Thursday, June 28, 2012

Segamat-Kuantan-KL Part 2: Lebuhraya Pantai Timur E8 / East Coast Expressway E8

Salam sejahtera,

Entri kali ini merupakan sambungan kepada entri lalu mengenai Lebuhraya Tun Razak FT12. Disebabkan faktor masa, saya mengambil keputusan untuk terus ke Kuala Lumpur dari penamat Lebuhraya Tun Razak FT12 di Gambang dan bukannya dari Jabor yang merupakan penamat asal Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1. Alang-alang saya sudah ada di sini, bukankah baik jika saya terus membuat reviu mengenai Lebuhraya Pantai Timur E8?

Sedikit maklumat sejarah mengenai Lebuhraya Pantai Timur ini. Lebuhraya Pantai Timur dirancang sebagai sambungan kepada Lebuhraya Karak E8/FT2 untuk membolehkan penduduk Pahang ke Kuala Lumpur dengan lebih pantas, memandangkan jarak dari Kuantan ke Kuala Lumpur ialah lebih kurang 230 km melalui Jalan Persekutuan 2, yang mana biasanya mengambil masa lebih kurang lima jam. Pembinaan Lebuhraya Pantai Barat ini sepatutnya dimuktamadkan pada tahun 1999, tetapi syarikat konsesi terdahulu gagal memuktamadkan satu perjanjian konsesi dengan kerajaan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia, maka kerajaan terpaksa membiayai sendiri projek Lebuhraya Pantai Timur ini secara "turnkey contract", di mana kontrak konsesi akhirnya ditawarkan kepada MTD Prime Berhad, syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2. Sebab itulah Lebuhraya Pantai Timur menggunakan kod laluan E8 sebagai kesinambungan kepada Lebuhraya Karak kendalian mereka. Pembinaan fasa pertama dimulakan pada Ogos 2000 dan ia dibuka kepada lalu lintas pada 1 Ogos 2004.

Kembara Blog Jalan Raya Malaysia untuk mencuba Lebuhraya Pantai Timur E8, Lebuhraya Asia AH141, bermula dari penamat Lebuhraya Tun Razak FT12 di Gambang. Terlebih dahulu saya mengisi minyak di stesen minyak Caltex Gambang. Di Simpang Gambang yang menjadi penamat FT12, laluan tersebut bertukar kepada Persiaran MEC FT222, sebatang jalan persekutuan pendek yang dibina sebagai jalan masuk ke Universiti Malaysia Pahang dan Lebuhraya Pantai Timur E8. Saya memasuki E8 melalui Exit 830 Persimpangan Gambang di KM217.

Lebuh raya ini agak lengang jika dibandingkan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 yang banyak digunakan oleh kenderaan, mungkin atas faktor peratusan milikan kenderaan yang lebih rendah di Pantai Timur berbanding di Pantai Barat. Selain itu, lebuh raya ini banyak melalui kawasan hutan tebal, satu pemandangan yang jarang dapat dilihat di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Lebih kurang 5 km sebelum Exit 227 Persimpangan Sri Jaya terletak hentian rehat pertama iaitu Kawasan Rehat dan Rawat Gambang. Pada pendapat saya, lebih baik ia dinamakan sebagai Kawasan Rehat dan Rawat Sri Jaya kerana ia lebih dekat ke Sri Jaya berbanding Gambang yang terletak hampir 30 km dari situ. Mungkin pemilihan nama berkenaan sekurang-kurangnya melegakan orang-orang Kuantan kerana ia menandakan mereka hampir tiba di Kuantan dari arah Kuala Lumpur.

Sepanjang pemerhatian saya, saya dapati jarak antara persimpangan bertingkat dengan bandar atau pekan destinasinya agak jauh, tidak seperti di Lebuhraya Utara Selatan di mana jarak dari persimpangan bertingkat ke plaza tol selalunya sekitar 300-500 meter sahaja; jarak antara persimpangan keluar ke bandar destinasi pula kebanyakannya dalam lingkungan 2-5 km sahaja. Namun di E8 pula, jarak dari persimpangan bertingkat ke plaza tol adalah lebih panjang, sekitar 700-900 meter. Jarak dari plaza tol ke simpang keluar masuk pula lebih kurang sama panjang, tidak seperti Lebuhraya Utara-Selatan di mana simpang keluar masuk terletak betul-betul selepas plaza tol.

Sungguhpun demikian, satu persamaan yang dikongsi bersama dengan Lebuhraya Utara-Selatan ialah konsep laluan selari yang digunakan. Jika Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dibina selari dengan Jalan Persekutuan 1 (kecuali jajaran Simpang Ampat-Yong Peng yang dilencong jauh untuk membolehkannya melalui Melaka), Lebuhraya Pantai Timur E8 pula dibina selari dengan Jalan Persekutuan 2. Maka tidak hairanlah jika kebanyakan persimpangannya dihubungkan ke Jalan Persekutuan 2, antaranya seperti Exit 830 Persimpangan Gambang, Exit 827 Persimpangan Sri Jaya, Exit 825 Persimpangan Maran dan Exit 813 Persimpangan Karak.

Setelah hampir 100 km menunggang, saya akhirnya mengisi minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Temerloh, betul-betul sebelum Jambatan Sultan Ahmad Shah II yang merentangi Sungai Pahang. Sepasang lorong motosikal dari dua buah kampung yang dipisahkan oleh Sungai Pahang dihubungkan ke jambatan ini untuk kemudahan orang-orang kampung menyeberangi Sungai Pahang. Gerai-gerai di Kawasan Rehat dan Rawat Temerloh ditutup sementara, saya tidak tahu apa puncanya, memandangkan saya tidak nampak sebarang petanda kerja naik taraf hentian rehat tersebut.

Haharan dari Exit 819 Persimpangan Temerloh ke Exit 816 Persimpangan Lanchang sudah beberapa kali saya lalui sebagai laluan utama ke kampung halaman adik ipar saya di Felda Mempaga. Jajaran tersebut terkenal kerana permukaan lebuh raya beralun-alun, menjadikannya berbahaya. Namun, semasa saya melaluinya, MTD Prime sudah membaiki jajaran beralun di situ dan menurap semula keseluruhan jajaran tersebut supaya ia tidak lagi beralun.

Plaza tol penamat Lebuhraya Pantai Timur ialah Plaza Tol Karak. Jika dilihatkan saiz plaza tol tersebut, ia kelihatan seolah-olah terlalu kecil dengan bilangan lorong yang begitu sedikit, satu ironi bagi sesebuah plaza tol utama yang menjadi pintu gerbang ke pantai timur, sedangkan Plaza Tol Bentong di Lebuhraya Karak pula begitu besar. Mungkin dipadankan dengan kadar trafik yang agak rendah buat masa ini (kecuali musim perayaan). Plaza Tol Bentong dan Gombak di Lebuhraya Karak E8/FT2 pula terpaksa dibuat besar kerana ia adalah laluan utama (memang ada Jalan Gombak FT68 sebagai laluan alternatif bebas tol, tetapi jalan tersebut sempit, banyak selekoh berbahaya dan "sangat keras").

Lebuhraya Pantai Timur E8 tamat di Exit 813 Persimpangan Karak, di mana ia bercamtum dengan Jalan Persekutuan 2 sebagai Lebuhraya Karak E8/FT2. Di situ had laju diturunkan daripada 110 km/j ke 90 km/j berikutan keadaan Lebuhraya Karak E8/FT2 yang agak berkelok-kelok. Kepada sesiapa yang belum membaca reviu mengenai Lebuhraya Karak E8/FT2, anda boleh membacanya di sini.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E8
Panjang: 160 km (Fasa 1)
Arah laluan: Timur-barat (Karak-Kuantan)
Bilangan lorong: 4
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: MTD Prime


Kemaskini: Ikuti sejarah lengkap mengenai pembinaan Lebuhraya Pantai Timur E8 di sini.







Plaza Tol Gambang






Exit 830 Persimpangan Gambang






Pemandangan Jalan Persekutuan 2 dari Lebuhraya Pantai Timur E8 arah Sri Jaya






Kawasan Rehat dan Rawat Gambang






Exit 827 Persimpangan Sri Jaya






Exit 825 Persimpangan Maran






Exit 821 Persimpangan Chenor






Gerai-gerai peniaga di Kawasan Rehat dan Rawat Temerloh ditutup atas sebab-sebab yang tidak diketahui






Jambatan Sultan Ahmad Shah II merentangi Sungai Pahang






Exit 819 Persimpangan Temerloh






Exit 816 Persimpangan Lanchang






Plaza Tol Karak menghadap Banjaran Titiwangsa






Penamat Lebuhraya Pantai Timur E8 di Exit 813 Persimpangan Karak






Laluan asal Lebuhraya Karak FT2 yang dilencongkan berikutan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur






Permulaan Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment