Friday, September 29, 2017

DUKE 2 E33: Hubungan Tun Razak Bahagian 2 - laluan arah selatan kini dibuka! / Tun Razak Link Part 2 - southbound section now open!




Salam sejahtera,

Semalam (28 September 2017), satu lagi sejarah tercipta buat Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) kerana satu lagi komponen Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) E33 Fasa 2 sudah pun selamat dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Ia seterusnya menjadi pelengkap kepada jajaran utara Hubungan Tun Razak yang dirasmikan pada 23 Mei 2017.

Saya mendapat tahu akan berita perasmian jajaran selatan Hubungan Tun Razak semasa dalam perjalanan pulang ke rumah saya di Batu Caves dari Sentul melalui satu lorong tikus baharu untuk motosikal yang menghubungkan Taman Dato' Senu dengan Plaza Tol Sentul Pasar. Lorong tikus itu dibina oleh Kesturi bagi menggantikan jejambat motosikal yang dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek DUKE 2 E33. Semasa saya hendak keluar dari lorong motosikal Plaza Tol Sentul Pasar, saya terlihat ada sebegitu banyak kenderaan milik Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta Kesturi sendiri, di samping khemah untuk tetamu VIP. Daripada situlah saya ingin mengambil kesempatan untuk mencuba sendiri laluan arah selatan bagi Hubungan Tun Razak E33 di sebelah malamnya semasa pulang dari kerja.

Sebut tentang lorong tikus, pastinya ia akan mengingatkan anda kepada isu lorong tikus yang kontroversi di Taman Pelangi dekat Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam. Lebih seminggu lalu, saya dijemput oleh pihak Kesturi untuk membincangkan penyelesaian mengenai isu lorong tikus tersebut, di mana kami akhirnya sepakat memilih pendekatan membina satu tanjakan kekal di penghujung tanjakan susur masuk ke Lebuhraya DUKE E33 arah ke Greenwood, tetapi diasingkan laluannya agar tiada lagi konflik jalinan dengan lalu lintas di lorong-lorong trafik utama. Sebaliknya, pengguna E33 yang hendak ke Taman Pelangi perlu keluar ke persimpangan lampu isyarat Exit 3309 dan keluar ke tanjakan keluar ke Taman Pelangi sebelum jalan susur masuk ke E33 arah Greenwood berakhir. Pendekatan ini diambil setelah pihak pengurusan Kesturi memaklumkan kepada saya terdapat sebegitu banyak isu yang perlu diselesaikan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemilik rumah di Taman Pelangi dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Untuk pengetahuan anda, isu lorong tikus Taman Pelangi itu sebenarnya merupakan isu lama yang masih belum berjaya diselesaikan berikutan banyak isu seperti yang saya nyatakan tadi.

Kita kembali semula kepada reviu laluan arah selatan Hubungan Tun Razak E33 ini. Sejak pembukaan laluan arah utara Hubungan Tun Razak kepada lalu lintas, saya sering menjadikan Hubungan Tun Razak ini sebagai laluan harian untuk pulang ke rumah selepas bekerja. Namun, untuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur, saya masih perlu mengharungi kesesakan Jalan Sentul (dan Jalan Kampung Bandar Dalam). Masa perjalanan pulang dari Bulatan Pahang ke Batu Caves melalui Hubungan Tun Razak ini hanyalah tidak sampai 20 minit jika bermotosikal atau setengah jam jika menggunakan kereta. Sebelum wujudnya DUKE 2 E33, masa yang sama cuma mencukupi untuk perjalanan dari Batu Caves ke Sentul.

Memasuki Hubungan Tun Razak E33 dari Jalan Tun Razak sangat mudah. Dari arah jam (dari Lebuhraya Mahameru FT2), anda hanya perlu menaiki jejambat Bulatan Pahang dan terus belok kiri. Dari arah lawan jam pula (dari Institut Jantung Negara), anda hanya perlu ambil jalan susur ke kiri yang terletak sebelum susur ke Bulatan Pahang. Laluan arah utara ini membolehkan anda keluar ke arah Batu Caves dan Jalan Duta; jika anda hendak ke arah Ulu Klang pula, anda perlu melalui susur masuk dari Jalan Pahang ke laluan utama. Laluan arah selatan pula direka untuk pengguna dari arah Gombak dan Batu Caves. Bagi yang datang dari arah Jalan Duta dan Ulu Klang dan hendak ke pusat bandar raya, anda perlu memasuki Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar dan menggunakan pusingan U bertingkat untuk memasuki Hubungan Tun Razak.

Sebelum ini saya pernah mempersoalkan rekaan persimpangan sebegini kepada Kesturi, tetapi mereka menjelaskan kepada saya bahawa rekaan sebegini dihasilkan bagi menangani isu pengambilalihan tanah dan perobohan setinggan dengan kos seminima mungkin. Semasa mula-mula hendak membina laluan asal DUKE E33 sekalipun memang Kesturi sentiasa berhadapan dengan isu setinggan ini, baik pengambilalihan tanah, pembayaran pampasan, perobohan rumah dan penempatan semula penduduk setinggan ini. Justeru, reka bentuk persimpangan dioptimumkan dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dari Gombak, Sentul dan Batu Caves yang hendak ke pusat bandar raya atau sebaliknya. Pun begitu, pusingan U bertingkat disediakan bagi memenuhi keperluan pengguna dari arah Ulu Klang dan Setiawangsa (yang sebenarnya boleh menggunakan AKLEH E12) dan dari arah Jalan Duta (yang sepatutnya tidak perlu memasuki DUKE E33 pun), di samping untuk pengguna Hubungan Tun Razak yang hendak ke Jalan Gombak FT68.

Saya mencuba laluan Hubungan Tun Razak arah selatan pada waktu malam hari perasmian semasa dalam perjalanan pulang dari kerja, dalam keadaan cuaca baru lepas hujan. Sebaik sahaja memasuki susur ke Hubungan Tun Razak terletak Plaza Tol Baru Sentul Pasar. Tidak seperti kebanyakan plaza tol yang hanya ada satu lorong motosikal di mana motosikal perlu membahayakan diri memancung ke lorong paling kiri, Plaza Tol Baru Sentul Pasar pula ada dua lorong motosikal bagi arah yang berbeza; lorong paling kiri ialah untuk yang memasuki Hubungan Tun Razak dari pusingan U bertingkat, manakala lorong paling kanan pula ialah untuk motosikal dari arah Batu Caves yang hendak terus ke Bulatan Pahang. Namun, ia memerlukan Kesturi memasang papan tanda pemberitahuan agar penunggang motosikal tidak membahayakan diri memancung ke lorong paling kiri atau paling kanan.

Saya menggunakan lorong motosikal di sebelah kiri kerana saya ingin mencuba dahulu laluan cabang ke Jalan Gombak FT68. Persimpangan LILO ke Jalan Gombak FT68 terletak betul-betul selepas Plaza Tol Baru Sentul Pasar. Tidak jauh dari simpang LILO berjejari besar itu, ada sebuah terowong separa yang mana semasa saya menampilkan imej pratonton terowong tersebut di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia, ramai pembaca yang menyamakannya seperti terowong jalan raya di Monaco yang popular sebagai sebahagian laluan litar Formula 1. Oh, sebut tentang Formula 1, tahun 2017 ini merupakan tahun terakhir Litar Antarabangsa Sepang menganjurkan perlumbaan Formula 1, jadi siapa yang belum pernah menonton F1 di Litar Sepang, jangan lepaskan peluang terakhir ini kerana selepas ini anda tidak akan lagi dapat merasa sensasi raungan enjin F1 di negara sendiri. Tapi kenapa pula Kesturi membina terowong "ala Monaco" itu...? Rupa-rupanya, terowong tersebut ialah sebahagian daripada Persimpangan Jalan Gombak yang belum diberikan nombor persimpangan lagi, dan terowong ini sebenarnya dibina melintasi bahagian bawah Jalan Gombak FT68 dan dibina menggunakan kaedah korek, bina & timbus.

Saya memasuki semula Hubungan Tun Razak dari Jalan Gombak FT68. Namun, jalan cabang sama dari Jalan Gombak FT68 hanya membenarkan anda untuk keluar ke arah Ulu Klang dan Jalan Duta sahaja. Justeru, jika anda hendak ke arah Batu Caves, saya nasihatkan anda agar memasuki E33 dari Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam. Jalan susur dari laluan cabang Jalan Gombak ke arah Jalan Duta juga boleh dimasuki dari Bandar Baru Sentul, tetapi perlu melalui jalan kampung kendalian DBKL yang sempit, gelap dan tiada garisan jalan.

Kembali semula ke laluan utama Hubungan Tun Razak. Sebaik melepasi persimpangan LILO ke laluan cabang ke Jalan Gombak FT68, ada satu jalan susur keluar ke Bandar Baru Sentul. Dari Bandar Baru Sentul, jika anda hendak memasuki E33, anda perlu keluar ke Jalan Pahang dan menggunakan jalan susur masuk dari Jalan Pahang kerana jalan susur masuk dari Bandar Baru Sentul dalam projek DUKE 2 E33 hanya membolehkan anda pergi ke arah Jalan Duta sahaja.

Seperti laluan arah utara, laluan arah selatan dibina di atas Jalan 1/48a, Jalan 9/48a dan Jalan Pahang. Hubungan Tun Razak ini ternyata begitu nikmat ketika digunakan semasa waktu gegas. Secara amnya, laluan arah selatan bagi Hubungan Tun Razak ini berkeadaan bagus. Namun, apa yang tidak memuaskan saya semasa saya mencuba laluan arah selatan ini ialah tahap pencahayaan yang teruk disebabkan banyak lampu jalan yang tidak berfungsi. Jika dibandingkan, laluan arah utara pula boleh dikatakan hampir kesemua lampu jalan berfungsi dengan sempurna. Tambahan pula, insiden banyak lampu jalan tidak menyala ini berlaku pada hari pertama pembukaannya pula tu. Justeru, saya memohon kepada Kesturi agar dapat menyelesaikan segera masalah lampu tidak berfungsi ini kerana tanpa sistem pencahayaan yang bagus, maka keadaan lebuh raya akan jadi berbahaya terutamanya di selekoh tajam di persimpangan. Oh, sebut tentang lampu jalan tidak menyala, saya juga meminta Kesturi agar dapat memeriksa lampu-lampu jalan di susur masuk pusingan U di Exit 3310 Persimpangan Greenwood kerana kerosakan lampu jalan di situ menyebabkan selekoh hairpin di situ bertambah berbahaya.

Dengan siapnya Hubungan Tun Razak yang merupakan salah satu daripada komponen projek DUKE 2 bernilai RM1.18 bilion, maka laluan ini sememangnya menjadi laluan wajib saya untuk berulang-alik ke tempat kerja. Kini saya boleh ucapkan selamat tinggal kepada kesesakan di Jalan Kampung Bandar Dalam, Persimpangan Petron Taman Dato Senu dan kawasan Sentul Pasar. Hubungan Tun Razak ini menjanjikan penjimatan masa yang amat ketara terutamanya semasa waktu gegas. Tapi macam biasalah, kemudahan ini tidak datang secara percuma dan ada ongkosnya. Ongkosnya sama sahaja seperti di Plaza Tol Sentul Pasar iaitu RM2.50 sahaja. Anda terasa mahal...? Apa susah, lain kali gunakan motosikal kalau hendak pergi bekerja, macam yang saya buat. Kereta pula anda simpan untuk kegunaan hari hujan ataupun jika perlu mengangkut banyak barangan atau orang. Pada saya, apa yang lebih penting ialah saya kini boleh ucapkan selamat tinggal kepada azab kesesakan di Sentul setiap kali saya berulang-alik ke tempat kerja.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E33
Panjang 9 km
Arah laluan: Utara-selatan (Sentul-Bulatan Pahang)
Bilangan lorong: 6
Laman web: http://www.duke.com.my







Memasuki Hubungan Tun Razak di Plaza Tol Baru Sentul Pasar






Banyaknya nama destinasi - oleh kerana terlalu banyak destinasi dilambakkan pada papan tanda yang sama, kedudukan lorong yang betul adalah penting supaya anda tidak terlajak






Memasuki laluan cabang ke Jalan Gombak FT68






Terowong separa "ala Monaco" di laluan cabang Jalan Gombak






Rupanya terowong "ala Monaco" itu sebenarnya sebahagian Persimpangan Jalan Gombak






Memasuki semula dari Jalan Gombak FT68 - dari sini, anda hanya boleh ke Jalan Duta dan Ulu Klang tetapi tidak boleh ke Bulatan Pahang & Batu Caves - gunakan Exit 3309 Persimpangan Kg. Bandar Dalam untuk ke 2 destinasi tersebut






Pencahayaan kurang memuaskan kerana banyak lampu jalan yang tidak berfungsi - diharap agar Kesturi dapat membaikinya segera






Susur keluar ke Bandar Baru Sentul






Laluan arah utara terang-benderang tetapi arah selatan pula gelap - jika semua lampu jalan befungsi, pasti keindahan panorama bandar raya Kuala Lumpur semakin terserlah






Hanya 1 km lagi sebelum penamat Hubungan Tun Razak di Bulatan Pahang






Penamat Hubungan Tun Razak di Persimpangan Bulatan Pahang - belok kanan ke Bulatan Pahang, dan belok kiri ke Lebuhraya Sultan Iskandar FT2 & Jalan Tun Razak






Seterusnya cabang ke kiri berpecah lagi - cabang kanan ke jalan susur ke Jalan Ipoh / Lebuhraya Sultan Iskandar manakala cabang ke kiri pula ke Jalan Tun Razak

No comments:

Post a Comment