Showing posts with label SYM Sport Rider 125i. Show all posts
Showing posts with label SYM Sport Rider 125i. Show all posts

Tuesday, October 3, 2017

Anatomi enjin & sistem pancitan bahan api SYM Sport Rider 125i / SYM Sport Rider 125i engine & fuel injection system anatomy




Salam sejahtera,

Hari ini saya ingin bawakan kepada anda anatomi enjin dan sistem pancitan bahan api motosikal SYM Sport Rider 125i hasil kerjasama dengan rakan-rakan dalam kelab motosikal Sport Rider Community (SRC). Tujuan kami menghasilkan entri anatomi motosikal ini adalah bagi menambahkan ilmu kepada para pemilik serta bakal pemilik motosikal SYM Sport Rider 125i agar dapat mengenali enjin serta sistem pancitan bahan api motosikal ini. 

Seperti yang anda semua sedia maklum, motosikal SYM Sport Rider 125i ini menggunakan enjin ECOTECH serba baharu yang disuap oleh sistem pancitan bahan api yang lebih cekap, jimat minyak dan mesra alam berbanding karburetor. Memandangkan model ini baru dilancarkan setahun lalu, maka pengguna yang baru mengenali sistem pancitan bahan api sudah tentunya akan bimbang kemungkinan motor ini sukar diservis serta kesukaran mencari mekanik yang berupaya membaiki kerosakan sistem pancitan bahan api.

Sebenarnya, sistem pancitan bahan api tidaklah serumit yang anda sangkakan. Sebaliknya, sistem pancitan bahan api sebenarnya lebih memudahkan anda mengenal pasti masalah pada motosikal anda. Malah, sistem pancitan bahan api juga sebenarnya berupaya mengesan beberapa masalah kritikal enjin yang memerlukan pembaikan segera seperti ketukan, masalah sistem penyejukan (bagi motosikal yang menggunakan sistem sejukan air) serta kehausan gelang omboh.

Motosikal SYM Sport Rider 125i digerakkan oleh enjin ECOTECH serba baharu. Ada dakwaan yang mengatakan bahawa enjin ECOTECH ini sama seperti enjin 125 cc Honda seperti yang digunakan pada Honda Future (dan Honda Future FI / Honda Wave 125i), tetapi sebenarnya tidak. Kalau diikutkan, enjin ini nampak biasa-biasa sahaja kerana ia sekadar enjin 4 lejang 125 cc SOHC 2 injap sejukan udara, tetapi ia dibina menggunakan blok enjin aluminium aloi tuang untuk penyingkiran haba berlebihan yang lebih baik, tidak seperti enjin Honda 125 cc yang menggunakan blok besi tuang biasa.

Itu baru perbezaan pertama. Dari segi ukuran dimensi enjin, saiz lubang silinder Sport Rider sama seperti Future FI / Wave 125i (52.4 mm), tetapi ukuran lejangnya pula berbeza. Lejang Sport Rider lebih pendek (57 mm) berbanding lejang Future FI / Wave 125i (57.9 mm). Namun, nisbah mampatan Sport Rider pula lebih tinggi (9.5:1) berbanding Wave 125i (9.3:1). Hasilnya, enjin Ecotech pada Sport Rider lebih ligat berputar dan mampu menghasilkan kuasa 9.5 PS (7.2 kW) pada 8,000 rpm dan tork 10.8 N-m pada 5,500 rpm. Jika dibandingkan, Wave 125i pula hanya mampu menghasilkan 9.19 PS (6.76 kW pada 7,500 rpm dan tork 10.08 N-m @ 5,500 rpm.






Susunan gear Honda Future / Wave 125i pada aci utama (atas) dan aci lawan (bawah)




Susunan gear SYM Sport Rider 125i


Perbezaan ketiga bagi kedua-dua enjn tersebut ialah susunan gearnya. Susunan gear Honda Wave 125i pada aci utama dari kanan ke kiri ialah 1-3-4-2, manakala susunan gear aci utama SYM Sport Rider (dari kanan ke kiri) ialah 4-3-2-1. Selain itu, garpu penukar (shift fork) pada Sport Rider disarungkan terus pada gelendong penukar (shift drum) yang turut berperanan sebagai penyokong, berbeza pula dengan garpu penukar Wave 125i yang menggunakan rekaan konvensional yang disokong oleh dua batang besi untuk dua garpu penukar.

Perbezaan terakhir pula ialah lokasi pemasangan sensor lambda. Sensor lambda atau sensor oksigen berperanan menyukat kandungan oksigen dalam gas ekzos bagi menentukan sama ada nisbah udara-bahan api mencapai takat stoikiometrik (14.7:1), berlebihan bahan api atau berlebihan oksigen bagi tindakan pembetulan pancitan bahan api. Namun, untuk membolehkan sensor lambda berfungsi dengan cekap, ia memerlukan suhu operasi sekitar 700 °C, yang hanya boleh dicapai berhampiran rongga ekzos. Maka, sensor lambda dipasang pada pangkal paip ekzos bagi Sport Rider ataupun pada kepala silinder di rongga ekzos bagi Wave 125i.




Ringkasan anatomi sistem pancitan bahan api SYM


Sekarang saya akan terangkan pula anatomi sistem pancitan bahan api bagi SYM Sport Rider 125i. Saya sudah pun menulis mengenai anatomi sistem PGM-FI yang digunakan pada Honda Future FI / Wave 125i, jadi kali ini saya akan menulis mengenai sistem pancitan bahan api pada SYM Sport Rider pula. Untuk pengetahuan anda, kesemua sistem pancitan bahan api motosikal keluaran SYM dibekalkan oleh Keihin Corporation yang turut membekalkan sistem PGM-FI bagi motosikal Honda.

Bagi sistem pancitan bahan api Sport Rider, lima buah sensor digunakan bagi mengukur maklumat yang diperlukan sebelum dihantar ke ECU untuk diproses dan seterusnya dihantar kepada pemancit bahan api. Sensor-sensor tersebut adalah:-
  1. Sensor suhu & tekanan mutlak rongga (TMAP): terletak pada badan pendikit, mengukur suhu & tekanan udara rongga masukan bagi mengira isipadu udara yang masuk serta ketumpatannya - semakin banyak udara masuk atau semakin tinggi ketumpatan udara (akibat cuaca sejuk), maka bahan api akan ditambah.
  2. Sensor kedudukan pendikit (TPS): terletak pada badan pendikit, mengukur sudut bukaan pendikit apabila genggam pendikit dipulas - seperti karburetor, semakin besar gerakan genggam pendikit, semakin besar bukaan pendikit dan seterusnya bahan api semakin ditambah.
  3. Sensor kedudukan aci engkol (CKP): terletak berhampiran gelung stator alternator, menerima isyarat pemicu daripada magnet pada roda tenaga bagi tujuan pemasaan pancitan bahan api dan penyalaan palam pencucuh. Bahan api dipancitkan pada lejang masukan manakala palam pencucuh dinyalakan pada penghujung lejang mampatan.
  4. Sensor suhu enjin (ECT): terletak pada kepala silinder, mengukur suhu enjin. Semasa enjin sejuk pada awal pagi atau ketika cuaca sejuk, ECU akan mengarahkan lebih bahan api api disuapkan ke enjin supaya enjin lebih mudah dihidupkan dan lebih cepat mencapai suhu operasi. Semasa enjin dipanaskan, amaun pancitan bahan api dikurangkan secara beransur ke takat biasa sehingga enjin mencapai suhu operasi. Jika enjin terlampau panas pula, ECU akan mengurangkan kadar pancitan dan melambatkan pemasaan penyalaan palam pencucuh untuk menurunkan suhu enjin ke tahap operasi biasa.
  5. Sensor lambda / oksigen (O2S / LAMBDA): terletak pada pangkal paip ekzos, mengukur kandungan oksigen dalam gas ekzos bagi mengira nisbah udara-bahan api untuk tindakan pembetulan. Jika kandungan oksigen terlalu tinggi, maka ECU akan mengarahkan lebih banyak bahan api dipancitkan, manakala jika kandungan oksigen terlalu rendah, ECU akan mengarahkan agar kadar pancitan dikurangkan. Nisbah udara-bahan api yang betul amat penting untuk membolehkan pemangkin asap berfungsi secara optimum. Namun, sensor lambda memerlukan suhu sekitar 700 °C untuk berfungsi, maka ia perlu dipasang pada pangkal paip ekzos ataupun pada rongga ekzos pada kepala silinder. Sesetengah sensor lambda turut mempunyai pemanas terbina dalam bagi membolehkannya berfungsi dengan segera pada cuaca sejuk.



Kedudukan sensor TMAP (kiri) dan TPS (kanan) pada badan pendikit




Sensor ECT pada kepala silinder




Sensor CKP pula terletak bersebelahan roda tenaga




Sensor lambda yang ditanggalkan daripada pangkal paip ekzos


Seperti kebanyakan model motosikal pancitan bahan api yang lain, Sport Rider menggunakan pam bahan api jenis sedutan atas dengan pengawal tekanan terbina dalam, jadi tiada hos bahan api balikan diperlukan. Pam bahan api Sport Rider ini membekalkan bahan api pada tekanan 294 kPa pada pemancit bahan api. Pam bahan api ini memerlukan arus 1 ampere daripada bateri untuk menggerakkannya.




Pam bahan api SYM Sport Rider




Pam bahan api selepas penutupnya dicabut - hanya ada 1 hos bahan api sahaja


Sementara itu, ECU SYM Sport Rider terletak di bahagian hadapan motosikal dan dilindungi fender hadapan. Ia diapit oleh dua biji geganti (geganti kuasa & geganti pam bahan api) di sebelah kanan dan rektifier di sebelah kiri. ECU ini menggunakan cip mikropemproses 16 bit bagi tujuan pengiraan kadar pancitan bahan api serta penyalaan palam pencucuh. Sekiranya terdapat komponen sistem pancitan bahan api yang bermasalah, ECU akan memaparkannya melalui lampu Periksa Enjin yang menyala pada papan pemuka.




Dari kiri ke kanan: 2 geganti, ECU & rektifier




Lampu Periksa Enjin


Hasil penggunaan sistem pancitan bahan api yang lebih cekap dan lebih tepat dalam mengira pemasaan pancitan bahan api dan penyalaan palam pencucuh serta kadar pancitan bahan api, maka SYM Sport Rider 125i ini lulus piawaian emisi Euro 3 serta mencatatkan penggunaan api purata 55 km/L pada kelajuan malar 90 km/j. Justeru, melalui entri ini diharap anda semua lebih cakna akan perkembangan teknologi pancitan bahan api sebagai persediaan menghadapi piawaian emisi yang lebih ketat pada masa akan datang, selaras dengan pengumuman kerajaan yang berhasrat mengurangkan tahap pelepasan gas karbon dioksida sehingga 40% menjelang tahun 2020.

Kredit gambar: Imroen Noor & Mohd. Hezery

Thursday, July 6, 2017

2017 SYM Sport Rider 125i: Saya Yang Menunggang

Salam sejahtera,

Hari ini saya ingin bawakan kepada anda satu reviu motosikal yang secara rasminya menjadi jentera baharu bagi Blog Jalan Raya Malaysia bagi menggantikan motosikal Honda Wave 125X Ultimo yang berjasa kepada saya sejak tahun 2012. Motosikal yang saya maksudkan itu ialah SYM Sport Rider 125i. Kenapa SYM Sport Rider 125i...? Kenapa bukan Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection...?

Teka-teki mengenai jentera rasmi baharu bagi menggantikan Honda Wave 125X Ultimo itu bermula sejak tahun 2016 setelah Honda Wave Ultimo itu sering rosak dan terpaksa dibaik pulih sebanyak 3 kali dalam masa tidak sampai 5 tahun, sekaligus mencatatkan rekod sebagai motosikal paling tidak boleh diharap yang pernah saya miliki. Sebelum Wave Ultimo, saya pernah memiliki motosikal Modenas Kriss 2 dan Yamaha Lagenda 110, dan kedua-dua jentera itu terbukti ketahanannya apabila dibaik pulih selepas 4 tahun (bagi Modenas Kriss 2) hingga 7 tahun (bagi Yamaha Lagenda 110). Namun, rekod 3 kali baik pulih penuh dalam masa tidak sampai 5 tahun bagi Honda Wave Ultimo itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Adakah kualiti enjin motosikal Honda sekarang sebegitu teruk...? Sebenarnya kalau diikutkan saya tidak mahu memburuk-burukkan sesuatu jenama motosikal, tetapi pengalaman saya memiliki Honda Wave Ultimo itu menyebabkan saya serik dan terpaksa berhijrah kepada motosikal lain, yang sudah tentunya bukan lagi daripada jenama Honda.

Sejujurnya, saya sebenarnya mensasarkan untuk membeli motosikal Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection sebagai jentera rasmi baharu Blog Jalan Raya Malaysia kerana ia merupakan motosikal kapcai pancitan bahan api bawah 125 cc yang paling berkuasa dalam kelasnya (10.06 PS @ 7,750 rpm), namun atas sebab-sebab yang saya sendiri pun tidak ketahui, saya tidak dapat memilikinya. Terdesak untuk mendapatkan motosikal pengganti yang baharu, saya terpaksa memikirkan alternatif lain. Modenas 118EFI...? Susah nak jumpa kedai yang menjualnya pula. Nak saya beli model-model "raja kapcai" seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R...? Lupakanlah, kawasan sekitar tempat tinggal saya itu mempunyai kadar jenayah curi kenderaan yang sangat tinggi. Atas faktor inilah saya akhirnya mengambil keputusan untuk memiliki motosikal SYM Sport Rider 125i.

Kenapa motor cap Safee Yang Menunggang pula jadi pilihan...? Sebabnya mudah sahaja, iaitu kerana SYM bukanlah sebuah jenama motor mat rempit. SYM selama ini sangat popular di Malaysia sebagai jenama skuter maksi mampu milik, tetapi bagi model-model kapcainya pula seperti SYM Bonus 110, ia bukanlah model motosikal yang mampu ditunggang laju. Enjin SYM Bonus 110 cuma mampu menghasilkan 7.2 PS sahaja pada 7,500 rpm, lebih kurang setaraf motor Modenas Kriss MR1 sahaja, jadi ia lebih sesuai dijadikan sebagai "motor peon" ataupun motor yang cukup boleh diharap untuk sekadar berulang-alik ke tempat kerja, ke masjid atau ke kedai, tetapi agak "kureng" untuk ditunggang jarak jauh kerana tidak begitu laju. Namun, persepsi saya berubah semasa saya mengkaji model motor kapcai pancitan bahan api untuk dijadikan sebagai alternatif kepada Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang tidak dapat saya miliki, dan saya amat terkejut apabila mendapati bahawa SYM Sport Rider 125i sebenarnya merupakan model motosikal kapcai pancitan bahan api bawah 125 cc kedua paling berkuasa dalam kelasnya - lebih berkuasa daripada Honda Future FI / Wave 125i tetapi hanya kalah di belakang Yamaha Lagenda Fuel Injection. Akhirnya, tanpa membuang masa lagi, saya mengambil keputusan untuk menyambarnya.




Ciri-ciri motosikal SYM Sport Rider 125i


Motosikal SYM Sport Rider 125i ini sampai ke tangan saya semasa hanya tinggal 3 hari sahaja sebelum Hari Raya Aidilfitri. Oleh kerana ia masih dalam pantang, jadi saya terpaksa menyimpannya di kawasan parkir pejabat yang bertutup dan seterusnya pulang ke kampung menaiki kereta. Hanya setelah saya kembali semula ke Kuala Lumpur barulah saya berupaya menguji motor ini sepuas-puasnya.

SYM Sport Rider 125i ini digerakkan oleh enjin SOHC 2 injap 123 cc 4 lejang serba baharu yang dikenali sebagai enjin ECOTECH, yang mana bahan apinya disuap melalui sistem pancitan bahan api elektronik dan bukannya karburetor. Meskipun enjin ECOTECH ini kelihatan "biasa-biasa" sahaja, namun ia berupaya menghamburkan 9.5 PS pada 8,000 rpm serta menghasilkan tork 10.8 N-m pada 5,500 rpm, menjadikannya motor kapcai pancitan bahan api bawah 125 cc kedua paling berkuasa dalam kelasnya, kalah hanya di belakang Yamaha Lagenda Fuel Injection. Motor ini turut menyediakan port diagnosis yang tersembunyi di sebalik penutup berlabel EFI di sebelah kiri kunci penyalaan, yang boleh disambung kepada alat pembaca OBD yang dimiliki pusat servis MForce untuk mendiagnosis sistem pancitan bahan api serta untuk menala semula ECU.

Untuk pengetahun anda, model SYM Sport Rider 125i ini dibangunkan hasil kerjasama antara pengedar SYM di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. dengan SYM Taiwan, dan Malaysia merupakan negara pertama yang mengeluarkan model motor ini yang juga dibangunkan hasil kepakaran jurutera MForce dengan sokongan daripada pihak SYM Taiwan. Sport Rider ini mengetengahkan banyak ciri menarik hasil maklum balas pengguna sebelum ini, dan saya tabik hormat kepada MForce kerana amat peka dengan cita rasa penunggang motosikal Malaysia. SYM Sport Rider 125i mula dilancarkan di Malaysia pada 27 Ogos 2016 di kilangnya di Bukit Mertajam, disusuli Vietnam pada Oktober 2016 dan seterusnya Filipina.

Antara ciri-ciri menarik pada SYM Sport Rider 125i ini ialah panel meter digital yang menggabungkan takometer analog dengan paparan LCD yang selama ini hanya terdapat pada model-model raja kapcai sahaja. Paparan LCD tersebut menggabungkan speedometer, odometer, tripmeter, penunjuk kedudukan gear, tolok bahan api digital, jam dan voltmeter. Penggunaan meter gabungan takometer dengan paparan LCD ini menjadikan Sport Rider ini tampak lebih sporty. Panel meter ini diterangi cahaya latar putih (bagi takometer) dan biru (bagi paparan LCD) yang kelihatan begitu cantik terutamanya pada waktu malam. Sebenarnya, panel meter yang digunakan adalah serupa seperti pada skuter SYM Z1 125i - bezanya ialah Z1 tiada penunjuk kedudukan gear (kerana menggunakan CVT), mempunyai takat garisan merah yang lebih rendah (9,000 rpm berbanding 11,000 rpm pada Sport Rider) serta jam yang diasingkan (jam pada Sport Rider disekalikan dan dipaparkan dengan menekan butang Mode).

Lampu-lampunya juga sangat terang. Sport Rider ini menggunakan sebiji lampu kepala halogen 35 watt yang 25% lebih terang daripada mentol bukan halogen biasa, dan ia menyala sebaik kunci berada di posisi On walaupun sebelum enjin dihidupkan. Sebab itulah suis lampu disertakan, tidak seperti kebanyakan model motor kapcai lain yang tiada suis lampu. Tidak cukup dengan itu, terdapat sepasang lampu DRL LED putih yang juga sangat terang. Hasilnya, tahap pencahayaan SYM Sport Rider 125i ini boleh dikatakan sebagai yang terbaik dalam kelasnya. Ia menyuluh dengan cahaya yang sangat terang seperti lampu kereta. Turut membantu ialah lampu belakang LED yang besar dan terang, yang terdiri daripada empat baris LED yang tersusun rapi. Seperti kebanyakan model motor kapcai yang dikeluarkan selepas tahun 2013, SYM Sport Rider ini menggunakan lampu isyarat membelok capang di belakang.

Pelananya boleh dibuka sama ada dengan menggunakan kunci ataupun dengan menggunakan butang pembuka di sebelah kanan hendal (memerlukan kunci berada di posisi On). Sebaik dibuka, kelihatan ruang simpanan barang yang sudah tentunya tidak cukup besar untuk memuatkan sebiji topi keledar tetapi masih cukup besar untuk memuatkan baju hujan, sarung tangan dan pengunci fork motor. Di belakangnya pula menempatkan tangki bahan api sebesar 4.2 liter dengan pam bahan api yang kelihatan jelas.

Meskipun enjin ECOTECH 123 cc ini mempunyai nisbah mampatan setinggi 9.5:1, namun enjinnya amat mudah untuk dihidupkan. Sekali tekan sahaja enjin sudah hidup, meskipun dihidupkan pada waktu awal pagi setelah berhari-hari tidak dihidupkan. Inilah salah satu kelebihan utama sistem pancitan bahan api yang membolehkan enjin dihidupkan dengan mudah tanpa memerlukan tuas pencekik seperti pada motor berkarburetor. Oh ya, saya hampir terlupa - anda perlu menarik tuas brek terlebih dahulu sebelum menekan butang penghidup. Ramai pengguna awal yang tidak mengetahui mengenainya dan menyangkakan penghidup motor mereka rosak, tetapi sebenarnya suis brek Sport Rider ini hanya membenarkan motor penghidup berfungsi selepas brek ditarik. Tuas peghidup tendangnya pula pendek, menyebabkan anda langsung tidak menyangka bahawa enjin motor ini mempunyai nisbah mampatan yang agak tinggi.




Sebaik punat penghidup ditekan, enjin melahu pada 1,500 rpm dengan bunyi yang begitu lembut. Sebaik genggam pendikit dipulas, enjin berputar dengan lebih galak dan lebih responsif. Kekuatan torknya amat terasa walaupun pada kelajuan rendah. Pada gear 4, 60 km/j dicapai pada 4,000 rpm, manakala 100 km/j dicapai pada lebih kurang 7,000 rpm. Oleh kerana motor ini masih dalam pantang, saya hanya menguji sehingga mencapai kelajuan 121 km/j yang dicapai pada 8,500 rpm, itu pun sekejap sahaja dan saya masih belum pulas habis lagi. Sebaliknya, saya mengekalkan kelajuan purata sekitar 70-80 km/j sahaja bagi kebanyakan masa. Kelajuan maksimum...? Sebuah video di YouTube yang sempat saya cari menunjukkan kelajuan maksimum 132 km/j ketika menuruni bukit Bandar Baru Selayang di Lebuhraya Rawang FT1, dicapai pada kelajuan enjin lebih kurang 9,500 rpm. OKlah tu, sekurang-kurangnya sudah cukup sesuai untuk ditunggang bagi perjalanan jauh, apatah lagi sekadar berulang-alik ke tempat kerja.

[Kemaskini: Rekod terbaru kelajuan maksimum bagi SYM Sport Rider 125i yang pernah saya uji setakat ini ialah 136 km/j semasa menuruni bukit di Lebuhraya MEX E20.]




Video di YouTube yang menunjukkan kelajuan maksimum 132 km/j di Lebuhraya Rawang FT1


Berapa jauh setangki penuh minyak SYM Sport Rider 125i ini boleh pergi...? Daripada tolok bahan api 5 bar penuh sehinggalah menunjukkan tiada lagi bar dan tolok bahan api mula berkelip. motor ini mampu bergerak sehingga 144.5 km, dengan penggunaan bahan api purata 49.7 km/L. Ia menjadikan SYM Sport Rider 125i ini sangat jimat minyak dan sangat sesuai untuk perjalanan jauh. Sebelum ini, memang wajib mengisi penuh minyak selepas 100-110 km.

Cuma satu-satunya perkara yang saya kurang berkenan ialah semasa hendak menurunkan gear. Menaikkan gear tiada masalah dan sangat lancar tanpa tersangkut-sangkut. Namun, hendak menurunkan gear ada kalanya agak liat dan keras, dan ada kalanya memerlukan saya memainkan pendikit ataupun mengurangkan kelajuan sehingga jadi betul-betul perlahan sebelum dapat menurunkan gear dengan mudah. Ramai penunggang kasual yang tidak kisah akan defisit sebegini, tetapi bagi saya yang lebih gemar menurunkan gear semasa menuruni bukit curam serta sebelum mengambil selekoh, ia menjejaskan sedikit pengendalian di selekoh serta menyebabkan kehilangan kuasa berharga ketika hendak memecut kembali. Ia juga bermaksud saya perlu lebih banyak bergantung kepada brek. Namun, tork enjin yang responsif hasil sistem pancitan bahan api yang cekap ini sedikit-sebanyak membantu mengatasi defisit ini.

Jadi patutkah anda membeli motosikal SYM Sport Rider 125i ini...? Jawapan saya, semestinya ya. SYM Sport Rider 125i ini mempunyai segala-galanya yang anda inginkan pada sebuah motosikal kapcai 125 cc - enjin pancitan bahan api bawah 125 cc yang kedua paling berkuasa dalam kelasnya, ada takometer dan speedometer digital yang selama ini hanya ada pada model-model raja kapcai, jimat minyak, boleh berjalan jauh dengan setangki penuh, ada lampu-lampu yang sangat terang - dan yang paling penting, SYM Sport Rider 125i ini disokong oleh jaminan 3 tahun atau 30,000 km (yang mana dahulu), yang merupakan tempoh jaminan terpanjang yang diberikan oleh mana-mana pengeluar motosikal kapcai. Paling penting, dengan harga atas jalan RM5,777 termasuk GST (tetapi tidak termasuk insurans dan cukai jalan), ia semestinya merupakan motosikal kapcai pancitan bahan api mampu milik.

Laman sesawang rasmi: http://www.sym.net.my





Spesifikasi SYM Sport Rider 125i 2017

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 123 cc
Lubang x lejang: 52.4 x 57 mm
Kuasa kuda maksimum: 9.5 PS (7.2 kW) @ 8,000 rpm
Tork maksimum: 10.8 N-m @ 5,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 4 kelajuan
Sistem bahan api: Pancitan bahan api elektronik (EFI)
Brek: Cakera (depan); gelendong (belakang)
Berat kering: 107 kg
Kapasiti tangki bahan api: 4.2 L
Kelajuan maksimum: 136 km/j (ujian di Lebuhraya MEX E20)
Penggunaan bahan api: 49.7 km/L (diuji)

Apa yang saya suka
  1. Pakej lengkap yang memenuhi citarasa penunggang Malaysia (enjin pancitan bahan api, kombinasi takometer dan speedometer digital, dsb.) pada harga mampu milik
  2. Enjin serba baharu yang sangat jimat minyak dan kedua paling berkuasa dalam kelasnya
  3. Lampu-lampu yang sangat terang
  4. Pengendalian yang sangat bagus kerana dilengkapi penyerap hentak gas di belakang
  5. Model yang kurang "panas" di kalangan pencuri motosikal
Apa yang saya tidak suka
  1. Ada kalanya agak liat hendak menurunkan gear






Pandangan hadapan SYM Sport Rider 125i




SYM Sport Rider 125i menggunakan mentol lampu halogen serta dilengkapi sepasang lampu DRL LED




Lampu hadapan Sport Rider ini sangat terang pada waktu malam




Lampu belakang LED dan lampu isyarat membelok capang di belakang seperti kebanyakan model motosikal kapcai baharu pasca 2013




Lampu belakang LED ini sangat terang dan sangat cantik pada waktu malam




Pandangan sisi motosikal SYM Sport Rider 125i




SYM Sport Rider 125i ini menggunakan enjin 125 cc ECOTECH serba baharu hasil kepakaran jurutera Malaysia




Lokasi pemancit bahan api




Takometer dan paparan LCD digital yang nampak sporty dan bergaya




Panel meter Sport Rider ini nampak cantik pada waktu malam




Suis-suis hendal di sebelah kiri - tiada tuas pencekik sebagaimana model berkarburetor




Suis pembuka pelana pada suis hendal di sebelah kanan




Apabila dibuka, kelihatan ruang simpanan yang agak besar walaupun tidak berupaya memuatkan sebiji topi keledar




Tangki minyak 4.2 liter di belakang dengan pam bahan api yang kelihatan




Jumlah petrol daripada tolok bahan api penuh 5 bar sehingga ia mula berkelip berupaya membawa anda sehingga 144.5 km - memang sangat jimat!