Wednesday, November 23, 2011

Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 / Cheras-Kajang Expressway E7/FT1


Hujung minggu lalu saya pulang ke kampung halaman saya di Segamat untuk menziarahi ibu bapa saya. Perjalanan pulang ke kampung kali ini saya manfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan membawakan lima reviu jalan raya dan lebuh raya sekaligus untuk tatapan anda semua. Lima laluan tersebut ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) E7, Jalan Pintasan Kajang, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) E21, Laluan Persekutuan 51 (Jalan Seremban-Kuala Pilah), dan Laluan Persekutuan 13 (Jalan Bahau-Juasseh).

Semasa menyusuri kesemua laluan tersebut, ia mengenangkan saya kepada perjalanan saya sekeluarga ke rumah bapa saudara sebelah ayah saya di Petaling Jaya 18 tahun lalu semasa saya masih kecil. Ketika itu, kami memilih untuk menggunakan jalan persekutuan dan bukannya lebuh raya kerana tidak cukup wang untuk kos tol lebuh raya. Meskipun perjalanan mengambil masa yang jauh lebih lama, namun ia sedikit pun tidak membosankan saya kerana terdapat terlalu banyak pemandangan menarik di sepanjang jalan yang tidak mungkin boleh ditandingi dengan pemandangan di lebuh raya yang nampak sama sahaja.

Pada masa itu, sebaik melepasi bandar Kajang, kami terpaksa menempuh azab kesesakan jalan raya sejauh 21 kilometer sehinggalah tiba di Kuala Lunpur. Apa tidaknya, Jalan Cheras FT1 dari Kajang ke Kuala Lumpur hanyalah selebar 2 lorong sahaja; hanya semasa menghampiri sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur barulah jalan tersebut bertukar menjadi jalan raya kembar. Kini, azab tersebut hanya tinggal kenangan selepas siapnya Lebuhraya Cheras-Kajang E7 pada tahun 1999.

Peta laluan Lebuhraya Cheras-Kajang (klik untuk besarkan)

Lebuhraya Cheras-Kajang E7, juga dikenali sebagai Lebuhraya Grand Saga, merupakan salah satu contoh terbaik tentang bagaimana sesebuah jalan raya persekutuan 2 lorong boleh dinaik taraf sebagai sebuah lebuh raya ekspres dengan kawalah masuk penuh. Banyak lebuh raya di Lembah Klang dibina sebegitu cincai tanpa memenuhi ciri-ciri utama sesebuah lebuh raya ekspres, terutamanya mengenai kawalan masuk lebuh raya – syarikat-syarikat konsesi hanya sekadar melebarkan jalan yang dikenal pasti sebagai laluan “lebuh raya”, membina pembahagi jalan, membina persimpangan bertingkat, membina “rumah pemeras ugut” (baca: plaza tol), dan “lebuh raya” sudah siap. Bilangan persimpangan jalan kecil di sepanjang laluan pula langsung tidak ditangani, menyebabkan kesesakan teruk tidak sampai 5 tahun selepas pembukaannya.

Namun, semua perkara tersebut tidak wujud langsung pada E7. Sungguhpun ia hasil naik taraf jalan lama FT1 yang mempunyai banyak simpang jalan kecil, namun syarikat konsesi iaitu Grand Saga ternyata bijak menangani masalah kawalan masuk jalan. Untuk memastikan E7 dikenakan kawalan masuk penuh, tidak semua jajaran Jalan Cheras FT1 “diserap” terus ke dalam E7; sebahagian jajaran yang mempunyai banyak simpang jalan-jalan kecil dikekalkan. Misalnya, jajaran Batu 9 Cheras dikekalkan dan dipintas berikutan terdapat banyak simpang jalan kecil di Pekan Batu 9 Cheras, dan jajaran tersebut masih boleh dilalui melalui Exit 702 Persimpangan Hulu Langat dan Exit 703 Persimpangan Telekom. Sementara itu, jajaran Jalan Cheras dari Exit 703 ke Exit 704 Persimpangan Tun Hussein Onn pula diturunkan tarafnya kepada jalan perbandaran sahaja. Selain itu, jajaran Jalan Cheras dari Exit 707 sehinggalah ke bandar Kajang dipintas berikutan terdapat banyak perkampungan Melayu yang sensitif di sepanjang jalan seperti Kampung Sungai Balak dan Kampung Sungai Sekamat.

Selain kawalan masuk jalan yang sempurna, satu lagi pujian harus diberikan kepada Grand Saga kerana memandang jauh ke hadapan mengenai keadaan trafik di lebuh raya berkenaan. Ia dizahirkan melalui bilangan lorong yang sebegitu banyak iaitu 8 lorong, menjadikan keadaan trafik di sepanjang E7 sentiasa lancar tanpa mengira waktu.

Cuma yang tak sedapnya ialah E7 bermula dari salah satu jalan yang paling sibuk di Kuala Lumpur iaitu Jalan Cheras FT1. Punca utama kepada kesesakan tersebut ialah Bulatan Cheras yang menghubungkan FT1 dengan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) FT28. Namun demikian, sekurang-kurangnya cuma tinggal 10 km saja lagi dari titik permulaan E7 ke pusat bandar raya.

E7 bermula sebaik sahaja selepas Persimpangan Taman Connaught yang menghubungkan E7, Jalan Cheras FT1 dan Lebuhraya Hubungan Timur-Barat Kuala Lumpur E37. Sebaik sahaja melepasi sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur-Selangor terletaknya persimpangan pertama E7 yang diwartakan iaitu Exit 701 Persimpangan PGA sebelum tiba di Plaza Tol Batu 9 Cheras.

Di Exit 702 Persimpangan Hulu Langat, laluan FT1 dilencongkan ke Pekan Batu 9 Cheras sebelum bertindih semula dengan E7 di Exit 703 Persimpangan Telekom. Untuk mandi-manda di Air Terjun Sungai Tekala di Hulu Langat, anda perlu keluar dari E7 dan memasuki Pekan Batu 9 Cheras sebelum tiba di simpang Jalan Hulu Langat B52.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 704 Persimpangan Tun Hussein Onn yang pernah menimbulkan kontroversi tidak lama dahulu berikutan isu pembukaan jalan ke Bandar Mahkota Cheras sehingga diseret ke mahkamah. Inilah satu contoh terbaik tentang bagaimana sikap mementingkan diri sendiri menjadi punca utama kesesakan di persimpangan tersebut. Orang-orang Bandar Mahkota Cheras mungkin akan marah dengan kenyataan ini, tetapi itulah hakikatnya yang sebenar. Mereka seharusnya sedar bahawa Exit 704 bukan sahaja menghubungkan E7 ke Bandar Tun Hussein Onn, tetapi juga jajaran Jalan Cheras lama. Namun, jika laluan tersebut tidak dibuka, penduduk terpaksa melalui Jalan Sungai Long yang lebih jauh untuk tiba ke Bandar Mahkota Cheras. Oleh itu, kontroversi jalan masuk Bandar Mahkota Cheras sebenarnya berpunca daripada kegagalan pemaju merancang pembangunan dengan teliti. Sebab itulah jalan masuk tersebut tidak diluluskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia, tetapi akhirnya terpaksa dibuka berikutan keputusan mahkamah. Hanya sekiranya jalan masuk tersebut dibina jauh sedikit daripada Exit 704 (tetapi masih boleh keluar masuk melalui Exit 704), barulah kesesakan di Exit 704 dapat dihindarkan sama sekali.

Plaza Tol Batu 11 Cheras terletak betul-betul selepas Exit 704. Di situ juga terletak ibu pejabat Grand Saga. Sebaik sahaja selepas Plaza Tol Batu 11, sepasang jalan susur menghubungkan dua persimpangan sekaligus, iaitu Exit 705 Persimpangan Balakong dan Exit 706 Persimpangan Sungai Long. Kedua-dua persimpangan tersebut boleh dihubungkan ke Lebuhraya Silk E18, iaitu Exit 705 bagi arah Mines (melalui pekan Balakong) manakala Exit 706 bagi arah Kajang Perdana dan Lebuhraya Lekas E21.

Di Exit 707 Persimpangan Bukit Dukung, laluan FT1 dilencongkan terus ke jalan lama Jalan Cheras sehinggalah ke bandar Kajang. Di persimpangan tersebut juga terletak pusingan-U ke Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukung dari arah utara, manakala dari arah selatan pula pemandu boleh masuk terus ke hentian rehat terbabit. Satu lagi pujian harus diberikan kepada Grand Saga kerana prihatin dalam menyediakan kemudahan asas untuk pengguna lebuh raya berehat, walaupun pembinaannya tidak termasuk dalam perjanjian konsesi. Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukung pernah mengalami zaman malapnya sebelum kembali ceria hasil usaha keras Grand Saga menghidupkan hentian rehat tersebut termasuklah mengadakan Uptown Bukit Dukung di situ setiap malam.

2 kilometer seterusnya terletaknya Exit 707A Persimpangan Sungai Balak yang menghubungkan terus antara E7 dengan E18 Hubungan Sungai Balak. Ia mendapat kod persimpangan sedemikian kerana Lebuhraya Silk E18 dibina lebih kurang 3 tahun selepas E7 dibina, dan kesemua persimpangan E7 diwartakan kod persimpangannya mengikut urutan nombor tanpa sebarang selang. Oleh itu, Persimpangan Sungai Balak yang lebih baharu diberi kod Exit 707A.

Exit 708 Persimpangan Saujana Impian merupakan persimpangan terakhir bagi Lebuhraya Cheras-Kajang E7 sebelum ia berterusan sebagai Jalan Pintasan Kajang. Di situ, pemandu yang hendak terus ke Lebuhraya Lekas E21 mestilah berada di dua lorong paling kanan kerana dua lorong paling kiri mengalihkan lalu lintas keluar ke bandar Kajang dan Kampung Sungai Sekamat melalui Jalan Cheras lama. E7 tamat sebaik menghampiri Tesco Kajang.

Untuk melihat galeri penuh gambar, sila klik sini.

Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E7
Panjang: 11 km
Arah laluan: Utara-selatan (Cheras-Kajang)
Bilangan lorong: 8
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web rasmi: Laman web rasmi Grand Saga




Lebuhraya bermula di Plaza Phoenix






Bahagian yang lebih sesak di sebelah Kuala Lumpur






Exit 701 Persimpangan PGA






Plaza Tol Batu 9 Cheras






Exit 702 Persimpangan Hulu Langat






Giant Cheras






Exit 703 Persimpangan Telekom






Persimpangan Tun Hussein Onn (Exit 704) yang kontroversi






Plaza Tol Batu 11 Cheras






Jalan susur ke dua persimpangan sekaligus di Balakong dan Sungai Long






Exit 707 Persimpangan Bukit Dukung






Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukung






Exit 707A Persimpangan Sungai Balak






Exit 7078 Persimpangan Saujana Impian






Lebuh raya tamat di Tesco Kajang

No comments:

Post a Comment