Tuesday, August 8, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan Part 7: Jalan Kukup FT95 / Kukup Road FT95




Salam sejahtera,

Rombongan jelajah FTRoadpedia Zon Selatan anjuran Kementerian Kerja Raya Malaysia meneruskan perjalanan ke titik paling selatan bagi Tanah Besar Asia yang terletak di Tanjung Piai. Untuk ke sana, kami perlu melalui Jalan Kukup FT95 diikuti Jalan Serkat J111 dan Jalan Tanjung Piai J48. Laluan kali ini sangat pendek, Malah, dalam seumur hidup saya ini, saya pernah melalui jalan ini hanya dua kali sahaja iaitu semasa saya di bangku sekolah semasa Tingkatan 4 serta semasa FTRoadpedia Zon Selatan.

Kali pertama saya menggunakan Jalan Kukup FT95 ini ialah semasa saya menyertai rombongan ke Pontian anjuran Kelab Setia Sekolah Tinggi Segamat (STS). Pada masa itu, guru penasihatnya ialah Cikgu Hashim yang secara kebetulannya merupakan guru kelas saya dan juga guru mata pelajaran Fizik, jadi Cikgu Hashim mengambil kesempatan menjadikan keseluruhan pelajar Tingkatan 4C (aka 4 Sains 3) termasuk saya sebagai ahli Kelab Setia. Pada masa itu, tujuan utama kami dibawa menyertai rombongan ke Pontian adalah bagi memberikan sokongan terhadap wakil daerah Segamat dalam Kuiz Kenegaraan Peringkat Negeri Johor anjuran Jabatan Penerangan pada masa itu.

Ada dua tarikan utama di sepanjang Jalan Kukup FT95 ini. Tarikan pertama sudah tentulah pekan Kukup. Kukup merupakan pekan paling selatan di tanah besar benua Asia dan menempatkan jeti untuk ke Pulau Kukup dan juga untuk ke Indonesia. Sebab itulah ada kaunter imigresen di situ. Selain itu, Kukup juga unik kerana majoriti rumah dan kedai di situ dibina di atas tiang-tiang bagi mengelakkannya daripada ditenggelami air laut pasang. Selain itu, terdapat banyak restoran makanan laut di situ.

Tarikan kedua pula ialah Muzium Bugis yang menempatkan artifak-artifak serta budaya dan adat resam orang-orang Bugis. Asalnya, Muzium Bugis ditubuhkan pada tahun 1982 oleh kuratornya, Pak Dollah yang berketurunan Bugis serta telah mengumpulkan lebih 2,000 artifak di muzium tersebut. Usaha beliau mendapat pengiktirafan daripada Yayasan Warisan Johor pada tahun 1994. Pada awalnya, Muzium Bugis beroperasi di rumahnya di tepi Jalan Kukup FT95, tetapi kemudian telah berpindah di bangunan kekal yang lebih besar yang terletak di Sungai Rambah, Kukup (perlu masuk ke dalam sedikit ke arah pantai.

Jalan Kukup FT95 tamat secara rasminya di Kukup, tetapi kami tidak menghabiskan keseluruhan laluan ke Kukup, tetapi sebaliknya kami membelok kiri untuk ke Tanjung Piai melalui Jalan Serkat J111.

Ikuti sambungan seterusnya dalam entri Jalan Serkat J111 & Jalan Tanjung Piai J48.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 berterusan sebagai Jalan Kukup FT95





Ada satu lagi tarikan yang tertinggal, iaitu pekan Kukup





Simpang ke Muzium Bugis - sebelum ini, Muzium Bugis terletak di tepi jalan FT95 di rumah kuratornya sendiri





Kali ini, lanskap di sepanjang Jalan Kukup FT95 didominasi pemandangan ladang kelapa sawit





Pekan Permas, tidak jauh dari penamatnya di Kukup





Meneruskan perjalanan ke Tanjung Piai

No comments:

Post a Comment