Showing posts with label Duke Expressway. Show all posts
Showing posts with label Duke Expressway. Show all posts

Tuesday, October 24, 2017

Hubungan Sri Damansara E33 - pelengkap projek DUKE 2 E33 / Sri Damansara Link E33 - the final piece of the DUKE 2 E33 project puzzle

Salam sejahtera,

Sebelum ini anda sudah pun menyaksikan reviu mengenai jajaran arah utara Hubungan Tun Razak E33, diikuti pula dengan jajaran arah selatannya pula. Kali ini saya bawakan kepada anda bahagian terakhir dalam projek DUKE 2 E33 oleh Kesturi, yang merupakan sambungan kepada jajaran asal Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) E33. Ia susulan pembukaan bahagian terakhir projek DUKE 2 iaitu Hubungan Sri Damansara yang dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada pagi semalam, 23 Oktober 2017.

Jika sebelum ini Hubungan Tun Razak dibina bagi mengurangkan masalah kesesakan ke pusat bandar raya Kuala Lumpur yang dihadapi penduduk Sentul, Gombak dan Batu Caves, Hubungan Sri Damansara pula dibina sebagai alternatif kepada Jalan Kepong FT54 bagi menyelesaikan masalah kesesakan ke pusat bandar raya yang dihadapi penduduk Sri Damansara, Segambut, Damansara Damai dan Sungai Buloh. Nanti sekejap, penduduk Damansara Damai dan Sungai Buloh masih ada Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan NKVE E1, tetapi sudah tentulah lebuh raya itu sering sesak teruk setiap kali waktu gegas. Justeru, Hubungan Sri Damansara dibina sebagai laluan terpantas dan terhampir ke pusat bandar raya.

Seperti sebelum ini, saya menggunakan waktu malam hari pembukaan untuk menguji sendiri Hubungan Sri Damansara sepanjang 7.4 km ini. Saya memasuki Hubungan Sri Damansara dari arah Plaza Tol Batu dan Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching. Sepanjang Hubungan Sri Damansara ini terdapat 4 persimpangan bertingkat, 1 plaza tol dan 1 hentian rehat & rawat.

Persimpangan pangkal bagi Hubungan Sri Damansara ini ialah Exit 3321 Persimpangan Segambut. Selain daripada persimpangan pangkal bagi Hubungan Sri Damansara, persimpangan ini  juga membolehkan pengguna E33 keluar ke Segambut yang selama ini tiada akses terhadap E33 ini. Persimpangan ini memanfaatkan penggunaan ruang jejambat lintasan kereta api sedia ada pada laluan asal E33 bagi pembinaannya.

Lebih kurang 500 m daripada Exit 3321 Persimpangan Segambut terletaknya Exit 3322 Persimpangan Plaza Tol Segambut, juga dikenali sebagai Exit 3322 Persimpangan SEGAR, di mana SEGAR di sini bermaksud SEGAmbut Rest Area. Exit 3322 Persimpangan SEGAR ini ternyata merupakan mahakarya terbaik yang pernah dibina oleh Kesturi sepanjang sejarah mereka mengendalikan projek Lebuhraya DUKE E33 ini. Apa tidaknya, Exit 3322 ini menggabungkan persimpangan bertingkat, plaza tol dan kawasan rehat & rawat (R&R) dalam satu binaan yang sama. Sebenarnya kalau diikutkan, konsep persimpangan R&R pertama kali digunakan pada Exit 803 Persimpangan Genting Sempah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 yang digabungkan dengan R&R Genting Sempah, manakala konsep persimpangan R&R dengan plaza tol pula pertama kali diimplementasikan di Exit 2505 Persimpangan Kundang di Lebuhraya Latar E25. Namun, kali ini Kesturi pergi ke tahap yang lebih tinggi iaitu dengan menggabungkan ketiga-tiganya dalam binaan yang sama, satu konsep yang selama ini sinonim dengan rangkaian lebuh raya perbandaran di Tokyo, Jepun. 

Semasa saya pertama kali menampilkan model projek Exit 3322 Persimpangan SEGAR di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia, ramai pembaca yang teruja dan terpesona, tetapi ada juga yang mengkritik pembinaannya atas alasan kononnya kerajaan hanya tahu melambakkan projek lebuh raya yang mengundang kesesakan lebih teruk akibat pertambahan bilangan kereta tetapi kurang memberi perhatian terhadap sistem pengangkutan rel. Kepada golongan "hijau" tersebut, saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa tanggapan anda itu ternyata cetek sama sekali. Menurut Kesturi, Exit 3322 Persimpangan SEGAR bukan sekadar persimpangan plaza tol dengan hentian rehat semata-mata, tetapi lebih kepada pusat sehenti kerana pengguna boleh memparkir kereta di situ dan memanfaatkan stesen kereta api KTM Komuter yang sedang dalam pembinaan untuk ke pusat bandar raya. Membangunkan sistem pengangkutan rel memang penting, tetapi kalau tak ada jalan hendak ke stesen LRT / MRT / komuter / monorel pun tak guna juga.

Meskipun Hubungan Sri Damansara ini sudah pun dibuka secara rasmi, namun bangunan Persimpangan SEGAR ini pula masih belum siap sepenuhnya. Masih ada banyak kerja-kerja akhir yang masih belum siap sebelum hentian rehat ini mula beroperasi, dan ini termasuklah susun atur laluan motosikal di Exit 3322 ini.

Sebut tentang laluan motosikal, ada satu perkara yang saya perlu maklumkan kepada semua pengguna motosikal yang ingin menggunakan Hubungan Sri Damansara ini, memandangkan saya sendiri menggunakan motosikal SYM Sport Rider 125i semasa mengujinya. Kepada semua penunggang motosikal, anda WAJIB mengambil susur keluar ke Jalan Lang Emas / Segambut walaupun anda hendak jalan terus, kerana tiada lorong motosikal di plaza tol laluan utama; lorong motosikal Exit 3322 ini memerlukan anda mengambil cabang jalan susur keluar ke Jalan Lang Emas sebelum anda diberi pilihan untuk keluar ke Jalan Lang Emas atau teruskan perjalanan ke Sri Damansara. Jika anda datang dari arah Sri Damansara ke Jalan Duta / laluan utama E33, anda perlu mengambil jalan susur keluar ke Jalan Lang Emas dan terus pancung ke lorong paling kanan untuk memasuki lorong motosikal di plaza tol jalan susur masuk dari Jalan Lang Emas ke laluan utama.

Nampak rumit kan...? Ya, memang nampak rumit. Daripada situlah terletaknya peranan pemasangan papan tanda yang banyak dan jelas. Sayangnya, bab papan tanda inilah yang menjadi "tumit Achilles" (kelemahan) utama Kesturi, sejak pembukaan laluan asal pada tahun 2009, yang mana saya akan huraikan lebih lanjut pada bahagian akhir reviu ini. Langsung tiada papan tanda tunjuk arah yang jelas bagi membantu navigasi penunggang motosikal di Exit 3322 Persimpangan SEGAR ini, tetapi memandangkan kompleks R&R SEGAR ini masih belum siap sepenuhnya, ia masih boleh dimaafkan, tetapi hanya untuk sebulan sahaja.

Kembali semula ke laluan utama Hubungan Sri Damansara. Secara amnya, Hubungan Sri Damansara ini sangat lurus jika dibandingkan dengan Hubungan Tun Razak kerana Hubungan Sri Damansara ini dibina di atas Jalan Lang Emas dan Jalan Taman Bukit Maluri yang memang lurus. Setakat ini papan tanda had laju di laluan tersebut masih belum dipasang, tetapi saya menjangkakan had laju 80-90 km/j di Hubungan Sri Damansara ini berbanding hanya 50 km/j di Hubungan Tun Razak.

Exit 3323 Persimpangan Jalan Burung Hantu sekadar terdiri daripada sepasang tanjakan keluar dan masuk ke Jalan Lang Emas di bawah lebuh raya menuju persimpangan lampu isyarat Jalan Burung Hantu untuk ke Metro Prima Kepong dan pekan Kepong. Persimpangan ini juga merupakan jalan masuk utama daripada Bandar Menjalara.

Persimpangan terakhir pula ialah Exit 3324 Persimpangan Menjalara, yang diubahsuai daripada Persimpangan Bukit Maluri asal dan Persimpangan Sri Damansara yang terletak berhampiran. Pengubahsuaian ini dilakukan dengan membina jejambat pusingan U untuk ke arah Batu Caves melalui KL MRR2 FT28, susur masuk dari arah Batu Caves ke pusingan U tersebut untuk masuk ke Hubungan Sri Damansara, tanjakan masuk dari arah Sungai Buloh melalui Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54 ke Hubungan Sri Damansara, serta jalan susur masuk baharu ke LDP E11 dari arah FT28.

Secara amnya saya sangat berpuas hati dengan pengalaman saya menggunakan Hubungan Sri Damansara ini, cuma saya masih belum berpuas hati terhadap penggunaan papan tanda yang saya sifatkan masih perlu penambahbaikan lagi. Papan tanda tunjuk arah ke setiap persimpangan di sepanjang Hubungan Sri Damansara sudah mula menunjukkan penambahbaikan positif dari segi jarak pemasangan (500 m sebelum persimpangan berbanding pemasangan saat akhir sebelum ini), tetapi ia sudah tentu lebih baik lagi jika jarak tersebut dapat ditingkatkan kepada 1 km (kecuali jika jarak antara persimpangan sudah terlalu rapat). Cuma, destinasi dan bandar kawalan yang digunakan pada papan tanda tunjuk arah masih lagi saya sifatkan terlalu banyak dan sepatutnya boleh diringkaskan kepada hanya 3 atau 4 tempat sahaja. Misalnya, bandar kawalan bagi arah barat boleh diringkaskan kepada hanya E1 Ipoh (tanpa Klang), FT54 Kuala Selangor, Sri Damansara (tanpa seksyen) dan E11 Petaling Jaya. Bandar kawalan bagi arah barat pula sepatutnya diringkaskan kepada hanya E8 Kuantan, E33 Ulu Klang (tanpa Ampang), E33 Pusat Bandar Raya (tanpa Bulatan Pahang) dan E1 Klang. Barulah jadi kurang berserabut.

Namun, kelemahan terbaru bagi papan tanda yang digunakan kali ini ialah tulisannya yang terlalu halus dan comel di papan tanda tanjakan masuk Exit 3322 Persimpangan Jalan Burung Hantu ke Hubungan Sri Damansara dan juga di papan tanda jalan masuk ke Exit 3321 Persimpangan Segambut. Sudahlah saya ini bermata empat, kena pula dengan papan tanda yang tulisannya halus. Kalau saya sekadar menunggang motosikal di lorong paling kiri tu tak apalah juga, tapi bagaimana pula kalau saya memandu kereta di lorong paling kanan...? Bagaimana pula dengan pemandu lain yang tahap penglihatan mereka jauh lebih teruk daripada saya...?

Kenapa saya begitu cerewet akan hal papan tanda ini...? Sesebuah papan tanda mestilah direka agar ia jelas kelihatan dari jarak sekurang-kurangnya 250 m dalam keadaan gelap. Aspek papan tanda ini lebih kritikal di lebuh raya ekspres, di mana pengguna lebuh raya memandu dengan lebih laju dan mempunyai masa lebih pendek untuk membuat keputusan untuk memilih jalan yang mana satu. Untuk membantu memudahkan pengguna lebuh raya membuat keputusan dengan pantas, rekaan papan tanda mestilah seringkas yang boleh (prinsip KISS), bukannya dirojakkan dengan sebegitu banyak bandar kawalan dan destinasi. Ambil tiga atau paling banyak pun empat bandar kawalan paling utama sudah cukup.

Apa akan terjadi sekiranya terlalu banyak bandar kawalan dirojakkan pada papan tanda penunjuk arah lebuh raya...? Terlalu banyak bandar kawalan yang dirojakkan pada papan tanda akan mengelirukan pengguna lebuh raya, seterusnya melambatkan tindak balas mereka dan menurunkan tahap fokus mereka di lebuh raya. Selain itu, terlalu banyak bandar kawalan pada papan tanda sudah tentu menyebabkan tulisan yang digunakan semakin kecil dan menjejaskan tahap kebolehnampakannya, terutamanya di kalangan pemandu yang mengalami masalah penglihatan.

Selain itu, papan tanda penunjuk arah perlu didirikan pada jarak tertentu sebelum persimpangan supaya pemandu boleh bersedia untuk menukar lorong jika hendak keluar ke persimpangan tersebut. Jika papan tanda penunjuk arah hanya didirikan pada saat-saat akhir, pemandu sudah tentu tidak bersedia dan berpotensi melakukan gerakan berbahaya bagi mengelakkan terlepas persimpangan, termasuklah memancung secara tiba-tiba dari lorong paling kanan dan mengundurkan kenderaan sekiranya terlajak. Di jalan persekutuan dan negeri, jarak 500 m diperlukan untuk persimpangan utama, manakala di lebuh raya ekspres pula jarak 1 km (bagi lebuh raya dalam bandar) hingga 2 km (bagi lebuh raya luar bandar) diperlukan.

Isu papan tanda di Lebuhraya DUKE E33 ini bukanlah satu isu baharu. Ia berlarutan sejak E33 mula dibuka pada tahun 2009. Isu ini bukan saya seorang sahaja yang membangkitkannya, malah ramai pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang menggunakan E33 juga memperkatakan perkara yang sama kepada saya. Namun, penambahbaikan oleh Kesturi dari segi jarak pemasangan papan tanda penunjuk arah di Hubungan Sri Damansara merupakan langkah pertama yang wajar dipuji, dan saya amat berharap lebih banyak penambahbaikan papan tanda oleh Kesturi diterapkan pada keseluruhan jajaran E33, terutamanya di Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar.

Apa pun, tahniah dan syabas kepada Kesturi kerana berjaya menyempurnakan keseluruhan projek DUKE 2 E33 melalui pembukaan Hubungan Sri Damansara ini. Lebuhraya DUKE E33 semenangnya lebuh raya yang menjadi laluan harian saya berulang-alik untuk pergi bekerja, dan lebih banyak manfaat dapat saya perolehi sejak pembukaan Hubungan Tun Razak, di mana saya memerlukan tidak sampai 10 minit dari Batu Caves ke Bulatan Pahang. Kini Kesturi boleh memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap projek Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) yang sedang berlangsung.



Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E33
Panjang 7.4 km
Arah laluan: Timur-barat (Segambut-Sri Damansara)
Bilangan lorong: 6
Laman web: http://www.duke.com.my







JP: この高速道路看板がこんなに可愛いわけがない
MS: Tak mungkin tulisan papan tanda lebuh raya ini boleh "secomel" ini






Tunggu sekejap - kenapa laluan E1 ke Ipoh perlu dilencongkan melalui Hubungan Sri Damansara kalau sudah ada NKVE E1 di depan mata...?






Exit 3321 Persimpangan Segambut - senarai destinasi sepatutnya boleh diringkaskan kepada hanya Segambut dan Jalan Ipoh sahaja






Jalan susur masuk ke Hubungan Sri Damansara ini memanfaatkan sepenuhnya ruang bawah jejambat sedia ada di laluan asal E33






Exit 3322 Persimpangan SEGAR terletak lebih kurang 500 m selepas Exit 3321 Persimpangan Segambut






Plaza Tol Segambut di Exit 3322 Persimpangan SEGAR bagi laluan utama...






...dan di susur keluar ke Jalan Lang Emas






Bangunan utama kompleks Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Segambut yang masih belum siap sepenuhnya






Exit 3323 Persimpangan Jalan Burung Hantu ke Bandar Menjalara & Kepong Prima






Exit 3324 Persimpangan Menjalara, persimpangan terakhir bagi Hubungan Sri Damansara






Jalan susur baharu ke LDP E11 dari Hubungan Sri Damansara & KL MRR2 FT28






Hubungan Sri Damansara E33 dibina di atas Jalan Taman Bukit Maluri & Jalan Lang Emas






Tulisan pada papan tanda ini terlalu halus dan "comel" untuk pemandu bermata empat seperti saya






Exit 3321 Persimpangan Segambut dari Arah Sri Damansara ke laluan utama E33

Friday, September 29, 2017

DUKE 2 E33: Hubungan Tun Razak Bahagian 2 - laluan arah selatan kini dibuka! / Tun Razak Link Part 2 - southbound section now open!




Salam sejahtera,

Semalam (28 September 2017), satu lagi sejarah tercipta buat Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) kerana satu lagi komponen Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) E33 Fasa 2 sudah pun selamat dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Ia seterusnya menjadi pelengkap kepada jajaran utara Hubungan Tun Razak yang dirasmikan pada 23 Mei 2017.

Saya mendapat tahu akan berita perasmian jajaran selatan Hubungan Tun Razak semasa dalam perjalanan pulang ke rumah saya di Batu Caves dari Sentul melalui satu lorong tikus baharu untuk motosikal yang menghubungkan Taman Dato' Senu dengan Plaza Tol Sentul Pasar. Lorong tikus itu dibina oleh Kesturi bagi menggantikan jejambat motosikal yang dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek DUKE 2 E33. Semasa saya hendak keluar dari lorong motosikal Plaza Tol Sentul Pasar, saya terlihat ada sebegitu banyak kenderaan milik Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta Kesturi sendiri, di samping khemah untuk tetamu VIP. Daripada situlah saya ingin mengambil kesempatan untuk mencuba sendiri laluan arah selatan bagi Hubungan Tun Razak E33 di sebelah malamnya semasa pulang dari kerja.

Sebut tentang lorong tikus, pastinya ia akan mengingatkan anda kepada isu lorong tikus yang kontroversi di Taman Pelangi dekat Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam. Lebih seminggu lalu, saya dijemput oleh pihak Kesturi untuk membincangkan penyelesaian mengenai isu lorong tikus tersebut, di mana kami akhirnya sepakat memilih pendekatan membina satu tanjakan kekal di penghujung tanjakan susur masuk ke Lebuhraya DUKE E33 arah ke Greenwood, tetapi diasingkan laluannya agar tiada lagi konflik jalinan dengan lalu lintas di lorong-lorong trafik utama. Sebaliknya, pengguna E33 yang hendak ke Taman Pelangi perlu keluar ke persimpangan lampu isyarat Exit 3309 dan keluar ke tanjakan keluar ke Taman Pelangi sebelum jalan susur masuk ke E33 arah Greenwood berakhir. Pendekatan ini diambil setelah pihak pengurusan Kesturi memaklumkan kepada saya terdapat sebegitu banyak isu yang perlu diselesaikan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemilik rumah di Taman Pelangi dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Untuk pengetahuan anda, isu lorong tikus Taman Pelangi itu sebenarnya merupakan isu lama yang masih belum berjaya diselesaikan berikutan banyak isu seperti yang saya nyatakan tadi.

Kita kembali semula kepada reviu laluan arah selatan Hubungan Tun Razak E33 ini. Sejak pembukaan laluan arah utara Hubungan Tun Razak kepada lalu lintas, saya sering menjadikan Hubungan Tun Razak ini sebagai laluan harian untuk pulang ke rumah selepas bekerja. Namun, untuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur, saya masih perlu mengharungi kesesakan Jalan Sentul (dan Jalan Kampung Bandar Dalam). Masa perjalanan pulang dari Bulatan Pahang ke Batu Caves melalui Hubungan Tun Razak ini hanyalah tidak sampai 20 minit jika bermotosikal atau setengah jam jika menggunakan kereta. Sebelum wujudnya DUKE 2 E33, masa yang sama cuma mencukupi untuk perjalanan dari Batu Caves ke Sentul.

Memasuki Hubungan Tun Razak E33 dari Jalan Tun Razak sangat mudah. Dari arah jam (dari Lebuhraya Mahameru FT2), anda hanya perlu menaiki jejambat Bulatan Pahang dan terus belok kiri. Dari arah lawan jam pula (dari Institut Jantung Negara), anda hanya perlu ambil jalan susur ke kiri yang terletak sebelum susur ke Bulatan Pahang. Laluan arah utara ini membolehkan anda keluar ke arah Batu Caves dan Jalan Duta; jika anda hendak ke arah Ulu Klang pula, anda perlu melalui susur masuk dari Jalan Pahang ke laluan utama. Laluan arah selatan pula direka untuk pengguna dari arah Gombak dan Batu Caves. Bagi yang datang dari arah Jalan Duta dan Ulu Klang dan hendak ke pusat bandar raya, anda perlu memasuki Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar dan menggunakan pusingan U bertingkat untuk memasuki Hubungan Tun Razak.

Sebelum ini saya pernah mempersoalkan rekaan persimpangan sebegini kepada Kesturi, tetapi mereka menjelaskan kepada saya bahawa rekaan sebegini dihasilkan bagi menangani isu pengambilalihan tanah dan perobohan setinggan dengan kos seminima mungkin. Semasa mula-mula hendak membina laluan asal DUKE E33 sekalipun memang Kesturi sentiasa berhadapan dengan isu setinggan ini, baik pengambilalihan tanah, pembayaran pampasan, perobohan rumah dan penempatan semula penduduk setinggan ini. Justeru, reka bentuk persimpangan dioptimumkan dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dari Gombak, Sentul dan Batu Caves yang hendak ke pusat bandar raya atau sebaliknya. Pun begitu, pusingan U bertingkat disediakan bagi memenuhi keperluan pengguna dari arah Ulu Klang dan Setiawangsa (yang sebenarnya boleh menggunakan AKLEH E12) dan dari arah Jalan Duta (yang sepatutnya tidak perlu memasuki DUKE E33 pun), di samping untuk pengguna Hubungan Tun Razak yang hendak ke Jalan Gombak FT68.

Saya mencuba laluan Hubungan Tun Razak arah selatan pada waktu malam hari perasmian semasa dalam perjalanan pulang dari kerja, dalam keadaan cuaca baru lepas hujan. Sebaik sahaja memasuki susur ke Hubungan Tun Razak terletak Plaza Tol Baru Sentul Pasar. Tidak seperti kebanyakan plaza tol yang hanya ada satu lorong motosikal di mana motosikal perlu membahayakan diri memancung ke lorong paling kiri, Plaza Tol Baru Sentul Pasar pula ada dua lorong motosikal bagi arah yang berbeza; lorong paling kiri ialah untuk yang memasuki Hubungan Tun Razak dari pusingan U bertingkat, manakala lorong paling kanan pula ialah untuk motosikal dari arah Batu Caves yang hendak terus ke Bulatan Pahang. Namun, ia memerlukan Kesturi memasang papan tanda pemberitahuan agar penunggang motosikal tidak membahayakan diri memancung ke lorong paling kiri atau paling kanan.

Saya menggunakan lorong motosikal di sebelah kiri kerana saya ingin mencuba dahulu laluan cabang ke Jalan Gombak FT68. Persimpangan LILO ke Jalan Gombak FT68 terletak betul-betul selepas Plaza Tol Baru Sentul Pasar. Tidak jauh dari simpang LILO berjejari besar itu, ada sebuah terowong separa yang mana semasa saya menampilkan imej pratonton terowong tersebut di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia, ramai pembaca yang menyamakannya seperti terowong jalan raya di Monaco yang popular sebagai sebahagian laluan litar Formula 1. Oh, sebut tentang Formula 1, tahun 2017 ini merupakan tahun terakhir Litar Antarabangsa Sepang menganjurkan perlumbaan Formula 1, jadi siapa yang belum pernah menonton F1 di Litar Sepang, jangan lepaskan peluang terakhir ini kerana selepas ini anda tidak akan lagi dapat merasa sensasi raungan enjin F1 di negara sendiri. Tapi kenapa pula Kesturi membina terowong "ala Monaco" itu...? Rupa-rupanya, terowong tersebut ialah sebahagian daripada Persimpangan Jalan Gombak yang belum diberikan nombor persimpangan lagi, dan terowong ini sebenarnya dibina melintasi bahagian bawah Jalan Gombak FT68 dan dibina menggunakan kaedah korek, bina & timbus.

Saya memasuki semula Hubungan Tun Razak dari Jalan Gombak FT68. Namun, jalan cabang sama dari Jalan Gombak FT68 hanya membenarkan anda untuk keluar ke arah Ulu Klang dan Jalan Duta sahaja. Justeru, jika anda hendak ke arah Batu Caves, saya nasihatkan anda agar memasuki E33 dari Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam. Jalan susur dari laluan cabang Jalan Gombak ke arah Jalan Duta juga boleh dimasuki dari Bandar Baru Sentul, tetapi perlu melalui jalan kampung kendalian DBKL yang sempit, gelap dan tiada garisan jalan.

Kembali semula ke laluan utama Hubungan Tun Razak. Sebaik melepasi persimpangan LILO ke laluan cabang ke Jalan Gombak FT68, ada satu jalan susur keluar ke Bandar Baru Sentul. Dari Bandar Baru Sentul, jika anda hendak memasuki E33, anda perlu keluar ke Jalan Pahang dan menggunakan jalan susur masuk dari Jalan Pahang kerana jalan susur masuk dari Bandar Baru Sentul dalam projek DUKE 2 E33 hanya membolehkan anda pergi ke arah Jalan Duta sahaja.

Seperti laluan arah utara, laluan arah selatan dibina di atas Jalan 1/48a, Jalan 9/48a dan Jalan Pahang. Hubungan Tun Razak ini ternyata begitu nikmat ketika digunakan semasa waktu gegas. Secara amnya, laluan arah selatan bagi Hubungan Tun Razak ini berkeadaan bagus. Namun, apa yang tidak memuaskan saya semasa saya mencuba laluan arah selatan ini ialah tahap pencahayaan yang teruk disebabkan banyak lampu jalan yang tidak berfungsi. Jika dibandingkan, laluan arah utara pula boleh dikatakan hampir kesemua lampu jalan berfungsi dengan sempurna. Tambahan pula, insiden banyak lampu jalan tidak menyala ini berlaku pada hari pertama pembukaannya pula tu. Justeru, saya memohon kepada Kesturi agar dapat menyelesaikan segera masalah lampu tidak berfungsi ini kerana tanpa sistem pencahayaan yang bagus, maka keadaan lebuh raya akan jadi berbahaya terutamanya di selekoh tajam di persimpangan. Oh, sebut tentang lampu jalan tidak menyala, saya juga meminta Kesturi agar dapat memeriksa lampu-lampu jalan di susur masuk pusingan U di Exit 3310 Persimpangan Greenwood kerana kerosakan lampu jalan di situ menyebabkan selekoh hairpin di situ bertambah berbahaya.

Dengan siapnya Hubungan Tun Razak yang merupakan salah satu daripada komponen projek DUKE 2 bernilai RM1.18 bilion, maka laluan ini sememangnya menjadi laluan wajib saya untuk berulang-alik ke tempat kerja. Kini saya boleh ucapkan selamat tinggal kepada kesesakan di Jalan Kampung Bandar Dalam, Persimpangan Petron Taman Dato Senu dan kawasan Sentul Pasar. Hubungan Tun Razak ini menjanjikan penjimatan masa yang amat ketara terutamanya semasa waktu gegas. Tapi macam biasalah, kemudahan ini tidak datang secara percuma dan ada ongkosnya. Ongkosnya sama sahaja seperti di Plaza Tol Sentul Pasar iaitu RM2.50 sahaja. Anda terasa mahal...? Apa susah, lain kali gunakan motosikal kalau hendak pergi bekerja, macam yang saya buat. Kereta pula anda simpan untuk kegunaan hari hujan ataupun jika perlu mengangkut banyak barangan atau orang. Pada saya, apa yang lebih penting ialah saya kini boleh ucapkan selamat tinggal kepada azab kesesakan di Sentul setiap kali saya berulang-alik ke tempat kerja.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E33
Panjang 9 km
Arah laluan: Utara-selatan (Sentul-Bulatan Pahang)
Bilangan lorong: 6
Laman web: http://www.duke.com.my







Memasuki Hubungan Tun Razak di Plaza Tol Baru Sentul Pasar






Banyaknya nama destinasi - oleh kerana terlalu banyak destinasi dilambakkan pada papan tanda yang sama, kedudukan lorong yang betul adalah penting supaya anda tidak terlajak






Memasuki laluan cabang ke Jalan Gombak FT68






Terowong separa "ala Monaco" di laluan cabang Jalan Gombak






Rupanya terowong "ala Monaco" itu sebenarnya sebahagian Persimpangan Jalan Gombak






Memasuki semula dari Jalan Gombak FT68 - dari sini, anda hanya boleh ke Jalan Duta dan Ulu Klang tetapi tidak boleh ke Bulatan Pahang & Batu Caves - gunakan Exit 3309 Persimpangan Kg. Bandar Dalam untuk ke 2 destinasi tersebut






Pencahayaan kurang memuaskan kerana banyak lampu jalan yang tidak berfungsi - diharap agar Kesturi dapat membaikinya segera






Susur keluar ke Bandar Baru Sentul






Laluan arah utara terang-benderang tetapi arah selatan pula gelap - jika semua lampu jalan befungsi, pasti keindahan panorama bandar raya Kuala Lumpur semakin terserlah






Hanya 1 km lagi sebelum penamat Hubungan Tun Razak di Bulatan Pahang






Penamat Hubungan Tun Razak di Persimpangan Bulatan Pahang - belok kanan ke Bulatan Pahang, dan belok kiri ke Lebuhraya Sultan Iskandar FT2 & Jalan Tun Razak






Seterusnya cabang ke kiri berpecah lagi - cabang kanan ke jalan susur ke Jalan Ipoh / Lebuhraya Sultan Iskandar manakala cabang ke kiri pula ke Jalan Tun Razak

Wednesday, May 24, 2017

DUKE 2 E33: Hubungan Tun Razak - pelengkap Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 / Tun Razak Link - perfecting the Kuala Lumpur-Kuantan Road FT2




Salam sejahtera,

Pada 23 Mei 2017 jam 8.00 pm, salah satu komponen projek Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) 2 E33 iaitu Hubungan Tun Razak selamat dibuka kepada lalu lintas. Jajaran tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta disaksikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Hj. Ismail bin Md. Salleh. Laluan sambungan sepanjang 9 km ini menghubungkan antara Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar dengan Bulatan Pahang yang menjadi titik permulaan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2.

Mungkin ada di antara anda yang tertanya-tanya, kenapa pula saya katakan Hubungan Tun Razak ini sebagai pelengkap Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2...? Semuanya berpunca daripada sejarah gelap pembinaan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 yang didedahkan oleh Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) dalam buku mereka mengenai pembinaan Lebuhraya Duke E33. Mengikut sejarah, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 sepatutnya berakhir di Batu 3 Jalan Pahang FT2. Namun, komplikasi perundangan telah mengakibatkan projek Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 sekadar dimatikan di Kampung Bandar Dalam dan bukannya di Jalan Pahang FT2, di mana berlaku pertikaian mengenai pengambilalihan tanah di Kampung Puah dan Kampung Chubadak yang dipenuhi kawasan setinggan sehingga dibawa ke mahkamah. Pertikaian tersebut berlaku kerana terdapat ramai penduduk setinggan yang enggan berpindah meskipun sudah menerima pampasan daripada kerajaan. Semasa ia dibawa ke mahkamah, keputusan memihak kepada kumpulan penduduk setinggan tersebut. Daripada situlah bermulanya episod kota sesat FT2 di Kuala Lumpur. Namun, semasa pembinaan Lebuhraya Duke E33 pula, keputusan mahkamah kali ini memihak kepada Kesturi yang sudah pun bersiap-sedia dengan fakta-fakta kes, membolehkan jajaran baki bagi Lebuhraya KL-Karak FT2 yang diambil alih bagi projek Lebuhraya Duke E33 disambung sehingga ke Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar, dan kali ini ia dipanjangkan lagi sehingga ke Bulatan Pahang.

Itu baru cerita sejarah gelap FT2 yang diselesaikan melalui pembinaan Lebuhraya Duke E33 serta sambungannya iaitu Hubungan Tun Razak. Namun, sebab utama yang sering disebut-sebut oleh Kesturi sebagai sebab nombor satu bagi pembinaan Hubungan Tun Razak sudah tentulah masalah kesesakan di pusat bandar raya Kuala Lumpur yang hendak memasuki E33 - dari pusat bandar raya, pengguna jalan raya yang hendak memasuki E33 perlu meredah azab kesesakan di Jalan Pahang FT2 sebelum memasuki Lebuhraya Duke E33, dan kalau hendak keluar dari E33 ke pusat bandar raya pula, kena keluar melalui Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam dan seterusnya melalui Jalan Sentul, ataupun melalui Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching dan seterusnya melalui Jalan Kuching FT1. Dengan kata lain, sama ada meredah azab kesesakan jalan raya ataupun terpaksa melencong jauh.




Reka bentuk jajaran Hubungan Tun Razak


Jadi bagaimana rasanya pengalaman menggunakan Hubungan Tun Razak ini...? Sepatutnya saya hendak mencubanya semalam, tetapi atas sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa membatalkan terlebih dahulu hasrat untuk mencubanya. Jadi saya ingin meminjam sebentar gambar-gambar yang diambil oleh Puan Misiah Taib dari Kementerian Kerja Raya sebelum saya mencubanya sendiri pada bulan Ramadan ini. Jadi, ini beberapa komen awal saya mengenai Hubungan Tun Razak ini:-
  1. Daripada gambar-gambar yang ditunjukkan oleh Puan Misiah, ada dua perkara utama yang saya kurang berpuas hati di sini, iaitu reka bentuk Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar yang diubahsuai serta papan tanda yang digunakan.
  2. Cara Hubungan Tun Razak dihubungkan untuk trafik dari arah Batu Caves ke Bulatan Pahang boleh dikatakan terbaik. Namun, cara laluan dari arah berlawanan dihubungkan pula tidak memuaskan - sebaik melepasi Bandar Baru Sentul, anda perlu melalui satu hairpin tajam yang direkabentuk hanya untuk kelajuan sekitar 20-35 km/j sebelum memasuki Hubungan Karak bagi laluan terus. Dengan kata lain, anda pecut, anda menempah maut. Selain itu, reka bentuk sebegitu boleh menyebabkan kesesakan yang tidak sepatutnya berlaku, bahana semua pengguna lebuh raya terpaksa memperlahankan kelajuan.
  3. Dari arah Jalan Duta melalui laluan utama E33, anda perlu belok kiri ke arah utara, kemudian ambil cabang kiri di Plaza Tol Sentul (memintas Plaza Tol Sentul yang asal), melalui pusingan U bertingkat ke Plaza Tol Sentul tambahan, dan akhir sekali memasuki Hubungan Tun Razak. Itu masih lagi boleh dikira ok dan masuk akal lagi.
  4. Namun, cara lalu lintas dari arah Ulu Klang dihubungkan ke Hubungan Tun Razak pula paling mengarut sama sekali. Anda bayangkan, untuk ke kiri, anda perlu memasuki susur ke arah kanan (arah Batu Caves), kemudian melalui pusingan U bertingkat ke Plaza Tol Sentul tambahan, dan akhir sekali barulah memasuki Hubungan Tun Razak. Kenapa tidak bina sahaja tanjakan terus ke kiri dengan tiga lorong tol...? Bukankan lebih mudah begitu...?
  5. Ada dua sebab utama kenapa saya menghentam cara lalu lintas dari arah timur (Ulu Klang) dihubungkan ke Hubungan Tun Razak melalui sambungan yang tidak masuk akal seperti yang saya nyatakan dalam kenyataan keempat tadi. Pertama, ia bakal menyumbang kepada kesesakan di Plaza Tol Sentul yang ironinya merupakan plaza tol terkecil di sepanjang Lebuhraya Duke E33. Kedua, ia menyumbang kepada konflik jalinan antara lalu lintas dari arah Ulu Klang yang perlu himpit ke kiri di Plaza Tol Sentul untuk ke Hubungan Tun Razak dengan lalu lintas dari Bulatan Pahang yang perlu himpit ke kanan untuk ke Batu Caves. Sesebuah lebuh raya ekspres sepatutnya direkabentuk bagi meminimumkan titik-titik konflik bagi meningkatkan tahap keselamatannya, bukannya menambah parah akan titik konflik sedia ada. Justeru, lebuh raya yang gagal menangani titik-titik konflik merupakan lebuh raya yang direkabentuk untuk gagal.
  6. Sekarang kita pergi pula kepada papan tanda yang digunakan. Nampak gayanya kelemahan papan tanda yang pernah saya sebut dalam reviu Lebuhraya Duke E33 masih berterusan tanpa sebarang pengajaran yang diambil.
  7. Isu "simpang lorong tikus" di hadapan Exit 3309 Persimpangan Sentul Pasar (arah utara) masih lagi tidak ditangani oleh pihak Kesturi. Jika dibandingkan, laluan bagi arah selatan pula dihubungkan ke Taman Pelangi melalui simpang LILO yang sempurna. Kenapa Kesturi tidak pula melakukannya bagi laluan arah utara pula...? Simpang lorong tikus sebegitu sangat berbahaya serta boleh menyebabkan kemalangan maut akibat kenderaan yang berhenti mengejut. Saya sendiri pun beberapa kali nyaris kemalangan di situ disebabkan konflik dengan kenderaan dari laluan utama yang hendak keluar ke Taman Pelangi.

Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa saya ini sangat kejam, kerana baru sehari sahaja lebuh raya baharu dibuka sudah saya kecam. Ya, Lebuhraya Duke E33 juga merupakan sekutu rapat bagi Blog Jalan Raya Malaysia, jadi disebabkan Lebuhraya Duke E33 sekutu rapat BJRM inilah saya perlu menegur apa sahaja yang tidak kena pada Lebuhraya Duke E33 supaya mereka boleh mengambil tindakan penambahbaikan sebelum mereka dikecam lebih teruk oleh pengguna lebuh raya pula. Tambahan pula, memang sudah jadi etika saya sebagai penulis blog jalan raya untuk tidak mengatakan sesuatu yang teruk itu sebagai "bagus", tak kiralah walau serapat mana pun saya dengan Menteri Kerja Raya.

Kepada Kesturi, mohon maaf zahir batin sekiranya reviu yang diadakan selepas baru sahaja sehari Hubungan Tun Razak dibuka ini berbunyi agak keras dan kejam. Saya menegur bukan untuk menghentam secara membuta-tuli semata-mata, tetapi kerana saya mahu rangkaian jalan raya dan lebuh raya Malaysia dihormati dan dimartabatkan. Jadi sebab itulah apa sahaja yang tidak betul pada jalan raya dan lebuh raya Malaysia memang saya akan bising. Bukan kerana benci, tapi kerana sayang. Akhir kata, semoga apa sahaja kelemahan yang telah pun saya kenal pasti melalui reviu kali ini mendapat perhatian Kesturi dan seterusnya dilakukan usaha pembaikan dan penambahbaikan agar kecacatan tersebut tidak berlarutan.





Persimpangan Bulatan Pahang dari arah Jalan Tun Razak (arah lawan jam)




Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar dari arah Hubungan Tun Razak




Hubungan Tun Razak di atas Jalan Pahang FT2




Hubungan Tun Razak berhampiran Persimpangan Bulatan Pahang - rekaan papan tanda yang digunakan tidak memuaskan kerana ikut perangai DBKL
(Kredit gambar: Puan Misiah Taib)

Tuesday, June 2, 2015

Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 bakal membentuk Jalan Lingkaran Tengah KL 1.5 (MRR1.5) / Duke Expressway E33 Phase 3 may form KL Middle Ring Road 1.5 (MRR1.5)




Salam sejahtera,

Tatkala pembinaan projek Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 sedang berjalan bagi menghubungkan antara Lebuhraya Duke E33 sedia ada dengan Jalan Tun Razak dan Jalan Sungai Buloh FT54, Ekovest Berhad melalui anak syarikatnya Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) baru-baru ini mengumumkan untuk memanjangkan lagi Lebuhraya Duke E33 untuk membentuk satu sistem lebuh raya lingkaran terbaru di Kuala Lumpur. Ia bertujuan bagi menyediakan satu laluan sebelah timur yang menghubungkan antara lebuh raya di sebelah utara Kuala Lumpur (Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 dan NKVE E1) dengan lebuh raya di sebelah selatan (Lebuhraya KL-Seremban E37, Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan Lebuhraya Persekutuan FT2). 

Tidak seperti fasa-fasa sebelumnya serta lebuh raya lain di Lembah Klang yang semata-mata menghubungkan antara kawasan-kawasn utama di situ, projek Duke 3 ini pula sangat berbeza kerana ia bertujuan memirau lalu lintas luar daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur serta menghubungkan antara stesen-stesen pengangkutan awam jika hendak ke pusat bandar raya. Dengan kata lain, anda boleh jangkakan kebanyakan daripada persimpangan di sepanjang Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 nanti merupakan persimpangan terus ke tempat parkir stesen komuter, LRT dan MRT, atau setidak-tidaknya persimpangan ke kawasan yang berhampiran dengan stesen komuter, LRT dan MRT. Tatkala lebuh raya lain hanya disifatkan sebagai menambah parah kesesakan sedia ada dengan menggalakkan lebih banyak penggunaan kereta melalui induced demand, serius saya katakan bahawa saya sangat suka akan idea sebegini yang mana dalam projek Duke 3 ini Kesturi mahu menggalakkan lebih banyak penggunaan pengangkutan awam, dan mereka mahu melihat lebuh raya mereka benar-benar berfungsi bukan sahaja untuk memirau lalu lintas tetapi juga sebagai laluan utama ke stesen pengangkutan awam. Secara keseluruhannya, projek ini dijangkakan mampu mengurangkan sehingga lebih kurang 50,000 kenderaan daripada memasuki pusat bandar raya. Sebab itulah projek Duke 3 ini mendapat kelulusan dengan sebegitu mudah oleh Jabatan Perdana Menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kerja Raya (KKR). 

Sebenarnya sebelum ini konsep sebegini pernah cuba diperkenalkan oleh syarikat konsesi Kidex bagi mendapatkan sokongan bagi projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), tetapi malangnya ia dibatalkan secara unilateral oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, meskipun Kidex merupakan projek lebuh raya persekutuan dan kerajaan negeri tiada hak langsung untuk membatalkannya. Dalam projek Duke 2 bagi laluan Segambut-Bukit Maluri, Kesturi memang sudah merancang untuk membina sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) di Segambut yang turut berfungsi sebagai hentian park and ride bagi menggalakkan orang-orang Menjalara dan Bukit Maluri untuk menggunakan perkhidmatan KTM Komuter untuk ke pusat bandar raya.

Dalam projek Duke 3 ini, hubungan ke stesen-stesen pengangkutan awam bukan sahaja melibatkan laluan Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 sahaja, tetapi ia turut melibatkan fasa pertama dan kedua. Selain itu, Lebuhraya Duke E33 turut dirancang bagi melengkapkan sistem Jalan Lingkaran Tengah KL 1.5, jadi ia tentunya memerlukan kerjasama dan penglibatan dua lagi syarikat konsesi iaitu Anih Berhad (bagi Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37) dan Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) (bagi Lebuhraya Sprint E23) yang melengkapkan sistem MRR1.5 ini.

Stesen-stesen pengangkutan awam yang bakal dihubungkan dalam projek Duke 3 ini adalah seperti berikut:-
  1. Stesen KTM Segambut (sedang dihubungkan ke R&R Segambut dalam projek Duke 2)
  2. Stesen MRT Batu Kentonmen
  3. Stesen KTM Sentul
  4. Stesen LRT Setiawangsa (sudah dihubungkan melalui Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa)
  5. Stesen LRT Jelatek
  6. Stesen LRT Chan Sow Lin
  7. Stesen LRT Salak Selatan
  8. Stesen KTM Siputeh
  9. Stesen LRT Kerinchi
  10. Stesen MRT Phileo Damansara

Sementara itu, Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 akan dibina di atas Jalan Setiawangsa, Jalan Jelatek, Jalan Desa Pandan dan Jalan Kampung Pandan, seterusnya melalui kawasan perindustrian Chan Sow Lin dan Salak Selatan, dan berakhir di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 di Salak Selatan. Projek Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 ini juga akan dikenali sebagai Lebuhraya Pintasan Bandaraya KL E33.

Setakat ini, belum ada pengesahan oleh pihak Ekovest mahupun Kesturi mengenai butiran persimpangan yang bakal dibina di sepanjang Lebuhraya Pintasan Bandaraya KL E33 ini nanti, jadi sama-samalah kita nantikan pengumuman oleh Ekovest dan Kesturi mengenainya.

Sumber berita: The Rakyat Post & The Star

Wednesday, April 9, 2014

Lagi maklumat mengenai Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 didedahkan oleh Kesturi / More information regarding Duke Expressway E33 revealed by Kesturi




Salam sejahtera,

Berikutan pengumuman pembinaan fasa kedua Lebuhraya Duke E33 oleh Kesturi dan Ekovest Bhd. pada penghujung tahun lalu, kami telah mengadakan satu analisis mengenai jajaran yang bakal dibina bagi fasa kedua E33 ini. Baru-baru ini, Kesturi telah melancarkan satu blog khas bagi menerangkan mengenai jajaran yang bakal dibina dalam projek fasa kedua Lebuhraya Duke E33 serta perkembangan pembinaannya, boleh dilayari di http://dukehighway2.blogspot.com.





Kali ini, saya akan dedahkan bagaimana rupa jajaran Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 yang hendak dibina itu. Kita mulakan dengan Hubungan Tun Razak terlebih dahulu, yang menghubungkan antara Lebuhraya Duke E33 dengan Jalan Tun Razak:-
  1. Hubungan Duta akan dibina di atas Jalan 1/48A (di Bandar Baru Sentul), Jalan 9/48A dan Jalan Pahang sebelum berakhir di Jalan Tun Abdul Razak.
  2. Selain itu, satu lagi laluan cabang turut dibina bagi menghubungkan Plaza Tol Sentul dengan Jalan Gombak FT2/FT68. Sebuah persimpangan bertingkat jenis trompet akan dibina di Jalan Gombak FT2/FT68 betul-betul di sebelah bangunan Wisma Ekovest. Laluan cabang ini dihubungkan ke Hubungan Karak dan Hubungan Tun Razak melalui simpang LILO.
  3. Plaza Tol Sentul akan diperbesarkan dengan menambah enam lagi lorong tol untuk laluan dari arah utara (Hubungan Karak) ke Hubungan Tun Razak.
  4. Bagi penamat Hubungan Tun Razak di Bulatan Pahang, susur keluar masuk bagi Jalan Tun Razak arah jam dibina sebegitu panjang di atas Jalan Tun Razak dan dijangka akan berakhir di jejambat Jalan Tun Razak dekat Institut Jantung Negara. Sementara itu pula, susur keluar masuk ke Jalan Tun Razak arah lawan jam pula dibina sekadar tanjakan susur keluar masuk biasa sahaja di Bulatan Pahang, jadi anda boleh jangkakan masalah jalinan (weaving) yang berterusan di situ.






Berikut merupakan maklumat bagi Hubungan Sri Damansara pula:-
  1. Persimpangan Segambut yang menjadi permulaan kepada Hubungan Sri Damansara akan dibina betul-betul di lintasan kereta api di Segambut, dengan mempergunakan Jejambat Segambut sedia ada. Seterusnya, Hubungan Sri Damansara dibina di sebelah timur landasan kereta api dan kemudian melintasi landasan kereta api tersebut untuk ke Plaza Tol Segambut yang dibina di sebelah Taman Sri Sinar Driving Range. Seterusnya, Hubungan Sri Damansara dibina di atas Jalan 1/38A dan Jalan Taman Bukit Maluri sehingga ke penghujungnya di KL MRR2 FT28.
  2. Persimpangan Bandar Manjalara yang selama ini merupakan persimpangan separa berlian berlampu isyarat akan diubah menjadi persimpangan aliran bebas.
  3. Plaza Tol Segambut dibina dengan jumlah lorong tol sebanyak 18 kesemuanya.

Kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 melibatkan penutupan beberapa buah jalan sedia ada selama 26 bulan, iaitu Jalan 1/48A, Jalan 9/48A (kedua-duanya di Bandar Baru Sentul), serta jajaran Jalan Taman Bukit Maluri / Jalan 1/38A dari simpang Jalan Helang Sawah sehingga Jalan 3/62B.

Sunday, February 23, 2014

Analisis Lebuh Raya Cadangan: Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) E33 Fasa 2 / Proposed Expressway Analysis: Duta-Ulu Klang Expressway (Duke) E33 Phase 2



Peta laluan Lebuhraya Duke E33 sedia ada bersama-sama dengan laluan Fasa 2 yang sedang dalam pembinaan
(Kredit kepada : Berita Harian)


Salam sejahtera,

Masih ingat lagi tentang reviu eksklusif Lebuhraya Duke E33 dua tahun lalu...? Kali ini saya ingin bawakan kepada anda sedikit-sebanyak mengenai projek sambungannya yang menghubungkan jajaran Lebuhraya Duke E33 sedia ada ke Jalan Tun Razak, Jalan Gombak dan Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 melalui Segambut ke Kepong.

Pembinaan fasa kedua Lebuhraya Duke E33 diumumkan oleh Ekovest Bhd., pemegang saham utama dalam Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) melalui anak syarikatnya, Nuzen Corp. Sdn. Bhd., pada 14 November 2013 dan dijangka siap pada penghujung tahun 2016. Pembinaan fasa kedua E33 dianggarkan menelan belanja sebanyak RM1.183 bilion, dengan panjang laluan sambungan iaitu 7 km (bagi laluan Segambut) dan 9 km (bagi laluan Jalan Tun Razak).

Kenapa fasa kedua E33 perlu dibina...? Sebab pertama  kenapa sambungan E33 perlu dibina adalah bagi memperoleh kesinambungan Jalan Persekutuan 2, kerana selama ini ramai yang tidak tahu akan jajaran sebenar FT2 yang merentasi Kuala Lumpur. Jalan Persekutuan 2 diwartakan sejauh 276.9 km bermula dari Pelabuhan Klang dan seterusnya melalui Kuala Lumpur sebelum merentasi Banjaran Titiwangsa untuk memasuki negeri Pahang sehinggalah sampai di penamatnya di Pelabuhan Tanjung Gelang, Kuantan. Namun, perubahan demi perubahan yang dilakukan terhadap rangkaian jalan raya Kuala Lumpur telah menghilangkan kesinambungan (continuity) bagi Jalan Persekutuan 2 sehinggakan menjejak jajaran FT2 di Kuala Lumpur ibarat merentasi kota sesat. Turut menambah parah keadaan adalah kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai agen pelaksana untuk menandakan jajaran laluan FT2 serta jalan-jalan persekutuan dan negeri yang merentasi Kuala Lumpur. 

Asalnya, laluan untuk ke Kuantan dan Pahang adalah melalui Jalan Pahang dan Jalan Gombak. Pengguna jalan raya dari Jalan Kuala Lumpur-Klang (kini Lebuhraya Persekutuan FT2) terpaksa melalui kota sesat di tengah-tengah pusat bandar lama Kuala Lumpur sebelum bertemu dengan Jalan Pahang di Chow Kit. Bagi menyelesaikan isu kesinambungan jalan antara jalan Kuala Lumpur-Klang dengan Jalan Pahang dan Jalan Gombak, maka kerajaan persekutuan membina Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur-Petaling Jaya, yang mana ia turut dikenali sebagai Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur (KL MRR1), yang merangkumi Jalan Tun Razak, Lebuhraya Mahameru dan Jalan Damansara sebelum akhirnya memasuki Jalan Syed Putra FT2 melalui Persimpangan Istana Negara. 

Setelah Lebuhraya Karak FT2 dibuka pada 7 Januari 1978, Lebuhraya Karak pula diwartakan sebagai sebahagian Jalan Persekutuan 2, manakala Jalan Gombak lama itu pula diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 68. Akibatnya, pengguna dari Jalan Pahang dan Jalan Gombak perlu melalui Jalan Kampung Bandar Dalam yang sempit dan hanya selebar 2 lorong sahaja sebelum memasuki Lebuhraya Karak FT2. Sehingga sekarang pun Jalan Kampung Bandar Dalam kekal sempit dan selebar 2 lorong sahaja, tetapi ramai yang tidak tahu bahawa ia sebenarnya sebuah jalan persekutuan. Nak lebarkannya pun susah kerana banyak rumah dan premis di sepanjang Kampung Bandar Dalam yang perlu dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja pelebaran jalan.

Justeru, memandangkan fasa kedua Lebuhraya Duke E33 menghubungkan secara terus antara Hubungan Karak yang memang merupakan sebahagian daripada jajaran Jalan Persekutuan 2 (kerana ia dibina menggunakan jajaran baki Lebuhraya Karak FT2 yang tidak digunakan) dengan Jalan Tun Razak, maka sudah tentulah sambungannya itu berupaya menyelesaikan masalah kesinambungan laluan Jalan Persekutuan 2. Selesai satu masalah! Oleh itu, setelah projek sambungan E33 siap kelak, saya ingin menggesa Kementerian Kerja Raya agar melakukan penjajaran semula bagi laluan Jalan Persekutuan 2 dengan menggunakan laluan Hubungan Jalan Tun Razak sebagai sebahagian laluan FT2, dan seterusnya jata laluan E33 dan FT2 perlulah digunakan bersama-sama oleh Kesturi bagi kedua-dua Hubungan Karak dan Hubungan Jalan Tun Abdul Razak.

Sebab kedua kenapa sambungan E33 perlu dibina ialah bagi menyediakan satu lagi laluan jejari dari pusat bandar raya ke Kepong dan Sri Damansara. Ia sudah tentu berupaya menjadi alternatif kepada Jalan Kepong FT54 yang sesak dan memerlukan anda melalui banyak persimpangan lampu isyarat.

Seterusnya, di manakah pula laluan Hubungan Jalan Tun Razak dan Hubungan Segambut ini dibina...? Hubungan Jalan Tun Razak bermula di Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar dan seterusnya dibina di atas Jalan 1/48A dan Jalan 9/48A di Bandar Baru Sentul, diikuti Jalan Pahang sehinggalan ke Bulatan Pahang. Sementara itu, Hubungan Segambut bermula di bahagian E33 yang melintasi landasan kereta api berhampiran dengan Stesen Keretapi KTM Segambut dan dibina di atas Jalan 1/38A di Segambut dan seterusnya Jalan Taman Bukit Maluri sehinggalah di penamatnya di Persimpangan Taman Bukit Maluri di MRR2 FT28.

Sungguhpun demikian, terdapat beberapa kelemahan yang saya dapat kenal pasti pada jajaran-jajaran baharu tersebut. Antaranya, jarak antara Persimpangan Taman Bukit Maluri terlalu hampir dengan Persimpangan Sri Damansara yang menjadi permulaan kepada Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11. Dalam keadaan sekarang pun, jajaran MRR2 FT28 antara kedua-dua persimpangan tersebut sering berlaku cerutan (bottleneck), maka jika Fasa 2 Lebuhraya Duke E33 itu siap nanti, sudah tentulah kesesakan akan bertambah parah di situ.

Selain itu, jajaran Hubungan Jalan Tun Razak yang berakhir di Bulatan Pahang kelak mempunyai pelbagai isu yang perlu ditangani oleh Kesturi, kerana Bulatan Pahang terkenal kerana kesesakannya setiap kali waktu puncak. Memilih lokasi susur keluar masuk Persimpangan Bulatan Pahang bagi arah jam (arah KLCC) tidak menjadi masalah, tetapi masalah besar timbul bagi laluan susur keluar masuk bagi arah lawan jam (arah Bangunan Parlimen). Jarak antara Bulatan Pahang dengan Persimpangan Jalan Ipoh terlalu dekat dan seterusnya mengakibatkan konflik jalinan (weaving) berlaku di laluan sampingan antara kenderaan yang hendak keluar masuk Jalan Pahang dengan Jalan Ipoh. Tidak jauh dari situ pula terletaknya Persimpangan PWTC yang menghubungkan Jalan Tun Razak dengan Jalan Kuching FT1. Tidak cukup dengan itu, Ekovest perlu juga menangani masalah konflik dengan laluan LRT Aliran Ampang dan KL Monorel. Jadi, ke manakah susur keluar masuk bagi arah Parlimen sepatutnya dibina...? Saya menunggu penyelesaian daripada pihak Kesturi untuk mengetahui jawapannya.

Jadi bagaimanakah rupa Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 apabila siap nanti...? Sama-samalah kita nantikan pembukaan E33 Fasa 2 pada tahun 2016...!!!

Sunday, June 10, 2012

Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) E33 / Duta-Ulu Klang Expressway (Duke) E33

Salam sejahtera,

Setelah banyak membuat reviu jalan raya di luar Kuala Lumpur, entri kali ini ialah mengenai salah satu lebuh raya utama di Kuala Lumpur iaitu Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) E33.

Lebuhraya Duke E33, Lebuhraya Asia AH141 (Jalan Duta-Sentul Pasar-Greenwood), yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Penyuraian Utara-Timur KL mula dibina pada tahun 2006 dan dibuka kepada lalu lintas pada tahun 2009. Lebuh raya ini diuruskan oleh Konsortium Expressway Timur Utara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Kesturi), salah satu anak syarikat MRCB yang turut menguruskan Lebuhraya JB EDL E14 melalui MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. Ia dibina sebagai hubungan terus antara Lebuhraya Utara-Selatan E1 ke Ulu Klang dan Lebuhraya Karak E8 / FT2. Lebuh raya ini dibina mengikut konsep roda di mana Jalan Lingkaran Tengah 2 KL (MRR2) FT28 bertindak sebagai lilitan roda manakala Lebuhraya Duke itu sendiri bertindak sebagai jejari.

Memandangkan dua bahagian hujung E33 ini berakhir di MRR2 FT28, maka ramai yang menganggap lebuh raya E33 ini hanya sekadar menambah sesak MRR2 FT28 yang sudah sedia sesak. Hakikatnya, FT28 memang sedia sesak kerana ia dibina dengan kawalan masuk separa kerana MRR2 menggunakan jalan-jalan arteri sedia ada untuk dijadikan sebagai satu "laluan baharu" serta membiarkan persimpangan jalan-jalan kecil sedia ada. Sekurang-kurangnya MRR2 diwartakan sebagai jalan persekutuan dan bukan lebuh raya ekspres kerana tidak memenuhi keperluan kawalan masuk penuh.

Tidak banyak persimpangan penting utama di sepanjang E33 ini. Kebanyakan persimpangan yang ada ialah persinmpangan separa, dan ia memang direka sebegitu rupa supaya setiap pemandu yang melalui lebuh raya ini perlu membayar tol sekali sahaja di salah satu daripada 3 plaza tol yang ada iaitu Plaza Tol Batu, Plaza Tol Sentul Pasar dan Plaza Tol Ayer Panas. Setiap plaza tol adalah jenis separa bagi satu laluan lebuh raya sahaja.

Saya memulakan perjalanan meneroka E33 ini dari arah Jalan Duta melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1. Di Exit 3301 Persimpangan Jalan Duta, laluan dari arah Jalan Duta ke Plaza Tol Jalan Duta dikekalkan, tetapi lalu lintas dari plaza tol pula dilencongkan terus ke E33; anda perlu keluar di Exit 3301 Persimpangan Jalan Duta jika hendak ke pusat bandar raya Kuala Lumpur melalui E1. Exit 3301 dibina di tapak asal selekoh yang sangat tajam berhampiran Plaza Tol Jalan Duta yang hanya selamat dilalui pada kelajuan 60 km/j.

Persimpangan seterusnya, Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching terletak tidak jauh daripada Exit 3301. Persimpangan ini bukanlah persimpangan 100% penuh sungguhpun ia merupakan salah satu persimpangan utama di sepanjang E33. Lalu lintas dari arah Jalan Duta yang keluar ke Jalan Kuching FT1 hanya boleh ke arah utara, begitu juga dengan lalu lintas dari arah Plaza Tol Batu yang hanya boleh ke pusat bandar raya. Hanya lalu lintas dari arah utara melalui FT1 sahaja yang berpeluang ke kedua-dua arah.

Plaza Tol Batu adalah plaza tol yang terbesar di lebuh raya ini. Ia hanya mengutip tol untuk lalu lintas ke arah Jalan Duta (arah timur). Sebaik sahaja melepasi Plaza Tol Batu, E33 melalui laluan talian penghantaran elektrik voltan tinggi yang menjadi pembahagi jalan semula jadi. Laluan dari Plaza Tol Jalan Duta ke Jalan Pahang adalah laluan bertingkat.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar, yang menghubungkan laluan Sentul Pasar-Gombak untuk ke Lebuhraya Karak FT2, diikuti persimpangan bertingkat masuk dari Jalan Pahang. Jujur saya katakan, Persimpangan Jalan Pahang ini hanya sesuai untuk kenderaan ringan berikutan jalan masuknya yang begitu tajam selekohnya.

Plaza tol seterusnya ialah Plaza Tol Ayer Panas. Kali ini, ia mengutip tol bagi pengguna arah barat sahaja (dari arah Gombak / Jalan Duta). Terdapat beberapa persimpangan bertingkat kecil tetapi tidak perlulah saya sebutkan di sini, memandangkan ia hanya menghubungkan E33 dengan jalan-jalan kecil sahaja.

Sepanjang pemerhatian saya, kebanyakan jajaran bertingkat E33 tiada lorong kecemasan, berkemungkinan atas faktor ruang yang tidak mencukupi. Akibatnya, kenderaan kecemasan yang berhenti di tepi jalan akibat rosak berkemungkinan berdepan dengan risiko disondol dari arah belakang.

Kita teruskan dengan persimpangan seterusnya iaitu Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa. Persimpangan ini mengingatkan saya kepada Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang FT17 di Johor Bahru yang boleh dibuat sebagai persimpangan aliran bebas sepenuhnya tanpa lampu isyarat. Persimpangan terakhir bagi laluan utama E33 ini ialah Exit 3308 Persimpangan Hillview, yang menamatkan Lebuhraya Duke E33 di MRR2 FT28.

Bagi jajaran Sentul-Gombak pula, saya pada asalnya merancang untuk mencari pusingan U di MRR2 FT28, tetapi membatalkannya berikutan kesesakan di MRR2 arah Ampang. Sebaliknya, saya ke arah Jalan Genting Klang dan kembali memasuki E33 di Persimpangan Jalan Pahang.

Sebaik sahaja memasuki jajaran Sentul-Gombak terletaknya Plaza Tol Sentul Pasar. Plaza Tol Sentul Pasar ini adalah yang terkecil di se[anjang E33 dan mengutip tol ke arah utara (Gombak / Lebuhraya Karak E8 / FT2). Plaza tol ini sepatutnya dilebarkan kerana saiz plaza tol ini yang sempit telah menyebabkan berlakunya kesesakan lebuh raya sehingga berkilometer jauhnya jika warga kota hendak pulang ke kampung di kawasan Pantai Timur melalui Lebuhraya Karak E8 / FT2. Sebaik melepasi Plaza Tol Sentul Pasar terletaknya Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam.

Jajaran E33 dari Kampung Bandar Dalam ke Gombak sebenarnya menggunakan baki jajaran lama Lebuhraya Karak FT2 yang tidak digunakan. Oleh itu, memang ada beberapa persimpangan jalan kecil di sepanjang jajaran tersebut yang memang sudah wujud sejak Lebuhraya Karak FT2 dibina. Namun, apa yang saya tidak senangi ialah terdapat satu "persimpangan haram" dari laluan utama arah Gombak ke Taman Pelangi. Simpang jalan kecil sebegitu rupa sangat berbahaya kerana pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan haram berkenaan berdepan dengan risiko dilanggar dari belakang. Jika hendah masuk ke taman perumahan itu sekalipun, jalan masuknya sepatutnya diubah supaya boleh masuk melalui jalan susur masuk ke lebuh raya, bukannya dengan gaya "laluan tikus" sebegitu.

Persimpangan terakhir bagi E33 ialah Exit 3310 Persimpangan Greenwood, di mana laluan terus Lebuhraya Duke dilencongkan ke MRR2 FT28 untuk ke Lebuhraya Karak E8 / FT2. Jika diikutkan sejarah, Persimpangan Greenwood adalah persimpangan bertingkat tertua di E33, berikutan persimpangan tersebut wujud sejak Lebuhraya Karak FT2 dibuka pada tahun 1977 lagi. Jejambat di persimpangan tersebut asalnya 2 lorong sahaja sebelum satu lagi jejambat dibina bersebelahan semasa MRR2 dibina.

Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan kualiti binaan Lebuhraya Duke E33 ini. Namun, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu ditangani segera:-
  1. Lebuh raya ini menjadi sesak dalam masa tidak sampai 2 tahun selepas ia dibuka. Ia berikutan peranan lebuh raya ini yang menghubungkan antara Lebuhraya Utara-Selatan E1 dengan Lebuhraya Karak E8 secara terus. Saya difahamkan syarikat konsesi dengan pantas sudah merancang untuk melebarkan jalan-jalan susur kritikal yang sesak, namun saya tidak fikir ia berupaya menyelesaikan masalah ini dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, penyelesaian yang lebih baik ialah menambah baik sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
  2. Lebuh raya ini sering dijadikan sebagai tempat polis mengadakan sekatan jalan raya terutamanya di lorong motosikal. Saya faham sekatan jalan raya amat penting dalam penguatkuasaan peraturan jalan raya dengan lebih berkesan, namun terlalu banyak sekatan jalan raya akan menyebabkan pengguna lebuh raya menjadi rimas dan seterusnya menimbulkan stigma kononnya kerja polis hanya sekadar "membuat lauk" menyaman orang. Namun, keadaan Lebuhraya Duke E33 yang sering dijadikan litar lumba haram tentulah membawa kepada keadaan yang berlaku sekarang, dan masyarakat sewajarnya menghargai peranan polis membanteras lumba haram sehingga ada yang terkorban angkara mat-mat rempit bajingan tersebut, sebagaimana yang berlaku di Klang baru-baru ini.
  3. "Laluan haram" di Taman Pelangi dekat Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam (sudah dibincangkan tadi)
  4. Kelemahan terbesar lebuh raya ini ialah papan tanda yang digunakan. Terlalu banyak tulisan pada papan tanda menjadikan ia berselirat dan berserabut macam belacan. Bukan itu sahaja, papan tanda persimpangan diletakkan pada saat-saat akhir. Bagi papan tanda laluan utama, sepatutnya hanya 3 baris tulisan sahaja - destinasi utama bagi barisan paling atas, destinasi sekunder di barisan tengah, dan persimpangan berikutnya di barisan paling bawah. Mudah lagi ringkas. Sayangnya hanya papan tanda Exit 3308 Persimpangan Hillview dan Exit 3310 Persimpangan Greenwood sahaja yang betul-betul mengikut piawaian yang sepatutnya.


Apa pun, pujian harus diberikan kepada Kesturi kerana berjaya merancang dan membina lebuh raya ini dengan begitu baik tanpa mengikut amalan sesetengah syarikat konsesi tamak yang menggunakan jalan arteri sedia ada sebagai laluan lebuh raya "ekspres" yang tidak mengikut piawaian LLM. Sungguhpun jajaran Kampung Bandar Dalam menggunakan baki jajaran lama Lebuhraya Karak FT2, namun ia adalah langkah yang tepat bagi memastikan jajaran baki tersebut dimanfaatkan dan dimartabatkan sebaiknya.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Kemaskini: Fasa kedua Lebuhraya Duke E33 mula dibina pada November 2013 bagi menghubungkan Lebuhraya Duke E33 dengan Jalan Tun Abdul Razak dan KL MRR2 FT28 di Taman Bukit Maluri. Klik sini untuk butiran lanjut mengenainya.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E33
Panjang: 18 km
Arah laluan: Timur-barat (Jalan Duta-Ulu Klang); Utara-Selatan (Gombak-Sentul)
Bilangan lorong: 6
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.duke.com.my/







Exit 3301 Persimpangan jalan Duta (dari arah Jalan Duta)






Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching






Plaza Tol Batu






Jajaran lebuh raya di laluan talian penghantaran elektrik 275 kV






Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar






Plaza Tol Ayer Panas






Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa






Exit 3308 Persimpangan Hillview






Plaza Tol Sentul Pasar






Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam






Laluan haram yang boleh membahayakan pengguna lebuh raya di Taman Pelangi dekat Kampung Bandar Dalam






Exit 3310 Persimpangan Greenwood