Tuesday, November 15, 2011

Lebuhraya Latar E25 / Latar Expressway E25

Salam sejahtera,

Selepas reviu jalan raya pertama di jajaran Laluan Persekutuan 2 di Kuala Lumpur, kali ini Blog Jalan Raya mengadakan satu uji pandu di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor E25 atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya Latar. Nama "Latar" adalah kependekan kepada nama lama lebuh raya ini semasa dalam peringkat pembangunan iaitu Lebuhraya Assam Jawa-Templer Park. Sungguhpun demikian, lebuh raya ini bukanlah bermula betul-betul di Kuala Selangor atau Assam Jawa tetapi di Ijok, 19 km dari Kuala Selangor melalui Laluan Persekutuan 54. Ia juga tidak berakhir di Kuala Lumpur tetapi sebaliknya di Rawang, atau lebih tepat lagi, Taman Rimba Templer.

Lebuh raya ini dibina sebagai laluan alternatif kepada Laluan Persekutuan 54 yang kini sesak terutamanya jajaran Kepong-Sungai Buloh-Ijok. Selain daripada faktor pembangunan di Kepong dan Sungai Buloh yang merupakan sebahagian daripada kawasan metropolitan Lembah Klang, lori-lori berat sering menggunakan laluan berkenaan untuk mengangkut pasir dan kelapa sawit. Pembukaan kampus induk Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya (dahulunya dikenali sebagai Batang Berjuntai) juga merupakan faktor penarik kepada pembangunan pesat di daerah Kuala Selangor, sekaligus menjadi salah satu faktor utama pembinaan Lebuhraya Latar E25. Pembinaan lebuh raya tersebut dimulakan pada tahun 2009 dan siap pada tahun 2011 sebelum dibuka kepada lalu lintas pada 23 Jun 2011.

Kembara Blog Jalan Raya Malaysia ke lebuh raya berkenaan dilakukan pada 14 November 2011 bermula dari Rawang melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Rawang FT1. Saya terpaksa bergelut dengan kesesakan lebuh raya FT1 di Taman Rimba Templer berikutan kerja-kerja penurapan jalan di situ sebelum memasuki E25 melalui Exit 2508 Persimpangan Taman Rimba Templer.



Peta laluan Lebuhraya Latar E25 (klik untuk besarkan)





Exit 2508 Persimpangan Rawang


Plaza tol pertama di lebuh raya berkenaan ialah Plaza Tol Taman Rimba Templer. Sebagaimana kebanyakan lebuh raya di Lembah Klang, E25 menggunakan sistem tol terbuka di mana pengguna perlu membayar kadar tol yang telah ditetapkan di setiap plaza tol.





Plaza Tol Templer


Persimpangan seterusnya ialah Exit 2506 Persimpangan Kuang yang menghubungkan E25 dengan Lebuhraya Guthrie E35 dan seterusnya Lebuhraya Utara-Selatan E1. Pengguna dari Ijok boleh memilih sama ada hendak ke Kuala Lumpur melalui FT1 dan mengharungi kesesakan dari Selayang ke ibu kota ataupun melalui E1 dan tiba terus ke Jalan Duta.

Lebih kurang 1 km dari Exit 2506, terdapat satu lagi plaza tol iaitu Plaza Tol Kundang Timur bagi arah Templer Park sahaja.





Exit 2506 Persimpangan Kuang




Lebuhraya Utara-Selatan E1 boleh dilihat dari sini




Plaza Tol Kuang Timur bagi lalu lintas arah timur


Kawasan Rehat dan Rawat Kundang terletak tidak jauh dari Plaza Tol Kundang Timur. Di hentian rehat tersebut, saya dapati hanya ada tiga lot kedai sahaja di situ dan tiada satu pun yang sudah dibuka. Di situ juga terdapat susur masuk ke lebuh raya dari pekan Kundang melalui Laluan Negeri Selangor B149. Susur ke arah barat bersambung dengan jalan keluar dari hentian rehat, manakala susur ke arah timur terletak selepas jejambat yang merentangi B149 (arah timur).

Rekaan persimpangan tersebut sememangnya menjadi kontroversi di kalangan penduduk pekan Kundang kerana mereka boleh memasuki lebuh raya tetapi tidak boleh keluar semula ke persimpangan sama, sebaliknya mereka terpaksa keluar melalui Exit 2503 Persimpangan Puncak Alam yang lebih jauh. Pihak pengurusan syarikat konsesi Lebuhraya Latar perlulah prihatin akan keperluan penduduk Kundang dengan membina dua lagi jalan susur di Persimpangan Kundang supaya penduduk Kundang dapat kembali semula ke Kundang dengan mudah.





Kawasan Rehat dan Rawat Kundang




Papan tanda masuk ke Kawasan Rehat dan Rawat Kundang dengan jalan susur masuk dari Kundang




Persimpangan Kundang yang kontroversi kerana penduduk Kundang boleh memasuki lebuh raya tetapi tidak boleh keluar


Persimpangan seterusnya ialah Exit 2503 Persimpangan Puncak Alam, yang terletak hanya 1 km dari Plaza Tol Kundang Barat (bagi lalu lintas arah Ijok).

Jika melalui jalan lama FT54, pemandu dari Puncak Alam ke Ijok terpaksa melalui laluan berbengkang-bengkok sejauh 4 km berhampiran Kota Puteri, sedangkan pengguna E25 pula dengan selambanya boleh memecut lurus ke hadapan. Itulah salah satu faktor utama penjimatan masa jika menggunakan lebuh raya ini.





Plaza Tol Kundang Barat terletak hanya 1 km dari Persimpangan Puncak Alam






Exit 2503 Persimpangan Puncak Alam


Plaza tol terakhir bagi lebuh raya ini ialah Plaza Tol Ijok yang terletak hanya 2 km dari Exit 2501 Persimpangan Ijok. Laluan selepas Exit 2501 hanya sekadar jalan mati yang dibina untuk disambungkan ke Lebuhraya Pantai Barat yang dijadualkan bakal dimulakan pembinaannya Disember ini. Oleh itu, lalu lintas dilencongkan keluar ke Laluan Persekutuan 54 untuk baki 17 km perjalanan ke Kuala Selangor.

Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan mutu perjalanan serta kualiti pembuatan lebuh raya ini yang saya lihat hampir tiada cacat-cela. Namun demikian, terdapat 2 isu utama yang perlu diambil perhatian oleh syarikat konsesi lebuh raya ini iaitu Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway Berhad (KLSEB):-
  1. Persimpangan Kundang mestilah dijadikan sebagai persimpangan penuh dengan membina 2 lagi jalan susur keluar untuk membolehkan penduduk Kundang menggunakan lebuh raya ini
  2. Kawasan Rehat dan Rawat Kundang perlulah dihidupkan dengan membina lebih banyak lot-lot kedai makan serta membina stesen minyak. Stesen minyak adalah paling penting kerana sepanjang pemerhatian saya, ia merupakan nadi utama kepada sesebuah hentian rehat.

(Kemaskini: KLSEB telah menjawab mengenai kedua-dua isu berkenaan melalui laman Facebook mereka. Dua susur keluar dari E25 ke Jalan Kundang B149 sudah pun disahkan pembinaannya oleh Kementerian Kerja Raya. Kawasan Rehat dan Rawat Kundang pula sudah dibuka pada 20 Jun 2012, manakala bagi stesen minyak pula permintaan sudah pun dibuat kepada syarikat-syarikat minyak tetapi mereka hanya mengambil sikap tunggu dan lihat sahaja, yang tentunya menyusahkan pengguna.)

Apa pun, syabas dan tahniah kepada KLSEB kerana telah membina satu lebuh raya yang sempurna bagi memacu pertumbuhan ekonomi di daerah Kuala Selangor. Ia juga membolehkan para pelajar Unisel yang berkenderaan pulang ke kampung dengan lebih cepat dan lebih selesa.

Untuk melihat galeri penuh gambar, sila klik sini.

Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E25
Panjang: 30 km
Arah laluan: Timur-barat (Taman Rimba Templer-Ijok)
Bilangan lorong: 4
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.latar.com.my
Facebook: Laman Facebook rasmi

13 comments:

  1. Ada sebarang maklumat terbaru tentang pembinaan Lebuhraya Pantai Barat E28?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Konsesi pembinaan E28 diberikan kepada Kumpulan Europlus. Namun demikian, sehingga sekarang pembinaan masih belum dimulakan dan jajaran masih belum dimuktamadkan. Namun demikian, kontrak konsesi E28 itu terdapat isu kontroversi mengenai tempoh konsesi yang terlalu lama (60 tahun), sedangkan kebanyakan tempoh konsesi lebuh raya ekspres ialah sekitar 30-40 tahun sahaja. Satu-satunya pengecualian yang diberikan ialah kepada Plus Expressway Berhad yang mana tempoh konsesi sepatutnya tamat pada tahun 2018 tetapi dilanjutkan kepada tahun 2038 untuk membolehkan beberapa jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dilebarkan sehingga antara 6 hingga 8 lorong.

      Delete
  2. Okay. Saya kurang faham apa maksud 'konsesi' sebenarnya. Boleh saudara beritahu definisi mudah 'konsesi' lebuhraya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dalam industri lebuh raya tol, kerajaan memberi kuasa kepada syarikat yang dilantik untuk membina sesebuah lebuh raya bagi pihak kerajaan. Syarikat itu seterusnya diberi hak untuk mengutip tol di lebuh raya tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam perjanjian supaya mereka boleh balik modal serta membayar balik pinjaman bank bagi membiayai pembinaan lebuh raya tersebut. Di samping untuk balik modal, bayaran tol juga adalah untuk membayar gaji kakitangan, kos penyelenggaraan serta memperoleh sedikit keuntungan. Setelah tempoh kutipan tol tamat, maka lebuh raya tersebut diserahkan hak penyelenggaraan kepada kerajaan. Konsep ini dikenali sebagai Bina-Kendali-Pindah (BOT). Jadi, syarikat yang diberi kuasa untuk membina lebuh raya tersebut, mengendalikannya (mengutip tol dan menyelenggara lebuh raya) dan memindahkan hak milik lebuh raya tersebut kepada kerajaan setelah tempoh tamat dikenali sebagai syarikat konsesi.

      Delete
  3. Okey. Terima kasih atas penerangan saudara.

    ReplyDelete
  4. Salam, bolehkah saudara mengulas lanjut jalan masuk baru ke Kundang melalui Sungai Serai? Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jalan susur masuk baru ke Kundang yang dimaksudkan itu tidak melalui Sungai Serai (B29) sebaliknya melalui Kundang (B149). Harap maklum.

      Delete
    2. Pihak Latar sengaja membuat persimpangan Kundang begini supaya pengguna perlu membayar tol. Jika pengguna boleh keluar dari Lebuhraya Latar, mereka tidak akan dikenakan tol 2 kali. Dua susur keluar yang sedang dibina itu ambil masa begitu lama kerana mereka akan meletakkan tol di kedua-dua susur keluar itu.

      Delete
  5. Kemungkinan E1,E35 - B29 tetapi pada project signage 'Lebuhraya Utara Selatan E1- Sungai Serai B29. Kontraktor Mudajaya pemilik TPPT SB (Anak syarikat Bank Negara). Mohon jika saudara ada maklumat bolehlah dikongsikan bersama. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya ada belek profil Mudajaya tapi tak ada pula sebut langsung kaitannya dengan Bank Negara.

      Delete
    2. apa yg saya lihat di site ketika ini terutamanya pada paras subgrade ramp, pihak pemaju sedang bina ramp dari B29 disambung terus ke ramp cabang full clover leaf sistem kuang sedia ada

      Delete
    3. Kemungkinan besar apa yang anda katakan itu benar kerana saya pun ada juga ternampak kelibat kerja-kerja pembinaan di situ. Sebenarnya saya kurang bersetuju dengan pembinaan dengan cara sebegitu kerana ia mengurangkan kecekapan Persimpangan Sistem Kuang tersebut, menambahkan ia menambah beban trafik pada jalan-jalan susur di situ.

      Delete
  6. Saya lebih suka kalau reviu masa hadapan dibuat begini!

    ReplyDelete