Wednesday, September 3, 2014

KISS (Keep It Simple, Stupid) - 4 sebab utama kenapa papan tanda jalan raya Kuala Lumpur menjengkelkan mata / 4 major reason why Kuala Lumpur highway signages are an eyesore

Salam sejahtera,

Sejak saya mula menetap di Kuala Lumpur, satu perkara yang amat menjengkelkan mata saya ialah sistem papan tanda jalan raya yang sangat teruk, malah saya boleh katakannya sebagai yang paling teruk dan paling tidak cekap di Malaysia. Sebelum ini, saya pernah mengecam sistem papan tanda yang digunakan pada rangkaian jalan raya di Sarawak, tetapi kemudian semakin banyak papan tanda yang sudah mula diseragamkan piawaiannya seperti di Sabah dan Semenanjung, terutamanya sejak Datuk Fadillah Yusof yang kebetulannya merupakan anak Sarawak menjadi Menteri Kerja Raya. Ia satu perubahan yang cukup memberangsangkan dan saya amat berpuas hati dengan inisiatif transformasi papan tanda yang diambil oleh JKR Sarawak, meskipun saya faham proses transformasi sebegini agak memakan masa. Kuala Lumpur pula bagaimana...?

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta kawasan metropolitan Lembah Klang mempunyai rangkaian jalan raya dan lebuh raya yang begitu ekstensif jika dibandingkan dengan mana-mana negeri lain di Malaysia. Malangnya, tahap kecekapan rangkaian jalan raya dan lebuh raya di Lembah Klang khususnya di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula sangat teruk disebabkan oleh kecacatan reka bentuk sebilangan  persimpangan serta lebuh raya di sini, di samping sistem papan tanda yang begitu caca-marba, berselirat dan berserabut. Akibat kecacatan reka bentuk persimpangan, jalan raya, malah papan tandanya sekali, pengguna jalan raya terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya yang lebih tinggi, atau sekurang-kurangnya berdepan dengan kegagalan pramatang dalam bentuk kesesakan yang lebih teruk daripada sepatutnya. Saya telah pun menulis mengenai kecacatan reka bentuk persimpangan serta kecacatan reka bentuk lebuh raya, dan kali ini saya menulis mengenai rekaan papan tanda pula.

Seperti yang saya nyatakan berkali-kali sebelum ini, Kuala Lumpur menunjukkan contoh paling teruk dalam memartabatkan jalan raya, dibuktikan melalui sistem papan tanda yang digunakan di samping sintaks laporan trafik yang sering digunakan. Sudah terlalu banyak kali saya mengecam mengenai sistem papan tanda jalan raya yang digunakan di Kuala Lumpur, tetapi sehingga sekarang masih tiada tindakan pembetulan yang dilakukan. Kenapa boleh jadi begitu...? Jawapannya mudah sahaja - semua jalan raya dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur [kecuali Lebuhraya Persekutuan FT2 dan Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28] diuruskan dan diselenggara oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bukannya Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur. Akibatnya, DBKL sering melambakkan nama-nama jalan dan destinasi kurang utama pada papan-papan tanda jalan raya di Kuala Lumpur dan tidak pula menggunakan jata laluan sebagaimana yang sering digunakan oleh JKR. Jika dibandingkan, JKR sering membubuh jata laluan pada hampir setiap papan tanda jalan raya yang dipasangnya - ada kalanya, jata laluan tersebut boleh jadi begitu besar dan menonjol - menunjukkan bahawa JKR benar-benar serius dalam mendidik masyarakat menggunakan kod laluan dalam merancang perjalanan.

Jadi apakan dia empat perkara yang paling saya tidak berpuas hati akan sistem papan tanda jalan raya di Kuala Lumpur...? Berikut merupakan empat kecacatan utama pada papan tanda jalan raya di Kuala Lumpur:-




Garis panduan reka bentuk persimpangan bertingkat oleh JKR. Dalam garis panduan ini, papan tanda pemberitahuan awal wajib dipasang 1 km sebelum persimpangan bertingkat. DBKL pula sering tidak mengikuti garis panduan sebegini


1.) Tiada pemberitahuan awal bagi persimpangan utama

Bagi kebanyakan papan tanda penunjuk arah persimpangan pada jalan raya persekutuan dan negeri yang diselenggara oleh JKR, terdapat garis panduan khusus mengenai papan tanda yang perlu dipatuhi. Biasanya, papan tanda pemberitahuan awal diletakkan 500 m sebelum sesuatu persimpangan (terdapat juga papan tanda pemberitahuan awal yang ditempatkan 1 km sebelum persimpangan, terutamanya bagi persimpangan utama). Hanya simpang-simpang jalan kecil berhirarki lebih rendah sahaja yang hanya mempunyai papan tanda penunjuk arah dan tiada pemberitahuan awal. Berbeza pula dengan papan tanda DBKL yang mana di persimpangan utama pun tiada pemberitahuan awal dan hanya ada papan tanda tunjuk arah pada saat-saat terakhir sahaja. Akibatnya, pengguna jalan raya terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya kerana kenderaan di lorong paling kanan hanya dimaklumkan pada saat-saat terakhir, menyebabkan mereka cenderung untuk "memancung jalan" ke lorong paling kiri secara berbahaya.




Papan tanda gantri di Bulatan Kepong, Jalan Kuching FT1 - sudahlah kod laluan tak ada, terlalu banyak butiran dilambakkan pada papan tanda sehingga menyakitkan mata




Cuba bandingkan dengan papan tanda gantri Lebuhraya Karak E8/FT2 ini, jauh lebih memudahkan - butiran destinasi utama Exit 810 Persimpangan Bentong Timur hanya dihadkan kepada tiga sahaja, manakala destinasi utama Lebuhraya Karak E8/FT1 pula hanya ada satu entri sahaja


2.) Papan tanda penunjuk arah yang dilambakkan dengan terlalu banyak destinasi tujuan

Kebanyakan papan tanda gantri di ibu kota dilambakkan dengan terlalu banyak destinasi tujuan sehingga menyemakkan papan tanda serta menjengkelkan mata melihatnya. Jika dibandingkan dengan bandar raya lain di Malaysia, kebanyakan papan tanda gantri di bandar raya lain pula mengandungi hanya sedikit sahaja destinasi tujuan yang dipamerkan, selalunya antara 2-3 destinasi tujuan. Malah, 4 destinasi tujuan pun sudah boleh dianggap banyak.

Sebenarnya, papan tanda penunjuk arah yang paling berkesan ialah papan tanda yang mengandungi hanya sedikit sahaja entri tetapi cukup ringkas dan padat. Konsep sebegini dipanggil sebagai prinsip reka bentuk KISS (Keep It Simple, Stupid). Konsep yang mula diperkenalkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat pada tahun 1960 ini menegaskan bahawa sesuatu rekaan mestilah dijadikan seringkas mungkin tetapi padat, dan ia juga mestilah boleh digunakan oleh orang yang tidak mahir sekalipun. Segala perincian yang leceh dan menyulitkan tidak seharusnya diterapkan. Dalam konteks rekaan papan tanda jalan raya, papan tanda penunjuk arah sepatutnya boleh dijadikan lebih ringkas dan padat dengan meminimakan senarai destinasi kepada hanya sekitar dua atau tiga destinasi utama sahaja sebagai kata kunci. Lambakan nama jalan sepatutnya digantikan dengan penggunaan jata laluan. Lambakan nama taman-taman perumahan pula sepatutnya disingkirkan sama sekali.

Kenapa saya tegaskan bahawa senarai destinasi pada papan tanda penunjuk arah mesti diminimakan...? Jawapannya mudah sahaja - dapatkah mata anda membaca terlalu banyak perincian destinasi yang dirojakkan pada papan tanda gantri DBKL sehingga jadi berserabut macam belacan...? Setiap kali anda ternampak sesuatu papan tanda, mata anda hanya mempunyai masa beberapa saat sahaja untuk membacanya. Jika terlalu banyak destinasi tujuan dilambakkan pada papan tanda penunjuk arah, ia boleh menyebabkan pemandu hilang fokus terhadap pemanduan, samalah seperti mata dibutakan selama beberapa saat. Beberapa saat yang dibazirkan untuk membaca terlalu banyak longgokan destinasi pada papan tanda penunjuk arah sudah lebih daripada mencukupi untuk mengakibatkan kemalangan jalan raya.

Jika DBKL mahu melambakkan sebegitu banyak perincian lokasi tujuan, DBKL sepatutnya melakukannya pada papan tanda maklumat jarak dan bukannya pada papan tanda penunjuk arah, kerana bagi papan tanda penunjuk arah pula, mata pemandu lebih cenderung tertumpu kepada jarak destinasi terdekat ataupun destinasi utama sahaja.




Papan tanda penunjuk arah yang mengelirukan lagi menyesatkan di Persimpangan Connaught, Jalan Cheras FT1 arah Kuala Lumpur - Kuantan terletak di sebelah timur, kenapa pula kena ikut arah barat...?




Satu lagi papan tanda yang menyesatkan di Bulatan Cheras, Jalan Cheras / Jalan Loke Yew FT1 - kenapa pula kena harungi kesesakan Jalan Pudu untuk ke Kuantan...?


3.) Papan tanda penunjuk arah yang mengelirukan lagi menyesatkan

Kesalahan sebegini sering dilakukan bukan sahaja oleh DBKL malah turut dilakukan oleh beberapa buah syarikat konsesi lebuh raya ekspres perbandaran. Untuk mempromosikan lebuh raya kendalian mereka, segelintir syarikat konsesi lebuh raya cenderung mengelirukan pengguna jalan raya dengan meletakkan destinasi yang tidak masuk akal sama sekali. Salah satu contoh papan tanda yang membuktikannya ialah di Persimpangan Connaught di Jalan Cheras FT1 / Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 arah Kuala Lumpur, yang mana papan tanda di situ menunjukkan Lebuhraya Salak E37 yang menuju ke arah barat sebagai arah untuk ke Kuantan yang sepatutnya terletak di sebelah timur. Sudah buang tabiatkah...?

Satu lagi contoh papan tanda "buang tabiat" ialah di Bulatan Cheras di Jalan Cheras FT1 arah Kuala Lumpur, yang mana Jalan Cheras / Jalan Pudu\ditunjukkan sebagai arah untuk ke Kuantan. Akibatnya, pengguna jalan raya yang percaya bulat-bulat akan papan-papan tanda yang mengelirukan lagi menyesatkan itu bukan sahaja terpaksa mengharungi kesesakan yang tidak sepatutnya diharungi, malah ada kalanya pengguna jalan raya dilencongkan terlalu jauh daripada laluan yang sepatutnya dilalui. Sebab itulah saya sudah berkali-kali mengingatkan agar kod jalan raya digunakan pada semua papan tanda jalan raya DBKL, tetapi malangnya langsung tiada tindakan yang diambil.




Bukankan lebih memudahkan jika kod laluan digunakan berbanding lambakan nama-nama jalan pada papan tanda penunjuk arah seperti begini...?


4.) Tiada kod laluan pada hampir kesemua papan tanda DBKL

Sejak Blog Jalan Raya Malaysia mula diwujudkan, sudah terlalu banyak kali saya tegur, marah, kecam dan hentam mengenai isu penggunaan kod laluan pada papan-papan tanda jalan raya di Kuala Lumpur. Saya sudah tulis mengenai kepentingan penggunaan kod laluan bukan sahaja di Blog Jalan Raya, malah dalam surat pembaca bagi salah satu akhbar berbahasa Melayu utama di Malaysia. Tidak cukup dengan itu, para pegawai tertinggi Kementerian Kerja Raya termasuklah Menteri Kerja Raya sendiri giat mendidik rakyat agar membudayakan penggunaan kod laluan bagi merancang perjalanan. Namun, apa yang saya amat kesalkan ialah segala usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kerja Raya dan Blog Jalan Raya Malaysia sendiri ibarat mencurahkan air ke daun keladi apabila DBKL masih tidak berubah dan masih tidak menggunakan kod laluan pada papan-papan tanda jalan raya yang diuruskannya. Apa lagi yang tidak cukup...?

Kenapa penggunaan kod laluan sangat penting...? Saya sudah berkali-kali menegaskan bahawa gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal; maka, pengguna jalan raya perlu membudayakan penggunaan kod laluan bagi memudahkan perancangan perjalanan termasuklah merancang strategi laluan alternatif sekiranya berlaku kesesakan laluan utama. Selain itu, kod laluan juga memastikan pengguna jalan raya tidak sesat serta tidak disesatkan oleh papan-papan tanda yang mengelirukan seperti yang telah saya nyatakan di atas tadi. Di samping itu, penggunaan kod laluan juga memastikan pengguna jalan raya sentiasa berada di laluan yang betul tanpa terlajak ke laluan yang salah, memandangkan rangkaian jalan raya di Kuala Lumpur sentiasa berubah mengikut perkembangan masa. Namun, bagaimana pengguna jalan raya hendak membudayakan penggunaan kod laluan jika DBKL sendiri gagal mempamerkan kod laluan pada hampir kesemua papan tanda jalan raya yang dipasangnya...?

Kesimpulannya, DBKL wajib berubah dengan melakukan transformasi terhadap reka bentuk papan tanda jalan raya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Rekaan papan tanda yang teruk serta tidak efisyen sering dipersalahkan sebagai salah satu punca utama kesesakan serta kemalangan jalan raya akibat kenderaan yang "memancung jalan" secara berbahaya. DBKL seharusnya berasa malu kerana reka bentuk papan tanda jalan raya luar bandar yang diuruskan JKR sendiri pun jauh lebih baik dan lebih cekap. Justeru, sebagai sebuah bandar raya global, Kuala Lumpur memerlukan satu sistem papan tanda yang cekap, ringkas, padat, jelas dan mesra pengguna demi memudahkan para pengguna jalan raya.

No comments:

Post a Comment