Tuesday, January 23, 2018

Pemisah lorong basikal maut di Jalan Raja Laut & Jalan Sultan Ismail / Lethal bicycle lane separators along Jalan Raja Laut & Jalan Sultan Ismail



Lorong-lorong basikal di sebelah kiri dan kanan Jalan Raja Laut yang dibina dengan mengorbankan lorong bas di situ


Salam sejahtera,

Semalam (22 Januari 2018) kecoh mengenai insiden motosikal terjatuh akibat cat biru lorong basikal yang licin di Persimpangan Maju Junction di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Insiden tersebut yang tular di media sosial mengundang kemarahan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal. Turut menambah parah keadaan ialah kewujudan pemisah-pemisah kecil di sepanjang lorong basikal tersebut yang boleh menyebabkan penunggang motosikal hilang kawalan jika terlanggar pemisah kecil tersebut. Akibatnya, timbul desakan daripada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal agar pemisah kecil tersebut dicabut balik.

Insiden di Persimpangan Maju Junction tersebut turut menarik perhatian pengasas Ikatan Silaturrahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi (Lando) untuk turun berjumpa dengan pihak pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Hasil pertemuan tersebut membawa kepada arahan penanggalan semula pemisah-pemisah kecil tersebut berkuatkuasa serta-merta.

Sejauh mana berbahayanya cat biru dan pemisah kecil di sepanjang lorong basikal DBKL itu...? Saya turun ke pusat bandar raya pada waktu malam sekitar pukul 10.00 malam hari yang sama. Saya sepatutnya datang sendiri pada sebelah siangnya tatkala isu lorong basikal tersebut sedang hangat diperkatakan, tetapi saya tidak berpeluang berbuat demikian kerana sedang sibuk bekerja.

Sebaik tiba di pusat bandar raya, saya memasuki Jalan Raja Laut melalui Bulatan Dato Onn. Lorong-lorong basikal di sebelah kiri dan kanan bersaiz separuh lorong biasa yang dibina oleh DBKL itu mengorbankan lorong bas yang asalnya terletak di sebelah kiri sebelum tiga lorong lain dianjak semula. Namun, pembinaan lorong-lorong basikal tersebut di Jalan Sultan Ismail itu pula menjadikan jalan tersebut lebih sempit daripada sepatutnya - masih lagi 3 lorong sehala, tetapi lebar setiap lorong menjadi lebih sempit daripada lebar asal.




Cat biru di Persimpangan Maju Junction itu memang licin habis - patutlah motor boleh terbabas!


Seterusnya, kita pergi kepada dua komponen maut utama di lorong basikal tersebut. Komponen maut pertama ialah cat biru yang digunakan untuk menanda lorong basikal tersebut. Ramai pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal mendakwa bahawa cat tersebut sangat licin terutamanya ketika hujan, mengakibatkan motosikal boleh hilang kawalan. Penelitian saya sendiri membuktikan bahawa dakwaan tersebut nyata benar, terutamanya di lokasi kemalangan di Persimpangan Maju Junction. Saya mendapati kualiti cat yang digunakan itu tidak konsisten - di stesen LRT Bandaraya, cat biru tersebut nampak kesat seperti cat bercampur pasir, tetapi di Persimpangan Maju Junction pula ia kelihatan seperti cat kosong sahaja tanpa sebarang bahan yang membantu cengkaman tayar. Patutlah penunggang motosikal malang yang tular itu tidak-fasal-fasal kemalangan. Semasa hujan, cat biru tersebut menjadi bertambah licin. Jenis cat sama digunakan untuk menandakan zon keutamaan motosikal di persimpangan-persimpangan utama di pusat bandar raya dan komplen serupa pernah dikemukakan, tetapi tidak ramai yang ambil pusing kerana zon keutamaan motosikal dicat di kawasan yang sepatutnya motosikal sudah dinyahpecut sepenuhnya, iaitu di hadapan garisan berhenti kereta.




Pemisah "kayu beroti" getah setebal 50 mm ini memang melindungi penunggang basikal, tetapi mengancam nyawa penunggang motosikal pula


Komponen maut kedua ialah pemisah yang digunakan di sepanjang lorong-lorong basikal tersebut. Pemisah-pemisah setebal 50 mm tersebut yang diperbuat daripada getah dipasang bertujuan bukan sahaja bagi mengasingkan lorong-lorong basikal daripada lorong-lorong trafik lain, tetapi juga sebagai penanda mekanikal kepada pengguna jalan raya yang lain sekiranya termasuk ke lorong basikal. Ia mungkin tidak berbahaya kepada kenderaan beroda empat, tetapi lain pula ceritanya dengan penunggang motosikal. Ia kelihatan seperti kayu beroti besar yang disusun di sepanjang garis pemisah lorong basikal.

Bagaimana pula pemisah getah tersebut boleh menyebabkan kemalangan...? Ok, pernahkah anda bayangkan bagaimana rasanya jika anda terlanggar kayu-kayu beroti yang terjatuh daripada lori kayu ketika menunggang motosikal...? Sudah tentu akan hilang kawalan bukan...? Begitulah rasanya sekiranya anda menunggang motosikal dan terlanggar pemisah tersebut. Atas sebab keselamatan diri (dan poket) sendiri, maka saya memutuskan untuk tidak bereksperimen dengan "getah-getah beroti maut" itu.

Habis sudah cerita mengenai lorong-lorong basikal maut tersebut, kini tibalah masanya untuk kita belajar subjek Sejarah untuk mengetahui angkara siapakah yang membawa kepada rekaan lorong basikal yang membahayakan penunggang motosikal itu. Pada Oktober 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengumumkan pembinaan sepasang lorong basikal sejauh 3 km yang menghubungkan antara Menara DBKL 1 di Jalan Raja Laut dengan Menara DBKL 3 di Jalan Raja Abdullah melalui Jalan Sultan Ismail. Pembinaan lorong basikal tersebut adalah bersempena dengan penganjuran World Urban Forum ke-9 di Kuala Lumpur pada 7 Februari 2018 sebagai usaha bagi menunjukkan bahawa Kuala Lumpur "merupakan sebuah bandar raya mesra penunggang basikal". Projek lorong basikal tersebut memakan belanja antara RM3 juta hingga RM4 juta.

Malangnya, projek lorong basikal tersebut tidak lebih daripada projek lipas kudung tanpa perancangan rapi lagi teliti. Apa tidaknya, lorong-lorong basikal tersebut tidak konsisten pembinaannya - mula-mula ia dibina di bahagian tepi Jalan Raja Laut, kemudian lorong sebelah kanan melalui laluan pejalan kaki sebelum kembali ke bahagian tepi jalan raya. Di Persimpangan Maju Junction, lorong basikal melintasi tanjakan kiri ke Jalan Tuanku Abdul Rahman secara berbahaya. Di Jalan Sultan Ismail, pembinaan lorong-lorong basikal itu menyempitkan jalan sedia ada meskipun masih lagi 3 lorong sehala, dan di Jalan Raja Abdullah pula lorong-lorong basikal kembali menggunakan laluan pejalan kaki.

Niat menggunakan pemisah "kayu beroti" getah bagi mengasingkan lorong basikal daripada lorong trafik biasa memang baik bagi menjamin keselamatan penunggang basikal, tetapi ia berupaya meragut nyawa penunggang motosikal. Saya mahu persoalkan, pernahkah DBKL mengkaji kesan baik buruk penggunaan pemisah "kayu beroti" getah itu sebelum hendak menggunakannya...? Nah, hendak cabut balik pemisah-pemisah musibat itu pun memerlukan wang juga, jadi penggunaan pemisah getah itu sekadar satu pembaziran yang merugikan semata-mata. DBKL sepatutnya sedar, pada waktu gegas selalunya penunggang motosikal sememangnya akan cenderung mencelah untuk melepaskan diri daripada kesesakan, yang bermaksud kemungkinan besar mereka akan memasuki lorong-lorong basikal tersebut. Justeru, jenis penanda mekanikal yang lebih sesuai untuk kes sebegini ialah pepaku jalan (road stud) ataupun pemantul jalan.

Susulan daripada kekecohan di media sosial berikutan berita kemalangan motosikal yang tular akibat penggunaan cat biru dan pemisah getah yang mengancam keselamatan penunggang motosikal, DBKL sepatutnya mengambil iktibar daripada kes tersebut. Tiada gunanya hendak menunjuk-nunjuk kepada negara lain kononnya Malaysia "negara mesra penunggang basikal" tetapi infrastruktur yang dibangunkan itu mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain pula. DBKL seharusnya sedar bahawa Kuala Lumpur akan tetap menjadi Kuala Lumpur dan tidak akan sekali-kali menjadi seperti Tokyo yang memang ramai penunggang basikal. Tidak salah membina infrastruktur khas untuk penunggang basikal, tetapi janganlah sampai mengganggu kelancaran trafik sedia ada. Paling penting, janganlah sampai infrastruktur yang dibina itu mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain pula.

Advertisement