Monday, September 18, 2017

Fuel Gain Kit (FGK) - kit naik taraf pancitan bahan api motosikal buatan Malaysia / the made-in-Malaysia motorcycle fuel injection retrofit kit



Piawaian emisi yang semakin ketat menyebabkan sistem karburetor pada motosikal kapcai kini di ambang kepupusan


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemas kini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan kesibukan kerja. Sebelum saya sambung semula dengan siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan dan seterusnya Zon Utara, izinkan saya selitkan sementara dengan entri mengenai ubah suai sistem pancitan bahan api ini.

Seperti yang anda semua sedia maklum, Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai syarikat pengeluar motosikal nasional sendiri - bukan satu, tetapi dua, iaitu Modenas dan Demak. Ironinya, Malaysia juga ketinggalan jauh di belakang dalam penguatkuasaan peraturan piawaian emisi, dibuktikan melalui piawaian lapuk Euro 2 yang masih diguna pakai sejak tahun 1997. Pada tahun 2009, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa di Copenhagen, Denmark mengumumkan dasar pengurangan pelepasan gas karbon dioksida sehingga 40% menjelang tahun 2020.

Untuk menjayakan dasar ini, maka banyak perubahan perlu dilakukan oleh industri automotif Malaysia agar kenderaan yang dikeluarkan menghasilkan semakin kurang karbon dioksida. Menurut kajian, motosikal menyumbang sebanyak 47% daripada pelepasan karbon dioksida di Malaysia. Susulan itu, industri motosikal menyaksikan penghijrahan daripada enjin 2 lejang kepada enjin 4 lejang, dan daripada sistem karburetor kepada sistem pancitan bahan api. Malah, saya ada mendengar khabar angin yang mengatakan bahawa dua model motosikal 2 lejang terakhir di Malaysia iaitu Yamaha 125Z dan Modenas Dinamik 120 bakal dihentikan pengeluarannya pada tahun 2018.

Rasional aplikasi sistem pancitan bahan api ialah pembakaran yang lebih cekap hasil daripada titisan bahan api yang lebih halus yang terhasil daripada tekanan tinggi yang dibekalkan oleh pam bahan api (lebih kurang 300 kPa) ke liang pemancit yang lebih halus daripada rambut manusia. Jika dibandingkan, titisan bahan api yang dihasilkan oleh karburetor pula lebih kasar, kerana udara bertekanan 1 atmosfera (101.325 kPa) menarik bahan api yang hanya bergantung kepada tarikan graviti ke karburetor; tekanan yang tidak begitu tinggi menyebabkan bahan api lebih sukar ditarik melalui liang yang lebih halus. Titisan yang lebih halus juga meningkatkan luas permukaan petrol yang dibakar, menjadikan pembakaran lebih sempurna.

Selain itu, sistem pancitan bahan api juga dikawal dengan lebih tepat bagi memastikan nisbah udara-bahan api yang betul. Masalah utama bagi sistem karburetor ialah kawalan udara-bahan api yang kurang tepat kerana hanya bergantung kepada talaan yang sekadar dilakukan "main agak" sahaja. Tersilap putar skru sedikit boleh menyebabkan pembaziran bahan api dan pelepasan gas pencemar yang berlebihan. Saya pernah nyaris disaman Jabatan Alam Sekitar kerana motosikal terdahulu saya (Honda Wave 125X Ultimo) mencatatkan bacaan paras karbon monoksida, hidrokarbon tak terbakar dan oksida nitrogen lebih tinggi daripada yang dibenarkan semasa baru hari ketiga keluar dari kedai. Mujurlah saya tidak disaman tetapi sekadar diminta menghantar kembali motosikal itu ke kilang untuk tindakan pembetulan, yang menyebabkan saya "patah kaki" selama seminggu.

Sistem bahan api pula menerima isyarat daripada pelbagai sensor bagi memastikan sukatan campuran udara-bahan api yang lebih tepat mengikut situasi penggunaan kenderaan. Penggunaan sensor-sensor ini amat penting kerana sistem pancitan bahan api direka untuk memancitkan bahan api hanya semasa lejang masukan, tidak seperti karburetor yang memancitkan bahan api sepanjang masa. Untuk kawalan nisbah udara-bahan api yang lebih tepat, sensor oksigen atau sensor lambda mengukur paras oksigen dalam gas ekzos untuk menentukan sama ada bahan api patut ditambah atau dikurangkan. Paling penting, sistem pancitan bahan api sentiasa melaras diri sendiri untuk memastikan talaan enjin tidak akan lari akibat kesan haus dan lusuh komponen, tidak seperti talaan karburetor yang lambat-laun akan lari selepas beberapa lama dan perlu dilaras semula.

Namun, kelemahan utama pancitan bahan api pula ialah kos dan tahap kerumitan pemasangan disebabkan terdapat banyak komponen dalam sistem bahan api, tidak seperti sistem karburetor yang hanya bermodalkan sebiji karburetor dan pemutar skru untuk menalanya. Saya memang ada menunjukkan kepada anda kit naik taraf sistem pancitan bahan api Ecotrons dalam entri Tragedi Oktober, tetapi harganya pula sangat mahal iaitu lebih kurang USD599 atau lebih kurang RM2,511, sudah menghampiri harga sebuah motosikal terpakai. Pemasangannya juga rumit kerana melibatkan banyak komponen berasingan.




Kit naik taraf pancitan bahan api Ecotrons memang lengkap dan boleh ditala sendiri, tetapi harganya pula mahal




Kit naik taraf pancitan bahan api FGK


Untuk mengatasi masalah kos naik taraf pancitan bahan api yang mahal serta kerumitan pemasangannya, APT Touch Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Taman Universiti, Johor Bahru menghasilkan kit naik taraf pancitan bahan api kos rendah yang dikenali sebagai Fuel Gain Kit (FGK). Kit naik taraf pancitan bahan api FGK ini terdiri daripada badan pendikit yang mengandungi sensor kedudukan pendikit (TPS) dan pemancit bahan api, pam bahan api, ECU dan abah-abah pendawaian.

Sebelum memasang, ada beberapa perkara yang anda perlu ambil perhatian terlebih dahulu:-
  1. Kit FGK ini memerlukan penggunaan bateri minimum 7 Ah. Jika motosikal anda menggunakan bateri kurang daripada 7 Ah, tukar kepada bateri berkadaran lebih kuat.
  2. Komponen yang paling banyak menggunakan elektrik dalam sistem pancitan bahan api ialah pam bahan api. Pastikan sistem pengecasan anda cukup kuat. Anda digalakkan untuk menukar gelung stator alternator motosikal anda kepada jenis 8 kutub ke atas.
  3. Kit FGK direka hanya untuk motosikal kapcai dan skuter 1 silinder 4 lejang 130 cc ke bawah sahaja (sehingga Modenas GT128).
  4. Kit FGK ini hanya diuji bagi melepasi Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003 yang berasaskan piawaian emisi Euro 2, jadi tiada jaminan sama ada ia memenuhi piawaian Euro 3.


Bagaimana hendak memasangnya...? Ikuti video tutorial 5 bahagian di bawah ini.




Langkah 1 - Penanggalan karburetor


Pertama: penanggalan karburetor - Tanggalkan set penutup badan motosikal. Seterusnya, cabut hos bahan api asal dari tangki. Berhati-hati semasa menanggalkan hos supaya petrol tidak tumpah dan meleleh. Kosongkan sebarang petrol berlebihan daripada hos bahan api ke dalam sebuah bekas. Seterusnya, tanggalkan sambungan kabel pendikit ke karburetor dengan menanggalkan injap gelungsur pendikit daripada karburetor dan seterusnya cabut sambungan kabel pendikit pada injap gelungsur pendikit itu. Tanggalkan terus sambungan kabel injap pencekik serta tuasnya jika ada. Akhir sekali, tanggalkan karburetor.




Langkah 2 - pemasangan kit FGK


Kedua: pemasangan kit FGK - Keluarkan set badan pendikit FGK daripada kotak. Sambungkan badan pendikit FGK ke liang masukan dan penapis udara. Seterusnya, pasang semula bahagian hujung kabel pendikit ke injap rerama pendikit. Kemudian, laraskan sambungan kabel pendikit dan pastikan gerak bebas (free play) genggam pendikit antara 3 hingga 5 mm.




Langkah 3 - pemasangan saluran bahan api


Ketiga: pemasangan saluran bahan api - Anda dinasihatkan untuk turut membeli penapis bahan api berasingan terlebih dahulu supaya pam bahan api dan pemancit tidak tersumbat. Gunakan hos bahan api asal untuk sambungan dari tangki ke penapis bahan api (anda perlu potong pendek sedikit) dan sambungkan hos panjang yang dibekalkan dari penapis bahan api ke pam bahan api (anda mungkin perlu menanggalkan pam bahan api supaya memudahkan penyambungan). Seterusnya, sambungkan hos pendek yang dibekalkan dari pam ke pemancit. Setelah sambungan bahan api siap, ikat pam bahan api menggunakan pengikat kabel plastik di tempat bersesuaian pada kerangka motosikal, tetapi pastikan lokasinya lebih rendah daripada aras tangki bahan api. Pastikan sambungan saluran bahan api dilakukan dengan kemas dan ketat tanpa sebarang kebocoran kerana anda patut tahu apa padahnya sekiranya berlaku kebocoran saluran bahan api.




Langkah 4 - penyambungan abah-abah pendawaian


Keempat: penyambungan abah-abah pendawaian - Barangkali inilah bahagian yang paling rumit dalam kit FGK ini, jadi baca dan perhatikan video tutorial dengan teliti serta baca juga manual pemasangan FGK yang disediakan semasa pembelian. Sambungkan soket To TPS ke sensor kedudukan pendikit pada badan pendikit. Seterusnya, sambungkan soket pemancit bahan api ke pemacit. Kemudian, kapitkan wayar hitam abah-abah pendawaian (12VDC) ke wayar hitam motosikal dan skrukan bersama wayar hijau-putih (GND) ke sambungan bumi pada kerangka motosikal. 

Selepas itu, kita beralih kepada pendawaian pada CDI, memandangkan FGK mengambil maklumat sistem penyalaan daripada CDI bagi tujuan pemasaan pancitan bahan api. Sambungkan wayar IPS+ ke wayar biru-kuning CDI dengan mengapitnya. Kemudian, kapitkan wayar IPS- ke wayar hijau CDI. Seterusnya, sambungkan soket To ECU ke ECU yang dibekalkan. ECU ini anda boleh ikatkan pada bahagian kerangka tepi belakang. Akhir sekali, sambungkan wayar FP+ dan FP- masing-masing pada terminal positif dan negatif pam bahan api. Setelah pendawaian siap, gunakan pengikat plastik untuk mengikat abah-abah pendawaian agar pendawaian yang dilakukan itu kemas.

Pendawaian ini dilakukan pada motosikal SYM Bonus 110, jadi prosedurnya mungkin berlainan bagi motosikal lain. Jika anda tidak tahu melakukan pendawaian bagi FGK ini, ada baiknya anda serahkan kepada mekanik untuk melakukannya. Apa pun, pastikan pendawaian dilakukan dengan betul tanpa kesilapan, dan pastikan semua sambungan dilakukan dengan kemas tanpa ada sambungan yang longgar atau tidak disambung dengan betul.




Langkah 5 - menguji sistem FGK


Kelima: menguji sistem FGK - Setelah siap, uji dahulu sistem bahan api FGK. Isi semula tangki bahan api. Putar kunci ke posisi On, tetapi jangan hidupkan enjin dahulu tetapi putar kunci kembali ke posisi Off. Ulang semula prosedur On-Off ini sebanyak 5 kali sebelum anda menghidupkan enjin selepas kunci diputar ke posisi On. Tujuannya ialah untuk menyingkirkan sebarang buih udara yang ada dalam talian bahan api bagi mengelakkan kehilangan kuasa ataupun enjin tersedak. Biarkan enjin melahu selama 5 minit. Akhir sekali, jika tiada masalah, anda boleh pasang semula set penutup badan motosikal dan anda boleh tunggang seperti biasa.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Manual pemasangan penuh kit FGK


Cuma ada 3 kelemahan yang saya kenal pasti daripada kit FGK ini. Pertama, kit ini tidak didatangkan dengan lampu Periksa Enjin. Akibatnya, pengguna tidak tahu sama ada sistem pancitan bahan api mereka bermasalah atau tidak. Sistem pancitan bahan api yang bermasalah boleh menyebabkan penghasilan gas pencemar yang berlebihan sebagaimana karburetor yang tidak dilaras dengan betul. Kedua, kit ini tidak didatangkan dengan sensor suhu enjin. Tanpa sensor suhu enjin, enjin sukar hendak dihidupkan semasa sejuk jika sekadar bergantung kepada pemetaan biasa. Sensor suhu enjin penting supaya enjin lebih mudah dihidupkan semasa sejuk atau selepas hujan dengan membekalkan lebih bahan api semasa enjin sejuk dan mengurangkannya secara beransur-ansur sehingga ke paras normal sebaik enjin sudah cukup panas. Seterusnya, kit ini juga tidak didatangkan dengan sensor lambda. Jadi, agak sukar hendak menentukan sama ada campuran udara-bahan api itu terlalu kaya atau nipis. Namun, generasi pertama Yamaha FZ150i juga tiada sensor lambda, tetapi masih berupaya lulus piawaian emisi Euro 3.




Lampu Periksa Enjin perlu supaya pengguna tahu sama ada sistem pancitan bahan api mereka bermasalah atau tidak


Justeru, ada beberapa penambahbaikan produk yang ingin saya usulkan kepada APT Touch. Pertama, saya cadangkan agar APT Touch turut menyediakan lampu Periksa Enjin yang boleh dipasang dengan menebuk lubang pada papan pemuka motosikal. Kedua, APT Touch juga boleh menyertakan sensor suhu enjin (ECT) yang boleh dipasang dengan hanya diskrukan pada kepala silinder. Akhir sekali, saya cadangkan agar APT Touch menawarkan sensor lambda sebagai komponen pilihan atau opsyenal, memandangkan pemasangannya sudah tentu perlu melibatkan kimpalan lubang skru sensor lambda pada pangkal paip ekzos.

Kit FGK ini boleh dibeli dengan harga RM400 sahaja, jauh lebih murah daripada kit naik taraf pancitan bahan api Ecotrons. Di mana anda boleh mendapatkan kit pancitan bahan api FGK ini...? Anda boleh dapatkannya di APT Touch Sdn. Bhd. di No. 74, Jalan Perdagangan 3, Taman Universiti, 81300 Johor Bahru, Johor.

Laman sesawang rasmi: http://www.fuelgainkit.com

No comments:

Post a Comment