Tuesday, March 6, 2018

Jangan Jadikan Lebuh Raya Perkakas Politik Bahagian 2 / Never Make Expressways as Political Devices Part 2





Enough is enough - Sampai bila isu tol hendak dipolitikkan...? Tak malukah dengan negara jiran kita Indonesia yang sedang membina rangkaian lebuh raya ekspres yang bakal memalukan Malaysia...?


Khas kepada Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh.

Sebagai penulis blog mengenai jalan raya di Malaysia, saya terpanggil untuk mengulas mengenai kenyataan saudara mengenai isu pemansuhan tol yang disiarkan di portal Malaysiakini dan The Malaysian Insight bertarikh 27 Februari 2018. Dalam kenyataan di kedua-dua portal tersebut, saudara ada memetik entri Blog Jalan Raya Malaysia bertarikh 25 Februari 2018 mengenai isu sama, tetapi saya dapati terdapat unsur putar-belit kenyataan di mana kenyataan saya mengenai isu tol hanya dicedok sebahagian sahaja (cherry-picking) dan diputar-belitkan.

Namun, sebelum saya sentuh mengenai kenyataan saya yang diputar-belitkan itu, biar saya jawab beberapa persoalan daripada saudara sendiri. Saudara ada menyatakan bahawa sungguhpun pemansuhan kutipan tol & penutupan plaza tol "boleh meringankan beban rakyat dan wajar disambut baik", ia tidak bermakna sekiranya ia dibayar dengan pembayaran pampasan yang amat tinggi ataupun pelanjutan tempoh konsesi. Disebabkan itu, maka saudara mempersoalkan mengenai apa sebenarnya dasar lebuh raya negara.

Untuk menjawab persoalan saudara ini, saya memetik ucapan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof semasa majlis perasmian jelajah FTRoadpedia Zon Tengah di Lekir, Perak pada 6 Ogos 2016.

"Program Jelajah FTRoadpedia ini juga bertujuan untuk menyerlahkan lagi (highlight) Jalan Persekutuan sebagai jalan utama dan bukannya jalan alternatif sebagaimana dipersepsikan oleh masyarakat apabila terbinanya Lebuhraya terpanjang pertama (PLUS) pada tahun 1980 (E1 dan E2). Sejak dibuka pada tahun 1994, sehingga kini terdapat 31 rangkaian Lebuhraya, diseluruh Semenanjung Malaysia, maka peranan dan fungsi Jalan Persekutuan utama seolah-olah berubah menjadi laluan alternatif walaupun pada hakikatnya rangkaian Jalan Persekutuan inilah sebenarnya jalan utama yang menghubungkan semua negeri, bandar utama sedangkan lebuhraya bertol pula merupakan laluan alternatif kepada pengguna lebuhraya." - Datuk Seri Fadillah Yusof, 6 Ogos 2016.

Teks penuh ucapan beliau boleh dibaca di sini.

Daripada sini, maka dasar lebuh raya ekspres negara sebenarnya sangat jelas, terang lagi bersuluh. Laluan utama sebenarnya ialah Jalan Persekutuan dan bukannya lebuh raya ekspres. Lebuh raya ekspres pula dibina sebagai alternatif kepada pengguna yang mahukan laluan yang lebih pantas dan selesa dengan sedikit bayaran yang dikenakan. Dalam dasar ini, kerajaan bertanggungjawab membina, menyelenggara dan menambah baik rangkaian jalan persekutuan. Namun realitinya, tanggapan ramai orang pula terbalik dan menganggap lebuh raya ekspres yang sepatutnya sekadar laluan alternatif sebagai laluan utama, dan tanggapan sebeginilah yang membawa kepada isu tol yang tidak berkesudahan dan sering dipolitikkan. Akibat daripada tanggapan yang salah mengenai dasar lebuh raya negara serta dimomokkan oleh parti-parti politik sebagai penambah perisa, maka duit peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk membaiki, menyelenggara & menambah baik jalan persekutuan sebaliknya dibazirkan untuk membayar pampasan bagi menghalang kenaikan tol, sedangkan ia tidak perlu sama sekali.

Sekarang saya akan mengulas pula mengenai kenyataan saya yang saudara cedok sekerat-sekerat sahaja dan diputar-belitkan.

Dalam entri Blog Jalan Raya Malaysia yang saudara petik, saudara memetik contoh pembinaan Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai lebuh raya ekspres capaian terkawal pertama di Malaysia hasil naik taraf Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 sedia ada sebagai lebuh raya percuma tanpa tol. Namun, saudara tidak pula memetik ayat seterusnya yang menyebut "...Disebabkan kos terlalu tinggi, maka beliau memutuskan untuk membina Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2 yang juga dibiayai dana pinjaman daripada Bank Dunia sebagai lebuh raya ekspres bertol." Sebaliknya, saudara memutar-belitkan kenyataan saya mengenai pembinaan Lebuhraya Persekutuan FT2 supaya ia berbunyi seolah-olah "Tun Abdul Razak boleh bina lebuh raya ekspres percuma, maka tiada sebab kenapa sekarang tak boleh".




Saya memang ada pernah menyebut bahawa Lebuhraya Persekutuan FT2 dibina sebagai lebuh raya ekspres percuma, tetapi saya tidak pernah menyebut pembinaannya sebagai dalil kononnya kerajaan memang berkemampuan membina lebih raya ekspres dengan sekadar berhutang tanpa tol


Beginikah sikap seorang ahli politik yang beretika dan bertanggungjawab...? Inilah sebabnya kenapa Blog Jalan Raya Malaysia bertegas tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti politik sama ada parti pemerintah mahupun parti pembangkang, kerana kenyataan kami mengenai isu-isu jalan raya pasti akan diputar-belit oleh golongan berkepentingan demi pencapaian politik sempit masing-masing. Blog Jalan Raya Malaysia bertegas akan membalun sesiapa sahaja yang mempolitikkan isu jalan raya - kali ini daripada kem berlawanan pula daripada entri lepas.

Seterusnya, saya ingin ulas pula kenyataan saudara bahawa Pakatan Harapan akan "mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan terma serta harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan semua tol." Serius saya katakan bahawa pendekatan yang saudara katakan itu sama sekali tidak berupaya untuk menurunkan kadar tol, apatah lagi menghapuskannya. Mungkin saudara akan mengatakan, "Kalau tidak cuba macam mana hendak tahu hasilnya...?" Sebenarnya, kerana pendekatan sebegitu sudah dicubalah saya berani mengatakan bahawa ia tidak mampu menurunkan kadar tol, apatah lagi menghapuskannya. Buktinya...? Lihat sahaja PLUS Malaysia Berhad. PLUS yang anda dapat lihat pada hari ini ialah 100% milik kerajaan, melalui UEM Group Berhad (milik Khazanah Nasional) yang memegang 51% saham, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memegang selebihnya. Tetapi adakah pengambilalihan PLUS oleh kerajaan berupaya memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 atau sekurang-kurangnya menurunkan kadar tol...? Tidak sama sekali. Paling bagus yang dapat dilakukan pun cumalah mengekalkan kadar tol tanpa sebarang kenaikan sejak tahun 2005, itu sahaja. Itu pun tiada jaminan bahawa kadar tol tidak akan naik.

Sudah jelas sekarang...? Daripada apa yang saya tunjukkan di sini jelas membuktikan bahawa "keazaman" sahaja tidak mencukupi untuk memansuhkan tol seperti yang dikatakan.

Mengambil alih sesebuah syarikat konsesi tidak semudah membayar kepada pemilik asal nilai syarikat tersebut. Hutang daripada pengurusan asal juga perlu ditanggung. dan hutang inilah halangan nombor satu yang menyebabkan langkah memiliknegarakan sesebuah syarikat konsesi lebuh raya ekspres tidak berupaya menurunkan kadar tol apatah lagi memansuhkannya. Jika hutang bank tidak dibayar & kes diheret ke mahkamah, maka mahkamah mempunyai kuasa untuk menyita lebuh raya, menutup operasi lebuh raya serta menyekat semua jalan keluar masuk ke lebuh raya. Samalah seperti bank boleh menyita & melelong kereta & rumah yang tidak dibayar ansurannya. Jika perkara tersebut berlaku, maka kita hanya mampu melopong sahaja kerana sudahlah tol percuma tak dapat, lebuh raya pula ditutup atas arahan mahkamah.




Tidak seperti Malaysia, rangkaian lebuh raya ekspres Jepun melaksanakan dasar monopoli bagi membolehkan lebuh raya yang untung membiayai lebuh raya yang rugi


Selain itu, ada satu lagi perkara yang saya perlu perbetulkan. Malaysia tidak pernah melaksanakan dasar monopoli konsesi lebuh raya ekspres. Jika dasar monopoli ada diamalkan, sepatutnya nama-nama syarikat konsesi lain seperti ANIH Berhad, Litrak, Prolintas, IJM dsb sudah tentu tidak wujud sama sekali. Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) juga tentunya tidak wujud kerana persatuan ini menyatukan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres yang berlainan latar belakang mereka. Jika mahu lihat bagaimana rupanya dasar monopoli konsesi lebuh raya ekspres, lihat di Jepun. Rangkaian lebuh raya kebangsaan mereka dikendalikan sama ada oleh NEXCO East, NEXCO West, NEXCO Central & Honshu-Shikoku Bridge Expressway Company, kesemuanya merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Dasar monopoli yang diamalkan tersebut membolehkan lebuh raya yang untung besar membiayai lebuh raya yang rugi.

Kepada Saudara Syed Ibrahim Syed Noh, diharap selepas ini saudara menghentikan amalan cherry-picking, iaitu memilih ayat-ayat yang berbunyi sedap pada telinga sahaja untuk dipetik dan meninggalkan ayat-ayat yang tidak memihak kepada saudara. Saudara seharusnya sedar bahawa amalan cherry-picking sebegitu sangat keji di sisi akademik. Jadilah seorang ahli politik yang beretika. Juga, jika saudara benar-benar mahu memperjuangkan lebuh raya percuma untuk rakyat, maka saudara sepatutnya menyokong dasar Kementerian Kerja Raya (KKR) memartabatkan rangkaian jalan persekutuan melalui kempen FTRoadpedia sebagai laluan utama percuma untuk rakyat. Daripada membazirkan ratusan juta hingga berbilion duit rakyat untuk membayar ganti rugi kepada syarikat konsesi lebuh raya ekspres bagi menghalang kenaikan tol, lebih baik kita beri peluang kepada KKR & Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) menggunakan duit tersebut untuk menampal jalan-jalan berlubang, seterusnya menaik taraf jalan raya utama yang sibuk menjadi lebuh raya kembar percuma untuk rakyat, manakala persimpangan searas yang sibuk pula dinaik taraf menjadi persimpangan bertingkat berlainan aras. Begitulah baru bertepatan dengan dasar memartabatkan rangkaian jalan raya negara.