Salam sejahtera,
Sejak diperkenalkan 10 tahun lalu, Perodua Myvi terus kekal sebagai kereta paling laris di Malaysia. Kereta inilah yang telah menyebabkan Perodua berjaya merampas kedudukan Proton sebagai pendahulu dalam pasaran automotif Malaysia pada tahun 2005. Enam tahun kemudian, model generasi keduanya pula dilancarkan, meneruskan kegemilangan yang dibawa pendahulunya. Kini, model generasi kedua diberi wajah baharu sebagai jawapan kepada cabaran yang diberikan oleh Proton melalui model Iriz terbaharu.
Kenapa Myvi ini sangat popular...? Perodua Myvi mula dikeluarkan tatkala Proton sedang berdepan dengan krisis skandal kualiti yang teruk semasa di bawah pimpinan Tengku Mahaleel. Masalah seperti tingkap kuasa rosak, but dimasuki air dan pembuka pintu patah merupakan antara masalah kualiti yang sering dialami pemilik Proton pada masa itu, termasuklah model serba baharu rekaan sendiri yang dilancarkan tahun sebelumnya, iaitu Proton Gen-2. Bagi Gen-2 pula, ia berdepan dengan beberapa masalah tambahan seperti "rekaan syok sendiri" yang tidak menyertakan glove box atas alasan "sporti dan minimalis" serta rekaan garis bumbung yang menyebabkan penumpang belakang yang tinggi terhantuk ke siling kerana tiada ruang kepala. Tidak lama selepas Perodua mengeluarkan model Myvi, Proton bertindak balas dengan mengeluarkan model Savvy, tetapi sekali lagi Savvy menggunakan pendekatan "syok sendiri" iaitu penggunaan enjin Renault dan kotak gear automatik AMT (automated manual transmission) yang mana kos membaiki kedua-duanya sangat mahal dan alat ganti bagi kedua-duanya sukar dicari. Layanan di pusat servis pun satu cerita juga. Selain mendapat layanan yang teruk, komponen rosak yang dibaiki kembali rosak tidak lama selepas dibaiki. Hati siapa yang tidak panas kalau kereta asyik buat hal sahaja akibat skandal kualiti...? Maka, dengan pantas bekas-bekas pengguna Proton yang kecewa ini berebut-rebut membeli Perodua Myvi sebagai usaha "membalas dendam".
Kedua, Perodua Myvi ini cukup besar dan luas. Ia merupakan "kenderaan besar" ketiga keluaran Perodua selepas van Rusa dan SUV Kembara; ketiga-tiganya menggunakan enjin lebih besar. Disebabkan Myvi ini lebih besar, maka ia lebih praktikal sama ada sebagai kereta keluarga mahupun kereta orang bujang. Ruang kepala dan kakinya besar dan luas, sesuai untuk orang yang tinggi lampai. Myvi juga popular di kalangan kaum hawa kerana penampilannya yang tampak feminin.
Ketiga, Myvi ini juga terkenal kerana reputasinya sebagai kereta yang sangat jimat minyak, meskipun ia menggunakan enjin yang lebih besar daripada model-model kereta bandar raya mereka. Dengan menggunakan enjin K3-VE 1.3 liter 4 silinder DOHC 16 injap dengan sistem pemasaan injap boleh laras DVVT yang mula digunakan pada Perodua Kembara DVVT, secara puratanya Myvi mampu bergerak sejauh 14-15 kilometer bagi setiap liter petrol. Jimat kan...? Justeru, Perodua Myvi sangat sesuai untuk mereka yang mahukan enjin yang lebih besar (atas alasan lebih tahan ketika berjalan jauh) tetapi dalam masa yang sama juga jimat petrol.
Ketiga-tiga faktor tersebut merupakan faktor utama kenapa Myvi sangat digemari rakyat Malaysia. Enam tahun kemudian, generasi kedua Myvi dilancarkan bagi meneruskan kegemilangan pendahulunya itu. Kali ini, Myvi generasi kedua mula menggunakan stereng kuasa elektrik yang berupaya membantu menjimatkan minyak dengan menghapuskan beban oleh pam stereng kuasa hidraulik konvensional pada enjin. Jika generasi pertama Myvi dibina berasaskan model Toyota Passo yang juga dikenali sebagai Daihatsu Sirion bagi pasaran eksport, rekaan generasi kedua Myvi pula 100% rekaan Perodua sendiri dan sama sekali tidak sama dengan "kembar" baharunya di Jepun iaitu Toyota Passo Hana. Sebaliknya, Daihatsu pula yang meminjam rekaan Myvi generasi kedua untuk model eksport Daihatsu Sirion. Selain enjin K3-VE 1.3 liter VVTI yang masih dikekalkan, Perodua Myvi generasi kedua juga didatangkan dengan pilihan enjin 3SZ-VE 1.5 liter VVTI yang mula digunakan pada Perodua Nautica dan seterusnya Perodua Alza. Seperti pendahulunya, generasi kedua Myvi terus mendominasi pasaran automotif Malaysia sebagai kereta terlaris di Malaysia secara keseluruhan. Bagi mencabar Myvi secara berdepan dan seterusnya merampas kembali takhta pendahulu pasaran automotif negara, Proton bertindak balas dengan melancarkan Proton Iriz pada akhir tahun 2014. Bagi menjawab cabaran oleh Proton, Perodua memberikan wajah baharu kepada Myvi pada 15 Januari 2015 dengan harga yang lebih murah daripada sebelumnya.
Apa yang membezakan Myvi facelift dengan Myvi sebelumnya ialah rekaan lampu hadapannya yang diperbaharui. Jika sebelum ini Myvi menggunakan lampu projektor pada kesemua variannya, Myvi kali ini pula menggunakan lampu projektor untuk varian 1.5L sahaja, manakala varian 1.3L pula menggunakan lampu halogen biasa. Lampu belakang pula tiada perubahan, kecuali varian 1.5L yang menggunakan lampu LED lensa jernih. Skema penamaan varian Myvi kali ini mengikut skema penamaan Axia - varian G untuk varian 1.3L paling rendah, diikuti varian X untuk varian sederhana 1.3L, seterusnya SE untuk varian sederhana 1.5L dan akhir sekali Advance untuk varian spesifikasi penuh 1.5L. Satu lagi faktor yang membezakan varian Myvi baharu dengan pendahulunya ini ialah sistem penggera yang diperbaharui. Butang-butangnya nampak sama tetapi sebenarnya pengendaliannya berbeza sama sekali. Tidak seperti sistem penggera sebelum ini yang mana operasi mengunci dan membuka kunci hanya dilakukan pada butang yang sama, kali ini sekali tekan butang hitam hanya membuka pintu pemandu manakala dua kali tekan diperlukan untuk membuka kesemua pintu; butang merah pula ditekan sekali untuk mengunci kesemua pintu manakala penggera dihidupkan dengan menahan butang merah selama beberapa saat. Satu lagi inovasi yang patut dipuji ialah pemasangan pengapit beg tangan seperti mana yang digunakan pada Axia. Prinsipnya sangat mudah iaitu mengapit tangkai beg tangan pada sebelah kanan kerusi penumpang hadapan, menjadikannya sukar dicapai oleh peragut. Selain itu, Myvi baharu kali ini didatangkan dengan penegsan parkir hadapan.
Sungguhpun demikian, terdapat dua perkara yang saya kurang senangi pada Myvi 2015 ini. Perkara pertama yang saya tidak berpuas hati ialah jenis sistem audio yang semakin diturun taraf. Jika sebelum ini kesemua radio Myvi boleh memainkan lagu-lagu MP3, radio Myvi G kali ini hanya sekadar pemain CD yang tidak mampu memainkan lagu-lagu MP3. Selain itu, sistem multimedia skrin sentuh hanya didapati pada varian Advance sahaja, sedangkan sebelum ini varian 1.3SE dan kesemua varian 1.5L didatangkan dengan radio skrin sentuh. Penggunaan sistem audio yang dikurangkan kualitinya itu sebenarnya boleh mendatangkan persepsi negatif seolah-olah harga lebih murah yang ditawarkan pada Myvi kali ini adalah disebabkan penggunaan radio-radio yang berkualiti lebih rendah untuk mengurangkan kos.
Perkara kedua yang sepatutnya menjadi ancaman besar terhadap jualan Myvi ialah ciri-ciri keselamatannya yang masih kurang. Saya faham, reka bentuk kerangka Myvi tidak mengizinkan pemasangan enam biji beg udara sebagaimana yang dilakukan pada Iriz. Namun, Perodua sebenarnya masih boleh memasang empat biji beg udara jika mereka tidak mampu memasang enam biji. Sementara itu, Myvi G tiada ABS, EBD dan BA. Selain itu, kesemua varian Myvi tiada kawalan kestabilan elektronik. Jika dibandingkan, kesemua varian Iriz didatangkan dengan ABS, EBD, BA, kawalan cengkaman, sistem kestabilan elektronik dan sekurang-kurangnya dua biji beg udara. Jadi bagaimana Perodua hendak menyekat ancaman Proton sekiranya aspek keselamatan sendiri pun masih kurang baik...?
Kesimpulannya, Perodua Myvi mengalami pembaharuan pada model 2015 bagi mempertahankan mahkota kereta terlaris di Malaysia daripada dirampas oleh Proton Iriz. Namun, penggunaan radio yang semakin dikurangkan kualitinya sudah tentulah mengecewakan bakal pembelinya nanti, ditambah pula dengan ketiadaan ciri-ciri keselamatan penting termasuklah ABS, EBD, BA dan kawalan kestabilan elektronik. Justeru, jika Perodua benar-benar serius untuk mempertahankan kedudukannya itu, maka Perodua seharusnya menitikberatkan aspek keselamatan dengan dengan menyertakan ABS, EBD, BA, kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan sebagai ciri standard. Kedudukan teratas sebagai kereta paling laris di Malaysia tidak seharusnya menjadikan Perodua cepat lupa diri kerana Proton dahulunya pernah jatuh disebabkan sikap yang sama. Hanya jika Perodua mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan kereta-kereta buatannya sahaja yang mampu membantu mempertahankan pasaran Perodua daripada diganggu gugat oleh kereta-kereta buatan lain termasuklah Proton. Oleh itu, Perodua mestilah berpegang teguh kepada motto "Building Cars, People First" yang diperkenalkannya dengan menerapkan ciri-ciri keselamatan terkini pada kesemua produknya agar produk-produk keluaran Perodua sentiasa mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Laman web rasmi: http://www.perodua.com.my
Spesifikasi 2015 Perodua Myvi
Enjin: K3-VE DOHC 16 injap 4 silinder sebaris 1.3 liter (gred G dan X); 3SZ-VE DOHC 16 injap 4 silinder sebaris 1.5 liter DVVT (gred SE dan Advance)
Sesaran: 1,298 cc (gred G dan X); 1,495 cc (gred SE dan Advance)
Lubang x lejang: 72 x 79.7 mm (gred G dan X); 72 x 91.8 mm (gred SE dan Advance)
Nisbah mampatan: 10:1
Kuasa kuda: 67 kW (89 PS) @ 6,000 rpm (gred G dan X); 76 kW (104 PS) @ 6,000 rpm (gred SE dan Advance)
Tork: 117 N-m @ 4,400 rpm (gred G dan X); 136 N-m @ 4,400 rpm (gred SE dan Advance)
Transmisi: 5 kelajuan manual (kecuali gred X dan Advance); 4 kelajuan automatik (semua varian)
Jarak roda: 2,4400 mm
Berat kering: 950-980 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter
Saiz tayar: 185/55 R15
Apa yang saya suka
- Reputasi sebagai kenderaan yang boleh dipercayai serta jimat minyak
- Pengapit beg tangan yang menjadikannya lebih selamat buat kaum hawa
- Harga yang lebih murah
Apa yang saya tidak suka
- Kualiti radio yang semakin rendah berbanding model sebelum facelift
- Ciri keselamatan yang masih kurang - tiada ABS, EBD dan BA bagi varian G, manakala kesemua varian tiada kawalan kestabilan elektronik dan kawalan cengkaman
Lampu hadapan Perodua Myvi yang diperbaharui, dilengkapi jalur lampu pencahayaan siang (DRL) dan pengesan parkir hadapan
Lampu belakang lensa jernih bagi varian 1.5L...
...dan lampu belakang berlensa merah konvensional bagi varian 1.3L
Papan pemuka yang lebih kurang sama seperti Myvi sebelumnya
Meter yang sama tetapi grafiknya diperbaharui
Radio pada varian G sangat mengecewakan kerana terlalu cikai - tiada port USB dan tidak boleh memainkan lagu-lagu MP3
Hanya varian Advance sahaja yang dilengkapi radio skrin sentuh dengan GPS dan kamera undur
Pengapit beg tangan seperti pada Axia turut diterapkan pada Myvi baharu ini
apa pendapat anda tentang Myvi 2022 pula?
ReplyDelete