Friday, July 28, 2017

Pengumuman: Siri jelajah FTRoadpedia Zon Utara / Announcement: FTRoadpedia Northern Zone tour series




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana siri entri FTRoadpedia Zon Selatan tertangguh lagi disebabkan kesibukan kerja. Kali ini saya ingin menyampaikan satu pengumuman rasmi mengenai edisi keempat FRoadpedia anjuran Kementerian Kerja Raya Malaysia yang akan menyelusuri negeri-negeri di sebelah utara.

Edisi keempat kali ini akan diadakan pada 29 hingga 31 Julai 2017. Jika edisi ketiga di selatan tanah air menggunakan tema "Menjejak Warisan Kilometer Sifar", edisi Zon Utara kali ini pula akan menyelusuri pintu masuk utama Malaysia dari Thailand di Padang Besar serta menyelusuri jajaran terawal Jalan Persekutuan 1 dari Alor Setar ke Bukit Kayu Hitam.

Laluan yang akan kami gunakan kali ini adalah seperti berikut:-
  1. Jalan Kuala Lumpur-Ipoh FT1
  2. Jalan Sultan Azlan Shah FT1 (aka Jalan Tasek FT1)
  3. Jalan Ipoh-Kuala Kangsar FT1
  4. Jalan Kuala Kangsar-Taiping FT1
  5. Jalan Taiping-Butterworth FT1
  6. Jalan Bukit Tambun-Batu Kawan FT149
  7. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28
  8. Jalan Rentas Pulau Pinang FT6
  9. Jambatan Pulau Pinang E36
  10. Jalan Butterworth-Alor Setar FT1
  11. Jalan Alor Setar-Kangar-Padang Besar FT7
  12. Jalan Ulu Pauh-Chuping-Padang Besar FT79
  13. Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis FT194
  14. Lebuhraya Utara-Selatan E1
    • Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1




Hari pertama (bahagian 1)
- Jalan Kuala Lumpur-Ipoh FT1  Jalan Sultan Azlan Shah FT1




Hari pertama (bahagian 2)
- Jalan Ipoh-Kuala Kangsar FT1, Jalan Kuala Kangsar-Taiping FT1, Jalan Taiping-Butterworth FT1, Jalan Bukit Tambun-Batu Kawan FT149, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28 & Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu FT3113




Hari kedua (bahagian 1)
- Jalan Persekutuan 6, Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu FT3113, Jambatan Pulau Pinang E36, Jalan Perusahaan Perai FT3112, Jalan Chain Ferry FT1 & Jalan Butterworth-Alor Setar FT1




Hari kedua (bahagian 2)
- Jalan Butterworth-Alor Setar FT1 & Jalan Alor Setar-Kangar FT7




Hari ketiga - Jalan Kangar-Padang Besar FT1, Jalan Ulu Pauh-Chuping-Padang Besar FT79, Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis FT194 & Lebuhraya Utara-Selatan E1

Jalan Persekutuan yang turut sama diiklankan tetapi tidak akan saya sertakan adalah seperti berikut:-
  1. Jalan Kuala Perlis FT81 - salah kod laluan, tidak mahu insiden seperti FT52 semasa FTRoadpedia Zon Selatan berulang
  2. Jalan Felda Chuping FT1002 - salah kod laluan
  3. Persiaran Wawasan FT262 - terlalu pendek & tidak berbaloi

Secara amnya, senarai jalan raya yang bakal kami gunakan tidaklah sebanyak FTRoadpedia Zon Selatan, tetapi ia merupakan yang terpanjang berbanding mana-mana siri jelajah sebelum ini.

Siri jelajah FTRoadpedia Zon Utara ini bakal mencatatkan beberapa sejarah tersendiri. Antaranya, edisi keempat FTRoadpedia ini bakal mencatatkan kejayaan Blog Jalan Raya Malaysia melengkapkan keseluruhan jajaran Jalan Persekutuan 1 dan lebuh raya ekspres capaian terkawal terpanjang di Malaysia iaitu Lebuhraya Utara-Selatan E1 sepanjang 460 km. Dengan lengkapnya reviu Jalan Persekutuan 1 dan seterusnya Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, maka saya sudah boleh memulakan kerja-kerja penulisan buku mengenai jalan raya Malaysia. Bagaimana agaknya gaya penulisan buku itu nanti...? Anda kena tunggu sehingga saya selesai menyempurnakan reviu Lebuhraya Utara-Selatan E2 selepas siri entri FTRoadpedia Zon Utara berakhir.

Reviu Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 akan menyusul selepas entri ini.

Thursday, July 13, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan Part 5: Mi Racun yang tidak beracun di Jalan Muar-Batu Pahat FT5 / The non-poisonous Mee Racun at Muar-Batu Pahat Road FT5




Salam sejahtera,

Rombongan FTRoadpedia meneruskan perjalanan ke Batu Pahat untuk ke destinasi berikutnya iaitu di tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5, di mana majlis taklimat mengenai projek tersebut dijadualkan berlangsung pada waktu tengah hari. Selain itu, kami dijamu dengan Mi Racun yang terkenal di Batu Pahat. Namun, sebelum saya bawa anda untuk menikmati Mi Racun Batu Pahat, kita nikmati dahulu reviu Jalan Muar-Batu Pahat FT5.

Kami memasuki Jalan Muar-Batu Pahat FT5 melalui Exit 11 Persimpangan Jalan Abdul Rahman yang merupakan penamat bagi Jalan Pintasan Muar FT224. Sebenarnya, permulaan bagi Jalan Muar-Batu Pahat FT5 memang terletak di bandar Muar sendiri iaitu melalui tiga bulatan (Bulatan Bentayan, Bulatan Sulaiman dan Bulatan Khalidi) sebelum FT5 dilencongkan ke Jalan Abdul Rahman FT5. Jika anda terlepas entri mengenainya, anda masih boleh membaca entri tersebut di sini.

Apa yang ironinya di sini ialah hanya Jalan Abdul Rahman FT5 sahaja yang "diiklankan" sebagai laluan dari Muar ke Batu Pahat, sedangkan Jalan Temenggong Ahmad J31 juga boleh membawa anda ke Batu Pahat - lebih ironik lagi, J31 memang berterusan sebagai Jalan Muar-Batu Pahat FT5 di Parit Jawa. Jika anda datang dari arah Batu Pahat sekalipun, papan tanda di simpang empat Parit Jawa menunjukkan arah ke kiri untuk ke Muar dan bukannya jalan terus. Kenapa boleh jadi begitu...? Jawapannya terletak pada reka bentuk kedua-dua jalan tersebut. Jika dibandingkan, meskipun kedua-dua Jalan Abdul Rahman FT5 dan Jalan Temenggong Ahmad J31 merupakan jalan dua lorong, reka bentuk kedua-dua jalan tersebut sebenarnya berbeza. Jalan Temenggong Ahmad J31 lebih sempit, mempunyai lebar lorong 3 meter dengan had laju reka bentuk serendah 70 km/j sahaja (JKR R3). Sebab itulah Jalan Temenggong Ahmad J31 diklasifikasikan sebagai jalan raya sekunder, diwartakan sebagai Jalan Negeri Johor dan dikenakan had laju 60 km/j di sepanjang laluannya. Jika dibandingkan, Jalan Abdul Rahman FT5 merupakan sebuah jalan super two yang tentunya lebih lebar dengan lebar lorong 3.5 m dan mempunyai had laju reka bentuk 100 km/j (JKR R5) bagi membolehkan had laju kebangsaan 90 km/j dikenakan. Sebab itulah Jalan Abdul Rahman FT5 menduduki hirarki lebih tinggi sebagai jalan raya utama dan diwartakan sebagai Jalan Persekutuan. Bagus juga ada dua batang jalan raya selari dari Muar ke Parit Jawa, sekurang-kurangnya jika salah satu jalan sesak, boleh cabut lari ke jalan yang satu lagi.

Trivia mengenai Jalan Muar-Batu Pahat FT5 tidak terhenti setakat di situ sahaja. Jalan Abdul Rahman FT5 mula dibina pada tahun 1916 atas titah perintah Sultan Johor pada ketika itu, Sultan Sir Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar susulan masalah penyelenggaraan sistem Keretapi Kerajaan Muar (Muar State Railway) yang berdepan dengan pelbagai masalah seperti tanah mendap, jambatan uzur, dsb. sehinggakan perkhidmatan kereta api yang asalnya sentiasa menguntungkan sejak 1890 mula mengalami kerugian sejak tahun 1916 sehingga memaksa perkhidmatan kereta api ditamatkan pada tahun 1918 setelah Jalan Abdul Rahman FT5 siap. Selepas perkhidmatan Keretapi Kerajaan Muar dihentikan, landasan lama sudah dicabut dan bekas laluan landasan kereta api tersebut dari Parit Jawa ke Seri Menanti dijadikan sebagai laluan perintis bagi jajaran Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dari Parit Jawa, manakala Jalan Temenggong Ahmad J31 didirikan di atas bekas laluan landasan Keretapi Kerajaan Muar dari Parit Jawa sehingga ke Bandar Maharani Muar. Sebab itulah Jalan Temenggong Ahmad J31 dan seterusnya jajaran Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dari Parit Jawa sehingga ke Seri Menanti sangat lurus tanpa sebarang selekoh. Hendak tahu lebih banyak sejarah mengenai Keretapi Kerajaan Muar, saya akan ceritakan lebih lanjut dalam reviu Jalan Temenggong Ahmad J31 nanti, insya-Allah.

Kelas sejarah sudah tamat, jom kita kembali semula kepada reviu Jalan Muar-Batu Pahat FT5.

Seperti Jalan Melaka-Muar FT5, pemandangan di sepanjang koridor Jalan Muar-Batu Pahat FT5 masih didominasi panorama kampung dan rumah-rumah penduduk, cuma bezanya ialah had laju di sepanjang Jalan Muar-Batu Pahat FT5 silih berganti antara had laju perbandaran 60 km/j dengan had laju kebangsaan 90 km/j. Dengan kata lain, meskipun koridor Muar-Batu Pahat masih lagi dalam zon penduduk padat, namun kepadatan penduduk sudah mula berkurangan sedikit, dibuktikan dengan kewujudan kebun-kebun kecil termasuklah kelapa sawit. Sementara itu, jajaran Jalan Abdul Rahman FT5 mempunyai kadar trafik motosikal yang tinggi, jadi sepasang lorong motosikal turut disediakan di kiri dan kanan jalan tersebut.

Di Jalan Abdul Rahman FT5, terdapat banyak perhentian bas yang direka dengan reka bentuk beca yang pernah menjadi ikon sistem pengangkutan awam di Muar, samalah seperti di Melaka. Malangnya, nasib pengusaha beca di Muar tidaklah sebaik pengusaha beca di Melaka yang masih mampu hidup senang-lenang dengan hanya mengayuh beca. Jika di Melaka beca menjadi salah satu produk pelancongan di sana, beca di Muar pula boleh dikatakan hampir pupus dan amat jarang ditemui. Ia sangat berbeza berbanding pada tahun 1970-1980an di mana beca masih lagi popular di Muar. Malah, semasa zaman persekolahan saya pada dekad 1990an sekalipun, masih terdapat banyak beca di Muar. Namun kini, beca sudah hampir pupus di bumi Bandar Maharani Muar, dengan bilangan pengayuh aktif sekitar 10 orang sahaja.

Apa yang membawa kepada kepupusan beca di Bandar Maharani...? Ia kombinasi pelbagai faktor, antaranya termasuklah keadaan sosio-ekonomi di mana rata-rata masyarakat kini menggunakan kenderaan sendiri sekurang-kurangnya motosikal, keadaan beca yang tua dan uzur, usia pengusaha beca yang juga semakin uzur serta tiada minat di kalangan generasi pelapis untuk mengayuh beca. Jika dibandingkan, beca di Melaka dipenuhi hiasan yang cantik-cantik belaka termasuklah lampu berhias, malah ada pengusaha yang memasang radio kereta sehingga ke tahap seperti "kereta Ah Beng". Kalau sudah beca pun sudah menjadi seperti kereta Ah Beng, maka sudah tentulah ramai anak muda yang menjadi pengusaha beca di Melaka. Di samping itu, kerajaan negeri Melaka banyak mempromosikan beca bukan sekadar sebagai pengangkutan awam, tetapi sebagai produk pelancongan utama. Sebab itulah pengusaha beca Melaka bukan sahaja mampu mencari makan, tetapi boleh jadi kaya-raya dengan sekadar mengayuh beca sahaja. Malangnya, inisiatif sama tidak pula dicontohi di Muar, sedangkan potensi untuk menjadikan beca sebagai produk pelancongan Muar sebenarnya memang ada.

Jadi bagaimana hendak mengembalikan zaman kegemilangan beca di Muar...? Ada banyak idea yang boleh diguna pakai. Antaranya termasuklah membawa masuk beca berenjin NGV bagi mengatasi masalah usia pengusaha yang tua dan uzur. Untuk menjadikan beca berenjin tersebut lebih mampu milik, saya cadangkan Modenas untuk mengatur perjanjian pelesenan dengan Bajaj Auto bagi mengeluarkan beca berenjin tersebut. Pengusaha seharusnya diberi galakan untuk menghias beca (berenjin) mereka agar menjadi lebih ceria dan menggamit minat pelancong untuk mencubanya. Seterusnya, Majlis Perbandaran Muar perlu mengaturkan laluan khas untuk beca termasuklah laluan riadah (leisure route), terutamanya dari Tanjung Emas ke Perhentian Bas Bandar Maharani dan Perhentian Bas Ekspres Bentayan. Paling penting ialah penglibatan daripada kerajaan negeri Johor sendiri, termasuklah penjenamaan semula beca Muar di bawah jenama Beca Muafakat Muar Johor sebagai produk pelancongan utama di Muar.

Kita tinggalkan dahulu kisah sedih yang menimpa industri beca di Muar. Berbalik semula ke Jalan Abdul Rahman FT5, terdapat satu lagi mercu tanda menarik yang kini menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Muar. Mercu tanda yang saya maksudkan itu ialah kilang elektrik May Quality Industries Sdn. Bhd. yang berpangkalan betul-betul di tepi Jalan Abdul Rahman FT5 dekat Parit Kassim. Ia mengeluarkan peralatan elektrik berupa komponen pendawaian seperti suis dan soket, kipas dan perkakas elektrik seperti periuk nasi elektrik dengan menggunakan jenama Selamat dan Mind. Jika dibandingkan dengan beberapa lagi jenama elektrik tempatan seperti Khind dan Pensonic, usia May Quality Industries sangat muda, ditubuhkan pada tahun 1999. Namun, May Quality Industries ternyata sangat berjaya kerana sudah berupaya mengeksport produk keluaran mereka ke luar negara.

Semasa menghampiri Parit Jawa, Jalan Abdul Rahman FT5 dilencongkan ke kiri iaitu ke Jalan Jabbar FT5; belok kanan di simpang tersebut akan membawa anda ke Pantai Leka. Justeru, anda tidak seharusnya terleka di simpang tersebut kerana selekohnya setajam 90 darjah. Akhirnya di simpang empat Parit Jawa, jalan FT5 dilencongkan ke kanan, iaitu di laluan yang asalnya merupakan Jalan Negeri Johor J31 dari Bulatan Sulaiman di Bandar Maharani sehingga ke Parit Jawa. Jika anda jalan terus di simpang ini, Jalan Jabbar FT5 bertukar kepada Jalan Mahmood J131 yang membawa anda ke Bukit Mor dan Bakri.

Kita teruskan perjalanan ke Batu Pahat dari Parit Jawa. Jajaran dari Parit Jawa sehingga ke Seri Menanti sangat lurus, berkongsi perangai sama seperti Jalan Temenggong Ahmad J31. Jika dibandingkan dengan Jalan Abdul Rahman FT5, Jalan Abdul Ramhan FT5 tidaklah betul-betul lurus dan ada berkelok sedikit, cuma selekoh di sepanjang jalan tersebut tidaklah tajam kecuali selekoh terakhir setajam 90 darjah di simpang Pantai Leka. Seperti yang saya ceritakan tadi, jajaran Parit Jawa-Seri Menanti sangat lurus kerana ia dibina di atas bekas laluan landasan Keretapi Kerajaan Muar.

Sebaik tiba di selekoh pertama dari Parit Jawa, ia menandakan kami sudah pun tiba di Seri Menanti yang merupakan penamat asal laluan Keretapi Kerajaan Muar. Sebab itulah apabila jalan ini disambung ke Batu Pahat, ia bermula sebagai selekoh berjejari besar. Juga, kewujudan kampung bernama Seri Menanti di daerah Muar, Johor ini jelas membuktikan bahawa Negeri Sembilan bukanlah satu-satunya negeri yang mempunyai tempat bernama Seri Menanti, yang dijadikan bandar diraja Negeri Sembilan dan menempatkan istana rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Jadi, sudah tentulah perbezaan utama Seri Menanti Muar dengan Seri Menanti Negeri Sembilan terletak pada kewujudan istana diraja - tiada istana seumpamanya di Seri Menanti Muar. Oh, secara kebetulan, Seri Menanti merupakan kampung kelahiran ayah saya sebelum keluarga arwah datuk saya berpindah ke Bukit Mor dan seterusnya Felda Chemplak, Labis.

Seperti yang anda semua sedia maklum, daerah Muar dan Batu Pahat sangat terkenal kerana mempunyai banyak parit yang dijadikan sebagai nama kampung dan pekan. Keadaan ini berlaku kerana pada zaman dahulu masyarakat Jawa yang banyak mendiami sekitar daerah Muar dan Batu Pahat menggali banyak parit bagi tujuan saliran serta bagi mengalirkan keluar air banjir. Ia kerana kawasan ini rata-ratanya terletak di kawasan tanah rendah yang tentunya mudah banjir ketika musim tengkujuh. Bezanya, nama-nama parit dalam daerah Muar menggunakan nama Melayu (contoh: Parit Kassim, Parit Jamil dan Parit Yusof) manakala nama-nama parit di daerah Batu Pahat pula menggunakan nama Jawa (contoh: Parit Sonto).

Parit Yusof merupakan pekan terakhir dalam daerah Muar melalui Jalan Muar-Batu Pahat ini. Ia menempatkan Jalan Parit Yusof FT85 yang merupakan salah satu daripada hanya dua jalan persekutuan yang menghubungkan antara Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dengan Jalan Muar-Yong Peng FT24; satu lagi sudah tentulah Jalan Pintasan Muar FT224. Sebenarnya memang ada banyak jalan perantara yang menghubungkan antara FT5 dengan FT24, tetapi yang lain semuanya berstatus Jalan Negeri Johor.

Pekan Semerah terletak sebaik sahaja memasuki daerah Batu Pahat. Pekan Semerah ini boleh dikatakan pekan yang agak besar selepas Parit Jawa, malah ia memang lebih besar daripada Parit Jawa. Oh ya, saya hampir terlupa - untuk pengetahuan anda, sebutan sebenar untuk nama pekan Semerah ini ialah /səmərah/ dengan kedua-dua huruf E di dalamnya merupakan E pepet (schwa) dan bukannya /səmerah/ seperti dalam lagu Mentera Semerah Padi oleh M. Nasir. Saya perlu ingatkan ini kerana ramai orang dari luar daerah Batu Pahat dan Muar yang tidak tahu akan sebutan sebenarnya, takut tersalah sebut.

Seterusnya, saya ingin membawa anda ke Parit Simin yang menempatkan salah satu daripada dua kawasan rehat dan rawat (R&R) rasmi di sepanjang Jalan Muar-Batu Pahat FT5. Hentian rehat yang saya maksudkan itu ialah Hentian Mahkota Parit Simin. Namun, hentian rehat ini tidak terletak betul-betul di tepi Jalan Muar-Batu Pahat FT5, tetapi sebaliknya anda perlu masuk ke dalam sedikit melalui sebatang jalan kecil menuju ke pantai. Ia sengaja dibina di tepi pantai kerana di situ turut menempatkan jeti nelayan serta hutan paya bakau yang menyajikan panorama yang sungguh indah. Oleh kerana ia menempatkan jeti nelayan, maka sudah tentulah anda boleh membeli ikan paling segar yang baru ditangkap dari laut terus daripada nelayan dengan harga yang paling murah. Saya tidak pasti sama ada hentian ini ada menyajikan makanan laut, jadi lain kali saya hendak cuba sendiri di sini. Justeru, tidak hairanlah kenapa hentian rehat ini dinamakan sebagai Hentian Mahkota Parit Simin.

Kami sudah semakin menghampiri destinasi tujuan kami di tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5. Pekan terakhir sebelum tiba di Batu Pahat ialah Simpang Lima yang tentunya mendapat nama daripada konfigurasi persimpangan searas yang jarang didapati di Malaysia. Menurut Arahan Teknik 11/87: A Guide to the Design of At-Grade Intersections, sesebuah persimpangan searas tidak seharusnya mempunyai lebih daripada empat cabang; jika lebih daripada empat cabang, maka ia seharusnya dibina sebagai bulatan yang mampu memberikan hak jalan yang lebih adil terhadap kesemua cabang. Simpang Lima dihubungkan ke Parit Sulong melalui Jalan Simpang Lima-Parit Sulong J19.

Selepas pekan Simpang Lima sehingga ke Jambatan Batu Pahat FT5, Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dikenali sebagai Jalan Peserai FT5. Di Peserai, terdapat laluan lama FT5 dari Peserai sehingga ke jeti Peserai yang menempatkan bekas jeti bot penambang untuk ke pusat bandar Batu Pahat. Namun, setelah Jambatan Batu Pahat FT5 siap pada tahun 1967, laluan FT5 dilencongkan ke Jambatan Batu Pahat FT5 dan seterusnya Jalan Bakau Chondong FT5, manakala jalan lama dari Peserai ke jeti Peserai diturun taraf kepada Jalan Negeri Johor J199. Bekas tapak jeti lama Peserai masih lagi kelihatan sehingga sekarang.

Akhirnya kami selamat tiba ke checkpoint kami yang seterusnya iaitu di tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5 yang terletak betul-betul di sebelah Kompleks Niaga Benteng Peserai aka Hentian Rehat (R&R) Peserai. Di situ, peserta rombongan FTRoadpedia diberikan taklimat mengenai projek naik taraf Jambatan Parit Keliling FT5 yang dinaiktaraf daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada jalan raya tunggal 4 lorong bagi menyelesaikan masalah kesesakan di simpang empat Hentian Rehat Peserai dan Hospital Pakar Putra. Semasa tiba, papak lantai (slab) jambatan baru sahaja siap pada hari sebelumnya dan apa yang tinggal hanyalah kerja-kerja penurapan dan pemasangan perabot jalan. Jambatan berharga RM7.688 juta itu mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan dan sudah pun dibuka kepada lalu lintas pada Jun 2017. Apa yang menarik mengenai projek tersebut ialah cara JKR Batu Pahat menguruskan trafik bagi mengurangkan kesesakan di tapak projek, iaitu dengan membina bulatan sementara di sebahagian kawasan parkir Hentian Rehat Peserai.

Setelah selesai taklimat projek, kami disajikan dengan juadah Mi Racun yang terkenal di Batu Pahat. Nanti sekejap...Mi Racun...? Adakah mi ini dibubuh racun serangga ataupun racun rumput sebagai penambah perisa...? Ataupun, adakah mi ini akan menyebabkan penggemarnya mengalami keracunan makanan...? Jangan bimbang, Mi Racun ini tidak beracun langsung - tiada racun serangga mahupun racun rumput yang digunakan dalam penyediaan Mi Racun ini. Yang sebenarnya, nama "Mi Racun" ini diberikan kerana rasanya boleh meracuni anda untuk mencubanya lagi dan lagi, dan itulah "racun" sebenar yang ada dalam Mi Racun batu Pahat ini. Sebenarnya, dikatakan ada dua varian Mi Racun, iaitu varian biasa tanpa ditambah tulang pinggul serta varian lebih istimewa yang turut dicampur tulang pinggul seperti dalam Sup Gearbox (yang tentunya tidak menggunakan kotak gear kereta), dan varian kedua inilah yang disajikan kepada kami. Serius saya katakan, Mi Racun Batu Pahat ini memang meracuni jiwa saya untuk makan lagi meskipun baru lepas bersarapan di Tangkak. Nanti setelah tiba di destinasi seterusnya di Tanjung Piai sudah tentu ada makan-makan lagi. Saya sendiri tidak pasti berapa kilogram berat badan saya naik bahana menyertai siri jelajah FTRoadpedia ini.

Ada satu lagi kisah menarik di Batu Pahat yang saya ingin kongsikan kepada anda. Secara kebetulan, wakil Brotherhood Batu Pahat memang ada ternampak kelibat orang ramai yang berkerumun di tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5 tetapi dia berlalu begitu sahaja kerana menyangkakan tiada apa-apa yang menarik di situ. Namun, apabila saya memaklumkan bahawa saya turut hadir di situ, wakil Brotherhood Batu Pahat ternganga dan berputih mata kerana terlepas dan tidak turut sama memeriahkan suasana di tapak projek. Tak apalah, dah tak ada rezeki kan. Nanti ada masa dan ada rezeki sudah tentulah kami akan datang lagi.

Setelah puas menikmati Mi Racun Batu Pahat yang terbukti tidak mengancam nyawa kami, kami meneruskan perjalanan ke destinasi kami yang seterusnya iaitu ke Tanjung Piai melalui Jalan Batu Pahat-Pontian FT5, Jalan Kukup FT95, Jalan Serkat J111 dan Jalan Tanjung Piai J48. Kami sebenarnya sudah terlewat sejam daripada jadual asal, jadi kami berharap dapat tiba di Tanjung Piai tepat pada masanya. Tetapi sebelum itu, izinkan saya untuk menghabiskan dahulu reviu Jalan Muar-Batu Pahat FT5 sebelum beralih ke reviu Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 pula.

Mercu tanda seterusnya sudah tentulah Jambatan Batu Pahat FT5. Jambatan ini dibina serentak dengan Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar. Rasanya tidak perlulah saya bercerita panjang lebar mengenainya kerana anda boleh baca dengan lebih lanjut dalam entri sejarah Jambatan Sultan Ismail FT5. Cuma, komen saya mengenai jambatan ini ialah sudah tiba masanya bagi Kementerian Kerja Raya untuk mengkaji sama ada jambatan ini perlu dilebarkan ataupun membina jambatan kedua, kerana keadaan jambatan ini yang hanya selebar dua lorong menyebabkan Jambatan Batu Pahat FT5 sesak teruk, dan keadaan sebegini sudah tentulah tidak diterima berikutan status Batu Pahat sebagai bandar ketiga terbesar di Johor.

Sebaik melepasi Jambatan Batu Pahat FT5, jalan FT5 berubah nama menjadi Jalan Bakau Condong FT5 dan menjadi 4 lorong sehinggalah ke penamatnya. Cuma, ia masih lagi jalan raya tunggal sehinggalah di persimpangan Jalan Bukit Pasir J13 di mana ia berubah menjadi jalan raya tunggal sehingga ke penamatnya. Jalan Muar-Batu Pahat FT5 tamat di Persimpangan Gunung Soga, di mana ia dihubungkan ke Jalan Batu Pahat-Kluang FT50, jalan raya yang paling banyak meragut nyawa di negeri Johor serta menjadi penyumbang utama kepada status Batu Pahat sebagai juara bagi daerah paling banyak kemalangan maut di Malaysia. Sementara itu, jajaran Jalan Batu Pahat-Kluang dari Persimpangan Gunung Soga ke Bulatan Banang pula merupakan sebahagian Jalan Persekutuan 5 sebelum FT5 dilencongkan ke Jalan Tanjung Labuh FT5.

Kesimpulannya, Jalan Muar-Batu Pahat FT5 menghubungkan antara bandar ketiga dan keempat terbesar di negeri Johor. Ironinya, hampir keseluruhan jajaran Jalan Muar-Batu Pahat FT5 merupakan jalan raya tunggal. Jika dibandingkan, Jalan Batu Pahat-Kluang FT50 yang menghubungkan antara bandar kedua dan ketiga terbesar di negeri Johor pula secara keseluruhannya merupakan jalan raya empat lorong, sama ada sebagai jalan super four ataupun sebagai jalan raya kembar. Malah, di tengah-tengah pusat bandar Muar sekalipun, Jalan Muar-Batu Pahat FT5 masih merupakan jalan raya tunggal. Namun, kewujudan Jalan Temenggong Ahmad J31 sebagai laluan alternatif dari Muar ke Parit Raja serta Jalan Pintasan Muar FT224 menghapuskan keperluan untuk menaiktaraf Jalan Abdul Rahman FT5 menjadi empat lorong. Namun, lain ceritanya di Batu Pahat yang memang tiada laluan alternatif lain untuk ke Muar ataupun setidak-tidaknya sehingga ke Peserai; justeru, sudah tiba masanya untuk mengkaji semula sama ada perlu lebarkan Jambatan Batu Pahat sedia ada ataupun bina jambatan baharu.

Ikuti episod penjelajahan kami seterusnya di Jalan Batu Pahat-Pontian FT5.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Permulaan Jalan Muar-Batu Pahat FT5 di Bulatan Bentayan




Bulatan Sulaiman




Bulatan Khalidi - ambil pusingan pukul 9 untuk meneruskan perjalanan melalui Jalan Abdul Rahman FT5




Memasuki Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dari Jalan Pintasan Muar FT224






Kilang elektrik May Quality Industries Sdn. Bhd. di Parit Kassim






Jambatan ini terlalu sempit dan perlu dilebarkan






Ada banyak hentian bas dengan reka bentuk beca di Muar






Jalan Abdul Rahman FT5 mempunyai kadar trafik motosikal yang tinggi, jadi sebab itulah lorong motosikal disediakan






Selekoh 90 darjah di simpang Pantai Leka






Simpang empat di hadapan - selepas ini perlu belok ke kanan untuk meneruskan perjalanan melalui Jalan Muar-Batu Pahat FT5






Suasana di pekan Parit Jawa






Belok kanan di simpang empat Parit Jawa






Keadaan di jajaran Parit Jawa-Seri Menanti sangat lurus kerana dibina di atas bekas laluan landasan Keretapi Kerajaan Muar






Daerah Muar dan Batu Pahat sangat terkenal kerana terdapat banyak parit yang dijadikan nama kampung dan pekan






Masih banyak kawasan mudah banjir di sepanjang Jalan Muar-Batu Pahat FT5 walaupun terdapat banyak parit






Seri Menanti di Muar - Anda tidak akan menemui istana semayam Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di sini






Tanjung Tohor






Simpang ke Jalan Air Panas Sungai Gersik J142






Pekan Sungai Balang






Simpang ke Jalan Parit Yusof FT85, salah satu daripada hanya dua jalan persekutuan yang menghubungkan antara FT5 dengan FT24






Perjalanan ke Batu Pahat hanya tinggal 21 km sahaja lagi






Homestay Sarang Buaya - rasanya ada buayakah di sini...?






Pekan Semerah merupakan pekan pertama sebaik memasuki daerah Batu Pahat






Simpang masuk ke Hentian Mahkota Parit Simin






Parit Besar






Persimpangan searas lima cabang di Simpang Lima yang jarang ditemui di Malaysia






Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Onn di Simpang Lima






Jalan lama ke bekas jeti feri penambang di Peserai kini diturun taraf daripada FT5 kepada J199






Kami akhirnya tiba di tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5






Jambatan sementara yang didirikan oleh JKR Batu Pahat






Khemah yang didirikan di tapak projek - ramai betul yang menyambut kedatangan kami






Papak lantai Jambatan Parit Keliling FT5 ini masih segar kerana ia baru sahaja siap pada hari sebelum kedatangan kami






Meneliti pameran maklumat projek Jambatan Parit Keliling FT5






Masa untuk menikmati Mi Racun Batu Pahat...!!!






Di sinilah kami disajikan dengan Mi Racun Batu Pahat, terletak betul-betul di sebelah tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5






Hentian Rehat (R&R) Peserai






Jambatan Batu Pahat FT5 (aka Jambatan Peserai FT5) - satu-satunya jambatan yang menghubungkan antara Batu Pahat dengan Muar






Jambatan bertukar menjadi empat lorong sebaik melepasi Jambatan Batu Pahat FT5






Suasana di Batu Pahat, bandar ketiga terbesar di negeri Johor






The Summit Batu Pahat






Persimpangan Jalan Bukit Pasir J13






Bangunan Tunku Mahkota Ibrahim Ismail yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan bagi daerah Batu Pahat






Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat






Jalan Muar-Batu Pahat FT5 tamat di Persimpangan Gunung Soga

Tuesday, July 11, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan Part 4: Jalan Pintasan Muar FT224 & Jambatan Kedua Muar FT224 / Muar Bypass FT224 & Muar Second Bridge FT224




Salam sejahtera,

Reviu Jalan Pintasan Muar FT224 meneruskan siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan yang sudah masuk hari kedua. Setelah bersarapan di Kuarters JKR Tangkak, kami meneruskan perjalanan ke Batu Pahat yang merupakan checkpoint kedua kami bagi hari kedua jelajah FTRoadpedia Zon Selatan untuk makan tengah hari dan taklimat projek Jambatan Parit Keliling FT5 di Batu Pahat. Nak tahu apa menu makan tengah hari kami pada masa itu...? Anda kena tunggu episod seterusnya untuk mengetahuinya, tetapi buat masa sekarang kita nikmati dahulu reviu jalan raya seterusnya iaitu Jalan Pintasan Muar FT224.

Jalan Pintasan Muar FT224 sepanjang 13.88 km merupakan projek lebuh raya kembar pertama di daerah Muar. Ia sepatutnya dilaksanakan serentak dengan projek Lebuhraya Segamat-Muar yang asalnya merupakan projek lebuh raya ekspres, tetapi dibatalkan bahana kegawatan ekonomi 1997 dan digantikan dengan naik taraf Jalan Segamat-Muar FT23 sedia ada kepada lebuh raya kembar. Projek Jalan Pintasan Muar FT224 yang berharga RM286 juta ini turut menampilkan Jambatan Kedua Muar FT224 yang dibina sebagai jambatan kabel penahan (cable-stayed bridge) sepanjang 632 meter serta bentangan terpanjang 132 m bagi membolehkan kapal kecil yang hendak mudik ke hulu Sungai Muar melaluinya. Ia sekaligus membuka peluang kepada Majlis Perbandaran Muar untuk menyediakan perkhidmatan bot persiaran yang berpangkalan di Jeti Tanjung Emas bagi menarik kehadiran pelancong ke Muar. Jalan Pintasan Muar FT224 mula dibina pada 22 Jun 2001 dan siap pada 27 September 2005.

Jalan Pintasan Muar FT224 bermula sebagai sambungan kepada Lebuh AMJ FT5 di Parit Bunga. Terdapat 11 persimpangan searas utama di sepanjang Jalan Pintasan Muar FT224 ini dan 1 persimpangan bertingkat iaitu Persimpangan Parit Bunga. Persimpangan Parit Bunga melencongkan jalan FT5 keluar ke Jalan Kesang FT5 yang membawa ke Jambatan Sultan Ismail FT5, jambatan pertama Muar. Oleh kerana Jambatan Sultan Ismail FT5 hanya selebar 2 lorong sahaja, lalu lintas dari Parit Bunga sehingga ke Jambatan Sultan Ismail FT5 sering sesak teruk sehingga membawa kepada pembinaan Jambatan Kedua Muar FT224 dan Jalan Pintasan Muar FT224.

Sebaik melepasi Persimpangan Parit Bunga, FT224 terus membawa kami ke Jambatan Kedua Muar FT224. Oleh kerana ia menggunakan seni bina jambatan kabel penahan sama seperti Jambatan Pulau Pinang E36, ramai yang menggelarkan jambatan ini sebagai "Jambatan Pulau Pinang". Sebenarnya, jambatan ini bukanlah satu-satunya jambatan yang menerima jolokan sedemikian; boleh dikatakan hampir setiap jambatan kabel penahan yang ada di Malaysia turut diberi gelaran sama. Kabel-kabel bagi Jambatan Kedua Muar FT224 bukan sahaja berfungsi menyokong dek jambatan, tetapi juga berfungsi sebagai pautan bagi lampu-lampu jalan di jambatan tersebut.

Setelah Jambatan Kedua Muar FT224 membawa kami ke sebelah tebing selatan Sungai Muar (atau lebih tepat lagi, tebing timur), barulah kami secara rasminya berada dalam daerah Muar. Daerah Muar dan daerah Tangkak berpecah hasil daripada persempadanan semula 8 daerah Johor pada tahun 2008 untuk menjadi 10 daerah yang kita kenali sekarang.

Persimpangan pertama di Jalan Pintasan Muar FT224 ialah Exit 1 Persimpangan Bakar Batu yang dihubungkan dengan Jalan Bakar Batu J68. Ia disusuli Exit 2 Persimpangan Jalan Bakariah yang dihubungkan dengan Jalan Bakariah J20 (aka Jalan Ismail Bukit Treh J20). Tatkala Exit 2 Persimpangan Jalan Bakariah merupakan simpang empat penuh biasa, Exit 1 Persimpangan Bakar Batu pula hanya membenarkan pemandu untuk jalan terus atau belok kiri sahaja; belok kanan tidak dibenarkan sama sekali. Sebaliknya, jika anda hendak belok ke kanan, anda terpaksa pandai-pandai mencari tempat untuk melakukan pusingan U. Terus-terang saya katakan, saya mengecam persimpangan sebegini kerana ia boleh menyebabkan pemandu yang mahu ke kanan membelok secara haram yang sudah tentunya akan mengakibatkan kemalangan. Alang-alang sebegitu, lebih baik jadikan simpang-simpang kecil seumpamanya sebagai persimpangan LILO, jauh lebih selamat...!!!

Persimpangan ketiga pula ialah Exit 3 Persimpangan Jalan Salleh. Di sebelah kanan akan membawa anda ke pusat bandar Muar melalui Jalan Salleh J24 manakala di sebelah kiri pula akan membawa anda ke jalan negeri terpanjang di Johor iaitu Jalan Muar-Labis J32. Sebenarnya, Jalan Salleh J24 asalnya merupakan sebahagian daripada Jalan Muar-Labis J32 sebelum ia dipecahkan sebagai laluan berasingan, berkemungkinan setelah pewartaan Jalan Pintasan Muar FT224. Untuk mengelakkan kekeliruan, JKR Muar seharusnya mempertimbangkan penggunaan penanda kepastian (reassurance marker) bagi menanda permulaan dan penamat bagi J24 dan J32 agar tidak berlaku kekeliruan. Ataupun, pada pendapat saya, lebih baik gabungkan kembali Jalan Salleh J24 ke dalam Jalan Muar-Labis J32.

Jika diperhatikan, pembahagi jalan di Exit 3 Persimpangan Jalan Salleh ini sangat lebar. Ia sengaja dibina lebar bagi memudahkan persimpangan tersebut dinaiktaraf menjadi persimpangan bertingkat sekiranya kadar aliran trafik meningkat sehingga menjadi sesak. Sebenarnya, Exit 3 Persimpangan Jalan Salleh bukan satu-satunya persimpangan utama dengan pembahagi yang begitu lebar; Exit 8 Persimpangan Jalan Bakri juga dibina lebar atas sebab yang sama.

Saya terlepas Exit 4 Persimpangan Jalan Utama. Ia sekadar persimpangan picisan jika anda terlepas hendak memasuki Jalan Muar-Labis J32 di Exit 3 Persimpangan Jalan Salleh tadi. Pun begitu, perangainya sama juga seperti Exit 1 Persimpangan Bakar Batu; anda hanya boleh jalan terus atau belok kiri tetapi tidak boleh membelok ke kanan. Persimpangan berikutnya, Exit 5 Persimpangan Parit Buaya juga berkongsi perangai sama. Ia dihubungkan ke Jalan Parit Buaya, sebatang jalan 2 lorong tanpa sebarang kod laluan. Exit 6 Persimpangan Jalan Kampung Tengah pun dua kali lima juga. Hanya setelah berada di Exit 7 Persimpangan Jalan Sungai Abong barulah ia dibina sebagai simpang empat penuh yang membolehkan pemandu jalan terus dan membelok ke kiri dan kanan. Exit 7 Persimpangan Jalan Sungai Abong dihubungkan ke Jalan Sungai Abong J22.

Seterusnya, Exit 8 Persimpangan Jalan Bakri dihubungkan ke Jalan Bakri FT24. Seperti Exit 3 Persimpangan Jalan Salleh, pembahagi di Exit 8 Persimpangan Jalan Bakri sengaja dibina lebar bagi membolehkannya dinaiktaraf menjadi persimpangan bertingkat pada masa hadapan sekiranya persimpangan ini menjadi sesak. Sementara itu, Jalan Bakri FT24 dibina oleh peneroka asal Bakri bernama Haji Mohamad Noh bin Haji Lebai Muhamad pada tahun 1869 bagi menghubungkan antara bandar Muar dengan Bakri. Ia kemudian ditambah baik oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang pada tahun 1890 yang menyaksikan Jalan Bakri FT24 diluruskan sehingga menjadikan Jalan Bakri FT24 sepanjang 9.5 km memegang rekod sebagai lurusan jalan raya terpanjang di Tanah Melayu pada ketika itu. Selebihnya, tunggu saya hasilkan reviu serta sejarah lengkap Jalan Persekutuan 24 sekiranya berkesempatan.

Tinggal tiga persimpangan sahaja lagi sebelum kami meninggalkan Jalan Pintasan Muar FT224 untuk memasuki Jalan Muar-Batu Pahat FT5. Persimpangan seterusnya ialah Exit 9 Persimpangan Jalan Dato' Haji Kosai, dihubungkan dengan Jalan Dato' Haji Kosai J140. Jika anda terlepas Exit 8 Persimpangan Jalan Bakri tadi, anda boleh berpatah balik semula di persimpangan ini.

Persimpangan kedua terakhir ialah Exit 10 Persimpangan Jalan Temenggong Ahmad J31. Sebenarnya, anda boleh terus ke Batu Pahat melalui Jalan Temenggong Ahmad J31 kerana di Parit Jawa, Jalan Temenggong Ahmad J31 ini akan berterusan sebagai Jalan Muar-Batu Pahat FT5. Tapi kenapa kebanyakan peta tidak melabelkan jalan ini sebagai salah satu jalan ke Batu Pahat tetapi sekadar dilabelkan sehingga ke Parit Jawa sahaja...? Saya sendiri pun masih tertanya-tanya. Tak apalah, lain kali saya akan mencuba sendiri jalan ini untuk mencari jawapannya.

Akhirnya kami bertemu dengan penamat Jalan Pintasan Muar FT224 ini di Exit 11 Persimpangan Jalan Abdul Rahman. Kami akhirnya dipertemukan dengan laluan seterusnya iaitu Jalan Muar-Batu Pahat yang menjadi laluan utama kami ke destinasi seterusnya iaitu di Jambatan Parit Keliling FT5 di mana kami akan menghadiri taklimat projek serta makan tengah hari di situ. Di Batu Pahat nanti satu juadah istimewa menanti kami iaitu mi racun Batu Pahat. Nanti sekejap, mi racun...? Apakah kami semua sudah gila mahu melahap juadah yang boleh "membunuh" kami...? Kalau anda hendak tahu bagaimana rasa mi racun sebenar, nantikanlah episod seterusnya dalam entri Jalan Muar-Batu Pahat FT5.

Jadi bagaimana komen saya mengenai Jalan Pintasan Muar FT224...? Memandangkan usianya sudah lebih daripada 10 tahun, maka sudah sampai masanya ia dibaharu muka semula. Ada jajaran yang sudah menggerutu dan pudar garisan jalannya. Cuma, kecaman utama saya mengenai jalan ini ialah pada beberapa persimpangan kecil yang tidak membenarkan pemandu membelok ke kanan tetapi sekadar jalan terus atau belok ke kiri. Jika hendak ke kanan, anda perlu pandai-pandai mencari tempat untuk membuat pusingan U. Konfigurasi persimpangan sebegini akan menyebabkan ramai pemandu yang tidak sabar akan membelok ke kanan secara berbahaya. Justeru, persimpangan tersebut perlu ditukar menjadi simpang empat penuh biasa.

Ikuti episod penjelajahan kami seterusnya di Jalan Muar-Batu Pahat FT5.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Meninggalkan Kuarters JKR Tangkak untuk ke Batu Pahat melalui Jalan Pintasan Muar FT224 & Jalan Muar-Batu Pahat FT5






Persimpangan Parit Bunga, satu-satunya persimpangan bertingkat di Jalan Pintasan Muar FT224 - FT5 dilencongkan keluar ke Jalan Kesang FT5






Jambatan Kedua Muar FT224, mercu tanda utama di sepanjang Jalan Pintasan Muar FT224






Exit 1 Persimpangan Bakar Batu






Exit 2 Persimpangan Jalan Bakariah - hanya boleh jalan terus atau belok kiri sahaja, tak boleh belok kanan






Exit 3 Persimpangan Jalan Salleh - belok kanan ke Muar melalui Jalan Salleh J24, belok kiri ke Labis melalui Jalan Muar-Labis J32, jalan negeri terpanjang di Johor






Sudah ada jajaran yang menunjukkan kualiti tampalan yang kurang memuaskan






Exit 5 Persimpangan Parit Buaya, sama sahaja perangainya seperti Exit 2 Persimpangan Jalan Bakariah






Ada jajaran yang cat jalannya semakin pudar






Exit 6 Persimpangan Jalan Kampung Tengah






Exit 7 Persimpangan Jalan Sungai Abong






Exit 8 Persimpangan Jalan Bakri dihubungkan ke Jalan Bakri FT24 yang pernah memegang rekod sebagai lurusan jalan raya terpanjang di Tanah Melayu






Exit 9 Persimpangan Jalan Dato' Haji Kosai






Exit 10 Persimpangan Jalan Temenggong Ahmad dihubungkan ke Jalan Temenggong Ahmad J31, laluan alternatif ke Batu Pahat dari Muar






Menghampiri penamat Jalan Pintasan Muar FT224






Jalan Pintasan Muar FT224 tamat di Exit 11 Persimpangan Jalan Abdul Rahman - keluar ke Jalan Muar-Batu Pahat FT5