land Rover pun perlu diangkut menggunakan feri sungai






Tiang-tiang bagi Jambatan Pulau Banding






Tenuk pun berminat dengan projek Lebuhraya Timur-Barat FT4...!!!






Berhimpun sempena penyerahan kerja di sempadan Perak-Kelantan






Para pekerja JKR berdoa memohon perlindungan daripada Allah sebelum memulakan kerja pembinaan








Kerja-kerja membubuh lapisan asas batu kerikil










Lagi gambar kenangan para pekerja JKR yang membina Lebuhraya Timur-Barat FT4






Bersama beberapa orang penduduk Orang Asli








Tragedi 23 Mei 1974 - Sebanyak 64 buah jentera milik JKR yang diletupkan oleh pengganas komunis, menyebabkan kerugian yang sangat besar kepada JKR. Kos membaiki enjin sahaja bagi kesemua jentera yang terjejas memakan belanja sejumlah RM2.56 juta








Ada di antara bekas-bekas pegawai tertinggi JKR yang memulakan karier mereka di tapak projek Lebuhraya Timur-Barat FT4










Lagi gambar kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang sedang berlangsung pada tahun-tahun 1970an



Kredit gambar: JKR Perak

Wednesday, August 20, 2014

Pengumuman: Reviu Merdeka Khas - Lebuhraya Timur-Barat FT4 / Announcement: Special Merdeka Review - East West Highway FT4




Salam sejahtera,

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada tahun ini, Blog Jalan Raya Malaysia berbesar hati untuk mengadakan satu reviu jalan raya khas Hari Merdeka di Lebuhraya Timur-Barat FT4. Reviu khas Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini adalah hasil cadangan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak yang mahukan sejarah pengorbanan para pekerja JKR serta pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjayakan projek pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 diabadikan untuk tatapan generasi akan datang. Projek Lebuhraya Timur-Barat FT4 memakan masa selama 12 tahun, bermula pada tahun 1970 dan siap pada tahun 1982. Pembinaan lebuh raya persekutuan dua lorong sejauh 123 km itu mengambil masa yang begitu lama disebabkan oleh ancaman pengganas komunis yang sentiasa cuba untuk menggagalkan projek tersebut.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Blog Jalan Raya Malaysia, reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini merupakan reviu jalan raya yang berskala besar kerana melibatkan pihak JKR secara langsung, terutamanya dari segi maklumat teknikal serta sejarah pembinaannya. Ia berbeza dengan kebanyakan reviu jalan raya sebelum ini di mana saya melakukan segala-galanya - selain mengambil gambar serta menulis reviu mengenainya, saya turut mengumpul maklumat serta melakukan kajian secara sendirian. Namun, untuk reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4 kali ini, saya amat memerlukan penglibatan pihak JKR sendiri bagi memastikan segala maklumat mengenainya adalah tepat, benar, tulen dan sahih tanpa sebarang unsur tokok-tambah. Ia termasuklah video temu ramah dengan beberapa orang pegawai JKR Hulu Perak dan JKR Jeli.

Meskipun Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini hanyalah sepanjang 123 km, namun saya terpaksa bergerak sejauh lebih 320 km untuk ke Gerik yang menjadi titik pangkal bagi Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini, sekaligus memerlukan saya untuk menginap di Gerik sebelum memulakan kembara di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat. Untuk perjalanan pulang pula saya memilih untuk ke Gua Musang melalui Jalan Persekutuan 66 dan Jalan Negeri Kelantan D29 dan seterusnya pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang FT8, Jalan Persekutuan 8 dan seterusnya Lebuhraya Karak E8/FT2. Keseluruhan perjalanan pergi balik adalah sejauh lebih kurang 810 km.

Justeru, bagi menjayakan reviu jalan raya bersejarah ini, saya merayu kepada para pembaca sekalian agar menzahirkan sokongan anda terhadap usaha mendokumentasikan sejarah pengorbanan JKR dalam membina sebatang jalan raya yang banyak berjasa kepada rakyat ini dengan menderma kepada Blog Jalan Raya Malaysia, memandangkan kos bagi menghasilkan reviu ini adalah tinggi berikutan jarak jauh yang perlu dilalui serta melibatkan penginapan. Sumbangan anda membolehkan saya terus menyajikan lebih banyak reviu jalan raya yang berkualiti kepada anda semua demi menyemai sikap sayang akan rangkaian jalan raya negara, memandangkan reviu jalan raya yang panjang memakan belanja yang besar.

Jutaan terima kasih kepada para penderma kerana sudi bersama-sama saya dalam menjayakan projek Reviu Merdeka Khas Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini. Juga jutaan terima kasih kepada JKR Perak dan JKR Kelantan kerana telah menyatakan kesediaan dalam membantu saya menjayakan projek reviu ini.

(Kemaskini: Rancangan awal untuk mengadakan temu bual terpaksa dibatalkan kerana kesukaran mendapatkan responden, memandangkan reviu kali ini diadakan pada hari cuti)


Tentatif projek reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4
(Dikemaskini pada 20 Ogos 2014 jam 1.25 pm)

30 Ogos 2014 (Sabtu)

12.30 pm - Mula bertolak dari Kuala Lumpur
5.30 pm - Tiba di Gerik dan daftar masuk penginapan

31 Ogos 2014 (Ahad)

9.00 am - Sarapan dan daftar keluar penginapan
10.15 am - Memulakan kembara di Lebuhraya Timur-Barat FT4
11.15 am - Berhenti rehat di Tasik Banding dan melawat Galeri Banding
11.45 am - Meneruskan perjalanan ke Jeli
12.45 pm - Berhenti rehat di Jeli untuk makan tengah hari dan solat Zuhur
2.30 pm - Bertolak pulang ke Kuala Lumpur