Saturday, March 19, 2016

Hard-Boiled Territory of Kuala Lumpur: KL MRR1 (Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur / Kuala Lumpur Middle Ring Road 1)




Salam sejahtera,

Saya percaya ramai di kalangan peminat Blog Jalan Raya Malaysia yang menanti-nantikan reviu jalan raya yang lebih terkini daripada kami. Jutaan terima kasih atas sokongan anda. Bagi menghargai sokongan anda semua, kami berbesar hati membawakan kepada anda reviu jalan raya bervideo yang pertama bagi tahun 2016. Lokasinya...? Untuk reviu kali ini, kami memilih Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur (KL MRR1).




Reviu Jalan Tun Razak pada tahun 1986 oleh Rosli Dahamin di TV3


Idea untuk menghasilkan reviu jalan raya bervideo untuk MRR1 ini timbul setelah saya menonton reviu Jalan Tun Razak oleh seorang wartawan terkenal TV3 era 1980an, Rosli Dahamin. Reviu yang dihasilkan oleh beliau itu begitu lengkap dan menyeluruh. Maka, saya pun terfikir, bagaimana kalau saya pula menghasilkan reviu era 2010an pula...?

Halangan utama untuk menghasilkan reviu bervideo sudah tentulah ketiadaan telefon pintar bagi merakan video berdefinisi tinggi (HD) setelah telefon pintar Sony Xperia Z saya dicuri pada tahun lalu. Namun, berkat kesabaran saya selama 10 bulan, saya akhirnya saya berjaya memiliki sebuah model pengganti yang lebih berkuasa daripada Xperia Z walaupun ia sebenarnya model pertengahan. Senjata baharu Blog Jalan Raya Malaysia kali ini ialah telefon pintar Sony Xperia M4 Aqua Dual yang dikuasakan oleh pemproses lapan teras - dua kali ganda lebih berkuasa daripada Xperia Z. Nak tahu apa yang istimewanya dengan Xperia M4 Aqua Dual ini...? Nantikan bahagian kedua siri entri Hard-Boiled Territory of Kuala Lumpur untuk reviu telefon pintar ini.

Untuk menghasilkan reviu KL MRR1 ini, saya memilih waktu malam kerana untuk menghasilkan video reviu ini, ia memerlukan saya untuk menggunakan kereta dan bukannya motosikal. Kenapa tidak motosikal...? Kalau saya menggunakan motosikal, sudah tentulah telefon pintar saya mudah menjadi mangsa peragut bangsat di luar sana. Memandangkan saya memilih untuk menggunakan kereta untuk menghasilkan video reviu jalan raya, satu-satunya waktu paling sesuai ialah waktu malam kerana waktu itulah waktu yang kurang kenderaan di ibu kota. Saya tidak mahu membazirkan minyak (dan ruang kad SD) gara-gara tersangkut dalam kesesakan jalan raya di siang hari. Saya percaya anda juga sudah tentunya tidak mahu membuang masa menonton saya tersangkut lama dalam kesesakan, lebih-lebih lagi jika anda menggunakan internet yang dicatu oleh syarikat telco.

Rasanya tidak perlulah saya ceritakan mengenai sejarah KL MRR1 ini kerana saya sudah pun menulis mengenainya sebelum ini, anda hanya tinggal baca sahaja. Tanpa membuang masa lagi, mari kita teruskan dengan reviu KL MRR1 oleh Blog Jalan Raya Malaysia. Anda sudah sedia...? Jom ikut saya...!!!







Peta Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur

Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur (KL MRR1) ini berterusan selepas Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 tamat. Hirarkinya turun daripada lebuh raya ekspres kepada jalan raya arteri. Semasa di Exit 910 Persimpangan Istana, arah pusingan ditentukan oleh lorong-lorong di mana anda berada - tiga lorong paling kiri membawa anda mengikuti arah jam, manakala tiga lorong paling kanan (atau lebih tepat lagi, jalan terus) membawa anda mengikut arah lawan jam. Selepas persimpangan tersebut, pastikan anda berada di lorong tengah atau kanan kerana lorong paling kiri akan melencongkan anda keluar ke Jalan Loke Yew FT1.

Selepas Bulatan Loke Yew, saya menaiki Jejambat Jalan Yew yang merupakan antara jejambat terawal di Kuala Lumpur selepas Jejambat Jalan Kinabalu FT1 yang dibuka pada tahun 1963. Jejambat Jalan Yew dibuka serentak dengan Jejambat Jalan Loke Yew iaitu pada tahun 1977. Jejambat Jalan Yew berterusan sehinggalah Bulatan Kampung Pandan di mana jajaran MRR1 selepas Bulatan Kampung Pandan dikenali sebagai Jalan Tun Razak.

Jajaran yang dikenali sebagai Jalan Tun Razak ini panjang keseluruhannya ialah 7.48 km. Namun, tidak semua jajaran Jalan Tun Razak ini terletak dalam KL MRR1; sebahagian kecil jajaran Jalan Tun Razak dilencongkan keluar melalui Bulatan Kampung Pandan ke penamatnya di persimpangan Jalan Cheras.

Dalam reviu yang dihasilkan oleh Rosli Dahamin, masih terdapat banyak persimpangan lampu isyarat di sepanjang Jalan Tun Razak pada masa itu. Namun, kini sudah tiada lagi persimpangan lampu isyarat searas di Jalan Tun Razak; kebanyakannya sudah digantikan dengan persimpangan bertingkat, sama ada melalui pembinaan jejambat ataupun terowong. Misalnya, Terowong Bukit Bintang dan Terowong Ampang dibina bagi memintas dua persimpangan searas yang sangat sibuk di situ. Sementara itu, Jejambat Kampung Baru dibina bagi memintas Persimpangan Semarak dan Persimpangan Kampung Baru. Ketiga-tiganya dibina pada tahun 1997 bagi mengatasi masalah kesesakan di ketiga-tiga kawasan tersebut. Selain itu, Jejambat Kampung Baru juga berperanan sebagai laluan masuk ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12.

Persimpangan seterusnya ialah Bulatan Pahang yang juga dikenali sebagai Bulatan Pekeliling dalam reviu oleh Rosli Dahamin. Dalam reviu versi Rosli Dahamin, tiada jejambat yang melintasi bulatan tersebut mahupun terowong dari Jalan Pahang ke Jalan Tun Razak dan seterusnya Lebuhraya Sultan Iskandar; kedua-duanya dibina oleh Metramac (kini Anih Berhad).

Salah satu daripada kecacatan reka bentuk pada Jalan Tun Razak ini ialah jarak antara Persimpangan Jalan Ipoh dengan Persimpangan Bulatan Pahang yang terlalu hampir, mengakibatkan masalah kesesakan teruk akibat konflik jalinan. Untuk menangani masalah konflik jalinan tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina pembahagi jalan yang hanya membenarkan aliran trafik keluar dari Bulatan Pahang untuk memasuki Jalan Tun Razak arah lawan jam; pengguna Jalan Tun Razak arah lawan jam yang hendak keluar ke Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh) perlu keluar melalui Bulatan Pahang. DBKL mendakwa bahawa perubahan tersebut berupaya mengurangkan masalah kesesakan di setu sebanyak 50%.

Jalan Tun Razak bersilang dengan Jalan Kuching FT1 di Persimpangan PWTC, di mana Jalan Tun Razak berterusan sebagai Lebuhraya Sultan Iskandar. Sesuai dengan namanya, lebar bagi setiap lorong di sepanjang Lebuhraya Sultan Iskandar ini lebih lebar iaitu 3.65 m berbanding hanya 3.25 m di sepanjang Jalan Tun Razak.

Di Persimpangan Parlimen, jalan-jalan susur ke Jalan Tuanku Abdul Halim dari Jalan Parlimen dan Lebuhraya Sultan Iskandar (arah jam) ditutup bagi projek naik taraf persimpangan tersebut yang kini sangat sesak. Namun begitu, Persimpangan Parlimen dengan Persimpangan Travers berkongsi penyakit sama seperti Persimpangan Jalan Ipoh dengan Persimpangan Bulatan Pahang, iaitu konflik jalinan yang berpunca daripada jarak antara dua persimpangan tersebut yang terlalu dekat.

Hanya tinggal dua persimpangan sahaja lagi sebelum KL MRR1 berakhir di Persimpangan Istana. Di Persimpangan Istana Negara,KL MRR1 dihubungkan dengan Jalan Syed Putra FT2 manakala Persimpangan Bukit Petaling pula dihubungkan ke bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka dan seterusnya Jalan Hang Tuah dan Jalan Imbi. KL MRR1 berakhir di Persimpangan Istana yang juga ditemukan dengan satu lagi penghujung KL MRR1, menjadikan KL MRR1 sebagai satu lingkaran lengkap.

Jadi apa komen saya tentang jalan tersebut...? Seperti kebanyakan jalan raya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kritikan utama saya sudah tentulah pada papan tandanya yang bercelaru, diletakkan pada saat-saat akhir dan tiada kod laluan. Disebabkan papan tanda yang begitu bercelaru inilah pengguna jalan raya di Kuala Lumpur seolah-olah sudah diajar agar melakukan segala tindakan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain seperti memancung dari lorong paling kanan terus ke susur keluar di sebelah kiri, tidak menggunakan lampu isyarat membelok dsb. Saya sudah sebut tentang perkara ini bukan sekali dua, tetapi sudah banyak kali. Kepada Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, saya ingin menggesa agar anda peka akan isu papan tanda jalan raya KL serta ketiadaan kod laluan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jangan biarkan orang luar dan pelancong asing mencemuh papan tanda jalan KL yang langsung tidak mesra pelancong. Lakukan transformasi terhadap papan tanda jalan raya KL secara menyeluruh. Tetapkan kod laluan pada setiap jalan arteri utama di KL. Kelemahan dalam pengurusan aduan kerosakan jalan raya datang daripada sistem inventori yang lemah, dan sistem inventori yang lemah datang daripada ketiadaan daftar kod laluan di jalan-jalan arteri di Kuala Lumpur. Jika anda mahu Kuala Lumpur dihormati sebagai bandar raya alfa, seluruh sistem papan tanda perlu ditukar secara keseluruhannya.

Setakat ini sahaja reviu KL MRR1 oleh Blog Jalan Raya Malaysia. Dalam episod kedua siri entri Hard-Boiled Territory of Kuala Lumpur, saya akan mengadakan sedikit reviu ringkas mengenai telefon pintar Sony Xperia M4 Aqua Dual yang saya gunkan sebagai telefon pintar rasmi baharu bagi Blog Jalan Raya Malaysia.

No comments:

Post a Comment