Monday, March 7, 2016

Apa Kejadahnya / What The Hell: We're Not So Furious




Salam sejahtera,

Entri kali ini adalah hasil daripada permintaan Saudara Zul Faizal yang amat marah akan rancangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk menganjurkan lumba haram mat rempit yang "dihalalkan" di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Rancangan tersebut sudah tentulah mendapat kecaman hebat di kalangan warga kota, dengan mendakwa Ku Nan hanya menjadikan gejala lumba haram mat rempit semakin parah.




Sekumpulan mat rempit membanjiri jalan raya Kuala Lumpur


Sebelum saya teruskan dengan cerita "lumba halal mat rempit" ini, ada baiknya saya perkenalkan dahulu serba-sedikit mengenai mat rempit ini. Istilah "mat rempit" diberikan kepada individu yang menyertai aktiviti lumba haram motosikal, yang mana boleh dikatakan majoritinya terdiri daripada remaja Melayu. Mereka bergerak secara berkumpulan, membuat bising di atas jalan raya dengan memainkan pendikit, serta menampilkan aksi-aksi lagak ngeri di atas motosikal seperti superman (meniarap di atas pelana dengan kaki diluruskan semasa motosikal sedang bergerak), wheelie (menaikkan roda belakang ketika motosikal sedang bergerak), wikang (wheelie belakang; menaikkan roda belakang ketika motosikal sedang bergerak), scorpion (berdiri di atas motosikal dengan sebelah kaki terjulur ke belakang semasa melakukan wheelie), dsb. Ada kalanya mereka tidak berlumba, tetapi sekadar merayau-rayau di sekitar bandar raya dan ada kalanya mereka membuat kacau, termasuklah mencuri motosikal dan merompak stesen minyak. Selain lumba haram dan aksi lagak ngeri berbahaya, mat rempit juga sering dikaitkan dengan gejala curi motosikal, pil khayal, bohsia, ragut, gengsterisme dan samun stesen minyak. Pada tahun 2007, akhbar tabloid Kosmo menganggarkan bahawa terdapat lebih 200,000 orang mat rempit di seluruh negara, cukup ramai untuk memuatkan sebuah bandar raya.




Mat-mat rempit Malaysia sering dibandingkan dengan kumpulan bosozoku Jepun


Sebenarnya, lumba haram motosikal memang sudah wujud sebelum dekad 90an lagi, tetapi pada masa itu pelumba-pelumba haram hanya sekadar berlumba sahaja dan tidak lebih daripada itu. Mereka tidak membuat kacau, tidak mencuri motosikal, tidak merompak stesen minyak dan tidak melawan polis sebagaimana kumpulan-kumpulan mat rempit sekarang. Sebab itulah kumpulan mat rempit Malaysia sering dibandingkan dengan kumpulan bosozoku (暴走族), iaitu kumpulan samseng motosikal di Jepun - bezanya, mat rempit Malaysia menunggang motor kapcai dan bukannya motosikal naked yang diubahsuai pelana, fairing dan hendalnya, tiada pakaian seragam dan tiada bendera rasmi kumpulan sebagaimana bosozoku Jepun, meskipun banyak kumpulan mat rempir Malaysia yang ada logo rasmi mereka sendiri.

Sekarang saya teruskan dengan rasional kenapa berlumba di atas jalan raya awam adalah salah di sisi undang-undang. Sebenarnya, rasional pengharaman aktiviti perlumbaan di atas jalan raya awam terhasil daripada sejarah sukan bermotor itu sendiri. Perlumbaan bermotor mula wujud selepas penciptaan pedati tanpa kuda dan basikal berenjin yang digerakkan oleh enjin wap dan seterusnya enjin petrol pada penghujung abad ke-19. Pada masa itu, perlumbaan kereta dan motosikal diadakan di atas jalan raya sama ada secara litar tertutup ataupun dari titik A ke titik B bagi menunjukkan kehebatan kejuruteraan kenderaan buatan mereka dari segi kelajuan mahupun ketahanan enjin. Namun, motosikal dan kereta yang dicipta semakin lama semakin laju, maka sudah tentulah risiko kemalangan maut juga semakin tinggi. Jalan raya awam dibina dengan darjah kawalan masuk separa sahaja, yang bermaksud pengguna jalan raya boleh memasuki bangunan dan premis hartanah ataupun sebaliknya dengan mudah melalui jalan-jalan perantara seperti jalan pengumpul dan jalan tempatan. Justeru, penonton perlumbaan jalan raya tiada sebarang perlindungan daripada dihentam kenderaan pelumba yang terbabas. Akibatnya, nahas jalan raya semasa perlumbaan Paris-Madrid pada tahun 1903 mengorbankan seorang pelumba, Marcel Renault (yang juga merupakan pengasas syarikat kereta Renault) serta 8 orang yang lain, mengakibatkan kerajaan Perancis mengharamkan terus sebarang bentuk perlumbaan di atas jalan raya awam.




Penonton menonton perlumbaan Isle of Man TT dari celah-celah semak di tepi jalan raya - bagaimana kalau pelumba ini tiba-tiba terbabas ke arah mereka...?




Namun, perlumbaan jalan raya yang paling banyak meragut nyawa ialah perlumbaan motosikal Isle of Man TT yang diadakan di Isle of Man, United Kingdom. Setiap tahun boleh dikatakan ada sahaja orang yang mati semasa perlumbaan Isle of Man TT, sama ada pelumba, penonton ataupun pegawai perlumbaan. Musim 2011 sahaja telah meragut 6 nyawa manakala musim 2014 pula 5 orang lagi terkorban. Setakat tahun 2015, sudah 248 orang pelumba mati sejak perlumbaan Isle of Man TT mula dianjurkan. Kenapa ada sahaja orang yang mati di situ...? Sudah tentulah kerana perlumbaan diadakan di atas jalan raya awam - para perlumba berlumba pada kelajuan maksimum di atas jalan raya dua lorong yang sempit, mempunyai banyak selekoh tajam, tidak berpagar dan hanya mengharapkan pengadang keluli sahaja sebagai perlindungan di selekoh. Bayangkan bagaimana rasanya menunggang selaju lebih 270 km/j di atas jalan raya dua lorong yang sempit dan berselekoh tajam - mana tidaknya Isle of Man TT ini banyak meragut nyawa...?




Nahas maut tetap berlaku di litar lumba halal walaupun dengan ciri keselamatan tertinggi, dibuktikan melalui nahas yang meragut nyawa Marco Simoncelli pada tahun 2011


Disebabkan sebegitu banyak nahas maut yang berpunca daripada aktiviti perlumbaan di jalan raya awam biasa, maka kebanyakan pihak sudah pun mengharamkan perlumbaan di atas jalan raya awam dan mewajibkan agar sukan bermotor hanya diadakan di litar tertutup khas sahaja. Kenapa lumba motor mesti diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, Litar Antarabangsa Sentul ataupun Litar Johor Pasir Gudang dan bukannya Litar Simpang Jalan, Litar Jalan Sentul mahupun Litar Lebuhraya Pasir Gudang FT17...? Pertama, litar lumba tertutup seperti Litar Antarabangsa Sepang dikenakan darjah kawalan masuk yang paling tinggi, malah lebih tinggi daripada lebuh raya ekspres. Jika lebuh raya ekspres sekadar dipagar menggunakan pagar kawat besi sahaja, litar lumba pula dipagar sebegitu tinggi, dan tembok yang sebegitu tebal dan tinggi juga didirikan bagi menghalang kenderaan pelumba daripada melanggar penonton di tempat duduk utama. Tidak cukup dengan pengadang rel keluli ataupun tembok konkrit, tayar-tayar buruk juga turut ditempatkan bagi menyerap sebahagian besar daya impak pelanggaran. Bahagian tepi litar di selekoh pula terdiri daripada pasir tebal yang fungsinya sama seperti tanjakan kecemasan lori yang berfungsi memerangkap kenderaan yang hilang kawalan dan terbabas di selekoh. Pun begitu, kematian tetapi berlaku di litar lumba halal yang dikenakan darjah kawalan masuk paling ekstrim dan dilengkapi ciri keselamatan tertinggi, antaranya termasuklah nahas maut yang mengorbankan seorang pelumba MotoGP, Marco Simoncelli di Litar Sepang pada tahun 2011.

Sekarang sudah tahu betapa berbahayanya sukan bermotor termasuklah lumba motosikal bukan...? Kalau di litar lumba halal yang dilengkapi ciri keselamatan pun pelumba boleh mati, inikan pula kalau berlumba haram di atas jalan raya awam. Sebab itulah syarikat-syarikat insurans tidak akan membayar sebarang pampasan insurans sekiranya kenderaan yang diinsuranskan terlibat dalam kemalangan jalan raya disebabkan aktiviti perlumbaan - dengan kata lain, pelumba haram termasuklah mat-mat rempit sudah tentulah sekadar mati katak sahaja sekiranya mereka terkorban di atas jalan yang lurus. Sementara itu pula, pelumba halal pula memang diwajibkan untuk membeli polisi insurans khas, dan mereka juga disyaratkan agar kenderaan yang digunakan untuk berlumba tidak boleh digunakan di atas jalan raya. Habis tu macam mana nak mengangkut kenderaan tersebut untuk dibawa pulang...? Kereta atau motosikal yang digunakan untuk berlumba di litar halal hanya boleh diangkut menggunakan lori treler pengangkut rendah kerana kenderaan yang digunakan untuk berlumba tidak boleh dilesenkan untuk digunakan di atas jalan raya.

Jadi apa kejadahnya Ku Nan mahu menghalalkan lumba haram mat rempit diadakan di jalan raya KL...? Apakah kepala Ku Nan sudah masuk air...? Antara alasan-alasan dangkal yang digunakan oleh Ku Nan untuk menjustifikasikan rasional menghalalkan lumba haram mat rempit termasuklah "memberi ruang untuk mereka berhibur". Kalau setakat itu sahaja alasan yang diberikan, maka sudah tentulah alasan tersebut sangat dangkal dan sangat semberono, seolah-olah mat-mat rempit ini hanya tahu berlumba haram sahaja tanpa ada inisiatif mahupun pendekatan untuk menyalurkan minat terhadap motosikal kepada sesuatu yang bersifat positif seperti mengembara beramai-ramai ataupun mengadakan konvoi amal ke rumah-rumah anak yatim mahupun kawasan yang dilanda bencana alam. Kalau Ku Nan menggunakan alasan "membanteras judi haram", itu juga alasan bebal lagi dangkal. Kaki judi tegar tidak memerlukan kasino, kedai nombor ekor, mesin judi kuda mahupun lokasi lumba haram mat rempit untuk berjudi, di rumah sendiri pun boleh. Alasan "litar lumba halal tidak mendapat sambutan" juga alasan bebal, dangkal lagi mengarut. Memandangkan majoriti mat rempit terdiri daripada penganggur ataupun golongan berpendapatan rendah, siapa sanggup hendak menunggang sejauh lebih 45-50 km ke selatan dan membayar sewa litar yang lebih mahal daripada gaji mat despatch...? Dari situlah pentingnya membina litar lumba kos rendah bagi jenis-jenis sukan bermotor yang murah seperti perlumbaan cub prix. Bina litar yang saiznya seperti litar cub prix dan kenakan sewa yang murah kepada pengguna. Sebagai tambahan bagi membolehkan sewa litar yang murah dapat diberikan, pihak pengurusan boleh juga mengadakan perkhidmatan sewa sut perlumbaan dan juga menyewakan ruang niaga kepada pengusaha bengkel motosikal dan pengusaha makanan. Sebelum ini memang Lembah Klang pernah ada litar lumba yang kos sewa litarnya lebih murah daripada Litar Sepang, tetapi malangnya litar tersebut sudah pun dirobohkan dan tanahnya sudah pun dijual kepada penyangak hartanah.

Jadi siapa sebenarnya yang patut dipersalahkan atas berleluasanya gejala lumba haram mat rempit ini...?





Kalau anda gian hendak berlumba, sertailah perlumbaan sah dan bukannya merempit di atas jalan raya


Kesimpulannya, sekadar menghalalkan lumba haram mat rempit yang memang terang-terangan salah di sisi undang-undang bukanlah penyelesaian yang bijak, kerana ia ibarat seperti menepek logo halal pada botol arak. Anda tanya sajalah mana-mana pelumba negara mahupun bekas pelumba negara seperti Shahrol Yuzy, mereka rata-ratanya menolak cadangan dangkal Ku Nan itu kerana ramai di kalangan pelumba dan bekas pelumba negara yang berasal daripada pelumba haram dan mereka tahu betapa berbahayanya lumba haram. Kalau benar mat-mat rempit yang ada sekarang bercita-cita hendak menjadi pelumba motor, kenapa mereka tidak mahu mendengar cakap pelumba-pelumba motor profesional yang lebih dahulu makan garam daripada mereka...? Justeru, kepada mat-mat rempit di luar sana, kalau anda minat bermotosikal, salurkanlah minat anda ke jalan yang betul seperti menyertai konvoi amal mahupun kembara beramai-ramai. Kalau anda tetap mahu berlumba, cubalah "risik-risik" ibu pejabat Boon Siew Honda, Hong Leong Yamaha, Modenas ataupun Suzuki dan cuba dapatkan maklumat tentang prosedur yang perlu dilalui. Ataupun, kalau anda rasa susah sangat untuk ke sana, cuba-cubalah bertanya dengan pasukan YY Pang di Seksyen 25 Shah Alam ataupun pasukan Ah Hong Motor di Sentul - manalah tahu, daripada merempit di atas jalan raya yang berisiko untuk mati katak, anda sebenarnya sudah merintis jalan untuk menjadi pelumba motosikal tersohor setaraf Valentino Rossi dengan menjadikan penyertaan dalam cub prix sebagai batu loncatan anda.

No comments:

Post a Comment

Advertisement