Friday, November 18, 2011

Tiada kenaikan tol untuk rangkaian lebuh raya PLUS / No toll hike for PLUS expressway network

Salam sejahtera,

Berita baik buat semua pengguna lebuh raya PLUS. Baru-baru ini PLUS Expressways Berhad telah mengumumkan bahawa tiada kenaikan tol bagi semua rangkaian lebuh raya kendalian PLUS sehingga tahun 2015, merangkumi Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, Lebuhraya Linkedua E3, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6, Lebuhraya Butterworth-Kulim E15 dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29. Kenaikan hanya akan dikenakan sebanyak 5% setiap 3 tahun bermula pada tahun 2016. Sementara itu pula kadar tol Jambatan Pulau Pinang akan kekal sehingga tahun 2038.

Bagaimana ia boleh dicapai? Ia dapat dicapai melalui semakan semula perjanjian konsesi yang menyaksikan tarikh tamat konsesi bagi semua lebuh raya terlibat dilanjutkan untuk diselaraskan dengan Lebuhraya Utara-Selatan iaitu pada tahun 2038. Semakan perjanjian konsesi adalah susulan cadangan pembelian saham PLUS Expressways Berhad oleh kerajaan.

Semakan semula perjanjian konsesi ini dikatakan sebagai situasi menang-menang kerana rakyat tidak perlu terbeban dengan kadar tol, kerajaan tidak perlu bayar pampasan kepada syarikat konsesi dan syarikat konsesi masih mempunyai masa yang panjang untuk membuat keuntungan yang mencukupi untuk membiayai kos penyelenggaraan lebuh raya.

Namun demikian, mekanisme terbaru ini tetap ada kelemahannya. Jika kadar tol terlalu rendah, maka lebih ramai pemandu yang mempunyai kecenderungan untuk memandu di lebuh raya. Akibatnya, ia boleh menyebabkan kesesakan jalan raya yang sangat teruk sehinggakan sentiasa memerlukan khidmat polis trafik untuk mengawal lalu lintas.

Mahukah anda membayar tol hanya untuk tersangkut di tengah-tengah kesesakan lebuh raya? Terselahlah kepada anda sendiri.

Rujukan: Klik sini

No comments:

Post a Comment