Wednesday, March 30, 2016

Kita semua (bukan) penghasut / We are all (not) seditious



Kerana amarah terhadap pemimpin politik, papan tanda yang tidak bersalah pula menjadi mangsa


Salam sejahtera,

Semalam (29 Mac 2016) ada dua perkara yang menjadi heboh di serata laman sosial - pertama, mengenai isu pemandu teksi Kuala Lumpur mengadakan mogok di Bukit Bintang, dan kedua pula mengenai isu papan tanda penunjuk arah di Persimpangan Batu Badak di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 yang diconteng dengan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak yang dilukis dengan rupa seperti badut. Untuk entri pagi ini, saya akan menulis mengenai isu gambar badut Najib Razak yang diconteng pada papan tanda jalan raya, sementara isu teksi mogok pula akan menyusul malam ini.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada tahun 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak semakin hilang populariti di kalangan rakyat Malaysia, meskipun beliau memperkenalkan slogan 1Malaysia, program transformasi kerajaan dan ekonomi, serta melancarkan pembinaan projek lebuh raya kembar Pan Borneo AH150, transit laju massa (MRT) Aliran Sungai Buloh-Kajang, Jalan Raya Utama Tengah (CSR), Lebuhraya Segamat-Muar FT23, dan yang terkini naik taraf Lebuhraya Tun Razak FT12 kepada lebuh raya kembar. Ironinya, kenapa pula rakyat semakin membenci beliau...? Semuanya gara-gara peningkatan mendadak harga barangan dan seterusnya kos sara hidup akibat kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan tambang pengangkutan awam dan pesta naik kadar tol di Lembah Klang pada tahun 2015, yang gagal ditangani oleh Najib. Selain masalah kos sara hidup yang gagal ditangani pentadbiran Najib, dua kes skandal politik terbesar dalam karier politiknya juga telah mengakibatkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadapnya, iaitu skandal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal "duit derma" RM2.6 bilion - saya malas hendak mengulas mengenai dua skandal tersebut kerana blog ini ialah Blog Jalan Raya Malaysia dan bukannya Blog Pilihan Raya Malaysia.

Jika anda tanya saya sendiri, secara jujur saya katakan bahawa saya sendiri pun sebenarnya tidak menyukai Najib Razak, tetapi bukan atas sebab politik - tetapi disebabkan beliau tidak menghormati perbezaan pendapat dan enggan menerima teguran dan nasihat orang-orang tua seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Rafidah Aziz, dsb. Pun begitu, saya tetap menyokong projek-projek infrastruktur untuk rakyat sebagaimana yang telah saya sebutkan sebelum ini. Ada juga yang pasti akan bertanya, kenapa pula saya begitu rapat dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) walaupun saya bukan di pihak Najib...? Saya menyokong penuh KKR - malah turut bersekutu dengan KKR - kerana KKR benar-benar menerima teguran dan menghormati perbezaan pendapat tanpa mengeluarkan serangan balas. Terus-terang saya katakan, hubungan akrab antara Blog Jalan Raya Malaysia dengan KKR lahir bukan daripada hasil mengampu dan menjilat, tetapi ia datang hasil daripada kritikan terhadap apa yang saya sifatkan sebagai tidak betul serta penulisan entri-entri ilmiah di dalam blog ini. Dengan kata lain, Blog Jalan Raya Malaysia bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik sekalipun. Paling penting, sebab nombor satu kenapa KKR merupakan sekutu terkuat Blog Jalan Raya Malaysia adalah kerana KKR menyokong penuh perjuangan kami memartabatkan jalan raya negara. 

Disebabkan sebegitu ramai rakyat yang berasa sangat marah terhadap Najib, maka pelbagai cara digunakan untuk menyalurkan kemarahan mereka. Antaranya termasuklah menghasilkan lagu remix berbaur sindiran, menghasilkan patung replika yang mulutnya disumbat dengan kangkung, dan yang terbaru ialah melukis karikatur Najib berupa seperti badut. Pelukis asal gambar badut Najib itu pula merupakan seorang pelukis politik terkenal bernama Fahmi Reza dengan sikap tidak takut mati ketika menjolok sarang tebuan. Sejak lukisan gambar badut Najib karyanya menjadi terkenal di seantero dunia, tiada siapa yang mampu menutup mulutnya, meskipun akaun laman sosialnya sering diintip oleh pihak polis.




Fahmi Reza (kiri), pelukis asal gambar badut Najib di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi


Sejak cerita gambar badut Najib menjadi heboh, sudah banyak kesan contengan gambar berkenaan ditemui di beberapa tempat. Ada contengan yang ditemui di dinding bangunan, rumah kedai, pangsapuri, dan yang terbaru pula ialah papan tanda jalan raya. Papan tanda jalan raya yang menjadi mangsa contengan kali ini ialah papan tanda penunjuk arah di Persimpangan Batu Badak di Lebuhraya Segamat-Muar FT23. 

Setelah imej contengan gambar badut Najib pada papan tanda tersebut menjadi viral, ramai yang berasa "hairan" bagaimana contengan tersebut dilakukan pada papan tanda yang besar dan tinggi itu. Kalau anda tanya saya sendiri pun memang saya akan beri jawapan yang sama, kerana saya sudah pun menghasilkan reviu Lebuhraya Segamat-Muar FT23. 

Nanti sekejap, patutkah anda berasa kagum terhadap tindakan vandalisme aka laku musnah sebegini...?




Kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh JKR Segamat, Majlis Daerah Segamat dan Kontraktor ISB


Dalam masa tidak sampai 12 jam sejak gambar badut Najib pada papan tanda tersebut menjadi viral, Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat dengan kerjasama Majlis Daerah Segamat (MDS) dan Kontraktor ISB bertindak membersihkan semula contengan tersebut dengan mengecatnya dengan menggunakan cat berwarna biru. Sayang betul kerana papan tanda tersebut masih sangat baharu. Tidak fasal-fasal wang rakyat terpaksa dibazirkan lagi untuk membersihkan papan tanda tersebut.

Ada juga pihak yang mempersoalkan rasional papan tanda yang diconteng itu sekejap sahaja dibersihkan semula, sedangkan aduan jalan berlubang pula mengambil masa lama sebelum ditampal semula. Kepada pihak-pihak yang mempertikaikan rasional pembersihan papan tanda tersebut, saya ingin bertanya kepada anda - adakah anda suka jika dinding rumah anda diconteng oleh budak-budak jahat...? Adakah anda marah sekiranya wang cukai yang anda bayar kepada kerajaan dibazirkan...? Jika anda menyokong contengan tersebut, bermakna ia samalah seperti anda merelakan rumah anda diconteng serta merelakan wang cukai anda dibazirkan untuk berjoli katak. Anda perlu ingat, conteng tetap conteng, vandalisme tetap vandalisme, salah tetap salah...!!! Perasaan amarah terhadap Najib Razak bukanlah lesen besar untuk anda menconteng papan tanda jalan raya, kerana ia boleh menyebabkan pengguna jalan raya tidak nampak tulisan atau simbol amaran pada papan tanda. Mahukah anda bertanggungjawab dan menanggung bil hospital, bil bengkel ataupun belanja kenduri arwah mangsa yang kemalangan akibat tidak dapat melihat tulisan atau simbol amaran pada papan tanda bahana contengan grafiti pada papan tanda tersebut...? Janganlah jadi seperti anjing menyalak bukit ataupun kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Jika ada yang mempertikaikan kenapa papan tanda yang rosak atau diconteng dibaiki dengan cepat tetapi jalan berlubang pula lambat diambil tindakan, biar saya beritahu anda dua perkara ini. Papan tanda yang diconteng dengan gambar badut Najib dibersihkan dengan pantas kerana adanya aduan serta gambar tersebut menjadi viral di laman sosial. Sebab itulah kerja membersihkannya pun begitu laju juga. Bagaimana pula dengan kes jalan berlubang...? Sejak akhir-akhir ini, JKR Segamat semakin bagus kerana banyak lubang yang ditampal oleh JKR Segamat tanpa sebarang aduan pengguna - nampak sahaja ada lubang terus tampal. Pun begitu, masih ada lubang-lubang yang terlepas pandang oleh JKR Segamat. Namun demikian, kumpulan Brotherhood Segamat tampil sebagai kumpulan pencabar, dan mereka inilah yang mengambil inisiatif "membangkitkan" JKR Segamat melalui penandaan yang dibuat di atas jalan raya. Justeru, kepada golongan yang cuma tahu komplen sahaja, jika anda tidak mampu untuk berbuat seperti Brotherhood, kenapa anda sendiri tidak ambil inisiatif membuat aduan kepada JKR...? JKR bukannya tuhan yang boleh mengetahui di mana ada lubang di semua tempat tanpa pergi ke lokasi. Sebagai penulis blog jalan raya, saya sendiri mengakui keberkesanan kempen #zeropotholes oleh JKR - kalau anda tidak percaya, anda ikuti sendiri laman-laman Twitter JKR daerah di seluruh Malaysia dan saksikan sendiri berapa banyak jalan yang ditampal dan diturap semula.

Kesimpulannya, amarah terhadap Najib Razak ataupun mana-mana pemimpin politik yang lain bukanlah lesen besar untuk anda menconteng di papan tanda jalan raya. Selain meletakkan diri anda setaraf dengan kera yang hanya tahu menjahanamkan bunga yang diterimanya, ia juga satu bentuk pembaziran duit rakyat, kerana duit yang dibazirkan untuk membiayai kos pembersihan papan tanda yang diconteng itu lebih baik digunakan untuk menurap lebih banyak jalan berlubang. Kalau pun anda marah sangat akan Najib Razak, lebih baik anda menyalurkan kemarahan anda melalui cara yang lebih bertamadun seperti menandatangani Deklarasi Rakyat, ataupun menghukumnya sendiri melalui kertas undi kelak. Kepada Datuk Seri Najib Razak, belajarlah menerima teguran yang memeritkan, belajarlah menghormati orang tua, dan belajarlah menghormati perbezaan pandangan dan pendapat daripada rakyat. Jadikanlah diri anda pendebat dan ilmuan yang dihormati dan bukannya menuduh orang yang tidak sependapat sebagai penghasut.



PERINGATAN: Segala penulisan oleh Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.

Saturday, March 26, 2016

Brotherhood kini ada aspal jenama sendiri...!!! / Brotherhood now has a self-branded asphalt...!!!




Salam sejahtara,

Siapa tidak kenal akan kumpulan Ikatan Silaturrahim Brotherhood pimpinan Lando Zawawi, sebuah kumpulan motosikal yang bertindak menurap jalan berlubang yang tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib. Sejak mereka menjadi terkenal setelah heboh cerita Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar usaha mereka menurap jalan berlubang di serata Kuala Lumpur pada penghujung 2014, kumpulan Brotherhood semakin mendapat perhatian di kalangan masyarakat. Dalam masa yang sangat singkat, semakin ramai anak muda yang menyertai perjuangan Brotherhood, menjadikan kumpulan tersebut membesar sehingga merangkumi 7 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak. Begitulah hebatnya penangan anak-anak muda yang bangkit kerana tidak mahu para penunggang motosikal yang lain menjadi korban lubang-lubang puaka di jalan raya.

Sejak itu jugalah Blog Jalan Raya Malaysia banyak menulis cerita-cerita tentang mereka. Hasilnya, Brotherhood dan Blog Jalan Raya Malaysia menjadi sekutu rapat dalam usaha memartabatkan jalan raya. Sungguhpun demikian, hanya semasa Malam Cybernite Dinner sempena Kursus Pemantapan Media Sosial Kementerian Kerja Raya 2016 barulah saya dan Lando Zawawi berpeluang bertemu buat kali pertama.

Masa begitu pantas berlalu. Kini, kumpulan Brotherhood sudah mempunyai aspal jenama sendiri. Sebenarnya, saya diundang untuk menghadiri majlis perasmian aspal jenama Brotherhood di sebuah kilang aspal di Kajang pagi tadi (26 Mac 2016), tetapi saya tidak dapat menghadirinya atas urusan kerja.

Mungkin ada di antara anda yang musykil, kenapa pula Brotherhood bersusah-payah mengeluarkan tar sendiri...? Jawapannya mudah sahaja - kawalan kualiti. Mereka mahu tar yang digunakan oleh mereka mematuhi tahap kualiti yang diingini, kerana tar yang tidak berkualiti adalah salah satu punca utama kenapa jalan yang baru ditampal cepat berlubang semula. Sepanjang pengalaman saya sendiri, saya dapati memang ramai kontraktor yang menggunakan aspal yang berkualiti rendah untuk memaksimumkan keuntungan. Ada aspal yang kandungan bitumen yang dicampurkan terlalu sedikit ataupun terlalu nipis. Akibatnya, batu-batu halus tidak dapat melekat dengan baik. Selain itu, kandungan bitumen yang terlalu sedikit atau terlalu nipis juga amat mudah dihakis oleh tumpahan minyak diesel dari tangki minyak lori yang bocor. Jika lori-lori berat melaluinya, jalan yang diturap menggunakan aspal cap ayam itu juga sudah tentulah mudah mendap dan mudah dihakis oleh kilasan tinggi daripada pusingan tayar lori. Sebab itulah jalan boleh cepat rosak...!!!




Valentino Rossi sendiri terlibat dalam pembikinan jentera perlumbaannya - sebab itulah beliau semakin di depan...!!!


Menurut Lando Zawawi lagi, satu-satunya cara terbaik bagi memastikan kualiti sesuatu produk berada pada tahap yang dikehendaki adalah dengan terlibat secara langsung dalam penghasilannya. Lihat sajalah bagaimana pelumba lagenda MotoGP, Valentino Rossi menjuarai kelas premier Grand Prix Motosikal (MotoGP) sebanyak tujuh kali dan keseluruhan kelas sebanyak sembilan kali. Kenapa beliau boleh menjadi pelumba lagenda MotoGP...? Kerana beliau terlibat secara langsung dalam pembikinan jentera-jentera perlumbaannya. Kerana penglibatan beliau itulah motosikal Honda RC211V menapau habis pelumba-pelumba lain seawal perlumbaan sulung musim 2002. Kerana penglibatan beliau jugalah beliau mentransformasikan motosikal Yamaha YZR-M1 daripada sebuah motosikal yang "tidak boleh belah" hendak bersaing dengan Honda kepada sebuah jentera yang digeruni seterunya. Melalui pendekatan yang sama, kumpulan Brotherhood bekerjasama dengan sebuah kilang aspal di Kajang dan terlibat sendiri dalam proses R&D produk bagi memastikan aspal cold mix yang dihasilkan mencapai tahap kualiti yang dikehendaki, yang dibuktikan melalui ketahanan turapan yang dilakukan.




Inisiatif JKR Kulai memantau sendiri tahap kualiti aspal di sebuah kilang aspal di Kulai wajar dicontohi JKR daerah yang lain
(Kredit gambar: JKR Daerah Kulai)


Jika dibandingkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dahulunya mempunyai banyak kuari dan kilang aspal sendiri. Namun, bermula dari tahun yang saya sendiri tidak sedari, JKR kini lebih banyak mendapatkan bekalan tar daripada sumber luar. Memanglah tidak salah hendak mendapatkan sumber bekalan tar daripada sumber luar, tetapi ada kalanya bekalan yang diperolehi itu tidak begitu konsisten kualitinya kerana mereka mungkin tidak mengetahui sama ada pembekal tar itu benar-benar mematuhi tahap piawaian kualiti yang dikehendaki kerana JKR sudah tidak lagi terlibat dalam pengeluaran aspal. Namun, bermula daripada kempen #zeropotholes yang dilancarkan oleh JKR, sudah mula ada pejabat-pejabat JKR yang memantau sendiri tahap kualiti aspal yang dihasilkan agar wang wakyat tidak dibazirkan hanya untuk menampal jalan yang sama semata-mata.

Kesimpulannya, satu-satunya cara bagi memastikan sesuatu produk memiliki sesuatu ciri yang diingini hanyalah dengan terlibat secara langsung dalam pembikinannya. Brotherhood sudah pun membuktikan melalui tar jenama mereka sendiri yang terbukti tahan lama meskipun digunakan sebagai tampalan sementara. JKR sendiri sudah kembali memantau tahap kualiti aspal di kilang-kilang agar mencapai tahap kualiti yang diingini. Namun, ada juga pihak yang hanya tahu komplen apabila jalan rosak tetapi hendak buat laporan kerosakan jalan pun malas. Ada ramai pemandu kereta yang komplen apabila harga minyak naik, tol naik, jalan sesak dan petak parkir sukar dicari, tetapi dalam masa yang sama mereka tetap berkereta seorang sebuah, meskipun mereka hanya sekadar berlenggang-kangkung ke pejabat tanpa memikul barang yang berat. Bagaimana hendak mencapai apa yang diingini sekiranya kita sendiri malas berusaha hendak mendapatkannya...? Ingatlah bahawa Allah tidak akan mengubah nasih sesuatu kaum melainkan jika kaum itu sendiri berusaha mengubahnya (Surah ar-Ra'd, ayat 11). Oleh itu, daripada sekadar banyak komplen, merintih dan meminta-minta semata-mata, lebih baik anda contohi kumpulan Brotherhood yang berusaha sendiri menurap jalan berlubang pada tahap kualiti turapan yang dikehendaki tanpa sebarang gebang.




Kumpulan Brotherhood kini boleh berbangga dengan aspal jenama sendiri




Kumpulan Brotherhood membuat demonstrasi bagaimana mereka menampal jalan berlubang kepada pihak media




Demonstrasi memampatkan aspal yang dihamparkan menggunakan penggelek tangan




Pihak media dibawa melihat sendiri bagaimana aspal cold mix dihasilkan
(Semua kredit gambar: Lando Zawawi)

Tuesday, March 22, 2016

Hard-Boiled Territory of Kuala Lumpur Part 2: Sony Xperia M4 Aqua Dual - telefon pintar lapan teras pertama Sony / Sony's first octa-core smartphone





Antara muka pada Sony Xperia M4 Aqua Dual (atas) dengan Sony Xperia Z (bawah)


Salam sejahtera,

Dalam episod kedua siri entri Hard-Boiled Territory of Kuala Lumpur, saya ingin membawakan kepada anda "senjata" baharu Blog Jalan Raya Malaysia bagi menggantikan Sony Xperia Z sebagai telefon pintar rasmi kami. Telefon pintar rasmi terbaru kami ialah Sony Xperia M4 Aqua Dual yang merupakan telefon pintar lapan teras pertama keluaran Sony Mobile, yang mana reviu Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur (KL MRR1) merupakan reviu pertama yang menggunakan Sony Xperia M4 Aqua Dual ini.

Berbeza dengan Sony Xperia Z yang memang merupakan model flagship Sony, Sony Xperia M4 Aqua Dual ini pula merupakan model pertengahan. Ironinya, Xperia M4 Aqua ini merupakan model telefon pintar pertama Sony yang dikuasakan oleh pemproses lapan teras. Jika dibandingkan, model flagship yang dilancarkan sezaman dengan Xperia M4 Aqua iaitu Xperia Z3 pula masih menggunakan pemproses empat teras; model flagship pertama Sony yang menggunakan pemproses lapan teras ialah Xperia Z3+. Pemproses lapan teras yang digunakan oleh Xperia M4 Aqua Dual ialah Qualcomm Snapdragon 615 yang menggabungkan pemproses Cortex-A53 1.5 GHz dan Cortex-A53 1 GHz pada cipset yang sama. Sungguhpun M4 Aqua Dual ini menggunakan pemproses yang hampir dua kali ganda lebih laju daripada Z, namun ingatan capaian rawak masih sama dengan Z iaitu 2 GB sahaja, menyebabkan potensi sebenar pemproses lapan teras yang digunakan tidak dapat dieksploitasikan ke tahap maksimum.

Kamera yang digunakan adalah sama seperti Z, iaitu kamera belakang 13 megapiksel dan kamera hadapan 5 megapiksel. Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah kualiti gambar M4 Aqua Dual pada waktu malam sebenarnya lebih bagus daripada Z. Ia hasil penambahbaikan berterusan yang dilakukan oleh jurutera Sony - maka tidak hairanlah kenapa Samsung sendiri pun ada menggunakan sensor kamera Sony untuk model telefon pintar Samsung Galaxy S7 terbaru mereka. Tatkala saya sering bergelut mencari setting paling sesuai untuk mengambil gambar waktu malam ketika menggunakan Sony Xperia Z, saya agak terkejut apabila mendapati kualiti gambar waktu malam ketika menggunakan Sony Xperia M4 Aqua Dual pula jauh lebih bagus walaupun dalam mod automatik tanpa mengusik apa-apa setting. Tak percaya...? Cuba bandingkan antara 3 setting di lokasi sama menggunakan kamera Sony Xperia Z seperti di bawah.




Perbandingan antara tiga jenis setting: Mod High Sensitivity




Mod Night Scene




Mod Fireworks


Tiga keping gambar di atas diambil menggunakan Sony Xperia Z di lokasi sama iaitu di jejantas Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 dekat stesen minyak Shell dari arah Kepong menghala ke Batu Caves. Gambar paling atas menggunakan mod High Sensitivity, manakala gambar tengah pula menggunakan mod Night Scene; gambar paling bawah pula menggunakan mod Fireworks. Antara ketiga-tiga gambar tersebut, gambar yang mana paling cantik...? Saya sendiri pun sakit kepala hendak memikirkan setting yang paling sesuai...!!!








Sementara itu, tiga gambar di atas ini pula diambil di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban. Berbeza dengan gambar di KL MRR2 yang diambil menggunakan mod manual, gambar di Seremban pula menggunakan mod automatik tanpa mengusik sebarang setting lain. Bagaimana, jauh lebih cantik kan...?




Ruang storan dalaman terlalu sedikit, jadi saya tidak boleh memasang banyak aplikasi


Namun, satu perkara yang paling saya tidak senangi akan Xperia M4 ini ialah kapasiti storan dalamannya yang terlalu kecil iaitu 8 GB sahaja. Sistem pengendalian Android Lollipop sahaja sudah memakan separuh daripada ruang ingatan dalaman. Setelah memasang hanya beberapa aplikasi sahaja, hanya tinggal sekitar 500 MB sahaja ruang kosong yang tinggal walaupun setelah memindahkan kesemua aplikasi yang boleh dipindahkan ke kad SD. Mujurlah M4 Aqua Dual ini menyokong kad SD sehingga sebesar 128 GB, tetapi masih tidak boleh memasang banyak aplikasi. Kalau setakat simpan banyak lagu, gambar dan video tu bolehlah.

Satu lagi perkara yang saya agak kurang senangi ialah pengecas yang dibekalkan pula terlalu perlahan iaitu berkapasiti 850 mA sahaja. Ia dua kali ganda lebih perlahan berbanding pengecas yang dibekalkan pada Sony Xperia Z saya sebelum ini (1,500 mA). Memandangkan bateri yang digunakan oleh Sony Xperia M4 Aqua Dual ini lebih besar sedikit kapasitinya berbanding Sony Xperia Z (2,400 mAj vs 2,330 mAj), maka masa mengecasnya juga dua kali lebih lama berbanding ketika menggunakan pengecas Xperia Z saya.

Memandangkan M4 Aqua Dual ini model pertengahan, maka sudah tentulah ia kekurangan beberapa lagi ciri lain berbanding model flagship seperti tiada sokongan USB On-the-Go untuk membolehkan saya memalamkan pemacu kilat USB, tiada sokongan MHL untuk membolehkan saya menyambungkan telefon pintar ke TV melalui port HDMI, dan juga tiada sambungan 4G LTE, tetapi saya tidak kisah akan semua itu. Ia sedikit pun tidak mempengaruhi reviu daripada laman-laman mengenai telefon bimbit yang kebanyakannya memberi reaksi positif terhadap Sony Xperia M4 Aqua Dual ini. Ciri pemproses lapan teras menjadikannya sebagai telefon pintar dengan nilai terbaik untuk wang, tetapi kritikan utama sudah tentulah ruang simpanan dalaman yang terlalu kecil.

Setakat ini sahaja reviu saya mengenai telefon bimbit rasmi terbaru Blog Jalan Raya Malaysia ini. Meskipun ia mempunyai beberapa kekurangan berbanding Xperia Z sebelum ini, namun ia masih mempunyai kelebihannya yang tersendiri berbanding Xperia Z, terutamanya pemproses lapan teras yang hampir dua kali ganda lebih laju. Lagipun, tujuan saya memiliki telefon pintar pun bukanlah untuk bergaya, tetapi lebih kepada untuk mengambil gambar-gambar dan video-video mengenai jalan raya untuk dikongsikan kepada anda semua. Yang penting, saya menang membeli dan memang memakai.

Saturday, March 19, 2016

Hard-Boiled Territory of Kuala Lumpur: KL MRR1 (Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur / Kuala Lumpur Middle Ring Road 1)




Salam sejahtera,

Saya percaya ramai di kalangan peminat Blog Jalan Raya Malaysia yang menanti-nantikan reviu jalan raya yang lebih terkini daripada kami. Jutaan terima kasih atas sokongan anda. Bagi menghargai sokongan anda semua, kami berbesar hati membawakan kepada anda reviu jalan raya bervideo yang pertama bagi tahun 2016. Lokasinya...? Untuk reviu kali ini, kami memilih Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur (KL MRR1).




Reviu Jalan Tun Razak pada tahun 1986 oleh Rosli Dahamin di TV3


Idea untuk menghasilkan reviu jalan raya bervideo untuk MRR1 ini timbul setelah saya menonton reviu Jalan Tun Razak oleh seorang wartawan terkenal TV3 era 1980an, Rosli Dahamin. Reviu yang dihasilkan oleh beliau itu begitu lengkap dan menyeluruh. Maka, saya pun terfikir, bagaimana kalau saya pula menghasilkan reviu era 2010an pula...?

Halangan utama untuk menghasilkan reviu bervideo sudah tentulah ketiadaan telefon pintar bagi merakan video berdefinisi tinggi (HD) setelah telefon pintar Sony Xperia Z saya dicuri pada tahun lalu. Namun, berkat kesabaran saya selama 10 bulan, saya akhirnya saya berjaya memiliki sebuah model pengganti yang lebih berkuasa daripada Xperia Z walaupun ia sebenarnya model pertengahan. Senjata baharu Blog Jalan Raya Malaysia kali ini ialah telefon pintar Sony Xperia M4 Aqua Dual yang dikuasakan oleh pemproses lapan teras - dua kali ganda lebih berkuasa daripada Xperia Z. Nak tahu apa yang istimewanya dengan Xperia M4 Aqua Dual ini...? Nantikan bahagian kedua siri entri Hard-Boiled Territory of Kuala Lumpur untuk reviu telefon pintar ini.

Untuk menghasilkan reviu KL MRR1 ini, saya memilih waktu malam kerana untuk menghasilkan video reviu ini, ia memerlukan saya untuk menggunakan kereta dan bukannya motosikal. Kenapa tidak motosikal...? Kalau saya menggunakan motosikal, sudah tentulah telefon pintar saya mudah menjadi mangsa peragut bangsat di luar sana. Memandangkan saya memilih untuk menggunakan kereta untuk menghasilkan video reviu jalan raya, satu-satunya waktu paling sesuai ialah waktu malam kerana waktu itulah waktu yang kurang kenderaan di ibu kota. Saya tidak mahu membazirkan minyak (dan ruang kad SD) gara-gara tersangkut dalam kesesakan jalan raya di siang hari. Saya percaya anda juga sudah tentunya tidak mahu membuang masa menonton saya tersangkut lama dalam kesesakan, lebih-lebih lagi jika anda menggunakan internet yang dicatu oleh syarikat telco.

Rasanya tidak perlulah saya ceritakan mengenai sejarah KL MRR1 ini kerana saya sudah pun menulis mengenainya sebelum ini, anda hanya tinggal baca sahaja. Tanpa membuang masa lagi, mari kita teruskan dengan reviu KL MRR1 oleh Blog Jalan Raya Malaysia. Anda sudah sedia...? Jom ikut saya...!!!







Peta Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur

Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur (KL MRR1) ini berterusan selepas Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 tamat. Hirarkinya turun daripada lebuh raya ekspres kepada jalan raya arteri. Semasa di Exit 910 Persimpangan Istana, arah pusingan ditentukan oleh lorong-lorong di mana anda berada - tiga lorong paling kiri membawa anda mengikuti arah jam, manakala tiga lorong paling kanan (atau lebih tepat lagi, jalan terus) membawa anda mengikut arah lawan jam. Selepas persimpangan tersebut, pastikan anda berada di lorong tengah atau kanan kerana lorong paling kiri akan melencongkan anda keluar ke Jalan Loke Yew FT1.

Selepas Bulatan Loke Yew, saya menaiki Jejambat Jalan Yew yang merupakan antara jejambat terawal di Kuala Lumpur selepas Jejambat Jalan Kinabalu FT1 yang dibuka pada tahun 1963. Jejambat Jalan Yew dibuka serentak dengan Jejambat Jalan Loke Yew iaitu pada tahun 1977. Jejambat Jalan Yew berterusan sehinggalah Bulatan Kampung Pandan di mana jajaran MRR1 selepas Bulatan Kampung Pandan dikenali sebagai Jalan Tun Razak.

Jajaran yang dikenali sebagai Jalan Tun Razak ini panjang keseluruhannya ialah 7.48 km. Namun, tidak semua jajaran Jalan Tun Razak ini terletak dalam KL MRR1; sebahagian kecil jajaran Jalan Tun Razak dilencongkan keluar melalui Bulatan Kampung Pandan ke penamatnya di persimpangan Jalan Cheras.

Dalam reviu yang dihasilkan oleh Rosli Dahamin, masih terdapat banyak persimpangan lampu isyarat di sepanjang Jalan Tun Razak pada masa itu. Namun, kini sudah tiada lagi persimpangan lampu isyarat searas di Jalan Tun Razak; kebanyakannya sudah digantikan dengan persimpangan bertingkat, sama ada melalui pembinaan jejambat ataupun terowong. Misalnya, Terowong Bukit Bintang dan Terowong Ampang dibina bagi memintas dua persimpangan searas yang sangat sibuk di situ. Sementara itu, Jejambat Kampung Baru dibina bagi memintas Persimpangan Semarak dan Persimpangan Kampung Baru. Ketiga-tiganya dibina pada tahun 1997 bagi mengatasi masalah kesesakan di ketiga-tiga kawasan tersebut. Selain itu, Jejambat Kampung Baru juga berperanan sebagai laluan masuk ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12.

Persimpangan seterusnya ialah Bulatan Pahang yang juga dikenali sebagai Bulatan Pekeliling dalam reviu oleh Rosli Dahamin. Dalam reviu versi Rosli Dahamin, tiada jejambat yang melintasi bulatan tersebut mahupun terowong dari Jalan Pahang ke Jalan Tun Razak dan seterusnya Lebuhraya Sultan Iskandar; kedua-duanya dibina oleh Metramac (kini Anih Berhad).

Salah satu daripada kecacatan reka bentuk pada Jalan Tun Razak ini ialah jarak antara Persimpangan Jalan Ipoh dengan Persimpangan Bulatan Pahang yang terlalu hampir, mengakibatkan masalah kesesakan teruk akibat konflik jalinan. Untuk menangani masalah konflik jalinan tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina pembahagi jalan yang hanya membenarkan aliran trafik keluar dari Bulatan Pahang untuk memasuki Jalan Tun Razak arah lawan jam; pengguna Jalan Tun Razak arah lawan jam yang hendak keluar ke Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh) perlu keluar melalui Bulatan Pahang. DBKL mendakwa bahawa perubahan tersebut berupaya mengurangkan masalah kesesakan di setu sebanyak 50%.

Jalan Tun Razak bersilang dengan Jalan Kuching FT1 di Persimpangan PWTC, di mana Jalan Tun Razak berterusan sebagai Lebuhraya Sultan Iskandar. Sesuai dengan namanya, lebar bagi setiap lorong di sepanjang Lebuhraya Sultan Iskandar ini lebih lebar iaitu 3.65 m berbanding hanya 3.25 m di sepanjang Jalan Tun Razak.

Di Persimpangan Parlimen, jalan-jalan susur ke Jalan Tuanku Abdul Halim dari Jalan Parlimen dan Lebuhraya Sultan Iskandar (arah jam) ditutup bagi projek naik taraf persimpangan tersebut yang kini sangat sesak. Namun begitu, Persimpangan Parlimen dengan Persimpangan Travers berkongsi penyakit sama seperti Persimpangan Jalan Ipoh dengan Persimpangan Bulatan Pahang, iaitu konflik jalinan yang berpunca daripada jarak antara dua persimpangan tersebut yang terlalu dekat.

Hanya tinggal dua persimpangan sahaja lagi sebelum KL MRR1 berakhir di Persimpangan Istana. Di Persimpangan Istana Negara,KL MRR1 dihubungkan dengan Jalan Syed Putra FT2 manakala Persimpangan Bukit Petaling pula dihubungkan ke bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka dan seterusnya Jalan Hang Tuah dan Jalan Imbi. KL MRR1 berakhir di Persimpangan Istana yang juga ditemukan dengan satu lagi penghujung KL MRR1, menjadikan KL MRR1 sebagai satu lingkaran lengkap.

Jadi apa komen saya tentang jalan tersebut...? Seperti kebanyakan jalan raya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kritikan utama saya sudah tentulah pada papan tandanya yang bercelaru, diletakkan pada saat-saat akhir dan tiada kod laluan. Disebabkan papan tanda yang begitu bercelaru inilah pengguna jalan raya di Kuala Lumpur seolah-olah sudah diajar agar melakukan segala tindakan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain seperti memancung dari lorong paling kanan terus ke susur keluar di sebelah kiri, tidak menggunakan lampu isyarat membelok dsb. Saya sudah sebut tentang perkara ini bukan sekali dua, tetapi sudah banyak kali. Kepada Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, saya ingin menggesa agar anda peka akan isu papan tanda jalan raya KL serta ketiadaan kod laluan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jangan biarkan orang luar dan pelancong asing mencemuh papan tanda jalan KL yang langsung tidak mesra pelancong. Lakukan transformasi terhadap papan tanda jalan raya KL secara menyeluruh. Tetapkan kod laluan pada setiap jalan arteri utama di KL. Kelemahan dalam pengurusan aduan kerosakan jalan raya datang daripada sistem inventori yang lemah, dan sistem inventori yang lemah datang daripada ketiadaan daftar kod laluan di jalan-jalan arteri di Kuala Lumpur. Jika anda mahu Kuala Lumpur dihormati sebagai bandar raya alfa, seluruh sistem papan tanda perlu ditukar secara keseluruhannya.

Setakat ini sahaja reviu KL MRR1 oleh Blog Jalan Raya Malaysia. Dalam episod kedua siri entri Hard-Boiled Territory of Kuala Lumpur, saya akan mengadakan sedikit reviu ringkas mengenai telefon pintar Sony Xperia M4 Aqua Dual yang saya gunkan sebagai telefon pintar rasmi baharu bagi Blog Jalan Raya Malaysia.

Monday, March 7, 2016

Apa Kejadahnya / What The Hell: We're Not So Furious




Salam sejahtera,

Entri kali ini adalah hasil daripada permintaan Saudara Zul Faizal yang amat marah akan rancangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk menganjurkan lumba haram mat rempit yang "dihalalkan" di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Rancangan tersebut sudah tentulah mendapat kecaman hebat di kalangan warga kota, dengan mendakwa Ku Nan hanya menjadikan gejala lumba haram mat rempit semakin parah.




Sekumpulan mat rempit membanjiri jalan raya Kuala Lumpur


Sebelum saya teruskan dengan cerita "lumba halal mat rempit" ini, ada baiknya saya perkenalkan dahulu serba-sedikit mengenai mat rempit ini. Istilah "mat rempit" diberikan kepada individu yang menyertai aktiviti lumba haram motosikal, yang mana boleh dikatakan majoritinya terdiri daripada remaja Melayu. Mereka bergerak secara berkumpulan, membuat bising di atas jalan raya dengan memainkan pendikit, serta menampilkan aksi-aksi lagak ngeri di atas motosikal seperti superman (meniarap di atas pelana dengan kaki diluruskan semasa motosikal sedang bergerak), wheelie (menaikkan roda belakang ketika motosikal sedang bergerak), wikang (wheelie belakang; menaikkan roda belakang ketika motosikal sedang bergerak), scorpion (berdiri di atas motosikal dengan sebelah kaki terjulur ke belakang semasa melakukan wheelie), dsb. Ada kalanya mereka tidak berlumba, tetapi sekadar merayau-rayau di sekitar bandar raya dan ada kalanya mereka membuat kacau, termasuklah mencuri motosikal dan merompak stesen minyak. Selain lumba haram dan aksi lagak ngeri berbahaya, mat rempit juga sering dikaitkan dengan gejala curi motosikal, pil khayal, bohsia, ragut, gengsterisme dan samun stesen minyak. Pada tahun 2007, akhbar tabloid Kosmo menganggarkan bahawa terdapat lebih 200,000 orang mat rempit di seluruh negara, cukup ramai untuk memuatkan sebuah bandar raya.




Mat-mat rempit Malaysia sering dibandingkan dengan kumpulan bosozoku Jepun


Sebenarnya, lumba haram motosikal memang sudah wujud sebelum dekad 90an lagi, tetapi pada masa itu pelumba-pelumba haram hanya sekadar berlumba sahaja dan tidak lebih daripada itu. Mereka tidak membuat kacau, tidak mencuri motosikal, tidak merompak stesen minyak dan tidak melawan polis sebagaimana kumpulan-kumpulan mat rempit sekarang. Sebab itulah kumpulan mat rempit Malaysia sering dibandingkan dengan kumpulan bosozoku (暴走族), iaitu kumpulan samseng motosikal di Jepun - bezanya, mat rempit Malaysia menunggang motor kapcai dan bukannya motosikal naked yang diubahsuai pelana, fairing dan hendalnya, tiada pakaian seragam dan tiada bendera rasmi kumpulan sebagaimana bosozoku Jepun, meskipun banyak kumpulan mat rempir Malaysia yang ada logo rasmi mereka sendiri.

Sekarang saya teruskan dengan rasional kenapa berlumba di atas jalan raya awam adalah salah di sisi undang-undang. Sebenarnya, rasional pengharaman aktiviti perlumbaan di atas jalan raya awam terhasil daripada sejarah sukan bermotor itu sendiri. Perlumbaan bermotor mula wujud selepas penciptaan pedati tanpa kuda dan basikal berenjin yang digerakkan oleh enjin wap dan seterusnya enjin petrol pada penghujung abad ke-19. Pada masa itu, perlumbaan kereta dan motosikal diadakan di atas jalan raya sama ada secara litar tertutup ataupun dari titik A ke titik B bagi menunjukkan kehebatan kejuruteraan kenderaan buatan mereka dari segi kelajuan mahupun ketahanan enjin. Namun, motosikal dan kereta yang dicipta semakin lama semakin laju, maka sudah tentulah risiko kemalangan maut juga semakin tinggi. Jalan raya awam dibina dengan darjah kawalan masuk separa sahaja, yang bermaksud pengguna jalan raya boleh memasuki bangunan dan premis hartanah ataupun sebaliknya dengan mudah melalui jalan-jalan perantara seperti jalan pengumpul dan jalan tempatan. Justeru, penonton perlumbaan jalan raya tiada sebarang perlindungan daripada dihentam kenderaan pelumba yang terbabas. Akibatnya, nahas jalan raya semasa perlumbaan Paris-Madrid pada tahun 1903 mengorbankan seorang pelumba, Marcel Renault (yang juga merupakan pengasas syarikat kereta Renault) serta 8 orang yang lain, mengakibatkan kerajaan Perancis mengharamkan terus sebarang bentuk perlumbaan di atas jalan raya awam.




Penonton menonton perlumbaan Isle of Man TT dari celah-celah semak di tepi jalan raya - bagaimana kalau pelumba ini tiba-tiba terbabas ke arah mereka...?




Namun, perlumbaan jalan raya yang paling banyak meragut nyawa ialah perlumbaan motosikal Isle of Man TT yang diadakan di Isle of Man, United Kingdom. Setiap tahun boleh dikatakan ada sahaja orang yang mati semasa perlumbaan Isle of Man TT, sama ada pelumba, penonton ataupun pegawai perlumbaan. Musim 2011 sahaja telah meragut 6 nyawa manakala musim 2014 pula 5 orang lagi terkorban. Setakat tahun 2015, sudah 248 orang pelumba mati sejak perlumbaan Isle of Man TT mula dianjurkan. Kenapa ada sahaja orang yang mati di situ...? Sudah tentulah kerana perlumbaan diadakan di atas jalan raya awam - para perlumba berlumba pada kelajuan maksimum di atas jalan raya dua lorong yang sempit, mempunyai banyak selekoh tajam, tidak berpagar dan hanya mengharapkan pengadang keluli sahaja sebagai perlindungan di selekoh. Bayangkan bagaimana rasanya menunggang selaju lebih 270 km/j di atas jalan raya dua lorong yang sempit dan berselekoh tajam - mana tidaknya Isle of Man TT ini banyak meragut nyawa...?




Nahas maut tetap berlaku di litar lumba halal walaupun dengan ciri keselamatan tertinggi, dibuktikan melalui nahas yang meragut nyawa Marco Simoncelli pada tahun 2011


Disebabkan sebegitu banyak nahas maut yang berpunca daripada aktiviti perlumbaan di jalan raya awam biasa, maka kebanyakan pihak sudah pun mengharamkan perlumbaan di atas jalan raya awam dan mewajibkan agar sukan bermotor hanya diadakan di litar tertutup khas sahaja. Kenapa lumba motor mesti diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, Litar Antarabangsa Sentul ataupun Litar Johor Pasir Gudang dan bukannya Litar Simpang Jalan, Litar Jalan Sentul mahupun Litar Lebuhraya Pasir Gudang FT17...? Pertama, litar lumba tertutup seperti Litar Antarabangsa Sepang dikenakan darjah kawalan masuk yang paling tinggi, malah lebih tinggi daripada lebuh raya ekspres. Jika lebuh raya ekspres sekadar dipagar menggunakan pagar kawat besi sahaja, litar lumba pula dipagar sebegitu tinggi, dan tembok yang sebegitu tebal dan tinggi juga didirikan bagi menghalang kenderaan pelumba daripada melanggar penonton di tempat duduk utama. Tidak cukup dengan pengadang rel keluli ataupun tembok konkrit, tayar-tayar buruk juga turut ditempatkan bagi menyerap sebahagian besar daya impak pelanggaran. Bahagian tepi litar di selekoh pula terdiri daripada pasir tebal yang fungsinya sama seperti tanjakan kecemasan lori yang berfungsi memerangkap kenderaan yang hilang kawalan dan terbabas di selekoh. Pun begitu, kematian tetapi berlaku di litar lumba halal yang dikenakan darjah kawalan masuk paling ekstrim dan dilengkapi ciri keselamatan tertinggi, antaranya termasuklah nahas maut yang mengorbankan seorang pelumba MotoGP, Marco Simoncelli di Litar Sepang pada tahun 2011.

Sekarang sudah tahu betapa berbahayanya sukan bermotor termasuklah lumba motosikal bukan...? Kalau di litar lumba halal yang dilengkapi ciri keselamatan pun pelumba boleh mati, inikan pula kalau berlumba haram di atas jalan raya awam. Sebab itulah syarikat-syarikat insurans tidak akan membayar sebarang pampasan insurans sekiranya kenderaan yang diinsuranskan terlibat dalam kemalangan jalan raya disebabkan aktiviti perlumbaan - dengan kata lain, pelumba haram termasuklah mat-mat rempit sudah tentulah sekadar mati katak sahaja sekiranya mereka terkorban di atas jalan yang lurus. Sementara itu pula, pelumba halal pula memang diwajibkan untuk membeli polisi insurans khas, dan mereka juga disyaratkan agar kenderaan yang digunakan untuk berlumba tidak boleh digunakan di atas jalan raya. Habis tu macam mana nak mengangkut kenderaan tersebut untuk dibawa pulang...? Kereta atau motosikal yang digunakan untuk berlumba di litar halal hanya boleh diangkut menggunakan lori treler pengangkut rendah kerana kenderaan yang digunakan untuk berlumba tidak boleh dilesenkan untuk digunakan di atas jalan raya.

Jadi apa kejadahnya Ku Nan mahu menghalalkan lumba haram mat rempit diadakan di jalan raya KL...? Apakah kepala Ku Nan sudah masuk air...? Antara alasan-alasan dangkal yang digunakan oleh Ku Nan untuk menjustifikasikan rasional menghalalkan lumba haram mat rempit termasuklah "memberi ruang untuk mereka berhibur". Kalau setakat itu sahaja alasan yang diberikan, maka sudah tentulah alasan tersebut sangat dangkal dan sangat semberono, seolah-olah mat-mat rempit ini hanya tahu berlumba haram sahaja tanpa ada inisiatif mahupun pendekatan untuk menyalurkan minat terhadap motosikal kepada sesuatu yang bersifat positif seperti mengembara beramai-ramai ataupun mengadakan konvoi amal ke rumah-rumah anak yatim mahupun kawasan yang dilanda bencana alam. Kalau Ku Nan menggunakan alasan "membanteras judi haram", itu juga alasan bebal lagi dangkal. Kaki judi tegar tidak memerlukan kasino, kedai nombor ekor, mesin judi kuda mahupun lokasi lumba haram mat rempit untuk berjudi, di rumah sendiri pun boleh. Alasan "litar lumba halal tidak mendapat sambutan" juga alasan bebal, dangkal lagi mengarut. Memandangkan majoriti mat rempit terdiri daripada penganggur ataupun golongan berpendapatan rendah, siapa sanggup hendak menunggang sejauh lebih 45-50 km ke selatan dan membayar sewa litar yang lebih mahal daripada gaji mat despatch...? Dari situlah pentingnya membina litar lumba kos rendah bagi jenis-jenis sukan bermotor yang murah seperti perlumbaan cub prix. Bina litar yang saiznya seperti litar cub prix dan kenakan sewa yang murah kepada pengguna. Sebagai tambahan bagi membolehkan sewa litar yang murah dapat diberikan, pihak pengurusan boleh juga mengadakan perkhidmatan sewa sut perlumbaan dan juga menyewakan ruang niaga kepada pengusaha bengkel motosikal dan pengusaha makanan. Sebelum ini memang Lembah Klang pernah ada litar lumba yang kos sewa litarnya lebih murah daripada Litar Sepang, tetapi malangnya litar tersebut sudah pun dirobohkan dan tanahnya sudah pun dijual kepada penyangak hartanah.

Jadi siapa sebenarnya yang patut dipersalahkan atas berleluasanya gejala lumba haram mat rempit ini...?





Kalau anda gian hendak berlumba, sertailah perlumbaan sah dan bukannya merempit di atas jalan raya


Kesimpulannya, sekadar menghalalkan lumba haram mat rempit yang memang terang-terangan salah di sisi undang-undang bukanlah penyelesaian yang bijak, kerana ia ibarat seperti menepek logo halal pada botol arak. Anda tanya sajalah mana-mana pelumba negara mahupun bekas pelumba negara seperti Shahrol Yuzy, mereka rata-ratanya menolak cadangan dangkal Ku Nan itu kerana ramai di kalangan pelumba dan bekas pelumba negara yang berasal daripada pelumba haram dan mereka tahu betapa berbahayanya lumba haram. Kalau benar mat-mat rempit yang ada sekarang bercita-cita hendak menjadi pelumba motor, kenapa mereka tidak mahu mendengar cakap pelumba-pelumba motor profesional yang lebih dahulu makan garam daripada mereka...? Justeru, kepada mat-mat rempit di luar sana, kalau anda minat bermotosikal, salurkanlah minat anda ke jalan yang betul seperti menyertai konvoi amal mahupun kembara beramai-ramai. Kalau anda tetap mahu berlumba, cubalah "risik-risik" ibu pejabat Boon Siew Honda, Hong Leong Yamaha, Modenas ataupun Suzuki dan cuba dapatkan maklumat tentang prosedur yang perlu dilalui. Ataupun, kalau anda rasa susah sangat untuk ke sana, cuba-cubalah bertanya dengan pasukan YY Pang di Seksyen 25 Shah Alam ataupun pasukan Ah Hong Motor di Sentul - manalah tahu, daripada merempit di atas jalan raya yang berisiko untuk mati katak, anda sebenarnya sudah merintis jalan untuk menjadi pelumba motosikal tersohor setaraf Valentino Rossi dengan menjadikan penyertaan dalam cub prix sebagai batu loncatan anda.

Friday, March 4, 2016

Jalan Pulapol J43 (fka Jalan Bypass J43)



Nama baru bagi Jalan Bypass J43 atau Jalan Pintasan Jementah-Batu Anam J43 iaitu Jalan Pulapol J43
(Kredit gambar: Laman Facebook JKR Segamat)


Salam sejahtera,

Kita kini sudah memasuki bulan ketiga tahun 2016, tetapi nampaknya belum ada sebarang aktiviti reviu jalan raya daripada kami. Saya memohon maaf kerana masih belum memulakan sebarang reviu jalan raya berikutan kesibukan menyiapkan permainan simulasi pertama kami yang diberi nama Concession. Sebagai permulaan, saya menggeledah album-album terdahulu saya dan saya dapati ada satu koleksi gambar reviu jalan raya yang masih belum disiarkan lagi disebabkan saya langsung terlupa mengenainya. Justeru, saya ingin menggunakan koleksi gambar reviu yang belum diterbitkan ini sebagai pembuka reviu jalan raya tahun 2016. Jalan yang saya maksudkan itu ialah Jalan Pulapol J43, dahulunya dikenali sebagai Jalan Bypass J43 ataupun Jalan Pintasan Jementah-Batu Anam J43.

Untuk pengetahuan anda semua, saya memang sudah siap mencuba jalan tersebut pada Januari 2014 dan mengambil gambar untuk disiarkan sebagai reviu jalan raya, tetapi kekurangan bahan rujukan mengenai sejarah ringkas jalan ini mengakibatkan rancangan untuk menghasilkan reviu tersebut terbantut sehingga akhirnya saya terus terlupa bahawa saya sebenarnya memang pernah mengambil gambar di sepanjang laluannya, cuma tinggal hendak siarkan sahaja. Hanya setelah JKR Segamat mengumumkan penukaran nama Jalan Negeri Johor J43 ini sebagai Jalan Pulapol barulah saya teringat kembali untuk menyiarkan semula reviu ini.

Sebenarnya, sejarah Jalan Negeri Johor J43 ini sebenarnya ada kaitannya dengan sejarah Jalan Segamat-Muar FT23 kerana ia memang dibina serentak dengan pembinaan jalan FT23 pada tahun 1914. Jalan Bypass J43 ini dibina oleh pihak penjajah British untuk menghubungkan estet-estet getah dan kelapa sawit milik orang-orang putih di sekitar Batu Anam dengan bandar Muar. Dengan kata lain, jalan J43 ini merupakan antara sebilangan kecil Jalan Negeri Johor yang dibina semasa zaman penjajah British. Bezanya, ia siap lebih awal daripada jalan FT23, dan tahun siap inilah yang memeningkan kepala saya kerana sebelum ini saya memang pernah menjumpai sebuah atlas lama di Perpustakaan Negara yang memaparkan tahun siap bagi jajaran jalan raya utama di Malaysia, tetapi kini saya sukar memperoleh atlas tersebut. Saya amat berharap agar pihak Perpustakaan Negara dapat membantu saya agar kajian sejarah jalan raya dapat dilakukan dengan lebih tepat dengan adanya bahan-bahan rujukan yang sahih, tepat dan boleh dipercayai, yang mana bahan-bahan sebegitulah yang amat sukar untuk dicari. Kan saya dah kata, saya amat cerewet dari segi sumber rujukan, kerana saya mahu setiap maklumat penting mengenai sejarah jalan raya negara didokumentasikan dan diarkibkan untuk tatapan generasi akan datang. Seingat saya, menurut atlas tersebut, jalan J43 siap pada tahun 1935, lebih awal daripada jalan FT23 yang siap pada tahun 1939 - harap-harap betullah apa yang saya ingat itu.

Kenapa pula jalan J43 siap lebih awal daripada FT23...? Sebab utamanya sudah tentulah kerana jajaran terakhir Jalan Segamat-Muar FT23 sehingga ke bandar Segamat melibatkan pembinaan Jambatan Sungai Muar FT23, dan pembinaan jambatan itulah yang agak memakan masa. Selain itu, jalan J43 juga lebih pendek dan pembinaannya sekadar mengikut bentuk muka bumi dengan tarahan yang boleh dikatakan hampir tiada langsung.

Nama rasmi lama yang diberikan oleh JKR Segamat terhadap Jalan Negeri Johor J43 ialah Jalan Bypass J43. Ia susulan peranan utama jalan tersebut sebagai salah satu jalan raya yang memintas bandar Segamat untuk ke Gemas. Namun, pada awal tahun 2016, terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan rasional penggunaan nama Jalan Bypass J43 ini atas alasan kononnya nama tersebut berbaur penjajah. Susulan dengan itu, usul penukaran nama Jalan Bypass J43 ini dibawa dalam Mesyuarat JKTD anjuran JKR Segamat baru-baru ini, yang mana kesemua yang hadir sepakat untuk memilih nama Jalan Pulapol J43 sebagai nama baharu bagi Jalan Negeri Johor J43. Rasional bagi pemilihan nama ini adalah sempena pembukaan sebuah Pusat Latihan Polis (Pulapol) di jalan tersebut. Penukaran nama daripada Jalan Bypass J43 kepada Jalan Pulapol J43 berkuatkuasa 2 Mac 2016.

Jalan Pulapol J43 ini bermula dari Batu Anam dekat Masjid Syed Alwi, di mana ia bertemu dengan Jalan Persekutuan 1. Penamatnya pula terletak di bekas jajaran lama Jalan Segamat-Muar FT23 yang kini dijadikan sebagai jalan masuk ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jementah. Bekas jajaran lama FT23 itu juga sudah pun diturun taraf menjadi sebahagian Jalan Negeri Johor J43.

Sebenarnya, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat bukanlah satu-satunya institusi pengajian tinggi yang ada di sepanjang Jalan Pulapol J43 ini. Kolej Komuniti Segamat 2 juga terletak di jalan ini, iaitu di KM4 berhampiran Batu Anam. Selain itu, UiTM Kampus Jementah pula terletak di jajaran lama Jalan Segamat-Muar FT23 yang sudah dilucutkan pewartaannya sebagai Jalan Persekutuan dan diturun taraf kepada jalan negeri sebagai sambungan kepada Jalan Pulapol J43.

Memandangkan sebelum ini saya memang pernah menguji Jalan Tasek Alai J153, satu lagi jalan raya yang memintas bandar Segamat untuk ke utara dari Jalan Segamat-Muar FT23, maka sudah tentulah saya membandingkan antara Jalan Pulapol J43 ini dengan Jalan Tasek Alai J153. Antara kedua-dua jalan tersebut, saya lebih menyukai Jalan Tasek Alai J153 kerana ia lebih lurus dan mempunyai bahu jalan, membolehkan saya mengekalkan kelajuan 100 km/j sepanjang jalan. Jalan Pulapol J43 pula lebih berkelok-kelok - apa tidaknya, jalan tersebut dibina pada zaman penjajah British dengan mengikut bentuk muka bumi tanpa sebarang tarahan. Jalan Pulapol J43 juga tiada bahu jalan lembut jika dibandingkan dengan Jalan Tasek Alai J153 yang ada bahu jalan lembut. Justeru, kelajuan paling selamat ketika menyelusuri J43 ini ialah sekitar 70-80 km/j sahaja.

Kesimpulannya, pengguna dari Lebuhraya Segamat-Muar FT23 mempunyai dua pilihan untuk ke Jalan Segamat-Gemas FT1 dan Lebuhraya Tun Razak FT12 dan sebaliknya, sama ada melalui Jalan Tasek Alai J153 yang lebih lurus dan lebih selesa, ataupun menggunakan Jalan Pulapol J43 yang lebih berkelok-kelok. Jadi yang mana satukah laluan pilihan anda...? Tepuk dada, tanya selera.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Permulaan Jalan Pulapol J43 di Batu Anam - semasa gambar diambil, jalan ini masih bernama Jalan Bypass J43






Kolej Komuniti Segamat 2 di KM4 Jalan Pulapol J43






Pintu masuk utama ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat - nama Jalan Pulapol J43 dicadangkan sempena Pusat Latihan Polis ini






Papan tanda peringatan rizab jalan JKR






Kebanyakan jajaran Jalan Pulapol J43 ini berkelok-kelok






Tidak banyak lurusan yang ada di sepanjang Jalan Pulapol J43






Jalan Pulapol J43 tamat di jajaran lama FT23 yang kini dijadikan jalan masuk ke UiTM Jementah dan diturun taraf kepada Jalan Negeri Johor, juga menggunakan kod laluan J43