Monday, November 28, 2011

Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 dan jalan lama Bukit Putus FT361 / Seremban-Kuala Pilah Highway FT51 and Bukit Putus old road FT361

Dalam siri keempat maraton reviu jalan raya kali ini, saya bawakan reviu eksklusif mengenai Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 sepanjang 38 km. Perjalanan kali ini tidak betul-betul bermula dari kilometer sifar di Seremban, sebaliknya laluan saya kali ini bermula dari penamat Lebuhraya Lekas E21 di Paroi ke pekan Kuala Pilah.

Kilometer sifar jalan FT51 terletak pada pasangan sehala Laluan Persekutuan 1 di Seremban iaitu Jalan Tuanku Antah (arah utara) dan Jalan Zaaba (arah selatan). Ia bermula sebagai Jalan Dato’ Muda Linggi sepanjang lebih kurang 500 m sebelum bertukar nama menjadi Jalan Ampangan selepas melepasi simpang Jalan Dato’ Siamang Gagap dan Jalan Lingkaran Dalam Seremban. Selepas melalui Ampangan, ia bertukar nama kepada Jalan Seremban-Kuala Pilah.

Untuk pengetahuan semua, jajaran Jalan Seremban-Kuala Pilah dari Seremban ke Paroi adalah jalan raya kembar pertama di Seremban; jalan-jalan utama lain hanya dinaik taraf sebagai jalan raya kembar bermula awal 2000an. Asalnya jalan raya kembar Seremban-Kuala Pilah hanyalah sejauh 7.5 km sehingga Paroi sebelum ia disambung 1.5 km lagi susulan pembinaan Lebuhraya Lekas E21.

Seterusnya, saya melalui jajaran Jalan Bukit Putus Baru yang membelah Banjaran Titiwangsa. Jajaran baru Bukit Putus dibina bagi menggantikan jajaran lama yang sempit dan berbahaya kerana ada banyak selekoh yang sangat tajam – selekoh U, S, V, semua ada. Jalan baru itu dibina menggunakan piawaian R5 berbanding Jalan Bukit Putus Lama yang dikategorikan sebagai piawaian R3.

Sepanjang mendaki Jalan Bukit Putus Baru, saya berasa amat kagum dengan kemajuan teknologi kejuruteraan jalan raya moden yang diterapkan pada jalan ini. Jambatan menggantikan selekoh tajam. Selain itu, salah satu jambatan di situ merupakan jambatan kedua tertinggi di Malaysia iaitu setinggi 48 m, kalah hanya kepada jambatan di Lebuhraya Karak E8.

Laluan mula sesak sebaik sahaja selepas menuruni bukit dan tiba di kaki bukit Ulu Bendul, di mana jalan menjadi sempit sedikit kepada piawaian R4. Pemandangan seterusnya diwarnai dengan lanskap perkampungan serta sawah padi. Istana Seri Menanti yang menjadi kediaman rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terletak di pekan Seri Menanti melalui Laluan Negeri Sembilan N29.

Di kawasan perkampungan di sepanjang jajaran Ulu Bendul-Kuala Pilah, keadaan jalan rayanya beralun-alun serta terdapat banyak selekoh yang tidak terlalu tajam tetapi masih perlu dipandu dengan berhati-hati. Mungkin juga kerana faktor geografinya yang menyeberangi Banjaran Titiwangsa, tetapi saya berpendapat selekoh-selekoh di jajaran tersebut tidak diluruskan kerana komplikasi Adat Perpatih yang memerlukan persetujuan daripada para pemimpin suku kaum Minangkabau sebelum kerajaan boleh mengambil alih tanah bagi tujuan tersebut.

5 km sebelum tiba di Kuala Pilah terletak simpang Jalan Ampang Tinggi N3 yang didakwa sebagai “jalan pintas ke Bahau / Kuantan”, tetapi realitinya jalan tersebut ada banyak selekoh tajam yang menjadikannya lebih jauh berbanding jika terus melalui jalan FT51 sehingga ke Kuala Pilah. Laluan FT51 di jajaran Ampang Tinggi-Kuala Pilah ini pula kebanyakannya lurus dan rata. Saya sempat mengisi minyak di Kuala Pilah sebelum meneruskan perjalanan. Laluan Persekutuan 51 tamat betul-betul di pusat bandar Kuala Pilah dan dihubungkan ke Laluan Persekutuan 9 yang merupakan salah satu laluan Jalan Raya Utama Tengah.

Semasa perjalanan pulang pula saya memilih untuk melalui Jalan Bukit Putus Lama yang terkenal sebagai lokasi kemalangan maut berikutan terdapat sebegitu banyak selekoh yang sangat tajam – selekoh S, U, V semua ada. Mungkin jalan ini tidaklah seekstrim Jalan Yungas di Bolivia yang menyeberang Banjaran Andes dan hanya selebar selorong sahaja, tidak berturap dan tiada rel pengadang jalan bagi menyediakan sedikit perlindungan daripada terjauh ke dalam gaung yang sangat dalam, tetapi setelah mengambil kira tabiat buruk segelintir pemandu Malaysia yang tidak berdisiplin, biadab dan kurang ajar di atas jalan raya, maka Jalan Bukit Putus Lama selayaknya dinobatkan sebagai salah satu jalan raya paling berbahaya di Malaysia.

Seterusnya, ikuti siri akhir pengembaraan saya sepanjang pulang ke Segamat, Johor iaitu reviu mengenai Jalan Juasseh-Bahau FT13.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Kemaskini: Jalan lama Bukit Putus kini telah diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 361 pada Julai 2014. Terima kasih kepada pembaca setia kami, Saudara Vinodaran Mathavan, atas makluman.





Masih ada 50 km ke Bahau






Jalan Bukit Putus Baru dengan lorong mendaki






Jambatan Bukit Putus setinggi 48 m






Papan tanda yang mengesahkan Jambatan Bukit Putus sebagai kedua tertinggi di Malaysia






Istana kediaman rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terletak di Laluan Negeri Sembilan N29 di Seri Menanti






Jalan N3 bukanlah betul-betul laluan terpendek ke Bahau seperti disangka






Penamat FT51 di pekan Kuala Pilah






Pemandangan Jalan Bukit Putus Baru dari arah Jalan Bukit Putus Lama FT361






Permulaan kepada selekoh-selekoh berbahaya di Bukit Putus






Keluar semula ke Jalan Bukit Putus Baru

1 comment: