Monday, January 26, 2015

Memartabatkan jalan raya melalui tugu peringatan / Elevating the prestige of highways through commemorative plaques



JKR Perak kini sedang sibuk menaik taraf Kompleks Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4 daripada wajah lama seperti di atas ini...




...kepada wajah baharu ini, lengkap dengan parkir kenderaan
(Semua kredit gambar: Jabatan Kerja Raya Negeri Perak)


Salam sejahtera,

Malaysia sememangnya mempunyai banyak jalan raya persekutuan dan negeri yang sangat menarik untuk disajikan kepada para pelancong asing. Kita bukan sahaja mempunyai banyak jalan raya yang seronok untuk dipandu seperti Jalan Persekutuan 3, Lebuhraya Timur-Barat FT4, Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185, Lebuhraya Ringlet-Sungai Koyan FT102, Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22, Lebuhraya Kimanis-Keningau dan banyak lagi, malah kita turut memiliki banyak jalan raya bersejarah sebagai khazanah berharga yang wajar dikongsi bersama kepada masyarakat sejagat. Justeru, salah satu cara untuk memartabatkan laluan-laluan sebegini adalah melalui pembinaan tugu peringatan.




Kompleks Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia di Johor Bahru juga wajar dinaik taraf dengan memasang papan-papan tanda yang lebih jelas serta mendirikan satu laman ilmu yang mempamerkan sejarah Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5


Terdapat banyak jalan raya di Malaysia yang mempunyai monumen peringatannya yang tersendiri. Antaranya termasuklah Tugu Peringatan Kilometer Sifar di Johor Bahru, Tugu Peringatan Sungai Kelamah di Jalan Gemas-Tampin FT1, Tugu Peringatan Lebuhraya Utara-Selatan di Kawasan Rehat dan Rawat Rawang, Tugu Peringatan Kilometer Sifar Sabah di Kota Kinabalu dan Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4. Baru-baru ini, JKR Perak sedang sibuk menaik taraf Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4, daripada sekadar plak peringatan biasa di tepi jalan kepada satu kompleks hentian sebelah yang lengkap dengan parkir kenderaan untuk keselesaan pengguna jalan raya. Selain bertujuan mendidik pengguna jalan raya akan sejarah pengorbanan para pekerja JKR dan anggota tentera sepanjang pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4, kerja-kerja naik taraf kompleks tugu peringatan ini juga bakal menjana sumber ekonomi kepada penduduk tempatan kerana mereka sudah tentu boleh berniaga dan membuka gerai bagi menambah pendapatan. Lebih membanggakan, inisiatif JKR Perak ini mendapat sokongan penuh daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof apabila beliau sendiri menyalurkan peruntukan naik taraf tugu peringatan tersebut seabgai usaha memartabatkan jalan raya negara.




Satu kompleks hentian sebelah khas perlu didirikan di KM11 Lebuhraya Kimanis-Keningau untuk membolehkan pengunjung menguji bukit graviti di situ tanpa membahayakan diri mereka.


Sebenarnya, ada banyak jalan raya lagi yang perlu didirikan tugu peringatan bukan sahaja kerana sejarahnya, tetapi juga kerana tarikan istimewa di sepanjang laluannya. Antara laluan yang mempunyai keistimewaan tersendiri ialah Lebuhraya Kimanis-Keningau yang terkenal kerana terdapat satu "bukit graviti" di KM11 laluan tersebut dekat Keningau. Di bukit graviti tersebut, terdapat satu cerun yang mana apabila objek-objek seperti botol dan tin digolekkan, ia kelihatan seakan mendaki bukit dan melawan hukum graviti. Namun, ramai pengguna jalan raya yang tertarik dengan fenomena tersebut melakukan eksperimen di atas jalan raya, yang sudah tentunya akan membahayakan nyawa mereka. Justeru, saya ingin cadangkan kepada JKR Sabah dan Majlis Daerah Keningau agar mendirikan satu hentian sebelah bukit graviti di situ yang dilengkapi dengan petak parkir serta lantai khas untuk para pelancong menguji sendiri bukit graviti tersebut.

Selain itu, tugu-tugu peringatan yang lain juga wajar dinaik taraf sebagai kawasan pelancongan, sebagaimana inisiatif yang diambil oleh JKR Perak yang telah saya sebut tadi. Misalnya, Tugu Peringatan Kilometer Sifar perlu dinaik taraf agar para pengguna jalan raya menyedari kewujudannya melalui pemasangan papan-papan tanda yang lebih jelas. Di samping itu, satu laman ilmu wajar diwujudkan di kompleks Tugu Peringatan Kilometer Sifar lengkap dengan sejarah pembinaan Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5 yang membentuk laluan tulang belakang utama di Malaysia.




Tulisan pada papan tanda peringatan pembunuhan Sir Henry Gurney di FT55 ini terlalu halus untuk dibaca dari dalam kereta, tetapi berhenti di tepi jalan semata-mata untuk membacanya juga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya kerana tiada bahu jalan. Justeru, monumen peringatan ini perlu dinaik taraf sebagai hentian sebelah siap dengan parkir agar pengguna jalan raya dan peminat sejarah dapat membacanya tanpa membahayakan nyawa mereka sendiri


Satu lagi contoh tugu peringatan yang wajar dinaik taraf ialah Tugu Peringatan Pembunuhan Henry Gurney di Batu 56 1/2 Jalan Persekutuan 55. Satu-satunya monumen yang ada di situ hanyalah sekadar papan tanda yang tulisannya terlalu kecil untuk dibaca dari atas kenderaan. Maka, cara terbaik untuk membacanya hanyalah dengan berhenti di tepi jalan, tetapi jalan tersebut tiada bahu jalan yang sudah tentu akan membahayakan sesiapa sahaja yang hendak berhenti untuk membaca papan tanda tersebut. Justeru, monumen peringatan tersebut wajar dinaik taraf kepada kompleks hentian sebelah yang dilengkapi parkir agar pengguna jalan raya boleh berhenti dengan selamat untuk membaca papan tanda peringatan tersebut. Namun demikian, projek naik taraf monumen peringatan tersebut sudah tentulah memerlukan lebih banyak kerja untuk dilakukan berikutan terdapat gaung yang dalam dan perlu ditangani, menjadikan kos pembinaan kompleks peringatan tersebut begitu mahal.

Kesimpulannya, usaha mendirikan tugu-tugu peringatan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di jalan-jalan raya yang dikenal pasti akan sejarah serta tarikan istimewanya sememangnya satu inisiatif memartabatkan jalan raya yang wajar dipuji dan dihargai. Melalui tugu-tugu peringatan ini, JKR berupaya mendidik masyarakat agar menyayangi, menghargai serta memartabatkan jalan raya negara.

4 comments:

  1. Tugu peringatan FT4 di Jeli macam nampak tak nampak je tugunya. Sadis betul.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ia disebabkan kedudukannya yang terletak betul-betul di tepi jalan tanpa sebarang papan tanda pemberitahuan. Kerja-kerja naik taraf tugu tersebut diharap membantu pengguna jalan raya lebih menyedari akan kewujudan tugu tersebut.

      Delete
  2. Selain lebuh raya boleh tak ? saya cadangkan penulis blog meninjau monumen bekas kubu perang dunia di jalan Mersing-Kota Tinggi.. di situ langsung tiada papan pemberitahuan mengenai sejarah kubu tersebut.. memang sayang betul..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cadangan baik. Insya-Allah jika berkesempatan saya akan ke sana, dan saya akan cadangkan kepada JKR Johor untuk mendirikan monumen peringatan mengenainya.

      Delete