Tuesday, May 29, 2018

Demak Motor sudah berkubur / Demak Motor is dead




Salam sejahtera,

Hari ini saya dengan rasa berat hati membawa satu perkhabaran sedih kepada semua pemilik motosikal jenama Demak. Seperti mana yang ditularkan semalam (28 Mei 2018), Demak Motor sah sudah menghentikan operasi mereka - atau dengan kata lain, sudah gulung tikar. Mungkin ramai di kalangan anda yang berasa seakan tidak percaya, memandangkan terdapat sebegitu banyak motosikal Demak yang terjual di Malaysia, tetapi memang itulah hakikatnya.

Berita mengenai penutupan syarikat DNC Asiatic Holdings, pengeluar motosikal jenama Demak menjadi heboh dan tular di serata media sosial terutamanya pada hari semalam (28 Mei 2018). Ia dikukuhkan lagi dengan tularnya gambar pintu pagar kilang Demak Motor di Olak Lempit, Banting yang disimbah dengan cat merah serta gambar penutupan pusat servisnya di Batu Caves. Malah, laman sesawang rasmi mereka di http://www.demakmotor.com sudah tidak boleh diakses serta laman Facebook mereka juga sudah lenyap begitu sahaja. Berita penutupan mengejut Demak Motor turut mendapat liputan beberapa portal automotif popular Malaysia termasuklah portal-portal sekutu kami iaitu PanduLaju.com.my dan Careta.








Gambar pintu pagar kilang Demak di Olak Lempit yang disimbah cat merah tular di media sosial
(Kredit gambat: PanduLaju.com.my)




Gambar pusat servis Demak di Batu Caves yang sudah ditutup
(Kredit gambar: Nizam Giler-giler Rider)


Berita penutupan kilang Demak Motor sememangnya amat mengejutkan para peminat motosikal di Malaysia, memandangkan begitu banyak motosikal Demak yang terjual di Malaysia. Demak Motor menduduki tempat keempat dalam penguasaan pasaran motosikal Malaysia, di belakang Honda, Yamaha & SYM, dengan purata sekitar 40,000 buah motosikal setiap tahun. Sepanjang tempoh operasinya bermula tahun 2002, Demak Motor telah mengeluarkan lebih 400,000 buah motosikal yang dijual di 15 buah negara. Tambah mengejutkan lagi, Demak Motor menutup operasinya tatkala sebelum ini mereka telah mengumumkan 8 model motosikal baharu yang sepatutnya mula dikeluarkan tahun ini, di samping pengumuman eksport ke Kemboja bermula Jun 2018.

Sejarah Demak Motor yang berpangkalan di Kuching, Sarawak bermula tatkala "demam skuter" sedang melanda Malaysia sekitar tahun 2002. Pada masa itu, pasaran motosikal Malaysia terutamanya di kawasan bandar didominasi model-model skuter Suzuki kerana selain mudah dikendalikan, terdapat banyak komuniti skuter yang mengubahsuai skuter masing-masing dengan mengecat badan skuter menggunakan airbrush serta memasang sistem audio pada skuter. Hasil daripada ledakan "demam skuter" ini, maka lahirlah syarikat-syarikat motosikal seperti Comel, Nitro & Demak yang mengeluarkan model-model skuter klon dari China ke pasaran Malaysia. Namun, disebabkan masalah kualiti yang sangat teruk pada skuter-skuter klon ini, maka jenama Comel & Nitro berkubur dengan cepat. Hanya Demak sahaja yang mampu bertahan kerana mereka mengambil inisiatif meningkatkan kualiti motosikal keluaran mereka.






Video korporat Demak semasa zaman kegemilangannya


Kilang asal Demak Motor terletak di Demak Laut, Kuching, Sarawak, mula beroperasi pada tahun 2002. Seterusnya, bagi memenuhi pasaran yang semakin meningkat, Demak Motor membuka kilang kedua mereka di Olak Lempit, Banting, Selangor yang mula beroperasi pada tahun 2014, menjadikan Demak Motor sebagai satu-satunya syarikat motosikal nasional yang memiliki lebih daripada sebuah kilang di Malaysia (Modenas masih kekal mempunyai hanya satu sahaja kilang di Gurun, Kedah). Setiap kilang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 60,000 buah motosikal setahun, dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 120,000 buah. Setiap tahun, pengeluaran motosikal Demak Motor dianggarkan sebanyak 60,000 buah setahun bagi pasaran tempatan & eksport. Bagi urusan jualan & servis, Demak Motor mengendalikan 6 buah pusat servis di seluruh negara.

Penutupan operasi kilang Demak menjadi tanda tanya, memandangkan Demak merupakan sebuah jenama motosikal yang sangat laris di Malaysia, malah menjual lebih banyak motosikal daripada Modenas. Apa sebenarnya yang tidak kena...? Sejak berita penutupan Demak menjadi tular, ada jugalah saya mendengar cerita-cerita tidak baik mengenai pihak pengurusan Demak seperti khabar angin kononnya CEO Demak songlap duit syarikat & Demak terpaksa meminjam wang daripada Ah Long untuk membayar gaji pekerja sebelum penutupannya. Ada juga cerita yang mendakwa bahawa kerenah birokrasi dan red tape dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyebabkan model kenderaan komersial kecil mereka, Demak Eco 3, tidak dapat dijual di Malaysia membawa kepada kemelut yang melanda Demak. Sama ada berita-berita tidak baik yang saya dengar itu benar atau palsu, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.




Antara cerita-cerita tidak baik yang ditularkan di sebalik penutupan Demak, harap-harap cerita tersebut tidak benar
(Kredit gambar: Nizam Giler-giler Rider)






Reviu Demak Eco 3 yang tidak sempat dikeluarkan & hanya tinggal kenangan
(Kredit gambar: funtasticko.net)


Namun, berita yang paling sahih datang daripada laman portal automotif sekutu kami, Careta. Menurut sumber dalaman yang dihubungi oleh Careta, kemelut yang dialami oleh Demak sebenarnya bermula sejak tahun 2017 disebabkan kemerosotan jualan motosikal secara keseluruhan susulan pasaran motosikal Malaysia yang hampir tepu. Dalam tempoh setahun ini, kita lihat jualan motosikal Demak masih tinggi, tetapi sebenarnya angka jualan keseluruhan sudah jatuh ke tahap Demak menanggung rugi bagi setiap motosikal yang terjual. Kalau diikutkan, Demak sepatutnya boleh diselamatkan sekiranya mereka menaikkan harga motosikal mereka, tetapi menaikkan harga sudah tentu bermaksud semakin ramai pelanggan akan lari. Selama ini pun, jenama Demak popular kerana harga motosikal mereka yang murah tetapi reka bentuknya menarik, tahan lasak & boleh dilenjan.

Jadi apa yang patut dilakukan oleh para pemilik motosikal Demak...? Mereka sudah tentunya paling terjejas dengan berita penutupan operasi Demak Motor ini kerana mereka sudah terputus bekalan alat ganti tulen terutamanya yang melibatkan komponen kritikal. Sekarang ini, apa yang mampu dilakukan oleh komuniti pemilik motosikal Demak ialah mengenal pasti alat ganti motosikal jenama lain yang serasi dengan motosikal Demak. Paling penting, mereka tentunya perlu menjaga motosikal mereka dengan lebih baik dan mengelakkan daripada terlibat dalam kemalangan kerana komponen badan motosikal sekarang sudah sukar untuk dicari ganti.

Semoga nasib malang yang menimpa para pemilik motosikal Demak ini mendapat perhatian daripada pemain industri motosikal tempatan, terutamanya pengeluar & pembekal alat ganti. Namun, sekiranya ada syarikat besar yang sanggup mengambil alih syarikat Demak Motor ini supaya pengeluaran motosikal dapat disambung semula, ia sudah tentu berita yang paling menggembirakan para pemilik motosikal Demak.




Khas buat para pemilik motosikal Demak yang ingin menaik taraf ke sistem pancitan bahan api, dapatkan set pancitan bahan api Fuel Gain Kit (FGK) dengan harga hanya RM300 sahaja


Sementara itu, bagi para pemilik motosikal Demak yang ingin berhijrah kepada penggunaan pancitan bahan api tanpa perlu menjual motosikal kesayangan anda, anda boleh PM inbox Blog Jalan Raya Malaysia untuk mendapatkan set pancitan bahan api Fuel Gain Kit (FGK) dengan harga hanya RM300 sahaja.

Monday, May 28, 2018

FAQ pemasangan Fuel Gain Kit / Fuel Gain Kit installation FAQ



Kandungan kit pancitan bahan api Fuel Gain Kit


Salam sejahtera,

Seperti yang telah saya nyatakan dalam entri lepas, Blog Jalan Raya Malaysia kini telah dilantik sebagai pengedar bagi set kit pancitan bahan api motosikal kapcai Fuel Gain Kit (FGK) keluaran APT Touch Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Johor Bahru, Johor. Untuk membantu anda yang berminat untuk membeli set FGK dan seterusnya memasangnya pada motosikal anda, ada baiknya anda baca dahulu kompilasi soalan-soalan yang kerap ditanya (FAQ) mengenai FGK ini.

  1. Q: Apa itu Fuel Gain Kit (FGK)...?

    A: Fuel Gain Kit (FGK) merupakan satu kit ubah suai sistem pancitan bahan api bagi menggantikan karburetor, direka khusus untuk kegunaan motosikal kapcai 1 silinder 4 lejang bawah 130 cc. Ia merupakan hasil ciptaan Profesor Madya Dr. Ahmad Jais Alimin dan Ir. Dr. Hazrina Selamat bertujuan untuk membolehkan para pemilik motosikal menukarkan sistem karburetor motosikal masing-masing kepada sistem pancitan bahan api yang lebih jimat minyak, lebih mersa alam & lebih berkuasa tanpa perlu menukar motosikal baharu dengan harga yang paling mampu milik.

  2. Q: Di manakah saya boleh membeli set FGK ini...?

    A: Anda boleh membelinya dengan harga RM300 di ibu pejabat APT Touch Sdn. Bhd. di Taman Universiti, Johor Bahru ataupun secara atas talian di sini. Jika anda tinggal di Kuala Lumpur & Lembah Klang, anda boleh membeli set ready stock dengan menghubungi saya melalui PM laman Facebook rasmi Blog Jalan Raya Malaysia.

  3. Q: Motosikal manakah yang sesuai menggunakan FGK ini...?

    A: Majoriti motosikal kapcai & skuter 4 lejang 1 silinder sejukan udara jenis baring ke hadapan bawah 130 cc boleh menggunakan FGK ini. Namun, sudah ada pengguna yang berjaya memasang FGK pada motosikal Yamaha 135LC meskipun ia motosikal berenjin condong dan bukannya baring (sila rujuk jawapan bagi soalan berikutnya untuk mengetahui caranya.

    Motosikal yang disahkan boleh menggunakan FGK adalah seperti berikut:-
    • Semua model kapcai berkarburetor SYM
    • Honda EX5 / Wave 100
    • Honda Wave 110 / Wave Dash (model karburetor) / Wave Alpha
    • Honda Wave 125 / Honda Future (model karburetor)
    • Modenas Kriss 110 / Kriss 2 / CT110 / Kriss 120 / Ace 120
    • Modenas Kriss 100 / CT100 / Kriss MR1
    • Modenas Kriss MR2
    • Modenas X-cite 130 / GT128
    • Yamaha SR Lagenda / Lagenda 110 / Lagenda 115 (model berkarburetor)
    • Yamaha 135LC
    • Majoriti model kapcai Demak (kecuali model berenjin condong)

  4. Q: Bolehkan model motosikal berenjin 2 lejang menggunakan FGK...?

    A: Tidak boleh.

  5. Q: Adakah pemasangan FGK boleh membatalkan waranti motosikal saya...?

    A: Ya, pemasangan FGK boleh membatalkan waranti motosikal anda kerana anda menukarkan karburetor standard kepada pancitan bahan api. Justeru, jika anda begitu kisah akan waranti motosikal anda, tunggu sehingga tempoh waranti tamat (biasanya sekitar 10,000-20,000 km atau 1-2 tahun, yang mana dahulu) sebelum menggunakan FGK untuk mengelakkan kesulitan tuntutan waranti.

  6. Q: Apakah piawaian emisi yang dipatuhi oleh FGK...?

    A: FGK dijamin lulus Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003, bersamaan dengan piawaian Euro 2.

  7. Q: Berapa banyak penjimatan bahan api yang boleh dicapai setelah menggunakan FGK...?

    A: Anda akan berupaya menjimatkan sehingga 34% bahan api pada kelajuan 90 km/j, dengan penjimatan kos bahan api sehingga 25% berbanding karburetor. Namun harus diingat, kadar penggunaan bahan api sebenar amat bergantung kepada cara tunggangan pengguna sendiri, termasuklah kelajuan operasi, cara pecutan & nyahpecutan, berat penunggang (& pembonceng), tekanan angin tayar dsb.

  8. Q: Bolehkah motor Honda Cub C70 menggunakan FGK...?

    A: Honda Cub C70 menggunakan sistem elektrik 6V, jadi anda perlu menukarkannya kepada sistem elektrik 12V sebelum anda boleh menggunakan FGK. Penukaran kepada sistem 12V memerlukan anda menukar gelung stator, rektifier, bateri, sistem pendawaian & segala peralatan elektrik. Jika anda tidak menukar kepada sistem 12V, anda tidak boleh menggunakan sistem FGK kerana FGK memerlukan voltan 12 volt untuk beroperasi.

  9. Q: Bolehkah motor Yamaha 135LC menggunakan FGK...?

    A: Boleh. Caranya ialah dengan menggunakan badan pendikit (throttle body) Yamaha FZ150i ataupun Yamaha Y15Z & mengubah suai sambungan pendawaian ke sensor pengesan pendikit (TPS) & pemancit bahan api.

  10. Q: Bolehkah motor Suzuki Belang R150 (dan Suzuki FXR150) menggunakan FGK...?

    A: Setakat ini belum ada yang berjaya memasang FGK pada motor Suzuki Belang R150 ataupun FXR150. Tetapi jika anda hendak mencuba juga, anda boleh cuba memesan badan pendikit Suzuki Satria F150 FI dari Indonesia & mengubahsuainya dengan cara sama seperti Yamaha FZ150, tetapi peratus kejayaannya boleh jadi kecil kerana sensor kedudukan pendikit (TPS) Suzuki Satria F150 FI ada 5 pin & bukannya 3 pin seperti kebanyakan sensor TPS motosikal lain.

  11. Q: Motosikal saya menggunakan pili bahan api (petcock) kendalian vakum. Apa yang patut saya lakukan...?

    A: Ada motosikal yang menggunakan pili bahan api manual seperti Honda EX5, SYM Bonus 110 & Modenas Kriss 110, manakala ada pula yang menggunakan pili bahan api vakum seperti Honda Wave 125 & Yamaha Lagenda 110. Pili bahan api vakum hanya beroperasi setelah enjin dihidupkan, jadi ia akan menyebabkan bahan api disekat & menghalang pam bahan api menghasilkan tekanan bahan api yang diperlukan untuk menghidupkan enjin motosikal. Maka, pili bahan api ini mestilah dipintas atau digantikan dengan pili manual supaya tiada halangan terhadap aliran bahan api ke pam bahan api, membolehkan pam menghasilkan tekanan mencukupi untuk menghidupkan enjin.

    Jika motosikal anda menggunakan pili bahan api vakum, anda mesti memintas sambungannya (bermakna, talian bahan api tidak melalui pili bahan api vakum) jika ia boleh dipintas seperti Yamaha Lagenda 110 & Honda Wave 125. Jika pili bahan api vakum dipasang terus pada tangki, gantikannya dengan pili bahan api manual.

  12. Q: Saya tidak faham langsung tentang pemasangan wayar IPS+ & IPS-. Di manakan wayar-wayar tersebut sepatutnya disambungkan...?

    A: Arahan pemasangan FGK adalah berpandukan motosikal SYM Bonus 110 & Honda EX5. Jika diperhatikan pada rajah pendawaian Honda EX5, didapati bahawa wayar-wayar IPS+ & IPS- disambungkan pada wayar-wayar dari gelung pemicu CDI (pickup coil) pada gelung stator generator sebagai sensor kedudukan aci engkol (CKP).

    Sila rujuk jadual di bawah ini untuk kod warna wayar yang perlu disambungkan kepada wayar IPS+ & IPS- seperti berikut.


    Jenis motosikal
    IPS+
    (pickup coil +)
    IPS-
    (pickup coil -)
    Modenas Kriss 100 & semua motosikal Honda & SYM
    Biru-kuning
    Hijau
    Semua motosikal Yamaha
    Putih
    Merah
    Modenas Kriss 110, Kriss 2, Kriss SG, Kristar, Kriss 120, CT110
    Hijau
    Biru
    Modenas X-cite. GT128
    Biru
    Dibumikan ke casis


    Sekiranya motosikal anda selain daripada yang disenaraikan di atas, sila rujuk kepada mekanik bengkel motosikal terdekat untuk mengenal pasti wayar-wayar pickup coil motosikal anda.

  13. Q: Bolehkah model motosikal yang memang menggunakan pancitan bahan api dipasang FGK...?

    A: Tidak boleh, kerana motosikal anda itu menggunakan sistem pancitan bahan api yang lebih sempurna manakala FGK pula direka seringkas mungkin supaya boleh digunakan pada motosikal yang asalnya berkarburetor. ECU FGK hanya direka untuk mengendalikan maklumat daripada 2 sahaja sensor iaitu sensor kedudukan pendikit (TPS) & sensor kedudukan aci engkol (CKP). Motosikal anda pula menggunakan sama ada 4 sensor (seperti Honda EX5 FI dan Honda Future FI), 5 sensor (seperti SYM Sport Rider 125i) ataupun 6 sensor (seperti Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection & Modenas 118EFI).

  14. Q: Saya rasa bekalan elektrik motosikal saya macam tidak mencukupi setelah menggunakan FGK. Bagaimana saya boleh menambah baik sistem elektrik motosikal saya...?

    A: Terlebih dahulu, anda perlu menggunakan bateri dengan kadaran 7 Ah. Jika anda tidak dapat memperoleh bateri seumpamanya yang bersesuaian untuk motosikal anda, anda boleh pertimbangkan untuk menggunakan bateri model penghidup elektrik. Misalnya, jika anda menggunakan motosikal Modenas Kriss 110, gunakan bateri berkadaran 5 Ah seperti yang digunakan pada model penghidup elektrik. Rasionalnya kerana penghidup elektrik paling banyak memakan kuasa bateri, jadi kadaran bateri model penghidup elektrik paling sesuai untuk menampung keperluan elektrik FGK.

    Selain itu, anda boleh mempertimbangkan untuk menukar gelung stator generator motosikal anda kepada jenis lebih banyak teras supaya berupaya menghasilkan voltan nominal lebih tinggi. Di samping itu, anda juga boleh mempertimbangkan untuk menukar sistem pencahayaan motosikal anda kepada lampu-lampu LED terutamanya lampu kepala. Mentol lampu kepala LED pun ada dijual di Lazada, tetapi gunakannya atas risiko sendiri kerana anda berkemungkinan berdepan risiko disaman oleh JPJ.

  15. Q: Adakah motor yang dipasang dengan FGK mudah dihidupkan ketika sejuk...?

    A: Ya. Sistem pancitan lain menggunakan sensor suhu enjin (ECT) yang mengarahkan pemancit bahan api menambah bahan api sekiranya enjin sejuk, tetapi FGK pula menggunakan algoritma yang menambah bahan api selama beberapa ketika sebelum turun ke paras normal.

    Sekiranya motosikal anda sukar dihidupkan, cuba hidupkan semula dalam keadaan pendikit tidak dipulas. Jika masih tidak hidup juga, cuba hidupkan dalam keadaan pendikit dipulas separuh. Jika masih tidak hidup, cuba tukar palam pencucuh kepada palam baru yang bersih.

  16. Q: Saya ada masalah tidak cukup ruang untuk memasang set badan pendikit FGK. Apa yang patut saya buat...?

    A: Anda boleh cuba memendekkan rongga masukan FGK dengan memotongnya sedikit & mengimpalnya kembali sebelum cuba memasangnya semula. Bagi kes Honda Wave 125 ataupun Honda Future, cara kedua yang boleh anda cuba ialah menggunakan rongga masukan Honda Future FI.

  17. Q: Selepas memasang set FGK, saya mengalami masalah untuk memasang penapis udara asal. Apa yang patut saya lakukan...?

    A: Ada beberapa penyelesaian yang anda boleh cuba, sama ada mengubah suai kotak penapis udara, memendekkan sedikir rongga masukan, menggunakan rongga masukan lain yang sepadan (contohnya rongga masukan Honda Future FI bagi kes Honda Wave 125 & Honda Future), ataupun menggunakan penapis udara jenis open pod.

  18. Q: Memandangkan FGK tiada penapis bahan api, bolehkan saya memasang penapis bahan api semasa memasangnya...?

    A: Boleh, malah anda memang patut memasang penapis bahan api untuk mengelakkan pam bahan api & pemancit daripada tersumbat. Untuk memasangnya, kerat sedikit talian bahan api asal sebagai sambungan dari tangki bahan api ke penapis, & seterusnya gunakan talian bahan api pendek FGK untuk sambungan dari penapis bahan api ke pam bahan api.

  19. Q: Adakah sebarang cut-off atau pengehad RPM pada FGK...? Jika ada, berapa had RPM maksimum & bagaimana hendak membuang atau menaikkan had RPM...?

    A: FGK mempunyai had RPM maksimum 12,000 rpm, lebih tinggi daripada had RPM pada mana-mana motosikal kapcai 4 lejang 1 silinder jenis baring ke hadapan dengan talaan standard kilang. Namun, had RPM enjin tetap bergantung kepada cut-off pada modul CDI (penyalaan nyahcas kapasitor). Untuk menaikkan had RPM enjin, anda hanya perlu menggunakan CDI perlumbaan. Namun demikian, had RPM maksimum FGK tetap kekal 12,000 rpm, jadi jika anda menggunakan CDI perlumbaan dengan had RPM lebih tinggi, enjin motosikal anda akan jadi sebu selepas 12,000 rpm.

  20. Q: Bagaimana saya hendak menala sistem pancitan bahan api FGK ini...?

    A: Gunakan perisian Ignitus yang boleh dimuat turun di sini untuk menala ECU FGK. Untuk menyambung ECU FGK ke komputer, gunakan adapter USB yang disediakan dalam set FGK & gunakan kabel USB pencetak atau pengimbas untuk menyambungkannya ke komputer (kabel tidak disediakan; anda perlu membelinya sendiri di kedai komputer). Arahan penggunaan perisian Ignitus boleh dimuat turun di sini.

  21. Q: Bagaimana dengan penjagaan motosikal yang dipasang FGK ini...?

    A: Penjagaannya sama seperti motosikal pancitan bahan api biasa. Gunakan bahan api yang bersih. Jika anda menggunakan bateri basah, pastikan aras air bateri mencukupi. Sekiranya bateri mulai lemah, terus ganti bateri baharu kerana bateri yang lemah akan menyebabkan bekalan elektrik tidak mencukupi untuk operasi pam bahan api. Anda juga digalakkan untuk menggunakan bahan pencuci pemancit bahan api ke dalam tangki minyak.

  22. Q: FGK ini tiada lampu Periksa Enjin, jadi bagaimana hendak mengetahui kerosakan komponen pada FGK ini...?

    A: FGK tidak menggunakan lampu Periksa Enjin kerana ia menggunakan hanya dua sahaja sensor iaitu sensor kedudukan pendikit (TPS) & sensor kedudukan aci engkol (CKP) yang merupakan gelung pemicu CDI (CDI pickup coil) sedia ada.

    Tanda-tanda kerosakan bagi komponen-komponen sistem FGK adalah seperti berikut:-

    • Sensor TPS rosak - sekiranya kelajuan enjin tidak berubah walaupun anda sudah memainkan pendikit. Cuba betulkan sambungan & uji semula, jika masih berterusan, anda perlu tukar 1 set badan pendikit.
    • CDI pickup coil rosak - jika enjin tidak boleh dihidupkan. Cuba terbalikkan sambungan wayar IPS, mungkin sambungan yang salah menyebabkan enjin tidak boleh dihidupkan setelah pemasangan. Jika masih tidak hidup, cuba uji bunga api palam pencucuh dengan mencabut palam pencucuh daripada enjin, memasang kepala palam pencucuh, menyentuhkan palam pencucuh ke badan enjin & sambil menyentuhkan palam pencucuh ke badan enjin, hidupkan enjin menggunakan penghidup tendang. Jika tiada bunga api, boleh jadi kerosakan pada CDI ataupun pickup coil.
    • Pam bahan api rosak - sekiranya tiada bunyi pam bahan api sebaik kunci diputarkan ke posisi On. Juga sekiranya bacaan tolok tekanan bahan api kurang daripada 290 kPa atau 2.9 bar semasa ujian tekanan bahan api.
    • ECU rosak - sekiranya ia gagal dikesan oleh perisian Ignitus setelah disambungkan ke komputer.

    Sekiranya berlaku tanda-tanda kerosakan yang disebutkan di atas, sila hubungi APT Touch Sdn. Bhd. di 016-7214542 untuk membeli komponen-komponen gantian. Juga, hubungi nombor sama sekiranya anda ada soalan lain mengenai FGK.

Tuesday, May 22, 2018

RFID bakal pengganti Touch 'n Go & Smart Tag / RFID will succeed Touch 'n Go & Smart Tag



Rupa tag RFID yang bakal digunakan; bukan rupa muktamad kerana ia akan disepadukan dengan cukai jalan


Salam sejahtera,

Industri lebuh raya ekspres di Malaysia kini sudah beralih kepada pelaksanaan kutipan tol elektronik (ETC) sepenuhnya, dalam bentuk Touch 'n Go & Smart Tag. Meskipun pelaksanaan ETC sepatutnya berupaya mengurangkan masa pembayaran tol berbanding pembayaran tunai sebelum ini, namun masih terdapat rungutan mengenai pelaksanaannya yang didakwa tidak seperti yang diharapkan. Smart Tag merupakan mod ETC yang lebih cepat daripada Touch 'n Go, tetapi ia dihantui isu reliabiliti & kualiti transponder Smart Tag itu sendiri. Model transponder yang dikeluarkan sekarang dikatakan sangat cepat rosak & sukar dikesan oleh pembaca Smart Tag di lorong Smart Tag, mengakibatkan berlakunya insiden mengundur secara berjemaah buat kesekian kalinya. Sementara itu pula, tatkala Touch 'n Go lebih boleh diharap, namun pengguna masih perlu berhenti di pondok tol untuk menyentuh kad Touch 'n Go. Itu masih boleh dikira ok lagi. Namun yang lebih teruk lagi, sekiranya baki kad tidak mencukupi, pengguna lebuh raya perlu sekali lagi mengundur secara berjemaah. Untuk menangani insiden-insiden tidak diingini ini, maka pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia serta syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sedang membangunkan satu bentuk pengganti baharu kepada Smart Tag & Touch 'n Go, iaitu sistem Pengenalan Frekuensi Radio (RFID; Radio Frequency Identification).




Antara isu yang dikenal pasti dalam pelaksanaan sistem tol Touch 'n Go & Smart Tag


Baru-baru ini pada 21 Mei 2018, saya serta beberapa ahli Rakan KKR dijemput oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi sesi taklimat mengenai bagaimana sistem RFID berfungsi. Taklimat tersebut diadakan di ibu pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia di Bandar Baru Bangi.

Apa itu RFID...? RFID merupakan satu bentuk pembayaran tol elektronik berasaskan gelombang radio bagi mengenal pasti kod pengenalan unik kenderaan. Ia menggunakan gelombang radio dengan julat frekuensi sekitar 919 hingga 923 MHz. Melalui sistem ini, alat pembaca di lorong tol membaca kod bar unik pada pelekat RFID tanpa perlu sentuhan langsung seperti Touch 'n Go ataupun berada pada garis penglihatan seperti Smart Tag. Jika dibandingkan, Smart Tag menggunakan gelombang inframerah yang dipancarkan pada garis lurus seperti cara alat kawalan jauh TV berfungsi; jadi, alat transponder mestilah berada dalam lingkungan garis penglihatan dari alat pembaca di lorong tol.




Lokasi pemasangan tag RFID


Bagaimanakah rupa tag RFID yang akan digunakan nanti di Malaysia...? Pada mulanya, saya menyangkakan ia merupakan satu tag plastik keras yang menyerupai PLUS Tag yang dilekatkan pada cermin kereta seperti mana sistem EZ Pass di Amerika Syarikat, tetapi sebenarnya bukan begitu. Sebaliknya, tag RFID yang akan digunakan nanti adalah dalam bentuk pelekat yang boleh dilekatkan pada cermin kereta ataupun pada lampu kepala. Namun demikian, saya dimaklumkan bahawa Jabataan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahu menyepadukan tag RFID pada lesen kenderaan motor (LKM) aka cukai jalan, jadi sudah tentulah kita hanya akan merasai penggunaannya setelah JPJ sudah bersedia melaksanakannya.

Bagaimana pula dari segi keselamatannya...? Oleh kerana RFID bakal disepadukan dengan cukai jalan, maka sudah tentulah ia bermaksud ia WAJIB didaftarkan. Anda boleh mendaftakan sehingga 10 kenderaan atas nama anda, yang mana kesemuanya berkongsi baki kredit pengguna yang sama. Maka, tag RFID hanya boleh digunakan pada kenderaan yang didaftarkan sahaja; oleh kerana ia bakal disepadukan dengan cukai jalan. maka sebarang cubaan mencabut tag RFID akan merosakkannya. Jika berjaya mencabutnya tanpa merosakkannya sekalipun, kenderaan yang menggunakan tag RFID curi tidak akan dibenarkan melepasi palang tol kerana maklumat kenderaan yang didaftarkan bercanggah dengan yang didaftarkan pada tag. Akibatnya, si pemandu itu boleh ditangkap terus di plaza tol. Jika kenderaan yang didaftarkan itu dicuri, anda boleh menyahdaftar kenderaan yang dicuri itu secara atas talian, maka kenderaan curi itu akan dihalang daripada melepasi palang tol. Daripada situlah sistem RFID secara tidak langsung berupaya mengekang kegiatan curi kenderaan kerana pesalahnya pasti akan ditangkap terus di plaza tol.

Bagaimana pula anda hendak mengetahui baki kredit RFID & menambah nilai...? Dalam sistem Touch 'n Go (& Smart Tag), anda perlu menambah nilai kad Touch 'n Go di pusat-pusat tambah nilai sahaja seperti di plaza tol, stesen minyak & kedai serbaneka; anda tidak boleh menambah nilai secara atas talian dari komputer atau telefon pintar anda. Nilai kredit juga disimpan di dalam kad itu sendiri & disegerakkan dengan nilai yang didaftarkan pada server Touch 'n Go. Itulah sebabnya kenapa anda tidak boleh menambah nilai atas talian, kerana ia memerlukan alat pembaca kad Touch 'n Go untuk mengemaskini nilai kredit yang terkandung pada kad. Berbeza pula dengan sistem RFID; nilai kredit hanya tersimpan dalam server sistem RFID, jadi pemantauan baki kredit serta tambah nilai boleh dilakukan secara atas talian melalui app khas.




Gambaran antara muka app telefon pintar untuk memantau baki kredit RFID




Semua baki transaksi tol boleh disemak di sini




Anda boleh tambah nilai kredit menggunakan kad kredit, kad debit mahupun perbankan internet




Anda boleh mendaftarkan sehingga 10 kenderaan atas nama anda, dan kesemuanya menggunakan baki kredit sama


Macam mana pula kalau baki tidak mencukupi...? Soalan sebegini sangat popular memandangkan insiden "mengundur secara berjemaah" sering berlaku terutamanya pada waktu gegas. Anda masih boleh menggunakan lebuh raya, tetapi secara berhutang dengan syarikat konsesi lebuh raya. Bil akan sampai ke rumah anda bagi mengingatkan berapa banyak anda berhutang kepada syarikat konsesi lebuh raya, yang perlu dijelaskan dalam tempoh masa tertentu (15 atau 30 hari, saya tidak pasti). Untuk melunaskan hutang, anda hanya perlu tambah nilai sahaja & hutang tersebut akan ditolak daripada baki kredit baharu anda. Apa akan terjadi sekiranya anda enggan melunaskan hutang tersebut dalam tempoh masa yang diberikan...? Anda akan disenarai hitam oleh JPJ & tidak dibenarkan memperbaharui cukai jalan, dan anda boleh didakwa di bawah Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM5,000 ataupun penjara tidak melebihi setahun.

Bagaimana hendak mengenal pasti lorong tol RFID...? Lorong tol RFID boleh jadi sama ada lorong khas tersendiri ataupun digabungkan dengan lorong Smart Tag atau lorong Touch 'n Go sedia ada. Kalau hendak tahu lorong yang mana satu, ia ditandakan dengan perkataan RFID Tag.




Lorong RFID boleh jadi lorong khas...




...ataupun berkongsi dengan lorong Smart Tag atau lorong Touch 'n Go sedia ada


Jadi saya rumuskan kelebihan-kelebihan utama penggunaan RFID berbanding Smart Tag dan Touch 'n Go seperti berikut:-

  1. Jauh lebih murah berbanding Smart Tag yang mana transponder "cap ayam"nya sendiri berharga RM127.60
  2. Tidak memerlukan bateri kerana tag RFID merupakan pelekat yang hanya perlu dilekatkan pada cermin kereta tanpa sebarang bateri.
  3. Meningkatkan kelancaran trafik di plaza tol kerana tiada lagi insiden mengundur secara berjemaah walaupun baki kredit tidak mencukupi.
  4. Mengurangkan tempoh menunggu bagi pembayaran tol kerana tidak perlu berhenti menyentuh kad seperti pada Touch 'n Go, serta tidak perlu memandu terlalu perlahan serta membuka jarak besar seperti pada Smart Tag.
  5. Mengurangkan kos operasi kerana pengguna tidak lagi perlu membeli peranti cap ayam pada harga Yahudi, manakala syarikat konsesi hanya perlu memasang alat pembaca pada lorong tol sedia ada.
  6. Mengurangkan isu kekangan tanah bagi pembesaran plaza tol dengan meningkatkan kadar aliran kenderaan di lorong tol sedia ada. Ia samalah seperti pendekatan pengeluar pemproses komputer sekarang yang menggunakan konsep menambah bilangan teras berbanding kelajuan jam pemproses.
  7. Mengurangkan pencemaran & penggunaan bahan api kerana masa pembayaran tol yang lebih pendek bermaksud kurang petrol yang dibazirkan ketika berhenti di plaza tol.
  8. Integrasi satu tag sahaja bagi pelbagai aplikasi seperti cukai jalan.


Bila agaknya penggunaan RFID mula dilaksanakan di Malaysia...? Laporan sebelum ini memberitahu bahawa RFID sepatutnya sudah mula dilaksanakan pada Januari 2018, tetapi sampai sekarang ia masih belum dilaksanakan lagi. Puncanya bukanlah datang daripada pihak LLM atau syarikat konsesi, tetapi datang daripada pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ kerana mereka mahu menyepadukan RFID dengan cukai jalan. Tambahan pula, edaran tag RFID dikawal ketat oleh Kementerian Pengangkutan kepada sekumpulan kecil pengguna ujian yang terdiri daripada kenderaan milik syarikat konsesi, Polis Diraja Malaysia )PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM & Touch 'n Go sendiri, dengan jumlah edaran sebanyak 3,872 kenderaan sahaja. Hanya setelah JPJ sudah bersedia untuk memperkenalkan jenis cukai jalan baharu yang disepadukan dengan RFID barulah kita merasa menggunakannya. Saya tidak berani menjanjikan masa spesifik, tetapi kita tunggu sahaja pengumuman daripada JPJ & LLM.



Kemaskini: Sistem RFID sah mula dilaksanakan sebagai ujian beta terbuka pada 3 September 2018 sebelum mula berkuatkuasa di semua lebuh raya ekspres utama pada Januari 2019.

Sunday, May 20, 2018

Blog Jalan Raya Malaysia kini pengedar rasmi Fuel Gain Kit di Kuala Lumpur / Malaysian Highway Blog is now an official dealer of Fuel Gain Kit in Kuala Lumpur




Salam sejahtera kepada semua para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang budiman.

Anda rindukan reviu-reviu jalan raya di Blog Jalan Raya Malaysia...? Saya memohon maaf kerana sudah jarang mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia akhir-akhir ini disebabkan kesibukan kerja serta sedikit masalah kesihatan. Serius saya katakan, saya sebenarnya amat rindu untuk mencuba jalan-jalan raya yang belum pernah saya cuba sebelum ini, mengambil gambar serta berkongsi reviu kepada anda semua. Namun, untuk menghasilkan reviu jalan raya yang belum pernah saya terokai, ia memerlukan kos kewangan yang selama ini ditanggung menggunakan wang poket sendiri; hanya siri reviu XPDC Teganu Kita 2015 merupakan satu-satunya siri reviu jalan raya yang dibiayai sepenuhnya daripada hasil derma para pembaca.

Justeru, adakah anda mahukan lebih banyak reviu jalan raya selepas ini...? Boleh, tetapi dengan syarat saya memerlukan sokongan daripada anda semua supaya dapat menjayakan permintaan lebih banyak reviu jalan raya, dan kali ini ada satu saluran terbaru untuk anda menzahirkan sokongan anda. Bagaimana...? Biar saya terangkan. Anda masih ingat lagi akan kit penukaran sistem pancitan bahan api Fuel Gain Kit (FGK) keluaran APT Touch Sdn. Bhd...? Untuk pengetahuan anda, Blog Jalan Raya Malaysia kini merupakan wakil pengedar sah FGK bagi kawasan Kuala Lumpur, Batu Caves & Lembah Klang.

Baru-baru ini pada 16 Mei 2018, APT Touch Sdn. Bhd. selaku pengeluar kit penukaran sistem pancitan bahan api Fuel Gain Kit telah melantik Blog Jalan Raya Malaysia sebagai pengedar rasmi bagi kawasan Kuala Lumpur, Batu Caves & Lembah Klang. Kami memang sudah lama berhasrat untuk menjalinkan kerjasama sebegini, memandangkan saya sering menulis banyak entri berkaitan dengan sistem pancitan bahan api motosikal kapcai.

Bagi tujuan ini, saya akan mewujudkan satu laman Facebook baharu yang akan dikenali sebagai FGK KL untuk membolehkan para peminat Blog Jalan Raya Malaysia membeli set FGK secara atas talian. Selain itu, kami juga ada menyimpan beberapa set ready stock khas untuk yang mahu memiliki set FGK segera & ingin memasangnya segera. Kami juga akan berinteraksi dengan pembeli yang sudah membelinya untuk mendapatkan maklum balas, berkongsi-kongsi pemetaan ECU sesama sendiri serta tip-tip untuk mendapatkan talaan paling berkuasa tetapi juga jimat minyak.

Diharap para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia sekalian dapat memberikan sokongan kepada kami dengan membeli kit FGK daripada kami & juga tular-tularkan kepada sahabat handai & ahli keluarga anda semua. Terima kasih.

Ikuti FAQ pemasangan Fuel Gain Kit dalam entri seterusnya.