Showing posts with label Wishlist. Show all posts
Showing posts with label Wishlist. Show all posts

Thursday, October 25, 2018

FTRoadpedia Sarawak Finale: Senarai hajat - Jalan Pintasan Brunei / Wishlist - Brunei Bypass



Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh, salah satu daripada 9 pos imigresen yang terpaksa ditempuhi sepanjang perjalanan dari Miri ke Sindumin


Salam sejahtera,

Menutup siri entri FTRoadpedia Sarawak ialah entri Senarai Hajat mengenai cadangan sebatang jalan raya baharu yang bakal memintas Brunei Darussalam. Cadangan tersebut timbul kerana kesulitan untuk melintasi 9 pos imigresen semata-mata hendak memandu dari Miri ke Sindumin di Sarawak. Apa tidaknya, daerah Limbang diapit oleh dua bahagian Brunei Darussalam, manakala Brunei Darussalam itu pula diapit oleh daerah Miri dan Lawas. Macam kek lapis Sarawak. Kenapa boleh jadi begitu...?




Sebut tentang kek lapis Sarawak, saya sempat membeli beberapa biji kek lapis Sarawak di kedai kek lapis Sarawak Siti Payung yang terkenal di Miri


Untuk mengetahui kenapa daerah Limbang dan Lawas boleh terkepung sehinggakan hendak ke Limbang atau Lawas adalah ibarat hendak memasuki daerah lain sedangkan kedua-duanya masih dalam negeri Sarawak, kita perlu mengetahui sejarah Sarawak terlebih dahulu. Asalnya pada zaman dahulu, Sarawak merupakan sebahagian jajahan takluk Brunei Darussalam, bersama-sama dengan bahagian barat Sabah. Kesultanan Sarawak yang merupakan sebuah negeri di bawah naungan Brunei wujud dari tahun 1599 hingga 1641 semasa mangkatnya satu-satunya Sultan Sarawak, Sultan Tengah Manga kerana dibunuh. Pada masa itu, Sarawak hanya merujuk kepada kawasan lembangan Sungai Sarawak, atau lebih tepat lagi, Bahagian Kuching sekarang. Sultan Tengah merupakan putera kepada Sultan Brunei sebelum pembentukan negeri Sarawak. Setelah mangkatnya Sultan Tengah, Sarawak kembali sebagai jajahan takluk Brunei.

Negeri Sarawak moden yang kita kenali sekarang wujud pada tahun 1841 semasa kedatangan seorang pelayar British bernama James Brooke. Pada masa itu, kerajaan Brunei Darussalam sedang mengalami keadaan huru-hara akibat pemberontakan dan perebutan kuasa susulan penemuan bijih antimoni di kawasan Kuching. Setelah Brooke berjaya menghentikan pemberontakan dan keadaan huru-hara di situ, Sultan Brunei memajakkan kawasan Kuching kepada Brooke. Bermula daripada hanya kawasan Kuching, semakin lama semakin banyak jajahan yang dipajakkan kepada Brooke sehingga merangkumi seluruh negeri Sarawak yang kita kenali sekarang. Bagi pentadbiran negeri Sarawak, James Brooke mewujudkan satu sistem ketua kerajaan yang diwarisi secara monarki yang kita kenali sebagai Raja Putih Sarawak.




Sistem jalan raya sedia ada memerlukan anda melimpasi Brunei meskipun sekadar hendak ke Limbang dari Miri


Disebabkan struktur geografi dan politik Sarawak dan Brunei, maka Lebuhraya Pan Borneo yang mula dirancang pembinaannya pada tahun 1965 terpaksa merentas Brunei Darussalam, dan juga terpaksa merentas sebegitu banyak pos imigresen. Penderitaan sama terpaksa dihadapi rakyat Brunei yang tinggal di Daerah Temburong apabila hendak ke daerah lain di Brunei terutamanya Daerah Brunei dan Muara yang menempatkan Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunei.

Sehubungan dengan itu, maka kedua-dua kerajaan Brunei dan Sarawak merancang untuk membina jalan pintasan bagi menghubungkan antara wilayah masing-masing. Brunei sedang membina Jambatan Temburong sepanjang 30 km merentasi Teluk Brunei bagi menghubungkan Daerah Temburong dengan Bandar Seri Begawan, dengan kos keseluruhan BND1.6 bilion. Jambatan Temburong dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2019.

Sementara itu, Malaysia pula merancang untuk membina Jalan Pintasan Brunei yang pastinya jauh lebih panjang. Rancangan pembinaan jalan pintasan tersebut mula disuarakan seawal dekad 1980an lagi. Malah, cadangan laluannya turut dimasukkan dalam atlas terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd. (kini Oxford Fajar Sdn. Bhd.) semasa zaman persekolahan saya dahulu. Cadangan Jalan Pintasan Brunei ini akan bermula di Long Lopeng melalui Lebuhraya Lawas-Merapok-Sindumin FQC1 ke Ba' Kelalan dan Bario sebelum ke Long Seridan dan seterusnya ke Long Lama dan Marudi sebelum berakhir di Jalan Bintulu-Miri FQA1. Untuk ke Limbang pula, satu laluan cabang boleh dibina dari Jalan Pintasan Brunei ke Limbang melalui Nanga Medamit. Apa pun, kita tunggu sahaja sehinggalah jajaran sebenar dimuktamadkan oleh JKR Sarawak.

Kenapa Jalan Pintasan Brunei ini sangat penting...? Pertama, tidak semua penduduk di Bahagian Limbang yang memiliki pasport, khususnya yang tinggal di pedalaman. Maka, sudah tentulah pesakit dari kawasan pedalaman seperti Ba' Kelalan berdepan masalah kerenah birokrasi di sempadan. 

Kedua, Jalan Pintasan Brunei dapat memberikan akses kepada pengangkutan jalan raya yang berkualiti buat penduduk pedalaman. Memang ada jalan yang dibina di bawak Projek Jiwa Murni seperti di Ba' Kelalan dan Marudi, tetapi kualiti jalan yang terhasil sangat teruk. Sebab apa...? Sebab jalan raya Projek Jiwa Murni tidak dibina mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi sekadar dibina dengan cara sama seperti pembinaan jalan kampung iaitu sekadar rawatan permukaan sebelum dihamparkan dengan lapisan asas kerikil dan aspal yang nipis, itu sahaja. Sebab itulah jalan yang terhasil cepat rosak kerana tidak mampu menampung beban trafik yang tinggi. Jika dibandingkan, sekiranya Jalan Pintasan Brunei dibina sebagai jalan super two di bawah piawaian JKR R5, ia boleh tahan muatan kenderaan berat, boleh menampung sehingga 100,000 kenderaan sehari serta selamat dipandu sehingga had laju reka bentuk 100 km/j.

Ketiga, beberapa buah petempatan di pedalaman seperti Ba' Kelalan dan Bario terletak begitu hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia. Maka, sudah tentulah kawasan-kawasan tersebut terdedah dengan ancaman kegiatan yang melanggar undang-undang seperti penyeludupan dsb. Sebelum ini kita sudah pun menyaksikan bagaimana pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 membantu menghalang kegiatan pengganas komunis yang aktif di sempadan Malaysia-Thailand, dengan mempercepatkan pergerakan pasukan keselamatan. Atas sebab yang sama juga, kerajaan Indonesia kini giat melaksanakan pembinaan Jalan Lintas Kalimantan Poros Utara yang juga dikenali sebagai Jalan Lintas Perbatasan. Justeru, kerajaan perlu meneruskan pembinaan Jalan Pintasan Brunei bagi melindungi penduduk pedalaman daripada ancaman keselamatan.

Yang terakhir, Jalan Pintasan Brunei diharapkan dapat menyerlahkan potensi ekonomi di pedalaman. Misalnya, Bario amat dikenali kerana meskipun terletak di tanah tinggi di pedalaman, namun ia sangat dikenali kerana berasnya yang sangat enak dan sangat wangi. Namun demikian, disebabkan tiada laluan darat untuk memasarkan hasil pertanian Bario, harga beras Bario menjadi sangat mahal sehingga mencecah hampir RM40 untuk beras putih seberat 3.5 km. Maka, adalah amat diharapkan agar Jalan Pintasan Brunei nanti dapat membantu mengembangkan potensi Bario sebagai jelapang padi bukit Sarawak.




Jalan Pintasan Brunei mampu menyerlahkan potensi Bario sebagai kawasan jelapang padi bukit Sarawak


Namun demikian, tidak semua pihak yang bersetuju akan cadangan pembinaan Jalan Pintasan Brunei ini. Tatkala Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan pendahulunya, Datuk Seri Fadillah Yusof memperjuangkan pembinaan jalan ini, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum pula menentang cadangan pembinaannya atas alasan kos yang tinggi serta jalan sedia ada itu sebenarnya lebih menjimatkan masa. Namun, antara kemaslahatan pihak yang ramai dengan keselesaan segelintir pihak sahaja, yang mana lebih penting...? Adakah penduduk Ba' Kelalan, Bario, Long Lama dan Marudi itu sebegitu kaya dan mampu menaiki kapal terbang setiap hari semata-mata untuk memasarkan hasil pertanian mereka...? Sedangkan saya yang merupakan orang bandar pun berasa perit hendak melaburkan wang untuk membeli tiket kapal terbang, apatah lagi penduduk Ba' Kelalan, Bario, Marudi dan Long Lama.

Pesan saya kepada Datuk Henry Sum, cuba hayati denyut nadi rakyat dan jangan hanya pentingkan diri sendiri sahaja. Orang-orang Ba' Kelalan tidak sekaya Datuk, tetapi mereka tetap berkeupayaan untuk menumbangkan wakil rakyat yang mengkhianati sokongan mereka.

Siri FTRoadpedia Sarawak berakhir di sini. Seperti dijanjikan, saya akan sambung semula siri reviu FTRoadpedia edisi lepas yang masih belum siap seperti FTRoadpedia Lekir, FRoadpedia Zon Selatan dan FTRoadpedia Zon Utara.

Wednesday, December 9, 2015

Senarai hajat: Projek naik taraf Lebuhraya Tun Razak FT12 / Wishlist: Tun Razak Highway FT12 upgrade project




Salam sejahtera,

Dalam episod kedua sempena kunjungan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ke Segamat bagi lawatan kerja ke tapak projek Lebuhraya Segamat-Muar FT23 (Pakej 1b & 2), saya ingin bawakan kepada anda satu lagi entri senarai hajat bagi projek naik taraf Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 pula. Entri ini adalah susulan daripada maklum balas oleh pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia yang memuat naik papan tanda projek naik taraf FT12 yang sudah pun bermula pada September 2015.

Projek naik taraf Lebuhraya Tun Razak FT12 memang sudah lama disuarakan oleh para pengguna lebuh raya berkenaan terutamanya dari Melaka, Muar, Batu Pahat, Seremban dan Johor Bahru yang hendak ke pantai timur atau sebaliknya. Gesaan ini timbul susulan bilangan kemalangan maut yang tinggi di lebuh raya berkenaan, meskipun keadaan jalan di FT12 sebenarnya agak lurus, selesa dan kurang selekoh tajam; kalau ada selekoh pun, rata-ratanya boleh ditangani dengan selamba pada kelajuan 100 km/j. Namun, apa sebenarnya yang menjadikan Lebuhraya Tun Razak FT12 ini banyak memakan korban...? Sepanjang pengalaman saya menggunakan lebuh raya FT12, saya mendapati majoriti kes kemalangan di sana berlaku akibat tidak lepas hendak memotong berikutan kadar aliran trafik yang sangat tinggi. Keadaan diburukkan lagi dengan sikap sebilangan kecil pemandu kenderaan berat yang enggan mengalah. Justeru, ia perlu dinaiktaraf kepada lebuh raya kembar agar pengguna FT12 dapat memotong kenderaan yang lebih perlahan dengan lebih selamat.

Sebenarnya, Menteri Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor memang ada menggesa kepada kerajaan agar memulakan segera kerja naik taraf lebuh raya FT12 ini pada tahun 2010. Malah, projek naik taraf Lebuhraya Tun Razak FT12 ini turut terkandung dalam manifesto Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2013. Namun, projek tersebut hanya dapat dimulakan pada September tahun ini kerana menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk memulakannya. 

Akibat tempoh menunggu yang agak lama, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pahang mendakwa kerajaan sengaja melengah-lengahkan projek naik taraf FT12 ini, tetapi dakwaan tersebut sebenarnya tidak benar. Menurut maklumat yang saya perolehi, kerja-kerja ukur tanah memang sudah lama dijalankan, dan ramai penduduk serta peniaga tepi jalan di sepanjang FT12 memang sudah tahu sama ada premis mereka berkemungkinan akan dirobohkan untuk projek naik taraf sedemikian atau tidak. Semasa Lebuhraya Tun Razak FT12 mula-mula dibina sekalipun, memang kerajaan ada mewartakan kawasan rizab jalan yang begitu luas di sepanjang FT12 ini, cukup besar untuk dinaiktaraf menjadi lebuh raya kembar 4 lorong tanpa perlu banyak membayar pampasan. Yang tinggal sekarang cuma menunggu duit untuk memulakan projek kerana projek naik taraf FT12 ini satu projek yang sangat mahal kerana melibatkan jarak yang begitu jauh. Kalau diikutkan sekarang pun, kos keseluruhan RM1.5 bilion bagi menaiktaraf jalan raya tunggal sejauh 147 km menjadi lebuh raya kembar 4 lorong sebenarnya boleh dikatakan sangat murah.

Dipendekkan cerita, sebab utama kenapa projek naik taraf Lebuhraya Tun Razak FT12 ini memakan masa yang lama untuk dimulakan tidak lain dan tidak bukan adalah kerana duit. Anda sendiri pastinya sudah tahu berapa banyak peruntukan yang dipotong oleh Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2016. Akibatnya, setiap kementerian terpaksa bersaing sesama sendiri untuk menuntut tambahan peruntukan dalam projek-projek infrastruktur rakyat, dan ini termasuklah Kementerian Kerja Raya sendiri. Semasa banjir besar pada penghujung 2014, Jabatan Kerja Raya (JKR) rugi paling besar dan memerlukan peruntukan yang sangat banyak untuk memulihkan semula infrastruktur asas rakyat di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perak. Maka, anda tidak sepatutnya menuduh KKR mahupun JKR sengaja melengah-lengahkan projek infrastruktur rakyat sebegini. Anda mahukan lebuh raya percuma, maka itulah harga yang perlu anda bayar.

Kita kembali semula kepada projek naik taraf Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 ini. Projek naik taraf Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 ini dibahagikan kepada 2 fasa, iaitu Fasa 1 (Gambang-Paloh Hinai sejauh 47 km) dan Fasa 2 (Paloh Hinai-Segamat sejauh 100 km). Fasa 1 sudah pun dimulakan pembinaannya pada September 2015 dan dijangka siap pada September 2018. Meskipun Fasa 1 dikatakan dari Gambang ke Paloh Hinai, tetapi penamat sebenar bagi Fasa 1 ialah di sekitar Persimpangan Chini, kerana KM100 bagi FT12 terletak lebih selatan sedikit daripada Persimpangan Chini. Fasa 1 dibina dengan anggaran kos RM300 juta. Sementara itu, fasa kedua sejauh 100 km dari Persimpangan Chini ke Segamat akan dibina paling awal pun selepas Fasa 1 siap pada tahun 2018. Fasa 2 dijangkakan akan memakan kos RM1.2 bilion kerana ia lebih jauh.




Cadangan Persimpangan Bertingkat Tun Abdul Razak




Cadangan Persimpangan Bertingkat Keratong


Dalam projek naik taraf FT12 ini, saya ingin menggesa kepada KKR mahupun JKR agar membina dua persimpangan bertingkat semasa pelaksanaan projek ini, iaitu di Persimpangan Tun Abdul Razak di Segamat serta di Persimpangan Keratong. Persimpangan Tun Abdul Razak dihubungkan ke Jalan Buloh Kasap FT1 ke Segamat dan Lebuhraya Segamat-Muar FT23, manakala Persimpangan Keratong dihubungkan ke Lebuhraya Bahau-Keratong FT11 ke Bahau dan Seremban. Kenapa pula perlu bina persimpangan bertingkat di dua lokasi tersebut...? Kalau setakat persimpangan searas berlampu isyarat tak boleh ke...? Sebab utama kenapa perlu bina dua persimpangan bertingkat di lokasi-lokasi yang telah saya nyatakan itu adalah kerana di dua persimpangan itulah pertenuan antara beberapa aliran lalu lintas berkepadatan tinggi. Persimpangan Tun Abdul Razak merupakan titik pertemuan antara lalu lintas dari arah selatan (Segamat, Johor Bahru dan Batu Pahat) dan barat daya (Melaka, Muar dan Gemas). Sementara itu, Persimpangan Keratong pula merupakan titik pertemuan bagi lalu lintas dari arah Segamat tadi dengan lalu lintas dari Negeri Sembilan khususnya dari Seremban, Kuala Pilah dan Bahau. Justeru, kedua-dua persimpangan tersebut perlu dibina sebagai persimpangan bertingkat dan bukannya persimpangan searas kerana persimpangan searas tidak mampu untuk menangani aliran trafik berkepadatan tinggi yang telah saya nyatakan tadi, sekaligus meningkatkan risiko nahas jalan raya.




Cadangan Persimpangan Bertingkat Gambang


Sementara itu, saya sebenarnya ada satu lagi cadangan persimpangan bertingkat iaitu di Gambang, bagi menghubungkan FT12 dengan Jalan Gambang FT2. Namun, saya menjadikan Persimpangan Bertingkat Gambang ini sebagai pilihan sahaja, bergantung kepada peruntukan yang diperolehi KKR, kerana saya mengandaikan majoriti pengguna FT12 sebaliknya akan jalan terus ke Lebuhraya Pantai Timur E8 (kecuali pengguna lebuh raya FT12 yang enggan membayar tol untuk ke Kuantan). Maka, pengurusan trafik di Gambang masih boleh diaturkan melalui pemasaan lampu isyarat itu sendiri.

Wednesday, December 2, 2015

Reviu eksklusif Lebuhraya Segamat-Muar FT23 (Pakej 1b & 2) / Segamat-Muar Highway FT23 (Package 1b & 2) exclusive review




Salam sejahtera,

Kini kita sudah pun memasuki bulan terakhir bagi tahun 2015 sebelum kita meninggalkannya buat selama-lamanya. Sebagai pembuka tirai bulan Disember 2015, saya bawakan kepada anda satu reviu jalan raya yang amat dinanti-nantikan oleh para peminat Blog Jalan Raya Malaysia khususnya orang-orang Segamat. Jalan raya yang menjadi pilihan kami untuk reviu kali ini tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuhraya Segamat-Muar FT23. Reviu Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini diadakan setelah 10 bulan tanpa sebarang reviu jalan raya, menjadikan tahun 2015 sebagai tahun paling tidak produktif buat kami; reviu terakhir sebelum ini sudah tentulah reviu Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 yang merupakan sebahagian daripada siri reviu XPDC Teganu Kita 2015.

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lambat menyiarkan reviu Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini berikutan masalah kesihatan, sungguhpun sepatutnya saya menyiarkannya Sabtu lalu (28 November 2015). Reviu kali ini dihasilkan susulan lawatan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ke Segamat pada 14 November 2015 bagi meninjau projek lebuh raya yang sudah 98% ini.

Sebelum saya teruskan, biar saya ceritakan serba-sedikit mengenai sejarah Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini. Sejarah pengangkutan antara Segamat dan Muar sebenarnya bermula sejak tahun 1511 lagi semasa Bendahara terakhir Melaka, Bendahara Paduka Tuan, atau lebih dikenali sebagai Bendahara Tepok, terpaksa melarikan diri setelah kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis. Tatkala Sultan Mahmud melarikan diri ke Johor Lama, Bendahara Tepok dan para pengikutnya pula memilih untuk ke Muar dan seterusnya mudik ke kawasan hulu Sungai Muar, memandangkan keadaan fizikalnya yang lumpuh dan perlu diusung ke sana ke mari. Namun, beliau dan para pengikutnya tidak betul-betul menyelusuri sepanjang Sungai Muar; sebaliknya, beliau memilih untuk memasuki satu sungai yang belum pernah diteroka sebelum ini. Setelah tiba di kawasan lubuk yang berbatu-batan, Bendahara Tepok dan para pengikutnya mengambil keputusan untuk berhenti rehat dan mandi. Air sungai di lubuk tersebut begitu sejuk dan menyegarkan, lantas Bendahara Tepok memberitahu kepada salah seorang pengikutnya iaitu Selamat Gagah, "Segar amat badanku ini!" Daripada ungkapan tersebutlah lahirnya nama Segamat, manakala kawasan lubuk tersebut dinamakan sebagai Kampung Lubuk Batu.

Selama berabad-abad lamanya, Sungai Muar dan Sungai Segamat menjadi nadi pengangkutan utama di antara Segamat dan Muar. Proses urbanisasi berlaku dengan rancaknya di Segamat bermula penghujung abad ke-19. Namun, pada masa itu bandar Segamat bukan dikenali dengan nama Segamat tetapi dikenali sebagai Rantau Panjang. Hanya pada awal kurun ke-20 sahaja barulah bandar Segamat dikenali dengan nama sekarang. Pada masa itu, pengkalan sungai utama di bandar Segamat dikenali sebagai Pengkalan Esah, dinamakan sempena nama isteri kepada bekas Residen Muar dan Kesang pada masa itu. Namun, segalanya berubah semasa kerajaan negeri Johor merancang untuk membina rangkaian jalan raya di Segamat hasil kerjasama dengan pihak penjajah British.

Pada tahun 1914, dua batang jalan raya mula dibina untuk menghubungkan antara bandar Segamat dengan bandar-bandar utama lain di Johor, iaitu Jalan Persekutuan 1 dan Jalan Persekutuan 23, yang mana kedua-duanya siap pada tahun 1939. Akibatnya, masyarakat mula beralih kepada mod pengangkutan jalan raya yang lebih memudahkan, menyebabkan mod pengangkutan sungai tidak lagi digunakan. Bekas tapak Pengkalan Esah pula kini menempatkan Jambatan Kedua Segamat J217.

Jalan Segamat-Muar FT23 itu sendiri menerima banyak penambahbaikan sejak pembukaannya pada tahun 1939. Antaranya, banyak selekoh tajam di Kampung Lubuk Batu, Kampung Batu 7 dan Kampung Bukit Tunggal yang dipintas. Namun, Jalan Segamat-Muar FT23 tetap terkenal sebagai jalan raya yang mempunyai banyak selekoh tajam, kerana selekoh-selekoh maut dalam daerah Ledang pula langsung tidak dipintas. Turut menambah parah keadaan, Lebuhraya Tun Razak FT12 dibuka pada tahun 1983, menyebabkan kadar aliran trafik di FT23 meningkat mendadak berikutan pertambahan pengguna jalan raya dari Muar dan Melaka yang menggunakannya untuk ke Kuantan. Susulan dengan itu, pada tahun 1997, Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Samy Vellu, mengumumkan pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar sebagai laluan lebuh raya ekspres baharu yang dibina selari dengan jalan FT23 sedia ada. Malangnya, seperti kebanyakan projek lebuh raya ekspres yang diumumkan pada masa itu, projek Lebuhraya Segamat-Muar dibatalkan susulan kesan kegawatan ekonomi tahun 1997.

Hanya pada November 2011 barulah projek Lebuhraya Segamat-Muar dihidupkan semula, tetapi sebagai naik taraf jalan FT23 sedia ada dan bukannya laluan lebuh raya ekspres baharu. Ia samalah seperti kes Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 yang turut menerima nasib yang sama. Projek Lebuhraya Segamat-Muar FT23 yang dihidupkan semula ini asalnya dianggarkan memakan belanja sebanyak RM770 juta, tetapi Pakej 1b dan 2 sepanjang 22 km dari Kampung Gemereh ke Ulu Jementah itu sahaja sudah memakan belanja sebanyak RM330 juta. Kenapa kosnya semakin naik pula...? Untuk pengetahuan anda semua, peningkatan kos ini didorong oleh pelbagai faktor, antaranya termasuklah kerja-kerja pengalihan kubur serta mekanisme pencegahan banjir di sepanjang jajaran lebuh raya ini. Secara keseluruhannya, projek Lebuhraya Segamat-Muar FT23 dibahagikan kepada 5 pakej, dengan anggaran baharu kos keseluruhan projek sejumlah hampir RM1 bilion.

Masa untuk subjek Sejarah sudah tamat, jadi jom kita beralih pula kepada reviu Lebuhraya Segamat-Muar FT23 (Pakej 1b dan 2) ini.

Jajaran lebuh raya yang sudah hampir siap sepenuhnya ini bermula di pencawang masuk utama lama Tenaga Nasional Berhad di Kampung Gemereh. Kenapa pula tidak dibina terus dari bandar Segamat...? Untuk pengetahuan anda, Pakej 1a tidak akan menggunakan laluan FT23 sedia ada, tetapi sebaliknya akan menggunakan laluan baharu yang akan disambung sehingga ke Jalan Bulok Kasap FT1. Jadi, sudah tentulah belum ada peruntukan untuk membinanya. Jajaran FT23 sedia ada dari Kampung Lubuk Batu sehingga ke penamatnya di Persimpangan Permaisuri di bandar Segamat pula tidak dapat dilebarkan kerana melalui banyak kawasan sensitif seperti Tanah Perkuburan Kampung Lubuk Batu. Tidak seperti tanah-tanah perkuburan lain di sepanjang FT23, Tanah Perkuburan Kampung Lubuk Batu tidak boleh dialihkan sama sekali berikutan statusnya sebagai tempat bersejarah, memandangkan ia turut menempatkan makam Bendahara Tepok. Sementara itu, jajaran dari hospital lama Segamat sehingga ke Persimpangan Permaisuri pula tiada rizab mencukupi untuk dilebarkan. Maka, anda boleh menjangkakan bakal wujud laluan alternatif bagi FT23 di Segamat setelah keseluruhan projek siap kelak.

Memandangkan projek Lebuhraya Segamat-Muar dihidupkan semula sebagai naik taraf jalan FT23 sedia ada, jadi anda boleh menjangka terdapat sebegitu banyak persimpangan searas berlampu isyarat, samalah perangainya seperti Lebuh AMJ FT19 mahupun Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5. Persimpangan pertama sudah tentulah Persimpangan Gudang Garam yang menghubungkan Jalan antara Kampung Gudang Garam ke lebuh raya ini melalui Jalan Negeri Johor J161. Buat perokok tegar, anda sama sekali tidak akan menemui kilang mahupun gudang rokok kretek jenama Gudang Garam di sini. Memandangkan lebuh raya ini dibina sebagai lebuh raya kembar dengan piawaian JKR R5 (lebar lorong 3.5 m; had laju reka bentuk 100 km/j), maka setiap persimpangan lampu isyarat boleh digunakan oleh kenderaan ringan sebagai tempat membuat pusingan U.

Persimpangan kedua pula ialah Persimpangan Taman Bunga Raya. Berdasarkan maklum balas yang saya perolehi daripada orang-orang Segamat semasa saya memuat naik gambar teaser bagi reviu kali ini, saya dapati bahawa persimpangan inilah yang merupakan persimpangan yang paling kontroversi, kerana pengguna lebuh raya dari Taman Gemereh menghadapi kesulitan kerana terpaksa membuat pusingan U di tempat yang jauh untuk ke bandar Segamat. Hendak memasuki taman perumahan tersebut juga memerlukan anda bersilat sakan akibat reka bentuk jalan masuk baharu ke taman perumahan tersebut. Kenapa boleh jadi begitu...? Untuk pengetahuan anda, Lebuhraya Segamat-Muar FT23 memang ditambak tinggi bagi mengelakkan daripada banjir. Dalam kes Taman Gemereh, lebuh raya FT23 ditambak tinggi sehinggakan jalan masuk asal terpaksa ditutup. Sebaliknya, jalan masuk baharu dibina, tetapi ramai yang merungut kerana terpaksa bersilat sakan dan terpaksa pusing jauh. Justeru, sebagai jalan penyelesaian, saya cadangkan agar Taman Gemereh diperbesarkan dengan membina lebih banyak rumah baharu, sekaligus membolehkan jalan masuk yang lebih sempurna dibina. Namun, ia sudah tentulah memerlukan kesanggupan oleh tuan tanah sendiri. Seterusnya, simpang LILO sedia ada untuk memasuki Taman Gemereh boleh digantikan dengan persimpangan lampu isyarat biasa dan berkongsi pemasaan dengan Persimpangan Taman Bunga Raya.

Persimpangan ketiga iaitu Persimpangan Batu Badak merupakan salah satu persimpangan terpenting di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini. Ia bukan sahaja penting untuk memasuki Jalan Tasek Alai J153 yang menjadi laluan pintas utama ke Lebuhraya Tun Razak FT12, malah turut menempatkan jambatan baharu bagi menghubungkan antara Kampung Batu Badak dengan Jalan Pogoh J41.

Jika anda memilih untuk menggunakan lebuh raya FT23 untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E2, perjalanan masih berbaki 47 km dari Persimpangan Batu Badak. Keadaan jalan begitu lurus dan lebar, menjadikan perjalanan begitu seronok, selesa dan menjimatkan masa. Namun, saya amat tidak berpuas hati akan papan tanda had laju 80 km/j di lebuh raya ini, yang mana saya sifatkan terlalu perlahan dan tidak sesuai sama sekali. Jika dibandingkan, jalan lama yang lebih berbahaya dan lebih sempit itu pula mempunyai had laju 90 km/j, menjadikan had laju 80 km/j yang dipacakkan itu sangat mengarut dan tidak masuk akal sama sekali. Kalau setakat melebarkan lebuh raya untuk dipandu pada had laju yang lebih perlahan, lebih baik tak payah bina langsung. Tambahan pula, piawaian JKR R5 yang digunakan itu sebenarnya menyokong had laju reka bentuk setinggi 100 km/j, menjadikan had laju 80 km/j di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 sebagai tidak relevan sama sekali. Dengar baik-baik,, lebih 90% pemandu di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 tidak akan memandu pada kelajuan 80 kmj - sebaliknya, majoriti besar pemandu pasti akan memecut laju sehingga ada yang melebihi 180 km/j. Malah, semasa perjalanan pulang pun tanpa disedari jarum speedometer sudah melepasi angka 120 km/j, jadi saya terpaksa banyak berdoa agar tidak menerima "surat cinta" daripada Cik P. Begitulah gambaran betapa bagusnya kualiti pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini sehinggakan had laju 80 km/j yang dikenakan tidak bersesuaian langsung dengan kualiti pembinaannya. Di samping itu juga, memandangkan hampir kesemua persimpangan di sepanjang Lebuhraya Segamat-Muar FT23 terdiri daripada persimpangan lampu isyarat, maka sudah tentulah had laju 80 km/j hanya akan mengganggu dan melambatkan perjalanan. Justeru, satu-satunya had laju yang paling sesuai, paling selamat dan paling relevan bagi Lebuhraya Segamat-Muar FT23 hanyalah 90 km/j sahaja, tidak lebih dan tidak kurang - itu pun hanya kerana Arahan Teknik 11/87: A Guide to the Design of At-Grade Intersections oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menetapkan bahawa had laju maksimum yang dibenarkan di mana-mana jalan raya yang mempunyai persimpangan searas tidak boleh melebihi 90 km/j.

Lebuhraya Segamat-Muar FT23 menggunakan pembahagi jenis konkrit bebendul yang biasa digunakan oleh kebanyakan jalan raya kembar di bandar-bandar ataupun pekan-pekan. Meskipun tidak salah menggunakan pembahagi jenis ini, namun ada satu lagi kelemahan yang wujud hasil penggunaan pembahagi jenis ini di lebuh raya FT23. Kelemahan yang saya maksudkan sudah tentulah dari segi pencahayaan. Memang ada banyak kawasan di sepanjang Lebuhraya Segamat-Muar FT23 yang diterangi lampu jalan, tetapi tidak semua jajaran dipasang lampu jalan. Maka, sudah tentulah jajaran yang tiada lampu jalan itu begitu gelap, dan pembahagi jenis sebegitu boleh jadi sangat berbahaya pada waktu malam kerana keadaan yang gelap. Pakcik-pakcik dan makcik-makcik di kampung-kampung di sepanjang lebuh raya ini sudah tentu akan mengalami masalah sekiranya mereka menggunakan motosikal yang mentol lampu kepalanya tidak cukup terang. Jika pembahagi yang digunakan itu daripada jenis pengadang keluli ataupun konkrit, kedua-dua jenis pembahagi itu memang didatangkan dengan pemantul untuk memudahkan penglihatan. Justeru, pembahagi jenis konkrit bebendul yang digunakan di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini memerlukan pemasangan banyak pemantul di sepanjang pembahagi jalan; sekurang-kurangnya, pemantul plastik silinder yang sudah mula digunakan oleh JKR pun sudah cukup berguna bagi tujuan ini.

Saya semakin menghampiri Jambatan Sungai Muar FT23. Kawasan di sekitar jambatan ini terdiri daripada kawasan berpaya yang sangat mudah mengalami banjir. Ia diburukkan lagi dengan sifat jalan lama FT23 yang bersifat seolah-olah seperti empangan, menyebabkan air banjir naik lebih tinggi disebabkan tahap saliran yang teruk. Sehubungan dengan itu, jajaran di sini ditinggikan - bukan sekadar ditinggikan, malah beberapa buah jambatan kecil atau pembetung turut dibina. Semasa Datuk Seri Fadillah Yusof datang ke Segamat, beliau sendiri memang ada menjelaskan bahawa Lebuhraya Segamat-Muar FT23 memang direkabentuk agar tidak mudah ditenggelami air banjir. Selain Kampung Batu 7, jajaran antara Kampung Batu Badak dengan persimpangan Taman Bunga Raya turut ditambak tinggi bagi mengelakkan lebuh raya ini daripada ditenggelami air banjir. Reka bentuk sebegini sangat penting supaya orang-orang Segamat tidak terputus hubungan sekiranya berlaku banjir besar seperti pada tahun 2006 dan 2011 dahulu.

Di kawasan sama juga terdapat sepasang pusingan U jenis lorong laju ke lorong perlahan, sama seperti yang digunakan di Lebuh AMJ FT19. Memandangkan jajaran lama Jalan Segamat-Muar FT23 dinaiktaraf menjadi lebuh raya kembar, maka sudah tentulah bilangan lintasan searas dikurangkan untuk kelancaran lalu lintas. Namun, penduduk tempatan sudah tentulah akan komplen kerana terpaksa membuat pusingan U di tempat jauh untuk ke rumah berhampiran di seberang jalan sahaja. Apa boleh buat, inilah harga yang anda perlu bayar bagi memperoleh tahap keselesaan serta keselamatan yang lebih baik. Jika dibandingkan dengan Jalan Batu Pahat-Kluang FT50 yang dibina sebagai jalan super four yang amat memudahkan penduduk kampung membelok ke kanan di mana-mana sahaja, rekaan sebegitu sebaliknya menyumbang kepada kadar kemalangan yang mencanak tinggi di sana. Justeru, biarlah kita bersakit-sakit dahulu supaya kita memperolehi kesenangan dan keselamatan di kemudian hari.

Seterusnya, saya melintasi Jambatan Sungai Muar FT23. Jambatan ini dibina sebagai jambatan baharu sepenuhnya kerana jambatan lama itu sempit dan hanya sekadar memenuhi piawaian JKR R3 atau R4 sahaja. Jambatan lama diruntuhkan selepas jambatan baharu yang lebih tinggi dan lebih lebar siap. Di Kampung Batu 7 ada 2 buah persimpangan yang menghubungkan antara FT23 dengan UiTM Johor dan Jalan Pintasan Jementah-Batu Anam J43, tetapi hanya satu sahaja persimpangan yang dibina sebagai persimpangan berlampu isyarat iaitu di sebelah barat. Persimpangan di sebelah timur pula hanya dijadikan sebagai persimpangan LILO sahaja.

Di Persimpangan UiTM Johor, ada satu perkara lagi yang saya perlu tegur di sini. Selekoh di persimpangan ini dibina di kawasan berpaya, tetapi ia menggunakan pengadang jenis kabel yang tidak sesuai sama sekali. Pengadang jenis kabel sama sekali tidak berupaya menghalang pemandu daripada terjunam ke dalam gaung ataupun paya, tetapi pengadang jenis keluli serta konkrit pula lebih berkeupayaan. Dalam kes selekoh di Persimpangan UiTM Johor ini, jika ada kenderaan yang terbabas di situ, kenderaan tersebut pasti akan terjunam ke dalam paya, walaupun pada kelajuan yang rendah. Saya berharap agar JKR Johor dan JKR Segamat lebih peka akan isu sebegini kerana kita tidak mahu selekoh tersebut memakan korban secara sia-sia sahaja, sedangkan ia boleh dikurangkan dengan menggunakan jenis pengadang yang lebih bersesuaian.

Tidak jauh daripada Persimpangan UiTM Johor ialah Persimpangan Tebing Tinggi untuk ke Felcra Tebing Tinggi dan Kampung Bukit Tunggal melalui Jalan Negeri Johor J163. Di Felcra Tebing Tinggi inilah terletaknya pertemuan antara Sungai Segamat dengan Sungai Muar. Persimpangan Tebing Tinggi turut menempatkan sebuah medan selera yang dikendalikan oleh Majlis Daerah Segamat. Memandangkan Jalan Segamat-Muar FT23 dinaik taraf menjadi lebuh raya kembar, ada baiknya sekiranya pihak Majlis Daerah Segamat dapat menaik taraf medan selera ini menjadi sebuah kawasan rehat dan rawat yang turut dilengkapi tandas awam dan stesen minyak bagi kemudahan pengguna lebuh raya.

Saya kembali disajikan dengan lanskap pemandangan desa di Kampung Lubuk Bandan. Kampung ini merupakan salah satu daripada beberapa buah perkampungan yang dibuka oleh bekas pejuang yang pernah menyertai Perang Jementah pada tahun 1879. Perang Jementah merupakan perang saudara pertama yang berlaku pada era Johor moden, melibatkan antara puak-puak Tengku Alam dengan tentera kerajaan negeri Johor. Pertelingkahan berlaku kerana sebelum Maharaja Abu Bakar memerintah Johor, daerah Muar (termasuk Ledang dan Segamat) terletak di bawah pemerintahan Sultan Ali yang begitu lemah dan tidak digemari kerajaan penjajah British, manakala kawasan selebihnya di bawah pemerintahan Temenggung Ibrahim. Setelah Temenggung Ibrahim mangkat, putera baginda iaitu Temenggung Abu Bakar dimahkotakan sebagai Maharaja Johor dan seterusnya Sultan Johor moden pertama dari Wangsa Temenggung. Setelah Sultan Ali mangkat, daerah Muar diletakkan di bawah pemerintahan sementara Maharaja Abu Bakar. Perkara ini mencetuskan rasa tidak puas hati Tengku Alam, putera sulung Sultan Ali dengan isteri tuanya. Tengku Alam mengumpulkan pengikut-pengikutknya dan melancarkan Perang Jementah bagi menentang pengambilalihan daerah Muar oleh Maharaja Abu Bakar. Perang tersebut berakhir dengan kemenangan di pihak kerajaan negeri Johor, yang seterusnya membawa kepada peristiwa pembukaan bandar Muar yang diberi nama sebagai Bandar Maharani.

Tidak lama kemudian, saya tiba di selekoh Kampung Kubu Dedap yang juga dibuka oleh bekas perajurit Perang Jementah. Selekoh Kampung Kubu Dedap ini menandakan bahawa saya sudah pun memasuki kawasan pekan Jementah, bandar ketiga terbesar di daerah Segamat selepas bandar Segamat dan Labis. Impak pembangunan di pekan Jementah sangat terasa bukan sahaja hasil pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini, tetapi juga disebabkan satu lagi projek jalan raya di Jementah, tetapi kali ini berstatus jalan negeri. Projek jalan negeri yang saya maksudkan itu ialah projek Jalan Jementah-Asahan J125 bagi menghubungkan antara daerah Segamat dengan negeri Melaka. Projek ini merupakan sambungan bagi Jalan Asahan M125 sedia ada, maka kita boleh jangkakan bahawa Jalan Jementah-Asahan ini akan diberi kod laluan J125 di sebelah negeri Johor.

Kampung Paya Jakas dan Ulu Jementah merupakan dua kawasan terakhir di sepanjang jajaran Lebuhraya Segamat-Muat FT23 Pakej 1b & 2. Sebaik melepasi kawasan Ulu Jementah, satu pusingan U didirikan dengan gaya yang sama seperti di pangkal lebuh raya ini di Kampung Gemereh dan seterusnya lebuh raya ini bertukar menjadi jalan super two pendek sebelum ditemukan semula dengan jalan lama FT23. Jalan super two pendek ini sengaja dibina sebegitu rupa sebagai laluan perintis bagi Pakej 3 yang akan dimulakan pembinaannya pada tahun hadapan (2016). Pakej 3 akan memanjangkan lebuh raya ini sebanyak 10.5 km lagi dari Ulu Jementah sehingga Persimpangan Taman Negara Gunung Ledang, dengan anggaran kos sebanyak RM78.6 juta, tetapi saya jangkakan kos sebenar pasti akan meningkat kerana Pakej 3 ini akan melibatkan banyak pemotongan selekoh.

Selain Pakej 3, Pakej 1a dari Kampung Gemereh ke Jalan Buloh Kasap FT1 juga akan dimulakan pembinaannya sebaik peruntukan diterima oleh Kementerian Kerja Raya. Hanya 3 sahaja persimpangan utama bagi Pakej 1 ini nanti iaitu Persimpangan Lubuk Batu bagi melencongkan laluan lama FT23 ke Kampung Lubuk Batu dan seterusnya bandar Segamat, Persimpangan Gudang Garam yang merupakan simpang empat dengan Jalan Gudang Garam J161, dan akhir sekali Persimpangan Jalan Buloh Kasap FT1. Memandangkan Pakej 1a ini masih lagi dalam proses perancangan pelan laluan, maka saya ingin menggesa agar Persimpangan Lubuk Batu dan Persimpangan Jalan Buloh Kasap dibina sebagai persimpangan bertingkat dan bukannya persimpangan searas sebagaimana persimpangan lain di sepanjang lebuh raya FT23 ini. Kenapa mesti persimpangan bertingkat...? Kerana saya menjangkakan kesesakan teruk pasti akan berlaku sekiranya kedua-dua persimpangan ini dibina sebagai persimpangan searas biasa sahaja. Jalan lama FT23 tetap penting sebagai laluan utama ke bandar Segamat, khususnya bagi yang menaiki bas ekspres. Bagi kes Persimpangan Jalan Buloh Kasap pula, kita tidak mahu longgokan kesesakan teruk sehingga hampir 2 km di mana-mana arah di Persimpangan Permaisuri berulang di Persimpangan Jalan Buloh Kasap. Sekiranya kedua-dua persimpangan tersebut dibina hanya sekadar persimpangan searas, kesesakan teruk pasti akan berlaku, yang pastinya akan menggagalkan matlamat utama pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. Selain itu, sebab utama kenapa saya ingin menggesa agar Persimpangan Jalan Buloh Kasap dibina sebagai persimpangan bertingkat adalah bagi membolehkan pusingan U yang lebih sesuai digunakan oleh kenderaan berat dihasilkan bagi pengguna Jalan Buloh Kasap FT1. Bagi reka bentuk Persimpangan Jalan Buloh Kasap, saya menyarankan agar JKR mengkaji reka bentuk Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar di Lebuhraya Duke E33 ataupun Exit 1807 Persimpangan Sungai Ramal di Lebuhraya Kajang Silk E18, kerana kedua-dua persimpangan bertingkat ini dibina dengan sebegitu bagus walaupun di kawasan tanah terhad.

Setakat ini sahajalah reviu eksklusif Blog Jalan Raya Malaysia di Lebuhraya Segamat-Muar FT23. Secara umumnya, saya amat berpuas hati dengan kualiti pembinaan dan pengalaman saya menggunakan lebuh raya ini. Namun begitu, masih ada beberapa perkara yang saya perlu tegur sebagai langkah penambahbaikan yang berterusan agar keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya diutamakan. Malangnya, JKR Segamat tiada laman Facebook mahupun akaun Twitter bagi membolehkan saya menyalurkan maklum balas sebegini, namun memandangkan Encik Mohd. Isa bin Sulaiman selaku Jurutera Daerah JKR Segamat memang ada berkongsi gambar teaser yang saya muat naik itu, maka sudah tentulah beliau amat menanti-nantikan reviu ini yang dihasilkan oleh anak Segamat sendiri.

Berikut saya rumuskan beberapa isu yang perlu diambil perhatian oleh JKR Segamat:-

  1. Pencahayaan - Secara amnya tahap pencahayaan di sepanjang Lebuhraya Segamat-Muar FT23 boleh dikatakan sangat bagus kerana banyak kawasan diterangi lampu jalan, tetapi tidak semua jajaran dipasang lampu jalan. Ia menjadikan keadaan lebuh raya begitu gelap dan berbahaya pada waktu malam, lebih-lebih lagi lebuh raya FT23 ini menggunakan pembahagi jenis konkrit bebendul biasa yang tiada pemantul cahaya. Justeru, JKR Segamat perlu memasang banyak pemantul cahaya di sepanjang pembahagi lebuh raya yang tidak diterangi lampu jalan; saya paling syorkan pemantul silinder plastik seperti yang dipasang di Jalan Buloh Kasap FT1 antara Persimpangan Jabi dengan selekoh Kampung Kadut.
  2. Had laju - Serius saya katakan bahawa kualiti pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini sangat bagus, begitu lebar dan sangat selesa. Namun, had laju 80 km/j yang dikenakan itu sangat tidak berpadanan dengan kualiti lebuh raya ini yang memenuhi piawaian JKR R5. Jika dibandingkan, jalan lama FT23 pula lebih sempit dan lebih berbahaya tetapi tetap boleh dikenakan had laju 90 km/j, yang mana saya sifatkan sebagai terlalu ironik. Justeru, satu-satunya had laju yang sepatutnya dikenakan di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ialah 90 km/j dan hanya 90 km/j sahaja, tidak lebih dan tidak kurang.
  3. Pengadang kabel di selekoh Persimpangan UiTM Johor - Selekoh Persimpangan UiTM Johor dibina di kawasan berpaya, jadi pengadang yang sepatutnya digunakan ialah pengadang keluli biasa dan bukannya pengadang kabel. Dalam aplikasi sebegini, pengadang kabel sangat berbahaya dan sangat tidak sesuai kerana ia tidak mampu menghalang kenderaan yang terbabas daripada terjunam ke dalam paya ataupun gaung.
  4. Simpang masuk Taman Gemereh yang menyulitkan penduduk - Saya faham, jalan masuk asal ke Taman Gemereh terpaksa ditutup untuk membolehkan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ditinggikan bagi mengelak banjir. Namun, jalan masuk pengganti yang dibina pula bukan sahaja memerlukan penduduk Taman Gemereh bersilat sakan untuk keluar masuk ke jalan masuk ke rumah mereka, malah mereka terpaksa membuat pusingan U yang jauh sehingga ke Kampung Batu Badak. Maka, penyelesaian yang lebih baik ialah dengan membesarkan Taman Gemereh agar jalan masuk yang lebih lurus dan lebih baik dapat dibina, malah boleh dibina sebagai persimpangan lampu isyarat.

Di samping empat isu utama ini, saya juga ingin merumuskan beberapa penambahbaikan yang perlu diterapkan bagi jajaran Lebuhraya Segamat-Muar FT23 yang akan dibina, selain penambahbaikan kepada laluan yang sudah siap:-
  1. Menaik taraf Medan Selera Persimpangan Tebing Tinggi kepada kawasan rehat dan rawat (R&R) penuh, di samping membina beberapa buah lagi kawasan R&R yang lain di sepanjang Lebuhraya Segamat-Muar FT23
  2. Membina Persimpangan Jalan Buloh Kasap dan Persimpangan Lubuk Batu bagi Pakej 1a sebagai persimpangan bertingkat dan bukannya persimpangan searas. Begitu juga dengan persimpangan masuk ke Exit 235 Persimpangan Tangkak untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2; ia juga perlu dibina sebagai persimpangan bertingkat bagi mengelakkan daripada masalah kesesakan di situ

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Permulaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 Pakej 1b & 2 berhampiran pencawang masuk utama lama TNB di Kampung Gemereh






Persimpangan Gudang Garam - Anda tidak akan menemui sebarang kilang rokok kretek mahupun gudangnya di sini






Persimpangan Taman Bunga Raya - jalan masuk asal ke Taman Gemereh sudah ditutup dan digantikan dengan jalan masuk baharu yang memerlukan penduduk Taman Gemereh bersilat sakan






Keadaan Lebuhraya Segamat-Muar FT23 yang sangat bagus kualiti pembinaannya dan beraspal mulus






Lebuhraya Segamat-Muar FT23 banyak menggunakan papan tanda bergrafik seperti di Persimpangan Batu Badak ini






Persimpangan Batu Badak untuk ke Lebuhraya Tun Razak FT12 melalui Jalan Tasek Alai J153






Had laju 80 km/j terlalu perlahan dan sangat tidak sesuai bagi lebuh raya sebagus ini






JKR Segamat perlu memasang pemantul silinder plastik di sepanjang pembahagi jalan bagi menambah baik tahap pencahayaan di kawasan yang tiada lampu jalan seperti ini






Pusingan U jenis lorong laju ke lorong perlahan seperti yang banyak didapati di Lebuh AMJ FT19






Jambatan baharu Sungai Muar






Persimpangan UiTM Johor Timur kali ini hanya dijadikan persimpangan LILO...






...tetapi hanya Persimpangan UiTM Johor Barat sahaja yang dijadikan persimpangan searas penuh






Pengadang kabel di selekoh Persimpangan UiTM Johor ini tidak berupaya untuk menghalang kenderaan yang terbabas daripada terjunam ke dalam paya






Persimpangan Tebing Tinggi






Kampung Lubok Bandan, salah satu daripada perkampungan yang dibuka oleh bekas pejuang yang pernah menyertai Perang Jementah 1879






Kawasan ini asalnya beralun dengan banyak naik turun bukit, tetapi banyak bukit yang ditarah serta kawasan lembah yang ditambak bagi menjamin keselesaan pengguna lebuh raya






Kampung Kubu Dedap yang menandakan bahawa saya sudah pun sampai di Jementah. Perhatikan bekas jalan lama FT23 yang sudah pun dipintas






Jalan di sebelah kanan itu akan membawa ke projek Jalan Jementah-Asahan J125






Suasana di pekan Jementah






Jementah menerima limpahan pembangunan hasil daripada dua projek jalan raya utama






Hampir meninggalkan pekan Jementah






Pusingan U terakhir di Ulu Jementah sebellum lebuh raya tamat






Lebuh raya tamat - Pakej 3 dari Ulu Jementah ke Persimpangan Taman Negara Gunung Ledang akan disambung bermula di sini

Monday, January 26, 2015

Memartabatkan jalan raya melalui tugu peringatan / Elevating the prestige of highways through commemorative plaques



JKR Perak kini sedang sibuk menaik taraf Kompleks Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4 daripada wajah lama seperti di atas ini...




...kepada wajah baharu ini, lengkap dengan parkir kenderaan
(Semua kredit gambar: Jabatan Kerja Raya Negeri Perak)


Salam sejahtera,

Malaysia sememangnya mempunyai banyak jalan raya persekutuan dan negeri yang sangat menarik untuk disajikan kepada para pelancong asing. Kita bukan sahaja mempunyai banyak jalan raya yang seronok untuk dipandu seperti Jalan Persekutuan 3, Lebuhraya Timur-Barat FT4, Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185, Lebuhraya Ringlet-Sungai Koyan FT102, Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22, Lebuhraya Kimanis-Keningau dan banyak lagi, malah kita turut memiliki banyak jalan raya bersejarah sebagai khazanah berharga yang wajar dikongsi bersama kepada masyarakat sejagat. Justeru, salah satu cara untuk memartabatkan laluan-laluan sebegini adalah melalui pembinaan tugu peringatan.




Kompleks Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia di Johor Bahru juga wajar dinaik taraf dengan memasang papan-papan tanda yang lebih jelas serta mendirikan satu laman ilmu yang mempamerkan sejarah Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5


Terdapat banyak jalan raya di Malaysia yang mempunyai monumen peringatannya yang tersendiri. Antaranya termasuklah Tugu Peringatan Kilometer Sifar di Johor Bahru, Tugu Peringatan Sungai Kelamah di Jalan Gemas-Tampin FT1, Tugu Peringatan Lebuhraya Utara-Selatan di Kawasan Rehat dan Rawat Rawang, Tugu Peringatan Kilometer Sifar Sabah di Kota Kinabalu dan Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4. Baru-baru ini, JKR Perak sedang sibuk menaik taraf Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4, daripada sekadar plak peringatan biasa di tepi jalan kepada satu kompleks hentian sebelah yang lengkap dengan parkir kenderaan untuk keselesaan pengguna jalan raya. Selain bertujuan mendidik pengguna jalan raya akan sejarah pengorbanan para pekerja JKR dan anggota tentera sepanjang pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4, kerja-kerja naik taraf kompleks tugu peringatan ini juga bakal menjana sumber ekonomi kepada penduduk tempatan kerana mereka sudah tentu boleh berniaga dan membuka gerai bagi menambah pendapatan. Lebih membanggakan, inisiatif JKR Perak ini mendapat sokongan penuh daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof apabila beliau sendiri menyalurkan peruntukan naik taraf tugu peringatan tersebut seabgai usaha memartabatkan jalan raya negara.




Satu kompleks hentian sebelah khas perlu didirikan di KM11 Lebuhraya Kimanis-Keningau untuk membolehkan pengunjung menguji bukit graviti di situ tanpa membahayakan diri mereka.


Sebenarnya, ada banyak jalan raya lagi yang perlu didirikan tugu peringatan bukan sahaja kerana sejarahnya, tetapi juga kerana tarikan istimewa di sepanjang laluannya. Antara laluan yang mempunyai keistimewaan tersendiri ialah Lebuhraya Kimanis-Keningau yang terkenal kerana terdapat satu "bukit graviti" di KM11 laluan tersebut dekat Keningau. Di bukit graviti tersebut, terdapat satu cerun yang mana apabila objek-objek seperti botol dan tin digolekkan, ia kelihatan seakan mendaki bukit dan melawan hukum graviti. Namun, ramai pengguna jalan raya yang tertarik dengan fenomena tersebut melakukan eksperimen di atas jalan raya, yang sudah tentunya akan membahayakan nyawa mereka. Justeru, saya ingin cadangkan kepada JKR Sabah dan Majlis Daerah Keningau agar mendirikan satu hentian sebelah bukit graviti di situ yang dilengkapi dengan petak parkir serta lantai khas untuk para pelancong menguji sendiri bukit graviti tersebut.

Selain itu, tugu-tugu peringatan yang lain juga wajar dinaik taraf sebagai kawasan pelancongan, sebagaimana inisiatif yang diambil oleh JKR Perak yang telah saya sebut tadi. Misalnya, Tugu Peringatan Kilometer Sifar perlu dinaik taraf agar para pengguna jalan raya menyedari kewujudannya melalui pemasangan papan-papan tanda yang lebih jelas. Di samping itu, satu laman ilmu wajar diwujudkan di kompleks Tugu Peringatan Kilometer Sifar lengkap dengan sejarah pembinaan Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5 yang membentuk laluan tulang belakang utama di Malaysia.




Tulisan pada papan tanda peringatan pembunuhan Sir Henry Gurney di FT55 ini terlalu halus untuk dibaca dari dalam kereta, tetapi berhenti di tepi jalan semata-mata untuk membacanya juga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya kerana tiada bahu jalan. Justeru, monumen peringatan ini perlu dinaik taraf sebagai hentian sebelah siap dengan parkir agar pengguna jalan raya dan peminat sejarah dapat membacanya tanpa membahayakan nyawa mereka sendiri


Satu lagi contoh tugu peringatan yang wajar dinaik taraf ialah Tugu Peringatan Pembunuhan Henry Gurney di Batu 56 1/2 Jalan Persekutuan 55. Satu-satunya monumen yang ada di situ hanyalah sekadar papan tanda yang tulisannya terlalu kecil untuk dibaca dari atas kenderaan. Maka, cara terbaik untuk membacanya hanyalah dengan berhenti di tepi jalan, tetapi jalan tersebut tiada bahu jalan yang sudah tentu akan membahayakan sesiapa sahaja yang hendak berhenti untuk membaca papan tanda tersebut. Justeru, monumen peringatan tersebut wajar dinaik taraf kepada kompleks hentian sebelah yang dilengkapi parkir agar pengguna jalan raya boleh berhenti dengan selamat untuk membaca papan tanda peringatan tersebut. Namun demikian, projek naik taraf monumen peringatan tersebut sudah tentulah memerlukan lebih banyak kerja untuk dilakukan berikutan terdapat gaung yang dalam dan perlu ditangani, menjadikan kos pembinaan kompleks peringatan tersebut begitu mahal.

Kesimpulannya, usaha mendirikan tugu-tugu peringatan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di jalan-jalan raya yang dikenal pasti akan sejarah serta tarikan istimewanya sememangnya satu inisiatif memartabatkan jalan raya yang wajar dipuji dan dihargai. Melalui tugu-tugu peringatan ini, JKR berupaya mendidik masyarakat agar menyayangi, menghargai serta memartabatkan jalan raya negara.

Sunday, January 4, 2015

Senarai Hajat: Lebuhraya Seludang (Segamat-Kluang-Pasir Gudang) / Wishlist: Seludang Expressway (Segamat-Kluang-Pasir Gudang)


Pelan penggunaan tanah daerah Segamat tahun 2020 menurut Rancangan Tempatan Daerah Segamat
(klik untuk besarkan)



Salam sejahtera,

Seperti yang telah saya janjikan, saya bawakan kepada anda siri entri Senarai Hajat sempena Tahun Baru 2015 serta sempena tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), bertujuan untuk menambah baik rancangan pembinaan jalan raya baharu sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang akan bermula pada tahun 2016 nanti.

Entri sulung dalam siri Senarai Hajat ini ialah Lebuhraya Segamat-Kluang-Pasir Gudang, juga dikenali sebagai Lebuhraya Seludang ataupun Lebuhraya Gemas-Segamat-Pasir Gudang. Projek lebuh raya capaian terkawal ini mula diutarakan cadangannya pada tahun 1996 bersama-sama dengan projek Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11, Lebuhraya Pandan (yang kini menjadi Lebuhraya Sambungan Besraya E9) dan Lebuhraya Segamat-Muar (yang akhirnya dimuktamadkan sebagai naik taraf Jalan Segamat-Muar FT23). Memandangkan cadangan tersebut diutarakan tatkala Malaysia baru sahaja hendak mengenali internet dan teknologi maklumat, maka berita-berita mengenainya tidak diarkibkan di mana-mana laman web akhbar arus perdana dan hanya boleh diperolehi daripada keratan akhbar pada masa tersebut - itu pun kalau masih lagi ada yang menyimpannya. Saya tidak pasti sama ada Pusat Rujukan Jalan Raya Negara (PRJN) di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya ada menyimpan keratan akhbar-akhbar lama mengenainya, tetapi jika ada maka sudah tentu ia amat membantu.

Buat masa sekarang, saya memperoleh hanya tiga sahaja sumber rujukan bagi cadangan pembinaan Lebuhraya Seludang ini, iaitu Rancangan Strategik Negeri Johor, blueprint Sistem Perhubungan Perbandaran Iskandar Malaysia dan arkib berita mengenai Lebuhraya Segamat-Kluang-Pasir Gudang ini di laman web Utusan Malaysia. Disebabkan sumber rujukan yang terlalu terhad, maka terlalu sedikit maklumat yang dapat saya perolehi mengenainya, dan beberapa maklumat penting yang saya perlukan pula tiada dalam sumber rujukan tersebut, terutamanya mengenai bilangan persimpangan bertingkat, hentian sebelah dan kawasan rehat dan rawat. Dengan berpandukan sumber rujukan yang sangat terhad ini, saya tiada cara lain selain memberi pelbagai cadangan bagi mempastikan projek Lebuhraya Seludang dapat direalisasikan dalam tempoh RMK11 nanti.

Sedikit mengenai latar belakang Lebuhraya Seludang ini. Sejarah mengenai cadangan pembinaan Lebuhraya Seludang ini sebenarnya bertitik-tolak daripada kesan negatif yang dibawa semasa pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E2 sepanjang dekad 1980an dan awal 1990an. Seperti yang kita semua ketahui, Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dibina selari dengan Jalan Persekutuan 1. Namun, jajaran Simpang Ampat-Yong Peng pula dilencongkan jauh untuk membolehkan E2 melalui Melaka. Selain itu, satu lagi sebab utama kenapa laluan Simpang Ampat-Yong Peng dilencongkan sebegitu jauh daripada Jalan Persekutuan 1 adalah kerana laluan yang dipilih itulah yang merupakan laluan terpendek dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Sebab itulah jarak dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru melalui Lebuhraya Utara-Selatan hanya 318 km sahaja (termasuk 8 km jajaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37).

Jadi apakan impak negatif yang terhasil daripada pemilihan jajaran tersebut...? Pada tahun 2013, saya pernah membuktikan bagaimana pembinaan lebuh raya ekspres sebenarnya lebih banyak membunuh nyawa kampung-kampung, pekan-pekan dan bandar-bandar kecil yang amat bergantung kepada jalan persekutuan dan negeri sebagai sumber ekonomi utama sekiranya tidak dirancang dengan teliti - sebab itulah lebuh raya ekspres tidak dibina di Sabah dan Sarawak buat masa sekarang. Dalam konteks Segamat pula, pelencongan laluan Lebuhraya Utara-Selatan E2 jauh dari Segamat sedikit-sebanyak telah membunuh nyawa bandar kelima terpenting di negeri Johor itu. Sejak berdekad-dekad lamanya, Segamat membangun dengan makmur sebagai salah satu bandar persinggahan utama bagi para musafir yang menggunakan Jalan Persekutuan 1 sebelum pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan E2. Sungguhpun Segamat masih lagi ada Lebuhraya Tun Razak FT12 sebagai talian hayatnya, namun impak negatif yang dirasai Segamat hasil pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E2 sangat ketara. Ekonomi Segamat sebahagian besarnya sekadar bergantung kepada sektor pertanian dan perladangan semata-mata. Meskipun Segamat memang mempunyai kawasan perindustriannya sendiri, namun usaha menarik pelabur juga sukar disebabkan lokasinya yang jauh dari Lebuhraya Utara-Selatan E2. Akibatnya, ramai anak-anak muda Segamat yang berhijrah keluar dan daerah Segamat mencatatkan antara kadar pertumbuhan penduduk yang terendah di negeri Johor. Hanya pada tahun 2011 barulah nasib penduduk daerah Segamat terbela kembali setelah kerajaan persekutuan memulakan pembinaan Lebuhraya Segamat-Muar sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 23 sedia ada kepada lebuh raya kembar.

Sementara itu pula, Lebuhraya Utara-Selatan E2 pula semakin lama semakin sesak dengan kenderaan yang semakin banyak saban tahun. Kesesakan di E2 semakin ekstrim akhir-akhir ini setiap kali musim perayaan, dengan jajaran Seremban-Nilai merupakan jajaran paling sesak di sepanjang E2 sehingga ada kalanya tidak bergerak langsung semasa musim perayaan. Sebab itulah jajaran Nila-Seremban kini dilebarkan kepada lapan lorong. Di sebelah Johor pula, jajaran Yong Peng-Johor Bahru pula semakin sesak kerana ramai pengguna jalan raya dari Johor Bahru yang menggunakan laluan sama untuk ke pantai timur melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12. Sebenarnya memang ada pihak yang menyuarakan kepada Plus Malaysia Berhad untuk menaik taraf jajaran Johor Bahru-Yong Peng kepada enam lorong, tetapi akhirnya ditolak kerana Plus Malaysia Berhad mendakwa bahawa tahap perkhidmatan di jajaran tersebut masih lagi dalam tahap B atau C yang merupakan tahap optimum. Sungguhpun demikian, Plus Malaysia Berhad terpaksa menerima hakikat bahawa Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 kini semakin sesak sehingga memerlukan beberapa batang lebuh raya selari untuk melegakan kesesakan di situ.

Itu baru ceritu lebuh raya paling untung di Malaysia. Bagaimana pula dengan dua batang lebuh raya yang mencatatkan kerugian...? Dua batang lebuh raya yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuhraya Senai-Desaru E22 dan Lebuhraya Lekas E21. E22 mencatatkan kerugian berpunca daripada 2 sebab utama - kurang kenderaan yang menggunakan jajaran Senai-Cahaya Baru E22 akibat persaingan dengan Lebuhraya Pasir Gudang FT17 dan Jalan Permas Jaya FT35, serta kualiti turapan yang kurang memuaskan, Lebuhraya Lekas E21 juga mengalami kerugian akibat kurang kenderaan yang menggunakannya, namun akhir-akhir ini sudah semakin banyak kenderaan yang menggunakannya untuk memintas kesesakan E2 bagi laluan KL-Seremban - itu pun saya masih tidak pasti sama ada Lekas akhirnya mula mencatatkan keuntungan atau masih menanggung kerugian. Untuk membela nasib dua lebuh raya ekspres ini, maka Lebuhraya Seludang - dan seterusnya sambungannya ke Lebuhraya Lekas E21 - perlu dibina supaya bilangan kenderaan di kedua-dua lebuh raya berkenaan dapat dipertingkatkan, sekaligus membolehkan kedua-dua lebuh raya tersebut mencatatkan keuntungan. Ia amat kritikal di E22 untuk membolehkan Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) memperbaiki kualiti turapan lebuh raya agar keyakinan orang ramai dapat dipulihkan kembali.

Tiga faktor utama - keadaan ekonomi Segamat yang terancam akibat pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E2 yang memintas Segamat, kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan E2 itu sendiri, dan kekurangan aliran trafik di Lebuhraya Lekas E21 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22 sehingga menyebabkan kerugian di kedua-dua lebuh raya tersebut - merupakan faktor-faktor utama yang membawa kepada keperluan membina Lebuhraya Seludang ini. Namun, menurut blueprint Iskandar Malaysia dan Rancangan Strategik Negeri Johor, Lebuhraya Seludang yang dicadangkan itu akan bermula di Lebuhraya Senai-Desaru E22 (antara Plaza Tol Senai dengan Exit 2203 Persimpangan Ulu Tiram) dan berakhir di Gemas Baharu. Untuk membolehkan Lebuhraya Seludang ini berfungsi sebagai alternatif bagi Lebuhraya Utara-Selatan E2, maka Lebuhraya Seludang ini perlu dihubungkan dengan Lebuhraya Lekas E21.

Sebenarnya nama syarikat konsesi bagi Lebuhraya Seludang ini sudah pun diumumkan pada tahun 1998 iaitu Konsortium Syuhada dan Makmur Ria Sdn. Bhd., tetapi kerja-kerja pembinaan tidak pula dimulakan, menyebabkan perjanjian konsesi yang ditandatangani itu terbatal. Ia berkemungkinan kesan daripada krisis ekonomi tahun 1997 yang melanda negara, yang menyebabkan banyak syarikat yang sudah menandatangani perjanjian konsesi pada masa itu menarik diri disebabkan masalah kewangan. Akibatnya, berita mengenai nasib projek Lebuhraya Seludang senyap begitu sahaja, sehinggalah projek itu disebut semula di dalam blueprint Iskandar Malaysia. Kini, masanya sudah tiba untuk menghidupkan semula projek Lebuhraya Seludang ini.

Satu-satunya maklumat mengenai persimpangan bertingkat yang bakal dibina di Lebuhraya Seludang hanya dapat diperolehi dalam Rancangan Tempatan Daerah Segamat (yang juga dihimpunkan dalam Rancangan Strategik Negeri Johor) - itu pun hanya bagi daerah Segamat sahaja. Menurut Rancangan Tempatan Daerah Segamat, terdapat dua (atau saya patut katakan sebagai tiga) persimpangan Lebuhraya Seludang yang bakal dibina dalam daerah Segamat. Persimpangan tersebut ialah:-
  1. Persimpangan Gemas - penamat Lebuhraya Seludang, dihubungkan ke Gemas Baharu, Gemas dan Batu Anam melalui Jalan Persekutuan 1
  2. Persimpangan Segamat - dihubungkan ke Segamat melalui Lebuhraya Tun Razak FT12
  3. Persimpangan Labis - dihubungkan ke Labis dan Pekan Air Panas melalui Jalan Negeri Johor J151.

Untuk menambah baik pengurusan trafik di kedua-dua Lebuhraya Seludang dan Lebuhraya Utara-Selatan E2, sebatang jalan raya kembar sepanjang 11 km akan dibina di Kulai bagi menghubungkan kedua-dua lebuh raya tersebut.

Selebihnya...? Itu sajalah maklumat yang dapat saya peroleh daripada ketiga-tiga sumber tadi. Maka saya ingin utarakan beberapa cadangan penambahbaikan untuk diterapkan dalam projek Lebuhraya Seludang ini:-
  1. Lebuhraya Seludang perlu disambungkan terus dengan Lebuhraya Lekas E21 melalui Bahau dan Kuala Pilah. Maka, sudah tentulah saya ingin mencalonkan IJM untuk pelaksanaan projek ini, memandangkan IJM memiliki Lebuhraya Lekas E21 yang seterusnya membolehkan Lebuhraya Seludang menggunakan kod laluan yang sama sekiranya kedua-dua lebuh raya ini disambungkan sebagai satu laluan berterusan. Selain itu, kualiti pembinaan lebuh raya oleh IJM begitu cemerlang sehinggakan mutu Lebuhraya Lekas E21 seakan-akan ia baru beberapa bulan sahaja dibuka.
  2. Memandangkan tiada butiran mengenai hentian rehat yang bakal dibina di Lebuhraya Seludang, saya mencadangkan agar hentian rehat dibina di Kluang, Segamat dan Kuala Pilah (sekiranya Lebuhraya Seludang disambung terus dengan Lebuhraya Lekas E21). Ia sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di samping mengukuhkan ekonomi ketiga-tiga bandar tersebut sebagai bandar persinggahan utama.
  3. Persimpangan yang saya cadangkan adalah seperti berikut:-
    • Persimpangan Seludang-SDE - dihubungkan dengan Lebuhraya Senai-Desaru E22
    • Persimpangan Taib Andak - ke Kulai dan Kota Tinggi melalui Jalan Persekutuan 94
    • Persimpangan Seludang-NSE - dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui jalan hubungan NSE-Seludang
    • Persimpangan Renggam - ke Renggam, Simpang Renggam dan Layang-Layang melalui Jalan Negeri Johor J25
    • Persimpangan Kluang - ke Kluang dan Mersing melalui Jalan Persekutuan 50
    • Persimpangan Paloh - ke Paloh dan Yong Peng melalui Jalan Negeri Johor J16
    • Persimpangan Bekok - ke Bekok dan Chaah melalui Jalan Negeri Johor J150
    • Persimpangan Labis - ke Labis, Pekan Air Panas dan Bukit Kepong melalui Jalan Negeri Johor J151
    • Persimpangan Segamat - ke Segamat, Muadzam Shah dan Kuantan melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12
    • Persimpangan Gemas - ke Gemas, Batu Anam dan Tampin melalui Jalan Persekutuan 1
    • Persimpangan Pasir Besar - ke Pasir Besar, Rompin dan Gugusan Felda Palong melalui Jalan Persekutuan 10
    • Persimpangan Bahau - ke Bahau, Juasseh dan Bandar Seri Jempol melalui Jalan Persekutuan 13
    • Persimpangan Kuala Pilah - ke Kuala Pilah dan Sri Menanti melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51
  4. Sistem tol yang dijalankan mestilah daripada jenis sistem tol tertutup. Namun, untuk mengelakkan daripada terpaksa berhenti dua kali di plaza tol pangkalnya nanti, ada baiknya jika sistem kutipan tol Lebuhraya Seludang diselaraskan dengan SDE E22, yang membolehkan kedua-dua lebuh raya berkongsi kad tiket yang sama.

Kesimpulannya, projek Lebuhraya Seludang wajar dihidupkan semula bagi menunaikan janji kerajaan terhadap penduduk Segamat hampir dua dekad lalu. Pujian harus diberikan kepada pucuk pimpinan baharu kerajaan negeri di bawah Daruk Seri Khaled Nordin yang komited mahu membangunkan semula sektor pertanian dan perladangan di Segamat. Namun, untuk menarik pelaburan asing ke Segamat, maka Lebuhraya Seludang sudah tentunya amat diperlukan bagi meningkatkan tahap kebolehsampaian serta bagi membolehkan kegiatan ekonomi di Segamat berkembang dengan rancak. Apa yang saya tulis dalam entri ini hanya sebahagian cadangan yang dapat saya utarakan berasaskan sumber rujukan yang sangat terhad. Selebihnya, saya serahkan kepada kebijaksanaan Kementerian Kerja Raya, Unit Perancang Jalan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan Lebuhraya Seludang ini dapat dijayakan dalam tempoh RMK11 nanti.