Wednesday, June 13, 2012

Reviu eksklusif SKVE E26 / SKVE E26 exclusive review

Salam sejahtera,

Seperti yang pernah dijanjikan, Blog Jalan Raya Malaysia kali ini membawakan satu reviu eksklusif Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26 khas kepada anda. Pada reviu sebelum ini, saya telah menceritakan serba-sedikit mengenai E26 diikuti beberapa reviu terawal oleh beberapa blogger.

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, SKVE E26 merupakan lebuh raya timur-barat kelima di Lembah Klang selepas Lebuhraya Persekutuan FT2, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1, Lebuhraya Shah Alam E5 dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor E25. Lebuh raya sepanjang 52 km ini asalnya dibina oleh kerajaan persekutuan sebagai jalan masuk utama ke Putrajaya dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke Exit 2606 Persimpangan SKVE, siap pada tahun 2000. Selepas itu, jajaran seterusnya bagi SKVE terbengkalai selama enam tahun sehinggalah SKVE Hondings Sdn. Bhd. mengambil alih projek berkenaan pada tahun 2006. Jajaran Putrajaya-Saujana Putra (Seksyen 1B) siap pada tahun 2010.

Semalam saya mengambil kesempatan untuk mencuba keseluruhan jajaran SKVE yang sudah dibuka dari Exit 1809/2600 Persimpangan Uniten sehinggalah ke Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang. Jajaran terawal dari Uniten sehingga Exit 2606 Persimpangan SKVE diuruskan oleh JKR Selangor dan Putrajaya, jadi sebab itulah papan tandanya berwarna biru.

Memandangkan kembara kali ini dilakukan semasa waktu sibuk (rush hour), maka hanya sedikit sahaja gambar yang diambil bagi jajaran percuma ini. Di Exit 1809 Persimpangan Uniten, lebuh raya E26 ini adalah sambungan daripada Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (Silk) E18, maka papan tanda di persimpangan tersebut berwarna hijau. Jajaran SKVE yang diuruskan oleh JKR ini mempunyai dua sistem nombor persimpangan, iaitu sistem pernomboran biasa (digunakan oleh SKVE Holdings) serta sistem pernomboran khusus (digunakan oleh JKR). Sistem pernomboran khusus ini dikira dari satu, tidak seperti sistem pernomboran lebuh raya biasa yang terdiri daripada empat digit (dua digit pertama mengikut kod lebuh raya, manakala dua digit terakhir adalah nombor persimpangan). Misalnya, Exit 1 Persimpangan Hospital Serdang (Timur) boleh disebut sebagai Exit 2601, dan seterusnya sehinggalah Exit 6 Persimpangan SKVE, yang boleh disebut sebagai Exit 2606.

Exit 2606 Persimpangan SKVE adalah persimpangan pertama di dalam kawasan penyelenggaraan SKVE Holdings, sebelum tiba di plaza tol pertama di E26 iaitu Plaza Tol Ayer Hitam (jangan terkeliru dengan Ayer Hitam di Johor). Sebaik melepasi Plaza Tol Ayer Hitam, bilangan lorong berkurangan daripada enam lorong kepada empat lorong.

Dalam entri sebelum ini, salah seorang pembaca iaitu Abdul Aziz A Wahab ada menyebut mengenai selekoh tajam di kolam bekas lombong di Puchong. Walaupun selekoh tersebut memang tajam dan lebih selamat dikenakan had laju 90 km/j, namun saya amat tidak bersetuju dengan had laju 90 km/j yang dikenakan sepanjang lebuh raya ini. Had laju 90 km/j ini terlalu perlahan, sekaligus boleh menyebabkan rasa mengantuk kepada pemandu berikutan pemandangan yang sama sahaja (monotonous). Dengan kata lain, had laju 90 km/j ini sebenarnya lebih berbahaya dan bukannya lebih selamat. Tmbahan pula, jarak antara persimpangan yang jauh menjadikan had laju 90 km/j ini tidak relevan sama sekali. Hanya selekoh tajam di kolam bekas lombong Puchong sahaja yang sesuai (dan sepatutnya) dikenakan had laju sedemikian.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra, yang seterusnya dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6. Sebaik melepasi persimpangan ini, bilangan lorong bertambah semula menjadi enam lorong. SKVE Holdings turut mengambil inisiatif meletakkan papan tanda melarang keras kenderaan berat menggunakan lorong kanan. Langkah ini memang patut dipuji.

Saya sempat melihat Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas, yang saya sifatkan sebagai hentian rehat yang begitu besar, siap dengan tanah rizab yang mencukupi untuk memuatkan dua stesen minyak. Saya cukup suka akan lampu jalan berhias yang digunakan di sini. Memandangkan SKVE Holdings telah melabur besar untuk mendirikan sepasang hentian rehat sebesar ini, maka SKVE Holdings perlulah melakukan promosi besar-besaran untuk menarik peniaga membuka perniagaan mereka di sini, di samping menghidupkan hentian rehat ini dengan pelbagai aktiviti seperti bazar "uptown" sebagaimana di Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukong di Lebuhraya Cheras-Kajang E7, serta pertunjukan kereta berhias di Kawasan Rehat dan Rawat Layang di Lebuhraya Senai-Desaru E22. SKVE turut membina markas utama mereka yang masih belum dihuni lagi di Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas arah Putrajaya.

Tidak jauh dari hentian rehat ini terletak Exit 2608 Persimpangan Tanjung Dua Belas yang masih dalam pembinaan, yang seterusnya bakal disambung dengan Lebuhraya Pantai Barat E28 yang masih dalam perancangan. Beberapa reviu terawal SKVE menunjukkan beberapa kesan jalan mendap sepanjang Kilometer 28 - 30 sehingga ada sambungan jambatan yang kurang rata berhampiran Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang. Namun, SKVE Holdings nampaknya telah bertindak pantas dengan memperbaiki bahagian jalan yang mendap tersebut. Sungguhpun demikian, saya nasihatkan para pemandu agar berhati-hati dan tidak memandu terlalu laju kerana jalan masih agak mendap walaupun sudah berkurangan sedikit. Fenomena ini berikutan jajaran lebuh raya SKVE ini yang dibina di kawasan tanah gambut yang lembut dan mudah mendap. Itulah sebabnya kenapa jajaran Seksyen 2 dari Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra sehingga Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang dibuka lewat setahun daripada jadual, kerana masa yang diambil untuk memadatkan tanah bagi asas lebuh raya adalah lama.

SKVE E26 dibuka sehingga setakat Exit 2609 Telok Panglima Garang, di mana dari sini anda boleh ke Banting atau Klang melalui Jalan Langat FT5. Saya berpatah balik masuk semula ke lebuh raya dan menemui sesuatu yang menarik di jejambat Persimpangan Telok Panglima Garang. Saya dapati jajaran lebuh raya yang belum dibuka itu berubah daripada lebuh raya kembar empat lorong kepada lebuh raya tunggal dua lorong, sama seperti di jajaran Cahaya baru-Bandar Penawar di Lebuhraya Senai-Desaru E22. Kenapa SKVE E26 di jajaran tersebut cuma dibina dua lorong sahaja? Tidak ada apa-apa tempat menarik yang dilalui di jajaran terakhir E26 selain daripada Pelabuhan Barat serta ladang kelapa sawit dan perkampungan Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey. Dengan kata lain, kadar aliran trafik di jajaran ketiga nanti adalah rendah dan sebahagian besar hanya terdiri daripada lori-lori kontena. Namun, kawalan masuk di jajaran berkenaan mestilah dipastikan penuh melalui pembinaan persimpangan bertingkat penuh dengan pengasingan aras di Exit 2610 Persimpangan Pulau Carey. Simpang tiga biasa tidak boleh dibina sama sekali. Selain itu, simbol lebuh raya bagi jajaran dua lorong itu juga patut mengguna simbol kereta dan bukan simbol lebuh raya biasa, sebagaimana yang saya tekankan dalam isu yang sama di E22.

Saya meneruskan perjalanan saya dan keluar dari SKVE di Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra untuk pulang melalui Lebuhraya Elite E6. Lebuhraya Elite E6 dihubungkan dengan SKVE E26 melalui sebuah bulatan besar yang turut dihubungkan dengan kawasan perumahan Saujana Putra. Dalam pemerhatian saya, saya dapati keadaan di situ tidak semeriah yang disangka. Kawasan perumahan tersebut tidak berapa hidup walaupun dihubungkan terus melalui lebuh raya. Penemuan saya ini sekaligus menangkis dakwaan kononnya pembinaan lebuh raya boleh meningkatkan nilai hartanah sesuatu kawasan perumahan. Siapa yang tahan kalau terpaksa bayar tol setiap hari untuk ke mana-mana sahaja? Memang ada jalan bebas tol, tetapi itu pun sekadar jalan kampung dua lorong yang mengelirukan. Dengan itu, Lebuhraya Damansara-Puchong E11 sebenarnya tidak layak dipanggil lebuh raya ekspres kerana ia sebenarnya cuma sekadar jalan arteri yang asalnya percuma untuk lalu lintas tempatan sebelum ia bertukar menjadi laluan perompak duit penduduk.

Apa pula laluan alternatif yang anda boleh gunakan juga anda tidak mahu membayar tol? Memang ada laluan alternatif yang anda boleh gunakan, iaitu Jalan Dengkil-Banting B18. Untuk menggunakannya dari arah Uniten, keluar dari SKVE di Exit 2606 Persimpangan SKVE menuju ke Dengkil melalui Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 dan jalan terus sehingga anda tiba di persimpangan searas berlampu isyarat di Dengkil. Persimpangan searas tersebut menghubungkat B18 dengan FT29, maka belok kanan dan terus sehingga ke Banting. Mudah bukan?

Apa pun, syabas dan tahniah kepada SKVE Holdings atas pembukaan Seksyen 2 E26 ini, dan saya amat mengharapkan agar mutu perkhidmatan serta kualiti pembinaan pada jajaran akan datang tidak mengecewakan.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.

(Kemaskini - Jajaran terakhir SKVE E26 kini sudah dibuka! Baca reviu mengenainya di sini.)


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E26
Panjang: 52 km
Arah laluan: Timur-barat (Pelabuhan Barat-Uniten)
Bilangan lorong: 2 (Telok Panglima Garang-Plaza Tol Pulau Indah); 4 (Plaza Tol Ayer Hitam-Saujana Putra; Tanjung Dua Belas-Telok Panglima Garang); 6 (Uniten-Plaza Tol Ayer Hitam; Saujana Putra-Tanjung Dua Belas)
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.skveholdings.com/







SKVE bermula dari Exit 1809 Persimpangan Uniten






Exit 2606 Persimpangan SKVE






Plaza Tol Ayer Hitam






Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra






Laluan enam lorong ke Tanjung Dua Belas






Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas






Hentian rehat ini masih belum dibuka






Exit 2608 Persimpangan Tanjung Dua Belas ini masih dalam pembinaan






SKVE Holdings bertindak pantas menangani masalah jalan mendap di sini






Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang






Plaza Tol Telok Panglima Garang






Simpang tiga ke Jalan Langat FT5






Lebuh raya yang belum dibuka ini bertukar daripada lebuh raya empat lorong kepada dua lorong






Plaza Tol SKVE Saujana Putra






Bulatan Saujana Putra menghubungkan SKVE E26 ke Lebuhraya Elite E6

3 comments:

  1. salam...

    "Dalam pemerhatian saya, saya dapati keadaan di situ tidak semeriah yang disangka. Kawasan perumahan tersebut tidak berapa hidup walaupun dihubungkan terus melalui lebuh raya."

    Melalui pemerhatian saya, pada 2 atau 3 tahun lepas, kawasan perumahan tersebut jauh lebih teruk dan sunyi berbanding sekarang. Sejak SKVE fasa 1B dibuka, barulah mula ada peningkatan rumah yang berpenghuni dan pertambahan rumah-rumah baru. Cuma, berapa ramai yang beli?

    "Siapa yang tahan kalau terpaksa bayar tol setiap hari untuk ke mana-mana sahaja? Memang ada jalan bebas tol, tetapi itu pun sekadar
    jalan kampung dua lorong yang mengelirukan."

    Setuju. Jalan kampung 2 lorong yang mengelirukan itu pula perlu dinaik taraf oleh pihak berwajib untuk memberikan penghuni kawasan tersebut pilihan jalan yang percuma untuk dilalui dengan selesa.

    "Kenapa SKVE E26 di jajaran tersebut cuma dibina dua lorong sahaja? Tidak ada apa-apa tempat menarik yang dilalui di jajaran terakhir E26 selain daripada Pelabuhan Barat serta ladang kelapa sawit dan perkampungan Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey."

    ...dan peningkatan kos. Apabila kadar aliran trafik masa hadapan amat mendesak keperluan lebuh raya 4/6 lorong, barulah akan diperbesarkan.

    p/s : masih tak berkesempatan ambil gambar walaupun hampir setiap hari pergi balik kerja lalu bawah jejambat yang bersambung dengan jalan tak habis pada gambar yang ke-3 dari bawah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas makluman saudara mengenai Saujana Putra, memandangkan saudara tentunya lebih arif mengenai kawasan tersebut.

      Tentang lebuh raya 2 lorong dari Telok Panglima Garang ke Pulau Indah, saya amat bersetuju dengan faktor kos seperti yang saudara nyatakan. Saya percaya SKVE Holdings tentunya akan menaik taraf menjadi 4 lorong sekiranya kadar aliran trafik meningkat.

      Delete
  2. Saya amat setuju dengan pendapat saudara mengenai had laju 90km/j di laluan Ayer Hitam-Saujana putra, saya menggunakannya hari2, dan berpendapat had laju ini amat perlahan. Namun mungin ada sebabnya.

    ReplyDelete