Tuesday, January 8, 2013

Lebuhraya Persekutuan FT2: Sepintas lalu / Federal Highway FT2: Overview


Video penuh perjalanan sepanjang Lebuhraya Persekutuan FT2 (kredit kepada: TV Smith)


Salam sejahtera,

Seperti yang anda semua sedia maklum, Lebuhraya Persekutuan FT2 merupakan lebuh raya ekspres pertama di Malaysia dan juga lebuh raya tersibuk di Lembah Klang. Kepentingan Lebuhraya Persekutuan FT2 terbukti apabila ia merupakan lebuh raya tulang belakang timur-barat utama di Lembah Klang sehinggalah apabila lebih banyak lebuh raya timur-barat Lembah Klang dibina seperti Lebuhraya Baru Lembah Klang E1, Lebuhraya Shah Alam E5, Lebuhraya Baru Pantai E10, Lebuhraya Lembah Klang Selatan E26 dan Lebuhraya Latar E25 setelah Lebuhraya Persekutuan mencapai kapasiti kemuncaknya pada tahun 1995.

Sejarah Lebuhraya Persekutuan FT2 ini bermula setelah pemisahan Singapura daripada Malaysia pada tahun 1965, maka kerajaan terpaksa mencari pelabuhan pengganti bagi Singapura sebagai pelabuhan utama di Malaysia. Hasilnya, Port Swettenham (kini Pelabuhan Klang) dipilih sebagai pelabuhan utama negara. Seterusnya, apa yang diperlukan ialah sebuah lebuh raya bagi menghubungkan antara Pelabuhan Klang dengan Kuala Lumpur. Dari situlah lahirnya Lebuhraya Persekutuan FT2.

Lebuhraya Persekutuan FT2 mula dibina pada tahun 1974 dan siap pada tahun 1977. Ia dibina dengan menaik taraf jajaran Jalan Kuala Lumpur-Klang sedia ada kepada sebuah lebuh raya ekspres penuh, dengan menggantikan persimpangan lampu isyarat searas dengan persimpangan bertingkat. Memandangkan Malaysia pada masa itu masih lagi merupakan negara pertanian dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang agak rendah, maka pinjaman daripada Bank Dunia dilakukan bagi membiayai projek lebuh raya ini. Lorong basikal turut dibina di sepanjang Lebuhraya Persekutuan, tetapi kini lorong-lorong basikal itu sudah dijadikan sebagai lorong motosikal, suatu perkara yang turut mengejutkan bekas-bekas jurutera yang merekabentuk lebuh raya ini, memandangkan had laju bagi lorong basikal yang dijadikan lorong motosikal itu hanya serendah 60 km/j - satu had laju yang boleh dianggap munasabah bagi penunggang basikal tetapi tidak masuk akal bagi penunggang motosikal. Lebuh raya yang asalnya 100% percuma itu kini bertol apabila PLUS Expressways Berhad menaik taraf jajaran Subang Jaya-Bukit Raja daripada empat lorong kepada enam lorong, siap pada tahun 1993.

Video di atas menunjukkan perjalanan penuh bagi Lebuhraya Persekutuan dari permulaannya di Jalan Syed Putra sehingga tamat di Klang dan berterusan sehingga ke Pelabuhan Klang. Terima kasih kepada TV Smith kerana menyiarkan video penuh ini.

No comments:

Post a Comment